Jumaat, 12 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Ciri klasik penyeri gaun

Posted: 12 Oct 2012 03:51 PM PDT

BAGAIKAN puteri, gaun labuh putih bersih yang membaluti tubuh anggun digayakan raja sehari. Selain menonjolkan kejelitaan mempelai, rona suci seperti putih susu, putih dan krim menjadi warna kegemaran wanita sepanjang zaman.

Putih menggambarkan ketulusan serta kesucian hati pasangan dua sejoli. Terpahat ikatan cinta menerusi perkahwinan yang diterjemahkan pada busana cukup indah bertemakan kisah khayalan.

Koleksi pengantin Innai Red ilham pereka Arene P Khairudin dan Juliani Jamal mengutamakan kekemasan, bersih dan tidak sarat perhiasan.

Keistimewaan rekaan dua pereka ini apabila mengetengahkan konsep minimalis dengan memberi tumpuan pada potongan ala duyung, kembang dan piramid bagi menyerlahkan kelangsingan mempelai. Selain itu, baju kurung dengan sentuhan moden bunga-bungaan pada hujung baju dan bertingkat menampilkan kelainan serta cita rasa tersendiri.


Perincian kristal dan mutiara dijahit teliti sebagai tambahan kepada keanggunan serta gaya elegan si pemakai.


Himpunan pengantin Innai Red menggunakan fabrik mewah seperti renda Perancis, sifon, sutera, satin dan tulle dilapisi organza. Ini kerana semua material ini sesuai dijadikan busana disebabkan sifatnya yang lembut serta beralun cantik apabila dipakai.

Jahitan sekuin pada kain dan baju menambah seri, apatah lagi digayakan untuk majlis di taman. Selain terjemahan unsur moden, ciri-ciri klasik dapat dilihat pada bahagian pinggang apabila Arene dan Juliani memberikan gaya segar dengan potongan kembang pada baju serta kemasan manik dan permata bagi menonjolkan kerampingan pengantin.

Lebih menarik apabila sedikit sentuhan tradisional pada baju berpotongan kebaya menambah gaya feminin mempelai, ditambah kemasan reben pada bahu untuk mereka yang inginkan kelainan.

Di samping itu, kedua-duanya bijak menghasilkan sentuhan unik 'bermain' dengan reben sebagai perhiasan baju, jahitan butang pada bahagian belakang juga kain berbulu untuk tampil berbeza.

Koleksi pengantin Innai Red boleh didapati di butik Innai Red Sri Hartamas.
Untuk mengetahui lebih lanjut, layari laman sesawang www.innaired.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/12


ADVERTORIAL: Menjaga tulang sihat

Posted: 12 Oct 2012 03:50 PM PDT

YASMIN sentiasa pastikan dia melakukan senaman secukupnya dan mengambil makanan yang sihat untuk mencegah penyakit yang mengancam nyawa seperti kanser atau penyakit jantung.

"Saya hendak lihat anak-anak membesar menjadi seorang dewasa yang gembira," katanya yang mahu mengecap kebahagiaan bersama ahli keluarga.

Semasa Yasmin tergelincir ketika mengangkat kotak fail di pejabat, ketika itulah dia mengetahui dirinya tidak cukup prihatin.

"Doktor memberitahu tulang pergelangan tangan saya retak. Ia tidak sepatutnya retak pada usia seperti saya. Saat itu saya sedar berdepan dengan risiko mengalami osteoporosis pada usia muda," kata wanita berusia 35 tahun ini.


Osteoporosis adalah penyakit yang tidak disedari. Ia menyebabkan kemerosotan pada tulang dan sedikit demi sedikit akan membuatkan keadaannya semakin lemah serta rapuh.


Memandangkan satu daripada tanda paling mudah untuk dikesan ialah tulang rapuh, seseorang itu hanya akan sedar mereka mengalami osteoporosis apabila tulang mereka patah.

Bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas, seorang daripada tiga wanita akan mengalami masalah itu berbanding lelaki iaitu seorang daripada lima orang yang menderita kerana osteoporosis.

"Tetapi saya masih muda. Doktor memberitahu, saya masih boleh mencegah osteoporosis dan sejak itu saya mula memastikan tulang sentiasa kuat dan sihat," jelas Yasmin.

Situasi yang dialami Yasmin menunjukkan kita seharusnya mengambil berat mengenai kesihatan dan keadaan tulang untuk memastikan kesejahteraan dalam kehidupan yang berterusan.

Menjaga tulang sihat

Bagaimana kita harus menjaga tulang agar kuat dan sihat? Tulang ialah tisu hidup yang bertindak menerusi senaman dan pemakanan untuk menjadi lebih kuat.

Anda tahu yang otot akan menjadi lebih besar dan kuat apabila sering menggunakannya, begitu juga dengan tulang. Tulang akan menjadi lebih kuat dan padat apabila kita memastikan ia bekerja dan membekalkan nutrien yang betul.

Bagi tulang, 'bekerja' bermakna mengendali impak, berat badan atau lebih banyak rintangan. Terdapat dua jenis senaman yang penting untuk membina dan mengekalkan ketumpatan tulang iaitu senaman bebanan dan latihan pengukuhan otot.

Senaman bebanan

Senaman ini merangkumi aktiviti yang membuatkan anda bergerak menentang graviti ketika berdiri tegak. Senaman bebanan terbahagi kepada dua jenis iaitu berimpak tinggi dan rendah.

Senaman ini direka untuk dilakukan bersama-sama dengan program senaman bebanan. Ia tidak menggantikan keperluan untuk berjalan atau senaman bebanan lain.

Senaman bebanan berimpak tinggi membantu membina tulang dan mengekalkan kekuatannya. Contoh senaman bebanan berimpak tinggi seperti menari, aerobik berimpak tinggi, mendaki, joging atau berlari, melompat tali, menaiki tangga dan bermain tenis.

Senaman bebanan berimpak rendah juga boleh membantu memastikan kekuatan tulang dan lebih selamat bagi mereka yang tidak boleh melakukan senaman berimpak tinggi.

Sekiranya anda tidak boleh melakukan aktiviti senaman bebanan berimpak tinggi, cuba lakukan dengan menggunakan mesin latihan elips, membuat aerobik impak rendah, menggunakan mesin memijak tangga dan berjalan pantas di atas treadmill atau di luar.

Makanan sihat untuk hidup sihat

Ramai mengetahui kalsium dan vitamin D sangat penting untuk pembinaan tulang yang kuat. Tetapi kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa kita kehilangan kalsium setiap hari apabila berpeluh atau pergi ke tandas.

Bagaimanapun, badan tidak dapat menghasilkan kalsium. Justeru, penting bagi kita membekalkan nutrisi kepada tulang.

Antara sumber baik kalsium ialah makanan daripada kalsium tinggi seperti susu dan hasil tenusu, beberapa jenis sayur-sayuran hijau dan ikan.

Hasil tenusu ialah susu rendah lemak yang mengandungi kalsium tinggi seperti Anlene, yogurt dan keju.

Sekiranya anda suka jenis makanan ini, ia antara cara mudah memperoleh kalsium yang mencukupi untuk kesihatan tulang.

Penting untuk mendapatkan kalsium yang secukupnya daripada makanan yang anda makan. Apabila makanan tidak mengandungi kalsium secukupnya untuk keperluan badan, kalsium akan diambil daripada tulang anda.

Ikan sardin dan salmon (dengan tulang) dalam tin adalah antara cara yang baik untuk mendapatkan kalsium. Anda juga boleh mendapat kalsium dengan mengambil udang dalam tin.

Selain itu, ikan berlemak seperti salmon, kembung, tuna dan sardin juga adalah sumber untuk mendapatkan vitamin D.

Beberapa kajian mengaitkan pengambilan buah dan sayur yang banyak dapat memberikan kesihatan kepada tulang mereka dengan lebih baik.

Disebabkan sumber buah dan sayur menggalakkan tulang yang sihat masih belum jelas, sesetengah saintis percaya ia sebenarnya mengandungi nutrien tertentu yang penting untuk tulang.

Bagi membantu mengekalkan kesihatan tulang, kurangkan pengambilan minuman beralkohol dan mengandungi kafein. Pengambilan minuman beralkohol yang banyak boleh mengakibatkan kehilangan jisim tulang.

Mereka yang minum terlalu banyak alkohol tidak mendapat kalsium secukupnya dan kemungkinan akan mengurangkan bekalan kalsium dalam badan.

Kopi dan teh juga mengandungi kafein. Kafein akan mengurangkan sedikit penyerapan kalsium. Justeru, pengambilannya lebih daripada tiga cawan kopi setiap hari boleh membahayakan kesihatan tulang.

Sekiranya anda gemar minum kopi dan teh, cara untuk membantu menggantikan semula kehilangan kalsium adalah dengan mendapatkan kalsium secukupnya daripada sumber terbaik bagi memenuhi keperluan badan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pekerja haram di Putrajaya

Posted: 11 Oct 2012 03:14 PM PDT

KUALA LUMPUR: Walaupun medan selera beroperasi di dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, namun masih ada majikan yang berani menggaji pekerja asing tanpa dokumen sejak awal tahun lalu.

Kegiatan itu terbongkar selepas Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Putrajaya membuat serbuan melalui Ops 6P Daya dan menahan 16 orang termasuk 10 warga asing dan enam majikan warga tempatan.


Serbuan selama satu jam bermula 11 pagi itu turut mengambil tindakan ke atas pemilik enam gerai makanan dan minuman kerana menggaji warga asing.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (II), Mohd Izzat Mohd Jamil berkata, melalui pemeriksaan berkenaan, pihaknya mendapati ramai majikan mengambil jalan mudah dengan menggaji warga asing tanpa dokumen sah walaupun mengetahui ia menyalahi undang-undang.


Katanya, pihaknya yang mendapat maklumat awam yang mengatakan ramai majikan di kawasan itu menggaji pekerja asing sejak awal tahun ini melakukan siasatan sebelum membuat serbuan.


"Kami membuat pemeriksaan ke atas 17 kedai serentak dan mendapati tujuh daripadanya terbabit pelbagai kesalahan iaitu mengambil pekerja asing tanpa dokumen sah.

"Kami menahan 16 orang termasuk 10 warga asing termasuk enam Indonesia, tiga (Thailand) dan seorang (Myanmar) serta enam majikan warga tempatan untuk siasatan lanjut," katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, mereka kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/12


Tiga penyakit akibat stres di tempat kerja

Posted: 11 Oct 2012 03:11 PM PDT

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengenal pasti hilang pendengaran, penyakit kulit dan penyakit paru-paru sebagai penyakit berbahaya yang sering menghantui kalangan pekerja di abad ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, pekerja menghidap tiga penyakit itu akibat tekanan atau stres di tempat kerja.


"Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga sudah mengenal pasti tekanan di tempat kerja sebagai satu bencana paling utama dan perlu ditangani segera," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Seminar Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2012 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.

Menurutnya, penyakit hilang pendengaran disebabkan bunyi bising di tempat kerja mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 867 kes pada tahun lalu, tetapi menurun 26 peratus berbanding 1,173 kes pada 2010.


Beliau berkata, mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967, Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Pendedahan Bising), pekerja tidak boleh terdedah melebihi 90 decibel secara berterusan atau melebihi had-had yang dinyatakan dalam Jadual Pertama atau melebihi dos bising harian serta tiada pekerja boleh terdedah kepada paras bising melebihi 115 decibel pada bila-bila masa.


Menurut beliau, 102 kes penyakit kulit dilaporkan tahun lepas menurun empat peratus berbanding 106 kes pada 2010, manakala penyakit paru-paru mencatat 101 kes tahun lalu iaitu meningkat 37 peratus, berbanding 63 kes pada 2010. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/12


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sabar itu suatu ujian

Posted: 11 Oct 2012 07:31 AM PDT

REALITI yang harus ditelan, nama dan bakat yang ada padanya masih belum kukuh dan jauh untuk muncul di depan. Entah di mana silap dan salahnya, Siti Khatijah Hassan atau panggilan komersialnya, Kat Hassan bagaikan masih tercari-cari laluan kerjaya untuk menjadi seorang penyanyi dan penghibur terkenal.

Meskipun bersandar pada program televisyen popular Mentor 2, menjadi protege kepada penyanyi terkenal dan status adik ipar kepada rocker, Amy Search, Kat masih tidak berjaya memaut pada publisiti meluas, sebaliknya gadis jelita berusia 25 tahun ini gigih berdiri membina nama sendiri.

Bagaimanapun, sesuatu yang pasti, acap kali bertentang mata dengannya, bersembang panjang dan mendengar setiap bicara yang dilontarkan, semangat dan kesungguhannya tidak pernah berubah.

Kat masih yakin dan percaya pada prinsip yang dipegang sejak awal melangkah dulu, biarkan lewat memahat populariti namun sebaik saja bucu bintang itu mampu disentuhnya, ia tentu akan bersinar lama.


Jelasnya, soal popular hanya satu bonus namun apa yang lebih penting adalah permulaan bagi satu perjuangan yang sedang diatur.


"Bukan sehari dua saya ditanya soalan yang sama bilakah saya akan benar-benar menyerlah. Namun saya percaya rezeki dan peluang itu belum sampai buat saya.
Saya kena terus berusaha kerana saya sedar ada penyanyi di Malaysia yang pernah melalui fasa yang sama seperti saya.

"Walaupun tidak selalu mewarnai halaman akhbar atau hadir memeriahkan majlis anugerah atau acara hiburan, saya masih selesa bergerak dengan cara saya. Ada saja peluang dan kepercayaan pihak yang mengundang saya membuat persembahan pada majlis korporat. Itu sudah cukup untuk saya menyokong semangat bagi terus mengejar impian yang jauh di atas.

"Keluarga dan teman-teman adalah penguat semangat yang sentiasa memberikan suntikan positif buat saya. Benar kata mereka, kalau berusaha sekuat mana dan memikirkan seribu satu jalan sekali pun, namun jika tidak tertulis rezeki itu untuk saya, ia tidak akan ke mana juga. Namun kalau peluang itu sudah awal disuratkan untuk saya, insya-Allah satu hari nanti ia akan menanti saya juga," katanya.

Album perdana Kat berjudul Menggoda dilancarkan pada pertengahan Mei lalu. Ia menjadi detik permulaan yang segar buat dirinya.

Mata kasar mungkin menghukum bingkisan istimewa yang mengandungi lima lagu itu masih gagal, namun hakikatnya usaha yang dipertaruhkan itu boleh dipuji.

Tambah Kat lagi, sambutan yang diterima daripada peminat dan pendengar terhadap karya sulungnya itu begitu baik hingga mampu mengundang semangatnya untuk terus mencuba lagi.

"Alhamdulillah, apa yang saya perjuangkan selama ini khususnya untuk Menggoda berbaloi. Saya secara peribadi berasa puas kerana akhirnya impian ingin memiliki sebuah album perdana tercapai juga. Mengapa lekas menjatuhkan hukum atau meletakkan persepsi atas usaha orang lain. Ada lebih baik jika kita sama-sama menyokong dan optimis akan kemampuan orang lain terutamanya pendatang baru seperti saya," katanya yang pernah membuat percubaan dengan menghasilkan album Chiki namun ia tidak begitu mendapat sambutan.

Biarpun populariti belum memuncak dan album tidak laris seperti diimpikan, gadis kelahiran Pulau Mutiara ini yang pernah muncul dengan lagu Hilang, sentuhan Edrie Hashim memberanikan diri mencatur perjalanan terus ke depan.

Ingin melakukan kerja amal membantu pihak yang memerlukan, Kat yang juga pernah menceburi lapangan seni lakon dalam beberapa drama termasuk Sayang Cendana, Sudu & Garfu dan Kasih Marisha akan tampil dengan persembahan solo dalam 'showcase' istimewa pada 31 Oktober ini di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur.

'Showcase' amal bertujuan untuk menyumbang kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) ini ibarat pengenalan kepada perancangan masa depannya.

"Lama rasanya saya menyimpan hasrat untuk mengadakan persembahan istimewa seperti ini namun alhamdulillah, rezeki itu datang lebih awal dari yang saya sangkakan. Saya cukup seronok apabila berpeluang membabitkan diri dengan kerja kemasyarakatan dan ia memang menjadi impian saya untuk turut berbakti kepada negara.

"Persembahan ini nanti adalah satu prelude kepada konsert besar saya yang dijadualkan pada Februari tahun depan. Kiranya, ini adalah sesi panaskan badan dan melihat dulu pasaran dan sambutan daripada peminat. Namun objektifnya masih sama, untuk membantu dan beramal. Keseluruhan kutipan tiket nanti akan diserahkan kepada tabung PBSM.

"Lebih istimewa lagi, 'showcase' ini nanti akan turut diserikan penyanyi baru di bawah naungan syarikat saya, Kath Entertainment iaitu Deanna Sofea," katanya yang turut berlakon dalam filem Lagenda Budak Setan 2 dan 3.

Terlintas pula persoalan apakah yang membuatkan gadis yang tidak lekang mengukir senyuman ini begitu berani menganjurkan 'showcase' sedangkan namanya masih belum kukuh seperti kebanyakan penyanyi lain.

Bagai sudah mengagak akan diajukan persoalan sebegitu, Kat hanya tersenyum dan perlahan-lahan menarik nafas menyusun kata.

"Saya tidak pernah menjadikan populariti sebagai penanda aras dalam kerjaya nyanyian. Walaupun saya akui ia penting tapi saya tidak ada kuasa untuk memastikan ia datang melekat pada saya. Bagaimanapun, apa yang penting adalah impian dan minat saya. Memang sejak dari dulu, inilah yang saya inginkan dan alhamdulillah tidak akan saya persiakan.

"Jika ada yang bertanya mengenai keberanian dan semangat, saya katakan ini satu usaha untuk saya terus ada dalam industri. Apa yang akan saya lakukan dalam 'showcase' nanti adalah satu permulaan kepada segala-galanya. Ini satu persembahan bagi mengutip dana untuk meringankan beban mereka yang memerlukan.

"Konsert solo pada Februari depan juga satu lagi percaturan yang saya fikirkan untuk terus mengukuhkan nama sebagai seorang penyanyi," katanya.

Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung konsert itu di laman sosial facebook dan twitter milik Kat Hassan atau mendapatkan tiket masuk bernilai RM20 yang akan disumbangkan sepenuhnya kepada tabung PBSM untuk tujuan kebajikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Nafas baru tarian lama

Posted: 11 Oct 2012 07:04 AM PDT

TARIAN tradisional rakyat seperti joget, zapin, inang dan banyak lagi di Malaysia sememangnya menjadi lambang serta identiti bahawa negara ini kaya dengan khazanah tari.

Hakikatnya, unsur yang ada dalam setiap tarian cukup unik dan berbeza dengan kebanyakan tarian lain di seluruh pelosok dunia.

Bagaimanapun, dalam usaha memartabatkan lagi tarian tradisional seiring menaikkan nilai komersial pelbagai gerak tari tempatan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tidak pernah leka untuk menganjurkan acara ke arah mencapai matlamat itu.

Meneruskan penganjurannya yang dimulakan sejak 2009, pada 12 dan 13 Oktober ini bakal berlangsung Malam Gala Inspitari menggabungkan 15 kumpulan kesenian di bawah JKKN seluruh negara.


Semestinya, persembahan kali ini akan lari daripada kebiasaan kerana gerak tari yang dipersembahkan meng-gunakan koreografi segar dan lebih kreatif.


Bukan saja menyasarkan rakyat tempatan untuk terus menikmati keaslian warisan tempatan, tarian yang dipertunjukkan menerusi acara ini diharap akan mencetuskan fenomena di peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, selain diberikan sentuhan baru dengan olahan muzik yang lebih kontemporari, tarian ciptaan baru itu bagaimanapun masih lagi dijaga keasliannya tanpa menjejaskan imej dan identiti negara.

"Kami mahu mencari reka tari yang boleh dikatakan mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa khususnya seperti tarian Gangnam Style yang mencetuskan kegilaan di seluruh dunia. Tarian itu yang diolah daripada gerakan menaiki kuda dan gaya hidup masyarakat di Wilayah Gangnam, Korea Selatan itu sekelip mata
menjadi terkenal.

"Mengambil inspirasi daripada kejayaan itu, persembahan yang bakal dipertunjukkan pada acara kali ini juga sememangnya unik. Dengan memperkenalkan tema Pencarian Tari Kreasi Baru, setiap kumpulan dari semua negeri akan tampil mempersembahkan reka tari yang baru namun berasaskan tarian sedia ada masyarakat setempat di negeri masing-masing," katanya.

Untuk persembahan tahun ini, 16 tarian yang diolah semula dipersembahkan seramai 274 Artis Budaya (Tari) Kumpulan Kesenian JKK dari seluruh negara termasuklah tarian Awang Batil oleh KK JKKN negeri Perlis, Tari Jelapang (Kedah), Lanca (Pulau Pinang), Gambus Kampung Padang Changkat (Perak), Zapin Cemara (Selangor) dan Zapin Wove (Kuala Lumpur).

Selain itu, JKKN Negeri Sembilan pula akan membawakan Seramik, Inang Bukit Cina (Melaka), Masadeka (Johor), Moh Mutik Teh (Pahang), Tedung Terengganu) dan Nego (Kelantan). Tidak ketinggalan, kumpulan dari Sabah akan mempersembahkan Selendang Cocos, Sarawak dengan tarian Sirat serta JKKN induk dengan tarian Tingkah.

Pada Inspitari 2011, keseluruhan persembahan membuahkan hasil membanggakan apabila di antara 14 tarian baru yang dipentaskan ketika itu, sekurang-kurangnya enam tarian berjaya menonjol dan sering dipersembahkan dalam acara anjuran JKKN sama ada di peringkat negeri, nasional atau antarabangsa.

Buat semua pencinta seni budaya serta masyarakat yang mahu melihat satu transisi baru dalam memartabatkan seni tari tempatan, jangan lupa saksikan Malam Gala Inspitari di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut pada 12 dan 13 Oktober bermula jam 8 malam. Masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Ulat Arab’ caj hingga RM5,000

Posted: 11 Oct 2012 03:31 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kemasukan pelancong dari Timur Tengah sepatutnya membawa rezeki melimpah kepada pemandu teksi Malaysia, namun keadaan sebaliknya berlaku apabila rezeki mereka dicuri dengan kehadiran ratusan 'ulat teksi Arab' yang bergiat aktif di kawasan tumpuan pelancongan negara ini tanpa kawalan pihak berkuasa.

Kegiatan dipercayai dijalankan pelajar dari Iran, Arab Saudi, Jordan dan Mesir itu hanya disediakan khas untuk pelancong dari negara asal mereka kerana faktor bahasa dan komunikasi.

Difahamkan, pendapatan tahunan diperoleh semua ulat teksi terbabit dianggarkan mencecah RM100 juta setahun dan ia merugikan pendapatan negara yang sepatutnya dikutip daripada sektor pelancongan.

Perkembangan ini didedahkan Presiden Persatuan Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit Bintang), Mohamed Asharaf Yasin yang kesal apabila wujud 300 ulat teksi Arab di kawasan itu dengan menawarkan pakej perjalanan eksklusif untuk pelancong Timur Tengah.


Menurutnya, pendapatan diraih pemandu teksi tempatan hanya RM4,000 sebulan, tetapi hasil dikaut setiap ulat teksi Arab yang beroperasi secara haram di Bukit Bintang, di sini, melebihi RM30,000 sebulan dengan menawarkan pakej perjalanan eksklusif kepada pelancong Timur Tengah dan mereka difahamkan sudah bertapak di ibu kota sejak 10 tahun lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/12


10 lelaki bergelut buaya

Posted: 11 Oct 2012 03:31 PM PDT

KINABATANGAN: Lebih 10 tenaga lelaki dewasa termasuk sepasukan kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah diperlukan, sebelum berjaya menumpaskan seekor buaya gergasi sepanjang 5.2 meter yang ditemui di Sungai Kinabatangan, di sini, Ahad lalu.

Namun, buaya jantan yang digelar 'Si Ganas' itu ditangkap bukan kerana membaham atau mengganggu manusia, sebaliknya bagi membolehkan sepasukan penyelidik memasang penanda bertujuan memantau pergerakan sang bedal terbabit.


Dalam pemburuan itu, JHL bersama Tasik Girang Field Centre (DGFC) memasang jerat, sebelum umpan yang diberikan disambar reptilia berkenaan.

Sebaik ditangkap dan dibawa ke darat, buaya itu dipasang penanda yang membolehkan ia dijejaki menerusi satelit bagi tujuan penyelidikan.


Projek berkenaan dijalankan menerusi pembiayaan Zoo Chester dan DGFC.


Pengarah JHL Sabah, Dr Laurentius Ambu, berkata reptilia itu adalah buaya jantan ketiga ditandakan penanda satelit di Kinabatangan menerusi projek yang dijalankan Unit Menyelamat Hidupan Liar jabatan itu dan DGFC.

"Bagaimanapun, dua buaya yang ditandakan pada Jun 2011 dan Januari lalu tidak dapat dikesan selepas dua bulan ditanda.


"Kami berharap penanda pada Si Ganas dapat bertahan lama bagi membolehkan pergerakannya direkodkan," katanya, di sini, semalam.

Laurentius berkata, lebih 10 lelaki diperlukan bagi 'menawan' Si Ganas sebaik memasuki perangkap dipasang sebelum diukur, dipasangkan penanda dan dilepaskan semula ke habitat asalnya.


Sementara itu, Pengarah DGFC yang juga Ketua Program Buaya Kinabatangan, Dr Benoit Goossens, berkata hasil pemantauan dalam tempoh tiga hari selepas ditanda dan dilepaskan, buaya berkenaan sudah bergerak sejauh kira-kira lima kilometer.


"Keadaan itu seolah-olah menunjukkan ia bukan haiwan pemastautin," katanya.


Goosens berkata, pasukannyajuga menjalankan kaji selidik menerusi pemetaan lokasi bersarang yang menunjukkan penurunan habitat dan campur tangan manusia mempengaruhi tingkah laku buaya di lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/12


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Tentera bangkit

Posted: 11 Oct 2012 01:53 PM PDT

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) meranapkan impian LionsXII mara ke final Piala Malaysia apabila mencatatkan kemenangan 5-4 menerusi sepakan penalti, malam tadi.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat selepas tamat masa tambahan pada separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.


"Ini kejayaan paling manis buat ATM. Ini juga adalah hasil kerja keras dan semangat berpasukan yang ditunjukkan setiap pemain malam ini.

"Ini kejayaan berpasukan dan saya mengucapkan syabas kepada pemain yang mencipta sejarah layak buat pertama kali ke final Piala Malaysia," kata jurulatih B Sathianathan selepas perlawanan.


Juara Liga Perdana yang menamatkan penantian 46 tahun ke pentas final itu kini menanti pemenang di antara Selangor dan Kelantan dalam satu lagi pertemuan separuh akhir di Stadium Shah Alam malam ini untuk aksi final pada 20 Oktober ini.


Walaupun ATM menguasai 20 minit awal permainan dan mendapat sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan untuk menjaringkan gol, ia gagal dimanfaatkan jentera serangan juara Liga Perdana itu.

Kelab dari Singapura itu sebaliknya membuka jaringan menerusi Agu Casmir selepas mendapat hantaran kapten pasukan, Shahril Ishak.


Rembatan pemain naturalisasi itu dalam kotak penalti terkena pemain pertahanan ATM menyebabkan bola melambung menewaskan Mohd Farizal Harun di gawang pada minit ke-26.

ATM cuba meningkatkan penguasaan pada babak akhir separuh masa pertama dengan dua peluang hadir menerusi pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak namun dinafikan kecekapan penjaga gol pelawat,Izwan Mahbud.


Bersambung separuh masa kedua tuan rumah yang mendapat sokongan kira-kira 20,000 penyokong mengawal permainan dengan baik untuk namun masih gagal menembusi gawang Izwan.


Serangan bertali arus dilancarkan ATM diketuai penjaring 10 gol Piala Malaysia, Marlon Alex James tetap menemui kebuntuan sehinggalah pada masa kecederaan apabila James meledak jaringan untuk keputusan 1-1 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/12


Na Yeon, Karrie setaraf

Posted: 11 Oct 2012 01:48 PM PDT

JUARA bertahan, Choi Na Yeon dari Korea Selatan dan pemain Australia, Karrie Webb berkongsi kedudukan pendahulu selepas pusingan pembukaan Kejohanan Golf Wanita LPGA Malaysia Sime Darby 2012, semalam.

Pusingan pertama kejohanan bernilai AS$1.9 juta (RM5.8 juta) itu tertangguh selama tiga jam berikutan hujan lebat dan petir sebelum saingan disambung semula jam 4.20 petang.


Kedua-dua pendahulu itu melakar catatan enam bawah par 65 pada saingan di Kuala Lumpur Golf & Country Club.

"Pukulan yang saya lakukan amat baik sekali. Saya mempunyai banyak peluang melakukan birdie dan catatan saya memuaskan.


"Bagaimanapun, masih ada tiga pusingan dan prestasi ini meningkatkan keyakinan dan tidak sabar untuk meneruskan saingan," kata Na Yeon yang menyamai Karrie membenam enam birdie.


Sementara itu, Karrie bertekad memberi tumpuan pada pertandingan tahun ini selepas tidak menyerlah sepanjang tahun lalu.

Tiga pemain termasuk pemain amatur dari Taiwan, Min Lee ketinggalan satu pukulan kepada pendahulu hari pertama.


"Saya bangga prestasi dilakar pada penampilan pertama kejohanan LPGA. Sasaran saya ialah cuba mempelajari sebanyak mungkin di sini," kata Min Lee yang memilih pemain senegara dan pemain wanita nombor satu dunia, Yani Tseng sebagai idola.

Min Lee berkata, dia mendapat dorongan dan panduan daripada Yani semasa melakukan latihan sembilan lubang, kelmarin, dan ia banyak membantu meningkatkan ketahanan mentalnya.


Sementara itu, pemain negara, Aretha Pan dan Ainil Johani Abu Bakar mencipta catatan sama, dua atas par 73 untuk berkongsi kedudukan ke-54 bersama tiga lagi pemain.


Aretha melakukan dua birdie pada lubang keempat dan ke-18 serta dua bogey dan bogey berganda manakala Ainil Johani pula melakar tiga birdie, tiga bogey dan bogey berganda.


Seorang lagi pemain negara, Jean Chua yang melakukan empat atas par 75 di tangga ke-62 manakala pemain pusingan kelayakan, S Sarfina Vinota tercorot dengan 81.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/12


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Jari berhias jadi identiti unik

Posted: 11 Oct 2012 09:40 AM PDT

ROME: Seorang artis menggunakan kreativitinya mencipta nama menggunakan jari yang dihias bagi membentuk pelbagai wajah orang terkenal.

Berasal dari Bologna, artis yang hanya mahu dikenali dengan nama samaran Dito Von Tease itu menggunakan jarinya bagi memaparkan wajah seperti Dalai Lama, Jesus, Muammar Gaddafi dan Hitler.


Dia memilih nama samaran Dito sempena nama seorang penari, Dita, serta perkataan bahasa Itali il dito (bermaksud jari).

Kata Von Tease, projek "Ditology" itu dilakukan bagi melihat kepada kepekaan terhadap identiti serta bagaimana seseorang menggunakan samaran - terutama apabila mereka meninggalkan "cap jari digital" dalam talian. "Ia bermula tiga tahun lalu ketika saya mencari imej asli sebagai gambar profil di Facebook," katanya.


Menurut Von Tease, 33, dia memilih jari sebagai pengenalan kerana tidak mahu identitinya terdedah. Katanya di Itali, ada ungkapan agak popular, nascondermi dietro un dito, yang bermaksud "bersembunyi di balik jari." "Ia adalah kiasan kepada tindakan bersembunyi yang tidak berkesan," katanya. Von Tease berkata, dia menggunakan kiasan itu untuk menyatakan bahawa, semua manusia cuba menyembunyikan diri di balik imej yang direka sendiri.


Mengenai jarinya, Von Tease berkata, dia menghiasinya untuk memaparkan wajah sesiapa saja, terutama individu terkenal. Dia menukar watak jarinya setiap harian berdasarkan kepada berita dan perkembangan semasa, membabitkan isu sejarah, seni, muzik, televisyen dan politik. Untuk melengkapkan imej itu, Von Tease menukar warna kulit pada jarinya dan menambah gaya rambut, mekap dan ciri khusus yang dikaitkan dengan tokoh yang dipilih. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Scotland Yard ‘tersilap’ sita kereta anak Raja Ajman

Posted: 11 Oct 2012 09:36 AM PDT

LONDON: Scotland Yard didakwa memulangkan sebuah kereta Ferrari FF yang dipamerkan di depan pejabat pihak berkuasa itu sebagai peringatan untuk pemandu degil sebaik saja mengetahui pemiliknya.

Kenderaan mewah bernilai 200,000 (RM984,024) itu dipamerkan bagi membuktikan pihak berkuasa tetap menyita kereta yang didapati melakukan kesalahan walau apa pun jenisnya. Namun, ia dikembalikan selepas polis menyedari ia dimiliki anak lelaki Sheikh Rashid Humaid al-Nuaimi, anak kepada pemerintah Ajman di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Insiden itu diketahui ramai selepas Sheikh Rashid bermegah-megah memaklumkannya di Facebook. "Duit Arab memang berkuasa," katanya. Bagaimanapun, jurucakap polis berkata, kereta disita hanya dipulangkan selepas pemiliknya membayar denda dan menyediakan dokumen sebenar. "Berhubung kes Ferrari itu, ia telah dituntut pemiliknya" katanya. Sheikh Rashid memuat naik gambar Ferrari itu di Facebook bersama catatan: "Ferrari saya disita di London, kemudian mereka mengetahui siapa saya dan kereta itu dikembalikan." Dalam komen pada pos itu, Sheikh Rashid berkata, dia tidak membayar insurans untuk keretanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved