Selasa, 22 Januari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bawa 4 buku saja!

Posted: 22 Jan 2013 11:00 AM PST

ANDA tentu biasa melihat kanak-kanak terutama pelajar tahun satu yang rata-rata memiliki berat badan normal 18 kilogram hingga 25 kilogram terbongkok-bongkok memikul beg galas yang berat­nya tidak sepadan dengan saiz badan mereka.

Ada pula yang terpaksa menaiki tangga sehingga ke tingkat dua sambil mengheret beg penuh buku setiap hari apabila kelas mereka berada di tingkat atas.

Hanya perkataan kasihan mampu dilafazkan tat­kala melihat senario yang berlaku hampir setiap tahun tatkala persekolahan baru bermula. Adakah kanak-kanak ini menggunakan beg galas yang salah (yang sememangnya sudah berat dan besar) atau sememangnya beg mereka dipenuhi muatan buku yang tidak sepatutnya dibawa ke sekolah?

Kini, selepas beberapa tahun isu beg berat seakan sudah berjaya diatasi, namun ada juga rungutan di kala­ngan ibu bapa baru terutama mereka yang memiliki anak pertama di tahun satu yang melahirkan kebimbangan mengenai kesihatan anak mereka.

Foto

IBU BAPA harus memantau barang yang dibawa dalam beg sekolah anak.

Foto

BEG sekolah beroda yang dipakai Adam (kiri) mampu mengurangkan bebanan.


Perlu diimbas, Kementerian Pelajaran Malaysia pernah menjalankan kajian khusus pada 2003 bagi me­ngenal pasti punca sebenar masalah beg berat ini. Kajian mendapati berat sebenar keseluruhan buku teks di antara 2.8 kilogram hingga tiga kilogram saja bagi tahun tertentu. Menurut sumber Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga, berat ini akan jauh berkurangan jika pelajar membawa buku teks dan buku latihan mengikut jadual waktu harian.


Namun persoalannya, perlukah semua buku tambahan dan latihan dibawa ke sekolah setiap hari bersama botol air serta bekalan yang tentunya akan menambah bebanan beg sekolah mereka?

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh, Mohd Ikhsan Ahmad, isu beg berat yang menjadi perdebatan sejak beberapa tahun lalu sebenarnya kini tidak lagi menjadi isu utama sekiranya kerajaan, sekolah, guru dan penjaga memainkan peranan masing-masing.

Kerajaan menerusi KPM berusaha mengatasi masalah ini apabila buku teks tahun satu kini disediakan dalam jilid satu dan dua bagi mengu­rangkan bebanan pelajar ke sekolah.

"Jika dulu buku teks tebal diberikan kepada pelajar tetapi kini usaha menyediakan dua jilid dapat mengurang­kan jumlah buku yang perlu dibawa ke sekolah sekali gus mengurangkan berat beg mereka," katanya.

Selain itu, jadual pembelajaran dengan menye­diakan masa berganda dua dan tiga waktu mampu mengurangkan bukan saja jumlah buku teks tetapi juga buku latihan. Ini bermakna dalam sehari, pelajar ha­nya mengikuti maksimum empat mata pelajaran dan adakalanya lima sekiranya tiada waktu berganda tiga pada hari itu.

Jika diikutkan, pelajar hanya perlu membawa empat buku sama ada buku teks, buku latihan, buku aktiviti atau kesemuanya bergantung kepada guru me­ngajar.

Dalam hal ini, peranan guru sangat penting bagi menyediakan peranca­ngan pengajaran berkesan menge­nai apa yang akan diajar pada hari itu bagi mengelak kekeliruan.

"Contohnya bagi guru Bahasa Melayu, tidak mungkin mereka akan mengajar pemahaman, tatabahasa atau penulisan dalam peruntukan waktu yang sama kerana kebiasaannya guru ini akan menetapkan hari tertentu untuk pelajaran tertentu. Jadi, pelajar akan membawa buku berkaitan dengan kemahiran yang akan diajar pada hari itu sekali gus mengu­rangkan jumlah buku yang mereka bawa. Apa yang penting, guru harus memberitahu pelajar kemahiran yang akan diajar walaupun sudah disediakan jadual waktu," jelasnya.

Ada pula sesetengah sekolah meminta pelajar membeli buku kerja dan tidak perlu dibawa ke sekolah. Latihan dalam buku kerja ini disiapkan ketika cuti atau hujung minggu dan guru akan menyemak pada waktu tertentu saja.

Namun begitu langkah di pihak kerajaan dan sekolah bagi mengurangkan bebanan beg sekolah tidak akan berjaya tanpa kerjasama ibu bapa. Tugas penting penjaga meneliti jadual waktu dan memastikan anak-anak membawa buku dijadualkan saja. Kaedah penjilidan buku teks agar tidak terlalu tebal mampu mengurangkan bebanan pelajar ke sekolah namun ibu bapa harus memastikan jenis buku teks yang perlu dibawa dan bukan kesemuanya.

"Namun apa yang berlaku ada sesetengah pelajar tidak mengikut jadual waktu disediakan sebaliknya membawa semua buku kerana bimbang atau takut dimarahi guru. Ada pula murid tahun satu masih membawa anak patung ke sekolah yang tentunya menambah bebanan pelajar. Ini belum termasuk botol air dan bekas makanan yang tentu­nya menyumbang kepada jumlah berat beg mereka," katanya yang menasihati ibu bapa supaya memeriksa beg sekolah anak bagi mengelak mereka membawa barang yang tidak perlu.

Mohd Ikhsan berkata, walaupun dulu pihak sekolah menyediakan meja berlaci bagi memudahkan pelajar menyimpan buku yang tidak digunakan, ia tidak lagi dilaksanakan kerana tidak praktikal kerana kebanyakan sekolah mengamalkan sistem dua sesi iaitu pagi dan petang.

"Pelajar pagi dan petang berkongsi kelas jadi penggunaan laci tentunya menyukarkan pelajar menyimpan barang bersama kerana dikhuatiri akan hilang. Begitu juga sekiranya disediakan tempat simpanan barang seperti di kebanyakan sekolah di negara maju yang lain namun tidak sesuai dipraktikkan di negara ini kerana kanak-kanak terutama berusia tujuh tahun masih belum matang. Kemungkinan berlaku masalah kehilangan kunci atau terlupa mengambil barang," kata­nya.

Bagi mengurangkan masalah kesihatan di kalangan kanak-kanak teknik menggalas beg juga perlu diikuti. Antaranya:

1. Memastikan beg sandang tegap buatannya dan saiz sesuai dengan saiz badan kanak-kanak. Kini, sudah ada beg sandang kecil khas untuk kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 10 tahun. Beg ini beratnya kurang daripada 500 gram manakala tali sandang lebih pendek dan lebar supaya tidak mudah jatuh.

2. Rupa bentuk beg semata-mata bukan ukuran mutlak dalam membuat pilihan kerana beg yang tidak sesuai akan menyebabkan sakit belakang, ketegangan otot dan mempengaruhi saraf. Untuk memastikan muatan beg tidak berat sebelah, pilih beg yang tali sandang dan tali ikat pinggangnya berpelapik.

3. Pastikan berat beg tidak melebihi 15 peratus berat badan si anak. Elakkan membawa barang yang tidak perlu.

4. Latih anak menyusun barang supaya berat beg seimbang atau tidak berat sebelah.

5. Pastikan anak tidak membawa beg sandang di sebelah bahu saja. Tali sandang dan tali ikat pinggang hendaklah sentiasa digunakan. Pakai tali di pinggang (tali sandang ketiga) jika ada. Jangan biarkan tali ini terlepas begitu saja bagi mengurangkan tekanan beban di bahu dan belakang.

6. Teknik mengang­kat beg sangat penting. Mengang­kat beg dengan cara yang tidak betul berulang kali, walaupun beg itu ringan, boleh menjejaskan kesihatan.

Caranya dengan:

  • Memastikan beg yang hendak diangkat berada di depan anda.
  • Bengkokkan lutut.
  • Gunakan kedua-dua tangan untuk menimbang bagi memastikan berat beg.
  • Angkat beg dengan melonjakkan badan menggunakan kaki, bukan belakang.
  • Dengan cermat, selitkan tali sandang di sebelah bahu diikuti sebelah lagi, jangan sekali-kali membawa beg sandang dengan menggalas di sebelah bahu saja.
  • Sekiranya anak menga­du sakit di mana-mana bahagian badan akibat menggalas beg, segeralah membawanya untuk pemeriksaan kesihatan.

    Pastikan ikut jadual waktu

    "Setiap pagi saya menghantar Adam ke kelas dan mengambilnya di hadapan pintu sekolah kerana kasihan dengan bebanan beg sekolah yang perlu dibawa setiap hari. Adam bersekolah di sekolah jenis kebangsaan cina yang mana jumlah buku teks lebih banyak berbanding sekolah kebangsaan biasa," ujar Leny Herlina Agusyarif, ibu kepada tiga cahaya mata.

    Selain anak kedua, Adam Aswad, anak sulungnya Addiena, 10, turut belajar di sekolah sama. Kali pertama mengisi buku di dalam beg sekolah anaknya, Leny tidak sanggup membenarkan Adam menggalas beg sendiri kerana bebanannya cukup berat sehingga mencecah lima hingga tujuh kilogram berbanding berat Adam hanya 20 kilogram.

    Justeru, dia tidak membeli beg galas biasa sebaliknya mencari beg beroda bagi memboleh­kan Adam menarik dan bukan menggalas di belakang. Mujur kelas Adam di tingkat bawah jadi tidak menyukarkannya menarik beg sekolahnya.

    "Saya begitu teliti ketika membeli beg sekolah kerana berdasarkan pengalaman kakaknya, beg sekolah mudah rosak. Tali putus, roda tanggal dan terkoyak memang perkara biasa. Kadang-kadang dalam masa tiga bulan sudah perlu mengganti beg sekolah baru kerana muatan berlebihan," katanya.

    Tidak seperti pelajar aliran biasa, Adam perlu mengikuti pelajaran di sekolah bermula jam 7.30 pagi sehingga 3 petang. Ini kerana selepas waktu persekolahan dia perlu mengikuti kelas tambahan untuk mata pelajaran tertentu kemudian menyambung kelas tambahan bahasa di luar.

    "Jika diikutkan, memang jadual harian mereka sangat padat dan sudah tentu banyak buku yang perlu dibawa. Antaranya buku teks, buku latihan dan buku kerja yang adakalanya mencecah 20 buku. Ini tidak termasuk bekalan makanan dan air yang tentunya menambah bebanan di dalam beg sekolah.

    "Saya menyediakan bekalan untuk Adam setiap hari termasuk minuman. Walaupun disediakan di kantin, Adam lebih selesa membawa bekalan," katanya.

    Setiap malam, Leny memastikan Adam mengikut jadual waktu ditetapkan namun masih tidak dapat mengurangkan jumlah buku yang perlu dibawa. Adam pula bimbang sekiranya buku diperlukan tidak dibawa jadi cara terbaik dengan membawa semua buku untuk satu mata pelajaran.

    Sebagai ibu, dia memeriksa beg sekolah Adam setiap hari bagi memastikan dia tidak membawa barang yang tidak diperlukan. Adam pula tidak pernah merungut penat malah walaupun membawa beg berat ke sekolah setiap hari, dia tetap aktif melakukan aktiviti harian kerana sudah menjadi perkara biasa bagi sekolah jenis kebangsaan.

    "Membawa beg sekolah berat menjadi senario biasa bagi pelajar sekolah jenis kebangsaan kerana berbanding sekolah aliran biasa, mata pelajaran tambahan seperti bahasa wajib dipelajari," katanya yang mengikut saja apa yang sudah ditetapkan demi kemajuan Adam dalam pelajaran.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23
  • Hilang bau hamis

    Posted: 22 Jan 2013 10:17 AM PST

    Hidangan kambing bakar memang ada peminatnya sendiri. Ramai yang menggemarinya, tetapi tidak tahu cara penyediaan yang betul terutama kaedah menghilangkan bau hamis daging yang masih kekal walaupun sudah dibakar.

    Menurut Chef Sous Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur, Yohanis Jalaludin, untuk menghilangkan bau hamis daging kambing, ia harus dipotong dengan cara yang betul.

    "Cara memotong daging yang betul ialah melawan garisan urat bagi mengelakkan daging berbau ketika dimakan walaupun sudah dimasak lama.

    "Selain itu, untuk memastikan hidangan kambing bakar rasa enak, goreng daging seketika menggunakan api sederhana selama tiga minit.


    "Apabila warnanya bertukar kepada coklat dan bahagian luar sudah masak, ia boleh diangkat dengan segera. Cara ini bertujuan memastikan jus daging tidak hilang ketika dibakar," katanya.


    Kebiasaannya daging tidak dibasuh sebelum dimasak kerana jika dibersihkan, ia akan menghilangkan rasa jusnya yang asli.

    Apabila darah dibersihkan, ia akan menyebabkan daging menjadi tawar dan membuatkan hidangan yang dimasak kurang enak kerana jusnya sudah tiada.

    Tidak hanya menitikberatkan teknik memotong, membersih dan memasak yang betul, hidangan berkenaan harus dinikmati dengan sos yang sesuai.

    "Bagi membangkitkan selera, biasanya sos bawang putih dan rosemary sesuai dimakan dengan hidangan kambing bakar untuk mengimbangkan bau daging.

    "Pilihan sos lada hitam kurang sesuai untuk dinikmati bersama kambing bakar kerana ia menyebabkan rasanya tidak selari dengan sajian yang dihidang.

    "Sudah menjadi kebiasaan, apabila menikmati masakan Barat, ia dilengkapi dengan kehadiran kentang dan sayur-sayuran," katanya.

    Pilihan sayuran yang sesuai seperti zucchini yang termasuk di dalam keluarga timun juga boleh digantikan dengan brokoli, tomato atau terung bagi melengkapkan hidangan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Cincin tersekat jari OKU

    Posted: 21 Jan 2013 01:17 PM PST

    Kuala Lumpur: Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) menahan sakit hampir dua jam selepas cincin yang baru dibeli dan dipakainya tidak dapat dikeluarkan dari jarinya dalam kejadian di Kuala Kubu Baru, di sini, kelmarin.

    Cincin yang dipakai di jari tengah tangan kanan mangsa yang berusia 17 tahun itu menyebabkan jarinya bengkak hingga terpaksa dibawa ke hospital, jam 8.30 malam.


    Bagaimanapun, cincin itu berjaya dibuka sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baru.

    Ketua Operasinya Omar Mohd Yatim berkata, sepasukan bomba bertungkus-lumus selama setengah jam untuk membuka cincin berkenaan menggunakan gergasi besi selepas mangsa dibius pihak hospital.


    Katanya, cincin dipakai mangsa gagal dibuka keluarganya sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru.


    "Kami dimaklumkan kejadian itu jam 8 malam dan empat anggota bomba bergegas ke hospital untuk membantu membuka cincin itu.

    Foto

    ANGGOTA bomba memotong cincin yang tersekat di jari mangsa.

    "Kami menggunakan gergaji besi untuk memotong cincin itu yang memakan masa setengah jam.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/22
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Nyaris maut dihempap batu

    Posted: 21 Jan 2013 07:37 AM PST

    St George (Utah): Seorang wanita warga emas nyaris maut apabila bongkah batu besar runtuh dan merempuh dinding bilik tidurnya, malam semalam.

    Ketika kejadian, Wanda Lee Denhalter, 63, sedang tidur dan tidak sempat melakukan apa-apa untuk mengelak, tetapi dia masih bernasib baik kerana cuma tersepit di antara batu dan dinding rumahnya.


    Menurut Wanda, batu sebesar empat meter dan setinggi tiga meter itu merempuh rumahnya kira-kira jam 3 pagi. Dia mengalami patah rahang, tulang dada dan luka besar pada kakinya.

    Wanda juga bernasib baik kerana dalam keadaan tersepit itu, dia masih dapat mencapai telefon di rumahnya dan menghubungi perkhidmatan kecemasan bagi mendapatkan bantuan. Jurucakap polis St George berkata, Wanda dikejarkan ke Pusat Perubatan Wilayah Dixie dan menjalani pembedahan hampir empat jam bagi merawat pelbagai kecederaannya. Sementara itu, suami Wanda, Scot Denhalter, berkata dia tiada di rumah ketika kejadian.


    "Menurut Wanda, dia terdengar bunyi yang kuat sejurus sebelum batu besar itu melanggar rumah kami," katanya. Bimbang dengan bunyi itu, kata Denhalter, Wanda beralih ke sebelah katil dan berdiam diri di situ.


    Katanya, jika Wanda bangkit dan melihat apa yang berlaku, isterinya itu mungkin terbunuh. "Batu itu menyebabkan katil dan pelbagai perabot lain tercampak lebih satu meter," katanya.

    Foto

    BAHAGIAN luar rumah musnah dirempuh.

    Dalam keadaan terdesak itu, kata Denhalter, Wanda berjaya bangkit dan menghubungi talian kecemasan 911. Sehingga semalam, belum diketahui punca batu itu runtuh, tetapi Denhalter menjangkakan, paip air yang pecah di pinggir tanah tinggi berhampiran rumahnya mungkin ada kaitan dengan insiden itu. Pasangan itu baru berpindah ke rumah berkenaan Disember lalu.


    Ketika itu, kata Denhalter, dia menyatakan kebimbangannya terhadap bungkah batu yang ada di lereng berhampiran rumah mereka.

    "Tetapi Wanda meyakinkan saya, batu itu tidak akan runtuh," katanya. - Daily Mail

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

    Bukan macam anjing biasa

    Posted: 21 Jan 2013 07:28 AM PST

    Atlanta: Seekor anjing kini mencetuskan sensasi di Internet selepas tuannya memuat naik gambar haiwan itu bersama pakaian unik.

    Echo yang kini berusia tujuh tahun tidak keberatan apabila pemiliknya, Kristin Kittle, memasang pakaian yang 'mengubah' penampilannya berbanding anjing biasa. Selain labah-labah, Kristin juga memakaikan Echo pakaian berbentuk kala jengking, anjing laut, angkasawan dan penyelam skuba.


    Kini menetap di Savannah, Kristin memulakan hobi memuat naik gambar Echo di Internet baru-baru ini. Katanya, dia mengambil masa berbulan-bulan sebelum dapat menyiapkan pakaian berkenaan. "Saya tidak sangka Echo akan menjadi terkenal," katanya. - TS

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Hanya tembaga

    Posted: 21 Jan 2013 01:43 PM PST

    Kuala Berang: Seorang wanita bingung memikirkan selonggok emas bermutu rendah yang dibelinya ketika lelongan awam oleh sebuah bank sebenarnya tembaga bukan emas bernilai ribuan ringgit seperti didakwa.

    Zuraini Yaacob, 44, berkata, dia ke sebuah bank di daerah itu untuk membeli emas yang kononnya bermutu rendah yang dilelong dengan harga RM20,000 pada petang 26 Mei 2011.

    Menurutnya, selepas selesai urusan pembelian, dia ke sebuah kedai emas di Kota Bharu, Kelantan, pada jam 10 malam hari sama, untuk melakukan ujian bagi mengetahui jumlah kandungan emas dalam barang kemas itu.

    "Saya terkejut apabila pemilik kedai emas berkenaan memberitahu barang kemas yang saya beli itu bukan emas bermutu rendah, tetapi tembaga semata-mata yang tiada nilai untuk dijual.

    Foto

    Emas bermutu rendah' dilelong langsung tiada nilai.


    "Saya hairan bagaimana bank berkenaan boleh melelong barang kemas itu sebagai emas bermutu rendah (kerana dicampur dengan tembaga) sedangkan ia langsung tidak mengandungi emas.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/22

    'Dia ugut, saya tendang

    Posted: 21 Jan 2013 01:43 PM PST

    Melaka: Seorang wanita nekad melawan empat penjenayah yang merompak kedai serbaneka milik suaminya dengan menumbuk dan menendang seorang daripada mereka dalam kejadian di Jalan Kampung Pantai, Kampung Hulu, di sini, malam kelmarin.

    Dalam kejadian 8.45 malam, tindakan pantas mangsa, Sally Lee, 31, yang menutup laci di kaunter ketika seorang lagi penjenayah cuba mengambil duit dan dua kamera miliknya turut mengakibatkan tangan lelaki itu cedera akibat tersepit.

    Kejadian itu mengakibatkan mangsa kerugian RM4,000 apabila komputer riba, cakera keras luaran (external hard disk), beg mengandungi RM600 dan dua kamera miliknya dilarikan penjenayah berkenaan.

    Sally berkata, ketika kejadian dia berseorangan di selepas suaminya, Ben Kong, 30, menghantar barangan tidak jauh dari situ.


    "Datang lelaki memakai topi keledar dan jaket hitam membeli air mineral, selepas saya memberi baki RM1, tiba-tiba datang tiga lelaki berpakaian sama.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/22
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Mampukah saingi Adam & Hawa

    Posted: 21 Jan 2013 05:00 AM PST

    Masing-masing sudah bertapak dalam arena lakonan lebih 10 tahun. Namun, Adi Putra dan Rita Rudaini belum pernah digandingkan sebagai kekasih.

    Drama bersiri Sehangat Asmara yang ditayangkan setiap Isnin hingga Rabu, jam 10 malam di Astro Mustika HD (Saluran 134) bermula semalam menyaksikan dua pelakon berbakat ini digandingkan sebagai kekasih buah kali pertama.

    Difahamkan, drama ini dijangka mampu mencetus fenomena sebagaimana Adam & Hawa lakonan Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa tahun lalu.

    Kedua-dua pelakon ini yang ditemui RAP memberikan pandangan mereka. Rita mengakui gementar menantikan reaksi penonton manakala Adi yakin gandingan mereka berdua mampu memberikan impak yang serupa.

    Foto

    Adi Putra dan Rita Rudaini belum pernah digandingkan sebagai kekasih sebelum ini.


    Adi berkata, selepas mula ditayangkan semalam, masih terlalu awal baginya untuk menilai reaksi penonton.


    "Secara jujurnya, susah hendak jangka lagi. Sehangat Asmara sudah lama menjadi fenomena dan mempunyai pengikut yang ramai dari zaman terbitan novelnya.

    "Novel Sehangat Asmara tulisan Aisya Sofea antara novel cinta paling laris di Malaysia. Aisya juga adalah penulis novel Adam & Hawa. Bahkan pengarah dan produksi yang menerbitkan Sehangat Asmara jugalah yang menerbitkan Adam & Hawa iaitu Mohd Feroz Kadir dan Global Station. Jadi saya tak bimbang sangat," katanya.

    Bercerita mengenai keserasian gandingan mereka berdua, Adi menambah, mencari keserasian bukan satu masalah kerana pelakon tidak perlu mencarinya di luar untuk dibawa ke set, sebaliknya ia perlu nampak serasi dalam skrin dengan memberi dan menerima dialog bersama penghayatan.

    "Memang kami pertama kali digandingkan. Tak silap saya, Aaron dan Nadiya juga pertama kali bekerjasama tetapi mereka berjaya mewujudkan keserasian itu," kata Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim.

    Adi mengakui tidak berdepan sebarang masalah sepanjang bergandingan dengan Rita dan menyifatkan pelakon wanita berbakat itu seorang yang profesional.

    "Mudah bekerja dengannya. Ada babak di mana saya perlu mencium dahi dan mendukungnya. Disebabkan kami faham apa yang cuba dipamerkan ini khusus untuk kerja jadi tidak timbul masalah. Bagi sesetengah orang yang mungkin tidak faham, bimbang perbuatan itu disalah tafsir," katanya.

    Berbeza dengan Adi, Rita pula berpendapat aktor kelahiran Singapura seorang yang pendiam membuatkannya mengambil sedikit masa untuk mewujudkan keserasian itu.

    "Kami pernah berlakon bersama sebelum ini menerusi sebuah cerekarama dan filem Balistik, tetapi tidak ada banyak babak bersama. Berbeza dengan Sehangat Asmara, terdapat banyak babak membabitkan kami berdua.

    "Jadi, mula-mula tu ambil masa sikit untuk dekati Adi kerana saya masih mengkaji Adi ini orangnya macam mana. Adakah dia boleh bergurau kerana saya nampak dia seorang yang pendiam.

    "Macam Rosyam Nor dan Aqasha, saya sudah biasa dengan mereka jadi saya sudah faham sangat cara mereka berdua. Lebih kurang seminggu juga, barulah keserasian itu benar-benar terbit. Selepas itu kami saling bertukar-tukar idea dan dia juga boleh menerimanya," katanya.

    Sehangat Asmara berkisar mengenai ranjau dalam hubungan dua darjat, Kamilia Najwa lakonan Rita Rudaini dan Zainal Arief (Adi Putra) yang berkahwin tanpa restu keluarga di Sydney, Australia.

    Kebahagiaan mereka berakhir apabila Zainal terpaksa pulang ke tanah air dan berjanji untuk kembali semula ke pangkuan isterinya.

    Turut menghangatkan siri ini adalah Shahrizal Jaszle, Fureena Ezlin, Izreen Azminda, Hafizuddin Fadzil dan Dian P Ramlee. Tayangannya bermula semalam setiap Isnin hingga Rabu, jam 10 malam di Astro Mustika HD (saluran 134).

    Uji kemampuan Rita tapi kurang mencabar buat Adi

    Watak Kamilia Najwa yang dibawa Rita satu ketika dulu pernah menyentuh perasaannya ketika dia membaca novel berkenaan.

    "Saya pernah memiliki novel Sehangat Asmara pada 2000, tetapi ia hilang dalam simpanan. Saya amat menyukainya dan apabila Global Station menawarkan peluang untuk membintangi drama ini saya terasa seperti mimpi.

    "Bagi mendapatkan penghayatan, saya beli semula novel ini bagaimanapun hanya sempat membelek babak pertama kerana saya tidak tahan dengan jalan ceritanya yang sedih.

    "Ia mengingatkan saya kepada perkara yang sedih berlaku dalam hidup saya. Di lokasi saya tidak boleh mengelak dan tidak keterlaluan juga saya katakan ini adalah drama paling banyak menuntut saya dengan babak air mata," katanya yang gemar membaca novel sejak sekolah lagi.

    Menurutnya, dalam 33 episod drama itu, hanya satu atau dua episod saja memaparkan babak-babak indah, manakala selebihnya sedih.

    "Memang mencabar untuk melakonkan babak sedih, tambahan pula saya memang jenis yang sukar untuk menangis," katanya.

    Jika Rita merasakan watak Kamilia adalah mencabar, Adi yang membawakan watak Zainal pula dikatakan tidak begitu menduga kemampuannya. Sebetulnya juga, tahun ini Adi yang sering muncul dalam filem aksi mahu memfokuskan tawaran kepadanya drama-drama bercorak cinta pula.

    "Saya tidak gemar memberi persembahan ulang tayang jadi setiap tahun saya tetapkan konsep lakonan saya. Watak Zainal bukanlah watak terlalu mencabar buat saya kerana ia tidak memerlukan saya mengubah imej atau cara pembawakan diri saya," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

    Fouziah simpan rahsia kawan

    Posted: 21 Jan 2013 04:39 AM PST

    Paparan Jejak Bintang semalam menonjolkan pengalaman zaman kanak-kanak aktres bermata cantik Fouziah Gous sewaktu di rumah serta minatnya terhadap bidang seni.

    Siri kedua hari ini pula akan menyelami karakter Fouziah melalui kaca mata kawan karibnya terutama ketika bekerja sebagai pramugari di syarikat penerbangan terkemuka, Malaysia Airlines (MAS), sebelum terjun ke dunia lakonan.

    Jika ibu Fouziah, Sajadi Ibrahim, 58, akui Fouziah seorang anak yang mudah dijaga dan tidak banyak kerenah, beberapa teman rapatnya juga mengakui perkara yang sama. Malah bagi Rosmila Abdul Rahman, 32, atau Mila, Fouziah seorang pendengar masalah yang setia.

    Mila yang mula mengenali Fouziah ketika di tingkatan tiga mula rapat apabila sekali lagi dipertemukan dalam kelas yang sama ketika mereka di tingkatan empat (aliran ekonomi dan perdagangan) di Sekolah Menengah Perempuan Jalan Ipoh.


    Sejak itu, hubungan mereka semakin akrab dan Mila menyedari walaupun seorang pendiam, Fouziah adalah sahabat yang begitu disenangi kerana mempunyai tahap kesabaran yang begitu tinggi jika berhadapan dengan kerenah rakan-rakan.


    "Apa saja perkara dan cerita yang dikongsi akan disimpan sebagai rahsia oleh Fouziah menyebabkan kami selesa bercerita dan berkongsi masalah dengannya.

    "Sejak mula sama-sama berada di dalam Tingkatan 3K1 lagi, saya lihat Fouziah seorang yang mudah didekati. Walaupun dia pendiam itu bukanlah dia sombong.

    "Malah dia mempunyai tahap kesabaran yang sangat tinggi apabila melayan kerenah kawan-kawan terutamanya saya seorang yang lebih agresif. Atas sebab sikap sabar dan pendiam itu kami tidak pernah bergaduh jauh sekali untuk bermasam muka malah hubungan kami kekal akrab sampai sekarang," katanya.

    Mila berkata, menjadi perkara wajib setiap kali hari raya, mereka akan pusing setiap rumah kawan-kawan bagi sama-sama berkongsi kegembiraan menyambut lebaran.

    "Fouziah tak suka berpeleseran, biasanya kalau tiada latihan dikir barat, selepas waktu sekolah kami akan terus pulang ke rumah masing-masing.

    "Hanya sekali sekala kalau ada peluang kami akan keluar makan dan beli-belah bersama-sama. Boleh dikatakan setiap hari raya, Fouziah dan dua lagi kawan sebaya, Naziah Sharudin dan Syairul Alili, akan beraya bersama.

    "Walaupun sekarang masing-masing sudah sibuk dengan kerja yang tidak tentu masa, kami masih cuba mencari peluang untuk keluar berjalan sama-sama," katanya.

    Berkongsi saat gembira, Mila berkata, kenangan yang menjadi ingatan manis buat mereka adalah apabila dia dan Fouziah terpilih menjadi pasukan sorak pada acara Sukan Komanwel di Stadium Bukit Jalil pada 1998.

    "Ia satu kenangan manis yang tak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Akibat penat kami semua berkumpul dan tidur di rumah saya. Memang ketika itu terlihat sikap masing-masing dan nyata Fouziah seorang kawan yang baik hati.

    "Mungkin ia satu perkara biasa pada orang lain, tetapi ia adalah kenangan manis buat saya apatah lagi kami sama-sama berpeluang mengadakan persembahan sorak pada acara bertaraf dunia seperti itu," katanya.

    Fouziah tukar penerbangan demi Naziah

    Seorang lagi kawan rapat Fouziah sejak di bangku sekolah hingga sama-sama bekerja dengan MAS adalah Naziah yang kini masih setia bersama syarikat berkenaan.

    Berkongsi cerita lama mereka, Naziah yang mesra dengan panggilan Naz berkata, keakraban mula terjalin sejak tingkatan empat lagi.

    Naz berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka menyambung pengajian di kolej yang sama, namun berlainan kursus di mana Naz memilih akaun manakala Fouziah pula mengambil jurusan kesetiausahaan.

    "Selepas habis SPM, kami sempat bekerja sebagai jurujual di kedai barangan sukan di KL. Ketika itu setiap hari Fouziah akan membekalkan saya nasi lemak yang dimasak ibunya.

    "Rasa sangat terharu atas perhatiannya, bukan Fouziah saja, malah ibunya juga sangat baik dengan saya membuatkan saya selesa sepanjang kami berkawan.

    "Kalau ikutkan, Fouziah lebih dulu menyertai MAS beberapa tahun dan kemudian baru saya menyusul selepas. Dia tidak henti-henti mendorong untuk saya pergi sesi temu duga dan tidak sangka pun berjaya," katanya.

    Naz berkata, Fouziah terjebak menjadi pramugari MAS ketika suka-suka menemani seorang rakan mereka dan tidak sangka langsung dia terpilih.

    "Saya gembira apabila dapat bekerja dalam satu bidang yang sama dengannya, paling menarik dia pernah menukar destinasi penerbangan dengan kawan sekerja semata-mata untuk terbang sama dengan saya yang ketika itu perlu ke Hong Kong.

    "Walaupun hanya berkesempatan sekali terbang bersama ia satu kenangan manis kerana apabila berhenti di Hong Kong kami sempat menghabiskan masa terasa seperti sedang bercuti pula," kata Naz.

    Selain seorang yang baik, Naz mengakui Fouziah teman yang baik dan tidak lokek dalam soal wang namun bukanlah seorang yang boros.

    "Saya pernah melalui satu situasi di mana ketika itu sangat tertekan akibat masalah kewangan kemudian saya bercerita kepada Fouziah dan tidak sangka dia sudi menghulurkan wangnya walaupun ketika itu tujuan saya hanya ingin dia mendengar masalah saja.

    "Malah setiap pertolongan yang diberikan Fouziah tidak pernah ungkit tidak kira besar atau kecil dia akan terus lupa apa kebaikan yang pernah dilakukan.

    "Namun disebabkan dia cantik, pasti ada yang cemburu dan bagi saya itu perkara biasa," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Contohi semangat Chong Wei

    Posted: 21 Jan 2013 08:09 AM PST

    Kuala Lumpur: Terbuka Malaysia baru dua hari berlalu namun skrip yang tertulis pada 2013 tetap sama seperti sejak dua tahun lalu, apabila hanya Datuk Lee Chong Wei (gambar) menjadi pemain tunggal negara yang terus gah di bumi sendiri.

    Kelmarin, bukan sekadar merakam sejarah buat Chong Wei meraih gelaran kesembilan, melepasi rekod gelaran terbanyak milik Wong Peng Soon, lapan kejuaraan tapi lebih penting, kemenangannya itu setidak-tidaknya mengekalkan reputasi Malaysia sebagai penganjur bermaruah.


    Pertama kali Chong Wei meraih gelaran Terbuka Malaysia pada 2004, ketika itu Malaysia meraih dua kejuaraan, termasuk beregu lelaki yang dimenangi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dengan kedua-dua pemain itu kini bergelar jurulatih.

    Begitu juga dengan juara perseorangan wanita, Zhang Ning, beregu wanita Yang Wei-Zhang Jiewen dan beregu campuran Zhang Jun- Gao Ling (China).


    Chong Wei sekali lagi menutup kegagalan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghasilkan pemain berkualiti yang boleh digolongkan barisan terbaik dunia, sebagaimana yang sering ditutur Presiden Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh: "Kami tidak mahu hanya melahirkan pemain bertaraf dunia tapi menghasilkan pemain yang boleh menewaskan pemain terbaik dunia".


    Kejayaan dicapai Chong Wei itu bukan mudah kerana bakatnya menyinar ketika nama besar seperti Chen Hong (China), Peter Gade Christensen (Denmark) dan Taufik Hidayat (Indonesia) berada di puncak sekitar 2004-2006.

    Malah ketika namanya meniti ke puncak, Lin Dan sering membayanginya dengan merangkul setiap gelaran kejohanan utama, namun pemain China itu gagal memecah monopoli anak kelahiran Pulau Pinang ini.


    Berdasarkan rekod, Chong Wei menewaskan pemain berbeza di setiap final sejak 2008.

    Dia menewaskan pemain Korea Lee Hyun Il (2008), Park Sung Hwan (2009), Boonsak Ponsana (2010), Chen Long (2011), Kenichi Tago (2012) dan Sony Dwi Kuncoro (2013).


    Justeru, sudah tiba masanya bagi pemain lain dalam pasukan kebangsaan menjadikan keazaman Chong Wei itu sebagai contoh terbaik untuk menempa kejayaan.


    Merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia pada usia memasuki era 31 tahun bukan mudah, namun dia masih menetapkan impian untuk melengkapkan kejuaraan ke-10 tahun depan.


    Jika dilihat berdasarkan undian Terbuka Malaysia, tiga pemain negara termasuk Chong Wei diletakkan selaku pilihan utama, satu petanda kita memiliki tiga pemain yang memiliki ranking terbaik dunia dalam kejohanan Siri Super kedua selepas Korea bagi 2013.


    Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pilihan utama dalam acara beregu lelaki dan campuran, namun keazaman mereka tidak sama seperti Chong Wei yang menetapkan mahu mengekalkan gelaran sekali gus muncul juara.


    Sebaliknya Kien Keat-Boon Heong dan Peng Soon-Liu Ying memilih untuk berkata: "Tengoklah, kami akan melepasi satu-satu perlawanan, kami tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri untuk berjaya."

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

    Real tenang seketika

    Posted: 21 Jan 2013 07:57 AM PST

    Madrid: Real Madrid melupakan persembahan suram pada babak pertama musim ini apabila membelasah Valencia dalam 45 minit pertama untuk menang 5-0 dan mengendurkan tekanan buat jurulatih, Jose Mourinho.

    Cristiano Ronaldo dan Angel Di Maria kedua-duanya menyumbang dua gol dan Gonzalo Higuain turut mencetak gol ketika mereka mendominasi babak pertama.


    Namun masih ada peluang tipis buat mereka mempertahankan kejuaraan ketika mereka ketinggalan 15 mata berbanding Barcelona selepas kelab Catalan itu kecundang 2-3 di tangan Real Sociedad, kelmarin.

    Mereka juga tujuh mata di belakang jiran setempat, Atletico Madrid yang menundukkan Levante 2-0, awal pagi semalam.


    "Selagi ada peluang meraih mata, kami tidak boleh putus asa tapi sasaran bukan sekadar mahu menjuarai liga tapi memperbaiki persembahan," kata penolong jurulatih Real Madrid, Aitor Karanka.


    "Kami cuba mempamerkan aksi lebih baik dan kini berada di landasan tepat. Pertemuan menentang Valencia bukti kami boleh melakukannya." Real tiba di Mestalla selepas mengalahkan Valencia, 2-0 pada suku akhir pertama Piala Raja Sepanyol pertengahan minggu lalu.

    Atletico menyamai rentetan rekod kemenangan di gelanggang sendiri dalam La Liga pada musim penuh bermakna buat kelab itu menerusi kemenangan ke atas Levante.


    Gol Adrian Lopez dan Jorge Resurrecion 'Koke' menyaksikan Atletico menang 12 perlawanan liga berturut-turut di Calderon dan menyamai rekod kelab antara musim 1939-40 dan 1940-41.

    Namun kemenangan itu dibayangi kecederaan paha dialami penjaring 18 gol, Radamel Falcao yang mungkin memaksa penyerang Colombia itu diketepikan selama tiga minggu. - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved