Jumaat, 9 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Untuk keselesaan maksimum

Posted: 09 Nov 2012 08:12 AM PST

JIKA ditanya pada mana-mana wanita secara rambang mengenai celana pilihan mereka, majoriti pasti memilih potongan skinny kerana ia berupaya menyerlahkan bentuk kaki agar tampak lebih panjang dan memberi ilusi bentuk tubuh seimbang.

Namun apabila ditanya semula sama ada mereka sanggup mengenakan celana itu, tidak ramai pula yang rela kerana rata-rata tidak yakin dengan bentuk tubuh serta menganggap celana skinny hanya padan untuk si kurus.

Tanggapan itulah yang cuba diubah Uniqlo, label pakaian popular dunia dari Jepun, dengan memperkenalkan koleksi seluar jean Ultra Stretch yang bukan saja boleh digayakan hampir semua bentuk potongan badan kecil, kurus, sederhana, tinggi, rendah mahupun bentuk epal atau pir malah selesa untuk apa jua aktiviti.

Berteraskan slogan Made For All (Dibuat Untuk Semua), celana jean Ultra Stretch ini nyata menonjolkan aspek revolusi dan inovasi yang menjadi salah satu tunjang Uniqlo, di mana ia direka untuk memberikan kesan regangan maksimum tanpa kekangan pergerakan bagi si pemakai.


"Uniqlo percaya bahawa produk yang sesuai dapat meningkatkan tahap kehidupan pengguna, justeru kami hasilkan helaian yang bukan saja ringkas dan mudah dipadu padan bersama helaian lain malah tiada kompromi dalam isu keselesaan.


"Seluar jean Ultra Stretch ini adalah salah satu produk inovasi kami bagi 2012, dicetuskan daripada kehendak pelanggan yang mahukan helaian asasi menarik, selesa dan padan dengan bentuk tubuh mereka.

"Berdasarkan daripada kajian dan pemantauan kami terhadap wanita Jepun, lebih 80 peratus mahukan seluar jean skinny yang tidak keras, kasar serta sendat di sesetengah bahagian tubuh.

"Mereka juga inginkan sesuatu yang boleh meregang dengan mudah dan seluar terbabit perlu kembali ke bentuk asal.

"Biarpun ada banyak jenis legging dan jegging (gabungan jean dan legging) di pasaran, mereka tetap mahukan sekurang-kurangnya sehelai seluar jean skinny yang mampu memberikan keselesaan maksimum, selain boleh dipadankan untuk apa jua stail.

"Atas faktor itu, Ultra Stretch hadir di pasaran dan mendapat sambutan hangat di Jepun lalu inovasi ini dibawa ke seluruh dunia agar wanita tampil lebih yakin kala mengenakan seluar jean skinny," kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Fast Retailing bagi Malaysia dan Singapura, Satoshi Onoguchi ketika majlis pelancarannya di Orchard Ion, Singapura, baru-baru ini.

Tambah Onoguchi, penggunaan material seperti denim berkualiti tinggi, kapas, poliester dan spandeks bertindak memberikan rasa keselesaan optimum berbanding jegging serta seluar jean biasa.

Menerusi lapan pilihan warna - empat rona denim manakala empat lagi menepati tema musim luruh - celana jean Ultra Stretch ini menawarkan 40 peratus kesan regangan dengan 90 peratus kembali ke bentuk asal berbanding seluar jean lain.

Ia memberikan lebih definisi pada bentuk kaki, selain siluet langsing dengan menyediakan alternatif bagi wanita yang gemarkan potongan lurus berbanding potongan but atau flare.

Menariknya, sesetengah wanita yang mencuba celana jean Ultra Stretch ini mendapati saiz seluar mereka juga berkurangan.

Misalnya jika sebelum ini perlu mengenakan saiz 29, Ultra Stretch membolehkan mereka bergaya dengan saiz 28.

Uniqlo buka butik lagi

DENGAN pilihan saiz 22 hingga 28, dapatkan celana jean Ultra Stretch anda pada harga tawaran sempena pembukaan butik keenam dan ketujuh Uniqlo di Malaysia.

Sunway Pyramid menjadi butik keenam dan bakal dibuka pada 15 November ini, di mana ia bertujuan menghubungkan kumpulan peminat Uniqlo baru dan sedia ada di kawasan pinggir bandar khususnya Sunway serta Subang Jaya.

Butik di Paradigm Mall yang akan dibuka pada 6 Disember pula menyasarkan kumpulan profesional iaitu golongan pekerja serta keluarga, dengan meningkatkan keupayaan jenama ini untuk memenuhi keperluan pengguna di sekitar Kelana Jaya.

Uniqlo Sunway Pyramid bakal menawarkan rangkaian fesyen terkini bagi lelaki dan wanita manakala, Uniqlo Paradigm Mall akan memperluaskan rangkaiannya yang merangkumi koleksi kanak-kanak dan bayi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


Kasut corak unik, menarik

Posted: 09 Nov 2012 07:28 AM PST

MELIHATKAN peranan kasut, tidak hairan kini semakin ramai yang mementingkan pemakaiannya supaya selesa bergerak ke mana saja.

Namun, ada juga yang membeli kasut kerana rekaannya cantik sehinggakan tidak menyedari ia bukan sesuai untuk jenis kaki sekali gus menyakitkan jika dipakai lama.

Justeru, pereka kasut kini semakin bijak menampilkan koleksi kasut yang menitikberatkan penggunaan material bagi memberi keselesaan kepada pemakai di samping mengekalkan gaya menarik untuk ke mana saja.

Untuk wanita yang mudah terpedaya dengan rekaan kasut unik, seeloknya fikir dulu sebelum membeli terutama melalui butik secara dalam talian bagi mengelakkan aksesori pelengkap itu hanya disimpan di dalam almari.


Bagi pemilik butik The Calaman, Hazwan Faiz Abdul Rahim, 25 dan Badruzzaman Zakaria, 25, memilih kasut yang bersesuaian dengan kaki amat penting agar ia selesa dipakai.


Tidak hanya mengambil berat mengenai saiz, malah dua sahabat baik itu juga sentiasa menasihati pengguna untuk mementingkan material digunakan agar tidak timbul sebarang masalah kelak.

Menampilkan pelbagai corak unik dan menarik, kebijaksanaan pemilik butik berkenaan menghimpunkan cita rasa wanita dapat dilihat menerusi koleksi kasut Crown dan Moutache.

Menggunakan fabrik suede, ia mudah dan selesa dipakai untuk ke mana saja kerana direka dengan tapak rata yang menutup seluruh bahagian kaki bagi membantu memberi perlindungan berpanjangan.

Didatangkan dalam rona terang yang pelbagai untuk memberi pilihan kepada pengguna, ia sesuai dipadan bersama seluar atau skirt untuk tampil lebih santai.

Bagi wanita yang masih inginkan rekaan unik pada kasut digayakan, koleksi Lips membantu memberi kelainan pada penampilan.

Tampak lebih ceria, kasut yang direka dengan ketinggian empat inci itu menampilkan corak bibir pada bahagian depan untuk aktiviti bersantai.

Untuk gadis di bawah 25 tahun, penggayaan koleksi Rock Studd dapat menonjolkan keberanian dalam memilih fesyen yang tidak terbatas.

Menggunakan material aloi ringan, ia disesuaikan dengan elemen bagi menonjolkan gaya ranggi si pemakai yang boleh dipadan bersama denim atau legging.

Bagi si gadis manis yang feminin, koleksi Flourecent menanti dengan penampilan rona terang. Kasut baji yang memiliki ketinggian tiga inci ini didatangkan dalam rona ungu, hijau muda, kelabu dan biru yang menggunakan fabrik suede.

Di dalam bahagian kasut berkenaan, perekanya menggunakan corak polka dot untuk menyempurnakan penampilan pada kasut polos.

Koleksi Robin pula untuk mereka yang inginkan keselesaan kerana ia direka dengan kehadiran elemen tali di bahagian belakang kasut bagi memberi peluang kepada pemakai menyesuaikan dengan bentuk kaki mereka.

Kasut jenis platform itu ditampilkan dalam rona merah terang, hitam, ungu dan mustard sesuai untuk wanita yang ingin bergaya sederhana.

Terima kasih:

  • Butik The Calaman, Jalan Plumbum P7/P, Seksyen 7, Shah Alam.
  • http:thecalaman.blogspot.com dan facebook.com/thecalaman.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


  • Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Along ubah taktik

    Posted: 08 Nov 2012 03:08 PM PST

    KUALA LUMPUR: Selepas taktik mereka memperdaya peminjam dihidu pihak berkuasa, sindiket ceti haram atau along kini dikesan 'memudahkan' prosedur pinjaman termasuk menandatangani borang perjanjian kosong.

    Dengan urus niaga dijalankan di dalam kereta, along terbabit seolah-olah cuba menyembunyikan operasi mereka dengan tidak lagi berurusan secara terbuka seperti sebelum ini.


    Terbaru, seorang penyelia sebuah syarikat di Kepong terjerat dengan ceti haram dan menjadi mangsa pinjaman mudah dengan hanya menandatangani perjanjian di dalam kereta.

    Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Hazman, 38, berkata, dia mula meminjam daripada ceti haram beberapa bulan lalu apabila mengalami masalah kewangan selepas mendirikan rumah tangga.


    "Menerusi seorang kawan, saya berjumpa dengan along ini di Subang Jaya dan menandatangani kertas kosong untuk membuat pinjaman RM4,000.


    "Tidak berapa lama selepas itu, saya ditawarkan untuk menambah pinjaman menjadi RM12,000 dengan ansuran hampir RM2,000 sebulan menyebabkan saya tertekan. Saya tidak bersetuju dan rasa teraniaya," katanya selepas membuat aduan kepada Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Saharudin Bakar, di sini semalam.

    Hazman berkata, tidak lama selepas itu dia menyedari dipermainkan kerana kadar bunga yang dikenakan meningkat dalam tempoh sebulan menyebabkan dia meminta penjelasan daripada along terbabit.


    "Saya sungguh terkejut apabila dimaklumkan saya perlu membayar keseluruhan RM15,000 untuk tutup akaun. Selepas itu, hampir setiap hari saya dipaksa membayar pinjaman berkenaan, menyebabkan saya menghubungi PPIM untuk mendapatkan bantuan," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


    Tambah dinding hadapi banjir

    Posted: 08 Nov 2012 03:06 PM PST

    KLANG: Kejadian banjir kilat yang melanda beberapa tempat di daerah ini minggu lalu mengganggu persiapan sambutan Deepavali bagi penduduk keturunan India yang bakal disambut Selasa depan.

    Penduduk Taman Sentosa, di sini, M Selva, 43, berkata, akibat banjir kilat itu, dia sekeluarga terpaksa menumpang di rumah rakannya hingga banjir surut.


    Katanya, dia yang sudah empat tahun menetap di situ bimbang jika masalah banjir kilat terus berlaku pada masa akan datang terutama menjelang Deepavali.

    "Saya terpaksa mengubah suai rumah dengan membina dinding tambahan di bahagian hadapan dan belakang rumah dengan kos hampir RM4,000 bagi mengelak air banjir memasuki rumah.


    "Kejadian banjir tempoh hari mengakibatkan saya kerugian kira-kira RM5,000 termasuk perabot dan beberapa barangan elektronik rosak serta barangan persiapan Deepavali," katanya sewaktu ditemui.


    Katanya, banjir kilat yang sering berlaku sejak lima tahun lalu dipercayai berpunca daripada pembangunan kawasan Bandar Botanic yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan berkenaan.

    Beliau berkata, kapasiti air yang banyak dari kawasan berkenaan tidak mampu lagi ditampung longkang sedia ada hingga menyebabkan air melimpah.


    Katanya, sebelum ini kira-kira 200 penduduk sudah menghantar notis kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) berhubung masalah ini, tetapi sehingga kini ia masih tidak menemui penyelesaian konkrit.

    Seorang lagi penduduk, A Anjellamah, 72, yang sudah 17 tahun menetap di kawasan berkenaan turut buntu dengan masalah banjir yang sering berlaku apabila tiba musim hujan.


    Katanya, dalam kejadian terbaru, air naik hampir satu meter mengakibatkan dia kerugian RM5,000 kerana kerosakan peralatan rumah.


    Beliau berkata, persiapan Deepavali juga sedikit terjejas kerana alatan membuat kuih juga rosak disebabkan air memasuki rumah.


    "Saya harap pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian secepat mungkin bagi mengelak kejadian sama berulang dan mengembalikan keceriaan kami sekeluarga menyambut Deepavali," katanya.


    Sementara itu, Jurucakap MPK berkata, pihaknya kini sedang giat melakukan pemantauan di beberapa kawasan di daerah ini yang sering dilaporkan banjir.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    ‘Kenapa nak panik’

    Posted: 08 Nov 2012 08:21 AM PST

    "APA panik? Saya sudah melalui macam-macam (situasi). Kenapa nak panik, Piala AFF belum mula lagi".

    Itu reaksi tegas pengendali negara Datuk K Rajagobal (gambar) berhubung persiapan fasa akhir Harimau Malaya yang semakin mencetuskan kegelisahan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.


    Juara bertahan saingan dwitahunan itu mengalami kekalahan kepada Vietnam dan Thailand dalam aksi persahabatan ketika kejohanan itu semakin hampir membuka tirainya di Kuala Lumpur dan Bangkok, Thailand hujung bulan ini.

    "Sebarang pendapat atau pandangan terpulang kepada anda. Bagi saya ini adalah keadaan sebenar yang perlu disedari semua pemain yang mereka perlu memberikan lebih seratus peratus dan berusaha lebih keras lagi. Semua pasukan yang bersaing mahu mencatat kemenangan dan semuanya membuat persiapan rapi.


    "Bukanlah mudah untuk meraih kejuaraan kali ini kerana semua pasukan berpeluang muncul juara edisi 2012 namun keutamaan kita sebagai tuan rumah dan juara bertahan adalah memberikan aksi terbaik.


    "Kesimpulannya saya tidak panik. Saya tahu apa yang akan diberikan pemain bila masanya tiba. Kami sudah melalui situasi lebih teruk, dulu tewas 1-5 (kepada Indonesia pada perlawanan pertama edisi 2010) dengan semua memberikan reaksi negatif namun kami bangkit.

    "Ini karakter yang saya mahukan dan pemain sedar apa kehendak saya," katanya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.


    Kelmarin skuad negara kecundang 0-2 kepada tuan rumah bersama Piala AFF 2012, Thailand selepas tewas 0-1 kepada Vietnam.

    "Sekurang-kurangnya saya mendapat gambaran sebenar andai layak ke separuh akhir. Menerusi perlawanan ini, kami sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan Thailand," katanya.


    Mengenai pandangan segelintir pihak yang mengatakan harapan pasukannya mempertahankan kejuaraan tipis, Rajagobal berkata: "Saya tidak diberi harapan di Vientiane (pingat emas Sukan Sea 2009 di Laos), begitu juga di Indonesia (juara Piala AFF 2010). Ia terpulang kepada pendapat masing-masing.


    "Sebagai jurulatih saya kenal pemain dan bila masanya saya mahu mereka beraksi dengan baik." Hong Kong menjadi perlawanan persahabatan terakhir, Rabu ini dan Rajagobal mahu pemainnya mencatat kemenangan sebelum berdepan Singapura pada perlawanan pertama saingan Kumpulan B Piala AFF, 25 November ini.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


    Aaliyah tidak pernah gentar

    Posted: 08 Nov 2012 08:16 AM PST

    WALAUPUN berdepan atlet lebih berpengalaman dan jauh lebih berusia, atlet cilik sukan ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah nekad memberikan aksi terbaik pada Kejohanan Asia Waterski & Wakeboard Antarabangsa Malaysia.

    Bersaing dalam acara 'Trick' Terbuka Wanita Ahad ini, Aaliyah, 9, yang baru memenangi Kejohanan Asia Bawah 17 di Korea Selatan, Ogos lalu akan berusaha memastikan kejayaan menjadi miliknya.


    "Saya akan melakukan yang terbaik tapi sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam acara ini. Malah, juara dunia pun kadangkala gagal menang. "Saya akan bersaing dengan peserta lain, menikmati keseronokan dan melakukan yang terbaik," katanya.

    Dengan ketinggian 1.45 meter dan berat badan 28 kilogram, Aaliyah akan menampilkan aksi menarik dalam acara 'trick' berdepan kakaknya, Phillipa Yoong, 33 dan pasangan dari Indonesia, Pupul Endhar dan Siti Nurkarimah.


    Sementara itu, Pengarah program merangkap Setiausaha Eksekutif Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong berkata, penganjur turut mengadakan sesi latihan ski air secara percuma kepada 100 kanak-kanak lelaki dan wanita berusia bawah 12 tahun.


    Menurutnya, inisiatif itu selaras dengan usaha mencungkil bakat baru di kalangan generasi muda negara ini.

    "MWWF berasa perlu untuk terus mencari bakat baru sukan ski air dan 'wakeboard' berikutan potensi sukan ini yang amat cerah pada masa depan. "Usaha menarik lebih ramai kanak-kanak amat penting bagi membolehkan bakat mereka dicungkil dan dikembangkan sekali gus melahirkan lebih ramai atlet dalam sukan ini.


    "Malah, ia juga satu usaha mempopularkan sukan ini di Malaysia, selain mengenal pasti lebih ramai bakat untuk dilatih sebagai persediaan menghadapi Sukan Sea di Singapura 2015," katanya.

    Mereka yang berminat menghadiri sesi itu hanya perlu mengisi borang dan menghantarnya ke Pusat Sukan Air Presint 6, Putrajaya sebelum 11 pagi Ahad ini.


    "Cabutan bertuah untuk 100 peserta akan dibuat kira-kira jam 3 petang, sebelum baucar sesi latihan secara percuma diberikan kepada mereka. Mereka kemudian boleh membuat tempahan pada hari biasa antara 1 Disember hingga 31 Mac tahun depan."

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Keluarga wang palsu

    Posted: 08 Nov 2012 02:21 PM PST

    NUSAJAYA: Enam beranak diburu polis kerana disyaki menggunakan wang palsu untuk membeli-belah dan menjamu selera di sebuah pusat beli-belah di sini, tanpa menyedari gerak geri mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

    Kejadian berlaku Isnin lalu dan enam beranak itu membabitkan seorang lelaki, dua perempuan dewasa selain dua kanak-kanak serta seorang bayi.

    Mereka dikatakan berlagak seperti satu keluarga sedang bercuti dan berkunjung ke pusat beli-belah berkenaan untuk berbelanja di sekurang-kurangnya tiga kedai.

    Ketua Polis Daerah Nusajaya, Asisten Komisioner Nor Hashim Mohamad berkata, ketika berurusan petugas di beberapa kedai didatangi enam beranak itu tidak menyedari pembayaran dilakukan menggunakan wang palsu.


    "Hasil siasatan mendapati keluarga terbabit membuat pembayaran menggunakan wang palsu di tiga kedai di kompleks itu. Wang palsu yang mereka gunakan hampir menyamai wang kertas tulen berdasarkan warna, kualiti kertas dan ciri keselamatan lain seperti pelekat bersinar.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


    Derita 5 jam dalam lori remuk

    Posted: 08 Nov 2012 02:21 PM PST

    BEHRANG: Seorang pemandu lori menderita kesakitan selama lima jam apabila kedua-dua kakinya tersepit selepas lori dipandu terbabas dan terbalik di kawasan kebun sayur berhampiran kilometer 382, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur Behrang, semalam.

    Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, mangsa, Ibrahim Yusof, 54, dikatakan gagal mengawal lori dipandu membawa sarat plastik penutup dawai elektrik selepas tayar kenderaan itu meletup.


    Keadaan itu menyebabkan kenderaan dipandu mangsa merempuh besi pembahagi jalan di tepi lebuh raya sebelum menjunam ke tebing lalu terbalik dan menghempap kaki mangsa.

    Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, sepasukan anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Slim River dan Tanjung Malim yang bergegas ke lokasi sukar mengeluarkan mangsa apabila jentera berat digunakan gagal mengangkat kepala lori itu.


    "Tugas menyelamat terpaksa dilakukan penuh berhati-hati berikutan mangsa kerap menjerit kesakitan dan masih dalam keadaan sedar.


    "Mangsa mampu berkomunikasi terpaksa membongkok dan meniarap di bawah lori itu. Hujan lebat tambah menyukarkan operasi menyelamat mangsa," katanya.

    Menurutnya, mangsa akhirnya dapat dibawa keluar dari bawah lori jam 6.15 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River menerima rawatan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Tak mahu dikenali kerana kontroversi

    Posted: 08 Nov 2012 06:18 AM PST

    BARU lima bulan berlakon, nama pendatang baru meningkat naik, Emma Maembong terus diperkatakan ramai. Semuanya gara-gara gosip dan kontroversi yang melanda dirinya sejak terbabit dalam bidang hiburan tanah air.

    Selepas didakwa sebagai 'kaki propa' kerana dikatakan gagal menghadiri sesi fotografi dengan sebuah akhbar tempatan, penyebaran gambar panasnya dengan teman lelaki semakin memburukkan keadaan.

    Pada majlis pelancaran drama bersiri 24 episod, Cinta Itu Milikku yang berlangsung di Sri Pentas, TV3, sekali lagi kelibat pelakon yang juga pemilik nama sebenar, Fatimah Rohani Ismail dan berdarah kacukan Melayu-Scotland ini mencuri tumpuan pihak media.

    Sekalipun diasak dengan pelbagai soalan panas, Emma yang mewarisi bakat melukis daripada bapanya yang juga pelukis terkenal, Ismail Embong ternyata tidak cepat melatah dan tetap tenang menjawab setiap soalan yang dikemukakan pihak media.

    Walaupun sedih dengan apa yang berlaku tetapi dia reda itulah harga yang perlu dibayar sebagai anak seni.

    "Terus terang, saya tidak mahu nama naik dalam bidang hiburan sebab cerita kontroversi. Saya lebih suka bermula dari bawah dan orang kenal saya sebab bakat yang dipertaruhkan dan bukan sebab penyebaran gambar itu.

    "Ayah juga tahu saya sudah ada teman lelaki tapi dia tak masuk campur pun perkara itu. Walaupun ibu bapa sudah bercerai tapi hubungan saya dan sepuluh adik beradik lain sangat rapat. Mujur ayah dan anggota keluarga lain boleh menilai apa yang baik dan buruk kerana saya bukannya gadis yang suka bersosial atau liar seperti gosip di internet itu.

    "Saya berlakon pun selepas ayah beri 'lampu hijau' kerana saya hanya duduk rumah dan kerja saya hanyalah melukis. Justeru, saya tidak mahu mensia-siakan kepercayaan ayah dan sangat berharap orang berhenti daripada memperkatakan cerita silam kerana perjalanan seni saya masih jauh lagi," katanya.

    Emma yang mula diperkenalkan pengarah terkenal, Erma Fatima menerusi drama terbitan produksinya yang juga siri komedi Facebook Ustazah Shamsiah untuk stesen TV AlHijrah mengakui bertuah kerana diberikan kepercayaan memegang watak utama dalam drama walaupun masih baru.

    "Sebenarnya, Mama Erma sudah kenal lama dengan kakak saya sebab itu saya tidak menolak untuk mencuba bakat berlakon dalam drama arahannya.

    "Dalam Facebook Ustazah Shamsiah yang diterajui Azizah Mahzan, saya bawa watak budak sekolah dalam cerita yang banyak membabitkan elemen nasihat itu.

    "Selepas drama itu, Mama Erma tawarkan saya untuk memegang watak Munirah dalam drama Kau Yang Terindah pula.

    Saya juga tidak hadiri uji bakat ketika berlakon dalam drama itu dan bila di lokasi barulah saya tahu cabaran watak Munirah yang kena pukul dan ragut.
    Sebagai pelakon baru, saya hanya buat apa yang saya mampu," katanya yang membahasakan Erma dengan panggilan Mama Erma.

    Selepas watak Munirah, dia terus diberikan watak utama dalam drama Rindu Rania pula.

    "Terbaru, rezeki saya semakin murah apabila ditawarkan beraksi watak utama dalam drama Cinta Itu Milikku arahan Emi Suffian dan bergandingan pula dengan Fazren Rafi dan Ana Dahlia untuk stesen TV3.

    "Saya juga mendapat bimbingan daripada Emi dan Fazren sendiri yang tidak lokek berkongsi ilmu di lokasi. Hubungan dengan Ana pun rapat seperti keluarga apabila di lokasi drama ini," katanya.

    Namun, Emma mengakui masih banyak yang perlu dipelajarinya dalam meningkatkan prestasi lakonan sedia ada.

    "Saya tiada asas dalam bidang lakonan. Sebab itu, saya bersyukur kerana sudah ditawarkan watak utama dalam drama walaupun masih baru. Sebagai pelakon, tanggungjawab saya hanya memberikan yang terbaik untuk kepuasan penonton," katanya.

    Mengulas penampilannya yang terlalu ringkas pada majlis pelancaran drama Cinta Itu Milikku yang diterajuinya itu, Emma mengakui itulah personaliti dirinya yang sebenar.

    "Saya memang jarang bersolek dan lebih suka tampil ringkas bila di luar. Saya sibuk melukis dan mana ada masa nak bersolek atau memakai aksesori seperti artis lain. Mungkin saya terikut-ikut dengan cara saya di rumah.

    "Saya dibesarkan ayah dan perwatakan saya memang kasar seperti lelaki. Kalau di rumah, saya hanya ikat rambut dan kadang-kadang pakai kain pelikat ayah saja di rumah," katanya.

    Menyusul selepas ini, dia ditawarkan berlakon dalam filem terbitan pengarah Ahmad Idham tetapi penggambaran belum dimulakan lagi.

    Sesibuk manapun berlakon, Emma tetap tidak sesekali melupakan minatnya melukis yang sudah sebati dalam dirinya.

    "Bila tidak berlakon, saya mengisi masa dengan melukis di rumah. Memang rasa janggal bila saya tidak sertai pameran lukisan bersama ayah seperti yang biasa kami lakukan sebelum ini.

    "Pada masa sama, saya juga tidak ada pendidikan formal dalam bidang lukisan dan melukis animasi dan potret pun kerana minat dan belajar sendiri di rumah dengan mendapat bimbingan daripada ayah," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


    Jamal, Jay Jay bergandingan

    Posted: 08 Nov 2012 06:09 AM PST

    BUAT pertama kalinya, dua penyanyi legenda tanah air, Jamal Abdillah dan Jay Jay akan bergabung dalam satu konsert bagi menghiburkan peminat mereka secara langsung pada 24 Disember nanti.

    Konsert yang diiringi hidangan barbeku antarabangsa 'Lanjut Carnivale Fiesta BBQ Around The World' itu bakal diadakan di Lanjut Golden Beach & Golf Resort yang terletak di Kuala Rompin, Pahang.

    Ditemui pada sidang media kelmarin, Jamal berkata, konsert kali ini membawa pengunjung melalui perjalanan nostalgia dirinya dan Jay Jay selama 33 tahun bergelar anak seni.

    "Sambil pengunjung menikmati hidangan makan malam iaitu barbeku antarabangsa diiringi ombak pantai, kami menghiburkan mereka selama dua jam setengah.


    "Apa yang menarik, lagu itu dinyanyikan secara spontan diiringi pemuzik. Tiada jumlah lagu ditetapkan, namun yang pasti ia adalah lagu hit khas untuk peminat yang menyokong karier kami selama ini," katanya.


    Sementara itu, menurut Jay Jay, selama menjadi anak seni belum pernah beliau digandingkan berduet dengan Jamal dalam satu konsert.

    "Konsert kali ini amat eksklusif buat peminat kami yang menantikan gandingan kami berdua selama ini. Kami juga belum mempunyai lagu duet sendiri bersama.
    Mungkin kami boleh berbincang mengenainya selepas ini," katanya.

    Bagi peminat dua gergasi hiburan ini, harga yang ditawarkan bagi konsert itu adalah RM399 seorang bagi pakej konsert dan barbeku empat benua, manakala serendah RM499 seorang beserta penginapan.

    Antara menu yang menggamit citarasa penonton adalah Tex Mex Orientals, Continentals, Prawn Bisque Cilantro, Pastas, Rompin Prawn dan banyak lagi.

    Lanjut Golden Beach & Golf Resort berkeluasan 500 ekar yang diapit dengan pantai persendirian sepanjang 3.5 kilometer selain dikelilingi alam semula jadi yang menjanjikan percutian menarik.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    88 tahun nanti gambar kahwin

    Posted: 08 Nov 2012 01:36 PM PST

    NANCHING: Tanya mana-mana pasangan yang sudah bertunang dan mereka akan menjawab majlis perkahwinan tidak akan lengkap tanpa gambar romantik bagi mengingati majlis berkenaan.

    Sebahagian pasangan yang baru berkahwin akan mengambil gambar mereka selepas majlis itu.

    Tetapi bagi pasangan ini, mereka menanti hingga 88 tahun sebelum dapat merakam gambar paling istimewa dalam hidup mereka.

    Pasangan yang sudah menjangkau usia 100 tahun, Wu Conghan dan Wu Sognshi, berkahwin di wilayah Sichuan, China pada 1924.


    Bagaimanapun, mereka tidak merakam gambar perkahwinan itu sehinggalah baru-baru ini.


    Conghan, 101, dan Sognshi, 103, hidup bahagia bersama sejak 88 tahun lalu.

    Mereka selalu mengimpi untuk merakamkan gambar kahwin mereka.

    Tetapi pasangan itu tidak mempunyai pilihan apabila melangsungkan perkahwinan mereka pada tahun berkenaan.

    Impian mereka dijadikan realiti baru-baru ini oleh sebuah syarikat foto di Nanching, bandar tempat tinggal mereka.

    Seperti apa juga yang ada kaitan dengan majlis perkahwinan, pengantin perempuan mahu rakaman itu paling sempurna dan memastikan suaminya kelihatan paling segak denghan baju putih. - DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


    Budak hampir ‘dibaham’ singa ketika bergambar di zoo

    Posted: 08 Nov 2012 08:35 AM PST

    PARIS: Bukan setiap hari anda boleh berdepan dengan singa.

    Tetapi itu yang sebenarnya berlaku pada seorang kanak-kanak yang bergaya untuk bergambar di sebuah zoo.


    Kanak-kanak comel itu berdiri di depan kandang singa dan menanti ibu bapanya merakamkan gambar apabila seekor haiwan berkenaan menghampirinya. Video singkat kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah zoo Perancis menunjukkan kanak-kanak itu pusing ke belakang selepas diarah oleh seorang dewasa.

    Sebaik memandang ke belakang, kanak-kanak itu mendapati seekor singa betina merenung tajam ke mukanya. Dia jelas terkejut dan takut sebelum berlari dari kandang berkenaan dengan singa itu masih merenungnya di sebalik dinding kaca yang mengelilingi kandang itu. Kanak-kanak yang berusia antara tujuh atau lapan tahun itu kemudian meninggalkan tempat berkenaan dengan tersenyum. Singa itu pula kelihatan kecewa.


    Ibu bapa kanak-kanak berkenaan memuatnaikkan video itu ke Internet dengan menggunakan lagu filem Jaws sebagai muzik latar.


    Mereka juga menulis: "Harimau lapar? Ia kelihatan begitu berminat dengan anak saya. Mujur ada tembok kaca." Ada yang mengulas, singa itu kelihatan lebih 'berminat untuk berkawan' daripada untuk membaham kanak-kanak berkenaan. - DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved