Khamis, 9 Mei 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Damai ketika rawatan

Posted: 25 Apr 2013 04:23 PM PDT

Dalam masyarakat Melayu, amalan mandi bunga biasanya dikaitkan untuk membuang sial atau sesuai untuk mendapatkan jodoh. Namun, kini seiring dengan peredaran masa, mandi bunga mula mendapat perhatian dalam kalangan wanita sama ada yang sudah berumah tangga atau pasangan pengantin baru untuk kelihatan cantik, berseri dan menarik.

Bukan itu saja, ia bertujuan meredakan tekanan selepas seharian bekerja, menghilangkan bau badan serta menaikkan aura.

Menurut pemilik Spa Alammi, Maziana Yahya, untuk tujuan mandi bunga, Maziana menyediakan tujuh jenis bunga berlainan warna dan berbau harum kerana dari segi saintifik, warna dan bauan mempunyai tenaga yang akan bertindak balas dengan tenaga dalaman manusia.

"Mandi bunga membawa banyak faedah. Ini kerana bunga dikatakan pencerap tenaga matahari yang paling baik manakala mandi dengan air bercampur bunga membolehkan kita mendapat kebaikan sama ada dari segi aura dan tenaga yang diserap dan diproses oleh bunga," ujarnya.

Foto

MANDI bunga baik untuk kesegaran badan.

Foto

PINTU masuk Spa Alammi yang mendamaikan.

Foto

RUANG untuk melakukan rawatan.

Foto

URUTAN badan untuk wanita dilakukan ahli terapi terlatih.

Foto

URUTAN untuk lelaki turut disediakan.


Sebab itu, mandi bunga dikatakan mampu menaikkan seri wajah, mengembalikan kesegaran tubuh serta membuatkan diri lebih tenang, gembira dan ceria kerana khasiat pada bunga ini menyerap ke dalam tubuh manusia.


Antara bunga yang biasa digunakan ialah mawar merah bertujuan menjadikan seseorang itu lebih berani dan berkeyakinan tinggi, mawar putih untuk kesegaran dan menyucikan badan, cempaka putih melembut dan mewangikan badan, cempaka kuning menyerikan wajah, melur putih dan kuning sebagai bahan cucian dalaman manakala kenanga menaikkan seri dan disenangi ramai orang.

"Biasanya semua jenis bunga ini saya rendam semalaman dan diembunkan terlebih dulu bagi menjadikannya lebih harum. Kemudian rendaman ini saya campurkan bersama air di dalam bekas mandian bersama campuran bunga segar yang lain. Bagi membuang kotoran dan membuka pori kulit, saya campurkan dengan limau purut untuk mendapatkan kesan lebih menyerlah," katanya.

Menyedari keperluan pengantin yang semakin meningkat, dia akui kini mandi bunga diperbaharui mengikut cara moden di kebanyakan salun kecantikan. Ini kerana rata-rata wanita terikat dengan tugasan dan sibuk sepanjang hari di pejabat.

Jadi dengan mengunjungi spa dan mendapatkan perkhidmatan mandi bunga, mereka berpeluang memanjakan diri dengan rawatan lain seperti mandi susu, lulur, urut, penyental badan dan sauna yang mempunyai keistimewaannya.

"Di Spa Alammi kami menyediakan perkhidmatan mandi bunga bukan saja khusus untuk bakal pengantin, tetapi kepada suri rumah, wanita bekerja yang ingin mengembalikan kesegaran serta meningkatkan keceriaan. Walaupun boleh melakukan sendiri di rumah, layanan diberikan di salun nyata berlainan dan pelanggan berpeluang merasai perbezaan bergantung kepada keperluan," katanya yang memulakan operasi spa di Hotel Concorde, Shah Alam, sejak 2011 lalu.

Selepas mandi bunga, Maziana menggalakkan bakal pengantin melakukan mandi susu, sauna dan urutan badan bagi melancarkan peredaran darah. Selain itu, kulit menjadi lebih lembut dan segar kerana pori lebih terbuka. Sebaiknya rawatan dilakukan tiga bulan sebelum melangsungkan perkahwinan dan seeloknya sekali setiap bulan untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

Menariknya Maziana menggunakan produk Tanamera dengan 100 peratus bahan semula jadi diperbuat daripada kelapa, daun pandan dan beras pulut yang terbukti mampu memulihkan keceriaan kulit.

Untuk wanita juga disediakan pakej selepas bersalin dengan rawatan berurut dan bertungku sebalik saja melahirkan anak atau selepas melepasi tempoh berpantang.

Spa yang dikongsi bersama E'zham Dhani turut menyediakan rawatan untuk bakal pengantin lelaki di dalam bilik berbeza. Ini disebabkan permintaan daripada pengunjung hotel yang ingin mendapatkan rawatan urutan badan.

"Ramai beranggapan cantik itu hanya menjurus untuk wanita, tetapi sebenarnya tidak. Apa yang disediakan di spa bukanlah untuk kecantikan semata-mata, tetapi lebih kepada kesihatan badan. Dengan mendapatkan urutan aromaterapi, ia dapat menenangkan badan dan fikiran terutama selepas seharian bekerja.

"Bagi bakal pengantin lelaki pula, spa ini menyediakan perkhidmatan bertungku menggunakan batu panas diletakkan daun mengkudu, kunyit dan limau purut. Tungku dituam pada seluruh badan bagi melancarkan peredaran badan," kata E'zham yang menyediakan empat terapi untuk pelanggan lelaki dan tiga terapi untuk wanita.

E'zham yang sebelum ini membuka spa sendiri di rumah mengakui banyak menerima permintaan daripada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan mandi bunga, sauna dan urutan badan. Oleh itu, dia mengambil keputusan membuka spa di Sooka Sentral pada 2008 khusus untuk lelaki dan wanita.

Dengan mengambil ahli terapi berpengalaman, pelanggan boleh memilih jenis urutan diinginkan sama ada cara tradisional, Bali atau aromaterapi.

"Selain perkhidmatan spa, saya juga berhasrat membuka akademi untuk mengajar kepelbagaian jenis urutan bagi melahirkan ahli terapi terlatih di seluruh negara. Tujuan utama adalah membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan supaya membabitkan diri dalam bidang spa dan kecantikan kerana ia memberi peluang yang cerah terutama kepada lelaki disebabkan terapi dalam kalangan kaum Adam tidak ramai," katanya yang akan mengetengahkan latihan cara Islam.

Spa yang dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 11 pagi hingga 8.30 malam itu menyediakan harga terendah daripada RM120 sehingga RM600 bergantung kepada pakej disediakan. Selain ahli terapi terlatih, susun atur serta persekitaran mendamaikan dengan dekorasi alam menjadikan setiap pelanggan berasa damai ketika melakukan rawatan.

Berkonsepkan tradisional dengan penggunaan kayu, buluh dan atap, ia memberikan ketenangan berganda kepada pelanggan. Begitu juga dengan muzik latar serta haruman daun serai wangi menambah kesegaran tatkala mendapatkan rawatan. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengunjungi Hotel Concorde, Shah Alam yang terletak di aras tiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Amoi kopitiam

Posted: 24 Apr 2013 08:13 AM PDT

Hampir setiap hari bermula jam 6 pagi, Nicole Wong Siaw Ting, 33, yang ketika itu sedang sarat mengandung berada celah pasar pagi di kawasan Seputeh bagi memberikan khidmat kepada masyarakat. Dengan tangan memegang sebakul oren, dia bergerak dari satu meja ke meja memberikan buah oren kepada pengunjung.

Di setiap lokasi dikunjungi, dia bertanya khabar sambil mendengar luahan hati mereka mengenai sebarang masalah.

Pada mulanya walaupun reaksi diterima amat mengecewakan kerana masih ramai belum mengenali dirinya, Wong tidak berputus asa dan terus menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat setempat dengan memperkenalkan diri dan berjanji menyelesaikan masalah mereka.

Selepas menyelesaikan tugasan di pasar, di bergerak ke kedai kopi dan kopitiam yang terletak di kawasan sama sambil duduk semeja dengan penduduk terutama golongan tua. Dia berbual dari meja ke meja untuk mengetahui apa yang tersirat di hati mereka.


Perkara ini dilakukannya secara rutin pada setiap Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat sehingga ada yang memberi gelaran 'amoi kopitiam' kepada calon Barisan Nasional (BN) kawasan Seputeh ini. Apa yang dilakukannya hanya mendengar dan menyelami apa yang mereka inginkan. Walaupun masalah dilihat kecil misalnya longgokan sampah, longkang tersumbat atau jalan berlubang, bagi penduduk setempat ia sangat besar dan memerlukan penyelesaian segera.


Wong memilih kedai kopi sebagai lokasi bertemu penduduk melalui kios Nicole Wong Work Station kerana memahami kebanyakan masyarakat di situ meluangkan masa bersarapan dengan ahli keluarga biar sesibuk mana sekalipun mereka.

"Suasana waktu pagi biasanya lebih meriah dan santai. Jadi saya mengambil peluang berbual dengan pengunjung kedai kopi kerana mereka lebih jujur dan ikhlas berbicara. Biasanya, tauke kedai kopi memberi satu ruang kepada saya menjalankan tugas, jika tidak kami mendirikan khemah mini sama ada di bawah pokok berdekatan medan selera atau di pasar pagi," katanya.

Selepas enam bulan berkhidmat di kios bergerak, akhirnya Wong membuka pusat perkhidmatan Nicole Wong Work Station dengan menyewa rumah teres di Taman Gembira berikutan kemahuan penduduk inginkan lokasi tetap bagi mereka mendapatkan bantuan.

"Mujur ada rakan menawarkan rumah untuk dijadikan pusat perkhidmatan dan di sinilah saya bersama kaki tangan menjalankan semua urusan khidmat kepada orang ramai," katanya.

Malah sejak beroperasi, pusat khidmat ini menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada untuk meminta bantuan, membuat aduan dan ada memberi sokongan kepadanya.

Dalam usaha memperoleh kepercayaan penduduk sebagai calon BN, Wong mengakui banyak rintangan dihadapi terutama ketika menjalankan tugas apatah lagi banyak aduan tidak dapat diselesaikan ahli parlimen mereka sekarang.

"Setiap kali berkunjung ke kedai kopi, saya sering mendengar rungutan daripada masyarakat bahawa ahli parlimen tidak menghiraukan masalah mereka. Apa yang saya lakukan adalah cuba menyelesaikan setiap masalah sedikit demi sedikit," katanya.

Setiap kali masalah penduduk diselesaikan, dia berasa begitu puas kerana segala usahanya berbaloi. Tambahan pula apabila menerima ucapan terima kasih daripada masyarakat setempat.

Sebagai calon BN, Wong akui tugasnya lebih berat kerana dia ingin menjadi wakil kepada masyarakat setempat dengan mendengar luahan hati mereka. Oleh sebab itu, tujuh manifesto yang diperkenalkan adalah apa yang diinginkan rakyat dan bukannya pembaharuan yang cuba dilakukan.

"Tujuh manifesto yang dilancarkan semuanya perkara yang diinginkan masyarakat. Bagi saya ia bukan sesuatu perubahan besar yang sukar dilakukan, tetapi semuanya mengenai perkara asas yang menjadi jaminan kepada kehidupan lebih sejahtera," katanya.

Menyambung warisan ayah

Anak kelima dalam enam beradik ini mengakui sangat disayangi keluarga disebabkan sifatnya yang manja dan rapat dengan semua orang. Ibu bapanya memberi kebebasan kepada Wong dalam menentukan hala tuju sendiri.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana, sejak kecil Wong belajar untuk lebih berdikari. Malah, ketika di tingkatan lima dia bekerja bagi menampung perbelanjaan pengajian. Dari situ, Wong menjadi seorang yang sangat berdisiplin dan komited dalam apa juga dilakukan sehingga mampu membeli kereta dan rumah hasil titik peluhnya sendiri.

"Saya akui peribadi banyak dibentuk daripada didikan keluarga yang mementingkan disiplin dan usaha bersungguh-sungguh. Oleh kerana ayah adalah ahli MCA, secara tidak langsung saya turut terbabit dalam kerja politik seawal usia 21 tahun.

Namun, semuanya bermula secara kecil-kecilan saja. Selepas ayah meninggal dunia pada 2006, saya menyambung warisannya dalam politik. Namun, saya tidak sangka perjalanan karier menjadi lebih kukuh kerana asalnya saya hanya sekadar suka-suka," katanya.

Pada 2005, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini aktif di kawasan Kuala Lumpur sehingga dilantik sebagai Ketua Wanita MCA untuk Jalan Jelatek, Naib Pengerusi Wanita MCA Titiwangsa serta Ahli Jawatankuasa Wanita MCA Wilayah Persekutuan. Dari situ, Wong terus mengukuhkan minatnya dalam politik walaupun dulu dia hanya bertugas menyusun kerusi dan memasang bendera apabila aktiviti diadakan.

Wong yang baru saja melahirkan cahaya mata kedua, Xavern Kok, 38 hari lalu kini baru saja habis tempoh berpantang mengikut masyarakat Cina. Namun, dia mengakui selepas seminggu melahirkan anak, dia sudah keluar bagi memenuhi program disediakan BN.

"Oleh kerana saya melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan pada 18 Mac lalu, memang terasa sedikit perit pada bahagian perut kerana luka pembedahan masih belum pulih sepenuhnya. Namun, saya mengamalkan pantang makanan tertentu, banyak makan makanan kesihatan sama ada tradisional dan moden serta memakai stokin apabila berjalan.

"Mujur saya mempunyai kaki tangan yang sangat memahami dan sentiasa menyediakan kerusi ketika berada di pasar bagi membolehkan saya duduk sementara. Mereka juga mengingatkan untuk makan apabila tiba waktu makan serta ubat-ubatan yang perlu dihabiskan," ujarnya yang memastikan tidak terlalu aktif dan banyak bergerak pada satu-satu masa.

Menyedari tugasan yang kian bertambah menjelang pilihan raya, Wong mengakui terpaksa berkorban dengan meninggalkan bayi kecil dan anak pertama Xavier, 2, di bawah jagaan ibu dan suaminya, Alan Kok. Pada masa sama, Wong mempunyai sistem sokongan yang sangat kukuh iaitu keluarga kedua-dua pihak yang sangat membantu dan memberikan sokongan kepadanya.

"Oleh kerana suami membuka perniagaan sendiri jadi saya menyerahkan tugasan menjaga anak kepadanya tatkala saya keluar bekerja. Ibu pula menjaga anak
di rumah jadi saya kurang tertekan kerana anak dijaga individu yang sangat dipercayai," jelasnya.

Sebelum keluar, Wong pasti bertemu kedua-dua anaknya, meminta kebenaran untuk meninggalkan mereka dengan nenek di rumah.

"Saya pasti mencium mereka sebelum keluar bekerja, menyatakan harapan sambil menjelaskan mengapa saya meninggalkan mereka di rumah setiap hari. Saya faham sebagai ibu ia satu tugas yang berat, namun saya terpaksa berkorban demi masyarakat.

"Selepas dipilih sebagai calon, ramai yang bertemu dan memberi sokongan kepada saya. Mereka berharap saya mampu melakukan perubahan. Sangat menyentuh hati apabila ada yang memeluk dan mencium saya sebagai tanda terima kasih padahal dua tahun lalu tiada siapa mengenali saya," katanya.

Baginya, menjadi yang berhormat bukan setakat pangkat, apa yang penting bersama-sama mereka. Tidak boleh sombong dan sentiasa berada walau di mana saja mereka memerlukan.

"Untuk PRU13 kali ini, apa yang ingin saya lakukan adalah memberi kesedaran kepada pengundi mengenai penting dan bernilainya setiap undian. Ia bukan saja memberi makna kepada diri tetapi juga penduduk setempat," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Air paras bahaya!

Posted: 08 May 2013 11:20 AM PDT

Kuala Selangor: Seramai 110 mangsa banjir daripada 31 keluarga yang dipindahkan ke Balai Raya Kampung Rantau Panjang, dekat sini belum dibenarkan pulang selepas paras air sungai yang melimpah ke penempatan penduduk berada pada paras bahaya, sekali gus memungkinkan ia meningkat jika berlaku lagi hujan dalam masa terdekat.

Setakat ini, paras air berada pada ketinggian 5.6 meter berbanding 7.3 meter kelmarin.


Semua mangsa terutama penduduk Kampung Bestari Jaya, Kampung Jaya Setia dan Kampung Rantau Panjang juga sudah diarah berpindah.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, mangsa yang dipindahkan semalam tidak dibenarkan pulang kerana air sungai masih berada pada paras berbahaya.


Katanya, buat masa ini, pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa berikutan hujan yang tidak menentu pada waktu petang dan bimbang sesuatu yang buruk berlaku.


"Kita akan sentiasa memastikan keadaan paras air naik atau turun dari semasa ke semasa. Sekiranya hujan tidak berhenti dalam beberapa hari ini, mangsa banjir tidak akan dibenarkan pulang sebagai langkah keselamatan," katanya.

Foto

ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Selangor menjalankan misi menyelamat mangsa banjir di Kampung Rantau Panjang.

Katanya, penduduk kampung diharapkan sentiasa peka kepada keadaan semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa selain mengambil tindakan segera dengan keluar dari rumah sekiranya hujan lebat masih berlaku.


"Kepada ibu bapa saya adalah ingatkan agar jangan membenarkan anak bermain air pada musim banjir bagi mengelak kejadian lemas atau berlaku perkara yang tidak diingini," katanya. Kelmarin, hujan lebat pada sebelah petang menenggelamkan tiga kampung iaitu Kampung Bestari Jaya, Kampung Jaya Setia dan Kampung Rantau Panjang.

Seorang mangsa, Junaidah Marasid 34, dari Kampung Rantau Panjang, berkata dia terkejut apabila air secara tiba-tiba masuk ke dalam rumah berserta arus deras sehingga memenuhi ruang tamu, bilik dan dapur.


"Selama menetap di sini, ini adalah kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Air masuk ke dalam rumah dengan deras menyebabkan kami sekeluarga tidak dapat berbuat apa-apa.


"Saya tidak sangka air boleh naik mendadak kerana kejadian banjir pernah berlaku sebelum ini tetapi tidak seteruk kali ini. Tapi saya bersyukur kerana tidak ada sebarang kemalangan jiwa berlaku terhadap ahli keluarga," katanya ketika ditemui.


Menurut Junaidah, ketika kejadian berlaku, dia dan suami tidak memikirkan barang serta peralatan rumah yang dihanyutkan air tetapi menyelamatkan anak-anaknya yang masih kecil.


"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memberi bantuan makanan dan pakaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Seksa tersepit tiga jam

Posted: 08 May 2013 11:40 AM PDT

Alor Gajah: Seorang pemandu lori kontena yang hampir putus kaki kiri menanggung azab hampir tiga jam akibat tersepit selepas kenderaan berat dipandu hilang kawalan dan terbalik dengan empat tayar ke atas di Kilometer 216.7 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, Raja Ahmad Putera Raja Ahmad, 51, dalam perjalanan dari Simpang Ampat menuju Kuala Lumpur sebelum treler dipandu hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan sebelum terbalik.

Mangsa yang tersepit meraung meminta segera dikeluarkan dari lori berkenaan dan dia dikeluarkan sepasukan anggota bomba hampir tiga jam selepas kejadian sebelum dikejarkan ke hospital.

Difahamkan, mangsa baru selesai menghantar bekalan perkakasan kenderaan di sebuah kilang automotif di kawasan perindustrian Pegoh, di sini, bergerak pulang ke Balakong, Selangor sebelum terbabit kemalangan.

Foto

LORI kontena yang terbalik di tempat kejadian.


Menurut sumber, ketika melalui selekoh susur keluar dari Tol Simpang Ampat, treler dipandu mangsa hilang kawalan merempuh dan merentasi besi penghadang jalan hingga kenderaan berat terbabit terbalik dengan kedudukan empat tayar ke atas.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Tanah gelongsor setinggi 20 meter

Posted: 08 May 2013 11:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Rata-rata pengguna lalu lintas yang dalam perjalanan ke tempat kerja melalui Jalan Mahameru menghala ke Jalan Tun Razak, di sini, menempuh kesesakan lalu lintas yang teruk sejak pagi, semalam.

Difahamkan, kesesakan bermula dari Tol Sungai Besi menghala ke Jalan Mahameru membabitkan lebih 15 kilometer (km) berikutan penutupan jalan berkenaan dan beberapa jalan lain akibat gelonsoran tanah iaitu Jalan Sultan Salahuddin di belakang Bank Negara dan kedua-dua hala Jalan Ampang ke Bukit Nanas.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, berlaku gelongsoran tanah setinggi 20 meter dengan keluasan 60 meter persegi jam 2 pagi tadi (semalam).

"Runtuhan berlaku ekoran hujan lebat bermula petang semalam (kelmarin) menyebabkan pokok tumbang dan gelongsoran tanah merentasi Jalan Mahameru menghala ke Jalan Tun Razak.

Foto

AHMAD Phesal (kanan) meninjau kawasan gelongsoran tanah, semalam.


"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membersihkan kawasan itu termasuk di lokasi kejadian sama di Jalan Kasah, Bukit Damansara dan Taman Shanghai, Jalan Klang Lama," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi tanah runtuh di Bukit Nanas, di sini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Selamat tinggal Fergie

Posted: 08 May 2013 09:45 AM PDT

London: Pengurus Manchester United Alex Ferguson akan bersara hujung musim ini selepas 26 tahun membimbing kelab itu, penamat karier paling gemilang sebagai pengurus dalam arena bolasepak Britain.

Juara Liga Perdana Inggeris itu semalam mengesahkan Ferguson, 71, akan mengundur diri sejurus kali terakhir mengemudi United beraksi menentang West Brom pada perlawanan terakhir liga 19 Mei ini.

"Keputusan untuk bersara adalah sesuatu yang saya fikirkan sejak sekian lama dan bukan sesuatu yang mudah untuk mengambil keputusan ini. Inilah masa yang paling tepat," kata Ferguson yang mengemudi kelab itu mengharungi 1,498 perlawanan dalam laman web rasmi kelab itu.

Pengurus Everton David Moyes, juga dari Scotland dan bekas pengurus Chelsea Jose Mourinho, adalah antara calon yang disebut-sebut bakal menggantikan tempat Ferguson.


United berkata, Ferguson yang memikul tugas itu daripada Ron Atkinson pada 1986 dan memenangi 13 kejuaraan liga, lima Piala FA dan dua Liga Juara-Juara, akan kekal bersama kelab itu sebagai pengarah.


"Amat penting bagi saya untuk meninggalkan organisasi ini dalam keadaan yang kukuh dan saya percaya sudah melakukan tugas itu," kata pengurus kelahiran Glasgow itu yang sebelum ini pernah menyatakan untuk bersara pada musim 2001-02 tetapi mengubah keputusannya itu.

"Kualiti yang ada dalam skuad ini dan faktor umur yang seimbang antara pemain adalah satu petanda baik bagi meneruskan kejayaan lebih gemilang sementara struktur teratur dalam barisan pemain remaja akan menjamin masa depan lebih cerah buat kelab ini.

"Kemudahan latihan kami adalah antara yang terbaik dalam arena sukan dunia dan Old Trafford dilabel sebagai antara stadium terbaik di dunia.

"Saya gembira apabila diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai pengarah dan duta untuk kelab ini. Dengan pelbagai lagi aktiviti, saya tidak sabar untuk melaksanakan tugas ini."

Apabila Ferguson memulakan kariernya di Old Trafford, mereka dibayangi kehebatan seteru utama, Liverpool tetapi selepas bermula agak hambar, beliau berjaya membantu kelab itu memenangi kejuaraan liga pada musim 1992-93 dan kemudian menjadikan kelab itu lebih dominan di England.

Beliau turut membentuk karier David Beckham, Ryan Giggs dan Paul Scholes, begitu juga pemain berkaliber lain seperti Eric Cantona, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney di Old Trafford. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Moyes disebut ganti Ferguson

Posted: 08 May 2013 09:42 AM PDT

London: Syarikat pertaruhan pantas menamakan pengurus Everton David Moyes sebagai pilihan utama menggantikan Alex Ferguson yang mengumumkan untuk bersara sebagai pengurus Manchester United semalam selepas 26 tahun membimbing kelab itu meraih pelbagai kejayaan.

Moyes menjadi pilihan utama syarikat pertaruhan Britain sejurus selepas pengumuman Ferguson yang disiarkan dalam laman web rasmi kelab itu.

Moyes yang turut berasal dari Scotland sudah melalui karier lebih sedekad bersama kelab Merseyside itu yang mempunyai bajet lebih rendah berbanding United.

Pengurus Real Madrid Jose Mourinho, juga dikaitkan dengan jawatan itu.


Pengendali dari Portugal itu turut dikatakan akan kembali membimbing Chelsea selepas tidak sehaluan dengan beberapa pemainnya di Sepanyol sekali gus menyaksikan pemergiannya tidak boleh dielakkan lagi.


Moyes dan Mourinho dikenali kerana hubungan akrab dengan Ferguson yang akan memikul tugas sebagai pengarah dan duta selepas membimbing kelab buat kali terakhir bertemu West Brom pada 19 Mei ini.

Beberapa bekas pemain Manchester United di bawah bimbingan Ferguson turut berada dalam senarai syarikat pertaruhan.

Gary Neville, Eric Cantona, Laurent Blanc, Roy Keane dan Ole-Gunnar Solskjaer adalah antara yang dikaitkan, begitu juga dengan gandingan pemain tengah ketika ini Ryan Giggs dan Paul Scholes. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Cinta Di Enterprise

Posted: 08 May 2013 11:42 AM PDT

Filem 'Star Trek Into Darkness' yang bakal menemui penonton di pawagam semestinya menjanjikan pelbagai aksi yang mendebarkan. Selain pertempuran minda antara Kapten James T. Kirk dan John Harrison yang dinanti-nantikan para peminat tegar, turut menjadi tumpuan adalah hubungan romantis di antara Spock dan Uhura.

Di dalam filem 'Star Trek' (2009), tidak disangkal terdapatnya tarikan di antara Spock dan Uhura, dan hubungan mereka terus disingkap di dalam 'Star Trek Into Darkness'.

Bagi Zachary Quinto yang membawa watak Spock, hubungannya dengan Uhura memberi penonton imbasan ke dalam jiwa insan yang separuh manusia dan separuh Vulcan itu, yang jarang didedahkan kepada sesiapa.

"Terdapat satu babak di dalam 'Star Trek Into Darkness' di mana Uhura sedang menjelaskan kepada Spock mengapa dia begitu kecewa dengan kesanggupan Spock mengorbankan nyawanya. Spock pula menjawab, 'Kamu fikir saya membuat keputusan ini dengan mudah. Percayalah, ia bukan semudah itu.' Babak tersebut cukup meninggalkan kesan pada saya."


Seperti Quinto, Zoe Saldana yang memainkan watak Uhura juga terpikat dengan idea membawa hubungan Spock dan Uhura ke peringkat seterusnya.


"Hubungan mereka di dalam 'Star Trek' telah mengejutkan ramai tetapi jika mereka ingin bersama mereka perlu melalui dugaan yang akan menguji hubungan mereka. Dan cara ia berlaku di dalam 'Star Trek Into Darkness' pasti tidak akan diduga penonton."

Tambah Saldana, Uhura terpikat dengan Spock kerana keperibadian mereka yang serupa. Dia juga seorang individu yang hidup mengikutkan prinsip dan peraturan.

Jika Uhura dipadankan dengan Spock, bagaimana pula dengan Kirk? Jika anda masih ingat, Uhura telah menolak pelawaan romantis Kirk selepas pertemuan pertama mereka di dalam 'Star Trek'.

Ini sekaligus memberi ruang kepada para penulis untuk memperkenalkan watak Pegawai Sains Carol Marcus di dalam 'Star Trek Into Darkness'. Buat peminat siri asal 'Star Trek', anda pasti mengenali Carol sebagai bakal isteri dan juga ibu kepada anak-anak Kirk. Tetapi adakah jalan cerita mereka berdua diteruskan seperti di dalam siri asal?

Chris Pine bila ditanya jika Kirk sempat menjalinkan hubungan romantis dengan Carol memberitahu mtv.com, "Apa yang boleh saya katakan tentang filem ini, banyak perkara yang berlaku dari segi aksi dan plot cerita pada kadar yang begitu pantas hinggakan tidak banyak masa untuk Kirk melakukan benda-benda lain kecuali menyelamatkan krew dan dirinya.

"Tetapi setia dengan jati diri Kirk, dia seorang lelaki yang menyukai wanita berambut perang dan Carol seorang jelitawan. Jadi, usikan main-main, godaan di antara mereka pasti ada. Terpulang pada penonton untuk melihat sejauh mana usikan dan godaan itu akan bawa mereka. Namun begitu, kehadiran Carol bukanlah sekadar pasangan cinta Kirk tetapi pengetahuannya dalam bidang sains memainkan peranan utama dalam menyelesaikan krisis yang dihadapi."

Jika anda ingin tahu sejauh mana perkembangan hubungan cinta Spock dan Uhura serta Kirk dan Carol, pastikan anda menyaksikan 'Star Trek Into Darkness' bermula 16 Mei depan di pawagam berdekatan anda.

VIDEO:

Jika anda peminat setia Star Trek, cuba jawab soalan disini & menangi hadiah yang menarik! Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Akui diri masih mentah

Posted: 08 May 2013 04:29 AM PDT

Pada pandangan aktres Wan Sharmila Wan Mohamed, dunia seni tidak harus terbatas kepada satu cabang saja. Jika tuah kurang memihak dalam lakonan, dia perlu bijak masuk ke pintu lain demi perkembangan karier.

Prinsip itu menjadi pegangan wanita yang mesra disapa Lala ini bagi memastikan kelangsungan hidup sebagai anak seni. Bagi Lala, untuk kekal relevan dia perlu ligat mencari peluang dan mencanai potensi dengan mempelbagaikan profil kerjaya.

Ujar pelakon filem Bisikan Syaitan berusia 32 tahun ini, sekali pun perjalanan seni lakon tidak segah diharapkan, dia beruntung kerana punya beroleh kepercayaan untuk berkembang ke cabang pengacaraan.

Pilihan itu katanya, alternatif terbaik yang menjadikan dia lebih berkebolehan, matang dan tajam fikiran sebagai selebriti.


"Sebenarnya sudah lama saya berjinak-jinak dalam pengacaraan. Kalau diikutkan, sekitar tiga atau empat tahun juga saya sudah mengacarakan beberapa program televisyen, cuma mungkin kurang menyerlah jadi sebab itu orang ramai belum nampak.


"Bidang ini boleh diibaratkan sebagai alternatif dalam kerjaya seni saya bagi mengimbangi bidang lakonan yang tidak menentu," katanya ketika ditemui di Balai Berita, baru-baru ini.

Katanya, walaupun pengacaraan dan lakonan punya kriteria dan tuntutan berbeza antara satu sama lain, dia teruja mengemudi kedua-dua bidang itu serentak.
Ini kerana, bagi wanita berasal dari Johor Bahru, Johor ini, dua bidang itu menawarkan pengalaman dan kepuasan tersendiri.

"Sudah tentu lakonan dan pengacaraan dua perkara berbeza. Baik dari segi ciri-ciri dan tuntutannya memang berlainan.

"Namun saya puas dan seronok dengan peluang serta pengalaman ini. Saya belajar banyak perkara baru. Jika penat dengan komitmen lakonan, saya 'lari' seketika ke pengacaraan pula," katanya yang pernah mengacarakan program Klik Klik Asia dan Dialek di RTM.

Berbual lanjut, Lala berkata, bergelar pengacara memang menyeronokkan kerana dia berkesempatan melakukan rutin berbeza daripada tugas seorang pelakon.

Bagaimanapun, pelakon yang berkecimpung sejak lima tahun ini mengakui dia masih bimbang dengan prestasi, kemahiran dan pengendaliannya dalam sesebuah program.

"Jadi pengacara memang seronok. Ia adalah tugas yang membuatkan saya teruja dan puas kerana dapat belajar perkara baru dan paling penting, saya terdedah kepada ilmu dan pengalaman yang tidak pernah diperoleh sepanjang menjadi pelakon.

"Namun saya masih mentah dalam pengacaraan dan sentiasa risau dengan prestasi kerja ketika mengacara. Cuma pengalaman yang saya dapat setakat ini tiada tolok bandingnya," katanya lagi.

Tambah Lala, peluang mengembangkan karier dalam pengacaraan tidak hanya terhad pada program berbentuk dokumentari atau travelog semata-mata.

Terbaru, dia mendapat kepercayaan RTM lagi untuk menerajui program berkonsepkan permainan (gameshow) iaitu Seiring Sejalan di samping pelakon Fizz Fairuz.

"Tidak tahu hendak kata sama ada memang sudah rezeki atau kebolehan diri yang membuka satu demi satu peluang pengacaraan program.

"Boleh dikatakan, rezeki saya pada 2013 ini bermula dengan pengacaraan dan setakat ini memang tawaran kerja lebih pada bidang ini.

"Bermula dengan program dokumentari, Feri Penang pada awal tahun, selepas itu saya beralih ke set program Seiring Sejalan di samping Fizz. Ia adalah pengalaman pertama saya mengendalikan program permainan dan ternyata ia menyeronokkan," katanya.

Lebih memilih watak

Rancak bercerita, aura positif Lala berkongsi mengenai bidang pengacaraan itu seolah-olah pembayang dia bakal beralih bidang. Bagaimanapun, tegas Lala, jadual kerja pengacaraan yang padat bukan bermakna dia memperlahankan tempo sebagai pelakon.

Cuma jelasnya, memandangkan peluang lebih berpihak pada pengacaraan, lebih baik dia manfaatkan peluang di depan mata sebaik mungkin.

"Tawaran lakonan tetap ada tapi mungkin orang tidak begitu nampak. Jadi saya perlu bijak mencari peluang lain. Memandangkan waktu sekarang lebih memihak pada pengacaraan, lebih baik saya gunakan peluang itu dengan sebaik mungkin.

"Kalau pun ada tawaran lakonan, saya lebih berhati-hati dalam menerimanya. Keutamaan saya sebagai pelakon sekarang adalah mencari watak yang bersesuaian. Biar sekecil mana pun komitmen dan babak tidak banyak, saya akan terima kalau wataknya menarik dan sesuai," katanya yang baru terbabit dalam penggambaran filem Kriptik.

Katanya, pasang surut sebagai pelakon adalah lumrah yang sudah dipasak dalam mindanya sejak awal lagi. Justeru, saat persaingan makin sengit dengan kehadiran barisan aktres junior di pasaran, Lala akur dan menerimanya dengan hati terbuka.

"Saya akur dan menerima persaingan sengit dengan hati terbuka. Perkara begini adalah lumrah. Sebelum ini, saya pun sempat raih populariti, jadi kini tiba giliran pelakon lebih muda pula.

"Apa yang penting, saya terus berada dalam industri. Peluang tetap ada dan tidak putus, jadi itu sudah cukup buat saya bahagia," katanya.

Mahu kahwin semula

Alang-alang bersembang panjang mengenai karier, tidak sah rasanya kalau tidak mengusik anak bongsu dalam keluarga ini berhubung aspek peribadi.

Rasanya semua sedia maklum status janda yang digalas wanita ini sejak tiga tahun setengah lalu. Namun, kenyataan itu tidak sedikit pun membuatkan Lala serik untuk berumah tangga semula.

"Teringin (kahwin) sudah tentu. Kalau ikut hati memang hendak berkahwin semula. Saya tidak pernah fobia atau serik pun tapi tunggu sahajalah waktunya," katanya.

Ditanya mengenai teman baru, Lala berkata, dia tidak pernah membataskan diri dalam berkawan dengan mana-mana lelaki. Malah, tuturnya, dia mempunyai beberapa kenalan lelaki ketika ini tetapi belum ada yang benar-benar melekat di hati.

"Ada beberapa kawan lelaki yang rapat tetapi biarlah saya kenalinya dulu. Kalau hendak kata, yang istimewa belum ada lagi.

"Selepas kegagalan perkahwinan lalu, saya akui perlu berhati-hati dan tidak terburu-buru. Kalau tiba masanya, insya-Allah pasti ada lelaki yang sesuai akan muncul," katanya yang kini muncul dengan filem terbaru, Bisikan Syaitan di pawagam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Remaja 'pejuang'

Posted: 08 May 2013 10:08 AM PDT

London: Seorang remaja yang terbakar teruk ketika bayi dalam satu kejadian ngeri, kini membanggakan bapanya ketika dia bersedia untuk memulakan pengajian di kolej.

Terri Calvesbert kehilangan rambut, bibir, hidung, semua jari dan kaki kirinya selepas api memusnahkan bilik tidurnya pada November 1998.


Bapanya, Paul Calvesbert berkata, dia tidak yakin Terri yang ketika itu berusia 23 bulan, dapat bertahan akibat kecederaan parah berkenaan. Bagaimanapun, Terri dapat membuktikan dia seorang budak yang kuat.

Justeru, kini Calvesbert, 40, teruja melihat Terri, 16, bersedia sepenuhnya untuk memulakan babak baru dalam hidupnya selepas menamatkan pengajian di Sekolah Sukan Westbourne.


Calvesbert dari Ipswich, Suffolk berkata, melihat Terri menamatkan pengajian di sekolah itu sangat bermakna dalam bagi dirinya.


"Saya tidak pernah terfikir dapat melihat Terri memulakan persekolahan, apa lagi sehingga ke peringkat ini," katanya.

Foto

TERRI bersama ibu tiri, Nicky dan Calvesbert.

Foto

KEADAAN Terri ketika dia berusia empat tahun.

Selepas insiden malang berkenaan, kata Calvesbert, dia membayangkan Terri tidak sempat membesar, namun anaknya itu membuktikan dia bukan individu biasa.


Bagi Calvesbert, Terri adalah seorang 'pejuang'.

Terri pula mengakui bahawa dia berdepan dengan ketakutan ketika mula bersekolah.


Namun, katanya, dia menjalin persahabatan dengan ramai orang dan mereka sentiasa menjaganya. Kini, dia bersedia menyahut cabaran baru dalam hidupnya apabila memilih kajian haiwan di Kolej Otley, dekat Ipswich.


Katanya, dia selalu ingin bekerja di hospital atau menjadi pemandu ambulans supaya dapat membantu orang ramai.


"Mungkin sebab saya menghabiskan banyak masa di Hospital Broomfield ketika saya kecil," katanya ketika ditemui.


Kemudian, kata Terri, dia berminat bekerja dengan kanak-kanak sebelum menyedari adalah lebih mudah menguruskan haiwan berbanding kanak-kanak. Terri baru saja beberapa hari menyambut ulang tahun kelahirannya apabila kebakaran berlaku yang berpunca daripada puntung rokok ibunya, Julie Minter. Kebakaran berkenaan menyebabkan 90 peratus tubuh Terri melecur, manakala muka, kulit kepala, leher, dada, belakang dan kedua-dua kaki serta tangannya parah. Terri perlu menjalani lebih banyak pembedahan selepas ini apabila doktor bersedia membentuk semula mukanya menjelang usia 18 tahun. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Bangkai 'raksasa laut' terdampar di New Zealand

Posted: 08 May 2013 09:59 AM PDT

Auckland: Tanda tanya menyelubungi penemuan bangkai 'raksasa laut' yang ditemui terdampar di New Zealand.

Dengan gigi tajam berbaris dan mulut luas, bangkai haiwan sepanjang kira-kira 10 meter itu ditemui separuh tertanam di dalam pasir di Pantai Pukehina, kira-kira 190 kilometer di tenggara Auckland.


Beberapa teori dikemukakan, termasuk haiwan itu sebenarnya ikan jerung atau buaya air masin, sejenis ikan lumba-lumba atau hidupan prasejarah.

Dalam satu video di YouTube, Elizabeth Ann bertanya sama ada sesiapa mengenali haiwan berkenaan.


Katanya, haiwan berkenaan mempunyai kepala dan gigi besar serta sirip. "Ia mungkin sepanjang sembilan meter, tetapi bahagian bawah badan bangkai 'raksasa laut' berkenaan mungkin hilang akibat dibaham oleh sesuatu," katanya. Sementara itu pakar marin, Anton van Helden menafikan ia adalah bangkai dinosaur kerana sirip yang ada padanya menunjukkan ia adalah ikan paus.


"Ikan jenis itu memang banyak di Bay of Plenty," katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved