Khamis, 6 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Syukur generasi bebas penjajah

Posted: 30 Aug 2012 09:25 AM PDT

PERASAANNYA berbunga riang sambil melahirkan rasa syukur yang tidak putus-putus setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung, malah tidak ketinggalan meraikan hari bersejarah itu bersama-sama jutaan rakyat Malaysia berbilang kaum yang tahu menilai serta menghargai erti kebebasan di tanah air sendiri.

Walaupun lahir selepas merdeka, suri rumah, Noriah Hashim, 49, mampu merasai keperitan kehidupan penduduk negara ini sebelum mencapai kemerdekaan, melalui kisah yang diceritakan suami serta arwah ibu mentuanya yang sering berkongsi pengalaman mengenai penderitaan mereka ketika Tanah Melayu menjadi kawasan jajahan British dan Jepun.

Setiap kali tarikh keramat 31 Ogos menjelang tiba, beliau antara orang yang paling gembira kerana mengenangkan keadaan rakyat negara ini yang dapat hidup aman dan harmoni selepas bebas daripada cengkaman ketakutan akibat duduk di bawah pemerintahan bangsa asing suatu ketika dulu.

Noriah berkata, setiap kali mendengar kisah kepayahan hidup yang diceritakan ibu mentua dan suaminya, beliau berasa betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia yang bukan saja boleh hidup bertolak-ansur bersama kaum lain dalam keadaan damai, malah diuruskan kerajaan yang bertanggungjawab, prihatin dan menjaga kebajikan rakyat.


Daripada apa yang diceritakan kepadanya, dia mendapat tahu kehidupan sebelum merdeka dipenuhi rasa takut yang amat sangat terutama ketika penjajahan Jepun hingga orang kampung tidak mahu keluar rumah kerana bimbang diserang.


"Mereka hidup dalam ketakutan, tidak seperti kita hari ini. Menurut ibu mentua saya, adik-adik perempuannya yang masih muda dan belum berkahwin ketika itu disorok bapanya dan tidak dibenarkan keluar.

"Ibu mentua saya berasal dari Tapah, Perak dan adik-beradiknya semua mempunyai rupa paras yang cantik dengan kulit putih mulus. Disebabkan itu, mereka disorok kerana bimbang diapa-apakan tentera Jepun.

"Sekiranya hendak keluar juga, terpaksa sorok-sorok kerana tentera Jepun ketika itu yang terkenal dengan sikap rakus dan kejam, berani melakukan jenayah sesuka hati mereka termasuk membunuh," katanya.

Menurut Noriah, selain terseksa dari segi emosi kerana tidak bebas dan rasa terkurung, hidup majoriti rakyat di Tanah Melayu ketika itu juga sangat susah dan banyak bergantung kepada ubi kayu sebagai sumber makanan.

Menurut suaminya, peniaga, Mat Daud Ayob, 60, hidup pelajar sekolah ketika itu juga terbatas kerana mereka terpaksa pergi dan balik sekolah dalam keadaan menyorok, malah sesi persekolahan pernah terganggu sementara dengan kehadiran tentera Jepun.

Keadaan pada masa itu sangat berbeza dengan zaman ini. Rakyat Malaysia bukan saja bebas dan hidup aman damai, malah semakin maju mengejar pencapaian setanding negara luar.

"Taraf hidup rakyat ketika ini juga jauh berbeza sekiranya hendak dibandingkan zaman sebelum merdeka kerana ekonomi kita yang semakin kukuh dan nama negara semakin harum di peringkat antarabangsa.

"Saya selalu menceritakan kisah sebelum zaman merdeka seperti yang diceritakan kepada saya dan sering berpesan kepada anak-anak supaya mereka bersyukur dapat tinggal dan menjadi rakyat negara ini.

"Walaupun ke mana kita pergi, Malaysia adalah negara terbaik pada mata saya kerana ia seimbang dari semua segi, tidak seperti sesetengah negara lain yang rakyat hidup melarat biarpun sudah lama maju," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, golongan muda juga harus tahu mengenai kisah sebelum merdeka supaya mereka sedar betapa berharganya nilai kebebasan serta tidak menimbulkan sebarang kekacauan yang boleh merosakkan keharmonian negara.

Beliau bukan saja rasa bersyukur, malah berasa amat beruntung menjadi rakyat negara ini, bersama-sama dengan bangsa lain yang berbilang kaum.

"Tidak perlulah kita hendak bergaduh atau membuat kacau kerana perbezaan fahaman politik kerana apa yang negara ada ketika ini sudah cukup bagus. Kerajaan kita melakukan tugas dengan baik dan tidak perlulah ada pihak yang hendak membuat kacau-bilau," katanya.

Setiap kali Hari Kemerdekaan, rasa bangga menjadi anak Malaysia membuak dalam dadanya. Justeru, dia dan suami sanggup bangun awal pada hari cuti umum itu untuk membawa anak-anak meraikan hari penuh bersejarah di Dataran Merdeka bersama rakyat lain. Ia boleh dikatakan sudah menjadi 'aktiviti tahunan yang wajib' untuk mereka sekeluarga.

Malah, setiap tahun dia sekeluarga akan turut sama menghias rumah dan kereta dengan bendera Malaysia bagi mengingati hari bermakna kepada negara ini.

"Kami juga akan bergerak dari rumah di Kajang ke Dataran Merdeka untuk sama-sama meraikan dan merasai nikmat kemerdekaan yang dicapai sejak 55 tahun lalu bersama rakyat lain.

"Sungguh menggembirakan apabila dapat melaungkan Merdeka bersama-sama rakyat negara ini yang berbilang kaum. Ia menunjukkan majoriti rakyat tahu menghargai erti kebebasan dan keamanan," katanya.

Sementara itu, juruteknik, Abdullah Hashim, 55, yang dilahirkan tepat pada 31 Ogos 1957 berkata, berkongsi tarikh lahir dengan Hari Kemerdekaan sememangnya memberi makna tersendiri kepada dirinya.

Katanya, beliau dilahirkan di rumahnya di Kampung Gelam, Melaka dan hanya menyedari tarikh lahirnya sama dengan sambutan kemerdekaan negara sekitar usia 10 tahun apabila diberitahu bapanya.

"Ketika kecil, saya tidak tahu tetapi apabila sudah mula faham, saya berasa amat bangga dilahirkan sama dengan tarikh negara bebas daripada cengkaman bangsa luar, apalagi rakyat Malaysia beramai-ramai meraikannya," katanya.

Abdullah berkata, beliau sering mendengar cerita betapa susahnya kehidupan zaman sebelum merdeka terutama daripada ibu bapanya di mana kehidupan seharian rakyat pada waktu itu sangat susah dan sentiasa tertekan.

Dia masih ingat bagaimana orang kampung ketika itu sangat takut dengan tentera Jepun hingga pergerakan mereka menjadi terbatas dan tidak dapat keluar rumah kecuali dengan cara menyorok.

"Kekejaman tentera Jepun menyebabkan penduduk takut hingga tidak berani bergerak di luar rumah. Tidak seperti hari ini, tiada rasa takut dan semua orang bebas untuk ke mana-mana saja.

"Apabila kita diisytiharkan merdeka, ia seolah-olah satu nikmat yang sukar diucapkan dan hanya difahami mereka yang pernah hidup tertindas sebelum ini. Hidup rakyat menjadi lebih tenang dan gembira," katanya.

Kisah mengenai zaman sebelum kemerdekaan seharusnya selalu diketengahkan supaya generasi muda tahu betapa seksanya hidup di bawah cengkaman asing dan lebih bersikap patriotik terhadap negara.

Katanya, golongan yang suka menimbulkan kekacauan seharusnya sedar segala ketenangan dan kedamaian yang dikecapi hasil kemerdekaan yang diperoleh dan tidak seharusnya diperjudikan dengan sikap mementingkan diri sendiri.

"Saya tidak setuju dengan perbuatan demonstrasi yang sering diadakan sesetengah pihak kerana bagi saya ia bukan saja membuang masa, malah tidak memberi sebarang faedah kepada bangsa dan negara.

"Generasi muda harus tahu mengenai keadaan sebelum merdeka dan jangan huru-harakan negara kerana sikap mementingkan diri sendiri," katanya.

Abdullah bersama isteri, Sharifah Hashim, 54, dan anak-anak, Shahrul, 27, Nurhaniza, 25, dan Ahmad Shahir, 18, menghias rumah mereka dengan mengibarkan bendera bersaiz besar pada hadapan rumah bagi meraikan hari bersejarah negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/31


Guna FB cegah kanser

Posted: 23 Aug 2012 08:12 AM PDT

BERAPA ramai antara kita berani bersuara sama ada menegur atau memarahi ahli keluarga, rakan, teman lelaki dan wanita mahupun orang asing yang merokok terutama jika ia dilakukan di depan mata?

Ya, memang ada yang berani namun jumlah mereka yang berdiam diri lebih ramai. Mungkin disebabkan malu, malas, takut dimarahi atau sudah serik menegur, kita bertindak mengambil keputusan untuk tidak bersuara lagi.

Kata-kata seperti 'suka hati mereka, sudah sakit nanti tanggung sendiri' dan 'ala, mereka sudah besar, tahu fikir mana baik dan mana buruk' selalu didengari apabila masalah untuk menegur si perokok tegar ini dibangkitkan.

Bagaimanapun, jangan sesekali berputus asa untuk terus menasihati mereka terutama anak muda agar menjauhi rokok mahupun perkara lain yang tidak sihat demi kesihatan diri.


Ini kerana, bahan di dalam rokok yang mengandungi tembakau itu adalah penyebab utama dan tertinggi kepada penyakit pembunuh di seluruh dunia iaitu kanser.


Justeru, berlandaskan sebab tanggungjawab dan menyayangi masyarakat, Persatuan Kanser Malaysia (NCSM) dengan kerjasama Courts Malaysia (Courts), melancarkan kempen mengenai bahaya dan pencegahan kanser secara inovatif melalui saluran laman sosial paling popular, facebook.

Pengarah Urusan NCSM, Rubi Ain Dahlan, berkata kempen yang dinamakan sebagai 'I Choose' atau 'Saya Pilih' ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan belia sama ada pelajar sekolah, kolej atau universiti terhadap penyakit ini yang boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat.

"Dengan kerjasama Courts, hari ini kami dapat melancarkan halaman facebook khas untuk golongan belia. Halaman ini istimewa kerana ia akan menjadi saluran utama bagi mereka berkongsi maklumat termasuk cara mengamalkan gaya hidup sihat daripada segi pengambilan bahan makanan, senaman dan seumpamanya sejak peringkat awal bagi menghindari kanser.

"Selain itu, dengan kewujudan halaman facebook ini, kami dapat memikat hati semua golongan belia apabila nada dan gaya bahasa yang digunakan bersesuaian serta digemari mereka.

"Golongan belia sememangnya berkeupayaan untuk menyerap maklumat yang banyak. Oleh itu, kami berharap dapat menyalurkan pelbagai maklumat penting ini kepada mereka menerusi saluran komunikasi yang paling disukai agar dapat membentuk diri mereka untuk membuat pilihan bijak dengan mengatakan tidak kepada kanser," katanya.

Menurut Rubi Ain, kajian menunjukkan pencegahan kanser bermula dengan gaya hidup sihat dan lebih wajar serta berkesan lagi sekiranya amalan itu dimulakan dari usia muda.

Tidak sukar, antara petua menjaga kesihatan untuk menjauhi kanser atau penyakit kronik lain adalah dengan menggunakan krim pelindung sinaran matahari, meninggalkan tabiat merokok dan mengurangkan diri terdedah daripada asap rokok, memakan lebih banyak buah-buahan atau sayur-sayuran segar serta elak pengambilan makanan yang siap diproses.

Tambahnya, kempen berkenaan juga adalah sebahagian daripada program Harapan Kami Untuk Kanak-Kanak iaitu satu usaha inisiatif berterusan anjuran NCSM dan Courts sejak 2010.

"Keluarga sihat adalah asas kebahagiaan anggotanya. Seiring dengan konsep perniagaan Courts yang mengutamakan rumah tangga, amat penting bagi kami untuk membabitkan diri dan menyumbangkan usaha dalam kegiatan yang dapat meningkatkan tahap kesihatan masyarakat Malaysia," kata Pengarah Negara Courts, Chris Yong.

Selain akan sentiasa dikemas kini dengan maklumat terkini mengenai cara mengurangkan risiko kanser, halaman ini juga memperkenalkan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti koreografi tarian.

Menerusi medium sama, anda boleh menyaksikan sebuah video istimewa bertajuk Unlike Cigarettes yang mengandungi pandangan selebriti tempatan seperti Cheryl Samad, Jeremy Teo, Jojo Struys, Azura Zainal, Stephanie Chai, Julie Woon, Fuad, Will Quah dan Shawn Lee yang menggalakkan golongan belia untuk menghindari serta menghentikan tabiat merokok.

Satu lagi aktiviti yang boleh disertai oleh semua remaja warganegara Malaysia berusia 13 hingga 24 tahun ialah pertandingan membuat video. Peserta hanya dikehendaki merakamkan diri mereka untuk berkongsi pendapat mengenai keburukan merokok dan menghantar rakaman video berkenaan sebelum 30 September 2012.

Lima peserta terbaik yang akan diadili oleh barisan panel bertauliah berpeluang memenangi hadiah menarik tajaan Courts seperti televisyen Samsung LED 32 inci, Apple iPod Shuffle 2G dan mesin pencetak foto Canon Selphy.

Untuk melihat dan mendapatkan maklumat berguna mengenai penyakit kanser ini, layari www.facebook.com/ichoosemalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/23


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Ambil alih tanpa notis

Posted: 05 Sep 2012 03:32 PM PDT

SUBANG JAYA: Bersandarkan kepada kepakaran dalam bidang masing-masing, sindiket antarabangsa didalangi ceti haram atau along bersama institusi kewangan dan mereka yang terbabit dalam bidang perundangan dikesan menjadikan bangunan dan premis di sekitar Pelabuhan Klang sebagai pusat operasi pelbagai kegiatan haram.

Menjadikan pembeli hartanah sebagai mangsa, kumpulan terbabit mengaut keuntungan mudah hasil manipulasi prosedur pemilikan aset dengan kerugian ditanggung pembeli yang berminat mencecah RM2 bilion sejak tiga tahun lalu.


Mendedahkan perkara itu dalam satu sidang media bersama semalam, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Jacob George berkata, hasil maklumat diterima pihaknya dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendapati, sindiket terbabit berselindung di sebalik institusi kewangan untuk mendapatkan premis dibeli pengguna dengan cara pengambilalihan tanpa notis.

Katanya, taktik berkenaan mula digunakan tiga tahun lalu selepas pihaknya menerima aduan pembeli yang tertipu dan kerugian selepas tidak mendapat harta dijanjikan biarpun sudah menandatangani perjanjian jual beli.


"Bukan itu saja, kami dapati, mereka mengambil alih sesuatu harta dibeli dengan tidak memberikan makluman serta pemberitahuan seperti sepatutnya, malah wang pendahuluan juga tidak dipulangkan.


"Dalam kes terbaru, kami menerima aduan daripada seorang pembeli bagi sebidang tanah bernilai RM11.5 juta yang mengandungi tiga gudang berserta jeti di Pelabuhan Klang, namun dikejutkan apabila mengetahui hartanah itu sudah dijual kepada pihak lain," katanya. Beliau berkata, pembeli berkenaan kerugian RM3.7 juta iaitu kos untuk menaik taraf bangunan selain mendapatkan sendiri Sijil Layak Menduduki sebelum 'kempunan' apabila mengetahui ia turut dijual kepada pihak lain.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut pihaknya mendapati wujudnya rundingan 'senyap' antara beberapa pihak sehingga membawa kepada penemuan pembabitan ceti haram dan 'orang dalam' institusi kewangan yang bersubahat menipu pembeli.


"Selanjutnya, kami mendapati mereka menggunakan premis dibeli untuk menjalankan kegiatan salah di sisi undang-undang dengan menyeludup tembakau, minuman keras dan barangan lain untuk mengelakkan cukai. Kebanyakan pusat operasi mereka tertumpu di kawasan pelabuhan," katanya pada sidang media yang dihadiri Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya kesal dengan situasi itu dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi mendakwa mereka yang terbabit selain mengkaji semula prosedur sedia ada bagi lelongan dan tuntutan balik aset. "PPIM bersama Cassa akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz selain membuat laporan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung perkara ini minggu depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


DBKL kaji kurangkan lesen pusat hiburan

Posted: 05 Sep 2012 03:28 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengkaji semula pemberian lesen pusat hiburan serta kelab malam di ibu kota dan kemungkinan bilangan sedia ada dikurangkan.

Ini berikutan kewujudan banyak masalah sosial dan jenayah di premis terbabit.


Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, menerusi Jabatan Pelesenan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama bagi mengkaji semula dasar pemberian lesen kepada pemilik perniagaan.

Katanya, dasar yang ditetapkan memutuskan sebelum sesebuah kelab malam beroperasi, premis itu perlu dipastikan lokasi dan jaraknya bersesuaian, mementingkan keselamatan dan tidak mengundang berlaku kes jenayah.


"Ini bermakna pemilik perniagaan mesti patuh arahan dan garis panduan, selamat dan beroperasi dengan kebenaran," katanya mengakui wujud premis haram di ibu kota dan memberi amaran keras kepada mereka yang ingkar.


Katanya, pihaknya terlebih dulu akan berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) sama ada mengurangkan pemberian lesen atau sebaliknya.

"Sehingga kini belum ada kata putus dan ia akan dibincangkan dalam masa terdekat," katanya memberitahu operasi kelab malam dan pusat hiburan tertakluk kepada kelayakan dan polisi DBKL.


Sementara itu Timbalan Menteri WPKB, Datuk M Saravanan dalam laporan akhbar semalam berkata, kementerian akan mengkaji semula lesen pusat hiburan dan kelab malam di ibu kota memandangkan terlalu banyak kewujudan premis itu ketika ini.

Beliau berkata, keputusan itu diambil supaya tidak mendatangkan banyak masalah sosial dan jenayah seperti kes tembakan dua penjaga kelab di Jalan Doraisamy, baru-baru ini.


Katanya, sehingga kini kira-kira 300 kelab malam dan pusat hiburan beroperasi terutama di Jalan Changkat Jering dan Jalan Doraisamy termasuk 10 peratus daripadanya beroperasi tanpa kebenaran dan melebihi waktu dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Lela tolak Aussie

Posted: 05 Sep 2012 08:59 AM PDT

RATU terjun negara, Pandelela Rinong akhirnya mengambil keputusan rasmi nekad mengorbankan tawaran melanjutkan pelajaran ke Australia dengan alasan ingin berada di samping jurulatihnya, Yang Zhuliang di tanah air.

Pemenang pingat gangsa 10 meter platform Olimpik London itu menyatakan, dia lebih selesa untuk melanjutkan pelajaran di negara sendiri sekali gus latihannya di Pusat Akuatik Bukit Jalil tidak terganggu.


Sejurus selepas mencipta nama di temasya Olimpik baru-baru ini, Lela menerima biasiswa penuh pengajian selama empat tahun di Australia yang ditawarkan negeri kelahirannya, Sarawak. Bagaimanapun, Lela seakan dibayangi tanda tanya sama ada ingin menerima tawaran itu atau sebaliknya demi sukan negara.

"Buat masa ini, saya belum lagi menetapkan keputusan untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti tempatan dan hanya bergantung kepada tawaran selepas ini. Yang pasti, saya akan mengambil jurusan Sains Sukan dan akan terus berada di samping jurulatih.


"Dengan mengambil langkah ini, saya bukan saja dapat terus menjalani latihan lebih lancar dengan jurulatih serta rakan seangkatan malah tidak akan berjauhan dengan keluarga di Sarawak. "Seperti yang semua tahu, keluarga adalah perkara paling utama buat saya," katanya ketika dinobat ikon Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) 2012 Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 1, semalam.


Mengulas lanjut, atlet keturunan Bidayuh berusia 19 tahun itu menekankan bukan tidak menghargai tawaran ke Australia, cuma baginya langkah untuk terus kekal di negara sendiri yang terbaik untuk semua pihak.

Malah, sebelum ini Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong pernah menyuarakan pandangan dan mahu melihat Lela menyambung pengajiannya di tanah air kerana ia boleh memberi peluang penerjun lain mendapat tunjuk ajar daripada Zhuliang. Sementara itu, Lela yang menjadi atlet pertama negara dinobat ikon sekolah menyuarakan pendapat agar lebih banyak sekolah mengambil inisiatif sama dengan memilih atlet sebagai ikon masing-masing.


"Sememangnya saya amat menghargai langkah ini dan berharap lebih ramai lagi atlet diberi peluang sama dipilih sebagai ikon. Tindakan bijak ini sekali gus mencapai misi negara dalam menggalakkan gaya hidup di kalangan remaja.

"Malah, tindakan ini juga mampu menarik minat lebih ramai remaja meminati sukan khususnya terjun di sekolah sekali gus melahirkan lebih ramai pelapis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Sanjung bakat atlet

Posted: 05 Sep 2012 08:54 AM PDT

ATLET Perlis yang beraksi cemerlang memenangi pingat pada temasya dwitahunan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang, baru-baru ini menerima insentif kerajaan negeri berjumlah RM56,000.

Majlis penyampaian insentif di Dewan Warisan Negeri, Jalan Kolam Kangar itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.


Atlet angkat berat, Ku Azarul Ku Othman menerima insentif paling tinggi berjumlah RM6,000 berikutan kejayaan memenangi dua pingat emas pada temasya Sukma di Pahang itu. Ku Azarul menyumbang dua pingat emas kepada kontinjen Perlis menerusi acara clean & jerk dan snatch kategori 94 kilogram.

Selain Ku Azarul, dua lagi atlet angkat berat, Mohd Hanie Musa dan Afifah Azmal turut menerima insentif atas kejayaan masing-masing pada temasya itu.


Mohd Hanie yang memenangi satu emas dan satu perak kategori 85kg menerima RM5,000 manakala Afifah yang memenangi dua pingat gangsa kategori 58kg menerima RM2,000.


Pemenang pingat emas boling padang beregu wanita, Auni Fatihah Kamis dan Syafiqa Afif Abd Rahman pula menerima RM3,000 manakala Abd Syafiq Afif Abd Rahman dan Abd Hakim Afif Abd Rahman yang memenangi gangsa beregu lelaki membawa pulang RM1,000.

Turut menerima insentif atas pencapaian di Sukma Pahang itu pemenang dua pingat perak acara terjun papan anjal tiga meter dan papan anjal satu meter, Ahmad Amsyar Azman berjumlah RM4,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Pura-pura mati untuk uji kekasih

Posted: 05 Sep 2012 09:12 AM PDT

MOSCOW: Kerana ingin tahu sama ada teman wanitanya benar-benar menyintainya, seorang lelaki berpura-pura mati dalam satu kejadian kemalangan kereta yang mengerikan dan kemudian bangkit untuk mengajukan soalan itu.

Alexey Bykov mengupah seorang pengarah filem, pelakon lasak, jurusolek artis dan juga penulis skrip untuk mengadakan adegan kemalangan olok-olok itu.


Lelaki berusia 30 tahun berkenaan sebelum itu mengaturkan pertemuannya dengan teman wanitanya, Irena Kolokov di lokasi kemalangan itu supaya wanita itu yakin dia mati.

Irena berkata: "Kami berjanji bertemu di sesuatu tempat. Tetapi apabila tiba, terdapat beberapa kereta yang kemalangan dan tercampak di sana sini, ambulans, asap dan kebakaran.


"Kemudian, apabila saya melihat Bykow penuh dengan darah terbaring di jalan raya, seorang paramedik memberitahu saya, dia sudah mati. Saya menangis." Tetapi Bykov yang sudah 'mati' bangkit dan melamar Irena, dengan tubuhnya masih dibasahi darah palsu.


Irena berkata: "Saya sungguh marah sehingga hampir membunuhnya sekali lagi, tapi kali ini mahu memastikan dia benar-benar mati." Mujur bagi Bykov, Irena memahami jenaka itu dan menerima lamarannya. Pasangan itu berkahwin minggu lalu.

Bykov yang berasal dari Omsk, Russia berkata: "Saya mahu dia menyedari betapa kosong jiwanya tanpa saya dan bagaimana dia akan hidup tanpa saya.


"Saya percaya saya berjaya melakukannya. Tetapi itu adalah yang terakhir saya berbuat demikian." - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Periksa kesihatan ular

Posted: 05 Sep 2012 09:10 AM PDT

LONDON: Bali, ular sawa sepanjang 23 kaki, dipercayai yang terpanjang di Britain.

Kerana itu, ia bukan kerja mudah apabila kakitangan Zoo Chester memilih untuk menjalankan imbasan ultrasound terhadap ular berkenaan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan jantungnya.


Ia memerlukan enam sukarelawan untuk mengangkat haiwan itu daripada tempat kurungannya dan keluar dengan disambut oleh Dr Eric Stohr dari Universiti Metropolitan Cardiff untuk membolehkan sampel darah diambil dan menjalankan imbasan berkenaan.

Ular sawa rendam itu yang seberat 90 kilogram juga dipercayai ular paling besar di Britain.


Ular gergasi ini berkongsi habitat mereka di hutan Asia Tenggara dengan orang utan dan menjadi sebahagian daripada segelintir pemangsa semula jadi mereka.


Di Zoo Chester, ular sawa diberi makan ayam belanda, ayam atau arnab setiap enam hingga lapan minggu.

Mereka mempunyai gigi yang tajam yang digunakan untuk mencengkam mangsa sebelum menghancur dan melemaskan haiwan itu dengan badan mereka.


Mujur, dengan enam orang memegang ular itu, bersama-sama doktor haiwan berkenaan, ular itu tunduk kepada teknologi perubatan dan zoo itu kini boleh memeriksa kesihatan Bali dan diharapkan ular itu akan terus menghiburkan pengunjung untuk tahun-tahun akan datang. Selain memeriksa kesihatannya, Bali juga diperiksa oleh dua pakar jantung, Rob Shave dan Eric Stohr, juga dari Universiti Metropolitan Cardiff, yang mengambil peluang melakukan imbasan ultrasound pada jantungnya.

Mata ular itu ditutup sepanjang proses berkenaan bagi menenangkannya ketika diperiksa. Menurut zoo itu, kebesaran dan corak kulit yang menarik ular sawa rendam menyebabkan ia menjadi mangsa buruan untuk mendapatkan kulit bagi dijadikan produk kulit yang popular seperti tali pinggang, beg duit dan but.


Kemusnahan habitan juga menjadi ancaman utama. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Mati dilanggar dalam rumah

Posted: 05 Sep 2012 08:11 PM PDT

TUMPAT: Seorang budak lelaki berusia dua tahun yang sejak beberapa hari lalu sering bermain sambil mengibar Jalur Gemilang, maut dalam keadaan masih memegang bendera kebanggaan negara itu selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabas sebelum merempuh rumah kedai milik datuknya, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang di Kampung Dalam Rhu, di sini, mangsa, Adam Firdaus Mohd Shukri meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tumpat akibat parah di kepala, badan serta patah tulang rusuk.

Sebelum kejadian, anak bongsu daripada tiga beradik itu bermain sambil memegang Jalur Gemilang di ruang tamu dengan diawasi ibunya, Nik Salwani Abdullah, 26, yang ketika itu menemani dua lagi anaknya, Shahrul Yuzy Faizal, 10, dan Mohd Ikhwan, 5, yang membuat kerja sekolah.

Tiba-tiba, sebuah Mercedes Benz 190E dipandu seorang lelaki berusia 60-an merempuh bahagian depan rumah kedai dan mangsa terseret bersama runtuhan konkrit dinding sebelum terbaring berlumuran darah di satu sudut ruang tamu.


Kanak-kanak itu diangkat neneknya, Aisyah Seberang, 55, ke luar rumah dan dibawa jiran ke Hospital Tumpat, tetapi disahkan sudah meninggal dunia.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


Tembak ipar enggan kerja

Posted: 05 Sep 2012 03:48 PM PDT

KENINGAU: Berang sebaik menyedari adik iparnya enggan keluar bekerja, seorang lelaki bertindak 'ala koboi' apabila melepaskan dua das tembakan yang mengenai perut lelaki itu dalam kejadian di Kampung Samuran, dekat sini, Isnin lalu.

Mangsa dikenali sebagai Jojo, 32, kini menerima rawatan di Hospital Keningau dan berada dalam keadaan stabil selepas ditembak dari jarak dekat oleh abang iparnya dipercayai menggunakan sepucuk pistol.


Difahamkan, sebelum kejadian, kedua-dua mereka dipercayai bertengkar termasuk mangsa ada menegur abang iparnya berusia 50 tahun yang juga tidak keluar bekerja di ladang kepala sawit.

Sumber berkata, suspek kemudian mengambil sepucuk pistol lalu menuju ke bilik mangsa dan melepaskan dua das tembakan, kira-kira jam 9 pagi.


Menurutnya, suspek yang panik melihat mangsa terbaring berlumuran darah kemudian melarikan diri.


"Beberapa anggota keluarga yang terkejut dengan tembakan itu mendapati mangsa terbaring sambil menekap perutnya yang berlumuran darah.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Keningau bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis," katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata sebaik menerima laporan, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.

"Siasatan mendapati, kejadian berpunca apabila kedua-dua bertengkar sebelum suspek menembak mangsa.


"Pemeriksaan di tempat kejadian turut menemui dua kelongsong peluru dipercayai pistol digunakan suspek," katanya ketika dihubungi, semalam.


Katanya, polis sedang giat memburu suspek yang melarikan diri sebaik kejadian itu, manakala mangsa masih menerima rawatan di hospital.


"Polis meminta orang ramai yang mengetahui lokasi suspek menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau di talian 087-332 222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Enam bulan masuk kelas

Posted: 05 Sep 2012 05:58 AM PDT

JUMLAHNYA bukan sedikit. Lebih RM100,000 diperuntukkan penyanyi dan pelakon, Nas Adila Mohd Dan atau Adila, 26, untuk memulakan perniagaan studio, Nas Adila D'apple Studio Dance & Slimming Center yang kini beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor.

Nyata, jumlah itu satu pelaburan yang besar dan pastinya mengundang tanda tanya dari manakah dia memperoleh wang sebanyak itu sedangkan kalau diukur dari segi populariti, gadis mesra disapa Adila itu masih belum benar-benar kukuh menawan industri seni.

Barangkali orang sudah kenal namanya, namun Adila sendiri pernah mengakui kurang mendapat peluang. Lantas, segelintir pihak melontarkan pandangan sinis apakah perniagaan barunya itu ditaja pihak tertentu?

"Sebelum ini saya pernah buka perniagaan cuci kereta di Shah Alam dan selepas setahun beroperasi memang saya sangat berpuas hati dengan sambutan pelanggan.

"Bagaimanapun, perniagaan ini memerlukan fokus dan saya perlu berada di premis setiap masa memantau operasi yang dijalankan sedangkan jadual seni saya juga padat.

"Apabila tidak dipantau, timbul pula masalah misalnya berkaitan pekerja dan macam-macam lagi. Selepas berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk menutup perniagaan itu dan mencuba sesuatu yang baru lantaran minat berniaga membuatkan saya mahu terus mendalaminya.

"Kebetulan, saya dilantik sebagai duta D'Apple Fiber iaitu produk di bawah rangkaian jenama Dya D'Masha. Tanpa disangka-sangka, sambutan yang diberi cukup hangat sehingga pengeluar produk itu memberikan bonus kepada saya dan daripada hasil pendapatan itulah termasuk wang simpanan yang lain hasil daripada pendapatan menyanyi, mengacara dan berlakon, saya jadikan modal membuka studio ini.

"Justeru, segala kos RM100,000 yang dilaburkan untuk membuat pengubahsuaian studio ini 100 peratus duit saya sendiri, bukannya ditaja atau perkongsian dengan mana-mana pihak," tegasnya.

Adila menambah, idea memperkenalkan konsep studio itu tercetus daripada pengalamannya sebagai pengguna D'Apple Fiber.

Gadis tinggi lampai ini percaya, mengambil makanan tambahan saja tidak cukup seandainya tidak mengamalkan senaman.

"Ada pelanggan bertanya pada saya berat badan mereka turun, tapi tidak banyak. Apabila ditanya adakah mereka menjaga pemakanan dan bersenam, nampaknya hal itu kurang dititikberatkan.

"Wanita harus faham, untuk memperoleh berat badan ideal secara cepat serta potongan badan yang menarik, mereka harus melakukan senaman. Bagaimanapun, kebanyakan rakyat Malaysia kurang rajin bersenam.

"Justeru, timbul idea untuk membuka studio tarian ini supaya pelanggan D'Apple Fiber mahupun bukan pelanggan dapat sama-sama menjalani kehidupan sihat dengan cara yang lebih menghiburkan berbanding senaman. Apa yang penting mereka mesti berpeluh.

"Selain menari, di sini juga saya menjual produk D'Apple Fiber serta terdapat rawatan melangsingkan badan. Perkhidmatan 3 dalam 1 ini iaitu menari, pengambilan makanan tambahan serta rawatan langsing dapat membantu wanita mendapatkan tubuh badan yang diinginkan.

"Ada beberapa jenis tarian. Selain tradisional dan poco-poco yang saya sendiri turun padang untuk mengajar kalau ada kelapangan. Studio ini juga menawarkan tunjuk ajar tarian pop dan salsa yang dikendalikan pereka tari terkenal," katanya.

Bicaranya lagi, pendaftaran untuk dewasa cuma RM150 dan RM69 untuk kanak-kanak. Bayaran yuran setiap bulan cuma RM100 untuk dewasa dan RM40 (kanak-kanak) untuk lapan sesi.

Sempena pembukaan studio itu, pihaknya turut mengadakan promosi. Justeru, ini masa terbaik buat wanita dan lelaki yang ingin merasai keseronokan kelas tarian D'Apple Studio Dance.

Akui Adila lagi, dunia tarian tidak asing baginya kerana ibunya, Rashidah Hamid adalah bekas penari Kebudayaan Johor.

Bahkan, tahun lalu selama enam bulan dia mengikuti kelas tarian di bawah bimbingan Linda Jasmine untuk mewarnakan lagi persembahannya khususnya dalam menyampaikan lagu rancak.

Mengemas kini aktiviti seninya, jujur Adila, dia harus mendahulukan perniagaan yang baru bermula. Bagaimanapun, dia sudah merangka beberapa perancangan.

Baru saja selesai penggambaran drama 13 episod, Sedetik Lebih arahan Jurey Latiff untuk RTM, Adila membawa cabaran besar melakonkan watak wartawan meja jenayah, Liyana.

"Ini drama kedua saya selepas Opah. Sekadar mencuba, akhirnya saya jatuh cinta, apatah lagi lebih sebulan menjalani penggambaran Sedetik Lebih, hubungan saya dengan pelakon serta kru bagai sebuah keluarga.

"Saya putuskan, alang-alang sudah jatuh cinta apa salahnya saya terus menjadikan ia bidang kerjaya yang serius untuk masa depan.

"Menyentuh karakter saya menerusi drama ini, saya memegang watak Liyana yang bertugas sebagai wartawan di meja jenayah yang sering bekerjasama dengan seorang peguam lakonan Shafiq Bakri. Lama kelamaan mereka jatuh cinta.

"Sukar sebenarnya untuk menghidupkan watak ini lebih-lebih lagi babak menangis, selain wujud jurang antara karakter Liyana di rumah dan ketika bekerja. Di rumah, dia seorang anak yang manja sedangkan sewaktu bekerja, dia serius dan garang," katanya.

Terdapat satu tawaran menantinya bulan ini. Adila berkata, dia bakal menjalinkan kerjasama dengan 'rapper' popular, Altimet tidak lama lagi.

"Sesudah siap projek ini barulah saya kembali fokus pada rakaman lagu solo. Ikutkan hati sebenarnya saya hampir mengalah apabila pelbagai usaha dilakukan untuk mengetengahkan karier nyanyian selalu tidak menjadi.

"Dua tahun lalu, saya pernah merakamkan single berjudul Bidadari Syurga ciptaan Koha dan Jay dipetik daripada album EP yang turut memuatkan lagu I Love You.

"Mencari formula segar sehingga ke Indonesia juga diharapkan dapat memberi sinar baru kepada nasib saya. Namun perancangan untuk melancarkan video muzik serentak dengan Bidadari Syurga hanya tinggal angan-angan apabila video muzik yang menelan belanja RM50,000 itu tidak menepati kehendak saya.

"Saya diperkenalkan kepada mereka oleh produser lagu Bidadari Syurga sendiri. Sebelum penggambaran dimulakan, saya minta 'story board' daripada pihak penerbitan, namun ada saja alasan mereka. Sudahnya apabila siap, hasilnya sangat mengecewakan.

"Memang tersangat kecewa tapi saya jadikan pengalaman ini pengajaran. Walaupun ada masanya saya hampir-hampir menyerah kalah, namun selepas berfikir panjang, saya menjadi bertambah kuat," katanya.

Adila pernah muncul dengan dua album berkonsepkan irama tradisional sebelum ini, Kekasih Kerinduan (2004) dan Istana Janji (2006). Bagaimanapun, kedua-dua album berkenaan belum cukup kuat menyerlahkan kemampuan dirinya. Namun siapa tahu selepas ini Adila akan bangkit dengan semangat baru.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Lebih mudah dapat hiburan

Posted: 05 Sep 2012 05:48 AM PDT

ADAPTASI hiburan tanpa batasan ke web interaktif memang diakui sering memudahkan kita mengakses pelbagai program yang terlepas untuk ditonton di kaca televisyen. Kini ada banyak gadget moden yang boleh diakses dengan talian Internet dan mudah dibawa ke mana-mana. malah boleh ditonton setiap masa.

Namun bagi sesetengah orang yang lebih gemar cara konvensional iaitu bersantai selesa menonton rancangan mereka di kaca televisyen, kepuasan pastinya terhad andai gadget bukan pilihan utama mereka.

Melangkah setapak lagi bagi mempelbagaikan pilihan medium untuk penonton, Alt Media Sdn Bhd mengikat kerjasama dengan syarikat global ulung media digital, Samsung Malaysia Electronics yang memperkenalkan aplikasi hiburan ke TV pintar pula.

Menjadi portal video nombor satu Malaysia, Tonton yang menyediakan perkhidmatan TV 'catch-up' milik Media Prima Berhad termasuklah TV3, ntv7, 8TV, TV9, Gua TV, Fly TV, Hot TV dan One TV kini sudah boleh dinikmati menerusi Samsung Smart TV mulai Disember ini.


Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Media Baru dan Pemasaran Bersepadu, Media Prima Berhad, Lam Swee Kim, ini adalah inisiatif terbaru pihaknya yang ingin sentiasa meneroka pelbagai peluang buat penonton setia mereka.


"Capaian Internet memang sudah meluas sekarang dan ramai memilih cara mudah ini untuk mengakses pelbagai program termasuklah kandungan yang ditawarkan dalam Tonton. Namun, dengan termeterainya kerjasama ini, buat pelanggan Samsung Smart TV khususnya, mereka boleh menikmati pelbagai rancangan yang mereka terlepas siarannya.

"Kiranya, ini adalah alternatif terbaru buat mereka yang lebih sukakan suasana santai di ruang tamu tanpa ketinggalan untuk mengikuti rancangan kegemaran mereka.

"Dengan mengikat kerjasama dengan Samsung juga, semestinya skop kandungan yang ditawarkan akan lebih meluas. Di samping disajikan dengan program hebat tempatan dan juga antarabangsa, tentunya penonton tidak perlu risau lagi dengan kualiti imej kerana semua program dalam format definisi tinggi (HD)," katanya sewaktu ditemui pada acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Sri Pentas, Selasa lalu.

Lebih istimewa, perisian yang disediakan itu nanti tidak lagi memerlukan penonton untuk mendaftar masuk melalui perkakasan komputer seperti di web sedia ada. Dengan konsep sentuhan di hujung jari saja, antara program yang pastinya boleh diikuti termasuklah Buletin Utama, Bella, Ho Chak dan Muzik Muzik.

"Perkhidmatan ini adalah percuma sepenuhnya dan pelanggan hanya perlukan sebuah TV Samsung Smart untuk memiliki perisian berkenaan. Semua program juga akan dimuat naik secara automatik ke sistem Tonton dalam jangka masa dua jam selepas siaran asal di saluran TV biasa," tambah Lee.

Turut hadir menyempurnakan majlis menandatangani MoU yang berlangsung sederhana itu, Ketua Jabatan Media Baru Media Prima, Datuk Zainul Ariffin Mohamed Isa; Pengarah Urusan Samsung, Kwon Jae Hoon dan Pengarah Perniagaan Elektrik Pengguna Samsung, Jimmy Tan Chee Wee.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved