Rabu, 29 Ogos 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gaya solekan mata

Posted: 29 Aug 2012 11:16 AM PDT

PASTI ketika ini ramai yang bersiap sedia untuk memenuhi undangan rumah terbuka. Selain pening memikirkan busana yang ingin digayakan, tema solekan juga perlu diberi perhatian agar penampilan tidak menonjol bak artis sarkas.

Solekan yang sederhana dan tidak terlalu tebal amat digalakkan berikutan faktor cuaca panas hingga boleh menyebabkan solekan 'cair' lalu terpaksa dioles semula.

Menurut Jurusolek Kanan Mac Cosmetics Malaysia (Mac), Haritha Shan, penggunaan bedak asas yang berasaskan air serta tidak berminyak amat penting kerana ia membantu memastikan solekan bertahan sepanjang hari.

"Di samping menyapu bedak asas pada keseluruhan wajah, gunakan juga krim asas di bahagian kelopak mata agar riasan di bahagian itu tidak bercapuk dan luntur.


"Pilih rona lebih semula jadi apabila menggayakan busana sarat dengan warna atau corak. Jika lebih berani, cuba solekan smoky.


"Solekan smoky bukan saja berupaya membuatkan riasan mata lebih berdimensi, malah tampak elegan serta sesuai untuk semua warna baju," katanya.

Bagi mereka yang ingin mencuba riasan smoky namun bimbang tidak tahu cara mengadun warna, Mac hadir dengan koleksi edisi terhad Illustrated by Julie Verhoeven yang menampilkan kit riasan mata, beg alat solek dan berus.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Julie mencipta hasil lukisan
yang menggabungkan seni dan fesyen. Teknik dan gayanya - wajah patung melankolik dan pelbagai palet warna - kerap muncul
di akhbar dan majalah

fesyen, selain dimasukkan dalam senarai rekaan bagi jenama popular dunia antaranya Loius Vuitton, Mulberry dan Versace.

Ilustrasi ciptaannya nyata menyerlahkan kontras pada kanvas hitam Mac dan gagasan yang dibawanya nyata seiring dengan falsafah kecantikan Mac.

Tambah Haritha, palet solekan mata dalam koleksi ini sesuai untuk riasan sederhana bagi mereka yang tidak gemar bersolek tebal, sementara ia boleh berubah kepada smoky apabila warnanya diadun dengan baik.

"Pada belakang kit ini, ada disediakan panduan untuk menghasilkan solekan smoky. Selain itu, ia dilengkapi berus mini, penggaris mata dan maskara," jelasnya.

Koleksi edisi terhad Illustrated by Julie Verhoeven ini boleh didapati di butik Mac seluruh negara pada harga antara RM168 hingga RM268.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012


Bunga comel berwarna-warni

Posted: 29 Aug 2012 11:09 AM PDT

SELAIN gubahan menggunakan bunga segar atau tiruan, kini hasil seni menggunakan fabrik felt di Malaysia menjadi satu trend yang menarik minat remaja menjadikannya sebagai satu perniagaan.

Pelbagai jenis seni kraf felt yang sangat comel dan berwarna-warni dihasilkan mengikut kreativiti pembuatnya. Antaranya rantai kunci, bunga meja, penanda buku, bekas pensel, bunga tangan dan hiasan rambut yang mampu menyuntik perasaan ceria kepada si pemakai.

Felt berbeza dengan fabrik yang ada di pasaran. Ia adalah kain bukan tenunan yang dihasilkan melalui proses pengeluwapan dan tekanan serat bulu daripada benang tertentu. Terdiri daripada jenis kasar dan sedikit lembut seperti baldu, ia juga terdapat dalam pelbagai warna dan corak.

Dulu felt digunakan dalam pelbagai tujuan seperti industri automotif (kenderaan), alat muzik dan pembinaan rumah. Kini dengan perkembangan teknologi, fabrik ini semakin popular dan digunakan untuk membuat kraftangan yang indah dan bernilai tinggi.


Menurut Norliza Sami–ngon, 33, yang juga pembuat kraftangan daripada felt, dia mula tertarik dengan seni kraftangan ini pada Januari 2009, iaitu ketika kelahiran anak pertama. Pada masa itu, dia ingin mencari buku bayi yang boleh dijadikan simpanan peribadi.


"Ketika mencari menerusi Internet, saya menemui laman web yang menyiarkan tutorial mengenai teknik menjahit buku bayi. Saya tertarik dan mula mencubanya. Lama-kelamaan buku bayi saya mendapat perhatian sehingga ada yang meminta saya menyediakannya untuk mereka," katanya.

Norliza yang pada mulanya tidak pandai menjahit mula mengasah bakat dengan mempelajari teknik jahitan menerusi laman YouTube dan mula menghasilkan perhiasan rambut untuk bayi dan kanak-kanak. Lama-kelamaan seni kraftangan felt mula mendapat sambutan dan dia mula menjualnya menerusi dalam talian.

Kegilaan terhadap seni felt bukan setakat berhenti di situ saja apabila ibu kepada dua anak ini mula mencari penghasilan kraf baru sehingga menemui teknik pembuatan rantai kunci dan bunga tangan yang mula mendapat sambutan.

Kini hasil kerja tangan Norliza boleh didapati di semua rangkaian Lunatots seluruh negara serta dia giat menjalankan bengkel kraftangan untuk kanak-kanak serta orang dewasa.

Jika inginkan sesuatu yang baru bagi menghias sudut meja kopi tatkala menyambut tetamu pada bulan mulia ini, Norliza menunjukkan teknik menghasilkan bunga felt yang boleh digubah menjadi bunga meja yang ceria dan berwarna-
warni.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tauke ‘restoran terbaik’ terpedaya

Posted: 28 Aug 2012 11:46 AM PDT

KUALA LUMPUR: Empat pengusaha restoran makanan Cina berputih mata selepas mendakwa ditipu dua lelaki mengaku wartawan sebuah agensi penyiaran swasta membabitkan kerugian hampir RM20,000.

Seorang daripada mangsa, Leong Man Fai, 43, berkata, dia didatangi dua lelaki memakai jaket yang tertulis 'media' di bahagian belakang serta memakai tali kad identiti agensi berkenaan jam 12 tengah hari di restorannya di Plaza Kasturi, di Cheras, pada 21 Mac lalu.


Beliau berkata, lelaki itu mengatakan restoran miliknya terpilih sebagai 'Restoran Terbaik di Malaysia' dalam satu pertandingan yang dianjurkan agensi tempatnya bekerja dengan kerjasama beberapa rangkaian akhbar berbahasa Cina.

"Mereka juga memberikan laman web mereka untuk meyakinkan saya pertandingan itu wujud, di samping itu mereka menyuruh saya membuat bayaran RM11,800 sebagai kos pendaftaran pertandingan dan kos iklan.


"Selepas sebulan menyerahkan cek seperti diminta, saya mendapati tiada sebarang perkembangan sebelum cuba menghubungi lelaki itu, tetapi gagal. Ketika itu baru saya sedar, saya sudah tertipu," katanya ketika sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.


Katanya, selepas membuat aduan kepada MCA pada 7 Ogos lalu baru dia mengetahui terdapat sembilan lagi pengusaha restoran tertipu dengan helah kedua-dua suspek terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata, pihaknya menerima pengesahan daripada agensi penyiaran yang kononnya diwakili suspek, bagaimanapun mereka menafikan ada menganjurkan sebarang pertandingan seperti didakwa.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Lelaki bawa pistol pecut kereta

Posted: 28 Aug 2012 11:43 AM PDT

SHAH ALAM: Taktik seorang lelaki sengaja melengah-lengahkan pemeriksaan polis terhadap dirinya kerana bimbang 'rahsia' membawa sepucuk pistol bersama sembilan peluru terbongkar ketika diperiksa di Jalan Subang, di sini, 18 Ogos lalu.

Pistol jenis semiautomatik bersama tujuh peluru bersaiz sembilan milimeter (mm) itu ditemui dalam beg sandang milik suspek. Bagaimanapun, suspek memecut keretanya sebelum terbabas. Suspek ditahan petang kelmarin.


Sebelum kejadian, anggota unit kereta peronda (MPV) yang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak sebuah kereta Toyota yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan jam 2.45 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, curiga dengan kereta terbabit, anggota MPV berkenaan mengekori sebelum mengarahkan suspek berhenti.


"Ketika diperiksa, suspek dilihat mahu mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya menyebabkan anggota yang melakukan pemeriksaan merampas beg berkenaan.


"Melihat beg sandangnya dirampas dan bimbang ditahan polis, suspek masuk semula dalam kereta dan memecut ke arah jalan utama walaupun diarah berhenti," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Malang harimau bintang

Posted: 28 Aug 2012 10:40 AM PDT

NEW DELHI: Seekor harimau bintang meraung kesakitan apabila satu daripada kakinya tercucuk besi ketika cuba melompat pagar sebuah kilang di Mysore, lapor media semalam.

Menurut saksi, harimau kumbang itu dipercayai memanjat pagar besi setinggi kira-kira tiga meter.

Bagaimanapun, ia tergelincir dan kaki belakangnya tertusuk besi pagar itu, menyebabkan dia terperangkap dan tidak boleh ke mana-mana.

Harimau bintang berusia empat tahun itu dilihat orang ramai yang melalui kawasan berkenaan pagi semalam.


Tindakan menyelamat segera dibuat sebaik saja pihak berkuasa dimaklumkan mengenai insiden itu.


Disebabkan liar, pihak berkuasa terpaksa menembak bius ke badan harimau bintang itu bagi melemahkannya dan membolehkan operasi menyelamat dijalankan.

Kakitangan veterinar terpaksa menggunakan jaring besar sepanjang operasi menyelamat itu.

Ketika masih pengsan, harimau bintang itu dibawa ke hospital berhampiran dan doktor segera menjahit lukanya.

Kejadian semalam adalah insiden ketiga membabitkan harimau bintang dilaporkan di kilang berkenaan.

Menurut pegawai perhutanan setempat, mana-mana haiwan yang cedera akan dirawat sebelum dibebaskan semula ke hutan.

Sementara itu, akhbar tempatan melaporkan, doktor veterinar mendapati luka di kaki harimau bintang itu hampir terkena perutnya.

Bagaimanapun, kecederaan itu tidak membimbangkan.

Haiwan itu dijangka pulih sepenuhnya tidak lama lagi. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Bayi perempuan parah diserang kucing jiran ketika tidur

Posted: 28 Aug 2012 10:37 AM PDT

LONDON: Seorang ibu dikejutkan jeritan bayi perempuannya awal pagi semalam dan mendapati dia cedera diserang kucing jiran di dalam katilnya.

Menurut Samantha Gittus, ketika dia bergegas memeriksa anaknya, kucing berkenaan masih menyerang muka anaknya, Georgie, 17 bulan.


Samantha, 23, kemudian bergegas membawa anaknya ke hospital dan doktor terpaksa mengenakan 17 jahitan untuk mencantumkan semula luka berkenaan.

Luka itu dipercayai akan menjadi parut kekal di kening Georgie. Insiden itu adalah yang terbaru membabitkan serangan kucing ke atas manusia. Ia mencetuskan desakan awam supaya ada undang-undang digubal bagi mengawal kucing berbahaya - sama seperti dilakukan ke atas anjing. Kata Samantha, pengalaman itu amat menakutkan.


"Hingga kini kucing itu masih berkeliaran di halaman kami dan tiada apa dapat dilakukan," katanya. Ekoran kejadian itu, Samantha - seorang pelayan sambilan - bercadang berpindah ke rumah lain berhampiran Salisbury.


Katanya, kucing itu masuk melalui tingkap terbuka. "Kejadian berlaku pada tengah malam dan ketika saya tiba di bilik Georgie, dia berlumuran darah," katanya.

Samantha juga bersyukur kerana luka itu tidak menyebabkan mata anaknya terjejas. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sinar baru perfileman tanah air

Posted: 28 Aug 2012 09:09 AM PDT

TINGGAL beberapa hari saja sebelum menyambut Syawal baru-baru ini, empat pelakon yang bakal muncul dengan filem 29 Februari ini masih sempat meluangkan masa hadir ke Balai Berita untuk menghadiri sesi fotografi istimewa ini.

Walaupun masing-masing terikat dengan komitmen dan kerja, namun sebaik bertemu, semuanya lupa yang masa berjalan dengan pantas.

Namun sebalik gelak ketawa sepanjang fotografi, keempat-empatnya tidak henti berkongsi pengalaman dan cerita mengenai filem hebat lakonan mereka yang mula ditayangkan di seluruh negara, esok.

Bagi aktor kacak, Mohammad Zalimei Ishak atau Remy Ishak, hari raya tahun ini lebih seronok kerana tidak sabar menanti reaksi peminat terhadap lakonan pertamanya dengan teknologi 3D menerusi 29 Februari.


"Ini adalah yang pertama di Malaysia dan saya 'excited' untuk melihat sambutan dan penerimaan penonton nanti. Bagaimanapun, saya berharap peminat tidak lekas menilai dengan membandingkan karya ini dengan produk 3D yang lain terutamanya filem Hollywood kerana apa yang ditampilkan ini adalah usaha anak tempatan.


"Setidak-tidaknya 29 Februari menjadi penyuntik semangat kepada penggiat industri, sekali gus meletakkan taraf perfileman tempatan pada satu tahap yang lebih membanggakan," katanya.

Menghidupkan watak utamanya, Budi, Remy mengakui ia sesuatu yang baru buatnya selain mengakui filem ini akan memberi kelainan secara menyeluruh kepada peminat filem Melayu.

"Menariknya, ia menceritakan perjalanan Budi selama lebih 100 tahun usianya. Sejak zaman perang hinggalah kepada kehidupan penuh moden hari ini, perjalanannya penuh cabaran dan cerita.

"Apa yang menarik, plot ceritanya yang berbeza dan garapannya juga sangat menarik penuh emosi dan drama yang pastinya membuatkan penonton melekat menyaksikannya.

"Pengalaman berlakon untuk 3D memang menarik, namun tidaklah sesusah mana kerana produksi dan pengarah banyak memberi tunjuk ajar. Cabarannya hanya saya perlu memastikan emosi sentiasa sama walaupun bertukar mekap dan penampilan, dari zaman remaja hingga ke tua.

"Tapi apapun, ia sangat seronok dan sesuatu yang baru buat saya," katanya.
Menyentuh mengenai sambutan rayanya lalu, pelakon filem berusia 30 tahun yang sebelum ini banyak membintangi filem popular termasuk Anak Halal, Cun dan Nur Kasih The Movie hanya pulang beraya bersama keluarganya di Melaka.

Hanya meraikan kedatangan Syawal secara sederhana, Remy lebih membuat persediaan buat keluarga kerana cuti beraya digunakan sebaiknya untuk berehat di rumah.

"Apa yang penting keluarga saya dulu. Selain bertemu sanak saudara dan teman lama, cuti raya saya gunakan secukupnya untuk berehat kerana sebelum ini saya begitu sibuk di lokasi dan menyiapkan segala macam kerja," katanya yang akan kembali ke lokasi penggambaran drama bersiri 26 episod, Cinta Jangan Pergi tayangan TV9.

Seorang lagi jejaka yang begitu bijak menyusun kata dan tidak henti mengusik yang lain, Norizan Amin Nordin atau Riz Amin turut rancak berkongsi pengalamannya dalam 29 Februari.

Meskipun sudah lama berada dalam industri dengan membintangi banyak drama termasuk Astana Idaman 3, Spa Q, Cinderella dan Emelda, jejaka tinggi lampai berusia 27 tahun ini tidak sekali terkilan namanya masih baru di bibir peminat.

"Popular atau tidak bukanlah satu masalah kerana saya percaya rezeki itu akan datang juga jika ada kesungguhan dan usaha. Insya-Allah dengan kepercayaan pihak KRU Studios memberikan saya peranan dalam 29 Februari ini akan memberikan ruang terbaik memperkenalkan nama dan bakat. Tapi itu semua bonus kerana yang penting adalah lakonan," katanya.

Melakonkan watak Halim yang muncul ketika zaman pemerintahan British dalam 29 Februari, anak bongsu daripada dua beradik kelahiran Pulau Pinang ini mengharapkan filem arahan Edry Abd Halim itu memberi kelainan buat semua.

"Saya yakin filem 3D pertama di Malaysia ini akan membuka mata peminat filem tempatan yang orang kita juga mampu membikin sebuah filem bertaraf antarabangsa. Mengenali produk KRU dan prihatin akan kejayaannya membuatkan saya lebih seronok sebaik menerima tawaran ini. Pastinya orang akan lebih kenal saya lagi selepas ini," katanya berseloroh.

Jejaka berkulit hitam manis yang pernah muncul dalam filem Sepi ini pulang beraya di kampungnya di Changlun, Kedah selama seminggu sebelum kembali sibuk untuk mempromosikan filem ini.

Munif Isa pula beraya di Perlis bersama keluarganya. Anak keempat daripada tujuh beradik ini bagaimanapun hanya sempat seminggu saja pulang beraya meskipun pada awalnya berhasrat untuk tinggal lebih lama kerana komitmen dengan 29 Februari.

Menghidupkan watak Arif dalam filem hasil tulisan Edry dan Amir Hafizi ini, Munif yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin sekali lagi diberi watak yang penuh misteri dan matang.

"Arif adalah anak saudara kepada kekasih Budi dalam satu zaman yang digambarkan dalam filem ini. Saya nampak watak Arif ini begitu matang dan bersahaja, namun tampak pelik kerana amanahnya menyimpan pelbagai rahsia. Saya bercakap bahasa Cina dalam filem ini dan penonton pasti akan nampak kelainan dalam lakonan saya," katanya yang yakin 29 Februari bakal mencetuskan fenomena.

Satu-satunya bunga di antara kumbang petang itu adalah bintang baru yang pertama kali beraksi di depan kamera sebagai seorang pelakon, Adleena Nordin yang diberi kepercayaan selepas berjaya melepasi sesi uji bakat.

Anak sulung daripada dua beradik yang masih lagi menuntut dalam jurusan Undang-Undang di Universiti Malaya ini tidak sabar untuk melihat reaksi penonton terhadap lakonan sulungnya dalam sebuah naskhah besar seperti ini.

"Saya bertuah kerana Edry memilih saya untuk melakonkan watak adik kepada Budi lakonan Remy. Saya muncul dalam zaman Budi masih remaja dan ia menggambarkan bagaimana kami berdua membesar di rumah anak yatim. Saya sedia menerima kritikan atau sebarang komen daripada penonton kerana ia akan membantu saya untuk memperbaiki lakonan pada masa depan.

"Saya masih lagi belajar dan bidang seni lakon ini kebetulan saja apabila saya berjaya ketika sesi uji bakat. Siapa sangka, ada pihak yang yakin dengan kemampuan saya sedangkan tidak pernah saya terfikir untuk menjadi seorang pelakon. Insya-Allah jika terus diberi kepercayaan, saya akan cuba untuk terus berlakon namun keutamaan masih pada bidang perundangan yang memang menjadi cita-cita sejak dulu," katanya.

Sinopsis

29 Februari mengisahkan kehidupan Budi yang dilahirkan pada tahun lompat. Dilahirkan pada 1896, Budi hanya dimakan usia empat tahun sekali. Keadaan fizikalnya yang kelihatan terbantut menyebabkan masyarakat menganggap 'kecacatan' itu sebagai suatu sumpahan sedangkan ia suatu anugerah bagi Budi untuk melalui zaman transformasi Tanah Melayu, Malaya dan akhirnya Malaysia yang bebas merdeka.

Masa seolah-olah tidak berganjak buat Budi dan menyebabkan Budi sentiasa menyaksikan kehilangan orang tersayang. Budi kemudian berdepan konflik diri, emosi dan perasaan cintanya terhadap seorang wanita.

Jangan lupa menyaksikan filem pertama Malaysia dengan teknologi 3D yang turut membariskan pelakon popular lain termasuk Jojo Goh, Izzue Islam, Fizz Fairuz, Chew Kin Wah dan Namron ini bermula esok di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


60 juta peminat terpukau

Posted: 28 Aug 2012 08:20 AM PDT

NAMANYA tiba-tiba menjadi sebutan satu dunia. Hanya kerana sebuah klip video yang dia muat turun di laman YouTube, siapa sangka video itu mengubah hidup Psy kepada seorang superstar.

Jika di Korea Selatan, kehadirannya di persada seni bagaikan tidak 'bernyawa' lantaran fizikalnya yang tidak kacak, berbadan gempal dan hanya jadi bahan gurauan, berlainan pula pandangannya di sebelah Barat.

Bagaikan 'virus' muzik 2012, lagu Gangnam Style kini menular di mana-mana sehinggakan dalam masa beberapa hari saja, jumlah tontonan video lagu berkenaan di YouTube mendadak sehingga lebih 60 juta.

Kini seluruh dunia menyanjung keberaniannya tampil dengan satu lagu yang benar-benar menepati citarasa kanak-kanak sehingga warga tua. Buktinya, pelbagai versi lagu berkenaan dimuat turun dan boleh ditonton di YouTube gara-gara popularitinya.


Mendengar liriknya, tidak semua akan bersetuju dengan kehebatan lagu berkenaan kerana hampir semuanya menggunakan bahasa Korea. Tetapi, apabila menghayati melodinya, siapa saja pasti bersetuju lagu berkenaan ada 'kuasa' tersendiri dan membuatkan sesiapa boleh bergoyang.


Cuba senaraikan artis K-Pop yang pernah menerima pujian serta reaksi hebat daripada bintang ternama termasuklah Katy Perry, T-Pain, Robbie Williams, Josh Groban dan Nelly Furtado? Bukan mudah untuk mereka ekspresikan kekaguman mereka, tetapi itulah yang diterima Psy, mereka menyukai lagu berkenaan.

Disingkatkan daripada perkataan Psycho, Psy atau nama penuhnya, Jae-Sang Park, 34, ternyata masih tidak percaya yang itu semua berlaku kepadanya sekarang.

"Selama 12 tahun saya berkecimpung dalam arena muzik Korea dan membuat pelbagai tarian 'bodoh', namun peminat tidak sekalipun berpaling kepada saya kerana secara visual, saya memang kalah dengan selebriti kacak lain yang ada.

"Saya cuma dikenali di sana kerana saya tidak terlalu mencuba, tidak dipromosikan malah tidak pernah terfikir pun hendak tembus ke luar negara. Semua yang berlaku sekarang pun hanya gara-gara YouTube mahupun twitter dan inilah dia pembuka periuk nasi sebenar saya.

"Tatkala perasan beberapa 'superstar tweet' mengenai saya, saya hanya anggap itu jenaka dan tidak pernah berlaku pun. Memang tidak pernah terbayang pun bukan kerana mereka nama besar di dunia, tetapi inilah impian semua orang untuk memijak pasaran terbesar muzik di dunia dengan menempa nama di Amerika Syarikat (AS).

"Sebaik menyedari ini memang realiti yang sedang berlaku, inilah perasaan paling indah dalam hidup ini," katanya.

Mereka sepenuhnya koreografi dalam klip berkenaan, tidak hairanlah jika ia mampu memukau perhatian penonton kerana elemennya cukup lengkap dengan lawak, tarian pelik, warna-warni selain nyanyian serta 'rapping' yang ditonjolkan. Paling mencuit hati apabila gerak tari seolah-olah menunggang kuda menjadi koreografi utama dalam klip berkenaan.

Sehingga ke saat ini, lagu yang dimuatkan dalam album keenamnya berjudul PSY 6 itu sudah menduduki tangga pertama carta muzik video iTunes. Sudah mengadakan pertemuan dengan pengurus Justin Bieber, Scooter Braun minggu lalu, Psy bagaimanapun mengunci mulutnya daripada mendedahkan isi kandungan pertemuan itu.

Meraih kejayaan tepat pada masanya di kala muzik K-Pop semakin mendapat tempat
di AS, jejaka itu yang ternyata tidak bernasib baik kerana gagal meraih ramai peminat di Korea mengakui tidak kisah dengan perkara itu.

"Sudah menjadi ketetapan untuk mereka yang berbadan kurus, berotot, kacak, comel, tinggi dan semua ciri lain yang tidak ada pada saya diagungkan di Korea. Saya pula jenis yang suka menganggap membuat perkara tidak betul adalah semuanya betul saja untuk saya.

"Itulah dia yang saya lalui dan perjuangkan selama ini dan dari segi visual, muzikal serta apa-apalah, memang tidak bersesuaian di sana. Pendek kata, saya tidak mencapai tahap yang mereka mahukan.

"Memanglah perkara itu menunjukkan keunikan diri saya tetapi pada masa sama, ia boleh jadi negatif juga. Sejak kecil lagi, saya suka berada di depan orang ramai walaupun saya bukan bagus pun menyanyi. Jadi, apabila saya mula kenal penyanyi rap, saya terfikir, nyanyian sebegitu pun boleh jadi muzik?" katanya.

Dilahirkan di Korea, Psy mendapat pendidikannya di Boston University and Berklee College of Music. Dia mula melancarkan album pertamanya iaitu PSY from the PSYcho World! pada 2001 dan muziknya banyak dipengaruhi artis seperti Eminem, 2 Pac, Jay-Z dan Dr. Dre.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Tunggu 16 tahun!

Posted: 28 Aug 2012 12:18 PM PDT

"KALAU kita tidak menganjurkan Sukan Sea 2017, bermakna ia akan menjadi tempoh paling lama kita tidak menganjurkan temasya besar sejak kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2001."

Demikian nada Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi yang masih meletakkan harapan besar agar kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan untuk menganjurkan temasya dwitahunan itu dalam tempoh lima tahun dari sekarang.


Kok Chi berkata, bagi membuktikan komitmen badan induk persatuan negara itu agar temasya sukan itudapat dianjurkan dengan jayanya, isu mengenai penganjuran itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Lembaga MOM minggu depan.

"Kami akan membincangkan isu ini dalam Mesyuarat MOM sebelum mengemukakan cadangan kepada kementerian. Harap selepas menerima cadangan itu nanti, mereka dapat mempertimbangkan untuk menganjurkan temasya ini.


"Bagi kami di MOM, Malaysia sewajarnya menganjurkan temasya Sukan Sea 2017 kerana sudah lama kita tidak menganjurkan temasya besar dengan kali terakhir, Sukan Sea 2001.


"Kalau tidak anjurkan sekitar lapan hingga 10 tahun, itu tidak mengapa. Tetapi kalau kita tidak anjurkan Sukan Sea 2017, bermakna hampir 17 tahun kita tidak anjurkan temasya besar dan ia sememangnya satu tempoh yang agak lama," katanya. Isu berkenaan timbul selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam kenyataannya sebelum ini menggambarkan negara belum cukup bersedia menjadi tuan rumah Sukan Sea 2017, namun MOM menerusi Kok Chi yang mengumumkan perkara itu terlebih dulu, berasa sebaliknya.

Kok Chi sebelum ini menegaskan, soal kebimbangan mengenai infrastruktur, kos serta pelbagai perkara lain seperti disuarakan Ahmad Shabery, sebenarnya bukanlah masalah besar, malah beliau yakin Malaysia mampu menganjurkannya dengan baik.


Brunei sepatutnya menganjurkan Sukan Sea 2017, namun mereka mengubah keputusan dan mahu menganjurkannya pada 2019, tahun yang sepatutnya Malaysia menjadi tuan rumah.

Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SGF) di Myanmar yang turut dihadiri Kok Chi.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Beregu kian matang

Posted: 28 Aug 2012 11:07 AM PDT

JEREMY Gan yakin rancangannya membentuk gandingan beregu campuran bertaraf dunia kini berada di landasan tepat selepas gandingan muda Tan Aik Quan-Lai Pei Jing muncul naib juara Terbuka Vietnam Ahad lalu, malah beliau kini dalam proses mengangkat satu lagi gandingan baru iaitu Wong Fai Yin-Shevon Lai.

Jurulatih beregu campuran itu berkata beliau berharap Aik Quan-Pei Jing cepat menemui kematangan dalam permainan bagi memberi tekanan kepada gandingan utama Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, sekali gus menyaksikan persaingan sihat dalam kem negara.


"Perkembangan ini memang bagus tapi terlalu banyak lagi yang perlu diperbaiki Aik Qua-Pei Jing. Buat masa ini saya nampak mereka akan menjadi gandingan kedua di belakang Peng Soon-Liu Ying tapi belum cukup ilmu untuk bergelar gandingan bertaraf dunia," kata Jeremy.

Pada aksi final kelmarin, gandingan itu tewas kepada pasangan Indonesia, Markis Kido-Pia Zebadiah Bernadeth buat kali pertama dalam dua pertemuan.


"Saya tidak mengikut mereka ke Vietnam, tapi saya tahu mereka kurang pengalaman beraksi di tahap tertinggi seperti perlawanan akhir. Sebelum ini mereka pernah menewaskan gandingan Indonesia itu di Terbuka Malaysia, jadi banyak lagi yang perlu mereka pelajari terutamanya dalam aspek ketahanan mental.


"Mereka akan sertai empat hingga lima lagi kejohanan dalam tahun ini, tapi tidak semuanya setaraf dengan Peng Soon-Liu Ying. Mereka masih baru jadi mereka perlu menyertai lebih banyak kejohanan bertaraf GP Emas dan cuba mendapatkan keputusan terbaik seperti separuh akhir, final ataupun meraih gelaran.

"Jika mereka terus beraksi di kejohanan Siri Super, semangat mereka mungkin berkubur kerana sering tewas di peringkat awal kerana ramai gandingan terbaik dunia mengambil bahagian." Antara kejohanan yang akan disertai Aik Quan-Pei Jing selepas ini adalah Siri Super Terbuka Jepun, GP Emas Terbuka Taiwan, Korea, Macau dan beberapa lagi kejohanan lain.


Jeremy turut berpuas hati dengan pencapaian gandingan senior Ong Jien Guo-Lim Yin Loo yang mara ke separuh akhir di Vietnam.

"Gandingan ini bukan baru, jadi prestasi di Vietnam menunjukkan sedikit peningkatan namun saya tidak boleh letakkan mereka dalam perancangan jangka panjang kerana masing-masing sudah berusia 23 dan 24 tahun. Mereka sepatutnya melakar kejayaan lebih besar," kata Jeremy lagi.


Dalam pada itu, Jeremy perlu bekerja keras menaikkan satu gandingan baru Fai Yin-Shevon. Shevon sebaya Pei Jing dinaikkan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sememangnya diakui berkemampuan sekiranya digilap dengan baik, namun Fai Yin memerlukan lebih banyak latihan selepas di bawa ke BAM dari Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tuntutan ayah berhasil

Posted: 28 Aug 2012 12:02 PM PDT

KUALA TERENGGANU: Seorang pengurus sebuah syarikat cari gali minyak diperintahkan membayar RM18,866.50 dan membuat permohonan maaf secara terbuka mengikut hukum syarak kepada ibu bapa serta dua anaknya yang diabaikan sejak lebih lapan tahun lalu.

Arahan itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Rosdi Harun ke atas Nasrun Mustafa, 39, dalam prosiding semalam selepas membenarkan tuntutan difailkan bapa lelaki itu, Mustafa Ismail, 66, dari Kampung Beladau Kolam, Manir, di sini, dua tahun lalu.

Rosdi berkata, bayaran RM18,866.50 itu adalah kos tunggakan dan perbelanjaan serta teladan terhadap Mustafa selepas Nasrun tidak pulang ke rumah bertemu kedua-dua anaknya sejak lebih lapan tahun lalu.

Nasrun yang berpendapatan lebih RM17,000 sebulan diarahkan membayar RM400 setiap seorang kepada ibu bapa serta dua anaknya berusia 15 dan 17 tahun setiap bulan, selain RM500 seorang untuk dua anaknya sebagai perbelanjaan menyambut Aidilfitri setiap tahun.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Lepas rindu 59 tahun

Posted: 28 Aug 2012 12:00 PM PDT

KUALA LUMPUR: Selepas 59 tahun terpisah, empat beradik berlainan agama akhirnya bertemu semula dalam suasana penuh emosi, semalam.

Pertemuan Normah Hashim, 59, dengan tiga adik-beradiknya, diatur Biro Pengaduan Awam MCA.


"Saya terpisah daripada keluarga kandung selepas diserahkan kepada suami isteri berbangsa Melayu ketika berusia tiga bulan berikutan kesempitan hidup.

"Arwah ibu bapa angkat memberitahu saya mempunyai kembar dan keluarga kandung berniaga air di tepi jalan di Pekan Kulim, Kedah," kata Normah.


Beliau berkata, dia cuba mengesan keluarga kandungnya itu sejak 23 tahun lalu sebaik diberitahu arwah bapanya, namun menemui jalan buntu.


Menurutnya, dia gembira usahanya itu menjadi realiti dengan bantuan Biro Pengaduan Awam MCA.

"Saya bertambah gembira dan terkejut apabila diberitahu yang saya sebenarnya ada seorang adik lelaki kembar," katanya.


Kakak kedua Normah, Teo Hooi Nai, 63, turut berterima kasih kepada biro berkenaan yang dipengerusikan Datuk Seri Micheal Chong kerana mempertemukan dia dan Normah yang terpisah selama 59 tahun itu.

Katanya, dia dan adik-beradik lain juga pernah cuba mengesan Normah atau nama keluarganya, Teow Hooi Sang menerusi siaran televisyen, namun tiada sebarang khabar diterima.


"Kini, kami sekeluarga telah disatukan dan perasaan kami amat gembira walaupun Normah beragama lain daripada kami.


"Selepas 59 tahun tidak pernah bersua muka, pasti banyak perkara ingin diceritakan antara kami," kata Hooi Nai.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved