Isnin, 24 Oktober 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pasar terbuka tumpuan pengunjung

Posted: 24 Oct 2011 07:58 AM PDT

SETIAP kali menyambut hari perayaan atau apa jua hari yang istimewa, antara perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah memiliki pakaian baru.

Walaupun almari sudah sarat, tetapi pakaian baru tetap jadi kemestian kerana masing-masing mahu tampil bergaya, malah sambutan perayaan dirasakan tidak lengkap tanpanya.

Selalunya wanita memang lebih cerewet dalam membuat persiapan hari istimewa. Bagi penganut agama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali, mereka bukan hanya bersiap sedia dengan persiapan rumah dan kuih-muih tetapi turut membeli perhiasan diri.

Memang teruja apabila dapat 'bersesak' sama dalam kesibukan kaum India menyambut Deepavali terutama apabila melihat kemeriahan warna pakaian, perhiasan diri dan cahaya lampu jika mengunjungi gerai jualan di pasar terbuka pada waktu malam.


Pasar terbuka di Kuala Lumpur memang banyak tetapi yang menjadi tumpuan kebanyakan masyarakat India tentulah di Jalan Brickfields dan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).


Pasar Jalan TAR yang sebelum ini dikuasai penjual Melayu yang menyediakan pelbagai barangan untuk Aidilfitri, kini ia berganti tangan dengan rakan peniaga berbangsa India pula.

Kemeriahan suasana pasar terbuka memang sangat terasa kerana pengunjung untuk jualan Deepavali tidak hanya terdiri daripada kaum India saja. Malah boleh dikatakan semua bangsa di negara ini termasuk pelancong asing turut mengambil peluang untuk mendapatkan pakaian, kudapan dan juga melukis inai.

Seperti persediaan perayaan lain, pembeli mempunyai cara sendiri dalam menyediakan persiapan keluarga masing-masing. Ada yang memilih membeli-belah awal kerana mahu pembelian yang lebih terancang dan ada juga lebih gemar membeli pada saat akhir. Setiap satu ada kelebihan dan kekurangannya tetapi apa yang nyata, membeli-belah saat akhir sedikit sebanyak menyumbang kepada kemeriahan malam Deepavali itu sendiri.

Dapat dibayangkan kemeriahan orang ramai berpusu-pusu dan sibuk membeli barang, baju dan perhiasan diri pada saat akhir kerana biasanya pada masa inilah ramai peniaga menawarkan harga lebih murah.

Antara yang sering menjadi tumpuan adalah gerai pakaian, gerai barang kemas yang menyediakan gelang berkilau berwarna-warni dan juga lakaran inai yang sangat kreatif.

R Parameswary, 50, yang berasal dari Teluk Intan, Perak sudah lebih 20 tahun berniaga barang perhiasan wanita di pasar malam. Tahun ini adalah tahun ke-10 dia mendapat tapak gerai untuk jualan Deepavali di pasar terbuka Jalan TAR.

"Tidak lengkap sambutan Deepavali dengan pakaian baru saja. Baju baru akan nampak lebih menarik dan berseri dengan perhiasan baru dan biasanya pelanggan membeli perhiasan sepadan seperti anting-anting, rantai dan gelang.

"Pakaian yang selalunya dipakai pada Deepavali terdiri daripada sari, sut Punjabi atau lengga. Lebih cantik kalau ditambah dengan perhiasan yang gemerlap warnanya. Gelang yang paling disukai ialah gelang daripada logam. Selain itu, kami juga menjual gelang plastik dan kaca," kata Parameswary.

Katanya, satu set gelang biasanya mengandungi sedozen tetapi ada juga yang lebih banyak bergantung kepada pilihan masing-masing. Harga yang dijual dari RM5 hingga RM30 bergantung pada corak dan batu yang digunakan.

"Ada yang suka memakai banyak gelang. Gelang memang disukai kaum India sejak turun temurun. Jika dulu perempuan yang berkahwin perlu memenuhkan lengan mereka tetapi sekarang untuk menyambut Deepavali pun mereka sudah bergaya begitu. Set gelang juga amat mustahak dalam adat istiadat kaum India kerana ia melengkapkan seseorang wanita.

"Tangan mesti penuh gelang supaya berseri dan dengan memakai gelang barulah penampilan seseorang wanita itu dianggap lengkap. Gelang dipakaikan kepada pengantin, wanita mengandung dan anak gadis yang baru baligh.

"Pilihan warna yang biasa dipakai ialah warna ceria yang menggambarkan kegembiraan. Yang tidak boleh digunakan ialah warna hitam dan putih. Gelang warna hitam hanya digunakan untuk bayi baru lahir," katanya yang menjual gelang yang diimport dari India.

Kedatangan Deepavali memang ditunggu L Susila dan suaminya setiap tahun. Ini kerana pada hari biasa mereka menjual baju Melayu di Wisma Yakin tetapi sempena Deepavali, mereka membuka gerai di Jalan TAR dengan menjual pakaian mport dari India dan Pakistan.

Menjual fesyen terkini dengan harga sekitar RM50 hingga RM280, Susila tahu apa yang diinginkan penggemar fesyen.

"Kami menjual pakaian terkini dengan warna yang lembut dan pastel kerana itulah yang dicari pembeli sekarang. Di gerai saya ada baju Punjabi, sari, baju top, legging dan juga baju tidur. Paling terkini ialah pakaian yang diperbuat daripada kain net," kata Susila yang sudah 10 tahun berniaga dan kali ini dia turut dibantu anak gadisnya.

Bagi R Magesvari, 30, baru mendalami teknik melukis inai sejak setahun lalu walaupun sudah lama terbabit dalam perkhidmatan penyediaan pengantin. Walaupun baru setahun, jelas sekali Magesvari sangat kreatif orangnya.

Meskipun 'pusat operasinya' hanya ada satu meja kecil tetapi Magesvari tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang mahu tangan mereka dilukis inai.

"Paling ringkas, lukisan inai di tangan boleh siap dalam masa lima minit. Namun bergantung corak pilihan, ia mungkin boleh memakan masa berjam-jam terutama sekiranya melukis inai kepada pengantin. Inai biasanya dilukis di tangan, lengan dan juga kaki," kata Magesvari yang mengakui Deepavali adalah waktu yang paling sibuk kerana ramai pelanggannya mahu tampil berseri dengan inai menjelang perayaan itu.

"Corak kegemaran ramai biasanya berbentuk bunga, merak, batik dan yang semula jadi. Warna pula terdiri dari hitam dan merah. Corak boleh dilihat daripada gambar yang saya sediakan dan jenis corak juga bergantung kepada bentuk tangan pelanggan. Corak tambahan akan dibuat sekiranya tangan mereka agak lebar," katanya.

Untuk menyelami keinginan pelanggan, Magesvari akan berbual-bual sambil melukis. Malah dia juga tidak lokek memberi panduan mengenai penjagaan warna inai.

"Lukisan inai boleh tahan sehingga tiga minggu. Saya akan ajar pelanggan cara menjaganya supaya lebih tahan lama. Ia boleh dibasuh dengan sabun cuma tidak boleh digosok kuat bagi memelihara warnanya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Novel Bersiri (Siri 711 - Istikharah Sang Perindu: Episod Pilu, Ibu-ibu yang merindu

Posted: 24 Oct 2011 07:45 AM PDT

"PAK Long marahkan aku, buat Shafiq begitu. Aku terpaksa beri kata dua pada Pak Long, jangan ulangi tragedi yang menimpa Kak Ika. Jangan paksa aku buat keputusan ikut acuan dia, cukuplah doakan aku selamat, sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah dan dijauhkan dari melakukan perkara yang dilarang Allah. Kalau aku tidak dapat membanggakan dia, cukuplah dia menjadi Pak Long yang aku banggakan.

Pak Long semakin marah, dituduhnya aku sindir dia. Aku pujuk Pak Long, bertenang. Takut tekanan darah tingginya tidak terkawal. Kalau terlalu tinggi boleh pecah salur darah dalam otak, boleh dapat stroke. Kalau dah lumpuh siapa yang susah? Ada tangan tak boleh gerak, ada kaki tak boleh melangkah, ada suara tak boleh bercakap, yang ada cuma sepasang mata, terkebil-kebil pandang orang dan sepasang telinga yang mendengar macam-macam yang menyakitkan hati.

Pak Long terdiam. Tidak tahu aku, apa yang Shafiq beritahu dia. Yang aku tahu, yang aku rasa, semakin banyak Shafiq mengadu pada Pak Long perihal aku yang tidak serasi dengan dia, semakin rendah pandangan aku pada dia.

Aku tak serasi dengan dia. Itu fakta, bukan auta. Cara dia berfikir aku tidak boleh terima dan cara aku berfikir juga dia tidak boleh terima. Apa sahaja dia buat, aku tak suka, dan apa saja yang aku buat, dia juga tak suka. Dan aku tak boleh berpura-pura untuk membuat dia suka, sedangkan aku terseksa.


Kirim salam, aku tidak punya masa untuk menjadi manusia pura-pura. Aku tak mahu Pak Long membina apa pun harapan pada perhubungan itu. Lagipun aku tak ada masa membina apa pun hubungan dengan sesiapa pun untuk membina hari depan seperti yang dibunga-bungakan Pak Long. Biar kecewa awal, jangan kecewa akhir, kerana aku yakin, kalau aku tidak memulakan, ia tidak ada akhirnya.


Pak Long mengangguk. Tidak tahu mengapa dia sudah mula berlembut dengan aku. Sudah mula berbelas kasihan. Aku tidak perlu teruja, takut perubahannya hanya sekadar mahu mengambil hati, untuk aku menerima Syafiq. Pak Long juga manusia biasa, entah-entah dia berpura-pura. Siapa tahu!

Minta maaf, banyak perkara yang perlu aku selesaikan. Selagi aku tidak bawa Kak Zura dan Abang Farhan kembali ke pangkuan ibu, selagi itu aku tidak berfikir untuk membina apa-apa perhubungan untuk memberi diri sendiri bahagia. Ini janji aku pada diriku sendiri. Ibu segala-galanya dalam hidup aku. Aku tidak mahu ibu menderita terlalu lama. Aku mahu ibu bahagia.

Kalau ikutkan hati, tidak sabar aku mahu beritahu ibu tentang kepulangan Kak Zura yang cepatnya macam ribut. Menyambar dan terus hilang. Hati berbelah-belah bagi. Selagi aku peramkan rahsia itu dan tidak memberitahunya, selagi itulah aku diseksa rasa bersalah yang amat sangat. Tapi kalau aku bocorkan rahsia ini, aku rasa semakin bersalah. Rasa bersalah sangat-sangat kalau aku sampaikan berita malang itu kepada ibu.

Aduhai, susahnya nak buat keputusan. Nak diluah mati emak, sebab itulah aku tak luahkan, aku takut aku kehilangan ibu, nak ditelan mati bapa, aku telan saja, sebab ayah sudah lama meninggal. Setakat ini, itu sahaja keputusan yang aku sanggup lakukan. Kasihan ibu. Aku benar-benar bingung.

Masih di rumah Pak Long. Asar belum pun masuk. Aku tak tahu nak buat apa. Ayam di reban sudah aku beri makan. Urusan kambing dan lembu, tidak perlu aku risaukan, kerja Abang Mat Yatim, Abang Sanip, Makmur, Syukri dan Tumiran tidak perlu aku bimbangkan. Semuanya memuaskan. Tugas aku hanya menyerahkan semua laporan pada bos besar kami; Kak Ika. Bos yang aku rahsiakan kehadirannya daripada pengetahuan Pak Long. Sejak Ladang Fikrah Solehah beroperasi, Pak Long menyangka, akulah bos besarnya. Kasihan Pak Long, pandai-pandai dia, kena tipu juga dengan aku. Menipu untuk kebaikan, tak apa!

Pak Long masih mengasah sabit. Ketika aku keluar tadi, Mak Long masih di dapur. Ibu masih termenung sana, termenung sini.

Aku pandang muka ibu. Ibu masih termenung di anak tangga. Wajah ibu muram. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana rupa ibu, kalau aku beritahu berita Kak Zura yang pulang hanya sececah itu. Hish, bingung aku.

Cepat-cepat aku masuk bilik ambil komputer riba. Aku bawa ke pangkin di bawah rumah. Pak Long sengaja buatkan rumah induk tiangnya tinggi seperti rumah orang-orang di utara. Disimennya, diletakkan jubin bercorak bunga. Dipasangkan dinding sekerat seperti di anjung. Sebiji pangkin besar diletakkan di tengah-tengah.

Aku tarik tangan ibu turun ke bawah. Aku letakkan komputer riba di atas pangkin. Melihat ibu masih berwajah muram, aku masuk ke dapur dan keluar menatang seteko teh O panas, sepinggan ubi rebus dan sebalang kaca air suam.
Sambal tumis ikan bilis sarapan pagi tadi masih ada lagi semangkuk. Mak Long sudah sejukkan sebuku bingka ubi dalam loyang. Aku tidak nampak kelibatnya di dapur, entah ke manalah dia pergi.

"Dah habis aku asah sabit, kau macam tu juga. Termenung sejak tadi." Pak Long celup sabit ke dalam air hujan dalam baldi plastik biru. Disapu mata sabit dengan sabut dalam baldi. Dipandang muka ibu dengan wajah garang. Suaranya tidak pernah aku dengar lembut.

"Jangan ikutkan sangat hati, risau tak tentu hala. Bawa-bawa bertenang, bukannya kita tak boleh selesaikan masalah tu. Kalau asyik termenung dapat apa?"

Aku tekan suiz hidupkan komputer. Mata melihat ke layar komputer, sesekali pandang muka Pak Long yang tidak pernah aku lihat dia tersenyum. "Sedih hati aku ni, Long. Sedih dibuat budak dua beradik tu." Ibu mengeluh panjang.

Aku tutup mulut rapat-rapat dan berusaha sedaya upaya agar tidak bersuara. Sebenarnya kadang-kadang aku tidak percaya pada diriku sendiri untuk mengunci kukuh rahsia ini. Siang malam aku berdoa, semoga Allah berikan aku kekuatan. Ya aku kena kuat, untuk menguatkan ibu.

"Mariam, kita tinggal dua beradik saja. Susah kau, susah aku juga."

Tidak percaya apa yang aku dengar, suara Pak Long selembut itu. Jari di papan kekunci jadi terkaku. Aku pandang Pak Long, dia masih mengasah sabit. Aku tersenyum, hemm, boleh pun bercakap lembut, aku mengumpat dalam hati.

"Entahlah Long susah hati aku fikirkan masalah Zura dan Farhan. Aku dah tak berapa sihat, entah sempat atau tidak tengok dia orang nanti. Rasa terkilan kalau tak sempat. Rasa berdosa abaikan amanah ayah budak-budak tu. Tapi aku nak buat macam mana?" Suara Ibu sebak, ibu kesat air mata.

Aku pegang tangan ibu, hatiku sebak. Air mataku bergenang.

"Mati tu kerja siapa? Kerja kita?"

Ibu terdiam. Aku pura-pura masuk ke dapur. Aku berlari ke bilik air dan menangis puas-puas. Aku basuh muka dan kembali ke ambin semula.

"Aku ni, seorang saja bapa saudara mereka. Akulah bapak, akulah wali mereka. Kau ingat masalah Zura dan Farhan tu aku boleh lepas tangan? Kau ingat aku tak bertanggung jawab langsung? Aku bukannya tunggul, Mariam. Anak-anak kau tu, semuanya tanggungjawab aku."

"Aku tahu Long bertanggungjawab pada anak-anak aku."

"Cara kau bercakap tadi tu, macam tuduh aku tak bertanggungjawab. Aku ni bapa saudara mereka. Kau ingat aku apa?" Hemm, tak lama mana pun lembutnya, suara Pak Long. Tak habis pun aku bilang sepuluh, dah keras semula. Sahihlah itulah suara, milik Pak Long yang abadi.

"Degil mereka dah melampau. Susahkan semua orang. Malu aku pada kau, Long. Anak kembar aku tak terjaga. Tapi aku nak buat macam mana? Aku tak tahu nak buat apa. Aku sentiasa doakan mereka selamat dan baik selalu. Aku nak buat apa lagi?"

"Kau ingat aku tak malu? Kau tu dah sah ibu tunggal. Orang boleh maafkan kau. Aku ni imam. Imam di Kampung Parit Bunga Kenanga. Bukannya senang aku nak tebalkan telinga dengar kata-kata orang. Macam-macam orang cakap pasal Zura dan Farhan. Mereka semua anak saudara aku, mahunya aku tak terasa."

Ibu kesat air mata. "Aku minta maaf Long, sebab aku yang tak pandai didik anak-anak, kau yang terima akibatnya."

"Dahlah, nak buat macam mana. Perkara dah jadi, bukannya boleh ditahan-tahan. Kalau nak jadi, jadi juga. Dah tu, kau nak buat apa?"

Ibu hanya menangis.

"Itu saja yang kau tahu, menangis, menangis dan menangis? Kau ingat menangis kau tu, boleh panggil budak-budak tu balik. Cuba kau fikir Mariam, fikir macam mana nak buka hati anak-anak kau tu balik. Ini tidak, menangis siang malam pagi petang."

Aku nampak ibu kesat lagi air mata. Mahu saja aku bersuara membela ibu, tetapi teringat janjiku tadi, aku kuncikan lagi mulut. Hati sabarlah, mulut diamlah. Nantilah, Pak long akan kena juga.

"Farhan dan Zura degil satu macam. Keras kepala. Cakap dia saja yang kita kena ikut, cakap kita?" Suara Pak Long yang kasar, jadikan sabar yang ada dalam hatiku ini, bertambah nipis. Buruk-buruk Abang Farhan dan Kak Zura, mereka tetap abang dan kakak aku. Mana boleh Pak Long kutuk suka hati dia sahaja. Benar-benarlah Pak Long ini, mulutnya tidak ada insurans.

Ibu masih berwajah murung. Mata ibu merah berair.

Entah dari mana datangnya, tiba-tiba Mak Long sampai dan termengah-mengah letakkan setandan pisang tanduk dan sebakul ubi atas tanah tidak jauh dari pangkin tempat aku menatap assignment di layar.

"Kak Long pun tahu, hal anak kembar aku. Dia bukannya dengar cakap aku. Aku tak tahu di mana salah aku. Dari kecil aku tak pernah cakap buruk-buruk pada mereka. Aku selalu doakan perkara yang baik-baik saja, sama macam aku doakan Fika, dokan Jehan. Aku tak tahu di mana silap aku. Fika dan Jehan, jadi apa yang aku doakan, kenapa Zura dan Farhan jadi macam tu? Hish bingung aku. Bingung aku!" Satu hallah, ibu aku ni, biarlah Mak Long lepaskan penat dulu. Ini tidak, orang tua itu masih tercungap-cungap, terus diledakkan isi hati dia. Tak ada psikologi langsung. Hish. Aku pandang muka ibu dan mengumpat dalam hati.

"Baguslah kalau dalam hati kau tu, tak pernah pun berburuk sangka pada Zura dan Farhan. Terus doakan mereka perkara yang baik-baik. Perangai mereka, ujian untuk kau, Ngah. Allah berikan kita bermacam-macam ujian, sebab Allah nak kita kuat dan bersemangat. Kuat mencari ikhtiar dan bersemangat tempuh apa pun yang datang. Allah nak beri kita pahala yang banyak. Allah nak beri kita syurga. Kau tak nak? Hah, kalau nak, kau kena kuat." Mak Long berpeluh-peluh duduk di sebelah ibu. Mak Long uraikan kain batik yang dililitkan di kepalanya. Dikibas-kibaskan ke badan.

"Jangan sesekali kau ubah doa kau. Ingat setiap kata-kata kau jadi doa. Kasihan anak-anak kembar kau tu, kalau kau doakan mereka yang tidak-tidak."

"Eh, Kak Long, termengah-mengah ni dari mana? Nampak penat."

Ibu pandang Mak Long tercengang-cengang. Barangkali dia terdengar suara umpatan dalam hatiku tadi, baru dia terperasan Mak Long baru balik dari kebun.

"Pisang tanduk dah tua, elok kalau goreng dan buat pengat." Mata Mak Long meliar perhatikan Pak Long. Melihat Pak Long masih ralit asahkan sabit, Mak Long berbisik perlahan di telinga ibu. "Hari tu, Fikah fon, kalau dia dapat pujuk Zura balik, dia nak balik. Aku tiba-tiba teringatkan Zura, yalah, dia suka sangat bingka ubi. Sebab itulah aku buatkan dia."

Wajah ibu berubah tiba-tiba. "Kak Long masih ingat kesukaan dia?" Aku dapat rasakan suara ibu penuh rindu dan penuh rasa terharu.

Mak Long letakkan jari telunjuk ke bibir. Mata mengerling Pak Long yang sedang asah parang panjang pula. "Jangan cakap kuat-kuat." Dia terus berbisik perlahan.

"Dia tu besar dengan Fikah di rumah ni Ngah. Sejak ayah dia meninggal. Kau kan sibuk ke bandar kerja di rumah orang."

"Apa nak buat dah nasib aku Kak Long. Kak Long tak pernah bezakan kasih sayang budak berdua tu. Baik Fikah, baik Zura, baik Farhan, semuanya Kak Long sayang. Tapi bila dah besar lain pula perangainya."

Ibu pandang aku. Ibu usap kepalaku. Wajah ibu sayu. Aku genggam erat tangan ibu. Berikan semangat. "Mujurlah anak yang seorang ini, tak macam tu. Dia sajalah harapan aku." Ibu usap lagi kepala aku. Aku tersenyum pandang ibu. Hatiku jadi cair. Aku jadi begitu sayang pada ibu. Sayang sangat-sangat.
Kenapa Abang Farhan dan Kak Zura tidak rasa apa yang aku rasa?

"Jangan cepat putus asa, Ngah. Pujuklah Farhan dan Zura baik-baik. Ajak mereka balik kampung. Ada depan mata, tak runsing sangat hati. Bincang baik-baik. Jangan berkeras sangat dengan budak macam Zura dan Farhan tu. Kalah kita nanti. Jangan putus berdoa."

Ibu mengangguk. Aku pura-pura membaca assignment di layar. Padahal tidak ada satu yang aku nampak. Semua orang nampak aku kasar, aku degil, tetapi siapa yang tahu, hati aku menangis pedih, menyaksikan drama tragis ibu-ibu yang terpisah dengan anak-anak ini? Aku rakamkan perbualan hati ibu-ibu yang kecewa itu di komputer dan merakam aksi mereka sekali.

Aku tahu, ketiga-tiga ayah ibu yang kecewa ini tidak tahu apa yang sedang aku buat. Nanti kalau aku dapat cari Abang Farhan dan kalau aku berpeluang berjumpa Kak Zura sekali lagi, aku akan tunjukkan rakaman yang pilu dan pedih ini kepada mereka. Biar mereka tahu, apa pun dia buat pada ibu, kasih sayang ibu tidak pernah berubah. Ibu tidak pernah doakan yang buruk-buruk untuk mereka, walaupun seburuk manapun kelakuan mereka pada ibu.

"Nak layan kerenah dia, kita kena banyak berlembut Ngah. Kalau nak bandingkan dengan Fikah, dia keras sikit." Mak Long masih memujuk.

"Tak tahulah perangai siapa yang dia ikut."

"Tak apalah, nak buat macam mana Tapi, itulah, kita kena banyak bersabar. Pujuk dia elok-elok. Lebih-lebih lagi dalam soal akidah ni. Jangan terburu-buru Ngah."

Ibu jadi bingung dan bertambah sedih. "Tolong aku Kak Long , aku betul-betul runsing."

"Ingat kau saja yang runsing? Aku ni tak?" Pak Long tiba-tiba bangun.

Ngeri aku pandang parang panjang dan sabit di tangannya. Aku halakan kamera di komputer ke arah Pak long, aku fokuskan wajahnya. Seperti seorang jeneral Jepun di zaman Yamashita dia melangkah dengan wajah bengis ke bawah pokok asam jawa di hujung laman. Disandarkan sabit pokok dan parang panjang ke pangkal pokok. Pelik sungguh aku perhatikan Pak Long, sudah lama orang tidak gunakan sabit lagi, sejak mesin pemotong rumput melambak dijual di kedai, tapi dia masih gunakan sabit untuk menyabit rumput dan parang panjang untuk menebas rumput panjang di tepi parit. Untuk apa dibuatnya semua kerja itu? Semua itu urusan Abang Mat Yatim, Abang Sanip, Makmur, Syukri dan Tumiran.

Pelik aku perhatikan Pak Long. Kenapalah berpenat-penat sabit rumput masukkan ke dalam guni? Bila penat membebel tak tentu pasal. Alangkah baiknya kalau masa yang ada, tambah ilmu agama. Panggil Ustaz Naufal buat tazkirah dan usrah di rumah atau di masjid. Atau pergi mana-mana kursus motivasi untuk memantapkan ilmu dan diri. Sebut saja dia nak ke mana, dengan rela dan berbesar hati aku akan hantar Pak Long, hatta kalau dia mahu belajar sehingga ke negara China sekalipun. Aku sanggup hantar.

Dia ingat warga emas tak perlu belajar? Dia ingat warga emas tak perlu menghadiri kelas motivasi? Sangat perlu, terutama warga emas macam Pak Long.

"Jangan ikutkan hati sangat Ngah, nanti kau sakit. Kalau kau sakit nanti, siapa yang susah?"

"Aku dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni Kak Long, Abang Long."
Mendengarnya Pak Long mula jadi semakin marah. "Ha, mulalah tu cakap bukan-bukan, macam orang tak ada pegangan. Itu yang tercongok depan kau tu siapa? Bukan anak kau? Farhan dan Zura dah buat tak baik pada kau, kau tengok anak kau yang seorang lagi tu? Pernah dia lupakan kau? Pernah dia sakitkan hati kau? Tak tahu nak bersyukur? Kalau Allah jadikan si Jehan tu macam abang dan kakak dia kau nak?"

Ewah, sejuk dan kembang perut aku mendengar pujian Pak Long. Inilah pertama kali aku dengar dengan telinga aku sendiri kata-kata yang cantik itu keluar dari mulut dia. Aku tak peduli, dia sengaja atau pun tidak, tetapi sekurang-kurangnya dia sudah isytiharkan aku anak yang baik.

Ya,ya.ya! Aku tersenyum dalam hati.

Aku perhatikan Pak Long duduk di tangga dan minta aku bawakan segelas air suam. Cepat-cepat aku tuangkan air suam dari balang kaca yang aku bawa tadi ke dalam gelas. Aku melangkah berhati-hati hulurkan segelas air suam itu kepada si peminta yang garangnya bukan main lagi. Marah-marah aku pada dia, aku tetap hormatkan dia. Hanya dia sajalah Pak Long aku dalam dunia ini. Kalau ditakdirkan Abang Farhan terus hilang dia sajalah yang akan jadi wali aku.

Wali? Patutlah dia suruh aku berbaik dengan Shafiq. Minta maaf banyak-banyak, aku dah tutup kes Shafiq. Cepat-cepat aku tatang talam kecil berisi segelas air suam dan balang kaca ke tangga. Dengan penuh hormat aku hulurkan kepada Pak Long. Talam dan balang kaca air suam, aku letakkan di atas tangga. Aku tahu, dia tidak akan minum hanya segelas air suam. Tapi maaflah untuk gelas yang kedua, dia kena tuang sendiri.

Cepat-cepat aku melangkah ke pangkin semula. Drama yang sedang aku rakamkan semakin panas.

"Ngah, jangan cakap macam tu, Kak Long dan Abang Long kau ni, bukan adik beradik kau? Sejak bila kau ingat, kami ni orang lain. Hishh kenapa cakap macam tu? Ini si Jehan ni, pernah dia tak fon kau sehari? Pernah? Pernah dia tak balik kampung tiap-tiap minggu jaga makan minum kau? Pernah? Banyakkan istighfar." Suara Mak Long lembut memujuk.

Ibu pandang mukaku. Ibu usap lagi kepalaku, bagai minta maaf.

"Banyakkan solat istikharah. Mintak petunjuk dari Allah. Ini tak, termenung sana, termenung sini." Pak Long di tangga terus berleter. "Kita ni, semakin tua sepatutnya semakin panjang akal, semakin dekat dengan Allah. Cakap biar berlapik, bukan ikutkan sangat perasaan. Kita dah tua, entah esok lusa, mati. Cuba kau fikir benda itu semua."

"Yalah Ngah, betul kata Abang Long kau tu, lama-lama termenung bukannya semakin baik, semakin buntukan fikiran kita."

Pak Long masih belum puas marahkan ibu. "Ha, silap hari bulan, benda halus, setan iblis tu masuk dalam hati perut, menghasut tak tentu hala, nak macam tu?"

Mak Long yang penyabar terus memujuk. "Semua orang sayangkan anak, Ngah. Berdoalah satu hari nanti Farhan dan Zura balik juga ke kampung. Datang jumpa kau. Takkan dia tergamak dan buang ibu mereka."

Drama semakin pilu. Aku rakamkan suara dan wajah ibu yang sebak. "Kalau tak tergamak, takkan dia buat aku macam ni?"

Aku tutup rakaman drama hari itu pada kata-kata ibu yang sebak pilu. Sebaik aku dapat alamat Abang Farhan aku akan hantar salinan rakaman ini kepadanya. Kalau benar dia anak manusia, kalau benar dia anak ibu, aku yakin sekeras manapun hati dia, akan cair juga.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Sindiket seleweng diesel subsidi tumpas

Posted: 23 Oct 2011 09:48 AM PDT

PELABUHAN KLANG: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis, di sini, Jumaat lalu dengan nilai keseluruhan rampasan RM22,000.

Pegawai Memerintah PGM Wilayah 1, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat orang awam.


Menurutnya, serbuan pada jam 6.30 petang itu membabitkan tiga anggota daripada markas operasi PGM yang menyerbu premis di Jalan Emas, Jalan Tepi Sungai, di sini, apabila melihat sebuah lori tangki berwarna putih model Nissan yang mencurigakan.

"Operasi diketuai Inspektor Mohd Zamri Mohd Noor itu merampas sebuah lori tangki yang bermuatan diesel.


"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 5,500 liter minyak diesel bersubsidi yang sudah dipam masuk ke dalam muatan lori berkenaan," katanya.


Menurutnya, premis yang diserbu itu dipercayai dijadikan stor bagi menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi dari tong simpanan diesel ke dalam muatan lori tangki.

Norzaid berkata, dalam serbuan itu pasukannya turut menahan pemandu lori berusia 43 tahun dan tiga lelaki yang bekerja sebagai penjaga stor di premis itu kerana gagal menunjukkan bukti berdokumen berhubung kegiatan yang dijalankan.


"Empat suspek itu ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen Jual Beli dan Menyimpan Minyak Diesel dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Nenek, cucu kena ikat

Posted: 23 Oct 2011 09:47 AM PDT

RAWANG: Seorang nenek dan cucunya berdepan detik cemas apabila kediaman mereka di Taman Bukit Rawang, di sini, dipecah masuk lima lelaki bersenjatakan parang sebelum suspek mengikat mangsa dan melarikan wang tunai, barang kemas dan set televisyen dianggarkan bernilai RM30,000, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, wanita berusia 64 tahun bersama dua lagi cucunya sedang menonton televisyen di ruang tamu terkejut apabila lima lelaki tidak dikenali menceroboh masuk.


Menurut sumber, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan mangsa dan cucunya tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu berdiam diri akibat ketakutan.

"Pintu rumah yang terbuka menyebabkan suspek mudah masuk sebelum mengacukan parang dan menyuruh mereka tidak menjerit jika tidak mahu dicederakan.


"Seorang daripada suspek menutup pintu rumah bagi mengelak kejadian itu diketahui jiran mangsa," katanya.


Sumber berkata, mangsa dan cucunya diikat kumpulan terbabit sebelum mereka dibawa masuk ke dalam bilik serta dikurung.

"Mereka turut mengugut akan membunuh cucu mangsa jika dia enggan menyerahkan barangan berharga menyebabkan mangsa mengikut arahan suspek.


"Barangan yang diserahkan mangsa adalah subang, cincin, gelang, telefon bimbit, wang tunai RM3,000 dan barangan berharga lain di dalam rumah berkenaan," katanya.

Sumber itu berkata, suspek mengambil masa tidak sampai 15 minit untuk menyamun mangsa sebelum beredar menaiki sebuah pikap Toyota Hilux.


"Malah, suspek turut membiarkan mangsa dan cucunya dalam keadaan berikat sehingga kejadian itu disedari anak mangsa yang pulang dari tempat kerja sejam kemudian.


"Sebaik membuka ikatan, mangsa menceritakan kejadian menimpanya sebelum mereka datang ke Balai Polis Rawang membuat laporan," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Lindsay Lohan cuci tandas di rumah mayat

Posted: 23 Oct 2011 09:00 AM PDT

LOS ANGELES: Usaha Lindsay Lohan untuk mengubah imejnya dan membersihkan rumah mayat di Los Angeles, akhirnya bermula.

Sumber memberitahu TMZ, bintang bermasalah yang berusia 25 tahun itu bekerja keras selama lapan jam dalam kerja komuniti semalam.

Dia membasuh kain kotor, membersihkan tandas dan juga memberus lantai.

Pelakon 'The Mean Girls' itu seronok melakukan tugas yang diberikan dan bersosial dengan sukarelawan lain.


Dia sepatutnya memulakan tugasnya jam 7 pagi tetapi terlewat dan tidak menghadiri sesi orientasi.


Selesai melakukan 'tugasnya,' Lohan menghantar tiga dozen kek cawan dan burger dari sebuah kedai makanan segera terkenal In-And-Out kepada staf dan sukarelawan sebagai tanda minta maaf.

Sayangnya, permohonan maafnya maafnya itu ditolak.

Penolong Ketua Koroner Ed Winter memberitahu TMZ, dia menolaknya kerana dia menganggap cara itu 'tidak boleh diterima.'

"Kami di sini bukan untuk menerima makanan," katanya. - Agensi

Full content generated by Get Full RSS.

Clinton minta nasihat Jobs

Posted: 23 Oct 2011 08:59 AM PDT

CALIFORNIA: Buku biografi Steve Jobs bakal mendedahkan perbualan lewat malam bekas presiden Amerika Syarikat Bill Clinton yang meminta nasihat daripada bos Apple itu untuk tindakan yang perlu diambil mengenai hubungan sulitnya dengan Monica Lewinsky.

Jobs dikatakan menjawab, "Saya tak tahu kalau betul awak melakukannya. Tapi, kalau benar, awak perlu memberitahu kepada semua orang."

Menurut penulisnya, Walter Isaacson, selepas Job memberikan nasihatnya, tidak ada jawapan yang didengar daripada Clinton.

Buku biografi Steve Jobs berdasarkan lebih daripada 40 temuramah dengannya, komen daripada ahli keluarga terdekat, kawan, rakan sekerja dan saingannya.


Ketika dia menubuhkan Apple menjadi perniagaan bernilai berbilion dollar, Jobs mempunyai banyak pengaruh, mencari teknologi baru, sastera, muzik dan seni.


Ketika di sekolah menengah, dia menghisap ganja ketika usianya 15 tahun dan selepas itu mencuba LSD. Menurutnya ia merupakan satu pengalaman 'yang paling berkesan dalam hidup saya.'

Cinta Jobs kepada muzik dikatakan mempunyai pengaruh besar ketika dia mengusahakan jenama Apple dan meletakkan Bob Dylan sebagai heronya.

Dia kurang tertarik ketika bertemu dengan Mick Jagger dan berkata, "Saya rasa dia mengambil dadah. Ataupun, otaknya sudah rosak."

Apabila Jobs meninggal dunia pada 5 Oktober kerana mengalami barah pankreas, anggota Rolling Stone itu adalah orang yang pertama menghantar takziah dengan menulis di laman Twitternya, "RIP Steve Jobs."

Dalam biografi itu juga didedahkan bagaimana bapa kandung Jobs berusaha menjejakinya ketika dia masih hidup.

Penulis biografinya, Walter Isaacson berkata, Jobs sebenarnya menemui bapanya berulang kali tetapi tidak menyedarinya.

Apabila diberitahu mengenai penemuan tidak sengaja itu, Jobs berkata, dia enggan bapanya mengetahui mengenainya kerana sudah menjalankan kajian dan tidak suka mengenai apa yang diketahuinya. - Agensi

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved