Sabtu, 19 Januari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Global: Wanita Libya turut tumbang Gaddafi

Posted: 02 Oct 2011 08:51 AM PDT

"Orang lelaki mati ketika mereka terpaksa berjuang tanpa senjata dan sanggup bergadai nyawa demi melindungi kami sedangkan kami duduk di rumah tidak buat apa-apa. Kami seolah-olah jadi barang antik," kata wanita bertudung itu lagi sambil cuba membetulkan cara dia memegang senjata api.

"Konco-konco Gaddafi boleh datang bila-bila masa, saya bersedia mempertahankan diri sendiri dan rumah kami jika perlu," katanya lagi.

Pelatih sukarelawan di pusat latihan ketenteraan itu berkata, mereka berasa sangat tidak berdaya ketika pergerakan menumbangkan pemerintahan Gaddafi terutama apabila mendengar berita ada wanita dirogol oleh askar. Kini mereka tidak mahu lagi duduk diam, sudah sampai masa untuk menunjukkan bahawa wanita juga boleh melindungi keluarga.

Sekurang-kurangnya 200 wanita sudah berjaya menamatkan program latihan itu sejak ia dimulakan di Kawasan Ketenteraan Teknikal Benghazi hujung Mac lalu. Mereka diberikan pilihan menyertai Pasukan Keselamatan Kebangsaan yang beroperasi seperti Pengawal Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat dan membenarkan wanita berkenaan bergerak di kawasan sendiri. Belum ada cadangan untuk menghantar tentera wanita ini ke barisan hadapan pertahanan negara.


Satu unit yang dianggotai 20 tentera wanita tidak bersenjata bertugas ketika Perdana Menteri British, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melawat Benghazi bulan lalu dan memberikan ucapan di depan ramai penduduk Libya.


Pasukan keselamatan wanita itu berdiri memerhatikan dan mencari wanita yang mencurigakan kerana bimbang jika ada penyerang yang menyamar dengan memakai pakaian perempuan.

Menurut komander tentera di Benghazi, Abdul Basit Haron, pejuang revolusi termasuk wanita akan menerima sekali bayaran berjumlah RM15,000. Pembabitan wanita dalam ketenteraan sangat penting kerana ia boleh membangkitkan dan menguatkan semangat tentera.

Ini kerana wanita berasa mereka diketepikan dan sanggup datang ke sini untuk membuktikan bahawa mereka setanding dengan lelaki. Mereka mahu menunjukkan kepada dunia keberanian dan sikap terbuka penduduk Libya.

Sebenarnya peranan wanita masih menjadi isu sensitif di negara Islam konservatif itu. Malah, sepanjang pemerintahan Gaddafi, polisi yang dibentuk bertujuan memecahkan pantang larang turun temurun mengenai pekerjaan wanita dan status mereka. Gaddafi sendiri melantik pengawal peribadi wanita tetapi peluang yang diberikan untuk wanita mengisi jawatan di dalam kerajaan masih sangat terhad.

Tentera wanita adalah satu perkara yang sangat asing di kebanyakan negara Arab tetapi kini ia menjadi pemandangan biasa di Libya. Di mana-mana ada saja tentera wanita beruniform, bertudung, bercermin mata hitam dan bermekap tebal mengawal bandar. Satu kumpulan wanita dilaporkan mempunyai pusat soal siasat sendiri bagi menahan aktivis antiGaddafi.

Kolonel Sabriya Mohammed al-Shraidi, anak kelahiran Benghazi yang menamatkan pelajaran di sekolah ketenteraan pada 1986 dan kini berada

di unit penyiasatan tentera berkata, lapan pegawai ditugaskan melatih 36 sukarelawan - iaitu kumpulan keempat yang akan tamat latihan tidak lama lagi.

"Kebanyakan wanita ini adalah suri rumah dan ada yang bekerja. Mereka tiada pengalaman dalam ketenteraan dan tidak tahu bagaimana menggunakan senjata. Jadi mereka datang ke sini untuk menjalani latihan, jika perlu mempertahankan diri sendiri dan anak-anak. Kita tidak tahu bila kemahiran ini diperlukan, segala-galanya boleh terjadi," katanya.

Pelatih tentera ini diberikan pelbagai latihan menggunakan semua jenis senjata ringan dan ilmu mempertahankan diri. Mereka yang diberikan latihan ini akan membantu menjaga keselamatan ketika demonstrasi, di bank dan institusi lain.

"Ramai orang anggap wanita tidak elok masuk tentera. Anggapan ini salah. Ramai wanita terbabit dalam bantuan kemanusiaan dan penyeludupan senjata api untuk pemberontak dengan menyembunyikan senjata dalam jubah mereka.

"Sebenarnya wanita sudah banyak memberi sumbangan dalam revolusi ini melalui pelbagai cara. Tetapi mereka masih dipinggirkan dan diketepikan. Kini sudah ada peluang untuk kami menunjukkan sumbangan secara terang-terangan, tiada apa yang hendak dimalukan apabila menjadi tentera. Masyarakat sekarang bukan lagi seperti zaman Gaddafi dulu yang memandang rendah wanita yang masuk tentera," katanya.

Wafa al-Rayth, 29, suri rumah, berkata dia menyertai program ketenteraan itu untuk menunjukkan pada dunia bahawa wanita Libya berupaya berganding bahu dengan lelaki dalam menjaga keamanan negara.

"Sudah sampai masa kami membantu meluaskan keamanan dan mengawal negara, terutama dalam tradisi kami yang memerlukan wanita mengawal tempat perjumpaan wanita dan memeriksa beg mereka bagi memastikan tiada lelaki menyamar untuk melakukan jenayah," katanya.

Bagi jurutera berusia 20 tahun, Lameis Aghnaish, dulu ketika era Gaddafi dia cuba berhijrah ke negara lain tetapi kini dia bangga tinggal di Libya.

"Dulu hidup kami sangat susah, sebab itulah saya mahu berhijrah. Masa itu saya tidak rasa sayang pun pada negara, tetapi keadaan kini sudah berubah. Saya sanggup mati demi negara ini. Saya akan kembali bekerja selepas keadaan kembali aman. Apa yang penting kini ialah memastikan negara aman dan selamat," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Kepala 'bocor'

Posted: 18 Jan 2013 10:45 PM PST

"Saya disahkan doktor mengalami gangguan kelopak mata kanan menyebabkan pandangan kabur, malah saya juga sukar tidur malam," kata M Balakrishnen, 48, menceritakan kesan buruk dihadapi selepas kepalanya cedera ditimpa siling asbestos yang reput dalam kejadian bulan lalu.

Menceritakan semula kejadian itu, Balakrishnen yang juga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Shah Alam berkata, dia ditimpa siling itu ketika menaiki tangga untuk ke rumahnya di tingkat satu, Blok 10, Flat Desa Mentari, di sini, pada 25 Disember lalu.


"Saya menaiki tangga bersama seorang anak perempuan berusia empat tahun apabila tiba-tiba siling itu jatuh dan menimpa kepala saya, kira-kira jam 8.30 pagi.

"Mujur anak terselamat dan tidak mengalami kecederaan kerana saya sempat memeluk dia untuk melindunginya," katanya, semalam.


Menurutnya, akibat kejadian itu, kepalanya berdarah teruk dan terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menerima enam jahitan.


"Saya juga terpaksa mengambil cuti sakit yang panjang kerana kesan kemalangan itu menyebabkan saya tidak boleh menumpukan perhatian ketika membuat pekerjaan.

Foto

SILING asbestos yang runtuh masih belum diganti.

"Malah, kesihatan saya juga tidak menentu dan kini terpaksa bergantung pada ubatan," katanya.


Katanya, dia pernah mengalami kemalangan jalan raya dan kejadian terbaru itu memburukkan lagi tahap kesihatannya.

"Sudah banyak kali kejadian bumbung atau siling flat yang reput dan jatuh menimpa penduduk. Namun, apa yang saya dialami adalah kejadian serius.


"Saya sudah beberapa kali menemui pihak pengurusan bangunan bagi menuntut ganti rugi kerana kejadian sebegini tiada wajar berlaku. Namun, mereka mengambil sikap tidak peduli," katanya.


Balakrishnen berkata, pihak berkenaan sewajarnya bertanggungjawab dalam kejadian itu kerana gagal menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bumbung terutama yang sudah rosak.


Balakrishnen, turut membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


GDA27 cermin sebenar k-pop

Posted: 18 Jan 2013 11:04 AM PST

Berdiri atas 'aura' tersendiri, penyanyi tampan, G-Dragon atau GD jelas menarik tumpuan dunia biarpun pada masa sama masih lagi menganggotai kumpulan K-Pop sensasi, BigBang.

Di mana-mana saja, namanya pantas meniti bibir peminat bahkan turut jadi buruan lensa media dan paparazzi.

Jejaka berusia 24 tahun ini bukan saja hadir dengan pakej lengkap, kacak dan berbakat, malah di bidang 'moda' atau fe­syen Korea juga, dia juga paling di atas.

Segala elemen itu bersatu dan tidak hairan, GD kini artis paling dikagumi selain Psy.


Tidak ketinggalan memeriahkan anugerah berprestij, Golden Disk Awards ke-27 (GDA27) yang melabuhkan tirai di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, malam Rabu lalu, sejak awal lagi kelibat penyanyi lagu Crayon ini memang dinantikan.


Khusus buat peminat BigBang sendiri, semestinya kehadiran GD mengubat kedukaan lantaran anggota lain kumpulan yang sedang hangat dengan lagu Fantastic Baby itu tidak bersamanya kali ini.

Terpalit dengan beberapa kontroversi sepanjang tahun lalu, nyata bukan alasan buat peminat untuk tidak menyukai 'fashionista' Korea itu. Kecemerlangan sisi kariernya lebih dominan dan hasil kerja-kerasnya berkecimpung dalam bidang seni sejak 2001 jelas dihargai.

Ini terbukti pada malam kedua GDA27 apabila dia membawa pulang trofi anugerah CeCi Popularity dan GDA Song Division selain berkongsi kemenangan BigBang menerusi kategori MSN International serta GDA Song Division.

Namun bukan sekadar itu, ketara sekali rata-rata penonton yang membanjiri tapak acara berkenaan memang menantikan kemunculannya. Malah sejurus melangkah keluar daripada kereta mewah di perkarangan lokasi karpet merah, jeritan kuat peminat lantas menyusul mengiringi lang­kahnya.

Tidak terkecuali, menjadi penutup tirai persembahan malam itu, mendendangkan lagu popularnya One of a kind, Light it up, Heartbreaker selain Crayon, sekali gus menggamatkan suasana apalagi keletahnya dan aksinya yang 'berapi'!

Bukan puji melambung tetapi kehebatan penyanyi yang sudah memenangi pelbagai anugerah ini memang mengasyikkan. Hampir semua yang menonton nyata dibuai dan bernyanyi sama GD merancakkan lagi kehangatan acara itu.

Hadir kali kedua di Malaysia, sempat berkongsi betapa bertuahnya baik dia mahupun BigBang sendiri mempunyai kelompok peminat yang sangat mengagumkan, GD berharap sokongan sedemikian akan terus berlanjutan.

"Terima kasih tidak terhingga atas pengiktirafan ini. Namun bagi saya anda (peminat) yang sebenarnya menjadi tulang-belakang kami selama ini.

"Menerima empat anugerah kesemuanya malam ini cukup menggembirakan dan kemenangan ini pastinya akan menjadi pembakar semangat buat kami," katanya.

Malam kedua itu menyaksikan beberapa lagi persembahan hebat menyusul sejurus malam pertama berlabuh dengan gemilangnya. Larut dengan persembahan bertenaga dengan koreografi tarian hebat turut mencuri tumpuan adalah pe­nyanyi baru, LeeHi.

Bertubuh genit dan jelita, LeeHi memukau penonton dengan vokal hebatnya menerusi lagu 1,2,3,4 dan 'cover version' Mamado (Pixie Lott). Jika persembahan lain banyak menggunakan suara 'auto-tone', keseksian vokal yang cukup jelas penyanyi berusia 17 tahun itu cukup mengagumkan.

Turut menggegarkan pentas yang menampilkan Dasom (Sistar) dan Lee Hong Ki (FT Island) sebagai hos, T-ara membuka tirai dengan lagu Sexy Love, Lovey-Dovey dan Roly Polym, disusuli miss A (Touch/I Don't Need A Man), B.A.P (Power/Warrior), AiLee (Umbrella/I Will Show U), Sistar (Alone/Loving You), Heo Gak (Person I Used To Love/One Person), f(x) (Jet/Electric Shock) dan Teen Top (To You/Crazy).

Tidak ketinggalan persembahan khas daripada K. Will dan HyoLyn (Sistar), Secret dan B.A.P, Miss A dan T-ara seterusnya Epik High (Get Out The Way/Love Love Love), K. Will (Please Don't Do/I Need You) serta Secret (Talk That/Poison/Love Is Move).

Seperti dijangkakan, anugerah utama, Song of the Year atau Lagu Terbaik dimenangi penyanyi fenomena masa ini, Psy menerusi Gangnam Style yang juga artis naungan YG Entertainment. Bukan sesuatu yang mengejutkan apatah lagi lagu berkenaan berjaya melakar kejayaan luar biasa di seluruh dunia.

Meskipun tidak hadir, sebuah video ucapannya sempat ditayangkan dan ternyata kesibukan menjadi punca penyanyi itu gagal bersama yang lain di GDA27.

"Saya amat gembira dengan kejayaan luar biasa yang dicetuskan lagu serta video Gangnam Style di seluruh dunia. Namun sedih sekali saya tidak dapat menghadiri GDA kali ini dan beraksi untuk anda," katanya yang juga memenangi kategori Song Division.

Apa yang pasti, syarikat rakaman berkenaan melakar kejayaan cemerlang sele­pas memenangi lapan anugerah daripada sembilan kategori dipertandingkan pada malam pengiktirafan kategori lagu itu.

Malam sebelumnya, Super Junior (SuJu) meneruskan dominasi selepas membolot tiga anugerah termasuk Album Terbaik atau Album of the Year.

Selain GD, BigBang dan Psy, Epik High membawa pulang anugerah Best Hip Hop Star manakala Lee Hi memenangi kategori New Rising K-Pop Star.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

AKW lebih segar

Posted: 18 Jan 2013 10:49 AM PST

Mengekalkan Zam­­zarina Zambri sebagai pengacaranya, musim kelima program bual bicara, Apa Kata Wanita (AKW) tampil dengan konsep dan pengisian yang lebih menarik dan segar, sempena musim barunya tahun ini.

AKW Bersama Zamzarina juga memperkenalkan beberapa segmen baru tanpa menjejaskan segmen utamanya ia­itu membincangkan satu topik berkisar isu wanita dan keluarga pada setiap minggu.

Dua segmen baru yang diperkenalkan ialah berkonsep realiti kesihatan iaitu Fat To Fit (F2F) dan Tangkas memaparkan demonstrasi teknik bela diri yang dijangka mampu meraih perhatian menonton.

Zamzarina yang juga pengacara dan penerbit kandungan program itu berkata, dirinya sudah sebati sepanjang lima musim menjadi pengacaranya.


"Terus terang, program ini begitu dekat dengan diri saya sekali gus mewakili golongan wanita di luar sana. Setakat ini, ia juga mendapat 'rating' yang bagus sepanjang lima musim bersiaran di saluran RTM.


"Dari segi kandungan segmen untuk musim ini, ia memang dihasilkan dari idea sendiri menerusi kajian dan pemerhatian sekeliling membabitkan isu semasa membabitkan golongan wanita yang dilaporkan di media cetak mahupun elektronik," katanya.

Ditanya sampai bila dia akan terbabit dalam program itu, kata Zamzarina, dia hanya menyerahkan perkara itu pada pihak atasan RTM.

"Sebenarnya, saya hanya bekerja secara sambilan dengan RTM sekarang. Justeru, saya tidak tahu berapa lama lagi akan terbabit sebagai pengacara dan penerbit kandungan AKW. Mungkin selagi diri diperlukan dalam program ini.

"Pada masa sama, saya juga sudah berjinak-jinak dalam perniagaan dan bakal melancarkan produk kecantikan sendiri, Zarra yang berasaskan produk tempatan tahun ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai segmen baru, Fat To Fit, kata Zamzarina, ia membabitkan enam peserta dengan berat badan berlebihan yang akan melalui latihan kecergasan dan pemakanan sihat selama tiga hingga empat bulan sehingga mencapai berat badan ideal. Ia membabitkan khidmat pakar fisiologi senaman dan pemakanan bertaraf antarabangsa, Dee Dee Mahmood.

"Objektif program ini untuk menerapkan budaya sihat dalam kalangan masyarakat dan mendapat­kan panduan yang betul untuk menurunkan berat badan. Berbanding program kesihatan lain ialah ia tidak ada penyingkiran peserta.

"Segmen Tangkas pula memaparkan demonstrasi teknik bela diri khusus untuk wanita bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah atau perkara tidak diingini.

"Setiap minggu, satu tek­nik bela diri wanita akan diperkenalkan secara teori, demonstrasi teknik dan lakonan situasi sebenar yang membolehkan penonton mempraktikkan teknik berkenaan. Ia mendapat kerjasama CPP Training & Services Sdn Bhd (CPPTS)," katanya.

Selain menyentuh isu semasa, AKW masih mengekalkan segmen Kerja@ Rumah dan perbincangan topik utama berkaitan isu-isu semasa bersama panel jemputan dan tokoh-tokoh wanita cemerlang dalam bidang diceburi untuk berkongsi inspirasi kejayaan dengan penonton.

Zamzarina berkata demikian ketika ditemui di maj­lis pelancaran musim baru AKW Bersama Zamzarina yang berlangsung di Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Penga­rah Bahagian Program TV RTM, Suhaimi Jamalim dan Penerbit dan Pengarah Siaran AKW, Nik Ramzi Nik Hassan.

Sementara itu, Suhaimi berkata, pihaknya yakin segmen baru yang diperkenalkan dalam AKW akan memantapkan lagi program berkenaan pada musim baru ini.

"Banyak perubahan yang dilakukan dalam AKW sejak bersiaran pada 2009 sehinggalah sekarang. Justeru, pujian harus diberikan kepada penerbit, pengacara dan semua kru terbabit.

"Pada pandangan saya, dua segmen baru ini iaitu F2F dan Tangkas juga memiliki kekuatan tersendiri untuk kebaikan golongan wanita di luar sana termasuk seluruh anggota masyarakat," katanya

Apa Kata Wanita bersiaran setiap Sab­tu jam 11 pagi di saluran TV1.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tiga rakyat kita selamat

Posted: 18 Jan 2013 10:48 PM PST

KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia yang bekerja di pangkalan pangkalan gas, In Amenas, Algeria yang menjadi tebusan dalam serangan sekumpulan militan Rabu lalu, dilaporkan selamat dan menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di sana kira-kira jam 2 petang (9 malam waktu Malaysia), semalam.

Sementara itu, nasib dua lagi warga Malaysia yang dipercayai turut berkerja di pangkalan terbabit belum dapat dipastikan lagi kerana sehingga kini gagal dikesan atau dihubungi.

Menurut Jurucakap Kedutaan Malaysia di Algeria, ketiga-tiga rakyat Malaysia itu dibebaskan kumpulan militan sebelum diselamatkan pasukan Tentera Algeria yang menjalankan operasi menyelamat.

"Kesemua mereka dibebaskan kumpulan militan terbabit serta diselamatkan pasukan tentera dan sebaik mereka ditempatkan di lokasi selamat, kesemuanya menghubungi pihak kedutaan memaklumkan keadaan mereka.


"Pihak kedutaan memaklumkan perkara itu kepada keluarga mereka di tanah air dan sekarang menunggu mereka diterbangkan dari In Amenas ke Algiers bagi urusan selanjutnya termasuk penghantaran pulang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi dari sini, awal pagi tadi.


Difahamkan pihak Wisma Putra dan Kementerian Luar Negara akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan terkini itu pada hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, sekurang-kurangnya 34 tebusan dan 15 anggota militan terkorban dalam operasi tentera bagi menyelamat tebusan yang ditawan sekumpulan militan di pangkalan gas In Amenas, Algeria kelmarin dengan lima rakyat Malaysia dikatakan antara sebahagian tebusan terbabit.

Maklumat diperoleh pihak Kedutaan Malaysia di Algeria ketika itu, mendapati sekurang-kurangnya lima warga Malaysia bekerja di kawasan berkenaan, namun kesemua mereka gagal dihubungi sejak insiden tawanan militan itu berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Milik Jozan

Posted: 18 Jan 2013 10:48 PM PST

JOHOR BAHRU: "Saya rasa sebak atas semangat Johan yang sanggup datang hari ini walaupun masih perlu berehat dan menjalani rawatan lutut. Saya anggap ini adalah rezeki dan tanda sokongan daripada peminat," kata Mohd Razizan Abd Razak atau lebih popular dengan nama Zizan selepas kumpulan Jozan yang dianggotai bersama Johan, muncul juara program Maharaja Lawak Mega 2012, malam tadi.

Jozan menewaskan empat kumpulan lain pada peringkat akhir yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Warna dan Astro Mustika HD dari Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru di sini.

Kejutan yang dilakukan Jozan dengan kemunculan Johan pada saat akhir, yang sepatutnya masih menjalani rawatan lutut di sebuah hospital swasta selepas membiarkan Zizan bersendirian di pentas pada dua minggu sebelumnya, ternyata membuka peluang lebih besar buat pasangan paling serasi itu membawa pulang wang tunai RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

Menurut Johan, dia menguatkan semangat untuk datang membuat persembahan demi peminat Jozan yang banyak memberi sokongan.


"Walaupun peluang untuk mengadakan latihan yang diberikan hanya sekejap disebabkan kesihatan saya belum pulih, saya puas hati.


"Saya puas hati atas kemenangan ini dan berharap semoga peminat juga berpuas hati," katanya.

Tempat kedua dimenangi kumpulan Jambu yang dianggotai oleh Zamatul Amri Zakaria (Taukeh) dan Yussry Edoo (Yus) sekali gus merangkul wang tunai RM250,000.

empat ketiga dengan membawa pulang RM150,000 berserta trofi dimenangi kumpulan Shiro yang dianggotai Shahrol Azizie Azmi (Shahrol) dan Mohamad Hanaffi Razak (Ajak).

Kumpulan Boboi dan Saywho yang mendapat tempat keempat dan kelima masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM15,000 berserta trofi.

Hadiah disampaikan oleh Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani; Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai; dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anuar Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


BWF selar Chong Wei

Posted: 18 Jan 2013 04:39 PM PST

Kuala Lumpur: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menempelak pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei yang menggesa badan induk badminton dunia itu, mengkaji semula kalendar kejohanan antarabangsa lantaran ramai pemain mengalami demam dan mudah mendapat kecederaan hingga menyebabkan pemain menarik diri daripada kejohanan seperti yang berlaku di Terbuka Malaysia yang rancak berlangsung pada masa ini.

BWF dalam kenyataan balas terhadap gesaan Chong Wei itu berkata, peraturan yang dibuat mesti diikuti semua pemain.

"Pada masa ini, BWF ada peraturan berkaitan isu ini dan hingga tiba masa yang kami rasa perlukan perubahan kami akan lakukan tapi sehingga itu, semua pemain hendaklah mengikut peraturan ditetapkan," kata Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund.

Katanya, badan induk badminton dunia itu sentiasa mengkaji peraturan sedia ada dan cuba bersikap adil kepada semua pihak berkepentingan dalam sukan ini.

Foto

Datuk Lee Chong Wei


"Apa yang ada lihat adalah jumlah hadiah kemenangan buat pemain meningkat saban tahun dan kami terus berusaha menaikkannya lagi.


"Wang kemenangan memainkan peranan untuk menarik penajaan dan bantuan kewangan bagi satu-satu kejohanan. Untuk memastikan lebih banyak bantuan kewangan diperoleh, penting bagi kami memastikan pemain menyertai setiap kejohanan hingga kami meletakkan syarat wajib.

"Kedua-dua faktor itu saling berkait dan kami tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah peraturan."

Beliau berkata, jumlah keseluruhan wang tunai ditawarkan bagi semua kejohanan Siri Super 2010 mencecah AS$2.65 juta (RM7.9 juta) dan ia meningkat pada 2011, kepada AS$4.5 juta (RM13.5 juta).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

KAFA adu isu anggota tentera kepada FAM

Posted: 18 Jan 2013 04:33 PM PST

Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah mengemukakan isu kehadiran anggota tentera dalam perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) kepada Pesuruhjaya Perlawanan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui kenyataan dalam laman facebooknya berkata, beliau belum bersedia mengulas lanjut perkara itu.


Namun beliau menantikan reaksi daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin terhadap isu itu.

"Saya ingin dengar komen Menteri Pertahanan dan Menteri Belia dan Sukan. Saya juga menanti reaksi Panglima ATM kerana namanya dikaitkan juga.


"Saya tidak dapat komen sebab tidak pernah jumpa kes macam ini," katanya. Semalam akhbar melaporkan, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menjelaskan kehadiran komando GGK berkenaan ditugaskan untuk bersedia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu berikutan ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar akan berangkat untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.


Tunku Ismail turut mempertikaikan ketiadaan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengawasi perlawanan itu.

Bagaimanapun, melalui tinjauan wartawan, Sultan Ibrahim tidak berada di stadium sebaliknya anggota komando GGK itu dilihat menaiki bas bersama pemain pasukan JDT.


Akhbar sebelum ini melaporkan penyokong Kelantan mempersoalkan tindakan PBNJ menempatkan anggota tentera yang lengkap bersenjata berkawal di pintu masuk padang ketika perlawanan Liga Super antara Kelantan dan JDT di Stadium Sultan Muhammad IV, malam Selasa lalu.

Sementara itu, Setiausaha KAFA, Azman Ibrahim berkata, hanya polis yang boleh memberi penjelasan ketiadaan anggota FRU.


Katanya, beliau juga menganggap kehadiran anggota tentera itu sebagai 'patung' yang mengawal stadium.


"Saya tidak mahu komen kerana saya anggap anggota tentera yang ada pada malam perlawanan itu hanya sebagai patung yang dipasang bateri.


"Penjelasan untuk ketiadaan FRU perlu dapatkan daripada pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved