Ahad, 7 Julai 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Sukan berhalangan makin digemari

Posted: 07 Jul 2013 07:21 AM PDT

Mendaki, memanjat, merangkak dan mendaki semula sebelum berlari melepasi halangan bertayar dalam satu masa mungkin bunyinya menakutkan bagi segelintir individu.

Lebih menggerunkan apabila perlu melakukannya berulang kali dalam tempoh sejam sebelum pusingan dan catatan masa diambil lalu dibandingkan bagi mencari pemenangnya.

Bagi si 'adrenalin junkie', aktiviti ini pasti mengujakan apatah ia membabitkan aspek kepantasan dan stamina. Namun bagi yang tidak biasa dengan aktiviti lasak, masih juga berpeluang merasai keseronokannya - sekadar untuk mencuba dan menghabiskan masa bersama teman.

Dikenali sebagai Viper Challenge, aktiviti dalam kategori sukan berhalangan ini mula menarik minat dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mahukan kelainan dalam rejim kecergasan mereka.

Foto

ANTARA halangan sukar yang perlu ditempuhi peserta sebelum ke cabaran seterusnya.

Foto

RAMAI peserta wanita buktikan kemampuan merentasi halangan dalam Viper Challenge Hari Belia 2013.

Foto

PESERTA Viper Challenge Hari Belia 2013 menerima sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (lima dari kanan).


Menurut Pengarah Latihan Viper Challenge merang­kap Pengarah Program Original Bootcamp, Simran Latif, Viper Challenge adalah haluan 20 kilometer di Litar Sepang yang dipenuhi halangan buatan manusia untuk menguji fizikal dan mental peserta ke tahap maksimum.


"Ia satu bentuk sukan yang baru, segar dan menyeronokkan. Peserta bakal mengalami pengalaman unik, di mana tahap kecergasan mereka diuji sepenuhnya.

"Secara kasarnya ia tidak mudah dilakukan malah ramai merasakan sukan berhalangan ini hanya sesuai untuk mereka yang terbabit dalam acara maraton, triatlon dan sebagainya.

"Sebenarnya, siapa pun boleh menyertainya kerana cabaran yang diberikan dalam aktiviti ini akan menguji daya tumpuan, pergerakan, ketahanan serta tahap ketangkasan diri.

"Selain itu, tahap keyakinan diri juga akan dinilai menerusi keinginan dan keupayaan mengatasi setiap halangan," ujarnya.

Meskipun sukan halangan terbesar Asia ini hanya akan berlangsung pada 17 dan 18 Ogos depan, Simran terlebih dulu memberikan previu menarik ketika Hari Belia 2013 di Putrajaya, bulan lalu.

Dengan skala 1:200 iaitu hanya sepanjang 100 meter yang diadakan di depan bangunan Kastam Diraja Malaysia, golongan remaja berpeluang menyertai Viper Challenge Mini yang turut menguji ketahanan serta kesabaran peserta di bawah terik matahari.

"Halangan paling besar dalam cabaran mini ialah memanjat kerana kedudukan blok jerami setinggi lapan kaki yang menyukarkan peserta individu.

"Jika hadir bersama rakan, halangan ini akan menguji tahap kesabaran dan kerjasama dalam memastikan semua ahli berjaya melepasinya," kata Simran lagi.
Peserta kemudiannya beralih ke halangan jaring kargo, di mana mereka sekali lagi perlu memanjat jaring itu untuk ke halangan ketiga.

Sejurus turun dari jaring kargo, jaring rendah pula menunggu peserta yang memerlukan mereka merangkak di bawahnya.

Aktiviti memanjat sekali lagi menjadi elemen utama apabila peserta perlu mendaki himpunan tayar yang besar hingga menyukarkan pergerakan kerana keadaannya yang tidak statik.

Ia disusuli larian atas tayar sebelum peserta berlari ke garisan permulaan dan perlu melakukan semua halangan itu berulang kali hingga tamat tempoh sejam.

Peserta yang mencatatkan masa dan jumlah pusingan terbaik kemudiannya dinobatkan juara yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta hadiah iringan.

Simran menambah, banyak penyertaan daripada wanita diterima yang majoriti hadir secara berkumpulan.

"Apa yang diadakan pada Hari Belia 2013 ini sekadar previu atau persembahan pertunjukan bagi memberi idea mengenai acara sebenar pada Ogos ini.

"Kemunculan ramai peserta wanita juga membuktikan bahawa sukan berhalangan Viper Challenge ini sesuai untuk semua, asalkan peserta bersedia mencabar ketahanan diri sehingga ke tahap tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Langsing cara selamat

Posted: 07 Jul 2013 07:16 AM PDT

Lentur tubuhnya kala melakukan senaman regangan malah penampilan menarik yang dipamerkan Abidah Mahmood sama sekali jauh berbeza daripada usia sebenarnya.

Lebih mengejutkan apabila pakar fisiologi senaman dan pensyarah Universiti Malaya ini dengan selamba mengatakan dirinya dulu mengalami masalah kegemukan melampau hingga terpaksa melakukan pembedahan lutut.

Namun semuanya berubah dengan satu perkara - larian! Sejurus terbabit secara aktif dalam aktiviti larian, wanita yang lebih dikenali sebagai Dee Dee ini mendapati berat badannya mula susut dan dalam masa sama tahap stamina serta kecergasannya bertambah baik.

"Saya dulu agak gemuk dengan berat menjangkau 90 kilogram. Nak jalan kaki 100 meter pun saya rasa terlalu penat dan tercungap-cungap seperti kehabisan nafas.

Foto

DEE DEE tidak jadikan usia sebagai halangan untuk bersenam bagi kekalkan kecergasan tubuh.

Foto

MASALAH kegemukan lampau membuatkan Dee Dee nekad mengubah gaya hidupnya.


"Saya cuba pelbagai cara untuk kurus hingga memudaratkan diri - pil, bulimia, semuanya pernah saya cuba - dan kemuncaknya saya amalkan diet jus atau Diet Hollywood yang terlalu ekstrem hingga mengalami masalah gastroenteritis lalu membuatkan saya terpaksa dimasukkan ke wad.


"Dalam masa sama, saya juga perlu lakukan pembedahan pada lutut kerana kesan mudarat disebabkan pengambilan produk pelangsingan badan yang keterlaluan.

"Keadaan itu nyata membuka mata saya untuk mencari alternatif lain yang lebih sihat dan selamat. Jawapannya hanyalah senaman dan pengambilan makanan seimbang.

"Asalnya saya tidak gemar menghabiskan masa bersenam di gimnasium, jadi selepas melakukan kajian saya dapati senaman larian amat efektif serta mudah dilakukan.

"Sejak itu, saya terus jadikan aktiviti larian sebagai rutin harian hingga akhirnya terbabit dalam beberapa siri maraton di dalam dan luar negara," katanya.

Nyata larian mengubah terus gaya hidupnya malah Dee Dee, 49, menjadikan aktiviti kecergasan serta kehidupan sihat sebagai kerjaya barunya.

"Saya mula berminat mendalami bidang kesihatan dan kecergasan. Ia menyelamatkan nyawa saya, justeru saya rasa perlu untuk memahirkan diri dalam arena ini agar dapat membantu mereka yang mengalami masalah sama seperti saya dulu," ujarnya.

Kembara kecergasan dan kesihatan Dee Dee membawanya nun ke Australia dan Amerika Syarikat hingga membolehkannya merangkul pingat emas di Konvensyen Idea Kecergasan Dunia pada 2011.

"Bagi saya, bukan kemenangan atau garisan penamat yang jadi sasaran tapi fokus untuk kualiti hidup yang lebih baik. Ramai yang takut apabila diajak senaman kerana merasakan ia sesuatu yang bosan dan berbentuk 'repetitive' atau berulang-ulang.

"Sebenarnya jika kena cara, teknik atau kaedahnya, bersenam ini amat menyeronokkan malah kajian sendiri mengakui bahawa senaman mampu menjadikan seseorang itu lebih stabil dan gembira dari segi emosi, mental dan fizikalnya.

"Jangan terlalu skeptikal atau menjatuhkan hukum terlebih dulu tanpa mencubanya. Langkah pertama itu amat sukar dilakukan tapi apabila berjaya ia adalah antara kejayaan paling besar dalam hidup," katanya.

Pelatih kecergasan jemputan bagi program The Biggest Loser Asia musim kedua ini menambah aktiviti larian sekurang-kurangnya tiga kali seminggu memadai bagi mereka yang sukar mencari masa untuk melakukan senaman penuh.

"Larian tidak memerlukan kos tinggi. Sarungkan kasut dan anda boleh terus berlari. Tidak perlu berlari seperti atlet pecut, cukup sekadar untuk mengeluarkan peluh dan meningkatkan stamina.

"Ada beberapa pendapat mengatakan berlari pada waktu pagi lebih baik berbanding petang atau malam. Sebenarnya bergantung kepada keadaan dan masa individu terbabit.

"Bagi saya, sebaiknya pada waktu pagi kerana ia dapat membantu meningkatkan lagi daya respon tubuh selepas tidur," ujarnya.

Faktor kerja dan keluarga bukan alasan untuk tidak bersenam, justeru Dee Dee menggesa wanita khususnya suri rumah melakukan aktiviti senaman bersama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Sempat ajar suami mengucap

Posted: 06 Jul 2013 12:33 PM PDT

Port Dickson: Perjalanan sepasang suami isteri untuk membeli barangan keperluan menyambut Ramadan berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Teluk Temang berdepan Sekolah Agama Rakyat Awaludin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, penunggang motosikal, Zakaria Tamin, 66, maut di tempat kejadian manakala isterinya yang juga pembonceng, Sariah Kantan, 58, hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Sariah berkata, dia bersama suami dalam perjalanan ke Teluk Kemang dari rumah mereka di Kampung Sungai Raya, di sini, untuk membeli barangan keperluan bagi menyambut Ramadan.

"Motosikal ditunggang suami bergesel dengan sebuah lagi motosikal, menyebabkan suami hilang kawalan dan terjatuh.

Foto

SARIAH di sisi mayat suaminya, Zakaria yang maut dalam kemalangan di Telok Kemang.


"Saya menyaksikan suami meninggal di depan mata dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Katanya, dia tidak menyangka ajakan suaminya untuk pergi membeli barang adalah petanda dia akan kehilangan ketua keluarga itu.


"Sedih dan sayu melihat suami meninggal dunia di depan mata, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi. Lebih-lebih lagi suami pergi ketika umat Islam bakal menyambut Ramadan minggu depan," katanya.

Jurucakap polis berkata, hasil siasatan awal mendapati, motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang Zakaria dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha dari arah sama.

"Geselan itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh, menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala isterinya cedera ringan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Raya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Suami gemar jalan pintas

Posted: 06 Jul 2013 12:00 PM PDT

Kuala Lumpur: Ego, malu dan mengambil ringan masalah berkaitan alat kelamin menyebabkan majoriti lelaki di negara ini, terutama Melayu, enggan bertemu doktor atau pakar sakit tuan untuk mengatasinya, walaupun menyedari ia boleh menyebabkan rumah tangga berantakan sehingga ada yang bercerai-berai.

Lebih mengejutkan, kini lebih ramai wanita membuat temu janji dengan pakar sakit tuan bagi pihak suami dan kalau ada pun lelaki bertemu doktor, kebanyakannya kerana dipaksa isteri.

Perkara ini didedahkan pakar sakit tuan, Dr Mohd Ismail Mohd Tambi dan Perunding Kanan Urologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Zulkifli Md Zainuddin kepada Metro Ahad.

Memburukkan keadaan, si suami lebih gemar mencari jalan pintas dengan mengambil ubat kuat, termasuk produk tiruan, yang akhirnya membinasakan diri dan boleh membawa maut, terutama jika mengandungi bahan kimia terkawal sildenafil dan tadalafil yang hanya boleh digunakan dengan kelulusan doktor.

Foto

"Lebih 40 peratus lelaki di negara ini, termasuk seawal usia 20 tahun, didapati mengalami masalah berkaitan alat kelamin" Dr Ismail Mohd Tambi


Dr Ismail berkata, perasaan malu juga menyebabkan semakin banyak pengeluar ubat kuat haram muncul dengan menawarkan pelbagai produk dalam bentuk pil, serbuk, campuran kopi dan herba yang kononnya boleh mengatasi masalah tenaga batin, sedangkan ia sebenarnya dicampur bahan kimia berbahaya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

E-rokok lebih bahaya

Posted: 06 Jul 2013 11:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Penggunaan rokok elektronik atau e-rokok yang semakin menjadi trend dalam kalangan perokok tegar sebagai kaedah menghilangkan ketagihan merokok selain menarik minat remaja untuk kelihatan macho dan bergaya, mungkin akan turut difatwakan haram di sisi Islam.

Ini kerana kesan penggunaan e-rokok dikatakan lebih berbahaya berbanding rokok biasa dan shisha yang difatwakan haram di beberapa negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, pada dasarnya apa saja kegiatan yang boleh menjejaskan kesihatan, ekonomi dan alam sekitar berpunca daripada tindakan manusia tidak dibenarkan dalam Islam dan ia boleh diklasifikasikan sebagai haram.

"Apa saja yang diketahui dapat memabukkan, memudaratkan diri dan kesihatan adalah haram dan ditegah dalam Islam. Kita boleh berfikir akan kebaikan sesuatu perkara itu sama ada ia baik atau tidak," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Foto

ANTARA alatan yang digunakan untuk e-rokok.


Bagaimanapun, beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan secara rasmi belum memutuskan fatwa mengenai e-rokok dan kini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mengkaji lebih lanjut implikasi alat itu.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


92 kahwin 22

Posted: 06 Jul 2013 11:03 AM PDT

Baghdad: Seorang petani Iraq berusia 92 tahun melangsungkan perkahwinannya dengan seorang wanita 70 tahun lebih muda daripadanya di majlis perkahwinan bersama dua cucunya yang berusia belasan tahun, Khamis lalu.

Musali Mohammed al-Mujamaie mengahwini Muna Mukhlif al-Juburi dalam majlis yang berlangsung selama empat jam. Dua cucu Musali yang berusia 16 dan 17 tahun juga melangsungkan perkahwinan di majlis yang diadakan di utara Baghdad.


Musali berkata, hari istimewa itu sekian lama dinantikan dan perkahwinan cucunya ditangguhkan beberapa kali supaya mereka dapat berkahwin serentak.

"Saya gembira dapat berkahwin pada majlis yang turut menyaksikan perkahwinan cucu saya. Saya berasa seperti berusia 20 tahun," katanya.


Musali mempunyai 16 anak hasil perkongsian hidup bersama isteri pertamanya yang meninggal dunia tiga tahun lalu di Samarra.


Majlis diserikan persembahan muzik dan tarian serta tembakan senjata api selain dihadiri beberapa kabilah dan pemimpin agama tempatan. - AFP

Foto

MAJLIS perkahwinan Musali dan isteri barunya turut melangsungkan perkahwinan bersama dua cucunya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Pengemis kecil merokok, bogel

Posted: 06 Jul 2013 10:56 AM PDT

Nanjing: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang ditemui mengemis dalam keadaan bertelanjang dan merokok di bandar raya ini sudah dihantar pulang ke kampungnya.

Gambar menunjukkan kanak-kanak itu melutut meminta sedekah di jalan raya di ibu negeri wilayah Jiangsu itu mengejutkan penduduk China sejak dua hari lalu.


Gambar kanak-kanak terbabit dan bapanya, Zhou Chonggao mengemis dikongsi puluhan ribu kali di laman sosial popular China, Weibo.

Polis menahan kanak-kanak itu serta bapanya, Rabu lalu dan menghantar mereka pulang ke kampung di Chenlong, 200 kilometer ke utara Nanjing.


Seorang pegawai kampung berkenaan berkata, pihak berkuasa tidak dapat memberi elaun bantuan kepada kanak-kanak itu kerana dia tiada surat beranak.


Usaha mendapatkan dokumen berkenaan bagaimanapun sudah dijalankan.

Sementara itu, kanak-kanak terbabit ketika ditanya mengenai tindakannya mengemis dalam keadaan bertelanjang berkata, dia lebih mudah mendapat wang daripada orang ramai dengan berbuat demikian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Benam ego Pakistan

Posted: 06 Jul 2013 11:37 AM PDT

Johor Bahru: Skuad negara berjaya mengubat kekecewaan gagal merebut tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda menerusi Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia apabila menewaskan gergasi Asia, Pakistan 3-1 pada perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan semalam.

Turun dengan misi untuk melakar kemenangan, skuad bimbingan Paul Revington berjaya memenuhi hasrat menerusi aksi meyakinkan meskipun sedar peluang untuk ke Belanda sudah tertutup rapat.


Kemenangan itu juga membalas kekecewaan keputusan seri 4-4 ketika bertemu Pakistan pada saingan peringkat kumpulan meskipun pada satu ketika Malaysia di depan dengan kelebihan tiga gol.

Skuad negara dihadiahkan pukulan sudut penalti pertama dan ia disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-14.


Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Pakistan menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil jaringan padang Shafqat Rasool.


Malaysia kembali di depan pada minit ke-19 selepas bola pukulan Faizal Saari dari luar kawasan D terkena kaki penjaga gol Pakistan, Imran Butt sebelum masuk ke gawang gol sendiri.

Foto

AKSI skuad negara ketika menentang Pakistan.

Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menjadikan kedudukan 3-1 menerusi jaringan padang selepas menerima hantaran cantik daripada Faizal pada minit ke-38.


Skuad negara dihadiahkan pukulan sudut penalti kedua pada minit ke-50 tapi peluang itu disia-siakan begitu saja oleh barisan pemain negara.

Sementara itu, pada satu lagi perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan, Jepun bangkit untuk menewaskan Afrika Selatan menerusi pukulan penalti shoot-out 1-0 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa sebenar.


Jepun mendahului menerusi pukulan sudut penalti Manabu Hatakeyama dua minit sebelum tamat babak pertama tetapi Afrika Selatan berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Craig Haley pada minit ke-56.


Skuad bimbingan Carlos Pereira di depan pada minit ke-62 hasil gol Wade Paton tetapi kesilapan di benteng pertahanan pada minit-minit akhir menyaksikan mereka menjaringkan gol ke gawang sendiri sekali gus menjadikan kedudukan terikat 2-2. Malaysia akan bertemu Jepun pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Kekurangan bukan halangan

Posted: 06 Jul 2013 11:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Kekurangan infrastruktur gelanggang latihan tidak menghalang Sarawak meraih pingat emas selepas mengatasi Johor, 3-2 pada final acara bola tampar wanita di Sukan Malaysia (SUKMA XVI) di Stadium Tertutup MBSA Seksyen 19, Shah Alam, semalam.

Sarawak menang pertarungan sengit mendebarkan selama lebih dua jam dengan keputusan 25-23, 25-14, 13-25, 18-25 dan 16-14. Sekalipun Johor mempamer kebangkitan di set kedua namun ia tidak cukup menjinakkan Sarawak yang kental bertahan menafikan setiap percubaan dilakukan pemain Johor untuk menang set kelima.


Ketua jurulatih bola tampar Sarawak Moh Wung Ming puas hati dengan prestasi dipamer pemain berusia antara 15 hingga 20 tahun.

"Kejayaan meraih pingat emas Sukma begitu bermakna buat pasukan ini yang saya anggap seperti anak sendiri kerana sembilan pemain masih dikekalkan sewaktu kami memenangi pingat emas, juga menewaskan Johor 3-1 di Sukma Kuantan tahun lalu.


"Kekalahan pada set ketiga dan keempat akibat pemain hilang fokus dan memandang cabaran lawan sambil lewa. Menyedari lawan begitu kental mengasak pada hujung perlawanan, kami menggunakan kelebihan servis untuk mengutip dua mata terakhir pada set penentuan," katanya.


Meskipun tidak mempunyai gelanggang latihan mencukupi di Sarawak, pasukan dibentuk Wung Ming sejak 1996 mula menampakkan hasil yang bakal menjadi nadi kekuatan Sarawak dalam pada setiap pertandingan SUKMA.

"Pada pertengahan 1990-an, sukan bola tampar seperti tidak disebut dalam sukan di Sarawak. Sejak itu, saya mencari pendekatan terbaik, merangka strategi dan mencari pemain berbakat untuk dilatih dan sejak mengambil alih pasukan pada 1997 dan awal 2006, pasukan bola tampar Sarawak muncul antara disegani. "Sekarang mereka memberikan hasil kerana bola tampar wanita Sarawak memenangi 10 daripada 12 pingat SUKMA," kata jurulatih berasal dari Bintulu itu.


Kapten Sarawak, Ho Xiao Hui berkata: "Tahniah kepada pasukan terutamanya pemain berpengalaman Stephanie Low kerana berjaya membantu kami mengekalkan pingat emas tahun lalu. Projek membangunkan sukan bola tampar di Sibu membuahkan hasil kerana Sarawak kini mempunyai pasukan bola tampar yang kompetitif.

"Kami harap dapat beraksi pada lebih banyak pertandingan luar untuk meningkatkan lagi prestasi dan kewibawaan pasukan ini. Sasaran saya adalah beraksi pada Sukan SEA dan membantu pasukan negara memenangi pingat pada temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu." Dalam satu lagi saingan final acara bola tampar lelaki, Selangor tidak menghadapi masalah menewaskan Sarawak, 3-0 untuk meraih pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved