Ahad, 21 Ogos 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tak bahaya, boleh hilang sendiri

Posted: 21 Aug 2011 10:34 AM PDT

MASIH jelas di ingatan Manaka Singh bagaimana dia disisihkan keluarganya sendiri ketika kecil. Lebih menyedihkan orang tua dalam keluarga yang diharap dapat dijadikan tempat mengadu pula paling kuat menuduhnya dirasuk syaitan. Semuanya disebabkan kehadiran tanda lahir pada leher wanita berusia 34 tahun dari New Delhi itu.

Bagi Nur Atikah Ahmad, 25 (bukan nama sebenar), tanda lahir pada dagunya sering menjadi bahan ketawa kawan-kawan. Sejak di sekolah rendah lagi tanda lahir itu selalu membuatkan dia berasa rendah diri dan kurang yakin. Apa yang membuatkan dia lebih tertekan ialah ketika berada di khalayak ramai kerana pandangan orang akan tertumpu pada tanda lahir di dagunya itu.

Kesan psikologi dialami Manaka dan Nur Atikah sebenarnya turut dirasai semua individu yang mempunyai tanda lahir yang boleh dilihat dengan jelas. Pengarang akhbar mingguan terbesar di Amerika, LA Style, Joie Davidow juga melalui kepahitan diejek, dipersenda dan menjadi tumpuan renungan kerana mempunyai tanda lahir yang memenuhi separuh pipi kirinya.

Dia berkata, ketika kecil ibunya memberitahu tanda lahir itu adalah tempat sentuhan malaikat, malah tanda itulah yang membuatkan dia istimewa dan cantik. Namun, kata-kata penyedap hati itu terpadam apabila kawan-kawan di sekolah menengah mengejek dan memberinya pelbagai nama gelaran, menyebabkan dia tertekan, rendah diri dan lebih malang ejekan itu berlarutan hingga dewasa.


Menurut Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Syed Nazir MS Kadir, tanda lahir adalah perkara biasa dan boleh dikatakan kebanyakan bayi mempunyai tanda lahir seperti tahi lalat kecil; tompok merah di dahi, belakang badan, leher atau mana-mana bahagian badan.


Tanda lahir bermakna tanda berwarna di atas atau bawah kulit bayi baru lahir. Walaupun ia dipanggil tanda lahir, tanda ini tidak semestinya ada ketika seseorang bayi dilahirkan. Sesetengah tanda lahir seperti hemangioma terbentuk beberapa minggu selepas bayi dilahirkan.

Ada banyak jenis tanda lahir. Ia berbeza saiz, bentuk dan warna - daripada biru, biru kelabu, coklat, hitam, merah jambu, putih, merah atau ungu. Ada yang licin dan ada pula timbul. Memang hampir semua tanda lahir ini kekal tetapi ada beberapa jenis akan pudar apabila kanak-kanak membesar.

Bagaimana berlakunya tanda lahir? Tanda lahir berlaku ketika perkembangan kulit.

Kadangkala tanda lesi pada kulit dikaitkan dengan perkembangan otak, namun kebanyakan kes tanda lahir tidak berbahaya.

Pakar perubatan percaya ia disebabkan terlebih warna atau pigmentasi pada kulit. Namun, sesetengah tanda lahir disebabkan salur darah yang bergumpal atau tidak membesar secara normal.

Sehingga kini pakar sains masih tidak tahu kenapa sesetengah bayi boleh mendapat tanda lahir dan setengah lagi tiada. Kebanyakan kepercayaan masyarakat mengaitkannya dengan sesuatu yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh ibu ketika hamil contohnya keinginan makan strawberi menyebabkan tompok merah.

Malah, masyarakat di negara maju seperti Jepun melarang wanita hamil daripada merenung api kerana ia dipercayai boleh mengakibatkan tanda kemerahan pada kulit bayi, sedangkan semuanya tidak berasas.

Kebanyakan tanda lahir tidak berbahaya, tetapi sesetengahnya mungkin perlukan rawatan khususnya bagi tujuan kosmetik atau pertumbuhan yang cepat. Malah, dalam keadaan tertentu ia boleh menjadi tanda kepada penyakit lain.

Jenis tanda lahir

Tanda lahir boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

Tompok cafe-au-lait - Seperti namanya, tanda lahir jenis ini berwarna seperti kopi. Ia sangat lazim dan boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan dan biasanya tidak memerlukan rawatan.

Biasanya ada satu atau sepasang tompok cafe-au-lait. Bagaimanapun, ada juga bayi mempunyai banyak tompok yang dipanggil neurofibromatosis iaitu keadaan yang ada kaitan dengan faktor genetik. Jika anak anda mempunyai lebih daripada enam tompok cafe-au-lait, minta pendapat doktor sama ada si kecil perlukan pemeriksaan lanjut.

Nevus kongenital - Tanda ini boleh dilihat ketika bayi dilahirkan. Tanda ini biasanya besar, berwarna gelap dan timbul seperti tahi lalat di kulit kepala atau badan. Saiznya berbeza antara satu sentimeter hingga 14 sentimeter yang merangkumi kawasan luas. Kanak-kanak dengan tanda lahir ini terutama jika saiznya besar berisiko mendapat kanser kulit ketika dewasa.

Tompok biru Mongolia - Bentuknya kadangkala tidak jelas kerana ia besar dan kelihatan merebak. Warnanya yang biru-kelabu sering menyebabkan ia disalah anggap sebagai kesan lebam. Tanda lahir jenis ini lebih kerap dialami bayi yang berkulit gelap terutama daripada keturunan Asia. Ia boleh ada di mana-mana bahagian badan terutama belakang, punggung, kaki dan tangan. Tanda lahir jenis ini boleh hilang apabila bayi besar dan tidak memerlukan rawatan.

Ini adalah tanda lahir yang paling biasa pada bayi Asia Timur. Bayi mungkin dilahirkan dengan satu atau lebih tompok biru Mongolia dan saiznya berbeza-beza daripada satu tompok kecil pada punggung hinggalah hampir memenuhi belakang badan.

Tanda jenis ini juga boleh berlaku pada 90 hingga 95 peratus bayi Afrika Timur dan 80 hingga 85 peratus bayi penduduk asli Amerika. Hampir 90 peratus bayi Polinesia dan Mikronesia (penduduk di kepulauan Lautan Pasifik) ada tanda lahir ini. Malah, hampir 46 peratus kanak-kanak Amerika Latin juga dilahirkan dengan tanda ini. Walaupun ia turut ditemui pada bayi berkulit putih, tetapi jumlahnya lebih rendah (satu hingga 10 peratus saja). Orang yang tidak pernah melihat tanda lahir ini mungkin tersilap anggap ia sebagai lebam.

Tanda pewarna port-wine - Ini adalah tanda lahir yang kekal, berwarna merah jambu terang dan boleh bertukar menjadi merah atau ungu dengan peningkatan umur bayi. Biasanya tanda lahir ini ada di muka dan leher, tetapi ia juga boleh muncul di bahagian lain badan.

Kulit yang berwarna ini boleh menjadi tebal sedikit, timbul dan permukaannya tidak rata apabila kanak-kanak membesar. Perubahan inilah yang boleh menyebabkan masalah perubatan atau tekanan emosi kepada kanak-kanak kerana mereka sering menjadi bahan ejekan atau usikan. Dianggarkan sejuta penduduk Amerika mempunyai tanda lahir jenis ini dan kebanyakannya mengalami kesan psikologi seperti rasa rendah diri dan masalah untuk bersosial.

Tanda lahir ini boleh dirawat melalui terapi laser. Kebanyakan tanda pewarna port-wine tidak dikaitkan dengan masalah kesihatan, tetapi ada kalanya ia berlaku dengan sindrom Klippel-Trenaunay atau sindrom Sturge-Weber yang perlukan pemeriksaan lanjut.

Tanda gigitan bangau atau tompok salmon - Ia juga dipanggil 'ciuman malaikat'. Tanda lahir ini berwarna merah jambu atau kemerahan, biasanya ada di bawah garis rambut di tengkuk, atas kelopak mata atau di antara dua mata. Ia disebabkan gumpalan salur darah di bawah kulit.

Tanda gigitan bangau di dahi, kelopak mata atau antara dua mata biasanya pudar dengan peningkatan umur. Bagaimanapun, jika tanda ini ada di tengkuk, ia tidak akan pudar, tetapi boleh ditutup dengan rambut dan biasanya tidak memerlukan rawatan.

Hemangioma - Warnanya merah jambu atau merah, membesar pada tahun pertama dan akan pudar secara perlahan-lahan dengan peningkatan umur. Pada umur 10 tahun, kanak-kanak tanda ini biasanya tidak kelihatan atau jika ada, sangat kecil. Malah, pertumbuhannya juga kelihatan terhenti.

Biasanya tanda lahir jenis ini tidak memerlukan rawatan, tetapi jika hemangioma yang dialami itu menunjukkan pertumbuhan cepat, maka ibu bapa membawa anak mendapatkan rawatan sama ada ubat atau terapi laser.

Masalah boleh timbul jika hemangioma dekat dengan mata (ia boleh menjejaskan penglihatan), sukar bernafas (jika di kerongkong), sukar menelan (jika di mulut) atau buang air (jika di celah kangkang). Malah, kanak-kanak yang ada tiga atau lebih hemangioma di kulit disarankan supaya menjalani pemeriksaan untuk hemangioma dalam badan, kerana ia boleh berlaku sekali.

Lebih 80 peratus hemangioma bayi berlaku pada kepala dan leher. Ia akan membesar sehingga 80 peratus daripada saiz maksimumnya dalam masa tiga bulan pertama (selepas dilahirkan) dan kebanyakannya berhenti membesar pada umur lima bulan. Bagaimanapun, hemangioma masih boleh membesar sehingga bayi berkenaan berumur 18 bulan.

Selepas tempoh ini, hemangioma mula mengecut atau berhenti membesar. Proses ini boleh mengambil masa antara tiga hingga 10 tahun. Hampir semua hemangioma kanak-kanak yang rata hilang sendiri tanpa rawatan.

Pun begitu, hemangioma besar dan timbul mungkin tidak mengecut sepenuhnya, dan ia akan meninggalkan tanda parut tidak rata yang nipis pada kulit (atrofi) atau parut berlekuk (anetoderma) yang berlaku pada sekurang-kurangnya 50 peratus kes.

Rawatan dan kesan psikologi

"Kebanyakan tanda lahir tidak berbahaya dan ada yang boleh hilang sendiri. Bagaimanapun jika ibu bapa masih ragu-ragu, bawalah anak berjumpa doktor. Doktor akan menentukan sama ada anak anda memerlukan pemeriksaan lanjut atau tidak. Namun, secara umumnya ibu bapa tidak perlu risau," katanya.

Isu kesihatan mungkin tidak sebesar kesan psikologi dialami individu yang memiliki tanda lahir yang boleh dilihat dengan jelas seperti Manaka, Nur Atikah dan Davidow. Walaupun ketiga-tiganya tidak kenal satu sama lain dan tinggal di negara yang jaraknya jauh beribu kilometer, tetapi masalah yang dialami tetap sama iaitu kesan tanda lahir pada sahsiah dan keyakinan diri.

Malah, ibu bapa yang mempunyai anak dengan tanda lahir juga mendapat tempias tekanan terutama apabila melihat buah hati kesayangan bersedih kerana diejek, diusik atau dipulaukan rakan.

Kajian di negara maju seperti United Kingdom (UK) mendapati sembilan daripada 10 orang masih membuat tanggapan negatif terhadap mereka yang mempunyai tanda pada muka. Kajian itu menandakan orang yang ada tanda lahir di muka masih diketepikan kerana rupa paras yang 'kurang sempurna' walaupun mempunyai keupayaan.

Ini menyebabkan wujudnya pertubuhan seperti Persatuan Sokongan Tanda Lahir dan persatuan kebajikan Changing Faces di UK untuk membantu menguatkan semangat individu yang ada tanda lahir atau kekurangan pada wajah selain merancang aktiviti sosial.

Seorang juruterapi pertuturan bahasa dari Buckinghamshire (UK), Debbie Begent berkata, tanda lahir pada mukanya memberi kesan besar kepada peluangnya mendapat kerja. Dia mengambil masa tujuh bulan menghadiri puluhan temu duga untuk mendapatkan pekerjaan walaupun memiliki kelayakan sebaik rakan sekuliah yang lain.

Dalam soal ini, Debbie beruntung kerana mempunyai ibu yang sentiasa memberi kata semangat. Ibunya sentiasa memberitahu bahawa tanda lahir di mukanya itu tidak akan menjadi penghalang untuk dia mencapai kejayaan. Malah, ibunya turut berpesan, kalau ada orang yang menyakitkan hatinya kerana tanda lahir itu, bermakna mereka tidak sesuai dijadikan kawan.

Sebelum dia bersekolah, ibunya pergi berjumpa guru dan kanak-kanak di sekolah berkenaan untuk menerangkan mengenai tanda lahir supaya mereka tidak mempersendakan rakan sebaya yang mempunyai tanda lahir seperti Debbie.

Bagi kanak-kanak dari Connecticut, Lindsey Brown, 11, dia tidak kisah dengan tanda lahir pada mukanya. Bagi Lindsey, apa yang penting ialah kecantikan dan keyakinan itu sebenarnya datang dari dalam diri bukan pada wajah.

Bagaimanapun, bukan semua orang mempunyai keyakinan tinggi seperti Davidow, Debbie atau Lindsey. Tanda lahir boleh dibuang melalui pembedahan kecil atau terapi laser. Malah, dalam Islam rawatan untuk menghilangkan sesuatu yang jelek daripada anggota badan dengan tujuan perubatan, mengelakkan kemudaratan atau mengembalikan keadaan asal adalah dibenarkan.

Rawatan awal lebih berkesan

Posted: 21 Aug 2011 10:16 AM PDT

[unable to retrieve full-text content]RAMAI wanita yang mementingkan penjagaan kesihatan dan mengamalkan diet seimbang bagi mendapatkan bentuk badan menarik.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Maut pada hari ulang tahun

Posted: 20 Aug 2011 09:18 AM PDT

JELI: "Naluri keibuan saya tersentuh tatkala menerima berita sedih mengenai kematian anak kerana tidak sangka dia meninggalkan kami semua pada sambutan hari lahirnya ke-18, hari ini (semalam), selepas terbabit dalam kemalangan.

"Paling tidak dapat dilupakan apabila dia membelikan saya kek sempena ulang tahun kelahiran saya ke-51 dan kami sempat meraikannya bersama malam tadi (kelmarin)," kata Mariam Abdul Rahim, 51, ibu bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Aniq Arshad Mohd Roseli, yang maut dalam kemalangan, semalam.


Dalam kejadian jam 8.10 pagi semalam, perjalanan tiga sahabat untuk mengambil ikan kelah di Banding, Grik, Perak, dengan menaiki kenderaan masing-masing secara berkonvoi bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori.

Kejadian di Kilometer 88.3, Jalan Kota Bharu-Machang-Grik berdekatan Gemang, Ayer Lanas, dekat sini, menyebabkan motosikal ditunggang Aniq Arshad dan Perodua Kancil dipandu anggota tentera dari 8 Briged Kem Pengkalan Chepa, Zazemi Mat Jusoh, 27, berlanggar sebuah lori dari arah bertentangan.


Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pertembungan dengan sebuah lori seberat 10 tan yang datang dari arah Butterworth, Pulau Pinang ke Kota Bharu.


Mariam berkata, dia terkejut sebaik mendapat berita kemalangan membabitkan anak ketujuh daripada sembilan beradik terbabit kerana menyangka anaknya pergi ke Banding menaiki sebuah kereta bersama rakannya.

"Saya hanya dimaklumkan arwah dalam perjalanan ke kawasan itu untuk mendapatkan bekalan ikan kelah yang dibeli daripada Orang Asli. Sebab itu saya memberi keizinan kerana ditemani beberapa rakan lain.


"Namun, sangkaan saya yang dia menaiki kereta nyata meleset selepas dimaklumkan dia maut dalam kemalangan ketika menunggang motosikal berasingan dengan rakannya," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jeli, di sini, semalam.

Beliau yang juga peniaga kedai dobi berkata, sejak tamat menjalani latihan PLKN di Kem Cancun Park, Pasir Mas, arwah jarang dilihat ke luar rumah, selain banyak menghabiskan masa bersama keluarga.


"Cuma ketika kami sama-sama menyambut hari jadi malam tadi (kelmarin), arwah banyak berdiam diri. Paling tidak dapat dilupakan, sambil menghulurkan tangan, dia merenung tajam ke arah saya," katanya.


"Ketika itu saya tidak mengesyaki perlakuan pelik, meskipun perbuatan itu (merenung mata) jarang dilakukannya terhadap saya," katanya yang ditemani suami, Mohd Roseli Ismail, 55.


Sementara itu, isteri Allahyarham Koperal Zazemi, Zanariah Mohd Zain, 25, berkata dia sedih mengenangkan nasib suaminya, selain tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama tahun ini.


"Banyak kenangan ditinggalkan sepanjang tempoh empat tahun perkahwinan kami hingga dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Zakirah Najwa, 3. Sebelum kejadian pun, arwah meninggalkan pesan dan ia menjadi rahsia saya.


"Kami bertemu pagi tadi ketika bersahur dan saya sempat menyediakan juadah sahur ikan kukus goreng masak kicap. Tidak sangka ia menjadi permintaan terakhir arwah," katanya.


Katanya, arwah baru berpindah ke kem terbabit dua bulan lalu dan dilihat berperangai pelik kerana memilih baju raya anaknya ketika ke pasar raya dekat Machang, beberapa hari lalu, sedangkan sebelum ini perlakuan seperti itu jarang ditunjukkan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Dibelasah pelanggan

Posted: 20 Aug 2011 09:06 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sebuah restoran di Taman Mulia, di sini, cedera di muka dan badan selepas dibelasah seorang pelanggan yang berang kerana makanan dan minuman dipesannya untuk berbuka puasa lambat dihidangkan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek berusia 30-an dikatakan mengamuk apabila pesanan makanan dibuatnya belum dihidangkan sedangkan hampir masuk waktu berbuka.


Menurut sumber, suspek kemudian memanggil seorang pekerja restoran sebelum memarahinya.

"Mangsa yang berusia lewat 20-an kemudian menerangkan pihaknya berusaha menyediakan juadah untuk pelanggan mengikut giliran selain meminta suspek bersabar, namun tidak diendahkan.


"Suspek terus menampar dan menumbuk muka mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh. Dua rakan sekerja mangsa yang menyaksikan kejadian itu kemudian cuba menenangkan suspek," katanya.


Bagaimanapun, sumber berkata, dua rakan mangsa gagal berbuat demikian kerana suspek kemudian mengambil kerusi sebelum cuba memukul mereka.

"Dua rakan mangsa melarikan diri sebelum suspek terus memukul mangsa lebih 10 minit sambil disaksikan pelanggan lain. Suspek meninggalkan kawasan itu selepas azan," katanya.


Mangsa kemudian menghubungi pengurus restoran itu. Sehubungan itu, mangsa dan pengurus restoran tampil ke Balai Polis Sungai Besi, di sini, membuat laporan berhubung insiden itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Mancini pening

Posted: 20 Aug 2011 08:43 AM PDT

MANCHESTER: Roberto Mancini mengaku rambang mata untuk memilih penyerang ketika berura-ura mempertaruhkan Sergio Aguero sebagai antara empat penyerang utama Manchester City pada pertemuan menentang Bolton Wanderers, malam ini.

Pada kemunculan sulung bersama Manchester City, Aguero cemerlang menjaringkan dua gol selepas masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua bagi membantu mereka menewaskan Swansea, 4-0, Isnin lalu.


Kini penyerang baru bernilai 35 juta (RM171.8 juta) yang didakwa belum cergas sepenuhnya dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Bolton.

Penyerang Argentina itu mungkin beraksi di samping Edin Dzeko, Mario Balotelli dan David Silva di Stadium Reebok.


Mancini mengaku masalah memilih penyerang boleh selesai jika keempat-empat pemain diturunkan serentak.


"Kami akan menyerang secara agresif. Namun, tanggapan umum jika turunkan empat penyerang, lebih banyak serangan dilakukan ada kalanya tidak benar.

"Paling penting adalah keseimbangan dan itulah yang perlu difikirkan untuk perlawanan ini.


"Bagaimanapun, penyerang juga perlu membantu pasukan bertahan. Jika penyerang malas, ia pasti sukar. Amat penting penyerang membantu rakan sepasukan.

"Wayne Rooney dan Didier Drogba yang kerap menjaringkan gol bekerja keras untuk pasukan.


"Yang pasti, kami mempunyai lebih ramai penyerang dan boleh mengambil banyak risiko berbanding tahun lalu tetapi saya sedar kami perlu menjaringkan lebih banyak gol jika mahu menjuarai Liga Perdana Inggeris.


Mancini bagaimanapun turut ingin menggunakan khidmat Carlos Tevez untuk perlawanan itu.


Apapun, Mancini percaya Aguero yang memecahkan rekod Diego Maradona sebagai pemain termuda beraksi dalam divisyen teratas Argentina boleh memenuhi apa saja harapan yang disandarkan terhadapnya.


"Dia bermain selama enam tahun dalam kancah bola sepak senior, bermain di Sepanyol dalam pasukan hebat dan saya yakin dia tiada masalah menyesuaikan diri.


"Dia mempunyai perwatakan hebat dan saya harap dia dapat menjaringkan 20 gol musim ini." Biarpun Tevez belum cergas sepenuhnya, Mancini berkata, penyerang itu boleh diturunkan dalam perlawanan menentang Bolton.


Jurulatih Itali itu turut menafikan kehadiran Tevez akan memberi pengaruh negatif kepada Aguero.


"Kami mempunyai empat penyerang hebat, Carlos dan Aguero berasal dari Argentina dan bertutur bahasa yang sama tetapi mereka masih boleh bekerjasama dengan penyerang lain.


"Saya tidak fikir Tevez akan mencetuskan masalah kerana dia seorang pemain profesional dan sentiasa mengikut peraturan," katanya. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

‘Beri kami masa’

Posted: 20 Aug 2011 08:37 AM PDT

PASUKAN Bike ART– Kawasaki Racing mempertaruhkan gandingan dua pelumba berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin dan Ahmad Zamani Baharudin bagi mengharungi saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas musim 2011.

Namun, tidak ada sebarang sasaran tinggi diletakkan memandangkan ini adalah penyertaan pertama bagi pengeluar motosikal yang berpangkalan di Jepun itu dalam kejuaraan motosikal terbesar di rantau Asia ini.


Setakat enam perlumbaan daripada tiga pusingan yang sudah berlangsung, Zamani masih belum menjejakkan kaki di atas podium dan pencapaian terbaik diperolehnya ketika menduduki tempat ketujuh pada Perlumbaan 1 sewaktu pusingan pembukaan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Mei lalu.

Adiknya, Fuad pula memperoleh keputusan lebih baik apabila berjaya menduduki tempat kelima pada perlumbaan sama namun selepas itu kedua-dua pelumba gagal mengulangi pencapaian setaraf pada baki perlumbaan seterusnya.


Fuad yang bertukar pasukan dari Petronas Yamaha Malaysia ke Bike ART Kawasaki Racing tahun ini berpendapat masih banyak perlu dipelajari bersama jentera dan pasukan barunya. "Kawalan jentera Kawasaki yang digunakan tidak sama berbanding jentera musim lalu. Beberapa kemahiran baru termasuk penukaran gear masih perlu dipertingkatkan. Pelarasan jentera juga masih belum sampai ke tahap maksimum," kata pelumba berusia 32 tahun itu.


Namun begitu, di sebalik kelemahan itu, beberapa perkara mampu menggembirakan Fuad.

"Selain kami mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak terutama pihak Kawasaki Heavy Industry (KHI), saya juga dapat berkongsi pengalaman dengan pelumba handalan, Katsuaki Fujiwara dari pasukan Manual-Tech BEET Kawasaki Racing memandangkan kedua-dua pasukan ini ditaja sepenuhnya Kawasaki.


"Saya sering mendapatkan nasihat Fujiwara terutama tentang bagaimana meningkatkan kemahiran tunggangan dan menyesuaikan diri dengan jentera Kawasaki ini kerana masih belum dapat beraksi secara 100 peratus. "Dia akan memberi tunjuk ajar dan pendapat bagaimana mengatasi masalah yang saya hadapi," jelas Fuad yang berada di kedudukan ke-10 keseluruhan dengan mengumpul 35.5 mata.

Tambah Fuad lagi, pengalamannya turut ditagih kedua-dua pasukan pada musim ini. "Memandangkan saya sudah lama beraksi dalam Kejuaraan ini, Fujiwara dan juga kru kedua-dua pasukan akan mendapatkan nasihat saya bagi membantu mereka untuk lebih memahami keadaan litar yang digunakan memandangkan kebanyakan mereka tidak pernah beraksi di ARRC," katanya.


Abangnya, Zamani pula menjelaskan harapan mereka agar dapat berada di kelompok pertengahan saja.


"Pada musim pertama ini, kami melihat ia sebagai ruang bagi menyesuaikan jentera Kawasaki dan mengumpul data bagi mengharungi saingan musim depan. Dengan komunikasi yang baik antara kru pasukan dan juga kepakaran KHI, kami memerlukan sedikit masa lagi untuk berada di tahap terbaik," jelas Zamani yang kini berada di kedudukan ke-12 keseluruhan dengan mengumpul 27 mata.


Mengulas pencapaiannya dan Fuad, Zamani berkata, setakat ini pencapaian mereka pada tiga pusingan lalu agak memuaskan dan mungkin mereka dapat memberikan saingan lebih sengit kepada pasukan lain pada baki perlumbaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Remaja bunuh ibu kekasih, rakan

Posted: 20 Aug 2011 08:29 AM PDT

KUSADASI (Turki): Seorang pelayan remaja menikam dua wanita Britain hingga mati di Turki selepas seorang daripadanya enggan mengizinkan remaja itu mengahwini anak perempuannya yang berusia 15 tahun.

Remaja lelaki itu, Recep Cetin yang berusia 17 tahun membawa dua wanita berkenaan ke kawasan hutan terpencil sebelum menikam mereka. Recep dikatakan berpacaran dengan Shannon Graham, anak kepada seorang daripada mangsa, Marion Graham sejak dua tahun lalu. Minggu lalu, Marion, 53, berbalah dengan Recep yang menggunakan nama samaran sebagai Alex kerana remaja itu didakwa menendang Shannon ketika pasangan berkenaan bertengkar.


Marion memberi amaran kepada Recep supaya tidak mengasari anak perempuannya. Bagaimanapun, pelayan terbabit mengancam untuk membunuh Marion sekiranya dia menjadi penghalang dalam perhubungannya dengan Shannon. Malam semalam, agensi berita kerajaan, Anatolia berkata, Recep mengaku membunuh Marion dan rakannya, Cathy Dinsmore, 53, yang kedua-duanya berasal dari Newry, County Down, Ireland utara.

Shannon kini diletakkan di bawah penjagaan pegawai kedutaan Ireland.


"Dia benar-benar ketakutan dan kami melakukan yang terbaik untuk menenangkannya," kata seorang pegawai konsulat di kedutaan itu.


Marion, Cathy dan Shannon adalah pengunjung tetap ke Turki, di mana keluarga Marion memiliki kediaman percutian di tepi pantai di Kusadasi. Shannon dan Recep mula berpacaran selepas gadis itu dan ibunya mengunjungi restoran tempat Recep bekerja. Sejak itu, dia selalu terbang ke Turki untuk bertemu pelayan terbabit setiap kali cuti persekolahannya.

Khamis lalu, Recep menghantar Shannon menaiki bot di perairan Kusadasi sebelum menawarkan membawa Marion dan Cathy bersiar-siar ke Izmir.


Kedua-dua wanita itu dibawa menaiki kereta bapa Recep ke kawasan hutan terpencil di Buca, di mana mereka kemudian dibunuh remaja lelaki berkenaan.

Sementara itu, bapa Shannon, Raymond McGuinness, berkata dia memang tidak bersetuju dengan perhubungan anaknya bersama remaja Turki berkenaan.


"Memang ada yang tidak kena dalam perhubungan mereka," katanya.


Seorang teman Shannon juga berkata, Recep adalah seorang pemuda yang sangat cemburu dan dia begitu terdesak untuk mengahwini Shannon. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Pitbull disaman kerana didakwa hina Lilo

Posted: 20 Aug 2011 08:26 AM PDT

HOLLYWOOD: Aktres bermasalah Lindsay Lohan dikhabarkan kembali ke mahkamah sekali lagi tetapi kali ini untuk memfailkan saman.

Menurut laporan laman TMZ, bintang filem Mean Girls itu mengemukakan saman terhadap Pitbull kerana mendakwa penyanyi berkenaan menghinanya dalam satu lirik lagu yang dinyanyikan.


Lagu yang ditulis Pitbull bersama pemuzik Ne-Yo dan Afrojack itu mengandungi seni kata seperti berikut: "Saya dikurung seperti Lindsay Lohan." Dokumen yang difailkan peguam Lindsay ke mahkamah mendakwa: "Lirik lagu itu mengandungi unsur kutukan, kecaman, hinaan dan fitnah mengenai plaintif serta menjejaskan kehidupan serta nama baiknya."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Balas jasa ibu

Posted: 20 Aug 2011 09:21 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Jika dulu ibu dan ayah berjaga siang malam kerana bimbangkan kesihatan kami, sekarang giliran kami pula menggalas tanggungjawab menjaga ibu yang menderita penyakit barah payudara," kata pasangan kembar siam popular negara, Ahmad dan Muhammad Rosli, 13.

Kedua-duanya yang ditemui di kediaman mereka di Puchong, dekat sini, Khamis lalu, melayan ibu mereka yang terbaring di atas katil di ruang tamu rumah.


Pasangan kembar itu yang juga anak sulung pasangan Rosli Abdul Rahim, 40, dan Aisah Kanda, 35, mengakui sedih melihat keadaan ibu, yang dulu aktif bergerak, kini tidak mampu melakukan kerja rumah.

Menurut Ahmad, bagi meringankan penderitaan ditanggung ibunya, dia sebagai abang paling tua sentiasa memantau aktiviti empat lagi adiknya berusia tiga hingga sembilan tahun.


Memiliki adik perempuan bongsu yang sangat rapat dengan ibunya, Ahmad yang mesra dengan panggilan Along terpaksa menjaga Nur Batrisia, 3, dan memantau pergerakan aktifnya bagi menghalang mendekati ibu yang sakit.


"Kami kasihankan emak kerana dia hanya mampu duduk di tilam. Ayah pula sibuk menyiapkan kerja di bengkel serta menumpukan perhatian dengan kerja rumah, termasuk memasak dan mengemas, di samping memastikan persekolahan saya dan adik berjalan lancar.

"Saya tidak tahu apa hendak dilakukan untuk mengurangkan penderitaan emak. "Selepas balik dari sekolah dan berbuka, saya memicit badan emak bila dia mengadu lenguh atau sakit," katanya yang bercita-cita menjadi pelukis.


Sementara itu, Muhammad atau lebih mesra disapa Angah turut mengakui sedih melihat penderitaan ditanggung ibunya.

Mengerti kesukaran dialami ibu bapanya dan menggalas tanggungjawab terhadap adiknya, Ahmad dan Muhammad turut ringan tulang membantu menyediakan sajian berbuka puasa, termasuk pinggan mangkuk serta gelas minuman untuk kegunaan bersama.


Mengimbau kenangan ketika menjalani rawatan pemisahan kembar siam di Hospital King Fahd National Guard, Bandar Perubatan King Abdul Aziz, Riyadh, Arab Saudi pada September 2002, Muhammad berkata, walaupun masih kecil, dia mampu mengingati peristiwa bersejarah itu.


"Kalau dulu, ibu dan ayah sentiasa di sisi dan memberi harapan kepada kami berdua yang dirawat selama 23 jam, kini sampai masa kami pula menjaga emak pada saat dia sakit," katanya.


Muhammad yang petah bersama kembarnya belajar di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ23, Puchong, Selangor selepas menerima keputusan baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu, mengakui kesihatan mereka kini beransur pulih.


Bercita-cita bergelar arkitek, dia mengakui terpaksa ponteng sekolah apabila ke hospital bagi merawati masalah ususnya, terutama lubang najis yang ditebuk di bahagian perut memerlukan penjagaan rapi.


Menurut Muhammad, selain ayahnya yang bertanggungjawab menukarkan beg najis, kembarnya turut membantu.


Ditanya mengenai kaki palsu yang sering dipakai sebelum ini, dia berkata, kurang selesa memakainya kerana pernah terjatuh hingga mendatangkan kesakitan fizikal, manakala Ahmad pula pernah tersadung hingga menyebabkan giginya patah akibat terlalu pantas berjalan.


"Namun itu tidak mematahkan semangat kami berdua untuk ke sekolah biarpun terpaksa menanggung kesakitan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Baju raya hangus

Posted: 20 Aug 2011 09:21 AM PDT

KUANTAN: "Saya tidak sempat membayar barangan persiapan menyambut Aidilfitri yang dibeli di pasar raya walaupun sudah tiba di kaunter pembayaran. Apabila dihubungi anak sulung yang memaklumkan rumah kami terbakar, saya terus bergegas pergi," kata Ketua Pembantu Tadbir di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Samsiah Ibrahim, 54.

Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi semalam, dua rumah milik ibu tunggal empat anak berkenaan dan seorang pengawal keselamatan, Samsuddin Adabi Abdullah, 63, di Perumahan Cenderawasih, di sini, musnah terbakar.


Menurut Samsiah, rumah dua tingkat peninggalan arwah suami yang diduduki bersama empat anak sejak 25 tahun lalu itu terbakar selepas terkena api yang berpunca daripada kediaman Samsuddin yang terbakar terlebih dulu.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama tiga anak keluar ke pusat bandar untuk membeli-belah barangan persiapan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba dua minggu lagi apabila dihubungi anaknya, Nik Nurfajrina Nikmat, 26, yang memaklumkan berita buruk itu.


"Sebaik tiba di rumah, hancur luluh hati melihat satu-satunya kediaman tempat saya dan anak berlindung terbakar. Malah, perabot dan perkakas elektrik turut musnah menyebabkan saya kerugian RM50,000.


"Lebih menyedihkan, kejadian berlaku ketika kami sekeluarga membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Apapun, saya bersyukur anak bersendirian di rumah terselamat dan tidak cedera," katanya.

Nik Nurfajrina berkata, ketika menggunakan komputer riba di tingkat bawah rumah, dia apabila terdengar jeritan jiran memaklumkan ada kebakaran.


"Saya segera keluar untuk melihat kejadian tetapi terkejut mendapati rumah sendiri yang terbakar selepas api merebak dari sebelah.

"Saya tidak sempat menyelamatkan dokumen penting kerana panik dan hanya mampu menelefon ibu memaklumkan kejadian ini," katanya.


Isteri Samsuddin, Noraini Yusof, 55, berkata dia hanya boleh melihat rumahnya hangus dijilat api tanpa sempat menyelamatkan barangan penting.


Sebelum kejadian, Noraini membaca al-Quran di tingkat bawah manakala cucunya, Dez Hariz Koh Mohd Izwan Koh, 5, pula bermain dalam bilik di tingkat atas.


"Saya hanya menyedari kebakaran apabila terdengar cucu menjerit memaklumkan bilik atas terbakar.


"Namun, saya gagal berbuat demikian kerana asap tebal menyelubungi dan pada masa sama saya terdengar jiran menjerit meminta saya cepat keluar kerana bimbang api marak, menyebabkan saya tiada pilihan selain mendukung cucu dan keluar dari rumah," katanya.


Katanya, ketika kejadian, suami dan anaknya yang juga ibu kepada kanak-kanak itu, Nordiana Samsuddin, 24, yang juga ibu tunggal, tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Depan Mata: Sultan puji Hasnah

Posted: 07 Aug 2011 07:48 AM PDT

Biar ku bersedih
biar aku merintih
setelah gagal berkasih
lari bersama pedih

ITU antara bait lagu Bersedih yang cukup sinonim dengan penyanyi 60-an, Hasnah Haron. Bertemu dengannya pada 24 Mei lalu di Restoran Puteri, Sungai Penchala, nyata itulah pertemuan pertama dan terakhir.

Dalam usia 64, penyanyi kelahiran Kampung Melayu, Singapura pada 9 November 1946 ini meninggal dunia pada 1 Ogos lalu, jam 8 pagi selepas lima hari dimasukkan ke hospital, Johor Bahru kerana barah pangkal rahim yang dihidapinya lebih dua tahun lalu.

Ketika itu juga, umat Islam seluruh dunia memulakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sehari sebelum itu, kebetulan saya menghubungi pemilik Restoran Puteri, Rubiah Suparman dan dimaklumkan Hasnah yang juga kawan baiknya sejak remaja dalam keadaan nazak. Berita itu baru saja disampaikan anak perempuannya, Haslinda Mohd Eunos (Linda).


Sememangnya itulah pertama kali bertemu dengannya tetapi orangnya ramah begitu juga Linda yang sudi bercerita keadaan ibunya. Linda membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk mencuba rawatan cara Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak yang diusahakan pelakon Ashraf Muslim.


Badannya kurus kerana kurang selera makan dan pergerakan juga terbatas dan cepat penat tetapi apabila diminta bercerita mengenai zaman popularitinya sejak menghasilkan album pertama pada 1969, wajahnya nampak ceria.

Malah apabila diminta menyanyikan lagu Bersedih, beliau tidak keberatan begitu juga apabila ditanya lagu popular lainnya, terus menyanyikan lagu Sabar Menanti dan Siti Zubaidah. Suaranya juga tetap merdu.

Linda mengatakan ibunya sering bermuram dan enggan keluar rumah seolah-olah tiada semangat. Bagaimanapun apabila dibawa ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan-rakan seangkatan, Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad, Datuk Jeffrydin dan Datuk Yusni Hamid, wajahnya nampak riang. Mereka diundang Kak Rubiah ke restorannya untuk bertemu.

Linda sempat memohon kalau ada rakan-rakan atau peminat ibunya ingin berjumpa, boleh berkunjung ke rumah mereka. Mungkin cara itu mampu membuatkan ibunya lebih bersemangat untuk terus hidup sekali gus melawan penyakit yang belum ada penawarnya. Malah, dia akan membawa ibunya turun ke Kuala Lumpur lagi jika keadaan kesihatannya mengizinkan.

Kata Linda, ibunya juga tidak suka menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi lagi kerana membuatkan badannya tidak selesa dan menyambut baik saranannya untuk mencuba rawatan Islam.

Selepas bertemu Ashraf, mereka dimaklumkan ada dua benda dalam badan Hasnah. Pertama kanser pangkal rahim tahap tiga dan merebak ke paru-paru dan kedua ada sihir dengan kehadiran 30 jin. Ashraf membekalkannya dengan Surah al-Mukminin dan Surah Hud untuk dibaca setiap hari lepas solat.

Berbual dengan Linda mengenai dirinya sebagai anak penyanyi dan kini memikul tanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-beradik lain, katanya, ketika kecil dia dan adiknya Mohd Lufthi tidak pernah tahu ibu mereka bekerja sebagai penyanyi. Mereka juga tidak pernah melihat sendiri ibu mereka menyanyi.

Pernah satu ketika ibu mereka terpaksa membawa anak-anak bekerja, mereka dikunci dalam satu bilik dan tidak dibenarkan keluar sehingga ibunya selesai bekerja, semata-mata tidak mahu anaknya tahu pekerjaannya. Hasnah juga tidak mahu anak-anak mengikut jejaknya menjadi orang seni.

Apabila dewasa, bagi Linda tiada apa yang harus dibanggakan menjadi anak penyanyi. Bagaimanapun, perasaan itu mula berubah apabila bertemu Sultan Johor dan memuji ibunya sebagai wanita yang baik dan menjaga pergaulannya walaupun berada dalam dunia glamor.

Terasa bangga di hatinya apabila ibunya diangkat begitu tinggi dan kini sebagai anak, Linda bertanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-adiknya. Hasnah mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dengan Mohd Eunos dan tiga anak bersama suami kedua, Syed Murshed.

Sejak sakit dan tidak lagi menyanyi, ibunya banyak menghabiskan masa mengikuti kelas agama di masjid berhampiran rumahnya. Dengan peribadi yang baik dan sentiasa menjaga maruah diri, Hasnah dipanggil Yang Maha Esa pada 1 Ramadan lalu.

Bak kata Linda, ia satu anugerah buat dirinya apabila ibunya pergi dalam bulan Ramadan yang mulia kerana ia menjadi impian semua umat Islam. Ketika hayatnya, Hasnah Haron banyak dilemparkan tohmahan dan pandangan sinis yang dilalui tetapi, semua itu ditelannya dengan sabar walaupun hatinya sedih dan merintih.

Walaupun kehilangan ibu yang melahirkannya dia dan adik-beradik menyambut Aidilfitri tidak lama tanpa ibu, Linda reda dengan pemergian ibunya.

Kini genap seminggu arwah pergi dan bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru tetapi suaranya yang mendayu pasti terus berkumandang.

Bait akhir lagu Bersedih, 'Usah lagi dikenang, pada aku yang malang, nanti engkau kan sedu, di sisi jasadku kaku' pasti membuatkan kita mendengar bergenang air mata. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved