Isnin, 8 Julai 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Belajar jahitan dalam talian

Posted: 08 Jul 2013 07:01 AM PDT

Bertujuan memartabatkan kembali seni jahitan berasaskan sulaman agar tidak hilang ditelan arus zaman membuatkan wanita muda ini tidak berhenti mengetengahkan bentuk pengajaran menggunakan teknologi terkini sebagai daya penarik.

Dia mengetahui jika berterusan menggunakan cara lama berkemungkinan apa yang ingin ditonjolkannya itu tidak mampu disebarkan kepada seluruh masyarakat.

Bagi pengasas Akademi Sulaman Sri Classic, Syahida Ramli, 34, dia cuba menjadikan kaedah pembelajaran secara dalam talian sebagai satu tempat interaktif untuk memudahkannya berkomunikasi dengan pelajarnya tanpa perlu berkumpul di satu kawasan pada masa tertentu.

Malah, daripada maklum balas diperolehnya keba­nyakan wanita yang berminat untuk mempelajari seni jahitan sulaman adalah golongan bekerjaya. Pastinya mereka sukar mengikuti bengkel tanpa menjejaskan masa kerja dan juga cuti hujung minggu.

Foto

PESERTA kursus khusyuk melakukan latihan praktikal sulaman manik tersendiri selain mempelajarinya secara teori.

Foto

UNJUK ajar dilakukan sendiri Syahida bagi memastikan sulaman manik dihasilkan menepati kualiti dikehendaki.

Foto

BANGGA dengan penghasilan buku sulaman manik pertamanya.


Oleh itu, berdasarkan masalah dihadapi ini dia mula mengetengahkan cara baru untuk mengajar tanpa perlu berhadapan dengan pelajar seperti kaedah konservatif yang biasa dilakukan sebelum ini.


"Disebabkan itu, saya mula memperkenalkan kursus pembelajaran secara dalam talian kerana melaluinya saya boleh berada dekat dengan pelajar tanpa mengira masa.

"Malah, mereka juga mudah untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas kerana ia dilakukan secara 24 jam," katanya.

Mula berjinak-jinak dalam dunia jahitan sulaman sejak kecil lagi Syahida mengakui apa yang dirasakan sebagai satu bentuk pembelajaran secara terpaksa satu ketika dulu kini menjadi minat yang sukar dipisahkan dalam dirinya.

Namun, bukan mudah untuk memperkenalkan kaedah ini kepada umum malah, malah ramai yang memperlekehkan usahanya itu.

Dia mengambil masa dua tahun untuk menjelajah seluruh negara dan membuat kajian tersendiri mengenai golongan yang meminati seni jahitan halus sulaman manik ini.

Walaupun ada pihak memandang remeh usaha­nya tetapi ia tidak mengendurkan semangat Syahida malah menjadikan dia semakin ligat berfikir bagi memastikan usahanya itu terus berjaya.

"Saya yakin satu hari nanti akan ada individu yang mengiktiraf usaha yang dilakukan ini dan kini saya boleh tersenyum bangga kerana ramai anak murid sudah memperoleh kejayaan.

"Saya bukan meminta pengiktirafan tetapi rasa bertanggungjawab me­ngekalkan seni jahitan halus masyarakat Melayu ini membuatkan saya tidak mengalah dan menoleh ke belakang lagi," katanya.

Di samping itu, dia turut memperkenalkan kaedah web bina iaitu satu bentuk seminar dalam web secara dalam talian bagi membolehkannya berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajarnya secara serentak.

Kaedah ini bukan saja menjimatkan masa malah ia juga mampu memberikan lebih kefahaman kerana setiap masalah dialami dan pendapat dikehendaki boleh diperoleh dengan mudah secara dalam talian.

"Bentuk interaksi seperti ini membolehkan pelajar mempelajari satu bentuk jahitan secara berulang kali sehingga mereka mahir tanpa perlu mengharapkan penyertaan dalam bengkel tertentu.

"Mereka boleh menilai dan melihat sendiri cara jahitan digunakan tetapi yang nyata asas jahitan tetap sama cuma cara ia diolah semula membuatkan bentuk dan rekaannya berbeza," katanya.

Selain wanita, golongan lelaki terutama kaum bapa turut menjadikan kursus secara dalam talian ini sebagai platform terbaik untuk mereka mempelajari seni jahitan sulaman dengan lebih mendalam.

Katanya, apabila dita­nyakan sebab utama mereka mempelajarinya ramai yang mengatakan ia disebabkan isteri dan anak perempuan mereka.

"Mereka yang tidak memiliki anak perempuan ramai tidak merasai beban membeli pakaian kerana harga baju sedia pakai yang bersulam agak mahal. Inilah sebabnya mereka sanggup berusaha mempelajarinya bagi mengurangkan kos perbelanjaan membeli pakaian," katanya.

Mungkin ada beranggapan alasan diberikan agak melucukan tetapi ia adalah hakikat yang perlu dilalui golongan berpendapatan sederhana seperti mereka.

Sungguhpun begitu, ia juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan keluarga sekiranya mereka memperluaskan minat dan bakat mereka itu.

"Saya dapati 75 peratus kaum Adam memberikan alasan yang sama apabila ditanya mengenai pembabitan mereka dalam dunia seni jahitan sulaman manik.

"Tidak perlu berasa malu kerana seni jahitan boleh dipelajari sesiapa saja tanpa mengira jantina dan sepanjang pembabitan saya dalam bidang ini kualiti jahitan dihasilkan golongan lelaki lebih kemas, teliti dan kreatif bentuknya berbanding kaum wanita," katanya.

Di samping itu, Syahida juga mengeluarkan buku sulaman manik pertamanya pada 2009 dan hingga kini ia sudah memasuki cetakan keenam.

Sementara itu, menurut peserta kursus hiasan manik bantal tiga dimensi, Rosnah Yusof, 28, dia menyertai bengkel jahitan bersama rakan kongsi sejak dua tahun lalu dan mula mendapat bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) kelolaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) setahun lalu.

Setakat ini dia hanya menumpukan kepada jahitan pakaian wanita saja kerana tidak memiliki tenaga kerja mencukupi untuk melakukan jahitan tudung dan pelbagai lagi.

Biarpun begitu, tempahan diperolehnya amat memberangsangkan dan melalui kursus seni jahitan manik disediakan ini pasti mampu menambah pendapatan dengan lebih menyeluruh.

"Masih banyak lagi ilmu jahitan yang perlu dipelajari dan saya cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan kepuasan pelanggan supaya pakaian dihasilkan menepati jangkaan.

"Jika ingin mengembangkan lagi bentuk perniagaan ini saya perlu melakukannya langkah demi langkah tanpa perlu terburu-buru," katanya.

Bagi Rosiah Mat Nasir, 49, dia mengambil upah menjahit baju di bawah kendalian Risda sebagai kerja sampingan yang ternyata dapat meningkatkan taraf hidupnya sekeluarga.

Disebabkan itulah dia sentiasa menyertai apa saja kursus disediakan kerana mengetahui pelbagai lagi ilmu jahitan boleh dimilikinya.

Malah, pembabitannya dalam aktiviti kursus sebegini pastinya memberikan kelebihan kepadanya dalam menghasilkan rekaan baju yang lebih menyerlah.

"Saya tidak pernah menolak sekiranya dikehendaki mengikuti kursus jahitan walaupun mengetahui tidak menang tangan dengan limpahan tempahan pakaian yang datang.

"Ini antara cara untuk saya meningkatkan pe­ngetahuan bagi menghasil­kan rekaan pakaian yang memberikan kepuasan kepada pelanggan yang menggunakan khidmat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Atasi tekanan hidup

Posted: 08 Jul 2013 05:39 AM PDT

Siapa sangka ilham yang dianggap kurang munasabah boleh membantu menyelamatkan banyak pemilik kenderaan daripada dikenakan saman? Berapa ramai di antara kita yang sudi meluangkan 10 hingga 15 saat menjengah tiket parkir kenderaan sebelah, di belakang atau di hadapan untuk melihat sama ada ia sudah tamat tempohnya?

Penulis sendiri berasa cuak untuk berbuat demikian, bimbang disalah sangka oleh pemilik kenderaan jika kebetulan dia berada tidak jauh dari situ. Malah selepas beberapa tahun memandu, tidak pernah terfikir untuk menjengah atau mengintai tiket parkir kenderaan yang berjiran dengan kereta penulis.

Namun ada pihak yang bukan saja sanggup meluangkan masa malah mengeluarkan belanja bagi membantu menghindarkan pemilik kenderaan di ibu kota ini daripada menerima surat saman.

Kerja amal yang kreatif dengan nama 'Projek 5kupang Parking' dijalankan bagi menyebarkan aktiviti sukarela ke peringkat lebih berkesan dengan harapan ia dapat meluaskan lagi kesedaran orang ramai untuk sama-sama menyumbang tenaga dalam pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan.


Program ini adalah ilham sukarelawan Kindness.my yang ingin menyebar kebaikan melalui bayaran tiket letak kereta. Ia menerapkan konsep 'memburu' kereta sudah tamat tempoh letak kereta dan kemudian meletakkan tiket baru secara percuma.


Pada peringkat awal ia mula dijalankan di Bangsar namun kini khidmat murni itu 'merebak' ke kawasan lain seperti Gombak dan Petaling Jaya.

Sukarelawan Kindness.my hanya memerlukan kos amal 50 sen dan usaha yang dilakukan ini akan dijalankan secara berterusan sehingga menjelang Ramadan.

Baru-baru ini aktiviti amal berkenaan diperluaskan di Dataran Sunway dan mensasarkan lebih 50 kereta untuk 'diselamatkan' daripada disaman.

Pada hari itu, ahli sukarelawan dibahagikan kepada dua kumpulan yang bergerak di dua lokasi berdekatan secara berasingan.

Seorang daripada mereka bertindak membayar tiket letak kereta manakala seorang sukarelawan lain akan mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan serta ahli lain bertindak meletakkan tiket baru pada kereta berkenaan.

Namun, kali ini had bayaran dinaikkan antara 60 sen hingga RM1 kerana jumlah minimum untuk tiket letak kereta di kawasan terbabit ialah 60 sen sejam berbanding di Kuala Lumpur iaitu 50 sen sejam.

Objektif utama aktiviti ini adalah untuk melahirkan kumpulan masyarakat yang lebih positif serta membantu mengurangkan tekanan hidup golongan yang tinggal di bandar besar.

Menurut pe­ngasasnya, Muhammad Kamarulazizi, 31, hingga kini ada 20 sukarelawan yang menyertai aktiviti amal ini.

Malah, kebanyakan dana diperoleh untuk membolehkan aktiviti amal sebegini dijalankan adalah melalui bantuan rakan yang tidak pernah 'kedekut' membantu menghulurkan sumbangan.

"Saya cuba membina kesedaran umum terhadap amal kebajikan yang boleh dilakukan meskipun pada skala kecil. Walaupun sibuk dengan urusan masing-masing tetap masih boleh melakukan kebaikan dengan cara tersendiri.

"Tanyalah sesiapa saja, pasti akan berasa tertekan, marah, kecewa dan susah hati apabila mendapat surat saman meletak kenderaan. Hidup di bandar besar sudah banyak tekanan, jadi kami cuba lakukan sesuatu untuk membantu mengurangkan tekanan berkenaan.

"Ilham aktiviti amal ini diperoleh dari negara luar yang mana masyarakatnya tidak pernah loket menghulurkan bantuan sungguhpun tidak mengenali individu terbabit. Memang kita tidak perlu kenal seseorang untuk membantu. Inilah yang dikatakan orang, peluang untuk membuat kebaikan secara kecil-kecilan sentiasa ada di depan mata," katanya.

Selain sekitar Lembah Klang, projek amal ini turut dijalankan di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Melaka dan Sabah namun dalam kumpulan yang lebih kecil ataupun secara bersendirian.

Katanya, pada peringkat awal maklum balas diperoleh penduduk setempat tidak begitu menggalakkan dan mereka berasa cukup pelik dengan 'bantuan' diberikan itu.

Tetapi ia adalah langkah pertama bagi memperkenalkan aktiviti sukarela sebegini kepada umum dengan lebih meluas. Malah pada Ramadan ini, tidak salah sekiranya kita - walaupun tidak berdaftar sebagai sukarelawan Kindness.my untuk turut sama menyumbang, semoga dengan bantuan yang hanya beberapa sen itu dapat meningkatkan kesejahteraan hidup orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Jumpa rakan di celah gerai

Posted: 07 Jul 2013 10:54 AM PDT

Seremban: Seorang pembantu gerai ayam ditemui dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dengan kesan kecederaan di kepala dan muka di Pasar Besar Seremban, di sini, semalam, dipercayai dipukul individu tidak dikenali sebelum ditinggalkan di situ.

Difahamkan, lelaki berusia 48 tahun itu ditemui berhampiran gerai di tingkat dua pasar berkenaan oleh rakannya yang kebetulan mahu membersihkan kawasan berkenaan untuk berniaga, kira-kira jam 3 pagi.


Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menyiasat motif serangan itu sama ada mangsa dirompak atau mendapat kecederaan sendiri berikutan lelaki itu masih tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

"Berikutan mangsa masih tidak sedarkan diri, kita tidak dapat mengetahui bagaimana dia mendapat kecederaan di kepala sekali gus merakam percakapannya.


"Justeru, kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan mahu orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. ketika dihubungi, semalam.


Sementara itu, rakan mangsa yang enggan dikenali berusia 40-an berkata, ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' namun masih boleh menggerakkan kakinya seperti meminta pertolongan.

Foto

MANGSA diusung ke hospital menaiki motosikal rakannya.

"Saya sedar mangsa berada di celahan gerai apabila dia mengangkat kedua-dua kakinya untuk memaklumkan dia berada di situ. "Sebaik menjenguk, saya terkejut melihat kepala dan muka mangsa berlumuran darah sebelum terus menghubungi pasukan paramedik untuk menghantarnya ke hospital," katanya.


Menurutnya, dua minggu lalu kejadian sama berlaku yang menyebabkan seorang lelaki cedera selepas disamun di tandas awam di pasar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Putus dua pergi kenduri

Posted: 07 Jul 2013 11:03 AM PDT

Kota Bharu: "Saya spontan memberhentikan kenderaan untuk membantu, tetapi tak sangka pula dua mangsa kemalangan yang bergelimpangan atas jalan itu rakan setugas sendiri," kata Koperal Nik Hazan Nik Wok, 40.

Dua anggota tentera yang juga rakan setugas Nik Hazan, Lans Koperal Firdaus Abd Rani, 23, dan Prebet Mohd Nor Hamidi Ismail, 23, terbunuh selepas kereta Honda Accord yang mereka naiki merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Kampung Chica, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Firdaus dari Machang, dekat sini dan Mohd Nor dari Sungai Petani, Kedah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Seorang lagi penumpang kereta itu, Lans Koperal Abdul Halim Husin, 24, dari Kodiang, Kedah cedera parah dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Foto

KEADAAN nahas ngeri yang meragut nyawa dua anggota tentera Kem Pengkalan Chepa, kelmarin.


Keadaannya dilaporkan masih kritikal manakala pemandu kereta, Lans Koperal Ferdaus Che Fadzi, 29, dari Alor Setar, Kedah, pula hanya cedera ringan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Cinta bodoh

Posted: 07 Jul 2013 11:01 AM PDT

Alor Gajah: Bukan saja hasrat untuk menamatkan zaman bujangnya berkecai, malah seorang kontraktor perumahan kerugian RM36,000 selepas diperdaya 'bakal isteri' yang menghilangkan diri selepas mengikis wangnya, tanpa sekali pun bersua muka.

Mangsa yang mahu dikenali Azlan Md Rani, 39, berkata, wanita berusia 25 tahun itu mendakwa dirinya doktor pelatih dan mereka berkenalan melalui laman sembang sosial di Internet sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, pada awal perkenalan, wanita itu mendakwa baru menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan di Pulau Pinang Februari lalu, berstatus anak yatim piatu dan berdepan masalah kewangan.

"Dia menaburkan pelbagai janji termasuk bersedia menjadi isteri saya dan itu menyebabkan saya terpedaya serta simpati kepadanya, apatah lagi selepas dia memberitahu baru saja kematian ayah dan ibu," katanya.

Foto

AZLAN menunjukkan sebahagian daripada 64 resit transaksi wang kepada wanita terbabit.


Azlan berkata, pada hari pertama perkenalan, wanita terbabit mengirim SMS menyatakan hasrat meminjam RM30 bagi menampung perbelanjaan di kampus dengan alasan kesempitan wang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


FAM kena kecam lagi

Posted: 07 Jul 2013 09:00 AM PDT

Johor Bahru: Kesal dengan mutu pengadilan yang didakwa teruk ketika aksi terakhir Liga Super membabitkan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor kelmarin, Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat segera meningkatkan mutu pengadilan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dilabel masih di tahap amatur.

Pengerusinya Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, FAM selaku badan induk bola sepak tempatan tidak boleh berlengah lagi dalam meningkatkan mutu pengadilan di negara ini yang didakwanya amat rendah.


Beliau memberi contoh beberapa keputusan pengadil Syed Azhar Syed Kamar yang mengendalikan perlawanan antara Johor DT dengan Selangor yang boleh dipertikaikan malah menyaksikan sendiri beberapa tindakan tidak masuk akal pengadil itu.

"FAM kena ambil langkah drastik untuk mengatasi masalah ini dengan segera. Penonton membeli tiket berhak disajikan perlawanan yang adil tapi apa yang berlaku semalam (kelmarin) amat mengecewakan.


"Sudah tiba masanya mutu pengadilan perlu ditingkatkan ke arah lebih profesional sebab FAM perlu ingat jika tidak ditingkatkan, ia hanya akan terus mengundang persoalan mungkinkah wujudnya unsur rasuah membabitkan pengadil.


"Paling penting kami tak nak kepercayaan penyokong berkurang kerana gejala seperti rasuah. Apapun, saya yakin FAM akan ambil tindakan drastik berhubung perkara ini," katanya.

Foto

PENJAGA gol Johor DT, Muhd Al-Hafiz Hamzah (kanan) menyelamatkan bola daripada pemain Selangor, Francis Forkey Doe, kelmarin.

Zulkurnain berharap Datuk Hamidin Mohd Amin yang baru dilantik sebagai Setiausaha Agung baru FAM dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah yang sekian lama membelenggu arena bola sepak negara.


Ditanya adakah perubahan itu perlu dilakukan dengan kadar segera, Zulkurnain berkata perkara itu tidak perlu dimulakan pada musim depan.

"Kalau boleh pembaharuan ini perlu bermula pada saingan Piala Malaysia, tidak perlu hingga dua atau tiga musim lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Kelantan pertahan emas kali kedua berturut-turut

Posted: 07 Jul 2013 08:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Kira-kira 17 tahun lalu, sukan ragbi bukan sukan diminati golongan muda. Jika ada, hanya dimainkan di tiga buah sekolah saja di Kelantan.

Sejarah itu sudah bertukar apabila pasukan ragbi Kelantan meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 selepas menewaskan Melaka 36-0 pada final ragbi 7 sebelah di padang Kolej Canselori Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.


Kejayaan itu hadir sekalipun skuad kendalian jurulatih, Mohd Saizul Hafifi Md Noor membuat permulaan kurang meyakinkan dalam dua perlawanan peringkat saingan kumpulan, kelmarin.

"Kami membuat permulaan goyah perlawanan pertama melawan Terengganu tapi akhirnya menang 10-12 selepas ketinggalan 0-10.


"Keyakinan serta semangat juang anak buah saya hadir pada perlawanan kedua sewaktu mengatasi Perak 24-14. Apapun, kejayaan perlawanan final mengatasi Melaka 36-0 satu pencapaian membanggakan kerana kami berjaya mempertahankan pingat emas SUKMA dimenangi dua tahun lalu," katanya.


Saizul berkata, pasukan dianggotai pemain berusia antara 19 hingga 21 tahun itu kini fokus membuat persiapan untuk mempertahankan gelaran pada Kejohanan Piala Agong November ini.

"Selepas SUKMA, pertandingan itu akan menjadi satu lagi tumpuan kami. Kami mahu meneruskan rentak kemenangan dan mengangkat martabat ragbi Malaysia sebagai satu sukan menyeronokkan ditonton dan dimainkan," katanya selepas menyaksikan pasukannya melakukan enam try dan tiga conversion pada perlawanan menarik berlangsung di bawah panas terik yang turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Kapten Mohd Khairul Abdillah, 21, menyatakan rasa gembira membawa kejayaan Kelantan pada penampilan pertama selaku kapten.

"Jerih payah berlatih dan keserasian pasukan semakin baik daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami mempamer permainan berpasukan dan tidak membuka ruang kepada lawan.


"Saya berharap ragbi akan menjadi permainan diminati di Malaysia kerana di England sukan dimainkan kelas atasan dan pertengahan dan di Perancis sebagai satu tradisi," katanya bermain pada posisi scrum-half, kini belajar di Sekolah Sukan Tengku Ismail Johor.


Pingat gangsa ragbi 7 sebelah diraih oleh Kedah yang mengatasi Terengganu 35-5.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Elemen 3D mantapkan lagi Despicable Me 2

Posted: 07 Jul 2013 05:51 AM PDT

Setelah kejayaan pertama menerusi filem animasi Despicable Me, para penonton bakal dihiburkan dengan sekuel berjudul Despicable Me 2. Siapa sangka, filem yang diisi dengan suara para pelakon terkenal berjaya menggegarkan panggung dengan watak-watak animasi yang telah direka begitu comel sekali.

Keletah makhluk-makhluk kecil yang berperanan sebagai pembantu Gru (Steve Carell) kembali mencuri pentas dan menonjol dengan perangai mereka yang mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak. Walaupun watak mereka dicipta dengan dialog yang tidak difahami namun aksi-aksi lucu mereka begitu menghiburkan.

Filem ini mengisahkan seorang ayah tunggal, Gru yang membesarkan tiga orang anak perempuannya iaitu Margo (Miranda Cosgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher). Gru berusaha membesarkan anak-anaknya dengan menghasilkan jem dan jeli buatan sendiri selepas berubah meninggalkan kerjayanya sebagai seorang penjenayah.

Malah Gru juga turut ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia , Anti Villain untuk menyiasat sebuah kes kehilangan satu formula baru. Berperanan membantu untuk menentang kejahatan, Gru merupakan seorang calon yang sesuai kerana statusnya yang bergelar bekas penjenayah.


Gru yang fobia untuk berkawan dengan wanita kerana kisah silamnya telah disatukan dengan Lucy Wilde (Kristen Wiig) untuk menangkap penjahat tersebut. Selain menyelesaikan tugasan yang diberi, Gru juga perlu mengimbangi tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang mana anaknya, Morgan semakin meningkat remaja.


Penggunaan kesan 3D juga memberi impak yang lebih berkesan melalui filem animasi ini dan anda dapat merasakan seperti turut berada dalam Despicable Me 2 ini.

Tahniah diucapkan kepada Cinco Paul dan Ken Daurio kerana selain menghiburkan, filem ini juga menerapkan mesej dan nilai-nilai murni yang banyak memberikan pengajaran.

Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan sejumlah wang untuk menonton filem Despicable Me 2 yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 4 Julai. Filem ini mampu membuatkan anda ketawa terbahak-bahak serta turut membantu menghilangkan tekanan kerja di pejabat.

Filem: Despicable Me 2

Genre: Komedi

Suara latar: Steve Carell (Gru), Kristen Wiig (Lucy Wilde), Miranda Cosgrove (Margo), Ken Jeong (Floyd) dan Russel Brand (Dr. Nefario)

Info: Selain sebagai tarikan penonton, penerbit Chris Meledandri percaya Despicable Me 2 sesuai dipersembahkan dalam 3D kerana skop dan skala set filem ini sekaligus dapat memberikan impak yang menakjubkan kepada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Tuah jumpa Anuar Zain

Posted: 07 Jul 2013 05:46 AM PDT

Dilabel sebagai eksklusif, peluang bertemu penyanyi tersohor, Anuar Zain ini hanya ketika dia membuat persembahan yang kebanyakan tertutup dan berbayar.

Perkembangan mengenai kehidupan sehariannya tidak mungkin dapat dijejaki dalam mana-mana laman sosial khususnya Twitter, Instragram dan Keek yang menjadi medium interaksi antara selebriti dan peminat.

Anuar mempunyai pendirian sendiri mengapa dia memilih cara yang menongkah 'trend' masa kini. Bukan tidak mahu kehidupan peribadinya diintai setiap hari, tetapi kesibukannya membataskan dia berbuat demikian selain menyimpan sedikit ruang 'privacy' untuk diri sendiri.

Pendek kata, peluang bertemu penghibur dilahirkan pada tanggal 15 Februari 1970 dengan nama Shahrul Anuar Zain, itu bukan mudah.

Foto

ANUAR buat peminat rasa istimewa.

Foto

ANUAR berbual dengan Farah (bertudung) yang hadir bersama adiknya, Aien.

Foto

NUR Hafeza menghadiahkan Anuar 'cookies' yang dibuat olehnya sendiri.

Foto

PENGARANG Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil (kanan) dan Pengurus Pemasaran Komunikasi Hotel Concorde KL Julini Yusof (kiri) menyerahkan bingkai bergambar kepada Anuar.


Namun, Nur Hafeza Rahmat, 32, dan Azaril Ameer Yahaya, 32, menjadi antara ribuan peminat Anuar yang cukup bertuah. Mereka bukan saja dapat bertentang mata dengan Anuar malah berpeluang menikmati makan malam secara eksklusif di Melting Pot tajaan Hotel Concorde, Kuala Lumpur, baru-baru ini bersama penghibur yang mencipta nama menerusi lagi Kain Pelikat tiga dekad lalu.


Nur Hafeza dan Azaril adalah dua pemenang utama kuiz anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Harian Metro bersempena konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari pada 16 Februari lalu di Stadium Malawati Shah Alam.

Tentunya perasaan bangga turut dikongsi teman-teman mereka, Faiz Nor Ain Hamzah, Farah Aini Hamzah dan Mohamad Ridzuan Abdul Mutalib, apabila setiap pemenang dibenarkan membawa pasangan atau rakan masing-masing.

Tiba di lobi hotel pada jam 8.10 malam, Selasa lalu, Anuar berkemeja kuning cair, dipadan celana denim biru gelap dan blazer kelabu, kelihatan tenang dan mesra seperti biasa. Tidak bersendirian sebaliknya bersama 'entourage' dari Anuar Zain Network terdiri daripada dua pengurus, Nana Ahmad dan Dura Talib termasuk Pengurus Pronosi, Sam Kassim.

Betapa dia menghormati majlis dan peminatnya, Anuar tidak memulakan makan malam kerana setia menunggu sehingga semua tetamu istimewanya tiba.

Apabila semuanya sudah lengkap, Anuar berbual mesra dengan peminatnya dan dilihat menjawab setiap pertanyaan yang dilontarkan kepadanya.

"Majlis malam ini, sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan. Sudah lama kita nantikan untuk adakan program seperti ini selepas konsert saya tempoh hari. Tetapi banyak waktu terpaksa di tangguh kerana jadual saya yang tidak mengizinkan.

"Alhamdulillah malam ini, akhirnya dapat juga majlis ini dilaksanakan. Pemenang yang hadir pun, mereka tenang-tenang saja, semuanya baik-baik.

"Lama dulu saya pernah juga adakan majlis seperti ini tetapi jarang sekali dapat peluang. Selalunya, berjumpa di majlis undangan nyanyian yang saya hadiri," katanya.

Biarpun ada yang melabelnya eksklusif, Anuar secara peribadi berpendapat hubungannya dengan peminat tidak putus malah berterusan sehingga di luar pentas. Tambahan pula, setiap kali keluar rumah atau mengunjungi mana-mana tempat, dia tidak pernah menghalang peminat mendekatinya.

"Kadang-kadang keluar tidak merancang, kan? Jadi peminat yang jarang melihat kita datang untuk bergambar dan hendak berbual, saya akan melayani mereka sehabis yang saya boleh. Saya sangat-sangat bersyukur ada peminat yang menyokong kerjaya saya dari mula kini menjadi sahabat saya pun.

"Yang membuatkan saya terharu walaupun mereka sudah dianggap sebagai sahabat, belum pernah di antara mereka jenis ambil kesempatan. Misalnya setiap kali 'show' mereka tidak pernah lokek membeli tiket," katanya.

Menghala perbualan pada perkembangan kerjayanya, akui Anuar, sememangnya dia mahu mengadakan edisi kedua Konsert Anuar Zain 3 Dekad : Muzik, Cinta dan Sanubari, jika ada yang sudi menawarkan dari segi penajaan. Walau bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang perancangan ke arah itu.

Kagum sikap merendah diri

Senyuman bagaikan tidak pernah padam di raut wajah pemenang yang begitu gembira dapat bertemu dengan idola mereka secara empat mata.

Nur Hafeza juga Perunding Perniagaan Kanan di sebuah syarikat swasta cukup mengagumi sikap penghibur tersohor itu yang merendah diri.

"Sebagaimana kita lihat di dalam akhbar dan majalah begitulah segaknya Anuar di luar. Paling mengagumkan, dia seorang yang cukup mesra dan merendah diri walaupun namanya cukup gah.

"Dia juga tidak menolak untuk bergambar mahupun diajukan soalan. Saya terasa seperti mimpi pun ada, kerana saya antara ribuan hadirin yang hadir menyaksikan kehebatan figura ini beraksi di konsertnya tempoh hari dan malam ini dia di depan mata saya.

"Paling membuatkan saya terharu, Anuar sudi mencuba Exora's Homemade Chocolate Chip Cookies yang saya buat," katanya yang mengusahakan perniagaan biskut raya itu selama tiga tahun setiap kali menjelang Ramadan.

Sahabat kepada Nur Hafeza iaitu Farah, juga peminat tegar Anuar Zain. Malah, dia sudah mengikuti perkembangan idolanya itu sejak sekian lama.

"Saya sudah lama mengikuti perkembangan abang Anuar tetapi inilah baru pertama kali bertentang mata dengannya. Saya gementar dan rasa hendak menangis awal-awal tadi.

"Pada 16 Februari lalu, saya tidak melepaskan peluang menonton konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari, bersama adik saya. Walau bagaimanapun, saya hanya dapat merakamkan aksi-aksi persembahannya dari jauh.

"Hari ini, dia di depan mata saya. Bertambah-tambah rasa hormat, abang Anuar melayani kami dengan baik dan kebaikannya itu tidak dibuat-buat," katanya.

Sementara Arief menoktahkan malam itu sebagai malam paling indah dalam hidupnya apabila dapat bertemu dan berbual dengan penghibur lelaki hebat itu.

"Pengalaman malam ini akan saya jadikan kenangan indah seumur hidup saya. Terima kasih kepada Harian Metro memilih saya sebagai pemenang. Tidak dilupakan kepada pihak Anuar Zain Network juga kerana merealisasikan impian saya, bukan saja dapat menyaksikan konsert tetapi menikmati makan malam bersama Anuar Zain," katanya.

Sebelum majlis bersurai, Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil, menyerahkan penghargaan berupa bingkai gambar muka hadapan sisipan RAP yang dibingkaikan kepada Anuar.

Sebagai apresiasi ke­­­pa­­­­­­­­­­da Hotel Concorde yang menjadi penaja lokasi serta makan malam buat pemenang, Anuar melaksanakan penyerahan bingkai gambar dan bunga kepada Pengurus Pemasaran Komunikasi Hotel Concorde, Julini Mohd Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


5 terperangkap atas pokok

Posted: 07 Jul 2013 09:12 AM PDT

Banda Aceh: Lima lelaki terperangkap di atas pokok sejak tiga hari lalu selepas dikejar oleh beberapa ekor harimau Sumatera.

Seorang rakan mereka mati dibaham haiwan berkenaan.


Polis berkata, lima harimau masih berada di bawah pokok itu selepas mengejar lelaki berkenaan Khamis lalu.

Kejadian berlaku selepas lelaki itu yang mencari kayu gaharu di Taman Negara Hutan Leuser di puncak Sungai Rengas, Tenggulun, kawasan Aceh Tamiang, membunuh seekor anak harimau secara tidak sengaja.


Konflik antara manusia dengan haiwan semakin menjadi-jadi di Indonesia. Tetapi, dalam kebanyakan kes, ia berakhir dengan padah menimpa haiwan terbabit.


Ketua Polis Tamiang, Dicky Sondani berkata, selain mencari gaharu, lelaki berkenaan turut memasang perangkap untuk menangkap rusa tetapi secara tidak sengaja memerangkap anak harimau berkenaan.

Foto

HARIMAU Sumatera.

Harimau dewasa itu menyerang keenam-enam lelaki terbabit dan membaham seorang daripada mereka yang dikenali sebagai David. Lima yang lain - Adi Susilo, Mujiono, Budi Setiawan, Suriadi dan Awaludin - menyelamatkan diri dengan memanjat pokok, kata Dicky.


Menurutnya, 30 orang terdiri daripada polis dan tentera sudah melancarkan gerakan menyelamat mangsa kelmarin selepas dia dan tiga anggotanya terpaksa berpatah balik setelah melihat harimau itu.

Dicky juga berkata, usaha untuk mendapatkan khidmat pawang harimau sehingga semalam masih belum berhasil.


Anggota penyelamat mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari untuk tiba di kawasan terbabit. Lebih buruk lagi, mereka juga terpaksa berdepan dengan harimau dan binatang liar lain, termasuk gajah.


Harimau Sumatera adalah harimau paling kecil di dunia. Hanya 400 hingga 500 ekor dipercayai masih hidup.


"Jika harimau itu masih berada di bawah pokok, kami mungkin terpaksa menembak mereka, paling tidak dengan ubat pelali, untuk menyelamatkan kelima-lima mangsa," kata Dicky. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Sengaja mahu dijangkiti HIV

Posted: 07 Jul 2013 09:08 AM PDT

London: Sejenis 'kegilaan' baru dilaporkan semakin berkembang di Barat apabila sesetengah lelaki sengaja menjalani hidup songsang dengan harapan dapat dijangkiti virus HIV.

Aktiviti itu - digelar sebagai memburu pepijat (bug chasing) - tercetus di AS pada 1999 dalam usaha mereka mendapat kepuasan seksual.


Seorang daripada mereka yang aktif dalam aktiviti itu berkata, ada beratus-ratus lelaki di Britain mendedahkan diri masing-masing di forum dalam talian, Facebook dan Twitter.

Kebanyakan mereka kemudian bertemu dan cuba menyebarkan virus berbahaya itu yang mampu membawa maut kerana menyerang sistem imunisasi badan.


Sesetengah pemburu pepijat itu mendakwa virus HIV menyebabkan kualiti hidup mereka meningkat kerana pengambilan ubat-ubatan yang terpaksa diambil. Kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Nick, 30, dia berasa semakin bertenaga dan sihat akibat pengambilan ubat berkenaan. "Saya menjalani ujian hati setiap tiga bulan, paras kolesterol pula dipantau dari semasa ke semasa dan ada banyak pemeriksaan kesihatan yang disediakan.


"Jika ada sebarang masalah, saya dapat mengesannya dengan cepat.

"Malah, semua perkhidmatan itu diberikan percuma oleh hospital kerajaan," katanya ketika ditemui. Tahun lalu, 73,659 orang dirawat kerana HIV di Britain dan 43 peratus daripada mereka adalah pengamal homoseksual.


Jumlah itu menunjukkan pertambahan 58 peratus berbanding 10 tahun lalu.

Pada 2012 juga, perkhidmatan kesihatan Britain membelanjakan wang berjumlah £840 juta (RM3,99 bilion) sebagai kos rawatan HIV. Sementara itu, sukarelawan Yayasan Aids Elton John, Simon Prytherch berkata, amalan mengejar pepijat itu amat menakutkan dan sangat tidak bertanggungjawab. "Apa yang kita tahu, semakin banyak rawatan gagal dan berlaku kemerosotan tahap kesihatan yang ketara," katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved