Ahad, 4 Disember 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Masalah aktiviti otot pencerut

Posted: 04 Dec 2011 09:19 AM PST

"DULU setiap kali selepas makan mesti tidak selesa, loya dan mulut pula terasa masam. Dada macam terasa ngilu sangat hingga kadangkala tidak boleh tidur. Kalau makan makanan berminyak, keadaan jadi lebih teruk.

"Ketika bersenam pun saya boleh alami masalah ini terutama apabila saya melakukan pergerakan tekan tubi atau bangun tubi. Malah apabila tunduk pun saya boleh rasa dada pedih," kata Terry Tan, 37, yang sudah 10 tahun mengalami masalah ini.

Mulanya dia cuba bertahan tetapi gejala berkenaan menjejaskan hidupnya yang aktif. Doktor memberitahu dia mengalami masalah gejala penyakit refluks gastroesofagus (GERD). Ini adalah keadaan apabila kandungan asid gastrik dalam perut tertolak ke atas memasuki saluran esofagus (saluran makanan yang menyambungkan tekak dan perut). Aliran songsang atau refluks asid gastrik inilah yang membuatkan seseorang mengalami pedih ulu hati, mulut terasa masam, loya dan tidak selesa.

Pada awalnya dia mengambil ubat antasid tetapi kesan ubat ini tidak lama sehinggalah dia diberikan ubat dipanggil perencat pam proton (PPI) yang membolehkan Tan menjalani hidup dengan lebih baik.


GERD adalah antara gangguan masalah gastrousus (berkaitan perut dan usus).

GERD boleh berlaku pada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak tetapi biasanya membabitkan golongan muda iaitu pada peringkat hidup paling produktif.

Di Malaysia, dianggarkan 50 peratus penduduk dewasa mengalami sekurang-kurangnya satu masalah gastrousus; namun ramai yang tidak mendapatkan rawatan sewajarnya kerana ia sering disalah anggap sebagai gejala akibat ketidakhadaman.

Menurut Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Goh Khean Lee, ada orang berpendapat GERD berlaku kerana terlalu banyak asid gastrik dalam perut. Pakar menolak pendapat ini kerana ia sebenarnya berkaitan aktiviti otot pencerut pada bahagian bawah esofagus yang berehat pada waktu yang salah, contohnya ketika seseorang tidak menelan makanan dan terbuka terlalu lama.

Menelan makanan atau minuman adalah proses yang kompleks dan membabitkan keseragaman banyak otot. Apabila makanan masuk ke dalam saluran esofagus, otot pencerut di bahagian atas perlu dalam keadaan rehat (supaya saluran terbuka) dan membolehkan makanan melaluinya. Apabila otot ini bekerja (mencerut), ia secara automatik akan menolak makanan ke bawah. Kemudian otot pencerut di bahagian bawah esofagus pula perlu berehat supaya makanan boleh melaluinya dan masuk ke perut. Maknanya apabila ada makanan, otot ini perlu berehat.

Namun apabila otot ini berehat ketika tiada makanan (tidak menelan) dan terbuka terlalu lama, maka asid gastrik di dalam perut boleh tertolak ke atas memasuki salur esofagus (menyebabkan aliran songsang atau refluks).

"Asid gastrik penting untuk membunuh kuman dan sangat diperlukan dalam proses penghadaman makanan. Namun asid ini boleh tertolak ke atas apabila kita sendawa atau menelan makanan. Apabila terlalu banyak asid yang tertolak ke atas, ia boleh menyebabkan beberapa masalah.

"Kecekapan otot pencerut ini boleh berkurang dengan peningkatan umur dan penambahan berat badan terutama di kalangan lelaki. Pun begitu, ramai juga wanita yang alami GERD. Apa yang dikhuatiri ialah apabila asid ini masuk ke tempat yang tidak sepatutnya seperti paru-paru, ia boleh menyebabkan pneumonia.

"Selain itu kehadiran asid gastrik di luar perut boleh membuatkan jarak antara sel yang sepatutnya rapat antara satu sama lain menjadi besar, membolehkan lebih banyak asid akan memasuki bahagian berkenaan dan menyebabkan banyak masalah susulan. Kerosakan tisu pada bahagian bawah saluran esofagus menyebabkan rasa pedih ulu hati," katanya pada bengkel kefahaman GERD anjuran AstraZeneca Sdn Bhd.

Salah faham

Meskipun pengetahuan mengenai GERD sudah lama ada tetapi masih ramai yang mempunyai salah anggapan terhadap penyakit ini, menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan sewajarnya. Antara salah faham itu ialah:

  • Kepercayaan 1: GERD hanya membabitkan orang dewasa

    Hakikat: Ia boleh berlaku pada sesiapa saja tanpa mengira peringkat umur. Malah bagi individu yang ada sejarah keluarga mengalami GERD, peluang untuk mereka mendapat masalah yang sama adalah lebih tinggi.

    Penyelidik menganggarkan dua hingga lapan peratus kanak-kanak berumur tiga hingga 17 tahun mengalami gejala GERD. Selain itu didapati pertambahan umur juga membuatkan risiko GERD meningkat mendadak terutama selepas mencecah 40 tahun.

  • Kepercayaan 2: GERD dan pedih ulu hati adalah masalah yang sama

    Hakikat: Pedih ulu hati adalah antara gejala GERD. Pedih ulu hati adalah salah satu kesan masalah ketidakhadaman yang disebabkan refluks asid gastrik ke dalam esofagus. Ia membuatkan dada pesakit (di bahagian belakang tulang dada) terasa panas.

    Gejala pedih ulu hati yang kerap (lebih dua kali seminggu) atau sehingga boleh menjejaskan kegiatan harian boleh dijadikan petanda seseorang itu mengalami GERD. Bagi pesakit GERD, gejala pedih ulu hati dan refluks berlaku lebih lama dan kerap daripada masalah pedih ulu hati biasa.

  • Kepercayaan 3: GERD adalah masalah biasa dan tidak perlu dibimbangkan

    Hakikat: GERD kronik yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi serius.
    Keradangan esofagus akibat refluks asid gastrik perut boleh merosakkan tisu lapisan dalam esofagus, menyebabkan pendarahan atau ulser (dipanggil esofagitis). Parut pada tisu ini akan membuatkan saluran esofagus menjadi sempit dan menyukarkan seseorang untuk menelan.

    Sesetengah pesakit mengalami keadaan yang dipanggil esofagus Barret, di mana bentuk dan warna sel dalam esofagus menjadi tidak normal. Lama kelamaan sel ini boleh berubah menjadi sel kanser - yang biasanya membawa maut.

    Kajian mendapati keadaan GERD boleh bertambah buruk jika pesakit turut mengalami masalah asma, batuk teruk atau fibrosis pulmonari. Malah, GERD yang teruk juga akan membuatkan gigi cepat reput kerana asid gastrik boleh melarutkan lapisan enamel gigi.

  • Kepercayaan 4: GERD disebabkan pertambahan jumlah asid gastrik dalam perut.

    Hakikat: Seperti yang diterangkan di atas, GERD bukannya disebabkan pertambahan asid gastrik. GERD selalunya berlaku apabila otot pencerut bawah esofagus tidak berfungsi dengan cekap. Biasanya apabila kita menelan, otot ini berehat beberapa saat. Namun ada sesetengah makanan boleh membuatkan otot ini berehat lebih lama dan tidak mencerut dengan ketat. Antaranya ialah alkohol, nikotin (dalam tembakau) dan sesetengah jenis ubat.

    Pun begitu, perubahan hormon ketika hamil juga boleh mempengaruhi fungsi otot pencerut ini. Selain perubahan hormon, peningkatan tekanan dalam ruang abdomen juga boleh menjejaskan fungsi otot pencerut berkenaan pada wanita hamil. Maka tidak hairanlah jika ramai wanita mengalami masalah pedih ulu hati ketika mengandung.

    Masalah otot pencerut yang lemah juga boleh menyebabkan GERD. Kajian mendapati pada 25 peratus pesakit yang alami GERD teruk.

    Pencernaan yang perlahan dikatakan turut menyumbang kepada masalah GERD. Ini
    kerana jika makanan berada terlalu lama dalam perut sebelum ia dipindahkan ke usus kecil, maka kecenderungan untuk makanan tertolak ke atas (ke arah esofagus) adalah lebih tinggi.

    Penyelidik juga mendapati perut yang terlalu penuh boleh meningkatkan kebarangkalian untuk otot pencerut berehat lebih lama dan ia secara tidak langsung memberi laluan kepada asid gastrik mengalir ke dalam esofagus.

  • Kepercayaan 5: GERD adalah keadaan yang kronik dan tidak boleh dicegah

    Hakikat: GERD boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan betul, pemakanan seimbang dan kerap bersenam. Antara perkara yang disarankan ialah:

    a. Kekalkan berat badan ideal. Penurunan 10 peratus berat badan boleh menjauhkan GERD. Lemak yang terkumpul pada perut akan meningkatkan tekanan dalam abdomen dan ia boleh menolak asid gastrik memasuki esofagus.

    b. Makan dalam kuantiti kecil. Makan terlalu banyak akan membuatkan perut anda boleh memberi lebih tekanan pada otot pencerut bawah esofagus dan meningkatkan kebarangkalian mendapat GERD.

    c. Tinggikan bahagian kepala katil. Meninggikan kedudukan kepala (15 hingga 20 sentimeter atau enam hingga lapan inci) adalah antara cara memastikan asid gastrik sentiasa berada dalam perut. Gunakan pelapik baji di mana ia meninggikan keseluruhan bahagian atas badan. Menggunakan bantal tambahan tidak membantu kerana ia hanya meninggikan kedudukan kepala, bukan badan atas.

    d. Duduk selepas makan. Tunggu sekurang-kurangnya tiga jam sebelum anda baring. Tarikan graviti akan membantu mencegah aliran songsang asid gastrik. Berbaring selepas makan hanya akan memudahkan kemasukan asid gastrik ke dalam esofagus.

    Elakkan:

    a. Mengambil makanan yang boleh mencetuskan gejala pedih ulu hati seperti makanan berlemak, pedas, berempah atau berasid termasuk tomato, buah-buahan sitrus, pudina, coklat, bawang, kopi dan minuman berkarbonat.

    b. Merokok. Sesetengah kajian mendapati nikotin akan membuatkan otot pencerut esofagus berehat lama dan menjejaskan kebolehan air liur untuk membersihkan asid gastrik dalam esofagus.

    c. Minum terlalu banyak minuman beralkohol. Alkohol yang disertakan dengan rokok akan membuatkan otot pencerut bawah esofagus menjadi lebih rehat. Malah alkohol juga boleh menyebabkan pencerutan otot menjadi tidak sekata.

    d. Memakai pakaian yang terlalu ketat terutama di bahagian pinggang kerana ia boleh memberi tekanan pada otot pencerut.

    GERD = gangguan

    Walaupun ramai pesakit percaya boleh bertahan dengan gejala asid refluks, namun hakikatnya penyakit itu menjejaskan banyak rutin harian mereka. Ini kerana kebanyakan pesakit mengalami sekurang-kurangnya satu daripada empat gejala umum GERD iaitu:

  • Regurgitasi atau rasa masam dalam mulut akibat kehadiran asid gastrik
  • Perut atas terasa panas dan sakit
  • Dada atau bahagian belakang tulang dada terasa panas
  • Pedih pada ulu hati

    Banyak kajian menunjukkan lebih 50 peratus pesakit GERD mengalami masalah sukar tidur dan cepat letih keesokannya. Kekurangan tidur dianggap punca utama yang menjejaskan produktiviti kerja dan kualiti kehidupan pesakit.

    Pesakit juga selalu berasa tidak sihat, cuba mengelak makanan atau minuman tertentu, kerap letih dan resah. Malah ia juga mengganggu sesetengah aktiviti harian mereka.

    Malangnya lebih separuh pesakit GERD di Asia tidak menyedari mereka mengalami penyakit ini kerana ia dianggap berkaitan dengan masalah penghadaman.

    Bahkan ada yang tidak memandangnya sebagai perkara penting apatah lagi jika gejala hanya datang sekali-sekala, sekali gus membuatkan ramai pesakit gagal mematuhi jadual rawatan.

    "GERD tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti kesukaran bernafas (apabila berlaku pneumonia), pendarahan dan kecederaan pada esofagus serta barah esofagus jika tidak dirawat," kata Perunding Gastroenterlogi dan Hepatologi, Dr Tan Huck Joo.

    Rawatan ini bukan sekadar perubahan gaya hidup dan pemakanan, tetapi ia juga perlu disertakan pengambilan ubat seperti antasid dan antasidalginat.
    Bagaimanapun bagi sesetengah orang, ubat ini tidak cukup untuk mengurangkan keasidan, terutama jika lapisan esofagus mengalami kerosakan.

    Namun ubat yang lebih berkesan ialah perencat pam proton (PPI). PPI seperti esomeprazole digunakan untuk mengurangkan penghasilan asid gastrik dalam perut.
    Ia menghalang pam asid (dalam lapisan sel dinding perut) menghasilkan asid gastrik.

  • Full content generated by Get Full RSS.

    Elak menyendiri

    Posted: 04 Dec 2011 08:54 AM PST

    SEDAR atau tidak, 2011 hampir kepada penghujungnya dan sudah pasti kehadiran tahun baru dipenuhi semangat, azam dan keceriaan baru dengan penuh bertenaga.

    Mungkin ramai yang mengambil peluang ini untuk menghabiskan cuti tahunan untuk melancong dan beriadah bersama keluarga di lokasi pilihan.

    Malah, perancangan percutian sebegini semestinya memberikan banyak pengalaman menyeronokkan selain meluaskan pengetahuan seseorang dalam mengenali keindahan serta keunikan tempat berkenaan.

    Namun, bagi mereka yang mengalami permasalahan kegagalan mengawal pundi kencing ataupun lemah pundi kencing (LUL) terutama wanita, melancong bukanlah satu perkara yang menggembirakan.


    Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Seri Suniza Sufian, ketika bercuti wanita yang mengalami LUL perlu menjaga diet dengan mengurangkan pengambilan minuman sejuk serta bahan yang mempunyai kafein tinggi kerana ia meningkatkan pengeluaran air kencing.


    "Ia menyebabkan wanita yang mengalami LUL lebih kerap berulang-alik ke tandas sehingga menyebabkan ketidakselesaan sepanjang hari.

    "Namun, dengan perancangan dan pengurusan yang betul, penghidap LUL masih boleh menikmati percutian atau aktiviti luar rumah tanpa bimbang ia akan mengganggu mereka dan menjejaskan orang lain," katanya.

    Selain itu, katanya, jangan menganggap masalah berkenaan sebagai bebanan dan ia juga bukan alasan untuk menyisihkan diri daripada mengikuti sebarang aktiviti luar bersama rakan atau keluarga.

    "Malah, berkurung diri di rumah tanpa melakukan perkara yang diminati disebabkan kekurangan diri bukan cara terbaik untuk menangani masalah dihadapi.

    "Wanita terbabit perlu tampil dan berbincang kerana mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya," katanya.

    Malah, Dr Seri Suniza berkata, keadaan itu boleh menimbulkan masalah sosial yang lebih teruk disebabkan keengganan untuk bercampur dengan orang luar. Ini juga menyebabkan rasa rendah diri kerana berasa diri tidak normal seperti rakan lain.

    "Tekanan perasaan yang dialami ada kalanya menyebabkan seseorang itu boleh melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan.

    "Oleh itu, penting untuk berkongsi dengan mereka yang pakar bagi mengenal pasti masalah dihadapi selain mencari rawatan yang sewajarnya," katanya.

    Selain itu, Dr Seri Suniza berkata, proses pengesanan awal untuk menguji tahap LUL perlu dilakukan seawal mungkin bagi memastikan proses pemulihan yang dilakukan mampu memberikan kesan lebih memberangsangkan.

    Katanya, kegagalan mengawal kadar pembuangan air kecil sememangnya menjejaskan kualiti kehidupan seseorang wanita namun ia bukanlah penamat kepada segalanya.

    "Jika wanita yang mengalami LUL berkenaan tahu bagaimana untuk membuat persiapan awal, ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

    "Disebabkan itu, pengesanan awal amat diperlukan dan perlu dilakukan segera agar masalah LUL yang dihadapi boleh dikawal sepenuhnya," katanya.

    Di samping itu, penggunaan produk perlindungan tambahan yang bersesuaian juga perlu diutamakan dalam membantu mereka yang mengalami LUL, antaranya jenama pelapik seluar dalam dan tuala wanita, Poise.

    Ia mengetengahkan pelapik seluar dalam dan tuala wanita kepada pengguna sebagai cara terbaik mengawal dan mengembalikan keyakinan diri apabila berhadapan dengan masalah LUL.

    Jenama ini mempunyai kebolehan penyerapan lebih tinggi berbanding tuala wanita biasa untuk memastikan wanita lebih selesa sepanjang hari.

    Ia boleh menampung jumlah air kencing sehingga 150 mililiter serta penjagaan bauan dalam membantu mengawal bau hancing, memberikan pengguna lebih kebebasan untuk menjalankan kerja seharian dengan lebih selesa dan berkeyakinan.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Minta diriba, dibelai

    Posted: 03 Dec 2011 09:02 AM PST

    JERTIH: "Saya rasa sayu mengingatkan perubahan perangai Muhammad Faiz Hakimi yang menjadi terlalu manja serta sering meminta diriba dan dibelai, rupa- rupanya petanda dia akan pergi buat selama-lamanya," kata Rogayah Mohamad, 41, ibu kepada Muhammad Faiz Hakimi Aziz, 4, yang maut ditimpa pokok kelapa, petang kelmarin.

    Dia berkata, kehilangan anak bongsu daripada lapan beradik itu bagaikan mimpi ngeri yang memeritkan, namun sebagai ibu, dia reda dengan pemergian itu dan menerima takdir itu dengan tabah.


    "Sebelum kejadian, jiran dan anak tiri berpakat untuk menebang pokok berkenaan bagi mengelakkan kemalangan akibat keadaan cuaca tidak menentu sebelum mereka melakukan kerja-kerja penebangan pada sebelah petang.

    "Saya nampak kelibat anak datang ke arah saya dari sebuah kedai runcit selepas membeli makanan ringan, namun tiba-tiba pokok itu tumbang menyembah bumi, menyebabkan saya terkejut dan sayu apabila mengenangkan peristiwa itu kembali," katanya.


    Dalam kejadian jam 3.15 petang, Muhammad Faiz Hakimi dikatakan bermain berseorangan tanpa pengawasan keluarga berdekatan tempat abang tirinya, Mahadi Mansur, 20, dan jirannya Saufi Junoh, 42, bersedia menebang sebatang pokok kelapa.


    Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketika Mahadi dan Saufi menebang pokok kelapa berdekatan rumah mereka di Kampung Gong Dasar, Jabi, dekat sini, mereka tidak menyedari kehadiran mangsa yang bermain tidak jauh daripada mereka.

    Katanya, ibu bapa mangsa dan beberapa jiran yang berada berdekatan tempat Mahadi dan jirannya bekerja juga tidak menyedari kehadiran Muhammad Faiz Hakimi.


    "Sebaik menumbangkan pokok, Mahadi bersama Saufi memeriksa pokok itu untuk mengerat batangnya tetapi terkejut mendapati seorang kanak-kanak dalam berlumuran darah di bawah rimbunan daun pokok," katanya.

    Kamaruddin berkata, keluarga mangsa kemudian mengejarkan Muhammad Faiz Hakimi ke Hospital Besut sementara Mahadi bergegas membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja selepas itu.


    Bagaimanapun, katanya, mangsa yang cedera parah di kepala serta beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Besut.


    Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Budak parah diserang tiga anjing

    Posted: 03 Dec 2011 08:58 AM PST

    PUCHONG: Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki yang bermain dengan basikal baru dihadiahkan bapanya bertukar tragedi apabila betis kirinya cedera teruk akibat diserang tiga ekor anjing di depan rumahnya di Taman Bukit Kinrara, di sini, semalam.

    Akibat serangan itu, mangsa terpaksa dibedah berikutan daging di betisnya cedera teruk.


    Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Adryn Muhammad, 9, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang bersama ibunya di kedai runcit di kawasan berhampiran.

    Menceritakan kejadian itu, ibu mangsa, Asmah Alias, 36, berkata basikal itu dibeli untuk anak bongsu daripada tiga beradik itu oleh bapanya, Khamis lalu.


    "Sebelum kejadian, Adryn dan saya pergi ke kedai di kawasan perumahan ini untuk membeli barangan dapur. Saya pergi menaiki motosikal manakala Adryn bertegas mengekori saya dengan menaiki basikal barunya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


    Menurut Asmah, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, dia melihat tiga ekor anjing berhampiran kawasan kediamannya, menyebabkan dia berasa bimbang.

    "Sebaik memberhentikan motosikal di laman rumah, saya mendengar jeritan Adryn meminta tolong.


    "Saya bergegas semula ke depan rumah sebelum melihat beberapa jiran, termasuk seorang pengawal keselamatan, mengangkat anak saya yang berlumuran darah," katanya yang memberitahu mereka juga menghalau anjing itu.

    Asmah berkata, jiran dan Adryn memberitahu dia digigit dua daripada tiga anjing yang menyerangnya.


    "Adryn memberitahu dua anjing itu menggigit betis kirinya ketika dia cuba melarikan diri. Adryn bernasib baik kerana beberapa jiran dan pengawal keselamatan yang menyaksikan kejadian itu segera membantunya," katanya.


    Katanya, selepas bertemu pemilik anjing berkenaan, dia bergegas membawa anaknya ke sebuah hospital swasta di Puchong, di sini, untuk rawatan susulan.


    "Sehingga kini, doktor melakukan rawatan awal dan memberitahu keadaan Adryn stabil. Namun, akibat kecederaan serius pada betis kirinya, Adryn terpaksa menjalani pembedahan," katanya sambil menambah, pembedahan dilakukan selewat-lewatnya jam 5 petang, semalam.


    Asmah berkata, dia kecewa dengan sikap pemilik anjing terbabit yang tidak menjaga peliharaannya sehingga mencederakan Adryn.


    "Saya berharap anjing berkenaan dibunuh bagi mengelakkan kejadian sama berulang kepada kanak-kanak lain," katanya sambil mengakui, ini bukan kejadian pertama kanak-kanak dan penduduk diserang anjing.


    Sehubungan itu, Asmah memberitahu dia akan membuat laporan di Balai Polis Puchong, di sini, selepas pembedahan anaknya selesai.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Paksa beli ubat mahal

    Posted: 03 Dec 2011 11:45 AM PST

    KUALA LUMPUR: Mereka menggelarkan diri sebagai pasangan yang pakar urut urat tradisional selain mampu memulihkan pelbagai jenis penyakit zahir dan batin lelaki atau wanita, namun proses dan kos rawatan sungguh mengejutkan apabila ia didapati tidak masuk akal.

    Selain urutan, pasangan itu menawarkan perkhidmatan penawar jampi serapah, resdung, mandi bunga dan pelbagai perkhidmatan perubatan alternatif lain menggunakan kaedah pelik dan menakutkan.

    Perkara itu didedahkan sepasang suami isteri yang mendapatkan khidmat tukang urut di sebuah rumah yang dijadikan pusat urut di Gombak, dekat sini, apabila si isteri mengalami sakit tulang belakang selepas berurut dengan seorang wanita di pusat urut berkenaan.

    Mangsa yang juga jurutera dan hanya mahu dikenali sebagai Amir, 45, berkata ketika membawa isterinya ke pusat itu, seorang tukang urut wanita yang memberikan perkhidmatan kepada mereka berjanji akan memberikan rawatan sehingga isterinya pulih dengan bayaran RM675.


    "Sebenarnya, ketika proses urutan lagi, saya mula sangsi apabila tukang urut mengurut sambil merokok serta menghembuskan asap ke badan isteri dengan membaca mantera pelik yang sukar difahami.


    "Bagaimanapun, saya tidak mempedulikannya, terutama selepas dimaklumkan ia sememangnya kaedah biasa yang digunakannya untuk mengurut pesakit, kononnya untuk menghalau 'benda tak elok' yang menumpang di badan pesakit," katanya kepada Metro Ahad.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Akad nikah di rumah

    Posted: 03 Dec 2011 11:39 AM PST

    Oleh NORAINON OTHMAN, HAYATI IBRAHIM, MOHD AZAM SHAH YAACOB, ANIZA ZAINUDIN dan SITI A'ISYAH SUKAIMI
    metahad@hmetro.com.my

    KUALA LUMPUR: "Rita tengah 'darah manis' dan mahu tenang melalui saat manis bergelar raja sehari," kata anak sulung jutawan kosmetik, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, atau Rita yang melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hati, Khamarulazlan Mohamad Hanafiah, 35, hari ini.

    Majlis akad nikah yang diwalikan bapanya, Buhari Mohamed, 62, dijadualkan berlangsung jam 5 petang ini disusuli jamuan makan malam di kediaman mewah Allahyarham Sosilawati Lawiya di Taman Harmonis, Gombak.

    Majlis persandingan di pihak lelaki pula bakal diadakan di Crown Plaza, 8 Disember ini.

    Sambil ketawa dan bersuara ceria, Rita yang dihubungi bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai perkahwinannya, sebaliknya menjemput media menghadiri majlis hari bahagianya.


    "Maaf, Rita tak mahu komen apa-apa. Takut kalau Rita komen, nanti melalut-lalut pula. Kalau mahukan komen, Rita akan jawab semua pertanyaan pada hari perkahwinan nanti," katanya.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Asah bakat muda

    Posted: 03 Dec 2011 07:59 AM PST

    DEMI negara tercinta dan 'kegilaannya' dalam sukan badminton, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Peninsular Gold Limited, Datuk Sri Andrew Tai Yeow Kam atau lebih dikenali sebagai Andrew Kam sanggup melupakan peristiwa hitam yang hampir membantutkan cita-citanya itu.

    Beliau sanggup membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meskipun pernah 'dikhianati' badan induk badminton negara tiga tahun lalu ketika menjadi calon tunggal Malaysia bertanding merebut kerusi Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF).


    Ketika ditemubual, isu itu enggan disentuh sebaliknya beliau lebih senang memperkatakan mengenai cita-cita besarnya melahirkan pemain yang mampu memenangi pingat emas Olimpik.

    Beliau mengambil langkah membina kelab badminton KLRC sejak enam tahun lalu dengan memberi peluang kedua kepada pemain yang tidak mampu menyinar lagi bersama BAM selain menaungi ramai pemain antarabangsa seperti Saina Nehwal dari India dan Zhou Mi dari Hong Kong.


    Kini arah tuju KLRC makin jelas sejak sensasi remaja Zulfadli Zulkifli, 18, menyertai kelab itu tiga tahun lalu.


    "Kita sebuah negara kuasa badminton dunia tapi belum dapat menang walau satu pingat emas. Saya sekadar membantu mencapai hasrat itu dan bukan mahu menyaingi sesiapa," kata Andrew di pejabatnya di ibu negara.

    "Kami di KLRC sudah merangka pelan untuk memastikan Zulfadli berada di landasan tepat membawa pulang pingat emas Kejohanan Dunia dan Olimpik.


    "Saya harap dia mampu menjadi Datuk Lee Chong Wei yang seterusnya. Saya pasti selepas Olimpik London, ramai pemain ternama dunia akan bersara. Berapa lama lagi masa untuk Chong Wei dan Lin Dan bertahan dalam sukan ini.

    "Waktu itulah yang paling sesuai untuk Zulfadli menonjol tapi saya tidak nafikan masih ada pemain yang baik di peringkat usia yang lebih tua daripadanya seperti Chen Long, Du Pengyu (China) serta Tommy Sugiarto, Yunus Alamsyah (Indonesia).


    "Zulfadli sudah buktikan mampu mengejutkan pemain Denmark yang pernah mengatasi bekas pemain nombor satu dunia Peter Gade iaitu Viktor Axelsen di Kejohanan Remaja Dunia lalu. Ini adalah gambaran jelas perjalanan seorang juara dan saya amat puas dengan pencapaiannya.


    "Bukan mudah untuk seorang pemain sepertinya menjuarai tiga gelaran dalam acara individu pada tahun yang sama iaitu Remaja Asia, Komanwel dan Dunia. Malah dia juga terpaksa bermain dalam semua perlawanan membabitkan acara berpasukan," kata Andrew dengan wajah ceria melihat program pembangunan KLRC mula menampakkan hasil.


    Katanya Penaung BAM, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor turut tidak melepaskan peluang mengutus surat tahniah kepada pemain itu.


    Justeru Andrew tidak mahu mencari hanya seketul jongkong emas dilahirkan KLRC. Pemilik syarikat cari gali emas itu mahu terus melahirkan bakat emas di masa depan.


    KLRC kini merancang satu pertandingan mencari bakat baru remaja untuk diserap masuk ke dalam kelab itu.


    "Saya tidak mahu selepas kita ketandusan pemain selepas Zulfadli. Saya merancang untuk melahirkan pemain yang menyerlah bakatnya sekurang-kurangnya setiap dua tahun kerana kita perlu membentuk bilangan pemain terkuat yang ramai.


    "Lihat saja sekarang, kita hanya bergantung kepada Chong Wei. Bebanan dipikulnya amat tinggi jadi saya fikir lebih baik ramai pemain yang memikul tanggungjawab memasyhurkan negara berbanding hanya seorang." Kelebihan yang dimiliki KLRC tentunya kepelbagaian rakan 'sparring' yang terdiri daripada pemain antarabangsa.


    Mereka memiliki 15 pemain yang bernaung di bawah KLRC ketika ini dan sedang menanti kehadiran juara remaja Afrika Selatan yang memohon untuk berada di bawah KLRC.


    Malah usaha memperkuatkan pemain beregu juga giat dilakukan kerana KLRC kini sedang berusaha membawa masuk beberapa pemain beregu dari Indonesia untuk menjadi rakan 'sparring' kepada Gan Teik Chai-Tan Bin Shen dan Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif.


    Andrew juga menyimpan hasrat membina pusat latihan serba lengkap suatu hari nanti, tetapi sampai bilakah beliau mampu bertahan membantu negara melahirkan pemain badminton ternama tanpa bantuan sektor swasta lain? Satu tugas yang tentunya sukar buat beliau namun beliau sedar amat sukar untuk mengajak rakan penaja lain berkongsi usaha membangunkan badminton negara, namun jika ada yang sudi Andrew mengalu-alukan sokongan dari sektor swasta yang lain.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Buru gelaran ketiga

    Posted: 03 Dec 2011 07:53 AM PST

    HAFIZH Syahrin Abdullah semakin hampir meraih kemenangan ketiga di litar Padang Kota Lama, Pulau Pinang apabila menguasai sesi ujian masa Pusingan 10 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011, semalam.

    Pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline itu mencatat masa terpantas, 46.492 saat pada pusingan kesembilan untuk mengatasi Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing, kedua dengan catatan 46.936s diikuti Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) ketiga, 47.202s.


    Hafizh, juara perlumbaan kategori Expert/CP130 pada tahun 2009 dan 2010 di litar ini puas hati dengan catatan yang dilakukannya.

    "Saya berjaya memperbaiki catatan masa dilakukan dalam setiap sesi. "Keadaan jentera begitu baik dan kompetitif. Namun saya akan melakukan sedikit pertukaran terutama suspensi depan yang belum cukup selesa," jelas pelumba 17 tahun itu.


    Hafizh yang akan bertindak selaku pelumba terakhir pada sesi Superpole bersedia menghadapi perlumbaan akhir dan berusaha mempertahankan kemenangannya di sini.


    "Saya juga mahu mencatat masa sepusingan terpantas perlumbaan memadam catatan lama milik Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Racing). Selain itu, jika menang, saya meningkatkan kedudukan senarai keseluruhan di samping membantu melonjakkan kedudukan pasukan dalam senarai keseluruhan berpasukan. "Mengenai siapa yang mampu menghalang hasrat saya, ia bergantung kepada sesi Superpole esok kerana apa saja boleh berlaku." Dalam kategori CP115, selepas muncul pelumba terpantas pada pusingan lalu di Sepang, S Sasitharen sekali lagi muncul pelumba terpantas apabila mengungguli sesi ujian masa dengan catatan 47.916s.

    Catatan pelumba M-Seki Liberty Honda Racing itu 0.052s lebih pantas berbanding catatan pendahulu keseluruhan, Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM yang mencatatkan masa 47,968s diikuti Mohd Farid Ahmad (Global Bike Rock Oil Racing), 48.102s.


    Pelumba berusia 20 tahun itu berkata, keadaan jenteranya sama seperti di Sepang tetapi nasibnya tidak begitu baik dalam perlumbaan sebelum ini apabila terjatuh sewaktu perlumbaan akhir. "Saya mahu menebus kesilapan itu dengan meraih kedudukan podium di sini. Saya tidak akan melakukan sebarang perubahan terhadap jentera, cuma akan menukar strategi sewaktu perlumbaan bagi memastikan berjaya menamatkan perlumbaan di atas podium," kata Sasitharen yang berjaya muncul naib juara Pusingan 8 di Melaka.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Hiasan beg disangka pistol

    Posted: 03 Dec 2011 07:40 AM PST

    VIRGINIA: Seorang remaja ditahan daripada menaiki pesawat kerana dia mempunyai pistol - rekaan di tepi beg tangannya.

    Vanessa Gibbs 17, terperanjat apabila pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA), menahannya di pintu keselamatan kerana beg tangannya mempunyai rekaan pistol 'Wild West.'

    Menurut Vanessa, dia tidak mempunyai masalah ketika melalui pintu keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jacksonville. Kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang dari Virginia.

    Katanya, "Ini gaya saya. Beg tangan ini ada rekaan pistol lama 'western' tiruan."


    Walau bagaimana pun, staf di Norfolk tidak menyukainya dan menahan dia daripada menaiki pesawat.


    "Mereka berkata, ia adalah kesalahan besar kerana beg itu mempunyai bentuk pistol," kata Vanessa. "Saya berkata, ia hanya rekaan di beg tangan, bagaimana pula ia boleh jadi kesalahan besar?"

    Selepas pegawai penyiasat memeriksa begnya dan mendapati ia hanya pistol tiruan, Vanessa diminta daftar masukkan atau menyerahkan begnya itu.

    Pemeriksaan itu menyebabkan remaja yang sedang mengandung itu terlepas penerbangannya dan dia terpaksa menaiki pesawat Southwest ke Orlando.

    Jurucakap TSA berkata, replika pistol diharamkan sejak 2002.

    Seorang lagi pegawai TSA di Lapangan Terbang Antarabangsa Jacksonville berkata, tidak mustahil ada penumpang yang membawa barang yang mungkin dianggap sebagai replika pistol dan dia menasihatkan orang ramai untuk melihat senarai barang yang diharamkan yang boleh didapati secara online atau di lapangan terbang sebelum melalui pintu keselamatan. - Agensi

    Full content generated by Get Full RSS.

    Bebas dengan syarat kahwin perogol

    Posted: 03 Dec 2011 07:38 AM PST

    KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, membebaskan seorang mangsa rogol, setelah dia bersetuju untuk berkahwin dengan perogolnya.

    Menurut kenyataan kerajaan, wanita yang dipenjara atas tuduhan berzina itu bersetuju untuk berkahwin, tetapi sebaliknya peguamnya berkata, dia tidak bersetuju untuk berkahwin dengan perogolnya.

    Wanita yang bernama Gulnaz itu, melahirkan seorang anak perempuan di penjara.

    Seorang pegawai kanan berkata, kerajaan tidak mengenakan apa-apa syarat atas pembebasannya.


    "Presiden Hamid telah memberi tugas kepada Menteri Kehakiman untuk berbincang dengan Gulnaz dan tanyakan apa yang dia mahu.

    "Dalam perbincangan itu, Gulnaz berkata dia bersetuju berkahwin dengan perogolnya dengan syarat abangnya berkahwin dengan adik perogol itu," kata jurucakap Presiden Hamid, Emal Faizay.

    "Ini adalah keputusannya. Saya boleh mengesahkan tiada syarat yang dikenakan oleh kerajaan Afghanistan," katanya.

    Peguam Gulnaz berkata, dia berharap kerajaan dapat memberi kebebasan kepada wanita itu untuk memilih siapa yang mahu dikahwininya. -BBC

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved