Ahad, 3 Februari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Mula suka-suka, kini aktif berkayuh

Posted:

Kira-kira dua tahun lalu, lapan wanita ini hanya menjadi pemerhati dan penyokong kepada suami masing-masing setiap kali pasa­ngan mereka menyertai aktiviti berbasikal di sekitar taman perumahan.

Sesekali mereka cuba mengayuh, itu pun selepas termakan ajakan suami yang mahu mereka turut serta atas alasan sekadar suka-suka.

Namun, bermula daripada suka-suka itu, ia menjadi titik tolak pembabitan mereka dalam aktiviti berbasikal ini yang dilakukan pada setiap malam Khamis dan hujung minggu di kawasan berhampiran kediaman mereka di Prima Saujana, Kajang.

Apabila minat sudah bercambah di hati, mula­lah pasangan masing-masing sanggup membelikan basikal supaya boleh bersama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan.

Foto

BERMULA daripada suka-suka, aktiviti berbasikal kini menjadi hobi tetap.


Menggelar diri mereka sebagai kumpulan diva kelab berbasikal Doc-Roc Cycling Team (DRCT), peluang berkumpul beramai-ramai melakukan aktiviti riadah yang menyihatkan membuatkan mereka berasa seronok.


Sejak itu, kumpulan diva ini tidak menoleh ke belakang lagi. Aktiviti berbasikal meredah bukit, hutan belukar, hujan atau sekadar menyusuri tepian jalan raya dijadikan aktiviti mingguan bagi mengisi masa lapang.

Lina Mohd Noor, 39, berkata, penyertaan aktiviti sedemikian membentuk disiplin dan keyakinan diri yang kuat selain mengerat­kan silaturahim bersama rakan.
Malah, ia juga mampu meningkatkan ikatan kasih sayang dan persefahaman kerana dilakukan bersama pasangan masing-masing.

"Jujurnya, saya tidak sangka berupaya melakukan aktiviti ini kerana ia seakan-akan nampak mudah, namun hakikatnya memerlukan kudrat tulang empat kerat yang cukup kuat.

"Aktiviti ini mencabar, tetapi pada masa sama menyeronokkan. Kami juga dapat membentuk sikap bekerjasama serta semangat berpasukan yang tinggi.

"Sepanjang lebih dua tahun menyertai aktiviti berbasikal ini, ia memberi pengetahuan dan kemahiran untuk mendaki bukit, menuruni curam dan pelbagai lagi teknik yang mencabar kepada saya," kata­nya.

Walaupun mereka bergelar isteri, ibu dan pekerja yang sibuk menguruskan pelbagai urusan rumah tang­ga serta pejabat, ia tidak menjadi alasan mereka tidak boleh melakukan aktiviti berkenaan yang banyak dimonopoli kaum Adam.

Biarpun ada golongan yang masih beranggapan aktiviti itu tidak sesuai untuk wanita, kebanyakan orang menganggapnya sebagai aktiviti berfaedah apatah lagi apabila ia dilakukan bersama suami.

Malah, ia boleh memberi rangsangan kepada ahli keluarga lain dan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup aktif.

Seorang lagi ahli kelab, Normarina Abdul Jabbar berkata, walaupun mereka sibuk dengan urusan rumah tangga, sempat juga meluang­kan masa kira-kira tiga jam untuk berbasikal bersama suami dan rakan setiap Rabu dan hujung minggu.

"Semua ini dilakukan selepas menguruskan hal di rumah dan pada waktu petang atau malam kami berkumpul sebelum berkonvoi ke tempat yang ingin dituju.

"Kami juga berasa lebih yakin selepas menyertai aktiviti yang boleh dikategorikan sebagai lasak ini," katanya yang pernah cedera di muka, tangan dan kaki ketika menyertai kayuhan amal mahupun jambori.

Bagaimanapun, ia bukan faktor penghalang untuk­nya terus melakukan aktiviti berbasikal.

Dia yang pernah menyertai beberapa acara berbasikal seperti jambori berkata, aktiviti sedemikian bukan saja memerlukan kekuatan fizikal dan mental, tetapi juga kemahiran dan kesabaran terutama ketika melalui kawasan mencabar.

"Sukan berbasikal sememangnya memenatkan dan memerlukan stamina yang tinggi, tetapi di sebaliknya ia mengajar kita supaya tabah dalam menghadapi cabaran.

"Walaupun kami semua wanita, kami tiada masalah menyertai aktiviti ini kerana ia turut membabitkan suami masing-masing yang banyak mengajar serta membantu," katanya.

Rakannya, Sheriza Mohd Nazir, 41, pula berkata, penyertaan wanita dalam aktiviti lasak sudah menjadi kebiasaan dan ia diterima oleh masyarakat.

Selain mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah, menyertai aktiviti itu memberi peluang kepada kami menimba pengalaman baru selain menghabiskan masa dengan suami serta rakan.

"Kami menyertai pelbagai acara berbasikal atau jambori di merata tempat antaranya di Beserah, Kluang, Alor Gajah dan Kuala Kangsar.

"Panas terik, hujan, ribut petir semuanya kami tempuh sedaya mungkin. Pernah di pertengahan jalan ada antara kami yang sudah tidak terdaya lagi dan rasa mahu mengalah, tetapi semangat berpasukan serta menyokong antara satu sama lain membuatkan kami meneruskan perjalanan," katanya yang memberitahu pada permulaan, kelab DRCT ini hanya dianggotai kaum Adam sebelum segelintir isteri ahli kelab menyertainya.

Ahli kelab paling muda, Norfadzilah Uzir Abd Wahab, 34, berkata dengan mengayuh basikal, mereka juga dapat menurunkan berat badan secara perlahan-lahan untuk menjaga kecantikan tubuh.

Pemakanan yang diambil sebelum dan selepas berbasikal amat penting bagi memastikan kecergasan mereka berada di tahap memuaskan supaya tidak mengah mahupun 'pancit' ketika menunggang basikal lebih-lebih lagi apabila perlu mendaki bukit.

Selalunya, sebelum menyer­tai sesuatu acara atau jambori, mereka mempergiatkan latihan dengan mengayuh lebih kerap seperti tiga kali seminggu.

Makanan diambil pula lebih kepada makanan kurang berminyak seperti sup atau makanan berasaskan rebusan. Majalah kecergasan turut dijadikan panduan dalam pemilihan diet seharian mereka.

Contohnya, untuk bekalan tenaga sewaktu acara, mereka akan bawa buah kurma dan coklat yang boleh dimakan di setiap perhentian.

Bagi mereka yang mempu­nyai masalah kewangan untuk menjadi ahli di kelab kecergasan atau gimnasium, aktiviti berbasikal seperti ini boleh dijadikan pilihan kerana selain murah, ia juga berkesan, menyeronokkan dan mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan sekiranya dilakukan secara beramai-ramai bersama keluarga dan sahabat-handai.

Antara kelebihan berbasikal adalah mampu men­stabilkan keseluruhan otot tubuh terutama di bahagian pinggul dan bahu, mengurangkan risiko penyakit, menurunkan kadar kolesterol dalam badan, menguat­kan tulang dan merehatkan minda.

Berbasikal senaman yang sesuai bagi semua peringkat umur dan latar belakang. Tidak seperti tanggapan umum, berbasikal bukan hanya tertumpu pada bahagian kaki kerana ia turut membabitkan aktiviti kardio dan pernafasan yang menguatkan badan.

Tidak cukup dengan itu, aktiviti ini juga membantu daya ketahanan jantung dan saluran darah dengan menga­lirkan darah yang tinggi kandungan oksigen ke seluruh badan sambil membakar lemak badan serta mengurangkan selulit.

Secara tidak langsung, ia menggalakkan jantung menjadi lebih cekap, memperbaiki sistem pernafasan dan aliran darah dengan menguatkan otot jantung.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Usah mengalah untuk hidup

Posted:

Tanyalah pada sesiapa saja, pengesahan doktor mengatakan mereka menghidap kanser adalah satu hakikat yang amat sukar diterima. Sehingga kini kanser masih menjadi penyakit yang sangat digeruni walaupun ia tidaklah jauh berbeza dengan penyakit kronik lain. Mungkin stigma yang mengatakan kanser sebagai pembawa maut membuatkan ia dikategorikan sebagai pe–nyakit yang mengerikan.

Pakar perubatan mengatakan, kedudukan kanser sebenarnya sama dengan penyakit kronik lain seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, pe–nyakit jantung, sakit buah pinggang dan strok.

Semuanya boleh me–nyebabkan kematian jika tidak dirawat dan dikawal, tetapi mungkin sifat kanser yang boleh merebak menjadikan semangat kita melayang tatkala mendengar pengesahan kewujudannya dalam badan.

Memang bukan mudah untuk menerima hakikat kita menghidap kanser. Kebanyakan orang boleh menerima berita disahkan menghidap kencing manis atau tekanan darah tinggi dengan tenang. Tetapi untuk kanser lain ceritanya. Walaupun sudah berulang kali diberitahu bahawa kanser boleh dirawat, masih ramai menganggap kedatangan penyakit ini menandakan hidup mereka bakal berakhir.


Ini antara anggapan kurang tepat yang masih kuat bertapak dalam ma–syarakat, bukan di negara kita saja bahkan di seluruh dunia. Berita pengesahan kanser tidak kira apa jenisnya didapati boleh membuatkan pesakit menjadi sangat sedih, bimbang, murung, menyalahkan diri sendiri sehingga ada yang hilang semangat meneruskan hidup.


Dalam Perhimpunan Organisasi Pencegahan Kanser Asia Pasifik ke-6 (APOCP), Dr Wendy Lam daripada Pusat Latihan dan Penyelidikan Psiko-Onkologi, Pusat Pengajian Kesihatan Awam Universiti Hong Kong memberitahu, sehingga 55 peratus wanita Barat yang menetap di pulau itu mengalami gejala kemurungan apabila disahkan menghidap kanser payudara. Lebih 50 peratus wanita Cina Hong Kong pula mengalami kemurungan berpanja–ngan sebaik mengetahui menghidap penyakit itu.

Sebaik disahkan menghidap kanser, biasanya perbincangan lebih tertumpu pada soal rawatan (perubatan) sedangkan kesan psikologi yang dialami pesakit menuntut perhatian yang sama. Antara kesan psikologi yang biasa dialami pesakit kanser ialah rasa bimbang, sedih, murung, marah, terkejut, sering menangis, keliru dan mula mengasingkan diri.

Kesan psikologi ini lebih hebat dirasai pada pesakit:

  • Wanita
  • Masih muda (khususnya di bawah umur 21 tahun)
  • Tidak berkahwin, bercerai atau berpisah dengan pasangan
  • Tinggal sendirian
  • Kurang sokongan sosial
  • Mempunyai masalah kewangan

    Oleh kerana ia biasa berlaku, kadangkala pakar perubatan terlepas pandang isu psikologi ini. Isu ini perlu diberikan perhatian serius supaya pesakit dan keluarga sama-sama dapat mengharungi saat getir sepanjang menjalani rawatan.

    Selain itu, stigma masyarakat juga menjadikan kanser sebagai penyakit yang sangat membimbang–kan. Masyarakat di negara maju pun ada yang mempunyai tanggapan negatif terhadap pesakit kanser.

    Prof Suzanne Chambers daripada Institut Kesihatan Griffith, Universiti Griffith, Australia berkata, ada sesetengah masyarakat di negara itu melabelkan pesakit kanser sebagai orang yang hilang kemampuan dan berikutan itu, berlakulah masalah diskriminasi.

    Secara global, 25 peratus masyarakat dunia percaya pesakit bertanggungjawab terhadap penyakit (kanser) yang dihidapi. Mereka menganggap perlakuan seseorang individu itu menyebabkan mereka mendapat kanser. Contohnya kanser paru-paru disebabkan tabiat merokok.

    "Ada bekas pesakit kanser memberitahu penduduk di tempat tinggalnya berhenti datang ke rumahnya. Ramai bimbang jika di rumahnya terutama di tandas, ada saki baki bahan kimia (ubat kanser) yang menyebabkan mereka boleh dijangkiti kanser.

    "Akibatnya, mereka bukan saja berhenti berkunjung ke rumahnya malah tidak lagi bertanya khabar. Keadaan ini menyebabkan bekas pesakit kanser tertekan kerana diasingkan dan wujudnya unsur diskrimi–nasi," katanya.

    Seorang doktor di India memberitahu, kanser bukan sekadar penyakit tetapi ia pemusnah keluarga. Pada ketika pesakit sudah sembuh, keluarganya sudahpun kucar-kacir (kerana pelbagai isu berkaitan kanser termasuklah stigma dan kos rawatan) menyebabkan pesakit berasa lebih baik mereka mati.

    Isu psikologi ini tidak hanya berlaku pada pesakit dewasa saja kerana kesan yang dihadapi pesakit kanser kanak-kanak lebih ketara. Pesakit kanak-kanak bergelut dengan persoalan seperti:

  • Bagaimana hendak saya beritahu orang bahawa saya bekas pesakit kanser?
  • Apa pandangan orang pada saya apabila mengetahuinya?
  • Adakah rakan sebaya masih mahu berkawan dengan saya?
  • Apakah ada yang sudi menjadi teman istimewa saya?
  • Adakah ibu bapa saya percaya saya boleh berdikari dan menjadi individu normal?
  • Adakah saya boleh mengadakan hubungan seks kelak?
  • Adakah saya berpeluang mempunyai anak kelak?

    Selain itu, pesakit kanak-kanak turut menghadapi masalah keyakinan diri terutama jika mereka mengalami kesan sampingan akibat kanser yang terpaksa ditanggung seumur hidup. Contohnya, pesakit kanser tulang yang terpaksa dipotong kakinya bagi menyelamatkan nyawa atau kehilangan sebelah mata akibat kanser mata.

    Kurang keyakinan diri inilah yang akan memberi kesan lebih besar kepada kualiti hidup mereka kelak. Bahkan ia menjadi penghalang untuk mencapai impian masa depan pesakit.

    Itu belum masuk soal pendidikan kerana pesakit kanak-kanak kerap tidak hadir ke sekolah, tidak dapat mengikuti pelajaran, sering berasa letih (kesan rawatan), ada masalah untuk belajar (termasuk tidak dapat menulis dan me–ngeja dengan baik, sukar memahami konsep dan fakta matematik, susunan, mempunyai masalah pendengaran, kurang tumpuan, sukar mengingat dan kurang kemahiran merancang serta mengurus).

    Perbaiki kualiti hidup

    Apa yang ditulis di atas adalah serpihan kecil daripada isu yang dihadapi pesakit kanser. Kanser tidak kira apa jenisnya ialah penyakit yang disebabkan kewujudan sel tidak normal. Ia membesar (bilangan sel bertambah banyak) dan boleh melumpuhkan fungsi sel yang sihat. Apa yang membezakan kanser ialah kedudukannya sama ada di kulit, mata, hati, paru-paru, prostat, usus atau mana-mana organ.

    Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia yang diraikan pada setiap 4 Februari, marilah kita bersama-sama mengetepikan pendapat yang mengatakan kanser membunuh kehidupan. Memang diakui kanser memberi kesan besar kepada kehidupan pesakit dan keluarga tetapi mereka masih boleh menikmati hidup yang berkualiti.

    Selain mendapat rawatan awal dan betul, isu psikologi pesakit dan keluarganya perlu diberikan perhatian. Jika anda ialah pesakit, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menerima hakikat ini dengan hati dan fikiran terbuka. Memang bukan mudah, tetapi berusahalah dan percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

    Penerimaan ini akan menjadikan anda seorang individu yang lebih kuat semangat dan ia secara tidak langsung memberi kesan positif pada badan. Ramai pakar mengatakan pesakit yang bersikap dan berfikiran positif menunjukkan tindak balas lebih baik terhadap rawatan.

    Antara perkara lain yang boleh diamalkan untuk meningkatkan kualiti hidup:

    Bersenam atau melakukan aktiviti fizikal

    Memasukkan aktiviti fizikal ke dalam rutin hidup bukanlah satu perkara yang sukar. Hidup anda boleh menjadi lebih aktif dengan melakukan perkara kecil seperti kerap menggunakan tangga ketika berada di tempat kerja. Letakkan kenderaan jauh sedikit dari destinasi kita supaya kita boleh berjalan. Walaupun ada sesetengah orang tidak menganggapnya sebagai satu senaman, kebanyakan pakar kesihatan berkata, ia akan memberi kesan positif.

    Bagi pesakit kanser, sebaiknya berbincanglah dengan doktor jika anda mahu menyertai sebarang program senaman. Namun aktiviti fizikal yang ringan dan lazim seperti berjalan, berjoging, menari, berenang dan pelbagai senaman kardio lain pada tahap sederhana boleh dilakukan. Seperti individu sihat yang lain, pesakit kanser juga disaran bersenam walaupun hanya beberapa minit setiap hari. Kalau dapat bersenam 30 minit sehari, lima hari seminggu, tentulah lebih baik.
    Bagaimanapun, selaraskan jenis senaman dengan keadaan kesihatan anda.

    Senaman sangat bermanfaat kepada pesakit kanser kerana ia membantu:

  • Meningkatkan kekuatan dan ketahanan badan. Ini termasuklah menguatkan otot dan tulang.
  • Mengurangkan risiko mengalami kemurungan.
  • Mengurangkan rasa bimbang.
  • Mengurangkan keletihan.
  • Memperbaiki emosi.
  • Membantu meningkatkan keyakinan diri.
  • Mendekatkan diri dengan agama atau meditasi.

    Ia cara yang baik untuk menenangkan fikiran. Menurut salah seorang pesakit kanser yang pernah penulis temui, Dr Abdul Razak Muhammad, pakar ortopedik yang menghidap leukemia mieloid kronik (CML), sepanjang tempoh berada di wad, dia mengisi masanya membaca al-Quran dan kaedah itu bukan saja menenangkan hatinya, malah menguatkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

    Menikmati hidup

    Lakukan aktiviti yang anda gemari atau memulakan hobi baru. Tidak kira apa aktiviti yang anda pilih, sebaiknya ia turut membabitkan ahli keluarga. Jadikan penyakit anda sebagai titik mula untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga dan dengan cara ini anda boleh mencipta kenangan manis bersama.

    Kenal pasti keperluan pesakit

    Jika pesakit ialah kanak-kanak, keperluannya mungkin lebih menjurus kepada soal pendidikan. Jadi ibu bapa, ahli keluarga atau guru boleh merekodkan pengajaran guru di dalam kelas supaya boleh didengar atau ditonton kemudian.

    Beri dorongan

    supaya pesakit tidak cepat berputus asa. Anda mungkin boleh menjemput kawannya datang ke rumah supaya anak anda dapat berkongsi pengalaman dan bercerita mengenai penyakitnya. Ia secara tidak langsung dapat merungkai persoalan yang disenarai di atas. Kurang–kan kekurangan fizikalnya contohnya dengan membelikan kaki atau mata palsu untuk membantu meningkatkan keyakinan dirinya.

    Minta kerjasama pihak sekolah (guru)

    Kanak-kanak yang bentuk fizikalnya 'kurang normal' ada kebarangkalian yang tinggi diejek dan dibuli rakan sekolah. Jadi minta kerjasama guru untuk memberi kesedaran mengenai penyakit dan mengelakkan pesakit dibuli. Pengetahuan mengenai sesuatu penyakit akan membuatkan kanak-kanak lebih menghormati perasaan kawan yang sakit.

    Minta nasihat doktor untuk mengekalkan kesuburan pesakit

    Menurut pakar kesuburan, Datuk Dr Prashant Nadkarni, ramai doktor dan ibu bapa terlepas pandang isu kesuburan pesakit muda sedangkan ia satu aspek penting. Di negara kita, ada 28 makmal yang boleh menyimpan sperma, embrio dan telur pesakit. Ini kerana rawatan kanser sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kesuburan seseorang.

    Bagi pesakit lelaki contohnya, mereka boleh menyimpan sperma sebelum menjalani rawatan. Walaupun kualiti sperma mereka kurang baik, ada teknik moden yang boleh membantu mereka mempunyai anak apabila sampai masanya kelak. Kualiti sperma yang disimpan akan kekal.

    Bagaimanapun, keadaan berbeza dengan telur daripada pesakit perempuan kerana kualitinya akan merosot sedikit.

    Dapatkan bantuan kumpulan sokongan

    Kumpulan soko–ngan amat penting untuk membantu anda dan keluarga mengharungi tempoh getir ini. Berkongsi pengalaman, pengetahuan dan idea, anda boleh meningkat–kan kualiti hidup pesakit dan ahli keluarga lain. Di sinilah anda akan mendengar banyak idea yang boleh dijadikan panduan. Jangan malu kerana semua orang dalam kumpulan sokongan ini mahu setiap anggotanya hidup bahagia.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04
  • Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Pukul, tetak sampai mati

    Posted:

    Alor Setar: "Saya terkejut mendapat berita anak saya mati kena tetak. Baru dua minggu lalu saya menghubunginya dan dia kelihatan seperti biasa dan ceria," kata Wan Mahmud, 69, ibu kepada Mohammad Najib Bakar, 37, yang maut ditetak dalam pergaduhan berhampiran tanah perkuburan Hindu di Lorong Sharif, Jalan Langgar, di sini, malam kelmarin.

    Dalam kejadian jam 7.29 malam, mangsa dikatakan dipukul dan ditetak di belakang kepala, leher dan kedua-dua kakinya oleh sekumpulan lelaki di kawasan itu.


    Difahamkan, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, kerana cedera parah.

    Wan berkata, dia terkejut apabila polis memaklumkan kejadian itu kerana anaknya tidak menunjukkan perubahan sikap, malah kelihatan seperti biasa dan sangat ceria.


    "Arwah memang anak yang bertanggungjawab, bermurah hati serta selalu menghormati orang tua. Saya tak sangka arwah mempunyai musuh sehingga mereka sanggup memukul dia sehingga mati.


    "Perbuatan itu sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup memukul anak saya dengan teruk. Kalaulah dia ada buat salah, takkan sampai nak membunuh," katanya yang ditemui di rumahnya di Flet Tongkang Yard, di sini, semalam.

    Foto

    NAIB Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun, (kiri) melawat ibu mangsa, Wan (kanan) atas kematian anaknya.

    Menurutnya, dia tidak menemui arwah sejak sebulan lalu kerana pergi ke rumah anak perempuannya yang baru melahirkan cucunya di Kota Sarang Semut, di sini.


    "Arwah anak keenam daripada tujuh beradik tinggal bersama saya di Tongkang Yard sejak beberapa tahun lalu. Arwah belum berkahwin dan hanya membuat kerja kampung jika ada yang meminta pertolongannya seperti menebang pokok dan membina rumah di kawasan ini," katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


    Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian seorang lelaki dipukul dan ditetak berhampiran perkuburan Hindu di Lorong Sharif, Jalan Langgar, di sini.


    "Berdasarkan maklumat itu, anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa rebah dalam keadaan cedera parah.


    "Kami menghubungi ambulans dan membawa mangsa ke HSB. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.


    "Mangsa cedera parah akibat tetakan di belakang kepala, leher serta kaki kiri dan kanan," katanya.


    Adzaman berkata, semakan rekod mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau dan terbabit dalam dua kes narkotik pada 2007 dan 2008.


    "Polis masih menjalankan siasatan mengenai punca pergaduhan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Suami tak bantah pakej urut batin

    Posted:

    Kuala Lumpur: Asalkan boleh dapat wang, suami tidak kisah isteri melakukan urut 'geli-geli' dengan pelanggan, termasuk urutan badan ke badan (B2B). Yang penting, tidak sampai melakukan hubungan seks.

    Itu perjanjian lisan antara pasangan songsang terbabit bagi menambah pendapatan keluarga, apatah lagi si isteri hanya suri rumah manakala suami tiada pendapatan tetap.

    Namun di belakang suami, sebenarnya ada antara wanita berkenaan terlanjur ke bilik tidur pelanggan apabila menawarkan khidmat urutan di rumah kenalan rapat.

    Itu antara pengakuan suri rumah yang sanggup mencari nafkah dengan melakukan urut berahi terhadap pelanggan dengan kebenaran suami semata-mata untuk mendapatkan pulangan lumayan.

    Foto

    ANAK lelaki sedang menunggu ibunya mengurut pelanggan.

    Foto

    ANAK perempuan pula sedang bermain komputer sambil menunggu ibunya mengurut.


    Aktiviti tidak bermoral itu dikesan Metro Ahad melalui perkenalan dengan seorang wanita dikenali sebagai Suraya, 40, melalui sebuah laman web sosial, baru-baru ini.

    Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

    Bujang Taniku masuk perangkap

    Posted:

    Mir: Selepas hampir dua minggu diburu, akhirnya buaya digelar 'Bujang Taniku' yang dipercayai membaham seorang lelaki warga Indonesia pertengahan bulan lalu, berjaya diperangkap dengan umpan ayam dipasang Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di anak sungai Ladang Taniku, Permyjaya, di sini, semalam.

    Buaya jantan sepanjang 4.66 meter ditangkap kakitangan SFC pada jam 8 pagi dibantu sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selepas menerima maklumat pekerja ladang kelapa sawit yang ternampak kelibat buaya itu timbul bersama pelampung pada umpan dipasang.

    Anggota JPAM bersama kakitangan SFC mengambil masa empat jam sebelum buaya seberat lebih 500 kilogram itu berjaya diangkat ke tebing sungai dan dihantar ke Pusat Penjagaan Haiwan Liar di bawah kelolaan SFC.

    Pekerja ladang, Asbar Zainuddin, 24, berkata, ketika berjalan di tebing sungai itu, dia pelik melihat ada pelampung timbul bergerak melawan arus.

    Foto

    ANGGOTA JPAM dan pekerja SFC mengangkat Bujang Taniku ke tebing sungai.


    Katanya, mengesyaki sesuatu yang tidak kena, dia menghampiri tebing sungai dan terkejut melihat seekor buaya melibas ekornya.

    Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Ular jaga anak

    Posted:

    Dongguan: Seorang bapa menemui penjaga sempurna untuk anaknya, seekor ular sawa.

    Chan Liu meninggalkan anaknya, Azhe, 13, bersendirian dengan ular seberat 100 kilogram itu di kediamannya di Dongguan, selatan China.

    Ular itu tidak disimpan dalam kandang. Malah Azhe mengejutkan penduduk tempatan dengan sering mengucup dan memeluk ular sepanjang 4.6 meter itu.

    "Dia begitu berhati-hati dengan saya. Tidak pernah dia membelit saya dengan kuat," kata Azhe.

    Foto

    AZHE bersama 'penjaganya' di bilik tidur.

    Foto

    Kanak-kanak itu mencium ular sawa yang enam tahun lebih tua daripadanya.


    Dia dilahirkan enam tahun selepas bapanya membawa pulang sebiji telur ular sawa dan menetaskannya.


    Chan berkata: "Saya sentiasa beranggapan ular adalah haiwan paling cantik dan saya ingin melihat apa yang akan terjadi apabila anak saya dilahirkan.

    "Selepas yakin ular itu tidak akan mencederakannya, kami mula meninggalkan mereka bersama bersendirian. Mereka kini tidak boleh berpisah."

    Akhirnya, keluarga itu mula menganggap ular sawa Burma itu sebagai penjaga anak mereka.

    "Saya tidak fikir penculik berani untuk bergelut dengannya," kata Chan. - Daily Mail

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

    Itu bukan isteri saya!

    Posted:

    Capetown: Seorang suami terkejut semalam apabila membuka keranda di majlis pengebumian isterinya di sebuah gereja dan mendapati mayat orang lain di dalamnya.

    Keluarga Galant mengatur majlis itu untuk Magdalene Galant, 58, yang mati pada 26 Januari lalu akibat serangan sakit jantung.


    Kematiannya bertukar menjadi tragedi berganda apabila pengurusan rumah mayat menghantar mayat lain dan berkeras menyatakan ia mayat Magdalene.

    Si suami, Michael Galant berkata, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila membuka keranda itu.


    "Kebimbangan saya menjadi kenyataan apabila semua yang hadir juga terkejut.


    "Anak saya mendekati saya dan berkata, 'Itu bukan emak.' Saya tahu ini kesilapan besar," kata Galant. Keluarga itu kemudian berkata, mereka bertanya mengenai kesilapan itu kepada pekerja rumah mayat.

    Anak Galant, Leota Lakay berkata, pekerja terbabit tidak dapat menjelaskan bagaimana mayat itu boleh tertukar.


    "Mereka mulanya bertegas berkata, itu ibu saya. Saya memberitahu mereka, saya kenal ibu saya.

    "Mereka kemudian mengaku silap, menarik laci yang salah di rumah mayat," kata Leota.


    Keluarga itu berkata, mereka cuba menghentikan majlis berkenaan tetapi pekerja berkenaan meyakinkan mereka supaya meneruskannya.


    Orang semakin ramai datang untuk memberi penghormatan terakhir tetapi berita kemudian tersebar bahawa mayat di dalam keranda itu bukan Magdalene.


    "Kami sungguh trauma. Kami hanya mahu memberi penghormatan terakhir kepada isteri saya. Tetapi ini yang berlaku," kata Galant.


    Selepas majlis itu, pekerja membawa keluarga itu ke rumah mayat.


    "Apabila tiba, mereka menunjukkan kepada kami mayat Magdalene masih ada di situ dan mereka menghantar mayat orang lain untuk kami kebumi," katanya. - Daily Mail

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Nazmi, ejen bermain teka-teki

    Posted:

    Kuala Lumpur: Status kepulangan mengejut Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia masih mencetuskan tanda tanya walaupun pemain berbakat berusia 19 tahun itu seboleh-bolehnya cuba meyakinkan pihak media menerusi sidang akhbar semalam bahawa dia sendiri mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air.

    "Saya sendiri membuat keputusan ini dan saya juga yang memilih untuk menyertai PKNS FC.


    "(SC) Beira Mar dan saya sudah mencapai persetujuan bersama, iaitu mereka melepaskan saya.

    "Jadi khabar angin yang menyatakan saya dipinjamkan ke kelab ini selama enam bulan dan akan kembali semula ke Beira Mar, tidak benar. Saya sudah bebas sepenuhnya daripada Beira Mar dan tak akan kembali ke sana," katanya pada sidang media memperkenalkannya sebagai pemain baru PKNS FC, semalam.


    Namun di sebalik jawapannya itu, Nazmi seolah-olah membuat kenyataan yang bercanggah apabila menegaskan keputusan untuk pulang ke Malaysia dibuat dalam tempoh yang begitu singkat.


    "Keputusan yang dibuat ini memang tidak dijangkakan, keputusan yang saya buat secara mengejut.

    "Apapun, saya fikir keputusan ini terbaik untuk saya. Tiada desakan mana-mana pihak," katanya yang sering diganggu ejennya, Marco Guimaraes apabila pihak media bertanyakan soalan 'panas'.


    Malah Guimaraes sendiri gagal memberikan jawapan meyakinkan ketika ditanya mengenai kepulangan Nazmi ke Malaysia.

    "Saya rasa kami dijemput ke sini untuk memperkatakan mengenai kelab baru Nazmi, iaitu PKNS dan bukannya Beira Mar, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) atau sebagainya," katanya.


    Ditanya adakah FAM dimaklumkan mengenai kepulangan Nazmi, Guimaraes sekadar berkata: "Kenapa perlu babitkan FAM?" Sementara itu, Presiden PKNS FC, Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, Nazmi sudah mengikat kontrak tiga tahun bersama pasukan yang beraksi di Liga Super itu dengan membabitkan sejumlah yuran perpindahan yang enggan didedahkan.


    "Untuk dapatkan Nazmi bukan sesuatu yang dirancang. Kami didatangi ejennya yang menyatakan kontrak Nazmi dengan Beira Mar sudah tidak ada lagi.


    "Bermakna Nazmi bebas untuk bermain dengan mana-mana kelab. Dia diberi pilihan dan PKNS menjadi pilihan utama Nazmi," katanya.


    Noor Hisham berkata, pihaknya akan bertemu dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) esok bagi membincangkan mengenai kepulangan Nazmi serta berharap FAM dapat memberi lampu hijau untuk pemain tengah itu beraksi dengan kadar segera.


    Jika mengikut peraturan, Nazmi hanya boleh dibenarkan bermain ketika jendela perpindahan pemain kedua yang akan dibuka pada April.


    Arena Metro semalam melaporkan penjelasan bapa Nazmi, Mansor Mustapha yang tidak mahu kepulangan anaknya itu disalahertikan, sebaliknya menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang baik bagi meneruskan karier Nazmi.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

    'Isu Nazmi tutup peluang pemain lain'

    Posted:

    Brisbane, Australia: Ibarat tikam dari belakang. Itulah perumpamaan tepat yang membayangi kepulangan Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia selepas berkelana di Portugal selama tujuh bulan.

    Pemain SC Beira Mar itu yang pada awalnya mengikat kontrak tiga tahun bersama SC Beira Mar, kembali beraksi dalam kancah bola sepak tempatan apabila tidak sampai setahun berada di kelab divisyen satu itu dan mengikat kontrak bersama pasukan berstatus kelab, PKNS FC.


    Malah tindakan 'pelik' terbabit langsung tidak ketahui pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersusah payah membuka ruang untuknya mengembangkan bakatnya di Eropah.

    Justeru, apa berlaku kepada Nazmi itu memberikan pengajaran cukup berguna yang jelas amat pahit untuk ditelan, namun ia bukan bermakna perancangan untuk menghantar pemain Harimau Muda yang lain beraksi di luar negara, terbantut.


    "Cuma kita perlu berhati-hati apabila mengadakan perbincangan dengan ejen yang lebih jujur. Saya berharap perkara sama tidak menimpa Ahmad Fakri Saarani dan dia dapat meneruskan kariernya di tahap lebih tinggi," katanya.


    Pemergian Nazmi Faiz ke Portugal diuruskan Marco Guimaraes yang turut bertindak sebagai ejen Ahmad Fakri yang kini beraksi bersama kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC dengan kontrak enam bulan.

    Kepulangan perancang tengah itu dilihat 'membunuh bola sepak negara' kerana Nazmi dianggap sebagai seorang pemain berbakat dan dilihat mampu membawa perubahan dan peningkatan kepada skuad negara, terutamanya menjelang misi mempertahankan emas Sukan Sea penghujung tahun ini.


    Perancangan saya untuk Sukan Sea tidak berubah dengan dia perlu membuktikan kemampuannya untuk tersenarai," katanya yang mempunyai bilangan pemain muda yang tidak terhad untuk mengemudi bahagian tengah.

    Tindakan Nazmi Faiz itu dikatakan menyebabkan peluang Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Zakaria ke Jepun untuk bersama kelab FC Ryukyu turut terkena tempias.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved