Selasa, 1 Januari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Siraj kongsi rezeki

Posted: 01 Jan 2013 05:55 AM PST

KETIKA berkunjung ke rumah pemilik Siraj's Chocolious Honey Cookies (Siraj's ChoC), aroma segar dan enak biskut pelbagai perisa begitu membangkitkan selera. Ada yang masih di dalam ketuhar manakala selebihnya sudah dibungkus dan dimasukkan di dalam balang untuk dihantar ke kedai.

Semua dilakukan seorang pekerja, daripada tugas membuat adunan biskut, membakar sehingga menyusun di dalam bekas. Di ruang tamu, seorang remaja berusia 14 tahun sedang asyik melukis menggunakan komputer riba. Begitu leka sekali membuat setiap lakaran namun sekali sekala dia beralih ke dapur untuk melihat perkembangan tempahan biskut yang disiapkan pekerjanya.

Melihat fizikal dan personalitinya yang pemalu, tentu ramai tidak menyangka dalam usia muda dia sudah memiliki perniagaan sendiri. Malah dalam tempoh dua tahun, Ahmad Sirajuddin Ahmad Fakhri sudah mampu menggaji seorang pekerja untuk menyambung tugas yang dilakukan sebelum ini.

Semuanya bermula ketika Ahmad Sirajuddin atau mesra disapa Siraj yang ketika itu berusia 11 tahun, berasa sedih kerana teman baik sejak di sekolah tadika ingin berpindah ke negara asalnya, Afrika Selatan. Bermula dari situ, Siraj sugul, kurang selera makan dan kurang menumpukan perhatian di dalam kelas kerana tiada teman untuk meluahkan masalah, berkongsi kegembiraan dan belajar bersama.


Menyedari hal ini, ayah Siraj, Ahmad Fakhri Hamzah mencadangkan agar suatu hari nanti mereka melancong ke Afrika Selatan dan melawat rakan baik Siraj. Namun bagi seorang kanak-kanak, jumlah keseluruhan tambang yang mencecah RM4,000 amat besar ertinya walaupun ibu bapa Siraj mampu menyediakannya. Dari sini, tercetuslah idea menjual biskut pelbagai perisa bagi membiayai kos keseluruhan perjalanan Siraj ke Afrika Selatan.


Menurut ibu Siraj, Jamilah Samian, sejak berusia tiga tahun Siraj sangat suka melakukan eksperimen. Tidak seperti kanak-kanak lain yang gemar bermain bola atau kenderaan, masa Siraj dipenuhi dengan membuat pelbagai uji kaji menggunakan apa saja barang yang ditemuinya.

"Kadang-kadang Siraj memotong dan mematahkan barang yang ditemuinya. Malah dia menampal, memadankan atau menyusun menjadi satu bentuk barang yang cantik dan kreatif. Ketika sudah mampu membaca buku, kegemaran Siraj ialah The Big Book of Experiment yang padat dengan lebih 200 uji kaji saintifik," kata Jamilah.

Menariknya, eksperimen Siraj kebanyakannya membabitkan bahan masakan. Malah dia sendiri membuka buku resipi ibunya dan mencuba pelbagai menu yang terdapat di dalamnya. Siraj akan menyemak resipi, mengubah suai sedikit demi sedikit ramuannya sehingga menjadi rasa yang enak dan lazat mengikut cita rasanya sendiri.

"Ketika ini kami biarkan saja apa yang dilakukan Siraj kerana beranggapan ia sesuatu yang positif terutama dalam proses perkembangan kanak-kanak. Saya tidak marah apabila dia suka ke dapur dan menyepahkan barang dan pada masa sama saya memperkenalkan pelbagai peralatan yang tidak membahayakan sesuai dengan usianya.

"Dari situ saya tahu Siraj seorang yang gemar membuat eksperimen dan ini secara tidak langsung membantu minda menjadi lebih kreatif. Apa yang membuatkan Siraj gembira apabila mendapati campuran bahan yang berbeza akan memberikan rasa dan hasil yang berlainan.

"Daripada semua resipi yang sudah diuji, dia akhirnya berjaya menghasilkan adunan resipi istimewa iaitu biskut berperisa coklat dengan pelbagai perisa tambahan," katanya.

Bagi menjadikan impian Siraj satu kenyataan, sebagai ibu, Jamilah hanya membantu dengan membelikan bahan yang diperlukan seperti tepung, gula dan coklat manakala tugas menimbang, mencampurkan bahan dan membentuk biskut semuanya dilakukan Siraj. Selepas siap, Jamilah membantu memasukkannya ke dalam ketuhar kerana khuatir Siraj tidak mampu mengendalikan kepanasan ketuhar.

Bagi memberi gambaran mengenai jualan serta keuntungan yang diperlukan, ayah Siraj menetapkan jumlah yang harus dikumpul bagi membolehkan dia ke Afrika Selatan. Menerusi cara ini, ia akan lebih menyedarkan Siraj banyak lagi perkara yang harus dilakukan untuk mencapai impiannya.

Siraj tidak keseorangan dalam usaha memasarkan biskut buatannya apabila abangnya, Ahmad Saifuddin, 27, Ahmad Salahuddin, 24, Ahmad Safiuddin, 19, Ahmad Sharifuddin, 16, dan kakak, Alia Nadhirah, 22, membantu membuka ruang iklan di dalam laman sosial facebook dan blog menerusi http://sirajschoc.com supaya lebih ramai mengetahui mengenai perniagaannya dan membeli menerusi dalam talian.

Mereka juga berusaha membuat kad perniagaan dan menjual di kolej dan pejabat masing-masing. Hasilnya dalam jangka masa enam bulan saja, Siraj berjaya mengumpul lebih daripada jumlah yang diperlukan untuk ke Afrika Selatan.

"Memang Siraj sangat gembira kerana dapat bertemu kawan baiknya di Afrika Selatan pada November 2010. Lebih membuatkannya sangat bermakna apabila keseluruhan tambang ke sana menggunakan hasil daripada penjualan biskut coklat miliknya. Bukan itu saja, atas usaha keras yang ditunjukkan pada 2011, kami membawa Siraj bercuti ke Australia menggunakan hasil keuntungan Siraj's ChoC," kata Jamilah yang menjual biskut menerusi sistem ejen kepada sesiapa yang berminat.

Kini selepas dua tahun, Siraj's ChoC mempunyai logo perniagaan hasil bimbingan ibu bapa dan adik-beradik yang lain. Siraj juga sudah mengambil seorang pekerja bagi menguruskan kerja membuat biskut manakala dia hanya memantau dari segi urusan kualiti biskut yang dihasilkan.

Siraj juga diajar melakukan kerja amal apabila setiap bulan, hasil keuntungan diberikan kepada pertubuhan kebajikan atau mereka yang kurang bernasib baik. Dengan cara ini, dia mulai mengenal erti sedekah dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

Menurut Jamilah, setiap anak mempunyai kecenderungan masing-masing dalam bidang yang mereka minati. Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan asas serta menyokong apa saja yang disukai anak-anak dengan cara yang betul.

Mengajar anak-anak mengenai pentingnya menghargai sesuatu serta berusaha mendapatkan barangan yang menjadi idaman mereka sesuatu yang harus dimulakan sejak kecil. Ini kerana anak-anak pada zaman sekarang berbeza dengan dulu yang hidup dalam kemewahan apabila ibu bapa menyediakan semua keperluan bagi memenuhi permintaan mereka.

"Sekiranya apa yang diminta melebihi daripada peruntukan, sepatutnya ibu bapa boleh mengajar menabung untuk mendapatkan sesuatu. Dengan cara ini mereka sendiri tahu tidak semua mampu diperoleh dengan mudah tanpa disertai usaha bersungguh-sungguh," katanya yang bukan saja menerapkan teknik ini kepada Siraj malah kelima-lima anaknya yang lain.

Misalnya Alia yang meminati seni lukis, dia berusaha mengumpul dana makan malam sekolahnya dengan menjual penanda buku peribadi. Bukan itu saja, dia bekerja mencuci kereta bersama kawan-kawan supaya dia dapat makan di restoran pilihan mereka malah ketika menunggu keputusan peperiksaan, Alia menjadi guru sambilan dengan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sebuah pusat tuisyen dengan bayaran RM500. Jumlah itu cukup untuk membeli tablet melukis idamannya yang berharga RM500 tanpa menyusahkan ibu bapa.

Dalam hal ini, menurut Jamilah, penting untuk mengimbangi dua perkara utama iaitu keinginan anak-anak memperoleh pendapatan serta melatih anak meluangkan masa dan tenaga untuk orang lain secara sukarela tanpa mengharapkan balasan.

"Ini kerana dalam melatih anak-anak mencari wang simpanan sendiri, ibu bapa tentunya tidak mahu anak-anak menjadi mesin pencari harta sehinggakan hanya wang yang berlegar dalam fikiran mereka," ujarnya.

Panduan mendidik anak menjadi kreatif:

  • Sediakan ruang kepada anak-anak dari segi masa, tenaga dan wang ringgit. Ini kerana ketiga-tiga perkara ini sangat penting supaya anak-anak berasa ibu bapa sangat menyokong apa yang mereka lakukan seterusnya bersemangat memberikan yang terbaik.
  • Bagi sokongan kepada anak-anak dengan membantu mereka mencari buku atau barang kegemaran mereka.
  • Sentiasa ada di sisi. Anak-anak mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi, justeru selepas menyediakan semua bahan diperlukan ketika bermain atau membaca, ibu seharusnya berada di sisi anak-anak bagi memudahkan proses pembelajaran.
  • Tunjukkan minat terhadap cita-cita anak anda. Ini akan lebih mendorong dia menjadi lebih kreatif kerana mendapat sokongan ibu bapa.

    Sokongan boleh dimulakan menerusi kata-kata semangat dan pujian juga perbuatan seperti mencium dan memeluk anak-anak selain membawa dia makan di restoran kegemarannya sambil berkongsi cerita atau makan bersama setiap malam. Ibu bapa perlu sedar semua anak dilahirkan semula jadi kreatif dan terpulang kepada ibu bapa sama ada menggalakkannya atau membantutkan daya kreativiti mereka.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



  • Kesan buruk ketap gigi

    Posted: 01 Jan 2013 05:31 AM PST

    BRUXISM atau lebih dikenali dengan tabiat mengetap gigi selalunya dilakukan seseorang tanpa disedari ketika tidur nyenyak. Biarpun nampak seperti tidak berbahaya dan hanya menjengkelkan orang sekeliling, ia sebenarnya mampu memberi kesan jangka panjang kepada pelakunya.

    Masalah itu boleh dikenal pasti apabila gigi bahagian atas dan bawah diketap dan digesek kuat secara bersama yang dilakukan berterusan hingga mengeluarkan bunyi gesekan yang 'menyeramkan' bagi mereka yang pertama kali mendengarnya.

    Walaupun masalah itu mungkin hanya satu fasa dalam kehidupan dan boleh berlalu serta pulih dengan sendirinya, penting untuk setiap orang menanganinya supaya ia tidak berlarutan dan memberi impak pada diri individu itu.

    Antara kesan buruk yang boleh berlaku sekiranya tabiat itu berterusan dalam jangka panjang adalah gigi menjadi haus atau sumbing. Ini kerana gigi pecah di bahagian hujung, kesakitan di bahagian rahang selain turut menyumbang kepada masalah sakit kepala yang teruk.


    Selain orang dewasa, tabiat mengetap gigi turut berlaku di kalangan kanak-kanak hingga merisaukan ibu bapa. Sukar untuk melarang anak-anak supaya tidak melakukannya kerana mereka juga tidak menyedari perlakuan itu apatah lagi ia berlaku ketika tidur.


    Namun masih ada langkah yang boleh diambil ibu bapa bagi membantu anak mereka menangani tabiat buruk itu.

  • Ibu bapa harus peka dan memberi perhatian bagi mengenal pasti sama ada anak mereka mengalami bruxism seperti melihat anak-anak yang sedang tidur di tengah malam bagi memastikan mereka bebas daripada masalah mengetap gigi.
  • Ibu bapa juga perlu memberi perhatian dan mengenal pasti masalah bruxism di kalangan anak-anak apabila anak membuat aduan seperti mereka berasa sakit pada bahagian rahang, tergigit bahagian dalam pipi atau ada anak yang lain mengadu adik-beradiknya membuat bunyi bising ketika tidur.
  • Bruxism mungkin berlaku akibat rasa tertekan, oleh itu ibu bapa perlu berbincang dengan anak, mengenal pasti isu yang dialami anak seperti dibuli di sekolah atau kerisauan mengenai sesuatu dan mencari penyelesaian kepada masalah berkenaan. Kemungkinan besar masalah mengetap gigi akan berhenti sendirinya apabila anak berasa lebih tenang.
  • Jika kerisauan memuncak mengenai bruxism di kalangan anak dan ibu bapa hilang punca untuk membantunya, bawa anak bertemu doktor gigi terutama sekiranya anak sering mengadu sakit di bahagian rahang.

    Doktor gigi akan membantu dengan memberikan pelindung gigi seperti yang digunakan atlet profesional, yang hanya digunakan ketika tidur pada waktu malam bagi mengelak mereka terus mengetap sehingga merosakkan gigi. Bagi kanak-kanak dan bayi, pelindung gigi biasanya dibuat mengikut bentuk mulut dan gigi supaya ia muat.

  • Didik anak supaya tidak menggigit atau mengunyah apa-apa peralatan seperti pensel, pen, penyedut minuman dan elak beri anak gula-gula getah. Ini kerana tabiat mengunyah sesuatu yang bukan makanan akan membiasakan anak menggunakan otot rahangnya untuk mengetap dan mengisar, seterusnya boleh mendorong bruxism berlaku pada waktu tidur.
  • Cara lain yang boleh dilakukan ibu bapa untuk membantu mengurangkan seterusnya menangani masalah bruxism adalah meletakkan kain yang direndam dalam air suam di bahagian pipi berhampiran telinganya selama 10 minit. Ini bagi merehatkan otot rahangnya setiap kali sebelum anak tidur.
  • Ibu bapa juga perlu memastikan anak mereka minum air yang cukup sepanjang hari termasuk sebelum tidur. Masalah bruxism sering berlaku apabila tubuh kekurangan cecair.
  • Sediakan suasana tidur yang menenangkan untuk anak supaya dia tidak tertekan setiap kali sebelum tidur. Misalnya memberikan anak susu suam, mandian suam atau membacakan buku cerita yang menggembirakannya.
  • Jangan berikan anak makan coklat atau minuman susu berperisa sebelum tidur. Ini kerana kandungan kafein dan gula dalam makanan itu akan menyebabkannya sukar tidur atau membuatkan tidurnya sedikit terganggu.
  • Selain kanak-kanak, bruxism juga boleh berlaku di kalangan bayi. Oleh itu, bawa anak bertemu doktor kanak-kanak dan maklumkan semua maklumat mengenai waktu dan tempoh bayi anda biasa mengetap giginya. Ini bagi membantu doktor memahami dan mencari penyelesaian kepada masalah itu.
  • Jangan biarkan anak menangis atau meragam sebelum tertidur. Pastikan bayi berasa tenang dengan mendodoi dan mendakapnya rapat ke badan sehingga dia tidur dalam keadaan tenang.
  • Biarpun bruxism selalu berlaku ketika tidur, ia juga boleh berlaku ketika aktiviti yang memberi tekanan pada bayi atau kanak-kanak. Ibu bapa perlu peka dan kenal pasti tabiat suka mengetap dan menggesek gigi pada anak mereka.
  • Sekiranya anak atau bayi didapati mengetap gigi ketika anda membacakan buku cerita menakutkan mereka atau menonton filem seram menakutkan, elakkan perkara sedemikian.
  • Jika anak cenderung menggesek gigi sekiranya sedang bimbang, cuba pelbagai cara untuk membuatkan anak berasa lebih selamat dan tenang termasuk sering mendakapnya dan memberi perhatian sewajarnya apabila ibu bapa sedar dia berada dalam keadaan tertekan dengan keadaan sekelilingnya.
  • Selain kanak-kanak, orang dewasa juga boleh mengalami masalah bruxism. Ia boleh diatasi jika pandai menguruskan tekanan, kurang mengambil minuman berkafein, mandi air suam, minum susu suam serta merenggangkan otot sebelum tidur.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



  • Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Mesin kilang kejuruteraan meletup

    Posted: 31 Dec 2012 10:45 AM PST

    MERU: "Mesin membuat barangan elektronik yang sedang digunakan tiba-tiba meletup menyebabkan semua pekerja berhampiran lari dan tidak sempat menyelamatkan barang seperti dompet, telefon bimbit dan barangan berharga lain," kata seorang pekerja mengenai kebakaran sebuah kilang memproses barang kejuruteraan di Jalan Haji Salleh, di sini, petang semalam.

    Pekerja yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian jam 4 petang, pekerja kilang itu dikejutkan dengan letupan sebuah mesin yang beroperasi.


    "Tiba-tiba sebuah mesin meletup menyebabkan api merebak dengan cepat ke mesin lain dan rakan sekerja tergamam sebelum masing-masing melarikan diri ke tempat selamat.

    "Tapi, saya bersyukur kerana rakan sekerja sempat menyelamatkan diri dan tidak berlaku insiden yang tidak diingini seperti kecederaan dan kehilangan nyawa," katanya.


    Pekerja itu berkata, kebakaran berpunca daripada mesin elektronik yang dipercayai sudah panas kerana terlalu lama digunakan untuk memproses barangan kejuruteraan.


    Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Mohd Hamizal Ainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kebakaran itu jam 4.04 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke tempat kejadian.

    "Seramai 24 anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Pinang, Pelabuhan Klang dan Kota Raja terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran itu berikutan kebakaran yang agak serius," katanya.


    Hamizal berkata, kebakaran itu berjaya dikawal jam 4.57 petang dan punca serta jumlah kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Rozaimi terkejut

    Posted: 31 Dec 2012 07:46 AM PST

    "PENGIKTIRAFAN ini adalah untuk seluruh rakyat Sabah," kata penyerang Harimau Muda A kelahiran Sabah, Rozaimi Abd Rahman yang disenaraikan antara 10 pemain terbaik Asia 2012 oleh saluran sukan antarabangsa, ESPN.

    Anak muda berusia 20 tahun dari Bongawan itu mengaku terkejut apabila namanya terpilih bersama bintang Manchester United dari Jepun, Shinji Kagawa yang turut tersenarai sebagai pemain terbaik Asia.


    "Saya terharu dan gembira kerana tersenarai walaupun agak terkejut kerana prestasi saya turun naik kecuali ketika bermain bersama Harimau Muda pada Kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun di Yangon, Myanmar, Jun lalu dengan menjaringkan 10 gol.

    "Mungkin kerana aksi itulah saya dipilih ESPN, bagi saya ramai lagi yang layak seperti Safiq Rahim, Safee Sali dan Wan Zack Haikal. Namun mungkin nasib lebih menyebelahi saya," katanya di Kota Kinabalu, semalam.


    Rozaimi kini bercuti bersama keluarga dan akan kembali menyertai kem latihan skuad Harimau Muda A kendalian jurulatih, Ong Kim Swee bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar.


    Bekas pemain pinjaman Selangor pada Piala Malaysia 2012 itu gembira kerana dapat mengharumkan nama Sabah di persada antarabangsa menerusi bola sepak dengan tersenarai antara 10 pemain terbaik Asia tahun ini dan mendedikasikannya kepada seluruh rakyat negeri ini.

    "Memang inilah yang saya mahu lakukan, seperti Matlan Marjan yang menjadi idola saya. Dulu dia turut mengharumkan nama Sabah dan Malaysia dengan menjaringkan dua gol ketika menentang England.


    "Saya harap pengiktirafan ini menjadi pendorong untuk saya beraksi lebih cemerlang membawa cabaran Harimau Muda A terutama untuk Sabah jika disenaraikan kembali tahun depan," katanya.

    Selain Rozaimi dan Kagawa, senarai 10 pemain terbaik Asia oleh ESPN turut merangkumi Omar Abdulrahman (UAE), Koo Ja Cheol dan Lee Keun Ho (Korea Selatan), Bambang Pamungkas (Indonesia), Yuto Nagatomo (Jepun), Teerasil Dangda (Thailand), Amjad Radhi (Iraq) dan Ali Al Habsi (Oman).


    Ini adalah pengiktirafan kedua diterima Rozaimi selepas Anugerah Pemain Harapan Negara, Oktober lalu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31



    ‘Pengalaman menakjubkan’

    Posted: 31 Dec 2012 07:34 AM PST

    BRISBANE (Australia): Maria Sharapova menganggap tahun lalu paling bermakna dalam kariernya selepas menjuarai Terbuka Perancis selain membawa bendera Russia pada upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik London.

    "Banyak perkara yang berlaku," katanya. "Ia catatan Grand Slam yang mengambil masa agak lama buat saya berbanding pemain lain.


    "Saya sedar memerlukan beberapa tahun untuk bertindak lebih berkesan pada permukaan gelanggang tanah liat," katanya mengenai kejuaraan di Roland Garros.

    "Pengalaman Olimpik tidak akan saya lupakan kerana ia kali pertama menjadi Olimpian. Saya adalah atlet wanita pertama Russia membawa bendera negara dan ia amat mengharukan. Ia satu pengalaman menakjubkan." Maria yang bertanding pada kejohanan Antarabangsa Brisbane minggu ini berkata, saingan tenis wanita masa kini lebih sengit dan hebat berbanding sebelum ini.


    "Ia lebih berbentuk fizikal berbanding sebelum ini. "Mungkin lima tahun lalu, beberapa perlawanan awal sekadar pemanas badan dan tidak perlu fikir pusingan pertama perlu mempamerkan permainan terbaik.


    "Kini ia amat berbeza kerana saya mungkin berdepan lawan yang mempunyai keputusan bagus, mengalahkan pemain ternama, tidak cukup konsisten tapi liat untuk ditundukkan.

    "Tahap tidak konsisten itu menyebabkan ranking mereka tidak bagus dan saya berdepan mereka dalam beberapa pusingan awal.


    "Tenis kini lebih sukar. Begitu juga dengan teknologi dan raket serta peningkatan yang kami miliki. "Terlalu banyak perkara dalam sukan tenis yang sukan lain tidak perlu pertimbangkan seperti bola, raket dan tali. Semuanya berubah saban tahun." - Reuters

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Apa lagi bakal mendidih?

    Posted: 31 Dec 2012 05:08 AM PST

    NEELOFA bingkas menerjah yang dirinya tidak langsung memasang azam saat dilontar persoalan 'klise' itu. Tambahnya, biar 2013 mula berjalan, dia bimbang jika meletakkan sebarang sasaran, kerana mungkin akan mengundang kecewa sekiranya tidak tercapai.

    "Saya hanya mengharapkan yang terbaik dan semoga 2013 yang menjadi tahun ketiga saya sebagai anak seni memberikan lebih kebahagiaan dan rezeki," katanya tersenyum.

    Menghiasi wajah pertama Rap, pembuka lembaran tahun ini, pelakon yang juga pengacara jelita berusia 23 tahun ini tidak henti-henti mengucap syukur kerana apa yang pernah diimpikan dalam hati kini semuanya terlaksana.

    Imaginasi dan angan-angan gadis putih gebu kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini perlahan-lahan direalisasikan. Titik tolaknya selepas menjuarai Dewi Remaja dua tahun lalu, pantas nama dan pesona wajahnya tidak henti-henti mewarnai pentas seni tempatan.


    Mahu atau tidak, hakikatnya, anak kacukan Melayu, Pakistan dan Arab juga pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor yang mesra disapa Lofa ini paling laris dan sensasi sepanjang 2012.


    Bagai merampas serta-merta daripada ramai pemiliknya sebelum ini, dua tahun berdiri sebagai anak seni sejak awal pembabitannya dalam filem Azura, Lofa tidak sekali-kali lekang terpalit kisah sensasi.

    Meskipun jelasnya tidak pernah dirancang, jauh sekali berasa bangga, itulah harga yang perlu dibayar menjadi selebriti iaitu hak milik masyarakat dan terdedah kepada apa saja persepsi dan andaian.

    "Kelakar juga apabila ramai rakan media mula menghubungi saya bertanyakan soalan yang sama, kononnya saya paling 'panas' tahun lalu. Saya sendiri tidak pasti mereka (wartawan) melihat dari sudut apa dalam mengukur populariti dan nilai sensasi seseorang artis.

    "Itulah realitinya kerana saya tidak punya suara untuk menafikannya kerana apa yang orang cakap mengenai diri saya. Segala macam kisah, gosip dan berita itu adalah perkara yang tidak pernah dirancang berlaku pada saya," katanya mengakui tidak kira buruk atau baik publisiti yang diberi, ia masih dianggap satu publisiti.

    Jelasnya lagi: "Seperti yang saya katakan apa saja spekulasi dan kontroversi itu bukanlah kehendak saya, sebaliknya ia digembar-gemburkan pihak lain. Pening dan penat usah diceritakan kerana tidak henti-henti rasanya saya dihujani gosip namun alhamdulillah, semuanya saya redah dengan sempurna.

    "Ikhlasnya, saya melihat semua itu dari perspektif positif yang mana selagi nama saya disebut dan kisah membabitkan saya diberi perhatian, masih ada orang yang ingat kerana jika sudah diketepikan, ia lebih menakutkan saya.

    "Sebagai pendatang baru, saya bersyukur kerana adanya keluarga dan teman-teman yang tidak henti-henti menyokong selain memberi kepercayaan kepada saya. Itulah rahsia kekuatan dan resipi semangat yang saya amalkan," katanya yang bakal bergelar graduan jurusan Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran dari Universiti Kolej Sunway.

    Kronologinya, pelakon filem S.A.M, Hantu Kapcai dan drama siri Tahajud Cinta dan Kau Yang Terindah ini mula mencetuskan pentas hiburan dengan kisah 'merampas' cinta pelakon lebih senior daripadanya.

    Lebih yakin, Lofa ketika itu belum lagi muncul dengan filem sulungnya, Azura namun nama gadis bijak ini sudah hangat diperkatakan.

    "Lofa itu perampas dan suka sangat buat kontroversi! Belum pun lagi membuktikan apa-apa, spekulasi jauh lebih heboh!"

    Laungan sebegitu tidak lagi mengundang air mata. Sebaliknya jelas Lofa: "Saya sudah lali dan tidak lagi meratap walaupun pernah dulu terbit rasa kecewa dan patah semangat."

    Apa yang penting jelas Lofa, produk dan kerja itu perlu diletakkan ke depan agar ia menjadi penimbang atas persepsi serong mereka yang gemar menjatuhkan hukuman.

    "Walaupun saya tidak pernah bebas daripada gosip, tawaran dan kerja saya tidak pernah berhenti. Ada saja wajah dan kerja saya di kaca televisyen. Itulah yang dikatakan hadiah atas kerja keras saya selama ini," katanya berseloroh, 2013 akan lebih mendidih.

    Trivia gosip Lofa

  • Mulanya pada 2011 Lofa dikatakan merampas aktor Shahz Jaszle daripada Maria Farida selepas hampir setahun menjalin kasih.
  • Konflik dengan aktres Nur Fazura yang dikatakan bermula dengan hubungan seorang kerabat diraja juga berlanjutan dari tahun lalu hingga adegan sindir menyindir dalam laman sosial twitter.
  • April 2012 pula, Lofa dikatakan mempersoalkan kemenangan Tasha Shilla pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 selepas tewas dalam kategori Artis Baru Wanita Popular.
  • Tidak lama selepas itu, Lofa terbabit pula dengan salah faham bersama salah seorang finalis Dewi Remaja juga pelakon, Anzalna Nasir. Bukan saja mendapat liputan meluas media, malah perselisihan faham itu berlanjutan hingga kes saman menyaman dan sesi mohon maaf terbuka.
  • Lofa sekali lagi dikatakan tidak profesional apabila enggan bersalaman dengan Anzalna dan tidak mahu bergambar bersama.
  • Menegur kru produksi Nona yang lambat lebih sejam menerusi twitter dan sekali lagi mempersoalkan pakaian untuk program yang sama turut disalah tafsir hingga ada yang beranggapan kononnya Lofa sudah besar kepala.
  • Kisah cintanya dengan aktor juga pengarah dan penerbit, Hans Isaac sudah menjadi bualan harian dan terbaru, mereka dikatakan bercuti bersama di Koh Sa Mui, Thailand namun dinafikan kedua-duanya.
  • Isu seksi di ABPBH, pembedahan hilangkan parut di dahi, kisah kelakar betisnya juga diambil serius dan terbaru, konflik dengan seorang pereka fesyen yang mendakwa serik bekerja dengannya menambah lagi 'panas' pada nama Lofa.

    Pencapaian Lofa

  • Rangkaian perniagaan milik keluarganya, Bella Vita makin maju apabila Lofa mengesahkan ingin menambah cawangannya tidak lama lagi.
  • Selain menjadi jurucakap Avon dan King Koil, Lofa turut terpilih menjadi wajah rasmi jenama jam U2.
  • 2012 turut menyaksikan wajahnya mewarnai banyak papan iklan di sekitar pantai timur apabila menjadi wajah rasmi siri jelajah Petronas.
  • Gadis yang peramah dan rendah diri ini menerima pula tawaran Tune Records milik AirAsia untuk menjadi penyanyi di bawah naungan mereka pula.
  • Pernah membintangi drama Kasih Najihah, Kitab Cinta, Jiwa dan Lara, Lofa turut akan tampil dalam beberapa projek khas dan filem pada 2013 termasuk Lemak Kampung Santan.
  • Kontraknya bersama program Nona disambung setahun lagi dan kini wajahnya pula muncul di Astro dengan mengendalikan program gosip hiburan, MeleTOP.
  • Tahun ini Lofa akan mengikat dua lagi kontrak dengan produk antarabangsa, beberapa filem dan drama siri, namun semuanya masih dalam perbincangan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31



  • Intermezzo: Jom sambar Led Zeppelin

    Posted: 31 Dec 2012 04:36 AM PST

    Selamat Tahun Baru 2013! Pembuka tirai tahun ini saya dahulukan dengan album Led Zeppelin - nama yang bukan asing buat peminat genre blues rock dan rock 'n' roll.

    Kumpulan ini sangat berpengaruh dalam sejarah rock dan album Celebration Day hadir sebagai penghargaan buat peminat setia mereka dan pengasas Atlantic Records, Ahmet Ertegun. Konsert Celebration Day menampilkan persembahan barisan asal, Jimyy Page selaku pemain gitar utama, John Paul Jones (keyboard/gitar bass), Robert Plant (vokal) dengan trio turut disertai Jason Bonham, anak bekas pemain dram legenda, John Bonham.

    Konsert ini menyaksikan mereka menyampaikan 16 lagu terbaik Led Zeppelin sepanjang zaman seperti Rock n Roll, Kashmir, Whole Lotta Love, Trampled Underfoot dan Stairway To Heaven.

    Semua lagu terbabit dirakam dalam dua CD dan satu DVD ketika konsert diadakan pada 10 Disember 2007 di 02 Arena, London.


    Kulit album menarik dan klasik, berlatar menara jam besar Big Ben London dan belon panas Zeppelin 'bukan rekaan Jerman'.


    Sekalipun album Celebration Day menyaksikan permainan bertenaga Page, Paul Jones dan Jason, tetapi kualiti rakaman CD kurang mantap dan tidak cukup bingit seperti mana Led Zeppelin dikenali.

    Apapun, kenyataan itu dapat diterima kerana Paul Jones mahukan lagu konsert boleh difahami. Apa cuba disampaikan memang mudah kerana setiap lipatan kulit album dalam menyediakan petikan kata-kata setiap anggota mengenai rasional menjayakan konsert selama lebih dua jam itu.

    INFO:

    ARTIS: Led Zeppelin
    TAJUK: Celebration Day
    Genre: Blues Rock, Hard Rock, Folk Rock
    EDARAN: Warner Music Malaysia

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Pelakon sorok dalam bilik

    Posted: 31 Dec 2012 11:04 AM PST

    PETALING JAYA: Seorang pelakon dan model wanita yang terkenal dengan pelbagai kontroversi, dicekup polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kerana didapati memiliki dadah dalam simpanan di sebuah kediaman mewah di Damansara Damai, di sini, kelmarin.

    Dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang, pelakon berusia 26 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya, seorang penganggur juga berusia 26 tahun, selepas didapati memiliki dua biji pil disyaki Eramin 5 dengan anggaran berat 0.60 gram ketika pemeriksaan dalam kediaman berkenaan.

    Menurut sumber, pasukan polis menyerbu kediaman berkenaan selepas melakukan intipan sejurus menerima maklumat daripada orang awam mendakwa kedua-dua suspek disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

    "Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek berada dalam rumah berkenaan dan mereka pada mulanya enggan bekerjasama apabila tidak membuka pintu walaupun polis sudah memperkenalkan diri.


    "Selepas pegawai yang mengetuai serbuan mengetuk pintu rumah, suspek wanita membuka tingkap, tetapi segera menutupnya semula selepas menyedari kehadiran polis," katanya.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



    Tak sabar jadi suami isteri

    Posted: 31 Dec 2012 11:04 AM PST

    BATU PAHAT: Tidak sabar untuk hidup bersama sebagai sepasang suami isteri, sepasang kekasih yang hanya menunggu tidak sampai sebulan untuk diijabkabulkan ditahan di sebuah hotel bajet di Jalan Pantai, di sini, kelmarin.

    Dalam operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi itu, pasangan lingkungan 20-an itu pada mulanya berlagak seolah-olah sepasang suami isteri sebelum siasatan membongkar status sebenar hubungan mereka yang masih belum bernikah.


    Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit enggan membuka pintu.

    Menurutnya, selepas beberapa kali pintu diketuk, baru lah pasangan terbabit akhirnya membuka pintu berkenaan.


    "Selepas pintu bilik dibuka, kami dapati pasangan berkenaan ketakutan selepas menyedari perlakuan sumbang mereka bakal diketahui.


    "Kami dapati pasangan itu belum mempunyai ikatan sah dan tetap dikenakan tindakan kerana berada dalam bilik tertutup dan berdua-duaan sedangkan mereka bukan mahram," katanya.

    Saiful Ariffin berkata, setiap ibu bapa perlu mengingatkan anak masing-masing batasan pergaulan walaupun mereka sudah bertunang dan menunggu masa untuk bernikah.


    "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b), Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJSJ) 1997.

    "Selagi belum ada ikatan, ibu bapa dan individu itu sendiri perlu menjaga batas pergaulan masing-masing," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Warga Asia sambut tahun baru dengan meriah

    Posted: 31 Dec 2012 09:49 AM PST

    CANBERRA: Krisis kewangan? Kemelesetan? Tidak di Asia, tempat pertama di dunia yang menyambut kedatangan tahun baru 2013 dengan penuh ghairah.

    Myanmar yang semakin demokratik mengadakan pengiraan detik kedatangan tahun baru buat kali pertama.

    Jakarta merancang sambutan jalanan terbesar, sesuai dengan peningkatan ekonomi Indonesia.

    Di Sydney, orang ramai berkhemah sejak malam Ahad lalu di pantai pelabuhan untuk berada di tempat paling bagus ketika 1.5 juta orang dijangka berkumpul untuk menyaksikan pertunjukan bunga api yang berpusat di Jambatan Pelabuhan Sydney.


    Pantai itu penuh sesak ketika pertunjukan pusingan awal selama lapan minit untuk kanak-kanak berlangsung tiga jam sebelum acara sebenar di Sydney dan ketika jam menunjukkan 12 malam di Samoa dan kepulauan Pasifik Selatan yang lain menyambut ketibaan tahun baru.


    Di Hong Kong, pertunjukan bunga api yang menelan belanja HK$12.5 juta (RM4.8 juta) adalah yang terbesar pernah diadakan.

    Bagaimanapun, di New Delhi, semangat untuk menyambut tahun baru dicemari dengan kematian seorang mangsa rogol, Sabtu lalu.

    Hotel, kelab dan persatuan penduduk di ibu negara India itu memutuskan untuk membatalkan sambutan berkenaan, sebaliknya meminta orang ramai membakar lilin sebagai memperingati mangsa. - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



    3 sekeluarga mati di air terjun

    Posted: 31 Dec 2012 09:48 AM PST

    JOHANNESBURG: Sepasang suami isteri yang menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-14 bersama-sama anak perempuan mereka, mati selepas terjatuh ketika menyeberang sebuah air terjun di Afrika Selatan.

    Pasangan berkenaan bersama anak mereka berusia belasan tahun itu dipercayai berpegangan tangan ketika jatuh dari ketinggian 30 meter di air terjun berkenaan yang terletak di kawasan pedalaman, Jumaat lalu.

    Menurut akhbar Beeld, mereka yang terbunuh itu ialah Pieter Prinsloo, 38, isteri, Adele, 34 dan anak mereka, Shante, 13, dari Benoni, berhampiran Johannesburg.

    Mereka ditemui oleh pasukan penyelamat beberapa jam selepas terjatuh dari Air Terjun Rietfontein.


    Pemilik rumah percutian, Shawne Botha mengesahkan keluarga itu menetap di chaletnya di wilayah Mpubalanga, timur Afrika Selatan.


    Menurutnya, mereka keluar bersiar-siar sebaik mendaftar masuk di chalet berkenaan yang terletak berdekatan Taman Negara Kruger.

    "Mereka tiba sehari selepas Krismas. Keluarga itu keluar bersiar-siar dan menemuii ajal di air terjun berkenaan.

    "Amat menyedihkan kerana ketiga-tiga keluarga itu mati bersama," kata Botha.

    Menurut laporan akhbar Beeld, Prinsloo dan Adele adalah pasangan kekasih sejak kecil dan bercuti kerana meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-14 semalam.

    Keluarga itu dipercayai meraikan Krismas di rumah mereka di Benoni sebelum bercuti bersama anak mereka.

    Kakitangan rumah peranginan itu meminta bantuan kira-kira jam 10 malam apabila keluarga itu tidak pulang.

    Kawasan tragedi itu adalah antara yang paling sibuk di Afrika Selatan pada musim cuti. - DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved