Khamis, 4 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tragedi cerita seram pertama

Posted: 03 Oct 2012 11:44 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kegembiraan seorang lelaki menonton cerita seram buat kali pertama dalam hidupnya bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 5.3, Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban arah Sungai Besi berhampiran Desa Petaling, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal, S Kavi Arasu, 21, maut di tempat kejadian kerana parah di kepala selepas tercampak ke tebing jalan manakala penunggang motosikal terbabit yang identiti belum dikenali cedera parah.


Seorang saksi kejadian berkata, motosikal yang dinaiki Kavi bersama rakannya itu terbabas selepas dihimpit sebuah lori yang meninggalkan lokasi sebaik menyedari kedua-dua mangsa terjatuh.

Menurut sepupu mangsa yang dikenali sebagai Ammu, 21, sebelum kejadian itu, mendiang menghubunginya memberitahu baru selesai menonton sebuah drama seram.


"Mendiang memberitahu saya dia sudah dewasa dan bukan lagi seorang yang penakut kerana berjaya menonton cerita seram itu. Sebelum ini, mendiang langsung tidak menonton cerita seram.


"Saya tidak sangka kata-kata dan tindakannya itu tanda mendiang pergi selama-lamanya," katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kilometer 9, Lebuh raya Damansara Puchong (LDP) arah Petaling Jaya, seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.


Kejadian jam 7 pagi itu berlaku apabila mangsa, Mohd Nor Azam Idris, 42, terjatuh daripada motosikal sebelum sebuah kereta yang mengekori merempuh dan mengheretnya kira-kira 10 meter.

Mayat mangsa yang tersepit di bawah kereta terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Radio rosak undang risiko kapal di Pelabuhan Klang

Posted: 03 Oct 2012 11:41 AM PDT

PELABUHAN KLANG: Pelbagai jenis kapal yang keluar dan masuk ke Pelabuhan Klang berisiko mengalami pelanggaran apabila Saluran Marin 12, iaitu radio yang digunakan untuk berkomunikasi rosak sejak seminggu lalu.

Kerosakan peralatan itu menimbulkan persoalan tahap keselamatan navigasi kerana ia komunikasi antara kapal asing, kawalan trafik, malim atau pengendali kapal, pejabat malim dan kapal yang diberi pengecualian malim oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pelabuhan berkenaan.


Menurut sumber, ketika ini semua pihak menggunakan Saluran Marin 16 iaitu saluran komunikasi am antarabangsa yang boleh digunakan semua kapal yang berada di lautan atau di pelabuhan.

"Bagaimanapun, Saluran 16 ini sangat sibuk, ditambah dengan semua komunikasi di Pelabuhan Klang terpaksa menggunakannya. Pihak operator pelabuhan dan LPK tidak mampu mengatasi masalah ini yang berlarutan hampir seminggu.


"Perkara ini mengundang permasalahan serius mengenai tahap keselamatan dalam kawasan perairan Pelabuhan Klang. Keadaan ini diburukkan dengan pengecualian penggunaan khidmat malim atau jurupandu tempatan walaupun kira-kira 100 kapal pelbagai saiz, termasuk kapal kontena yang membawa sehingga 10,000 kontena keluar dan masuk setiap hari," katanya.


Menurut sumber, masalah itu mula berlaku apabila khidmat malim dipisahkan kepada dua pengendali pada 2000 dan menyebabkan operator yang menguruskannya bersaing sehingga mengabaikan aspek keselamatan.

"Pada 27 September lalu, berlaku satu kemalangan antara kapal tangki minyak yang diberikan pengecualian malim oleh LPK dengan kapal yang berada di dermaga Pelabuhan Selatan milik sebuah syarikat dari Taiwan. Kejadian ini menjatuhkan imej pemaliman di Pelabuhan Klang dan secara tidak langsung imej Malaysia kepada dunia luar.


"Kemalangan ini berlaku kerana ketidakcekapan, kurang kemahiran dan kurang kefahaman air pasang surut di Pelabuhan Klang ketika mengendali kapal oleh nakhoda kapal minyak di kalangan pekerja warga Indonesia yang mengakibatkan tahap keselamatan di Pelabuhan Klang diragui oleh pihak nakhoda kapal asing," katanya.

Sumber itu turut mempersoalkan pengambilan tiga bekas tentera warga Myanmar oleh operator syarikat Pelabuhan Barat untuk bekerja sebagai malim, walaupun ada bekas tentera kita yang memohon jawatan itu, tetapi tidak diendahkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


MSN, MOM tak sebulu

Posted: 03 Oct 2012 10:22 AM PDT

SUKAN tanah air kini digemparkan dengan isu panas membabitkan pertelingkahan dua badan induk sukan negara - Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

MSN memfailkan notis tuntutan terhadap Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, minggu lalu, atas pertuduhan mempersoalkan kredibiliti dan peranan MSN dalam pembangunan sukan negara.


Nyata tindakan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong (gambar kecil) itu disifatkan sebagai sesuatu di luar jangkaan kerana Kok Chi sendiri tidak menyangka hubungan baik yang selama ini terjalin menemui masalah yang langsung tidak pernah diduga sebelum ini.

Kok Chi meluahkan rasa terkejutnya selepas lebih daripada 20 tahun bekerjasama dengan ramai Ketua Pengarah MSN, akhirnya beliau berdepan dengan situasi seperti itu hanya kerana meluahkan pandangan.


Notis itu meminta penjelasan atas tindakan Kok Chi mengkritik dan mempersoal kredibiliti MSN berhubung pemilihan calon pembawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik 2012 London, Ogos lalu. Ketika MSN memilih ratu renang negara, Pandelela Rinong sebagai calon, MOM tampil dengan mengatakan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang ketika itu bakal beraksi di Olimpik terakhir, atlet paling layak menggalas tugas itu.


Pandelela akhirnya dipilih sebagai pembawa bendera kontinjen negara di upacara pembukaan di Olympic Park itu.

"Saya terkejut dan kecewa. Inilah pertama kali saya menerima surat seperti ini kerana sebelum ini ia tidak pernah berlaku dengan mana-mana Ketua Pengarah yang lain. Saya tidak menyangka hubungan baik selama ini dengan MSN akan berkesudahan seperti ini.


"Saya percaya sistem kehakiman negara ini dan saya tetap mempertahankan bahawa saya tidak memfitnah sesiapa. Jadi saya tidak perlu dianiaya seperti ini," kata Kok Chi yang menerima surat itu selepas pulang dari luar negara, pada malam Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Joo Bong kembali

Posted: 03 Oct 2012 10:17 AM PDT

PARK Joo Bong makin hampir kembali membantu menaikkan semula prestasi badminton negara di persada dunia selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengadakan pertemuan khas bertujuan mendapatkan persetujuan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Delegasi BAM diketuai Presiden Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, Setiausaha Kehormat Ng Chin Chai, Datuk Dr Mohamed Al-Amin Abd Majid (Timbalan Presiden), Datuk Lim Teong Kiat (Bendahari) serta Kenny Goh (Pengurus Besar) bertemu Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan pertemuan itu dianggap mencapai kata sepakat antara kedua-dua pihak.


"Kami bertemu MSN untuk berbincang mengenai calon Pengarah Kejurulatihan yang akan diisi bagi posisi Pengurus Projek. Lazimnya bagi jawatan tinggi, belanja juga besar dan kami perlukan bantuan mereka," kata Nadzmi di Pejabat Zolkples semalam tapi enggan mendedahkan nama sebelum mencapai kata sepakat dengan calon terbabit.

"Kita ada seorang calon tapi biarlah kami umumkan namanya selepas semuanya selesai." Ketika ditanya mengenai bekas ketua jurulatih kebangsaan 2000-2003 iaitu Joo bong, Nadzmi berkata: "Pihak kami ada merisik beliau dan maklum balasnya baik, beliau berminat.


"Untuk mendapatkan seorang calon yang baik dan diburu pihak lain di pasaran, kita perlu cepat bertindak kerana jika lambat, kita akan terlepas, itu sebabnya kami minta persetujuan MSN." Nadzmi mengaku calon yang BAM kemukakan kepada MSN mempunyai latar belakang teknikal yang amat bagus.


"Kami akan mengadakan satu lagi perbincangan dengan calon terbabit biarpun beliau menyatakan minat dan suka berkhidmat dengan BAM.

"Hal ini akan diuruskan secepat mungkin kerana kami mahu gunakan khidmatnya awal tahun depan walaupun kontrak beliau dengan negara yang beliau berkhidmat kini belum berakhir," katanya.


Jika semua urusan berjalan lancar, Joo Bong dijangka mengikat kontrak dengan BAM selama dua atau tiga tahun dengan pilihan kontrak lanjutan, selaras dengan kitaran Olimpik yang akan menjadi penilai prestasi beliau.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Bukti cinta sejati

Posted: 03 Oct 2012 12:15 PM PDT

KUALA PILAH: Dia diperkenalkan kepada calon suami yang lumpuh separuh badan, namun setuju untuk menerima jejaka itu sebagai suami dan kini selepas 39 tahun berlalu, hidup mereka kekal bahagia, malah dikurniakan lima anak.

"Sepanjang tempoh 39 tahun, suami insan paling sempurna di mata dan hati saya serta anak-anak," kata Raya Dahan, 57, wanita yang tabah menjaga suaminya, Kamarul Baharin Shariff, 67, sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Kamarul Baharin, bekas jurulatih silat gayong Selangor pada 1960-an lumpuh separuh badan selepas cedera di kepala akibat ditetak dengan parang secara tak sengaja oleh rakan ketika melakukan demonstrasi silat pada 1967.

"Insiden itu berlaku ketika suami saya beraksi untuk rakaman persembahan silat gayong untuk siaran televisyen. Tiga bulan dia dirawat di hospital sebelum disahkan doktor lumpuh separuh badan," kata Raya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perigi Jerneh, Senaling, di sini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Bakar RM500,000

Posted: 03 Oct 2012 12:13 PM PDT

KLANG: Lima perompak bertindak nekad melarikan beberapa karung wang tunai berjumlah RM1 juta daripada sebuah van keselamatan sebelum membakar kenderaan itu yang masih mengandungi baki RM500,000 lagi dalam kejadian di Jalan Tion, Taman Eng Ann, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, van dinaiki tiga pengawal keselamatan itu baru selesai mengutip wang tunai dari beberapa kedai nombor ekor berlesen di bandar ini sebelum tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja dinaiki dua lelaki menghalang van berkenaan di Jalan Meru, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, dua daripada suspek yang bersenjatakan pistol kemudian mengarahkan pekerja syarikat keselamatan itu duduk di bahagian belakang van serta mengarahkan pemandunya memandu ke arah Taman Eng Ann, kira-kira 2.5 kilometer dari tempat kejadian.

"Bagaimanapun, seorang daripada tiga pengawal keselamatan itu berjaya melarikan diri," katanya.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Hantu Kapcai penyelamat

Posted: 03 Oct 2012 07:31 AM PDT

MEMANG seram sejuk melihat kaunter tiket panggung tempatan akhir-akhir ini. Ramai produser mengeluh filem Malaysia mula memasuki zaman gerhana kerana kutipan mula merudum termasuk pada musim raya. Apakah peminat sudah mulai jemu menonton filem Melayu?

Nanti dulu. Mungkin tanggapan itu perlu dikaji semula. Hakikat ini kerana filem Melayu tidak terus merudum kerana tiba-tiba saja Hantu Kapcai muncul menjadi penawar kepada rasa cuak di hati karyawan filem.

Filem komedi seram yang mempertaruhkan Zizan Razak, Fizz Fairuz dan Remy Ishak sebagai pelaris ini terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila berjaya membolosi kutipan hampir RM3 juta selepas tiga hari tayangannya.

Angka itu terus meningkat dan terkini, pihak produksi memaklumkan bahawa kutipan filem sulung arahan Ghaz Abu Bakar ini sudah pun mencatatkan kutipan lebih banyak dan lebih menggembirakan apabila karya ini berjaya masuk ke minggu tayangan kedua.


Minggu ini makin ramai peminat berbaris di panggung wayang untuk berhibur dengan filem ini yang turut menampilkan Neelofa selain bakat baru Hairul Azreen yang dulunya bekas pelakon lagak ngeri.


Biarpun terpaksa bersaing dengan filem Hollywood seperti Looper, Hantu Kapcai masih berjaya menewaskannya apabila tersenarai di tangga pertama carta box-office filem yang ditayangkan dalam masa seminggu.

Apa yang pasti, Hantu Kapcai berupa sebuah filem yang mudah diterima dan mampu mengukir senyuman sebaik melangkah keluar dari dewan tayangan. Mungkin cerita sebeginilah yang cukup diinginkan penonton kita.

Nyata Hantu Kapcai juga ibarat penawar yang mengubati luka KRU Studios selepas kegagalan filem 29 Februari pada bulan lalu.

Mengutip kurang daripada RM500,000 di pawagam sedangkan kos pembikinannya jauh lebih mahal, teraju utamanya, Remy Ishak bagaimanapun tidak kecewa.

"Saya masih anggap 29 Februari sebagai filem yang hebat kerana ia sangat unik dari sudut pembikinan dan penceritaan. Memang ia gagal dari segi kutipan tiket dan kurang menerima sambutan, namun kita tidak sepatutnya mengatakan filem itu tidak berkualiti. Sebagai pelakon saya melihat 29 Februari mempunyai mesej yang tinggi.

"Cuma aspek perniagaan jangka pendek ia dianggap gagal namun saya tidak sesekali kecewa sebaliknya tetap berbangga dan bersyukur kerana berpeluang melakonkan watak utama dalam filem itu. 29 Februari adalah filem yang mencatat sejarah tersendiri dalam industri perfileman tempatan," katanya.

Dalam Hantu Kapcai, Remy melakonkan watak antagonis iaitu sebagai Tiger. Dia bersyukur kerana doanya kali ini dimakbulkan apabila Hantu Kapcai berjaya mendapat kutipan pecah panggung yakni diterima dengan baik.

"Seperti mana pelakon, produser dan pengarah lain, mulanya saya memang risau melihat sambutan ke atas filem tempatan dan import pada ketika ini.
Bagaimanapun, selepas saya dikhabarkan bahawa Hantu Kapcai sudah melepasi kutipan RM1 juta dan seterusnya panggung semakin sesak, saya pun sangat bersyukur dan sangat gembira.

"Sebagai pelakon, saya sudah memberikan yang terbaik namun segala-galanya terpulang kepada penerimaan penonton. Sudah pasti kalau ada yang mengkritik apatah lagi ia tidak mendapat sambutan, saya juga akan berkongsi rasa sedih.
Namun untuk Hantu Kapcai yang mana percubaan pertama saya melakonkan watak jahat, saya bertuah kerana ia disukai penonton," ujarnya lagi.

Bagi bintang baru yang kacak, Hairul Azreen, dia terharu kerana langkah pertama dalam filem turut ditonton ramai penggemar filem Melayu. Kesannya dia juga mendapat tempias apabila lakonannya dapat dinilai penonton.

"Peluang berlakon filem ini memang seronok namun seperti mana juga Remy, saya bimbang dan takut kalau-kalau penonton masih kurang datang ke pawagam.
Bagaimanapun apabila diberitahu kutipan dan sambutan hangat diberikan, saya terus bersyukur kerana Hantu Kapcai menyuntik nafas baru kepada industri perfileman Malaysia.

"Inilah percubaan pertama saya di layar perak dengan watak penting dan sudah pasti Hantu Kapcai saya sifatkan sebagai permulaan yang sangat memberangsangkan buat kerjaya lakonan saya. Kalau ikutkan sudah lebih tiga tahun saya menceburi bidang ini. Rezeki dan kepercayaan yang diberikan oleh Showbiz Productions untuk saya membintangi filem ini sangat-sangat saya hargai.

"Mungkin inilah jawapan pada persoalan apa lagi yang diinginkan penonton kita.
Sebuah karya ringan, komedi dengan suntikan seram yang dilakonkan pemain karektor terkenal seperti Zizan, Remy dan Fizz," katanya.

Hantu Kapcai yang mengisahkan perjalanan seorang Mat Rempit, Ajib (Zizan Razak) yang terjebak dalam perlumbaan haram kerana kesempitan wang. Dalam perlumbaan itu, Ajib terpaksa berentap dengan musuh ketatnya, Tiger lakonan Remy Ishak.
Namun dalam persaingan itu nyawanya terkorban.

Lalu Roh Ajib yang tidak tenteram mula berlegar dan secara kebetulan ia mampu dilihat seorang pemuda Ibrahim lakonan cemerlang Fizz Fairuz. Walaupun sukar untuk mempercayai apa yang dilihatnya, Ibrahim perlu mencari jalan untuk meyakinkan keluarga Ajib mengenai roh yang dilihatnya itu.

Ibrahim juga bertanggungjawab untuk memberikan semangat kepada adik Ajib iaitu Akim untuk menuntut bela atas kematian abangnya sekali gus menebus semula hutang Ajib.

Tambah Hairul yang mula dikenali sebagai pelakon 'stunts' dalam siri Bionik sebelum diberikan peranan dalam Ponti Anak Remaja dan Indera Joned, kali ini fokusnya lebih banyak kerana Hantu Kapcai adalah pertaruhan sulung di pawagam.

"Inilah peluang terbaik yang diberikan Ghaz kepada saya. Syukur juga Zizan, Fizz dan Remy sendiri banyak membantu dan tidak henti-henti memberikan tunjuk ajar. Maklumlah saya masih terlalu baru untuk beraksi di depan kamera filem dan mereka semua selalu pastikan saya tidak tersasar jauh baik dalam aspek lakonan.

"Alhamdulillah saya bersyukur dan berterima kasih dengan peluang ini dan insya-Allah saya akan lebih berusaha lagi untuk percaturan akan datang,"
katanya yang akan muncul dalam filem Gila-Gila Remaja II dan Pak Pong tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Berita baik untuk industri

Posted: 03 Oct 2012 07:02 AM PDT

ISU royalti dalam kalangan penggiat seni sememangnya antara topik industri yang tidak pernah lengang dengan kontroversi. Acap kali, ada saja isu berbangkit dan jelas, rungutan artis yang tidak mendapat jumlah sepatutnya atau tidak menerima langsung sering berkumandang.

Meskipun wujud tiga badan kutipan royalti yang bertanggungjawab membela golongan artis tempatan iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Prism Sdn. Bhd, kesepakatan tidak berjaya dicapai. Buktinya, ada saja kes yang membabitkan bayaran terutamanya dan seakan tidak surut.

Lantas, baru-baru ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe mengumumkan, kerajaan bersetuju untuk memberi kuasa kepada satu saja badan bagi memastikan pengagihannya dilakukan lebih telus dan teratur.

Dihubungi untuk mengulas perkara itu, Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu menyifatkan pengumuman itu semestinya satu berita baik buat golongan artis terutamanya dan gembira ia bakal dilaksanakan.


"Sebenarnya, Prism pun sudah membentangkan mengenai perkara ini sejak dua tahun lalu kepada kerajaan namun ia mendapat tentangan daripada beberapa pihak yang kurang bersetuju.


"Maka, apabila kerajaan mengumumkan bahawa sistem ini akan dilaksanakan, saya pasti ramai artis akan menarik nafas lega dan menyokong keputusan itu. Dengan adanya satu badan yang berkuasa, sekali gus kos operasi akan dikurangkan dan artis pasti akan mendapat bayaran royalti mereka.

"Daripada aspek pengurusan terutamanya juga akan menjadi lebih teratur dan sistematik. Sekurang-kurangnya, wujud satu badan pusat yang bertanggungjawab dan tidak semestinya ia dipilih daripada tiga badan sedia ada.

"Saya amat bersetuju dan keputusan itu adalah yang terbaik bagi menyatukan semua badan kutipan royalti. Bernaung di bawah satu kuasa, setiap badan juga akan bersetuju dengan peratus pengagihan.

"Walaupun tarikh pelaksanaannya masih lagi belum ditentukan, harapnya ia akan dilaksanakan secepat mungkin. Bukan apa, ini satu berita gembira yang dinantikan selama ini dan jelas akan memberi faedah serta kelebihan buat golongan penggiat seni," katanya yang turut hadir pada dialog tahunan bersama pihak industri seni dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), 27 September lalu.

Semalam, Harian Metro melaporkan kerajaan bersetuju untuk memberi kuasa kepada satu badan pengutip royalti penggiat seni berbanding tiga badan sekarang bagi memastikan pengagihannya lebih telus dan teratur.

Untuk tahun lalu saja kutipan royalti dari tiga badan pengutip adalah sebanyak RM85.4 juta, RM70 juta (2010), RM65.79 juta (2009), RM57.44 juta (2008), RM48.5 juta (2007), RM41.77 juta (2006), RM39.78 (2005) dan RM34.81 (2004).

Bagaimanapun, kerajaan tidak tahu jumlah yang telah diagihkan kepada penggiat seni kerana tiada badan induk yang khusus sebelum ini bagi menjaga kepentingan industri.

Sementara itu, Tan berkata, mulai 1 Jun lalu, kerajaan mula mewajibkan badan pelesenan yang ingin membuat kutipan royalti untuk mendapatkan perisytiharan di MyIPO di bawah kawalan dan seliaan Pengawal Hak Cipta. Menurutnya, semua badan pelesenan yang diisytiharkan oleh Pengawal Hak Cipta perlu menyatakan secara jelas kaedah dan pengagihan kutipan yang dibuat serta kadar atau tarif yang dikenakan bagi setiap karya hak cipta yang dipertanggungjawabkan.

Selain itu, badan pelesenan dikehendaki untuk mengemukakan Laporan Tahunan setiap tahun kepada Pengawal Hak Cipta bagi membolehkan pihak kerajaan menyemak serta memantau status ketelusan serta keupayaan mereka sebagai badan pelesenan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Remaja curi 60 kereta

Posted: 03 Oct 2012 09:36 AM PDT

LEICESTER: Seorang remaja berhasrat untuk 'membersihkan dosanya' selepas mendakwa merompak 278 rumah dan mencuri 60 kereta sejak berusia 12 tahun.

Adam Crampton, 19, mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan merompak di Mahkamah Majisteret Leicester baru-baru ini tetapi meminta 278 kes rompak lagi dan 60 kes curi kereta yang dilakukannya diberi pertimbangan apabila hukuman ke atasnya diumumkan hujung bulan ini.

Crampton yang tidak mempunyai alamat tetap, mendedahkan sepenuhnya sejarah jenayahnya ketika disoalsiasat oleh polis di sebuah institusi pesalah muda awal tahun ini.

Malah, dia juga membawa polis mengelilingi bandar Leicester empat kali untuk menunjukkan rumah yang pernah dirompaknya.


Inspektor Andy Parkes berkata: "Mangsa ingin tahu bahawa ada orang yang ditangkap dan dipertanggungjawabkan terhadap jenayah yang dilakukan terhadap mereka. Crampton terlalu muda apabila dia mula melakukan jenayah.


"Satu daripada matlamat sistem keadilan jenayah ialah membantu pesalah mengubah hidup mereka dan diharapkan ini satu proses permulaaan untuk Crampton.

Peguam Crampton, Steve Morris berkata: "Dia secara sukarela memberi maklumat untuk menyelesaikan kes rompakan yang dilakukannya dan mahu ia berakhir secepat mungkin."

Sylvia Hammond, antara mangsa terawal Crampton berkata, dia lega setelah mengetahui identiti orang yang merompaknya.

Crampton mencuri komputer riba, telefon dan kamera digital dari kediamanSylvia pada Julai 2007. - The Mirror.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Kuasa polis agama Saudi dihadkan

Posted: 03 Oct 2012 09:34 AM PDT

RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi akan mengehadkan kuasa pasukan polis agama.

Pasukan itu selama ini bertanggungjawab memastikan peraturan berkait dengan moral ajaran Islam dipatuhi di negara itu tetapi sering dituduh melanggar kuasa yang ada pada mereka. "Sistem baru itu akan mewujudkan mekanisme untuk tugas anggota pasukan. Beberapa tugas khusus mereka seperti penangkapan dan soal siasat akan diserahkan kepada badan lain," lapor akhbar al-Hayat yang memetik kenyataan ketua pasukan itu, Sheikh Abdullatiff Abdel Aziz Al Sheikh.


Anggota pasukan itu yang dikenali sebagai Suruhanjaya Amal Makruf Nahi Mungkar juga akan dilarang melakukan operasi tanpa mendapat kebenaran gabenor, kata Abdullatiff.

Sementara itu, akhbar Okaz melaporkan, anggota pasukan berkenaan akan dilarang berdiri di pintu masuk pusat beli-belah untuk menyekat kemasukan orang tertentu.


Ia merujuk kepada cubaan anggota terbabit untuk menghalang wanita berpakaian yang bertentangan dengan kod pakaian Islam atau pasangan yang tidak berkahwin daripada memasuki pusat beli belah itu.


Abdullatiff yang berfahaman sederhana dilantik mengetuai pasukan itu pada Januari lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved