Ahad, 7 April 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Ragam pelari tamatkan larian

Posted:

Kesilapan mendaftar kategori larian akhirnya membuatkan wanita muda ini terus memilih maraton penuh sebagai acara kegemarannya.

Senaman dan aktiviti larian yang sebelum ini perkara asing baginya kini menjadi rutin harian dan percubaan pertama menyertai kejohanan itu membuatkan Yee Pei Ni bagaikan ketagih untuk menyertai acara seterusnya.

"Saya jarang bersenam dan sesekali melakukan aktiviti larian bersama rakan sekampus. Disebabkan tubuh yang agak berisi, saya terus mendaftar menyertai acara maraton yang dianjurkan pihak universiti pada 2009.

"Sudahlah itu pertama kali, tersilap mendaftar pula untuk kategori maraton penuh 42 Kilometer (km). Mahu atau tidak, saya terpaksa lakukan walaupun tiada latihan dan desak diri berlari hingga ke garisan penamat.

Foto

PESERTA melakukan senaman pemanas badan sebelum memulakan larian.

Foto

YEE tidak melepaskan peluang menemui idolanya, Kathrine Switzer.

Foto

ANTARA peserta luar negara yang tidak ketinggalan memeriahkan Maraton Wanita Malaysia Nestle Fitnesse 2013.


"Seperti dijangka, catatan masa saya ketika itu melebihi lima jam dan saya hampir pitam kerana terlalu penat," katanya.


Kini selepas hampir 20 maraton yang disertainya dalam dan luar negara wanita berusia 22 tahun ini sudah mampu berbangga dengan pencapaiannya. Bukan setakat berjaya menurunkan berat badan, malah Yee turut ditaja syarikat ternama bagi membolehkannya terus menyertai acara larian tempatan dan antarabangsa.

Pada Maraton Wanita Malaysia Nestle Fitnesse 2013, semalam, penuntut jurusan Sains Pemakanan ini muncul juara 42km kategori terbuka wanita, sekali gus menjadikan itu maraton penuh ke-15 yang disertainya.

Kekangan masa latihan kerana memberi komitmen pada kerja kursus amali yang dilakukannya ketika ini sama sekali tidak menghalang Yee mencatat masa 3:40:08s.

"Saya cuba luangkan masa sejam untuk berlari setiap hari selepas waktu kerja. Disebabkan waktu kerja saya sehingga lewat petang, saya tidak berani berlatih terlalu lama kerana berlari sendirian.

"Bagaimanapun, saya puas hati dengan catatan masa ini. Ia antara catatan masa terbaik pernah saya lakukan," katanya yang muncul juara Maraton Malam tahun lalu.

Juara maraton penuh kategori veteran, Yuka Takehiro pula menyifatkan lariannya semalam tidak begitu memuaskan.

Dengan catatan masa kira-kira tiga jam 42 minit, pelari dari Jepun itu menewaskan dua pelari Malaysia, Annie Lee dan Foo Kam Miew yang masing-masing melakukan catatan 3:50:52s serta 4:10:00s.

"Masa terbaik pernah saya lakukan ialah 3:23:00s di Maraton Tokyo baru-baru ini. Keadaan cuaca yang panas di i-City dan bentuk jalan berbukit menyukarkan larian saya.

"Apapun, ia catatan masa terbaik saya di Malaysia. Jika berpeluang melakukan latihan dalam keadaan begini, saya pasti dapat memperbaikinya di masa depan," katanya.

Untuk acara separuh maraton (21km) kategori veteran, Emer Breen muncul juara dengan 1:35:40s, disusuli Chong Swee Ying (1:38:21s) dan Susan Khoo (1:39:80s).

Kategori terbuka pula diungguli Emily Ailsa yang melakukan 1:27:47s manakala Kimbeley Yap dengan 1:42:01s dan Loh Chooi Fern di tempat ketiga menerusi catatan 1:45:32s.

Dalam mana-mana acara larian pasti diserikan dengan bermacam ragam peserta dan paling popular ialah pakaian beragam.

Mun Pui Yee, 40, mencuri tumpuan dalam acara maraton penuh 42km kategori veteran apabila berlari dengan menyarungkan baju seragam jururawat.

Jururawat di hospital swasta itu pertama kali beraksi dengan pakaian beragam kerana berasakan maraton khusus untuk wanita ini adalah platform tepat
untuk meningkatkan kesedaran kesihatan diri dalam kalangan petugas perubatan.

"Jururawat dan petugas kesihatan memang tugasnya menjaga tahap kesihatan yang baik untuk masyarakat, tapi mereka selalu mengabaikan kesihatan sendiri.

"Sibuk dan tiada masa selalu dijadikan alasan untuk mengelak daripada bersenam, jadi dengan cara ini saya harap dapat meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya bersenam untuk kesihatan.

"Jika saya mampu lakukannya, tidak mustahil untuk orang lain mencubanya," ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini yang pertama menyertai acara maraton penuh di Pulau Pinang, tahun lalu.

Wong Ching Yoong pula menarik perhatian bukan kerana pakaiannya, tapi bib yang dipakainya tertera kata-kata lucu dan comel.

Pada bibnya ditulis 'Suami kepada A0179. Saya perlahan tapi saya mahu menyokong isteri tercinta', yang merujuk kepada tanda sokongan dan semangatnya menemani si isteri, Lee Yok Yong, yang bertanding dalam acara maraton penuh 42km.

"Ini kali pertama isteri menyertai maraton penuh jadi saya ambil keputusan menemaninya. Saya tidaklah aktif menyertai acara maraton, paling jauh
pun sekadar 21km.

Tapi demi memberi semangat padanya, saya cuba juga habiskan 42km," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/07

Hidup gembira panjang usia

Posted:

Pakar perubatan berpendapat orang yang hidupnya tidak gembira, sentiasa berfikiran negatif dan tertekan lebih cepat dihinggapi penyakit kemurungan. Bahkan ada juga pendapat mengatakan orang yang sentiasa dalam keadaan negatif ini mempunyai jangka hayat lebih pendek berbanding golongan yang hidup gembira.

Panjang atau pendek jangka hayat seseorang itu Allah yang tentukan tetapi relakah kita menjalani hidup yang tidak gembira, sentiasa dipengaruhi pemikiran negatif sama ada pada diri sendiri mahupun orang lain? Tanpa kita sedar, pemikiran dan perasaan negatif yang kita cuba sedaya upaya lindungi sebenarnya akan terpancar pada wajah dan percakapan.

Apa yang dibimbangkan apabila ia boleh memberi kesan kepada orang sekeliling khususnya pasangan dan anak-anak. Bahkan sikap negatif kita juga boleh menyebabkan rakan menjauhkan diri, membuatkan kita berasa tidak seronok apabila berada di tempat kerja dan akhirnya menjejaskan prestasi sendiri.

Kajian sains mendapati orang yang gembira mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk mendapat penyakit jantung. Satu kajian menunjukkan satu daripada lima pesakit jantung adalah orang yang mengalami kemurungan teruk.


Kajian kanser pula mendapati ketawa dan rasa seronok boleh menambah jumlah sel yang menjadi benteng kepada pertahanan badan. Bahkan ketawa juga akan merangsang penghasilan hormon endorfin komponen dalam otak yang membuatkan kita rasa seronok untuk menjalani hidup dengan lebih baik.


Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk berasa gembira dan seronok. Lain orang lain pendekatannya. Antara kaedah yang boleh kita cuba amalkan ialah:

Menjaga hubungan kita dengan Allah

Menjaga hubungan dengan Allah bermakna menunaikan setiap perintahnya dan meninggalkan semua larangannya secara bersungguh-sungguh terutama mendirikan solat pada awal waktu dan lebih baik jika dapat solat berjemaah.

Menunaikan tanggungjawab sebagai hamba adalah cara kita bersyukur atas anugerah Allah yang tidak terhitung banyaknya yang dinikmati setiap hari. Walaupun kita merasakan hidup serba kekurangan terutama jika dibandingkan dengan orang lain, hakikatnya terlalu banyak perkara yang perlu kita syukuri.

Cubalah sedaya mung­kin untuk memulakan hari kita dengan membaca al-Quran, sekurang-kurangnya 10 ayat sehari dan memahami maksudnya. Ia juga antara cara terbaik untuk menenangkan hati. Kita juga boleh membeli cakera padat bacaan al-Quran dan dengarlah dalam perjalanan ke tempat kerja.

Jaga hubungan kita dengan manusia

Ertinya cubalah eratkan hubungan dengan keluarga dan semua orang di sekeliling kita. Paling penting ialah memastikan hubungan kita dengan ibu bapa terjalin baik. Bagi yang masih ada ibu bapa, luangkan masa sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menjengah orang tua anda. Jika tinggal berjauhan, usahlah kedekut membelanjakan beberapa ringgit sebulan untuk menghubungi ibu bapa anda bertanya khabar.

Setiap kali menerima gaji, asingkan sebahagian kecil sebagai sara hidup ibu bapa. Memang mereka tidak minta, tetapi memberi wang kepada ibu bapa adalah antara cara untuk mendapat keberkatan hidup. Pada masa sama, usah berkira wang ringgit dan kudrat dengan adik beradik. Keberkatan hidup akan membuatkan kita berasa tenang dan bahagia.

Menjaga hubungan dengan Allah saja tidak cukup kerana hak sesama manusia perlu ditunaikan. Berbuat baik kepada semua orang di sekeliling kita. Kita tidak tahu bila akan dijemput balik, jadi manfaatkan sepenuhnya masa yang kita ada dengan menjadi insan yang manis hati dan wajah, supaya bukan saja dapat menenangkan diri sendiri tetapi mampu membuatkan orang lain juga merasa senang.

Sentiasa nilai diri sendiri. Kita yang menentukan emosi sendiri

Cuba bayangkan betapa indahnya hidup jika berfikiran positif dan cara bertindak juga positif. Ini kerana tindakan kita biasanya dipengaruhi oleh perasaan dan pemikiran. Jadi bermula hari ini, marilah kita sama-sama mengingatkan diri sendiri dengan berkata: "Bermula hari ini, saya yang menentukan bagaimana tindak balas atau perlakuan saya".

Kita tidak mungkin dapat berubah dalam satu malam, tetapi cubalah berusa­ha sebaik mungkin untuk menjadi insan yang lebih positif dan melihat dunia dalam perspektif berbeza.

Namun ini bukanlah bermakna kita tidak boleh mempunyai emosi kurang baik. Perasaan marah, geram, sedih dan emosi yang kurang baik adalah normal cuma kita perlu bijak menanganinya supaya ia tidak mengawal kehidupan kita.

Amalkan pemakanan yang boleh merangsang rasa bahagia

Caranya mudah saja iaitu mengamalkan pemakanan seimbang dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran khususnya berdaun hijau dan buah-buahan. Apabila berhadapan dengan makanan, sentiasa ingatkan diri sendiri untuk bersederhana.

Ingatlah bahawa apa-apa yang berlebihan akan memudaratkan. Tentu saja berlebihan makan akan memudaratkan kesihatan. Jika kesihatan terjejas, timbullah rasa resah, bimbang dan paling dikhuatiri apabila ada yang tidak dapat menerima kenyataan dengan menyalahkan takdir tuhan.

Mulakan hari kita dengan doa dan senyuman

Saat pertama kita membuka mata pada waktu pagi, teruslah berdoa bagi menyatakan rasa syukur kita diberi peluang hidup sehari lagi untuk melihat pelbagai kebesaran Allah khususnya wajah ahli keluarga, pasangan dan anak-anak tersayang. Itu tidak termasuk kita dianugerahkan anggota badan yang sempurna, pekerjaan, rumah, kenderaan dan hidup dalam negara yang aman.

Berdoalah dengan senyuman. Tahukah anda dengan menggerakkan beberapa otot muka untuk tersenyum boleh mening­katkan paras hormon endorfin dan merendahkan hormon tekanan iaitu kortisol.

Ucapkan kata semangat untuk diri sendiri

Ucapkan kata-kata perangsang semangat kepada diri sendiri seperti 'Saya mahu jadi orang yang positif. Saya orang yang proaktif. Saya mahu hari yang gembira dan ceria. Saya boleh menangani pelbagai keadaan dengan fikiran dan hati terbuka. Saya sukakan kerja saya dan boleh lakukannya dengan baik'.

Penulis teringat seorang teman ketika belajar dulu yang 'Saya mahu jadi doktor' berulang kali sebaik bangun tidur pada waktu pagi dan sebelum tidur waktu malam. Memang, kata-kata itu yang mendorongnya belajar bersung­guh-sungguh sehingga dia berjaya menjadi doktor pakar.

Jangan takut pada cahaya matahari

Luangkan masa untuk menikmati cahaya matahari pagi sebelum jam 10 pagi selama 20 minit sehari. Kajian menunjukkan pendedahan kepada cahaya matahari membantu merangsang penghasilan melatonin. Hormon ini berperanan memperbaiki ritma sirkadian badan yang mengawal selera, tidur dan hormon seks.

Selain itu, ia juga boleh memperbaiki emosi kita dengan memberi kesan kepada penghasilan hormon serotonin. Pada masa sama, kita juga akan mendapat vitamin D yang sangat diperlukan untuk kesihatan.

Bersenam

Ini sangat penting. Carilah sedikit masa walaupun hanya 10 hingga 20 minit pada waktu pagi untuk bersenam. Pilih senaman yang mudah seperti berjalan, menari atau sekadar turun naik tangga di rumah sebelum bergegas ke tempat kerja.

Sambung sesi senaman di tempat kerja dengan memperbanyakkan berjalan dan menaiki tangga (serta melarang diri sendiri daripada menggunakan lif).

Apabila balik ke rumah pada waktu petang, lengkapkan sesi senaman kita bersama ahli keluarga.

Bersenam bukan saja penting untuk mengekalkan kesihatan malah ia juga dapat membuatkan kita berasa lebih cergas sepanjang hari di tempat kerja. Bahkan bersenam juga menjadi terapi mudah dan murah untuk membekalkan tenaga selain memberi ketena­ngan fikiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Merangkak selamat anak jiran

Posted:

Tawau: "Sekalipun terperangkap, saya sempat melepaskan diri dan menyelamatkan empat anak jiran dan kami keluar dari runtuhan secara meniarap.

"Nasib baik saya terdengar kanak-kanak itu menangis kerana ketakutan lalu mencari mereka dalam keadaan merangkak di bawah timbunan kayu.


"Mujur ada satu tiang menghalang batu itu daripada terus menghempap mereka," kata Edy Lasuasa, 57, yang cedera di kepala selepas rumahnya musnah dihempap tiga bongkah batu gergasi yang bergolek dari atas bukit di Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu, di sini, semalam.

Kanak-kanak yang terselamat dikenali sebagai Mohd Hafiz Azizul, 9; Mohd Ajili Arwansyah, 6; Mohd Said Abdul Said, 5; dan adiknya, Norafdilah Abdul Said, 3.


Menceritakan kejadian jam 11.30 pagi yang menghempap 11 rumah itu, Edy berkata, dia terdengar satu dentuman disusuli gegaran kuat sebelum bunyi kayu pecah.


Menurutnya, ketika itu dia berehat di anjung rumah bersama empat kanak-kanak yang juga jirannya sebelum terdengar satu letupan dari kuari berhampiran.

Foto

EDY bersama Mohd Hafiz yang terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka.

Foto

BOMBA dan Penyelamat memeriksa salah satu daripada tiga bongkah batu besar yang meranapkan tujuh rumah di Kampung Bukit Kukusan.

"Saya tak tahu apa sebenarnya berlaku, keadaan tiba-tiba menjadi huru-hara seperti tsunami selepas satu letupan disusuli gegaran kuat.


"Beberapa saat selepas itu, rumah saya bergoncang kuat lalu ranap," katanya ketika ditemui.

Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, letupan dilakukan di kuari berhampiran adalah perkara biasa tetapi tidak menyangka rumahnya dihempap bongkah batu akibat letupan itu.


"Rumah saya musnah dan ketika kejadian berlaku (rumah ranap) saya terus pengsan.


"Sebaik tersedar, saya terperangkap di bawah runtuhan, saya turut mendapat luka di belakang kepala akibat dihempap tiang rumah yang patah," katanya.


Seorang lagi mangsa, Hula Igu, 58, berkata, dia bernasib baik kerana tiada di rumah ketika kejadian.


"Pada masa itu, saya di pasar kerana menjual ikan. Saya menerima panggilan telefon daripada jiran mengatakan rumah saya runtuh dihempap bongkah batu besar yang jatuh dari atas bukit," katanya.


Katanya, terkejut dengan perkara itu, dia bergegas pulang ke rumah.


"Saya bimbang mengenai keselamatan tiga cucu, termasuk dua daripadanya kembar yang baru berusia sebulan, selain anak serta menantu di rumah.


"Saya bersyukur kerana walaupun rumah musnah, semua ahli keluarga terselamat," katanya.


Menurutnya, menantunya, Nisa Yusuf, 30, bersama bayi kembarnya, Noraisah dan Noranisah Fazlan berusia satu bulan dihantar orang ramai ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi cucunya, Mohd Khairul, 2, terselamat.


Tinjauan Metro Ahad di lokasi kejadian mendapati, satu bongkah batu sebesar rumah banglo manakala dua lagi sebesar kenderaan pacuan empat roda.


Ketiga-tiga bongkah dipercayai bergolek dari atas bukit selepas letupan dilakukan pekerja kuari di kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Halle Berry nanti kelahiran anak kedua

Posted:

Los Angeles: Aktres pemenang Oscar Halle Berry akan melahirkan anak kedua pada usia 46 tahun.

Laman berita selebriti TMZ memetik jurucakap aktres itu sebagai berkata, Halle kini hamil tiga bulan. Ia hasil hubungan dengan tunangnya pelakon Perancis Olivier Martinez dan dia sudah mengetahui jantina bakal anaknya itu lelaki.

"Saya boleh mengesahkan Halle dan Martinez kini menanti kelahiran anak mereka. Kami tidak akan mengulas butir lain," kata jurucakap itu.

Martinez, 47, berkata, Mac lalu, dia dan Halle merancang untuk berkahwin.

Foto

HALLE dan Martinez.


Halle pernah berkahwin dua kali dan mempunyai anak perempuan, Nahla yang kini berumur lima tahun menerusi perkahwinannya dengan model Kanada, Gabriel Aubry.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Zakar dibaham anjing

Posted:

London: Seorang guru muzik terpaksa menjalani pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan satu daripada buah zakarnya selepas dibaham seekor anjing.

Joel Goodman, 28, diserang haiwan itu dipercayai baka Bull Terrier Inggeris ketika berjoging.


Ketika dia terbaring kesakitan, pemilik anjing itu enggan membantu, sebaliknya menarik anjing berkenaan sambil memberitahu Goodman: "Saya bukan berasal dari sini." Dengan berlumuran darah, Goodman berjalan perlahan-lahan ke rumah seorang rakan di Epping, Essex, yang kemudian membawanya ke sebuah hospital di Harlow. Dia menjalani pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan buah zakarnya.

Pembedahan itu berjaya, tetapi Goodman terpaksa bertarung dengan kesan psikologi akibat daripada kejadian menimpanya bulan lalu. Dia masih belum boleh kembali mengajar menyanyi. "Anjing itu tiba-tiba muncul di satu lorong dan menerkam ke arah saya. Saya langsung tidak berpeluang bertindak balas. Dia meluru dan terus menggigit kemaluan saya.


"Kejadian berlaku begitu pantas, padahnya mungkin lama. Mujur doktor berjaya menyelamatkan buah zakar saya. Saya masih terkenang serangan itu dan sentiasa dilanda kebimbangan," kata guru itu.


Menurutnya, dia cuba kembali mengajar menyanyi, tetapi proses pemulihan mengambil masa begitu lama.

Polis sehingga ini masih belum menjejaki pemilik anjing itu yang dikatakan berusia antara 35 dan 40 tahun. Goodman berharap sangat supaya lelaki itu ditangkap. "Sesuatu perlu dilakukan. Saya mahu anjing itu dibunuh dan pemiliknya didakwa sebelum kejadian sama berlaku pada orang lain," kata guru itu. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Maut celah pintu lif

Posted:

Georgetown: Tindakan seorang lelaki membuka pintu lif yang tersekat di tingkat dua mengundang padah apabila isterinya maut selepas terjatuh dari lif itu ketika cuba keluar di Pangsapuri BJ Court di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, Faridah Hanum, 41, berasal dari Langsa, Indonesia, maut selepas cedera parah di rusuk kiri akibat terhentak lantai di tingkat bawah.

Lebih menyayat hati, kejadian itu disaksikan anak lelakinya yang turut berada dalam lif.

Seorang penghuni yang turut berada dalam lif dikenali sebagai Azmi, 23, berkata, pada mulanya mereka tersangkut dalam lif hampir setengah jam.

Foto

ANGGOTA keselamatan mengangkat mayat Faridah untuk dibawa ke hospital.


"Ketika kejadian, kami mahu ke tingkat atas dan ada hampir 15 orang dalam lif. Selepas tersekat hampir setengah jam, keadaan dalam lif berbahang kerana ramai terperangkap sebelum seorang lelaki cuba membuka pintunya," katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

'Selamat, aman tiang seri negara'

Posted:

Kuantan: Dua komponen penting digariskan Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan negara dan rakyat terus menikmati pelbagai perubahan dan kemajuan selari dengan usaha mencapai sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata, keselamatan dan keamanan menjadi tunjang atau tiang seri kejayaan negara, malah sejarah membuktikan jika tiada keamanan, tidak mungkin negara mencapai kejayaan yang dinikmati hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh tujuh tahun lagi, negara akan dimartabatkan sebagai negara maju berpendapatan tinggi dan usaha itu memerlukan keamanan dan kesejahteraan yang menuntut dua komponen penting berkenaan dilaksanakan.

"Komponen pertama adalah kewibawaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pasukan keselamatan yang perlu memperlihatkan kepemimpinan berani dan profesional, selain dilengkapi aset ketenteraan yang sebaik mungkin mengikut kemampuan kerajaan.

Foto

NAJIB bersalaman dengan orang ramai selepas melancarkan Hari Terbuka ATM, semalam.


"Komponen kedua yang dilihat pelengkap kepada komponen pertama ialah perlunya sokongan rakyat yang tidak boleh dipisahkan dengan peranan tentera.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Ada benar kata Raja

Posted:

Kuala Lumpur: Isu membabitkan Artikel 88 terus menjadi sensasi, rentetan kenyataan pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal yang mengkritik pendekatan badan induk sukan itu, tetapi apa yang diperkatakan beliau kurang diberi perhatian.

Kekurangan penyerang tempatan berwibawa menurut beliau menjadi faktor kegagalan skuad negara dan lebih panas apabila kritikan itu turut mengaitkan kehadiran semula pemain import sejak musim lalu sebagai punca.


Tidak dinafikan kehadiran awang import ini memeriahkan saingan peringkat domestik sejak setahun lalu tapi adakah ia turut membawa impak positif terhadap pasukan kebangsaan?

Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni berpendapat penyerang negara era ini tidak lagi mempunyai aura menggerunkan yang mampu menggentarkan pemain lawan.


Malah tidak keterlaluan jika beliau menyifatkan mereka sebagai 'yang terbaik antara yang terburuk di Asia'.


"Korea Selatan, Jepun, Iran sebelum ini khuatir dengan R Arumugam, bimbang kelibat (Datuk) Soh Chin Aun, risau kelicikan (Allahyarham Datuk) Mokhtar Dahari dan (Allahyarham) Isa Bakar," katanya yang pernah mengisi tempat dalam skuad bolasepak negara ke Sukan Olimpik 1980.

"Sekarang, adakah pemain Korea bercakap mengenai Safee Sali, ada mereka cakap mengenai Safiq Rahim, ada Jepun bercakap mengenai Apek (Khairul Fahmi Che Mat)?" Beliau memetik kisah Chin Aun yang pada satu ketika dulu bersama pasukan kebangsaan untuk perlawanan menentang Korea di Seoul dan ketika itu beliau selsema dan dibawa berjumpa doktor pasukan Korea.


"Sampel darah diambil dan doktor itu memberitahu yang Chin Aun mengalami leukemia. Kami menangis mendengar berita itu, apatah lagi Chin Aun. "Tapi tidak berpuas hati dengan keputusan itu, kami mendapatkan pandangan kedua. Hantar sampel darah itu ke pangkalan perubatan Amerika Syarikat dan mereka memberitahu itu hanya selsema," katanya.

"Disebabkan takut kepada Chin Aun, Korea boleh katakan beliau ada leukemia. Itu yang kita mahukan daripada pemain kita. Mereka harus yang terbaik di Asia!" Menyentuh mengenai pemain import, Bakri berkata, kehadiran mereka sepatutnya membawa kebaikan kepada pemain tempatan tapi yang berlaku sebaliknya.


Ini kerana keupayaan kewangan terhad menyebabkan pasukan terdorong mengambil pemain profesional yang tidak berkualiti, sama ada pemain muda berkualiti atau pemain berkualiti tetapi sudah tua.


"Kita boleh belajar daripada mereka di padang iaitu ketika latihan dan perlawanan, tapi selebihnya sepatutnya dipelajari di luar padang. Tapi sikap mereka di luar padang seperti tidak datang latihan, tidak mahu mendengar kata jurulatih dan minum arak merosakkan pemain kita.


"Kita tidak dapat pemain muda yang berkualiti dan mereka pula jadikan negara ini sebagai batu loncatan untuk ke peringkat berikutnya sedang pada masa sama kita belajar daripada mereka.


"Mengapa Jepun dan Korea menjadi profesional tapi kemudiannya berjaya? Ini kerana mereka tiada masalah membabitkan kewangan." Menurutnya, sejarah kejayaan pasukan negara ke Munich dan Moscow dilakukan tanpa pemain luar negara. Tanpa belajar daripada pemain luarlah yang membuatkan skuad kebangsaan berjaya.


"Pasukan hebat disebabkan pemain yang bagus dan begitulah sebaliknya. Bantuan jurulatih juga penting. Jurulatih perlu ada ilmu untuk kenal pasti kekuatan pemain bagi dimanfaatkan dalam pasukan. Jika jurulatih tiada ilmu, hanya mencari kesalahan pemain," katanya. "Bakat saja tidak akan ke mana-mana, kita perlukan jurulatih yang berilmu untuk membimbing mereka."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Musim bertuah

Posted:

Manchester: Pengurus Manchester United Alex Ferguson menganggap andai berjaya melaksanakan misi merampas kejuaraan daripada Manchester City, musim ini dianggap penuh gemilang buat United.

Namun Ferguson menolak andaian kekalahan kepada Real Madrid dan Chelsea pada aksi Liga Juara-Juara dan Piala FA bakal melenyapkan sinar kejayaan mereka merangkul gelaran liga musim ini.


Mungkin kedudukan mereka di puncak liga ketika ini menyebabkan pengkritik menganggap musim in berakhir dengan hambar bagi Red Devils tetapi bagi Ferguson, beliau mengetahui perjalanan sukar untuk mereka bergelar juara liga ini.

Biarpun Pengurus City Roberto Mancini menganggap pasukannya sudah tidak mungkin mampu mempertahankan gelaran dimenangi musim lalu, Ferguson tetap bertekad memenangi pertemuan setempat antara Manchester pagi Selasa ini bagi melebarkan jurang kepada 18 mata dengan baki tujuh perlawanan.


"Saya ditanya mengenai hanya menjuarai satu trofi. Bagi saya soalan seperti ini pelik kerana kami perlu bertemu pasukan hebat seperti Arsenal, Tottenham dan Chelsea selain Liverpool dan Everton.


"Cabaran liga yang kami hadapi amat sengit setiap tahun. Hanya satu impian penyokong semua kelab, memenangi trofi liga. Tahun ini, saya percaya kami mampu memenangi trofi yang paling bermakna buat penyokong kelab ini.

"Ya, saya ingin menjuarai Liga Juara-Juara sekali lagi tapi kami tersingkir dalam senario penuh kontroversi. Kekecewaan akibat kekalahan di tangan Chelsea begitu ketara tetapi prestasi pada aksi liga amat konsisten." Sementara itu Nemanja Vidic masih belum pasti dapat diturunkan pada perlawanan itu selepas kapten kelab itu mengalami kecederaan paha dalam perlawanan menentang Sunderland hujung minggu lalu, begitu juga dengan Jonny Evans.


"Vidic cedera di Sunderland," kata Ferguson. "Sebelum itu dia terlebih dulu dirawat selepas berlanggar dengan pemain lawan dan kemudian berlanggar dengan David De Gea pada hujung perlawanan. "Ia tidak serius, hanya kesakitan di betis dan dia mungkin kembali berlatih hujung minggu ini.

"Saya memiliki Rio Ferdinand, Chris Smalling dan Phil Jones dan masih ada pengganti yang sesuai." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved