Sabtu, 24 September 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Kondo denggi

Posted: 23 Sep 2011 09:37 AM PDT

KUALA LUMPUR: Nyawa kami dalam bahaya. Begitu situasi dihadapi penduduk Kondominium Bintang Mas, Cheras, apabila diancam denggi sejak beberapa bulan lalu.

Bukan satu atau dua kes dilaporkan sebaliknya 13 penduduk dilaporkan dijangkiti termasuk beberapa orang daripadanya disyaki denggi.


Penduduk, Roslan Jali, 44, baru pulih dan keluar daripada hospital selepas menjalani rawatan akibat denggi.

"Ketika ini kami sekeluarga diancam denggi. Tiga anak saya pula demam dan mengalami bintik-bintik merah pada badan. Saya berulang-alik ke hospital setiap hari kerana mereka dalam pemerhatian dan perlu menjalani pemeriksaan darah.


"Saya baru sembuh itupun selepas ditahan di hospital selama empat hari," katanya ketika ditemui di kawasan kondominium berkenaan, baru-baru ini.


Menurutnya, bilangan nyamuk di rumahnya semakin meningkat menyebabkan dia memasang ubat nyamuk terutama pada waktu pagi dan petang.

Selain Roslan, beberapa penduduk turut dimasukkan ke hospital dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini termasuk Chuan Tzu Mei, 38, yang mengalami masalah kekurangan darah mendadak.


"Saya menerima lapan peket darah ketika dimasukkan ke sebuah hospital selepas demam empat hari. Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan saya denggi," katanya.

Dia berkata, masalah denggi bermula sejak tahun lalu dan bilangannya semakin meningkat tahun ini.


"Kami sudah membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai masalah denggi dan berharap ia diatasi segera," katanya.


Namun, selepas pemeriksaan, penduduk dimaklumkan tiada sebarang penemuan tempat pembiakan aedes di perumahan berkenaan termasuk di rumah mereka yang disahkan menghidap denggi.


"Kami percaya nyamuk membiak di kawasan projek perumahan di sebelah rumah kami. Ini kerana sejak projek terbabit dibina, bilangan kes denggi meningkat.


"Terdapat takungan air termasuk di beberapa tong untuk kegunaan membasuh dan mandi pekerja terbabit. Selain itu, air mungkin bertakung di kawasan lantai projek yang terdedah akibat hujan," katanya.


Seorang lagi penduduk, Chen Jeng Feng, 38, berkata banyak aduan dibuat kepada DBKL sepanjang tahun ini, namun masalah itu masih berlaku, malah bilangan mereka yang dijangkiti denggi meningkat.

Dikeroyok keluarga rakan wanita

Posted: 23 Sep 2011 09:33 AM PDT

AMPANG: Seorang pelajar lelaki cedera dibelasah ahli keluarga rakan wanitanya gara-gara dituduh melakukan perkara tidak elok dengan anak gadis mereka menyebabkan dia cedera di kepala, tangan dan badan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, pelajar terbabit yang berusia 17 tahun tidur di rumah rakannya di Pandan Mewah, di sini, sebelum terjaga apabila terdengar pintu rumah diketuk.


Menurut sumber, mangsa yang menyangka rakannya datang membuka pintu, namun terkejut apabila mendapati tiga lelaki tidak dikenali bertanyakan seseorang.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memberitahu orang yang dicari itu dirinya dan belum sempat berbuat apa-apa, seorang daripada lelaki terbabit masuk dan menumbuk muka serta kepalanya.


"Tersentak dengan tindakan itu, mangsa bertanya mengapa dia dipukul sebelum mereka memperkenalkan diri bapa, abang dan bapa saudara rakan wanitanya," katanya.


Menurutnya, keluarga terbabit membawa mangsa ke kediaman mereka di Sri Nilam untuk berjumpa seorang pelajar perempuan yang berkawan dengan anak mereka.

"Pada pertemuan itu, pelajar perempuan terbabit disoal keluarga itu sama ada mangsa pernah berbuat perkara tidak elok kepadanya dan anak mereka.


"Namun, ia dinafikan pelajar terbabit dan memberitahu mangsa bukan seperti didakwa mereka," katanya.

Sumber itu berkata, sebaik mendengar penjelasan itu, mangsa dilepaskan.


"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Tembak guru sebelum bunuh diri

Posted: 23 Sep 2011 08:21 AM PDT

SAO PAULO: Seorang murid berusia 10 tahun menembak gurunya di depan rakan sekelas yang ketakutan sebelum dia membunuh diri.

David Nogueira, anak anggota polis, melepaskan dua das tembakan terhadap Rosileide Queiros de Oliveira dengan menggunakan pistol .38 milik bapanya di depan 25 murid lain.


Ketika guru itu terbaring di lantai dengan lumuran darah, David meluru keluar dari bilik darjah menuju ke dewan dan menembak dirinya di kepala.

Rosileide dikejarkan ke hospital dengan helikopter dan dilaporkan selamat. Tulang pahanya patah sementara kepala lututnya pecah. David juga dibawa ke hospital tetapi mati tidak lama kemudian.


Kejadian berlaku di Alcina Dantas Feijao, sebuah sekolah terkenal di daerah Sao Caetano do Sur di negeri Sao Paulo, Brazil pada jam 3.50 petang waktu tempatan.


Jurucakap Polis Tentera, Robinson Castropil berkata: "Murid itu meminta kebenaran untuk ke bilk air dan apabila masuk ke kelasnya semula, dia menembak guru itu. "Dia kemudian meluru keluar dari kelas itu sebelum menembak dirinya." Polis masih menyiasat bagaimana David memperoleh pistol itu dan motifnya melakukan jenayah itu.

Menurut rakannya, sehari sebelum kejadian, David bercerita mengenai keinginannya menembak guru itu dan dirinya. Dia bagaimanapun tidak mendedahkan motifnya.


Seorang jiran keluarga murid itu, Paulo Roberto Caetano da Silva, 49, menyifatkan David sebagai 'pendiam, sopan dan budak baik.' "Saya tidak percaya dia akan berbuat demikian," katanya.

Kaunselor keselamatan bandar berkenaan, Moacyr Rodrigues berkata, bapa David, Nilton Evangelista Nogueira menjadi anggota polis sejak 14 tahun lalu dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. - Agensi

Bas rempuh jambatan, 13 pelajar nyaris maut

Posted: 23 Sep 2011 08:19 AM PDT

DURHAM: Beberapa pelajar nyaris maut dalam kemalangan apabila bumbung bas yang mereka naiki musnah selepas bas itu melanggar bahagian bawah sebuah jambatan kereta api, semalam.

Pelajar berusia belasan tahun yang berada di tingkat atas bas itu terpaksa tunduk untuk menyelamatkan diri ketika bas itu merempuh jambatan berkenaan.


Tiga belas pelajar yang ketakutan itu dan pemandu bas dibawa ke hospital tetapi tidak seorang pun mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

Pamandu terbabit tersilap dalam mengagak ketinggian jambatan ketika memandu bas itu yang dinaiki 50 pelajar Tingkatan Enam Kolej Wueen Elizabeth di Darlington, Durham.


Saksi, Tony Jones berkata: "Bumbung bas itu terkopak seolah-olah pembuka tin digunakan untuk membukanya.


Pelajar di dalam bas itu menjerit dan ada di kalangan mereka luka di kepala." Penduduk berdekatan meluru keluar untuk membantu mangsa yang terkejut dan luka. - Agensi

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Gementar undang padah

Posted: 23 Sep 2011 08:51 AM PDT

SIKAP terlalu menghormati kehebatan Jepun mencetuskan rasa gementar skuad Olimpik negara hingga mereka gagal mempamerkan aksi sebenar ketika tumpas 0-2 pada perlawanan pertama Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik London di Stadium Tosu, Rabu lalu.

Menurut tonggak pertahanan tengah negara, Mohd Muslim Ahmad, permainan mereka terjejas khususnya pada babak pertama permainan sehinggakan mereka tertekan dengan asakan bertali arus pasukan tuan rumah.


"Jepun pasukan yang hebat tapi kita tak boleh terlampau menghormati mereka, sebab itu pemain-pemain agak takut-takut pada separuh masa pertama. Tapi kami bermain lebih baik pada babak kedua selepas mendapat teguran daripada jurulatih (Ong Kim Swee).

"Kami sudah mencuba yang terbaik untuk memberi tentangan kepada Jepun tapi memang tak ada rezeki apabila kalah 2-0. Tapi masih ada perlawanan timbal balik dengan Jepun selepas ini jadi kami masih ada peluang untuk menebus kesilapan," katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba dari Fukuoka kelmarin.


Pada perlawanan itu, skuad bawah 22 tahun negara yang dibimbing Kim Swee tumpas menerusi jaringan setiap babak Keigo Higashi dan Ryohei Yamazaki biarpun berhempas pulas bertahan sejak wisel permulaan dibunyikan.


Muslim, pemain Harimau Muda A yang kini berusia 22 tahun bagaimanapun berpuas hati dengan prestasinya selepas dikritik hebat ketika skuad kebangsaan tumpas 3-5 di tangan Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu.

"Saya sudah dapat rentak semula pada perlawanan semalam (kelmarin), memang sebelum ini ramai yang meragui kemampuan saya apabila kalah teruk dengan Singapura. Tapi saya sudah berjaya mendapat motivasi diri dan yakin mampu memberikan aksi lebih baik selepas ini," katanya yang semakin membentuk persefahaman jitu di bahagian pertahanan tengah bersama Mohamad Fadhli Shas.


Kekalahan di tangan pasukan pilihan Jepun itu meletakkan Malaysia di tangga terakhir Kumpulan C. Syria yang menewaskan Bahrain 3-1 menerajui tangga teratas kumpulan dengan tiga mata diikuti Jepun dan Bahrain.

Skuad Olimpik negara bakal berdepan Syria 23 atau 24 November ini diikuti Bahrain pada 27 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


Malaysia beraksi buat kali pertama di Sukan Olimpik Munich 1972 dan kemudian layak beraksi sekali lagi di Moscow pada 1980 namun tidak mengambil bahagian kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Chong Wei unggul

Posted: 23 Sep 2011 08:45 AM PDT

JIKA dijadikan ukuran dan penilaian di atas kertas serta berdasarkan perbezaan ranking pemain Jepun, Kenichi Tago bukanlah lawan sebenar buat Datuk Lee Chong Wei yang kini menduduki ranking pertama dunia.

Begitupun Chong Wei terpaksa bermandi peluh sebelum dapat menewaskan Tago 21-23, 21-7, 21-18 dalam tempoh 56 minit untuk mara ke separuh akhir menentang pemain yang cukup sinonim dengannya, Peter Gade yang menewaskan pemain Indonesia Simon Santoso pada kejohanan badminton Siri Super Terbuka Jepun, hari ini. Bagi jurulatih, Tey Seu Bock, Chong Wei sebenarnya tidak berdepan dengan masalah dan semuanya berjalan lancar sehinggalah di set ketiga apabila dilihat mula hilang fokus.


"Dia mungkin boleh menamatkan permainan lebih awal sekiranya dapat menumpukan perhatian. Melihat daripada kesilapan demi kesilapan dilakukan, Chong Wei mula mengikut rentak lawan. Apapun bagi saya dia tidak mempunyai sebarang masalah," katanya.

Kali terakhir dua pemain ini bertemu adalah setahun lalu di kejohanan Siri Super Terbuka Jepun dengan kemenangan mudah berpihak kepada Chong Wei.


Dalam pertarungan tiga set itu, Tago terlebih dulu mengejutkan Chong Wei dengan kemenangan 23-21 di set pertama biarpun pemain utama negara itu mendahului dengan selesa pada kedudukan 16-11.


Kealpaan Chong Wei akhirnya menghukum diri sendiri apabila Tago berjaya menyamakan kedudukan 18-18 dan episod kejar mengejar bermula sebelum kemenangan berpihak kepada Tago.

Chong Wei, yang memegang rekod 7-0 ke atas pemain Jepun itu, mudah menundukkan lawannya 21-7 pada set kedua.


Bagaimanapun, Chong Wei terus melakukan kesilapan pada set penentuan dengan membenarkan Tago yang sebelum itu ketinggalan sembilan mata untuk terus mengejarnya sebelum menang 21-18.

Sementara itu dalam acara beregu lelaki yang menemukan dua pasangan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menewaskan Goh Wei Shem-Lim Khim Wah 21-16, 19-21, 21-17 dalam masa 44 minit.


Kien Keat-Boon Heong, pilihan ketiga, bagaimanapun berdepan ranjau berduri pada separuh akhir hari ini apabila bertemu pilihan utama Cai Yun-Fu Haifeng dari China. Cai Yun-Haifeng, yang mendahului 7-4 ke atas pasangan Malaysia itu, menundukkan beregu Indonesia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan 21-12, 21-14 pada suku akhir semalam.


Namun, pada pertembungan terakhir antara kedua-dua pasangan itu, Kien Keat-Boon Heong menang straight set pada separuh akhir Seluruh England Mac lalu.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Soffiya taruhan terbaru Tiz

Posted: 23 Sep 2011 05:32 AM PDT

SEDAR atau tidak, sudah hampir tiga tahun Siti Zaqyah Abdul Razak atau Tiz Zaqyah, 23, bergelar anak seni. Dalam tempoh itu juga, Tiz membuktikan dirinya mampu bersaing dalam dunia seni biarpun kadangkala ditenggelami dengan kehadiran bakat baru.

Walaupun sering dihimpit kontroversi, namanya tidak mudah hilang kerana bakat dimiliki dan bukan bersandar kepada rupa semata-mata.

Tiz terus diberi tanggungjawab oleh pengarah dan produser tempatan untuk menjayakan karya mereka.

Ternyata semua itu tidak pernah membuatkan dirinya alpa atau sombong.


Malah segala pujian demi pujian daripada peminat dikongsinya menerusi laman sosial Twitter.


Bagaimanapun, kerenah individu yang tidak bertanggungjawab selain batas perbualan yang sukar dikawal, membuatkan dia memadam akaun peribadi miliknya itu sejak Ogos lalu.

Gadis kelahiran Kuala Lumpur pada 25 Oktober 1988 ini mengakui bosan dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu hingga membuatkan dirinya kini lebih berhati-hati.

Kini semua perkembangan aktiviti seni pelakon yang mula melonjak naik selepas membintangi siri Nur Kasih, dikongsi bersama peminat menerusi akaun sah miliknya di facebook, Tiz Zaqiyah Zak/Fanpage.

"Pujian buat kita lalai. Saya akui memang ketagih ketika menggunakan Twitter dulu. Begitupun, disebabkan terlalu banyak perkara yang tidak boleh dihalang membuatkan saya menutup akaun Twitter itu.

"Memang ia satu cabaran besar buat saya apabila tidak menggunakan Twitter lagi sedangkan akaun itu saya gunakan sejak lapan tahun lalu.

"Bagaimanapun, saya masih mempunyai akaun facebook untuk berinteraksi dengan peminat dan rakan. Malah menerusi laman ini, ia lebih mudah dikawal," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama terbarunya, Soffiya.

Tiz yang cukup dikenali menerusi watak Nur Amina dalam siri Nur Kasih, bukan saja menjadi buruan pengarah dan produser untuk menjayakan filem, malah drama televisyen untuk memancing penonton.

Penampilannya di televisyen sering menarik perhatian ramai. Sebagai pelakon, dia berasa puas apabila penonton mengenali watak yang dilakonkan menerusi drama.

Walaupun ada yang menganggap Nur Amina masih membayangi watak lakonannya, akui Tiz, ia bagaikan mengikut musim.

Katanya, ketika muncul dalam drama bersiri Gemilang, penonton mengenalinya dengan karakter cikgu Asma.

Justeru, mampukah Tiz mencetuskan fenomena baru buat penonton apabila bertindak sebagai teraju utama drama Soffiya yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam, sejak 21 September lalu.

"Memang drama ini agak berat dan saya sentiasa tidak puas hati dengan lakonan. Banyak perkara yang saya perbaiki mengenai lakonan dari semasa ke semasa.

"Lebih-lebih lagi apabila ditawarkan watak menerusi drama ini, saya berasa seperti dihargai. Saya percaya jalan cerita drama ini cukup menarik dan pasti drama ini akan diterima ramai.

"Setakat ini kami masih menjalani penggambaran sehingga episod 18. Saya juga belum mempunyai apa-apa perancangan selain memberi tumpuan kepada menyiapkan penggambaran drama ini," katanya.

Bercerita lanjut mengenai wataknya sebagai Yaya dalam drama bersiri 28 Episod itu, Tiz berkata, dia berdepan cabaran pada awal episod di mana hampir sebahagian besar babak membabitkan emosi. Biarpun sering dibandingkan dengan watak Nur Amina, dia nyata selesa melakonkan watak berat.

"Untuk menjayakan watak berat menerusi drama ini cukup mencabar. Di sini perlunya bantuan daripada pelakon berpengalaman seperti abang Hilal (Hilal Azman).

"Memang abang Hilal banyak membantu. Selain memberi tunjuk ajar, dia juga menggalakkan saya untuk mengikut gerak naluri hati sendiri.

"Barisan pelakon serta kru yang terbabit juga banyak membantu. Watak Soffiya dalam drama ini berdepan pelbagai konflik termasuk dinodai. Cabaran besar buat saya untuk menterjemahkan ia kepada emosi yang belum pernah saya lalu sebelum ini. Saya lakukan karakter dan emosi berkenaan mengikut naluri sendiri," katanya.

Selain Tiz, drama terbitan Filmscpae Sdn Bhd arahan Joeza Rasidi ini turut dijayakan Fizo Omar, Azhar Sulaiman, Izara Aishah, Syazwan Zulkifli, Hilal Azman, Halimatussadiah dan Aisyah Atan.

PROFIL

NAMA PENUH: Siti Zaqyah Abdul Razak
NAMA KOMERSIL: Tiz Zaqyah
TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1988
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak bongsu daripada dua beradik
STATUS: Bujang
KARIER: Pelakon
DRAMA: Gol & Gincu, Impian Illyana, Nur Kasih, Bernafas Dalam Lumpur, Puaka Topeng Putih, Gemilang, Geisha Melayu Terakhir, Soffiya
FILEM: Nur Kasih dan Cinta Kura-Kura

MACP menang saman

Posted: 23 Sep 2011 05:22 AM PDT

BADAN Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) menang saman sejumlah RM980,000 dan faedah terhadap Bandar Utama City Sdn Bhd dan Bandar Utama City Centre Sdn Bhd, baru-baru ini selepas karya muzik ahli MACP dipersembahkan kepada orang awam tanpa kebenaran.

Pengurus Besar MACP, Chan Miew Lan berkata, tindakan saman ini dibuat berikutan kegagalan mereka mematuhi amaran sewaktu penganjuran dua konsert 'countdown' Tahun Baru pada 2007 dan 2008.

"Sekalipun MACP mengeluarkan amaran secukupnya mengenai keperluan mendapatkan lesen MACP bagi mengesahkan persembahan karya muzik ketika dua konsert ini, dua defendan terbabit gagal mematuhinya.

"Antara lagu digunakan tanpa izin adalah karya Audi Mok, kumpulan Estranged, Asmin Mudin, Fred Chong, Lee Chee Cheng, Rafidah 3R, Huang Shus Hey dan Yap Choon Kean.


"Semua lagu terbabit dipersembahkan Suki, News, Kay, Gary Yap, Estranged, Karen Kong, Danny Wen Li Ming dan ramai lagi," katanya sewaktu ditemui di majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri MACP bersama penyampai radio dan media, kelmarin.


Dua konsert countdown 2007 dan 2008 dianjurkan Bandar Utama City Sdn Bhd dan Bandar Utama City Centre Sdn Bhd ini diadakan di 1Utama Shopping Centre, Damansara.

Kata Miew Lan, MACP menganggap tindakan diambil wajar memandangkan MACP sudah memberi amaran secukupnya.

"Tindakan defendan-defendan menggunakan lagu untuk persembahan konsert terbabit melanggar hak ekslusif terhadap persembahan di tempat awam.

"Kami meminta pihak yang mahu menjayakan konsert atau apa jenis persembahan awam mendapatkan
lesen MACP.

"Ini bertujuan mengatasi tindakan menggunakan karya MACP tanpa kebenaran. Bukan saja karya tempatan malah MACP juga turut mengeluarkan lesen untuk karya muzik antarabangsa yang dimiliki organisasi terbabit di Malaysia.

"Setakat ini, keahlian MACP lebih 2,850 pencipta tempatan dan 2 juta pencipta antarabangsa yang mewakili lebih 12 juta karya muzik dalam repertoire atau senarai yang ada," katanya.

Pada 7 Mac lalu, mahkamah memasukkan penghakiman yang berpihak kepada MACP selepas defendan-defendan gagal mematuhi arahan dikeluarkan oleh mahkamah semasa pengurusan kes.

Sewaktu pendengaran penaksiran ganti rugi kepada 12 September lalu, MACP diberikan ganti rugi sejumlah RM980,000.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM20,000 sebagai kehilangan hasil pendapatan manakala RM950,000 sebagai ganti rugi tambahan serta RM10,000 sebagai kos dan faedah yang dikira bermula daripada 9 Julai 2009 sehingga penyelesaian sepenuhnya.

Ganti rugi ini dibayar sama rata di antara kedua-dua defendan. Bagaimanapun, defendan-defendan membuat rayuan terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar mengenai penaksiran ganti rugi kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan sedang menunggu tarikh pendengaran.

Sementara itu, prosiding kes asal sedang menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan selepas rayuan defendan-defendan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ditolak.

Permohonan defendan-defendan bagi kebenaran untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan ditetapkan untuk pendengaran pada 15 November depan.

Sementara itu, majlis Aidilfitri ini diadakan sebagai menghargai sokongan media dan juga stesen radio yang memutarkan lagu-lagu artis tanah air. Dalam majlis yang diadakan di Restoran Puteri, Sungai Pencahala itu, MACP turut membuat sumbangan dan meraikan seramai 20 anak yatim Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, Subang Jaya.

Majlis diserikan dengan persembahan Datuk M Nasir, Datuk Jeffrydin, Shila OIAM, Lufya Omar, Voices Of Ummi dan kumpulan Cherita.

Ternyata persembahan M Nasir menerusi lagu Satu Hari Di Hari Raya paling mendapat perhatian sekaligus membuktikan ia menjadi lagu raya yang popular. Shila pula memilih lagu raya Amy Mastura, Setahun Sekali manakala Lufya memilih lagu popular Rossa, Ayat-ayat Cinta.

Hadir sama, Pengerusi MACP, Habsah Hassan, Pengurus Operasi Suria Fm, Subarma Mokhtar, Pengurus Program Sinar FM, Rustam Said, penyanyi Nora bersama suami, Johan Nawawi, Lan & The Typewriter Hasnol Hassan serta penulis lirik, Shahadrian atau Ad Samad dan Juwie.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Isteri kedua hari-hari mau’

Posted: 23 Sep 2011 09:59 AM PDT

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah dua kali bercerai, seorang pelakon tambahan yang juga model iklan tetap mengganggu kehidupan suaminya yang juga seorang ahli perniagaan dengan memberi alasan kemaruk seks sehingga sanggup bernikah secara 'Cina buta' selepas diceraikan talak tiga, semata-mata bagi memuaskan nafsunya.

Namun, walaupun berjanji akan berubah selepas 'merujuk' semula dengan suaminya, dia masih meneruskan aktiviti songsang bersama beberapa lelaki lain sebelum dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), minggu lalu.

Suaminya yang bergelar Datuk, 40-an, berkata selain kemaruk seks, isteri keduanya yang berusia 30-an, menggunakan kecantikannya untuk memerangkap lelaki bagi mendapatkan kesenangan hidup selepas melayani mereka hingga ke bilik tidur.

Bagi memerangkap mangsa, isterinya yang mendakwa ejen sebuah bank menawarkan bantuan kepada lelaki yang disasarkan untuk mendapatkan pinjaman peribadi atau perniagaan asalkan mereka sanggup melayan nafsu liarnya.


Katanya, dia diperkenalkan kepada isterinya yang ketika itu pelakon tambahan dan kakitangan sebuah syarikat produksi filem pada 2008 oleh kenalan dan berkahwin di Thailand, dua bulan kemudian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Nyaris rentung bersama Lamborghini RM1.2j

Posted: 23 Sep 2011 09:59 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki nyaris rentung apabila kereta Lamborghini Gallardo miliknya yang bernilai RM1.2 juta terbakar ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Damansara, di sini semalam.

Ketika kejadian jam 11.45 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun yang enggan dikenali dalam perjalanan pulang selepas keluar bersiar-siar bagi memanaskan enjin kereta itu selepas seminggu ditinggalkan di sekitar kawasan rumah sebelum terhidu asap daripada bahagian enjin kenderaannya. Menurut Ketua Operasi, Bomba Dan Penyelamat Sri Hartamas, Shahrul Azizi, pihaknya menerima panggilan daripada mangsa jam 11.50 pagi dan tiba di tempat kejadian tujuh minit kemudian.


"Mangsa memberitahu terhidu bau asap enjin keretanya 100 meter dari tempat kejadian dan dia memberhentikan kenderaannya di bahu jalan lalu segera keluar sebelum api marak membakar keseluruhan kereta.

"Kebakaran dikawal sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Sri Hartamas kira-kira 10 minit dan kereta itu rosak sepenuhnya.


"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Sementara itu, pemilik kereta mewah yang dibeli tiga tahun lalu itu dipercayai ahli perniagaan warga tempatan yang bekerja di Shanghai, China dan baru pulang ke Malaysia kelmarin.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved