Isnin, 10 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Terapi berkuda rangsang keyakinan

Posted: 10 Jun 2013 06:06 AM PDT

Dulu aktiviti tegar wanita ini berkunjung ke pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur. Pada hujung minggu mereka membawa anak-anak sekadar melepaskan tekanan dan melihat sekiranya ada padanan yang perlu dibeli.

Di samping memberi keseronokan kepada si kecil, membeli-belah ibarat terapi minda yang tiada penghujungnya. Selain terpaksa mengeluarkan duit, anak-anak juga perlu dikawal bagi memastikan keselamatan mereka terjaga.

Lupakan minat mereka suatu ketika dulu kerana kini keempat-empat wanita ini menjadikan aktiviti berkuda sebagai hobi dan rutin senaman yang dilakukan setiap minggu.

Walaupun jarak di antara rumah dengan lokasi menunggang kuda jauh, bagi Noor Wan Fadzil, Mariam Thomson, Umi Kalsom Nizar dan Noor Nerina Ernie, semua itu tidak menjadi masalah kerana kecintaan kepada kuda begitu tinggi melebihi perasaan mereka terhadap aktiviti membeli-belah yang menjadi kegemaran suatu ketika dulu.

Foto

NOOR bersama anak sulung, Ameer Deedat yang mengalami masalah cerebral palsy sejak berusia empat bulan.

Foto

MENUNGGANG kuda mengurangkan masalah sakit lutut dialami Umi Kalsom.

Foto

MARIAM mengakui berkuda memberi banyak kebaikan kepada kesihatan badan.


Aktiviti ini bukan saja menjadi lokasi pertemuan suri rumah, malah suami turut mempunyai minat yang sama. Lebih penting anak-anak juga turut didedahkan dengan kebaikan menunggang kuda sehingga mereka menjadi lebih yakin, berani serta tidak kekok berhadapan orang ramai.


Ketika berkunjung ke Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC) yang terletak di Shah Alam, kelihatan empat wanita segak dalam persalinan sukan berkuda lengkap but tinggi, topi, mengenakan joppers (seluar khas untuk menunggang kuda) dan chap sebagai pelindung kaki sedang leka bersama kuda masing-masing.

"Seronok sangat walaupun penat, peluh yang mengalir menandakan ia aktiviti sihat serta memberi pelbagai kebaikan kepada kesihatan badan," ujar Noor Wan Fadzil, ibu kepada empat cahaya mata yang mula menunggang kuda di DARC sejak September tahun lalu.

Suri rumah sepenuh masa ini menjelaskan, sebelum mendirikan rumah tangga dia pernah menunggang kuda, namun disebabkan terjatuh dia fobia lantas aktiviti ini ditinggalkan begitu saja. Selepas mendirikan rumah tangga dan memiliki empat anak berusia antara tiga hingga 12 tahun, dia teruja untuk kembali berkuda.

Semuanya bermula selepas anak sulungnya, Ameer Deedat Azwanuddin, 12, mengalami cerebral palsy (CP) atau kelumpuhan otak selepas terjatuh ketika berusia empat bulan.

"Selepas kejadian itu Ameer terus berkeadaan begini, tidak dapat mengendalikan otot sendiri serta mengalami gangguan fungsi saraf yang lain. Selepas doktor menyarankan supaya Ameer menjalani terapi berkuda, saya terus memulakannya," katanya yang sudah menggunakan pelbagai kaedah terapi untuk Ameer.

Menurut Noor, di luar negara terapi berkuda untuk kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) termasuk autisme, sindrom Down, kecacatan tubuh dan lemah pelajaran dijalankan secara meluas kerana ia memberi pelbagai kebaikan bukan saja pada fizikal, tetapi emosi mereka.

"Memang benar selepas beberapa kali sesi menunggang kuda, beberapa perubahan ketara boleh dilihat pada diri Ameer. Kali pertama memang dia agak kekok dan sering menundukkan kepala dan membengkokkan badan tetapi kini tidak lagi. Kepala sudah tegak begitu juga dengan badan. Ia sesuatu yang sangat positif kerana ketika menunggang, ada latihan yang diberikan kepada anak-anak ini," katanya.

Tambahnya, terapi berkuda dapat merangsang otot kaki dan membolehkan mereka berjalan secara perlahan-lahan. Malah, secara tidak langsung ia juga mampu mengatasi masalah psikologi dan perasaan seperti kurang keyakinan diri serta kemampuan bertutur dan berbicara.

Ini kerana wujud hubu–ngan unik antara penunggang dengan kuda, sekali gus menimbulkan rasa saling percaya sepanjang mereka menjalani sesi latihan.

Dia yang turut menghadapi masalah migrain dan badan lesu, selepas menunggang badan semakin kuat dan cergas malah migrain juga hilang. Selepas pulang ke rumah dia masih boleh melayan keempat-empat anaknya.

Kini aktiviti berkuda bukan saja untuk dirinya, malah suami dan tiga anak yang lain turut menjadikannya sebagai rutin mingguan. Keterujaan terhadap haiwan ini begitu tinggi sehingga dia sanggup membeli aksesori seperti gelang dan cincin berbentuk kuda serta pakaian berlatar belakang gambar kuda.

Bermula dengan anak yang dibawa bagi merasai pengalaman menunggang kuda akhirnya ibu kepada tiga cahaya mata, Mariam Thomson mulai jatuh cinta dengan kuda selepas kali pertama menunggangnya pada Disember 2012.

Dia yang tertarik selepas berkunjung ke DARC mengakui, selepas kali pertama menunggang dia merasai satu pengalaman yang sukar digambarkan. Ia tidak sama dengan aktiviti fizikal lain.

"Kali pertama mencuba memang rasa gayat apatah lagi apabila rasa takut ketika berseorangan di atas kuda. Namun, lama-kelamaan selepas diberi tunjuk ajar jurulatih, keyakinan mula bertambah dan saya semakin berani berseorangan mengendalikan kuda," katanya.

Menurut Mariam, jika dulu setiap hujung minggu dia meluangkan masa di pusat beli-belah bersama suami dan anak-anak, tetapi kini aktiviti bertukar di kandang kuda.

Menariknya sambil menunggang, dia boleh membiarkan ketiga-tiga anaknya bermain di kawasan sekitar tanpa risaukan keselamatan mereka.

"Keadaan ini berbeza ketika di pusat beli-belah, saya perlu menjaga anak-anak kerana mereka jarang duduk diam dan suka berlari ke sana sini. Aktiviti berkuda bukan saja mendidik mereka supaya tidak takut kepada kuda, malah mahir dalam menunggang. Lokasi yang mesra keluarga dan sesuai untuk membawa anak-anak kecil menyebabkan saya memilih DARC sebagai lokasi berkuda," katanya yang mendapat galakan suami sepenuhnya.

Menurut wanita berdarah campuran Melayu dan Scotland ini, aktiviti pada hujung minggu ini juga menjadi pertemuan dengan rakan-rakan. Ramai antara mereka suri rumah, ada juga yang bekerja jadi peluang ini digunakan untuk bertukar pendapat.

Jika selama ini mereka ke gimnasium atau merawat badan di spa, menunggang kuda turut memberikan kelebihan yang sama antaranya mampu merangsang dan menguatkan otot, terutama di bahagian pelvik dan tulang belakang serta membentuk tubuh menjadi lebih cantik.

Perkara sama turut diakui Umi Kalsom Nizar yang mula mengikuti aktiviti berkuda sejak Disember tahun lalu. Mulanya dia hanya membawa anak perempuan, Anfal Insyirah Abu Talib, 7, bagi mendedahkan si kecil ini kepada kuda. Tetapi lama-kelamaan timbul minat sehingga dia memberanikan diri mencuba.

"Saya mula menunggang kuda pada Februari lalu. Kali pertama duduk di atas kuda memang terasa gayat dan takut. Namun, jurulatih banyak membantu memberikan keyakinan sehingga lama-kelamaan saya mampu mengendalikan kuda sendiri," katanya yang menjalani latihan dua kali seminggu di DARC.

Ujar Umi, jika dulu dia kerap mengalami masalah sakit lutut dan kurang tumpuan terutama ketika memandu kereta kini selepas empat bulan banyak kebaikan diperoleh terutama dari sudut kesihatan.

"Saya dapati masalah sakit lutut semakin berkurangan dan hilang sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan angin dalam badan. Tubuh lebih segar dan sihat, malah mampu mengekalkan berat badan. Saya juga lebih fokus ketika memandu dan memberikan tumpuan dalam sesuatu perkara," katanya yang begitu obses dengan kuda sehinggakan sering tersenyum apabila membicarakan mengenai haiwan ini.

Selain menunggang di DARC, Umi bersama rakan-rakan turut berkuda di pantai seperti di Cherating, Pahang. Menunggang di pantai dan laut memberikan satu pengalaman yang cukup mendebarkan.

"Saya dapati kuda sangat sukakan air terutama pada waktu pagi, malah kuda boleh berenang dengan baik. Ketika kali pertama mencuba memang rasa takut, tetapi saya perlu berani berinteraksi dengan kuda kerana haiwan ini boleh memahami emosi manusia," katanya.

Jika ada mengatakan menung–gang kuda suatu aktiviti untuk golongan berada, ia satu tanggapan yang salah. Terdapat banyak pusat menunggang kuda yang menyediakan harga berpatutan dan sesuai untuk semua peringkat usia.

"Jika individu sanggup mengunjungi gimnasium setiap minggu dan membayar yuran bulanan, konsepnya sama seperti menunggang kuda. Malah, aktiviti ini menjadi amalan Nabi Muhammad SAW dan disebut dalam al-Quran kerana mempunyai banyak kebaikan, jadi mengapa tidak kita mengamalkannya," kata Umi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Rahmat penduduk Sungai Kinabatangan

Posted: 10 Jun 2013 05:42 AM PDT

Sebagai anak FELDA, perjalanan lebih dua jam melewati ladang kelapa sawit di Sandakan tidak menjemukan, bahkan ada kalanya terasa seperti menuju ke kampung sendiri.

Pemandangan ladang yang sesekali berselang rumah kampung mengimbau kenangan sewaktu kecil terutama tiga empat tahun selepas berpindah ke tanah rancangan.

Beberapa teman tertawa apabila diberitahu Nestle Malaysia membawa penulis jauh ke Sabah semata-mata untuk melawat ladang kelapa sawit. Macamlah tidak sama dengan ladang kelapa sawit di Semenanjung. Ya, memang sama, tetapi tidak serupa. Bezanya di sini, di celah-celah ladang kelapa sawit syarikat besar terselit kebun kecil milik penduduk kampung.

Perbezaan kedua dan lebih utama, sebahagian besar ladang itu terletak di pinggir bahagian bawah Sungai Kinabatangan sungai terpanjang di Sabah dan kedua panjang di Malaysia. Kehadiran barisan pokok kelapa sawit yang jaraknya hanya beberapa langkah dari tebing sungai sedikit sebanyak menjejaskan ekosistem Sungai Kinabatangan.


Jadi apa kaitan ladang kelapa sawit dan ekosistem Sungai Kinabatangan de­ngan Nestle sehingga mahu campur tangan dalam hal ini? Banyak. Semuanya demi kepentingan bersama supaya semua pihak tidak me­ngenepikan kesejahteraan alam dalam usaha mening­katkan hasil pertanian dan mutu kehidupan.


Pegawai Pertanian Nestle Manufacturing (M) Sdn Bhd, Kertijah Abdul Kadir berkata, berdasarkan falsafah Mewujudkan Perkongsian Nilai yang diamalkan syarikat itu, maka terhasillah projek perintis dipanggil Kumpulan Sawit Lestari Kinabatangan bagi mempelbagaikan kerjaya dalam usaha meningkatkan pendapatan dan mutu kehidupan penduduk.

Projek perintis membabitkan 30 pemilik ladang persendirian yang bermula pada Disember 2012 lalu dan dijangka dapat mencapai sasarannya dalam tempoh dua tahun. Tujuannnya adalah untuk membabitkan pemilik ladang kelapa sawit persendirian di daerah Kinabatangan yang mempunyai pelbagai saiz ladang untuk mendapat status Perakuan Minyak Sawit Mampan (CSPO) dan hasil ini akan menjadi sumber bekalan minyak sawit Nestle.

Ia sejajar dengan falsafah Nestle yang mahukan semua pihak mendapat keuntungan. Projek ini bertujuan membantu peladang meningkatkan hasil dan mutu pengeluaran mereka supaya dapat memenuhi standard ketat Nestle dan secara tidak langsung mengurangkan kesan pencemaran kepada alam sekitar.

Awang Aziz, 70, yang memiliki ladang kelapa sawit seluas tiga ekar dengan hasil dua tan sebulan gembira apabila ditawarkan menternak ayam secara sambilan di ladangnya. Dua kali cubaan tidak menjadi, ayam diternak banyak yang mati. Namun dalam cubaan ketiga, Awang boleh tersenyum lega.

Apa istimewanya ayam ternakan dalam ladang ini? Pemilik ladang tidak digalakkan menggunakan baja kimia dan racun rumpai, sebaliknya diberikan cecair mengandungi mikrob sebagai ganti untuk disembur pada tanah dan pangkal pokok kelapa sawit.

Kaedah ini dipanggil kawalan biologi di mana semburan mikrob itu sebagai augmentasi atau penambahan nilai tanah secara semula jadi yang bertujuan mengurangkan kesan kerosakan pada persekitaran dengan meminimumkan atau mengoptimumkan peng­gunaan bahan kimia (secukupnya) di ladang di samping menjimatkan wang dan meningkatkan keselamatan peladang. Malah pendekatan kawalan biologi ini secara tidak langsung dapat menangani masalah cendawan Ganoderma, yang menjadi perosak utama pokok kelapa sawit.

Pengusaha ternakan ayam tempatan yang bekerjasama dalam program ini akan membekalkan anak ayam dan mengambilnya kembali apabila ayam sudah cukup besar untuk dijual pada harga RM15 seekor. Mungkin satu hari nanti mereka boleh membekalkan ayam organik untuk pasaran tempatan kerana ayam ini hanya makan rumput dan jagung selain diternak tanpa suntikan hormon dalam persekitaran yang bersih.

Ketika ditemui, Hadi Ahmad, 44, sibuk menyiapkan sendiri reban ayamnya. Seperti Awang, dia juga teruja apabila terpilih menyertai projek ternakan ayam kerana daripada 14 ekar kebun kelapa sawitnya, baru tujuh ekar ditanam dengan hasil yang masih rendah - dua atau tiga tan sebulan.

Harga satu tan kelapa sawit turun naik ikut pasaran, dengan purata RM400 sebulan - tidak cukup untuk menanggung keperluan keluarga dan anak yang bakal mencecah lapan orang. Tawaran itu umpama orang mengantuk disorongkan bantal kerana dia memang menunggu peluang menambah pendapatan di kebun sendiri.

Namun dalam projek perintis ini ada yang dikhususkan untuk memberi perhatian kepada ladang kelapa sawit saja seperti Noor Azizah Bibu, 42, dari Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi yang baru dua bulan menggunakan semburan mikrob.

Walaupun masih terlalu baru, dia teruja dengan perkembangan positif ditunjukkan pokok kelapa sawit di kebunnya kerana ia tampak lebih sihat dan segar berbanding ketika menggunakan baja kimia.

"Selain itu, saya juga diberi panduan perladangan seperti memotong pelepah kelapa sawit menjadi kecil supaya ia lebih cepat reput dan menjadi baja. Malah untuk pokok yang ada di lereng, saya disarankan menyusun pelepah secara melintang bagi mengurangkan hakisan tanah akibat hujan. Memang rasa seronok apabila ada pihak yang sanggup datang ke ladang kami dan memberi khidmat nasihat untuk memperbaiki teknik berladang," katanya tersenyum.

RiLeaf dan KAPOK

Namun ada satu lagi aktiviti kemasyarakatan iaitu program penghutanan semula tebing Sungai Kinabatangan melalui Projek RiLeaf Nestle supaya air yang menjadi sumber kelangsungan hidup manusia, alam dan perladangan akan terjaga.

Menurut Kertijah, inisiatif tiga tahun itu membabitkan kawasan seluas 2,400 hektar di sepanjang 110 kilometer di bahagian bawah Sungai Kinabatangan dan sehingga kini, lebih 123,000 pokok sudah ditanam berdasarkan kepada jumlah pembelian anak benih. Sebenarnya 2,400 hektar ini adalah pecahan kecil daripada keluasan sebenar yang perlu 'dibantu' iaitu seluas 32,000 hektar.

Apa yang menarik ialah projek penghutanan semula tebing sungai ini turut membabitkan penduduk kampung khususnya wanita kerana Nestle membeli anak benih pokok hutan daripada Komuniti Anak Pokok Kinabatangan (KAPOK) yang kini mempunyai 34 ahli berdaftar.

Isnidah Jangai, 35, dari Kampung Bilit yang menjadi ahli KAPOK sejak 2006 berkata, ada tiga cara membekalkan anak benih iaitu daripada biji benih, anak benih yang tumbuh liar di hutan atau ladang dan keratan cabang pokok. Namun kaedah yang lebih mudah ialah mencari anak benih dari hutan untuk ditanam semula dan dibesarkan di rumah.

"Anak benih ini akan ditanam dalam polibeg hitam dan diletakkan di tempat teduh terlebih dulu hingga ia mencecah pada ketinggian tertentu. Selepas itu barulah anak benih ini diletakkan di tempat panas selama dua minggu supaya ia tahan lasak sebelum boleh ditanam di tebing sungai.

"Apabila masuk hutan kami akan mencari biji dan anak benih. Kadangkala kami boleh mengumpulkan sehingga 1,000 biji benih. Apabila cukup besar wakil Nestle akan datang membelinya tetapi kami tidak disekat daripada menjual kepada orang lain seperti kumpulan sukarelawan, pelancong dan pelajar yang menyertai program penghutanan semula," katanya.

Projek penghutanan semula tebing Sungai Kinabatangan yang diwarisi daripada WWF Malaysia itu turut memberi peluang kepada ahli KAPOK dan penduduk kampung pendapatan tambahan kerana anak benih boleh dijual pada harga RM1.90 hingga RM5 sepokok.

Kata Kertijah, dalam usaha penghutanan semula tebing sungai, terutama yang sudah dijadikan ladang kelapa sawit, banyak usaha dijalankan bagi meningkat­kan kesedaran dan mendapat kerjasama penduduk kampung.

Selepas dibeli, sebahagian anak benih dikumpulkan di Tapak Semaian Penghasilan Pokok Kinabatangan, Kampung Bilit yang boleh menempatkan sehing­ga 10,000 anak pokok pada satu masa sebelum dipindahkan ke hutan.

Walaupun sudah dilatih untuk lasak, tidak semua anak pokok hutan yang ditanam boleh bertahan dan setakat ini kadar kematian mencecah 30 peratus. Antara 'musuh' yang perlu dihadapi ialah rumpai menjalar, dipijak haiwan liar dan banjir.

Untuk menangani masalah ini, Kertijah dan pasukannya menjalankan kajian penanaman sampel bagi meningkatkan kelangsu­ngan hidup anak benih dan menjimatkan perbelanjaan.

Penyelia lapangan akan memantau proses pembelian dan penanaman di tapak semaian dan hutan. Malah pegawai dari Jabatan Perhutanan juga akan membuat tinjauan setiap enam bulan.

"Mengapa kami memilih Sungai Kinabatangan? Su­ngai Kinabatangan dan hutan sekitarnya adalah antara ekosistem terkaya di dunia yang menjadi rumah kepada bermacam jenis haiwan ter­ancam. Namun disebabkan kepesatan industri perladangan, ia memberi kesan kepada persekitaran sehingga hutan di sini dikelaskan sebagai hutan terjejas.

"Dengan adanya soko­ngan daripada Universiti Malaysia Sabah, kami cuba menyedarkan penduduk kampung (pemilik ladang persendirian) untuk mengu­rangkan penggunaan baja kimia dan beralih kepada amalan perladangan yang baik dan semula jadi," kata Kertijah.

Projek persekitaran seperti ini mengambil masa beberapa tahun untuk dilihat manfaatnya. Diharap­ kan ada pihak lain yang turut berminat berganding bahu dan meneruskan usaha ini. Namun sebelum tempoh tiga tahun berakhir, Nestle mensasarkan untuk menanam sekurang-kurangnya 100,000 pokok bagi membantu mengembalikan ekosistem Sungai Kinabatangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Lapan pemilik kerugian

Posted: 09 Jun 2013 10:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Lapan gerai menjual pelbagai barangan yang terletak bersebelahan sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini musnah dijilat api, semalam.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah malam sebelum mengarahkan anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terdiri daripada BBP Titiwangsa, BBP Sentul, BBP Setapak dan BBP Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.


"Ketika jentera pertama dari BBP Titiwangsa tiba di tempat kejadian, kebakaran sudah merebak ke gerai lain sebelum usaha memadamkan api giat dijalankan.

"Seramai 44 anggota terbabit dalam operasi memadam api dan berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 1.45 pagi," katanya.

Katanya, kebakaran itu berjaya dikawal dan dipadamkan dalam masa satu jam 25 minit.


"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kebanyakan gerai sudah ditutup ketika itu," katanya.


Katanya, pihaknya masih lagi menyiasat punca serta jumlah kerugian.

Foto

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Dari Buku Ke Layar Perak

Posted: 09 Jun 2013 02:53 PM PDT

Filem 'World War Z' diadaptasi dari sebuah novel seram pasca kemusnahan dunia ('post apocalyptic') tulisan Max Brooks yang berjudul 'World War Z: An Oral History of the Zombie War'. Buku yang dikeluarkan pada tahun 2006 itu merupakan kesinambungan kepada 'The Zombie Survival Guide' (2003) dan telah mendapat sambutan yang hangat daripada pengkritik yang melihat usaha Brooks sebagai berjaya membawa nafas baru kepada genre zombie.

Ekoran daripada itu, bermulalah perang bidaan di antara syarikat produksi Leonardo DiCaprio, Appian Way and Plan B Entertainment milik Brad Pitt pada tahun 2007, yang akhirnya melihat hak tayangan jatuh kepada Plan B.

Tetapi bukan mudah untuk membawa cerita Brooks ke layar perak, lebih-lebih lagi bila karyanya itu dipersembahkan sebagai satu siri temubual lisan yang menceritakan sejarah World War Z daripada pelbagai sumber. Pihak penerbit kemudiannya memutuskan untuk menyampaikan kisah World War Z melalui seorang protagonis berbanding ramai pihak tetapi pada masa yang sama mengekalkan tema dan plot cerita.

Mereka yang bertanggungjawab untuk mengadaptasikan tulisan Brooks kepada sebuah skrip terdiri daripada Matthew Michael Carnahan ('The Kingdom', 'State of Play'), Drew Goddard ('Lost', 'The Cabin in the Woods') dan Damon Lindelof ('Lost', 'Star Trek Into Darkness').


Filem 'World War Z' bermula pada satu hari yang biasa, seperti hari-hari yang lain. Seperti biasa, Gerry Lane dan keluarganya mendapati diri mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.


Namun, sebagai seorang bekas penyiasat United Nations, Lane dapat merasakan ini bukan kesesakan jalan biasa. Kedengaran bunyi helikopter berterbangan di udara ditambah pula dengan bunyi bingit siren polis. Ia sebenarnya petanda bahawa keadaan sudah mula huru-hara.

Satu virus sedang pantas merebak. Mangsa yang digigit akan bertukar dari manusia biasa kepada sesuatu yang liar dan tidak dikenali. Mereka ini kemudiannya akan bertindak menyerang orang lain.

Asal usul virus tersebut tidak diketahui tetapi bilangan yang dijangkiti dengan virus ini bertambah pada kadar yang membimbangkan. Sehinggakan mengatasi pihak tentera di serata dunia dan membawa kepada kemusnahan kerajaan.

Lane terpaksa kembali kepada kehidupan lalunya untuk memastikan keselamatan keluarganya. Dia perlu mencari punca wabak itu dan cara menghentikan penyebarannya.

'World War Z' akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 20 Jun 2013.

VIDEO:

Ingin berjumpa dengan zombi World War Z? Klik disini & menangi hadiah yang menarik! Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Tak sabar timang cahaya mata

Posted: 09 Jun 2013 06:38 AM PDT

Mereka sah bergelar pasangan suami isteri di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju pada Jumaat lalu. Dengan hanya sekali lafaz, Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego, 33, sah bergelar suami kepada Norhazlinda Hashim atau Linda, 29.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Mohd Nizam Wahab disaksikan oleh bapa pengantin perempuan, Hashim Yusof pada kira-kira pukul 9.25 malam.

Keesokan malamnya, Sabtu, pasangan ini mengadakan majlis resepsi mereka di Dataran Karyawan Finas dalam majlis cukup meriah yang dihadiri oleh ramai kenalan penggiat seni termasuk dari negara seberang, Indonesia.

Berada di majlis ini seakan berada di pentas filem kerana pasangan ini memilih menampilkan konsep fantasi filem ilham Linda sendiri yang diambil dari sebuah majalah Indonesia.

Foto

BARISAN artis yang hadir ke majlis ini.

Foto

PERSEMBAHAN istimewa daripada Endang buat pasangan mempelai.


Impiannya ini direalisasikan oleh kakaknya, Erin Hashim yang juga seorang perunding perkahwinan. Menerusi syarikatnya Erins N Erinas Sequins, dia memastikan hari bersejarah buat adiknya ini menjadi kenangan yang sukar dilupakan oleh semua yang hadir.


Turut menampilkan konsep dalam taman, Linda tampil dengan busana moden berwarna ungu manakala Beego segak dengan baju Melayu berwarna sedondon hasil rekaan Erin pada majlis yang dihadiri oleh hampir 1,500 tetamu ini.

Menjelang jam 9 malam, pasangan ini tiba di Dataran Karyawan yang diiringi oleh tiupan pemain bag pipe yang ditaja oleh Erin khas buat adik kesayangannya. Selepas itu mereka menaiki pelamin khas yang disediakan.

Sepanjang tempoh ini, pasangan mempelai dan tetamu dihiburkan dengan persembahan dari artis terkenal Indonesia, Endang S Taurina yang turut mengundang anaknya ke atas pentas serta persembahan dari bintang Akademi Fantasia Indonesia, Cindy dan Adi Darmi.

Menariknya, majlis ini seakan menjadi medan artis 'senior' berkumpul kerana yang kelihatan hadir antaranya Fadilah Mansor, Rozie Othman, Hamidah Wahab, Ku Fridah dan ramai lagi kerana mereka sebenarnya adalah kenalan Allahyarham ibu Linda, Zurina Arif.

Manakala artis seangkatannya yang hadir pula antaranya ialah Zed Zaidi, Que Haidar, Siti Elizad, Wan Norazlin, Kalam Sup dan isterinya Norliza Ismail serta Mahmud Ali Basha.

Majlis turut dimeriahkan dengan acara menepung tawar yang dilakukan oleh keluarga kedua-dua belah pengantin serta sesi bergambar dengan rakan-rakan artis termasuk yang datang daripada Indonesia.

Linda memberitahu perasaannya lega dan gembira kerana majlis yang sudah lama dirancang akhirnya berjalan lancar. Apatah lagi dia sudah mengeluarkan kos yang agak banyak bagi memastikan majlis ini memenuhi kehendaknya sekali gus memberi keceriaan buat semua yang hadir.

"Kos awal yang dikeluarkan ialah RM40,000. Tapi selepas itu saya keluarkan lagi kos yang tak sempat dikira untuk pelbagai perkara lain. Tak kisahlah kerana yang penting saya nak segalanya berjalan lancar. Tujuan saya ialah nak meraikan dengan keluarga, rakan-rakan dan pihak media.

"Sebenarnya ada banyak pihak yang nak menaja termasuk pereka fesyen terkenal tapi saya lebih utamakan permintaan kakak yang nak menaja majlis saya. Dia mahu menghadiahkan sesuatu yang bermakna buat saya. Kami hanya tiga beradik dan adik bongsu kami pula lelaki iaitu Firdaus.

"Saya juga bukan nak mengetepikan artis kita dalam persembahan kerana sebenarnya Endang dan artis-artis AF Indonesia adalah teman rapat saya ketika saya berlakon di sana. Mereka yang menawarkan diri untuk menyanyi dan saya menghormati permintaan mereka," katanya.

Menurutnya, hanya satu daripada perancangannya gagal menjadi kenyataan iaitu menyiarkan persembahan video bibit-bibit percintaan mereka. Ia sukar dilaksanakan kerana tiada tempat yang sesuai untuk meletakkan skrin gergasi.

"Ini adalah masalah kecil dan saya tak ralat sangat kerana perancangan lain semuanya berjalan lancar. Cuma saya risau dengan keadaan cuaca yang tak menentu kerana malam sebelumnya (selepas akad nikah) hujan turun dengan lebat ketika kerja memasang pelamin dibuat.

"Kami semua turun padang untuk buat sendiri semua ini hingga awal pagi. Saya berdoa agar hujan tidak turun dan alhamdulillah permintaan saya dimakbulkan kerana cuaca sangat baik.

"Saya sebenarnya gembira kerana bermula dari proses awal sehinggalah acara akad nikah dan resepsi persandingan dipermudahkan tanpa halangan yang besar. Cuma saya kena ambil vitamin C untuk kekalkan tenaga kerana saya memang letih kerana tak cukup tidur untuk buat persiapan," katanya.

Mengulas mengenai bulan madu, Linda menjelaskan kedua-dua mereka akan kembali ke lokasi penggambaran pada 14 Jun ini. Namun, mereka beruntung kerana mendapat tajaan dari pihak tertentu untuk bercuti ke Bali pada 19 Jun ini selama seminggu.

"Ini rezeki dan kami tak menolak. Selepas ini kami akan bercuti ke Taiwan pula pada awal Julai sebelum Ramadan. Namun sebenarnya saya merancang untuk pergi umrah bagi menunaikan nazar.

"Sebelum ini ketika menunaikan umrah, saya pernah bersembahyang di depan Kaabah dan berdoa agar ditemukan jodoh. Saya berniat jika bertemu jodoh, saya akan kembali semula ke situ untuk melakukan sujud syukur.

"Alhamdulillah...Allah sudah tunaikan permintaan ini dan saya kenalah kotakan apa yang dikata. Cuma, saya sedang melihat tarikh yang sesuai untuk ke sana. Mungkin juga kami akan pergi selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Apapun semuanya dalam perancangan katanya," katanya.

Menjawab persoalan mengenai anak pula, Linda memberitahu mereka tidak merancang dan akan menyambut rezeki yang ada dengan penuh syukur kerana menjadi impian setiap pasangan berkahwin untuk mempunyai zuriat sendiri.

"Kalau dapat lagi cepat lagi bagus kerana sekurang-kurangnya anak ini dapat membesar. Taklah nanti apabila usia sudah meningkat mencapai 40 tahun, kita baru nak hantar anak masuk sekolah," katanya yang berterima kasih kepada Ryaniez Moments yang menjadi jurugambar rasmi majlis perkahwinan mereka dan Wan Noor Inai yang menaja inai yang dikenakan pada majlis ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Si kerdil hanya makan pasta, telur

Posted: 09 Jun 2013 08:38 AM PDT

Glasgow: Si kerdil Nick Smith sering didukung adik dan abangnya yang dua kali lebih tinggi berbanding dirinya.

Nick, 21, yang berketinggian 0.93 meter mengalami sakit kekerdilan yang hanya dialami 100 orang di seluruh dunia.

Bagaimanapun, adik lelakinya, Levis, 18 dan abangnya Travis, 24, kedua-duanya berketinggian 1.94 meter.

Travis berkata: "Kami selalu berjenaka mengatakan kami mencuri genetik ketinggiannya."

Foto

NICK (tengah) memeluk abangnya Travis (kiri) dan adik lelakinya, Levis.


Levis juga menambah: "Saya masih menghormatinya sebagai abang saya."


Orang yang berkeadaan seperti Nick jarang dapat hidup melebihi 20 tahun. Dia telah menjalani lapan pembedahan, termasuk memindahkan empat aneurisme otak.

Buah pinggangnya gagal berfungsi sebanyak 30 peratus, dan dia hanya makan pasta dan telur putih.

Ibunya, Shelley, 48, berkata: "Dia seorang yang ceria. Dia pandai mengambil hati wanita.

"Bagi saya, ia bagaikan mempunyai anak yang tidak membesar. Apa lagi yang boleh menggembirakan seorang ibu?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Setahun ditipu bekas suami

Posted: 09 Jun 2013 08:31 AM PDT

Minneapolis: Seorang janda di Minnesota mendapat tahu lelaki yang dikenali dan berkomunikasi dengannya di Internet selama setahun sebenarnya ialah bekas suaminya.

Selepas menyedari situasi sebenar, wanita berkenaan memfailkan saman kerana mengintipnya.

Brian Matthew Cornelius, 36, didakwa mereka "nama samaran di Internet" sebelum berkomunikasi dengan bekas isterinya.

Sepanjang tempoh berhubung di Internet, bekas isterinya mendedahkan banyak maklumat intim mengenai diri sendiri, termasuk perasaannya terhadap bekas suaminya itu.


Sebuah akhbar tempatan melaporkan, Cornelius memantau kediaman bekas isterinya melalui webcam.


Dia turut meyakinkan wanita itu agar 'tidak muncul di mahkamah.' untuk menghadiri perbicaraan menuntut supaya dia tidak diganggu bekas suaminya.
Kerana tidak hadir, kes itu digugurkan.

Akhirnya, wanita berkenaan dapat mengagak bahawa 'Aaron Carpenter' sebenarnya Brian Cornelius, bekas suaminya.

Menurut laporan, Cornelius muncul di tempat sama di mana wanita itu memberitahu 'Carpenter' dia akan berada di sana.

Lelaki 'Carpenter' itu juga bercakap mengenai perkara yang sama yang hanya bekas suaminya tahu.

Apabila disergah bekas isterinya Cornelius akhirnya mengaku menggunakan imej di Internet untuk dipadankan dengan profilnya.

Kedua-duanya berkahwin selama 11 tahun dan mempunyai dua anak.

Cornelius berdepan dua pertuduhan salah laku pengintipan. Dia akan dibicarakan bulan depan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Siapa pilih Australia?

Posted: 09 Jun 2013 09:19 AM PDT

Kuala Lumpur: "Bukan soal menang atau kalah, tapi siapa sebenarnya yang ada kaitan dalam FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) menguruskan latihan dan perlawanan persahabatan ke Australia.

"Apakah ada individu atau pihak tertentu yang mendapat keuntungan daripada program itu?" Demikian kenyataan wakil bagi kumpulan yang meng gelarkan diri mereka Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ) Alfadli Awaludin percaya ada individu meraih habuan dalam mengatur perlawanan ke Australia sehingga menyaksikan anak buah Datuk K Rajagobal dimalukan kelab yang diwakili pemain sambilan, Canberra FC pada perlawanan persahabatan baru-baru ini.


Mempersoalkan mengapa FAM menolak mentah-mentah perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Singapura sebelum memutuskan untuk ke Australia, Alfadli yakin semua itu sudah dirancang kerana terang-terangan menolak perlawanan yang lebih berkualiti berbanding kelab tidak dikenali seperti Canberra FC.

"Sebagai wakil kepada peminat tempatan, saya tidak ter kejut kalau pasukan kita kalah sebab tewas kepada pasukan kelab sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru.


"Senario ini sudah berlaku sejak sekian lama. Kalau me nang pun dengan Canberra FC, orang akan pertikaikan juga, apatah lagi kalau kalah.


"Yang menjadi persoalan utama ialah siapa yang memutuskan lawatan ke Australia itu dan mengaturkan perlawanan untuk skuad negara? "Kalau fikir dengan fikiran yang waras, pasti kita persoalkan kenapa tidak pilih Thailand atau Vietnam selepas perlawanan dengan Singapura dibatalkan. Kenapa nak juga ke Australia bertemu pasukan kelab?," tanyanya.

Jelas Alfadli, rasa kecewa ke atas skuad negara sudah lama dirasai peminat setia tempatan, tetapi jelasnya apa yang pasti lebih mengecewakan ialah apabila individu yang diberi ke percayaan tidak menjalankan tugas dengan jujur.


"Perkara ini pun sudah kami sentuh pada sidang media sebelum ini, jadi sebenarnya isu ini sudah lapuk," katanya.

Skuad kebangsaan menerima aib cukup memalukan apa bila kecundang 2-3 kepada Canberra FC sehingga akhbar The Canberra Times memilih menggunakan tajuk 'pemain sam bilan raih kemenangan ke atas pasukan kebangsaan'.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Maria tak kesal

Posted: 09 Jun 2013 09:14 AM PDT

Paris: Gelaran Terbuka Perancis dirampas daripadanya selain mengalami kekalahan keempat di final Grand Slam dan ke-13 berturut-turut kepada Serena Williams namun Maria Sharapova (gambar) berkata, dia meninggalkan Paris tanpa rasa kesal.

Itulah yang berada dalam fikiran pemain Russia itu selepas tewas 6-4, 6-4 kepada pemain AS itu pada perlawanan akhir di Roland Garros pada hari yang menyaksikan dia mendahului 3-0 di set pertama dan bangkit daripada ketinggalan mengikat kedudukan 4-4 di set kedua namun gagal untuk memanfaatkan peluang yang dimilikinya.


Bercakap mengenai apa yang berlaku, Maria berkata, tiada apa yang perlu difikirkan.

"Sebenarnya tidak banyak yang saya kesalkan dalam hidup saya. Saya cuba untuk tidak mempunyai apa-apa kekesalan. "Anda perlu memandang ke depan dan tidak kira berapa banyak kali saya kalah kepada lawan atau saya berada dalam apa keadaan sekalipun, sama ada saya berada di atas atau di bawah atau bagaimana ia berakhir atau bagaimana ia selesai.


"Anda perlu teruskan ke depan. Sudah tentu saya fikirkan saya berjaya menempah kedudukan ke final. Saya berusaha keras menentangnya namun ia tidak cukup.


"Dia mempamerkan aksi tenis yang hebat. Sudah tentu tidak perlu memberi sebarang alasan, tetapi dia bermain dengan sangat baik." Sementara itu Serena memberi amaran kepada musuhnya bahawa mereka perlu memberi perhatian kepada keupayaannya dan persaraan tidak berada dalam agendanya apabila meletakkan sasaran untuk menambah gelaran Grand Slam ke-16.

Bukti sudah menunjukkan selagi dia masih lagi cergas dan terus bermotivasi menjelang tiga dekad pembabitannya dalam siri jelajah, Maria dan pemain nombor tiga dunia, Victoria Azarenka, dua pemain yang mampu mencabar kekuasaan pemain Amerika yang akan terus berusaha keras memastikan kemenangan berpihak kepadanya.


"Saya amat tenang. Saya menikmati setiap detik berada di sana. Saya sentiasa berkata saya sentiasa berasa seperti saya tidak pernah mempamerkan aksi tenis terbaik saya," katanya, pemain tertua yang menang di Paris dalam era Terbuka. "Saya sudah mengatakannya untuk bertahun-tahun bahawa saya berasa seperti saya sentiasa mampu untuk melakukan lebih baik dan bermain dengan baik dan saya sentiasa mahu mencapai tahap itu. Mungkin saya cuba untuk berada di sana." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Banjir separas buku lali

Posted: 09 Jun 2013 11:05 AM PDT

Alor Setar: Hujan lebat lebih tiga jam sejak jam 6 petang tadi menjejaskan kira-kira 300 penduduk di dua taman perumahan di Jalan Telok Wanjah, di sini.

Difahamkan, kejadian banjir kilat di dua kawasan perumahan sehingga ke paras buku lali itu menyebabkan penduduk mengalihkan barangan rumah dan perabot ke tempat lebih tinggi.

Penduduk Taman Ambar, Cheng Sak Wang, 63, berkata dia terkejut apabila melihat ruang tamu rumah teresnya ditenggelami air kira-kira 15 sentimeter (cm).

"Rumah saya dilanda banjir kilat..walaupun ia bukan banjir besar namun ia memberi masalah buat saya ketika mahu membersihkan rumah.

Foto

Hujan lebat sejak tiga jam menyebabkan beberapa jalan utama serta kawasan perumahan di sekitar bandar Alor Setar dinaiki air.


"Saya berharap pihak berkuasa boleh mengambil tindakan dengan memastikan aliran air, longkang dan sungai bebas dari tersumbat, " katanya.


Sementara itu, jurucakap dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dihubungi berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan berhubung air naik di jalan di Taman Rakyat, di sini. Jurucakap itu, berkata pihaknya sudah membuat rondaan di sekitar kawasan terjejas sebagai persediaan awal banjir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

'Saya macam bangkai bernyawa'

Posted: 09 Jun 2013 11:05 AM PDT

Kota Bharu: "Saya amat tertekan, malah pernah terfikir akan menjadi bangkai bernyawa. Bagaimanapun, saya cuba menjalani kehidupan seperti biasa kerana setakat ini doktor mengesahkan saya bebas daripada jangkitan HIV," kata bekas suami kepada seorang penghidap HIV.

Hanya mahu dikenali sebagai Iskandar, 43, dia tidak menyangka wanita dikahwininya pada 2004 itu penghidap HIV selepas menemui surat kematian bekas suami kepada isterinya yang meninggal dunia kerana penyakit maut itu dan surat pengesahan doktor yang menyatakan bekas isterinya turut menghidap HIV.

Katanya, dia mengahwini wanita berusia 35 tahun itu tanpa menjalani ujian saringan HIV kerana tidak diwajibkan di Kelantan ketika itu.

"Sepanjang berkahwin, bekas isteri menyembunyikan bahawa bekas suaminya meninggal dunia akibat HIV. Saya juga tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah pada 2010 saya terjumpa surat kematian bekas suaminya yang meninggal dunia kerana HIV.

Foto

ASMA merahsiakan penyakit HIV selepas dia sendiri tidak menyangka disahkan positif.


"Bukan setakat itu saja, saya turut menemui surat pengesahan doktor bahawa bekas isteri menghidap HIV. Ketika itu memang saya marah kerana berasa ditipu, tetapi apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved