Isnin, 24 Disember 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Derma menerusi pendidikan

Posted: 24 Dec 2012 06:35 AM PST

ORANG kita semuanya baik hati. Pantang tengok orang susah minta derma mesti hulur wang RM1, RM2 atau lebih daripada itu. Tidak percaya? Cuba baca ayat di bawah dan berfikir sama ada anda pernah melihat mahupun mengalami sendiri situasi seperti dinyatakan.

Pertama, ketika anda sedang enak menjamu selera di kedai, warung mahupun restoran, tiba-tiba datang individu meminta sedekah menghampiri meja makan anda.

Bukan berseorangan, dia ditemani seorang lagi teman yang memimpin tangannya untuk menunjuk kedudukan dan arah jalan. Sambil berkata 'cik, derma cik' tangannya turut menggenggam bungkusan kecil tisu.

Kedua, lelaki atau wanita seusia ibu bapa kita itu seorang yang cacat penglihatan sebab itu dia dipimpin. Selain mereka, situasi yang sering dilihat juga ramai kanak-kanak atau remaja meminta di sedekah di tepi jalan, stesen minyak dan pelbagai lokasi lain.


Apa perasaan anda? Sedih, kasihan atau malu?


Jujurnya, ramai antara kita yang memang berhati mulia kerana mudah membantu, bersedekah dan menderma. Tidak kiralah berapa jumlahnya dan dalam bentuk apa sumbangan itu, sekurang-kurangnya kita berbuat sesuatu dengan tujuan menolong orang kurang berkemampuan.

Namun, tiba-tiba satu persoalan muncul di kepala, adakah anda tidak takut ditipu? Jawapan yang ringkas, tetapi mendalam maknanya serta-merta menitip di bibir, 'niat kita murni, jika mereka mahu menipu itu terpulang, ia urusan dia dan Tuhan'.

Sikap suka menderma juga sering dilihat apabila tiba Ramadan. Ramai orang persendirian mahupun organisasi korporat berlumba-lumba menghulurkan bantuan kepada rumah kebajikan, anak yatim, golongan fakir miskin serta ibu tunggal.

Adakah apabila muncul bulan puasa baru anda mahu menderma? Kenapa tidak melakukannya pada setiap hari ataupun setiap bulan?

Alasan yang selalu diberi, sekiranya kita menderma pada bulan penuh berkat itu, pahala yang dikutip berkali ganda jumlahnya. Namun, jika kita menderma pada bulan selain Ramadan, adakah pahala semakin berkurangan? Tepuk dada, fikir dan tanyalah diri sendiri.

Tidak terhenti pada Ramadan saja kerana apabila musim perayaan utama lain seperti sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal, senario yang sama turut berlaku.

Ini kerana, setiap orang tanpa mengira bangsa mahupun agama dididik untuk bersikap pemurah dan saling memberi sejak kecil lagi oleh ibu bapa.

Berbicara mengenai perihal ini, terdapat pelbagai cara boleh menderma contohnya menerusi sumbangan wang tunai, pakaian terpakai, barangan keperluan asas seperti makanan serta pendidikan.

Bukan bertujuan mahu menunjuk-nunjuk atau riak, kenyataan, pandangan dan pengalaman yang dinyatakan dua individu berikut sekadar mahu berkongsi rasa, memberi kesedaran serta mendidik sesama kita.

Suri rumah, Fazlinna Abd Hazis, 30, berkata, dia terbiasa dengan tabiat menderma sejak kecil kerana bapanya sering mengingatkan dan mengajar mereka lima beradik mengenai kepentingan beramal dengan melakukan amal jariah.

Tidak memilih siapa individu yang mahu dibantu, asalkan nampak tabung atau orang susah di jalanan meminta bantuan, sedikit sumbangan pasti dihulurkan.

Selain itu, Fazlinna juga kerap menderma kepada rumah kebajikan, anak yatim dan seumpamanya. Malah, sumbangan itu bukan datangnya daripada wang tunai semata-mata, dia turut mengumpul barangan terpakai, buku, kitab, telekung dan alat tulis untuk diberikan kepada golongan kurang bernasib baik.

"Melalui didikan ayah, saya selalu beringat mengenai kesusahan orang lain yang tidak senasib dengan kita. Mereka ditakdirkan dengan jalan sebegitu, justeru saya berfikir apa salahnya kita yang lebih berkemampuan membantu mereka.

"Selain melakukan kebaikan, semoga pemberian tidak seberapa itu dapat meringankan beban mereka terutama golongan tua dan orang kelainan upaya.

"Apa yang pasti, saya tak boleh tengok orang susah, lepas itu mulalah hati ini sayu dan kasihan, sebab itulah saya hulurkan sumbangan yang termampu.

"Saya juga aktif mengikuti beberapa aktiviti atau kempen yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan kebajikan dan pengalaman yang diperoleh cukup memberi pengajaran serta keinsafan kepada diri saya," katanya yang mula serius dengan aktiviti sedemikian sejak 10 tahun lalu.

Padanya, melihat kekurangan insan lain mengajarnya bersyukur dengan kurniaan Tuhan terhadap diri dan keluarganya. Selain itu, sebagai umat Islam, ilmu agama yang dipelajari mengenai hal ini turut memberikannya kesedaran serta berfikiran positif.

Sementara itu, pengasas program Teach For The Needs (TFTN), Zul Fikri Zamir Mohamad Munir berkata, program berkenaan berasaskan komuniti dalam talian menerusi laman sosial facebook.

Sukarelawan yang terdiri daripada guru muda dan bidang profesion lain yang prihatin terhadap nasib anak-anak daripada golongan fakir miskin serta anak yatim adalah individu yang membantu mereka.

Menariknya, mereka membantu golongan ini melalui cara pendidikan yang mana kelas tuisyen secara percuma akan dijalankan dengan berkunjung sendiri ke rumah kebajikan berkenaan.

"Idea TFTN ini tercetus apabila saya dan rakan (guru seramai lima orang) sepakat mengadakan kelas tuisyen percuma selepas waktu sekolah untuk murid di kelas corot, anak orang miskin dan yatim.

"Jika ditanya mengapa pendidikan yang kami pilih sebagai salah satu cara menghulurkan derma, contoh ini mungkin boleh dijadikan panduan. Sekiranya dilihat di rumah anak-anak yatim, bekalan makanan dan pakaian selalunya berlebihan kerana sumbangan awam.

"TFTN menyediakan landasan kepada sukarelawan untuk terbabit dan mengajar anak-anak ini pada hujung minggu dengan tempoh minimum program selama setahun.

"Ini memberi peluang kepada anak-anak berkenaan mendapat perhatian, kasih sayang dan tunjuk ajar terutama daripada bidang akademik dalam jangka masa lebih panjang dan bukan bersifat sekali saja," jelasnya yang turut dibantu empat tulang belakang utama TFTN lain iaitu Asmidar Alias, Anas Alam Faizli, Norziati Rosman dan Shafizan Johari.

Tidak hanya dijalankan di sekitar Semenanjung Malaysia, programnya ini turut mendapat perhatian daripada guru di Sabah dan Sarawak. Sehingga Oktober 2012, TFTN mempunyai 19 duta (guru berdaftar seluruh Malaysia termasuk enam di Sabah dan Sarawak).

Program pengembangan membabitkan sukarelawan bukan guru turut diadakan dan antara projek yang dilakukan ialah projek Dahikmah di Gopeng, Perak; Baitul Husna, Kuantan, Pahang; dan terbaru projek Khairiah di Klang, Selangor dengan jumlah anak-anak yang mendapat manfaat daripada program ini sekitar 230 orang di seluruh Malaysia.

Projek ini bebas dilaksanakan di kawasan masing-masing manakala TFTN bertanggungjawab menyediakan khidmat perundingan, bahan mengajar, buku, kamus dan keperluan lain.

Selain mengajar, sukarelawan TFTN turut bertanggungjawab sebagai abang dan kakak kepada anak-anak memerlukan ini.

"Sistem sokongan seperti ini sukar dilihat atau seakan tidak wujud lagi dalam program bersifat sementara yang lain. Sebab itu dalam TFTN, jangka masa program haruslah tidak kurang daripada setahun.

"Justeru, saya mengajak orang ramai supaya mengamalkan sikap suka menderma atau bersedekah dalam apa jua cara yang dibenarkan di negara ini. Sekiranya berminat, anda boleh menyertai TFTN.

"Ini kerana isu pendidikan membabitkan golongan tertentu seperti murid kelas corot, anak miskin dan anak yatim tidak boleh diletakkan tanggungjawabnya ke atas kerajaan semata-mata.

"Sebagai ahli komuniti setempat, lebih banyak yang dapat dilakukan jika kita sanggup turun ke bawah dan menyelesaikan sendiri masalah ini. Ruang untuk terbabit dengan aktiviti sukarela dan kerja amal kebajikan sebenarnya lebih terbuka kepada anak muda seperti pelajar universiti.

"Saya tertarik untuk melihat bakal pemimpin negara ini turun padang dan melihat sendiri masalah masyarakat pada seawal usia yang mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24



Cikgu Rania 2 (Siri 24): Aduhai mama!

Posted: 24 Dec 2012 06:19 AM PST

SEPANJANG minggu itu perang dingin melingkari hubungan mereka. Bermula daripada pertelingkahan kecil di dalam kereta semasa menuju ke Melaka tempoh hari dan berlarutan pula dengan pelbagai insiden yang berlaku di rumah.

Rania makin memencilkan diri di dalam kamarnya. Sesekali dia terkenang peristiwa pahit yang berlaku di sekolah. Situasi tersebut makin memburukkan keadaan. Kes Shahir Fikri belum bertemu titik sudah. Tindakan gantung sekolah yang dikenakan terhadapnya ditarik semula setelah ayahnya bertemu Penolong Kanan HEM dan membuat surat rayuan. Para guru tidak berpuas hati dan mendesak Rania untuk tampil mempertahankan haknya sebagai guru yang dibiadapi.

"Dah sumpah seranah cikgu macam-macam boleh kekal lagi kat sekolah ni," rungut Cikgu Adirah dengan muka masam kelat.

"Tunggulah, nanti lagi ramai yang akan ikut jejak langkahnya. Biadap pada guru! Baik Ren buat laporan di Bilik Disiplin. Kurang ajar pada guru, 20 markah meritnya," nasihat Cikgu Fatimah pula.


Bingit Rania memikirkannya. Dia malas memikul bebanan itu. Malah, Penolong Kanan HEM pun telah bersemuka dengannya. Namun, diserahkan pada Penolong Kanan HEM untuk menyelesaikan masalah tersebut.


"Hati cikgu terguris ya?" tanya Cikgu Mustafa.

Hampir menitik air matanya ditegur sedemikian oleh Cikgu Mustafa. Mahunya tidak terguris setelah disumpah seranah oleh seorang manusia bergelar murid.

Ah! Malas dikenang-kenang. Fikirannya sedang kusut kala itu. Rania masukkan buku-buku yang ditanda di dalam beg manakala yang belum bertanda disusun di tepi meja. Penat menanda, Rania menggeliat lalu menghampiri jendela di kamarnya. Terpandang olehnya Ummar Qayyum bersama Rais dan Murni sedang bersantai di laman. Hati Rania berdetik melihat kemesraan antara Ummar Qayyum dengan Murni. Kedua-duanya sedang mengagah Fahim manakala Rais memerhati.

Kemudian, Rania nampak Ummar Qayyum mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya dan melihat sesuatu di skrin telefon. Seketika kemudian, dia beredar dari kumpulan itu. Hati Rania berdebar. Dapat dilihat raut serius Ummar Qayyum sewaktu berbincang dengan si pemanggil. Sedang bercakap dengan siapa Ummar Qayyum? Adakah Ummi Kalthum? Kalau betul, apa lagi mahunya? Rania rasa geram mendadak. Kerana marah, Rania turun menyaingi kumpulan itu dengan wajah masam. Melihat Rania menjeling padanya, Ummar Qayyum segera menghentikan perbualan.

"Siapa yang telefon abang?" Serius nada suara Rania bertanya.

Rais bersama Murni berpandangan. Agak terkejut dengan soalan bernada tegas daripada Rania. Serba-salah Ummar Qayyum mahu menjawab. Dia tidak menduga akan ditanya oleh Rania soalan itu di hadapan Rais dan Murni.

"Kawan abang," sahutnya dengan wajah berbalam. Cara Rania menegur agak keterlaluan.

"Kawan abang yang mana?" tanya Rania lagi. Dadanya kian berombak. Sakit hatinya tidak terkawal kali ini.

Ummar Qayyum pandang Murni bersama Rais silih berganti. Keselesaannya diregut. Ego lelakinya dicabar. Akhir-akhir ini Rania suka buat perangai. Perkara kecil diperbesar. Ummar Qayyum menahan kesabarannya.

"Jom Ren, kita berbual di dalam," ajaknya masih dengan suara terkawal.

"Tak payah kat dalam. Kat sini pun tak apa. Tak ada apa pun nak rahsia-rahsia. Ini semua adik-beradik," getus Rania.

Makin serba-salah Ummar Qayyum dibuatnya. Dadanya semakin bergelora melihatkan tingkah Rania yang seperti mencabarnya.

"Siapa yang telefon abang tadi?" tekan Rania. Suaranya makin meninggi. "Ummi Kalthum kan?" serkap Rania.

Mendadak air muka Ummar Qayyum berubah. Dia segankan Rais bersama Murni yang ada bersama mereka.

"Ren, tak payahlah Ren jerit-jerit," tegur Ummar Qayyum.

"Ren tanya baik-baik, jawab sajalah."

"Ummi Kalthum," sahut Ummar Qayyum dengan harapan Rania akan berpuas hati.

"Ohh, perempuan tu lagi. Dari minggu lepas dia asyik call abang, kenapa? Nak beritahu apa pula kali ni? Tak dapat hadir alumni beritahu abang, tak dapat itu ini semua nak beritahu abang juga. Mana pergi suami dia sampai semua nak beritahu abang?" Rania membentak.

Kesabarannya semakin menipis. Dia tidak suka perempuan bernama Ummi Kalthum yang selalu sangat menghubungi Ummar Qayyum.

"Kenapa Ren ni? Sejak bila Ren berubah jadi macam ni?"

"Abang baru kenal Ren ke? Sekian lama Ren memang macam ni...," akui Rania dengan senyuman mengejek.

Puas hatinya dapat membuatkan muka Ummar Qayyum berubah rona. Sesudah berumah tangga, ramai pula perempuan yang mengadu hal dan kisah pada Ummar Qayyum. Siapa Ummar Qayyum ini? Sebelum bernikah banyak sangat kisah dengan Murni. Selepas bernikah Ummi Kalthum pula! Siapa lagi selain daripada perempuan berdua ini? Rania menjeling lagi!

"Ren, boleh kita bincang di dalam?"

Rania mendengus. Dia berpeluk tubuh dengan wajah masam mencuka. Melihat situasi yang agak tegang, Rais mengajak Murni beredar. Ikutkan hati, Murni mahu berada di situ dan mendengar perang dingin yang berlaku antara pasangan pengantin yang masih baru itu, tapi dia terpaksa akur dengan arahan Rais.

Oh, perahu layar milik mereka sedang berkocak di tengah samudera, eloklah tu, mudah sikit untuk aku main peranan, bisik Murni sendiri sambil memangku Fahim yang sudah terlelap. Murni letakkan Fahim di katil bayi di ruang tamu kedua. Ruang tamu itu lebih kecil daripada ruang tamu utama, tetapi lebih selesa bagi Murni kerana agak terlindung. Rais duduk di sofa tiga dudukan yang letaknya tidak jauh dari katil bayi. Rais mengeluh.

"Saya rasa kita perlu tangguhkan dulu tentang apa yang saya bincangkan dengan awak hari tu," kata Rais.

Murni terdiam sejenak. Dia tidak memberikan sebarang reaksi atas kata-kata Rais.

"Awak dengar tak apa yang saya kata?"

"Awak rasa awak tak perlu berbincang dengan saya dulu sebelum awak buat keputusan itu?" tanya Murni berani. Dia rasa dia perlu bersuara juga. Rais terkejut mendengar kata-kata Murni.

"Maksud awak?"

"Saya tahu saya orang terbuang di rumah ini, tapi saya rasa saya berhak bercakap juga."

"Cakaplah..."

"Masa awak nak menikahi saya dulu, awak dan keluarga awak tak langsung bertanya pada saya, tapi terus buat keputusan..."

"Apa awak cakap ni?"potong Rais. "Awak patut berterima kasih sebab keluarga saya terima awak."

"Saya minta pertolongan awak dan keluarga awak ke?"

"Murni, awak lupa awak hampir membunuh bayi yang sedang awak kandung masa saya jumpa awak di klinik tu?"

"Lepas semua selesai, awak nak bunuh saya pula? "

"Apa maksud awak?" Terangkat kening Rais mendengarnya.

"Awak pernah terfikir tentang saya bila awak nak buat keputusan menceraikan saya?"

"Kan saya dah kata dulu saya berkahwin dengan awak sebab saya nak selamatkan bayi itu, sekarang Fahim dah selamat dilahirkan..."

"Jadi awak sekeluarga dah tak perlukan saya lagi dan nak buang saya?"

"Saya nak awak mulakan hidup baru."

"Hidup baru saya sudah bermula di rumah ini," tekan Murni Rais pandang Murni tidak percaya. "Awak sedar apa yang awak cakap? Saya berjanji saya akan bantu awak melahirkan Fahim..."

"Lepas Fahim selamat dilahirkan, awak nak bunuh saya pula?" ulang Murni lagi.

"Apa awak merepek ni Murni?"

"Saya nak ke mana lepas kena cerai dengan awak?"

"Saya dah janji akan carikan awak kerja dan rumah sewa. Awak boleh tinggalkan Fahim di sini kalau awak tak mampu nak jaga dia. Emak saya boleh jaga."

"Semudah itu awak nak pisahkan saya dengan Fahim?"

"Masa awak nak buang dia dulu awak tak ingat?"

"Kalau saya buang dia dulu, masalah saya tak berpanjangan seperti ini. Kalau saya gugurkan dia, saya tak perlu kahwin dengan awak hanya semata-mata untuk diceraikan. Selepas bertaraf janda, awak ingat senang ke untuk saya menjalani kehidupan selepas ini? Maruah saya sebagai janda adakah semudah seperti seorang gadis? Kalau saya jumpa seseorang, semudah itukah saya akan diterima dengan taraf janda beranak satu seperti saya ini?" kata-kata Murni tegas dan keras.

"Apa awak mahu?"

"Awak tengok Ren, tanpa sebab yang munasabah pun, dia boleh tunjuk belang depan saya dan awak. Dia boleh menyoal suaminya depan kita tanpa segan silu pada kita. Awak nak saya buat macam Ren?"

"Masalah mereka tak ada kena-mengena dengan kita," bentak Rais.

"Sekurang-kurangnya awak bertimbang rasa sikit dengan saya seperti mana Abang Qayyum begitu bertolak ansur dengan Ren."

Rais terpana. Sedikit pun dia tidak menyangka Murni akan mempertikaikan keputusannya untuk bercerai. Sangkanya Murni tidak kisah.

"Jadi apa yang awak nak?" tanya Rais balik.

"Saya tahu saya tak berhak nak persoalkan tentang hati awak, tapi saya nak tahu kenapa awak nak ceraikan saya," tanya Murni.

Puan Sri Zalia yang baru hendak masuk ke ruang tamu kedua itu terdengar akan kata-kata Murni. Dia terperanjat. Wajahnya berkerut. Dia berdiri di tepi ruangan masuk tanpa disedari oleh orang berdua itu. Tadi, dia perasan Ummar Qayyum bersama Rania sedang bermasam muka di laman, kali ini giliran Rais dengan Murni pula. Sampai hendak bercerai-berai pula orang berdua ini! Apa sudah jadi pada semua orang dalam rumah ini? Sudahlah hubungannya dengan suami semakin dingin hari ke hari, kini menjangkiti anak-anak pula. Ya Allah!
Bantulah keluarga ini. Hindarkanlah keluarga ini daripada duka nestapa!

"Perlu ke saya beritahu alasan saya pada awak?" Terdengar lagi suara Rais memecah gegendang telinganya. Puan Sri Zalia menahan nafas.

"Saya tahu diri saya. Saya sedar. Kerana itu, saya tak pernah pertikaikan tindakan awak selama ini walaupun awak tak pernah melayan saya seperti seorang isteri. Awak abaikan saya. Awak tak pernah sentuh saya, tapi saya akur. Saya reda dan pasrah kalau awak tak sudi nak tengok saya pun. Saya telan semuanya dengan harapan suatu hari nanti awak akan terima saya seadanya, tapi saya tak pernah menyangka awak berniat menceraikan saya setelah Fahim selamat dilahirkan," rintih Murni.

"Awak patut tahu kenapa saya berkahwin dengan awak dulu," tukas Rais.

Kerana malu, Murni tidak menjawab. Air matanya bergenang sudah.

"Tak perlulah awak nak pertikaikan keputusan saya."

"Saya tahu siapa saya di rumah ini, tapi sekurang-kurangnya berilah peluang pada saya..." Rintihan Murni membuatkan Puan Sri Zalia berasa seperti ada tusukan pisau mengenai dadanya. Kasihan Murni.

"Peluang apa? Saya dah korbankan masa saya untuk selamatkan awak dan Fahim dulu."

"Sampai hati awak," rintih Murni lagi.

"Apa masalahnya ni Rais?" Puan Sri Zalia tiba-tiba mencelah. Dia sudah tidak tahan mendengar cerita di sebalik dinding pemisah. Mereka berdua dihampiri. Dia mahu bersemuka dengan anak menantunya. Kedua-duanya terkejut disergah Puan Sri Zalia. Murni menyeka air matanya yang sudah menitis di pipi. Rais membatu.

"Kat luar sana Ren dengan Qayyum bertelagah. Kat dalam ni kamu dengan Murni bertegang urat. Apa kena dengan kamu semua ni? Hah kamu Rais, mama dengar kamu nak ceraikan Murni. Betul?" tanya Puan Sri Zalia lagi.

Rais tidak angkat mukanya. Tiba-tiba dia berasa malu alah dengan ibunya.

"Mama tanya, betul ke kamu ada rancangan nak menceraikan Murni?" sergah Puan Sri Zalia.

Rais angguk. Puan Sri Zalia menggelengkan kepalanya. Dia duduk di sebuah kerusi kayu jati di sisinya.

"Bila agaknya kamu nak belajar jadi dewasa? Dulu, kamu yang nak berkahwin dengan Murni. Tidak ada siapa yang paksa. Sekarang, nak bercerai pula? Mazhab mana yang kamu pakai ni, Rais?"

Rais tetap membatukan diri.

"Beritahu pada mama kenapa kamu nak ceraikan Murni? Beritahu mama sekarang."

"Saya nak mulakan hidup baru..." jawab Rais perlahan.

"Kenapa? Selama ni kamu tak ada kehidupan? Dah elok-elok duduk berumah tangga, hendak bercerai-berai pula," tengking Puan Sri Zalia. "Masa kamu baca akad nikah hari tu, kamu dah lupa apa janji-janji kamu?"

"Mama pun tahu kenapa saya kahwin dengan Murni dulu kan? Kami tertangkap. Mama tak lupakan?"

"Mama tak lupa dan mama juga ingat tak ada siapa yang paksa kamu nikah dengan Murni," bentak Puan Sri Zalia.

"Memang tak ada siapa yang paksa saya. Tapi saya nikah dengan dia sebab saya nak elakkan dia daripada gugurkan kandungannya. Sekarang semuanya dah selamat, saya nak mulakan hidup baru saya."

"Dengan cara menceraikan dia? Kenapa perlu ceraikan Murni kalau nak mulakan hidup baru sekali pun?"

Rais hilang kata-kata. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab sergahan ibunya.
"Beritahu pada mama."

"Boleh kami selesaikan masalah kami sendiri mama?" pohon Rais.

"Boleh kalau tak berakhir dengan cerai-berai," Puan Sri Zalia memberi isyarat.

Rais mendengus. "Saya nak mulakan hidup saya mama."

"Siapa yang halang kamu? Mulakanlah kalau nak mulakan..."

"Saya nak kahwin dengan orang lain," kata Rais tiba-tiba. Terkejut Puan Sri Zalia mendengarnya. Murni angkat mukanya yang basah.

"Oh, nak kahwin dengan orang lain, sebab tu nak ceraikan Murni?" Puan Sri Zalia seperti mengejek.

Rais ketap bibirnya.

"Kenapa dulu gatal-gatal kahwin dengan Murni kalau nak ceraikan dia?" ulang Puan Sri Zalia seraya mengurut dadanya.

Keadaan sepi sejenak. Makcik Rohaya hampiri ruang tamu kedua lalu jengah ke ruang tamu dengan wajah keliru, tetapi diminta pergi oleh Puan Sri Zalia dengan bahasa isyarat.

Makcik Rohaya menghilangkan diri. Puan Sri Zalia masih menggosok-gosok dadanya yang berasa ketat. Kalau dahulu, Rais mahu menceraikan Murni, mungkin dialah yang paling bahagia dan akan menyokongnya. Tapi sekarang keadaan sudah berbeza. Dia sudah menerima Murni dengan sepenuh jiwa. Semakin dia mengenali Murni, perasaan sayangnya sudah tumbuh. Tambah-tambah dengan kehadiran Fahim yang comel dan montel itu.

"Kenapa kamu nak menceraikan Murni kalau pun kamu nak kahwin dengan orang lain Rais?" Suara Puan Sri Zalia mulai mengendur.

Rais lemparkan pandangannya ke luar jendela. Hatinya merintih.

"Kamu nak kahwin dengan siapa?"

"Saya nak kahwin dengan Ros Ilyani," kata Rais perlahan.

Sudah diduga oleh Puan Sri Zalia akan jawapan Rais. Dia memejamkan matanya seketika. Dadanya berasa semakin ketat. Kalau dulu Rais mendengar kata-kata aku, takkan jadi seperti ini. Kenapa dulu saja kau tak kahwin dengan Ros Ilyani? Kenapa perlu sakitkan hati Murni bila dia dah sah menjadi isteri kau Rais? Berkata hati kecil Puan Sri Zalia.

Esakan Murni kedengaran. Fahim yang tadinya lena di katil kecilnya sudah mulai merengek. Bagaikan dapat merasa badai dan gelora yang menimpa si ibu. Murni hampiri katil bayinya.

"Kalau kamu nak kahwin dengan Ros Ilyani, kamu kahwinlah, tapi jangan ceraikan Murni," arah Puan Sri Zalia.

Rais terkulat-kulat sedang Murni sudah pun mengendong bayinya lalu keluar dari ruang tamu kedua.

"Kamu tak kasihan tu?" Juih Puan Sri Zalia merujuk pada Murni yang telah membawa diri entah ke mana.

Rais diam juga.

"Ros Ilyani dah tahu hajat hati kau?"

"Lepas selesai hal saya dengan Murni, saya akan bincang dengan Ros Ilyani."

"Kamu ingat semudah itu Ros Ilyani akan terima kamu kalau kamu ceraikan Murni?" tanya Puan Sri Zalia dengan nafas yang mulai tersekat-sekat.

Rais terdiam. Dia tidak mengerti, malah dia sendiri belum pasti apa akan berlaku pada masa hadapan, tetapi dia yakin Ros Ilyani akan menerimanya. Sudah dua kali hajatnya untuk memperisterikan Ros Ilyani tidak tercapai. Dahulu Haryati potong jalan. Selepas itu Murni pula jadi rintangan. Sekarang, tiada apa-apa lagi yang akan melintanginya. Dia yakin Ros Ilyani tidak keberatan, tapi dia tidak faham akan maksud ayat ibunya yang terakhir.

Dada Puan Sri Zalia makin sendat. Kepalanya berasa berat tiba-tiba. Nafasnya tiba-tiba tersangkut-sangkut. Sewaktu Rais berpusing ke arah emaknya, tubuh perempuan itu sudah pun condong ke sebelah kiri dan belum sempat Rais berlari untuk menyambut, tubuh ibunya sudah tumbang menyembah bumi. Terkulai di atas permaidani tebal.

"Mama....," jeritan Rais bergema, menyambar banyak telinga penghuni di rumah banglo mewah itu.

Puan Sri Zalia sudah tidak sedarkan diri. Rais memangku ibunya. Murni kelam-kabut datang semula dengan bayinya. Diletakkan bayi yang ditampung di atas katil. Dia bergegas mendapatkan Puan Sri Zalia. Rania bersama Ummar Qayyum juga sudah berada di ruang tamu itu. Wajah mereka berdua pucat melihatkan tubuh Puan Sri Zalia terkulai di lengan Rais.

"Mama, mama, kenapa mama abang?" Rania sudah menangis di sisi ibunya. Rais merasai denyut nadi ibunya.

"Mama pengsan," beritahunya pada Rania.

"Kenapa?" tanya Rania.

Esakannya berterusan seraya memanggil-manggil nama ibunya berulang kali. Dilonggarkan pakaian ibu manakala Ummar Qayyum kelam-kabut mencari nombor telefon daripada klinik swasta berdekatan. Rais pula menghubungi ayahnya.

"Ambulans dalam perjalanan," beritahu Ummar Qayyum.

Rania sapu minyak di dada ibunya.

"Mama kenapa abang?" Rintih Rania, tetapi tidak disahut Rais. Rasa bersalahnya datang menimpa-nimpa.

Apabila ambulans tiba, Rania bersama Ummar Qayyum menaiki ambulans manakala Rais memandu kereta menuju ke klinik swasta berdekatan. Puan Sri Zalia dimasukkan ke wad kecemasan.

"Kenapa mama Ren, Rais," tanya Tan Sri Razlan yang tiba di klinik swasta An-Nurin sejam selepas itu.

"Ren tak tahu ayah."

"Kenapa mama, Rais?" Tan Sri Razlan berpaling ke arah Rais pula.

Rais mengetap bibirnya. Wajahnya murung. Dia tidak mampu mengucapkan apa-apa. Rasa bersalahnya makin menghimpit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Dah biasa bah

Posted: 23 Dec 2012 08:27 AM PST

SHAH ALAM: Bencana banjir seolah-olah sinonim dengan penduduk Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga, di sini, berikutan kerap dilanda bencana itu sejak 20 tahun lalu termasuk banjir besar pada tahun 2000 dan 2006 hingga kampung berkenaan dinaiki air lebih satu meter.

Bencana itu berulang lagi malam Jumaat lalu apabila hujan lebat lebih empat jam mengakibatkan kampung berkenaan dinaiki air sedalam hampir satu meter apabila benteng Sungai Damansara berhampiran kampung itu pecah.


Kejadian itu menyebabkan lebih 70 penduduk terpaksa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Batu Tiga yang berhampiran. Penduduk, Mohamad Awang Kechil berkata, hujan lebat luar biasa tanpa henti lebih empat jam mengakibatkan rumah penduduk dinaiki air separas lutut.

Katanya, air mula naik kira-kira jam 10 malam Jumaat lalu dan hanya surut selepas jam 6 pagi keesokannya.


"Saya percaya, banjir ini berlaku kerana sistem perparitan yang tidak sistematik serta faktor benteng Sungai Damansara pecah," katanya.


Penduduk lain yang dikenali sebagai Fatimah berkata, banjir kilat itu turut mengakibatkan barangan perabot dan peralatan elektrik di rumahnya rosak.

"Kerugian yang dialami belum diketahui. Sekarang bukan televisyen saja yang tidak berfungsi, malah perabot juga turut mengalami kerosakan," katanya.


Tinjauan Harian Metro semalam mendapati semua penduduk yang dipindahkan itu sudah kembali ke rumah masing-masing pagi semalam selepas air mulai surut.

Ketua Kampung berkenaan, Dr Mohd Tahir Abdul Rahman berkata, bencana berkenaan adalah yang kedua terburuk sejak 2006 lalu.


"Saya difahamkan pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran(JPS), kerja penambakan hanyalah sementara dan dijangka siap dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Reza & Marsha serasi

Posted: 23 Dec 2012 05:40 AM PST

LINCAH mereka semakin menjadi-jadi. Gedik mereka juga kian mencuit hati. Nyata keserasian yang terjalin antara Reza Mohamed, 35, dan Marsha Milan Londoh, 27, sejak mereka menyertai Akademi Fantasia 3 (AF3), menjinakkan mereka di depan lensa kamera Propaganza.

Program gosip hiburan yang ke udara setiap Ahad, jam 12 tengah hari di Astro Ria itu nampaknya semakin mengumpul ramai pengikut.

Awalnya kata Reza, Marsha bukanlah calon utama kerana calon yang menjadi pilihan produser tidak muncul ketika sesi uji bakat.

Lalu Reza terus teringatkan sahabat karibnya itu, Marsha. Meneliti konsep program itu yang sangat santai, Reza merasakan Marsha adalah calon paling layak bergandingan dengannya.


"Sebaik saja berakhirnya AF3, saya dan Marsha serta bekas peserta program realiti itu bersama-sama menjayakan program Gempak Astro. Kami berdua juga pernah berlakon bersama. Apabila pihak Astro bertanya kepada saya siapa yang selayaknya untuk berganding dengan saya, kalau ikutkan hati saya mahukan Marsha tetapi saya tidak boleh memandai.


"Saya kena merujuk kepada produksi terlebih dulu dan mereka pun bersetuju. Apabila tawaran itu diajukan kepada Marsha dia awalnya menolak kerana dia tak biasa mengacarakan program 'live' di TV. Namun saya beriya-iya memberinya semangat.

"Marsha memang sangat takut kerana apabila ke udara secara langsung, segala kesilapan boleh kelihatan di kaca TV. Saya berjanji kepadanya yang saya akan membantunya jika berlakunya kesilapan. Walaupun Marsha kelihatan seperti gila-gila orangnya, kalau tiba soal kerja dia fokus dan bersungguh-sungguh.

"Perkara yang paling ditakutinya adalah terlupa skrip. Ketika minggu pertama dan kedua ke udara, dia nampak macam gugup namun selepas itu semuanya sudah OK," katanya Reza.

Propaganza kini sudah pun masuk musim kedua dan mereka berdua terus kekal sebagai pengacara. Satu musim sebanyak 26 episod. Reza seronok bekerja dengan pasukan Propaganza daripada penerbitnya, Yusry Abdul Halim sehinggalah kepada kru produksi yang mana mereka sentiasa bekerjasama.

"Sejam bersiaran, saya tak rasa seperti bekerja. Sesuatu yang penonton kena tahu juga mengenai rancangan hiburan ini, bukan saja penerbit mementingkan penampilan pengacara tetapi juga Wartawan Penyiaran (BJ) yang mencari bahan di lokasi kerana mereka akan turut kelihatan di TV," katanya.

Sebelum ini pernah timbul isu disiplin sehingga Marsha terpaksa mengendalikan rancangan itu seorang diri.

"Apabila nak sakit, tiada siapa yang tahu. Bukan sengaja saya tidak hadir tetapi keadaan kesihatan tidak mengizinkan, terpaksalah saya mengambil cuti sakit. Tak perlulah isu itu terus diperkatakan kerana sesiapa pun boleh jatuh sakit.

"Mulanya saya bengang juga apabila saya sakit dikatakan sengaja ponteng kerja tetapi apabila difikirkan semula, sama ada isu itu baik atau buruk, itu tandanya media tidak pernah melupakan saya. Mereka sentiasa mengambil tahu hal saya. Selama lapan tahun dalam industri saya terus diingati lalu saya mula menerima segala kritikan dengan tabah.

"Sepanjang tempoh itu saya melalui pelbagai fasa dalam kerjaya sehinggalah ia menjadikan saya orang yang matang. Saya banyak belajar dan banyak pengalaman dikutip. Segala terima setiap teguran untuk memperbaiki diri untuk menjadikan saya manusia yang cemerlang dalam kehidupan dan juga kerjaya," katanya.

Menyambung cerita mengenai Propaganza, jelas Reza ia bukanlah rancangan yang melagakan orang tetapi ia lebih bersifat memberi penjelasan.

"Kami tidak bergosip dalam Proganza tetapi kami memberi maklumat apa yang terjadi dalam dunia hiburan. Mana-mana artis yang dikaitkan dengan berita panas dan sebagainya, kami temubual mereka untuk menjelaskan cerita sebenar. Propaganza adalah rancangan 'info-tainment," katanya.

Marsha dapat banyak tawaran baru

MARSHA pula berkata, selepas keluar daripada AF3, dia pernah mengacarakan rancangan wanita bertajuk Gaya Ratu yang ke udara di RTM tetapi ia dibuat secara rakaman.

"Itulah kali pertama saya kena hafal skrip yang panjang. Sangat susah kerana sukar nak mengingatinya. Apabila dapat tawaran mengacarakan Propaganza, saya tertekan kerana ia adalah disiarkan secara langsung.

"Pada mula produksi Progapanza panggil saya datang ke uji bakat rancangan itu kononnya untuk mencukupkan kuota peserta yang datang. Ketika diujibakat saya tak serius pun. Seminggu selepas itu surat tawaran muncul tapi saya tak mahu buat. Reza dan kawan-kawan yang mahu saya mencuba.

"Pada episod pertama, kami berlatih sejam sebelum ke udara tetapi sekarang dah OK tetapi Reza mesti kena ada, baru saya lebih yakin. Saya semakin seronok bersama Propaganza.

"Selepas muncul dalam Propaganza, saya terus dapat banyak tawaran mengacara tetapi saya tolak. Apatah lagi jika mengacarakan majlis korporat, saya takut tersasul sebut nama, pangkat dan status tetamu yang hadir. Buat masa ini, saya tumpukan pada Propaganza, menyanyi dan berlakon. Menyanyi adalah minat saya dari kecil. Saya tahu kemampuan diri saya di mana dan apa yang saya suka buat.

"Seperkara lagi, walaupun sudah lapan tahun menjadi warga kota, pelat Sabah saya masih kuat membuatkan saya bertambah tidak yakin untuk menjadi pengacara majlis, " katanya.

Menurut Marsha, hubungan dia dengan Reza dan juga kru lain terus rapat kerana sebaik selesai siaran langsung, jika masing-masing tiada agenda lain, mereka keluar makan bersama-sama di Curve, Damansara dan makanan kegemaran mereka adalah Ayam Penyet.

Menyentuh kisah cinta, tegasnya dia kini solo.

"Tiada teman pengganti ataupun cinta baru, saya sibuk dengan kerja. Sebelum ini saya pernah beritahu berkenalan dengan seseorang tetapi bukannya bercinta namun ada yang salah erti.

"Saya bahagia dan gembira dengan apa yang ada sekarang. Saya mesti bekerja keras untuk memastikan kerjaya saya terus berkembang. Syukur dengan apa yang dilalui sebelum ini, ia bagaikan satu rahmat apabila orang mula memandang bakat saya," katanya yang akan menyambut Krismas di Singapura bersama adiknya.

Reza dan Marsha ditemui ketika mereka datang ke Balai Berita untuk sesi fotografi. Marsha terpaksa berkejar dengan masa kerana pada hari itu juga dia ada penggambaran telefilem yang berjudul Antara Mimpi Cinta dan Bintang arahan Michael Ang.

Turut sama pada sesi penggambaran itu BJ Propaganza, Mohamed Hefny Sahad yang juga pemenang tempat kedua program realiti On Air, Nurul Elyana Kamalul Arifin dan Ayie Ali mengendalikan segmen Stalista.

Cerita Elyana, dia tidak berkenan dengan perangai gedik Marsha ketika menyaksikan gelagat Lufya dalam AF3 tetapi selepas bekerja dengan Marsha dia adalah rakan yang sangat baik dan suka menolong kawan-kawan.

Hefny pula menjadikan Propaganza sebagai platform untuk menimba pengalaman dalam dunia penyiaran dan untuk menjadi pemerhati fesyen yang disegani sementara Ayie banyak mengikuti perkembangan fesyen menerusi internet, YouTube serta majalah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23



Bukan ahli FDAM

Posted: 23 Dec 2012 05:32 AM PST

DUA cerita berbeza yang dikaitkan dengan individu bernama pengarah dan tempiasnya terkena kepada Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Isu pertama ialah kes cabul seorang pelakon wanita berusia 21 tahun oleh pelakon lelaki tambahan. Kenyataan gadis ini yang disiarkan dalam akhbar ini pada 14 Disember menyebut, dia menyertai sesi uji bakat selepas terbaca iklan dibuat pelakon lelaki terbabit di dalam laman sosial facebook lelaki itu.

Individu itu mendakwa dirinya pengarah yang menjalankan sesi uji bakat bagi watak heroin dalam satu filem yang bakal diusahakan. Gadis ini turut mendakwa empat lagi gadis turut menjadi mangsa pelakon berusia 40-an itu.

Manakala kes lain pula, turut membabitkan individu yang mengaku dirinya pengarah bagi memperdaya wanita tersiar di akhbar berbahasa Cina pada hari sebelumnya.


Justeru tanpa menunggu masa lama, FDAM segera tampil membuat penjelasan bagi membersihkan nama mereka pada sidang media khas yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Khamis lalu.


Turut serta ialah Presiden Seniman, Zed Zaidi dan Presiden Profima, Khir Mohd Noor yang turut menyentuh lanjut mengenai penguatkuasaan Padu Citra pada Januari 2013, bertujuan menjaga kepentingan penggiat seni tempatan.

"Sejak berita ini keluar, sudah ada yang memandang serong pada FDAM. Kami sudah menjalankan siasatan sendiri dan mendapati kesemua yang terbabit dalam kedua-dua kes ini bukan ahli FDAM mahupun Seniman.

"Yang kena cabul bukan ahli Seniman dan yang mencabul pula bukan ahli FDAM. Jadi tiada tindakan yang boleh dibuat kecuali oleh pihak polis dan kami menyerahkan kepada polis untuk ambil tindakan lanjut.

"Salah satu kes berunsur rompakan manakala individu dalam kes cabul ini sudah ditahan polis. Kami menasihatkan para gadis agar jangan terlalu ghairah untuk bergelar pelakon sehingga mudah terpedaya dengan pihak-pihak tertentu.

"Perkara ini berlaku kerana kenaifan sesetengah pihak terhadap undang-undang yang wujud di negara kita seperti Padu Citra yang menjaga kepentingan semua penggiat seni.

"Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, gadis-gadis yang pergi menjalani sesi uji bakat kena tahu setiap pengarah perlu ada kad pengesahan sebagai bukti mereka berdaftar dengan FDAM.

"Kalau mereka gagal tunjukkan bukti itu, mereka bukanlah ahli kami. Saya nasihatkan gadis-gadis ini kena peka dengan syarat yang ditetapkan oleh kami," kata kata Naib Presiden FDAM, Abdul Rahim Awang.

Mengulas isu berkaitan Padu Citra, Presiden FDAM, Othman Hafsham yang hadir berkata, akta ini diperkenalkan oleh Finas sejak 1997 bertujuan memberi perlindungan terhadap hak, kepentingan dan profesionalisme penggiat dunia seni tempatan.

"Kali ini tiga persatuan iaitu FDAM, Seniman dan Profima bertindak berani membentuk kerjasama kuat dengan Finas untuk menguatkuasakan kembali Padu Citra.

"Majlis Tindakan Bersama (MTB) yang diketuai oleh Rahim, Khir dan Zed sudah berjumpa Finas dan berbincang mengenai perancangan memperkasakan Padu Citra dan hasrat ini dipersetujui.

"Kami serius nak bawa industri ke satu tahap yang lebih mantap. Setiap negara ada Padu Citra dan harapnya jangan ada pihak memperlekehkan Padu Citra," katanya.

Rahim pula menjelaskan, mereka tidak mahu lagi mendengar rungutan bahawa tindakan ketiga-tiga persatuan ini menubuhkan MTB dianggap tidak menghormati penerbit.

"Perlu dijelaskan kami bukan pendesak. Matlamat kami sebenarnya nak melindungi kepentingan penggiat seni kita sendiri. Dalam mesyuarat Gafim (Gabungan Karyawan Filem Malaysia) baru-baru ini, kami diiktiraf oleh mereka," katanya.

Zed pula menambah pihaknya kesal dengan isu memperlekehkan Padu Citra seperti pengabaian Sijil Perakuan Penggambaran (SPP). Contoh yang boleh diambil ialah kes membabitkan pelakon Julia Perez (Jupe) yang berlakon di Malaysia tanpa permit.

"Dia tiada permit PFA (Pekerja Filem Asing). Bagaimana dia boleh masuk bekerja? Dia sudah melanggar syarat pas lawatan sosial dan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya yang pernah melalui pengalaman sukar ketika mahu berlakon di Indonesia dan negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Daging melekat kereta

Posted: 23 Dec 2012 05:17 PM PST

CHUKAI: "Sangat menyayat hati melihat keadaan semua mangsa yang rentung, termasuk hancur seluruh badan, malah ada sebahagian cebisan daging yang terbakar melekat dalam kereta," kata saksi kejadian empat beranak terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta bertembung sebuah bas ekspres di Kilometer 126.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, awal pagi semalam.

Wan Mohd Faiz Wan Ahmad, 27, yang dalam perjalanan ke Kemaman berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia bersama rakannya cuba menyelamatkan mangsa, namun tidak berupaya memandangkan api marak membakar kedua-dua kenderaan.

"Saya menghubungi bomba, tetapi tidak berani mendekati tempat kejadian kerana bimbang kedua-dua kenderaan itu meletup," katanya menganggap kemalangan itu paling ngeri yang pernah dilihatnya.

Dia yang ditemui di tempat kejadian berkata, selepas kebakaran dipadamkan keseluruhannya oleh anggota bomba, dia terkejut dan sedih apabila dimaklumkan empat beranak rentung dalam kenderaan itu.


Penumpang bas ekspres itu, Wan Mohd Al-Hakim Wan Yusoff, 27, berkata, dia sempat mendengar seorang penumpang dalam kereta yang terbakar itu menjerit meminta tolong sebelum mengetahui empat beranak rentung di dalamnya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24



Wajib pakai bikini

Posted: 23 Dec 2012 08:58 AM PST

PORT DICKSON: Sekumpulan muda-mudi dipercayai kebanyakannya Melayu dan beragama Islam tidak sempat berhibur dalam pesta liar di pantai Batu 2, berhampiran sebuah hotel, di sini, tengah malam kelmarin, apabila menyedari kehadiran polis.

Pesta itu dikatakan bermula seawal jam 6 petang kelmarin dan sepatutnya berakhir awal pagi, semalam, tetapi kumpulan seramai 30 orang itu bersurai secara berperingkat menjelang tengah malam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, beliau difahamkan penganjur menyasarkan lebih 100 orang berusia 20 tahun sehingga 25 tahun hadir, namun mereka bersurai sebelum pihaknya mengadakan serbuan.

Beliau berkata, pada mulanya penganjur menyatakan mahu mengadakan parti hari jadi, namun pada saat akhir mereka menjual tiket pesta liar itu yang turut menyediakan persembahan muzik raggae dan juruhebah (DJ) popular.


"Mereka (penganjur) datang dari ibu kota dan hanya membuka keahlian untuk menyertai pesta ini kepada ahli yang mendaftar saja. Untuk menyertainya, penganjur mengenakan syarat peserta lelaki memakai seluar pendek, manakala perempuan memakai bikini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Wanita Arab-Israel meninggal dunia pada usia 124 tahun

Posted: 23 Dec 2012 07:40 AM PST

TEL AVIV: Seorang wanita Arab warga Israel dilaporkan meninggal dunia pada usia 124 tahun.

Sekiranya disahkan, ia bermakna wanita itu dalah wanita paling lama hidup, lapor media Israel.

Mariam Amash dari Kampung Arab di Jisr al-Zarqa, kira-kira 400 kilometer dari utara Tel Aviv, meninggalkan 10 anak dan kira-kira 300 cucu dan cicit, menurut ynet, versi internet akhbar terlaris Israel, Yedioth Ahronot.

Kad pengenalan Israelnya menunjukkan dia dilahirkan pada 1888.


Buat masa ini, orang tertua yang pernah disahkan dan didokumenkan ialah Jeanne Calment dari Perancis (1875-1997) yang meninggal dunia ketika berusia 122 tahun.


Beberapa bulan lalu, Mariam memberitahu ynet bahawa dia memang berusia 124 tahun dan dia masih ingat tahun dia dilahirkan tetapi tidak tarikh tepatnya.

Maka, kerani yang mengeluarkan kad pengenalannya berpuluh-puluh tahun lalu meletakkan 00.00.1888 sebagai tarikh dia dilahirkan dalam dokumen pengenalan itu.

"Jadi, keluarga saya akan mengadakan majlis keraian dan memberi hadiah pada setiap akhir tahun," katanya.

Berita mengenai Mariam ini diketahui selang seminggu selepas Buku Rekod Guinness mengesahkan Jiroemon Kumura, lelaki berusia 115 tahun dari Jepun sebagai lelaki tertua hidup di dunia selepas wanita dari Amerika Syarikat, meninggal dunia pada usia 115 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23



Mangsa simbah asid jadi ‘jutawan’

Posted: 23 Dec 2012 07:37 AM PST

NEW DELHI: Mangsa yang selamat daripada serangan asid ketika masih remaja, memenangi tempat pertama, sekali gus menjadi jutawan, dalam rancangan kuiz televisyen paling popular di India.

Sonali Mukherjee, melecur teruk di muka disebabkan serangan itu yang berlaku ketika dia berusia 17 tahun dan keluarganya menggunakan semua wang mereka untuk rawatannya.

Namun wanita berusia 27 tahun dari New Delhi ini mungkin akan dapat membayar kos rawatan pembedahan plastik apabila memenangi kuiz Who Wants to be a Milionaire versi India.

Sonali yang diserang oleh lelaki yang meminatinya, memenangi Rs25 lakhs (RM148,444), tampil di rancangan itu bersama aktres Bollywood dan bekas Ratu Dunia, Lara Dutta.


Hos rancangan itu, Amitabh Bachchan memuji Sonali kerana berani tampil di rancangan itu.


Katanya: "Haknya untuk keadilan dinafikan, malah dia merayu supaya nyawanya diambil. Itu juga dinafikan kerana eutanasia diharamkkan di negara ini.

"Dia membuat keputusan untuk tidak berdiam diri dan menderita sendirian.

"Kisahnya adalah kisah keberanian yang tinggi. Negara ini memuji dia dan begitu juga kami.

Sonali yang telah melalui pembedahan sebanyak 22 kali sejak serangan pada 2003 berkata, kemenangannya itu bertepatan untuk rawatan yang akan dilaluinya selepas ini.

Dia adalah pelajar cemerlang di Dhanbad, di wilayah Jharkhad ketika diserang dengan bahan kimia dikenali sebagai Tezaab, yang biasanya digunakan untuk membersihkan peralatan berkarat.

Penyerangnya memecah masuk rumahnya dan menyimbah asid ke mukanya ketika dia tidur.

Sonali kini separuh buta dan pekak disebabkan kecederaannya.

Sejak serangan itu, dia tidak langsung menerima dana untuk rawatan dan awal tahun ini dia menulis surat kepada kerajaan India, mengugut untuk membunuh diri sekiranya tidak mendapat bantuan kerajaan.

Penyerangnya kini diikat jamin selepas dipenjara hanya empat bulan dan mereka tidak didakwa dengan betul atas jenayah yang dilakukan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


90 minit milik Nazmi

Posted: 23 Dec 2012 07:29 AM PST

'PENYAKIT misteri' yang dialami Muhamad Nazmi Faiz Mansor kini sudah tidak lagi membelenggu pemain muda berbakat negara itu apabila dia kini dilaporkan mampu beraksi sepanjang permainan.

Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini mencetuskan rasa 'bingung' jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee apabila dia hanya boleh bertahan sekurang-kurangnya 60 minit permainan sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kekejangan otot.


Namun hasil latihan dan perlawanan berkualiti bersama kelab barunya, S C Beira-Mar di Portugal sejak Julai lalu, ia ternyata memberi kesan positif.

Kim Swee berkata, beliau amat gembira dengan perkembangan terbaru itu memandangkan Nazmi antara tonggak utama dalam skuad bawah 23 tahun negara (B-23) yang bakal memikul misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar hujung tahun depan.


"Saya sentiasa memantau prestasi Nazmi di sana (Portugal) dan apa yang menggembirakan saya, dia tidak lagi mengalami kekejangan otot ketika beraksi, ini satu petanda positif.


"Dia memaklumkan kepada saya, corak latihan yang berbeza dan beraksi bersama pemain yang berkualiti banyak membantunya meningkatkan prestasi. Buat masa ini saya tidak mahu mengganggu program Nazmi bersama S C Beira-Mar, tapi saya sudah membuat perancangan untuk membawanya berlatih bersama skuad negara," katanya kepada Arena Metro semalam.

Nama Nazmi mula menjadi sebutan apabila beraksi cemerlang ketika membantu skuad B-23 negara mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Jakarta, tahun lalu meskipun mendapat panggilan saat akhir Kim Swee.


Ketika ini pemain kelahiran Kuala Lumpur itu beraksi dengan skuad bawah 19 tahun, S C Beira-Mar dan sedang berusaha untuk mencari tempat dalam skuad utama.

Menurut Kim Swee, beliau tidak bercadang memanggil Nazmi dalam masa terdekat ini, namun menyatakan pemain itu akan turut serta bersama pasukannya ketika menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Eropah dan juga kejohanan Pestabola Merdeka, Ogos depan.


"Kami akan berpangkalan di Slovakia bermula Mac hingga Julai ini dan dalam tempoh itu, saya akan memanggil Nazmi jika dia tidak terikat dengan perlawanan bersama kelabnya. Saya juga akan cuba mendapatkan khidmatnya bagi Pestabola Merdeka sebelum ke Sukan Sea Myanmar," katanya yang menyaksikan anak buahnya menumpaskan Sime Darby FC 2-1 dalam aksi persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Selain Nazmi, Kim Swee juga akan memanggil pemain luar daripada Harimau Muda A seperti Mohd Zubir Azmi (Terengganu) dan Nik Shahrul Azim Abd Halim (Kelantan) sekiranya mereka beraksi cemerlang bersama pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia.


Setakat ini, Harimau Muda A yang menjadi teras skuad B-23 negara dibarisi 27 pemain dan bakal memulakan persiapan pertama dengan mengadakan sisi jelajah Australia hujung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23



Gah tewaskan Singapura

Posted: 23 Dec 2012 07:26 AM PST

SELEPAS 15 tahun menunggu, skuad ragbi Malaysia sekali lagi mengesahkan penguasaan mereka ke atas Singapura apabila memenangi Perisai Cabaran Seberang Tambak (Causeway Challenge Shield) di antara kedua-dua negara itu di Mini Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi kelmarin.

Perlawanan persahabatan antara kedua-dua negara itu yang membabitkan skuad bawah 23 tahun menyaksikan tuan rumah menang dengan 31-14. Kemenangan ke-13 mereka dalam siri itu yang diadakan semula selepas 15 tahun tidak dipertandingkan sejak 1997.


Kejohanan itu sebelum ini dikenali sebagai Perisai Persahabatan Bawah 23 (Under-23 Friendship Shield) dikuasai Malaysia dari 1985 hingga 1996.

Malaysia mengambil masa lima minit selepas perlawanan bermula apabila Sheikh Mohamed Harris melakukan try pertama dari bahagian tepi kanan. Nasreen Fitri nyata tidak mengecewakan dengan conversion dari jarak 30 meter bagi membolehkan Malaysia mendahului 7-0. Singapura, dikenali sebagai Singapore Colts yang diketuai Low Feng Hwa, bangkit selepas kejutan awal itu dan dihadiahkan penalti pada minit berikutnya. Bagaimanapun, sepakan flyhalf Constantine Denis tersasar.


Begitupun, 300 penonton yang hadir dihidangkan dengan persembahan menarik pemain Malaysia apabila ketua pasukan, Faridzal Ismail berlari 40 meter untuk melakukan try dari sebelah kiri manakala conversion Nazreen sekali lagi menjadi apabila memberikan tuan rumah pendahuluan 14-0.


Malaysia yang terlepas peluang penalti beberapa minit kemudian kembali menguasai apabila semakin menjarakkan diri. Kali ini menerusi try Azril Izwan Musa pada minit ke-28 dengan Nazreen meletakkan negara mendahului 21-0.

Tiga minit kemudian, pemain Singapura Alvin Ho melakukan try dan kali ini Denis tidak menghadapi masalah menjadikan kedudukan 21-7 sebelum rehat.


Separuh masa kedua menyaksikan saingan sengit ketika pemain muda Malaysia yang menaruh harapan untuk disenaraikan dalam skuad senior, menguasai sebahagian besar perlawanan, mendahului 31-7 menerusi try Anwarul Hafiz Ahmad (m60) dan Faridzal (m72). Singapura bangkit dalam masa kecederaan menerusi usaha Ho dan Dennis untuk perlawanan itu berakhir dengan 31-14.

"Rancangan kami berjalan lancar dan saya begitu gembira dengan kemenangan ini. Kami lebih banyak menguasai bola pada kedua-dua separuh masa dan memanfaatkan peluang dengan baik," kata pengurus pasukan Malaysia, Razbi Abdul Razak. "Perlawanan ini baik untuk kedua-dua negara kerana kami tidak selalu mendapat peluang menguji pemain muda dalam perlawanan antarabangsa."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23



Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved