Khamis, 7 Mac 2013

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Suami 'hilang' di ibu kota

Posted:

Shah Alam: Ada pelacur yang mahu pulang ke pangkal jalan, tetapi tidak tahu kepada siapa mahu mengadu. Ada keluarga merempat bawah jambatan bersama anak kecil, ada pula yang mahu mengundi, tapi kehilangan kad pengenalan. Desakan hidup menyebabkan golongan ini mesti dibantu.

Itu antara 1001 rencah hidup gelandangan yang direkodkan Pertubuhan Bantuan Malaysia Bersatu Selangor (PBMBS) dalam usaha badan bukan kerajaan (NGO) itu turun padang dan membantu golongan berkenaan, terutama di Klang, Banting, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.


Dalam banyak kes dikesan, PBMBS berdepan satu kes menyedihkan apabila seorang isteri yang mengandung tujuh bulan dan berasal dari Kelantan ditemui merayau-rayau sekitar sebuah masjid di Kuala Lumpur dalam misi mencari suaminya yang menghilangkan diri dipercayai berada di ibu negara.

Mendedahkan perkara itu, Presiden PBMBS Datin M Mageswary berkata, isteri berusia 27 tahun itu ditemuinya dua kali sejak beberapa hari lalu dalam keadaan keletihan kerana menyusur jalan di Kuala Lumpur mencari suami kesayangannya.


"Ini adalah antara rencah kehidupan golongan yang memerlukan pertolongan. Kami cuba membantu wanita itu, tetapi dia keberatan kerana mahu mencari suaminya sehingga dapat walaupun dalam keadaannya yang berbadan dua. "Begitu juga beberapa kes lain yang unik, misalnya membabitkan pelacur. Dia mendakwa ditinggalkan suami dan sudah mempunyai anak yang ditinggalkan di kampung.


"Mereka amat memerlukan bantuan terutama dari segi pekerjaan dan tempat tinggal, tetapi kami sebagai NGO tidak mampu membantu semua kerana dihalang ketiadaan dana mencukupi. Golongan ini membabitkan 65 peratus Melayu dan 30 peratus India," katanya.

Foto

PEGAWAI PBMBS mengambil keterangan wanita terbabit pelacuran yang mahu pulang ke pangkal jalan di Klang.

Mageswary memberitahu Harian Metro, sebelum ini pihaknya melakukan kerja amal serupa di beberapa bandar lain seperti Pelabuhan Klang.


Menurutnya, dalam kerja amal itu pihaknya menemui golongan gelandangan yang layak mengundi, tetapi tidak pernah melaksanakan tanggungjawab mereka kerana terlalu dihimpit desakan hidup.

"Mereka tinggal di bawah jambatan melakukan kerja seperti mencuci kereta selama bertahun-tahun. Mereka tiada rumah dan lebih menyedihkan pengaruh persekitaran yang tidak sihat menyebabkan ada antara mereka terbabit kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan pihak yang lebih berkemampuan membantu golongan terbabit dengan segera kerana dibimbangi jumlah mereka meningkat, sekali gus mencetuskan gejala sosial luar biasa di beberapa bandar sekitar Lembah Klang.


Menurutnya, sehingga kini PBMBS sudah kehabisan dana untuk membantu golongan itu kerana terbabit beberapa kerja amal menyediakan makanan dan perlindungan sewajarnya sebelum ini.


"Kalau boleh kami mohon agensi atau pihak yang lebih mampu berhubung dengan PBMBS menerusi talian 03-33418021 atau e-mel di alamat mages_pbmbs@ yahoo.com. Kita mesti membantu golongan itu kerana sebahagian besar mereka mahu kembali ke dalam masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Pengganas mohon gencatan senjata

Posted:

LAHAD DATU: Jamalul Kiram III mengisytiharkan gencatan senjata sejak 12.30 tengah hari tadi dan meminta Malaysia membalas balik, menurut kenyataan yang dibaca jurucakapnya di Manila.

"Mereka (pengikut Jamalul Kiram III) tidak meneruskan operasi dan tidak akan bergerak dari lokasi sekarang," kata wakil itu, Abraham Idjirani.

Kiram membuat kenyataan itu sebagai membalas permintaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon untuk mendapat satu resolusi aman bagi menyelesaikan krisis ini.

Idjirani mengharapkan Malaysia dapat bersetuju dengan permintaan itu. - Agensi

Foto

Jamalul Kiram III (kiri) dan Abraham Idjirani. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07

Barua serangan diberkas

Posted:

Semporna: Polis menahan empat lelaki di Kampung Airport, di sini, semalam yang dipercayai menjadi tali barut pengganas dari Sulu, Filipina, termasuk seorang daripada mereka disyaki terbabit secara langsung dengan kejadian serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, yang mengorbankan enam anggota pasukan keselamatan, petang Sabtu lalu.

Empat lelaki keturunan Sulu berusia antara 20-an dan 50-an itu ditahan dalam operasi khas oleh sekumpulan anggota polis daripada Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, bermula jam 12 tengah hari semalam.

Jurucakap pasukan itu berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di dua rumah di kampung berkenaan yang lokasinya berhampiran Kem Tentera Darat, Seri Wangsa.

"Kami mula melakukan siasatan dan risikan terhadap penghuni dua rumah itu sejak Ahad lalu iaitu selepas kejadian tembak menembak di Kampung Sri Jaya. "Sebelum menyerbu rumah terbabit, polis terlebih dulu menahan seorang lelaki berusia 25 tahun ketika dia keluar dari kawasan belukar berhampiran rumah disasarkan dan pemeriksaan mendapati dia turut memiliki syabu.

Foto

ANGGOTA polis dari Bahagian Jenayah Berat IPK Sabah membawa dua suspek yang ditahan, semalam.


"Pada mulanya, kami menyangka dia mungkin sekadar penagih atau pengedar dadah, namun selepas siasatan lanjut didapati berkemungkinan besar lelaki itu ada kaitan dengan kejadian serang hendap di Kampung Sri Jaya yang mengorbankan enam nyawa pegawai dan anggota polis kita," katanya ketika ditemui selepas melakukan operasi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Fazura buat persediaan

Posted:

Kecantikannya tidak perlu dipertikaikan lagi, bukan saja cantik dia juga seorang pelakon yang berkaliber dan kini mengorak langkah menjadi seorang usahawan dengan mengusahakan butik pakaian House of Doll (HOD) yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.

Begitulah perjalanan hidup pelakon cantik, Nur Fazura Sharifuddin yang diatur begitu sempurna bagi merealisasikan satu demi satu impiannya yang dilihat hampir terlaksana.

Menyedari diri jarang sekali muncul di kaca televisyen dek kesibukan menguruskan butik, gadis tinggi lampai yang berasal dari Pekan, Pahang ini tegas memilih watak yang boleh meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Kisah Cinta terbitan BZ2121, Fazura bergandingan dengan Shaheizy Sam juga selaku penerbit bersama drama berkenaan dan bakal ditayangkan di slot Lestary TV3 tidak lama lagi.


"Agak lama saya tidak berlakon, kali terakhir drama bersiri Tahajjud Cinta dua tahun lalu dan selepas itu saya lebih fokus terhadap HOD yang baru dilancarkan tahun lalu dan pastinya banyak perkara yang harus saya fikir dan uruskan.


"Bukan niat untuk berhenti berlakon apabila saya membuka perniagaan, sebaliknya ini semua sebagai jaminan masa depan mungkin satu hari nanti jika saya sudah tidak diperlukan dan tawaran berlakon semakin berkurangan bolehlah saya memberi sepenuh perhatian terhadap HOD.

"Saya gembira dengan apa yang dilakukan sekarang walaupun sudah kurang berlakon hari-hari saya tetap sibuk selain menjadi duta beberapa produk dan terbaru saya dipilih menjadi duta Colgate," katanya.

Mengambil peluang berlakon bersama Sam, Fazura berkata semua ini dilakukan selepas penerbit BZ2121, Zizie Ezette sering bertanyakan padanya bilakah dia mahu berlakon di bawah terbitan syarikat pelakon berkenaan.

"Zizie banyak kali bertanya kepada saya sehingga pihaknya sanggup menghasilkan sebuah watak yang sesuai untuk saya dan atas kesungguhan itu saya terima tawarannya lagipun selepas melihat pelakon-pelakon yang terbabit mereka semua adalah kawan-kawan saya.

"Rasanya tiada masalah untuk berlakon dengan mereka bagi saya lebih senang jika berlakon dengan kawan-kawan dengan ini senang untuk kami berkomunikasi dalam melakonkan watak yang diberi.

"Gandingan pertama kali bersama Sam juga saya yakin memberikan keserasian buat kami berdua ini kerana Sam seorang pelakon yang profesional ditambah pula dia sudah banyak kali menang dalam anugerah dan tidak mustahil dia mampu menjayakan watak dengan berkesan malah saya selesa bekerja dengannya," katanya.

Melalui drama Kisah Cinta Fazura memegang watak sebagai Azalea anak kepada seorang pemilik hotel terkenal yang bertemu dengan Shah (Sam) secara tidak sengaja selepas bapa Azalea dan ibu Shah terbabit kemalangan dalam sebuah kereta yang sama.

Pelbagai persoalan timbul mengenai perhubungan kedua orang tua mereka yang menjadi tanda tanya sehingga berlaku pelbagai pertelingkahan di antara mereka berdua.

Selain drama Kisah Cinta, Fazura bakal terbang ke Turki April ini bagi
menjayakan filem Manisnya Cinta arahan Bernard Chauly di mana dia sekali lagi disatukan bersama Sam.

"Saya teruja untuk berlakon di bawah arahan Bernard, saya tahu dia seorang yang bagus lagipun sejak tahun lalu lagi dia sudah menawarkan saya watak dalam filem Manisnya Cinta jadi rasanya tidak salah untuk saya mencuba," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan butik HOD, Fazura begitu teruja untuk menambah cawangan butik berkenaan selepas melihat maklum balas positif terhadap butiknya di Bangsar.

"Alhamdulillah ramai yang suka dengan reka bentuk baju yang ada di HOD dan ada peminat berharap saya dapat membuka cawangan di tempat lain, saya sedang merancang untuk membuka cawangan di sekitar Kuala Lumpur ada beberapa tempat yang sudah dikenal pasti tetapi biarlah menjadi rahsia saya dulu.

"Saya juga berhasrat jika tiada halangan dapat menambah dua atau tiga cawangan HOD di Lembah Klang," katanya.

Berbicara soal cinta dan perkahwinan, pelakon berusia 30 tahun ini sambil tersenyum berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk berkahwin. Baginya tidak perlu risau memikirkan perkara itu dan percaya jika tiba masa kahwinlah dia.

"Saya sentiasa optimis dalam soal kahwin dan jika sampai waktunya saya akan kahwin tetapi bila biarlah takdir dan masa yang menentukan.

"Saya juga bersyukur keluarga tidak pernah memaksa dan memberi tekanan kepada saya untuk segera berkahwin sebaliknya sentiasa menyokong apa juga yang saya lakukan," katanya yang tidak mempunyai sebarang tips kecantikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07

Keating akui bahagia

Posted:

Kuala Lumpur bukanlah kali pertama dikunjungi Ronan Keating, baik ketika bersama Boyzone mahupun selepas bergerak solo. Namun, kehadirannya sebagai artis undangan dalam Bella Awards 2013 anjuran ntv7, Sabtu lalu berbeza.

Kehadiran penyanyi berusia 36 tahun itu ditemani kekasihnya, Storm Uechtritz, 31, sekali gus mengubah fokus berita yang sepatutnya lebih tertumpu pada karier muzik serta pembabitannya sebagai artis undangan Bella Awards 2013.

Ternyata kisah cinta Keating dan Storm, produser kelahiran Australia lebih menarik perhatian media tempatan. Tambahan pula, Keating tidak menetapkan sebarang syarat atau keka--ngan untuk diajukan soalan berhubung cinta barunya.

"Saya sangat gembira kerana dia (Storm) ada bersama saya datang ke Kuala Lumpur untuk menjayakan Bella Awards," katanya tiba sehari sebelum anugerah itu dilangsungkan di hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur.


Mengakui dirinya berasa amat bahagia di samping Storm sepanjang lima bulan berhubungan, Keating bagaimanapun tidak merancang untuk melamar teman wanitanya dalam masa terdekat ini.


"Oh! Tidak sama sekali dan tiada perancangan ke arah itu. Kami gembira dengan perhubungan kami sekarang." katanya.

Sebagaimana diketahui umum, Keating sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas model, Yvonne Connolly pada April 1998, sebelum ikatan perkahwinan terlerai selepas 14 tahun berkahwin.

Francine Cornell, penari latar kepada penyanyi itu adalah wanita yang bertanggungjawab di atas segala kemusnahan yang berlaku. Enam bulan hubungan mereka berlanjutan sebelum ianya dihidu Yvonne.

Menyorot perkembangan terbarunya, Keating yang memulakan karier solo pada 1999 kembali bersatu dengan anggota Boyzone iaitu Keith Duffy, Mikey Graham, dan Shane Lynch sempena meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.

Penyatuan semula itu dirancakkan lagi dengan kehadiran konsert jelajah yang bakal bermula di seluruh Eropah mulai November ini.

"Ia satu berita yang menggembirakan. Saya berharap selain Eropah, Boyzone dapat kembali menghiburkan peminat di Kuala Lumpur tahun depan," katanya.

Ketika nama kumpulan itu berada puncak, Boyzone dianggotai lima jejaka tampan. Bagaimanapun salah seorang daripada mereka adalah Stephen Gately yang ditemui mati pada 1 Oktober 2009 ekoran masalah jantung.

"Setiap saat saya merinduinya. Kehadirannya amat penting bagi kami berempat untuk memasukkannya ke dalam persembahan. Namun dalam apa cara kami belum tahu.

"Kami juga tidak pasti bagaimana akan menyampaikan setiap lagu tanpa dia, memandangkan Gately terbabit dalam kumpulan ini sejak dari mula Boyzone ditubuhkan.

"Saya berharap kami dapat lakukan sesuatu sebagai penghormatan buat Gately dengan menayangkan semula detik-detik penting dia bersama kumpulan ini seperti mana yang sentiasa dilakukannya. Ini adalah penting untuk saya dan Boyzone," katanya.

Rancangan besar Keating tahun ini tidak tertumpu pada persediaan konsert bersama Boyzone saja, malah dia yang memulakan karier nyanyian seawal usia 16 tahun, terus relevan dalam industri muzik antarabangsa, muncul dengan album studio kelima berjudul Fires yang disifatkannya sebagai himpunan karya-karya terbaik daripadanya.

Album yang mengambil masa cukup lama untuk disiapkan itu, masih mengekalkan muzik pop yang cukup sinonim dan sebati dengan imejnya.

Keating juga meluahkan rasa bangga dengan kebang-kitan 'boyband' generasi baru yang mana dulu pernah diperjuangkan Boyzone sendiri termasuk beberapa nama popular lain seperti Westlife, Backstreet Boys, Nsync dan banyak lagi.

"Terdapat banyak kumpulan pop yang menyinari arena muzik ketika ini dan paling berpengaruh pada saat ini adalah The Wanted dan One Direction. Malah, One Direction artis paling popular di Eropah.

"Saya merasakan mereka ini hebat dan ia satu perkembangan yang baik untuk industri muzik pop. Tambahan pula, 'boyband' adalah keunikan yang penting dalam industri muzik Eropah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Tatu biji mata

Posted:

London: Kira-kira 80 peratus daripada badannya dipenuhi tatu dan dianggap orang paling banyak bertatu di Britain.

Bagaimanapun, keunikan itu tidak menguntungkan Mathew Whelan apabila dia terpaksa bergelut mencari pekerjaan.


Kata Whelan, 33, keadaan tubuhnya menyukarkan dia diterima mana-mana majikan. Untuk mendapat tatu sebanyak itu, Whelan menghabiskan masa 300 jam di kerusi tukang tatu selain membelanjakan lebih RM100,000 mendapatkan rekaan diingini.

Kata Whelan, ketika ini dia menjadi sukarelawan di pejabat Ahli Parlimen Parti Demokrat Liberal di Yardley, Birmingham.


Dia juga menukar namanya menjadi King Body Art The Extreme Ink-ite, atau lebih mudah disebut, King Of Inkland.


Whelan berkata, mengubah suai tubuh kini menjadi budaya dan diterima sebagai cara hidup yang istimewa.

Foto

GAMBAR terbaru Whelan (kiri) dan gambar sebelumnya.

"Ia diikuti hampir menyamai ketaatan beragama," katanya. Whelan berkata, dia mahu mendidik orang ramai mengenai keyakinannya kepada tatu. Menurut Whelan, pengetahuannya yang mendalam mengenai sejarah tatu membolehkan dia dihormati ramai. "Tatu adalah seni dan budaya.


"Apabila ada kanak-kanak merenung saya, saya menegur serta menjelaskan sejarah tatu," katanya. Mengenai sejarah tatu di badannya, Whelan berkata, dia berniat menghias tubuhnya sejak berusia sembilan tahun.

Ketika itu, katanya, dia ternampak tatu pada badan bapa dan bapa saudaranya. "Tatu pertama saya ialah seekor anjing Bulldog yang dibuat ketika berusia 16 tahun," katanya. Selain anjing, imej lain yang menghias badan Whelan ialah ular, kala jengking, biji mata dan pontianak. Membuktikan kecintaannya kepada Seni itu, Whelan turut mentatu satu daripada biji matanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07

Pencuri kereta cekik bayi hingga mati

Posted:

Beijing: Seorang pencuri kereta mencekik seorang kanak-kanak berusia dua tahun selepas mencuri sebuah kereta dengan kanak-kanak berkenaan di dalamnya.

Kanak-kanak itu berada di dalam kenderaan dicuri Zhou Xijun, 48, di wilayah Jilin, timur laut China, Isnin lalu. Kejadian itu mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh China. Gerakan memburunya membabitkan ribuan polis dan pemandu teksi dilancar sehingga dia menyerah diri dan mengaku melakukan kekejaman itu kelmarin.


Zhou menyedari kehadiran kanak-kanak itu di tempat duduk belakang selepas melarikan kereta itu. Dia berhenti di tepi jalan sebelum mencekik kanak-kanak itu hingga mati dan menanam mayat berkenaan dalam salji," kata polis.

Tiada maklumat mengenai sama ada mayat itu sudah ditemui semula.


Media China memberi liputan besar-besaran terhadap kes itu dan berita mengenainya menguasai laman sosial media. Ibu bapa kanak-kanak itu meninggalkannya dalam kereta selama 10 minit sebelum menyedari kenderaan itu dicuri. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Rekod tercalar!

Posted:

Kuala Lumpur: Rekod konsisten skuad Bawah 23 Tahun negara kendalian Ong Kim Swee yang mencatatkan keputusan seri menentang Myanmar dan Laos sebelum ini disentap skuad kebangsaan Kemboja apabila tewas 1-3 dalam aksi persahabatan di Stadium Olimpik Nasional, semalam.

Kekurangan komunikasi antara pemain membawa padah kepada barisan muda negara apabila melepaskan dua gol pada separuh masa pertama untuk membolehkan lawan mendahului selepas 45 minit pertama sebelum penyerang A Thamil Arasu merapatkan kedudukan pada awal babak kedua apabila menggegar gawang lawan.


"Pemain melakukan kesilapan hingga lawan selesa mendahului dua jaringan. Namun saya menurunkan kombinasi pemain lama dan baru dalam perlawanan ini bagi memberikan pendedahan sewajarnya kepada mereka," kata pengendali berusia 42 tahun itu yang ditugaskan untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA hujung tahun ini.

Antara pemain yang pertama kali diturunkan adalah pertahanan kanan, Muhamad Hazwan Rahman selain ketiadaan beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan terutamanya perancangan tengah yang juga kapten pasukan, Irfan Fazail.


Kebangkitan diharapkan anak-anak buah Kim Swee selepas jaringan Thamil tidak kesampaian apabila lawan menjaringkan gol ketiga menerusi satu serangan balas selepas pemain negara rancak mencari gol penyamaan.


"Penting untuk pemain menyedari tahap permainan pada peringkat ini berlainan. Ruang dan masa yang masih ada akan digunakan untuk membaiki segala kelemahan sebelum bersaing di Sukan SEA." Skuad negara kembali ke tanah air hari ini sebelum meneruskan sesi latihan dan perlawanan persahabatan di Slovakia bermula pertengahan bulan ini.

Misi melakar hatrik pingat emas Sukan SEA di Myanmar pada Disember ini menjadi buruan Kim Swee selepas cemerlang mempertahankannya pada edisi 2011 di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07

Erat persefahaman alumni, mahasiswa

Posted:

Melaka: Sebanyak 32 pasukan remaja bersaing pada Kejohanan Futsal Terbuka Politeknik Melaka di gelanggang futsal Cheng, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran alumni politeknik itu menyaksikan pasukan Kampung Bahagia A dan B muncul juara dan naib juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 dan RM500 serta hamper dan sijil penyertaan.


Pengarah Program, Syahiran Johal berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan sukan futsal terus mendapat perhatian remaja dan golongan belia Melaka.

"Penganjuran bertujuan membentuk persefahaman antara alumni, mahasiswa dan remaja setempat mendedahkan bakat cemerlang dimiliki setiap pemain.


"Sokongan pengurusan tertinggi politeknik, pusat pengajian tinggi lain, agensi awam dan swasta menjadikan kejohanan ini amat menarik dengan semua pasukan turut menerima hamper sagu hati.


"Sumbangan bekas pelajar terhadap aktiviti ini memberi makna besar kepada pelajar untuk proaktif mengadakan lebih banyak program kemasyarakatan pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Politeknik Melaka, Ariffin Aman berkata, program itu pentas pembentukan generasi cergas selain menjurus amalan gaya hidup sihat.


"Saya bangga dengan penganjuran kejohanan yang turut memberi faedah kepada pembentukan komuniti bebas gejala tidak bermoral, isu sosial termasuk penyalahgunaan dadah dan rempit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved