Khamis, 21 Februari 2013

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


75 murid keracunan

Posted:

Klang: Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Bukit Kapar, Meru, di sini, gempar apabila 75 murid sekolah berkenaan mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit dipercayai keracunan makanan selepas sesi rehat, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, murid berkenaan masing-masing dari tahun empat hingga enam mengadu sakit perut selepas waktu rehat sebelum pihak sekolah menghubungi pasukan perubatan daripada klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan lanjut.


Difahamkan, kejadian sama berlaku kelmarin apabila terdapat murid yang sakit perut.

Pasukan perubatan yang melakukan rawatan membawa dua murid perempuan ke Klinik Kesihatan Meru untuk diberikan rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang.


Bapa murid, Zamri Saadan, 36, ketika ditemui berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anaknya, Nur Nadiah Farhana, 12, selepas pulang ke rumah jam 2 petang, semalam.


Menurutnya, Nur Nadiah juga pulang dalam keadaan kurang bermaya kerana dia dimaklumkan mengalami sakit perut selepas memakan nasi goreng pada waktu rehat. "Ini kejadian pertama sejak anak saya belajar di sekolah berkenaan. Mujur keadaannya tidak serius dan dia boleh meneruskan persekolahan pada sesi petang seperti biasa," katanya, semalam.

Foto

DUA murid di kawasan kantin sekolah terbabit.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor Mahmud Karim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.


Menurut Mahmud, kakitangan Pejabat Kesihatan Klang turut hadir ke sekolah berkenaan untuk melakukan siasatan lanjut kejadian itu.

"Selepas saringan kesihatan dijalankan, dua murid dihantar ke Klinik Kesihatan Meru untuk mendapatkan rawatan susulan namun semua mereka dilaporkan stabil," katanya.


Katanya, kantin sekolah berkenaan juga diarahkan untuk ditutup sementara sehingga 5 Mac ini bagi membolehkan siasatan mengenai tahap kebersihan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Helah peragut tak menjadi

Posted:

KUALA LUMPUR: Memberi alasan isterinya bakal bersalin empat bulan lagi selain perlu menanggung dua anak, seorang peragut merayu supaya dilepaskan apabila dia berjaya ditangkap orang ramai di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini, malam tadi.

Namun, cerita sedih lelaki berusia 27 tahun itu gagal mencairkan hati orang ramai yang seterusnya bertindak menghubungi dan menyerahkan suspek kepada polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek bersama rakannya, 20-an, menunggang motosikal Yamaha 135 LC meragut beg tangan seorang wanita yang diletakkan di dalam raga motosikalnya sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun perbuatan suspek yang disedari seorang pemandu van bertindak mengejar dan menghimpit mereka menyebabkan motosikal suspek hilang kawalan dan terbabas.


Orang ramai yang menyedari kejadian itu berjaya menahan suspek sementara seorang lagi berjaya melarikan diri dan lelaki itu kemudian diserahkan kepada unit peronda polis (MPV) yang kebetulan melalui kawasan terbabit.


Malah, pemeriksaan lanjut mendapati suspek sebelum itu disyaki turut melakukan ragut ke atas seorang wanita berusia 27 tahun yang sedang menunggu bas di Jalan Ampang, di sini.

Menceritakan semula kejadian itu, mangsa, Noor Khadijah Md Shah, 25, berkata, dia yang sedang menunggang motosikal dari Jalan Wangsa Perdana, Seksyen 5, Wangsa Maju menuju ke Kuala Lumpur sebelum tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal sebelum mereka bertindak merampas beg tangan yang diletakkan di dalam raga.

Menurutnya, dia yang terkejut menjerit meminta pertolongan sementara peragut terbabit terus memecut laju namun sebaik mereka menghampiri lampu isyarat tiba-tiba datang sebuah van dan terus menghimpit motosikal terbabit.

"Saya lihat ketika itu mereka berdua terjatuh dan terus bertindak melarikan diri namun seorang daripada peragut itu berjaya ditahan orang awam yang menyedari kejadian itu.

"Saya kerugian dianggarkan sebanyak RM500 selepas dua telefon bimbit dan wang tunai RM100 yang berada di dalam beg itu dilarikan suspek," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Maliawati Asep Hidayat, 27, berkata, dia yang sedang menunggu bas berseorangan kira-kira jam 8 malam di Jalan Ampang di sini, terkejut apabila tiba-tiba beg tangan yang disandang di sebelah kanan tiba-tiba direntap dari belakang.

"Saya ketika itu sedang melihat kandungan mesej di telefon bimbit sebelum tiba-tiba dua lelaki bermotosikal terus melarikan beg tangan mengandungi wang tunai sebanyak RM100 dan dokumen pengenalan diri.

"Akibat kejadian itu saya mengalami bengkak di kepala dan luka di tangan selepas terjatuh ketika diragut mereka. Saya juga sudah membuat laporan di Balai Polis Tun Razak," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan penangkapan suspek yang turut mempunyai enam rekod jenayah lampau dalam pelbagai kesalahan curi motosikal, samun, merusuh dan memilik kenderaan curi.

"Motosikal Yamaha 135 LC yang digunakan suspek untuk meragut juga pernah dilaporkan hilang di Jinjang tahun lalu dan rakannya kini sedang diburu.

"Hasil soal siasat juga mendapati suspek telah melakukan kegiatan ragut sebanyak sembilan kali pada tahun ini di sekitar Wangsa Maju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

RM2.2j lesap sekelip mata

Posted:

Petaling Jaya: Tiga lelaki bersenjatakan pistol melarikan wang tunai RM2.2 juta dari sebuah van syarikat keselamatan dalam kejadian di Jalan 227, Seksyen 51A, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, sebelum itu tiga pengawal keselamatan berusia dari 20 hingga 30-an itu dalam perjalanan menghantar wang berkenaan ke sebuah bank di ibu negara sebelum berhenti di medan selera di jalan berkenaan untuk membeli sarapan kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, mereka mendakwa hanya dua orang yang keluar untuk membeli makanan manakala pemandu menunggu dalam van.

"Sebaik dua pengawal kembali ke van dengan bungkusan makanan, tiba-tiba mereka diserbu dua lelaki yang memakai topeng.

Foto

SARAPAN pengawal keselamatan berselerak dalam van.


"Seorang daripadanya mengacu pistol ke arah pengawal berkenaan dan mengarahkan mereka menyerahkan wang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Pengadil di tahap amatur

Posted:

Johor Bahru: Selepas sekian lama berdiam diri akhirnya Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) meluahkan rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang boleh ditakrif masih berada di tahap amatur ketika bola sepak di Malaysia sudah lama di era profesional.

Tunku Ismail nyata kecewa dengan mutu pengadilan yang langsung tidak berkualiti apabila kerap membuat keputusan meragukan, terutama kesalahan yang begitu jelas dilakukan pasukan lawan, bagaikan tidak endah sebaliknya menghukum kesalahan yang dilakukan pemain Johor Darul Takzim.


Katanya, mutu pengadil yang tidak berada di tahap memuaskan bukan saja membabitkan aksi Johor Darul Takzim, malah boleh dikatakan semua pasukan yang bersaing pada kancah Liga M juga kecewa dengan kegagalan pengadil mengawal perlawanan dan sudah tiba masa Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik untuk meningkatkan lagi mutu pengadilan.

"Saya hormati Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan Timbalan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tetapi apa yang saya ingin persoalkan tindakan lanjut daripada pegawai FAM berhubung mutu pengadilan yang lemah dan saya difahamkan ketika saingan liga berehat selama tiga minggu semua pengadil menjalani kursus namun tiada sebarang peningkatan yang ditunjukkan.


"FAM harus bertindak segera untuk memperbaiki apa jua kelemahan yang membabitkan pengadil dalam saingan Liga M dan harus memastikan semua pengadil yang bertugas pada aksi liga berkualiti.


"Kita sudah buat pelaburan besar bagi memastikan mutu bola sepak di Johor ditingkatkan tetapi usaha itu akan sia-sia seandainya pengadil gagal berfungsi dengan baik yang menjejaskan rentak permainan bukan saja kepada Johor Darul Takzim bahkan membabitkan pasukan lain dalam saingan Liga M," katanya pada sidang media tergempar di Hotel Thistle, di sini, tengah malam kelmarin.

Foto

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Bagi mengukuhkan bukti betapa mutu pengadilan masih lemah, Tunku Ismail menegaskan satu salinan rakaman perlawanan membabitkan Johor Darul Takzim dan beberapa pasukan lain akan diserahkan kepada FAM untuk dinilai dan turut disusuli dengan surat rasmi.


"Hargailah keringat pemain yang bertungkus lumus di padang kerana mereka menjalani latihan pada sesi pagi dan petang dan beraksi pada saingan Liga M tapi jika mutu pengadilan tidak berkualiti ia pasti menjejaskan rentak permainan sekali gus menjatuhkan moral pemain itu," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

SMKB kental

Posted:

Baling: Kekentalan pertahanan pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Baling (SMKB) mengekang setiap asakan lawan membantu mereka mencipta sejarah muncul juara bola sepak peringkat Zon Baling Bawah 15 Tahun buat kali pertama di padang Sekolah Model Khas, baru-baru ini.

Sekolah itu muncul juara selepas menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera (SMKTP), 2-1 yang menyaksikan kedua-dua gol dijaringkan pada babak kedua.


Sebanyak tujuh sekolah Zon Baling, SMKB, SMKTP, SMK Siong, SMK Bongor, MRSM, SM An-Najjah dan Sekolah Model Khas Baling menyertai pertandingan itu.

Berikutan kemenangan itu, SMKB akan mewakili Zon Baling ke peringkat Zon Kuala Pegang, Kuala Ketil dan Zon Sik bulan depan.


Pengurus pasukan SMKB, Fuad Yahya berkata, semangat sepasukan menjadi teras kejayaan mereka.


"Sikap pemain yang patuh arahan jurulatih di samping daya ketahanan diri tinggi ketika berdepan lawan menjadi aset kami.

"Semua pemain dilatih teknik pengawalan bola dan berdisiplin ketika latihan serta mempunyai keinginan untuk berjaya. "Semua nilai yang diterapkan itu membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab diberikan dengan berkesan," katanya.


Pada kejohanan itu, SMKB merangkul Piala Pusingan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Bayu, Datuk Azmi Che Husain dan piala iringan serta medal dan sijil penyertaan disumbangkan Penolong-Penolong Kanan Ko-Kurikulum Sekolah Zon Baling.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Baling/Sik, Abd Razak Md Noh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Tanah perkuburan untuk ketua mafia

Posted:

Moscow: Walaupun selepas mati, kumpulan penjenayah Russia tetap mahu mempamerkan diri mereka dengan menonjol dan memilih tanah perkuburan untuk melakukannya.

Di kawasan Tanah Perkuburan Shirokorechenskoye di bandar Yekaterinburg, waris si mati memilih batu marmar besar dan mahal untuk memberitahu siapa yang ditanam di situ.


Yekaterinburg dikenali sebagai bandar raya utama jenayah di Russia.

Menurut media, sesetengah batu peringatan di situ dibina setinggi dua meter dan berharga sehingga RM100,000.


Setiap satu batu itu mempamerkan gambar si mati segak bergaya dengan pakaian mahal, atau sesetengahnya menggenggam penumbuk. Batu itu mengingatkan orang ramai kepada pelbagai aktiviti jenayah di Yekaterinburg dan ia pernah menjadi pangkalan kumpulan samseng Uralmash yang diuruskan dengan teratur. Pada era 1990-an, berlaku perang besar-besaran antara anggota kumpulan penjenayah itu, menyebabkan pelbagai kejadian ganas termasuk serangan bom dan mesingan.


Bloger Russia, Vladimir Markov, berkata apa yang ada di Yekaterinburg menunjukkan betapa uniknya Russia. "Kubur ini adalah simbol sisi gelap Russia moden yang dipenuhi amalan rasuah dan keganasan," katanya. Melihat kepada gambar pada batu itu, katanya, ia jelas menunjukkan betapa besar ego penjenayah terbabit.

Foto

TANAH perkuburan Shirokorechenskoye menjadi tempat bersemadinya ramai penjenayah Russia.

"Walaupun mati, mereka mahu diberi penghormatan sama seperti ketika hidup," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Salah buang buah zakar

Posted:

London: Seorang lelaki menyaman hospital yang menyebabkan dia tidak lagi mampu mempunyai zuriat selepas pakar perubatan di situ tersalah membuang buah zakarnya.

Pengarah syarikat berusia 48 tahun itu berkata, dia mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Salisbury selepas disyaki mengalami kanser Katanya, dia menjalani pembedahan dengan harapan buah zakar yang bermasalah itu dapat dibuang.


"Bagaimanapun, 40 minit selepas pembedahan dijalankan, doktor menyedari mereka melakukan kesilapan kerana memotong buah zakar yang sihat," katanya. Menurut sumber, buah zakar itu dibawa semula ke dewan pembedahan dan doktor cuba menyelamatkan keadaan tetapi gagal.

Lelaki terbabit yang berasal dari Wiltshire menuntut hospital membayar pampasan kepadanya atas kecuaian doktor mereka. Walaupun mempunyai anak daripada hubungan terdahulu, kesilapan itu menghalang lelaki terbabit mendapat zuriat.


Kata lelaki yang dirahsiakan identitinya itu, dia tertekan kerana tidak lagi mampu menjadi bapa. "Isu ini dikendalikan peguam saya," katanya. Sementara itu, satu badan pemantau pesakit menggesa kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh atas insiden berkenaan. Jurucakap Rangkaian Pembabitan Wiltshire berkata, kejadian menimpa lelaki terbabit sangat tragik. "Adalah jelas siasatan perlu dijalankan oleh hospital bagi mengetahui bagaimana kesilapan ini berlaku.


"Dengan pembedahan ini, seseorang lelaki meletakkan sepenuh keyakinan mereka kepada hospital," katanya. Badan yang mengendalikan hospital itu berkata, kejadian berkenaan sangat dikesali dan mereka meminta maaf kepada lelaki terbabit. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Kelainan Zivilia

Posted:

Lagu Aishiteru yang menjadi taruhan Zivilia sejak dua tahun lalu nyata membawa impak besar dalam karier muzik kumpulan dari negara jiran Indonesia ini. Apatah lagi, single itu saja mencatat jumlah nada dering lebih 18 juta pengguna dalam tempoh setahun.

Situasi itu sekali gus melonjak nama Zivilia dalam sekelip mata menjadi antara kumpulan muzik popular di Indonesia. Menyedari penerimaan sangat baik daripada peminat muzik Indonesia, mereka muncul dengan single Aishiteru 2 yang juga kesinambungan lagu Aishiteru.

Namun, jumlah pengguna nada dering Aishiteru 2 hanya sebanyak 2.5 juta pengguna dan tidak sehebat Aishiteru. Apa pun, Zivilia yang dianggotai Zulkifli Djamaluddin atau Zul, 32, selaku vokalis dan pemain gitar, Idham Akbar (Idham), 24, pemain bass dan Syaiful Hadiansa (Obot), 26, di posisi dram tidak gentar dengan situasi sedemikian.

Mengakui segala-galanya terjadi disebabkan masalah cetak rompak nada dering oleh golongan tidak bertanggungjawab, Zivilia akur dan nekad meneruskan perjalanan seni mereka. Apa yang pasti, Zivilia masih lagi gigih berkarya dan buktinya mereka muncul dengan single Aishiteru 3.

Foto

ZUL kagum dengan vokal Najwa Latif.

Foto

Idham (dari kiri) Zul dan Obot tonggak Zivilia.

Foto

Najwa Latif


Zul yang juga pencipta trilogi lagu terbabit ketika ditemui berkata, dia memilih untuk menghasilkan lagu dengan menggunakan judul sama kerana ingin menonjolkan kelainan Zivilia.


Katanya, dalam keadaan pasaran muzik yang tidak berapa baik sekarang ini, dia berasakan Zivilia harus muncul dengan karya tersendiri dan unik serta mengikut cita rasa pendengar. Justeru, bersandarkan pengalaman yang dilaluinya sendiri, dia muncul dengan menghasilkan lagu Aishiteru.

"Satu cabaran pada diri saya juga mencipta lagu yang ada hubung kaitnya dengan kisah peribadi sendiri. Bagaimanapun, apa yang dihasilkan itu adalah perasaan yang pernah saya lalui apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga dan insan tersayang kerana terpaksa berhijrah ke Jepun untuk bekerja.

"Saya ke Jepun pada 2003 atas urusan kerja dengan syarikat kereta antarabangsa dan menetap di negara itu selama enam tahun. Jadi, sepanjang di sana, saya terpaksa menanggung rindu dan pelbagai perasaan lagi terhadap isteri. Jadi, ia menjadi satu penantian cinta yang cukup hebat akibat berjauhan," katanya yang kini memiliki tiga cahaya mata hasil dua perkahwinannya.

Katanya, dari situlah terhasilnya lirik lagu Aishiteru yang ditulis pada 2008 sekembalinya ke Indonesia. Sebaik lagu ini dihasilkan, ia diperdengarkan kepada rakan dan disukai.

Namun, katanya, bukan mudah menubuhkan Zivilia kerana sebelum itu dia juga menjadi mangsa penipuan golongan tidak bertanggungjawab.

"Banyak juga wang yang rugi, namun takdir mempertemukan saya dengan Idham dan kami bekerjasama merakamkan semula lagu Aishiteru pada 2009. Sesudah itu, barulah kami mula mendapat peluang dan menjadi artis rakaman syarikat Naga Suara di Jakarta pada 2010 bagi menerbitkan lagu Aishiteru," katanya.

Menurut Zul, ketika itu juga dia dan Idham bertemu dengan Obot yang kini pemain dram Zivilia. Apapun, muncul dengan pelbagai lagu di bawah satu judul yang sama sebenarnya tidak mudah seperti disangka. Ia lebih sukar dan mencabar untuk dihasilkan kerana kelainan harus dimuatkan dalam setiap lagu itu.

Justeru, jika Aishiteru lebih menjurus pada kisah penantian seorang kekasih maka, Aishiteru 2 pula mengetengahkan cinta yang gagal di tengah jalan. Namun, untuk Aishiteru 3 pula ia lebih kepada jawapan pada dua kisah lalu yang akhirnya membawa semula kepada kebahagiaan diimpikan setiap pasangan.

Ditemui di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sempena kunjungan Zivilia untuk urusan promosi album sulung mereka, Aishiteru yang berada di pasaran tempatan pada 9 Januari tahun lalu, Zul berkata melihatkan sambutan baik daripada peminat di Malaysia, Zivilia sebenarnya kecewa kerana lewat berkunjung ke sini.

"Selepas menjayakan Konsert Ekspresi Harian Metro (HM) di Dataran Merdeka, Sabtu lalu, kami tidak pernah menyangka Zivilia juga popular di negara ini selain Indonesia. Kami sungguh terharu melihat betapa seramai 70,000 pengunjung konsert itu terhibur dengan lagu dipersembahkan.

"Jadi, melihatkan pada sokongan itu juga ia menjadikan kami menyimpan impian mahu sering datang ke negara ini untuk mengetengahkan karya muzik Zivilia. Pada kami, sokongan diberikan peminat di negara ini terutama warga negara Malaysia sendiri adalah penghargaan yang cukup indah dan tak diduga," katanya.

Turut berkongsi kisah kesempatan berkunjung di beberapa tempat menarik di Malaysia seperti Jalan Petaling dan Brickfields, Zivilia berkata kenangan paling seronok dan indah apabila berpeluang memenuhi impian peminat tempatan yang mahu bergambar dan mengenali mereka biar pun kali pertama datang ke Malaysia.

Najwa Latif pilihan Zivilia

Biarpun sedar dengan perbezaan situasi pasaran muzik di Malaysia dan Indonesia, namun Zivilia nyata kagum dengan bakat nyanyian dimiliki penyanyi wanita tanah air.

Zul berkata, majoriti penyanyi wanita di negara ini sememangnya berbakat serta memiliki mutu vokal yang bagus dan berpotensi pergi lebih jauh. Malah, dia cukup mengagumi dan tertarik dengan vokal penyanyi remaja tanah air, Najwa Latif.

Zul berkata, selain berbakat dalam nyanyian, Najwa juga boleh bermain alat muzik seperti gitar serta lebih mengagumkannya apabila gadis itu turut berkebolehan mencipta lagu.

Kesempatan bersua dengan Najwa pada Konsert Ekspresi HM lalu memberi ruang kepada mereka melihat sendiri bakatnya.

"Pada saya, dia seorang gadis yang berbakat besar dan patutlah lagu Aishiteru dendangan asal kami yang dilagukan Najwa di dalam YouTube begitu menjadi perhatian ramai.

"Bahkan, saya sendiri yang mendengar nyanyian Najwa yang mendendangkan semula lagu Aishiteru dan dimuatkan dalam YouTube tak mampu untuk menafikan betapa hebatnya vokal gadis ini. Malah, dalam ramai orang yang memuatkan video nyanyian lagu Aishiteru mereka di YouTube, Najwa paling terbaik.

"Jadi, Zivilia tidak mahu melepaskan peluang untuk menjalin kerjasama kami bersama Najwa. Bahkan, pertemuan pada Sabtu lalu dengan pengurusnya juga sudah ke arah perbincangan kerjasama dua hala pada masa akan datang. Saya yakin ia pasti akan menjadi kenyataan tidak lama lagi," katanya.

Sebagai tanda terima kasih tak terhingga Zivilia kepada peminat muzik tempatan, Zul juga mengakui dia bercadang mahu menghasilkan sebuah lagu khusus untuk peminat Malaysia. Katanya dia akan membuat kajian lebih dulu genre muzik yang sesuai dan kemudian akan menciptakan sebuah lagu istimewa.

Memaklumkan dia juga menyukai lagu Kosong dendangan Najwa, vokalis berdarah Bugis yang berasal dari Sulawesi ini berkata, biarpun Zivilia juga tak terlepas daripada himpitan kontroversi yang mengatakan mereka kumpulan muzik tidak kreatif, ia sedikit pun membuatkan Zivilia kecewa dan berasa tergugat.

Katanya, kontroversi tak diundang yang hadir itu juga sedikit sebanyak membantu menaikkan populariti Zivilia. Malah, tidak gentar dengan apa saja anggapan peminat terhadap perjuangan muzik mereka.

Apa yang pasti, Zivilia tetap berpegang pada paksi kepelbagaian muzik diketengahkan yang sesuai dengan kehendak pendengar dan pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

'Saya lebih serius'

Posted:

Di mana saja beliau menyanyi, Ramli Sarip pasti menjadi tumpuan penonton. Baik generasi baru atau lama penghibur dikenali sebagai Papa Rock itu memiliki aura sukar ditandingi dan dianggap sebagai 'suara yang mengambil berat insan lain'.

Bagi artis generasi baru, Black juga mempunyai pengikut tersendiri.

Dengan pendekatan gemar melempar baju atau cermin mata kepada peminat ketika berada di pentas, kelibat juara Mentor bersuara lunak itu turut disenangi ramai.

Kehebatan dua pe­nyanyi terbabit dapat dilihat apabila menghiburkan lebih 70,000 peminat dalam Konsert Ekspresi Harian Metro di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.


Konsert dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), HotFM selaku radio rasmi dan TV3 itu diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan pelancaran wajah baru Harian Metro/Metro Ahad.


Selain konsert, aktiviti seperti sand art, badut, maskot Kungfu Panda, ahli silap mata jalanan dan tatu turut memeriahkan lagi sambutan karnival konsert berkenaan di sebelah siang yang dibawa Siso De Clown sebagai salah satu penaja.

Jadi apa kata mereka apabila digandingkan untuk kali pertama konsert itu?

Ditanya Black, kata pertamanya terkeluar adalah 'beliau penyanyi legenda'.

"Berada atas pentas dengan Papa Rock membuatkan saya lebih serius kerana beliau bukan calang-calang penghibur. Bukan saja dapat berduet bersama beliau menerusi lagu Kamelia tetapi mendapat gimik baru menaiki motosikal berkuasa tinggi muncul di pentas dan perkara itu tidak pernah saya lakukan.

"Selalunya saya akan berada dalam senarai paling akhir membuat persembahan. Kali ini, saya berada di konsert akhbar berwajah baru, membuka tirai persembahan, muncul dengan motosikal berkuasa tinggi, diiringi pelakon paling ' hot' sekarang, Anzalna serta RJ dan berduet bersama abang Ramli yang diminati ramai.

"Dari segi pemilihan artis juga tepat, jangka waktu sesuai ketika warga KL sedang bercuti dan berada di lokasi bersejarah Dataran Merdeka, semuanya kena dan saling melengkapkan keceriaan konsert ini," katanya.

Ramli yang juga pe­nyanyi utama Sweet Charity berkata, dia berada di pentas konsert berkenaan atas tanda ingatan, kesan ditinggalkan menerusi lagu-lagu, karya jujur dihargai golongan dewasa dan pencapaian karier seni dari dulu hingga sekarang.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana memilih lagu kesukaan ramai, Kamelia yang mendapat pengiktirafan seni suara yang juga simbolik kepada perasaan dan saya berasa berbesar hati kerana dijemput.

"Konsert ini juga menjadi satu lagi lembaran baru kepada semua kerana kita bersua dan melihat dengan cara lebih dewasa pada setiap pertemuan itu."

Ramli berkata, beliau membaca semua akhbar dan salah satu akhbar pilihannya adalah Harian Metro.

"Saya bukan sekadar melihat tajuk utama tetapi isi dan persembahan idea seseorang penulis. Saya membaca akhbar selain majalah rock klasik, buku sejarah, buku agama dan sebagainya untuk mencari ilham baru.

"Apapun, saya tidak mengharapkan peminat atau sesiapa mendewa-dewakan saya. Kita perlu sentiasa memegang prinsip hidup adalah perjalanan dan menjaga tatasusila orang timur dan menjadi inspirasi kepada orang lain. Saya suka konsep kemanusiaan yang tidak berunsur politik.

"Bagi saya, sudah memadai jika konsert saya difahami 100 daripada 1,000 generasi muda yang hadir supaya mereka berfikir mengenai cabaran hidup perlu dihadapi dari semasa ke semasa,".

Ramli, popular dengan lagu Keliru dan Bukan Kerana Nama juga aktif menjayakan konsert Gaza setiap minggu di pelbagai lokasi.

"Saya mendekati nilai kehidupan dan mencari harga kedamaian kerana ia tidak sama dengan nilai darah yang tumpah atau kebendaan," kata­nya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved