Isnin, 12 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bukan sekadar santai

Posted: 05 Nov 2012 08:26 AM PST

DERUAN puluhan enjin motosikal memecah keheningan pagi itu. Walaupun muzik senamrobik terlebih dulu berkumandang, bunyi enjin motosikal kecil dan besar yang memenuhi perkarangan pusat beli-belah Kiara Square di Bahau, Negeri Sembilan, Sabtu lalu, lebih mencuri perhatian.

Apa yang membuatkan pengunjung serta penduduk sekitar lebih teruja melihat deretan motosikal itu ialah si penunggangnya semuanya wanita!

Bagaikan sebuah sororiti, kumpulan wanita ini ralit berkongsi tip dan cerita tanpa mengira usia serta jenis motosikal yang ditunggangi.

Nyata, program konvoi Jelajah Srikandi 7 Perhentian yang berlangsung selama dua hari itu mempertemukan mereka, dengan sebahagiannya daripada kumpulan Beliawanis Negeri Sembilan sementara sebilangan lagi adalah ahli kelab Biker Babes dan Wima (Persatuan Motosikal Wanita Antarabangsa) yang majoriti datang dari Lembah Klang.


Sama seperti penganjuran pertamanya pada 2011, konvoi ini masih memberi penekanan kepada pembentukan mental serta sahsiah diri yang positif di kalangan wanita.


Jelas ketua peserta konvoi, Rozaidah Shahabuddin, Jelajah Srikandi 7 Perhentian ini dianjurkan bukan sekadar program santai hujung minggu tapi lebih kepada pembabitan dalam komuniti masyarakat menerusi kerja amal dan pendedahan kepada pergerakan disiplin dalam kumpulan.

"Atas faktor gender dan pandangan tradisional, masih ramai yang belum dapat menerima idea bahawa wanita berupaya menyertai konvoi bermotosikal seperti ini.

"Justeru, Jelajah Srikandi 7 Perhentian ini menjadi bukti kepada keupayaan penunggang motosikal wanita dan diharapkan dapat memberi pendedahan kepada masyarakat, di samping mencetuskan impak positif di kalangan wanita lain.

"Peserta juga tidak hanya berpeluang menjelajah beberapa daerah menarik di Negeri Sembilan tapi berkongsi ilmu menerusi program pengisian di Muzium Angkatan Tentera Port Dickson, Klinik Cure & Care 1Malaysia di Tampin dan Rumah Seri Kenangan (penempatan warga emas) di Seremban.

"Selain itu, jelajah konvoi ini juga menjadi platform motivasi di kalangan penunggang muda agar lebih berdaya saing untuk memajukan diri.

"Aspek kesabaran, kerjasama dan bertimbang rasa dengan pengguna jalan raya lain juga menjadi antara intipati konvoi ini," katanya yang menunggang motosikal Can-Am Spyder RT tajaan USF-Hicom.

Dimulakan dengan sesi pelepasan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam Negeri Sembilan, Datuk VS Mogan, 55 peserta bergerak ke perhentian pertama di Jeram Toi, Jelebu sambil diiringi anggota polis trafik Negeri Sembilan.

Menariknya, polis trafik pengiring bagi jelajah ini dibarisi tujuh pegawai wanita sambil dibantu beberapa anggota lelaki yang diketuai Inspektor Faizrizarina Mohamad Fauzi.

Usai bergambar di Jeram Toi, perjalanan diteruskan ke Nilai sebelum berhenti di Seremban bagi menyampaikan cenderahati serta tajaan burger Mat Salai untuk peserta dan penghuni Rumah Seri Kenangan.

Konvoi diteruskan lagi dan selepas mengharungi perjalanan hampir 120 kilometer dengan laluan kampung yang mencabar, halangan binatang sepanjang laluan serta meredah banjir di Mambau, Port Dickson menjadi destinasi terakhir pada hari pertama.

Jelajah hari kedua pula dimulakan seawal jam 9 pagi dengan perhentian kelima di Muzium Angkatan Tentera Malaysia yang jaraknya kira-kira 10 minit dari hotel.

Klinik Cure & Care 1Malaysia yang terletak di Tampin pula menjadi perhentian seterusnya, di mana peserta diberi penerangan mengenai fungsi klinik serta perkhidmatan dan rawatan untuk mereka yang ingin bebas daripada dadah.

Sambil menikmati hidangan tengah hari, kumpulan busking Blue Roses yang terdiri daripada penghuni klinik tampil mendendangkan beberapa lagu.

Awan mendung kemudiannya mengiringi peserta konvoi kala bergerak ke Kiara Square bagi perhentian terakhir. Sejurus tiba, peserta disambut meriah oleh penduduk tempatan sebelum acara secara rasminya tamat dengan sesi penyampaian sijil.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Sokongan kuat nenek buat rakan

Posted: 05 Nov 2012 08:06 AM PST

"JANGAN sesekali jadikan usia sebagai penghalang. Apa yang penting, percaya serta bangga pada kemampuan diri," kata Fatimah Ahmad De Polo, salah seorang peserta Jelajah Srikandi 7 Perhentian Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Pada usia mencecah 52 tahun dan berstatus nenek, Fatimah nyata berpegang teguh kepada kata-katanya itu dan tidak kekok menyertai konvoi dengan menunggang motosikal Yamah FJR1300.

"Saya sebenarnya jarang sertai konvoi dan lebih gemar bergerak sendirian atau dalam kumpulan kecil. Tapi demi beri sokongan kepada rakan-rakan serta adik-adik yang baru menunggang motosikal, saya seronok melakukannya walaupun cuma sempat menyertainya sehingga ke perhentian keempat.

"Bagi saya, tidak salah wanita menunggang motosikal dan menyertai aktiviti seperti ini. Ia bukan saja dapat menanam sifat positif dalam diri tapi turut memberi kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai salah seorang pengguna jalan raya," katanya.


Tambah Fatimah, makin ramai wanita muda berminat terbabit dalam aktiviti bermotosikal kerana terdedah lebih awal berbanding ketika zamannya.


"Ibu bapa kini lebih terbuka dan menyokong aktiviti anak-anak. Keluarga saya menghalang aktif bermotosikal, jadi terpaksa sembunyikan daripada mereka.

"Saya hanya berpeluang membeli motosikal selepas berkahwin dan motosikal pertama saya ketika itu ialah Suzuki 535. Saya terus menunggang motosikal ketika sarat mengandung, dek terlalu minat dalam aktiviti bermotosikal.

"Suami amat memahami dan menyokong saya, malah kami sering habiskan masa santai bersama dengan menunggang motosikal," ujarnya yang turut memiliki Suzuki Intruder 800 serta pernah menunggang Yamaha VMAX.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Saban tahun rai di rumah mentua

Posted: 11 Nov 2012 08:52 AM PST

SUDAH lama dia mengimpikan saat ini. Saat di mana, dia sendiri dapat menyarungkan sari mahupun kurta buat si kecil pada hari pertama perayaan Diwali (Pesta Cahaya). Dulu dia hanya bisa memerhati di samping tumpang gembira melihat keseronokan perayaan itu diraikan teman-temannya, berstatus ibu dan ayah.

Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya juga aktor terkenal Bollywood, dilahirkan daripada kalangan keluarga paling berpengaruh di India iaitu Abhishek Bachchan, impian Aishwarya Rai atau mesra disapa, Aish, untuk bergelar ibu tercapai.

Tanggal 16 November 2011, adalah detik paling manis dalam kalendar hidup wanita yang pernah terkenal dengan gelaran wanita tercantik di dunia itu apabila selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang dinamakan sebagai Aaradhya Bachchan.

Apa yang menarik, nama bayi itu hanya diberikan selepas empat bulan kelahirannya. Ini kerana menurut kepercayaan penganut agama Hindu, nama yang baik diberikan kepada anak mampu menentukan tuah bayi itu di masa hadapan.


Secantik nama Aaradhya, begitulah wajah puteri sulung Aish diibaratkan.

Sehinggakan, bayi itu dilaporkan kanak-kanak paling popular di India ketika ini.

Diwali pertama dengan Aaradhya, nyata ia saat begitu dinantikan Aish dan suami bahkan keluarganya juga Bachchan (mentua).

"Kegembiraan saya tidak mampu dibayangkan dengan kata-kata kerana sebelum kelahiran Aaradhya, sudah empat tahun saya dan Abhishek meraikan Diwali berdua saja.

"Keistimewaan tetap saya rasakan apabila menyambutnya dengan suami tercinta, namun apabila mempunyai anak perasaan itu lebih istimewa dan berbeza. Diwali kali ini bukan saja istimewa buat saya dan suami, tetapi juga keluarga saya dan mentua.

"Walaupun Aaradhya bukanlah cucu sulung dalam keluarga Bachchan misalnya, dia adalah cucu pertama perempuan manakala dua cucu lagi sebelum ini adalah lelaki.
Kehadiran Aaradhya ternyata menambahkan lagi seri dalam perayaan Diwali kali ini.

"Kadangkala saya seperti mahu ketawa melihat Abhishek dan mentua saya, Amitabh Bachchan, yang lebih 'excited' berbanding saya sendiri dalam menyediakan kelengkapan Diwali untuk Aaradhya," katanya gembira melalui pengalaman sebagai ibu.

Aish juga berasa gembira kerana mentuanya itu cukup mengambil berat mengenai Aaradhya dan ia dinyatakan Amitabh secara terbuka kepada umum.

Sejak mendapat cucu ketiganya itu, Amitabh dilihat cukup gembira bahkan status twitter mahupun blognya sering menyebut tumpuannya ketika ini tidak lagi ke set penggambaran filem, tetapi untuk berada di sisi cucu perempuan tunggalnya itu.

Melanjutkan perbualannya, sejak berkahwin perayaan Diwali disambut dengan begitu meriah kerana rumah mentuanya sering dikunjungi insan-insan ternama di India. Kesibukan di rumah Bachchan selalunya bermula seawal pagi sehingga lewat malam.

Sedikit informasi bagi mereka yang tidak mengetahui budaya di India, wanita yang sudah berkahwin akan berbakti sepenuhnya kepada keluarga suami dan kerana itu bekas Miss World 1994 itu menyebut setiap tahun dia berada di rumah mentua.

"Kami jarang mempunyai kesempatan untuk mengunjungi kediaman saudara-mara kerana biasanya mereka yang akan datang ke rumah mentua.

"Saya memang jarang sekali berpeluang menyediakan hidangan istimewa Diwali kerana mentua tidak mahu nanti kepenatan kerana dia tahu sepanjang hari saya akan keletihan melayani tetamu.

"Bayangkan Diwali disambut saban tahun bersama keluarga suami ibarat sebuah pesta gilang-gemilang. Tahun ini tentunya lebih meriah kerana ramai yang tidak sabar-sabar bertemu Aaradhya," katanya.

Melalui perkahwinan yang kini berusia lima tahun dengan Abhishek, ditempuhi dengan penuh rasa cinta dan kebahagiaan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata oleh Aish.

Dengan sepenuh hati, Aish mengakui lelaki yang menjadi tunangannya pada 14 Januari 2007 sebelum bersatu sebagai suami-isteri pada 20 April 2007 itu adalah seorang lelaki yang budiman, penyayang, menghormati dirinya sebagai wanita dan bertolak ansur.

"Saya tidak pernah bertemu dengan lelaki yang mempunyai kesabaran cukup tinggi sepertinya. Abhishek juga seorang yang matang dan sering memberikan saya pendapat yang baik untuk saya contohi," ujarnya amat menyayangi suaminya itu.

Mengakui tidak cukup dengan hanya seorang cahaya mata, Aish yang kelihatan semakin langsing kini nampaknya semakin rancak membuat 'comeback!'.

Selepas menyatakan persetujuan membintangi filem projek antarabangsa, arahan Daniel Silva, yang menjalani penggambaran di Los Angeles pada 13 September lalu dan turut dibintangi Billy Zane, Sara Khan dan Lucky Ali, Aish mempunyai lebih 20 tawaran untuk dipertimbangkan.

"Ada beberapa watak yang menarik dan belum pernah saya bawakan sebelum ini namun semuanya masih dalam pertimbangan kerana saya kini sedang sibuk di set penggambaran arahan Daniel Silva.

"Dengan status saya sekarang sebagai ibu membuatkan saya perlu lebih selektif supaya setiap watak yang dipilih kelak tidak menjejaskan nama baik saya sebagai isteri dan ibu.

"Saya juga harus mempertimbangkan tempoh penggambaran yang diambil kerana tidak sanggup untuk berjauhan dengan anak. Sebolehnya saya tidak mahu meninggal Aaradhya," katanya tidak mendapat halangan daripada suami untuk kembali aktif.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12


APM turut berubah

Posted: 11 Nov 2012 08:43 AM PST

SEIRING dengan perkembangan semasa, Anugerah Planet Muzik (APM) yang memasuki edisi ke-11 penganjurannya turut mengalami perubahan. Paling ketara, beberapa kategori baru diperkenalkan iaitu Anugerah Hits Radio, Anugerah Ikon Media Baru dan Anugerah Nova Media Baru.

Manakala, kategori Album Terbaik pula dimansuhkan. Bagaimanapun, ia dirasakan tidak menjejaskan APM2012 yang akan berlangsung di MAX Pavilion, Singapore Expo pada 15 Disember nanti.

Kekal dengan matlamat memberi pengiktirafan kepada artis dan penggiat muzik Melayu serantau iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia, APM2012 anjuran MediaCorp Singapura menerusi Ria 89.7 FM dan Warna 94.2 FM tetap menjanjikan suatu kelainan buat peminat.

Penolong Naib Presidennya, Hassan Salleh berkata, kelainan ini boleh dinilai dari segi penganugerahan hinggalah kepada aspek nilai dan mutu semasa pementasan itu.


"Seperti kelaziman, kami masih kekalkan gabungan tiga negara dalam APM.

Begitu juga barisan juri yang membabitkan ketiga-tiga negara ini. Ciri-ciri unik ini dikekalkan kerana sudah jadi tanda aras APM.

"APM memainkan peranan besar dalam menggabungkan persembahan artis tiga negara. Bahkan kolaborasi ini turut diteruskan di kalangan pemuzik yang terbabit," katanya pada sidang media di kelab Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Tahun ini menyaksikan APM menerima keseluruhan 362 pencalonan yang membabitkan karya muzik Melayu yang dihasilkan pada 1 Januari 2011 hingga 31 Disember 2011.

Graf pencalonan menyaksikan Malaysia mencalonkan 130 artis berbanding Indonesia (122) dan Singapura (110) sekali gus membuktikan industri muzik negara masih bertahan biarpun dikatakan mengalami kemelesetan.

Sebanyak 17 kategori dipertandingkan iaitu Persembahan Vokal Terbaik dalam Lagu (Artis Lelaki Baru), Persembahan Vokal Terbaik dalam Lagu (Artis Wanita Baru), Persembahan Terbaik (Duo/ Kumpulan Baru), Kolaborasi Terbaik, Artis Lelaki Terbaik, Artis Wanita Terbaik, Duo/ Kumpulan Terbaik, Lagu Terbaik Singapura, Lagu Terbaik, Artis Singapura Paling Popular, Lagu Singapura Paling Popular, Artis Serantau Paling Popular, Lagu Serantau Paling Popular, Anugerah Nova Media Baru, Anugerah Ikon Media Baru, Anugerah Hits Radio dan Anugerah Khas Planet Muzik.

Pencalonan menyaksikan Alyah tersenarai sebagai wakil negara yang berjaya mendominasi lima pencalonan diikuti artis Singapura, Audionauts dan Sleeq yang turut memperoleh pencalonan serupa.

Alyah tersenarai dalam kategori Artis Wanita Terbaik, Lagu Terbaik, Artis Serantau Paling Popular, Lagu Serantau Paling Popular dan Ikon Media Paling Popular.

Bagaimanapun laluannya bukan mudah kerana saingannya dalam kategori Artis Wanita Terbaik ialah Agnes Monica, Astrid, Yuna dan Shila Amzah. Yuna dan Hafiz berjaya meraih empat kategori pencalonan bersama Aliff Aziz, Awi Rafael dan Hady Mirza.

Awi Rafael yang turut hadir pada sidang media ini mengakui gembira dengan kejayaan yang diraihnya. Baginya APM menjadi landasan terbaik buatnya membuktikan bakatnya kepada peminat.

"Saya pernah bertanding dalam APM 2000 bersama kumpulan Bhumiband dan berjaya menang kategori Album Terbaik. Pencalonan kali ini mungkin jadi bukti bakat yang ada pada saya.

"Ketika bersama Bhumiband, usia saya 16 tahun dan sekarang 26 tahun. Ini menunjukkan kerja keras saya diterima oleh peminat. Memang saya sangat berterima kasih kepada peminat di Malaysia kerana bagi peluang saya berkarya di sini.

"Respon peminat Singapura terhadap saya pun bagus. Harapan saya agar muzik saya diterima oleh semua. Menang atau kalah bukan ukuran kerana semua yang bertanding adalah kawan-kawan saya juga," katanya yang tampil dengan single terbaru berjudul Asalkan Aku Ok.

APM2012 akan menampilkan Datuk AC Mizal sebagai pengacara yang akan digandingkan dengan pengacara dari Singapura dan Indonesia yang akan diumumkan selepas ini.

Persembahan pula akan menampilkan nama-nama besar yang bertanding seperti Alyah, Shila Amzah, Judika, Anji, Awi Rafael, Aliff Aziz, Sleeq serta artis lain seperti Najwa Latif dan Mojo. Sesi jelajah APM 2012 bertemu peminat di beberapa lokasi turut dirancang.

Pengundian untuk kategori-kategori anugerah popular telah bermula pada 5 November 2012 dan akan berakhir pada 6 Disember 2012. APM2012 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.

Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, mereka memberikan sokongan terbaik terhadap APM2012 seperti tahun sebelumnya.

"Astro berbesar hati diamanahkan sebagai penyiar rasmi dan ini adalah tanggungjawab besar yang sangat kami hargai. Kami akan sentiasa menyokong acara anugerah muzik serantau tahunan berprestij seperti ini kerana APM telah berkembang dengan pesatnya untuk memartabatkan industri muzik Melayu serta berjaya mengetengahkan ramai bakat ke peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Pening hutang RM2j

Posted: 11 Nov 2012 02:03 PM PST

KUALA LUMPUR: Niat murni seorang wanita membantu orang lain terutama rakan yang dalam kesempitan dengan meminjamkan wang, memakan diri apabila dia kini menanggung hutang hampir RM2 juta.

Ibu kepada 12 anak yang bertugas sebagai guru di Sabah itu mengaku dia tidak berfikir panjang apabila menawarkan diri membantu 102 rakan dan kenalannya dengan meminjam wang daripada tiga ceti haram atau along tanpa pengetahuan suami dan keluarganya.

"Pada awalnya, saya hanya berniat ingin membantu rakan yang terdesak. Mungkin kerana bahagia melihat kegembiraan orang lain, saya langsung tidak terfikir niat baik itu memakan diri," katanya kesal.

Wanita berasal dari utara Semenanjung hanya mahu dikenali sebagai Masni, 50, berkata, hidupnya makin tersepit apabila rakan yang meminjam mula mengadu tidak mampu membayar semula mengikut jadual dipersetujui sebelum ini, kerana terikat dengan pelbagai komitmen.


"Bayangkan, hanya dalam tempoh kurang sebulan pada Jun lalu, saya sudah meminjam RM685,000 daripada ceti untuk membantu 102 rakan dan kenalan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12


Wanita reput dalam bas

Posted: 11 Nov 2012 02:03 PM PST

KAJANG: Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila menemui mayat wanita yang reput dan berulat dalam bas rosak yang diparkir di kawasan Kompaun Menara Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, pengawal keselamatan terbabit dikatakan mahu memeriksa bas lama itu apabila diberitahu seorang mekanik mengenai kelibat seorang wanita kelihatan seperti sedang tidur di bahagian belakang bas berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu jam 10.38 pagi selepas mendapat panggilan kecemasan daripada pengawal keselamatan di Menara MPKJ berkenaan.

"Mayat ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan telentang di bahagian belakang bas yang sudah tidak digunakan sejak dua tahun itu.


"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput serta berulat itu, kami anggarkan mangsa meninggal dunia sejak empat hingga lima hari lalu," katanya.


Ab Rashid berkata, mangsa dipercayai berbangsa India dan berusia lewat 20-an hingga awal 30-an.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa disedari berada di dalam bas itu sejak Khamis lalu oleh mekanik yang datang memeriksa bas berkenaan sebelum dia memaklumkan pengawal keselamatan, pagi semalam.


Menurutnya lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang (HS) untuk bedah siasat.

Sementara itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut selagi punca kematian belum dapat dipastikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Zulfahmi bergaya

Posted: 11 Nov 2012 12:20 PM PST

VALENCIA, Sepanyol: Pelumba sensasi Malaysia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin menutup cabaran musim ini dengan penuh bergaya apabila berada di podium buat kali kedua dalam kariernya selepas menamatkan saingan Grand Prix Valencia di kedudukan ketiga semalam selepas melakukan pecutan pada selekoh terakhir bersama juara perlumbaan, Danny Kent.

Kejayaan meraih kedudukan podium keduanya musim ini membolehkannya meraih 16 mata berharga selepas turut menaiki podium ketika beraksi Litar Sepang bulan lalu dan melonjakkan kedudukannya ke tempat ketujuh kedudukan Moto3 mengumpul 128 mata.


Bermula di kedudukan ke-17, pelumba AirAsia SIC Ajo Racing mengambil pendekatan yang berhati-hati apabila kekal bersama kumpulan pendahulu dalam saingan membabitkan 25 pusingan itu dan hanya memulakan pecutan ketika berbaki lima pusingan dengan pelumba negara berusia 21 tahun merekodkan catatan terpantas.

Berbaki tiga pusingan, Zulfahmi mengatasi pelumba Afrika Selatan, Brad Binder untuk melonjak di belakang dua pelumba Red Bull KTM Ajo Racing, SandroCortese dan Danny Kent .


Zulfahmi berkata dia mengambil pendekatan berhati-hati kerana keadaan litar basah dan licin, keadaan yang tidak digemarinya.


"Saya sangat berhati-hati sejak awal dan hanya mengekori pendahulu perlumbaan. Saya melihat beberapa pelumba terbabas, jadi saya lebih berhati-hati sehingga peringkat terakhir perlumbaan. Saya mengambil risiko yang tinggi pada selekoh terakhir dan gembira memenangi podium kedua," katanya yang dinobat selaku Pelumba Paling Meningkat 2012 untuk Moto3.

Kent memenangi perlumbaan dengan catatan 45 minit 5.891 saat bagi mengatasi juara dunia, Cortese dengan perbezaan 0.056 saat dan 0.114 di depan Zulfahmi.


Zulfahmi menambah keputusan semalam adalah sukar dipercayai selepas bergelut dalam sesi latihan bebas pada Jumaat dan sesi kelayakan kelmarin.

"Tanpa ragu bermula di kedudukan ke-17 sehingga ke kedudukan ketiga adalah keputusan yang hebat. Saya tidak mempercayai mampu menaiki podium. Saya sangat gembira dengan kejayaan podium kedua ini.


"Saya kini tidak sabar untuk aksi musim depan. Ia akan lebih kompetitif namun saya akan bersedia. Saya turut merasa gembira Litar Antarabangsa Sepang memenangi anugerah MotoGP tahun ini. Ia hebat," katanya.


Sementara itu, Dani Pedrosa menjuarai kategori MotoGP selepas bermula di petak utama diikuti pelumba Katsuyuki Nakasuga kedua serta Casey Stoney di tempat ketiga yang tampil dalam perlumbaan terakhir sebelum bersara.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12


Del Potro ketepi cabaran Federer

Posted: 11 Nov 2012 12:14 PM PST

LONDON: Pemain tinggi lampai Argentina, Juan Martin del Potro mengecewakan Roger Federer di Jelajah ATP Dunia Akhir, kelmarin, untuk meraih tempat ke separuh akhir menentang pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic.

Del Potro yang masih segar dengan kemenangan ke atas pemain Switzerland itu di Basel dua minggu lalu, menang 7-6, 4-6, 6-3 di gelanggang O2 untuk muncul naib juara kumpulan B dengan rekod 2-1, dengan juara bertahan, Federer akan bertemu Andy Murray buat kali ketiga di London tahun ini dalam satu lagi pertemuan separuh akhir.


Federer menang gelaran Wimbledon ketujuh tahun ini selepas menewaskan Murray di final namun beberapa minggu selepas itu, pemain Britain itu berjaya membalas dendam dengan meraih emas Olimpik.

Federer, 31, pemenang 12 perlawanan berturut-turut di kejohanan itu sejak menewaskan Nikolay Devydenko di separuh akhir edisi 2009, lebih awal layak ke separuh akhir sebelum turun menentang del Potro.


David Ferrer menewaskan Janko Tipsarevic 4-6, 6-3, 6-1 pada perlawanan terakhir round robin, turut merakam dua kemenangan dan satu kekalahan namun pemain Sepanyol itu tersingkir selepas kiraan set.


Perlawanan terakhir kumpulan bermula dengan tujuh senario kemungkinan dalam kumpulan B.

Kemenangan tiga set Del Potro menyebabkan peluang Ferrer ke separuh akhir berkubur, malah perlawanan Ferrer menentang Tipsarevic juga menjadi penentu juara kumpulan antara Federer dan del Potro.


Kemenangan Tipsarevic pula bakal menyaksikan del Potro mengungguli kumpulan kerana rekod pertemuan menentang Federer namun kejayaan Ferrer dan kesudahan tiga set bermakna Federer mengumpul kemenangan 5-2 untuk muncul juara kumpulan.

Del Potro pula merekodkan 5-3 sedangkan Ferrer 4-4.


Ferrer bagaimanapun bergantung kepada kemenangan Federer untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.


"Jujur saya katakan bahawa sebenarnya saya lebih memikirkan David berbanding sama ada menentang Andy Murray atau Novak Djokovic," kata Federer yang beraksi dalam separuh akhir ke-10 dalam 11 penampilan di kejohanan itu. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


13 korban gempa bumi di Myanmar

Posted: 11 Nov 2012 12:31 PM PST

SHWEBO: Satu gempa bumi kuat melanda Myanmar semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh.

Gegaran itu yang mencetuskan panik di bandar raya Mandalay, turut mencederakan 40 orang.

Gempa 6.8 magnitud itu melanda kawasan pedalaman 116 kilometer ke utara Mandalay, disusuli dengan gegaran selepas gempa, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Empat pekerja terhumban ke dalam Sungai Irrawady di utara bandar berkenaan yang terletak berhampiran pusat gempa itu.


Mereka dikatakan antara mangsa yang terbunuh, lapor kumpulan sukarelawan Save The Children.


Sementara itu, sebuah kuil runtuh di Kampung Kyauk Myaung akibat gempa itu, meragut dua nyawa. Seorang lagi mati di Mandalay.

Di bandar Sint Ku, bencana itu menyebabkan enam penduduk mati, termasuk dua yang terkorban apabila sebuah lombong emas runtuh.

"Penduduk begitu bimbang mengenai kemungkinan berlaku satu lagi gempa," kata kumpulan itu.

Sementara itu, penduduk di Mandalay meluru keluar dari bangunan yang bergoncang kuat ketika gempa berlaku.

Bagaimanapun, tidak ada kerosakan besar dilapor berlaku di bandar itu.

"Saya lari keluar dari rumah sambil mendukung anak. Semua penduduk berkumpul di jalan raya. Ada yang meraung sementara yang lain mengalami pening kepala," kata seorang penduduk San Yu Kyaw.

USGS mengeluarkan amaran kuning dengan berkata, gempa itu mungkin menyebabkan kematian dan kerosakan berhampiran kawasan kejadian.

Gempa itu yang mulanya dikatakan berukuran 7.0 magnitud, melanda jam 7.42 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer.

Ia disusuli dengan dua gegaran selepas gempa berukuran 5.0 magnitud selang 20 minit.

Seorang pegawai Jabatan Bantuan dan Penempatan Semula berkata, kebanyakan yang cedera adalah pekerja binaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12


Menyamar orang tua untuk rompak

Posted: 11 Nov 2012 12:29 PM PST

LONDON: Seorang pelajar berusia 16 tahun menggunakan mekap dan memakai rambut palsu untuk menyamar sebagai orang tua untuk melakukan rompakan bersenjata.

Dengan berpakaian seperti lelaki tua, Miles Alura merompak sebuah kedai emas di Kent, Julai lalu, dan melarikan barang kemas berharga 50,000 pound (RM243,375).

Semalam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Menurut polis, Alura, memakai rambut palsu ketika merompak sebuah kedai emas Mayfair di London, sebulan sebelum itu dan melarikan barang berharga 100,000 pound (RM486,750).


Dalam dua kejadian itu, dia dan beberapa rakan mengugut staf dengan senjata api mainan sebelum mengikat mereka dan melarikan diri.


Untuk menyamar lelaki tua, Alura memakai topi, mewarnakan kening, memakai janggut palsu, menipiskan rambut dan bermekap, sekali gus mengingatkan seseorang kepada penyamaran seperti dalam siri kartun Scooby Doo.

Alura yang berasal dari Camden Road, London, dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Kingston selepas dia mengaku bersekongkol untuk merompak.

Dia turut dikenakan hukuman dua setengah tahun penjara kerana memiliki senjata api mainan dan lima tahun penjara kerana merompak. Semua hukuman itu berjalan serentak.

Seorang lagi remaja berusia 16 tahun dari Stoke Newington, London, dipenjara tiga tahun kerana merompak, bersekongkol untuk merompak, manakala remaja ketiga berusia 15 tahun dari Holloway, London, dijatuhkan hukuman tahanan setahun dan arahan menjalani latihan.

Nama kedua-dua rakan Alura itu tidak boleh didedahkan kerana faktor usia. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved