Isnin, 5 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bukan sekadar santai

Posted: 05 Nov 2012 08:26 AM PST

DERUAN puluhan enjin motosikal memecah keheningan pagi itu. Walaupun muzik senamrobik terlebih dulu berkumandang, bunyi enjin motosikal kecil dan besar yang memenuhi perkarangan pusat beli-belah Kiara Square di Bahau, Negeri Sembilan, Sabtu lalu, lebih mencuri perhatian.

Apa yang membuatkan pengunjung serta penduduk sekitar lebih teruja melihat deretan motosikal itu ialah si penunggangnya semuanya wanita!

Bagaikan sebuah sororiti, kumpulan wanita ini ralit berkongsi tip dan cerita tanpa mengira usia serta jenis motosikal yang ditunggangi.

Nyata, program konvoi Jelajah Srikandi 7 Perhentian yang berlangsung selama dua hari itu mempertemukan mereka, dengan sebahagiannya daripada kumpulan Beliawanis Negeri Sembilan sementara sebilangan lagi adalah ahli kelab Biker Babes dan Wima (Persatuan Motosikal Wanita Antarabangsa) yang majoriti datang dari Lembah Klang.


Sama seperti penganjuran pertamanya pada 2011, konvoi ini masih memberi penekanan kepada pembentukan mental serta sahsiah diri yang positif di kalangan wanita.


Jelas ketua peserta konvoi, Rozaidah Shahabuddin, Jelajah Srikandi 7 Perhentian ini dianjurkan bukan sekadar program santai hujung minggu tapi lebih kepada pembabitan dalam komuniti masyarakat menerusi kerja amal dan pendedahan kepada pergerakan disiplin dalam kumpulan.

"Atas faktor gender dan pandangan tradisional, masih ramai yang belum dapat menerima idea bahawa wanita berupaya menyertai konvoi bermotosikal seperti ini.

"Justeru, Jelajah Srikandi 7 Perhentian ini menjadi bukti kepada keupayaan penunggang motosikal wanita dan diharapkan dapat memberi pendedahan kepada masyarakat, di samping mencetuskan impak positif di kalangan wanita lain.

"Peserta juga tidak hanya berpeluang menjelajah beberapa daerah menarik di Negeri Sembilan tapi berkongsi ilmu menerusi program pengisian di Muzium Angkatan Tentera Port Dickson, Klinik Cure & Care 1Malaysia di Tampin dan Rumah Seri Kenangan (penempatan warga emas) di Seremban.

"Selain itu, jelajah konvoi ini juga menjadi platform motivasi di kalangan penunggang muda agar lebih berdaya saing untuk memajukan diri.

"Aspek kesabaran, kerjasama dan bertimbang rasa dengan pengguna jalan raya lain juga menjadi antara intipati konvoi ini," katanya yang menunggang motosikal Can-Am Spyder RT tajaan USF-Hicom.

Dimulakan dengan sesi pelepasan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam Negeri Sembilan, Datuk VS Mogan, 55 peserta bergerak ke perhentian pertama di Jeram Toi, Jelebu sambil diiringi anggota polis trafik Negeri Sembilan.

Menariknya, polis trafik pengiring bagi jelajah ini dibarisi tujuh pegawai wanita sambil dibantu beberapa anggota lelaki yang diketuai Inspektor Faizrizarina Mohamad Fauzi.

Usai bergambar di Jeram Toi, perjalanan diteruskan ke Nilai sebelum berhenti di Seremban bagi menyampaikan cenderahati serta tajaan burger Mat Salai untuk peserta dan penghuni Rumah Seri Kenangan.

Konvoi diteruskan lagi dan selepas mengharungi perjalanan hampir 120 kilometer dengan laluan kampung yang mencabar, halangan binatang sepanjang laluan serta meredah banjir di Mambau, Port Dickson menjadi destinasi terakhir pada hari pertama.

Jelajah hari kedua pula dimulakan seawal jam 9 pagi dengan perhentian kelima di Muzium Angkatan Tentera Malaysia yang jaraknya kira-kira 10 minit dari hotel.

Klinik Cure & Care 1Malaysia yang terletak di Tampin pula menjadi perhentian seterusnya, di mana peserta diberi penerangan mengenai fungsi klinik serta perkhidmatan dan rawatan untuk mereka yang ingin bebas daripada dadah.

Sambil menikmati hidangan tengah hari, kumpulan busking Blue Roses yang terdiri daripada penghuni klinik tampil mendendangkan beberapa lagu.

Awan mendung kemudiannya mengiringi peserta konvoi kala bergerak ke Kiara Square bagi perhentian terakhir. Sejurus tiba, peserta disambut meriah oleh penduduk tempatan sebelum acara secara rasminya tamat dengan sesi penyampaian sijil.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Sokongan kuat nenek buat rakan

Posted: 05 Nov 2012 08:06 AM PST

"JANGAN sesekali jadikan usia sebagai penghalang. Apa yang penting, percaya serta bangga pada kemampuan diri," kata Fatimah Ahmad De Polo, salah seorang peserta Jelajah Srikandi 7 Perhentian Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Pada usia mencecah 52 tahun dan berstatus nenek, Fatimah nyata berpegang teguh kepada kata-katanya itu dan tidak kekok menyertai konvoi dengan menunggang motosikal Yamah FJR1300.

"Saya sebenarnya jarang sertai konvoi dan lebih gemar bergerak sendirian atau dalam kumpulan kecil. Tapi demi beri sokongan kepada rakan-rakan serta adik-adik yang baru menunggang motosikal, saya seronok melakukannya walaupun cuma sempat menyertainya sehingga ke perhentian keempat.

"Bagi saya, tidak salah wanita menunggang motosikal dan menyertai aktiviti seperti ini. Ia bukan saja dapat menanam sifat positif dalam diri tapi turut memberi kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai salah seorang pengguna jalan raya," katanya.


Tambah Fatimah, makin ramai wanita muda berminat terbabit dalam aktiviti bermotosikal kerana terdedah lebih awal berbanding ketika zamannya.


"Ibu bapa kini lebih terbuka dan menyokong aktiviti anak-anak. Keluarga saya menghalang aktif bermotosikal, jadi terpaksa sembunyikan daripada mereka.

"Saya hanya berpeluang membeli motosikal selepas berkahwin dan motosikal pertama saya ketika itu ialah Suzuki 535. Saya terus menunggang motosikal ketika sarat mengandung, dek terlalu minat dalam aktiviti bermotosikal.

"Suami amat memahami dan menyokong saya, malah kami sering habiskan masa santai bersama dengan menunggang motosikal," ujarnya yang turut memiliki Suzuki Intruder 800 serta pernah menunggang Yamaha VMAX.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


‘Ulat Arab’ terus rakus

Posted: 04 Nov 2012 02:07 PM PST

KUALA LUMPUR: Kerakusan ulat teksi Arab di Bukit Bintang, di sini, mendapatkan mangsanya berterusan biarpun pelbagai usaha dijalankan pemandu tempatan membasmi masalah berkenaan.

Malah, kebanyakan mereka mengorbankan cuti hujung minggu semata-mata mahu mencekup ulat teksi kerana bimbang sekiranya ia dibiarkan, perkara itu menjejaskan periuk nasi mereka selain menjejaskan ekonomi Malaysia.


Harian Metro 12 Oktober lalu melaporkan terdapat 300 ulat teksi Arab di kawasan itu yang menawarkan pakej perjalanan 'eksklusif' kepada pelancong Timur Tengah dengan caj RM5,000 bagi percutian ke pusat peranginan.

Tinjauan Harian Metro baru-baru ini di beberapa kawasan seperti Jalan Kampung, Jalan Kamunting dan Jalan Bukit Bintang mendapati ulat teksi terbabit masih wujud dan aktif menawarkan pelbagai pakej kepada pelancong. Presiden Persatuan Pemandu Teksi Bestari, Mohammed Asharaf Abdullah berkata, beliau semakin tertekan mengenangkan masalah berlarutan sejak 10 tahun yang tiada penyelesaian biarpun banyak laporan diajukan kepada agensi bertanggungjawab.


"Apa lagi boleh kami buat melainkan turun padang dan menghalau ulat teksi Arab. Kami (pemandu) mengharapkan bantuan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), namun tiada penyelesaian," katanya.


Menurut Mohammed Asharaf, punca lambakan ulat teksi itu disebabkan wujud banyak perniagaan milik warga Arab di Bukit Bintang dan di situ tempat kebanyakan pelancong Timur Tengah berkumpul.

"Ketika kunjungan pelancong ke restoran, ulat teksi terbabit hadir mengedarkan kad niaga selain memburuk-buruk pemandu tempatan. Antara faktor lain ialah isu komunikasi dan bahasa," katanya.


Menurutnya, setiap hujung minggu beliau mengarahkan beberapa ahli untuk mencekup ulat teksi terbabit sebelum diserahkan kepada polis.

"Kami tidak menipu kerana setiap tangkapan diserahkan kepada polis. Ketika tangkapan dibuat, kami turut menghubungi SPAD, namun mereka hanya menerima laporan dan tidak mengambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Siasatan cubaan hidup semula al-Arqam selesai

Posted: 04 Nov 2012 01:17 PM PST

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap cubaan beberapa individu menghidupkan ajaran al-Arqam pada satu perhimpunan tengah malam, Jumaat lalu sudah selesai.

Sumber Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, siasatan terhadap perkara itu sudah dilakukan dan Jais dijangka mengadakan sidang media hari ini bagi memberi penjelasan lanjut.


"Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin akan mengadakan sidang media esok (hari ini) berhubung perkara itu," katanya yang dihubungi, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan serbuan dilakukan di sebuah padang tempat berlangsungnya acara dikenali sebagai 'kenduri mega dan doa selamat' sambutan ulang tahun kelahiran Ashaari Muhammad yang dihadiri lebih 3,500 orang dari seluruh Malaysia. Turut ditahan ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrulamin Bahron yang hadir pada program itu.


Mereka ditahan selepas disyaki melanggar Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana mengembangkan ajaran 'Aurad Muhammadiah'. Badrulamin dan 19 yang lain dibebas dengan jaminan selepas kenyataan mereka direkodkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Bunuh guna bantal

Posted: 04 Nov 2012 02:00 PM PST

SUNGAI BESAR: Seorang remaja mengalami detik amat menyedihkan apabila melihat sendiri neneknya ditekup dengan bantal hingga mati oleh dua perompak yang menceroboh rumah mereka di Kedai Luar Bandar, Jalan Parit 6 Timur, di sini, awal pagi semalam.

Mohammad Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang turut ditumbuk dan diacukan parang oleh dua penjenayah terbabit berkata, sebelum itu neneknya, Sadariah Tubasar @ Ahmad, 65, diikat dengan tali rafia manakala mulutnya ditekup dengan tuala. "Walaupun diikat, nenek tetap melawan dan menjerit menyebabkan suspek panik lalu seorang daripada mereka mengambil bantal dan menekup muka nenek. Beberapa minit kemudian, nenek lemah dan tidak lagi bersuara," katanya.


Mohammad Hafizul berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 pagi ketika dia dan neneknya nyenyak tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Menurutnya, seorang daripada lelaki itu menghempap tubuhnya sebelum tangan dan kakinya diikat menggunakan tali rafia.


"Saya juga ditumbuk beberapa kali dan diacukan parang supaya tidak melawan. Mereka mengarahkan saya membantu mereka menggeledah bilik nenek.


"Selepas berjaya mendapatkan wang tunai dan barang kemas milik arwah nenek, mereka tergesa-gesa meninggalkan rumah melalui pintu belakang," katanya sewaktu ditemui, semalam. Mohammad Hafizul berkata, kejadian menimpa arwah neneknya menyebabkan dia lebih tertekan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohammad berkata, polis menerima panggilan kira-kira 5.30 pagi dan sejurus tiba di tempat kejadian, mayat mangsa ditemui dalam keadaan telentang di ruang tamu rumah.


Noor Mushar berkata, siasatan awal mendapati tiada kecederaan lain di badan mangsa kecuali sedikit pendarahan di mulut dipercayai akibat diikat dengan kuat menggunakan tuala dan sewaktu berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek melarikan wang tunai RM500, barang kemas dan sebuah beg tangan mangsa didapati hilang. Nilai keseluruhan kira-kira RM2,000," katanya.


Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, di sini, untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Tangki ‘muntah’ api

Posted: 04 Nov 2012 02:00 PM PST

KOTA BHARU: Laungan Allahuakbar berulang-kali mengiringi suasana cemas di sebuah kilang tayar yang tidak lagi beroperasi di Kawasan Perindustrian, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, selepas sebuah tangki minyak pelincir terpakai berkapasiti antara 16,000 hingga 25,000 liter meletup sehingga 'memuntahkan' minyak bersama api dan membakar anggota bomba yang cuba memadamkan kebakaran di kilang berkenaan.

Kilang itu yang ditawarkan untuk dijual pada harga RM5 juta pada mulanya terbakar pada jam 8 pagi sebelum anggota bomba tiba pada jam 8.11 pagi, namun ketika menyudahkan tugas memastikan api di tangki berkenaan padam sepenuhnya setengah jam kemudian, minyak dari tangki itu memancut meletuskan api setinggi lebih 30 meter dan membakar beberapa anggota bomba yang berada berhampiran tangki berkenaan.


Akibatnya, tercetus suasana kelam-kabut apabila ada anggota bomba terbakar bersama pakaian dan ada pula yang berlari, berguling sebelum terbaring.

Seramai 10 pegawai dan anggota bomba cedera termasuk seorang anggota bomba wanita dengan lima daripadanya parah selepas melecur di muka dan badan. Sekumpulan wartawan dan jurugambar turut bertakbir apabila berdepan detik cemas kerana kejadian itu berlaku hanya beberapa meter dari tempat mereka berkumpul.


Malah, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman yang turun padang turut memberi pertolongan kepada anggotanya yang cedera.


Antara yang parah ialah tiga pegawai bomba, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK1), Abdullah Din Mohd, 55, dan Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Nazah Nafi, 43 yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala seorang lagi, PBKII, Wan Asri Wan Yaacob, 53, dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mangsa melecur di muka, tangan serta badan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.


Seorang anggota bomba, Mahusin Hassan, 45, bersyukur kerana api hanya membakar baju khas memadam kebakaran yang dipakai, namun sayu melihat rakan setugas yang melecur akibat terbakar.

Katanya, mereka tidak menyangka tangki minyak berkenaan meletup sehingga api menyambar anggota bomba.


"Ketika kejadian saya berehat dan berada 50 meter dari tangki berkenaan selepas memadamkan kebakaran di beberapa bahagian lain. Tiba-tiba saya terdengar letupan dan apabila menoleh ke belakang, saya lihat api seperti menyambar dan mengejar dari belakang.


"Saya bingkas bangun untuk melarikan diri sebelum menyedari api menyambar belakang baju khas memadam kebakaran. "Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya melihat beberapa anggota yang berguling-guling di atas tanah bagi memadamkan api di pakaian mereka dan ada yang melecur di muka, badan, dan tangan sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa.


Dalam pada itu, saksi kebakaran, Nadzri Noor, 37, yang juga pemilik kedai makan berhampiran kilang tayar itu berkata, dia menyedari berlaku kebakaran selepas melihat kepulan asap tebal bersama api menjulang tinggi sebelum terdengar letupan.


"Saya melayan pelanggan sebelum terlihat kepulan asap dan terkejut apabila terdengar beberapa letupan. "Walaupun jarak kedai dan kilang kira-kira 100 meter, saya dapat rasa bahang apinya," katanya.


Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak lima jentera dan 39 pegawai serta anggota bomba dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan Katanya, pihaknya berdepan masalah tekanan air, sekali gus menyukarkan operasi memadamkan kebakaran selain perlu menggunakan buih untuk memadamkan api yang berpunca daripada minyak.


"Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Darulnaim dan Tunjung dikejarkan ke tempat kejadian, malah kami juga meminta bantuan tambahan selepas letupan yang mencederakan 10 anggota bomba berlaku.


"Kami masih menyiasat punca kejadian dan anggota yang cedera dihantar ke HUSM dan HRPZ II," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Diana nak anak ramai

Posted: 04 Nov 2012 02:07 PM PST

TAHUN pertama berhubungan, melewati bulan ketujuh percintaan mereka, aktor, Farid Kamil Datuk Dr. Zahari, 31, memasang hasrat untuk memperisterikan aktres jelita, Diana Danielle Danny Beeson, 21, sebagai permaisuri hatinya.

Namun, kehendak perasaannya ketika itu terpaksa ditangguh memandangkan sang kekasih baru saja berusia 18 tahun, terlalu muda dan terlalu awal untuk memikul tanggungjawab seorang isteri.

Tiga tahun lebih menunggu, tanggal 3 November (Sabtu) lalu, Diana Danielle mesra disapa DD akhirnya sah menjadi isteri kepada Farid sekali gus mengakhiri penantian sekian lama aktor berkenaan.

Tepat jam 9.12 pagi dengan hanya dengan sekali lafaz nikah, Farid dan DD sah bergelar suami isteri. Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama yang juga Pendaftar Kanan Perkahwinan Daerah Gombak, Daim Jajuli, berwali hakim manakala dua rakan Farid, Ahmad Razif Hamzah dan Abdul Hamid Abdul Razak menjadi saksi.


"Saya amat bersyukur pada hari ini. Selepas berkenalan hampir empat tahun di majlis yang meriah ini, akhirnya Diana sah menjadi isteri saya.


"Sebenarnya dari awal perkenalan dengan Diana, saya terus terdetik dalam hati untuk menyunting dia. Tetapi kerana faktor usianya yang masih muda mungkin juga belum sampai seru ketika itu, justeru kami melewati empat tahun ini dengan belajar untuk membiasakan diri serta menjaga hubungan sebaik mungkin.

"Saya berdoa agar Diana menjadi isteri yang soleh mampu menjaga rumah tangga, menjaga saya selain bermohon agar perkahwinan ini kekal ke alam syurga," kata Farid.

Dengan penuh rasa kasih DD menatap wajah Farid berkata, sukar untuk menggambarkan perasaannya kerana dia berasa amat lega, tenang dan gembira dengan kelancaran majlis.

Sekadar mengimbas semula pertemuan dengan DD di Balai Berita, sehari sebelum majlis pernikahannya, bintang filem Magika itu mengakui tidak sabar menantikan saat diijabkabulkan dengan kekasih hati.

Antara kenyataan DD pada pertemuan sekitar tengahari itu: "Can't wait dan rasa excited sangat (berkahwin). Ingatkan dah tak dapat kahwin kerana usaha untuk mencari ayah DD sebagai wali tidak membuahkan hasil.

"Rumit jugalah di mahkamah tempoh hari sewaktu membuat permohonan menggunakan wali hakim. Mujurlah, segala bukti seperti emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ayah yang mana tidak satu pun mendapat maklum balasnya, diterima pihak mahkamah syariah.

"Saya bercakap kepada hakim, saya pun kalau boleh tidak mahu susahkan diri dan Alhamdulillah, setiap keikhlasan dan niat baik mendirikan masjid (rumah tangga), dipermudahkan segalanya olehNya."

Manakala, ini luahan DD usai majlis pernikahannya: "Saya tidak terkata. Syukur sangat semuanya berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada keluarga mama yang datang jauh dari Perak dan keluarga baru (mentua) dari Kedah."

Pada majlis cukup bermakna buat dirinya itu, DD juga tidak berasa sedih atau ralat tanpa kehadiran bapanya. Malah, bersyukur dikurniakan seorang ibu yang tabah dan sanggup mengenepikan segala kesedihan dan menguatkan dirinya untuk melepaskan satu-satunya anak yang dimilikinya dalam usia muda.

"Saya akan sentiasa menjaga mama. Farid juga begitu. Perkahwinan ini, tidak sedikitpun mengurangkan kasih sayang saya terhadap mama," katanya.
Pada majlis 'simple & sweet' itu, Diana menerima mas kahwin RM10,000 dan wang hantaran RM20,000 mengikut nilai pelaburan emas.

Mempelai perempuan menerima lima dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang berupa motosikal mini Kawasaki KSR 110, telekung dan al-Quran, cincin Tiffany & Co, wang hantaran dan sirih junjung.

Sementara pihak Farid pula mendapat tujuh dulang hantaran iaitu tepak sirih, sebentuk cincin dan dompet, sebuah album foto, sebuah motosikal mini, produk kecantikan Hugo Boss, majalah Polo International dan manisan.

Buat pertama kalinya juga, pasangan pengantin baru itu mempamerkan kemesraan mereka yang belum pernah disaksikan sebelum ini. Malah, Farid secara terbuka membongkar rahsia bagaimana detik mula cinta mereka bersulam.
"Kami bertemu di majlis Lord's Tailor. Saya terserempak dengan mama dan terus bertanya, "Diana mana auntie?". Kemudian saya bertanya lagi, Diana 'single' lagi ke tak? Saya tidak perasan yang dia di belakang saya.

"Ketika itu dia menoleh dan terus bertanya awak single ke tidak? Kalau awak single saya nak ajak awak jalan sekali nanti dan selepas itu kami tidak pernah jumpa.

"Satu hari saya menghubungi Diana. Saya mahukan dia untuk membintangi filem arahan saya. Dia tanya berapa banyak 'scene' dan saya kata tidak banyak. Tapi saya sambung 'scene' dengan dia di luar lokasi (ketawa).
"Sebaik kami meyakini bahawa hubungan ini serius, kami berdua sepakat untuk tidak terlalu 'expose' kerana mahu menyimpan sedikit kemanisan untuk saat-saat bahagia seperti hari ini. Baru boleh duduk rapat-rapat dengan dia," katanya tersenyum.

Farid berkata, dia tertarik dengan DD kerana wanita itu berbeza, matang sebelum usia dan seorang yang tidak segan menimba ilmu.

"Tertarik dengan Diana kerana saya tidak pernah ada kawan mat salih (bergurau). Dia ada sesuatu yang sangat istimewa. Walaupun dia baru masuk 18 tahun masa saya jumpa dia dulu, tetapi pemikiran dan percakapan matang daripada usia. Bahkan, keinginan untuk memajukan diri dengan belajar pelbagai perkara, memikat hati saya," katanya.

Manakala DD pula tertarik dengan personaliti Farid yang tenang, sabar, lucu, memahami dan sentiasa membuatkannya tersenyum.

"Dalam kesemua ciri yang dimilikinya itu, Farid juga sentiasa menjadi orang yang sering memberi dorongan dan sokongan, menampung emosi dan mental saya," katanya.

Merancang untuk menikmati kemanisan bulan madu dengan melakukan ibadah umrah, bagaimanapun perancangan itu menurut Farid terpaksa ditukar memandangkan Disember ini, hanya jemaah yang mempunyai visa tertentu saja diterima masuk ke Makkah.

"Walaupun tidak dapat melakukan umrah, tetapi saya tetap mahu mengambil pakej bercuti untuk melawat kawasan berdekatan dengan Makkah," katanya tidak menghalang DD untuk bergiat aktif dalam bidang lakonan.

Diajukan soal zuriat pula, DD yang menjawab soalan ini, berkata dia merancang mempunyai anak sebesar pasukan bola sepak. Namun, buat masa ini belum bersedia bergelar ibu dan hanya akan memikirkan hal itu dua tahun dari sekarang. Bagaimanapun, DD tidak menolak jika diberikan rezeki dalam masa terdekat.

Berhubung perancangannya menyambung pengajian di Australia, DD memaklumkan, hal berkenaan akan dimaklumkan sekiranya dokumen dan permohonannya diluluskan.

Pada majlis itu, Diana ditemani ibunya, Norsiah Ramli manakala pihak lelaki diwakili ibu dan bapa, Datuk Dr Zahari Che Dan dan Datin Sharifah Bardah Idid Syed Abdyllah Idid serta adik-beradik Farid.
Diana tampil ayu berhijab, mengenakan kurung putih dipadan batik rona merah jambu rekaan Wanpa. Manakala Farid memilih sut putih rekaan Andy masih segak meskipun hanya bercapal.

Kesempatan sama turut dimanfaatkan untuk menemubual ibu DD, Norsiah Ramli yang ditemui sempat menitipkan pesanan ringkas buat puteri tunggalnya itu.

"Memang berat hati mama melepaskan DD kerana dia satu-satunya harta yang mama ada di dalam dunia ini. Namun, demi kebahagiaannya, mama relakan. Harapan mama, agar Farid mampu menjaga, menghargai dan menyayanginya seumur hidup. Begitu juga mama harapkan DD moga dia menjadi isteri yang taat dan membahagiakan suami.

"Mama sedar, bagi wanita yang sudah berkahwin segala fokus kini beralih kepada suami dan rumah tangga. Pun begitu, mama mengharapkan hubungan mama dan DD takkan pernah terpisah sekalipun dia berkahwin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Anak JLo hafal lirik

Posted: 04 Nov 2012 07:14 AM PST

ANAK Jennifer Lopez (JLo) boleh jadi penyanyi latarnya. Diva berusia 43 tahun itu berkata, anak kembarnya bersama bekas suami, Marc Anthony yang berusia empat tahun ternyata suka melihatnya membuat persembahan dan hafal setiap lirik lagunya.

"Mereka menonton persembahan itu hampir setiap malam dan sangat teruja serta menyukainya.
"Ketika sedang makan tengah hari, saya ada menyanyi sebuah lagu dan tiba-tiba mereka menyanyi bersama lagu berkenaan. Memang sangat lucu. Nampaknya, saya boleh ambil mereka jadi penyanyi latar saya. Mesti kosnya lebih murah," katanya berseloroh.


Jennifer yang kini sedang menyulam cinta bersama Casper Smart, mengakui sedang berada di tahap sangat gembira apatah lagi sewaktu meluangkan masa bersama anak-anaknya.

"Perkara paling indah bergelar seorang ibu adalah dapat merasakan kasih sayang serta kegembiraan yang dibawa mereka.
"Saya tidak pernah gembira sebegini atau merasa lengkap apabila dapat baring bersama anak-anak di katil sambil menonton wayang," katanya.


Bekas juri rancangan realiti American Idol itu juga berkata dia fokusnya lebih kepada satu perspektif sejak menjadi ibu dan hidupnya lebih aman.
"Lebih baik saya banyak katakan tidak kepada tawaran sekarang. Apa yang penting sekarang untuk membuatkan mereka lebih gembira dan sihat.

"Kalau dulu saya akan terima apa juga tawaran yang datang, namun sekarang saya kena berfikir dua kali kerana tidak mahu lagi menyusahkan diri saya serta ingin lebih fokus kepada anak-anak," menurutnya kepada akhbar Australia's Daily Telegraph.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Fabregas kebas isteri jutawan

Posted: 04 Nov 2012 12:55 PM PST

LONDON: Seorang jutawan semalam menceritakan bagaimana dia dan isterinya berusaha untuk mendapatkan anak ketiga apabila mendapati wanita itu bermain kayu tiga dengan bintang bola sepak, Cesc Fabregas.

Jutawan hartanah, Elie Taktouk mengetahui kecurangan isterinya apabila melihat gambar bekas kapten Arsenal itu bercuti dengan 'wanita misteri berambut perang' yang menurutnya ialah isterinya, Daniella Semaan, 38, dalam akhbar. Elie yang juga 38, kini sudah bercerai dan terpaksa melihat Fabregas, bintang bola sepak Sepanyol berusia 25 tahun menjadi bapa tiri kepada anak lelakinya berumur lapan tahun dan anak perempuan, 11.


"Saya berada dalam keadaan terkejut selama beberapa bulan tetapi saya tidak mahu isteri saya lagi. Saya rasa begitu meluat sebaik melihat gambar itu. Saya terus membuang segala perasaan terhadapnya. "Kami berusaha mendapatkan anak ketiga apabila dia berlaku curang. "Saya tidak terkejut dengan sikap Fabregas. Dia baru berusia 25 tahun dan bodoh. Isteri saya mengejarnya dan akan meninggalkannya sebaik saja duit dan popularitinya berakhir. Dia bukan David Beckham," kata Elie.

Ahli perniagaan itu yang menetap di Knightsbridge, London Barat, menceritakan bagaimana dia mengahwini Daniella pada 1998 di negara asal mereka, Lubnan.


Dia menemui gambar isterinya berbikini, memeluk Fabregas di tepi kolam renang dan berfoya-foya di atas jet ski di Nice, selatan Perancis.


Fabregas yang meninggalkan Arsenal untuk bermain dengan Barcelona baru saja berpisah dengan teman wanitanya, Carla Garcia, ketika itu.

Elie yang mendapat hak bersama untuk menjaga anaknya berkata: "Fabregas mengadakan hubungan sulit dengan ibu seorang kanak-kanak berusia lapan tahun. Perbuatan paling memalukan yang saya akan lakukan ialah mengucup pipi isteri saya di depan anak kami." Fabregas dan Daniella dirakam bercium ketika bercuti di Itali.


Dalam perbicaraan penceraian mereka, Daniella diberikan elaun 2,500 (RM7,500) sebulan, kurang daripada jumlah 10,000 (RM50,000) yang dituntutnya.

Fabregas meninggalkan Gunners selepas khabar angin sejak beberapa tahun lalu mengaitkannya dengan Barcelona.


Pasukannya mengalahkan Celta Vigo 3-1 kelmarin sementara rakan lamanya di Arsenal tumpas 1-2 kepada Manchester United. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Harimau bintang baham 15 orang di Nepal diburu

Posted: 04 Nov 2012 12:52 PM PST

KATHMANDU: Pihak berkuasa Nepal berusaha untuk membunuh seekor harimau bintang yang dipercayai membunuh 15 orang sejak 15 bulan lalu.

Kepala mangsa terbaru haiwan itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, ditemui dalam hutan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kediaman mangsa, kata Ketua Polis Daerah Baitadi, Kamal Prasad Kharel.


Kawasan itu terletak kira-kira 600 kilometer ke barat Kathmandu.

CNN melaporkan, haiwan itu mengheret kanak-kanak berkenaan ke dalam hutan untuk memakannya, mangsa ke-15 sejak ia mula mengganas tahun lalu.


Kamal mengesyaki seekor harimau bintang, atau paling banyak dua, bertanggungjawab terhadap kematian penduduk daerah itu.


Pakar ekologi Jabatan Taman Negara dan Perlindungan Hidupan Liar di Kathmandu, Maheshwor Dhakal, berkata, sekumpulan haiwan itu yang mendiami kawasan rendah di pergunungan Nepal mungkin menyebabkan lebih banyak kematian. "Sebaik saja haiwan liar merasai kemasinan darah manusia, ia tidak inginkan lagi memakan haiwan lain, seperti rusa," katanya.

Menurutnya, angka kematian sebenar mungkin lebih tinggi daripada 15 kerana terdapat serangan lain di Uttarkhand di utara India yang bersempadan dengan daerah Baitadi.


Daripada 15 mangsa di Nepal setakat ini, dua pertiga daripadanya ialah kanak-kanak bawah usia 10 tahun dan semuanya berasal dari kampung kecil yang jauh di pedalaman. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Daren perlu lebih yakin

Posted: 04 Nov 2012 12:48 PM PST

BERADA di puncak kerjaya dan sedang dalam proses menamatkan zaman bujang, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei akhirnya gembira kerana Liew Daren mula mengecapi kejayaan dengan merangkul kejuaraan Terbuka Perancis, minggu lalu.

Chong Wei berkata kejayaan pemain nombor dua negara itu cukup bermakna kerana tahun 2013 penuh dengan kalendar penting badminton dunia.


"Saya harap dia akan beraksi dengan lebih yakin lagi terutamanya di Siri Super Terbuka China. Kejayaannya penting kerana tahun depan kita memerlukan sekurang-kurangnya dua perseorangan yang kuat untuk mencabar kejuaraan Piala Sudirman dan Piala Thomas," kata Chong Wei.

Begitupun Chong Wei enggan menamakan Daren sebagai penggantinya semata-mata dengan hanya satu gelaran.


"Buat masa ini, kita perlu lihat sejauh mana tahap konsisten permainannya. Dia perlu lebih fokus selepas ini kerana semua lawan mula menyedari kelibatnya dan itu adalah satu tekanan yang tinggi.


"Saya sendiri sudah lima enam tahun berada dalam situasi itu dan mengambil masa untuk mengurus tekanan.

"Saya berpendapat dia memerlukan masa setahun lagi untuk berada sama tinggi dengan lima pemain terbaik dunia ketika ini," kata Chong Wei sambil menegaskan akan membantu semua pemain negara termasuk barisan pelapis di bawah jurulatih Hendrawan seperti Mohd Arif Latif dan Misbun Ramdan Misbun.


Chong Wei yang ditemui pada majlis Perasmian Pembukaan Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Selangor, di Banting turut menyampaikan sumbangan peribadinya sebanyak RM100,000 kepada pusat jagaan yang dikelolakan Lion-Parkson Foundation itu.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Lion-Parkson Foundation, Puan Sri Chelseia Cheng, Pengerusi Persatuan Orang Kurang Upaya dan Sakit Mental Johor, Mohd Farid Datuk Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Poulter bawa pulang RM21.3j

Posted: 04 Nov 2012 12:45 PM PST

DONGGUAN: Wira Piala Ryder, Ian Poulter muncul pemenang pada Kejohanan WGC-HSBC yang menawarkan hadiah bernilai AS$7 juta (RM21.3 juta) selepas mencatat tujuh bawah par 65 untuk menamatkan hari terakhir yang penuh mendebarkan di Mission Hills China.

Sensasi England itu memulakan pusingan terakhir dengan ketinggalan empat pukulan tetapi berjaya membenam lapan birdie dengan satu bogey pada dua lubang terakhir sebelum diumumkan sebagai pemenang dengan kelebihan dua pukulan.


Poulter mencatat 69, 68, 65 dan 65 sepanjang saingan untuk jumlah keseluruhan 21 bawah par 267 dengan Phil Mickelson, Ernie Els, Jason Dufner dan Scott Piercy berkongsi tempat kedua.

Pendahulu Louis Oosthuizen dan Lee Westwood ketinggalan satu pukulan bersama-sama Adam Scott untuk tempat kelapan sementara juara bertahan, Martin Kaymer kesembilan dan Bill Haas ke-10.


Poulter meraih wang tunai AS$1.2 juta (RM3.6 juta) menerusi kejuaraan individu pertamanya musim ini dan ke-15 sepanjang kariernya, kira-kira hampir sebulan selepas menjadi tonggak penting membantu Eropah memenangi Piala Ryder di Medinah.


"Selepas Piala Ryder, saya hadir ke sini dengan semangat yang tinggi. Saya beraksi dengan baik minggu lalu dan cuba meneruskan rentak sama pada minggu ini.

"Saya cuba bersabar sehingga penghujung saingan. Sudah pasti amat menarik kerana dapat sekali lagi meraih kemenangan.


"Hari yang amat istimewa dan saya tahu dapat beraksi dengan baik di lapangan ini," katanya.

Westwood dan Oosthuizen memulakan saingan dengan kelebihan tiga pukulan berbanding peserta lain, tetapi bogey yang dicatat sensasi Afrika Selatan itu pada lubang pertama, menjejaskan kedudukannya.


Westwood mendahului dua pukulan biarpun dia melakukan double bogey pada lubang kelima, tetapi membenam birdie pada par tiga lubang kelapan.


Tetapi Poulter dan Mickelson mula bangkit dan ketika Westwood mencatatkan bogey pada lubang ke-10, mereka menyertai peserta England dan Oosthuizen dalam senarai pendahulu.


"Saya berasa yakin apabila saya berada pada prestasi terbaik. Saya gembira kerana dapat menjulang satu lagi trofi," kata Poulter. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved