Selasa, 11 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Buat keputusan konsisten

Posted: 11 Jun 2013 06:55 AM PDT

Kanak-kanak mera­ung, menjerit, menendang troli dan mencampakkan barang di pasar raya pasti menjadi igauan ngeri bagi ibu bapa. Penulis sendiri masih terbayang-bayang perubahan emosi anak seorang teman yang tiba-tiba bergolek di pasar raya sambil menjerit dan menangis tanpa henti kerana si ibu enggan membelikannya permainan.

Sudahnya, penulis dan ibunya terpaksa membelikan juga permainan yang diingininya dengan harapan si kecil itu mula berhenti buat pera­ngai.

Perasaan malu juga mula timbul kerana majoriti mata memandang pada kami dan tiada cara lain perlu dilakukan selain menuruti saja kehendaknya.

Nyata, tindakan itu bukanlah penyelesaian kepada masalah perubahan emosi atau tantrum ini.


Menurut Perunding Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Urmilah Dass, menurut saja kehendak si kecil kerana mahu menghentikan perangainya itu bukan saja membuatkan keadaan lebih buruk pada masa depan malah tidak memberi manfaat kepada anak terbabit.


"Perubahan emosi ini sememangnya perkara biasa dalam kalangan kanak-kanak kerana ia satu cara mereka meluahkan perasaan bagi menarik perhatian ibu bapa.

"Tapi apabila ia mula kerap dilakukan, ibu bapa perlu sensitif atau peka dengan apa yang berlaku di sekeliling anak mereka hingga menyebabkan kanak-kanak itu mula meraung atau merengek.

"Jika sesekali ia berlaku itu mungkin petanda si anak mahukan perhatian tapi apabila ia berlaku secara kerap setiap kali permintaannya tidak dituruti, ibu bapa perlu berjumpa pakar untuk mengenal pasti masalah emosi yang dihadapi kanak-kanak itu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Urmilah menjelaskan skil keibubapaan memainkan peranan penting dalam menanganinya.

"Perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah cara membuat keputusan yang konsisten antara suami dan isteri. Dalam hal ini, suami tidak bertegas sama seperti isteri dan sebaliknya.

"Contohnya, apabila si anak mahukan sesuatu, ibunya melarang tapi apabila diminta pada bapa, dengan mudah kanak-kanak itu mendapat apa yang diingininya.

"Apabila situasi ini berlaku, si anak akan lebih sukar menerima arahan khususnya daripada satu pihak yang cuba menghalang perbuatan mereka.

"Pada masa sama, akan wujud konflik dalam hubungan suami isteri di mana mereka akan cuba menegakkan keputusan masing-masing.

"Sebaiknya, suami isteri perlu duduk berbincang terlebih dulu mengenai syarat atau peraturan yang perlu dikenakan ke atas anak-anak. Jika saling tidak bersetuju dengan cara masing-masing, ja­ngan lakukannya di depan anak dan beralih ke ruang lain untuk berbincang," ujarnya.

Rasa bersalah disebabkan jarang menghabiskan banyak masa dengan anak juga antara punca perubahan emosi ini.

Ibu bapa zaman ini sibuk membina kerjaya hingga pulang lewat malam yang akhirnya menimbulkan rasa bersalah dalam diri mereka. Bagi menutup rasa bersalah itu, majoriti de­ngan mudah memberikan apa saja yang diminta si anak hing­ga kanak-kanak itu terbiasa dengan keadaan itu.

Jadi apabila satu keinginannya tidak dipenuhi, kanak-kanak ini mula menunjukkan tanda protes dengan perubahan emosi yang ekstrem dan mendadak.

"Jika ini berlaku, ibu bapa perlu segera ambil langkah proaktif dengan menerangkan secara tegas kepada anak apa yang dilakukannya itu salah dan perlu diubah.

"Terangkan pada anak bahawa setiap perbuatan baik atau buruk akan dinilai dan diberikan ganjaran. Di sini wujudnya gerakan tindakan positif dan negatif, masa tamat dan hukuman. Tapi biasanya hukuman seperti memukul anak sebagai pengajaran adalah perkara akhir jika tiada lagi jalan lain untuk mengubahnya.

"Saya bagaimanapun tidak me­nyokong gerakan hukuman itu kerana ia bukan saja membuatkan keadaan lebih buruk tapi memberi kesan psikologi yang negatif dalam minda anak-anak," ujarnya.

Gerakan tindakan positif dilakukan setiap kali si anak menunjukkan perangai baik.

"Apabila kanak-kanak itu melakukan sesuatu misalnya membawa pinggan ke sinki, pujilah mereka dan katakan anda bangga dengan kemampuan mereka.

"Nampak kecil tapi apabila setiap perkara positif yang mereka lakukan mendapat perhatian ibu bapa, secara automatik emosi dan perangai mereka juga berubah menjadi lebih baik.

"Bagi gerakan tindakan negatif pula, ibu bapa terlebih dulu perlu memberitahu anak-anak apa yang akan dilakukan jika mereka menunjukkan perangai buruk.

"Tetapkan terlebih dulu peraturan dalam dan luar rumah dan tegaskan pada mereka mengenai amaran tiga kali. Kemudian ibu bapa tentukan barangan atau benda yang menjadi kesukaan anak-anak yang mesti dilakukan atau dibawanya setiap hari seperti permainan video, anak patung atau bantal peluk.

"Seterusnya, apabila sudah diberikan amaran ketiga, ibu bapa akan terus mengambil barangan kesukaan kanak-kanak itu lalu disimpan dalam tempoh tertentu sebagai hukuman kerana bertindak mengikut emosi.

"Awalnya memang sukar kerana mereka akan menangis malah bertindak menunjukkan emosi yang ekstrem tapi lama-kelamaan kanak-kanak ini akan mula berfikir mengenai kelakuan mereka.

"Kaedah ini membuatkan mereka berfikir sama ada perangai mereka itu mendatangkan kebaikan atau keburukan pada diri sendiri," katanya.

Justeru, apa pula yang perlu dilakukan jika kanak-kanak mula berubah perangai atau meragam di tempat awam?

Jelas Urmilah, ibu bapa perlu bersedia menahan malu dan cuba berikan amaran terlebih dulu. Jika si anak tidak menghiraukan amaran ibu bapa, bawa anak ke tempat letak kereta dan biarkan dia melepaskan emosinya di situ.

"Jika ia masih berlarutan, terus pulang ke rumah dan jelaskan pada anak perangai mereka itu yang menyebabkan tergendalanya semua aktiviti yang dirancang.

"Kanak-kanak ini pasti akan terus menangis dan melakukan bermacam perangai tapi lama-kelamaan mereka akan kepenatan lalu mendiamkan diri.

"Secara tidak langsung itu akan membuat­kan mereka berfikir semula mengenai perangai yang dilakukan sebelum ini," ujarnya.

Pengenalan kepada sistem hadiah boleh dipraktikkan seperti menetapkan pungutan bintang yang berjaya dikumpul si anak dalam seminggu mahupun sebulan.

"Tapi sebelum itu ibu bapa perlu bertanyakan senarai keinginan anak-anak, sama ada membabitkan permainan, makanan, perkara yang ingin dilakukan dan lokasi yang ingin dituju.

"Jangan lupa tetapkan bajet agar anak-anak tahu had permintaan mereka. Sejurus mereka berjaya mengumpul bintang mengikut jumlah yang ditetapkan, ibu bapa bolehkan merealisasikan satu daripada senarai permintaan kanak-kanak itu," katanya.

Jelas Urmilah, bunyi­nya seperti rasuah tapi cara ini lebih baik berbanding memukul, menjerit mahupun menurut saja permintaan si anak.

Dari satu segi, ia membantu kanak-kanak mendengar dan me­ngikut peraturan dengan lebih baik, di samping mengajar mereka cara berusaha secara positif untuk mendapatkan sesuatu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

Biskut lidah kucing

Posted: 11 Jun 2013 06:29 AM PDT

Lidah kucing jadi biskut? Usah terperanjat, ia sebenarnya sekadar nama.

Biskut warna-warni diketengahkan Rohana Abdul Hamid, 52, yang kini menetap di Salak Tinggi, ini sememangnya mudah mencuri tumpuan.

Biskut ini sebenarnya daripada jenis 'cat's tounges cookies' atau biskut lidah kucing. Ada pelbagai jenis 'cat's tounges cookies' di seluruh dunia. Ada yang membuatnya dengan perisa mocca, oren, vanila dan pelbagai perisa lain mengikut kreativiti sendiri.

Dikatakan berasal dari Sepanyol, biskut ini sangat popular di negara jiran Indonesia terutama pada musim Tahun Baru Cina.


Ada yang mengubah biskut ini mengikut selera sendiri dengan menjadikannya dwiwarna contohnya perasa vanila digabung dengan coklat.


Rohana pula memperkenalkan versi biskut berwarna pelangi jadi dia dipanggil biskut pelangi saja. Rasanya sedap, ringan, lemak dan rangup.

Loyang yang digunakan Rohana khas untuk membuat biskut ini.

"Resipi ini saya peroleh dari Indonesia," kata anak kelahiran Guar Cempedak, Kedah ini yang berkelulusan dalam bidang perhotelan dan katering.

Hasil biskut yang dibuat Rohana memang cantik kerana ia berwarna-warni serta sesuai disediakan untuk majlis keraian seperti hari jadi, hantaran dan hidangan meja utama.

Rohana mengaku membuatnya sangat remeh dan memerlukan kesabaran tetapi dia tidak kisah berkongsi ilmunya dengan sesiapa saja.

Minatnya yang mendalam terhadap dunia memasak kek dan biskut membuatkan dia begitu rajin menambah ilmu dengan menghadiri banyak kelas seumpamanya sehingga ke Indonesia.

Daripada kuih-muih Melayu, biskut, kek, roti hinggalah ke pastri, semuanya dipelajari. Ilmu itu kemudiannya dikongsi pula dengan mengadakan kelas untuk mereka yang berminat.

"Resipi biskut pelangi ini senang saja namun proses menempa paling lama dan kerana ia lembut, perlu menggunakan beg piping," katanya.

Sekiranya mahu menambah sedap pada adunan, boleh mengurangkan adunan tepung untuk digantikan dengan serbuk badam atau parutan keju. Ini boleh membuatkan rasanya berlainan dan lebih enak, mengikut selera masing-masing.

Sebaik mengandung anak pertama lagi, Rohana sudah berhenti kerja kerana mahu menjaga anak dengan tangannya sendiri.

Kini selepas semuanya dewasa dan melanjutkan pelajaran, Rohana tinggal bersama suami saja di rumah. Kesunyian membuatkan dia mahu menyibukkan diri dengan perkara yang paling disukainya iaitu membuat biskut dan kek.

Selain di laman sosial Facebook, Rohana sering berkomunikasi dengan pembaca blognya iaitu kakanaskitchen.blogspot.com.

Rohana kini sudah melangkah ke bidang baru pula iaitu menyediakan perkhidmatan hamper. Perniagaan ini sangat berkait rapat dengan kepakaran Rohana di bidang kuih-muih, kek dan biskut kerana dia hanya menggunakan biskutnya sendiri untuk hamper yang dipesan di musim perayaan.

"Apabila menggunakan produk sendiri, saya dapat memantau kualiti dan kesedapannya dan tidak sekadar cantik dipandang. Begitu juga dari segi masa menyiapkan produk serta penghantarannya," katanya.

Sebulan dua sebelum Ramadan, Rohana terpaksa menghentikan kelas kek dan biskutnya kerana mahu menumpukan perhatian pada persediaan hamper. Dia perlu mencari resipi baru dan idea baru bagi membuatkan produknya tampil segar.

"Selepas raya baru kelas memasak kek dan biskut saya bermula kembali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tin, Myo, Parman dikehendaki

Posted: 10 Jun 2013 09:50 AM PDT

Shah Alam: Lagi warga asing diburu Polis Selangor berhubung kejadian bunuh di beberapa daerah sekitar negeri ini sejak dua bulan lalu.

Kali ini, dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh yang menghilangkan diri selepas dipercayai terbabit dengan kes bunuh membabitkan dua lelaki Myanmar dan seorang wanita Indonesia pada April dan Mei lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek pertama yang diburu dikenali sebagai Tin Than Maung, 36, dipercayai terbabit dengan kejadian bunuh rakan senegaranya berusia 24 tahun di sebuah bilik di Subang Jaya pada 26 April lalu.

Mohd Adnan berkata, mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai pembaiki pendingin udara ditemui berlumuran darah dalam bilik sewanya dengan kesan tikaman di dada kanan. "Suspek yang juga rakan serumahnya kemudian melarikan diri sejurus kejadian dan usaha mengesannya masih dijalankan polis sehingga kini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.


Beliau berkata, dalam kejadian berasingan, lelaki yang dikenali sebagai Myo Tun, 33, diburu polis kerana terbabit dengan kejadian bunuh rakan senegaranya selepas berlakunya pergaduhan antara mereka di Sungai Buloh, 7 Mei lalu.


Dalam kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, mangsa berusia 37 tahun dan bekerja di sebuah kilang besi mati selepas bergaduh dengan suspek.

Foto

MOHD Adnan menunjukkan tiga wajah suspek warga asing yang diburu.

"Siasatan polis mendapat maklumat suspek menetap di Kampung Seri Indah, Sungai Buloh, namun suspek menghilangkan diri sejurus kejadian," katanya.


Katanya, dalam kejadian hari sama, seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai penjual sayur ditemui mati dengan kesan tikaman di bahagian rusuk kanan dan belakang badannya di hadapan rumah sewanya di Jalan Besar Seri Kembangan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, polis kini memburu seorang lelaki warga Bangladesh yang dikenali sebagai Parman, 30-an yang dipercayai mempunyai hubungan dengan mangsa.


"Polis masih menyiasat hubungan suspek yang diburu dengan mangsa dan tidak menolak kemungkinan mereka adalah suami isteri atau pasangan kekasih. "Polis masih tidak mempunyai butiran lanjut mengenainya kerana mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Izara Aishah: Mahu bersihkan nama

Posted: 10 Jun 2013 04:23 PM PDT

Barangkali tidak banyak cerita yang dilaporkan mengenai pelakon jelita, Izara Aishah sejak kebelakangan ini. Kenapa agaknya pelakon jelita ini lebih banyak mendiamkan diri dan seolah-olah cuba mengelak dari publisiti dengan pihak media?

Malah, ada pihak yang mendakwa Izara adalah pelakon yang sombong dan sukar didekati peminat sejak popular. Hakikatnya pelakon yang cukup dikenali dalam drama bersiri Vanila Coklat dan Nazihah (TV3) ini ada sebab tersendiri untuk berbuat demikian.

"Sebenarnya saya susah nak percaya pada orang sekarang ini. Semuanya kerana ramai sangat orang yang salah faham dengan diri saya hingga menjejaskan nama baik dalam bidang seni tanah air, ketika ini.

"Masalah mula timbul bila saya menggunakan khidmat 'orang tengah' atau pengurus yang menguruskan karier seni termasuk berkaitan tawaran projek drama dan filem.


"Ramai orang yang cakap, saya sombong kerana sukar untuk dihubungi pihak media. Sedangkan saya sudah melantik pengurus untuk mengatur jadual tapi kenapa orang susah nak hubungi pula?," katanya.


Lebih membuatkan pelakon berdarah kacukan Melayu-Pakistan yang juga pemenang tempat kedua pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 ini terkilan apabila ada isu yang dikaitkan dengannya diperbesarkan segelintir pihak di luar sana.

"Isu itu kecil saja di mana ada wartawan 'junior' yang saya tidak kenal pun tetapi ingin membuat sesi fotografi dengan saya. Secara kebetulan, saya hanya ada satu hari saja cuti daripada penggambaran dan tidak dapat memenuhi sesi fotografi berkenaan.

"Saya beritahu pada wartawan itu saya penat dan ingin berehat pada hari itu tetapi wartawan itu tidak faham dan dia tetap ingin buat sesi fotografi itu juga. Apabila saya menolak permintaannya itu dia beritahu pada orang, saya pula yang melarikan diri dari pihak media?," katanya.

Bagi membersihkan namanya yang terjejas, Izara , 21, memutuskan untuk menguruskan karier seninya sendiri tanpa bantuan pengurus artis.

"Saya sudah mula belajar erti berdikari kira-kira sebulan yang lalu. Mungkin lebih mudah untuk saya menguruskan karier sendiri.

"Kini, pengarah mahupun produser drama atau filem boleh hubungi saya secara terus tanpa perlu melalui orang tengah lagi. Begitu juga jika ada pihak media yang ingin mengadakan sesi fotografi dengan saya selepas ini. Menerusi penjelasan ini, saya harap nama saya akan bersih dari segala cerita negatif yang tersebar itu," katanya.

Apapun ujian mendatang, Izara yang mula berlakon pada usia 19 tahun tetap cekal dalam mengejar impian menjadi pelakon yang dihormati di negara ini.

"Tiga tahun menceburi dunia glamor, saya sudah pun melalui pahit dan getirnya bergelar anak seni. Dulu saya fikir senang nak jadi artis tapi bila sudah tiga tahun baru saya tahu realitinya. Namun saya akan teruskan perjuangan dalam membina nama sehebat Datuk Siti Nurhaliza pada masa depan," katanya.

Berderet filem lakonan menanti tayangan,

Walaupun agak menyepi daripada publisiti, agenda seni Izara sebenarnya padat dengan memenuhi undangan berlakon drama dan filem. Malah berderet filem lakonannya yang menanti tayangan di pawagam tanah air seperti Sejoli, Showdown The Movie dan Pilot Cafe arahan Osman Ali. Selain itu dia turut berlakon dalam sitkom Oh My English musim kedua.

Bagaimanapun kata Izara, dia tetap selektif dalam memilih karakter ditawarkan dalam lakonan.

"Sebelum menerima sesuatu tawaran, saya pastikan tengok skrip terlebih dulu. Sebagai pelakon, saya tidak mahu ambil saja semua watak kerana perlu menjaga reputasi dalam bidang seni.

"Contohnya, saya suka dengan watak Maya, gadis kampung dalam filem Pilot Cafe. Sebelum ini saya sering disogokkan dengan watak budak sekolah tapi watak maya adalah karakter yang lebih dewasa," katanya.

Namun kata Izara, dia menolak untuk melakonkan watak gadis gro dalam drama mahupun filem.

"Memang saya suka mencuba apa saja watak ditawarkan tapi watak perempuan gro tidak sesuai dengan imej diri kerana penampilannya seksi dan mendedahkan tubuh," katanya.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah Kasih Najiha, Soffiya, Keranamu Laila, Masih Membara Cintaku, Selumbar Jejaka J, Cikaro dan Pusing Beraya.

Beralih soal teman istimewa pula, ternyata hati Izara sudah pun dimiliki seseorang. Bukan golongan kenamaan atau VVIP sebaliknya pelakon ini hanya memilih jejaka kalangan orang biasa saja.

"Saya memang sudah ada kekasih hati. Kami sudah berlawan sejak di bangku sekolah lagi. Setakat ini hubungan kami berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Malu tak bertempat

Posted: 10 Jun 2013 08:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain badminton negara tidak menggunakan khidmat pakar psikologi disediakan Institut Sukan Negara (ISN) semata-mata kerana mahu mengelak dilabel memiliki mental lemah.

Koordinator Latihan Prestasi Tinggi (HPT) Institut Sukan Negara (ISN) Sean Sturgess berkata, sepatutnya tidak timbul isu pemain tiada tempat untuk berkongsi masalah dihadapi kerana pakar psikologi wanita, How Peck Ngor ditempatkan khas untuk menyelesaikan masalah pemain badminton.


"Peck Ngor sentiasa sedia membantu pemain badminton jika ada masalah. Kini pelbagai pihak menimbulkan isu pemain negara tidak memiliki mental kuat untuk mengekalkan prestasi dan bersaing dengan pemain ternama dunia, mungkin menyebabkan mereka bimbang dilabel atlet yang tidak kuat mental," kata Sturgess.

Menurut beliau, Peck Ngor kini memberi tumpuan terhadap pemain beregu wanita di bawah bimbingan Rosman Razak serta beberapa perseorangan wanita, namun pemain lain masih boleh merujuk kepadanya.


"Peck Ngor juga membuat kajian sejauh mana kebenaran dakwaan menyatakan atlet Malaysia mempunyai masalah kekuatan mental." Namun beliau anggap masalah dihadapi Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong sebagai kemelut berbeza dan masih tidak dikenal pasti kerana Peck Ngor belum mendapat kerjasama kedua-dua pemain itu.


"Isu Kien Keat-Boon Heong berbeza dengan pemain lain kerana mereka pernah mencapai tahap tertinggi sebelum ini tanpa bantuan ahli psikologi. "Perkara ini juga menjadi kekangan untuk mereka bertemu kami, apatah lagi apabila dalam kepala masing-masing mempersoal keperluan bertemu pakar psikologi selepas pernah mencapai kejayaan tanpa bantuan mereka.

Foto

CHONG Wei dapat kekalkan prestasi kerana miliki kemahiran mengurus diri, tekanan serta mendisiplinkan diri.

"Perkara sebegini menjadi penghalang kepada pakar kerana mereka juga berasa ragu-ragu untuk menangani masalah itu kerana mereka bukan atlet, apatah lagi menyelesaikan masalah atlet yang pernah beraksi di Olimpik dan Kejohanan Dunia.


"Isu ini bukan hanya berlaku di Malaysia tapi seluruh dunia." Beliau bagaimanapun mengasingkan kes Datuk Lee Chong Wei daripada pemain badminton negara lain.

"Chong Wei jauh berbeza dan berfikiran amat terbuka dalam soal ini. Dia pernah bekerjasama dengan pakar psikologi kami, Frederick Tan untuk tempoh yang agak lama, antara empat hingga enam tahun. "Hampir setiap hari dia bertemu dan berbincang sedangkan ketika itu, pemain lain langsung tidak menggunakan kepakaran Fred.


"Tidak hairan Chong Wei mampu mengekalkan prestasi kerana dalam dirinya kini ada kemahiran mengurus diri, tekanan serta mendisiplinkan diri. "Justeru kami mengambil pendekatan untuk memberi latihan kepada jurulatih kerana mereka paling dekat dengan atlet. "Kami harap keterbukaan jurulatih demi memajukan sukan Malaysia, jika tidak banyak yang boleh mereka pelajari, sedikit ilmu psikologi mencukupi untuk menangani atlet bermasalah."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Impak Messi!

Posted: 10 Jun 2013 08:27 AM PDT

Paris: Argentina diulit kebimbangan terhadap kedudukan penyerang bintang Lionel Messi menjelang kunjungan ke Ecuador bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2014.

Kemenangan pada pertembungan itu akan mengesahkan kemaraan juara dunia dua kali itu ke pusingan akhir di Brazil, tahun depan tapi tanpa kelibat Messi, Argentina pasti kurang digeruni.


Mereka kini menerajui kumpulan dengan kelebihan empat mata ke atas Colombia selepas kedua-dua pasukan seri di Buenos Aires Jumaat lalu namun perlawanan itu memperlihatkan betapa pentingnya pemain Barcelona itu kepada pasukannya.

Messi hanya bermain setengah jam dan rakan kelab dan senegara, Javier Mascherano mengaku pasukannya berbeza apabila beraksi tanpa Messi.


"Jika ada yang fikir kami tidak merasai ketiadaannya, mereka silap. Pasti ada sebab kenapa dia menjadi pemain terbaik dunia," kata Mascherano.


Penyerang Manchester City Sergio Aguero turut bersetuju.

"Kami terpaksa merombak corak permainan apabila Messi tidak berada dalam pasukan," katanya.


Masalahnya Messi masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring dialaminya.

Kecederaan itu turut memaksanya dikeluarkan ketika Barca tewas agregat 0-7 di tangan Bayern Munich pada separuh akhir Liga Juara-Juara, bulan lalu.


Menurut media, jurulatih Argentina Alejandro Sabella belum pasti sama ada mahu mengambil risiko menurunkan Messi dalam kesebelasan utama.


Kemenangan membantu Argentina mengumpul 28 mata dan sudah cukup untuk meraih salah satu daripada empat slot kelayakan biarpun pencabar lain turut mencipta kemenangan.


Salah satu pasukan pencabar adalah Uruguay yang beraksi di separuh akhir Piala Dunia 2010 dan penyandang juara Copa America.


Mereka dalam situasi terdesak apabila hanya memungut dua mata daripada enam perlawanan terakhir kelayakan.


Keputusan itu menyebabkan mereka kini berada di luar kedudukan empat pasukan teratas dan juga tangga kelima bagi perlawanan play-off.


Uruguay menduduki tangga ketujuh, lima mata di belakang Chile yang berada di tempat terakhir kelayakan automatik serta ketinggalan tiga mata kepada Venezuela di tangga kelima bagi aksi play-off menentang pasukan Asia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Wanita pontianak

Posted: 10 Jun 2013 08:56 AM PDT

Wilkes Barre (AS): Seorang ibu dua anak mendedahkan dia minum darah manusia dengan 'gaya pontianak,' kadang kala sehingga dua liter sebulan.

Julia Caples, 45, menghisap darah daripada penderma sukarela sejak lebih 30 tahun lalu.


Dia bertemu rakan peminat pontianak di satu majlis tempatan, tempat dia mengelar mereka dengan pisau ala zaman jahiliah sebelum menghisap darah mereka.

Julia percaya dengan berbuat demikian dia akan kekal muda dan bertenaga, seperti penghisap darah dalam filem seperti Twilight.


Bagaimanapun, dia berusaha menjauhkan minat peliknya itu daripada anaknya, Alexi, 11. Anak perempuannya, Ariel, 24, bencikan ketaksuban Julia dan mendesaknya supaya berhenti.


Wanita itu yang berasal dari Wilkes Barre, Pennsylvania, Amerika Syarikat berkata: "Apabila menghisap dan minum darah seseorang, saya berasa muda dan lebih sihat. Saya tahu secara saintifik, darah tidak mengandungi zat. "Bagaimanapun, mungkin ada khasiat lain yang kita belum temui. Saya berasa diri saya lebih cantik setiap kali minum darah. Saya juga amat sihat, tidak menghadapi masalah kesihatan dan sentiasa bertenaga. Ada ketikanya saya minum lebih dua liter sebulan." Minat Julia pada darah bermula sejak dia masih muda, ketika bercium kali pertama semasa berusia belasan tahun.

Foto

JULIA bersama Alexi dan Donald.

Foto

WESLEY membenarkan Julia minum darahnya.

"Saya terdorong untuk menggigit kekasih saya ketika kami bercium. Hasrat itu datang tiba-tiba dan saya sukakan rasanya. Saya tidak dapat menjelaskannya dengan kata-kata dan minat itu tidak pernah berhenti. Dan kekasih saya itu tidak pernah mencium saya lagi." katanya.


Bagaimanapun, Julia tidak minum darah sebegitu kerap sehingga menemui Donald, 49, lelaki yang kini bekas suaminya.

Mereka berkahwin dalam majlis yang bertemakan pontianak pada Oktober 2000 dan minum darah satu sama lain untuk meraikan upacara itu.


Pasangan itu menjadi sebahagian daripada budaya peminat pontianak yang mengunjungi kelab malam dan minum darah satu sama lain.


Tetapi apabila pasangan itu mempunyai anak, Alexi, Donald berikrar untuk tidak lagi minum darah.


Donald berkata: "Saya berhenti tetapi Julia tidak perlu berbuat demikian kerana kami bersetuju seorang daripada kami perlu berhenti dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.


"Julia masih berminat untuk minum, tetapi dia juga ibu yang baik dan memberi keutamaan kepada anak. Dia tidak membiarkan minatnya itu menyekatnya menjadi ibu." Meskipun wanita itu berusaha merahsiakan gaya hidupnya daripada Alexi, kanak-kanak itu sudah mula mengesyaki tabiat ibunya.


Alexi berkata: "Kami mempunyai pelbagai hiasan, seperti keranda dan anak patung di rumah. Saya mula berfikir dia ialah pontianak. Anak perempuannya, Ariel pula berkata: "Saya dapat merasakan dia terdedah dengan banyak masalah kesihatan. Saya bimbang dia akan dijangkiti penyakit daripada seseorang menerusi darah." Julia yang menulis dalam blognya mengenai pontianak dengan mengguna nama Lady DarkRose berkata, dia sedar bahaya yang dihadapinya. "Tetapi semua penderma diuji sebelum saya minum darah mereka. Saya berkenalan dengan beberapa penderma menerusi Internet. Tetapi saya pasti akan menemui mereka terlebih dulu. Mereka perlu menjalani ujian darah untuk memastikan mereka tidak menghidap AIDS atau HIV," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Filipina rancang serah Jamalul

Posted: 10 Jun 2013 08:48 AM PDT

Manila: Kesultanan Sulu semalam mendedahkan rancangan Istana Malacanang agar Jamalul Kiram III, keluarganya di bandar raya Taguig dan penyokong diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia. Mereka juga bakal berdepan pertuduhan cuba menawan Lahad Datu di Sabah oleh kira-kira 200 anggota Pasukan Keselamatan Diraja kesultanan itu (RSF) Mac lalu.

Bercakap kepada wartawan di kediaman Jamalul Kiram III, jurucakap kesultanan itu, Abraham Idjirani berkata, dia menerima maklumat daripada sumber "yang boleh dipercayai" dalam Malacanang bahawa Presiden Filipina, Benigno Aquino berhasrat untuk menyerahkan Jamalul, keluarga dan penyokongnya kepada Malaysia walaupun tiada perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara itu. "Kami mendapat maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa Malacanang mahu menyerahkan Kiram dan penyokongnya di Taguig kepada Malaysia," katanya.


Sementara itu, anak perempuan Jamalul, Jacel menambah bahawa tindakan Malacanang itu dibuat ekoran penemuan mengejutkan daripada siasatan dilakukan Biro Penyiasatan Nasional (NBI) mengenai pendaratan RSF di Sabah. "NBI pada mulanya berkata, mereka ke Sabah atas inisiatif sendiri. Kemudian NBI menyarankan agar dakwaan difailkan terhadap Jamalul kerana berkonspirasi agar penyokongnya ke Malaysia," katanya. Jacel turut menyuarakan kemusykilan bagaimana dia, bapanya, saudara-mara, dan penyokong mereka hendak diekstradisi ke Malaysia berdasarkan penemuan NBI yang menyatakan keluarga dan penyokongnya berkonspirasi mencetuskan peperangan dengan Malaysia.

"Jika kamu mahu diekstradisi ke Malaysia kamu perlu melakukan jenayah di negara itu. Tetapi kami membuat tuntutan secara sah dari segi sejarah," katanya. - Philippine Star

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Mantera ragut dara

Posted: 10 Jun 2013 10:06 AM PDT

Klang: Bermula dengan urusan menjual kad tambah nilai telefon prabayar, seorang pekerja kedai serbaneka akhirnya menjadi perempuan simpanan kepada lelaki pertengahan usia selepas mendakwa dijampi dan diberi minum ubat seri wajah.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul, 28, berkata, lebih setahun lamanya dia hanya mengikut segala arahan lelaki berumur 50-an itu termasuk menyerahkan tubuh dan semua wang gajinya.

Menurutnya, lelaki berperwatakan alim yang digelar Abang Aji itu dikenalinya pada Disember 2011 selepas suspek kerap datang ke kedai tempat dia bekerja di bandar ini untuk membeli kad tambah nilai telefon prabayar.

"Satu hari ketika berurusan dengan Abang Aji saya berasa seperti dipukau selepas dia membaca jampi atau mantera di depan saya. Selepas itu, fikiran saya seperti dikawalnya dan saya terus menuruti segala arahannya.

Foto

NURUL dakwa dijampi lelaki pertengahan usia.


"Apabila mahu meniduri saya, dia yang sudah berkahwin dan mempunyai anak mengarahkan datang bermalam di rumahnya. Saya hanya mengikut saja dan langsung tidak berdaya membantah," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

Pengorbanan sejati cucu

Posted: 10 Jun 2013 10:06 AM PDT

Pekan: Seorang remaja bertindak berani menyelamatkan neneknya dalam kebakaran rumah mereka kelmarin, biarpun dia sendiri akhirnya parah apabila lebih 50 peratus badannya melecur.

Mohd Irham Abu Bakar, 13, melecur dari dada ke bawah selepas seluar dipakainya disambar api ketika dia menyelamatkan neneknya, Sum Harun, 72, apabila rumah mereka di Kampung Permatang Durian 1, Merchong, dekat sini, terbakar pada jam 9 pagi.

Berikutan itu, Mohd Irham yang juga anak ketiga daripada enam beradik kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Bapanya, Abu Bakar Abu Seman, 52, berkata, anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nenasi, di sini, disambar api ketika cuba menyelamatkan neneknya yang terjatuh ketika keluar dari rumah mereka yang terbakar.

Foto

MOHAMAD Fakhruddin (dua dari kanan) meninjau tempat kejadian.


Menurutnya, selepas melihat neneknya tidak boleh bangun, Mohd Irham masuk ke dalam rumah walaupun ketika itu api sedang marak.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved