Isnin, 3 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Detik berharga sepanjang kembara

Posted: 03 Jun 2013 08:08 AM PDT

Benar, fizikal dan mental seseorang wanita sentiasa menjadi isu gender yang tidak berkesudahan. Malah, ada juga sesetengah perkara dianggap tidak sesuai dilakukan wanita kerana dikatakan melanggar resam alam.

Walau sesukar mana pun halangan yang berjaya ditempuh, keupayaan wanita masih dipandang sepi berikutan masyarakat masih terikat dengan perspektif kuno yang diperturunkan daripada generasi ke generasi.

Biarlah apa orang cakap dan anggap kerana Jaime Dempsey berusaha mendepani stigma itu menerusi kembaranya menunggang motosikal besar ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Meskipun ditemani kru penerbitan sepanjang penggambaran program dokumentari kembara bermotor Ride N' Seek (bersiaran 10 Jun ini, 10 malam di saluran History, Astro 555), Jaime memilih untuk menunggang sendirian dan menguruskan motosikalnya sendiri.

Foto

BERPELUANG mendekati buaya usia ratusan tahun.

Foto

PELBAGAI aksi dicuba Jaime.

Foto

INSPIRASI untuk wanita.


"Kru sentiasa ada bersama untuk melakukan penggambaran, tapi seboleh mungkin saya cuba atasi halangan sendirian kerana ia dapat memberi peluang untuk saya mencabar kemampuan diri.


"Bukan sombong atau angkuh, tapi saya percaya setiap wanita perlu berdiri untuk dirinya sendiri dan cuba kurangkan tabiat bergantung pada orang lain.

"Tidak selamanya kita ditemani keluarga atau rakan di sekeliling, jadi apabila muncul masalah pasti kita boleh hadapinya jika sudah terbiasa melakukannya sendiri," ujar Jamie.

Terbabit dalam aktiviti yang dikuasai lelaki bukan saja membantu meningkatkan keyakinan dirinya, malah menunjukkan kepada kaum Adam bahawa wanita berhak diberi penghormatan atas keupayaan serta kejayaan yang ditunjukkan.

"Berada dalam kelab eksklusif lelaki seperti aktiviti permotoran ini tidak hanya memberikan wanita kelebihan, tapi lebih kepada tanda hormat sesama gender.

"Saya tidak menganggap ia satu keistimewaan, tapi saya dapati lebih ramai mula menunjukkan rasa hormat pada apa yang saya lakukan. Saya rasakan wanita perlu buktikan kemampuan mereka jika ingin mendapatkan rasa hormat itu.

"Ia membuatkan diri saya lebih baik, bangga dan lebih berkuasa dalam mengawal situasi," tegasnya.

Jaime mula aktif bermotosikal sejak lapan tahun lalu dan pernah memiliki motosikal Yamaha XS650 serta Harley Iron 883 sebelum beralih ke Ducati Monster 695.

Antara aktiviti kembaranya ialah menunggang motosikal sejauh 3,000 batu ke pantai barat Amerika Syarikat bersama kumpulan penunggang SoCal.

Dalam Ride N' Seek, wanita kelahiran Illinois ini memulakan perjalanannya dengan menunggang motosikal Harley Davidson Sportster 48 dari Johor lalu menuju ke utara dengan melewati Pahang, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sebelum menamatkannya di Melaka.

Melihatkan kepada lebih 15 tatu di tubuhnya, pasti ia menarik lebih banyak perhatian dalam kalangan penduduk tempatan di kawasan persinggahannya.

"Menariknya, mereka lebih berminat dengan motosikal saya berbanding diri saya sendiri!

"Tapi mereka semua peramah dan bertanyakan bermacam soalan khususnya apabila saya singgah di kawasan kampung. Ramai bertanyakan mengenai diri saya dan ada yang menyentuh tatu saya untuk merasakan sama ada kulit saya licin atau tidak.

"Saya tidak sangka mendapat sambutan baik seperti ini. Ia antara detik yang paling saya gemari iaitu saat bergaul dengan masyarakat tempatan dan mempelajari budaya mereka. Ia juga antara detik berharga yang saya kutip sepanjang kembara ini," jelasnya.

Ditanya mengenai laluan kegemarannya sepanjang kembara ini, dengan pantas Jaime menjawab Bukit Fraser.

"Saya 'adrenaline junkie' dan laluan di Bukit Fraser agak panjang serta bengkang-bengkok. Saya suka menunggang laju dalam keadaan jalan seperti itu. Ia amat mengujakan!

"Selain itu, saya juga singgah di kawasan air terjun. Walaupun tiada dalam jadual, saya akan heret kru untuk singgah setiap kali ternampak papan tanda ke kawasan itu," katanya.

Pada masa sama, jelas Jaime, pengalaman pertamanya sebagai hos atau pengacara bagi program ini turut membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Jaime menyifatkan Ride N' Seek menyerlahkan sisi berbeza dalam dirinya yang selama ini dianggap mustahil.

"Saya melakukan sesuatu yang sebelum ini saya rasakan di luar kemampuan. Saya berpeluang memberi makan kepada buaya berusia 130 tahun, menerbangkan pesawat satu enjin Cessna, memandu uji kereta Formula di litar dan berenang bersama sekumpulan ikan.

"Jika tidak kerana program ini, mungkin saya masih berada di Amerika dan tidak pasti apa yang saya lakukan di sana," katanya.

Bekas jurufoto, jurugaya dan pereka fesyen ini tidak ketinggalan menyuarakan harapannya agar wanita yang menonton program ini mendapat inspirasi untuk bergiat aktif dalam aktiviti permotoran.

"Di Amerika, sukar untuk mencari geng wanita yang gemarkan aktiviti ini. Tapi di Malaysia saya dengar ada beberapa kumpulan penunggang motosikal wanita dan mereka aktif melakukan bermacam program.

"Ia satu perkembangan positif dan saya harap dengan tersiarnya Ride N' Seek kelak penonton khususnya wanita menyertai aktiviti seperti ini. Ia bukan saja untuk keseronokan dan kepuasan diri, malah sebenarnya menguji tahap kekuatan mental serta fizikal kita," katanya mengakhiri bicara.

Nota kembara Jaime

1. Johor

Jaime bertemu kumpulan Big Loud Rides (BLR) yang memberikannya maklumat mengenai aktiviti yang boleh dilakukan di Johor. BLR mencadangkan Jaime mencuba litar lumba Pasir Gudang yang pernah digunakan bintang legenda seperti juara dunia, Mick Doohan dan Ken Roberts Jr.

Jaime seterusnya menerima tunjuk ajar daripada bekas pelumba Formula Satu Malaysia, Alex Yoong sebelum memandu kereta Formula di litar. Dia juga singgah di ladang ternak buaya dan memberi makanan kepada buaya berusia 130 tahun.

2. Pahang - Terengganu

Bersiar-siar di Pekan dan singgah meluncur air di Pantai Balok, Cherating. Jaime juga berpeluang menunggang motosikal merentasi angin dan cuba menerbangkan layang-layang di tepi pantai.

Perjalanan diteruskan ke Kuala Terengganu dan singgah di Masjid Kristal bagi mempelajari mengenai Islam. Jaime kemudiannya ke Tasik Kenyir dan dapat berenang bersama sekumpulan ikan.

3. Kelantan

Jaime bertemu dengan ahli sejarah veteran yang menunjukkannya tinggalan antik antaranya pokok tua yang masih mempunyai kesan peluru. Jaime turut dimaklumkan bahawa Perang Pasifik sebenarnya tercetus di Kelantan.

Tidak lengkap ke negeri Cik Siti Wan Kembang jika tidak mempelajari seni pembuatan wau, songket dan batik. Jaime turut mencuba sesi urutan tradisional Melayu dan merasai hidangan ikan keli besar.

4. Pulau Pinang - Perak

Mengharungi pengembaraan kolonial dengan bersiar-siar di Georgetown dan bermalam di sebuah hotel warisan. Jaime ke Batu Ferringhi pula bagi menikmati asam laksa yang disenaraikan oleh CNN sebagai hidangan ketujuh daripada 10 makanan paling menyelerakan di dunia.

Ketika menuju ke Ipoh, Jaime bertemu Marcus Ozwald dan rakannya lalu merasai pengalaman mengendalikan kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan diteruskan ke Sungai Bernam dan Jaime berpeluang menerbangkan pesawat satu enjin Cessna selama dua jam.

5. Selangor

Setelah turun dari Bukit Fraser, Jaime singgah di lokasi yang dipercayai tempat pembunuhan Henry Gurney. Sempat singgah di Raub dan bermalam di Inap Desa 8 Ekar.

Jaime tidak ketinggalan mencuba permainan Bola Zorb.

6. Melaka

Bertemu dengan penyanyi dan pengacara popular, Sarimah yang membawanya ke lokasi makanan menarik sekitar Melaka. Jaime seterusnya berkenalan dengan kumpulan Red Warriors yang menampilkan kumpulan wanita melakukan aksi ngeri.

Jaime turut menikmati hidangan Nyonya di restoran Bibik Kim Neo, pelakon tempatan yang popular dengan watak Bibik Nyonya pada era 1990-an.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Rak Buku: Detik indah pasangan unik

Posted: 03 Jun 2013 07:50 AM PDT

Membaca naskhah Sophie Kinsella bagaikan mene­rima hadiah pada Hari Kekasih. Itulah yang penulis rasakan setiap kali munculnya nukilan baru penulis dari London ini.

Biarpun I've Got Your Number bukan naskhah terkininya, ia masih me­ngekalkan identiti penulisan Sophie yang menjurus kepada watak heroin lucu dan hidup dalam keadaan serba tidak kena.

Ia bukanlah sesuatu yang negatif kerana bagi penulis, Sophie berjaya membuatkan pembacanya ralit menghabiskan setiap bab hingga terlupa seketika hiruk-pikuk alam sekeliling.

I've Got Your Number memulakan kisah heroinnya, Poppy Wyatt, pakar fisioterapi yang bertunang dengan teman lelakinya, Magnus, seorang pensyarah selebriti di sebuah universiti terkemuka England.


Berbanding Poppy, Magnus dilahirkan dalam kalangan keluarga akademik. Ibu dan bapa lelaki itu dekan berkaliber yang pernah memenangi beberapa anugerah antarabangsa.


Hubungan mereka mula berdepan bahaya apabila Pop­py kehilangan cincin pertunangannya ketika menghadiri majlis praperkahwinan di hotel yang dianjurkan sekumpulan teman rapatnya.

Keadaan lebih buruk apabila telefon bimbitnya pula diragut hingga menyukarkan Poppy kerana semua nombor dan maklumat disimpan di dalamnya.

Bagaimanapun, Poppy secara tidak sengaja terjumpa telefon bimbit lain dalam tong sampah di lobi hotel yang rupanya milik bekas pembantu peribadi Sam Roxton, seorang eksekutif kanan di firma perundingan popular.

Komplikasi dan tekanan mula berlaku antara Poppy dan Sam hinggalah wanita itu berjaya meyakinkan eksekutif kacak itu untuk meminjamkan telefon­nya hinggalah cincin Poppy ditemui semula.

Sebaik saja pembaca mula mendalami senario ini, wujud rasa teruja untuk mengetahui apa yang bakal dihidangkan Sophie.

Pada masa sama, terbit rasa janggal terutama apabila individu berlainan jantina yang tidak dikenali saling berkongsi alat komunikasi.

Menurut perjanjian mereka, Poppy akan menghantar semua e-mel dan pesanan teks yang diterimanya dalam telefon bimbit itu kepada e-mel peribadi Sam.

Ada beberapa ketika Pop­py cuba bertindak sendirian dengan membalas e-mel serta pesanan teks itu hingga mencetuskan konflik lain dalam kehidupan mereka.

Bermula dengan pesanan teks dalam nada profesional, Sam dan Poppy akhirnya mula selesa antara satu sama lain hingga masing-masing tidak kisah memberi tip untuk menangani masalah bersama pasangan kekasih masing-masing.

Plot akhirnya agak klise kerana Poppy dan Sam kemudiannya saling jatuh cinta, tapi terpaksa berdepan pula beberapa halangan sebelum mereka dapat hidup bersama.

Apapun yang menariknya, Poppy pasti menitipkan nota kaki - 112 semuanya - setiap kali berbalas pesanan dengan Sam, lalu menjadikannya antara momen comel pasangan unik ini.

INFO:

Judul: I've Got Your Number
Penulis: Sophie Kinsella
Penerbit: Random House
Harga: RM33.90

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Lawan penyamun guna pistol palsu

Posted: 02 Jun 2013 11:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua lelaki yang menyamar polis dan menyamun dua pekerja pengurup wang di Jalan Beringin, Bukit Damansara, di sini, tidak sempat membelanjakan wang tunai yang disamun apabila mereka ditahan beberapa jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang Khamis lalu itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan menghantar wang tunai RM131,000 kepada pelanggannya sebelum motosikal ditunggangi mereka dihimpit motosikal suspek yang turut mengacukan pistol.


Menurutnya, mangsa yang ketakutan memberhentikan motosikalnya sebelum suspek memperkenalkan diri sebagai polis.

"Malah, mereka juga meminta mangsa menyerahkan wang terbabit namun ketika mangsa ingin memberikan wang itu, dia yang menyedari pistol terbabit palsu bertindak melawan menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.


"Bagaimanapun suspek berjaya merampas beg berisi wang itu dan cuba melarikan diri, namun seorang daripada mereka berjaya ditangkap mangsa yang kemudian bertindak menghubungi polis," katanya.


Azlee berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan membawa suspek ke balai polis sebelum usaha mengesan rakannya giat dijalankan.

Foto

SUSPEK samun dicekup selepas bergelut dengan mangsa.

"Usaha mengesan suspek berjaya dan dia ditahan tidak lama selepas itu dan wang hasil samun turut berjaya ditemui semula.


"Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan hasil pemeriksaan pistol yang digunakan juga adalah tiruan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Rebut Peluang Ke Angkasa Lepas!

Posted: 02 Jun 2013 04:59 AM PDT

Inilah peluang anda! Peluang sekali dalam seumur hidup untuk ke angkasa lepas! Peluang untuk mencipta nama sebagai warga Malaysia kedua ke angkasa lepas! AXE sedang mencari ANDA - baik lelaki atau wanita - yang ingin menjadi antara golongan elit untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman di angkasa lepas.

Jika anda berani menyahut cabaran yang dilontarkan AXE ini, cara penyertaannya mudah sahaja. Terlebih dahulu, anda perlu mendaftar untuk memasuki Akademi Angkasa AXE Apollo (AASA) di AXEApollo.com. AASA telah ditubuhkan dengan kerjasama legenda angkasa lepas, Buzz Aldrin.

Kemudian, dapatkan kawan-kawan anda untuk mengundi bagi memastikan anda layak ke Top 15. Selepas itu, anda bersama 14 finalis lain akan diberi beberapa cabaran di mana pemenang keseluruhan akan mara ke pusingan seterusnya di Kem Angkasa Lepas Global AASA, Orlando, Florida, Amerika Syarikat.

Di sini, pemenang akan bersaing dengan kadet-kadet lain dari seluruh dunia untuk menjadi sebahagian daripada krew angkasa antarabangsa AXE. Selain Malaysia, terdapat 59 negara lain yang akan menghantar wakil mereka termasuk Rusia, China, Perancis, Korea Selatan, Kepun, Brazil dan Filipina. Tetapi hanya 1 yang terpilih akan diterbangkan 103km ke udara dengan agensi angkasa antarabangsa, Space Expedition Corporation (SXC).


Pelancaran AXE Apollo ini adalah yang terbesar dan terunggul dalam sejarah 30 tahun jenama AXE. Di arena global, AXE telah menempa kejayaan dengan wangian "segar" dan "maskulin" seperti Anarchy dan Provoke. Kini, giliran AXE Apollo untuk mengubah bau maskulin semula jadi seorang lelaki menjadi lebih sofistikated.


Dalam menghasilkan wangian untuk Apollo, AXE telah bekerjsama dengan perunding wangian terkenal Ann Gottlieb, individu yang bertanggungjawab di sebalik semua wangian AXE selama lebih 20 tahun. Adunan penuh keyakinan AXE Apollo yang terdiri daripada 'clary sage' dengan tambahan keharuman buah-buahan meninggalkan kesan pertama yang segar lagi mengusik jiwa.

Apabila kaum lelaki tampil segak, berbau wangi dan berasa selesa, mereka pastinya lebih berkeyakinan. Ini adalah sebabnya mengapa deodoran semburan badan baru AXE Apollo sesuai dengan keharuman yang segar dan bersih, menggabungkan 'sage' segar dengan 'crisp mandarin' yang nyata dan kayu cendana yang lembut.

Haruman AXE Apollo berciri maskulin klasik dan sofistikated dengan gabungan buah-buahan segar, herba hijau dan berlatarbelakangkan wangian kesturi yang berkrim. Produk-produk AXE Apollo direka untuk membantu lelaki benar-benar kelihatan tampan, rasa yakin dan berbau harum.

Jadi, tunggu apa lagi? Hantarkan penyertaan anda sebelum 31 Julai 2013 kerana tiada yang dapat menandingi seorang angkasawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Lamaran dalam pesawat

Posted: 02 Jun 2013 04:46 AM PDT

Bunyi paluan gong bergema di Asmara Penchala, Sungai Penchala, Sabtu lalu bagi memaklumkan kedatangan rombongan pihak lelaki untuk meminang si anak dara. Ia juga menandakan permulaan baru dalam episod hidup si cantik manis, Fouziah Gous, 30.

Membawa lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada keluarga perempuan, sebentuk cincin emas putih bertatah berlian akhirnya disarungkan ke jari manis Fouziah oleh bakal ibu mentua, Normah Ali. Kini sahlah Fouziah tunangan kepada Md Zhafran Md Yusof, 30.

Hantaran daripada pihak lelaki berupa tepak sirih, kain, manisan, kosmetik dan kamera digital. Balasan daripada Fouziah pula adalah jambangan sirih junjung, kain songket, beg, set wangian, al-Quran, coklat serta buah-buahan.

Pada malam yang berbahagia itu, kejelitaan Fouziah tampak menyerlah menyarungkan busana rekaan Zery Zamry rona kuning air dengan solekan oleh Deqsha.


Lebih 300 tetamu terdiri daripada kedua-dua pihak keluarga hadir merestui bakal pengantin itu tidak lama lagi. Majlis pertunangan yang berlangsung meriah itu berkonsepkan pelamin dalam taman yang digabungkan dengan tema Melayu tradisional.


Memberi lebih makna kepada majlis pertunangan itu, Datuk Dr Hassan Ali yang mewakili keluarga Fouziah sempat menitip kata nasihat kepada Fouziah dan Zhafran serta jemputan mengenai erti sebuah perkahwinan.

Ditemui selepas selesai majlis pertunangan, wajah Fouziah yang tidak lekang dengan senyuman mengucapkan syukur yang tidak terhingga kerana segala persiapan dan atur cara pada malam itu berjalan lancar dengan bantuan keluarga dan juga bakal keluarga mentuanya.

Berkongsi kegembiraannya yang bakal memulakan fasa baru kehidupan bersama Zhafran yang juga seorang usahawan dalam bidang produk kesihatan.

Mereka mula bertemu tahun lepas di sebuah restoran di Bandar Utama selepas diperkenalkan oleh adik kepada kakak ipar Fouziah. Perkenalan rapat mereka hanya selama tiga bulan menerbitkan keserasian hingga mereka tidak ragu-ragu untuk mengakhiri persahabatan itu ke arah yang lebih serius.

Jelas Fouziah dengan terus terang, pada pertemuan pertamanya dengan Zhafran dia kurang berkenan dengan lagak tunangnya itu tetapi dia sedar rezeki, jodoh dan ajal hanya Allah SWT saja yang tahu.

"Siapa sangka daripada rakan perniagaan kami akan berkongsi hidup bersama. Saya langsung tidak menyangka hubungan ini akan membawa kami ke satu fasa yang lebih serius.

"Selama ini setiap kali bertemu, kami hanya berbincang mengenai perniagaan. Suntikan semangat yang sering Zhaf berikan terhadap selok-belok perniagaan membina keyakinan diri saya. Lama-kelamaan daripada berkawan terbit rasa sayang. Mungkin kerana kami satu kepala membuatkan saya dan Zhaf senang serasi. Hubungan kami seperti budak-budak, kami suka ketawa. Ada kalanya kami sendiri tidak percaya yang hubungan ini akan berakhir dengan pernikahan," katanya.

Perkenalan dalam tempoh singkat

Dalam pada itu, pasangan terbabit berharap akan dapat disatukan sebagai suami isteri selepas Aidilfitri ini iaitu September nanti.

"Ikatan pertunangan ini membuatkan saya menjadi lebih tenang, insya-Allah kami memilih untuk disatukan tidak lebih dari tahun ini, mengikut perancangan pada September nanti. Kami tidak mahu lagi menangguhkan perkara yang baik lagipun Zhafran sendiri sudah bersedia dan cukup sempurna sebagai seorang suami di hati saya," katanya.

Zhafran bukan saja ahli perniagaan berjaya malah amat memahami hati seorang wanita. Menariknya, jejaka romantis itu melamar Fouziah dengan membawa bakal suri hidupnya itu menaiki sebuah pesawat ringan mengelilingi bandaraya Kuala Lumpur, kira-kira tiga minggu lalu.

Manakala setibanya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, beberapa rakan Zhafran sudah sedia menanti sambil membawa kepingan kad yang tertera perkataan "Will You Marry Me?". Tidak ubah rasanya macam babak dalam sebuah filem.

Tidak bertangguh memberikan persetujuan, seminggu selepas itu menyusul majlis pertunangan mereka yang mendapat restu kedua-dua belah keluarga.

Menurut Zhafran, keputusan melamar seseorang tidak boleh diukur kepada berapa lama tempoh perkenalan itu kerana apa yang penting adalah kualiti dalam perhubungan.

"Berkawan lama belum tentu menjanjikan keserasian, kadang kala makin lama kita berkawan dengan seseorang, semakin kita tidak mengenali pasangan kita. Berbeza hubungan saya dengan Fouziah walaupun hubungan ini terjalin dalam tempoh yang singkat tetapi saya amat menyenanginya.

"Sikapnya yang ceria dan mudah tertawa membuatkan saya tertawan kepadanya. Pemikirannya yang terbuka juga menyebabkan saya berasa selesa untuk berkongsi apa saja cerita dengannya," katanya.

Meskipun Fouziah pelakon terkenal namun sebelum mengenali Fouziah lebih rapat, Zhafran akui tidak begitu mengikuti perkembangan tunangannya itu.

"Saya hanya lebih mengikuti perkembangan seni Fouziah selepas mengenalinya memandangkan saya sendiri sibuk dengan tugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Nahas bawa 4 suspek

Posted: 02 Jun 2013 11:32 AM PDT

Kulaijaya: "Sebaik dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari arah bertentangan, kereta dipandu rakan hilang kawalan menyebabkan keadaan cemas," kata Safwan Misran, 30, seorang daripada mangsa kemalangan maut di Kilometer 24, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, di sini, kelmarin.

Kemalangan jam 7.40 malam itu membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda polis, Proton Iswara dan bas awam.

Tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah anggota polis sukarelawan Mohd Amir Fairuz Mohd Sobri, 21, seorang suspek berusia 38 tahun dan warga Indonesia bertaraf penduduk tetap, Rosdi Tukio, 48, manakala lapan individu lain hanya cedera ringan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda yang membawa empat anggota polis dan empat suspek hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung sebuah bas serta kereta Proton Iswara.

Foto

KEADAAN selepas kemalangan berhadapan jirat Cina, kelmarin.


Safwan berkata, dia yang menaiki Proton Iswara bersama dua rakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Taman Universiti, di sini, ke rumah mereka di Kulaijaya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Makan angin berbasikal

Posted: 02 Jun 2013 11:27 AM PDT

Putrajaya: Sebanyak 184 pakej berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) disediakan Tourism Malaysia di seluruh negara selaras dengan usaha mempromosi pelancongan berbasikal di kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab berkata, pakej itu dibangunkan dengan kerjasama 91 agensi pelancongan tempatan dan turut mendapat sokongan Tourism Malaysia peringkat negeri.

"Pakej ini mula diperkenalkan pada Disember 2011 bermula di Putrajaya iaitu Pakej Berbasikal Menjelajah Putrajaya dan terbaru Pakej Istimewa Tersang di Raub, Pahang pada 24 Mac lalu.

"Sepanjang 2012, nilai keseluruhan pakej berbasikal yang sudah terjual di seluruh negara adalah RM411,180 dan ini menunjukkan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan ini, sekali gus membolehkan mereka terus berbasikal walaupun sedang bercuti bersama keluarga," katanya pada sidang media selepas menyertai kayuhan kategori VVIP pada acara Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di sini, semalam.

Foto

PESERTA wanita dibantu petugas kejohanan mengangkat basikal.


Turut hadir, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar, Timbalan Pengarang Kumpulan, Abdul Ghafar Ismail, Pengarah Perkhidmatan Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Muhamad Haitamin Ishak dan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Shahrin pamer kayuhan konsisten

Posted: 02 Jun 2013 09:47 AM PDT

Putrajaya: Menepati ramalan awal dengan status sebagai juara kebangsaan, Shahrin Amir mempamerkan rentak kayuhan konsisten untuk dinobatkan juara sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 Cross Country Olympic (XCO), semalam.

Biarpun menerima tentangan sengit rakan senegara seperti Razif Salleh dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, ia bukan penghalang kepadanya untuk mempamerkan aksi terbaik bagi menaikkan nama pasukan yang diwakilinya, Giant Team Malaysia.


Melakarkan 9 minit 05 saat bagi satu pusingan membabitkan jarak trek sejauh 30.5km, Shahrin menewaskan rakan pasukan dari Brunei, Muhd Raihan Abdul Aziz, kedua dan Razif Salleh, ketiga.

"Alhamdulillah dengan kemenangan ini. Saya memang sasarkan untuk menang jadi saya cuba mempamerkan kayuhan terbaik sejak permulaan perlumbaan dengan berada di barisan depan," katanya.


Shahrin yang kini menjalani latihan pusat di Melaka sebagai persediaan ke Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini menyifatkan laluan trek di Dataran Diplomatik Persint 15 Putrajaya itu sebagai antara yang terbaik untuk basikal bukit di negara ini.


"Saya sukakan trek ini. Ini yang terbaik bagi kategori Cross Country. Sasaran saya selepas ini untuk cuba mengungguli sirkit kedua bagi mengumpul mata beraksi di Grand Final nanti," katanya yang turut berazam mengharumkan nama negara dengan merangkul emas pertama di Sukan SEA acara basikal bukit. Kejayaan Shahrin itu membolehkan dia membawa pulang wang tunai RM2,500 berserta medal dan piala manakala tempat kedua menerima RM1,800 dan medal dan ketiga, RM1,000 serta medal.

Foto

GAYA Shahrin ketika melintasi garisan penamat.

Perlumbaan ini menawarkan hadiah keseluruhan RM220,000 menggunakan format perlumbaan Olimpik merentas desa membabitkan jarak tiga hingga tujuh kilometer dalam masa ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Peserta kebangsaan dominasi aksi sulung

Posted: 02 Jun 2013 09:43 AM PDT

Putrajaya: Dua peserta kebangsaan mempamerkan kayuhan bertenaga untuk dinobatkan juara kategori lelaki dan wanita sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 bagi kategori Cross Country Olympic (XCO).

Shahrin Amir yang mewakili pasukan Giant Malaysia cukup bertenaga menguasai trek sejauh 18 kilometer di Dataran Diplomatik Presint 15, menewaskan rakan pasukan dari Brunei, Muhd Raihan Abdul Aziz, kedua dan Razif Salleh, ketiga.


Juara kategori Asia dan pelumba terbaik negara di Kejohanan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC), Masziyaton Mohd Radzi dari pasukan Geng Kayuh Gerek Kedah 2 & SBS Giant menjuarai kategori wanita.

Masziyaton merekodkan 1 jam 8 minit 1 saat menewaskan Junaidah Jus di tempat kedua dan Siti Aisyah Alias ketiga.


Juara kedua-dua kategori ini membawa pulang wang tunai RM2,500, jersi juara, piala pusingan dan medal manakala tempat kedua menerima RM1,800 dan medal dan tempat ketiga wang tunai RM1,000 dan medal. Peserta dari pasukan Giant SBS Racing Team, Mohd Hafiz Rosli, 25, pula mendapat tempat pertama bagi Jamboree kategori Terbuka Lelaki dalam acara Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia, sekali gus membawa pulang wang tunai RM700.


Bagi Jamboree kategori Terbuka Wanita, peserta dari pasukan Geng Kayuh Gerek Kedah, Siti Aminatul Jannah Abdul Rahman, 17, merebut tempat pertama untuk menerima RM700.

Peserta dari pasukan Cyclomotion, Mohd Khuzairi Abdul Bakar, 22, mengungguli saingan Jamboree kategori Junior (bawah 23 tahun) bagi dihadiahkan RM700.


Sementara itu, Jamboree kategori Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) menjadi milik Suki Mohd Zain, 45 yang juga menerima RM700.

Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


'Viagra asli'

Posted: 02 Jun 2013 09:15 AM PDT

Naples: Baunya mungkin terlalu busuk dan sentiasa terdedah kepada kemungkinan letupan.

Bagaimanapun, bagi lelaki yang berdepan dengan masalah ereksi, mengadakan seks di kaki sebuah gunung berapi mungkin boleh menyelesaikan masalah mereka.

Satu kawasan pandu masuk dibina di Naples dengan 'enam petak letak kereta' di kaki gunung berapi Solfatara.

Hidrogen sulfida yang dikeluarkan gunung berapi itu terbukti membantu kaum lelaki yang mempunyai masalah ereksi digelar 'Viagra asli.'

Foto

PETAK asmara yang dibina bersebelahan dengan Gunung Berapi Solfatara.

Foto

PELANGGAN diberi nasihat mengenai seks secara selamat sebelum ke petak asmara.

Foto

PASANGAN menuju ke petak asmara.


Pengunjung yang dibekalkan dengan maklumat mengenai seks selamat ketika membayar untuk menggunakan petak letak kereta itu dikatakan hanya perlu menghirup udara berdekatan gunung berapi itu bagi mendatangkan keinginan seks.


Yang tidak menyenangkan ialah gas itu yang dikenali sebagai 'bau syaitan' dan bau seperti telur busuk. Ia boleh menjadi racun jika kuantitinya banyak.

Menurut pakar, jumlah kecil gas itu boleh memberi kesan seperti Viagra dalam merawat masalah mati pucuk jika satu produk baru dihasilkan secara teratur.

Pelanggan hanya perlu membayar untuk meletakkan kereta dan memasuki petak yang dikepung sebelum boleh menikmati seks dengan pasangan masing-masing. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Tulisa pengedar kokain

Posted: 02 Jun 2013 09:03 AM PDT

London: Kegiatan dadah penyanyi glamor, Tulisa terbongkar semalam selepas dia mengatur pembelian kokain bernilai £800 (RM4,000).

Bekas hakim X Factor berusia 24 tahun itu 'ditangkap' oleh wartawan akhbar The Sun ketika dia mengatur seorang rakan untuk membekalkan setengah auns dadah kelas A itu.

Tulisa memberitahu wartawan itu: "Apa yang anda inginkan, dia ada."

Tulisa sebelum ini mendakwa dia adalah model contoh kepada peminat muda dan dia berhenti menghisap dadah pada usia 14 tahun.


Dalam siasatan The Sun, bintang glamor itu mempamerkan tabiat buruk yang disembunyikan daripada peminat remaja - bermegah-megah dengan hubungannya dengan dadah.


Dia memberitahu wartawan terbabit: "Kamu ingin ganja? Saya akan memberitahu lelaki ini. Apa saja yang kamu inginkan, dia ada."

Apabila ditanya mengenai dadah selain ganja, dia menjawab: "Apa saja - kokain.

Tulisa mengaku tidak mengambil kokain tetapi mengesahkan dia mengatur pembelian dadah itu untuk rakannya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved