Ahad, 30 Oktober 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Ragut satu nyawa setiap enam saat

Posted: 30 Oct 2011 07:40 AM PDT

PESANAN khas untuk wanita: Tekun dan tegas dalam menjaga kesihatan kerana semakin meningkat usia, semakin tinggilah peluang penyakit jantung dan strok mendekati kita. Bagi wanita yang memiliki faktor risiko untuk penyakit jantung, mereka juga berisiko tinggi mendapat strok.

Ketika bertemu dengan Pakar Neurologi Hospital Assunta, Datuk Dr Raihanah Abdul Khalid, beliau berkongsi fakta menggerunkan iaitu strok bukan saja menjadi punca kematian keempat utama di hospital kerajaan, malah lebih ramai wanita diserang penyakit ini berbanding lelaki. Bahkan kematian akibat strok adalah dua kali lebih tinggi berbanding kanser payudara.

Nisbah mudahnya, satu daripada lima wanita selepas menopaus diserang strok berbanding satu dalam enam bagi lelaki. Sehari selepas bertemu Dr Raihanah, sahabat di kampung memberitahu ibunya kini berada di hospital kerana strok dan beberapa bulan lalu penulis kehilangan ibu saudara akibat penyakit yang sama.

Kenapa strok atau serangan otak lebih tinggi pada wanita sedangkan faktor risikonya sama saja dengan lelaki? Dr Raihanah berkata ia ada kaitan dengan kehilangan perlindungan hormon estrogen (yang sangat rendah parasnya selepas putus haid) menyebabkan risiko wanita mendapat sakit jantung dan strok meningkat mendadak setanding lelaki.


Kajian dijalankan penyelidik dari Universiti Toronto, Kanada pada 2004 mencadangkan beberapa kemungkinan antaranya faktor jangka hayat kerana wanita hidup lebih lama berbanding lelaki. Ini kerana risiko strok melonjak dengan peningkatan umur.


Masalah migrain yang kerap dihadapi wanita dikatakan meningkatkan risiko dua kali ganda untuk mendapat strok. Selain itu mengalami tekanan darah tinggi ketika hamil didapati meningkatkan risiko strok sebanyak 60 peratus dan bagi sesetengah wanita, pengambilan pil pencegah kehamilan juga boleh meningkatkan peluang mendapat penyakit ini khususnya bagi wanita yang merokok dan kerap alami migrain.

Malah, terapi penggantian hormon juga boleh meningkatkan risiko strok bagi sesetengah wanita. Namun, janganlah ada yang tidak mahu mengambil pil perancang atau mendapatkan terapi penggantian hormon atas alasan ini, berbincanglah dengan doktor supaya anda boleh mengambil keputusan bijak dan bermanfaat kepada diri sendiri.

Pun begitu, menurut Dr Moira Karpal yang mengetuai kajian berkenaan, ada satu aspek yang memerlukan kajian lanjut mengapa lebih ramai wanita meninggal dunia akibat strok iaitu kebanyakan wanita berumur tinggal sendirian dan tidak mendapat sokongan sosial. Bahkan wanita juga lebih cenderung menyembunyikan penyakit dan tidak mendapatkan bantuan sewajarnya apabila diserang penyakit ini sedangkan strok perlu dirawat secepat mungkin untuk mengurangkan kesan kerosakan akibat berlaku 'kecederaan' dalam otak.

"Semua orang tahu apa itu penyakit strok. Ia penyakit yang semakin biasa di negara membangun seperti Malaysia, malah insidennya lebih tinggi berbanding negara maju. Antara sebabnya ialah negara maju mempunyai kemudahan rawatan dan penjagaan pesakit yang lebih baik dan berjaya mengawal risiko penyakit.

"Strok adalah penyakit golongan tua berumur 60 tahun ke atas. Pada pesakit muda, biasanya pesakit memang ada penyakit berkaitan darah, pembentukan otak tidak normal kongenital (dilahirkan dengan keadaan begitu) atau penyalahgunaan dadah khususnya dadah pesta," katanya sempena Hari Strok Sedunia yang disambut pada 29 Oktober setiap tahun.

Organisasi Strok Sedunia (WSO) menganggarkan penyakit ini meragut satu nyawa dalam setiap enam saat. Sememangnya serangan strok sangat menakutkan kerana jika tidak membawa maut, ia akan menyebabkan pesakit menjadi orang kurang upaya - sama ada lumpuh separuh badan atau sepenuhnya. Bukan itu saja, pesakit juga akan hilang pelbagai kemahiran termasuk bertutur, kemahiran bahasa dan kebolehan menggerakkan anggota - bergantung kepada bahagian otak yang mengalami serangan.

Strok boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu iskemia (apabila aliran darah tersekat akibat kehadiran darah beku - yang mewakili 87 peratus kes strok), berdarah (berlaku apabila salur darah yang lemah pecah) dan serangan iskemia transien (TIA) yang juga dipanggil strok kecil. Untuk TIA, walaupun namanya 'kecil' tetapi jangan diabaikan kerana ia disebabkan kehadiran darah beku sementara. Segeralah dapatkan nasihat doktor supaya serangan strok yang besar dapat dicegah.

Faktor risiko

Faktor risiko strok sama seperti serangan jantung. Bezanya hanyalah lokasi.
Jika serangan jantung berlaku di mana-mana bahagian jantung, strok pula berlaku di otak sama ada disebabkan salur darah pecah atau tersumbat sehingga mengakibatkan terputusnya bekalan oksigen.

"Mereka yang berisiko tinggi mendapat serangan jantung, juga berisiko tinggi untuk diserang strok. Oleh kerana faktor risikonya sama, maka tiada alasan untuk berkata tidak tahu kerana kerana kedua-dua penyakit ini mempunyai kaitan rapat dengan gaya hidup. Justeru, faktor risiko seperti obesiti, tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi, merokok dan kurang bersenam perlu diberikan perhatian.

"Kebanyakan faktor risiko untuk strok (dan penyakit jantung) boleh dikawal kecuali peningkatan umur. Justeru, jika anda menjaga kesihatan jantung, anda juga secara tidak langsung menjauhkan diri daripada serangan strok," katanya.

Malah, individu yang ada sejarah keluarga mengalami penyakit jantung juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana kebarangkalian mendapat strok adalah tinggi apatah lagi jika dia sendiri mempunyai masalah tekanan darah tinggi.

"Jika anda merokok, berhentilah sekarang kerana rokok meningkatkan risiko strok sebanyak dua kali ganda. Begitu juga dengan tekanan darah tinggi. Jadi berusahalah mengurangkan semua faktor risiko kerana serangan strok berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda. Malah, satu pertiga kes serangan strok berlaku ketika tidur," katanya.

Tanda amaran

Tiadakah tanda amaran yang boleh diperhatikan? Ada tetapi biasanya ia jarang dipedulikan. Ini kerana tanda amaran strok datang sekejap-sekejap dalam masa beberapa minit atau jam. Ia datang, hilang dan datang kembali menyebabkan ramai pesakit menganggap ia sebagai masalah biasa. Penting untuk diketahui, ia tidak menyebabkan rasa sakit.

Antara tanda amaran itu ialah:

  • Rasa kebas secara tiba-tiba terutama pada sebelah badan
  • Badan terasa lemah
  • Ada masalah penglihatan (pandangan berganda) pada sebelah atau kedua-dua mata
  • Pening kepala, sakit kepala secara tiba-tiba
  • Hilang keseimbangan atau keupayaan untuk berjalan dengan tiba-tiba
  • Rasa keliru, susah bercakap atau memahami percakapan orang lain
  • Susah hendak menelan
  • Rasa pening dan sekeliling nampak berpusing

    Jika anda mengalami tanda-tanda di atas, segera minta ahli keluarga atau rakan sekerja membawa anda ke hospital kerana serangan strok boleh berlaku pada bila-bila masa.

    Ada ujian mudah yang boleh dilakukan iaitu senyum, lambai dan cakap atau F.A.S.T.

  • F - Face (muka). Suruh senyum. Adakah sebelah mukanya kelihatan 'jatuh'?
  • A - Arm (lengan). Minta dia mengangkat kedua-dua belah lengannya. Adakah sebelah lengan melorot ke bawah?
  • S - Speech (cakap). Suruh bercakap dan perhatikan sama ada pertuturannya menjadi tidak jelas.
  • T - Telefon. Segera hubungi ambulans. Jika tiada, segeralah bawa individu ini ke hospital.

    Apa yang perlu dilakukan apabila ahli keluarga diserang strok?

    Bagi individu yang diserang strok, setiap saat sangat berharga kerana kerosakan otak berlaku berterusan sehinggalah dia diberikan rawatan. Apabila otak tidak mendapat oksigen dalam masa beberapa minit, sel-sel otak akan mula mati. Sebaik tisu otak mati, anggota badan yang dikawal oleh bahagian otak berkenaan tidak boleh berfungsi dengan baik dan inilah yang menyebabkan pesakit hilang keupayaan.

    "Segera bawa pesakit ke hospital. Baringkan pesakit supaya lebih banyak bekalan darah (dan oksigen) sampai ke kepalanya. Jika dalam kereta, baringkan pesakit di tempat duduk belakang dengan membengkokkan kakinya.

    "Jangan berlengah dengan menelefon saudara-mara untuk bantuan kerana bagi pesakit strok, masa amat kritikal. Lebih cepat pesakit dihantar ke hospital dan diberikan rawatan sepatutnya, peluang untuk sembuh lebih tinggi kerana kini kita ada terapi akut untuk pesakit.

    "Rawatan seharusnya diberikan dalam tempoh tiga hingga empat jam selepas pesakit mengalami serangan strok. Rawatan ini adalah untuk mencairkan darah beku supaya halangan dalam salur darah dapat diatasi.

    "Ingat, dalam perjalanan ke hospital jangan beri apa-apa kepada pesakit termasuklah air, makanan atau aspirin kepada pesakit kerana kita tidak tahu keadaan kesihatan pesakit. Jika pesakit mengambil ubat untuk sakit jantung, pemberian aspirin akan memburukkan keadaan. Sekiranya pesakit muntah, baringkan pesakit dalam keadaan mengiring untuk mengelakkan muntah daripada termasuk ke dalam saluran pernafasannya.

    "Bawa sekali ubat yang diambil pesakit dan rekod kesihatannya. Ini akan membantu memudahkan doktor memberi rawatan yang bersesuaian dengan pesakit," sambungnya lagi.

    Dr Raihanah juga mengingatkan supaya tidak percaya dengan e-mel yang mendakwa boleh mencegah strok dengan mencucuk jari menggunakan jarum kerana ia tidak berasas.

    Bolehkah serangan strok dicegah?

    Ya. Seperti penyakit jantung, strok juga boleh dicegah. Inilah sasaran Kementerian Kesihatan yang sejajar dengan kempen Organisasi Strok Sedunia yang bertema 'Satu Dalam Enam' untuk meningkatkan kesedaran mengenai strok. Tema ini dipilih berdasarkan hakikat bahawa satu daripada enam orang akan diserang strok. Ini bermakna semua orang berisiko mendapat strok dan peluang penyakit ini menyerang sangat tinggi jika tiada langkah pencegahan diambil.

    Kempen ini bukan saja untuk mencegah strok, tetapi memberitahu bahawa pesakit strok boleh pulih dan kembali menjalani kehidupan sebaik mungkin jika diberikan rawatan dan sokongan yang diperlukan. Kempen dua tahun ini juga bertujuan mengurangkan beban strok dengan bertindak ke atas enam halangan mudah iaitu:

    1. Ketahui faktor risiko anda sendiri: sama ada tekanan darah tinggi, kencing manis atau masalah kolesterol tinggi.

    2. Menjadi individu yang lebih aktif dan kerap bersenam

    3. Elakkan masalah obesiti dengan mengamalkan pemakanan sihat

    4. Hadkan pengambilan minuman beralkohol

    5. Elakkan asap rokok. Jika anda merokok, dapatkan bantuan untuk berhenti sekarang.

    6. Belajar mengenali tanda amaran strok dan tindakan yang boleh dilakukan.

    Saranan Dr Raihanah: Jaga pemakanan (kurangkan makanan berlemak) dan pengambilan garam (had maksimum ialah enam gram sehari atau satu sudu teh), hadkan pengambilan daging merah (hanya satu hidangan sebesar kotak mancis sehari), lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan (sekurang-kurangnya enam hidangan sehari).

    Paling penting, bersenam 30 minit sehari atau dua setengah jam seminggu kerana senaman boleh mengurangkan risiko strok sebanyak 64 peratus. Senaman sederhana cergas (selepas 30 minit anda masih boleh bercakap tetapi tidak mampu menyanyi). Senaman ringan seperti berjalan pada kelajuan sederhana juga sangat bermanfaat untuk mengekalkan kesihatan dan mengawal penyakit yang dihidapi.

    Kehidupan selepas serangan strok

    "Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menjalani fisioterapi. Kapasiti latihan berbeza antara pesakit mengikut kemampuan masing-masing. Fisioterapi ini bertujuan memberi latihan kepada anggota badan yang hilang fungsi. Dalam tempoh ini, sokongan keluarga sangat penting.

    "Fahami keadaan pesakit dan kenali tanda-tanda amaran untuk mengelakkan berlakunya serangan kedua. Dalam tahun pertama, pesakit ada risiko 12 peratus untuk mengalami serangan strok lagi. Satu pertiga pesakit akan dapat serangan kedua dalam tempoh lima tahun dan jika ini berlaku kerosakan otaknya bertambah teruk," katanya.

    Apa yang ahli keluarga boleh lakukan? Banyak. Pastikan pesakit mengambil ubat seperti diarahkan, bawa pesakit ke hospital atau pusat terapi untuk fisioterapi, sebaiknya pelajari senaman yang diajar supaya anda boleh bersama-sama melakukannya di rumah sebagai pencetus semangat kepada pesakit dan beri sokongan moral.

    Kajian mendapati 40 peratus pesakit strok mengalami kemurungan. Apabila kehilangan banyak keupayaan, memang mudah untuk pesakit berasa putus asa, sedih, kecewa hingga membawa kepada kemurungan. Ingat, tekanan juga boleh menyebabkan seseorang mengalami serangan strok.

    Jika pesakit suka, bawa dia menyertai aktiviti sosial. Ia sedikit sebanyak boleh menghilangkan kekecewaannya. Bagaimanapun, kaedah ini tertakluk kepada personaliti pesakit kerana ada yang tidak mahu keadaan mereka diketahui ramai.

    "Strok adalah penyakit yang memberi beban besar kepada pesakit dan ahli keluarga. Kira-kira 10 hingga 15 peratus pesakit boleh sembuh sepenuhnya, tetapi hampir 60 peratus pesakit terlantar.

    "Memang ramai pesakit strok yang lewat diberikan rawatan. Ramai yang 'terbiar' selepas dibenarkan keluar dari hospital dan terus menjadi orang kurang upaya.
    Namun, jangan biarkan keadaan ini berterusan kerana rawatan seperti fisioterapi masih boleh diberikan walaupun selepas setahun diserang strok. Jangan biarkan pesakit terus menjadi orang tidak upaya," katanya.

  • Full content generated by Get Full RSS.

    Guna alat pencegahan kehamilan selamat

    Posted: 30 Oct 2011 06:55 AM PDT

    Wanita pada zaman Mesir kuno pula menggunakan kurma dikisar bersama kulit pokok Acacia dan madu yang disapu pada kapas. Kapas ini kemudian dimasukkan ke dalam vagina. Campuran kulit kayu Acacia, madu dan kurma bertindak sebagai agen untuk mematikan sperma manakala kapas pula bertindak sebagai penghalang kepada sperma daripada terus masuk ke ruang rahim.

    Lebih mengejutkan apabila masyarakat dalam tamadun China kuno menggunakan merkuri sebagai pencegah kehamilan. Wanita pada zaman itu dinasihatkan untuk meminum merkuri panas bagi menghalang daripada mengandung manakala di sekitar Asia Selatan dan Tenggara, betik muda sangat kaya dengan phytokimia
    yang boleh menghalang penghasilan progesteron untuk proses penempelan.


    Namun pada zaman moden ini, terdapat pelbagai alat pencegahan kehamilan yang diyakini selamat dan berkesan boleh digunakan antaranya:

    Pil perancang

    Bagaimanapun, kebanyakan wanita berkerjaya tidak memilih jenis ini kerana keberkesanannya kurang akibat terlupa. Ada pula mengatakan kesan sampingan seperti kenaikan berat badan namun semuanya bergantung kepada gaya hidup wanita.

    Gelung getah (nuva ring)

    Sejenis kaedah halangan oleh wanita iaitu ia menutupi bahagian serviks. Kaedah
    ini kurang mendapat sambutan disebabkan kaedah penggunaannya. Wanita perlu memasukkan sendiri ke dalam faraj dan meletakkannya di tempat yang betul.
    Risiko kehamilan dengan kaedah ini juga adalah tinggi iaitu lima peratus.

    Suntikan

    Keberkesanan kaedah ini bagi mengelakkan kehamilan adalah tinggi iaitu 99.7 peratus. Kelebihan kaedah ini adalah wanita tidak perlu mengingati untuk mengambilnya setiap hari kerana suntikan dilakukan setiap tiga bulan sekali.

    Kaedah ini amat berkesan bagi wanita berkerjaya serta sering menjalankan tugasan luar kawasan. Tapi perlu diingatkan, penggunaan kaedah ini menyebabkan sesetengah wanita mengalami kitaran haid yang tidak teratur untuk beberapa bulan pertama.

    Implan

    Implan adalah kaedah yang mempunyai keberkesanan 99.9 peratus bagi pencegahan kehamilan. Kaedah ini boleh digunakan sehingga tiga tahun dan kemudian perlu dikeluarkan. Kaedah ini juga menggunakan satu jenis hormon dan sesuai bagi ibu yang menyusukan anaknya.

    Kondom

    Kaedah ini boleh didapati dengan mudah dan salah satu cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu melakukan hubungan seks. Ia juga mengelakkan penyakit jangkitan kelamin. Sebelum menggunakannya, pemakai perlu memeriksa tarikh luput, meneliti sebarang kebocoran serta pemasangan yang betul perlu diambil kira untuk memastikan kaedah ini berkesan.

    Alat dalam rahim (IUCD)

    Kaedah perancang keluarga ini boleh digunakan selama tiga tahun dan selepas tempoh terbabit, ia perlu dikeluarkan. Alat ini selamat digunakan untuk ibu menyusukan badan disebabkan tiada hormon di dalamnya. Keberkesanan kaedah ini adalah 99.4 peratus. Selain itu, kitaran haid juga tidak terjejas disebabkan tiada penggunaan hormon.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Terhumban dalam ladang

    Posted: 29 Oct 2011 01:42 PM PDT

    KUALA LIPIS: Kegembiraan satu rombongan keluarga seramai 28 orang dari Kota Tinggi, Johor, meraikan cuti Deepavali dengan berkunjung ke pusat peranginan, Cameron Highlands, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut manakala empat lagi parah selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Sungai Koyan-Raub, di sini, kelmarin.

    Dalam kejadian jam 9.20 malam, M Sivagnanam, 29, dan SV Genesin, 51, meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pekan Sungai Koyan akibat cedera parah di kepala dan luka dalaman.


    Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kedua-dua mangsa yang maut menaiki kenderaan Toyota Alphard bersama tujuh anggota keluarga lain yang dipandu anak Genesin.

    Menurutnya, kenderaan yang terbabit kemalangan itu berada di belakang dua lagi kereta lain rombongan berkenaan apabila ia dipercayai hilang kawalan sebelum terhumban ke kawasan ladang tanaman semula kelapa sawit dan terbalik.


    "Empat lagi mangsa yang menaiki kenderaan sama cedera parah dan tiga lagi hanya cedera ringan. Mereka dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk rawatan lanjut.


    "Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Inspektor Johnny James Bujang di talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan," katanya.

    Sementara itu, anak saudara Genesin, M Letchumi, 34, berkata, sebelum kejadian, mereka sempat singgah di Raub untuk mengunjungi rumah saudara dan bertolak ke Cameron Highlands selepas makan malam.


    "Genesin meminta anaknya memandu kenderaan kerana dia penat dan mengantuk akibat memandu dalam perjalanan jauh.

    "Kereta saya naiki bersama sebuah lagi kereta berada di depan, manakala kereta dinaiki mendiang berada paling belakang," katanya.


    Katanya, ketika dalam perjalanan menuju ke Sungai Koyan mereka mendapati kereta Toyota Alphard yang dinaiki sembilan ahli keluarganya tidak kelihatan.


    "Saya cuba menghubungi telefon bimbit seorang daripada mereka dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan itu.


    "Kami kemudian berpatah semula ke tempat kejadian dan cuba menyelamatkan mangsa yang parah dengan menghantar mereka ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan. Namun, bapa saudara dan seorang lagi saudara kami disahkan meninggal dunia," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Rebah dalam bilik air

    Posted: 29 Oct 2011 01:31 PM PDT

    PARIT BUNTAR: Jenazah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Abdul Raman Suliman, 62, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedah, di sini, selepas solat Zuhur, semalam.

    Allahyarham yang juga Ketua Umno Bahagian Parit Buntar meninggal dunia di Hospital Daerah Parit Buntar jam 12.30 malam kelmarin selepas ditemui terjatuh di dalam bilik air di kediamannya di Kampung Kedah, di sini.


    Kejadian berlaku sejurus arwah pulang ke rumahnya selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perak di Ipoh, malam kelmarin.

    Hadir sama memberi penghormatan terakhir kepada arwah semalam termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan ahli exco negeri iaitu Datuk Ramly Zahari dan Datuk Saarani Mohamad.


    Dr Zambry ketika ditemui semalam berkata, beliau terkejut dengan berita kematian itu kerana arwah kelihatan sangat ceria ketika menghadiri mesyuarat berkenaan malam kelmarin.


    Beliau berkata, dalam mesyuarat itu, semua ketua bahagian sepakat melantik arwah sebagai wakil perhubungan Umno Perak untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno, bulan depan.

    "Allahyarham sangat ceria ketika itu dan menerima keputusan berkenaan. Sebagai Pengerusi Umno Perak, saya merakamkan takziah kepada keluarga arwah.


    "Arwah pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Ahli Parlimen Parit Buntar, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesenian dan Pelancongan serta Pengerusi Risda," katanya.

    Katanya, arwah juga menjawat Ketua Umno Bahagian Parit Buntar sejak 20 tahun lalu.


    Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Saemah Hashim dan enam anak iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Majlis pertunangan tertutup

    Posted: 29 Oct 2011 03:17 PM PDT

    GOMBAK: Majlis pertunangan Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, atau lebih dikenali sebagai Rita malam ini, dibuat secara tertutup dengan jemputan hanya di kalangan keluarga atau kenalan rapat.

    Ini kerana ramai jiran yang tinggal berhampiran kediaman itu tidak tahu menahu perkara itu, sebaliknya merasakan ada majlis tertentu di kediaman Rita berikutan beberapa khemah dipasang dalam pekarangan rumahnya.


    "Entahlah, mungkin majlis pertunangan Rita... sebab kalau nak kata majlis arwah untuk emaknya rasa macam dah lama berlalu," kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, sebaik ditanya mengenai kehadiran kanopi putih rumah jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya itu.

    Yang pasti, katanya, dia tidak menerima sebarang jemputan.


    "Saya rasa majlis itu (pertunangan) terlalu peribadi dan majlis keluarga, jadi ia diraikan secara tertutup. Setakat ini saya hanya nampak keluarga dan rakannya," katanya yang tinggal berhampiran rumah jutawan terbabit.


    Seorang buruh yang hanya mahu dikenali sebagai Hasan dan bekerja berhampiran pula berkata, dia hanya nampak lori keluar masuk tetapi tidak pasti majlis yang diadakan.

    "Saya cuma nampak lori bawa kerusi dan meja, tetapi tak tahu apa tujuannya.


    "Sejak dua lalu, saya nampak kereta adiknya dikeluarkan bagi memberi laluan kepada lori memunggah barang," katanya.

    Sementara itu, peniaga gerai, Arifin Mohd Nor, 52, berkata dia juga tidak mendengar perkhabaran bahawa Rita bakal bertunang.


    Katanya, tiada yang luar biasa dengan rutin Rita, malah menurut beberapa kariah masjid berhampiran, tiada jemputan atau berita mengenai pertunangan akan diadakan.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Abby reda

    Posted: 29 Oct 2011 03:17 PM PDT

    TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita hubungan cinta pasangan popular, Abby Abadi dan Zulkifli Ariffin atau Zul sudah berakhir. Perkhabaran ini mula tersebar selepas Abby meluahkan isi hati di blog peribadinya pada Selasa lalu.

    Kebetulan pada hari itu Zul menyambut ulang tahunnya ke-25. Abby secara terbuka mengakui sangat menyayangi aktor berdarah kacukan Melayu Belanda itu, namun apakan daya, keadaan dan nasib tidak menyebelahi mereka.


    Harapan yang bersulam indah selama tiga tahun saling menyayangi hanya tinggal kenangan, namun dia reda biarpun hakikatnya kisah sedih itu sangat pedih untuk ditelan.

    Ketika dihubungi kelmarin bagi mendapatkan penjelasan, Abby dengan rendah hati meminta supaya perkara ini tidak diperbesar-besarkan. Bukan tidak memahami tugas media, namun dia tidak tahu bagaimana untuk menceritakan keadaan yang sebenar.


    "Saya bukan tidak mahu berkongsi, tetapi cukuplah dengan penjelasan yang saya tulis dalam blog pada 25 Oktober lalu. Saya meluahkan apa yang dirasa selepas kira-kira tiga minggu kami tidak bertemu.


    "Adakalanya apabila kita sayangkan seseorang, kita kena bersedia melepaskannya. Mungkin itu adalah jalan yang terbaik dan apa penyebab hubungan kami renggang, itu tidak boleh saya ulas kerana terlalu peribadi. Biarlah ia menjadi rahsia antara saya dan Zul.

    "Macam yang saya jelaskan sebelum ini, biarlah dia bahagia dengan kehidupannya dan sebagai insan yang menyayanginya, saya tumpang gembira dengan apa yang dia ada kini. "Tidak mengapalah andai dia tidak sedar saya selalu berada di sisinya selama ini," katanya tenang.


    Abby tidak menafikan ujian ini sangat berat baginya, malah tiada kata-kata dapat menggambarkan kesedihan yang bersarang di tangkai hati. Enggan meletakkan sebarang harapan, Abby berkata biarlah takdir yang menentukan apa kesudahan hubungannya dan Zul.

    "Setiap kali terkenangkan doa peminat yang mengharapkan kami melangkah ke jinjang pelamin, hati saya dihimpit rasa sayu. Itulah juga harapan yang pernah kami rencanakan sebelum ini tetapi sebagai manusia kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan.


    "Mungkin ada kesilapan yang saya lakukan tanpa sedar sebelum ini dan inilah bayaran yang saya harus terima. "Saya tidak berani cakap apa kesudahan hubungan kami tetapi selepas luahkan apa yang saya rasa tempoh hari, Zul ada bertemu saya.


    "Kami berbincang dan daripada situ, sedar perpisahan ini tidak sepatutnya berlaku.


    "Sudah banyak cabaran yang kami tempuh bersama dan terasa janggal pula apabila terpaksa berjauhan. "Justeru itu, kami mengambil jalan tengah dengan cuba memperbaiki kelemahan masing-masing dan kita tengoklah macam mana selepas ini.


    "Harap semuanya akan baik-baik saja dan keadaan akan kembali pulih seperti dulu tetapi andai tertulis sebaliknya, saya reda," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Saya sah suami Kristen: Pattison

    Posted: 29 Oct 2011 12:56 PM PDT

    STOCKHOLM: Aktor siri televisyen popular Twilight, Robert Pattison sibuk mempromosikan filem 'The Twilight Saga: Breaking Dawn - Bahagian 1' di Eropah.

    Pattison, 25, yang terkenal dengan sikap suka berjenaka berkata, sekarang dia sudah rasmi menjadi suami kepada aktres Kristen Stewart.


    "Dalam upacara perkahwinan itu, kami menggunakan khidmat paderi sebenar," kata Pattison ketika sidang akhbar di Stockholm, Sweden, semalam. "Jadi, secara teknikalnya, saya sudah berkahwin dengan Kristen. Kami melakukan setiap upacara keagamaan dalam perkahwinan itu. Kami memang belum berkahwin dari segi undang-undang, tetapi dari segi agama, kami sudah menjadi suami isteri," katanya.

    Kristen, 21, baru-baru ini mengesahkan hubungannya dengan Pattison dalam wawancara bersama majalah GQ Britain selepas hubungan asmara antara kedua-dua pelakon itu dihidu media.


    Dalam sidang akhbar itu Pattison ditemani seorang lagi pelakon Twilight, Ashley Greene. Pattison memberitahu babak intim dalam filem Twilight yang bakal ditayangkan kelak adalah detik sukar untuk dilakonkannya.


    "Adegan seks untuk filem itu adalah yang paling sukar.

    "Terdapat kira-kira 20 orang dalam set penggambaran ketika itu. Babak berkenaan cukup romantis dan tidak boleh dilakukan mengikut skrip semata-mata, jadi kami berasa gementar ketika melakonkan adegan itu," katanya. "Saya dan Kristen amat bimbang mengenai bentuk tubuh kami yang akan dipaparkan dalam kamera. Kami rasa malu," katanya.


    Pattison yang melakonkan watak pontianak Edward Cullen berkata, dia sendiri tidak memahami mengapa dia berasa bimbang ketika melakonkan adegan intim itu bersama Kristen.

    The Twilight Saga: Breaking Dawn - Bahagian 1 adalah kisah pertama selepas empat musim siri itu disiarkan di televisyen. Twilight adalah siri televisyen popular berdasarkan novel tulisan Stephenie Meyer mengenai kisah percintaan antara pontianak (Edward Cullen) dengan manusia (Bella Swan). - Agensi

    Full content generated by Get Full RSS.

    Konsert Britney lengang, gagal tarik penonton

    Posted: 29 Oct 2011 12:54 PM PDT

    LONDON: Satu masa dulu Britney Spears menjadi kegilaan peminat industri muzik apabila albumnya terjual sebanyak jutaan unit dan konsertnya dihadiri ribuan penonton.

    Bagaimanapun, selepas sedekad lagu nyanyiannya tersenarai di tangga pertama carta lagu, populariti Britney seolah-olah semakin tenggelam. Konsert penyanyi pop berusia 29 tahun itu di Britain, baru-baru ini ternyata tidak mendapat sambutan apabila hanya separuh penonton memenuhi stadium tempat dia mengadakan persembahan. Penyanyi Amerika Syarikat itu juga dikatakan tidak membuat sebarang kejutan istimewa sepanjang konsert berlangsung.


    Malah, dia sekadar menunjukkan persembahan bertenaga hanya ketika menyanyikan lagu 'Don't Let Me Be The Last To Know' dengan menyampaikan nyanyian secara langsung.

    Apa yang menonjol sepanjang persembahan beberapa jam itu adalah pakaian yang dipakainya kerana ibu dua anak itu tetap seksi ketika membuat persembahan.


    Terdapat laporan mengatakan beratus-ratus tiket gagal dijual untuk konsert jelajah Femme Fatale penyanyi itu. - DM

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Taikun masih tak jumpa calon heroin

    Posted: 25 Sep 2011 05:52 AM PDT

    KEJAYAAN filem Ngangkung arahan Ismail Bob Hasim mencatat kutipan melebihi RM8.5 juta ketika ditayangkan November tahun lalu membuatkan produser Metrowealth Pictures (MIG), David Teo terus menaruh kepercayaan kepadanya mengarahkan filem terbaru, Taikun.

    Filem ke-65 terbitan produksi itu bergenre aksi komedi menampilkan gandingan pelawak, pelakon dan pengacara terkenal tanah air, Muhammad Nizamudin Ahmad atau Along Cham dan Iskandarshah Hashim (Angah) sebagai teraju utama.

    David berkata, dia menaruh kepercayaan dan kredibiliti pengarah berkenaan
    berdasarkan reputasi yang dimilikinya.

    Malah Bob bukan hanya membuktikan kemampuan dalam pengarahan malah mampu menghasilkan pelbagai genre filem.

    "Saya yakin kemampuan Ismail Bob Hasim bukan sekadar filem komedi selain elemen aksi dan seram yang menjadi kekuatannya mampu mengikut jejak langkah kejayaan filem MIG sebelum ini.

    "Selepas melihat filem aksi komedi terbitan MIG, Bini-Biniku Gangster yang mula ditayangkan sejak 22 September lalu. Saya yakin filem ini mampu diterima peminat apabila ditayangkan nanti," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem itu, baru-baru ini.

    Bagaikan menjadi trend apabila pelakon utama wanita atau heroin untuk filem kebelakangan ini tidak lagi menjadi keutamaan apabila watak mereka diwujudkan hanya sebagai penyeri layar perak.

    Malah ketika majlis sidang media memperkenalkan pelakon dan pelancaran memulakan penggambaran filem berkenaan di pejabat MIG baru-baru ini, David mengakui masih mencari calon sesuai membawa watak heroin dalam filem itu.

    "Memang kami sudah mempunyai beberapa nama dalam senarai pendek termasuk yang menghadiri uji bakat secara terbuka namun kami masih mempertimbangkan calon sesuai.

    "Kami mencari heroin yang mampu melaksanakan tanggungjawab berat menerusi filem ini. Heroin berkenaan bukan saja perlu mempunyai susuk tubuh menarik atau seksi malah mampu melakukan babak aksi.

    "Tidak kira pelakon yang sudah dikenali atau pelakon baru. Jika kami berasa dia calon sesuai dan mampu melaksanakan tanggungjawab itu sudah pasti di layak memegang peranan itu.

    "Kemungkinan besar calon heroin akan dimaklumkan beberapa hari lagi. Walaupun penggambaran filem ini bermula 24 September. Namun untuk babak membabitkan heroin hanya akan mulakan penggambaran sekitar 5 Oktober nanti," kata David.

    Sementara itu, Bob berkata, skrip karya Fadzil Bahri Zahari dan Yana Samsudin itu mempunyai kekuatan tersendiri. Bukan hanya menerusi penceritaan sebalik penampilan gandingan pelakon baru dan lama menerusi filem itu.

    "Budaya kerja di MIG memang menggalakkan pekerjanya sentiasa mencuba benda baru. Selain mengikut kehendak dan selera penonton masa kini.

    "Boleh dikatakan sejak kejayaan filem Adnan Sempit ia bagaikan menjadi aliran baru buat industri filem tempatan untuk mencuba pelbagai strategi untuk menghasilkan karya terbaik sekali gus menggalakkan penonton untuk ke panggung.

    "Kita perlu sedar penonton sekarang semakin bijak menilai. Walaupun dengan kemunculan bakat baru termasuk pelapis di kalangan pembikin filem," katanya.

    Ini juga filem kelapan Bob bersama MIG. Filem terbarunya, Bini-Biniku Gangster sedang ditayangkan di pawagam sejak 22 September lalu dan mendapat sambutan membanggakan.

    Mengenai gandingan Along dan Angah, mereka terlebih dahulu muncul menerusi filem komedi, Alamak Toyol yang dijadualkan untuk tayangan pada 3 November ini.

    Dalam Taikun, Angah membawa watak Tai manakala Along sebagai Miskun Tusnan aka Kun. Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Selangor itu turut dibintangi Zul Supian, Alex Yanz, Adey Syafrien, Mikael Andre, Addy Rauf dan Mie Raja Lawak.

    Bagi Along pula, gandingan mereka yang juga residen artis MIG sudah lama terbentuk sama ada sebagai kawan atau musuh.

    Selain dicungkil daripada program realiti Raja Lawak mereka terbabit dalam drama sebelum berganding dalam filem.

    "Mungkin ini rezeki kami daripada kejayaan tersenarai dalam kelompok Top 5 di Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori Pelawak.

    "Dari sana mungkin David melihat kemampuan bakat kami dan percaya kami mempunyai kelompok peminat tersendiri.

    "Bukan mudah untuk diberi tanggungjawab sebagai pelakon utama apatah lagi membawakan babak aksi.

    "Selain bergandingan sebagai pengacara pentas kami juga kerap terbabit dalam pembikinan drama dan filem," katanya.

    Senada dengan rakannya, Angah memaklumkan dirinya perlu bersedia dalam aspek kecergasan untuk memastikan semua penggambaran membabitkan aksi dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

    "Dalam filem ini tidak ada sesiapa yang akan membayangi antara satu
    sama lain. Sebaliknya kami akan berbincang dan melakukan latihan sebelum menjalani penggambaran.

    Selepas kali pertama membaca skrip saya dapati kedua-dua karakter ini agak seimbang," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Depan Mata: Sultan puji Hasnah

    Posted: 07 Aug 2011 07:48 AM PDT

    Biar ku bersedih
    biar aku merintih
    setelah gagal berkasih
    lari bersama pedih

    ITU antara bait lagu Bersedih yang cukup sinonim dengan penyanyi 60-an, Hasnah Haron. Bertemu dengannya pada 24 Mei lalu di Restoran Puteri, Sungai Penchala, nyata itulah pertemuan pertama dan terakhir.

    Dalam usia 64, penyanyi kelahiran Kampung Melayu, Singapura pada 9 November 1946 ini meninggal dunia pada 1 Ogos lalu, jam 8 pagi selepas lima hari dimasukkan ke hospital, Johor Bahru kerana barah pangkal rahim yang dihidapinya lebih dua tahun lalu.

    Ketika itu juga, umat Islam seluruh dunia memulakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sehari sebelum itu, kebetulan saya menghubungi pemilik Restoran Puteri, Rubiah Suparman dan dimaklumkan Hasnah yang juga kawan baiknya sejak remaja dalam keadaan nazak. Berita itu baru saja disampaikan anak perempuannya, Haslinda Mohd Eunos (Linda).


    Sememangnya itulah pertama kali bertemu dengannya tetapi orangnya ramah begitu juga Linda yang sudi bercerita keadaan ibunya. Linda membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk mencuba rawatan cara Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak yang diusahakan pelakon Ashraf Muslim.


    Badannya kurus kerana kurang selera makan dan pergerakan juga terbatas dan cepat penat tetapi apabila diminta bercerita mengenai zaman popularitinya sejak menghasilkan album pertama pada 1969, wajahnya nampak ceria.

    Malah apabila diminta menyanyikan lagu Bersedih, beliau tidak keberatan begitu juga apabila ditanya lagu popular lainnya, terus menyanyikan lagu Sabar Menanti dan Siti Zubaidah. Suaranya juga tetap merdu.

    Linda mengatakan ibunya sering bermuram dan enggan keluar rumah seolah-olah tiada semangat. Bagaimanapun apabila dibawa ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan-rakan seangkatan, Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad, Datuk Jeffrydin dan Datuk Yusni Hamid, wajahnya nampak riang. Mereka diundang Kak Rubiah ke restorannya untuk bertemu.

    Linda sempat memohon kalau ada rakan-rakan atau peminat ibunya ingin berjumpa, boleh berkunjung ke rumah mereka. Mungkin cara itu mampu membuatkan ibunya lebih bersemangat untuk terus hidup sekali gus melawan penyakit yang belum ada penawarnya. Malah, dia akan membawa ibunya turun ke Kuala Lumpur lagi jika keadaan kesihatannya mengizinkan.

    Kata Linda, ibunya juga tidak suka menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi lagi kerana membuatkan badannya tidak selesa dan menyambut baik saranannya untuk mencuba rawatan Islam.

    Selepas bertemu Ashraf, mereka dimaklumkan ada dua benda dalam badan Hasnah. Pertama kanser pangkal rahim tahap tiga dan merebak ke paru-paru dan kedua ada sihir dengan kehadiran 30 jin. Ashraf membekalkannya dengan Surah al-Mukminin dan Surah Hud untuk dibaca setiap hari lepas solat.

    Berbual dengan Linda mengenai dirinya sebagai anak penyanyi dan kini memikul tanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-beradik lain, katanya, ketika kecil dia dan adiknya Mohd Lufthi tidak pernah tahu ibu mereka bekerja sebagai penyanyi. Mereka juga tidak pernah melihat sendiri ibu mereka menyanyi.

    Pernah satu ketika ibu mereka terpaksa membawa anak-anak bekerja, mereka dikunci dalam satu bilik dan tidak dibenarkan keluar sehingga ibunya selesai bekerja, semata-mata tidak mahu anaknya tahu pekerjaannya. Hasnah juga tidak mahu anak-anak mengikut jejaknya menjadi orang seni.

    Apabila dewasa, bagi Linda tiada apa yang harus dibanggakan menjadi anak penyanyi. Bagaimanapun, perasaan itu mula berubah apabila bertemu Sultan Johor dan memuji ibunya sebagai wanita yang baik dan menjaga pergaulannya walaupun berada dalam dunia glamor.

    Terasa bangga di hatinya apabila ibunya diangkat begitu tinggi dan kini sebagai anak, Linda bertanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-adiknya. Hasnah mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dengan Mohd Eunos dan tiga anak bersama suami kedua, Syed Murshed.

    Sejak sakit dan tidak lagi menyanyi, ibunya banyak menghabiskan masa mengikuti kelas agama di masjid berhampiran rumahnya. Dengan peribadi yang baik dan sentiasa menjaga maruah diri, Hasnah dipanggil Yang Maha Esa pada 1 Ramadan lalu.

    Bak kata Linda, ia satu anugerah buat dirinya apabila ibunya pergi dalam bulan Ramadan yang mulia kerana ia menjadi impian semua umat Islam. Ketika hayatnya, Hasnah Haron banyak dilemparkan tohmahan dan pandangan sinis yang dilalui tetapi, semua itu ditelannya dengan sabar walaupun hatinya sedih dan merintih.

    Walaupun kehilangan ibu yang melahirkannya dia dan adik-beradik menyambut Aidilfitri tidak lama tanpa ibu, Linda reda dengan pemergian ibunya.

    Kini genap seminggu arwah pergi dan bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru tetapi suaranya yang mendayu pasti terus berkumandang.

    Bait akhir lagu Bersedih, 'Usah lagi dikenang, pada aku yang malang, nanti engkau kan sedu, di sisi jasadku kaku' pasti membuatkan kita mendengar bergenang air mata. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Ganjaran daya tarikan

    Posted: 29 Oct 2011 12:46 PM PDT

    SABAN tahun apabila kembalinya semula bahang final Piala Malaysia, antara perkara yang menjadi perbualan tentu sekali soal ganjaran terutama kepada pasukan yang berjaya menjulang piala berprestij itu.

    Ya, isu ganjaran tidak boleh diketepikan dan seolah-olah menjadi budaya, baik kepada pasukan yang melangkah keluar stadium dengan kemenangan mahupun kepada pasukan yang kecundang.


    Ia bermakna, Piala Malaysia bukan sekadar menawarkan piala yang sudah dijulang sejak 1921 itu, malah sebelum aksi final bermula, barisan pemain kedua-dua pasukan yang melangkah ke pentas final sudah boleh mengukir senyuman memikirkan akan ganjaran lumayan yang bakal diterima.

    Perkara sama tidak terkecuali bakal diraih oleh Negeri Sembilan dan Terengganu yang bermati-matian beraksi pada pentas final malam tadi dengan kedua-dua kerajaan negeri sudah memberi isyarat bakal memberi ganjaran yang masih dirahsiakan.


    "Sudah pasti ganjaran akan diberikan kepada skuad Negeri Sembilan apabila mereka menjulang Piala Malaysia.


    "Sebelum ini kita memberi ganjaran kepada pemain apabila mereka layak ke peringkat suku akhir dan separuh akhir, malah melangkah ke peringkat akhir juga mereka menerima ganjaran," demikian janji Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

    Sementara Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Rozi Mamat berkata: "Saya yakin dan percaya kerajaan negeri akan melihat tentang soal ini (ganjaran)." Jika mengimbas kepada sejarah, tahun lalu, Kelantan yang menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Negeri Sembilan pada pentas final, menerima sumbangan sebanyak RM200,000 seperti yang dijanjikan oleh kerajaan negeri untuk diagihkan kepada semua pegawai dan pemain Kelantan.


    Manakala Negeri Sembilan yang menjulang piala berprestij itu pada tahun 2009 sekali gus menamatkan penantian selama 61 tahun, turut mendapat ganjaran berjumlah RM200,000.

    Bukan itu saja, malah skuad bola sepak Negeri Sembilan yang memenangi Piala Malaysia pada tahun itu turut mendapat penghargaan apabila mereka dikurniakan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-62, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


    Bekas jurulatih Negeri Sembilan ketika itu, Wan Jamak Wan Hassan menerima pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) manakala 16 pemain skuad itu masing-masing menerima Pingat Jaksa Kebaktian (PJK).


    Sementara pada 2008, kerajaan Kedah mengumumkan ganjaran tanah seluas dua hektar di Pokok Sena kepada pemain skuad Kedah yang muncul juara tiga piala dalam semusim untuk dua musim berturut-turut iaitu pada 2006/2007 dan 2007/2008. Kedah muncul juara Piala Malaysia pada kedua-dua musim itu.


    Jelas sejarah lalu sudah membuktikan betapa Piala Malaysia bakal menjanjikan sesuatu yang istimewa baik kepada pemain mahupun pengurusan pasukan.


    Tinggal lagi adakah ganjaran lumayan itu cukup berbaloi dengan aksi yang dipamerkan pada pentas final sekali gus memuaskan hati peminat fanatik mereka? Perkara itu yang sepatutnya menjadi keutamaan selain hanya memikirkan soal ganjaran.

    Full content generated by Get Full RSS.

    QPR sasar benam Spurs

    Posted: 29 Oct 2011 12:33 PM PDT

    LONDON: Pengurus QPR, Neil Warnock menegaskan pasukannya memberi tumpuan penuh terhadap pertembungan Liga Perdana Inggeris di Tottenham malam ini biarpun dikaitkan dengan isu perkauman membabitkan Anton Ferdinand minggu ini.

    Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris kini menyiasat dakwaan bahawa Ferdinand menjadi mangsa cemuhan berbaur perkauman oleh John Terry di Loftus Road ketika menang ke atas Chelsea hujung minggu lalu.


    Warnock percaya skandal itu membayangi kemenangan skuadnya dan prestasi Ferdinand yang hebat selaku pemain pertahanan.

    "Dia bermain dengan begitu baik. Saya fikir ketika ini, dia adalah antara bek tengah terbaik negara ini," kata Warnock. "Bagi saya Ferdinand adalah pemain terbaik." Warnock memberi jaminan skuad itu benar-benar memberi tumpuan untuk persediaan sebelum bertandang ke White Hart Lane.


    "Ia bukan satu gangguan kerana kami perlu fokus kepada Spurs," katanya.


    "Ya, ia mengejutkan tapi pasukan seperti QPR bukannya sering menewaskan pasukan sehebat Chelsea." Sementara itu, Scott Parker yang menolak tawaran ke QPR sebelum musim bermula dijangka diturunkan pengurus Spurs, Harry Redknapp di bahagian tengah.

    Di bahagian serangan, Rafael van der Vaart terus menjadi batu penghalang Jermain Defoe apabila Spurs mengharapkannya untuk meneruskan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan. Van der Vaart menjaringkan enam gol dalam semua kejohanan musim ini.


    "Dia melakukannya dengan cemerlang tahun lalu," kata Redknapp. "Dia bermain dan menjaringkan gol. Jika dinilai rekod jaringannya, ia sungguh luar biasa.

    "Dia mampu melakukan gerakan penyudah yang bagus. Dia hebat di depan gawang dan sebaik peluang datang, dia merebutnya dengan mudah," katanya. -AFP

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved