Jumaat, 15 Julai 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kacak, glamor bukan ukuran

Posted: 15 Jul 2011 07:19 AM PDT

RUPA yang kacak? Glamor? Kedua-dua ciri ini nampaknya tidak tersenarai langsung sebagai tarikan buat sekumpulan wanita yang juga antara peminat setia kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC.

Berkesempatan berbicara dengan keempat-empat wanita berkenaan yang juga kakitangan Bank Standard Chartered, Melissa Chong Mei Lan, 33, Ashira Fahra Ramli, 22, Faye Liew Pei Fei, 35, dan Sabrina Nisha Nathan, 29, mereka berasa tidak perlu 'disogok' dengan daya tarikan sedemikian untuk menjadi peminat bola sepak.

Saat suka mahupun apabila kelab itu dilanda detik mengecewakan, peminat sejati Liverpool FC tidak pernah beralih arah.

Begitu juga Melissa yang tidak pernah beralih minat ke kelab bola sepak lain biarpun kelab kesayangannya itu banyak menempuh saat mendukacitakan sejak beberapa tahun ini.


"Apa sekalipun yang berlaku, minat saya kepada kelab ini tidak pernah pudar. Apa yang saya lihat, semangat bersatu padu peminat kelab ini sendiri memang mengagumkan, malah peminatnya benar-benar setia pada kelab ini.


"Mungkin ada yang kata wanita meminati bola sepak kerana pemainnya yang tampan tetapi bagi saya, cinta pada kelab ini sudah berputik sejak kecil lagi, mungkin sejak saya dilahirkan kerana ayah peminat Liverpool. Ia semacam berada dalam DNA saya pula," katanya yang juga menyedari minatnya pada bola sepak hadir tanpa paksaan sesiapa.

Bertugas sebagai Pengurus Kad Kredit dan Pinjaman Peribadi Standard Chartered, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui kemenangan Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul pada 2005 antara kenangan manis yang terus mekar di ingatannya.

Tidak hanya memiliki jersi bersulamkan namanya, Melissa jarang berenggang dengan rantai berloket Liverpool yang sentiasa dikalung pada lehernya.

Himpunan barangan cenderahati lain dimilikinya termasuk botol air, topi dan kafling malah dia turut menabung untuk menyempurnakan cita-citanya menjejakkan kaki ke stadium Anfield.

"Saya berhasrat untuk ke sana tahun hadapan bersama rakan dan hingga kini, tabungan yang saya kumpul daripada wang makan tengah hari saya itu sudah mencapai kira-kira 70 peratus daripada jumlah kos untuk ke sana," kata peminat Ian Rush ini.

Ashira Fahra, termuda antara kelompok peminat wanita ini namun sejurus tiba gilirannya untuk mengutarakan pendapat, peminat ketua pasukan, Steven Gerrard dan penyerang yang baru menyertai kelab berkenaan, Luis Suarez ini kelihatan banyak benar idea yang mahu dikongsi.

"Suarez penjaring gol yang sangat berpotensi untuk melonjakkan kembali pasukan ini. Malah dalam tempoh kemunculannya yang agak singkat, dia banyak menjaringkan gol.

"Jika sebelum ini ramai yang mengharapkan Torres (bekas penyerang, Fernando Torres) tetapi nampaknya keputusannya meninggalkan Liverpool untuk ke Chelsea tidak merugikan kelab ini," kata gadis yang berkhidmat sebagai eksekutif perancangan perniagaan di bank berkenaan.

Cintanya pada Liverpool sudah bersemi sejak kira-kira 11 tahun lalu kerana abangnya yang meminati kelab berkenaan. Anak bongsu daripada empat beradik yang berasal dari Johor Bahru, Johor ini juga tidak kurang pujiannya untuk pengurus kelab, Kenny Dalglish yang dianggapnya terbaik untuk mengendalikan kelab itu kini.

"Menerusi pengalamannya, dia mampu memanfaatkannya untuk kelab ini malah barisan pemain untuk musim ini juga agak bagus yang sangat diperlukan untuk menghadapi musim depan dengan lebih baik," katanya yang turut memanjangkan minatnya pada bola sepak dengan bermain futsal sejak kira-kira lima tahun lalu.

Bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Sains Perniagaan Antarabangsa di Universiti Kent September ini, Ashira akui tidak akan melepaskan peluang untuk menonton perlawanan Liverpool semasa berada di United Kingdom kelak.

Faye juga peminat Gerrard malah dua anak lelakinya dinamakan sempena dua pemain kelab terbabit.

Cintanya pada Liverpool bermula sejak mengenali teman lelakinya (kini suaminya), malah mereka sering menonton perlawanan bersama setiap hujung minggu. Bagai pengulas sukan, selepas perlawanan, mereka berbincang pula mengenai prestasi permainan.

Sama-sama punya minat serupa justeru tidak sukar bagi pasangan ini membuat keputusan mengenai nama anak-anak. Lantas anak lelaki mereka dinamakan Gerrard, 4, dan seorang lagi Lucas, 2, manakala anak sulung pasangan ini pula anak perempuan yang kini berusia sembilan tahun.

"Gerrard memang kegemaran saya kerana cara dia bermain. Hantaran jauhnya antara yang saya gemari.

"Dia tidak hanya matang merancang permainan malah bagi saya, seseorang yang mampu mengawal pasukannya," kata wanita yang meminati kelab ini sejak 12 tahun lalu.

Malah sejak 12 tahun lalu juga, Faye mengumpul jersi yang digunakan Liverpool untuk bertanding di gelanggang sendiri (Anfield) dan gelanggang lawan, yang juga antara koleksinya paling berharga.

"Liverpool mungkin bukan pasukan paling baik di dunia tetapi ia sentiasa dan selamanya terbaik di hati saya," katanya.

Terus terang, Sabrina Nisha akui minatnya pada Liverpool baru saja bermula malah lebih jujur, dia asalnya meminati bola sepak kerana tarikan rupa paras.

"Gerrard agak tampan juga tetapi lama kelamaan saya sedar dia mempunyai lebih daripada sekadar rupa.

"Menyaksikan permainannya, bagi saya dia mempunyai kualiti seorang ketua pasukan sejati. Dia menyokong pasukannya dan proaktif apabila berada di padang," katanya.

Teman lelaki gadis manis ini bukanlah peminat bola sepak tetapi itu tidak memadamkan minatnya. Malah untuk terus melebarkan minatnya, dia mula bermain futsal sejak lebih setahun lalu serta merancang untuk bermain untuk pasukan bank tempat dia bekerja.

Kesempatan berbicara mengenai minat sekumpulan wanita ini terhadap dunia bola sepak adalah sempena Jelajah Asia 2011 pasukan Liverpool FC yang julung kali hadir di negara ini untuk perlawanan bersama pasukan Malaysia pada hari ini mulai jam 5.45 petang di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bekas teh eksklusif

Posted: 15 Jul 2011 06:52 AM PDT

ALANGKAH enaknya jika dapat menikmati teh panas dengan hidangan petang bersama keluarga atau rakan. Apatah lagi jika dihidangkan dengan kuih-muih kegemaran.

Namun, kita akan berasa lebih puas jika dapat menikmati teh kegemaran
di mana saja kita berada. Oleh itu, pengeluar produk piuter terbesar dunia, Royal Selangor memperkenalkan koleksi bekas teh bimbit yang dikenali sebagai Inro.


Koleksi ini terdiri daripada tiga bekas teh bimbit yang diukir dengan imej berbeza hasil karya seni masyarakat zaman purba Cina.

Antaranya imej pokok pain dan burung jenjang, pepatung dan buluh serta orkid dan burung murai yang masing-masing membawa maksud berbeza.

Selain itu, ia juga mengambil inspirasi bekas Inro daripada kebudayaan Jepun iaitu bekas yang digunakan untuk menyimpan ubat-ubatan.

Malah, setiap bekas mempunyai tali pintal yang menutup rapat penutup bekas teh terbabit bagi mengelakkan isinya tertumpah.

Ia kecil dan mudah dibawa serta boleh dijadikan sebagai hadiah istimewa bagi rakan penggemar teh agar boleh menikmatinya walau di mana juga anda berada.

Produk ini boleh didapati di semua kedai jualan Royal Selangor dan pengedar berdaftar serta melalui royalselangor.com pada harga bermula dari RM380.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Rumah penuh beg jenama tiruan

Posted: 14 Jul 2011 11:09 AM PDT

GOMBAK: Tiga anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor terkejut apabila mendapati rumah kedai dua tingkat yang diintip sebenarnya bukan stor penyimpanan video cakera padat (VCD) cetak rompak sebaliknya barang tiruan berupa pelbagai jenis beg.

Serbuan dijalankan di Jalan 12/10, Taman Koperasi Polis Fasa 1 di sini, kira-kira jam 6.15 petang kelmarin menemui kira-kira 30,000 beg tiruan pelbagai jenama terkenal membabitkan nilai mencecah RM500,000.


Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, ketika serbuan itu, pihaknya menahan lima suspek termasuk pemilik premis iaitu seorang lelaki berusia 50-an dan empat pekerja berusia antara 18 dan 23 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal lebih menjurus kepada tempat penyimpanan VCD cetak rompak berdasarkan kawalan rapi yang dibuat di premis itu termasuk pintu depan yang tidak pernah dibuka secara terang-terangan.


"Ketika pegawai kami sedang membuat pemantauan, sebuah lori yang berisi muatan tiba bersama pemilik premis yang turut berada di tempat kejadian dipercayai untuk mengira stok baru menjelang musim perayaan.


"Siasatan awal mendapati mereka memperoleh stok barangan itu daripada seorang pembekal di Pulau Pinang yang dipercayai menyeludup bekalan itu dari China," katanya.

Serbuan dilakukan tiga pegawai KPDNKK Selangor cawangan Shah Alam dengan dibantu pegawai KPDNKK cawangan Gombak merampas jenama beg terkenal seperti Adidas, Nike, Elvy dan Coach Othman berkata, barangan itu dijual secara langsung kepada peniaga pasar malam dan peruncit kedai beg di sekitar Lembah Klang dan Selangor.


"Siasatan mendapati mereka sudah beroperasi lebih tiga tahun lalu selain menjual di tapak pasar malam di depan premis ini yang dibuka setiap Sabtu.

"Bagi memastikan operasi mereka tidak dikesan penguat kuasa, semua kerja pemindahan barang di tingkat satu ke bawah melalui lubang ditebuk dalam sebuah bilik menggunakan takal," katanya.


Katanya, tingkat atas premis itu dijadikan tempat penyimpanan stok yang baru dibawa masuk manakala tingkat bawah digunakan untuk kerja pembungkusan semula sebelum diedarkan.


Siasatan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 membawa hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu manakala bagi syarikat, denda RM250,000 jika sabit kesalahan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Drebar teksi diserang lima lelaki selepas turun penumpang

Posted: 14 Jul 2011 09:59 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi hilang punca pendapatannya selepas diserang lima lelaki tidak dikenali sebaik menurunkan penumpang terakhirnya di Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini sebelum teksinya dilarikan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang baru sahaja menurunkan seorang penumpangnya di Taman Sentosa, di sini sedang membelok ke arah jalan utama balik ke rumahnya.


Sumber polis berkata, mangsa hanya sempat memandu kira-kira 50 meter menuju ke Jalan Klang Lama apabila dengan tiba-tiba dia diserang lima lelaki .

"Mangsa bukan sahaja ditumbuk di mata malah dipukul dengan objek keras yang menyebabkannya pengsan. Pelbagai barangan miliknya termasuk wang tunai turut dilarikan suspek.


"Mangsa hanya tersedar sebaik dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selang beberapa jam kemudian," katanya.


Menurutnya, selepas dibenarkan untuk keluar wad keesokannya, mangsa menuju ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan teksinya tetapi hampa selepas mendapati teksinya tiada di kawasan itu dan dipercayai dilarikan kumpulan lelaki yang menyerangnya tempoh hari.

Katanya, mangsa yang buntu selepas hilang punca pendapatannya membuat laporan di Balai Polis Brickfields kelmarin untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abd Hamid mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan dijalankan untuk mengesan suspek.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


4 kali gagal hadiri bicara

Posted: 14 Jul 2011 11:19 AM PDT

SHAH ALAM: "Kamu mahu dipenjarakan atau kamu dijamin?" kata Hakim Datuk Lim Yee Lan kepada produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Terdahulu, penerbit filem kontroversi ...Dalam botol itu ditahan kira-kira jam 9.45 pagi di rumahnya di Hulu Klang, dekat sini, selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan sebelum dia dibawa ke mahkamah dalam keadaan tangan bergari.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas wanita berkenaan gagal hadir sebagai saksi pada perbicaraan kes saman sivil penjualan tanah seluas 14.2 hektar dengan harga RM5.2 juta membabitkan suaminya, Mohd Jalani Sidek dan syarikatnya pada 1998.

Bagaimanapun, Raja Azmi, 52, yang menerbitkan filem Black Widow Wajah Ayu dan Cinta 100 Ela itu dibebaskan selepas membayar jaminan RM30,000 dengan dua penjamin, kira-kira jam 4 petang.


Raja Azmi yang hadir memakai blaus kelabu memberitahu mahkamah, dia tidak hadir pada perbicaraan lalu berikutan dimasukkan ke hospital selama empat hari kerana menjalani pembedahan mata.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Tiada mayat dikesan K9’

Posted: 14 Jul 2011 11:19 AM PDT

SHAH ALAM: Tiada mayat atau tulang manusia dikesan Unit Anjing Pengesan (K9) ketika haiwan itu dilepaskan ke Ladang Gadong, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, milik tertuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada 9 September 2010.

Pegawai Staf D9 Unit Siasatan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Denis Leong Sung Kuai, memberitahu demikian dalam perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di Mahkamah Tinggi, semalam.

Denis yang juga saksi pendakwaan ke-27 pada hari kesembilan perbicaraan, memberi keterangan ketika menjawab soalan balas peguam bela Amer Hamzah Arshad, berhubung penggunaan dua anjing baka Jerman yang terlatih mengesan bau mayat ketika siasatan dilakukan.

AMER: Setuju saya katakan bahawa unit K9 dibawa masuk mencari barang bukti?

DENIS: Setuju.

AMER: Setuju saya katakan K9 adalah anjing yang dilatih mengesan barang bukti melalui deria bau?

DENIS: Anjing yang dibawa adalah Cadaver iaitu dilatih mengesan bau mayat mereput.

AMER: Ada K9 menemui sebarang mayat di dalam ladang itu?

DENIS: Tidak ada.

AMER: Ada pasukan itu mengesan sebarang tulang manusia pada hari siasatan itu?

DENIS: Tidak ada.

AMER: Dalam laporan polis hasil siasatan dibuat kamu, ia mengatakan membuat pemeriksaan dalam kawasan ladang. Adakah ia bermaksud tiga pasukan iaitu pasukan kamu, pasukan Asisten Superintendan Azizan dan pasukan K9?

DENIS: Ya.

AMER: Berdasarkan laporan polis ini, adakah kamu mempunyai sebab tidak melaporkan bahawa tiada sebarang penemuan dibuat di dalam kawasan ladang itu?
DENIS: Saya tidak mempunyai sebab.

AMER: Polis perlu melakukan siasatan secara menyeluruh dan tidak berat sebelah?

DENIS: Ya.

AMER: Maklumat seperti ini iaitu tiada sebarang penemuan dibuat adalah penting dan perlu dimasukkan ke dalam laporan polis?

DENIS: Ya.

AMER: Tetapi kamu masih tidak memasukkannya?

DENIS: Ya, saya tidak masukkan.

Tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 20; R Matan, 21; dan R Khatavarayan, 31, bersama-sama majikan mereka yang juga bekas peguam, N Pathmanabhan, 42, didakwa membunuh semua mangsa di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Rakan mereka, U Suresh, 27, dan K Sarawanan, 20, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan apabila membakar dan membuang abu mangsa.

Sementara itu menjawab soalan peguam bela, Gurbachan Singh, Denis mengakui pada 9 September 2010, polis membawa jengkaut masuk ke ladang itu bagi mengaut tanah untuk mencari bukti.

Menurutnya, jengkaut itu digunakan untuk menggali di kawasan hadapan ladang di sebelah kiri, sekitar kawasan rumah kayu dan kawasan pondok rehat.

GURBACHAN: Pasukan kamu yang membawanya?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Tetapi ia tidak disebut di dalam laporan polis?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Berapa lama menggali?

DENIS: Lebih kurang setengah jam.

GURBACHAN: Bagaimanapun tiada sebarang penemuan bukti?

DENIS: Tiada.

GURBACHAN: Di mana ia dilakukan?

DENIS: Kawasan hadapan ladang di sebelah kiri, sekitar kawasan rumah kayu dan kawasan pondok rehat.

GURBACHAN: Kawasan itu saja?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Saya diarahkan anak guam bahawa pihak kamu menggali di semua tempat termasuk kolam?

DENIS: Tidak.

GURBACHAN: Kamu tidak berasakan adalah penting menggali kolam itu?

DENIS: Kami tidak menggunakan jengkaut sebaliknya hanya menggunakan kayu.

GURBACHAN: Ketika mahkamah membuat lawatan ke Ladang Gadong (kelmarin), kamu ikut serta bukan?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Setuju saya katakan jalan masuk ke dalam ladang, dinaiki air di sebelah kanan dan kiri jalan?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Setuju dengan saya bahawa kawasan itu mudah dinaiki air?

DENIS: Setuju.

GURBACHAN: Setuju saya katakan bahawa paling penting dalam siasatan adalah memastikan bahan bukti tidak dialihkan atau dipinda?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Setuju saya katakan bahawa sebelum 9 September 2010, tiada tindakan diambil polis bagi memastikan bukti di kawasan ladang itu dialihkan atau dipinda?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Setuju saya katakan, sehingga 9 September 2010, kamu tidak tahu siapa pergi ke ladang itu atau mempunyai akses kemasukan ke situ?
DENIS: Saya tidak tahu.

Sementara itu, Asisten Superintendan Zainol Hisham Abu, 40, dari makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur, memberi keterangan dia diarahkan membantu siasatan pasukan forensik di lokasi penemuan barang kes iaitu di Sungai Panchau, Banting, pada 12 September 2010.

Keadaan Zainol yang memberi keterangan dengan suara bergetar dan menggigil ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani, ditegur oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir sekali gus menyebabkan mereka di galeri ketawa.

Dia yang mengakui menggigil disoal Idham, diminta menenangkan diri.

Perbicaraan akan bersambung pada 25 Julai depan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Amaran Kuyt

Posted: 14 Jul 2011 10:10 AM PDT

"SECARA jujurnya, saya tidak tahu sangat mengenai pasukan Malaysia, cuma saya berharap dapat menewaskan mereka 4-0," kata tonggak Liverpool, Dirk Kuyt.

Mungkin kata-kata bintang Belanda itu hanya sekadar berseloroh tapi untuk skuad Harimau Malaya, ia bolehlah dianggap sebagai satu peringatan supaya kekalahan 4-0 kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dalam perlawanan persahabatan kelmarin tidak berulang.


Kuyt yang ditemui pemberita pada sidang media Jelajah Asia membabitkan kelab juara lima kali Eropah itu sebaik tiba di Kuala Lumpur, semalam turut melahirkan rasa teruja bertandang ke negara ini buat kali pertama dan tidak sabar menguji kemampuan skuad bimbingan Datuk K Rajagobal di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang esok.

"Kedatangan kami ke Asia penting kerana mempunyai ramai peminat di sini. Sebelum ini kami berada di China dan sambutan peminat di sana begitu menakjubkan. Peminat di sini juga tidak kurang hebatnya, saya lihat ramai peminat menanti kami di hotel," katanya sambil merujuk kepada ratusan peminat yang menanti di pintu lif hotel penginapan mereka, menanti bintang Liverpool turun menghadiri sidang media.


Pada sidang media itu, Kuyt turut ditemani pertahanan Daniel Agger dan pengurus Kenny Dalglish manakala ketua jurulatih Malaysia, Datuk K Rajagobal dan kapten Mohd Safiq Rahim menjadi wakil kem negara.


Bagaimanapun sedikit mengecewakan buat peminat The Reds kerana kapten, Steven Gerrard, Luis Suarez, Glen Johnson dan Peipe Reina tidak turut serta dalam kunjungan pertama ke Kuala Lumpur ini.

Gerrard terpaksa diketepikan bagi meneruskan rawatan untuk kembali pulih daripada kecederaan manakala Suarez mempunyai komitmen bersama Uruguay dalam kejohanan Copa America yang sedang berlangsung di Argentina.


"Gerrard selaku kapten Liverpool begitu penting untuk kelab dan penyokong pasukan ini, tapi dia mengalami kecederaan. Sememangnya kami mengharapkan Gerrard dapat bersama dalam jelajah ini tapi adalah lebih baik dia mendapat rawatan supaya sembuh semula bagi menghadapi saingan musim depan," kata Kuyt yang meledak 13 gol untuk Liverpool musim lalu.

Sementara itu, Dalglish yang menyuntik semangat baru kepada kelab itu sebaik dilantik pada awal tahun ini berharap dapat membentuk pasukan mantap menerusi jelajah pra musim ini bagi mengembalikan kegemilangan Liverpool yang sekadar menamatkan saingan di tangga keenam musim lalu.


"Perlawanan ini memberi peluang kepada pemain untuk kembali cergas dan ia memang penting untuk persiapan kami bagi menghadapi musim depan. Sememangnya kami berdepan cabaran hebat untuk memenangi trofi tapi apa yang perlu dilakukan adalah terus mencuba," katanya.


Sebelum tiba di Malaysia, 'King Kenny' bersama 26 pemain singgah di China bagi mengadakan perlawanan persahabatan menentang Guangdong Sunray Cave yang menyaksikan The Reds menang tipis 4-3.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tagih sengat Safee

Posted: 14 Jul 2011 10:03 AM PDT

JIKA pendapat pengurus Arsenal, Arsene Wenger diambil kira, skuad Harimau Malaya kini tampak berdepan krisis di bahagian serangan sekali gus bakal menguntungkan Singapura pada pertembungan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 Julai ini.

Daripada kaca mata pengendali skuad The Gunners itu - selepas menyaksikan anak buahnya mudah meratah Malaysia 4-0 pada aksi persahabatan kelmarin, pemain negara beraksi baik namun kurang bertenaga di bahagian serangan.


Dan apa yang dinyatakan Wenger itu turut diakui ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang masih mempunyai masa untuk mencari formula terbaik sebelum aksi pertama dengan Singapura menerusi satu lagi perlawanan dengan kelab gergasi Inggeris, Liverpool esok.

"Skuad negara akan menentang Liverpool pula selepas ini, penyerang kita tidak mempamerkan permainan biasa mereka pamerkan termasuk Norshahrul Idlan Talaha. Saya mempunyai Abdul Hadi Yahya dan Ahmad Fakri Saarani namun masih kurang menjadi.


"Saya harap Safee (Mohd Sali) kembali sembuh untuk bersama dengan kita bagi pertemuan itu nanti," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.


Sememangnya kegagalan bahagian serangan berfungsi dengan baik berikutan kecederaan beberapa pemain tonggak sebelum ini sudah dapat dilihat dalam perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 ketika menentang Taiwan.

Mujurlah pertahanan dan pemain tengah, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Safiq Rahim menjaringkan satu gol pada dua perlawanan pusingan itu untuk membantu Malaysia mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas agregat terikat 4-4.


Melihat situasi itu, khidmat peledak sensasi dari kelab Pelita Jaya FC, Safee yang tidak beraksi dalam perlawanan menentang Arsenal bakal ditagih untuk bergandingan dengan Norshahrul biarpun mungkin bukan untuk sepenuh masa bagi menggempur kubu Liverpool.

Rajagobal yang hadir pada sidang media perlawanan persahabatan Jelajah Asia Liverpool 2011 semalam berkata, beliau berharap pemainnya dapat menggunakan peluang bertemu skuad kendalian Kenny Dalglish itu bagi memperbaiki prestasi.


"Ia kesempatan yang baik untuk skuad negara kerana dapat bertemu dengan dua kelab Liga Perdana Inggeris dalam tempoh beberapa hari. Liverpool mempunyai ramai peminat dan ia akan memberi impak kepada bola sepak negara. Yang pasti perlawanan menentang Liverpool ini adalah persediaan terbaik sebelum bertemu Singapura," katanya.


Liverpool tiba pagi semalam bagi meneruskan siri Jelajah Asia mereka selepas singgah di China sebelum ini dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Guangdong Sunray Cave dengan keputusan memihak kepada The Reds 4-3.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Air mata, canda Didie

Posted: 14 Jul 2011 05:42 AM PDT

MELIHAT pada gaya dan ketrampilan dirinya, siapa sangka dia sebenarnya ibu kepada lima anak berusia 12 hingga 18 tahun yang sudah meniti usia remaja. Kemampuannya menjaga aura sebagai artis nyata semakin menyerlah pada usia 39 tahun ketika ini.

Artis yang dimaksudkan - Didie Alias ternyata sedang melalui fasa terbaik dalam hidupnya sekarang kerana semakin laris di kaca TV mahupun pentas hiburan. Dia juga semakin prihatin bergaya dan mula membuka mata ramai pihak.

Sejak muncul dalam drama seram Kum Kum The Series, lakonan Didie kembali menjadi perhatian. Bukan saja siri itu, aksinya dalam drama seperti Diva-Diva Pencen dan Pontianak Kampung Batu juga mendapat pujian penonton.

Selain itu, Didie meraih perhatian sebagai pengacara program hiburan Tiada Lama Tiada Baru (TLTB) terbitan RTM, baru-baru ini. Paling membanggakan, Didie akhirnya terpilih menjadi hos Anugerah Planet Muzik (APM) 2011 yang berlangsung di Singapura malam ini.


Di sebalik kesibukan Didie membina nama yang kian teguh, tanggung jawab beliau sebagai seorang ibu tidak pernah diabaikan.


Hakikatnya, Didie atau nama sebenar, Fadzilah Mohd @ Ali adalah wanita gigih yang sentiasa bertungkus lumus mencari rezeki bagi membesar lima zuriatnya hasil perkahwinan terdahulu.

Dia akui bahagia ditemani anak-anak iaitu Dhaniyah, 18; Dhanial, 17; Dinie, 15; Danie, 13, dan Diyana, 12. Malah mereka juga turut menyokong kerjaya seninya dari belakang dan memberi semangat tatkala dia dalam kesusahan.

Andai diimbau kembali saat awal Didie berpisah kira-kira 10 tahun lalu, dia akui terpaksa mencatur langkahnya dari bawah dengan susah.

Betullah kata arwah ibunya, jika perjalanan hidup manusia berkiblatkan keikhlasan dan sentiasa bersyukur, pasti akan ada jalan terang menanti di depan. Berpegang pada kata-kata itu, Didie akhirnya berjaya mendaki puncak kegemilangan semula.

"Saya enggan lagi mengenang semula kisah sedih dulu kerana semuanya satu pengalaman atau pengajaran yang begitu mematangkan diri saya. Biar apa yang pernah berlaku, semua itu satu sejarah dan kenangan yang tidak seharusnya melemahkan semangat kita.

"Apa yang penting, perancangan kita untuk hari ini dan masa depan. Saya mahu anak-anak saya membesar dalam cukup makan, pakai dan pelajaran," katanya kepada Rap, baru-baru ini.

Kata Didie yang anggun bergaya, dia tidak henti bersyukur atas rezeki dan segala peluang yang selalu ada dalam bidang seni. Dia yang mencetus fenomena menerusi filem Kanta Serigala dan Boss pada 1980-an, pernah berehat seketika selepas berkahwin dengan Ridzuan kerana mahu memfokus kepada keluarga.

Selepas sekian lama menjanda, Didie mendirikan rumah tangga lagi dengan jejaka bujang juga pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail yang lebih muda daripadanya. Mereka pernah beraksi dalam program Sehati Berdansa.

"Saya sangat gembira dengan kehidupan saya sekarang. Saya akan gunakan setiap peluang untuk memajukan kerjaya dengan baik.

"Syukurlah lakonan saya diingat peminat kerana itulah yang menjadi matlamat saya setiap kali berlakon. Saya cuba imbangi lakonan bercorak serius, komedi dan seram agar menjadi seorang pelakon serba boleh, insya-Allah.

"Kepercayaan yang diletakkan ke bahu saya akan digalas dengan sebaik mungkin. Saya juga gembira melihat perkembangan dunia seni hari ini," katanya.

Mengulas mengenai APM 2011 yang akan dijayakannya hari ini, Didie sudah bersedia dengan busana yang menarik. Dia akan bergandingan dengan pengacara Singapura, Fiza dan Adi Rahman di Max Pavilion, Singapore Expo.

Acara gemilang bagi mengiktiraf artis dan karyawan seni dari Malaysia, Singapura dan Indonesia itu akan ke udara secara langsung, mulai 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

"Inilah hadiah terindah buat saya dan mungkin menjadi titik permulaan kepada fasa seni saya seterusnya. Dua dekad saya berjuang dalam seni dan sekarang saya mendapat penghargaan yang sebegini besar.

"Saya anggap ini semua rezeki anak-anak juga. Sememangnya terpilih mewakili Malaysia bagi majlis anugerah yang sebesar ini sesuatu yang tidak pernah saya impikan. Sampai saat ini, saya masih belum percaya yang saya diberi peluang menjadi hos APM 2011.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada pihak yang memerhati dan menghargai kemampuan bakat saya," katanya.

PROFIL:

NAMA PENUH: Fadzilah Mohd @ Ali
TARIKH LAHIR: 11 Januari 1972
TEMPAT LAHIR: Melaka
SUAMI: Norisham Ismail
ANAK: Dhaniyah, 18, Dhanial, 17, Dinie, 15, Danie, 13, Diyana, 12
FILEM: Boss, Kanta Serigala, Pesona Cinta, Ghazal Untuk Rabiah
DRAMA: Masih Ada Harapan, MoU, Labuna Labuni, Ta'in, Aku Anak Artis, Diva-diva Pencen, Dalil Cinta, Zamara Tamara, Pontianak Kampung Batu
PENGACARAAN: Tiada Lama Tiada Baru, 1 vs 0, APM 2011.

PENCAPAIAN: Finalis Aktres Pembantu Terbaik Anugerah Skrin 1995, finalis Aktres Pembantu Terbaik Anugerah Skrin 1997, tempat ketiga Sehati Berdansa 3, dan finalis Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 & 2010.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Kami sudah berusaha’

Posted: 14 Jul 2011 05:27 AM PDT

PERNIKAHAN bintang Akademi Fantasia 2 (AF2) Nurul atau nama sebenarnya, Nurullah Zawawi, 29, dan suami, Mohd Munzil Muhamad di Narathiwat, Thailand pada 23 April lalu memang mengikut hukum syarak.

Disebabkan prosiding nikah itu sah, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat sudah mengeluarkan surat pengesahan pada 26 Mei lalu sebagai sokongan.

Sangkaan Nurul dan suami–nya, sesudah pengesahan itu diperoleh, segala spekulasi dapat dihentikan, sekali gus membenarkan mereka hidup tenang.

Namun sebaliknya, mereka dikatakan pula cuba membelakangi keluarga sebenar Nurul sewaktu majlis pernikahan itu seperti ke–nyataan ayah kandungnya, Zawawi yang disiarkan program sensasi Melodi, TV3, baru-baru ini.


Menafikan dakwaan itu, Nurul memaklumkan dia sudah berusaha mendapatkan kerjasama daripada keluarga kandungnya tetapi usahanya itu gagal atas sebab tertentu.


"Bukan saya dan suami tak pernah cuba bertemu keluarga kandung saya itu. Ada dua cara kami buat, pertama mendapatkan bantuan Jabatan Agama Islam di Sarawak untuk bertemu mereka.

"Kemudian saya, suami dan mentua pergi ke Sarawak dan berjumpa penghulu di kampung itu. Saya terpaksa menggunakan Jabatan Agama Islam Sarawak dan penghulu kampung itu kerana saya tidak tahu di mana keluarga kandung saya tinggal kerana saya diserahkan kepada keluarga angkat ketika masih bayi lagi," jelasnya.

Ada juga pihak bertanya, apakah perlu dia menggunakan pihak ketiga untuk berhubung dengan keluarga kandungnya sedangkan arwah ayah angkat dan ayah kandungnya ada pertalian darah.

Persoalan lain pula bagaimanakah kru Melodi berjaya menemui keluarga kandungnya sebelum ini.

"Susah untuk saya komen dan bercerita panjang kerana hal ini membabitkan hal keluarga. Jadi banyak perkara terpaksa dipendamkan demi kebaikan," katanya.

Nurul yang tertekan dengan cemuhan di Internet selain dilemparkan pandangan sinis di khalayak ramai berkata, tidak pernah terlintas di hatinya mahu menyorokkan status dirinya sebagai anak angkat.

Malah Nurul turut menafikan menukar namanya, Nurullah Zawawi kepada Nurullah Abdul Hamid dalam setiap urusan rasmi.

"Nurullah Abdul Hamid digunakan untuk tujuan komersial dan nama itu saya perkenalkan ketika menyertai AF2. Saya buat begitu kerana menghormati ayah angkat yang membesarkan saya.

"Bagaimanapun, dalam apa juga urusan rasmi, saya masih menggunakan nama ayah kandung termasuk ketika pernikahan kami. Saya terkilan kerana ada pihak mengandaikan perkahwinan kami tidak sah kerana menggunakan nama ayah angkat.

Saya tidak salahkan media kerana mereka kenal nama pentas saya sebagai Nurullah Abdul Hamid, cuma pada sidang media tergempar ini, saya mahu menjelaskan perkara sebenar.

"Justeru, saya memutuskan untuk dikenali sebagai Nurullah Abdul Hamid @ Zawawi," katanya.

Sidang media itu turut bersaksikan suami Nurul, ibu angkatnya, Napsiah Husaini serta peguam syarie, Mohamad Azlin Mohamad Razali dan Mohammad Fauzi Abdullah.

Jauh di sudut hati, Nurul berharap satu hari nanti dia akan dapat dipertemukan dengan ibu bapa kandungnya.

Kata Munzil pula: "Ada media tersilap lapor kami bernikah pada 23 Mei tetapi sebenarnya 23 April. Disebabkan perkara itu, kami menerima pandangan negatif daripada masyarakat yang meng–anggap kami bersekedudukan.

"Saya harap penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan dan situasi kami sebagai suami isteri yang sah."

Selain itu, Munzil mempertahankan tindakan mereka bernikah di negara jiran sedangkan masih boleh bernikah di negara ini kerana mahu mempercepatkan perkara yang wajib mengikut tarikh yang dirancang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Sanggup mati untuk dapat kerja

Posted: 14 Jul 2011 09:03 AM PDT

[unable to retrieve full-text content]UTAH: Seorang penganggur di sini berikrar untuk berusaha mendapatkan pekerjaan walaupun jika pekerjaan itu akan menyebabkan dia terbunuh.

Kereta lama Kate Middleton bernilai RM150,000

Posted: 14 Jul 2011 08:59 AM PDT

[unable to retrieve full-text content]LONDON: Kereta yang pernah digunakan oleh Putera William dan Kate Middleton ketika mereka bercinta di universiti kini dilelong menerusi eBay.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved