Jumaat, 23 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Hiasan manik tambah cantik

Posted: 23 Nov 2012 06:45 AM PST

MENGAMBIL inspirasi gaun koktel serta gabungan busana perkahwinan yang hebat, terciptalah rekaan yang bukan saja sesuai meraikan mempelai tetapi boleh digayakan untuk pelbagai acara. Melihat setiap helaian, ternyata pereka bukan saja mengetengahkan kreativiti menerusi perincian memukau tetapi menerapkan unsur moden dan tradisi pada setiap busana.

Membelek setiap pakaian yang dipamerkan di butik Arma Abd Rahman Wedding Couture nyata mencipta kekaguman tatkala melihat jahitan manik, batu permata dan jemeki disusun cantik pada bahagian tertentu. Walaupun nampak ringkas, keistimewaan dalam pemilihan fabrik serta perincian digunakan menjadi unsur penting yang menjadi pengenalan jenama ini.

Menurut Arma Abd Rahman, seni dalam rekaan bukan saja terletak pada potongan tetapi keharmonian menerusi pemilihan, bentuk, susunan serta jahitan manik.
Keistimewaan ini tidak hanya didapati dengan mengikuti pembelajaran formal tetapi daripada pengalaman untuk melihat mempelai anggun tatkala melayari hari bahagia.

"Selain potongan yang terletak cantik pada tubuh si pemakai, saya mengetengahkan kreativiti menerusi perincian manik dan jemeki yang mungkin tidak diperoleh daripada pereka lain. Apa yang saya tampilkan walaupun nampak ringkas, mempunyai keindahan tersendiri tatkala disarungkan pada tubuh wanita," katanya.

Bagi menonjolkan kemewahan, bekas penuntut jurusan fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini mempunyai kriteria tersendiri dalam pemilihan fabrik.

Tidak hanya mengamalkan konsep 'tangkap muat' tetapi Arma amat teliti kerana di sinilah letaknya kualiti yang menjadi tonggak kesetiaan pelanggan terhadap jenamanya.

"Antara kain digunakan ialah sifon, renda, satin, taffeta dan sutera yang sedikit tebal bagi memberikan alunan segar kepada si pemakai. Selain itu, fabrik ini menyerap peluh, selesa serta membangkitkan keserian apabila ditambah manik dan mutiara swarovski," jelasnya yang lebih menggemari fabrik polos berbanding bercorak.

Bukan hanya tertumpu kepada gaun persandingan, menyedari pelanggan yang inginkan pakaian yang boleh disesuaikan ke majlis makan malam atau koktel, lantas Arma mencipta potongan sederhana menerusi gaun labuh, baju kurung berpotongan moden dan ilusi kaftan, kemudian ditambah juraian pada bahu dan hujung baju.

Manik ditambah pada bahagian yang menjadi tumpuan seperti bahu, lengan, pinggang, leher dan hujung baju. Hasilnya, ia bukan saja menyerlahkan keanggunan raja sehari tetapi kejelitaan tatkala menghadiri majlis eksklusif mewah.

"Ketika ini rentak dalam pemilihan pakaian pengantin semakin berubah mengikut peredaran zaman. Tiada lagi mempelai yang inginkan busana sarat yang hanya mampu dipakai ketika majlis perkahwinan, sebaliknya potongan moden serta fleksibel sering menjadi tumpuan," katanya.

Warna segar seperti biru kelasi, jingga, keemasan, merah serta rona pastel seperti putih, krim, kelabu dan perak turut ditampilkan sebagai pilihan. Bagi mereka yang gemarkan rona terang, usah bimbang kerana pemilihan fabrik tidak keterlaluan dan nampak lembut dipandang. Begitu juga dengan warna malap pastinya membangkitkan unsur kemewahan serta eksklusif, apatah lagi sekiranya majlis berkonsepkan dalam taman.

Butik yang terletak di Seri Kembangan ini bukan saja menampilkan busana mewah tetapi juga khidmat jururunding perkahwinan daripada hujung rambut hingga kaki. Malah rekaan pelamin, hantaran serta cenderahati turut disediakan bergantung kepada konsep majlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



Kasut selesa di kaki

Posted: 23 Nov 2012 06:24 AM PST

SAMA pentingnya dengan pemilihan beg tangan, pakaian atau solekan, keperluan sepasang kasut tidak sesekali dipandang sebelah mata oleh wanita.

Mana tidaknya, ia satu kemestian terutama kepada mereka yang sukakan fesyen dan berdandan. Tidak lengkap rasanya sesuatu gaya itu tanpa kehadiran kasut sesuai untuk membaluti kaki sebelum melangkah keluar rumah.

Kini terdapat pelbagai rekaan kasut di pasaran dengan bentuk yang unik, versatil dan menyerlah, sekali gus memberi pilihan kepada wanita untuk mempelbagaikan penampilan sama ada bagi acara rasmi atau kasual.

Jenama NYC yang mengambil serius mengenai penampilan wanita misalnya, memperkenalkan koleksi terkininya dengan memberi tumpuan kepada kasut baji dan tumit tinggi.


Kasut baji jenama ini terdapat dalam pelbagai warna anggun seperti hitam, coklat gelap, putih dan merah menawan.


Koleksi kasut terbaru ini menampilkan empat rekaan berlainan dan sesuai untuk semua jenis majlis dihadiri sama ada makan malam, membeli-belah, acara santai mahupun kegunaan ke pejabat.

NYC juga memperkenalkan kasut tumit tinggi dengan rekaan ala gladiator dalam empat warna yang menarik iaitu emas, perak dan hitam dengan sedikit jalur dan berkilau.

Ini secara tidak langsung dapat menyerlahkan gaya seksi si pemakai dan pada masa sama, praktikal serta dapat meningkatkan keyakinan dan mencerminkan gaya tersendiri mereka.

Selain itu, jenama ini menawarkan gaya kasut bertapak rata yang terbuka sedikit di bahagian depannya untuk penampilan lebih bersahaja yang lebih digemari golongan remaja dan wanita berusia.

Ia boleh didapati dalam warna hitam, coklat dan kuning air. Rekaan ini memang amat serasi dengan kontur kaki bagi memberikan keselesaan yang diingini.

Menggunakan fabrik bermutu dan berkualiti tinggi, setiap rekaan sesuai digayakan untuk semua majlis serta paling penting, ia selesa. Harga ditawarkan pula bermula antara RM99.90 hingga RM129.90.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Cedera jatuh bumbung

Posted: 22 Nov 2012 11:59 AM PST

SUNGAI BULOH: "Apabila nampak penjenayah depan mata, saya tidak fikir bahaya, sebaliknya hanya mahu tangkap mereka" kata Inspektor Saiful Bahari Yunus, 28, yang cedera terjatuh dari tingkat dua rumah teres ketika menyertai serbuan bagi menahan suspek kes curi kereta di Subang Perdana, Kampung Baru Subang, dekat sini, Selasa lalu.

Saiful yang bertugas di Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, kerana patah tangan kiri dan tulang pipi kiri.


Menurutnya, ketika serbuan jam 5.40 petang itu, beliau bersama beberapa pegawai dan anggota lain menyerbu rumah teres di Subang Perdana itu bagi menahan sembilan suspek kes curi kereta.

"Saya nampak dua suspek memanjat bumbung untuk melarikan diri. Saya dan seorang lagi anggota turut memanjat bumbung itu untuk mengejar mereka dan menahan dua lelaki terbabit.


"Namun, tiba-tiba atap genting tempat saya berdiri pecah menyebabkan saya terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya yang ditemui di HSB ketika menerima lawatan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, semalam.


Lebih menyedihkan, isterinya, Nor Hazwani Abdul Halim, 29, tidak dapat melawat atau menjaganya di hospital kerana berpantang anak kedua mereka di Ipoh, Perak.

Saiful yang sudah tujuh tahun berkhidmat berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus membanteras jenayah.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam, berkata, sebelum kejadian seorang penyelia berusia 46 tahun disamun empat lelaki bersenjata parang di Bukit Puchong.

"Dalam kejadian jam 4.50 petang di depan pasar raya Tesco Bukit Puchong, suspek yang menaiki Honda Civic mengacukan parang ke arah mangsa dan mengarahkannya serta dua saksi kejadian, mendiamkan diri. "Mereka melarikan kereta mangsa jenis Toyota Hilux bernilai RM102,000. Mangsa membuat laporan polis dan satu gerakan mengesan suspek dilakukan," katanya.


Sepasukan polis termasuk Saiful mengesan suspek dan mereka menyerbu rumah teres disyaki dihuni kumpulan terbabit.


"Hasil serbuan, sembilan lelaki berusia 18 hingga 30 tahun termasuk dua suspek yang cuba meloloskan diri ditahan. Polis merampas tujuh kenderaan iaitu dua Toyota Hilux, dua Proton Wira, Proton Satria, Proton Saga dan Honda Civic.


"Turut dirampas tiga parang disyaki digunakan bagi melakukan jenayah manakala semakan mendapati semua kereta dilaporkan dicuri di Selangor dan Pulau Pinang," katanya.


Mohd Adnan berkata, semua suspek yang aktif mencuri kereta lebih setahun lalu, kini direman sehingga 23 November ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



2,020 ibu tunggal saman RM10.9 juta

Posted: 22 Nov 2012 11:56 AM PST

SHAH ALAM: Seramai 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman berjumlah RM10.9 juta terhadap kerajaan Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana gagal memberikan elaun ibu tunggal seperti dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-12.

Saman itu difailkan di kaunter pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini, jam 9.20 pagi semalam, melalui Tetuan Kamarudin & Partners melalui peguam Kamarudin Ahmad.


Kira-kira 50 wakil ibu tunggal hadir di kompleks mahkamah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ketika saman berkenaan difailkan sebagai tanda sokongan terhadap saman difailkan.

Dalam pernyataan tuntutan yang diketuai Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman mendakwa kerajaan Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat dalam manifestonya akan memberi elaun, tetapi tidak menunaikan janji berkenaan.


Negeri Selangor dan Abdul Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, didapati gagal membayar elaun ibu tunggal RM100 seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Rakyat (PR) selama 54 bulan bermula 1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012 kepada semua plaintif dengan jumlah keseluruhan RM10,908,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Ancam emak demi nafsu

Posted: 22 Nov 2012 12:17 PM PST

JITRA: Seorang lelaki yang ditinggalkan isteri tergamak mengusir ibu kandungnya keluar dari rumah mereka di Kampung Malau, di sini, semata-mata untuk memadu kasih dengan pasangannya sejak seminggu lalu.

Tindakan lelaki berusia 30 tahun yang masih berstatus suami orang itu terbongkar apabila dia dan pasangannya dicekup kerana disyaki berkhalwat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP), pada jam 11.45 malam kelmarin.

Menurut sumber penguat kuasa agama daerah, sebelum melakukan serbuan, pihaknya menerima maklumat lelaki terbabit mengusir ibunya daripada rumah itu semata-mata untuk membolehkan dia tinggal bersama teman wanitanya.

"Maklumat itu kami peroleh daripada pengadu yang juga pihak yang rapat dengan lelaki terbabit dan pengadu itu memberitahu tindakan keji lelaki terbabit menyebabkan ibunya terpaksa menumpang di rumah jiran.


"Malah, ibunya takut pulang ke rumah kerana anaknya mengugut mahu membunuhnya jika dia pulang," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



Ahli ‘motor besar’ maut

Posted: 22 Nov 2012 12:17 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang maut manakala enam lagi parah dalam kemalangan membabitkan konvoi 12 motosikal berkuasa tinggi dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13.6 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) sebelum susur Subang Jaya di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Ishak Jaafar, 53, ahli Kelab Kota Tinggi Bikers manakala isteri mangsa yang cedera parah, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Antara mangsa yang cedera parah ialah Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor, Asisten Superintendan Kamardin Yusof yang sedang bercuti.

Difahamkan, Kamardin bersama konvoi kelab motosikal berkuasa tinggi itu dalam perjalanan ke Phuket, Thailand, dan beliau patah tangan kanan.


Menurut sumber polis trafik, kemalangan berlaku apabila kenderaan SUV jenis Honda CRV yang berada di laluan tengah lebuh raya berkenaan, menukar laluan secara tiba-tiba.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


400 pokok ganja ditanam dalam 7 bilik tidur rumah mewah

Posted: 22 Nov 2012 07:43 AM PST

LONDON: Sebuah ladang ganja yang "canggih dan mewah" ditemui polis di bangunan tidak dijangka sebuah kediaman mewah berciri zaman silam bernilai 750,000 (RM3.7 juta), semalam.

Di rumah mewah itu, polis Britain menemui pokok ganja bernilai 160,000 (RM781,500) yang ditanam di semua tujuh bilik tidur yang ada.


Rumah itu terletak di Whitworth, berhampiran Rochdale.

Bangunan berkenaan yang dikelilingi taman dan tiga ruang tamu, kini ditawarkan untuk dijual pada harga RM3.7 juta.


Ejen hartanah menganggap bangunan itu sebagai unik kerana dibina dengan ciri era zaman Victoria. Jurucakap polis berkata, kira-kira 400 pokok ganja ditemui ditanam dalam rumah itu dan membesar dengan bantuan haba dari lampu dan kipas. Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan kerana disyaki membekalkan pokok ganja itu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22



Berhati-hati! Ada rumah di tengah jalan

Posted: 22 Nov 2012 07:39 AM PST

HANGZHOU: Sebuah bangunan apartmen berada di tengah-tengah sebatang jalan baru dibina apabila sepasang suami isteri warga emas enggan berpindah, lapor media semalam.

Luo Baogen dan isterinya enggan meninggalkan kediaman mereka di bandar Wenling di wilayah Zhejiang, China, walaupun separuh daripada bangunan itu dirobohkan.


Menurut media, pasangan terbabit enggan berganjak daripada keputusan mereka kerana mendapati pampasan disediakan kerajaan tidak mencukupi.

Akibatnya, laluan berkenaan terpaksa dibina mengelilingi apartmen itu dan mewujudkan landskap aneh di bandar berkenaan. Untuk memastikan keselamatan pasangan terbabit, kerajaan memutuskan tidak merobohkan unit bersebelahan kediaman mereka.


Semua penghuni apartmen berkenaan berpindah ke tempat lain sebelum ini. Kerajaan membina laluan berkenaan untuk menghubungkan perkampungan Xia Zhangyang dengan stesen kereta api Wenling yang belum dibuka secara rasmi. Menurut Luo, pampasan ditawarkan kerajaan tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan semula rumahnya. Sebelum ini, bangunan persendirian di China dirobohkan dengan mudah bagi memaksa orang awam berpindah.


Namun, undang-undang kini diperketatkan dan mana-mana pihak dilarang merobohkan bangunan persendirian secara paksa atau tanpa persetujuan dengan penghuninya. Golongan pemilik bangunan yang berdegil itu dikenali sebagai "Pemilik Paku" - merujuk kepada paku yang sukar dicabut dari kayu lama tanpa menggunakan tukul besi. Awal tahun ini, sepasang suami isteri warga emas yang menetap di dua bangunan usang bersama anak lelaki mereka di Taizhou, Zhejiang, bersetuju pada peringkat awal menjual kediaman mereka selepas menerima pampasan bernilai RM39,000.

Namun, mereka menukar fikiran dan memulangkan wang pampasan berkenaan sejurus selepas kerja membina jalan dimulakan. Dalam kes lain, juga awal tahun ini, dua penduduk Zaozhuang bertegas enggan meninggalkan rumah mereka yang sepatutnya dirobohkan pemaju tempatan. Kedegilan itu menyebabkan pasangan berusia 60-an itu hidup di tengah-tengah projek pembangunan pencakar langit. Pasangan terbabit juga sering diganggu samseng, selain menghadapi beberapa cubaan merobohkan rumah berkenaan. Kemudahan asas di situ dipotong pada 2009, selaras dengan projek pelaksanaan pembinaan di sekitar rumah berkenaan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Mahu watak lebih mencabar

Posted: 22 Nov 2012 05:32 AM PST

"NAMPAK macam Sahara Yaacob tak?" seloroh Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan, 28, sambil menggoyang-goyangkan kepalanya. Aksi spontan Johan itu tercetus ketika hadir ke studio Balai Berita, NSTP untuk sesi fotografi bersama Harian Metro, baru-baru ini.

Dia merujuk kepada fesyen rambutnya yang kerinting dan menggerbang itu tidak ubah seperti Sahara Yaacob, penyanyi rock dan blues terkenal pada tahun 80-an.

Nyata aksi Johan pada petang itu cukup menghiburkan hati sebagaimana kita melihat telatahnya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan juga pentas Maharaja Lawak.

Hadir ditemani isterinya, Ozlynwati, Johan juga tidak henti-henti mengusik jurukamera tatkala diminta menggayakan pelbagai aksi yang diminta.


Selain Johan, Nabil atau Nabil Ahmad juga hadir sama kerana mereka berdua digandingkan dalam filem terbaru, Pontianak vs Orang Minyak yang bakal menemui penonton di pawagam tanah air mulai semalam.


Filem ini adalah gandingan kedua mereka selepas masing-masing disatukan dalam filem Bujang Terlajak. Diarahkan Afdlin Shauki, Pontianak vs Orang Minyak bergenre komedi seram turut membariskan ramai pelakon hebat antaranya Sharifah Shahirah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Khir Rahman dan Fizz Fairuz.

Mengakui semakin kerap ditawarkan peranan komedi, Johan berharap dapat keluar daripada kepompong watak yang sama kerana bimbang lama kelamaan penonton akan bosan.

"Saya akui untuk tahun ini saja hampir 15 tawaran filem terpaksa saya tolak berikutan semuanya menawarkan watak komedi. Memang saya seorang pelawak dan pastinya watak komedi lebih sinonim dengan diri, namun begitu sampai bila saya akan berada dalam watak sedemikian? Satu hari nanti saya juga mengharapkan watak yang serius.

"Pernah juga saya ditawarkan watak serius tetapi masa itu jadual kerja saya bertembung dengan waktu penggambaran lain menyebabkan saya terpaksa menolak tawaran itu.

Saya berharap satu hari nanti peluang memegang watak serius akan datang semula.

"Di samping itu, ia juga dapat membuktikan kepada penonton walaupun seorang
pelawak, saya juga mampu membawakan watak serius atau mungkin juga watak jahat," katanya yang kini sibuk dengan musim baru Maharaja Lawak Mega 2012.

Selain berlakon, Johan juga bergelumang dengan tugas rutinnya di konti Era FM bersama Hanif dan Ray, setiap pagi. Nyata kesibukan itu berbaloi apabila Era FM kini dinobatkan sebagai stesen radio paling popular di Malaysia.

Bagi Johan, itu semua adalah rezeki dan kerja keras semua kakitangan Era FM bagi menaikkan semula 'rating' mereka.

"Mungkin ada yang berkata kejayaan ini kerana kehadiran saya yang berjaya menyerikan suasana sehingga menarik pendengar untuk setia bersama Era.

"Pada pendapat saya, ini adalah usaha dan kerja keras semua kru Era FM yang sentiasa berani melakukan perubahan demi kepuasan pendengar kami," katanya.

Selain gembira dengan kejayaan itu, Johan terharu apabila rancangan komedi lakonannya Elly & Epit berjaya memenangi kategori Siri Komedi Terbaik pada Anugerah Skrin 2012, baru-baru ini.

"Alhamdulillah banyak kejayaan yang saya peroleh sejak kebelakangan ini dan semua ini adalah kerjasama daripada semua pihak yang banyak memberi peluang kepada saya. Justeru, bukan hendak memilih watak. Saya berharap biarlah diberikan peranan yang memberi kesan mendalam kepada penonton," katanya.

Kenapa Nabil tarik 'brek'?

SEPERTI Johan, Nabil juga semakin selektif dalam pemilihan watak. Menurutnya, dia terpaksa menarik 'brek' selepas filem Pontianak vs Orang Minyak kerana selepas ini perlu memberi lebih fokus terhadap kerjaya sebagai penyampai radio, selain sibuk dengan program terbaru Astro, Meletop, bergandingan dengan aktres cantik, Neelofa.

"Saya mengimpikan satu watak yang berjaya memberi kesan bukan hanya pada penonton tetapi pada pihak produksi sendiri. Ada sesetengah filem, jalan cerita tidak menarik tetapi disebabkan pelakon yang terbabit popular, ia mendapat sambutan namun hakikatnya filem itu tidak memberi kesan mendalam kepada semua.

"Saya tidak mahu perkara itu berlaku pada saya. Semakin lama berada di dalam industri ini, saya melihat dari pelbagai sudut. Justeru, saya berharap dapat berlakon di bawah arahan pengarah yang berkaliber seperti Afdlin dan Mamat Khalid.

"Seperti filem Pontianak vs Orang Minyak, saya lihat filem ini memberi kesan kepada diri kerana ia cabaran baru apabila buat pertama kali kelainan cuba ditampilkan apabila lelaki menjadi puntianak yang biasanya kita hanya dengar puntianak adalah seorang perempuan," katanya.

Tidak mahu watak komedi terus membayangi dirinya, Nabil berharap dapat diberikan watak yang lebih mencabar seperti polis dan penjenayah.

Berminat dengan tawaran melakonkan peranan Pontianak dalam filem Pontianak vs Orang Minyak, Nabil melihat dari pelbagai sudut di mana ia satu kelainan yang cuba ditampilkan pengarahnya.

Ia juga pengalaman baru buat Nabil apabila pertama kali melakonkan watak hantu walaupun peranannya dalam filem ini dibawakan secara komedi.

"Sebagai pelakon dan pelawak, saya tidak mahu terus dilabel kaki lawak. Apabila sudah menjadi pelakon, pastinya saya mengimpikan diberi pelbagai watak sama seperti pelakon lain.

"Sekurang-kurangnya jika mendapat watak komedi, biarlah komedi itu berjaya memberi kesan kepada semua dan bukan hanya komedi semata-mata," katanya yang bakal menimang cahaya mata beberapa bulan saja lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22



Hot FM, Usop tak gaduh

Posted: 22 Nov 2012 05:22 AM PST

DUA tahun lalu, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) nyata berjaya melonjakkan nama Shy8 sebagai pelakon komedi popular. Malah, berpaksikan gelaran 'Usop Wilcha', dia memahat nama sebagai anak seni yang diminati ramai.

Hingga kini nama Usop Wilcha cukup sinonim dengannya termasuk di konti radio Hot FM.

Pun begitu, Shy8, 47, akhirnya memaklumkan kepada pihak media mengenai keputusannya untuk mengundur diri sebagai penyampai radio Hot FM yang disertai sejak 16 Jun tahun lalu. Bersandarkan alasan kukuh seperti faktor pengurusan masa dan usia, Shy8 nekad dengan keputusannya dan tidak kisah apa reaksi masyarakat.

Malah, dia juga menafikan wujudnya sebarang pergeseran atau bergaduh dengan mana-mana pengurusan stesen radio popular itu.


Bagaimana pula penerimaan pihak pengurusan Rangkaian Radio Media Prima Berhad (MPB) berikutan tindakan mengundur diri yang dibuat Shy8 memandangkan kontrak yang ditandatanganinya masih berbaki enam bulan lagi?


Justeru, dalam kenyataan media yang dikeluarkan pengurusan Rangkaian Radio MPB, semalam, mengumumkan, Shy8 atau nama sebenarnya, Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullail akan menamatkan kontraknya sebagai penyampai Hot FM pada 30 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul berkata, penamatan kontrak itu dibuat atas sebab Shy8 atau Usop ingin memberikan sepenuh fokusnya terhadap beberapa projek beliau seperti penulisan skrip bagi filem Mamat Khalid serta mengikuti promosi filem lakonannya yang akan ditayang tidak lama lagi.

"Selain itu, Usop juga giat melaksanakan program bual bicara yang akan dihoskan sendiri. Jadi, kami amat menghormati keputusannya itu. Lagi pun, sepanjang berkhidmat di bawah Hot FM, Usop adalah seorang yang sangat berdedikasi dan bertanggungjawab.

"Dia cukup komited dengan tugas selaku seorang penyampai radio serta kreatif sebagai kakitangan di belakang tabir. Dia turut menyumbangkan penghasilan lirik lagu parodi yang dinyanyikan Hot FM AM Krew," katanya.

Menurut Seelan lagi, beliau yang mewakili Hot FM ingin merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Usop sepanjang pembabitannya bersama stesen itu. Bahkan, katanya pihak pengurusan radio juga sedia memberi sokongan berterusan serta bergabung dengan Usop bagi projek yang akan datang.

Berhubung laporan pihak media tempatan, kelmarin, Shy8 turut menolak dakwaan pengundurannya sebagai penyampai radio disebabkan populariti diri yang sudah merudum. Katanya, tindakan itu dilakukan kerana faktor pengurusan masa dan usia.

"Sekarang, saya dah berumur 47 tahun. Saya sudah tidak larat untuk melakukan kerja lain pada waktu malam dan terpaksa pula bangun awal pagi untuk menghiburkan pendengar di radio. Justeru, keputusan yang saya ambil ini sebenarnya demi komitmen masa untuk keluarga dan terbabit dalam cabang seni lain.

"Saya juga tidak kisah dengan segala persepsi masyarakat mengenai pengunduran ini termasuk jika ada yang mengaitkan saya gagal membantu meningkatkan peratus pendengar radio Hot FM. Terpulanglah, orang hendak cakap apa," katanya.

Jelas Shy8, sehingga kini masih ramai lagi yang menyokong kerjaya seninya.
Bahkan, apa yang pasti soal pengundurannya di Hot FM sudahpun lama dibincangkan dengan pihak pengurusan radio berkenaan dan keputusan itu seharusnya dihormati.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Tak makan puji

Posted: 22 Nov 2012 07:30 AM PST

"MUNGKIN itu hanya permainan psikologi mereka, kata ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal mengenai pujian yang diberikan dua pencabar utama Malaysia dalam saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF, Indonesia dan Singapura.

Jurulatih Indonesia, Nil Maizar dan rakan sejawat di Singapura, Radojko Avramovic secara terbuka menyatakan juara bertahan, Malaysia sebagai pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan edisi kali ini meskipun gagal menyerlah dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.


Bagi Rajagobal, beliau tidak mahu terlalu memikirkan pandangan pasukan lain sebaliknya fokusnya kini lebih terarah kepada perlawanan pertama menentang Singapura.

"Saya sudah menyatakan sebelum ini, untuk memenangi kejuaraan lebih mudah daripada mempertahankannya. Sebagai tuan rumah, kita perlu berikan aksi terbaik.


"Langkah pertama kita adalah untuk mara ke separuh akhir terlebih dulu dan penting untuk kita mencapai keputusan baik menentang Singapura pada perlawanan pertama," katanya yang ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.


Selain finalis 2010, Indonesia dan juara tiga kali Singapura, Malaysia turut berdepan pasukan pusingan kelayakan, Laos dalam kempen Kumpulan B Piala AFF.

Menurut Rajagobal beliau melihat kesungguhan dan peningkatan prestasi pemain dalam sesi latihan dan yakin Harimau Malaya akan mempamerkan aksi sebenar pada pertemuan dengan Singapura Ahad ini sekali gus menepis keraguan mengenai kemampuan mereka.


"Sebagai jurulatih, saya harus sentiasa memberi motivasi kepada pemain. Mereka menunjukkan kesungguhan dalam latihan dan saya harap mereka boleh menterjemahkannya dalam perlawanan dengan Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22



Vettel idam juara hatrik

Posted: 22 Nov 2012 07:20 AM PST

SAO PAULO: Selepas membantu Red Bull meraih kejuaraan kategori pengeluar buat kali ketiga berturut-turut di Texas minggu lalu, juara bertahan dunia, Sebastian Vettel mencongak untuk sekali lagi mencipta sejarah muncul pemandu paling muda memenangi kejuaraan dunia buat kali ketiga berturut-turut pada perlumbaan terakhir di Grand Prix Brazil hujung minggu ini.

Pada perlumbaan ke-101 itu, pemandu Jerman berusia 25 tahun itu perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan empat terbaik dan menafikan pencabar tunggal, Fernando Alonso dari Ferrari sekali gus merangkul kejuaraan dunia buat kali ketiga berturut-turut.


Atas kertas, Vettel dilihat agak mudah meraih keputusan itu selepas muncul pemenang empat perlumbaan berturut-turut sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga di Abu Dhabi selepas bermula dari hentian pit serta podium kedua di Austin, Ahad lalu.

Tetapi dia sedar Alonso, 31, serta Ferrari akan melakukan apa saja untuk membolehkan pemandu Sepanyol itu merangkul kejuaraan dunia kali pertama sejak menyertai pasukan itu.


Dia juga sedar ancaman daripada dua pemandu McLaren, Lewis Hamilton dan Jenson Button pada perlumbaan terakhir itu.


Hamilton sudah melaungkan amaran mahu meraih kemenangan ke-20 pada perlumbaan terakhir itu serta hadiah terakhir untuk McLaren kerana bakal berhijrah ke Mercedes, tahun depan.

"Brazil sentiasa menjadi perlumbaan epik untuk saya sepanjang bersama McLaren dan untuk banyak sebab, minggu ini adalah perlumbaan yang cukup bermakna untuk saya," kata pemandu berusia 27 tahun itu.


"Untuk perlumbaan terakhir bersama McLaren, saya bertekad memberikan yang terbaik pada setiap pusingan," katanya.

Pemandu Britain itu sedar dia sentiasa mendapat sokongan padu daripada rakan sepasukan dan McLaren mahu menamatkan musim ini dengan melihat kedua-dua pemandu menaiki podium.


Ia pasti menyukarkan Vettel dan Red Bull yang menyaksikan kelemahan mereka terdedah Ahad lalu apabila Mark Webber gagal menamatkan perlumbaan kerana mengalami masalah alternator buat kali ketiga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22



Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved