Sabtu, 12 Januari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Global: Wanita Libya turut tumbang Gaddafi

Posted: 02 Oct 2011 08:51 AM PDT

"Orang lelaki mati ketika mereka terpaksa berjuang tanpa senjata dan sanggup bergadai nyawa demi melindungi kami sedangkan kami duduk di rumah tidak buat apa-apa. Kami seolah-olah jadi barang antik," kata wanita bertudung itu lagi sambil cuba membetulkan cara dia memegang senjata api.

"Konco-konco Gaddafi boleh datang bila-bila masa, saya bersedia mempertahankan diri sendiri dan rumah kami jika perlu," katanya lagi.

Pelatih sukarelawan di pusat latihan ketenteraan itu berkata, mereka berasa sangat tidak berdaya ketika pergerakan menumbangkan pemerintahan Gaddafi terutama apabila mendengar berita ada wanita dirogol oleh askar. Kini mereka tidak mahu lagi duduk diam, sudah sampai masa untuk menunjukkan bahawa wanita juga boleh melindungi keluarga.

Sekurang-kurangnya 200 wanita sudah berjaya menamatkan program latihan itu sejak ia dimulakan di Kawasan Ketenteraan Teknikal Benghazi hujung Mac lalu. Mereka diberikan pilihan menyertai Pasukan Keselamatan Kebangsaan yang beroperasi seperti Pengawal Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat dan membenarkan wanita berkenaan bergerak di kawasan sendiri. Belum ada cadangan untuk menghantar tentera wanita ini ke barisan hadapan pertahanan negara.


Satu unit yang dianggotai 20 tentera wanita tidak bersenjata bertugas ketika Perdana Menteri British, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melawat Benghazi bulan lalu dan memberikan ucapan di depan ramai penduduk Libya.


Pasukan keselamatan wanita itu berdiri memerhatikan dan mencari wanita yang mencurigakan kerana bimbang jika ada penyerang yang menyamar dengan memakai pakaian perempuan.

Menurut komander tentera di Benghazi, Abdul Basit Haron, pejuang revolusi termasuk wanita akan menerima sekali bayaran berjumlah RM15,000. Pembabitan wanita dalam ketenteraan sangat penting kerana ia boleh membangkitkan dan menguatkan semangat tentera.

Ini kerana wanita berasa mereka diketepikan dan sanggup datang ke sini untuk membuktikan bahawa mereka setanding dengan lelaki. Mereka mahu menunjukkan kepada dunia keberanian dan sikap terbuka penduduk Libya.

Sebenarnya peranan wanita masih menjadi isu sensitif di negara Islam konservatif itu. Malah, sepanjang pemerintahan Gaddafi, polisi yang dibentuk bertujuan memecahkan pantang larang turun temurun mengenai pekerjaan wanita dan status mereka. Gaddafi sendiri melantik pengawal peribadi wanita tetapi peluang yang diberikan untuk wanita mengisi jawatan di dalam kerajaan masih sangat terhad.

Tentera wanita adalah satu perkara yang sangat asing di kebanyakan negara Arab tetapi kini ia menjadi pemandangan biasa di Libya. Di mana-mana ada saja tentera wanita beruniform, bertudung, bercermin mata hitam dan bermekap tebal mengawal bandar. Satu kumpulan wanita dilaporkan mempunyai pusat soal siasat sendiri bagi menahan aktivis antiGaddafi.

Kolonel Sabriya Mohammed al-Shraidi, anak kelahiran Benghazi yang menamatkan pelajaran di sekolah ketenteraan pada 1986 dan kini berada

di unit penyiasatan tentera berkata, lapan pegawai ditugaskan melatih 36 sukarelawan - iaitu kumpulan keempat yang akan tamat latihan tidak lama lagi.

"Kebanyakan wanita ini adalah suri rumah dan ada yang bekerja. Mereka tiada pengalaman dalam ketenteraan dan tidak tahu bagaimana menggunakan senjata. Jadi mereka datang ke sini untuk menjalani latihan, jika perlu mempertahankan diri sendiri dan anak-anak. Kita tidak tahu bila kemahiran ini diperlukan, segala-galanya boleh terjadi," katanya.

Pelatih tentera ini diberikan pelbagai latihan menggunakan semua jenis senjata ringan dan ilmu mempertahankan diri. Mereka yang diberikan latihan ini akan membantu menjaga keselamatan ketika demonstrasi, di bank dan institusi lain.

"Ramai orang anggap wanita tidak elok masuk tentera. Anggapan ini salah. Ramai wanita terbabit dalam bantuan kemanusiaan dan penyeludupan senjata api untuk pemberontak dengan menyembunyikan senjata dalam jubah mereka.

"Sebenarnya wanita sudah banyak memberi sumbangan dalam revolusi ini melalui pelbagai cara. Tetapi mereka masih dipinggirkan dan diketepikan. Kini sudah ada peluang untuk kami menunjukkan sumbangan secara terang-terangan, tiada apa yang hendak dimalukan apabila menjadi tentera. Masyarakat sekarang bukan lagi seperti zaman Gaddafi dulu yang memandang rendah wanita yang masuk tentera," katanya.

Wafa al-Rayth, 29, suri rumah, berkata dia menyertai program ketenteraan itu untuk menunjukkan pada dunia bahawa wanita Libya berupaya berganding bahu dengan lelaki dalam menjaga keamanan negara.

"Sudah sampai masa kami membantu meluaskan keamanan dan mengawal negara, terutama dalam tradisi kami yang memerlukan wanita mengawal tempat perjumpaan wanita dan memeriksa beg mereka bagi memastikan tiada lelaki menyamar untuk melakukan jenayah," katanya.

Bagi jurutera berusia 20 tahun, Lameis Aghnaish, dulu ketika era Gaddafi dia cuba berhijrah ke negara lain tetapi kini dia bangga tinggal di Libya.

"Dulu hidup kami sangat susah, sebab itulah saya mahu berhijrah. Masa itu saya tidak rasa sayang pun pada negara, tetapi keadaan kini sudah berubah. Saya sanggup mati demi negara ini. Saya akan kembali bekerja selepas keadaan kembali aman. Apa yang penting kini ialah memastikan negara aman dan selamat," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Amukan babun sesat

Posted: 11 Jan 2013 03:57 PM PST

Seorang remaja perempuan bersama anak saudaranya berusia setahun terpaksa berkurung dalam bilik lebih sejam apabila rumah didiami mereka dikunjungi 'tetamu tidak diundang' iaitu seekor babun jantan yang mengamuk dalam kejadian di sebuah rumah dua tingkat di Taman Khong Lok, Batu 7, semalam.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi, remaja berusia 17 tahun itu sedang berehat di tingkat bawah rumah sebelum terdengar bunyi mencurigakan dari satu bilik di tingkat atas.


Mangsa kemudian meninjau dengan membuka pintu bilik itu dan terkejut apabila mendapati seekor babun sedang menggeledah bilik berkenaan.

Pada masa sama, haiwan liar itu cuba menerkam remaja berkenaan, namun dia sempat menutup pintu bilik.


Mangsa membawa anak saudaranya keluar rumah untuk menyelamatkan diri, selain menghubungi kakaknya memaklumkan kejadian itu.


Pemilik rumah yang enggan dikenali berusia 30 tahun berkata, dia terkejut apabila dihubungi adiknya memaklumkan seekor babun menyerang mereka.

"Saya yang bimbang mengenai anak perempuan lantas menghubungi bomba memaklumkan kejadian itu.


"Saya difahamkan babun yang datang dari hutan berhampiran bukan saja merosakkan barangan dalam bilik, malah turut membuang najis," katanya, semalam.

Katanya, adik perempuannya mendapati haiwan liar itu memasuki rumah sebaik terdengar bunyi cakaran pada pintu bilik.


"Mujur adik bertindak bijak apabila segera menutup pintu bagi mengelak haiwan itu keluar dari bilik dan bertindak liar.


"Saya kemudian memaklumkan kejadian itu kepada suami sebelum dia bergegas pulang untuk menyelamatkan adik dan anak kami," katanya.


Menurutnya, sepasukan anggota Jabatan Perhilitan yang tiba berjaya menangkap haiwan berkenaan selepas berusaha hampir tiga jam.


Sementara itu, Pembantu Pusat Pemulihan Orang Utan, Elis Pambing berkata, haiwan liar itu ditangkap menggunakan jaring dan dihantar ke Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok.


"Babun ini dipercayai terpisah dari kumpulannya dan tersesat sebelum memasuki rumah mangsa dan ia agresif apabila diancam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Suami 'ligat' tak sudah

Posted: 11 Jan 2013 04:07 PM PST

Tiga kali terima talak dalam jangka masa setahun dan tempoh paling lama menjadi suami isteri ialah 29 hari, manakala paling singkat hanya 11 hari.

Itu pengalaman pahit dilalui seorang wanita apabila berkahwin dengan seorang lelaki kasanova yang sukar membuang tabiat buruk suka berfoya-foya itu, biarpun selepas beberapa kali diberi peluang.

Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Musliha, 34, berkata, dia dan bekas suaminya berkahwin pada 30 Disember 2011 hasil perkenalan singkat selama sebulan dan selepas dua kali rujuk, dia diberi talak kali ketiga pada 6 Januari lalu.

Menurutnya, lebih menyedihkan sepanjang tempoh perkahwinan singkat itu, dia turut menderita beberapa kali dipukul suaminya hingga memaksa dia membuat laporan polis.


Musliha yang juga peguam berkata, dia berkenalan dengan bekas suaminya itu pada November 2011 melalui Facebook (FB).

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Dua-dua tercampak

Posted: 11 Jan 2013 04:07 PM PST

Konvoi lima bersaudara ke tempat kerja berakhir tragedi menyayat hati apabila dua daripadanya maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang lori yang rosak di lorong kecemasan, di Kilometer 276.2, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, kedua-dua mangsa dipercayai warga Indonesia itu menaiki motosikal Suzuki Shogun 120, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sumber berkata, lebih menyayat hati adik mangsa dikenali sebagai Yasir, 20-an, yang berada di depan terkejut sebaik menyaksikan kakaknya terpelanting menerusi cermin sisi motosikal dinaiki dilihat meraung dan memeluk mayat itu.

Jurucakap polis berkata, mangsa lelaki dikenali sebagai Suhar, 32, dipercayai bekerja kontrak di Sungai Gadut, di sini, manakala isterinya, Rina Nigfih, 30-an, operator kilang di Shah Alam, dari Yogyakarta.


"Kedua-dua mangsa dari Kapar, Klang menghala ke Sungai Gadut, Seremban, dalam perjalanan ke tempat kerja suaminya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Mahu resepsi tepi pantai

Posted: 11 Jan 2013 08:17 AM PST

HAMPIR setahun menyulam cinta, ternyata pasangan kekasih Hanez Suraya dan penyanyi serta komposer berbakat besar dari Singapura, Awi Rafael sukar untuk dipisahkan lagi.

Hanez yang lebih mesra disapa Anez, 27, dan dikenali menerusi drama bersiri di TV3, Suri akui ikatan cinta mereka sudah melangkah ke fasa lebih serius ketika ini.

Malah, Hanez yang pernah putus cinta sebelum ini mengakui Awi, 26, adalah lelaki terbaik untuk menjadi pasangan hidupnya.

"Kami bertemu buat kali pertama ketika sama-sama terbabit dalam program Jom Heboh TV3 pada Januari tahun lalu. Saya pergi untuk mempromosikan drama terbitan TV3 dan Awi pula terbabit dalam konsert di situ.


"Awi juga menawarkan saya untuk muncul dalam muzik video terbarunya berjudul Asalkan Aku OK.


Selepas tiga bulan saling berhubung, barulah kami mengaku secara rasmi bercinta iaitu pada tanggal 31 Mac 2012. Saya juga tertarik dengannya kerana dia seorang lelaki yang romantik," katanya.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai fasa perkahwinan, Hanez berkata, dia meletakkan sasaran untuk berkahwin sebelum usianya mencecah 30 tahun.

"Sebagai wanita, kita tentunya mahu letak 'had' usia untuk mendirikan rumah tangga. Lelaki kalau berkahwin pada usia 40 tahun pun tidak ada masalah.

Justeru, saya teringin berkahwin sebelum usia saya 30 tahun. Saya juga ingin membina keluarga dan memiliki cahaya mata sendiri. Itu cuma impian saya saja.

Kalau jodoh kami datang lebih cepat, insya-Allah. Apatah lagi, hubungan kami sudah direstui keluarga kedua belah pihak, saya rasa lebih gembira" katanya.

Dalam sesi fotografi eksklusif yang diaturkan di Lil Haven Bakery & Cafe di Pantai Hillpark, Kuala Lumpur, kelmarin, Hanez yang jelita dengan busana sentuhan Wan Pa berkata, dia dan Awi sibuk mengumpul wang sebagai persiapan mereka untuk berumah tangga.

"Kami impikan majlis perkahwinan tepian pantai atau 'beach wedding'. Jadi kami perlu bekerja keras untuk merealisasikan impian perkahwinan itu.

"Jika saya sibuk berlakon siang dan malam di lokasi penggambaran, Awi pula sibuk mempromosikan album barunya.

"Pada masa sama, saya sangat berharap, peminat kami di luar sana sama-sama mendoakan rezeki kami murah dan album Awi dapat sambutan supaya perancangan untuk berkahwin dapat dipercepatkan.

Insya-Allah, apabila tiba masanya nanti, kami akan berkongsi berita baik itu dengan peminat," ujarnya.

Menyentuh perkembangan karier seninya, Hanez baru kali pertama tercalon dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 mengakui, ia melakar sejarah dalam karier seninya yang hampir mencecah usia 10 tahun itu.

Dalam kategori Artis Baru Wanita Popular, ABPBH 2012, Hanez bersaing dengan empat lagi artis baru yang tidak kurang hebatnya iaitu Nad Zainal, Emma Maembong, Siti Saleha, Ainan Tasneem dan Wawa Zainal.

Bagaimanapun, dengan nada merendah diri, Hanez yang ingin lari daripada watak antagonis berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi dan hanya menyerahkan kepada penilaian peminat untuk mengundi siapakah yang layak untuk menang.

"Terima kasih kepada kelab peminat Twitter @ officialHsfc. Jika dulu susah nak cari penaja baju tapi sekarang bersusun pereka fesyen yang ingin menaja dalam pelbagai acara dan sesi fotografi.

"Begitu juga, tawaran berlakon, saya memang tidak menang tangan sekarang. Selepas pegang watak utama dalam drama Sayangku Damia bergandingan dengan Kamal Adli dan Roy Azman, saya terbabit pula dalam Slot Samarinda Ruby untuk TV3.

Menyusul selepas itu, Slot Akasia TV3, Sedetik Cinta bergandingan dengan Awal Ashaari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Awi minta Hanez kurangkan seksi

Posted: 11 Jan 2013 07:47 AM PST

SEBAGAI kekasih, Awi mengakui dia inginkan yang terbaik untuk masa depan bakal isterinya itu terutama dari segi imej dan penampilannya.

"Anez baru menyerlah selepas menunggu hampir 10 tahun. Saya juga anggap dia wanita yang paling rapat dan saya paling sayang dalam hidup selepas ibu. Begitulah tingginya dia di mata saya sekarang.

"Justeru, saya mahu Anez kurangkan imej seksi kerana dia perlu menjaga nama baik kedua-dua keluarga. Jika saya tidak tegur siapa lagi? Saya perlu tegas dalam soal ini kerana ia membabitkan maruah dan nama baiknya.

Biarlah orang kenal Anez menerusi bakat dan bukan imej seksi ataupun cerita kontroversi yang dikaitkan dengannya," katanya.


Terus terang, akui Awi yang nampak segak dengan busana daripada pereka Fairuz Ramdan juga adalah pengkritik tetap Hanez dalam bidang lakonan. Begitu juga sebaliknya.


"Kami berdua saling menyokong antara satu sama lain. Kalau apa yang dia lakukan tak betul, saya pasti menegurnya. Hanez juga selalu komen lagu saya untuk terus menghasilkan yang lebih baik," katanya.

Jika Hanez menyerlah dalam bidang lakonan, bakat dan kredibiliti Awi dalam bidang penciptaan lagu tidak dapat dipertikaikan lagi. Maklumlah, bakatnya dalam bidang muzik digilap sejak usia 16 tahun lagi.

Pemegang ijazah jurusan Undang-Undang dari James Cook, University, Singapura yang kini baru saja mengungguli kategori Lagu Terbaik Singapura menerusi lagu Pulanglah sempena Anugerah Planet Muzik (APM) 2012.

Terkini, dia mempertaruhkan album barunya berjudul Asalkan Aku OK yang membabitkan sembilan lagu yang juga ciptaannya sendiri bersama Warner Music Malaysia.

"Alhamdulillah, single Asalkan Aku Ok sudahpun diputarkan di stesen radio tempatan dan mendapat maklum balas yang bagus dari peminat. Majlis pelancaran album kedua ini bakal dilancarkan 8 Februari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


'Mr Teeth' jaga dadah

Posted: 11 Jan 2013 03:45 PM PST

Pihak berkuasa yang menjalankan pengawasan biasa ke atas seorang lelaki California terkejut, semalam apabila mendapati dia menyimpan 15.5 kilogram ganja di rumah sewanya.

Bagaimanapun, ganja itu membawa kepada penemuan lebih mengejutkan apabila lelaki terbabit meletakkan seekor buaya sebagai penjaga dadah berkenaan.


Buaya sepanjang 1.5 meter itu diberi nama Mr Teeth. Pihak berkuasa kemudian menahan Assif Mayar, 32, dan merampas buaya itu - yang dipelihara secara haram - untuk diserahkan kepada Zoo Oakland. Laporan stesen televisyen KTVU menyatakan, pihak berkuasa berhenti di luar rumah dua tingkat disewa Assif di Castro Valley kelmarin untuk menjalankan pemeriksaan biasa. Pegawai polis Alameda, JD Nelson berkata, ketika memeriksa rumah berkenaan, polis menemui ganja kering berkenaan disimpan dalam bilik tidur Assif.

Di sebelah dadah itu, kata Nelson, Assif meletakkan satu tangki menempatkan buaya berkenaan. "Kemungkinan besar buaya itu diletakkan di situ bagi menjauhkan pencuri ganja," katanya. Melihat keadaan itu, kata Nelson, polis mendapatkan bantuan sokongan kakitangan Jabatan Perikanan. Kata Nelson, sangat jarang anggota polis terserempak dengan buaya dalam pemeriksaan di situ.


"Menjadikan anjing sebagai pengawal memang biasa, tetapi jika buaya, ia luar biasa," katanya. KTVU melaporkan, Assif - bapa kepada dua anak - turut memelihara beberapa anjing di rumah itu.


Kata Nelson, Assif membeli Mr Teeth pada 1996 bagi "memperingati kematian penyanyi rap, Tupac Shakur." Sementara itu, Nelson berkata, Assif ditahan dan didakwa kerana memiliki dadah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Pintu rahsia dalam almari ke ladang ganja

Posted: 11 Jan 2013 11:24 AM PST

London: Polis membongkar kegiatan menanam ganja dalam rumah selepas menemui pintu rahsia ke 'ladang' berkenaan yang terletak dalam sebuah almari pakaian di Norwich, semalam.

Kegiatan itu terdedah ketika sepasukan polis menyerbu rumah berkenaan hasil maklumat orang awam. Sumber polis berkata, pintu rahsia berkenaan membawa mereka ke sebuah bilik rahsia di garaj luar rumah suspek.


Bilik rahsia itu dilengkapi pelbagai kemudahan khusus untuk penanaman dadah kelas B," katanya.

Jurucakap itu berkata, anggota polis terpaksa merangkak melalui pintu setinggi satu meter dan selebar 0.5 meter yang ditutup dengan tirai.


Katanya, polis percaya bilik berkenaan dibina untuk menanam dadah walaupun ketika serbuan tiada sebarang tumbuh-tumbuhan ditemui.


"Bagaimanapun, pihak polis cuma menemui 33 pokok ganja dalam rumah suspek," katanya. Seorang lelaki berusia 37 tahun ditangkap dan disoal siasat ekoran serbuan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Saya mahu terus berjuang'

Posted: 11 Jan 2013 03:44 PM PST

"Saya akan meneruskan tugas sebagai Presiden. Saya seorang pejuang dan banyak lagi perkara berkaitan bola sepak yang perlu saya selesaikan," kata Sultan Ahmad Shah sekali gus menjawab desakan ditimbulkan sekumpulan penyokong tegar bola sepak negara yang menuntut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu meletak jawatan gara-gara kegagalan Malaysia mempertahankan kejuaraan Piala AFF.

Sultan Ahmad Shah yang ditemui sebaik tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan petang semalam berkata, desakan itu tidak sesekali menjejaskan tumpuannya untuk terus memperjuangkan arena bola sepak negara.


"Saya tidak ada apa-apa dengan desakan itu. Ini negara bebas dan demokrasi. Mereka boleh mendesak saya atau siapa saja untuk letak jawatan dan saya tidak boleh salahkan mereka dalam hal itu.

"Ada juga yang meminta saya supaya terus menjadi Presiden dan buktinya, sekumpulan penyokong yang menyambut kepulangan saya tadi mendesak saya tidak melepaskan jawatan.


"Saya baru saja pulang dan dalam masa terdekat, saya akan menghadiri mesyuarat Exco FAM di ibu negara tapi mesyuarat itu bukanlah untuk membincangkan mengenai pengunduran saya sebaliknya mahu mencari jalan bagaimana memperbaiki kedudukan kita dalam bola sepak Asia dan dunia." Baru-baru ini, sekumpulan penyokong tegar bola sepak negara mendesak Sultan Ahmad Shah supaya melepaskan jawatan selaku pemimpin nombor satu FAM selepas Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF.


Berikutan jawapan yang diberikan Sultan Ahmad Shah itu, segala kemelut dan persoalan mengenai kesediaan beliau melepaskan jawatan selaku Presiden FAM itu sudah sewajarnya terjawab dan beliau meminta semua pihak menunggu kehadiran kongres badan induk bola sepak negara itu untuk melihat sebarang perubahan dalam pucuk pimpinan.

Sultan Ahmad Shah berkata, kegagalan Malaysia dalam saingan tertinggi bola sepak Asean itu sesuatu yang biasa dan lumrah dalam arena bola sepak.


"Kalah dan menang adat pertandingan. Mana boleh kita harapkan kemenangan saja kerana tidak ada siapapun yang mahu kalah. Jangan disebabkan kekalahan di Piala AFF, kita putus asa. Kita masih mempunyai ramai pemain muda yang belum diketengahkan dan itulah yang kami usahakan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Terry beraksi buat kali pertama

Posted: 11 Jan 2013 11:15 AM PST

London: Bekas kapten England, John Terry (gambar), yang tidak beraksi selama dua bulan kerana kecederaan lutut, mengambil langkah pertama untuk kembali ke pasukan utama selepas bermain selama 45 minit bersama pasukan B-21 kelab itu, kelmarin.

Aksi pertahanan tengah Chelsea berusia 32 tahun itu ditonton pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez apabila dia tampil sebagai pemain lebih usia ketika kemenangan 2-0 ke atas pasukan jiran, Fulham.


"John mencetus inspirasi terhadap semua pemain," kata pengurus B-21 Chelsea, Dermot Drummy.

"Dia mempamerkan contoh teladan namun paling penting dia dilihat berada dalam keadaan baik." Lutut Terry tercedera ketika menentang Liverpool, perlawanan pertama sejak kembali daripada penggantungan empat perlawanan kerana meluahkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pertahanan QPR, Anton Ferdinand dan dijangka diketepikan selama tiga minggu.


Kapten kontroversi Chelsea itu belum lagi tampil buat juara Eropah itu di bawah kendalian Benitez yang mengambil alih 10 jam selepas pemecatan Roberto Di Matteo, November lalu.


Chelsea, keempat dalam carta Liga Perdana Inggeris, berkunjung ke Stoke hari ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved