Ahad, 11 Disember 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Turun gunung lebih mencabar

Posted: 11 Dec 2011 07:31 AM PST

SEPANJANG sejam berbual dengan Mohd Asman Iljam, 40, penulis bukan saja rasa kagum tetapi turut 'malu'. Bukan apa, Asman yang sukar berjalan dengan baik akibat masalah palsi serebrum sejak kecil (iaitu keadaan membuatkan otot menjadi lemah) berlatih menaiki tangga di rumah pangsanya sehingga ke tingkat 17. Bukan sekali, tetapi dua hingga empat kali sehari!

Apabila hujan lebat, dia sedikit muram kerana tidak dapat bersenam. Namun wajahnya akan kembali ceria jika ibunya, Roslia Mahmud, membenarkan dia berlatih walaupun sekali. Semangat dan tekad Asman memang kuat. Baginya apa sangatlah tangga setinggi 15 tingkat itu jika hendak dibandingkan dengan cabaran yang bakal dilalui di Gunung Kinabalu.

Dek semangat itulah juga, dia berjaya menawan puncak gunung kemegahan negara itu dalam Ekspedisi Pendakian Di Luar Kemampuan Gunung Kinabalu pada 13 hingga 17 Oktober lalu bersama 18 orang kelainan upaya (OKU) dengan ditemani dua doktor dari Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park serta 99 sukarelawan Kelab Rotary.

"Teruja, sangat teruja. Allah saja yang tahu perasaan saya ketika berada di puncak. Kalau ada peluang, saya mahu pergi lagi," katanya sepatah-sepatah. Walaupun agak sukar memahami butir katanya yang tidak jelas, namun kegembiraan jelas terpampang di wajah Asman. Kejayaan itu menebus kehampaan pada 1999 kerana dia tidak berdaya meneruskan pendakian akibat melecet teruk di kaki tatkala tiba di pos Laban Rata.


Jika tidak melihat gambar dan sijil penghargaan, memang sukar hendak percaya Asman dan rakan OKU lain termasuk yang ada masalah Sindrom Down dan cacat penglihatan sudah sampai ke singgahsana Kinabalu. Malah, ibunya yang menunggu di penginapan di kaki gunung menitiskan air mata apabila melihat anaknya berjaya menghabiskan pendakian dengan selamat.


"Mendaki itu susah, tetapi hendak turun lebih payah. Ada kalanya saya terpaksa dipapah apatah lagi ketika kami turun hujan lebat, cuaca pula sangat sejuk dengan suhu sekitar enam hingga tujuh darjah Celsius. Trek licin dan berbahaya. Namun semakin penat, semakin kuat semangat hendak segera sampai ke puncak" katanya lagi.

Bagi Ngok Kok Meng, 15; Zamzam Modjahidin, 15 dan Muthu Magendran, 21 dari Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Cacat Klang - antara yang pertama sampai ke puncak, kegembiraan mereka juga sangat sukar digambarkan. Mereka juga tidak dapat menahan air mata apabila berdiri di puncak Kinabalu selepas melalui perjalanan yang sangat sukar.

Banyak air mata pendaki ekspedisi ini tumpah tatkala melihat Mohd Irwan Hakeem Sidek, 29, yang mengalami palsi serebrum dan tidak boleh bercakap menjerit gembira sebaik disahkan tiba di puncak, apatah lagi sebelum itu dia hampir pengsan kerana terlalu penat. Namun, atas dorongan ayahnya yang turut serta dalam ekspedisi itu menguatkan semangat Irwan untuk meneruskan pendakian.

Godrey Ooi, yang cacat penglihatan tidak sangka pada usia 63 tahun dia mampu sampai ke puncak yang menjadi idaman ramai pendaki itu. Laluan Ooi dan dua rakan senasib, Taslim Kosni, 63 dan Jacqueline Sarlah Emmanuel, 61, lebih mencabar kerana setiap langkah perlu 'diraba' terlebih dulu. Namun, latihan mendaki bukit di sekitar Kuala Lumpur selama tiga bulan membolehkan mereka bertahan sepanjang pendakian.

"Cabaran paling hebat ialah untuk mengatasi halangan fizikal dan mental. Sesetengah laluan sangat tinggi atau curam. Dalam keadaan tidak nampak dan penat, laluan akan jadi sangat sukar sehingga boleh membuatkan kita putus asa.

"Sepanjang mendaki saya ingatkan diri sendiri untuk bertahan. Saya katakan pada diri sendiri, jika orang yang lebih tua dari saya pun boleh sampai ke puncak, tiada sebab saya tidak boleh. Syukur, dengan bantuan sukarelawan saya dan Taslim berjaya juga akhirnya walaupun tempoh pendakian kami dua kali ganda lebih lama dari orang lain.

"Apabila sampai ke puncak saya tidak boleh berfikir kerana terlalu penat. Dalam hati saya sangat gembira dan bersyukur kepada Tuhan memberi saya peluang yang sangat berharga itu," katanya sebelum berlepas ke India bersama isteri sebagai 'hadiah' kepada pencapaian membanggakan itu.

Sememangnya setiap pendaki OKU ini mempunyai cerita tersendiri, walaupun ada beberapa yang hanya mampu bertahan separuh jalan. Pun begitu, bukan mudah untuk sampai walaupun ke pos Laban Rata yang terletak pada ketinggian 3,272 meter dengan masalah fizikal yang mereka miliki.

Pendaki OKU lain yang turut menyertai ekspedisi berkenaan ialah Yong Mae Way, 24; Abirami Rengasamy, 21; Loh Yit Sern, 19; Lau Chin Chuan, 24 dan Chong Min Jie, 14.

Saringan dan persediaan

Peserta dipilih dari empat pusat iaitu Persatuan Spastik Selangor dan Kuala Lumpur, Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Cacat Klang, Pusat Hopehaven Melaka dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).

Pemilihan dilakukan oleh Kelab Rotary berdasarkan tahap kesihatan, kemampuan dan ketahanan fizikal, keazaman serta kepatuhan menjalani latihan yang dijalankan selama tiga hingga sembilan bulan; mengikut keadaan setiap orang.

Menurut Perunding Perubatan Rehabilitasi, Dr Tunku Nor Taayah Tunku Zubir, setiap peserta perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang terdiri daripada ujian untuk mengetahui kekuatan otot, jantung dan paru-paru. Peserta juga diuji sekiranya menghidap asma (kerana ada risiko tinggi mengalami masalah pernafasan ketika mendaki gunung), keseimbangan fizikal dan mental.

"Malah, kita juga jalankan pemeriksaan ketahanan kardiovaskular melalui ujian langkah bagi mengetahui kadar denyutan nadi. Bagi yang ada kencing manis dan tekanan darah tinggi, perlu jalani pemeriksaan lain bagi memastikan penyakit mereka dalam keadaan terkawal," katanya.

"Selain latihan mencukupi, peserta OKU dinasihatkan untuk mengambil pemakanan seimbang dan minum banyak air. Pada masa sama mereka juga perlu ada cukup 'vitamin semangat' - yang datang perlu datang daripada keluarga, rakan dan jurulatih," katanya.

Cabaran

Menurut jurulatih sambilan di Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan, Low Kai Tuck, Asman dan dua rakan palsi serebral atau CP, Irwan dan Janice Yim, 44, menjalani latihan yang 'sukar' kerana cabaran paling besar bagi individu CP ialah ketiadaan kestabilan. Ketika berjalan, bila-bila saja mereka boleh jatuh.

"Sebagai permulaan, kami berlatih berjalan di permukaan yang tidak rata. Kemudian disusuli latihan naik turun tangga untuk meningkatkan stamina dan daya ketahanan mereka. Selepas itu mereka dikehendaki berjalan di tepi longkang yang saya rentang tali. Latihan ini susah kerana saya tidak benarkan mereka melihat ke bawah (ke tanah) ketika berjalan, perlu fokus pandangan ke depan.

"Latihan berjalan di tepi longkang ini untuk meningkatkan keyakinan dan keseimbangan mereka. Jika tidak seimbang, mereka akan jatuh ke dalam longkang. Setiap kali latihan, saya akan tekankan apa yang penting ialah membina keseimbangan dan keyakinan, bukan kepantasan berjalan.

"Selain itu, saya galakkan mereka berlatih sendiri di rumah seperti yang Asman lakukan. Untuk elakkan bosan, kami berlatih di tempat berbeza termasuk mendaki Gunung Nuang atau menjelajah hutan rekreasi di Taman Tun Dr Ismail Malah, bulan puasa pun kami masih buat latihan ringan di sekolah (pusat spastik)," katanya.

Low yakin dengan pepatah Melayu yang mengatakan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Dia melihat individu CP sebagai kumpulan yang sangat istimewa kerana walaupun mengalami halangan fizikal tetapi mereka mempunyai semangat luar biasa.

"Mereka boleh melakukan sesuatu yang menakjubkan. Apa yang penting ialah beri mereka peluang dan sokongan. Bagi individu CP, sokongan keluarga sangat penting," kata jurulatih skuad paralimpik kebangsaan itu.

Perkara ini diakui ibu Asman, Roslia yang tidak pernah jemu memberi galakan kepada anaknya, apatah lagi melihat kesungguhan anak sulungnya itu berlatih.

"Dia sedar ada banyak perkara yang dia tidak boleh lakukan. Mungkin itulah sebabnya apabila ada peluang, dia memang bersungguh-sungguh, bukan hanya untuk ekspedisi ini saja tetapi dalam semua perkara.

"Kalau dia kata mahu berlatih, saya benarkan. Jika tidak nanti dia sugul di rumah. Biasanya dia hanya ambil masa 30 hingga 40 minit untuk naik tangga hingga ke tingkat 17 dan turun semula," katanya.

Menurut Pengasas dan Pengerusi Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Klang, Morgun Nadesan yang turut bertindak sebagai jurulatih, cabaran dihadapi pelajarnya pula sedikit berbeza. Ini kerana kebanyakan pelajarnya terdiri daripada individu sindrom Down dan ada masalah pembelajaran.

Walaupun keadaan fizikal pelajarnya sempurna tetapi mereka sukar menerima dan memahami apa yang diajar. Bahkan daya tumpuan mereka juga pendek dan mudah terganggu walaupun disebabkan perkara kecil. Lebih sukar, semangat mereka tidak sekuat dan sekental individu CP.

"Satu-satu latihan perlu diulang beberapa kali barulah mereka faham. Sebagai pelatih, kami memang perlu bersabar dengan kerenah setiap orang. Selain itu, kebolehan dan kepantasan setiap orang tidak sama. Selalunya setiap kali berlatih mendaki, saya tertinggal jauh di belakang. Malah pernah juga seorang pelajar saya hilang kerana dia tidak mahu jalan berkumpulan.

"Sering juga mereka merungut kerana sudahlah perlu berlatih mendaki bukit setiap hari di Taman Rakyat Klang, pada hujung minggu perlu ke Kuala Lumpur untuk latihan yang dikelolakan Kelab Rotary. Setiap kali mereka berasa malas, saya beri rangsangan dengan mengatakan itulah peluang untuk menaiki kapal terbang," katanya tersenyum bangga dengan pencapaian pelajarnya.

Risiko gangguan kesihatan

Menurut Dr Taayah, antara masalah kesihatan yang kerap dialami pendaki gunung ialah ketidakselesaan akut pergunungan (AMS) terutama apabila berada di ketinggian melebihi 2,400 meter. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja walaupun berlatih secukupnya.

Bagaimanapun, kesan AMS biasanya tidak dirasai sehinggalah anda berada pada satu-satu ketinggian untuk beberapa jam. Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dikategorikan sebagai 'sangat tinggi' dan setiap pendaki berisiko mengalami AMS.

"Biasanya AMS berpunca daripada gabungan beberapa faktor seperti kurang tekanan udara dan tahap oksigen yang rendah di tempat tinggi. Kebarangkalian berlaku dan keterukan AMS bergantung kepada daya ketahanan seseorang, berapa cepat dia mendaki atau turun. Lebih cepat anda naik atau turun, risiko mendapat AMS lebih tinggi," katanya.

Antara gejala AMS ringan dan sederhana ialah:

  • Sukar tidur
  • Pening
  • Lesu
  • Sakit kepala
  • Mual atau muntah
  • Degupan jantung menjadi cepat
  • Nafas tercungap-cungap

    Gejala AMS teruk pula ialah:

  • Edema pulmonari altitud tinggi (HAPE) ialah keadaan apabila paru-paru dimasuki cecair dan menyebabkan sesak nafas. Pendaki tidak sepatutnya ada kesukaran bernafas ketika berehat walaupun berada di puncak Everest. Jika anda sesak nafas ketika berehat, bermakna anda mengalami HAPE. HAPE juga boleh menyebabkan demam panas dan batuk berkahak.
  • Edema serebrum altitud tinggi (HACE) ialah keadaan apabila wujudnya cecair dalam otak. Ia menyebabkan seseorang berasa keliru, tidak menentu, kelam kabut dan boleh terjauh. Tanda awal seperti rasa malas, emosi yang keterlaluan atau bertindak ganas kadang kala sukar dikesan. Ia lebih berbahaya kerana boleh menyebabkan pening atau pengsan yang mungkin mengakibatkan kematian. HAPE dan HACE boleh berlaku serentak.

    Antara gejala AMS teruk ialah:

  • Kesukaran bernafas ketika rehat
  • Tidak boleh berjalan lurus atau tidak boleh berjalan langsung
  • Batuk
  • Kulit jadi pucat atau biru
  • Batuk berdarah
  • Dada terasa sesak
  • Keliru
  • Hilang kesedaran

    "Individu yang mengalami AMS perlu dirawat segera. Cara terbaik ialah turun ke paras lebih rendah secepat mungkin. Jangan teruskan mendaki jika mengalami gejala yang disenarai di atas. Selain berehat, pesakit boleh diberikan bekalan oksigen, paracetamol atau ubat lain.

    "Berita baiknya, ia boleh dicegah dengan mendaki perlahan-lahan, elakkan minum minuman beralkohol, makan sedikit sedikit tetapi kerap dan mengambil ubat seperti acetazolamide dan dexamethasone.

    "Panduan mudah - berhenti apabila penat dan jika ada gejala, berhenti dan berehat. Namun paling penting ialah mempunyai cukup persediaan (latihan) sebelum mendaki," katanya.

  • Full content generated by Get Full RSS.

    Serangan asma terkawal

    Posted: 11 Dec 2011 07:19 AM PST

    SITI Sarah Abdul Mujib, 31, secara fizikalnya kelihatan sama seperti wanita lain. Namun, dia sebenarnya menghidap penyakit asma sejak kecil sehingga pernah dimasukkan ke hospital akibat penyakit kronik itu.

    Walaupun keadaan penyakitnya tidak menentu sehingga dia memasuki sekolah menengah tetapi dia merupakan pelajar yang aktif.

    "Saya tidak pernah menjadikan penyakit asma sebagai halangan untuk bergiat aktif ketika itu walaupun setiap hari terpaksa menelan ubat asma.

    "Bagaimanapun apabila saya berumur 17 hingga 26 tahun, penyakit asma saya seolah-olah hilang. Dalam tempoh itu saya tidak pernah mengalami gejala asma yang membuatkan saya fikir saya sudah sembuh sepenuhnya. Bagaimanapun penyakit saya ini menyerang balik dan menjadi lebih teruk selepas berkahwin.


    "Saya mendapat serangan asma ketika kandungan anak kedua mencecah lima bulan. Ia bermula dengan selesema, batuk dan dada berasa sempit yang membuatkan saya segera mengajak suami ke hospital bagi mendapatkan rawatan.


    "Doktor yang memeriksa saya memberitahu, asma saya tidak serius. Namun selepas bersalin saya mula merasai tahap kesihatan semakin teruk. Pada masa itu kahak mula bertukar warna kekuningan dan pekat tidak seperti kebiasaannya membuatkan saya mendapatkan semula rawatan di hospital.

    "Saya ditahan di wad kerana asma sudah teruk dan ketika itu doktor mengesyorkan untuk menggunakan alat sedut (inhaler) yang terpaksa diambil setiap hari bagi mengurangkan masalah dihadapi," katanya yang mempunyai nenek dan bapa penghidap asma.

    Doktor menasihatkan Sarah untuk terus menggunakan inhaler dan tidak lagi mengambil pil asma kerana setiap kali memakannya dia akan mendapat simptom dada berdebar-debar serta menggigil selepas itu.

    "Saya juga alah kepada cuaca panas dan habuk yang akan menyebabkan serangan asma menjadi teruk selain tekanan dalam pekerjaan dialami.

    "Selain itu, saya perlu pergi ke hospital dua bulan sekali untuk menjalani ujian kawalan asma (ACT) bagi mengetahui sama ada serangan yang dihadapi berada pada tahap bahaya atau semakin pulih.

    "Doktor akan memberikan nasihat dan rawatan berdasarkan markah yang diperoleh selepas menjalani ujian ACT," katanya.

    Mungkin ramai yang tahu asma adalah sejenis penyakit paru-paru kronik mempunyai gejala dan masalah pernafasan yang berulang-ulang seperti sesak nafas, dada dan batuk.

    Semasa bernafas, udara mengalir bebas ke dalam dan keluar paru-paru tetapi apabila penyakit asma tidak terkawal, saluran pernafasan menjadi tebal, bengkak dan radang.

    Saluran pernafasan menjadi terlalu sensitif kepada perubahan alam sekitar dan akibatnya serangan asma boleh berlaku dengan mudah.

    Semasa serangan asma, lapisan saluran pernafasan membengkak, otot di sekitar saluran udara akan mengetat dan mukus tersumbat di saluran kecil dalam paru-paru menyebabkan pesakit sukar bernafas.

    Gejala awal serangan berbeza-beza mengikut masa. Biasanya gejala lebih teruk pada waktu malam serta di awal padi. Malah tahap seriusnya asma juga berbeza antara pesakit; bergantung kepada keprihatinan setiap orang mengawal penyakit mereka.

    Walaupun asma tidak boleh sembuh namun ia boleh dirawat secara berkesan. Kajian menunjukkan rawatan yang betul boleh dicapai oleh hampir semua pesakit dan mengekalkan kawalan asma dengan baik membolehkan mereka melakukan aktiviti digemari. Pada masa sama ia boleh mencegah untuk mendapatkan rawatan kecemasan di hospital.

    Punca asma masih tidak diketahui dan peningkatan jumlah pesakit di seluruh dunia menjadi tanda tanya dalam dunia perubatan moden hari ini.

    Menurut Pengerusi Yayasan Paru-paru Malaysia, Datuk Dr Zainudin Md Zin berkata, di seluruh dunia hampir 300 juta orang menderita akibat asma dan angka ini dijangka akan bertambah seramai 100 juta lagi menjelang 2025.

    "Di Malaysia jumlah anggaran kelaziman asma di kalangan kanak-kanak di antara umur 0 hingga 14 tahun berada pada kadar 4.5 peratus dan 4.1 peratus pula di kalangan dewasa berumur 15 tahun ke atas.

    "Fasa kedua kaji selidik yang dilakukan Asthma Insights and Reality in Asia-Pacifik (AIRIAP) pada 2006 untuk menentukan tahap kawalan asma terkini di 12 kawasan Asia dengan menggunakan indeks kawalan gejala berasaskan ujian Global Initiative for Asthma (GINA) dan ACT.

    "Di seluruh rantau Asia Pasifik, hanya 142 subjek menunjukkan asma terkawal dilaporkan melalui GINA dan daripada baki iaitu 2,997 menunjukkan asma separa terkawal manakala 1,666 tidak terkawal," katanya.

    Tambahnya lagi, di dalam setiap kategori, di kalangan subjek yang diklasifikasikan sebagai tidak terkawal itu menunjukkan mereka mempunyai lebih gejala asma, kekangan melakukan aktiviti lasak dan peningkatan keperluan rawatan kesihatan segera berbanding pesakit yang mempunyai asma terkawal serta separa terkawal.

    "Sebagai penyedia penjagaan kesihatan, kami sentiasa mencari kaedah inovatif dan berkesan untuk merawat pesakit asma. Bagaimanapun, kami juga memerlukan data dan statistik untuk menyokong keselamatan dan keberkesanan satu-satu kaedah itu sebelum yakin menggunakannya. Maka, keputusan AIRIAP 2 ini sangat penting," jelas Dr Zainudin lagi.

    Penilaian kawalan tidak mencukupi adalah faktor penting yang membawa kepada asma yang tidak dikawal baik. Bukan saja ramai pesakit sering membuat anggaran berlebihan mengenai tahap kawalan asma mereka malah penyedia penjagaan kesihatan juga cenderung untuk melakukan kesilapan sama.

    Ia menunjukkan perlunya alatan mudah dan boleh dipercayai untuk mengukur kawalan asma seperti ACT. ACT adalah salah satu alat mengukur kawalan asma yang mengandungi soal selidik terdiri daripada lima soalan merangkumi gejala, kesan seharian, penggunaan ubat penyelamat dan kawalan asma berkaitan dengan diri.

    Kaedah itu terbukti mempunyai hubungan dengan penilaian pakar tentang tahap kawalan asma namun tahap asma teruk memerlukan rawatan kesihatan segera.

    Menurut Pengarah Institut Perubatan Respitori, Datuk Dr Abdul Muttalif, ACT dijadikan panduan kepada doktor mendapatkan maklumat terkini mengenai pesakit asma yang kebiasaannya tidak dikawal rapi oleh pesakit.

    "Ramai pesakit hanya menggunakan ubat penyelamat mereka apabila gejala muncul mengakibatkan serangan asma teruk tanpa mengetahui tahap sebenar keadaan kesihatan.

    "Kami mahu berganjak daripada situasi ini dan sebaliknya menekankan kepentingan kawalan asma supaya pesakit tidak perlu menggunakan ubat penyelamat.

    "ACT adalah alat ringkas yang mudah digunakan serta berkesan dan boleh digunakan oleh semua doktor dan pesakit yang membolehkan tahap kawalan asma diukur lantas membolehkan rawatan yang sepatutnya diberikan," katanya.

    Tambahnya lagi, dengan adanya ACT dalam Bahasa Malaysia, doktor dan pesakit di negara ini kini mempunyai sumber tambahan untuk menentukan tahap kawalan sama dengan lebih baik lagi.

    "Adalah menjadi harapan bahawa dengan data baru ini yang menyokong keperluan sebagai garis panduan yang baru dan diperbaiki, pesakit asma dapat menjalani kehidupan normal dan aktif sekali gus mengurangkan kos rawatan ekoran daripada lawatan kecemasan ke hospital untuk serangan sama teruk," jelas Dr Abdul Razak dengan penuh harapan.

    INFO

    Dua cara mengenal pasti tahap serius pesakit asma:

    1. Pemeriksaan melalui ujian ACT adalah alat mengukur kawalan asma. Ia mengandungi soal selidik terdiri daripada lima soalan merangkumi gejala asma, kesannya dalam fungsi seharian, penggunaan ubat penyelamat dan kawalan asma yang berkaitan diri.

    2. Indeks kawalan gejala GINA:

  • Ia merangkumi gejala waktu siang hari, kekangan aktiviti, malam hari atau terjaga daripada tidur pada waktu malam, keperluan ubat penyelamat serta asma teruk.
  • Asma kronik yang memerlukan rawatan kecemasan menggambarkan kesan penting kepada pesakit dan ia penyumbang utama kos sosial asma.
  • Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Perompak nekad

    Posted: 10 Dec 2011 11:48 AM PST

    KLANG: Beraninya sekumpulan perompak apabila menceroboh sebuah kedai emas ketika premis berhampiran masih dipenuhi pelanggan tanpa menyembunyikan identiti mereka hingga menyebabkan pemiliknya kerugian RM10,000.

    Dalam kejadian jam 8.15 malam di Jalan Tengku Kelana, di sini, kelmarin, pemilik kedai emas itu dan tiga pekerjanya terkejut apabila empat perompak menceroboh premis berkenaan dengan pantas hingga tidak disedari orang awam yang berada berhampiran.


    Suspek berjaya melarikan dua utas rantai, sepasang subang dan dua cincin emas daripada premis berkenaan sebelum menaiki kereta Proton Saga berwarna hitam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, kerugian dialami pemilik itu dianggarkan RM10,000 dan polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan untuk siasatan lanjut.


    "Siasatan awal mendapati suspek adalah lelaki berumur antara 20 hingga 30 tahun dan masing-masing dua daripada suspek berbangsa India dan Melayu.


    "Modus operandi suspek ialah menceroboh kedai dan memecahkan kotak kaca untuk mempamerkan barangan kemas dan melarikannya.

    "Suspek dipercayai menggunakan dua bilah parang dan kapak serta tidak memakai topeng atau topi keledar untuk menyorokkan identiti mereka," katanya kepada media di lokasi kejadian.


    Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Sindiket tipu gelaran ‘Datuk’

    Posted: 10 Dec 2011 11:42 AM PST

    ALOR SETAR: Satu sindiket dipercayai terbabit menipu orang ramai dengan janji boleh mendapatkan gelaran 'Datuk' di negeri ini, didapati turut bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu.

    Difahamkan, sindiket didalangi 'orang kenamaan' itu dikatakan licik memperdayakan mangsa.


    Sindiket itu setakat ini memperdaya sekurang-kurangnya beberapa mangsa, termasuk seorang usahawan bergelar Datuk Seri membabitkan penipuan puluhan ribu ringgit.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pihaknya menerima laporan mangsa yang mendakwa ditipu sindiket berkenaan untuk mendapatkan gelaran Datuk di negeri ini.


    "Kita menyiasat sindiket ini yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan di Lembah Klang dan Kedah. Sindiket ini dipercayai bergiat aktif memperdaya mangsa sejak dua tiga bulan lalu.


    "Setakat ini, seorang mangsa bergelar Datuk Seri menjadi mangsa sindiket berkenaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

    Modus operandi mereka ialah menghampiri mangsa dan mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan golongan tertentu dan bersedia membantu mendapatkan gelaran berkenaan.


    Selain berjanji mendapatkan gelaran Datuk, sindiket berkenaan dikatakan mendakwa boleh membantu mangsa mendapatkan tanah milik kerajaan dengan bayaran tertentu.

    Mereka turut menggunakan nama beberapa agensi kerajaan untuk memperdayakan mangsa, selain memandu kenderaan mewah setiap kali mengadakan pertemuan.


    Bagi memastikan mangsa mudah diperdaya, ahli sindiket dikatakan menyamar sebagai Datuk dan menggunakan pelbagai nama berbeza bagi mengelak dikesan.


    Setakat ini, mangsa yang diperdayakan ahli sindiket itu membuat laporan polis. Berikutan itu, polis menjalankan gerakan memburu mereka disyaki terbabit.


    Sehubungan itu, Syed Ismail menasihatkan orang ramai yang pernah diperdaya atau ditipu sindiket itu supaya membuat laporan di balai polis bagi memudahkan siasatan.


    Metro Ahad difahamkan, mangsa dijanjikan gelaran Datuk oleh ahli sindiket itu mengikut bayaran tertentu tetapi menghilangkan diri selepas menerima bayaran.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Perancang serangan berani mati didakwa

    Posted: 10 Dec 2011 11:23 AM PST

    NEW YORK: Seorang lelaki yang ditahan di Kanada didakwa di mahkamah tinggi di New York atas kesalahan merancang serangan berani mati yang mengorbankan lima anggota tentera Amerika Syarikat di Iraq pada 2009.

    Faruq Khalil Muhammad 'Isa, 38, didakwa di hadapan barisan juri atas kesalahan membunuh, konspirasi untuk membunuh warga Amerika di luar negara dan menyokong konspirasi pejuang untuk membunuh warga Amerika di luar negara, menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya AS.

    Dia ditahan di Kanada. Sebelum ini, dia telah didakwa di Amerika, dan pihak pendakwa sedang mendapatkan perintah ekstradisi.

    Perintah ekstradisi akan didengar di Kanada pada 30 Januari hingga 1 Februari - AFP

    Full content generated by Get Full RSS.

    Pesawat kecil terhempas

    Posted: 10 Dec 2011 11:18 AM PST

    MANILA: Sebuah pesawat ringan persendirian terhempas di kawasan setinggan menyebabkan sebuah sekolah rendah dan beberapa bangunan di bandar kecil dekat Manila, terbakar.

    Kira-kira 11 orang termasuk dua orang kanak-kanak terbunuh, manakala 20 lagi cedera.

    Mereka yang terbunuh, termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat Beechcraft buatan tempatan yang baru berlepas beberapa minit dari lapangan terbang Manila.

    Pasukan penyelamat menemui sembilan mayat dewasa yang rentung, seorang kanak-kanak dan bayi, menurut Setiausaha Agung Persatuan Palang Merah Filipina, Gwendolyn Pang.


    Nahas itu menyebabkan kira-kira 30 rumah terbakar.


    Datuk Bandar wilayah Paranaque, tempat di mana pesawat itu terhempas, Florencio Bernabe berkata, 20 orang yang cedera, dihantar ke hospital untuk rawatan.

    Katanya lagi, api marak turut memusnahkan sebuah sekolah rendah tetapi ia kosong kerana ditutup pada hujung minggu.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Dendam tak padam

    Posted: 10 Dec 2011 11:06 AM PST

    LONDON: Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas menegaskan beliau tidak kisah sekiranya tidak disenangi kerana berterusan menganggap kritikan media mengenai regimnya di Stamford Bridge sebagai "tidak adil".

    Pengendali berbangsa Portugis itu semakin menyelar pengkritiknya sejak kemenangan Chelsea ke atas Valencia Selasa lalu yang menyaksikan pasukannya layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, seolah-olah mengikut jejak langkah rakan senegara dan bekas bos Blues, Jose Mourinho.


    Villas-Boas, yang pernah menjadi kakitangan Mourinho di Stamford Bridge, berasakan kritikan yang dilemparkan terhadap Chelsea sengaja diapi-apikan oleh wartawan yang mengagumi pencapaian Manchester City, sekalipun pendahulu Liga Perdana Inggeris itu 10 mata di depan kelab barat London itu.

    "Banyak perkara yang diperkatakan, kebanyakannya adalah tidak betul," kata Villas-Boas, menjelang pertemuan Blues di gelanggang sendiri menentang City awal pagi Selasa ini.


    "Satu hari saya akan buka pintu sesi latihan kepada anda semua buat beberapa hari dan anda akan lihat bagaimana pemain memiliki bakat dan keupayaan serta keinginan kuat untuk bersaing. Itulah yang kami lakukan ketika menerima kritikan melampau." Beliau berkata: "Adalah adil sekiranya anda semua mengaku pasukan kesayangan media adalah yang memakai kolar biru muda dan bukannya Chelsea.


    "Kami dikalahkan secara tidak adil beberapa kali dan secara adilnya oleh anda semua pada permulaannya. Ia satu hubungan cinta dan benci," kata Villas-Boas yang berusia 34 tahun.

    Namun Villas-Boas berasa lebih dibenci daripada disayangi minggu ini berikutan laporan pertelagahan di bilik persalinan antaranya dan beberapa pemainnya.


    "Jika penyebar maklumat mereka menerima bayaran, dapatkan semula wang itu," kata Villas-Boas, yang terpaksa mengetepikan Alex, Nicolas Anelka dan pemain tengah England, Frank Lampard daripada pasukan ketika menang ke atas Valencia Selasa lalu.

    Ditanya jika beliau peduli jika disukai, Villas-Boas berkata: "Saya tidak kisah." - AFP

    Full content generated by Get Full RSS.

    Ketepi agenda peribadi

    Posted: 10 Dec 2011 10:51 AM PST

    KERANA cintanya dalam sukan olahraga, bekas atlet negara, Zaki Sadri tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan sukan itu namun dengan apa yang berlaku ketika ini cukup mengecewakannya kerana menganggap olahraga sudah sebahagian daripada darah dagingnya.

    Ikuti luahan hati bekas jaguh lompat kijang negara itu yang kini masih lagi memegang rekod sudah berusia 22 tahun kepada wartawan Metro Ahad, AIDA ADILAH MAT.


    METRO AHAD (MA): Apa khabar, adakah anda masih lagi mengikuti perkembangan sukan olahraga biarpun sudah lama meninggalkan bidang ini?

    ZAKI SADRI (ZS): Khabar baik. Walaupun sudah bersara tapi perkembangan olahraga tetap saya ikuti. Maklumlah sudah jadi macam darah daging. Selama 18 tahun saya mengabadikan diri mana boleh saya melupakan olahraga begitu saja dan saya juga menjadi jurulatih untuk skuad Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu.


    MA: Olahraga sekarang ini tidak lekang dengan isu panas apabila pelbagai isu timbul. Sebagai bekas atlet negara, bolehkah anda beri sedikit komen mengenai isu dalaman Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM)?

    ZS: Untuk mengembalikan kegemilangan olahraga, langkah pertama yang perlu diambil adalah menggantikan semua pemimpin atasan. Mereka harus berundur dengan cara terhormat dengan meletak jawatan dan memohon maaf kerana gagal menerajui badan induk selepas sekian lama. Struktur KOM mestilah sebagaimana sebuah agensi korporat yang berusaha mencari penaja dan bukan 100 peratus meminta ehsan kerajaan. Macam sekarang bila tiba untuk buat keputusan pemilihan atlet dan jurulatih, mereka tak ikut pendapat Majlis Sukan Negara (MSN).

    MA: Siapa yang seharusnya bertanggungjawab atau boleh membantu membela nasib atlet olahraga?

    ZS: Masalah ini akan berterusan seandainya ada pihak yang berasakan mereka bijak dan tahu mengenai olahraga secara keseluruhan tapi hakikatnya tidak. Jika rakyat Malaysia ingin melihat perubahan, tindakan segera harus diambil.
    Cadangan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong boleh digunakan. KOM memerlukan revolusi baru seperti projek "Gintong Alay" Filipina yang melahirkan jagoan seperti Lydia de Vega dan Isidro del Prado. Pihak atasan seperti menteri perlu memainkan peranan jika tidak, tak ke mana ibarat anjing menyalak bukit.
    Kita bising di akhbar, orang bagi pelbagai pendapat tapi apa tindakan yang dikenakan terhadap mereka yang menghancurkan sukan ini malah yang lebih perit orang seperti ini mendapat pengiktirafan daripada kerajaan dengan mendapat gelaran Datuk dan Tan Sri dan macam-macam lagi tapi apakah sumbangan mereka.

    MA: Boleh ceritakan pengalaman anda sebagai atlet dan apa perbezaan atlet dulu dan sekarang?

    ZS: Ketika saya bergelar atlet, saya akan pastikan berada dalam kelompok lima terbaik Asia. Jadi tiada masalah untuk menang emas di Sukan Sea. Atlet dulu dan sekarang dari segi latihan tak banyak bezanya. Cuma kesungguhan atlet kurang sedikit walaupun hadiah yang ditawarkan agak tinggi untuk pingat emas.
    Dulu pada zaman saya emas untuk Sukan Sea RM1,500. Sekarang Sukma pun dapat RM5,000 atau mungkin masalah persatuan menyebabkan atlet muak dan malas. Masa saya, latihan adalah perkara utama biar hujan ribut kami tetap berada di trek menunggu jurulatih. Sekarang lain. Pengalaman saya sebagai jurulatih Sukma Terengganu, mereka sangat malas berlatih kalau hujan sikit tak datang berlatih.
    Saya masih ingat ketika saya duduk di Sentul, saya hanya naik motor untuk ke Maybank di Bangi berlatih enam kali seminggu. Hujan pun saya redah, tapi sekarang semua berbeza.

    MA: Pernahkah anda ditawarkan untuk berkhidmat sebagai jurulatih negara?

    ZS: Saya mempunyai kelayakan IAAF Tahap 4 dan pensyarah IAAF untuk Tahap 1 dan IAAF Kids Athletic. Tapi KOM tidak pernah memberi tawaran dan sebenarnya ramai lagi bekas atlet mempunyai sijil IAAF tapi tak ditawarkan. Jika ditawarkan tak ada sebarang hitam putih. Sebagai contoh cuba bayangkan jika kami sudah ada kerjaya tetap dengan gaji RM5,000 setiap bulan ditambah dengan bonus adakah kami nak menerima tawaran RM2,000. Siapa yang mahu berkhidmat dengan keadaan KOM yang tak stabil tu. Biarpun kami layak dan berminat untuk menjadi jurulatih, tapi kami terpaksa pendamkan niat untuk membantu atlet kita.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Hilang arah lepas cerai

    Posted: 10 Dec 2011 01:29 PM PST

    KUALA LUMPUR: Dia layak digelar janda gengster! Selepas diceraikan suaminya, wanita ini cuba melupakan masalah dihadapi dengan cara songsang apabila terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan kumpulan kongsi gelap.

    Lebih memalukan, janda mualaf berusia 28 tahun yang memeluk Islam ketika berkahwin dengan bekas suaminya tiga tahun dulu seakan-akan membelakangi agama dianutinya apabila kini mempunyai dua anak hasil hubungan luar nikah dengan dua lelaki berbeza.


    Usaha wartawan Metro Ahad yang cuba menyelongkar kisah janda ganas ini berhasil apabila penyiasatan dilakukan berjaya menembusi tembok 'kebal' wanita itu.

    Hidup janda dikenali sebagai Zalika atau Ika itu didapati tidak terurus apabila dia tidak lagi bekerja. Disebabkan itu, kehidupannya bersama dua anak yang masih kecil terumbang-ambing dan serba kekurangan, lebih-lebih lagi apabila si ibu menjadi hamba dadah.


    Selepas berjaya memasuki rumah wanita itu menerusi penyamaran, wartawan mendapati Ika tanpa segan silu menghisap syabu di depan anak perempuannya berusia dua tahun.


    Selain itu, keadaan rumah yang sempit, tidak terurus, berbau serta kotor juga tidak sesuai buat wanita ini membesarkan anaknya, termasuk paling kecil berusia empat bulan.

    Menurut Ika yang berasal dari Johor Bahru, pada mulanya dia berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan pekerjaan tetapi selepas beberapa bulan di bandar raya ini, dia mengenali seorang lelaki beragama Islam dan kemudian merancang untuk berkahwin.


    "Masa itu umur saya baru 23 tahun tetapi sudah berjinak-jinak dengan heroin dan syabu. Pada waktu itu juga saya dan keluarga penganut agama Kristian.

    "Tidak lama selepas itu, kami mengikat tali pertunangan dan saya bertekad ingin mempelajari Islam dan memeluk agama itu sebelum kami bernikah serta meninggalkan segala tabiat buruk yang pernah saya lakukan.


    "Selepas berkahwin, keluarga mentua menyambut baik kedatangan saya sebagai saudara baru. Mereka mengajar dan membimbing saya mengenai pelbagai ilmu agama seperti bagaimana mahu menunaikan solat, membaca al-Quran dan menutup aurat seperti memakai tudung," katanya.


    Bagaimanapun, Ika menjelaskan, tanggungjawab terbabit yang sepatutnya dipikul bekas suaminya sering diabaikan dan lelaki itu menyerahkan segala-galanya kepada keluarga.


    "Pada mulanya saya pelik kenapa bekas suami tidak mengajar saya mengenai perkara itu? Saya saudara baru yang harus dibimbing olehnya, tetapi perkara lain pula berlaku.


    "Selepas tiga tahun berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata, tiba-tiba bekas suami benci dan muak melihat saya tanpa sebab. Dia juga secara terang-terangan mengatakan ada teman wanita baru dan ingin menceraikan saya.


    "Hati wanita mana tidak hancur mendengar kenyataan itu, lebih-lebih lagi saya sanggup meninggalkan keluarga kerana cinta dan sayang kepadanya," katanya.


    Selepas diceraikan, kedua-dua anak wanita ini diambil bekas suaminya. Patah hati dengan tindakan itu dan bergelar janda pada usia 26 tahun, Ika mengambil keputusan tidak lagi menjalin ikatan dengan keluarga bekas suami dan mencari hala hidup baru.


    Bagaimanapun, sinar dicari tidak ditemui apabila wanita ini mula berkawan dengan rakan lamanya. Sejak itu, Ika kembali mengambil dadah untuk melupakan masalahnya serta mengamalkan seks bebas sehingga terlanjur dengan teman lelaki.


    "Selepas bercerai, saya seakan-akan hilang arah dan tidak tahu ke mana ingin dituju. Walaupun keluarga masih menerima saya, saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana mereka juga bukan orang senang.


    "Saya mengambil keputusan untuk hidup sendirian dan bergaul semula dengan teman lama. Lama-kelamaan, saya kembali mengambil dadah, melakukan seks bebas dan menyertai kumpulan kongsi gelap untuk melepaskan tekanan hidup," katanya.


    Selepas dua tahun menjanda, Ika tidak mempunyai kerja tetap dan kadangkala hanya menjadi pelayan separuh masa di sebuah restoran berdekatan rumahnya bagi menyara kehidupannya dan dua anak tidak sah taraf terbabit.


    Menurut anak kedua daripada tujuh beradik ini, dia tidak mempunyai kelayakan untuk mendapatkan kerja yang baik, malah akibat pengambilan dadah, tingkah laku yang berbeza membataskan pergaulannya dengan orang ramai.


    "Saya tidak ada keyakinan untuk mencari pekerjaan. Yang boleh saya lakukan ialah mencari kerja separuh masa saja. Walaupun tidak cukup untuk menampung belanja saya dan anak, sedikit sebanyak ia membantu. Paling tidak, saya menjadi 'pusher' menjual dadah secara kecil-kecilan.


    "Kadangkala, kawan terdekat dan keluarga turut memberi bantuan untuk saya menyediakan keperluan dua anak. Walaupun tidak mewah, ia memadai bagi kami meneruskan kehidupan," katanya.


    Meskipun sudah lama terjebak dengan pelbagai gejala sosial sehingga membinasakan dirinya, Ika masih mengharapkan peluang kedua untuk kembali ke jalan asal.


    Namun, sehingga kini apa saja dilakukannya menjadi serba tidak kena dan sering tersalah arah. Malah, Ika juga sedar tabiatnya menghisap dadah boleh mempengaruhi anaknya dan membinasakan hidup mereka.


    "Saya seakan-akan berputus asa untuk meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi hidup saya tidak terurus dan sering berdepan masalah.


    "Sebenarnya, saya pernah terfikir untuk menyerahkan dua anak ini kepada rumah kebajikan tetapi tidak sanggup berpisah dengan mereka.


    "Saya sedar perangai buruk saya akan turut memakan diri mereka. Namun begitu, saya hanya ada mereka sebagai penguat semangat," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Sesal hubungan berlaku

    Posted: 10 Dec 2011 01:29 PM PST

    KUALA LUMPUR: "Saya bukan perampas, tapi dia adalah playboy yang menyembunyikan status sebenar," kata penyanyi muda berbakat, Amanda Imani, 20, yang dituduh menjalin kasih dengan seorang penyanyi tampan dari negara jiran, sedangkan lelaki itu bakal bertunang tidak lama lagi.

    Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Selamilah Cinta itu, dia berkawan rapat dengan penyanyi berkenaan kerana lelaki itu tidak pernah memberitahu sudah memiliki kekasih ketika peringkat awal perkenalan.


    Akibat salah faham, peminat kedua-dua artis berkenaan yang mengetahui kisah percintaan mereka mula menuding jari ke arah Amanda dan melepaskan kata-kata kesat, termasuk menggelarnya perampas menerusi laman sosial Facebook dan twitter.

    Ikuti luahan hati dan penjelasan Amanda terhadap segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya.


    "Sebenarnya, saya berfikir panjang sebelum membawa perkara ini kepada media. Lagipun, ini sekadar kisah percintaan biasa dan tidak bersangkut paut dengan isu besar yang boleh dikongsikan bersama.


    Namun, hari demi hari saya menjadi tertekan dan murung apabila setiap kali membuka twitter dan Facebook, pasti ada peminat saya atau peminatnya menghentam saya dengan pelbagai tuduhan.

    Sebab itu, atas nasihat mama dan kawan yang lebih lama dalam industri ini, saya memberanikan diri untuk bercerita mengenai perkara ini dengan tujuan membersihkan nama saya serta menceritakan kisah sebenar.


    Saya mula mengenali penyanyi terbabit ketika berada di negara berkenaan untuk menghadiri satu majlis anugerah popular yang diadakan awal tahun ini. Kebetulan, kami sama-sama terbabit dalam anugerah itu dan berkolaborasi mencipta lagu dan sebagainya.

    Kemudian, hubungan sebagai kawan menjadi lebih akrab. Begitupun, sebelum mengenali hati budi masing-masing, saya bertanya sama ada dia mempunyai hubungan dengan wanita lain dan dia menafikannya.


    Pada mulanya saya keberatan untuk mempercayainya tetapi selepas melihat kesungguhannya bersama saya dan dia begitu baik kepada keluarga saya, saya menerimanya.


    Selama enam bulan berkawan, setiap hari dia menelefon untuk bertanya khabar. Malah, jika tidak dapat menghubungi saya, dia menelefon mama untuk bertanya keadaan saya.


    Ketika saya dan keluarga bercuti di sana, pasti dia menawarkan diri menemani kami dan membawa kami bersiar-siar. Malah, dia benar-benar menunjukkan dia tidak mempunyai hubungan di sana dan tanpa segan silu membawa kami berjalan sekitar negara itu.


    Begitupun, baru-baru ini saya menerima mesej dihantar seorang wanita menerusi laman twitter yang meminta saya tidak mengganggu penyanyi itu lagi.


    Saya kebingungan, kemudian wanita terbabit menjelaskan dia adalah kekasih lelaki itu dan mereka akan bertunang tidak lama lagi.


    Selaku wanita, pastinya saya patah hati dan kecewa apabila mengetahui hubungan terbabit adalah pembohongan semata-mata, lebih-lebih lagi mama juga merestuinya.


    Tidak cukup dengan itu, wanita berkenaan beberapa kali menghubungi saya melalui mesej di laman sosial untuk meminta saya meninggalkan teman lelakinya supaya mereka dapat hidup bersama. Dia juga menuduh saya sebagai perampas.


    Akhirnya, saya cuba mendapatkan kepastian daripada penyanyi itu dan selepas berkali-kali didesak, dia hanya meminta maaf atas apa jua yang berlaku tetapi masih tidak mahu mengakui kesalahannya.


    Keadaan menjadi bertambah buruk apabila rakannya turut menuduh saya dan mengatakan saya bersalah dalam hal ini, sedangkan mereka juga tahu perkara sebenar.


    Pada masa sama, cerita ini merebak kepada peminat dan ramai meminta saya mengundur diri. Saya tidak salahkan peminat dan wanita itu kerana mereka tidak tahu cerita sebenar.


    Mungkin ini strategi lelaki itu dalam mencari kepuasan hidup dan mereka pelbagai cerita kepada teman wanitanya. Mungkin juga dia menyatakan saya yang mengganggu hidupnya dan mencipta cerita supaya nampak 'mulia' pada kaca mata orang ramai dan peminat.


    Yang pasti, saya malu diperlakukan begini dan seakan-akan menjadi mangsa seorang 'playboy'. Sebagai penyanyi, sudah tentu cerita sebegini sungguh memalukan dan boleh 'membunuh' kerjaya saya.


    Jika ia tidak berpanjangan dan tidak membabitkan sesiapa, sudah pasti saya juga berdiam diri dan berundur cara baik. Lagipun, ramai lagi lelaki lebih mulia di dunia ini untuk dijadikan teman.


    Saya menyesali hubungan ini dan seakan-akan tersalah langkah memilih walaupun pada mulanya saya tidak mencari lelaki untuk dijadikan teman. Semuanya datang dengan sendiri.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved