Rabu, 24 Julai 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Guna pembayang mata

Posted: 24 Jul 2013 08:01 AM PDT

Majlis makan malam seolah-olah tiada serinya jika tidak disertakan dengan pakaian bergemerlapan dan gaya solekan menawan.

Namun, kedua-duanya perlu diseimbangkan agar gaya yang ditampilkan tidak kelihatan janggal.

Penggunaan warna terang dan berkilat sememangnya lebih sesuai untuk majlis waktu malam, namun kombinasinya perlu diadun secara sederhana.

Ia bertujuan mengelakkan kejelitaan semula jadi terselindung di sebalik jumlah perhiasan atau solekan tebal.

Foto

WAJAH sebelum memakai mekap.

Foto

BUATKAN pembayang di bahagian hidung menggunakan jari, ratakan hingga sekata. Untuk kecilkan bahagian pipi yang berisi, gelapkan sedikit bahagian rahang dan tulang pipi menggunakan pembayang. Sapukan pemerah pipi secara sederhana.

Foto

BENTUKKAN bibir dan pakaikan gincu mengikut warna diingini.

Foto

GAYA sederhana ke majlis di malam hari.

Foto

SEMBURAN pada wajah untuk mengekalkan mekap.

Foto

SAPUKAN penyamar cela untuk menutup lingkaran gelap di bawah mata, kemudian penyamar cela berwarna hijau bagi menutup parut jerawat atau jeragat.

Foto

GUNAKAN bedak asas dan hanya tekapkan pada bahagian yang memiliki penyamar cela bagi mengelakkan ia terpadam. Gunakan bedak debu untuk kesan tebal dan ratakan menggunakan berus.

Foto

BENTUKKAN kening dan ratakan dengan berus, tambahkan maskara warna coklat.

Foto

SAPUKAN penyerlah di bawah tulang kening, sapukan pembayang mata. Gunakan kaedah soket iaitu sapukan warna lebih gelap pada hujung mata dan adun menggunakan berus dengan gerakan ke dalam.

Foto

GUNAKAN penggaris mata jenis gel kerana lebih pekat dan lancar.

Foto

TAMBAHKAN maskara pada bulu mata dan tambahkan bulu mata palsu.

Foto

PAKAIKAN celak mata putih pada garisan bawah mata untuk menampakkan bentuk mata lebih besar. Kemudian tambah celak hitam di bawah garisan tadi dan gunakan berus serong untuk merapikan garisan.


Untuk mengekalkan solekan pada wajah, sebelum memakai mekap, basuh muka dengan air mineral terlebih dulu.


Bagi menampilkan solekan lebih ranggi, pelbagaikan warna dengan mengadunkan pembayang mata warna biru, ungu, hijau atau coklat.

Sebagai contoh, lapisan pertama disapukan dengan warna ungu lembut, diikuti lapisan kedua ungu gelap serta adun bersama warna hitam di tepi mata.

Pembayang mata warna putih boleh digunakan sebagai penyerlah (highlight) pada tulang atas mata bagi kulit cerah manakala warna pic dan vanila kelihatan lebih anggun bagi mereka berkulit lebih gelap.

Selain itu, jangan sesekali menyapu pembayang mata berwarna gelap di bawah mata dengan alasan untuk menampakkan mata lebih besar. Ini akan membuatkan mata kelihatan terlalu sarat atau lebam. Cukup sekadar menggunakan penggaris mata.

Diingatkan juga jika pembayang mata berwarna gelap, gunakan warna lebih lembut pada bahagian pipi dan bibir.

Contohnya, apabila bahagian mata sudah gelap, pastikan pilih pemerah pipi dan gincu warna merah jambu lembut atau coklat tanah.

Selain itu, bentukkan kening menggunakan pensel warna yang sepadan dengan bulu kening untuk kesan lebih dramatik.

Tip penjagaan kulit sebelum memakai mekap

  • Sebelum membersihkan wajah, pastikan tapak tangan bersih daripada kotoran atau minyak agar tidak memberi kesan kepada kulit wajah.
  • Jangan abaikan kawasan leher dan dada. Jika menggunakan pembersih wajah kemudian penyegar dan seterusnya pelembap, sapukan ketiga-tiga regim pembersih ini pada bahagian leher dan dada.
  • Selepas memakai pelembap, tunggu beberapa minit agar ia menyerap ke dalam kulit dengan sempurna. Kemudian barulah mengenakan solekan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24
  • Sejarah baru

    Posted: 24 Jul 2013 07:55 AM PDT

    Seluruh dunia memang tidak sabar menantikan saat kelahiran putera sulung pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton. Kelahiran si comel di Hospital St Mary's yang membawa gelaran His Royal Highness (HRH) Prince of Cambridge pada jam 4.24 petang Isnin lalu dengan berat 3.8 kilogram membuatkan seluruh dunia tersenyum riang.

    Apatah lagi bagi William sendiri kerana menjadi bapa moden dan memecahkan tradisi keluarga diraja dengan berada di sisi isteri tersayang sehinggalah Kate melahirkan anak. Tindakan William ini mencatat sejarah kerana sebelum ini tiada suami dalam keluarga diraja itu yang melihat sendiri saat payah dan indah kelahiran zuriat mereka.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak istana William berkata, mereka berasa sangat gembira, ibu dan anak berada dalam keadaan yang baik. Bagaimanapun nama yang bakal diberikan kepada putera kecil ini masih dirahsiakan sehinggalah tiba saat sesuai untuk diumumkan.

    Kelahiran putera ini sememangnya menempa sejarah kerana dia bukan saja menjadi pewaris takhta ketiga Britain selepas datuk dan ayahnya (Putera Charles dan William) mengikut undang-undang pewarisan takhta yang baru, tetapi namanya juga tercatat sebagai orang pertama dalam keluarga diraja itu yang diberikan gelaran Prince of Cambridge dalam tempoh 100 tahun.

    Foto

    WILLIAM membawa puteranya memasuki kenderaan yang menunggu.

    Foto

    WILLIAM memeluk putera sulungnya.

    Foto

    SELURUH dunia menanti kelahiran putera sulung William-Kate.


    Mengikut undang-undang pewarisan takhta yang baru ini, anak pertama William dan Kate mempunyai hak untuk mewarisi takhta tanpa mengira jantinanya. Pakar diraja agensi berita CNN, Victoria Arbiter berkata, dalam tempoh 60 hingga 70 tahun, putera kecil ini akan menjadi raja. Inilah kali pertama dalam sejarah empat generasi keluarga diraja Britain hidup bersama sejak Ratu Elizabeth mengambil alih takhta.


    Pakar sejarah dan pengacara, David Starkey berkata, buat pertama kali jantina anak tidak diambil kira sebagai pewaris takhta. Sama ada lelaki atau perempuan, ia tetap ada hak untuk duduk di atas takhta dalam sistem beraja Britain. Pun begitu, kelahiran seorang putera membuatkan undang-undang pewarisan baru ini lebih mudah untuk diterima dan dilaksanakan.

    Bahkan Starkey berkata, kelahiran Prince of Cambridge ini secara tidak langsung 'menunda' idea untuk memberikan takhta kepada wanita. Ia bermakna, impian untuk melihat wanita sebagai pewaris takhta hanya akan dapat direalisasikan 100 tahun lagi.

    Kegembiraan dan kesyukuran dengan kelahiran putera sulung itu seolah-olah melenyapkan tragedi yang berlaku kerana keghairahan orang untuk mengetahui setiap perkara dalam keluarga diraja itu.

    Mengandungkan anak sulung ini bukan satu pengalaman mudah bagi Kate kerana pada awal kehamilannya dia mengalami mabuk yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital. Ketika Kate dimasukkan ke hospital inilah dua pengacara radio di Australia membuat panggilan palsu dengan menyamar sebagai keluarga diraja dan membuatkan jururawat yang menyambung panggilan berkenaan berasa sangat tertekan sehingga nekad membunuh diri.

    Kematian itu menjadi peringatan yang sangat penting khususnya mengenai kesan buruknya apabila keghairahan mendapatkan berita eksklusif mengenai keluarga diraja mengatasi kewarasan dan rasa hormat pada hak peribadi orang lain.

    Berita kehamilan Kate juga secara tidak langsung menguntungkan pihak industri. Pereka fesyen berebut-rebut dan bersaing menghasilkan pakaian mengandung untuk Kate dan Pusat Penyelidikan Peruncitan meramalkan kelahiran putera sulung William dan Kate itu bakal merangsang ekonomi Britain sehingga RM1.2 bilion.

    Ini termasuklah penghasilan pelbagai cenderamata bertemakan bayi. Malah Charles sendiri dikatakan merancang untuk menjual kasut bayi buatan tangan melalui kedai cenderahati di Highgrove. Pada masa sama, ibu dan bapa Kate juga mempunyai rancangan menjual cenderahati terpilih melalui syarikat mereka, Party Pieces. Itu belum masuk barangan keperluan bayi yang Kate beli kerana sebaik berita mengenainya diterbitkan, jualan produk berkenaan melonjak naik.

    Keluarga diraja yang baru ini dikatakan akan menghabiskan banyak masa mereka di Istana Kensington di mana William dan Harry dibesarkan. Tentu saja kawalan ketat akan diberikan kepada keluarga diraja ini khususnya si putera kecil.

    Bagaimanapun pengawal pihak istana akan cuba menjadikan kehidupan putera kecil ini senormal mungkin dan paling penting tidak terpisah daripada masyarakat.

    Dalam satu laporan mengatakan Kate akan menghabiskan masa berpantang di rumah ibu bapanya selama enam minggu. Ini kerana William suka kepada kehidupan keluarga Kate yang 'normal' dan tahu isterinya akan berasa selesa berehat di rumah ibu bapanya sendiri di mana mereka akan turut membantu menjaga si kecil.

    Kebanyakan pasangan diraja mengupah pengasuh selepas bersalin tetapi William dan Kate dikatakan akan memecahkan tradisi itu. Mereka dilaporkan tidak bercadang mengambil pengasuh sepenuh masa untuk si kecil. William mahu melalui pengalaman manis sebagai bapa dengan menukar lampin dan membacakan buku kepada anaknya.

    Keadaan ini sangat berbeza bagi Ratu Victoria dan Putera Charles kerana adakalanya Charles tidak berjumpa ibunya selama beberapa bulan kerana semua urusan penjagaan diserahkan kepada pengasuh.

    Menurut pengasas laman web keibubapaan Netmums, Siobhan Freegard, latar belakang Kate memberi banyak pengaruh dalam keputusan ini. Dia merancang kehamilannya dan mahu merasai pengalaman sebagai ibu seperti wanita lain.

    Dalam limpahan jutaan ucap tahniah, putera kecil ini sebenarnya berhadapan dengan pelbagai perkara yang kurang menyenangkan dalam bab pewarisan takhta selain beban kuasa yang bakal ditanggungnya satu hari nanti.

    Dalam soal ini, si ayah, William sangat memahami kerana dia juga melalui pengalaman yang sama.

    Sejurus selepas melahirkan Putera Harry, Puteri Diana pernah berkata, "Putera sulung diraja mungkin mendapat semua perhatian, keagungan dan sanjungan tetapi anak kedua saya akan menikmati lebih banyak kebebasan. Putera kedua saya ini tidak akan menerima tekanan seperti yang perlu ditanggung oleh William sepanjang hayatnya."

    Antara tekanan yang perlu ditanggung anak sulung diraja termasuklah membawa gelaran HRH dan semua aspek warisan yang berkaitan dengannya. Si putera kecil ini juga tidak terkecuali kerana dia dikatakan bakal menjadi Supreme Governer of The Church of England (gelaran yang dipegang oleh keluarga diraja Britain sebagai pemerintah tertinggi gereja), ketua pasukan tentera dan menjadi ketua kepada 16 negara.

    Malah pakar diraja juga meramalkan putera sulung William dan Kate ini bakal menjadi seseorang yang mempunyai pengaruh besar di seluruh dunia, sebagai ketua dan menjadi harapan ramai.

    Namun buat masa ini, Prince of Cambridge yang mungkin menjadi raja satu hari nanti kini berkongsi tugas yang sama seperti semua bayi lain di dunia menyusu dan tidur supaya boleh membesar dengan sihat dan sejahtera.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Projek 'tutup' masjid

    Posted: 23 Jul 2013 01:54 PM PDT

    Kuala Lumpur: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala lumpur (DBKL) mengeluarkan notis cadangan pembangunan komersial bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan dianggap mencemar kesucian institut keagamaan di Malaysia.

    Penduduk Hartamas Heights menganggap tindakan membina kawasan komersial di lot 58688 dan 58689 itu tidak relevan memandangkan kedudukannya yang terlalu hampir dengan masjid.


    Wakil penduduk, Azim Abdul Aziz berkata, berdasarkan notis cadangan pembangunan di Jalan Changkat Kiara Hartamas itu, pembangunan mega berkenaan membabitkan pembinaan beberapa menara yang mencecah ketinggian 49 tingkat sehingga mampu 'menutup' pandangan masjid dari seluruh arah barat, barat laut dan barat daya.

    "Jika kita lihat di negara luar, kawasan sekitar bangunan rumah ibadat seperti ini tidak dibangunkan dan hanya membiarkannya sendiri bagi menunjukkan kesucian tempat itu.


    "Malangnya yang bakal berlaku, pusat komersial yang menempatkan blok kediaman mewah, bangunan pejabat, ruang perniagaan termasuk pawagam akan dibina dan operasinya kelak dilihat mencemarkan kemuliaan institusi agama Islam di negara kita.


    "Ini dapat dilihat melalui pembinaan Solaris Duta Mas berhampiran Masjid Wilayah Persekutuan yang menempatkan operasi kelab malam dan pusat hiburan yang dilihat tidak mengambil kira sensitiviti dan menghormati agama dan penduduk Islam di Malaysia," katanya, semalam.

    Foto

    WAKIL penduduk Hartamas Heights yang membantah pelan pembangunan komersial bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan.

    Selain itu, menurut Azim selepas Solaris Duta Mas siap sepenuhnya, lalu lintas di sini sesak memandangkan pembukaan kawasan komersial seperti ini menarik lebih ramai pihak berkenderaan datang ke sini.


    "Hanya ada satu jalan keluar dan masuk iaitu Jalan Dutamas 1 yang turut digunakan penduduk dari Segambut, Kenny Heights, Duta Tropika, Duta Nusantara, kakitangan kerajaan di Jalan Duta dan Segambut.

    "Setiap hari terutama hujung minggu Jalan Dutamas 1 ini mengalami kesesakan apatah lagi ada kenderaan sewenang-wenangnya diparkir bertindan di tepi jalan.


    "Walaupun ada penguatkuasaan termasuk saman dilakukan, tetapi sehingga kini DBKL gagal menangani masalah itu sepenuhnya," katanya.


    Menurut Azim, pembinaan projek baru terbabit yang turut menempatkan 5,000 parkir kereta bukan jalan penyelesaian terhadap masalah di Jalan Dutamas 1, sebaliknya menunjukkan bilangan kenderaan baru yang masuk ke situ menambahkan kepadatan dan kesesakan di situ.


    "Tempoh bantahan projek terbabitt dari empat minggu menjadi dua minggu juga tidak telus.


    "Notis pemberitahuan di situ tidak menggambarkan keseluruhan projek. Malah, notis bantahan bermula pertengahan bulan ini sehingga 31 Julai depan terlalu singkat bagi membolehkan penduduk berfikir, berbincang, mendapatkan maklumat terperinci dan mengemukakan bantahan terhadap pembangunan di kawasan perumahan mereka," katanya.


    Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hanizah Hamid mendakwa tanah di tapak cadangan projek terbabit masih berada dalam zon kediaman dan bukan zon komersial.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Advertorial: Reynolds biasa watak komik

    Posted: 23 Jul 2013 03:57 PM PDT

    CERITA dan watak-watak Rest In Peace Department (R.I.P.D.) perlu dikendalikan dengan teliti dan cermat untuk memastikan keasliannya semasa transisi cerita dari komik ke filem.

    Ini juga bermakna tekanan kepada pelakon yang memainkan watak utamanya lebih besar kerana ia bukan sekadar kualiti lakonan tapi seirasannya dan pemahaman wataknya di skrin dan komik adalah sangat penting.

    Disebabkan ini, Ryan Reynolds adalah pelakon yang paling padan dan tepat untuk memainkan peranan watak utama R.I.P.D., anggota polis alam mati Nick Walker.

    Tidak asing kepada peranan watak komik di wayang skrin besar, Reynolds pernah berlakon sebagai Hal Jordan, watak utama filem adaptasi DC Comics Green Lantern pada tahun 2011.


    Dua tahun sebelun itu dia berlakon sebagai pembunuh upahan yang suka bercakap - Deadpool dalam komik-jadi-filem Marvel X-Men Origins: Wolverine bersama para pelakon all-star seperti Hugh Jackman.


    Dari awal Reynolds telah pun berminat dan menyertai projek filem R.I.P.D. dengan berlakon sebagai detektif tragis Nick Walker yang akan menerima satu kejutan besar bila dia tiba di akhirat.

    Untuk Reynolds yang sangat menyukai komik R.I.P.D. dan sebagai seorang peminat komik dia memahami nilai dan kepentingan untuk memastikan asas skrip dari jalan cerita dan semua ciptaannya di filem seiras dengan yang dijumpai dalam komik.

    Pemenang Oscar Jeff Bridges yang berlakon sebagai Syerif Roycephus Roy Pulsifer, rakan sepasangan dan juga mentor Nick Walker di R.I.P.D. berkata, "Ryan seorang yang sangat bergaya. Dia akan mengena kesemua sasarannya dan membuatkan ia berjaya dan ini boleh dikatakan sebagai satu bakat istimewa. "

    "Hubungan kami berdua boleh dikatakan secocok di beberapa peringkat. Berlakon seumpama menciptakan illusi, tetapi lebih lagi sekiranya anda ada hubungan yang bergaya di luar produksi filem, anda dapat membawakan hubungan ini ke lakonan anda," tambah Bridges.

    "Ryan dan saya menikmati masa bersama di luar set dengan hanya berlepak."

    Bukan itu saja. Disebabkan dedikasi dan keinginannya untuk menjadi lebih proaktif dalam proses ciptaan filem ini, Reynolds juga telah menyertai krew tersebut sebagai penerbit eksekutif. Peranannya seperti yang dijangkakan, tidak mudah.

    "Sebenarnya ia sangat susah direalisasikan kerana ia mempunyai elemen tragedi dan cinta dalam sebuah cerita filem yang sangat lucu dan menarik," kata Reynolds.

    Seorang detektif polis warga Boston yang agresif, cerdik dan pintar, Nick Walker akan menemui ajalnya apabila dia dibunuh semasa bertugas dalam satu serbuan penjualan dadah.

    Semasa menghadapi penghakiman terakhir riwayatnya tanpa mengetahui nasib yang akan dikenakan kepadanya, Nick diberi satu tawaran yang dia tidak dapat ditolak: menggunakan bakat menangkap penjahat dan membuat penebusan selama 100 tahun di R.I.P.D. atau menghadapi hukuman yang tidak pasti di akhirat.

    Bertekad untuk mencari pembunuhnya dan bersatu dengan isterinya sekali lagi – dengan kepercayaan dia dapat meminggir peraturan ketat jabatan R.I.P.D. – Nick memilih untuk bertugas untuk R.I.P.D.

    Saksikanlah pergelutan Reynolds sebagai Nick Walker dalam 3D pada 1 Ogos dalam filem R.I.P.D.

    Dapatkan T-Shirt R.I.P.D. dengan menyertai peraduan di sini Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

    Ziarah Sahur bantu gelandangan

    Posted: 23 Jul 2013 07:54 AM PDT

    Di saat kita enak dibuai mimpi indah di atas tilam empuk dan menikmati juadah menyelerakan, golongan yang tidak berumah dan hidup melarat hanya mampu berangan-angan untuk menjalani kehidupan normal sebagaimana insan lain.

    Bukan semua manusia di dunia ini bertuah dapat menikmati segala nikmat dunia disediakan Allah SWT, malah ada yang terpaksa hidup dalam serba daif, tidur beralaskan bumi dan berbumbungkan langit serta kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

    Simpati melihatkan nasib golongan gelandangan ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Norliza Rofli mengadakan program amal Ziarah Sahur dengan menyediakan makanan serta juadah bersahur kepada golongan terbabit di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Dalam program yang bermula jam 2 pagi hingga 4 pagi itu, mereka turut ditemani penyanyi terkenal, Ning Baizura yang turun padang mengedarkan juadah berkenaan kepada golongan gelandangan yang terdiri daripada pelbagai kaum itu.

    Foto

    NORLIZA (tengah) dan Ning meredah awal pagi untuk memberi sumbangan makanan kepada golongan gelandangan.

    Foto

    NING (kanan) menyelami perasaan seorang gelandangan yang dipinggirkan anak kandung.

    Foto

    GEMBIRA dapat berbakti pada masyarakat.


    Norliza berkata, bertemu dan berbual dengan golongan terbabit cukup mengharukan perasaannya.


    "Masih ramai mereka yang kurang bernasib baik memerlukan perhatian daripada kita. Mereka juga seperti insan lain yang mendambakan kasih sayang tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. Usaha ini juga dilakukan untuk membentuk nilai murni di kalangan masyarakat supaya sentiasa tampil membantu orang susah.

    "Walaupun program ini dinamakan Ziarah Sahur, tetapi bantuan berkenaan turut diberikan kepada golongan bukan Islam," katanya.

    Bertemankan air mata, golongan terbabit meneruskan kehidupan meskipun keperitan mencengkam perasaan. Ada yang memiliki pekerjaan namun dengan gaji yang terlalu kecil, mereka tidak mampu menyewa bilik apatah lagi untuk memiliki rumah yang sempurna. Hanya di kaki lima beralaskan kotak menjadi tempat mereka berlindung.

    "Masyarakat kita sangat prihatin tetapi sikap baik rakyat negara ini dipergunakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dengan wujudnya sindiket pengemis. Di ibu kota misalnya, kita boleh lihat wajah-wajah asing datang mendekati kita hingga membuatkan kita berasa sangsi untuk bersedekah.

    "Serik menjadi mangsa penipuan, lama-kelamaan rasa simpati itu terhakis daripada diri kita dan cara terbaik untuk mengembalikan rasa prihatin itu, kita pergi terus kepada orang amat memerlukan pertolongan seperti gelandangan ini. Saya berharap program seperti ini akan menerbitkan semula rasa sikap ingin membantu sesama kita," katanya yang mendapat ilham mengadakan program berkenaan di Kuala Lumpur selepas JKKN cawangan Sabah memulakannya sebelum ini.

    Norliza berkata, program ini diadakan empat kali sepanjang Ramadan ini termasuk ke rumah anak-anak yatim dan pusat tahfiz di sekitar Lembah Klang.

    Sebelum ini, JKKN turut bekerjasama dengan kumpulan nasyid terkenal, Rabbani menyampaikan juadah bersahur kepada anggota polis yang bertugas syif malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur.

    Sementara itu, Rabbani akan menjayakan majlis berbuka puasa anjuran MATIC, Jalan Ampang pada hari ini (Rabu).

    Turut serta pada majlis itu 40 anak yatim dari Gombak, Selangor.

    JKKN mahu teruskan usaha murni

    Pihak JKKN turut gembira apabila program yang mereka aturkan semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.

    Norliza berkata, pihaknya mendapat maklum positif dari sektor pelancongan terutamanya program Jom Buka Puasa yang diadakan setiap hujung minggu di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang berjaya menarik ramai pelancong asing.

    "Tahun depan Jom Buka Puasa akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan yang menjadi acara wajib setiap kali Ramadan," katanya.

    Sebelum ini JKKN lebih dikenali sebagai agensi yang memperjuangkan kesenian negara dan kini skop jabatan itu diperluaskan untuk menyemarakkan budaya bangsa.

    Ning kongsi kesedihan

    "Sedih hati saya kerana dalam keadaan negara yang semakin membangun, masih ramai lagi yang tidak berumah dan terpaksa hidup bergelandangan," kata Ning Baizura Dalton, 38, selepas mengikuti program Ziarah Sahur bersama JKKN.

    Katanya, keadaan ini mengingatkannya kepada diri sendiri yang diberikan Allah SWT mencukupi segalanya termasuk wang ringgit, makan minum, keluarga bahagia dan tempat kediaman.

    "Saya lihat ramai antara mereka yang sudah berusia dan sebaya ibu bapa kita. Entah di mana anak mereka. Sebagai anak dan ibu, sayu hati saya melihatkan keadaan itu dan apabila balik rumah saya cerita pada emak (Satilah Abdullah) apa yang saya jumpa dan saya lihat. Keadaan itu amat menginsafkan saya," katanya.

    Ning ketika mengikuti program itu mengaku terkejut dan hiba tatkala melihat ramai gelandangan yang merempat di ibu kota.

    Malah, Ning ditemani suaminya, Omar Shariff Christopher Layton Dayto, 37, pada malam itu turut memasang impian untuk membina rumah perlindungan kepada insan malang terbabit sekiranya mampu.

    "Saya harap apabila tua nanti, anak-anak tidak akan melupakan saya. Ada yang saya temui sudah tidak berapa betul fikirannya, barangkali kerana tekanan hidup dia jadi begitu," katanya.

    Menyentuh hasratnya untuk membina rumah perlindungan, jelas Ning barangkali sukar untuknya membina rumah itu sendiri kerana kosnya yang tinggi. Sehubungan itu, dia berharap ada pihak yang sudi bekerjasama.

    "Ia bukanlah tempat tinggal kekal tetapi memberi mereka tempat tinggal sementara dan kita boleh beri mereka latihan seperti kelas memasak, kraftangan dan menjahit agar mereka boleh membina hidup baru. Sukar untuk menyediakan tempat tinggal kekal kerana mereka ramai dan untuk masuk ke rumah perlindungan itu pun perlu ditapis," katanya.

    Pada malam itu Ning turut menaja 300 bungkus nasi untuk diberikan kepada golongan itu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Proses pengundian lancar

    Posted: 23 Jul 2013 08:18 PM PDT

    JERTIH: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut berlangsung dengan tenang dan lancar dengan 31 peratus daripada 16,534 pemilih memangkah kertas undi di lapan sekolah yang dijadikan pusat mengundi hingga 10 pagi ini.

    Calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang mengundi di SMK Kuala Besut. Berbaju Melayu merah lengkap bersamping ditemani isteri Siti Salbiah Osman yang berbaju kurung merah sedondon.

    Tengku Zaihan, 37, atau dikenali penduduk di sini sebagai "Abe Ku" dan Siti Salbiah, 34, tiba di pusat mengundi pada pukul 8 pagi dan calon BN itu selesai menunaikan tanggungjawabnya pada 8.15 pagi.

    Ditanya pemberita kenapa beliau dan isteri memilih untuk memakai baju merah hari ini, Tengku Zaihan berkata: "Merah ini simbol keberanian."

    Foto

    Orang ramai menunggu giliran untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu. FOTO Bernama

    Foto

    Tengku Zaihan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut. FOTO Bernama

    Foto

    Endot @ Azlan Yusof mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu. FOTO Bernama


    "Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru pengundi untuk keluar awal dan menunaikan tanggungjawab mereka. Setakat ini proses pengundian berjalan lancar," kata beliau.


    Calon PAS Endot@Azlan Yusof tiba di pusat pengundian SMK Kampung Baharu untuk membuang undi jam 7.50 tadi. Beliau memakai kemeja berwarna putih hijau dilihat ditemani beberapa penyokong. Beliau merupakan pengundi kedua tiba dan beratur di luar pagar sekolah selepas seorang warga emas tiba beberapa minit lebih awal darinya.

    Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said tiba di pusat mengundi SK Kampung Nangka kira kira jam 9.08 pagi tadi untuk meninjau proses pengundian. Hadir sama Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

    Kecil-kecil dah gelumang dadah

    Posted: 23 Jul 2013 12:52 PM PDT

    Kuala Lumpur: Seramai 442 remaja berusia 19 tahun dan ke bawah kini ibarat menunggu ajal selepas terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan kes mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.

    Jumlah remaja terbabit adalah berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam tempoh tiga tahun setengah, bermula dari 2010 hingga Jun tahun ini.

    Lebih mengejutkan, Pengarah JSJN Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, keseluruhan remaja berusia 19 tahun ke bawah termasuk kanak-kanak berusia seawal 12 tahun yang ditahan kerana terbabit dalam pelbagai kes dadah untuk tempoh yang sama kini mencecah 26,793 orang.

    Menurutnya, semua remaja terbabit disiasat mengikut pelbagai seksyen di bawah ADB 1952 serta dua lagi akta iaitu Akta Penagih Dadah (APD) 1952 dan Akta Racun 1952.


    "Jumlah kanak-kanak berusia 12 tahun hingga remaja berusia 19 tahun yang terbabit dalam gejala penagihan serta pengedaran dadah amat membimbangkan kerana jumlah untuk tempoh lebih tiga tahun lalu tidak menunjukkan banyak perbezaan," katanya ketika ditemui Harian Metro.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Jangan ubah suka-suka!

    Posted: 23 Jul 2013 12:13 PM PDT

    Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memastikan pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal tidak sewenang-sewenangnya mengubah aksi persahabatan berstatus A kepada perlawanan ujian seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

    Langkah tegas badan induk bola sepak negara itu diambil selepas kedudukan ranking dunia yang masih tidak berubah selepas sekian lama hingga menimbulkan kegusaran beberapa pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


    Selepas gagal mempertahankan Piala AFF pada 2012, Rajagobal kini dalam misi melayakkan skuad negara buat kali pertama ke pusingan akhir Piala Asia 2015 hingga mengorbankan beberapa perlawanan persahabatan menentang skuad yang menawarkan pungutan mata tinggi seperti Iraq (tewas 0-2 pada Februari), Arab Saudi (tewas 1-4 pada Mac) dan Palestin (tewas 0-2 pada Mac) yang sepatutnya menjadi aksi persahabatan berstatus A dan mampu membaiki kedudukan ranking negara yang kini berada di tangga ke-159 dunia.


    Aksi itu sebaliknya dijadikan perlawanan ujian dan berdasarkan kalendar FIFA, terdapat 15 perlawanan berstatus A sepanjang 2013 sepatutnya dimanfaatkan tetapi skuad Harimau Malaya baru mendapat dua perlawanan tahun ini ketika aksi kelayakan Piala Asia 2015 peringkat kumpulan bertemu Qatar dan Yaman.

    Foto

    PERSAHABATAN Harimau Malaya dengan kelab Chonburi tak membantu ranking negara.

    Foto

    TEWAS 0-2 kepada Palestin.

    "Kami akan pastikan perkara ini tidak terjadi lagi," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditanya mengenai tindakan Rajagobal yang sering bertindak sedemikian.


    Memburukkan keadaan apabila dua aksi persahabatan berstatus A menentang Singapura tidak dapat dilangsungkan hingga skuad negara membuat keputusan memilih tiga kelab Australia untuk menggantikannya.

    Perkhabaran terbaru turut tidak menyenangkan apabila aksi berstatus A menentang India pada 10 September (terbabit dengan Piala SAFF dan kelab terikat dengan suku akhir Piala AFC) dan Uzbekistan (terbabit dalam play-off Piala Dunia menentang Jordan) pada 6 September tidak dapat diadakan seperti dirancang walaupun sudah mendapat persetujuan kedua-dua pasukan.


    Perlawanan berstatus A paling hampir adalah menentang Emiriah Arab Bersatu pada 10 Oktober.


    "Kita bukannya mahu berterusan menentang kelab namun kerana berlakunya kekangan tertentu, aksi menentang kelab terpaksa dilakukan walaupun perlawanan itu tidak menyumbang mata memperbaiki ranking dunia meskipun mereka lawan yang bagus.


    "Saya menyusun perlawanan untuk tahun depan dengan semua sembilan tarikh perlawanan kategori A berlangsung seperti sepatutnya selain aksi persahabatan pada tarikh yang bukan membabitkan kalendar FIFA. Sejak dua minggu lalu kami sudah menghantar surat tawaran kepada banyak negara dengan kebanyakannya dari Asia selain Afrika serta Eropah dan berharap mendapat jawapan positif hujung tahun ini," kata Hamidin.


    Sementara itu, pengurus skuad kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal berkata, aksi persahabatan menentang kelab akan dihentikan seketika selepas kunjungan menentang tiga kelab Jepun bermula hari ini dengan tumpuan lebih banyak diberikan kepada lawan berstatus negara seperti disarankan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah.


    "Segala perancangan hala tuju skuad kebangsaan membabitkan aksi persahabatan selepas ini akan dibincangkan Jawatankuasa Teknikal pada 1 Ogos," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

    Hanya kalah 0.27 mata

    Posted: 23 Jul 2013 12:05 PM PDT

    Kuala Lumpur: Hanya 0.27 mata memisahkan penerjun negara Pandalela Rinong dan Leong Mun Yee daripada menghadiahkan pingat perak buat negara apabila sekadar meraih gangsa dalam acara 10m platform terjun seirama di Kejohanan Dunia FINA Ke-15 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol, awal pagi semalam.

    Kesilapan pada terjunan terakhir di Kolam Perbandaran Montjuic itu menyebabkan Pandalela dan Mun Yee hanya meraih 331.14 mata, tidak dapat menidakkan penerjun Kanada, Meaghan Benfeito dan Roselin Filion daripada meraih perak selepas mengumpul 331.41 mata manakala emas seperti dijangka menjadi milik pasangan China, Chen Ruolin dan Liu Huixia yang meraih 356.28.


    Bagaimanapun pencapaian itu dianggap membanggakan selepas berusaha memberikan yang terbaik sepanjang empat terjunan awal biarpun diberi tentangan sengit penerjun Kanada dan Australia bagi perebutan tempat kedua dan ketiga ketika penerjun China tidak dapat dikejar.

    Pandelela yang sebelum itu menduduki tempat kelima acara 3m papan ajal terjun seirama ketika bergandingan dengan Cheong Jun Hoong berkata, mereka sepatutnya meraih perak namun saingan dengan penerjun Kanada terlalu sengit.


    "Harapan untuk perak memang cerah apabila kami mendahului pasangan Kanada dan Australia pada empat terjunan awal. Namun kesilapan kami pada terjunan terakhir menyebabkan pasangan Kanada memintas kami. "Namun tidak mengapa kerana yang penting kami sudah membuktikan kini kami antara tiga penerjun terbaik dunia dalam acara ini," katanya.


    Pandelela dan Mun Yee sebelum ini menghadiahkan pingat sulung mereka di Kejohanan Dunia dengan meraih gangsa acara sama pada edisi 2009 di Rome, Itali. Bagaimanapun, pada edisi 2011 di Shanghai, China, Pandelela dan Mun Yee menduduki tempat keenam.

    Pandelela yang melakarkan sejarah menjadi atlet wanita pertama menyumbangkan gangsa kepada negara pada temasya Sukan Olimpik, sekali lagi berpeluang menyumbangkan pingat apabila turun dalam acara kegemarannya, 10m platform individu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved