Ahad, 3 Julai 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tangki meletup

Posted: 02 Jul 2011 09:50 AM PDT

KULIM: "Sebaik mendengar letupan kuat, saya berlari di sekeliling tangki untuk mencari rakan yang terjatuh sebelum terkejut menemui arwah di bawah tangga besi dalam keadaan tidak bernyawa lagi, kira-kira 30 meter dari tempat kejadian."

Begitu kata Al Azria Shamsudin, 20, apabila rakannya yang juga pembantu kimpalan, Che Hussin Che Kob, 49, maut disebabkan cedera parah di badan akibat letupan di sebuah kuari di Bandar Sri Mahkota, Sungai Ular, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian jam 11 pagi, seorang lagi rakan mangsa, Mohd Fahmi Muzz Uddin Aripin, 21, turut cedera di badan dan menerima rawatan di Hospital Kulim.

Al Azria berkata, dia di bahagian bawah tangki minyak tar, manakala arwah yang baru sebulan bekerja di situ bersama Mohamad Fahmi membantu seorang lagi rakan melakukan kerja mengimpal di atas tangki.


Menurutnya, tiba-tiba berlaku letupan kuat dan dia melihat tiga rakannya terpelanting ke bawah, menyebabkannya terkejut lalu cuba membantu mangsa yang cedera dengan bantuan pekerja lain.


"Kejadian berlaku begitu pantas dan kami tidak sempat untuk menyelamatkan diri. Rakan yang menjalankan kerja mengimpal hanya terseliuh kaki akibat terjatuh dari tangki setinggi tiga meter itu.

"Manakala Mohd Fahmi dikejarkan ke Hospital Kulim dengan ambulans kerana cedera di badan, namun kami sedih arwah tidak dapat diselamatkan kerana mati di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Kulim, di sini.


Sementara itu, anak mangsa, Mohd Shafiq, 20, berkata bapanya tidak menunjukkan perlakuan pelik, sebaliknya bersikap seperti biasa ketika keluar dari rumah di Taman Angsana, di sini, untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan rakan bapanya lalu bergegas ke tempat kejadian.


Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sepasukan anggota polis dihantar ke tempat kejadian selepas menerima maklumat sebelum menemui mayat seorang lelaki di tangga berhampiran tangki yang dalam pembaikan.


Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, empat pekerja melakukan kerja pemasangan paip di tangki minyak tar di kawasan kuari itu.


"Mangsa bersama rakan tercedera berada di atas sebuah tangki dipercayai membantu memegang sebatang paip yang dikimpal seorang lagi rakan mereka," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ikat dadah pada betis

Posted: 02 Jul 2011 09:02 AM PDT

SEPANG: Gelagat mencurigakan seorang pelancong lelaki dari Pakistan sewaktu memasuki laluan pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin membawa kepada penemuan tiga kilogram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM600,000.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden berkata, pegawai kastam yang melakukan pemeriksaan rapi terhadap lelaki terbabit menemui dadah itu terikat kemas pada betisnya selepas pemeriksaan biasa iaitu imbasan pada beg bimbit biru dibawanya tidak menunjukkan imej mencurigakan.


"Lelaki berusia 20-an itu tiba ke negara ini jam 8.30 pagi kelmarin melalui Penerbangan Malaysia (MAS) dari Karachi ke Kuala Lumpur dan dia difahamkan mahu berada di negara ini seminggu.

"Imbasan pada begnya tiada menunjukkan perkara mencurigakan, namun melihat kepada gerak-geri, malah penampilannya berseluar jeans dengan saiz lebih besar menimbulkan syak pegawai kami.


"Pegawai bertugas melakukan pemeriksaan rapi pada badan suspek sehingga menemui dua bungkus dadah heroin dengan berat setiap bungkusan adalah 1.5 kilogram diikat menggunakan tali pada betis suspek," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo KLIA, di sini, semalam.


Govinden berkata, heroin itu daripada jenis bermutu tinggi dengan beratnya boleh mencecah tiga kali ganda jika melalui beberapa proses, malah nilainya juga boleh mencapai hampir RM6 juta.

Katanya, tindakan lelaki terbabit yang memakai seluar lebih besar bukan saja bagi memudahkan pergerakan, malah bersama beg yang tiada bahan larangan adalah bertujuan mengaburi mata pegawai kastam.


Menurutnya, berikutan penemuan dadah itu, lelaki terbabit direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Dalam siasatan awal, pihak kami mendapati suspek pernah mengunjungi negara ini empat kali tetapi tidak pasti tujuan kedatangannya ke sini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kredibiliti ‘mangsa’ Strauss-Kahn lemah

Posted: 02 Jul 2011 08:22 AM PDT

NEW YORK: Pendakwa kes salah laku seks bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) berkata, pengadu kini berdepan masalah kredibiliti serius apabila sejarah silamnya diselidik.

Pihak berkuasa percaya, pekerja hotel berusia 32 tahun itu melakukan penipuan berkali-kali sebelum ini dan ada kemungkinan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah atau pengubahan wang haram.


Penolong Pendakwa Daerah, Joan Illuzzi-Orbon, berkata kekukuhan kes serangan seksual membabitkan Dominique Strauss-Kahn terjejas teruk.

Sebelum ini, pekerja hotel itu mendakwa dia dikejar Strauss-Kahn - ketika itu berbogel - dalam bilik Hotel Sofitel. Pemeriksaan menunjukkan, memang ada hubungan seksual berlaku di antara kedua-dua mereka, tetapi ia berlangsung atas dasar suka sama suka.


Sumber pula berkata, wanita tidak didedahkan identitinya itu juga sering berhubung melalui telefon dengan seorang pengedar dadah yang kini dipenjara.


Katanya, dalam tempoh 24 jam selepas bertemu Strauss-Kahn, 62, di bilik berkenaan, wanita terbabit didapati bercakap dengan banduan terbabit.

Dalam perbualan yang dirakamkan itu, wanita terbabit berbincang dengan banduan berkenaan mengenai kemungkinan mendapatkan keuntungan jika membuat tuduhan ke atas Strauss-Kahn.


Wanita itu juga menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk membayar bil telefon kepada lima syarikat telekomunikasi setiap bulan walaupun dia mengaku kepada polis hanya memiliki satu telefon.

Menurut sumber, wanita itu pernah membuat ikrar palsu ketika memohon suaka di AS dengan mendakwa dia menjadi mangsa rogol berkumpulan tentera Guinea - negara asalnya.


Dalam surat kepada mahkamah, Joan menyatakan setiap masalah dihadapi pendakwa dengan wanita terbabit.


"Walaupun menangis ketika menceritakan pengalamannya mendapatkan suaka di AS, dia kemudian mengaku pengakuan itu palsu," katanya.


Strauss-Kahn dibebaskan daripada tahanan rumah kelmarin selepas isu berkenaan ditimbulkan pihak pendakwa.


Walaupun tuduhan ke atasnya belum ditarik balik, ikat jamin Strauss-Kahn dibatalkan, membayangkan kemungkinan tiada tuduhan akan dikenakan ke atasnya. - DM

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Russia tak mahu polis gemuk

Posted: 02 Jul 2011 08:20 AM PDT

MOSCOW: Kementerian Dalam Negara Russia semalam mengeluarkan amaran kepada pegawai polis supaya menurunkan berat badan masing-masing atau mungkin dipecat.

Peringatan dibuat ketika Moscow melaksanakan dasar mengurangkan anggota polis serta cuba meningkatkan imej pasukan itu di mata pelancong serta pelabur asing. Sebelum ini, media tempatan memetik Menteri Dalam Negara, Rashid Nurgaliyev, berkata anggota polis yang berlebihan berat badan akan disingkirkan.


Presiden Russia, Dmitry Medvedev, baru-baru ini juga menyatakan, negara itu dalam proses mengecilkan saiz pasukan polis dan meningkatkan tahap profesionalisme mereka. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Hidup kontang-kanting

Posted: 02 Jul 2011 09:41 AM PDT

KENANGAN... saat bahagia sewaktu bergelar isteri.
KENANGAN... saat bahagia sewaktu bergelar isteri.

KUALA LUMPUR: Mereka bahagia pada awal perkahwinan, namun segala-galanya bertukar menjadi 'neraka' buat seorang wanita apabila suaminya bukan saja melanggan pelacur berdekatan sempadan Thailand di utara tanah air, malah menjalin hubungan serius dengan perempuan jalang itu.

Selepas hanyut dalam belaian pelacur, suami Norsiah Ramli, 33, berubah perwatakan menjadi kejam dan bacul.

Dia yang bertugas di utara bukan saja tergamak mendera Norsiah setiap kali pulang ke ibu kota, malah membiarkan wanita itu terkontang-kanting bersama dua anak yang masih kecil dengan hutang keliling pinggang, sedangkan dia leka berfoya-foya.

Hutang sewa rumah saja mencecah RM5,300 selepas lebih satu tahun tertunggak hingga premis milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mereka diami itu bila-bila masa saja akan ditarik balik.


Itu tidak termasuk tunggakan bil elektrik dan air, ada kala dia dan anak di rumah terpaksa bergelap dan terputus bekalan air kerana bil tidak berbayar sehingga tiga bulan.


Mengimbas kisah hidupnya, Norsiah berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan suaminya pada Ogos 2008. Sebagaimana pasangan lain yang baru melayari alam rumah tangga, semuanya bermula manis baginya dan suami.

Pun begitu, ia tidak lama. Suaminya yang juga anggota keselamatan dalam sebuah agensi kerajaan mula menunjukkan belang sebenar.

Daripada penyayang, suami Norsiah menjadi tidak berhati perut dengannya. Beberapa lama selepas melahirkan anak pertama, suaminya kerap memukul dan menderanya tanpa belas kasihan.

"Semuanya berubah selepas suami mula 'menggatal' dengan perempuan lain. Bila belangnya terbongkar, dia tidak dapat menerima hakikat dan saya dijadikan mangsa," katanya.

Mei lalu, Norsiah bercerai dan tinggalkan suaminya. Ia juga bukan perceraian pertama bersama lelaki itu, sebelum ini mereka pernah bercerai namun rujuk semula.

Bagaimanapun, status perceraian itu masih tergantung kerana ia tidak laporkan secara sah kepada pihak berkuasa, sebaliknya hanya secara lisan.

Ikuti lanjut kisah duka Norsiah selama tiga tahun bergelar isteri yang dianggap umpama neraka dalam hidupnya.

Dari 2008 hingga 2009

"Pada awal perkahwinan, saya mengikuti suami yang bertugas di utara tanah air. Perkahwinan kami bermula bahagia, namun saya tidak nafikan terlalu banyak kesukaran yang kami terpaksa lalui berikutan halangan keluarga.

Semua itu tidak penting bagi saya, asalkan dapat mendampingi orang yang saya suka dan sayang. Namun, ia (perkahwinan) tidak seperti yang saya impikan.

Selepas anak pertama dilahirkan, saya bagaikan hidup dalam neraka. Saban hari ada saja yang tidak kena dan menjadi pertengkaran antara saya dan suami. Jika dia (suami) rasa tercabar sangat, mulalah dia memukul saya.

Kami mula bertengkar selepas mengetahui suami bermain kayu tiga. Saya dapat tahu suami melanggan pelacur berdekatan sempadan tanah air. Suami menafikannya, tetapi semua itu terbongkar daripada mulut rakannya.

Tidak lama selepas itu, saya dapat tahu dia mula menjalin hubungan dengan pelacur dari Siam. Hancur hati saya apabila dapat tahu suami menjalin hubungan serius dengan perempuan jalang.

Kami bergaduh teruk selepas itu, tapi apakan daya saya perempuan yang tidak mampu melawan apabila dipukul. Saya dipukul bukan saja dengan tangan dan kaki, malah diperlakukan seperti binatang.

Saya tidak dapat bertahan lagi selepas itu. Kemuncaknya, kami bercerai pada September 2009. Saya pulang semula ke Kuala Lumpur (KL) dan tidak mahu bertemu suami lagi.

Namun, entah bagaimana selepas itu, hubungan kami bertaut kembali. Suami datang ke rumah di KL dan saya pula bagaikan cair dengan pujuk rayunya.

Kami rujuk semula hanya selepas lima hari bercerai. Mungkin kerana sayangkan dia, saya lupa diri dan sanggup mengikut telunjuk suami semula."

Dari 2009 hingga 2010

"Selepas rujuk dengan suami, saya ingatkan dia akan berubah. Lebih-lebih lagi selepas saya melahirkan anak kedua.

Perangainya bertambah teruk, dia bukan saja masih memukul saya, bahkan berkelakuan ganjil. Isteri mana yang tidak syak jika suami berubah kelakuan, walaupun baru masuk dua tahun bersama, tetapi saya kenal kelakuan suami.

Suami boleh berubah angin bila-bila masa dan seperti biasa saya menjadi mangsa. Pernah sekali, saya membeli-belah bersamanya, entah bagaimana 'mood'nya (angin) berubah dan memarahi saya. Ketika itu saya mengikut semula suami menetap di utara.

Dia tidak bercakap apa-apa, tiba-tiba saja saya ditinggalkan begitu saja. Masalahnya, rumah kami bukan dekat, satu jam setengah perjalanan baru sampai rumah.

Puas saya menghubungi (melalui telefon bimbit) tidak dijawab. Saya terpaksa meminta bantuan rakannya, tetapi itu pun tidak dilayan suami.

Mujur ada rakan mahu menumpangkan saya tinggal di rumah mereka malam itu, kalau tidak saya hilang arah dan tidak tahu hendak ke mana.

Sebenarnya, saya syak suami mengambil dadah. Mungkin dia menagih syabu, tetapi sukar pula saya hendak membuktikannya. Jika saya persoalkan, saya dipukul, terasa azab sungguh hidup saya.

Menjelang 2010 pula, sekali lagi suami buat hal dengan 'betina' lain. Kali ini bukan dengan pelacur, tetapi penuntut kolej swasta. Hubungan sulitnya sekali lagi menyebabkan pertengkaran antara saya dan suami.

Merajuk dengan kelakuan suami yang tidak mahu berubah-ubah, saya kembali semula ke rumah (di KL).

Pada awal Januari, saya dan suami bergaduh besar ketika dia datang ke KL bertemu saya. Saya dipukul dengan teruk masa itu lalu membuat laporan polis kerana tidak tahan lagi.

Bagaimanapun, saya tidak tahu mengapa selepas saya membuat laporan polis, tidak lama kemudian saya kembali bersamanya.

Hubungan kami kembali pulih, namun itupun tidak lama."

2011

"Saya bagaikan terpukau dengan pujuk rayu suami. Entah mengapa, walaupun dilayan seperti binatang, saya masih ingin bersama suami yang dayus.

Mungkin memikirkan anak masih kecil, saya tidak mahu berpisah dengannya sekalipun tahu hidup saya akan menderita selagi bersamanya.

Pada Mac lalu, saya bersama suami berkunjung ke rumah seorang rakan di sekitar KL. Ketika saya menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi rakan lain, tidak lama selepas itu saya menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada seorang wanita tidak dikenali.

Daripada lenggok bahasa (dari SMS itu), ia bukan SMS biasa. Saya marah dan tanya suami siapa wanita yang menghubunginya.

Akibatnya, saya dipukul di depan rakan. Dia menumbuk saya bertubi-tubi dan menendang saya tanpa belas kasihan.

Mulut saya cedera dan mata kiri saya lebam. Atas nasihat rakan, saya membuat laporan polis.

Tidak lama selepas itu, pada Mei lalu kami bergaduh besar. Cukuplah... ia adalah kemuncak selepas tiga tahun kami bersama.

Saya tidak dapat bertahan lagi, selain dipukul sehingga lebam di muka, tangan dan kaki, saya ditumbuk hingga gigi patah. Bayangkan, betapa seksanya saya masa itu.

Sekali lagi saya membuat laporan polis. Selepas pergaduhan itu, kami bercerai lagi dan kali ini saya nekad tidak mahu bersamanya lagi.

Sekarang saya sedar, hanya saya yang sayangkan suami. Buat apa saya teruskan hidup bersama orang yang bukan hendak membelai saya, sebaliknya hanya tahu memukul dan mencari perempuan lain.

Hidup saya kini bertambah sukar, saya terpaksa membesarkan anak dan tidak memiliki pekerjaan. Lebih memeningkan, sewa rumah yang saya duduki sekarang banyak tertunggak.

Suami tidak pernah membayarnya, dan tertunggak lebih satu tahun berjumlah lebih RM5,000. Itu tidak termasuk tunggakan bil air dan elektrik.

Terlalu sukar untuk meneruskan hidup tetapi saya reda, mungkin inilah dugaan hidup untuk saya."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lihat emak, adik berlumuran darah

Posted: 02 Jul 2011 09:37 AM PDT

MANGSA... gambar perkahwinan  Mui Tiang dan suami.
MANGSA... gambar perkahwinan Mui Tiang dan suami.

MELAKA: Akibat berang kerana cinta tidak berbalas, seorang lelaki mengamuk dengan mengelar leher, tangan dan menikam bekas teman wanita bersama ibunya di Kampung Baru Ayer Salak, Bukit Rambai, dekat sini.

Lim Mui Tiang, 33, dan ibunya, Ah Ngo, 75, ditemui berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan, namun warga emas itu disahkan mati tidak lama selepas kejadian manakala anaknya cedera parah.


Metro Ahad difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin, Mui Tiang sempat menghubungi abang sulungnya, Lim Ah Lai, 51, memaklumkan dia dan ibu dalam bahaya kerana suspek berusia 33 tahun itu cuba membunuh mereka.

Menurut Ah Lai, dia yang baru pulang ke rumahnya di Cheng Height, dekat sini, dihubungi adiknya lalu bergegas ke lokasi.


"Sebaik sampai, saya dapati pintu rumah berkunci. Apabila saya jenguk melalui tingkap di bahagian depan, saya nampak emak dan adik perempuan terbaring berlumuran darah atas tilam di ruang tamu.


"Saya dan anggota polis yang tiba beberapa minit kemudian menendang pintu untuk membukanya sebelum membantu ibu dan adik yang mengerang kesakitan," katanya.

Menurutnya, dia cuba bertanya ibunya yang masih boleh bercakap mengenai kejadian yang berlaku.


"Dalam menahan sakit, emak beritahu lelaki (suspek) yang serang dan tikam mereka adalah penduduk kampung itu. Saya cuba mententeramkan emak dan adik sebelum ambulans tiba dan membawa mereka ke hospital," katanya.

Menurut Ah Lai, dia dimaklumkan adiknya bahawa lelaki itu berada di rumah mereka sejak jam 7 malam hingga 11.40 malam dan dikatakan cuba memikat serta mengajaknya keluar bersamanya.


Katanya, adiknya enggan mengikut lelaki itu kerana sudah berkahwin dan mempunyai anak.


"Ketika kejadian, lelaki itu berada di dapur bersama Mui Tiang yang menggunakan komputer, manakala ibu menonton televisyen di ruang tamu sambil berbaring di atas tilam.


"Saya difahamkan, lelaki itu cuba memikat dan memujuk adik saya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Dia enggan mengikut lelaki berkenaan dengan alasan mereka masing-masing berkahwin.


"Disebabkan sudah lewat, adik meminta dia balik, namun lelaki itu dikatakan marah dan mengugut membunuh adik. Lelaki itu kemudian mengambil pisau dan menikam adik saya," katanya.


Menurutnya, dalam keadaan kesakitan, adiknya masih mampu menghubunginya sebelum pergi ke ruang tamu dan melihat lelaki itu menikam dan mengelar leher ibunya yang cuba pergi ke dapur apabila mendengar jeritan adiknya.


Difahamkan, anak tunggal Mui Tiang yang berusia dua tahun dan dikenali sebagai Ah Boi, ketika itu tidur di dalam sebuah bilik dan terselamat.


Menurutnya, Mui Tiang adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan bakal berpindah bersama ibu mereka ke luar negara akhir tahun ini mengikut suaminya yang bekerja di sana.


"Kejadian ini sungguh mengejutkan dan saya sekeluarga sedih serta berharap polis berjaya menangkap lelaki terbabit," katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, seorang lelaki berusia 33 tahun disyaki terbabit dalam kejadian itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, jam 11 pagi.


Menurutnya, polis masih menyiasat mengenai insiden itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, jam 11.30 malam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved