Rabu, 7 September 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Berang duit raya RM1

Posted: 06 Sep 2011 11:31 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Gara-gara tidak berpuas hati enam cucunya hanya mendapat duit raya RM1 daripada ibunya, seorang warga emas berusia 60 tahun gagal mengawal diri apabila menyerang dua adik perempuannya dengan merosakkan harta benda serta menghamburkan kata-kata kesat berbaur ugutan dalam kejadian Jumaat lalu.

Difahamkan kejadian berlaku selepas lelaki terbabit yang berlainan bapa dengan mangsa naik berang apabila enam cucunya hanya memperoleh duit raya RM1 daripada ibunya berusia 84 tahun sebelum menuduh kononnya dua adiknya itu mengawal duit ibunya yang sudah uzur.

Kejadian berlaku pada jam 10.30 malam di rumah seorang adik berkenaan, Noleha Sulong, 42, di Kampung Pengadang Baru, di sini, menyebabkan dia dan dan adiknya, Rokiah, 37, trauma serta hidup dalam ketakutan.

Noleha berkata, dia tidak sangka abangnya itu tergamak menyerang dia dan adiknya semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan jumlah duit raya diberikan ibu mereka.


"Hairan juga saya dengan sikap abang yang tidak pernah berpuas hati dan berprasangka buruk terhadap kami adik-beradik, padahal bukan cucunya saja mendapat RM1, tetapi anak bongsu saya dan semua cucu lain turut mendapat jumlah yang sama.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Tiga ‘polis’ culik 9 jam

Posted: 06 Sep 2011 10:58 AM PDT

KAJANG: Seorang lelaki bukan saja diculik dan dikurung lebih sembilan jam sebaliknya turut dibelasah sekumpulan tiga lelaki yang menyamar anggota polis dalam kejadian di rumahnya di Cheras Perdana, di sini, 29 Ogos lalu.

Lebih malang, mangsa yang berusia 26 tahun itu patah rusuk kiri akibat dipukul dan lebam seluruh badan ditinggalkan separuh bogel di dalam longkang di kawasan berhampiran rumahnya selepas gagal membayar wang tebusan RM2,000. Mangsa yang ditemui orang ramai dihantar ke Hospital Kajang (HK) sebelum tidak sedarkan diri selama empat hari.


Kejadian itu bermula kira-kira jam 4 petang, apabila mangsa yang berseorangan di rumah sewanya dikejutkan dengan ketukan kuat tiga lelaki yang memperkenalkan diri anggota polis berpakaian biasa dan ingin membuat pemeriksaan.

Menurut sumber, mangsa pada mulanya tidak mengesyaki niat serong kumpulan terbabit membenarkan mereka masuk.


"Mangsa meminta kumpulan terbabit menunjukkan kad kuasa, namun tindakannya menyebabkan suspek berang sebelum mereka memukul mangsa.


"Mangsa yang terkejut dengan tindakan kumpulan terbabit menjerit meminta tolong apabila mereka menendang dan menumbuknya," katanya.

Sumber berkata, kumpulan terbabit kemudian mengheret mangsa masuk ke dalam kereta mereka yang ditinggalkan di kawasan berkenaan sebelum membawanya ke sebuah rumah di kawasan Pandan Indah dan mengurungnya.


Di rumah itu, seorang daripada suspek menghubungi rakan mangsa bagi meminta wang tebusan untuk melepaskan mangsa yang kononnya ditahan di sebuah balai polis atas kesalahan tidak dinyatakan. Pada mulanya, suspek meminta rakan mangsa RM5,000 dan selepas berbincang dan proses tawar menawar, jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM2,000.

"Bagaimanapun, rakan mangsa tidak dapat memenuhi permintaan suspek kerana berada di kampung halaman menyambut Aidilfitri.


"Kegagalan rakan mangsa memenuhi permintaan itu walaupun sudah berunding menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa hingga mangsa tidak bermaya," katanya.


Katanya, sebaik mangsa dibelasah, suspek yang masih tidak berpuas hati meninggalkan mangsa separuh bogel di dalam longkang berdekatan rumahnya kira-kira jam 12.30 tengah malam.


Orang ramai yang lalu berhampiran kawasan itu menemui mangsa tidak bermaya sebelum menghantarnya ke HK untuk rawatan lanjut.


"Mangsa dalam keadaan lemah dihantar ke HK dan ditahan selama empat hari kerana tidak sedarkan diri.


"Mangsa dibenarkan keluar dari hospital pada 4 September lalu selepas doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya," katanya.


Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussien Onn kerana bimbang kumpulan terbabit kembali mengganggunya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan mangsa.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Rezeki lakonan melimpah-ruah

Posted: 06 Sep 2011 04:40 AM PDT

BUKANLAH pertama kali dipertemukan, sebaliknya ketiga-tiga bintang muda ini pernah beberapa kali bekerjasama baik menerusi program televisyen, drama atau filem mahupun sesi fotografi.

Bagaimanapun, suasana petang itu tidak sunyi dengan tiga jejaka ini, Fizo Omar, 26, Kamal Adli, 25, dan Amar Baharin, 26, kerana masing-masing punya pelbagai cerita.

Bagi mereka, sesekali bertemu terutama untuk sesi fotografi sempena Aidilfitri memang menarik dan menyeronokkan. Ada saja yang boleh dijadikan topik perbualan dan usikan.

Meneliti sembang panjang mereka, seperkara yang menyamakan tiga bintang muda ini ialah bakat dan peluang dalam jalur seni yang terbentang luas buat mereka selepas mencuba nasib dalam program realiti dan pertandingan pencarian bakat.


Menyarungkan persalinan baju Melayu sentuhan pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek yang berjaya menyerlahkan ketampanan masing-masing, topik perbualan petang itu lebih menjurus soal persediaan menjelang Aidilfitri dan kenangan masa kecil mereka.


Kelakarnya, kedua-dua bintang kelahiran pertandingan Hero Remaja, Kamal dan Fizo masing-masing cuba menyembunyikan perangai nakal mereka daripada diketahui keluarga kerana bimbang dimarahi.

Fizo umpamanya yang membesar dengan lasak di Kota Bharu, Kelantan menyifatkan kedatangan Aidilfitri setiap tahun adalah saat terindah untuknya menghabiskan masa bersama teman, sepupu dan jiran di kampung halaman.

"Kalau diimbas semula, memang macam-macam yang kami lakukan. Maklumlah anak lelaki dan kebetulan saya memang minat bersukan dari kecil. Apabila tiba raya, memang kami semua berkumpul dan inilah masa terbaik untuk bermain. Tapi Alhamdulillah, tidak pula saya sampai bermain mercun hingga membahayakan diri atau merisaukan ibu bapa.

"Jujurnya memang saya rindukan saat itu dan ingin sekali kembali melihat keindahan Aidilfitri ketika masih kecil. Tiada apa yang perlu difikirkan seperti sekarang kerana semuanya ada di depan mata. Apa yang diambil kira adalah persalinan baru dan sibuk mengumpul duit raya," katanya.

Bintang filem Kongsi yang juga pengacara program 3 Hari 2 Malam ini hadir ditemani ibu dan sepupunya. Meskipun, sudah besar panjang dan pandai berdikari, anak kedua daripada empat beradik ini masih akrab duduk berkepit dengan ibunya.

Fizo atau nama sebenar, Wan Hafizol Wan Omar berkata, tahun ini tiada apa yang istimewa dirancang bagi menyambut kedatangan Syawal kerana sibuk menguruskan gerai menjual serunding daging istimewanya di bazar Ramadan di depan Kompleks Pertama, Kuala Lumpur.

"Tahun ini, saya berkejar-kejar menguruskan gerai serunding dan ke lokasi penggambaran. Alhamdulillah, tawaran tidak henti datang hingga Ramadan kali ini saya lebih banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran.

"Saya begitu sibuk dengan melunaskan dua filem iaitu Minyak Dagu dan Azazil. Kemudian berlari pula menyelesaikan watak Ilyas menerusi drama siri baru, Sophia bersama Tiz Zaqyah," katanya yang pulang ke kampung sehari sebelum raya dan bercuti selama lima hari.

Kamal yang mengakui bahagia bersama kekasih hatinya, Intan Ladyana, gembira pulang beraya di Jitra, Kedah kerana diberi rehat panjang selepas berhempas-pulas sebelum ini.

"Saya memang terlalu penat kerana kerja tidak henti dalam beberapa bulan sebelum puasa. Bayangkan, saya baru saja habis drama Aku Ada Kau Ada, terus ke lokasi drama siri Ana Lulu.

"Kemudian selepas sibuk mempromosikan filem Kembar Siang, saya masih sibuk dengan proses pembikinan filem 3 Temu Janji dan Gerimis Mengundang pula.

"Justeru, saya memang berhasrat ingin berehat seketika sepanjang puasa untuk fokus kepada diri sendiri dan keluarga pula," katanya.

Menyentuh soal cintanya, Kamal lekas menjawab yang mereka berdua belum terfikir untuk melangkah ke fasa seterusnya kerana masing-masing masih ligat mengukuhkan nama dalam pentas lakonan.

"Kami serius dalam perhubungan dan sememangnya kami ingin mengakhiri percintaan kami ke jenjang pelamin. Bagaimanapun, perkara itu belum sempat kami bincangkan memandangkan masing-masing ligat mencipta nama dan mengejar impian dalam lapangan ini.

"Kami serahkan semuanya pada takdir dan ketentuan kerana jika terlalu mengharap bimbang mengundang rasa kecewa pula kalau sebaliknya berlaku. Setakat ini, saya memang cukup selesa dengan Intan dan bertuah kerana dia tidak henti-henti menyokong apa saja yang saya lakukan terutama soal kerja.

"Begitulah indahnya hubungan ini kerana masing-masing faham dan sentiasa percaya antara satu sama lain. Insya-Allah jika ada jodoh dan kepastian, kami tidak sekali menyembunyikannya," katanya.

Sementara itu, Amar daripada program Anak Wayang, meskipun profil kerjaya seninya masih baru dan jauh tertinggal berbanding Kamal dan Fizo, si empunya wajah kacak manis ini bersyukur kerana tidak disisihkan terus dari gelanggang seni, sebaliknya masih ramai meletakkan kepercayaan kepadanya.

"Selepas Anak Wayang, saya terus dibawa ke Jakarta untuk drama siri Kau & Aku dan diberi tawaran lain. Jika difikirkan semula, saya memang bertuah. Walaupun masih baru dan belum ada nama yang kukuh, pihak penerbitan dan produksi nampak bakat saya.

"Saya harap diberi watak berat dan serius untuk membuktikan kemampuan selepas ini," katanya.

PROFIL

Nama penuh: Amar Baharin
Tarikh lahir: 1 Julai 1985
Umur: 26 tahun
Tempat lahir: Kajang, Selangor
Keluarga: Anak kedua daripada tiga beradik
Pendidikan: Diploma Kuasa Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Drama: Laila Manja, Khurafat The Series, Kau & Aku dan Mimi Mencari Cinta
Pencapaian: Finalis program Anak Wayang

PROFIL

Nama penuh: Wan Hafizol Wan Omar
Tarikh lahir: 19 Julai 1985
Umur: 26 tahun
Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Pendidikan: Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Filem: 7 Petala Cinta, Hello, Halim Munan, Minyak Dagu, Azazil dan banyak lagi
Drama: Jersi 9, Spa Q Musim Ke-2, Awan Dania Musim Ke-2, Suraya & Bila Musang Berjanggut, Siti Kelembai, Mistik Alam Hitam, Bionik, Cahaya Berbisik, Matahari, La Dolce Amira, Keliwon dan banyak lagi
Pengacara: 3 Hari 2 Malam (TV9), Pakar Kejelitaan (TV3) dan Gen X (RTM)
Teater: Siti Di Alam Fantasi
Pencapaian: Naib Juara Hero Remaja 2007/2008

PROFIL

Nama penuh: Ahmad Kamal Ahmad Adli
Tarikh lahir: 16 April 1986
Umur: 25 tahun
Tempat lahir: Pekan, Pahang
Keluarga: Anak ketiga dari tujuh beradik
Pendidikan: Pelajar Bidang Penyiaran di Akademi TV3
Filem: Senario The Movie Ops Pocot, Senjakala, Kembar Siang, Gerimis Mengundang, 3 Temujanji, Pusaka, Senjakala dan Niyang Rapik
Drama: Impian Sunsilk musim pertama dan kedua, Renjis 2, Bio-Nik, Zati & Mawas, Syah Jihan, Ana Lulu, Aku Ada Kau Ada dan Gemilang
Pengacara: Rentak Juara 2008 di RTM1 dan Pandanganku, Ceritaku di Astro Ria
Pencapaian: Juara Hero Remaja 2007/2008

‘Saya memang kecewa’

Posted: 06 Sep 2011 04:37 AM PDT

KETIKA ini filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham Ahmad Nazri mendaki tangga dari segi kutipan tiket sehingga dilaporkan setakat ini mencecah RM5 juta untuk lima hari tayangan.

Filem kelima terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Global Station Sdn Bhd itu ditayangkan serentak dengan satu lagi filem Melayu, Karipap Karipap Cinta (KKC) arahan Othman Hafsham sempena Aidilfitri kali ini.

KKC terbitan Alternate Pictures menelan kos perbelanjaan sekitar RM1.7 juta diadaptasi daripada novel karya penulis blog, Nazri M Annuar.

Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Gambit Saifullah, Mellia Aimellia, Syawal Ruslan, Eman Manan, Elyas Iskandar, Syamira Azmil dan P Jagen.


Begitupun, berbanding Hantu Bonceng dibintangi Zizan Raja Lawak, Juliana Evans dan Jue Aziz, KKC bergenre komedi romantik itu dikatakan kurang mendapat sambutan. Entah di mana silapnya, sama ada jalan penceritaan atau tarikan kepada barisan pelakon yang membintangi filem berkenaan.


Umum sedia maklum, Hafsham mempunyai gaya dan identiti penghasilan filem tersendiri. Tidak dinafikan sentuhannya menerusi Adik Manja (1979), Mekanik (1983) dan Rahsia (1987) mencetuskan fenomena tersendiri.

Hafsham turut mencatat kejayaan memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7) menerusi Rahsia dan FFM4 (Mekanik) selain FFM1 bagi Anugerah Skrip Terbaik (Adik Manja).

Percubaan Hafsham selepas hampir sedekad tidak duduk di kerusi pengarah tampak kurang menjadi selepas melihat sambutan yang kurang menggalakkan menerusi filem itu.

Komen untuk filem itu juga mengatakan pelakon utamanya gagal memikul tanggungjawab diserahkan ditambah pula kontroversi dicetuskan Gambit Saifullah yang sebelum ini disifatkan kurang mesra media dan terbaru, kelancangannya mengeluarkan kata-kata melalui lama sosial facebooknya hingga melabel orang tertentu sebagai binatang.

Apakah itu antara punca filem ini kurang mendapat sambutan? Ikuti temu bual wartawan Harian Metro, WAN ASRUDI WAN HASAN bersama Hafsham mengenai sambutan KKC dan perancangannya selepas ini.

RAP : Bagaimana sambutan filem Karipap Karipap Cinta (KKC) setakat ini?

HAFSHAM: Saya tidak tahu berapakah jumlah kutipannya setakat ini tetapi apa yang boleh saya katakan, sambutannya kurang memberangsangkan berbanding saingannya yang ditayangkan serentak pada musim raya kali ini. Mungkin disebabkan penonton masih dalam 'mood' perayaan dan ramai yang balik kampung. Saya harap penonton akan terus menyaksikan filem ini ketika ditayangkan di pawagam.

RAP : Apakah faktor genre filem yang tidak mempunyai kaitan dengan perayaan antara puncanya?

HAFSHAM: Tidak semestinya. Filem KKC memang tidak mempunyai kaitan dengan suasana raya. Memang kami tidak menyasarkan filem KKC untuk ditayangkan pada hari raya. KKC termasuk filem lain yang ditayangkan di pawagam ketika ini bukan genre perayaan. Ia ditayangkan secara kebetulan kerana memperoleh tarikh tayangan dalam tempoh berkenaan.

RAP : Bagaimana Hafsham melihat lakonan tunjang utama filem ini?

HAFSHAM: Saya berpuas hati dengan barisan pelakon dan pasukan yang menjayakan filem ini walaupun ia membariskan pelakon kurang ternama sebagai teraju utama. Jika zaman filem Mekanik dulu, orang tidak mengenali Susan Lankester begitu juga Azmil Mustapha. Begitu juga filem Rahsia (1987) tidak mencatat kutipan box office ketika ditayangkan namun memperoleh kejayaan apabila menang lapan anugerah pada Festival Filem Malaysia ke 7 (FFM7).

RAP : Adakah Hafsham berpuas hati dengan produk akhir filem ini?

HAFSHAM: Sudah tentu saya berpuas hati. Jika tidak, tentu saya tidak menayangkannya kepada umum. Mungkin nasib tidak menyebelahi kami. Senario sekarang sudah berbeza. Penonton lebih utama kepada komersial.

RAP : Ada yang melihat pemilihan Gambit Saifullah dan pelakon baru, Melia Aimellia untuk watak utama kurang menjadi kerana kelihatan kaku dan seperti dibuat-buat. Apa komen anda?

HAFSHAM: Mereka melaksanakan tugas dengan baik sekali. Pelakon bukan faktor utama apa yang penting bagi saya jalan cerita. Semua bergantung kepada penonton yang membeli tiket wayang. Kalau hendak dibandingkan dengan Hantu Bonceng, ternyata genre filem ini berbeza. Hantu Bonceng mengetengahkan genre komedi dan seram sementara KKC genre romantik komedi pula ada babak konspirasi, pesanan ringan dan percintaan.

Penampilan Zizan Raja Lawak menerusi Hantu Bonceng juga menjadi salah satu tarikan utama memandangkan dia boleh dikatakan ketika ini antara bintang seni yang semakin bersinar. Selain mempunyai peminat tersendiri.

RAP: Komen Hafsham mengenai kenyataan Gambit di Facebook yang mengeluarkan kata-kata kesat dan mencaci individu tertentu? Adakah ia turut mempengaruhi promosi filem berkenaan?

HAFHAM: Saya rasa ia tidak menjejaskan filem berkenaan. Ia sebaliknya lebih kepada faktor peribadi. Malah Gambit juga sudah memohon maaf berhubung isu berkenaan.

RAP : Selepas hampir sedekad tidak mengarah, nampaknya sambutan terhadap filem KKC tidak begitu menjadi? Apakah ini akan melemahkan semangat Hafsham untuk kembali mengarah?

HAFSHAM: Memang saya agak kecewa sedikit. Mungkin kata orang tiada rezeki. Kadangkala rezeki juga ditentukan oleh orang. Memang selepas membaca buku KKC penceritaannya memang mempunyai tarikan tersendiri.

RAP : Apa perancangan Hafsham selepas ini?

HAFSHAM: Setakat ini, saya belum merancang apa-apa. Memang saya ada beberapa cerita yang bagus untuk diangkat di layar perak. Salah satunya seperti yang saya maklumkan sebelum ini, Tractor Bay kemungkinan besar akan memulakan penggambaran pada tahun depan. Filem berkenaan mempunyai tahap pemikiran intelektual yang tinggi dan mempunyai elemen aksi selain berwajah Malaysia. Saya menunggu masa yang sesuai untuk ditayangkan kerana takut penonton tidak dapat menghayati penceritaannya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Buaya tembaga gergasi ditangkap

Posted: 06 Sep 2011 09:19 AM PDT

MANILA: Seekor buaya tembaga berukuran 6.4 meter panjang, dipercayai yang paling besar ditemui, ditangkap di bahagian selatan Filipina setelah beberapa kejadian serangan buaya berlaku.

Seorang pemburu, Rollie Sumiller berkata, reptilia jantan seberat 1,075 kilogram itu dipercayai membaham seorang petani yang hilang Julai lalu di bandar Bunawan dan juga menyerang dan membaham kepala kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dua tahun lalu.

Pemburu itu menyiasat isi perut haiwan itu dengan memaksanya muntah selepas ia ditangkap Sabtu lalu, tetapi, tiada cebisan tubuh manusia ataupun kerbau yang dilaporkan hilang oleh penduduk di situ ditemui.

"Penduduk merasa lega, tapi kami tak pasti ia telah memakan manusia kerana mereka pernah melihat beberapa ekor buaya lain di kawasan itu," kata Sumiller.


Kerajaan tempatan di bandar miskin yang menempatkan 30,000 orang penduduk itu, membuat keputusan untuk tidak membunuh buaya tetapi akan membuka sebuah taman semula jadi untuk mempamerkan buaya itu kepada orang ramai.


Ketua Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Alam Sekitar Filipina, Josefina de Leon berkata, mungkin buaya itu adalah yang terbesar pernah ditangkap di dunia.

"Berdasarkan rekod yang ada, buaya yang terbesar ditangkap sebelum ini ialah sepanjang 5.48 meter," katanya. - AFP

Kerah jet ambil sandal

Posted: 06 Sep 2011 09:17 AM PDT

NEW DELHI: Seorang ahli politik berpengaruh yang digelar 'Ratu Kasta Terendah' didakwa pernah mengerahkan jet untuk mengambil sandal berjenama yang diminatinya.

Mesej sulit kedutaan diplomatik Amerika Syarikat yang didedahkan oleh WikiLeaks dalam laman webnya semalam, menyifatkan Mayawati sebagai 'wanita ego kelas pertama' yang bercita-cita untuk menjadi perdana menteri.


Mayawati, 55 (gambar), membina kariernya dengan memperjuangkan golongan kasta terendah, Dalits, antara puak yang paling miskin dan tersisih di India.

Namun, dia dikritik kerana rasuah dan mengadakan perayaan secara besar-besaran serta membina taman lengkap dengan tugu pemimpin kaum Dalit, termasuk dirinya.


"Apabila dia memerlukan sandal, sebuah jet kosong dihantar ke Mumbai untuk mengambil sandal berjenama pilihannya," menurut kabel bertarikh 23 Oktober 2008 itu.


"Dia membina jalan raya khas dari kediamannya ke pejabatnya yang dibersihkan serta-merta selepas konvoi- nya yang terdiri daripada pelbagai kenderaan tiba di destinasi mereka." Mayawati juga didakwa mempunyai pekerja perasa makanan bagi melindungi dirinya daripada diracun.

Menurut mesej yang sama, seorang menteri pernah diarah melakukan tekan tubi sebagai denda kerana kesalahan kecil sementara mereka yang mahu bertanding mewakili partinya perlu membayar beribu-ribu dolar.


Mayawati, dalam kenyataan balasnya, mengecam kabel berkenaan dan menyifatkan orang disebalik pendedahan itu sebagai gila.

Mayawati yang jarang bercakap kepada wartawan, mengadakan sidang akhbar di Luck- now sebaik pendedahan mesej itu tersebar dan mengecam pengasas WikiLeaks, Julian Assange kerana mendedahkan mesej sulit itu. - Agensi

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Saya mahu Rexy kekal’

Posted: 06 Sep 2011 09:44 AM PDT

"SAYA akan pertahankan Rexy (Mainaky) supaya beliau terus kekal bersama BAM," kata Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh (gambar) mengenai status jurulatih beregu dari Indonesia itu.

Biarpun kenyataan Kenny itu meyakinkan, namun nasib Rexy boleh diibaratkan 'telur di hujung tanduk' selepas beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong secara terbuka menyuarakan hasrat untuk berlatih di bawah bimbingan Pang Cheh Chang yang kini melatih beregu wanita.


"Buat masa ini tiada perancangan untuk kita menamatkan khidmat Rexy," kata Kenny. Tapi sampai bilakah frasa 'buat masa ini' akan bertahan? Apakah selama sehari sehingga mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) diadakan esok? Jika benar mahu mengekalkannya, Rexy yang kini hanya memiliki satu setengah gandingan untuk dilatih iaitu Vountus Indra Mawan-Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid dan Hoon Thien How, perlu diberi tambahan pemain baru, tetapi Kenny tidak dapat mengesahkannya.

"Kita akan bermesyuarat dulu dalam C&T Khamis ini sebelum mengetahui sama ada perlu atau tidak Rexy diberikan pemain baru.


"Mungkin juga kita akan ubah peranannya untuk program latihan lain.


"Apapun, saya ingin tegaskan Kien Keat-Boon Heong masih berada di bawah Rexy meskipun Rexy ada menyuarakan kepada saya beliau sedia melepaskan gandingan itu," kata Kenny.

Begitupun pagi semalam, Kien Keat-Boon Heong langsung tidak berlatih bersama Rexy, sebaliknya menyertai dua gandingan KLRC, Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen bersama bekas ketua jurulatih BAM, Razif Sidek ketika mereka menumpang latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara. Begitu juga dengan Thien How.


Rexy yang ditemui bagaimanapun berkata beliau hanya mahu menunggu keputusan atau cadangan yang akan dikemukakan pihak pengurusan dalam mesyuarat C&T esok.

"Saya nak lihat dulu apa yang jawatankuasa putuskan. Saya nak tahu apa permintaan mereka. Jika bersyarat, saya juga akan mengemukakan syarat saya," kata Rexy yang menganggap tindakan Kien Keat-Boon Heong itu didalangi pihak tertentu.


"Jika BAM menerima permintaan saya jelaslah mereka ikhlas, tapi jika tidak, pasti ada orang sudah menentukan kedudukan saya," katanya.


Ditanya sama ada akan meminta pemain tertentu untuk dilatih, Rexy berkata beliau tidak akan menamakan mana-mana pemain, tetapi akan bertanya kepada BAM mengapa beliau perlu melatih pemain yang diberikan kepadanya itu.


Ketiadaan Vountus-Lutfi yang menyertai kejohanan GP Emas Terbuka Taiwan minggu ini, menyaksikan Rexy berseorangan di satu sudut di Stadium Juara, tanpa pemain untuk dilatih.

Perlu bukti kemampuan

Posted: 06 Sep 2011 09:38 AM PDT

AKSI persahabatan menentang kelab Iraq, Al-Arbil malam esok menjadi medan terakhir buat pemain Olimpik negara membuktikan kebolehan dan kemampuan mereka kepada jurulatih Ong Kim Swee bagi merebut 21 tempat ke Jepun untuk mengharungi perlawanan pembukaan Kumpulan C, pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2012 Zon Asia.

Sejumlah 22 pemain kini giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya dengan tiga lagi pemain Olimpik negara beraksi bersama kelab Slovakia, FC Vion iaitu Wan Zack Haikal Wan Noor, Irfan Fazail dan Mohd Fadhli Shas.


Pengendali terbabit yang sebelum ini membimbing skuad Olimpik negara menyingkirkan Pakistan dan Lubnan menjelaskan kesempatan menentang kelab yang layak beraksi pada suku akhir Piala AFC itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberikan peluang kepada semua pemain beraksi pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di padang Wisma FAM itu.

"Keputusan perlawanan terbabit tidak penting dan menjadi ukuran kerana prestasi pemain adalah lebih penting apabila mengharungi aksi kompetitif seperti ini (peringkat kumpulan kelayakan Olimpik 2012). "Saya akan memberi peluang kepada semua pemain," katanya semalam.


Bayangan kesebelasan utama skuad Olimpik negara juga mungkin hanya akan diketahui pada aksi persahabatan menentang skuad Olimpik Oman pada 15 September ini dengan Kim Swee menyatakan beliau akan menggunakan sekurang-kurangnya 15 pemain yang juga persediaan terakhir sebelum bertandang ke Jepun. "Setiap kali pemain turun beraksi, prestasi mereka perlu ditingkatkan dan ia diharapkan dapat mencapai tahap maksimum apabila beraksi pada perlawanan sebenar di Jepun nanti," katanya.


Skuad Olimpik negara dijadualkan menentang Jepun di Stadium Tosu pada 21 September ini manakala satu lagi aksi Kumpulan C menemukan Syria dan Bahrain dengan hanya juara kumpulan layak secara automatik ke temasya Olimpik London yang berlangsung pada pertengahan tahun depan.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved