Jumaat, 1 Mac 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gaun petang kembang payung

Posted:

PERSANDINGAN di taman biasanya dikaitkan dengan persalinan gaun mewah berlatar belakangkan hiasan bunga-bungaan pada singgahsana dan perincian manik pada busana.

Namun dengan memberi penekanan kepada konsep moden kontemporari, peralihan rekaan serta gaya yang diketengahkan pereka kini semakin meningkat apabila tema perkahwinan dalam taman dengan penggayaan gaun labuh menjadi pilihan mempelai Muslimah.

Ini kerana setiap potongan disesuaikan mengikut ciri moden pengantin bertudung tanpa mengetepikan ciri wanita Muslimah.

Menurut pemilik Udaimatunnur Eksklusif Pengantin Muslimah, Ismail Abd Rahman, untuk 2013 dia lebih memberi penekanan kepada potongan moden kontemporari menerusi rekaan gaun petang dan kaftan yang diberi sentuhan glamor pada bahagian tertentu.


Rekaan gaun petang potongan kembang payung yang ditambah perincian manik pada baju memberikan kesan segar dan menawan kepada si pemakai.


"Dengan menambah perincian batu kristal, mutiara dan manik pada dada, leher dan hujung gaun akan meningkatkan nilai glamor dan menyerlahkan keanggunan mempelai. Potongan kembang sesuai digayakan untuk majlis di taman berkonsepkan gaya Inggeris," ujarnya.

Ismail yang terkenal dengan rekaan untuk pengantin Muslimah mengakui sebelum menghasilkan rekaan dia akan melihat personaliti mempelai terlebih dulu supaya fabrik, warna serta perincian digunakan bertepatan rona kulit dan bentuk badan bagi memastikan potongan nampak cantik dan manis ketika digayakan.

"Dalam sesetengah rekaan saya menggunakan sulaman tangan agar lebih kemas, teliti dan nampak harmoni.

Walaupun memerlukan sedikit masa namun sulaman tangan memberi keunikan tersendiri apabila digayakan," ujarnya yang membuka butik di Rawang, Selangor.

Bijak memilih fabrik, Ismail banyak menggunakan sifon, renda Perancis dan satin kerana semua fabrik ini mampu memperlihatkan keanggunan wanita tatkala bersanding di atas pelamin.

Selain itu alunan serta sifat harmoni akan membuatkan helaian terletak cantik pada tubuh si pemakai.

"Namun begitu bagi pengantin berbadan gempal tidak semua fabrik sesuai untuk mereka. Satin misalnya bersifat melekat dan akan menampakkan bahagian tubuh yang tidak sepatutnya.

Sebaiknya pilih sifon dan renda kerana kedua-dua nampak semula jadi apabila digayakan. Begitu juga dengan potongan kembang akan memperlihatkan mempelai semakin berisi," jelasnya.

Selain memberi tumpuan pada busana, keistimewaan Ismail yang bijak menyesuaikan padanan tudung mengikut rekaan baju turut memilih gaya serban kerana tampak lebih elegan dan mempesonakan. Kebiasaannya dia memilih rona sepadan baju supaya tidak nampak janggal.

"Fabrik sifon bersama helaian net menjadi pilihan terkini mempelai. Ini kerana ia mampu mengikut bentuk tubuh serta melindungi kekurangan terutama bagi mereka yang memiliki wajah bulat.

Selain itu serban akan memperlihatkan mempelai lebih langsing dan berleher jinjang," katanya yang gemar memilih rona lembut biru laut, kelabu, krim, merah jambu dan hijau yang sesuai digayakan untuk majlis di taman.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02

Rekaan lebih moden, warna ceria

Posted:

SEPATU selain berfungsi melindungi kaki juga penting bagi memperbetulkan postur tubuh supaya berada dalam kedudukan yang betul serta memberikan rasa selesa ketika berjalan.

Di pasaran terdapat pelbagai jenis kasut dengan rekaan serta ketinggian berbeza. Walaupun ada berpendapat kasut bertumit menyebabkan rasa sakit terutama pada bahagian belakang tumit. Namun, ia bergantung kepada jenis rekaan serta fabrik digunakan.

Bagi pereka kasut Christy Ng, yang berpengalaman dalam menghasilkan kasut bertumit untuk mempelai serta gaya kasual, sebelum menghasilkan rekaan, dia membuat kajian mengenai bentuk tubuh serta mendapatkan nasihat pakar kesihatan mengenai bentuk kasut yang tidak berbahaya atau mengganggu kesihatan tubuh wanita ketika berjalan.

Walaupun kasut dihasilkan mempunyai ketinggian empat hingga tujuh inci, namun apabila dipakai ia tidak menimbulkan rasa sakit kerana pada bahagian tapak diletakkan kayu lembut dibalut fabrik sehingga dua atau tiga inci bagi menyokong kaki berada dalam keadaan selesa.


"Apabila berjalan dan berdiri lama kaki tidak terasa sakit, lebih penting ia dapat mengembalikan bentuk tubuh wanita terutama bagi yang berbadan langsing supaya lebih cantik dan menawan apabila memakai kasut bertumit," jelasnya.


Menjalankan perniagaan menerusi dalam talian www.christyng.com setakat ini, pemegang Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi dan Sains Hayat, Universiti Industri Selangor (Unisel) itu sudah menghasilkan ribuan kasut yang yang bukan saja dibeli pelanggan tempatan, malah luar negara.

Untuk 2013 dia masih mengekalkan identiti sama Christy menghasilkan rekaan lebih moden pada warna ceria seperti merah, biru, merah jambu serta warna pastel seperti krim, kelabu, perak dan keemasan.

Setiap sepatu diberi sentuhan moden menerusi pemilihan fabrik polos dan bercorak serta ditambah elemen memikat seperti reben pda bahagian depan serta tepi kasut.

Lebih menarik dia menggunakan daya kreativiti dengan menambah perincian manik pada bahagian tertentu bagi memberikan gaya tersendiri.

"Sifat wanita inginkan kelainan dalam penggayaan. Dengan memberikan kemasan pada perhiasan ia bukan saja membuatkan wanita tampil anggun dan elegan, malah sepatu ini boleh digayakan ketika majlis perkahwinan.

Unsur glamor dengan tambahan manik memberikan kesan berbeza kepada pemakai," ujarnya.

Kesemua rekaan kasut ini boleh diperoleh menerusi laman sesawang pada harga RM190 hingga RM288.

Christy bukan saja menghasilkan rekaan untuk kasut bertumit, malah baji dan but turut dijual pada harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


3 tercampak tayar lori pecah

Posted:

Hulu Bernam: Tiga pekerja binaan nyaris maut selepas tercampak daripada lori dinaiki dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku jam 10.30 malam di Kilometer 400.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Bukit Tagar apabila lori satu tan yang membawa peralatan binaan yang dinaiki semua mangsa terbabas akibat tayar belakang pecah.


Pemandu lori itu, S Dorairaju, 35, berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani, Kedah.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, tayar belakang lori sebelah kiri pecah menyebabkan lori berputar beberapa kali di tengah jalan dan kami bertiga tercampak keluar," katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Tanjung Malim, dekat sini semalam.


Beliau berkata, mereka tidak sedar bagaimana keadaan mereka tercampak sama ada melalui pintu atau cermin depan lori.


Menurutnya, mereka hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan diri kerana masing-masing tercampak di atas lebuh raya.

Foto

KEPALA lori remuk selepas melanggar penghadang lebuh raya.

"Lori kami turut melanggar sebuah lori lain dari arah belakang sebelum berpusing beberapa kali di tengah jalan. Lori turut dirempuh sebuah treler," katanya.


Berikutan itu, Dorairaju cedera di kaki dan tangan kanan serta beberapa bahagian kepala dan badan.

Dua lagi rakannya, K Ashukumar,35, dan P Kalibaskaran, 25, cedera di kaki, muka dan badan, tetapi hanya menerima rawatan pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.


Sementara itu, pemandu treler, Liong E Chong, 30, berkata, lori itu cuba memotong sebuah kenderaan di depannya namun gagal disebabkan tayar pecah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Penjenayah 'liat'

Posted:

Gombak: Tindakan melulu seorang suspek jenayah yang memecut laju van dipandunya di jalan bertentangan arah selepas dikejar polis mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng motosikal cedera parah akibat bertembung dengan van suspek.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi berhampiran Templer Park, di sini, semalam beberapa lagi penunggang turut cedera dirempuh kenderaan suspek.

Menurut saksi kejadian, seorang lelaki dilihat memecut laju kenderaannya berhampiran pasar raya NSK di Selayang Baru selepas dikejar kereta peronda polis (MPV).

"Saya yang dalam perjalanan ke Rawang terkejut apabila melihat sebuah van dipandu laju dalam keadaan melawan arus dari Rawang ke Kuala Lumpur.

Foto

PASUKAN paramedik membantu Maraimah yang tercampak selepas dirempuh suspek.

Foto

ANGGOTA polis forensik menyiasat tempat kejadian.

Foto

RAMANAYAH maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.


"Beberapa minit kemudian van dipandu lelaki terbabit dilihat merempuh sebuah kereta Perodua Viva dan dua motosikal, namun masih tidak berhenti dan kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kemalangan pertama, van itu bertembung pula dengan sebuah lagi motosikal mengakibatkan penunggang serta pembonceng tercampak beberapa meter," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Pinjam along belajar PhD

Posted:

Kuala Lumpur: "Pada mulanya, saya hanya pinjam RM5,000 daripada seorang along untuk membayar yuran pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD), tetapi apabila gagal membayarnya, along lain pula menghantar SMS dan menawarkan pinjaman.

"Kerana terdesak untuk menjelaskan hutang itu, saya meminjam daripada along kedua dan begitulah seterusnya sehingga saya berhutang dengan 11 along berjumlah lebih RM30,000 dan pernah cuba bunuh diri kerana terlalu tertekan," kata mangsa buruan ceti haram yang hanya mahu dikenali sebagai Yati, 37.

Menurut Yati yang lumpuh separuh kaki akibat kemalangan jalan raya 13 tahun lalu, kehidupannya tidak pernah tenteram sejak menjadi 'pelanggan' along pada November lalu apabila kerap menerima ugutan bunuh, bakar dan disimbah asid jika lambat atau gagal membayar hutang mengikut masa ditetapkan.

"Saya pinjam RM5,000 untuk bayar yuran pengajian dan bercadang melangsaikannya selepas mendapat bayaran menyiapkan lima skrip drama televisyen bernilai RM30,000 yang dijangka diterima Disember lalu.

Foto

YATI menunjukkan laporan polis dibuatnya.


"Tetapi sebaliknya berlaku apabila ditipu syarikat produksi itu menyebabkan saya gagal membayar pinjaman along," katanya ketika ditemui selepas membuat aduan di pejabat Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Jika ada bukti, sabit Artikel 88

Posted:

Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Artikel 88 peraturan 2010-2014 jika Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya mendapatkan bukti dalam bentuk rakaman video dan juga suara.

Pengerusinya, Datuk Taufek Abd Razak berkata, siasatan kes membabitkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu sudah dilakukan dan keputusan sudah dicapai jawatankuasa terbabit, namun pihaknya belum menjatuhkan hukuman selagi tidak memperoleh bukti kukuh.


"Saya tidak mahu komen mengenai kes ini walaupun keputusan sudah dibuat kerana bimbang akan disalah tafsir. Ada satu, dua perkara kami perlu dapatkan maklum balas daripada pihak tertentu, selepas itu kami akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat," kata Taufek selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM, semalam.

"Kami menyiasat setiap kenyataan yang dibuat dan belum membuat pertuduhan ke atas Presiden Bola Sepak Negeri Johor itu. Kami perlukan bukti kukuh kerana bahan yang ada setakat ini hanyalah menerusi laporan akhbar." Begitupun, ketika ditanya adakah Tunku Ismail akan disabitkan dengan kesalahan melanggar kod etika Artikel 88, jika ada bukti rakaman video atau suara yang mengesahkan TMJ membuat komen terhadap isu pengadil seperti dilapor media, Taufek berkata: "Ya, kalau terbukti dalam 'tape', mungkin boleh disabit Artikel 88, mungkin juga Perkara 4.5.8." Bagaimanapun, FAM bagaikan sengaja melengah-lengahkan pertuduhan terhadap TMJ, tidak seperti pegawai FAM lain dan riak wajah Taufek dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dalam sidang media petang semalam, seolah-olah memohon perkenan beliau (TMJ) terlebih dulu, sebelum menjatuhkan hukuman.


Tunku Ismail membuat komen terhadap mutu pengadilan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang ditakrif berada di tahap amatur ketika bola sepak di Malaysia sudah lama di era profesional, selepas perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dan LionsXII di Johor Bahru, 19 Februari lalu.

Foto

Datuk Taufek Abd Razak

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Badminton silaturahim

Posted:

Bahau: Buat pertama kali selepas enam tahun penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kampung (JKKK) Bukit Laka, Bahau, satu kejohanan badminton untuk penduduk kampung diadakan di Dewan Yayasan Bakti, Batu Kikir, baru-baru ini.

Sebanyak 88 penyertaan diterima bagi empat kategori iaitu perseorangan lelaki terbuka, beregu terbuka lelaki, beregu lelaki veteran dan beregu wanita.


Pengerusi JKKK Bukit Laka, Abu Zarin Bahali berkata, pertandingan diadakan bagi mengeratkan silaturahim penduduk.

Katanya sejak JKKK ditubukan, beliau berhasrat melihat hubungan penduduk kampung dieratkan dengan aktiviti seumpama itu.


"Walaupun tidak menyediakan hadiah wang tunai, penyertaan diterima membuktikan wang bukanlah segala-galanya.


"Lebih menarik penyertaan dari kalangan penduduk tiga taman perumahan yang bernaung di bawah JKKK Bukit Laka iaitu Taman Saga, Delima dan Kepayang," katanya.

Sementara itu Pengerusi Belia kampung itu, Mohd Shafiq Izrai berkata, pihaknya merancang kejohanan berskala besar pada masa depan berikutan sambutan hebat penduduk.


"Untuk kejohanan kali pertama ini, kami terima penyertaan dari usia sembilan hingga 54 tahun sekali gus membuktikan sukan badminton disukai ramai.

"Walaupun tiada hadiah menarik disediakan, peserta kelihatan cukup seronok dapat bertemu dengan rakan sekampung berikutan kesibukan tugas masing-masing," katanya.


Sementara itu, juara perseorangan lelaki terbuka dimenangi Bushri Md Udin, 42 manakala kategori beregu lelaki disandang Muhammad Hafiz Muhammad, 31, dan Muhammad Hakimi Jasni, 28.


Bagi kategori beregu veteran, juara milik pasangan Muhammad Rashid Muhammad Shariff, 49, dan Azman Khamis, 56, manakala beregu wanita dimenangi, Alyaa Najwa Jafri,10, dan Noranida Muhammad Arith, 43.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Penentang tawan Masjid Ummaiyad

Posted:

Beirut: Pejuang antikerajaan menguasai kawalan Masjid Umayyad di Aleppo, semalam, selepas berlaku pertempuran sengit beberapa hari di situ.

Menurut badan Pemantau Hak Asasi Manusia Untuk Syria, tentera kerajaan terpaksa berundur ke beberapa lokasi di bangunan sekitar masjid terkenal itu.


Bagaimanapun, kata pemantau itu, bangunan bersejarah berkenaan mengalami kerosakan akibat pertempuran kedua-dua pihak. Pegawai badan itu berkata, muzium masjid berkenaan terbakar ketika pejuang antikerajaan dan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad berbalas tembakan.

"Ia menyebabkan siling masjid runtuh, memburukkan lagi kerosakan yang berlaku pada Oktober tahun lalu apabila pelbagai perabot antik dan satu daripada tiang berukir di situ musnah. Masjid Umayyad menjadi tempat umat Islam beribadah sejak abad kelapan, tetapi bangunan asalnya dimusnahkan tentera pada abad ke-13. Sementara itu, Badar Purba di Aleppo menyaksikan pertempuran sengit berlaku berhampiran Istana Keadilan dan Medan Sabaa Baharat.


Pengarah badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman, berkata jika pejuang antikerajaan menguasai istana berkenaan, mereka mampu memutuskan laluan tentera tambahan ke Aleppo. Kubu itu - pernah dijadikan tempat pertahanan untuk 10,000 orang pada zaman silam - kini dikawal tentera yang setia kepada Bashar.


Pejuang berkata, tentera terbabit hanya mendapat bantuan dan bekalan melalui satu laluan yang belum mereka kuasai. - AFP

Foto

PEJUANG Tentera Pembebasan Syria dari Briged Pahlawan Utara meninggalkan satu daripada gua mereka untuk bertempur dengan tentera kerajaan di al-Karmid di Jabal al-Zaweya, Idlib, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Tawar isteri untuk disembelih

Posted:

New York: Lebih banyak maklumat mengerikan terbongkar dalam perbicaraan seorang anggota bandar raya ini yang dituduh bersubahat membunuh dan memakan wanita.

Pendakwa raya berkata, Gilberto Valle, 28, terbabit dalam perbualan di e-mel dengan seorang lelaki Pakistan, Aly Khan mendakwa dirinya penyembelih haiwan dan menghantar Valle video menunjukkan seekor kambing yang dikelar tekaknya.


Mahkamah juga diberitahu Valle mempunyai 'mentor' Inggeris yang mendakwa telah membunuh dan memakan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

Di Mahkamah Persekutuan Manhattan, ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Corey Walsh memberi keterangan dengan mengemukakan perbualan dalam talian antara Valle dan Khan tahun lalu, di mana Khan berkata, dia "ingin menyembelih seorang gadis dan menganggapnya sebagai daging". Perbualan berterusan: "Saya membunuh beberapa ekor kambing untuk melihat apa berlaku kepada binatang itu dan bagaimana ia dilakukan," katanya sebagaimana dipetik daripada kenyataan di mahkamah.


"Saya dapati ia sangat mudah. Hanya perlu membaringkan, ikat haiwan itu lalu terus mengelar tekaknya." Juri hanya diperlihatkan adegan utama penyembelihan kambing dalam video itu kerana ia sangat mengerikan, lapor akhbar New York Post.


Valle yang mengenali Khan menerusi laman web untuk golongan yang berfantasi memakan daging manusia menulis bahawa dia "cuba memilih seorang gadis yang boleh dihantar kepada Khan." Dia menambah: "Saya boleh memujuk teman wanita saya pergi ke India." Valle merujuk kepada Kathleen Mangan, wanita yang menjadi isterinya enam bulan selepas itu.

Kathleen memaklumkan kepada polis mengenai fantasi seksual suaminya selepas menemui bahan mengerikan pada komputer riba lelaki itu. Valle dan Khan terus berbicara untuk 'memalukan' Kathleen, bergilir-gilir memperkosanya dan kemudian membunuhnya bersama-sama.


Walsh juga membacakan petikan e-mel dan mesej pesanan ringkas antara Valle dan seorang lelaki Inggeris menggunakan nama Moody Blue.

Moody Blues mendakwa dia berfantasi makan daging manusia sejak berusia enam tahun, tetapi tidak dapat memenuhi keinginannya hingga 35 tahun kemudian.


Dalam satu e-mel, Valle memberitahu Moody Blue bahawa pemain sofbal dikenalinya adalah 'daging paling mengghairahkan pernah saya temui, menurut Daily Telegraph. Perbicaraan masih diteruskan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Pegang watak penghidap kanser

Posted:

Nama Siti Elizad Mohd Sharifudin atau mesra dengan panggilan Ejad bukanlah asing dalam bidang lakonan tanah air. Namun, selepas agak lama menyepi diri, kini dia sedia muncul kembali.

Apatah lagi, dia sekarang masih keseorangan akibat cinta dijalin tidak kesampaian dan putus di tengah jalan.

Sehubungan itu, Ejad berasakan dia perlu aktif dan pastikan dirinya sibuk de-ngan kerja. Ia sedikit sebanyak mampu merawat hatinya yang luka dan lembaran 2013 diharapkan membawa sinar baru dan lebih keceriaan dalam hidupnya.

Atas sebab itu, Ejad gembira dia diberi peluang membintangi drama Kerana Lelaki Itu, baru-baru ini.


Melakonkan watak Diana, wanita yang harus berkongsi kasih suami dengan wanita lain kerana tidak mampu memberikan zuriat disebab kan menghidap kanser, Ejad mengakui watak itu agak berat. Ia memerlukannya bijak bermain emosi dan juga sering berendam air mata.


"Menjadi Diana bukan saja satu cabaran besar tetapi pe-nyakit dihadapinya juga dekat dengan diri saya. Ia kerana, saya datang daripada keluarga yang mempunyai sejarah penyakit kanser. Jadi, segala perasaan sedih itu dapat dirasai dengan cepat kerana ada juga ahli keluarga meninggal dunia akibat kanser.

"Menyedari saya mempu-nyai risiko tinggi menghidap penyakit itu, maka langkah pencegahan diambil sekarang adalah kerap melakukan pemeriksaan kesihatan pada setiap bulan," katanya.

Secara kebetulan, Ejad mengalami masalah ketumbuhan 'ovarian cyst' dan sudah menjalani pembedahan tahun lalu.

"Saya menjalani pembedahan pada November tahun lalu sebaik saja disahkan doktor terdapat 'ovarian cyst' seberat empat kilogram di saluran peranakan," katanya.

Ejad berkata, sebelum itu dia pelik apabila melihat perutnya membuncit, namun hanya memikirkan ia mungkin berpunca akibat dia kerap makan banyak.

Bagaimanapun, dia semakin pelik kerana apabila menekan perut pasti ketulan itu bergerak-gerak. Justeru, apabila pemeriksaan kesihatan dibuat, ada kejutan di sebaliknya.

"Apapun, saya tetap bersyukur kerana tergerak untuk ke hospital melakukan pemeriksaan. Mujur, tidak terlambat dan masih boleh dibuang lagi. Kini saya masih dalam proses rawatan susulan dan perlu mengambil pil perancang setiap hari untuk tujuan penyusunan semula hormon dalam badan.

"Sekarang, saya berhadapan dengan masalah sukar mengawal selera makan. Jadi, sebab itu badan agak naik. Pil itu membuatkan selera makan saya meningkat, " katanya.

Ejad berkata, dia dinasihatkan doktor supaya tidak mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat ini hingga dia betul-betul pulih.

"Jadi, daripada tidak melakukan apa-apa dan bosan di rumah, lebih baik saya pastikan diri sibuk dengan kerja. Sekurang-kurangnya, saya tidak perlu berasa tertekan," katanya.

Menurut gadis berusia 28 tahun ini, dia juga sangat seronok menghabiskan masa berlakon di lokasi peng-gambaran. Ia secara tidak langsung kesibukan kerja itu mampu menjadi terapi buat dirinya untuk pulih segera.

"Jika di rumah, saya keseorangan kerana ibu, Nazariah Mohd Salleh sudah meninggal dunia dua tahun lalu. Saya anak perempuan tunggal daripada lima beradik tetapi semua adik-beradik lelaki sudah berkeluarga.

"Jadi, sejak kematian ibu, hidup saya jadi kosong dan sunyi. Justeru, tak dinafikan memang keluarga pun mengharapkan saya bertemu jodoh segera," katanya.

Sekali pun menanggung perasaan sedih akibat putus cinta tetapi Ejad selesa berpandangan positif. Ujarnya, soal jodoh adalah ketentuan Tuhan, maka sebagai manusia biasa, dia harus bersedia menerimanya dengan hati terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Dilema tomboy

Posted:

Permintaan novel untuk diterjemahkan ke drama televisyen atau layar lebar semakin mendapat sambutan dan menjadi 'trend' kepada produser drama dan filem. Penonton juga kini gemar melihat watak yang mereka baca dalam novel dihidupkan dalam drama.

Justeru, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut tidak ketinggalan untuk berkongsi drama bersiri yang diadaptasi daripada novel popular Cinta Kau dan Aku karya Siti Rosmizah terbitan Buku Prima.

Tampil dengan tajuk sama, siri Cinta Kau Dan Aku ini menggandingkan pelakon, Sara Ali dan Fizz Fairuz di samping Mardiana Alwi, Dynas Mokhtar, Syawal AF dan Mustafa Kamal bakal yang sudah menemui penonton dalam slot Arca setiap Khamis dan Jumaat, jam 10.05 malam menerusi TV1.

Peminat novel ini pastinya teruja menyaksikan lakonan pelakon kecil molek Sara Ali menghidupkan watak Nur Farisya Iman selain Fizz Fairuz selaku pelakon utama yang membawa watak Farish Hakimi.


Ia mengisahkan bagaimana seorang 'tomboy' mampu mencintai lelaki yang juga ketuanya di pejabat.


Cinta Kau dan Aku mengisahkan mengenai seorang gadis cantik dan baik hati bernama Nur Farisya Iman atau Risya. Selepas bapanya meninggal dunia, keluarganya hidup dalam serba kekurangan dan sejak itu dia mengubah penampilannya menjadi seorang yang kasar tetapi masih berbudi bahasa.

Kemiskinan hidup mengakibatkan Risya tidak dapat meneruskan pelajaran ke universiti dan terpaksa membantu ibunya berniaga kecil-kecilan di warung. Kemudian dia mengambil keputusan untuk mengikut temannya, Milah berhijrah dan bekerja di Kuala Lumpur sebagai pemandu peribadi kepada majikan Milah iaitu tokoh korporat yang terkenal.

Dengan kesungguhannya, Risya berjaya meyakinkan majikannya untuk diterima bekerja. Bagaimanapun tiada siapa menyedari dalam diam Farish Hakimi jatuh hati terhadap Risya dan kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya lelaki itu apabila ibu Risya jatuh sakit, dia segera menghulurkan bantuan kos pembedahan penyakit jantungnya.

Rasa terhutang budi dengan lelaki itu membuatkan ibu Risya menyarankan agar Farish Hakimi mengahwini anaknya Risya. Untuk menyaksikan apakah yang berlaku antara Risya dan Farish Hakimi, anda harus mengikuti drama ini hingga akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved