Jumaat, 21 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Busana bagus mampu milik

Posted: 21 Sep 2012 11:50 AM PDT

BAJU kurung memang ramai penggemarnya apatah lagi jika ia diberikan sentuhan moden terkini dengan menambah pelbagai perincian menarik menggunakan manik dan kristal.

Begitulah antara koleksi butik D' Natasha yang turut mengutamakan kualiti jahitan pakaiannya. Pemiliknya, Natasha Diana, akui bersesuaian dengan kehendak wanita kini penggunaan perincian sama ada di bahagian hujung lengan, dada serta hujung baju amat dititikberatkan.

"Penggunaan manik, labuci, kristal dan sulaman timbul menyerikan busana terutama apabila menggunakan jenis kain polos untuk membuatkannya lebih menyerlah.

"Setiap perincian pula dijahit tangan bagi menjaga kualiti baju terbabit malah ia boleh digunakan untuk tempoh yang lama," katanya yang mengetengahkan rekaan yang boleh dijadikan pakaian harian sama ada untuk ke tempat kerja atau menghadiri majlis formal tertentu.


Menariknya, setiap rekaan baju yang terhasil dijahit sendiri ibu mentuanya. Justeru, harga busana yang ditawarkan di butiknya berada di bawah RM200.


"Saya ingin memberi peluang kepada penggemar fesyen tempatan mendapatkan busana diingini pada harga mampu milik sambil mengutamakan pakaian berkualiti tinggi.

"Malah, saya sendiri yang membuat pilihan jenis kain sebelum dihantar untuk dijahit," katanya.

Sementara itu, jenis kain digunakan kebanyakannya ialah sifon. Apabila dipakai bentuk baju daripada kain sifon lebih terletak pada badan pemakai malah ia juga kelihatan lebih menarik, anggun serta mewah sekiranya diberi tambahan aksesori bersesuaian.

Natasha berkata, dia ingin menghasilkan kelainan dalam dunia fesyen kerana sungguhpun menggunakan rekaan tradisional, ia tetap mampu menyerlahkan gaya pemakainya.

"Tidak dinafikan gaya tradisional masih menjadi pilihan penggemar fesyen tempatan dan saya ingin mengambil peluang ini menyerlahkan kembali kehebatan rekaan berkenaan.

"Kombinasi gaya moden dan tradisional memang menarik untuk diketengahkan kerana bagi saya, jika tiada bentuk lama maka tiadalah produk baru yang terhasil. Justeru, keseimbangan antara kedua-duanya amat penting," katanya.

Terima kasih:

Butik D' Natasya
No 1-23A, Jalan Prima SG1, Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor
natashadiana77@yahoo.com/017-2005088/012-3338757
Model: Tilla Melvin

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


Kreativiti gelang kristal

Posted: 21 Sep 2012 08:36 AM PDT

AKSESORI sering menjadi keutamaan dalam penampilan harian wanita. Walaupun dengan hanya menggayakan jam tangan, ia sudah memadai bagi mereka yang ingin tampil ringkas.

Namun, bagi wanita yang gemar berhias, penggunaan perhiasan seperti rantai, cincin dan gelang tangan amat dititikberatkan.

Pelbagai rekaan dan bentuk gelang tangan boleh diperoleh kini bergantung kepada cita rasa dan kesesuaian padanan aksesori berkenaan pada diri.

Lebih menarik, ia juga boleh dihasilkan sendiri mengikut kreativiti dan teknik yang betul sama ada menggunakan gabungan batuan kristal atau manik.


Malah, bajet diperlukan untuk menyediakannya juga amat berpatutan kerana tidak perlu berbelanja banyak, cukup sekadar menyediakan pilihan kristal, playar dan pin.


Bagi pengasas La' Seri Collection, Norlela Mohd Nor, proses menyediakan gelang tangan daripada batuan kristal cukup mudah. Apa yang penting ialah cara setiap bahagian gelang tangan dibentuk dan disambungkan bagi membentuk rekaan diingini perlu sekata.

"Imaginasi amat penting kerana melaluinya kita dapat membayangkan bentuk yang ingin dihasilkan. Kemudian jadikan ia lakaran asas agar rekaan terbabit boleh diberikan penambahan idea baru untuk menjadikannya lebih menarik.

"Teknik lilitan dan ikatan pin juga perlu betul bagi memastikan setiap sambungan di antara bahagian kristal terbabit sentiasa kemas," katanya.

Tidak sukar untuk belajar cara menghasilkan lilitan dan ikatan pin kerana bahan diperlukan untuk menyediakannya hanya playar.

Tetapi tanpa kesungguhan dan minat pembuatnya, setiap hasil kraf yang ingin dihasilkan tidak akan berhasil kerana ia amat memerlukan ketelitian.

Untuk maklumat mengenai pelbagai aksesori menarik dihasilkan Norlela, e-mel kepada laseriku@ymail.com atau laseriku@gmail.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Jeriji besi sekat habuan lebih

Posted: 20 Sep 2012 12:52 PM PDT

GOMBAK: Dua wanita berdepan saat getir apabila kedai emas mereka disamun tiga lelaki bertopeng bersenjatakan tukul, kapak dan sepucuk pistol sebelum melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM10,000 dalam kejadian di Taman Sri Selayang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, dua wanita berusia 40-an dan 52 tahun terbabit sempat melarikan diri masuk ke bilik di belakang kedai sebaik melihat tiga suspek bersenjata itu.


Menurut anak pemilik kedai, M Rajesh, 37, ketika kejadian dia dan bapanya tiada di premis itu, namun mengikut apa diceritakan ibu serta kakak saudaranya, tiga lelaki bertopeng serta bersenjatakan tukul, kapak dan pistol memasuki kedai manakala seorang lagi menunggu dalam kereta Perodua Kancil.

"Ini kejadian pertama sejak kami memulakan perniagaan dua tahun lalu, mujur tiada pelanggan ketika kejadian dan ibu serta kakak saudara saya turut tidak dicederakan.


"Mereka kemudian bertindak memecahkan kaca dengan menggunakan tukul dan kapak, bagaimanapun mereka mengalami kesukaran memasukkan tangan untuk mencapai kebanyakan barang kemas kerana kami meletakkan jeriji besi di bawah lapisan kaca yang mereka pecahkan itu," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang semasa tiada pelanggan di kedai itu.

"Hanya isteri serta anak saudara pemilik kedai berada di bahagian dalam dan sempat melarikan diri masuk ke bilik belakang kedai itu.


"Tiga suspek bertopeng terbabit hanya dapat melarikan barang kemas berjumlah kira-kira RM10,000 berikutan kehadiran orang awam yang ramai serta kesukaran mencapai barangan di bawah jeriji besi itu," katanya.

Menurutnya, hasil semakan polis ke atas nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek palsu bagaimanapun pihaknya akan menyiasat dengan lebih lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


Batal lesen penjaja struktur kekal Jalan Mergastua

Posted: 20 Sep 2012 11:42 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen penjaja sebuah premis struktur kekal di bahu Jalan Mergastua, Kepong Baru di sini, yang mencetuskan kemarahan dan bantahan 11 persatuan peniaga dan penduduk.

Pengurus Perancangan Korporatnya, Dr Ismail Stapa berkata, pada awalnya, penjaja terbabit hanya diberikan permit sementara jualan makanan dan minuman dengan menggunakan kanopi dan meja lipat.


Menurut beliau, permit perniagaan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam itu juga tidak membenarkan pengusahanya membina apa-apa struktur kekal pada tapak berkenaan.

"Pada 29 Ogos, DBKL membatalkan lesen penjaja itu kerana mendirikan struktur tanpa kebenaran dan diberi tempoh 14 hari untuk mengosong dan membuka semula struktur terbabit.


"Pada 11 September, satu notis peringatan dikeluarkan supaya mengosongkan kawasan itu dan seminggu selepas itu, DBKL melakukan tindakan penguatkuasaan membabitkan kerja-kerja pembersihan saki baki struktur binaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.


Dr Ismail berkata, kerja pembersihan itu susulan penjaja terbabit sudah membuka struktur binaan mereka dan mengosongkan tapak bila.

Beliau mengulas laporan Harian Metro Selasa lalu mengenai bantahan 11 persatuan penduduk dan peniaga mewakili kira-kira 30,000 penduduk sekitar Kepong Baru terhadap DBKL yang didakwa meluluskan pembinaan premis itu walaupun dibina secara haram sejak tiga bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Butler ‘kepanasan’

Posted: 20 Sep 2012 09:16 AM PDT

JODOH Peter Butler bersama skuad Penyu semakin samar selepas jurulatih dari England itu menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), semalam.

Kandungan surat itu bukan saja mengesahkan penggantungannya selama enam bulan, denda RM4,000 dan potongan gaji bulan hadapan sebanyak 15 peratus tapi juga menyatakan kontraknya boleh terbatal kerana penggantungan melebihi tempoh sebulan seperti yang termaktub dalam kontrak.


Butler yang dihubungi mengaku kecewa dengan cara PBSNT menangani isu membabitkan masalahnya dengan beberapa pemain hingga menyebabkan beliau dikenakan hukuman itu.

"Cukup jika saya katakan inilah kali pertama saya melalui keadaan seperti ini selepas bertahun lamanya bermain bola sepak di peringkat tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris dan menjadi jurulatih di beberapa negara di rantau Asia ini.


"Apa yang perlu saya lakukan sekarang ialah berbincang dengan peguam terlebih dulu sebelum memikirkan tindakan susulan untuk saya mencari keadilan," katanya yang pernah beraksi bersama kelab Inggeris, West Ham United dan West Bromwich Albion.


Butler sebelum ini didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib PBSNT kerana bercakap kepada media mengenai masalah disiplin pemain pertahanan, Muslim Ahmad dan pemain tengah, Ismail Faruqi Asha'ri yang dikatakan pulang lewat dan membawa wanita ke bilik hotel di Alor Setar sebelum perlawanan menentang Kedah, bulan lalu.

Jurulatih berusia 46 tahun itu turut disabit kesalahan memarahi dan menolak penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramlie di khalayak ramai semasa perlawanan menentang Kedah di tempat sendiri, awal bulan ini.


Semua pemain terbabit dihukum jawatankuasa itu dengan setiap pemain didenda RM1,000 dan diberi amaran keras.

Namun, menurut sumber dalaman PBSNT, hukuman berat ke atas Butler terutama penggantungan selama enam bulan hanyalah satu usaha memecatnya secara halus.


"Sekiranya Butler dipecat begitu saja, PBNST terpaksa membayar sejumlah besar pampasan kerana kontrak bekas jurulatih Kelantan itu masih berbaki 15 bulan," katanya.


Menurutnya, perkara yang dilalui Butler tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku ke atas bekas jurulatih Terengganu yang digantikannya Jun lalu, Mat Zan Mat Aris.


"Kalau Butler digantung, Mat Zan dulu direhatkan dan selepas itu untuk menamatkan kontrak Mat Zan yang cuma tamat pada akhir tahun depan, persatuan menyalahkannya kerana gagal hadir bertugas selepas tempoh rehatnya tamat.


"Sedangkan pada masa itu, Butler sudahpun dilantik dan Mat Zan juga sudah menyerahkan semula kereta yang dipakai dan mengosongkan rumah diduduki kepada PBSNT," katanya.


Sementara itu, Che Mat yang sudah meletak jawatan sebagai pengurus pasukan dan melantik bekas pengurus pasukan Piala Presiden, Marzuki Sulong sebagai pengurus baru skuad Penyu berkata, tugas mencari jurulatih baru susulan penggantungan Butler sudah diserahkan kepada pengurusan pasukan.


Selain Marzuki, Zulkifli Ali dilantik sebagai penolong pengurus (1) dan Ahmad Awang sebagai penolong pengurus (2) mengambil tempat dikosongkan Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff yang juga Timbalan Presiden PBSNT.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


Hadi akui sudah dipikat beberapa pasukan

Posted: 20 Sep 2012 09:08 AM PDT

PEMAIN Terengganu yang dilepaskan nyata masih dianggap 'permata' di kaca mata pasukan lain yang bersaing dalam Liga M hingga ada yang menawarkan gaji lebih lumayan berbanding ketika bersama gergasi Pantai Timur itu.

Kehebatan sesetengah tonggak utama yang menjulang Terengganu sebagai antara pasukan disegani musim lalu hingga menjulang Piala FA selain naib juara Liga Super dan Piala Malaysia jelas masih ditagih.


Antaranya adalah penjaring terbanyak Liga Super 2011, Abdul Hadi Yahya yang mengaku sudah mendapat tawaran lumayan daripada beberapa pasukan pada musim depan.

"Rezeki ada di mana-mana. Saya sudah membuat keputusan dan mungkin menandatangani kontrak bersama pasukan baru pada minggu depan selepas meninggalkan Terengganu. Bayarannya lebih lumayan dan peluang beraksi terbuka luas," katanya yang menjadi antara nadi utama kebangkitan skuad Penyu pada musim lalu apabila membentuk jentera serangan yang digeruni bergandingan dengan Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin.


Nasibnya berubah musim ini apabila sering memanaskan bangku simpanan kerana terpaksa memberi laluan kepada penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe hingga pemain Liberia itu merampas gelaran kasut emas daripadanya dengan menjadi penjaring terbanyak Liga Super musim ini.


"Musim ini saya hanya mampu menjaringkan 10 gol (Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia). Mungkin dengan pasukan baru peluang untuk saya beraksi lebih terbuka," katanya yang kini turut gagal mendapat panggilan skuad kebangsaan berikutan situasi dialaminya musim ini.

Abdul Hadi antara lapan pemain dilepaskan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) selain penjaga gol utama, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Abdul Shukor Jusoh dan Mohd Muslim Ahmad.


Perkembangan terbabit turut mencetuskan 'minat' pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang masih tercari-cari formula untuk membentuk pasukan mantap pada musim ini.

"Saya ada berhubung dengan pemain tertentu. Mungkin ada seorang atau dua pemain menarik minat saya namun masih terlalu awal untuk memperkatakan perkara ini kerana Selangor kini memberi tumpuan untuk saingan suku akhir Piala Malaysia," kata bekas pengendali Terengganu yang menjulang negeri Pantai Timur itu pada musim 2011.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sayonara buat kekasih

Posted: 20 Sep 2012 07:18 AM PDT

GELORA di dalam jiwa bukan lagi persoalan sebaliknya akur pada status selebriti yang ada padanya, Yuna tabahkan hati bersuara meskipun jauh di dalam lubuk jiwanya, ia begitu peribadi dan berat untuk disembangkan.

Bibir yang awalnya terkunci sempurna perlahan-lahan mengatur bicara, namun jelas sekali, pemilik vokal memukau dengan bakat nyanyian yang tidak perlu diperkenalkan lagi ini begitu berhati-hati agar apa yang terucap tidak silap jauh sekali mengusik perasaan sesiapa.

Bagai sudah mengagak apa yang ditanya, Yuna yang mula dikenali menerusi lagu Dan Sebenarnya ini tenang menyusun alasan.

"I'm single but not available," kesimpulan yang diluahkan sambil berseloroh.

Realitinya, gadis yang mencetus fenomena sebagai bintang muda pertama ligat di pentas antarabangsa ini mengakui hubungan cintanya dengan pelakon juga pengacara, Qushairi Razali sudah berakhir.

Entah bila mulanya dan apa pula sebab-musabab yang mendesak, cinta yang acap kali diperkatakan sejak lebih dua tahun lalu menemui jalan buntu hingga memaksa anak seni berusia 26 tahun tunduk mengakuinya.

"Kami sepakat memberi ruang dan peluang berehat untuk terus memikul komitmen yang ada. Kiranya inilah jalan terbaik untuk kami menumpukan pada haluan dan hidup sendiri. Namun, kami berdua masih berkawan dan berhubung cuma tidak lagi berlandas pada komitmen pasangan kekasih," katanya tersenyum.

Tambahnya lagi, keputusan untuk berundur dari terus memikirkan masa depan hubungan yang sudah terjalin lebih dua tahun ini adalah persefahaman bersama dan tiada kena-mengena dengan sebarang spekulasi lain.

"Jujurnya, jarak jauh antara kami berdua memang terkesan yang mengundang rasa tertekan. Mana tidaknya, kebetulan kami berdua sibuk meletak sepenuh fokus pada kerjaya masing-masing. Jelas, kesibukan itu membuatkan berundur seketika adalah penyelesaian terbaik.

"Saya sendiri terikat dengan jadual konsert jelajah seluruh Amerika bersama syarikat rakaman, Fader Label bagi mempromosikan album terbaru. Tiada langsung waktu rehat sepanjang di sana dan Qi pula kini makin sibuk dengan jadual lakonannya di Kuala Lumpur selain rezeki pengacaraan yang melimpah-ruah.

"Itulah yang membuatkan kami berdua mengambil keputusan berehat seketika. Jika ada jodoh dan rezeki, ia tidak akan lari ke mana. Doakan saja yang terbaik untuk saya," katanya yang optimis dan terbuka dengan ketentuan yang disuratkan.

Petang itu, pemegang beberapa pengiktirafan dan terbaru Anugerah Ikon Generasi Muda Kategori Seni ini sempat mengingatkan agar kisah ini tidak terus berlanjutan hingga mengaburi kerjayanya.

"Saya faham tugas media dan akur dengan senario ini cuma saya amat berharap agar kisah ini tidak terus diperkata hingga menyembunyikan kerja dan usaha saya. Itu lebih penting dan soal seperti ini hanyalah sisi peribadi yang lambat-laun akan hilang juga. Biarlah fokus itu diberikan kepada perjuangan saya dalam dunia muzik," katanya.

Yuna juga graduan jurusan Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA kini gigih meletak sepenuh kesungguhan dan jiwanya untuk menyelinap masuk membina nama di pentas antarabangsa.

Meninggalkan keluarga, hidup dan segala rutin hariannya di Malaysia semata-mata ingin mengejar impian jauh di bumi Amerika, apa yang menjadi keutamaan dan paksi hidupnya kini adalah kejayaan menjadi penghibur di sana.

Berpangkalan sejak dua tahun lalu di Los Angeles dan berulang-alik menjelajah bumi Uncle Sam itu, Yuna perlahan-lahan mengukuhkan empayar perjuangan muziknya di bawah pengurusan di sana.

Jelasnya berkali-kali, itulah impian yang sudah lama digenggam dan kini tambahnya penuh syukur, peluang untuknya makin luas dibuka.

"Alhamdulillah apa yang pernah saya angan-angan dulu kini mula direalisasikan. Namun, masih jauh lagi perjalanan untuk terus mencari apa yang lama saya inginkan. Lantas apa yang penting untuk saya adalah terus berusaha dan usah patah semangat.

"Saya ingin sekali melihat pengorbanan yang saya lakukan ini berbaloi dan memberikan jaminan buat saya," katanya yang bangga selepas melancarkan album perdananya di sana April lalu.

Enggan terus membelit si pemilik senyuman manis ini dengan persoalan yang sama, soal cinta dan jiwanya, lekas perkembangan kerjaya dan episod perjuangan muzik anak muda ini dialih menjadi topik utama pula.

Riak wajahnya kembali tenang, mengukir senyum panjang, tampak Yuna begitu bersemangat ingin berkongsi cerita.

"Saya menyifatkan 2012 bagai satu permulaan untuk kerjaya nyanyian di Amerika. Selepas dua tahun berusaha, memperdagangkan karya dan bakat, saya bersyukur kerana ada pihak yang menghargainya. Fader Label banyak membantu dan mencorak langkah saya untuk terus ke depan.

"Setiap hari saya bekerja. Pengalaman mempromosikan album dengan melakukan konsert jelajah seluruh Amerika memberikan satu perspektif yang berbeza buat saya. Saya bersyukur kerana sentiasa dipermudahkan, namun peluang untuk membina nama itu terbuka walaupun hakikatnya saya gadis Asia biasa.

"Bayangkan, selepas ini saya akan sibuk pula dengan siri konsert musim luruh pula dan seterusnya memenuhi segala jadual yang disediakan pihak pengurusan. Walaupun penat dan sesekali terbit rasa rindu kerana bersendirian di sana, namun saya yakin dan percaya usaha ini bukan sia-sia," katanya yang bakal pulang ke Amerika Ahad ini untuk memulakan pengembaraan promosi albumnya ke enam buah bandar lagi termasuk Kanada.

Pulang dari pengembaraannya ke enam bandar untuk siri konsert musim luruh nanti, penyanyi lagu Terukir Di Bintang ini akan kembali ke Malaysia bagi melengkapkan misinya.

Apa pula perancangan Yuna?

"Saya akan mengadakan sebuah konsert ekslusif buat peminat di Malaysia. Inilah tempat asal saya dan peminat saya adalah pembakar semangat dan inspirasi untuk saya terus bekerja keras hingga ke tahap sekarang. Lantas saya mengaturkan sesuatu untuk mereka," katanya.

Yuna akan tampil dengan Konsert Yuna Homecoming 2012 yang dibawakan oleh Canon di dua lokasi iaitu Times Square, Pulau Pinang pada 10 November dan Sarawak Cultural Village pada 16 November bagi menghargai sokongan peminatnya selama ini.

Konsert yang berkonsepkan biografi diri dan muziknya ini adalah julung kalinya buatnya.

"Saya akan menyampaikan lebih kurang 20 buah lagi dari kesemua album EP saya sebelum ini sepanjang lebih sejam setengah nanti. Peminat dapat mendengar kesemua karya saya termasuk dari lagu pertama dulu, Backpacking Around Europe hinggalah yang terbaru. Ini adalah cenderahati istimewa buat mereka.

"Saya sudah bersedia memperdengarkan susunan muzik yang segar dan berbeza buat mereka nanti. Gimik atau kejutan biarlah mereka lihat sendiri nanti," katanya yang mengakui Yuna Homecoming adalah ruang terbaik mendekati peminatnya.

Peminat yang ingin menyaksikan Konsert Yuna Homecoming bolehlah melayari www.ticketpro.com.my atau menghubungi talian 03-78807999 dan 017-5912009 (Pulau Pinang) serta 011-12001834 (Kuching).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/20


JKKN semarak bangsawan

Posted: 20 Sep 2012 06:55 AM PDT

NASKHAH ini pernah diterbitkan dalam bentuk filem oleh KRU Studios pertengahan 2010 dan kehebatannya sehingga menembusi pasaran Eropah. Karya yang diperkatakan ini tidak lain tidak bukan adalah Merong Mahawangsa.

Bagaimanapun, naskhah itu bagai sudah lama tidak bermain di pentas teater dan bersempena Program Siri Semarak Bangsawan 2012, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menyahut cabaran dengan mementaskan Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa yang bakal berlangsung di Panggung Bandaraya, Jalan Raja, Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 September ini.

Berskala kecil dan tidak setara untuk dibandingkan dengan filem, pun begitu JKKN menjanjikan sebuah pementasan hebat dan meninggalkan kesan di hati penonton.

Dibintangi Kumpulan Bangsawan Seri Kedah, Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa digarap berbeza daripada apa yang pernah dipertontonkan kepada umum sebelum ini.


Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa diarahkan oleh seorang pengarah yang juga tokoh bangsawan yang terkenal di utara tanah air, Morad Ibrahim dan ia mengisahkan pengembaraan Baginda Merong Mahawangsa mencari Putera anak Raja Rom.


"Morad Ibrahim namanya cukup terkenal di kalangan penggiat teater bangsawan dan apabila tahun ini beliau mementaskan kisah epik Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa, pasti hasilnya cukup menarik.

"Selain bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa, terdapat beberapa lagi karya yang dipentaskan oleh pengarah teater bangsawan yang tidak kurang hebat.

"Kesemua teater yang dipentaskan kali ini, menjadi pengisian juga kesinambungan kepada program Siri Semarak Bangsawan yang mula diperkenalkan pada 2007. Usaha ini terus diperkasakan kerana kami mendapati sejak 2007 sampai sekarang kini hampir 50,000 orang penonton membanjiri Panggung Bandaraya bagi menyaksikan pementasan bangsawan.

"Manakala sebanyak 26 kumpulan berpeluang mementaskan 46 naskhah bangsawan. Rentetan daripada itu, program ini juga dilihat berjaya mengembalikan era kegemilangan seni bangsawan melalui kewujudan banyak kumpulan baru. Apa yang membanggakan adalah kebanyakannya dipelopori oleh generasi muda.

"JKKN percaya perkembangan ini adalah satu kejayaan kepada program penyemarakan bangsawan ini. Program Semarak Bangsawan 2012 berkonsepkan persembahan bangsawan oleh kumpulan teater yang masih aktif yang dipilih seluruh Malaysia," katanya.

Sebanyak sembilan kumpulan akan terbabit membuat persembahan selama tiga hari. Persembahan bangsawan akan diadakan pada minggu kedua setiap bulan oleh kumpulan bangsawan yang terpilih dan dikenal pasti keaktifannya di seluruh negara.

"Setiap kumpulan yang dipilih perlu menyediakan pameran seperti sejarah bangsawan di Malaysia, tokoh-tokoh bangsawan negara, busana teater bangsawan dan pengenalan kepada kumpulan yang membuat persembahan serta aktiviti-aktiviti yang pernah dijalankan," tambahnya.

Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa dipilih sebagai pembuka acara dan pementasan seterusnya disusuli Kelab Teater Seri Teja Kuala Lumpur yang mementaskan Bangsawan Sumpah Lantara Bijaya pada 12 hingga 14 Oktober, diikuti Majlis Kebudayaan Selangor dengan Bangsawan Ahmad Albab (16-18 November) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang merahsiakan judul teater mereka (14-16 Disember).

Istimewanya tahun ini, JKKN turut mengambil inisiatif untuk mengadakan Bazaar Seni Industri Budaya yang diadakan serentak sempena Siri Semarak Bangsawan.

Program ini antara pengisiannya adalah seperti program mencungkil bakat (aktiviti ini diadakan pada setiap bulan akan memfokuskan kepada pencarian bakat dalam bidang muzik dan lawak jenaka) dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang.

Turut diadakan permainan tradisional (4.00 hingga 6.30 petang), persembahan jalanan (8.00 hingga 11.30 malam), Santai Puisi yang diselaraskan bersama Persatuan Penulis Nasional Wilayah Persekutuan (9.00 hingga 11.00 malam), Dendang Rakyat, Persembahan Kesenian pelbagai kaum, Ekspresi Pameran Motosikal Berkuasa Tinggi, Pertunjukan basikal fixie dan banyak lagi aktiviti yang sesuai dikongsi bersama seisi keluarga.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang Siri Semarak Bangsawan melalui laman sesawang rasmi,www.jkkn.gov.mydan rangkaian media sosial facebook fan page Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Bagi memastikan pementasan bangsawan ini dapat ditonton dengan selesa, mereka yang berminat bolehlah mendapatkan pas masuk berharga RM5.00 yang boleh ditempah di talian 013-2266830 atau datang terus ke kaunter Panggung Bandaraya. Manakala bagi Bazaar Seni Industri Budaya, masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/20


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Liu rela kaki dipotong

Posted: 20 Sep 2012 09:52 AM PDT

JIANGXI: Seorang wanita yang kaki kanannya membengkak sehingga saiz kaki seekor gajah, menimbang untuk memotongnya kerana tidak mampu menjalani rawatan perubatan.

Liu Sau dipercayai menghadapi masalah limfa yang menyebabkan kakinya membengkak sebesar itu.

Kaki kanannya mula membesar lima tahun lalu selepas melahirkan anak sulungnya. Kakinya itu kini lebih besar daripada pinggang anak bongsunya.

Ibu dua anak itu yang berasal dari sebuah kampung di wilayah Jiangxi, timur China, tidak boleh bekerja.


Dia terpaksa bergantung kepada suaminya, Yang Yifa untuk bekerja di ladang dan melakukan tugas rumah walaupun si suami menghidap batuk kering yang teruk.


Meskipun keadaan Liu boleh dirawat, ia dijangka akan berulang. Dia kini merancang mengambil langkah drastik dengan memotong kakinya itu.

"Mengekalkan kaki ini adalah pilihan terbaik tetapi kami tidak ada pilihan lain," katanya.

Yang pula berkata: "Kami berharap ada hospital yang boleh memotong kaki isteri saya secara percuma." - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


Shakira mengaku hamil anak Gerard Pique

Posted: 20 Sep 2012 09:50 AM PDT

BARCELONA: Penyanyi, Shakira, semalam mengessahkan dia hamil.

Penyanyi yang berasal dari Colombia itu memberitahu peminatnya, dia menanti kelahiran anak pertamanya dengan bintang bola sepak Sepanyol, Gerard Pique yang 10 tahun lebih muda daripadanya.

Shakira, 35, yang menulis dalam blognya berkata, dia membatalkan semua temu janji minggu depan, termasuk kemunculannya di Festival Muzik iHeartRadio di Las Vegas.

"Seperti yang sebahagian anda tahu, Gerard dan saya tidak sabar menanti ketibaan anak pertama kami!


"Ketika ini, kami mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada saat unik dalam kehidupan kami ini dan menangguhkan semua akitiviti promosi selama beberapa hari.


"Ini bermakna, saya tidak akan hadir di Festival Muzik iHeartRadio Music Festival.

"Tetapi saya pasti, festival itu akan berjalan baik di Las Vegas hujung minggu ini dan saya akan mengikuti segala yang berlaku di sana," katanya.

Bintang She Wolf itu berpacaran dengan pemain Barcelona berkenaan sejak dua tahun lalu. Shakira secara rasmi mengumumkan mengenai hubungan mereka tahun lalu apabila memuatnaikkan gambar Pique dalam laman Twitternya.

"Saya kenalkan buah hati saya kepada anda," tulisnya dalam laman itu.

Sebelum bersama pemain bola sepak itu, Shakira bercinta dengan Antonio de la Rue, anak bekas Presiden Argentina selama 11 tahun. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


3 serangan dendam

Posted: 20 Sep 2012 12:13 PM PDT

TAMPIN: Tiga lelaki dipercayai bekas tahanan Ordinan Darurat melakukan tiga serangan 'ala Mafia' dipercayai bermotifkan dendam lama di sekitar bandar ini kelmarin, menyebabkan seorang lelaki terbunuh, seorang parah ditetak, manakala dua remaja lelaki berusia 16 tahun cedera.

Dalam insiden pertama jam 10.30 malam, ketiga-tiga suspek bersama lebih 15 rakan mereka yang bermotosikal menyerang dua remaja berusia 16 tahun di sebuah kedai mencuci kenderaan di Repah, di sini, menyebabkan kedua-dua mangsa cedera.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, insiden itu berlarutan apabila pada jam 11.30 malam, tiga suspek sama menyerang mangsa kedua, M Sivabalan, 42, di rumahnya di Taman Bukit Tampin, di sini.

Katanya, dua daripada suspek menetak kepala, bahu dan tangan Sivabalan menggunakan parang di depan anak dan isterinya sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Tampin (HT), namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


‘Saya jaga dia sampai bila-bila’

Posted: 20 Sep 2012 12:10 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Pernah satu ketika, saya hilang arah dan tak tahu nak buat apa. Buntu memikirkan anak-anak dengan keadaan isteri yang kritikal, saya pula dibuang kerja, namun saya kuatkan semangat menghadapi ujian ini.

"Alhamdulillah, saya berjaya laluinya dan isteri semakin sihat. Insya-Allah, saya akan jaga dia sampai bila-bila," kata Abdul Hamid Alias, pemandu teksi yang menjaga isterinya selepas disahkan menghidap kanser tulang tahap empat sejak dua tahun lalu.

Katanya, kasih sayang yang kuat terhadap Zurida Yusuff, 44, sedikit pun tidak pernah pudar biarpun rutin harian hidupnya berubah sama sekali apabila terpaksa mengambil alih semua tanggungjawab menjaga anak, memasak, mengemas rumah termasuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada isterinya itu, setiap hari.

Menurutnya, pengesahan doktor mengenai keadaan kesihatan isterinya pada 2010 begitu memberi kesan kepada hidupnya sehingga diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan kerana terlalu kerap mengambil cuti menjaga insan tersayang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved