Rabu, 15 Mei 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Baca skrip, buat kajian

Posted: 15 May 2013 07:50 AM PDT

Solekan berfungsi memberi kesempurnaan kecantikan kepada seseorang. Wajah yang kurang bermaya akan tampak berseri ­dengan pemakaian bedak asas, mata semakin galak bersinar dengan olesan pembayang mata manakala senyuman lebih menyerlah dengan calitan gincu. Dalam sesetengah keadaan solekan mampu menampilkan karakter yang lebih menyerlah dan meyakinkan kepada wanita.

Namun fungsi ini berbeza bagi solekan kesan khas. Walaupun menggunakan peralatan dan bahan yang hampir sama tetapi solekan kesan khas berupaya mengubah wajah menjadi lebih luar biasa misalnya untuk solekan cacat, kesan terbakar, wajah tua atau menakutkan.

Inilah sebabnya solekan amat penting untuk me­nyerlahkan diri seseorang, kata jurusolek profesional, Nurulhidayah Mohtar yang bukan saja berpengalaman dalam solekan berkonsepkan glamor tetapi juga kesan khas yang diperlukan dalam drama dan filem.

"Untuk drama, teater mahupun filem, solekan kesan khas dikenakan kepada pelakon bagi menyokong karakter yang dibawa mereka sekali gus menukar wajah atau keadaan seseorang kepada sesuatu yang berbeza dengan rupa asal. Misalnya watak hantu, raksasa, kesan terbakar, tercedera serta mimik muka dibuat bersesuaian dengan skrip dan peranan dimainkan pelakon. Dalam hal ini jurusolek sedaya upaya menghasilkan solekan kesan khas bagi mewujudkan suasana semula jadi kepada watak seolah-olah ia benar-benar berlaku dan bukannya lakonan," ujarnya.

Foto

KAPAS dilekatkan pada wajah bagi memudahkan sapuan dilakukan.

Foto

MENGGUNAKAN berus pewarna makanan, pembayang mata dan bedak asas disapu pada bahagian terbakar.

Foto

CECAIR sirap diletakkan bagi menampakkan kesan darah.

Foto

SOLEKAN kesan khas terbakar nampak hidup dan semula jadi.

Foto

KESAN tikaman pada pelakon menggunakan peralatan khas solekan.

Foto

TANGAN tertusuk benda tajam seolah-olah benar-benar berlaku.

Foto

SOLEKAN kesan khas digunakan untuk mewujudkan mimik muka berkedut dan tua.


Bagi menghasilkan solekan kesan khas, pelbagai bahan selamat digunakan bergantung kepada jenis solekan yang akan ditampilkan. Antaranya pewarna sirap, cecair getah (latex), tisu, bedak asas, semburan rambut, pembayang mata dan pewarna makanan.


"Sebagai contoh untuk menghasilkan kesan terbakar, kapas dilekatkan menggunakan pelekat getah pada bahagian terbakar. Kemudian sapu pewarna makanan, pembayang mata bagi memberikan kesan ketara kehitaman pada bahagian tepi. Selepas itu cecair sirap diletakkan di tengah seakan-akan darah. Akhir sekali dikemaskan supaya kesan menjadi lebih gelap dan nampak semula jadi," katanya.

Walaupun nampak ring­kas dan mudah namun solekan kesan khas memerlukan ketelitian terutama dari segi campuran warna serta teknik sapuan. Kesalahan meng­gabungkan warna akan menjadikan solekan tidak natural seolah-olah ­sengaja dibuat. Ini menyebab­kan penonton tidak takut pada kesan yang dihasilkan terutama watak hantu atau rasa ngeri membabitkan darah malah, sebaliknya boleh membuatkan penonton ketawa dan merasa seperti dipermain-mainkan.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas, Nurulhidayah banyak membuat kajian menerusi Internet dan membaca buku berkaitan solekan kesan khas.

"Sebelum melakukan solekan, saya membaca skrip terlebih dulu serta membuat kajian mengenai solekan yang akan dikenakan. Kemudian saya menyediakan bahan serta peralatan supaya tidak tercicir ketika penggambaran dilakukan," katanya.

Bagi Nurulhidayah walaupun nampak mencabar dan rumit namun solekan kesan khas lebih mudah dan cepat berbanding solekan glamor yang mengambil masa sehingga satu atau dua jam. Apa yang penting adalah memberi sepenuh perhatian ketika melakukannya bagi menjadikan solekan nampak 'hidup, bernafas dan semula jadi.

Di dalam buku Solekan Kesan Khas oleh Janus Vinther menyatakan sejarah solekan kesan khas bermula sejak 1895 membabitkan filem Demolition d'un Mur dan ditayangkan buat kali pertama di Cafebio Paris. Selain solekan khas filem ini juga me­ngandungi percubaan pertama menggunakan helah fotografi.

Selain itu pada tahun yang sama filem The Execution of Queen Mary juga memaparkan kesan solekan khas kepala dipotong sebagai helah fotografi dan ia berjaya mewujud­kan fenomena apabila ramai penonton mempercayai bahawa pelakon menggadai nyawa dalam menjayakan filem ini.

Pada 1977 George Lucas memperkenalkan teknik kesan khas yang lebih baru dan menarik dalam filem Star Wars. Pada 1990 pula teknik kesan khas menggunakan komputer bermula dan digunakan dalam filem The Abyss, Terminator 2 dan Jurassic Park. Malah menerusi grafik komputer yang lebih canggih kesan di dalam filem mampu ditonjolkan dengan lebih hebat dan kini sesuai peredaran semasa kesan solekan khas berubah-ubah mengikut perkembangan teknologi solekan serta komputer masa kini.

Terima kasih: http://nr­studiogallery.blogspot.com
Facebook: nuriez nr­studio

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Ikat perut kutip dana

Posted: 15 May 2013 06:31 AM PDT

Kathy Trevelyan menguis-nguis makanan di dalam pinggannya. Walaupun makanan di dalam pinggan bubur nasi dengan hirisan sayur itu sangat hambar rasanya, namun dia bertekad menjadikan ia sajian tengah harinya selamanya lima hari berturut-turut.

Mungkin bubur nasi campur sayur jadi hida­ngan harian bagi berjuta-juta orang di seluruh dunia, tetapi ia sesuatu yang agak asing bagi wanita London berusia 58 tahun itu.

"Biasanya kalau masak begini, kita masukkan bawang merah, bawang putih dan beberapa jenis rempah, barulah rasanya sedap. Tetapi yang ini...hambar saja. Namun pengorbanan ini berbaloi," katanya.

Trevelyan ialah salah seorang daripada 20,000 warga Britain yang me­ngambil bahagian dalam cabaran lima hari untuk cuba hidup di bawah paras kemiskinan dengan belanja makan dan minum sebanyak satu pound (RM5) sehari.


Mereka menyasarkan untuk mengutip dana bagi disumbangkan kepada badan kebajikan antikemiskinan dan bagi merasai sendiri keperitan satu bilion penduduk dunia yang hidup dalam kemiskinan.


Trevelyan seorang pelakon yang turut menjadi pemandu pelancong diminta untuk menyertai program berkenaan oleh badan kebajikan Tiada Lagi Malaria, dan mengharapkan dia dapat membantu meningkatkan kutipan sekurang-kurangnya £500 (RM2,500) untuk projek itu.

Sebelum memulakan cabaran 'kehidupan baru' di bawah paras kemiskinan, dia membuat perancangan teliti terhadap sajian hariannya, membandingkan harga barangan dengan jenama pasaraya secara dalam talian bagi mendapatkan pembelian terbaik.

Selepas membuat penelitian, akhirnya dia membeli barang keperluannya iaitu roti, sebiji telur dan pisang untuk sarapan; nasi putih dan sayur dingin beku untuk makan tengah hari yang kadangkala boleh ditambah sosej vegetarian jika ada potongan harga.

Untuk makan malam, Trevelyan makan nasi campur lagi (nasi bercampur sayur dingin beku) atau spageti dengan kuah kari.

"Buat masa ini saya anggap diri saya 'amat miskin', betul-betul tiada wang....tapi ini hanyalah satu pering­kat. Saya tidaklah sampai ke peringkat di mana perlu membeli sos atau kuah kari dengan harga 26 pence (RM1.20)," katanya.

Dia juga membeli teh, tetapi meminumnya tanpa susu kerana tidak cukup wang untuk membelinya. Mengapa Trevelyan begitu bersusah payah menyekat semua perbelanjaannya sehingga ke tahap begitu? Wanita ini sanggup me­ngikat perut supaya dia dapat me­ngumpulkan sedikit wang untuk diserahkan kepada badan kebajikan.

Trevelyan berkata, 'Apalah sangat diet saya minggu ini jika hendak dibandingkan dengan kehidupan sebenar satu bilion penduduk miskin di seluruh dunia. Apa yang saya ada ini jauh lebih baik.

"£5 (RM25) boleh membeli kelambu yang cukup besar untuk menyelamat­kan dua kanak-kanak. Itu saja yang saya fikirkan," tambahnya.

Kempen ini sebenarnya dimulakan pada 2009 di Australia di mana peserta cuba hidup dengan AS$2 (RM6) sehari sebelum ia diperluaskan ke Britain, Amerika Syarikat (de­ngan perbelanjaan RM3.60 sehari), Kanada (RM5.20) dan New Zealand (RM5.65). Ia turut mendapat sokongan daripada pelakon Hollywood, Hugh Jackman dan Ben Affleck. Untuk tahun ini mereka berharap dapat mengutip dana sebanyak RM15 juta.

Bagaimanapun, usaha murni itu dipandang negatif malah dituduh ia seolah-olah merangsang 'pelancongan kemiskinan' oleh orang kaya yang tahu mereka boleh kembali menikmati latte di Starbucks yang berharga RM13.75, makan daging dan sayur organik sebaik tempoh lima hari itu berakhir.

"Kita tidak mungkin tahu keadaan sebenar dan bagaimana susahnya kehidupan orang yang sangat miskin. Kami bukannya mahu mempersenda tapi cuba menyelami dan merasai keadaan itu," kata Hugh Evans, ketua Projek Kemiskinan Global yang menganjurkan program berkenaan.

"Tetapi kami mahu mengajak orang ramai untuk cuba rasa sedikit kehidupan masyarakat miskin. Selepas satu minggu, anda akan sedar bahawa makanan harian anda sama saja. Anda tidak dapat cukup kalori dan merasai erti sebenar kelaparan itu yang mungkin pertama kali anda rasai," katanya.

Projek itu bukan saja direka khusus untuk mening­katkan kesedaran masyarakat mengenai kemiskinan di seluruh dunia, bahkan ia juga memberi harapan kepada penduduk susah di negara sendiri.

"Ia membuatkan anda berfikir apa yang dimakan oleh penduduk di sini kalau pergi ke pasaraya, bukan kita saja yang beli spageti harga 19 pence (RM0.95)," kata Travelyan.

Bagi Jack Monroe, ibu tunggal berusia 25 tahun dari Southend, di Timur London, hidup susah selepas terpaksa berhenti kerja tahun lalu untuk menjaga anaknya, Johnny yang kini mencecah umur tiga tahun.

Dia terpaksa menjual televisyen, pakaian dan buku untuk membayar sewa rumah, tidak menggunakan alat pemanas hawa dan hanya berbelanja RM5 bagi membeli makanan harian dia dan anaknya.

Namun kehidupannya hari ini jauh lebih senang - Monroe menulis blog me­ngenai masakan bajet yang menarik minat penerbit buku dan membolehkannya bekerja sebagai wartawan di salah sebuah akhbar tempatan. Walaupun hidupnya ­sudah berubah, tetapi dia tetap mengambil bahagian ­dalam cabaran hidup di bawah paras kemiskinan itu bagi mengumpulkan wang untuk diberikan kepada Oxfam.

"Saya akui, cabaran ini memang sukar," katanya. Biasanya dia boleh ambil apa saja daripada almari yang dijadikan ruang menyimpan makanan, tetapi minggu ini Monroe terpaksa me­ngehadkan supaya makanan hariannya tidak melebihi RM25.

"Saya bangun pagi ini dan berfikir saya tidak mahu dadih lemon atau roti bakar lagi untuk sarapan. Saya tidak mahu bertih jagung untuk makan tengah hari dan nasi untuk makan malam," katanya jujur.

Mengkritik projek seperti itu memang mudah, sambung Monroe.

"Ramai orang menyahut cabaran ini melakukannya dalam rumah masing-masing yang hangat dan selesa. Peserta sedar mereka hanya perlu bertahan untuk lima hari saja.

"Tapi saya tidak akan mengkritik usaha mengutip dana untuk kebajikan. Sekarang jika ada orang bercakap dan berfikir mengenai perkara ini, saya rasa tujuan program sudah tercapai iaitu untuk meningkatkan kesedaran," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Nyaris lemas dibawa arus

Posted: 14 May 2013 12:24 PM PDT

Kuala Selangor: Dua lelaki disyaki penagih dadah bertindak nekad terjun ke dalam sungai apabila lokasi mereka melepaskan gian diserbu sepasukan tujuh anggota polis dari Balai Polis Jeram yang melancarkan 'Ops Tapis' dalam kebun kelapa sawit di Kampung Parit Mahang, dekat sini petang kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan kedua-dua lelaki berusia 30-an itu sia-saia apabila mereka akhirnya diberkas kerana terpaksa berpatah balik dan diselamatkan anggota terbabit berikutan arus sungai yang deras serta hampir meragut nyawa mereka.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, serbuan selama empat jam itu dilakukan anggota dari Cawangan Peronda Jenayah (CPJ) balai berkenaan bermula kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai selepas kawasan berkenaan didapati sering menjadi 'port' penagih melepaskan gian.


"Lapan lelaki berusia 19 hingga 41 tahun diberkas dalam serbuan itu dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut. Ujian air kencing dijalankan mendapati semua mereka positif dadah dan kini ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.


Sementara itu, Harian Metro yang kebetulan berada di lokasi kejadian sempat memerhatikan aksi kumpulan penagih terbabit dalam usaha mereka meloloskan diri sebaik diserbu.

Foto

TUJUH penagih dadah yang cuba memperdayakan polis untuk meloloskan diri ditahan.

Selain terjun ke sungai, ada antara penagih berkenaan memberi pelbagai alasan sebaik ditahan kononnya mengunjungi lokasi berkenaan untuk melihat kebun sawit sedangkan kebun berkenaan sebenarnya milik penduduk yang tinggal di situ.


Antara alasan yang diberikan ialah: "Saya datang ke sini untuk melihat kebun kelapa sawit saya encik... tidak tahu pulak kebun saya ini jadi tempat penagih melepaskan gian."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Angelina Jolie buang payudara

Posted: 14 May 2013 09:29 AM PDT

Los Angeles: Angelina Jolie berkata dia menjalani dua pembedahan membuang payudara selepas mendapati dia membawa gen yang hampir pasti menyebabkan barah kepadanya.

Aktres yang pernah memenangi anugerah Oscar itu dan pasangannya, Brad Pitt membuat pengumuman itu dalam bentuk rencana pengarang yang ditulis bagi akhbar The New York Times edisi hari ini.


Angelina menulis rencana itu antara awal Februari dan akhir April lalu selepas dia melengkapkan prosedur pembedahan bagi membuang kedua-dua payudaranya.

Menurut Angelina, 37, dia membuat pilihan itu kerana memikirkan enam anaknya dan selepas melihat ibunya, Marcheline Bertrand, meninggal dunia "terlalu muda" akibat barah. "Ibu saya berjuang melawan barah hampir sedekad dan mati ketika berusia 56 tahun.


"Dia sempat melihat cucu pertamanya dan memeluk mereka, tetapi anak-anak saya yang lain tidak berpeluang mengenali dan merasai sendiri kasih sayangnya," katanya. Menurut Angelina, anak-anaknya pernah bertanya jika barah pada Marcheline itu boleh berlaku ke atas dirinya. Selepas menjalani ujian generik, kata Angelina, dia mendapat tahu gen BRCA1 ada pada dirinya.


Keadaan itu, katanya, menyebabkan dia mempunyai 87 peratus peluang untuk menghidap barah. Angelina berkata, dia menulis mengenai pembedahan mastektomi itu dengan harapan dapat membantu wanita lain. "Saya mahu memberitahu wanita lain bahawa keputusan menjalani mastektomi tidak mudah, tetapi saya gembira kerana melakukannya.

Foto

IBU Angelina, Marcheline (kiri) meninggal dunia ketika berusia 56 tahun.

"Peluang saya menghidap barah menurun daripada 87 peratus kepada kurang daripada lima peratus.


"Saya boleh beritahu anak-anak bahawa mereka tidak perlu bimbang kehilangan ibu mereka akibat barah payudara," katanya. Dalam tulisannya, Angelina turut memperincikan prosedur dilaluinya.

"Proses saya bermula pada 2 Februari melalui prosedur penangguhan puting yang memastikan tiada penyakit di saluran payudara di belakang puting, serta melakukan aliran darah tambahan ke kawasan itu," katanya.


Dia kemudian menjalani pembedahan utama dua minggu kemudian untuk membuang tisu payudara.


"Ia seperti adegan filem fiksyen sains," katanya. Sembilan minggu kemudian, dia menjalani pembedahan ketiga bagi membentuk semula payudara dan menerima implan. "Saya tidak berasa apa-apa kekurangan sebagai wanita, sebaliknya bangga kerana membuat pilihan yang tepat tanpa mengurangkan unsur kewanitaan saya," katanya. Angelina juga memberitahu, Pitt sentiasa berada di sampingnya setiap masa ketika pembedahan dijalankan di Pusat Payudara Pink Lotus itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Diplomat AS disyaki intip kerajaan Russia ditahan

Posted: 14 May 2013 08:43 AM PDT

Moscow: Russia semalam mendakwa menahan seorang diplomat Amerika Syarikat di Moscow kerana disyaki mengintip.

Menurut Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB), ejen badan itu menahan Ryan Christopher Fogle ketika diplomat terbabit cuba merekrut seorang pegawai perisik Russia.


Jurucakap FSB berkata, Fogle adalah setiausaha ketiga di bahagian politik Kedutaan AS.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan ejen perisikan atau setakat mana proses merekrut itu dilangsungkan. Gambar disiarkan selepas penangkapan itu menunjukkan Fogle memiliki dua rambut palsu, tiga cermin mata gelap, sebuah mikrofon, pisau dan sejumlah wang.


Menurut jurucakap FSB, Fogle ditahan bersama "beberapa peralatan teknikal khas, arahan bertulis untuk ejen yang dilatih, sejumlah besar wang dan beberapa barang untuk mengubah penampilan seseorang. "Baru-baru ini perkhidmatan perisikan AS membuat cubaan berulang kali untuk melatih kakitangan agensi penguat kuasa undang-undang Russia yang kemudian dikesan dan dijalankan di bawah kawalan perkhidmatan antiperisikan FSB," katanya. Selepas ditahan, Fogle dibawa ke Ibu Pejabat FSB di Lubyanka, Moscow sebelum diserahkan kepada Kedutaan AS, sesuai dengan protokol diplomatik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Antara ibu dan kekasih

Posted: 14 May 2013 12:45 PM PDT

Subang Jaya: "Saya sayangkan ibu kerana dia yang lahirkan saya. Jadi, saya tidak pernah membuang ibu, tetapi ibu yang usir saya dari rumah," kata pelakon muda, Afiq Muiz, 21, mengenai hubungan dengan ibunya, Hasliza Mohd, 48.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media semalam selepas kecewa dengan kenyataan Hasliza dalam sebuah portal yang menggelarnya anak derhaka dan mendakwa sikapnya berubah selepas menjalinkan hubungan dengan pelakon, Eina Azman, 18.

Afiq yang popular menerusi drama bersiri di TV3, Mimpi Cinderella dan Bangkitnya Seorang Perempuan berkata, dia juga kecewa kerana ibunya mendedahkan perselisihan faham dan hal dalaman keluarga mereka kepada umum.

"Saya kecewa dan sedih apabila ibu memalukan saya di media. Saya tidak pernah menderhaka, tetapi berusaha mencari rezeki mengubah kehidupan keluarga.


"Namun, apabila mereka (keluarga) tahu saya berkawan dengan Eina, saya dikutuk, dikritik serta dihalau dari rumah. Eina pula dituduh mengikis semua wang simpanan saya," katanya sambil menangis.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Saudara Kiram kena dakwa

Posted: 14 May 2013 12:45 PM PDT

Tawau: Menteri Pertahanan Sulu Datu Amir Bahar Hushin Kiram antara sembilan lagi individu termasuk seorang wanita didakwa atas tuduhan menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong di Mahkamah Tinggi yang bersidang secara tertutup di Penjara Tawau, di sini, semalam.

Lelaki berusia 49 tahun yang juga anak saudara kepada Jamalul Kiram III dituduh mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan dan Seksyen 130KA akta sama di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi P Ravintran.

Dalam perbicaraan sama, seorang tertuduh wanita, Norhaida Ibhahi turut didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana melindungi sekumpulan individu dipercayai anggota kumpulan pengganas.

Lapan lagi individu lain didakwa bersama Datu Amir Bahar adalah Rijmal Salleh, Saidili Jaharul, Dani Ismail, Pabblo Alie, Mohammad Ali Ahmad, Basil Samiul, Rizman Gulan dan Abdul Majil Jubin.

Foto

ABDUL Ghani keluar dari Penjara Tawau, semalam.


Sabit kesalahan, semua mereka bakal berdepan hukuman mati atau penjara seumur kecuali Norhaida menghadapi hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Benfica lebih hebat'

Posted: 14 May 2013 09:52 AM PDT

Amsterdam: Benfica mungkin lebih berbakat daripada Chelsea, tetapi masih dilabel sebagai pasukan bukan pilihan pada final Piala Europa awal pagi esok, menurut bekas ketua jurulatih England Sven-Goran Eriksson.

Pengendali dari Sweden itu mengetahui kemampuan Benfica selepas dua kali membimbing kelab yang pernah memenangi dua kejuaraan Eropah itu.


"Sudah pasti Chelsea pilihan kerana memiliki pasukan seimbang dan antara pemain termahal, tapi pada pendapat saya teknik permainan Benfica lebih baik.

"Teknik permainan Benfica lebih tajam. Mereka mengawal bola dengan baik dan sentiasa beraksi cemerlang," katanya kepada akhbar harian aBola.


Juara Eropah 1961 dan 1962 itu bergantung kepada jentera tengah berkualiti Eduardo Salvio, Nicolas Gaitan, Pablo Aimar, Ola John dan Nemanja Matic untuk membuat hantaran kepada jentera serangan diketuai Oscar Cardozo yang bergandingan dengan Rodrigo Lima.


Gandingan Cardozo dan Lima setakat ini sudah meledak 71 daripada keseluruhan 118 gol musim ini.

Foto

LIMA jadi taruhan robek gawang Chelsea.

Eriksson yang membimbing pasukan itu ketika juara Portugal itu tewas 0-1 kepada AC Milan pada final Piala Eropah 1990 di Vienna percaya Benfica akan melupakan segera kekalahan 1-2 kepada seteru utama, Porto, Sabtu lalu.


Kedua-dua pasukan itu tidak pernah tewas sebelum turun mengharungi perlawanan itu dan kemenangan Porto menyaksikan mereka berada di landasan tepat untuk merangkul kejuaraan domestik.

"Final kejohanan Eropah sangat unik. Sebaik saja mereka bersiap sedia untuk pertembungan final, kekalahan kepada Porto pasti segera dilupakan." Eriksson begitu hampir menghadiahkan tiga kejuaraan untuk Benfica pada 1983 apabila memenangi dua kejuaraan domestik tapi tewas 1-2 secara agregat kepada Anderlecht pada final Piala UEFA yang berlangsung secara timbal balik.


Pengendali dari Sweden itu pernah menikmati kejuaraan Liga Portugal tiga kali sepanjang dua kali membimbing kelab itu.


Pemain tengah Argentina Enzo Perez turut percaya Benfica akan segera lupakan kekalahan kepada Porto.


"Pasukan memang kecewa tapi kami percaya kekecewaan itu akan ditebus apabila bertemu Chelsea. Kami hanya perlu percaya kepada diri sendiri," kata Perez.


Benfica mempunyai memori indah di Amsterdam apabila memenangi Piala Eropah buat kali terakhir ketika menewaskan Real Madrid pada 1962.


Sementara itu, pemain perancang Juan Mata mahu Chelsea menamatkan musim ini dengan memenangi Piala Europa dan mengesahkan kedudukan di tangga ketiga pada saingan Liga Perdana Inggeris jika mampu menewaskan Everton di tempat sendiri, Ahad ini.


"Musim ini hampir berakhir dan mungkin kami bakal menikmati penamat terbaik.


"Kami mahu memenangi takhta Eropah dan mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.


"Inilah kali kedua dalam tempoh dua musim di Chelsea, kami akan beraksi untuk merebut trofi Eropah. Sudah tentu amat hebat jika menang dua takhta Eropah berturut-turut," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Powerbar tingkat daya

Posted: 14 May 2013 09:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Penyertaan 3,500 peserta yang dijangka menyertai Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 mendorong Powerbar tampil sebagai sebahagian daripada penaja.

Kejohanan anjuran Harian Metro menawarkan hadiah lumayan RM220,000 bakal menjadi rebutan dengan Powerbar menerusi Pengurus Pembangunan Perniagaan Nutrisi Prestasi Shahrulniza Othman berkata, mereka komited untuk turut sama membangunkan sukan berbasikal di Malaysia.


Katanya, basikal begitu sinomin dengan powerbar yang sering digunakan pelumba untuk membantu mereka menambah tenaga dan jenama itu semakin popular apabila menjadi sebahagian daripada penaja siri perlumbaan terkemuka dunia, Tour de France.

"Basikal bukit mempunyai pengikut yang ramai dan pendekatan kejohanan ini dengan memperkenalkan siri sirkit dengan peserta mengumpul mata dalam setiap sirkit akan menjadikan penganjuran lebih menarik," katanya yang menerangkan Power Bar mula bertapak di Malaysia pada 2002 dan semakin mendapat tempat dalam kalangan penggiat sukan.


Katanya, setiap peserta yang mendaftar menyertai Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 akan menerima powergel secara percuma manakala tiga peserta teratas pula dihadiahkan powerbar energy berharga RM119.


Shahrulniza berkata, syarikat itu turut membuka booth di lokasi pertandingan dan peserta yang berminat boleh mendapatkan barangan powerbar pada harga istimewa. Turut sama memeriahkan kejohanan itu, Powerbar akan mempertaruhkan pasukan Corbusier yang berpangkalan di Sarawak selain bekas pelumba kebangsaan Le Tour de Langkawi (LTdL), Hafiz Wong bakal menggegarkan sirkit pertama di Putrajaya, 2 Jun ini.

Saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 dianjur dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang turut mendapat pengiktirafan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).


Saingan di Putrajaya membabitkan tiga kategori perlumbaan utama iaitu elit, Terbuka Metro (Jamboree) selain demonstrasi dan pameran menghidangkan beberapa aktiviti menarik untuk seisi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Awal, Dynas penyeri GM2

Posted: 14 May 2013 03:54 AM PDT

Pada 19 Mei (Ahad), jam 10 malam bakal menyaksikan sebuah lagi program siaran Astro Ria yang bakal mencetuskan keghairahan di kalangan penonton iaitu Gadis Muka 2 (GM2).

Diterbitkan oleh produksi I Like Entertainment Sdn Bhd yang berpayung di bawah Sedania Media Corporation, program realiti dengan matlamat Pencarian Selebriti Terunggul itu turut me­nyaksikan pembabitan Harian Metro sebagai rakan media.

Mendukung mandat besar pihak penerbitan, Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, atau lebih dikenali sebagai Awal Ashaari dipilih sebagai pengacara program ini.

Menambah keterujaan Awal, tentunya apabila program ini turut membabit­kan sahabat baiknya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar (Dynas), 30, yang akan memainkan peranan besar dalam membentuk sahsiah diri peserta selaku 'Big Sister'.

Foto

DYNAS dan Awal sedia membantu peserta menyusuri laluan glamor.

Foto

Selain Awal dan Dynas, Datin Sofia Jane (kanan sekali) dan Kak Zai turut dilantik sebagai juri GM2.


Mukadimah perbualan, disambut rasa syukur oleh Awal kerana selepas sekian lama tidak terbabit dalam pengacaraan program di bawah siaran Astro, bekas pengacara Beat TV itu sekali lagi dapat menjalinkan kerjasama erat dengan pihak pe­nyiaran itu.


"Kebelakangan ini saya banyak terbabit dengan program di bawah terbitan stesen lain untuk mencari pengalaman yang berbeza-beza dan saya gembira apabila dimaklumkan semua pihak yang terbabit dalam meng­anjurkan program GM2 ini memilih saya sebagai pengacara.

"Kembali meng­acara program di Astro ada sejarah tersendiri buat saya kerana boleh dikatakan nama saya dikenali melalui program terbitan stesen penyiaran itu.

"Satu lagi kelebihan yang saya lihat menerusi program ini, pembabitan Akhbar Nombor 1 berbahasa Melayu tempatan, Harian Metro yang bertindak sebagai rakan media. Pastinya juga lebih menyeronokkan apabila dapat bekerjasama dengan sahabat baik sendiri iaitu Dynas," katanya.

Akui Awal, format realiti yang diperkenalkan GM2 bukanlah asing baginya kerana sebelum bergelar artis, pengacara, pelakon dan penyanyi yang sedang hangat dengan drama Sedetik Cinta, turut dibintangi aktres muda, Hanez Suraya itu pernah melalui pe­ngalaman yang sama.

"Sejujurnya latar belakang sebelum ini banyak terbabit dalam program realiti khususnya hal di sebalik tabir misalnya untuk program Sehati Berdansa dan One In A Million. Malah, sebelum dikenali sebagai pengacara, saya sendiri pernah menyertai pelbagai program pencarian bakat termasuk realiti antaranya Malaysia Idol.

"Ini antara sebab mengapa saya bersetuju mengacarakan GM2 kerana ia dekat di hati saya. Dengan pengalaman yang ada juga mungkin peranan saya di dalam program ini tidak terbatas sebagai pengantara saja, malah dapat berkongsi pengetahuan dan membimbing peserta kelak.

"Melaluinya juga, saya boleh mempelajari sesuatu yang baru memandangkan konsep yang diperkenalkan GM2 terarah kepada pencarian ala ratu cantik dan dalam masa sama mencungkil bakat seni. Konsep penerbitan program realiti seperti ini masih asing," katanya.

Menghala perbualan kepada Dynas, sama seperti sahabat baiknya itu, dia merebut peluang untuk terbabit dalam program ini kerana tugasan yang diberikan kepadanya itu dekat dengan keperibadian dan personalitinya di luar.

"Sewaktu saya menerima panggilan daripada pihak penerbitan program ini yang menawarkan saya menjadi 'Big Sister' kepada peserta, saya rasa seronok kerana tugasan itu berkait rapat dengan personaliti atau keperibadian saya yang sebenar.

"Saya seorang yang mengambil berat mengenai orang lain, selain suka melihat orang lain berjaya. Menerusi program ini, saya akan membimbing peserta sebagaimana seorang kakak mahukan adik mereka berjaya.

"Ia tidak terbatas kepada idea saja tetapi menyelami personaliti setiap daripada mereka. Jika ada yang kurang berkeyakinan, saya akan membantu mereka mencari kelebihan mereka dan bagi yang terlalu berkeyakinan pula, saya akan mengingatkan mereka jangan terlalu yakin kerana ada kalanya terlebih yakin boleh memakan diri sendiri.

"Sama ada mereka mahu mendengar ataupun tidak, tak mengapa kerana saya percaya orang yang sentiasa mendengar kata dan mahu memperbaiki diri sendiri, mereka ini adalah kelompok orang yang berjaya.

"Saya seorang yang tegas, namun saya juga tidak kisah jika ada peserta yang 'playful'. Tetapi jika mereka diberikan tugasan mereka harus menyelesaikannya," katanya.

10 gadis berbakat bakal berentap

Pada sidang media pengenalan 10 peserta, pengacara, tenaga pengajar dan juri program GM2 yang berlangsung di Setia City Convention Centre, Setia Alam, baru-baru ini, Dynas turut memuji peserta yang rata-ratanya menyerlah dari segi komunikasi.

Mereka yang terpilih adalah Aidiliahilda Abdul Halim (Aidilia), 19, dari Rawang, Selangor; Nur Syifa Athirah Amirol Melvin (Syifa), 19, Parit Buntar, Perak; Nur Syamera Ab Rasif (Myra), 21, Kota Tinggi, Johor; Alia Afiqah Abden (Lia), 21, Tawau, Sabah dan Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra), 21, Setapak, Kuala Lumpur.

Termasuk, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf (Sarah), 22, Ampang, Selangor; Nur Afiqah Mohd Azmi (Fify), 22, Subang Jaya, Selangor; Siti Nor Izumi Salleh (Izumi), 23, Ba­ngi, Selangor; Siti Nursyahira Nabila (She), 23, Subang Jaya, Selangor serta Nur Asikin Kamarudin (Ekin), 24, Masjid Tanah, Melaka.

"Pakej lengkap saja kadang-kadang tidak cukup untuk terus bertahan dalam arena hiburan kerana kalau kita rasa kita bagus, akan ada lebih ramai bagus daripada kita. Yang penting peserta harus tahu apakah kelebihan mereka yang tidak dipunyai orang lain serta bijak memasarkan diri mereka," kata Dynas lagi.

Apa yang menarik mengenai program itu, ia akan turut membabitkan dua individu yang berpengalaman dan bidang seni dan penampilan.

Bintang filem handalan, Datin Sofia Jane bertindak sebagai juri tetap manakala Zaihani Zain (Kak Zai) pula akan menerajui sudut imej dan penggayaan bagi program itu.

Rancangan ini juga mendapat soko­ngan daripada nama besar dalam dunia hiburan dan fesyen. Majalah fesyen popular In-Trend berbesar hati untuk menyumbangkan tenaga sebagai penasihat gaya bagi segmen yang membabitkan pereka fesyen terkenal seperti Rizman Ruzaini, Jovian Mandagie, Azura Couture Kuala Lumpur dan AzuraAzwa Couture.

Juara GM2 kelak akan memenangi kontrak bernilai RM100,000 selain membawa pulang barang kemas Rafflesia bernilai RM30,000, tajaan pembiayaan daripada Snips Academy of Arts sebanyak RM20,000 serta tiket penerbangan pergi dan balik ke Paris tajaan AirFrance.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved