Ahad, 12 Mei 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Umur bukan penghalang

Posted: 12 May 2013 08:12 AM PDT

Azam menurun­kan berat badan membuatkan Goh Kim Hong, 50, mula aktif dalam larian maraton apabila berasa tubuhnya tidak menarik lagi sebaik melahirkan anak keduanya 15 tahun lalu.

Biarpun pada mula­nya, hasrat berlari bukan disebabkan minat namun selepas aktif menyertai larian, ibu kepada dua cahaya mata itu jatuh hati pada aktiviti berkenaan dan sudah menyertai puluhan larian marathon bukan saja di dalam negara, malah di luar negara.

Menurut Goh, lebih me­nguatkan azamnya ketika baru melahirkan anak, dia berpindah ke Jakarta, Indonesia dan rata-rata wanita di sana mempunyai tubuh yang langsing dan kelihatan menawan.

Malah, setiap kali dia berjalan di pusat beli-belah di negara terbabit, hanya wanita ramping yang jelita saja menghiasi dada iklan, membuatkan hatinya terdetik ingin menjadi cantik seperti mereka.

Foto

ZALEKHA gemar berlari bersama keluarga dan rakan.

Foto

GOH banyak sertai larian maraton dalam dan luar negara.

Foto

NISHREEN turunkan 12kg dalam empat bulan.

Foto

GOH, Nishreen dan Zalekha sukakan cabaran.


"Selepas melahirkan anak, badan saya agak gempal. Ini membuatkan saya mahu menguruskan badan demi menjaga kesihatan serta mahu nampak menarik supaya mudah menggayakan sebarang pakaian.


"Apabila berat badan meningkat, banyak baju yang tidak muat sehingga saya berasa sedih. Tapi apabila mula berlari, sedikit demi sedikit, berat badan saya turun dan keyakinan saya juga bertambah apabila boleh bergaya dengan pelbagai fesyen," katanya.

Lebih membanggakan, hasil kerja keras berlatih selain menjaga pemakanan untuk melayakkan dirinya menyertai larian maraton, Goh berjaya menurunkan 12 kilogram hanya dalam tempoh empat bulan.

Usahanya tidak sia-sia kerana dia sering mendapat tempat empat teratas dalam larian maraton yang disertai, termasuk ketika me­nyertai acara bersejarah Maraton Boston.

Goh berkata, sebagai persediaan menyertai maraton, dua tahun pertama ketika dia baru berjinak-jinak dalam larian, wanita tegar itu berlatih berlari setiap hari selama dua tahun bagi membina stamina ke tahap terbaik.

Biarpun sudah berusia, dia membuktikan umur bukan penghalang atau boleh melemahkan seseorang apabila mendapat tempat ketiga dengan catatan masa empat jam tujuh minit bagi kategori usianya pada Maraton Bali tahun lalu.

"Pencapaian saya sebenarnya semakin baik berbanding dulu kerana selain stamina, saya juga mempu­nyai teknik larian mengikut rentak sendiri. Umur bukan menjadi penghalang, malah ia menjadikan saya lebih baik," katanya.

Minat mendalam dalam larian maraton mendorong Goh menguji kekuatan diri­nya apabila pernah menyertai tiga maraton dalam tempoh tiga minggu di tiga benua pada 2008.

Dia sanggup merentas benua dan masa dengan menyertai Maraton London, Maraton Boston dan Maraton Rotorua di New Zealand dalam tempoh tiga minggu berkenaan. Malah, dia turut berjaya menamatkan ketiga-tiga maraton itu dalam tempoh tiga jam 32 minit hingga tiga jam 42 minit.

"Sebagai persediaan bagi menyertai maraton ini, saya berlari setiap selang seming­gu bagi membentuk stamina diri. Dua minggu sebelum menyertai mana-mana larian maraton, saya menukar diet saya dengan mengambil makanan daripada jenis karbohidrat kompleks.

"Saya lebih banyak makan keledek manis, nasi kurang kanji, gandum dan mengelakkan makanan pedas serta daging. Saya juga mengambil banyak garam kerana apabila berlatih berlari selama enam hari seminggu, tubuh me­ngeluarkan banyak peluh," katanya.

Menurut Goh, setiap pelari mempunyai tempoh stamina dan apabila tiba satu bahagian, selalunya pada separuh larian atau 35km, mereka berasa letih atau tidak mampu lagi meneruskan larian.

Ketika inilah kekuatan mental memainkan peranan penting bagi membantu tubuh untuk meneruskan larian biarpun secara fizikal, mereka kehabisan tenaga sehingga seolah-olah perlu berhenti.

"Selepas sampai satu tahap, semua karbohidrat yang menjadi sumber tenaga sudah habis digunakan kerana badan hanya boleh simpan untuk 32km dan kita perlu meneruskan larian de­ngan menguatkan semangat meng­gunakan mental semata-mata.

"Selalunya saya membekalkan diri dengan air atau gel yang sering digunakan pelari sebagai tenaga. Inilah cabaran peribadi buat saya, kita kena sentiasa berfikiran positif kerana apabila berada di hujung larian, ia menjadi bahagian paling mencabar buat semua pelari," katanya.

Bagi meneruskan larian hingga ke garisan penamat, dia selalunya membayangkan anak-anaknya menung­gunya di situ dan betapa gembiranya mereka sekiranya dia dapat menamat­kan larian dengan baik.

Keinginan untuk membuatkan anaknya bangga dengan kejayaan dirinya, banyak membantunya meneruskan larian seterusnya sampai ke garisan penamat dengan catatan masa yang baik.

Malah, dia menggunakan pendekatan psikologi bagi membina semangat larian­nya. Antaranya setiap malam sebelum tidur, dia melihat majalah yang memaparkan wanita ramping dan sihat sebagai pembakar keinginan untuk terus maju.

Nasihatnya kepada mereka yang baru berjinak dengan larian maraton supaya jangan terlalu mendesak diri untuk menang, sebaliknya berlari perlahan dengan tenang dan menikmati suasana larian terlebih dulu, sebelum menjadi lebih agresif pada larian seterusnya.

Namun, kecederaan lutut hingga menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan pada 2009, membuatkan dia berehat sebentar selama dua tahun daripada menyertai sebarang larian maraton.

Ketika ini, dia mula aktif semula secara perlahan-lahan apabila menyertai larian Great Wall of China pada 1 Mei lalu dan terbaru bakal menyertai Maraton KL Standard Chartered 2013 pada 30 Jun ini di Dataran Merdeka.

Penghilang tekanan

Pengajar teknologi kreatif, Zalekha Yazid, 31, pula me­nyertai larian maraton secara suka-suka memandangkan ia satu aktiviti yang digemari arwah ayahnya, selain menjadi aktiviti bersama rakan dan keluarga.

Ketika baru menamatkan pengajian di universiti pada 2006, Zalekha mengambil keputusan menyertai larian maraton apabila berasa bosan duduk di rumah tanpa mempunyai sebarang aktiviti.

Memandangkan larian hanya aktiviti mengisi masa lapangnya, wanita muda itu mengajak rakan dan adik-beradiknya mengikut sekali bagi mendapatkan suasana ceria dan tidak terlalu serius.

Bagaimanapun, dia tidak mengambil mudah dan tetap melakukan persediaan setiap kali menyertai larian dengan berlari di sekitar kawasan rumah bagi membina stamina.

Hari minggu juga tidak terkecuali dan dia sanggup bangun seawal jam 5 pagi pada hari cuti semata-mata untuk berlatih berlari bersama rakan.

"Saya berlatih setiap hari dan tabiat itu berterusan sehingga hari ini. Setiap hari selepas kerja, saya berlari sejauh lima kilometer di kawasan rumah, kadangkala seorang diri atau dengan rakan.

"Sekarang, sudah empat bulan saya berlatih berlari sejauh 15km setiap hujung minggu kerana mahu membina stamina lebih baik bagi mendapatkan catatan masa terbaik.

"Sebenarnya saya suka mencuba perkara baru dan apabila sudah mula mencuba, saya tertarik untuk meneruskan larian biarpun tidaklah mengharapkan tempat teratas. Saya cuma mahu menghabiskan larian dalam catatan lebih baik berbanding sebelumnya.

"Selalunya saya menyertai larian sejauh 21km dan pernah juga memasuki maraton penuh iaitu 42km. Malah saya seperti tidak percaya apabila berjaya menamatkan larian sejauh 42km," katanya.

Zalekha yang aktif menyertai maraton setiap tahun berkata, ketika berlari dia membawa sekali air kosong supaya dia dapat meneruskan larian dengan baik sehingga ke garisan penamat.

Katanya, selain minat, dia turut menjadikan larian maraton sebagai tempat untuk menghilangkan tekanan harian selepas penat bekerja, apatah lagi ia boleh membuatkan tubuhnya lebih sihat dan bertenaga.

Zalekha yang dibesarkan di Sabah dan Sarawak juga sudah terbiasa dengan aktiviti lasak kerana arwah ayahnya seorang yang sukakan aktiviti luar dan sering membawanya bersama untuk berkhemah dan melakukan cabaran ekstrem.

Katanya, sebaik menyertai larian berkenaan, gaya hidupnya secara automatik berubah dan dia bukan saja banyak bersenam, malah menjaga pengambilan pemakanan sihat kerana mahu menjaga stamina diri.

"Setiap kali sebelum menyertai maraton, saya tidak minum kopi tetapi memperbanyakkan pe­ngambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan nasi. Saya juga mengamalkan minum air kosong dengan banyak.

"Ketika berlari pula, apabila sudah terlalu letih, saya menjadikan orang sekeliling yang menjerit memberi sokongan padu kepada pelari maraton termasuk memukul gendang sebagai penguat semangat bagi menamatkan larian.

"Bagi mereka yang pertama kali menyertai maraton, jangan terlalu mendesak untuk berlari laju kerana anda mungkin boleh kehilangan keseimbangan tubuh dan terjatuh atau cedera. Mereka perlu berlatih terlebih dulu," katanya.

Tidak makan, minum sebelum berlari

Bagi perunding pengurusan, Nishreen Ali, 25, dia pernah berbadan besar satu ketika dulu dan mencari cara terbaik untuk menguruskan badan sehinggalah hatinya terdetik untuk menyertai larian maraton.

Ketika usianya masih remaja, tubuhnya agak berisi dan dia berazam untuk menurunkan 10kg. Hasratnya tercapai apabila berjaya menurunkan sehingga 12kg hanya dalam tempoh empat bulan sebaik mula berlari dengan aktif.

"Kelebihan berlari maraton ini apabila saya boleh makan apa saja kerana latihan larian dan senaman yang saya lakukan setiap hari membakar banyak lemak.

"Ketika masih baru me­nyertai maraton, saya turut berdiet tetapi kini saya boleh makan banyak kerana saya memerlukan tenaga untuk berlari," katanya.

Ketika masih belajar di kolej, Nishreen hanya me­nyertai larian sejauh 10km hingga 21km namun selepas beberapa tahun, dia kini turut aktif menyertai larian maraton yang lebih besar.

Selain berlatih berlari di sekitar kawasan rumah, dia turut mengunjungi gimnasium lima kali seminggu untuk membina dan menguatkan otot sebagai persediaan.

Berbeza dengan orang lain, dia tidak menyentuh sebarang makanan atau minuman sehari sebelum berlari kerana begitu fokus untuk menamatkan larian.

Katanya, dia juga mendengar lagu kegemaran sepanjang berlari dan menjadikan lagu pelbagai rentak sebagai pembakar sema­ngat selain berlari me­ngikut rentak supaya dia tidak mudah lesu.

"Saya juga lebih suka berlari seorang, bukan bersama rakan kerana saya berasa lebih selesa dan yakin. Saya juga menggambarkan garisan penamat sebagai motivasi diri supaya saya terus positif dalam larian.

"Saya memang seorang yang sangat kompetitif dan selalu memberi motivasi kepada diri sendiri. Saya juga tahu saya boleh buat lebih baik dalam larian akan datang.

"Pada saya mendapat­kan tip daripada orang yang lebih lama terbabit dalam larian sesuatu yang penting kerana ia membantu kita untuk menjadi lebih baik sebagai pelari maraton," katanya.

Katanya, larian maraton turut memberi impak positif kepada kehidupan hariannya dan kerjaya apabila dia lebih fokus dan mempunyai matlamat yang ditetapkan dalam setiap perkara yang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Pulihkan kasih sayang

Posted: 12 May 2013 07:33 AM PDT

Pasangan suami isteri perlu berkongsi segala-galanya jika ingin membina satu keluarga bahagia dan hubungan yang kekal manis hingga ke akhir hayat.

Namun masalah kesihatan yang menimpa khususnya kepada lelaki iaitu mati pucuk atau juga dikenali sebagai disfungsi ereksi (ED), boleh menjejaskan keharmonian dan ikatan perkahwinan sehingga mampu membawa kepada kes perceraian.

Begitu pentingnya menjaga kesihatan sebaiknya sebelum masalah ED menimpa sehingga membuatkan seseorang tidak berdaya lagi menikmati hubungan intim bersama pasangan, seterusnya menjejaskan perasaan dan memberi tekanan pada rumah tangga.

Kadar perceraian semakin meningkat dari setahun ke setahun sejak kebelakangan ini, malah usia perkahwinan yang semakin singkat berlaku apabila pasangan mengambil mudah hubungan intim, menyebabkan rasa tidak puas hati sesama mereka terus berkembang.


Komponen terbesar hidup sebagai pasangan suami isteri adalah hubungan intim tetapi ia boleh terganggu akibat masalah perubatan termasuk ED.


Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Ong Teng Aik, ED adalah ketidakupayaan konsisten atau berulang untuk mendapatkan atau mengekalkan ereksi tegar yang mencukupi dan cukup tempoh untuk persetubuhan berlaku.

Banyak faktor yang menye­babkan berlakunya masalah ED antaranya gang­guan aliran darah ke zakar yang selalunya berlaku akibat penyakit seperti diabetes.

"Bekalan saraf yang utuh ke zakar penting untuk membantu ereksi yang padat dan penyakit yang menjejaskan sistem saraf akan mempe­ngaruhi pesakit hingga menyebabkan mereka me­ngalami ED.

"Ada juga yang mengalami masalah anatomi atau struktur pada zakar mereka seperti patah zakar iaitu sejenis penyakit Peyronie zakar. Pada masa sama, hormon seperti hipogonadisme juga boleh menyebabkan masalah mati pucuk.

"Selain itu, pengambilan dadah yang berlebihan atau penyalahgunaan dadah sama ada untuk tujuan perubatan atau ubat haram juga boleh menyebabkan seseorang itu akhirnya mati pucuk," katanya pada bengkel We Love Sustaining Passions anjuran Pfizer, baru-baru ini.

Program pendidikan de­ngan kerjasama lebih 80 farmasi terpilih menjadi sebahagian daripada kempen yang dilancarkan untuk meraikan ulang tahun ke-15 penemuan perencat PDE5 yang pertama untuk merawat ED.

Menurut Ong, selain faktor terbabit, gangguan psikologi juga boleh dikaitkan dengan gangguan fungsi seksual hing­ga merencatkan organ berkenaan.

Gaya hidup masa kini yang banyak tekanan serta tabiat tidak sihat seperti merokok dan tidak me­ngamalkan senaman juga antara faktor penting yang akan menyebabkan seseorang mengalami masalah ED lebih awal.

Masalah kesihatan lain yang mempengaruhi keadaan kesihatan seksual seseorang termasuk diabetes, darah tinggi, kegemukan melampau dan dyslipidemia atau kandungan kolesterol atau lemak yang tinggi dalam darah.

"Saya pasti kita semua tahu kaedah untuk mengelakkan masalah kesihatan kronik. Cabaran yang dihadapi adalah sama ada kita mempunyai keazaman untuk mengamalkan cara hidup yang sihat dengan cara yang berterusan atau sebaliknya.

"Bagaimanapun, secara statistiknya, anggapan yang mengatakan semua lelaki akan mendapat ED walaupun sekali dalam hidup tidak benar. Walaupun kejadian ED meningkat dengan usia, ada yang tidak pernah mengalaminya dalam mana-mana kumpulan umur," katanya.

Ong berkata, cara terbaik bagi mengelak diri masing-masing daripada mengalami ED adalah dengan menjaga kesihatan mereka melalui penjagaan pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam.

Lelaki yang mahu melindungi diri mereka daripada ED juga perlu berhenti menghisap rokok, mengurangkan berat badan dan bersenam secara teratur selain melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin bagi mengesan sekiranya mereka mengalami masalah kesihatan seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau dyslipidemia.

Langkah pencegahan berkenaan bukan saja akan mengurangkan risiko untuk mendapat ED, malah secara keseluruhan akan menjadikan seseorang itu lebih sihat berbanding sebelumnya.

"ED adalah masalah lazim berlaku seiring dengan peningkatan usia. Kira-kira lima hingga 20 peratus lelaki di Malaysia mengalami masalah ED sederhana hingga ke­adaan yang teruk.

"Dalam satu kajian ke atas penduduk bandar di Malaysia dengan usia purata 60 tahun, kira-kira 20 peratus mengalami masalah ED sederhana hingga teruk. Jika kita mengambil kira mereka yang mengalami ED yang ringan, jumlah ini lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, sebaik ED dikenal pasti, ubat-ubatan oral misalnya dalam bentuk PDE5I adalah pilihan utama bagi membantu pesakit mendapat ereksi.

Kumpulan ubatan berkenaan mengubah paradigma dalam pengurusan masalah mati pucuk dan membuat keadaan ED penyakit yang boleh 'dirawat'.

"Selain mengambil PDE5I, pesakit juga digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Sudah tentu dalam kes yang lebih sukar apabila pesakit tidak bertindak balas terhadap PDE5I, langkah lain perlu dipertimbangkan seperti penggunaan pam vakum, suntikan intracavernosal dan zakar protesis," katanya.

Ong berkata, walaupun punca biasa penyakit ED adalah masalah vaskular yang lebih biasa berlaku dalam kalangan orang yang lebih tua, lelaki muda boleh mendapat ED yang disebabkan oleh faktor lain seperti gangguan psikologi dan penyalahgunaan dadah.

Dia turut menasihatkan mereka yang mengalami ED untuk bertemu pakar perubatan bagi khidmat nasihat dan mendapatkan penyelesaian bersesuaian, terutama dalam mengenal pasti masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan dyslipidemia.

"Merawat ED memberi peluang kepada pesakit untuk merawat penyakit lain yang berkaitan selain menangani isu awal sebelum ia menjejaskan hubungan dengan pasangan.

"Malah ED adalah tanda awal yang menunjukkan adanya masalah kesihatan lain seperti penyakit yang memberi kesan kepada saluran darah. Apatah lagi kini sudah diketahui ED mendahului serangan jantung beberapa tahun sebelum itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pelakon disamun di stesen minyak

Posted: 11 May 2013 09:57 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya merayu dikasihani tapi mereka mengugut mahu rampas beg bimbit pula," kata pelakon, Suriati Baharom, 42, menceritakan detik cemas dia disamun sekumpulan empat lelaki bermotosikal di depan sebuah stesen minyak di sini, pagi semalam, ketika dalam perjalanan membeli barang.

Dalam kejadian jam 7 pagi, Suriati berkata, dia berhenti di stesen minyak berkenaan untuk membeli minuman.


"Selepas membeli minuman di kaunter stesen minyak itu dan menoleh ke belakang, saya lihat empat motosikal dinaiki remaja berusia 20-an berpusing-pusing mengelilingi kereta saya," katanya.

Menurutnya, dia kemudian melihat seorang daripada lelaki itu memecahkan cermin sebelah penumpang lalu mengambil telefon Samsung Galaxy Tab miliknya yang diletakkan di tempat letak kaki sebelah penumpang.


"Saya berlari ke arah kereta sebelum merayu dikasihani, namun empat lelaki itu hanya ketawa sebelum seorang daripada mereka mengugut merampas beg bimbit yang digalas.


"Saya yang ketakutan berlari semula ke kaunter stesen minyak itu bagi mendapatkan bantuan," katanya sambil menambah, pekerja stesen minyak itu juga bagaikan tergamam dan tidak tahu berbuat apa-apa.

Foto

KERETA dipecah penyamun untuk merampas telefonnya.

Menurutnya, dia bernasib baik apabila sebuah teksi berhenti di stesen minyak, menyebabkan kumpulan penjenayah itu melarikan diri walaupun dia kerugian lebih RM1,500.


"Dengan bantuan pemandu teksi terbabit dan tiga lagi pemuda yang datang ke stesen minyak itu, saya dibawa ke balai polis berhampiran," katanya.

Katanya, biarpun masih trauma dengan insiden berkenaan, dia bersyukur kerana tidak cedera dan menasihatkan orang ramai, terutama wanita, supaya lebih berhati-hati.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Fergie, Scholes kongsi ucapan selamat tinggal

Posted: 11 May 2013 08:11 AM PDT

Manchester: Pengurus Manchester United Alex Ferguson akan berkongsi ucapan selamat tinggal kepada Old Trafford dengan Paul Scholes dalam perlawanan penuh emosi di Theatre of Dreams malam ini.

Ia adalah penampilan pertama Scholes sejak 5 Januari lalu selepas mengadu sakit lutut tetapi juga yang terakhir di tempat sendiri bersama United.


Scholes pernah memutuskan untuk meninggalkan United, Disember lalu selepas kembali daripada persaraan musim lalu.

Pakar bahagian tengah kelab itu memerlukan pembedahan lutut jika mahu terus bermain dan dia tidak bersedia untuk melalui semua itu.


Biarpun tanpa pembedahan dia percaya pada usia 38 tahun dan selepas 700 permainan untuk kelab itu, sudah tiba masanya untuk berundur dan memberi laluan kepada muka baru.


Begitupun pengurus, Ferguson bertekad mahu menurunkannya sebagai kesebelasan utama menentang Swansea yang dikendalikan Michael Laudrup.

Foto

SCHOLES

Ia akan menjadi perlawanan liga ke-498 buat Scholes bersama United dan masih kurang daripada 500, jika dia turut bermain dalam perlawanan terakhir menentang West Brom di tempat lawan.


Scholes bersara buat pertama kali pada akhir musim 2010-11 selepas United menjulang gelaran ke-19.

Begitupun dia kesal dengan keputusannya itu dan mula melatih pasukan simpanan dan kembali menyertai pasukan utama Januari tahun lalu.


Biarpun United kehilangan takhta kepada City musim lalu, Scholes tetap bersemangat untuk kembali tetapi kempen kali ini lebih tertumpu terhadap pergelutan memulihkan prestasi.


Dia bagaimanapun akan menyertai pemain lain malam ini untuk menjulang trofi kejuaraan liga kali -20 buat United dan 11, buatnya.


Ferguson, 71 dijangka meluahkan penghargaan kepada semua pemain tetapi tidak syak lagi, Scholes khususnya akan menyertai beliau untuk bersara.


Pengurus itu juga akan memastikan Ryan Giggs, 39, akan diturunkan dalam skuad utama supaya kedua-dua bintang itu boleh bergandingan buat kali terakhir di laman sendiri.


Giggs akan bermain untuk sekurang-kurangnya semusim selepas menandatangani kontrak setahun.


Rakan sepasukan, Jonny Evanas mengakui perlawanan menentang Swansea akan membawa mereka ke era yang tidak diketahui selepas Ferguson mengumumkan persaraan.


Begitupun dia mengharapkan proses peralihan berjalan lancar apabila David Moyes mengambil alih 1 Julai ini.


"Saya pasti ia satu hari yang sungguh emosional. Penting untuk beraksi dengan baik di Old Trafford tetapi memandangkan ini perlawanan terakhir kendalian pengurus itu di laman sendiri, ia memberi semangat tambahan untuk mempamerkan aksi hebat dan mendapat keputusan terbaik," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Supermokh 'Istimewa'

Posted: 11 May 2013 08:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketika membaca novel autobiografi SuperMokh: Legenda Bola Sepak Tanah Air, nama Reduan Abdullah (gambar) segera menjadi tumpuan. Buku setebal 177 halaman tulisan Zabidin Ismail, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu menceritakan kisah Allahyarham Mokhtar Dahari sejak kecil hingga ke akhir hayatnya. Reduan, sahabat karib Allahyarham lebih mengetahui apa yang menjadikan beliau pemain hebat yang masih gagal ditandingi pemain sekarang. Ikuti wawancara bersama beliau.

SOALAN: Apa pandangan anda mengenai buku ini?

JAWAPAN: Buku ini boleh dijadikan satu rujukan tetapi lebih baik jika ada gambar dan kejayaan yang dilakar beliau, dari mula Allahyarham bermain bola hingga ke akhir hayatnya. Tanpa gambar, sukar untuk generasi muda membayangkan siapa itu Mokhtar Dahari, mereka mungkin kenal nama tetapi bukan wajahnya.

S: Anda mengenali Allahyarham sejak sekian lama, malah pernah bermain bersama di Kampung Pandan. Bagaimana perkenalan anda dengan Allahyarham?

J: Saya berkenalan dengan Allahyarham sudah lama, ia bermula sejak kecil apabila kami bertanding dalam perlawanan persahabatan antara kawasan di antara kami yang mewakili Keramat menentang beliau yang mewakili Kampung Pandan. Pada masa itu memang selalu diadakan perlawanan persahabatan dan dari situlah saya mengenali Allahyarham.

Kemudiannya ada pemilihan untuk Piala Burnley yang mana saya dan Allahyarham terbabit sama dan persahabatan kami menjadi semakin rapat iaitu pada 1970.

S: Kali pertama bertemu Allahyarham, beliau itu bagaimana orangnya?

J: Melihat pada tubuh beliau, saya yakin beliau mempunyai potensi besar dalam sukan. Sebelum itu saya hanya tahu beliau seorang pemain bola sepak. Selepas kami kenal lebih rapat, saya dapat tahu beliau mewakili sekolah dalam hoki, olahraga tetapi lebih cenderung dalam bola sepak. Beliau juga bermain badminton dan sepak takraw. Beliau berbakat dalam semua sukan.

Saya rasa dia ada potensi untuk pergi lebih jauh, dengan susuk badan yang dimiliki serta gerak lariannya.

S: Selain itu, apa karakter yang membuat Allahyarham menonjol?

J: Beliau mesra dalam pergaulan, seorang yang ceria. Kawannya memang ramai.

S: Boleh ceritakan serba sedikit pengalaman bersama Allahyarham dalam satu pasukan?

J: Kami lebih kerap bersama dalam pasukan Selangor. Saya satu bilik dengannya. Ke mana saja pergi kami akan menginap di bilik sama. Kami sentiasa berbincang mengenai strategi perlawanan. Beliau seorang yang berdisiplin dengan apa dilakukannya terutamanya menjelang perlawanan. Beliau mahu fokus terhadap perlawanan dan tidak mahu ada gangguan.

S: Sewaktu bersama Selangor, apa pengalaman manis bersama Allahyarham?

J: Banyak. Jika dulu sebelum kami berkahwin, selepas habis liga, beliau mempelawa saya ke Singapura untuk melawat saudara-maranya dan bercuti di sana. Saya dengan keluarga arwah memang rapat.

S: Menurut buku ini juga, Allahyarham pernah bercadang untuk bersara beberapa kali tetapi apabila mengenangkan cintanya terhadap negara, kembali menyertai pasukan...

J: Beliau ada juga meluahkan hasrat untuk bersara, mungkin disebabkan keadaan semasa tetapi pujukan pegawai pasukan, terutama sekali pengurus pasukan seperti Allahyarham Datuk Harun dan Mazlan sukar untuk beliau berkata tidak, sebab arwah cepat 'memberi'. Disebabkan kegagalan untuk mara ke final, mungkin arwah rasa mahu bersara tetapi dengan pujukan pengurus pasukan, beliau berfikir untuk kembali. Ada juga kritikan yang dilemparkan media, sewaktu beliau tidak bermain baik dan itu menyebabkan beliau ingin mengundur diri daripada bola sepak. Selepas dipujuk, beliau kembali bermain dan ini menunjukkan beliau masih diperlukan negeri dan negara. Kita tidak nafikan pemain ada masanya mengalami penurunan prestasi. Beliau ambil itu sebagai cabaran untuk meningkatkan prestasi dan maju.

S: Allahyarham juga pernah mendapat tawaran di luar negara tetapi ditolak...

J: Yang saya tahu, beliau dapat tawaran ke Kuwait selepas Malaysia menang 3-1 ke atas negara itu dalam Pestabola Merdeka apabila pengurus pasukan Kuwait mempelawa untuk menyertai pasukan mereka tetapi beliau menolak. Tawaran lain hanya sekadar berita, tiada yang konkrit.

S: Jika dilihat pada prestasi yang Allahyarham miliki, pastinya lebih banyak tawaran diterima beliau ketika ini...

J: Sudah tentu, dengan imbuhan yang diterima pemain zaman sekarang, sudah tentu beliau akan mencuba di luar negara. Kevin Keegan pernah mengatakan beliau seorang penyerang terbaik. Dalam perlawanan di antara Malaysia dengan England B beliau menjaringkan satu gol yang begitu menarik dan mendapat pujian majalah bola sepak di sana.

S: Apa karakter yang ada pada Allahyarham yang tiada dengan pemain sekarang?

J: Pada pandangan saya, sikap merendah diri, sentiasa inginkan yang terbaik untuk diri dan negara. Beliau berlatih bersungguh-sungguh, tidak terbabit dalam aktiviti yang tidak sepatutnya. Beliau lebih fokus terhadap kariernya sebagai pemain bola sepak. Pemain hari ini hanya lebih dari segi publisiti dan bukannya kemampuan mereka sebagai pemain bola sepak.

S: Adakah pemain ketika ini mempunyai kualiti setanding atau setidak-tidaknya menghampiri Allahyarham?

J: Saya lihat pemain ketika ini ada kesungguhan tetapi tidak mencukupi, bukan untuk mencapai yang kita inginkan sebagai pemain yang hebat, belum lagi. Arwah tetap arwah, keistimewaannya kerana kita kenal beliau pada masa itu. Kita sepatutnya boleh melahirkan pemain yang lebih baik memandangkan kita di zaman pemain profesional dan mata pencarian pemain sekarang hanya dengan bermain bola sepak. Dulu tidak, kita bekerja dan petangnya bermain bola, kita bermain sebagai amatur, tiada imbuhan besar pun yang kita dapat tetapi bagaimana kita lebih baik daripada sekarang. Dulu kemudahan latihan kurang tetapi dengan kemudahan yang kita ada sekarang, kita masih gagal melahirkan pemain yang lebih baik. Saya ingin melihat pemain yang lebih baik, mungkin lebih baik daripada arwah.

S: Kita banyak mendengar cerita-cerita di luar padang berbanding di dalam padang...

J: Ini yang kita tidak mahu. Sebagai pemain bola sepak, anda perlu tunjukkan kemajuan di padang. Itu yang kita hendak. Banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Dari segi imbuhan, apa yang kami terima jauh daripada apa yang diterima sekarang tetapi, kami menampilkan permainan berkualiti di Asia Tenggara. Bila pergi ke Korea, mereka akan bertanya di mana Mokhtar, di mana Soh Chin Aun, di mana R Arumugam? Mereka berkata pemain kita berkualiti tinggi tetapi berbeza dengan sekarang. Kita hanya bangga di kawasan kita saja, tidak mampu pergi lebih jauh. Allahyarham Mokhtar mengagumkan semua dengan susuk tubuh, larian, rembatan, gelecek, tandukan dan kesungguhannya di padang. Soalnya, mengapa kita tidak mampu lahirkan pemain sehebat itu dengan kemudahan yang kita ada sekarang?

Dulu, kita menyertai kejohanan luar dan ia satu pendedahan tanpa perlu untuk berlatih di luar negara. Kita masih mampu melahirkan pemain hebat. Selain Allahyarham Mokhtar, kita ada Syed Ahmad, Sharuddin, Isa Bakar, James Wong, Hassan Sani. Kita masih mampu melahirkan penyerang tanpa perlu bergantung kepada pemain import. Ranking kita di Asia cukup baik dan menang pingat gangsa Sukan Asia dan dua kali ke Olimpik, dua kali menang Sukan SEA. Sekarang, siapa lagi yang kita boleh harapkan?

S: Akhir sekali, apa pandangan anda mengenai penerbitan buku membabitkan ahli sukan yang masih berkurangan?

J: Pada pandangan saya kita patut membukukan kisah ahli sukan yang berjaya supaya ia menjadi rujukan kepada generasi akan datang. Bagus jika dapat dibukukan kisah pemain yang berjaya, ia sesuatu yang dialu-alukan supaya generasi sekarang lebih tahu pencapaian atlet terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Tiada maknanya...

Posted: 11 May 2013 08:30 AM PDT

London: Seorang lelaki yang diiktiraf orang paling gemuk di dunia menunjukkan kepada umum mengapa kejayaannya menurunkan berat badan tidak begitu bermakna untuk dirinya.

Pernah memiliki tubuh seberat 444.5 kilogram (kg), Paul Mason berjaya mengurangkan 292.1 kilogram daripada berat badannya itu dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, perubahan itu menyebabkan kulit badannya menggeleber teruk dan Mason, 52, memilih satu cara untuk membuktikannya - dengan berbogel tanpa perlu bimbang alat sulitnya dilihat sesiapa.

Mason, menghilangkan dua pertiga daripada berat badannya melalui pembedahan pintasan gastrik dan mengubah perutnya menjadi sebesar telur.

Foto

KEADAAN fizikal sebelum dibedah.


Kata Mason dia berbogel dengan harapan foto itu cukup untuk mengejutkan pakar perubatan dan mendorong mereka mencari jalan membantunya membuang lebihan kulit berkenaan.


"Saya mahu pakar kesihatan melihat apa yang saya alami dan mudah-mudahan mereka terfikir untuk membantu lelaki ini," katanya.

Kos pembedahan membuang kulit berkenaan dianggarkan lebih RM275,000.

Sebelum mengalami perubahan itu, Mason pernah mengambil makanan dengan jumlah 20,000 kalori sehari - 10 kali melebihi tahap sihat.

Perubahan akhirnya berlaku apabila dia menjalani pembedahan pada 2010.

Sejak itu, dia hanya memakan empat hidangan fish and chips, dua kebab dan roti bakar untuk sajian tengah hari.

Kini berat badannya 152 kilogram dan dia ingin lebih kurus.

Mason berkata, kira-kira 50 kilogram boleh dikurangkan jika pakar bedah membuang kulit kendur itu yang mengehadkan pergerakannya dan menyebabkan kesakitan.

"Doktor peribadi saya akan menunjukkan foto bogel ini kepada pakar bedah sebagai bukti saya memerlukan pembedahan," katanya.

Namun, impian Mason mungkin tinggal harapan.

Kata Mason, baru-baru ini dia bertemu seorang wanita yang sudah menunggu 13 tahun untuk membuang 12 kilogram kulit kendurnya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Jenazah Tamerlan dikebumi senyap-senyap

Posted: 11 May 2013 08:25 AM PDT

Doswell (Virginia): Suspek pengebom Maraton Boston, Tamerlan Tsarnaev dikebumikan secara senyap-senyap di perkuburan luar bandar di Virginia, menyebabkan sesetengah anggota komuniti Islam di kawasan itu berang.

Menurut beberapa penduduk setempat, mereka tidak pernah diberitahu mayat Tamerlan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Barzakh di Doswell.


Pihak berkuasa turut mendakwa mereka tidak tahu-menahu mengenai pengebumian itu.

Jurucakap polis berkata, mereka akan memeriksa sama ada semua keperluan undang-undang dipatuhi sebelum Tamerlan dikebumikan dan mayat itu boleh dipindahkan ke tempat lain jika ada isu berbangkit.


"Orang ramai bimbang kubur Tamerlan akan dijadikan tempat keramat kepada pihak yang tidak senang kepada AS," katanya.


Tamerlan meninggal dunia selepas ditembak pihak berkuasa yang memburunya pada 19 April kerana disyaki menjadi dalang serangan bom di Boston.

Adik lelaki Tamerlan, Dzhokhar diberkas beberapa hari kemudian dan kini masih disoal siasat. Tiga maut dan lebih 260 lagi cedera dalam serangan bom pada 15 April itu. Bapa saudara Tamerlan, Ruslan Tsarni mengambil alih tanggungjawab mengebumikan jenazah kerana tiada waris lain mahu menguruskannya. Ruslan berkata, Tamerlan dikebumikan di Doswell dengan bantuan beberapa pihak. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Projek dengan 30 'pucuk muda'

Posted: 11 May 2013 10:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Kurang belaian daripada suami menjadi alasan kepada seorang isteri berusia 53 tahun menjadi liar dengan 'memburu' lelaki muda untuk memenuhi tuntutan batinnya.

Walaupun bergelar nenek, Rina (bukan nama sebenar) membuat pengakuan mengejutkan kepada wartawan Metro Ahad apabila mendakwa melakukan hubungan kelamin berulang kali dengan lebih 30 lelaki muda berusia 20-an hingga 30-an sejak lapan tahun lalu.

Rina yang bertugas sebagai eksekutif syarikat swasta di ibu kota mendakwa tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan 'pucuk muda' secara percuma selepas menjadi ahli aktif dalam sebuah laman sosial antarabangsa untuk mencari kenalan baru lelaki yang boleh dijadikan teman ranjang.

Pemantauan Metro Ahad mendapati lebih 600,000 individu di negara ini, termasuk lepasan sekolah dan warga emas, mendaftar dalam laman sosial itu. Individu terbabit yang berusia lingkungan 18 hingga 56 tahun membabitkan wanita, lelaki, pondan, gay dan lesbian.

Foto

RINA sedang berbual dengan wartawan.


Wartawan berjaya mendapatkan pengakuan eksklusif Rina selepas bertemunya di sebuah restoran di Shah Alam, setelah beberapa kali berbual di laman sosial itu dan bertukar-tukar gambar dengannya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Bunuh nenek sendiri

Posted: 11 May 2013 10:25 AM PDT

Tumpat: Hari Ibu yang sepatutnya disambut gembira di seluruh negara hari ini menjadi peristiwa paling hitam buat seorang wanita apabila ditumbuk anak lelakinya hingga cedera, manakala ibunya mati dibelasah suspek di Kampung Pasir Pekan Hilir, Wakaf Bharu, di sini, pagi semalam.

Kejadian jam 7 pagi itu berlaku apabila lelaki berusia 35 tahun itu dikatakan mengamuk sebelum menumbuk ibunya, Che Rahmah Che Will, 60, dan neneknya, Che Minah Che Hassan, 84.

Che Minah maut di tempat kejadian akibat pendarahan dalaman di kepala selain cedera di telinga kiri serta lebam di mata kanan, manakala Che Rahmah lebam di mata kiri dan dahi kanan.

Berikutan itu, Che Rahmah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk mendapat rawatan dan kini dilaporkan stabil, manakala mayat Che Minah dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga.

Foto

BAPA saudara suspek, Mohd Ghani Zakaria melihat kesan darah selepas Che Minah dan anaknya, Che Rahmah ditumbuk suspek di Kampung Pasir Pekan Hilir, Wakaf Bharu, semalam.


Cucu Che Minah yang melihat kejadian itu, Farish Danish Farid, 8, berkata, ketika kejadian dia bersama ibunya tidur di bilik di tingkat atas sebelum terdengar jeritan suspek di tingkat bawah.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved