Khamis, 23 Mei 2013

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


RM70,000 lesap kejar aset RM50j

Posted: 22 May 2013 03:48 PM PDT

Shah Alam: Gelap mata kerana ingin memiliki aset bernilai lebih RM50 juta, seorang lelaki berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sehingga RM70,000 selepas melakukan transaksi wang 20 kali kepada beberapa wanita yang hanya dikenali melalui perbualan telefon bermula Ogos 2011 sehingga Februari tahun lalu.

Bagaikan dipukau, duda yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 47, melakukan transaksi pertama sebanyak RM3,000 kononnya bagi menampung kos perubatan seorang wanita misteri bernama Nur Heliza Helmi iaitu sepupu kepada seorang wanita lain dikenali Saodah di Hospital Singapura dan ia kemudian berlarutan kepada bantuan kewangan kepada Saodah.


Din berkata, Saodah sering mengadu mengenai masalah kewangan yang dihadapi menyebabkan dia yang bersimpati melakukan transaksi minimum RM5,000 kepada Saodah sebelum menyedari ditipu apabila wanita itu enggan berjumpa dengannya selain gagal membayar semula pinjaman itu.

Bagaimanapun, wanita itu memberi tawaran untuk memberi aset miliknya berharga RM50 juta sebagai membayar hutang dan membalas budi baik lelaki itu.


Beliau berkata, dia bersetuju dengan cadangan wanita itu tetapi pada masa sama terpaksa mengeluarkan wang lagi kononnya untuk kos pengurusan mahkamah bagi pemindahan hak milik aset itu.


Dia yang juga bapa kepada tujuh anak berusia antara tujuh hingga 20 tahun itu turut menggadaikan aset peribadinya seperti tanah, van dan motosikal bagi mendapat wang tunai untuk membayar kos pindah nama pemilik aset itu di mahkamah.

Foto

DIN menunjukkan laporan polis yang dibuat.

"Saya mula mengenali Saodah selepas mendapat satu mesej dalam laman sosial Facebook melalui adik saya yang menyatakan kawannya memerlukan bantuan kewangan akibat kanser serta memerlukan rawatan segera. Atas dasar simpati itu saya bersetuju membantu.


"Kami tidak pernah berjumpa kecuali mengadakan perbincangan melalui telefon. Akibat kesempitan wang, saya menuntut Saodah untuk membayar semula wangnya bagaimanapun dia menawarkan penyerahan aset hartanya sehingga saya bertindak menjual semua aset peribadi bagi menampung kos pengurusan mahkamah," katanya ketika ditemui di Balai Berita NSTP Bukit Jelutong di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Letty Ortiz Dihidupkan Semula

Posted: 22 May 2013 03:43 PM PDT

Baik pengarah mahupun pihak Universal Studios tidak sekali menjangka reaksi peminat bila didedahkan Letty Ortiz, lakonan Michelle Rodriguez, sebenarnya masih hidup di pengakhiran filem 'Fast Five'.

Babak seminit yang melihat perbualan di antara agen Khidmat Keselamatan Diplomatik US, Luke Hobbs (Dwayne Johnson) dan agen kastam Monica Fuentes (Eva Mendes) sudah mencukupi untuk mencetuskan perbincangan hangat di kalangan peminat tegar selain membuatkan mereka ternanti sambungannya.

Bagaimanapun, rata-ratanya pasti terkejut apabila Letty mati dibunuh Fenix Calderon. Ramai peminat cukup teruja bila diumumkan Rodriguez akan kembali menyertai barisan pelakon 'Fast Five'. Apatah lagi kepulangannya adalah atas usaha peminat tegar yang telah melancarkan kempen untuk membawanya kembali ke francais tersebut dengan menulis surat rayuan kepada penerbit dan Universal Studios.

Rodriguez sendiri hanya mengetahui tentang klip tersebut bila di tontonnya 'Fast Five' di pawagam. Katanya dia telah menonton filem itu ketika dia bercuti di Paris, Perancis.


"Saya begitu teruja bila menyaksikan klip itu kerana 'Fast Five' sebuah filem yang menakjubkan, dan ia membuka ruang untuk saya kembali dalam 'Fast & Furious 6'. Saya selalu bergurau dengan Vin (Diesel) yang dia sepatutnya memaklumkan saya terlebih dahulu!"


Bagi Diesel, kembalinya dia kepada siri filem 'Fast & Furious' sebagai seorang penerbit, dia sedar hubungan di antara Dominic Toretto dan Letty yang telah meninggalkan kesan mendalam ke atas penonton harus diterokai dengan lebih terperinci.

Reaksi peminat terhadap berita yang Letty masih hidup mampu menyaingi respon yang diberikan kepada penampilan khas Diesel di dalam 'Tokyo Drift'. Ekoran daripada 'cameo' Diesel itu, ia sekaligus menandakan permulaan baru kepada siri tersebut.

Pertemuan pengarah Justin Lin dengan Diesel untuk memujuknya membuat kemunculan semula di dalam 'Tokyo Drift' bertukar menjadi sesi perbincangan mengenai setiap watak, sejarah mereka dan jalan cerita yang barangkali boleh diterokai.

"Banyak yang kami bincangkan dan ia sesuatu yang saya hargai. 'Fast & Furious 6' adalah rangkuman kepada semua perbincangan kami," kata Lin.

Tambah Diesel, "Paling menyeronokkan, kami bukan saja dapat menghasilkan sebuah filem aksi tetapi juga menggabungkan penceritaan yang menarik. Bila dikaji semula, semuanya berhubung kait. Selepas menonton 'Fast & Furious 6', anda akan mahu menonton semula filem-filem sebelumnya. Sebab dari situ, setiap persoalan yang pernah terlintas di fikiran sebelum ini akan terjawab dan pada masa yang sama, kami juga menjanjikan sesuatu di masa depan... 'that's cool filmmaking'."

Sudah merasai kehangatan Fast & Furious 6? Klik disini & menangi hadiah yang menarik! Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Marsha kerinting rambut

Posted: 22 May 2013 05:12 AM PDT

Putus cinta, jika dihalusi sebenarnya boleh menjadi kekuatan dan mampu mendorong seseorang wanita mahupun lelaki untuk lebih bersinar dan berjaya. Begitulah kehidupan Marsha Milan Londoh, 28, selepas hampir dua tahun kembali solo.

Kegagalan dalam percintaan membolehkan penyanyi dan pelakon itu memberi tumpuan kepada kerjaya yang kini di carta pertama dalam kehidupannya.

Tertanya, usaha keras wanita kelahiran Tanparuli, Sabah ini berbaloi dan terbukti dengan peluang yang terhidang di depannya kini.

Baru-baru ini, Marsha dilantik sebagai duta produk kesihatan yang mana turut menyaksikan pelancaran single terbarunya, Jujur Bilang Cinta.

Foto

MARSHA berlaku kejam menerusi watak Suri yang dibintangi di dalam filem Tujuh.

Foto

CINTA? Nanti dulu kata Marsha.


Banyak lagi perancangan menarik yang diaturkan Marsha bersama pengurus barunya, Faizal Saharuni yang juga bekas wartawan sebagai mengisi kalendar 2013. Satu daripada­nya cukup mengujakan apabila dia bakal membintangi filem pertamanya arahan Raja Mukhriz berjudul Tujuh.


"Saya memegang watak sebagai Suri, anak orang Asli dari suku kaum Temuan yang dirogol pelajar-pelajar terdiri daripada anak hartawan sekitar tahun 70-an. Dia juga dianiaya seorang lesbian lalu merogolnya.

"Akibat kejadian itu Suri menjadi dendam dan membunuh setiap mereka dengan kejam dengan cara bersumpah dia akan menghantui hidup setiap mereka baik dalam mimpi mahupun jaga.

"Selain harus menolak ke tepi sisi peri kemanusiaan saya, menerusi filem ini akan berlakunya transformasi dari segi penampilan di mana saya diminta keritingkan rambut dan hanya mengenakan solekan pucat.

"Keritingkan rambut adalah satu pengorbanan saya lakukan untuk filem ini apatah lagi saya memang tidak pernah berminat untuk mempunyai gaya rambut sedemikian," katanya teruja memasuki set penggambaran Tujuh yang bermula baru-baru ini.

Filem berkisarkan pertembungan dua budaya masyarakat moden era 70-an dan kaum Asli menyaksikan pembabitan nama-nama besar antaranya Johan A'sari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Riz Aminuddin, Siti Saleha, Christinne Suzanne, Wan Hanafi Sue, Dee Dee dan Nash.

Penggambaran filem ini juga berpanoramakan kawasan Janda Baik, Hulu Langat dan Cameron Highlands.

Bukan setakat berlakon filem, gadis cantik ini juga hanya menanti waktu untuk memasuki set Propaganza yang kini memperkenalkan format rakaman tidak lama lagi. Khabarnya, Marsha akan berpasangan dengan pengacara baru lelaki yang mampu memberi impak kepada program ini sebagaimana dikendalikannya bersama Reza.

Selain itu, Marsha juga sibuk mempromosikan single Jujur Bilang Cinta yang dicipta sendiri sepenuhnya. Lagu berentak sentimental itu diilhamkan dari kisah cinta Marsha yang tidak kesampaian.

"Lagu ini mengenai kisah cinta saya yang tidak kesampaian dan kejujuran yang tidak dihargai. Namun, lagu ini juga boleh dikaitkan dengan sesiapa saja kerana semua orang pasti pernah merasai cinta.

"Ia sebenarnya ditulis sudah agak lama. Mulanya, saya hampir tidak mahu merakamkan lagu ini kerana tidak kuat untuk menyanyikannya dan terfikir untuk memberikannya kepada penyanyi lain.

"Namun atas saranan bekas pengurus, Shada yang mendorong saya merakamkan lagu ini kerana percaya ia mampu menyerlahkan kebolehan saya, malah turut disokong Faizal selaku pengurus baru. Susunan muzik asalnya agak 'raw' dan ia dihantar kepada seorang penerbit di Indonesia bagi mencantikkannya lagi," katanya.

Selain itu, dia yang sekarang menggunakan nama Marsha Milan sebagai nama pentasnya menafikan dia sengaja 'membuang' nama keluarganya iaitu Londoh. Sebaliknya pendekatan itu diambil untuk mengelakkan kekeliruan apabila Londoh sering disebut sebagai 'London', 'Londeh' dan beberapa lagi sebutan.

Katanya, perubahan nama itu langsung tidak membuatkan peminat janggal kerana kematangannya dalam industri hiburan sejak tahun lalu, semakin diterima.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


4 didapati bersalah bunuh Sosilawati

Posted: 22 May 2013 07:49 PM PDT

SHAH ALAM: Bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, tadi selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Banting pada 30 Ogos 2010.


Hakim Datuk Akthar Tahir memutuskan demikan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Pathmanabhan, 44, serta tiga pekerja ladang iaitu T Thilaiyalagan, 22, R Matan, 23, dan R Kathavarayan, 33, dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka melakukan perbuatan itu di Lot nombor 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, 30 Ogos 2010.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd Ghani, Siti Rohaida Che Hamid dan Nur Azimul Azami Mohamad Nor.

Sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.

Perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011 berjalan selama 113 hari dengan 108 saksi pendakwaan dan 30 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan serta 742 bahan bukti dikemukakan selain 6, 000 nota prosiding dikemukakan kepada mahkamah.

KRONOLOGI KES BUNUH SOSILAWATI

30 Ogos 2010: Sosilawati bersama Kamaruddin, Noorhisham dan Ahmad Kamil dilaporkan hilang selepas ke Banting atas urusan jual beli tanah. Sosilawati kali terakhir dilihat membeli kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting, pada jam 4 petang.

6 September 2010: BMW M5 milik Sosilawati ditemui di parkir Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala BMW milik Ahmad Kamil dijumpai berdepan rumah teres berhampiran sebuah hotel di Subang Jaya.

12 September 2010: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibakar di sebuah ladang, manakala abunya dicampakkan ke sungai berhampiran.

13 Oktober 2010: Pathmanabhan bersama Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas tuduhan membunuh semua mangsa.

15 Oktober 2010: Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap Sarawanan dan Suresh yang mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan itu.

18 Oktober 2010: Pathmanabhan gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam yang membatalkan namanya sebagai peguam berdaftar.

2 November 2010: Enam anak Sosilawati memfailkan saman ganti rugi bernilai RM60 juta terhadap Pathmanabhan dan lima pekerja ladang yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan ibu mereka.

21 Februari 2011: Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda hukuman tujuh tahun kepada 20 tahun penjara kepada Sarawanan dan Suresh kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan itu.

3 Mei 2011: Tuntutan wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta oleh Sosilawati terhadap dengan bekas suami Nash di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dihentikan berikutan kematian jutawan itu.

3 Julai 2011: Perbicaraan kes peringkat pendakwaan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

8 Mac 2012: Pendakwaan menutup kes.

30 April 2012: Datuk Akhtar Tahir memerintahkan keempat-empat tertuduh membela diri atas pertuduhan selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

22 Mac 2013: Pembelaan menutup kes.

23 Mei 2013: Keputusan kes di akhir pembelaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

'Kami sudah putus hubungan'

Posted: 22 May 2013 11:12 AM PDT

Kuala Lumpur: "Ya, kami sudah putus hubungan dan setakat itu sajalah hubungan kami.

"Lebih baik berpisah awal secara baik daripada mencetuskan pergaduhan pada masa depan," kata pelakon, Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo Omar, 28 mengakui hubungan cintanya bersama pelajar Universiti LimKokWing, Hans Jaafar, 25 sudah berakhir.

Fizo dihubungi semalam berkata, hubungannya bersama pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan itu hanya bertahan dua bulan selepas tiada keserasian bersama.

"Saya anggap hubungan ini berakhir kerana tiada jodoh dan persefahaman. Kalau boleh saya tidak mahu perkara ini dipanjangkan lagi," katanya.

Foto

Fizo Omar dan Haas hanya sempat bercinta selama 2 bulan.


Kata Fizo, dia menerima keputusan putus cinta dengan hati terbuka dan mengakui masih berkawan bersama wanita itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Mat Yo, Nurul duri Kelantan

Posted: 22 May 2013 09:14 AM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) melonjak ke tangga kedua untuk mencabar pendahulu liga, LionsXII selepas menjinakkan Kelantan 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Pertembungan Johor DT dan Kelantan terpaksa dimulakan lewat 40 minit apabila pegawai perlawanan dan pihak berkuasa bertungkus-lumus mengasingkan penyokong Johor DT dan Kelantan selepas salah seorang penyokong mengalami kecederaan di kepala akibat terkena balingan objek hingga segelintir penyokong skuad Harimau Selatan terpaksa diletakkan di trek stadium bagi menjamin keselamatan mereka.


Tanpa menunggu lama, skuad Harimau Selatan bertali arus mengasak ke kubu The Red Warriors dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-21 selepas rembatan Nurul Azwan Roya ditampan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat biarpun bola muntah cuba dicabar Safee Sali.

Tersentak dengan percubaan tuan rumah, The Red Warriors yang beraksi tanpa kelibat tiga tonggak utama, Mohd Badhri Radzi, Indra Putra Mahiyuddin dan Norfarhan Mohammad dan berada di bangku simpanan hampir mencemaskan gawang skuad Harimau Selatan selepas bola rembatan Zairo Anuar Zailani pada minit ke-24 hanya sipi dari pintu gol.


Ketika aksi memasuki minit ke-31 peluang terbaik Kelantan mencipta jaringan dipersia-siakan Harris Safwan, berpunca daripada lorongan Ahmad Fakri Sharani yang ditampan penjaga gol tuan rumah, Mohd Al-Hafiz Hamzah.


Ketika babak pertama semakin hampir penghujung, Leonel Nunez terlepas peluang merobek gawang pelawat apabila bola tandukannya pada minit ke-41 dan disusuli seminit kemudian hanya sipi dari gawang selain tindakan pantas Khairul Fahmi menghalang bola daripada menerjah ke jaring.

Foto

NORSHAHRUL (tengah) jaring gol pertama Johor DT.

Bermula babak kedua, skuad Harimau Selatan begitu rakus mengasak ke kubu Kelantan dan ketika aksi memasuki minit ke-65, gol yang dinantikan ketua jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad menjelma menerusi rembatan deras Norshahrul Idlan Talaha dari luar kotak penalti yang menewaskan Khairul Fahmi.


Selang tiga minit kemudian gol kedua terhasil buat tuan rumah apabila Nurul Azwan yang berada di sudut sukar bertindak melencongkan bola yang menerjah ke jaring bagi menewaskan Khairul Fahmi yang sekadar tergamam di gawang sendiri untuk memastikan kemenangan buat Harimau Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Permulaan sempurna

Posted: 22 May 2013 09:09 AM PDT

Hull, Britain: Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David memulakan hasratnya untuk menjuarai Terbuka British buat kali kelima dengan pantas dan menakjubkan, awal pagi semalam.

Pemain yang memecahkan banyak rekod dari Malaysia itu memerlukan hanya setengah jam untuk memenangi pusingan pertama 11-4, 11-5, 11-4 ke atas Joshana Chinappa, juara India lima kali yang terpaksa menempuhi pusingan kelayakan.


Ia mungkin memberikan kelebihan kerana Joshana lebih selesa dengan cuaca panas dan mampu mengajak Nicol bermain rali panjang, namun dia tidak cukup konsisten dan melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.

"Saya cuba tidak memberikannya masa untuk mempamerkan permainan sendiri kerana dia amat berbahaya," kata Nicol. "Dan saya amat gembira dengan cara yang saya lakukan.


"Saya sedar saya perlu membuatkannya bekerja keras dan tidak membiarkan dia mempamerkan corak permainan sendiri." Nicol menghasilkan dua permainan rali menakjubkan pada pertengahan set kedua, yang membolehkannya mendahului 6-3.


Nicol kini berdepan lawan yang tidak disangka-sangka Sarah Kippax, pemain harapan peminat tempatan yang tidak berada dalam kelompok 20 pemain terbaik namun berjaya mengejutkan Natalie Grinham, pilihan ke-10 bekas naib juara Terbuka British dari Belanda dengan 9-11, 13-11, 11-6, 9-11, 11-7.

Terdahulu seorang lagi pemain negara Low Wee Wern (gambar kecil) muncul pemain pilihan pertama tumbang.


Wee Wern, pilihan ketujuh kecundang 11-7, 13-11, 7-11, 11-9 di tangan Sarah-Jane Perry, muka baru skuasy England yang melonjak lebih 40 anak tangga dalam tempoh kurang setahun untuk menduduki kelompok 20 teratas buat kali pertama.

Dalam kategori lelaki, seorang lagi pemain negara Ong Beng Hee kecundang kepada pemain Australia, Cameron Pilley 1-11, 8-11, 12-14. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kaki guru tertusuk batang besi

Posted: 22 May 2013 09:20 AM PDT

Briarwood: Seorang guru cedera selepas tertusuk besi kaki meja ketika melindungi muridnya apabila puting beliung yang membawa angin selaju 320 kilometer sejam (kmsj) menerbangkan sisa runtuhan di Oklahoma, kelmarin.

Suzanne Haley yang melindungi murid di Sekolah Rendah Briarwood mengalami kecederaan serius apabila kaki kanannya tertusuk besi berkenaan.


Guru darjah satu itu berlindung bersama muridnya di bawah meja ketika puting beliung berkenaan melanda kawasan sekolah itu.

Dia dihantar ke hospital dengan sebuah trak.


Bercerita mengenai peristiwa itu, Suzanne berkata: "Dinding kelas runtuh dan menghempap kami yang ketika itu berlindung di bawah meja.


"Mulanya saya fikir sesuatu yang besar dan berat menghempap kaki saya menyebabkan saya tersepit. "Saya tidak boleh bergerak. Tiada siapa yang dapat bergerak. Tetapi akhirnya kami mampu berguling dan keluar. Saya meminta anak saya melihat apa yang menghempap kaki saya dan mengangkatnya. Tetapi selepas melihatnya, dia menjerit." Guru itu berkata, dia terpaksa mengawal perasaan untuk menenangkan muridnya.

"Saya berjaya melakukannya. Saya sungguh terkejut. Saya tidak boleh cemas di depan anak saya dan murid lain. Saya perlu bertenang demi mereka," katanya.


Suzanne mulanya bimbang bayaran rawatan perubatan kerana perlindungan insurans yang dibelinya tidak meliputi kecederaan seperti itu.

Tetapi selepas menonton wawancara yang disiarkan televisyen, syarikat insuransnnya memaklumkan kepada guru yang berani itu bahawa mereka akan menanggung kos rawatan berkenaan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Wanita basuh pinggan, kemas rumah ketika tidur

Posted: 22 May 2013 09:17 AM PDT

Cambridgeshire: Seorang wanita mengalami keadaan ganjil - membasuh dan mengemas rumah ketika tidur.

Claire Bartlett, 50, membasuh pinggan mangkuk, menyapu dan menggilap tingkap ketika nyenyak tidur.

Kejadian ganjil itu bermula pada Claire Oktober lalu.

Bagaimanapun, kerana kerja yang dilakukan itu baik, dia mahupun suami, Crispin, 63, tidak berusaha untuk mencari rawatan bagi mengatasi masalah berkenaan.


"Saya berpendapat ia menjadi impian semua isteri dan setiap suami. Saya tidak merasa penat selepas itu. Lebih menyeronokkan kerana apabila terjaga, semuanya sudah beres.


"Ia berlaku kira-kira tiga kali seminggu. Keluarga saya berpendapat ia agak kelakar. Malah saya mula membiarkan pinggan tidak berbasuh dengan harapan saya akan membasuhnya ketika tidur." katanya ketika ditemui media.

Claire dari Newport, Wales Selatan mempunyai dua anak dan mereka turut mula berjalan dalam tidur secara tiba-tiba enam tahun lalu.

Pakar tidur Dr Nicholas Oscroft dari Hospital Papworth di Cambridgeshire berkata: "Apabila masalah ini berlaku, mereka biasanya separuh sedar, tetapi bukan dalam keadaan kesedaran yang normal."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved