Jumaat, 19 April 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Fokus warna kegemaran

Posted: 19 Apr 2013 08:16 AM PDT

Perbezaan ketara antara cita rasa mempelai di bandar dan kampung turut mempengaruhi pereka dalam menghasilkan rekaan.

Walaupun fesyen berubah mengikut peredaran masa, ada juga pasangan raja sehari yang tidak mengikut rona warna semasa, sebaliknya memilih mengikut konsep yang akan digayakan ketika majlis perkahwinan nanti.

Jika diperhatikan rona pastel seperti putih, krim, coklat, kelabu atau perak lebih digemari pasangan moden yang akan melangsungkan perkahwinan berkonsepkan dalam taman atau di hotel mewah, sebaliknya warna terang seperti merah, hijau, ungu dan biru menjadi pilihan mereka yang tinggal di luar bandar, sekali gus memperlihatkan perbezaan dalam pemilihan warna.

Bijak mengetahui cita rasa pelanggan mendorong pemilik Jimmy Couture yang hanya mahu dikenali sebagai Jimmy menghasilkan rekaan moden, sopan dan ringkas yang sesuai digayakan untuk majlis persandingan.


Gaun labuh kembang bawah menggunakan rona segar seperti hijau, merah, kuning keemasan dan krim menjadi pilihan Jimmy dalam menghasilkan rekaan. Setiap rekaan mengambil kira keperluan pelanggan serta warna kegemaran mereka.


"Apa yang saya perhatikan di bandar, mempelai lebih menggemari warna pastel seperti putih, krim, kelabu atau perak berbeza dengan mempelai yang tinggal di luar bandar kerana mereka meminati warna terang kerana lebih ceria dan menggoda," ujarnya.

Namun begitu, Jimmy tidak menyerahkan seratus peratus kepada pelanggan, sebaliknya berkongsi idea bagi menghasilkan pakaian yang bukan saja cantik di mata mereka tetapi juga tetamu. Mengambil kira warna kulit, jenis tubuh dan ketinggian menjadi faktor utama menghasilkan rekaan.

"Warna kulit mampu menentukan warna pakaian pada hari persandingan. Mereka yang berkulit gelap sudah semestinya tidak sesuai memakai busana daripada rona gelap seperti hitam atau coklat sebaliknya memilih warna cerah.

Berbeza dengan mereka yang memiliki kulit cerah sesuai mengenakan apa saja rona," ujarnya.

Bagi memberikan keselesaan kepada mempelai, Jimmy memilih fabrik lembut seperti sifon, sutera sifon dan satin sutera dilapisi renda Perancis bagi menyerlahkan lagi keanggunan mempelai ketika menggayakannya.

Semua fabrik ini nyata sesuai untuk raja sehari kerana bersifat lembut, jatuh serta terletak cantik pada tubuh si pemakai.

Bagi fabrik polos sudah semestinya perincian manik seperti swarovski, kristal dan sequin mampu menyerlahkan keanggunan wanita tatkala bersanding di atas pelamin.

"Namun saya mengehadkan jumlah perincian dan hanya untuk bahagian tertentu bagi mengelak padanan terlalu sarat dan menonjol sehingga menenggelamkan kejelitaan ratu sehari.

Sebaiknya pilih bahagian tertentu seperti dada, hujung tangan dan bahu yang paling sesuai diletakkan perhiasan," ujarnya.

Jimmy Couture yang beroperasi sejak sembilan tahun lalu memulakan perniagaan di rumah dan kemudian membuka butik di Senawang, Negeri Sembilan selepas melihat sambutan daripada masyarakat setempat.

Katanya, lokasi butik yang terletak di Negeri Sembilan itu membolehkan mempelai dari Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur mendapatkan perkhidmatannya.

Selain busana, Jimmy Couture turut menyediakan dekorasi pelamin, solekan dan jurugambar. Untuk tempahan pakaian, ia bermula daripada RM2,500 ke atas manakala pakaian disewa berharga RM1,500 ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Papar sisi berbeza Muslimah

Posted: 19 Apr 2013 07:54 AM PDT

Potongan ringkas menggunakan rona ceria menjadi inspirasi rekaan terbaru Dreemika di bawah label Radiusite dalam mengetengahkan busana terkini bagi memenuhi keinginan wanita Muslimah.

Setiap helaian bukan saja memberi tumpuan kepada jahitan, tetapi fabrik dan perinciannya.

Ketika menjenguk butik yang terletak di Shah Alam itu, kepelbagaian rekaan memberi peluang kepada wanita untuk bergaya bukan saja ke pejabat malah menghadiri acara kasual.

Warna segar seperti merah jambu, hijau, biru dan ungu mencetuskan keceriaan kepada si pemakai serta menampilkan sisi berbeza apatah lagi untuk wanita Muslimah.


Menurut pemilik Dree­mika, A'tikah Ash'ari, butik yang dibuka pada 8 Disember 2012 lalu berkonsepkan ala Korea dengan susun atur serta perabot lama memberikan keselesaan kepada pelanggan memilih pakaian. Selain gaun labuh, ia menyediakan pakaian ke pejabat seperti blaus, jaket, skirt dan seluar.


Bagi mereka yang ingin bergaya ke acara kasual, padanan blaus dengan perincian manik pada dada menampilkan keanggunan tersendiri. Begitu juga de­ngan gaun labuh polos boleh disuai padan dengan kardigan atau jaket yang menyerlahkan lagi gaya feminin.

"Dreemika memberi peluang kepada wanita memilih pakaian untuk majlis yang akan dihadiri serta membantu memadankan dengan rekaan dan warna pilihan.

Selesai memilih baju, mereka boleh berkunjung ke butik Radiusite untuk memadankan dengan selendang atau tudung sesuai," ujarnya.

Jelas A'tikah, butik terbabit adalah idea daripada pelanggan selepas mereka bertanyakan mengenai baju yang boleh disuai padan dengan tudung dan selendang Radiusite.

"Saya bermula dengan menjual tudung menerusi dalam talian pada 2009. Hampir tiga tahun berniaga saya dapati kebanyakan pelanggan setia mendapatkan tudung kerana selesa dan mempunyai banyak pilihan. Ramai antara mereka bertanya mengapa tidak menyediakan pakaian yang boleh dibeli bersama tudung.

"Lantas selepas membuat kajian terutama dari segi pasaran dan rekaan, akhirnya pada penghujung 2012 saya membuka butik ini di Shah Alam," katanya.

Berkonsepkan fesyen moden jalanan, A'tikah menghasilkan rekaan berpandukan cita rasa pelang­gan malah ada juga yang diambil daripada pemborong.

Menggunakan fabrik selesa seperti sifon dan lycra­ yang tidak panas dan menyerap peluh, selain pakaian, butik itu turut menyediakan perhiasan seperti beg tangan, rantai dan anting-anting.

Harga ditawarkan di antara RM39 hingga RM89 untuk pakaian biasa manakala eksklusif bermula RM169 ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Azab dipijak senior

Posted: 18 Apr 2013 03:43 PM PDT

Klang: Hanya kerana dituduh mencuri kasut bola milik seniornya, seorang pelajar sebuah sekolah sukan di Seksyen 11, Shah Alam terpaksa menanggung derita apabila dipukul, disepak, dipijak dan ditumbuk kira-kira 20 pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan hingga separuh nyawa, malam kelmarin.

Dalam kejadian antara jam 11.30 malam hingga 1 pagi itu di blok asrama sekolah berkenaan, mangsa Kamarul Aiman Kamarul Hadi, 13, hanya dapat menahan kesakitan akibat dibelasah menggunakan batang penyapu selain dipijak menggunakan kasut bola tanpa belas kasihan.


Kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku kerana sebelum ini Aiman sudah dua kali dipukul kumpulan sama yang masih tidak berpuas hati kerana mendakwa mangsa mencuri kasut bola milik seniornya.

Akibatnya, Aiman kini terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, berikutan kecederaan serius pada rusuk kanan dan tidak boleh bergerak menyebabkan dia ini masih dirawat di hospital.


Bapa mangsa, Kamarul Hadi Che Harun, 37, berkata, dia hanya dimaklumkan kejadian yang menimpa anaknya itu pagi semalam daripada bapa rakan anaknya yang kebetulan tinggal berdekatan sekolah. Menurutnya, dia dimaklumkan Aiman terpaksa melarikan diri mendapatkan perlindungan di rumah rakan anaknya itu yang kebetulan terletak tidak jauh dari sekolah kerana tidak tahan menanggung kesakitan dibelasah.


"Selepas dimaklumkan kejadian itu dan terus bergegas ke rumah rakan Aiman untuk melihat keadaannya. Alangkah terkejut apabila melihat kesan lebam di bahagian belakang badannya itu dan tidak menyangka kejadian sebegini akan berlaku.

Foto

RUSUK kanan Kamarul Aiman cedera dibelasah 20 pelajar.

"Saya bergegas membawanya ke klinik kesihatan berhampiran sebelum doktor meminta saya untuk menghantarnya ke HTAR berikutan kecederaan yang dialaminya serius dan dia juga sukar untuk berjalan," katanya kepada Harian Metro, semalam.


Kamarul berkata, dia kemudian ke sekolah anaknya bagi bertemu pengetua dan mendapatkan penjelasan mengenai kejadian.

Katanya, pihak sekolah sudah memanggil pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dan ada antara mereka yang mengaku membelasah Aiman pada malam kejadian.


Beliau berkata, bimbang kejadian sama berulang, dia membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam.


"Saya sendiri bertanya adakah benar anak saya itu mencuri kasut bola seniornya. Tapi anak saya menafikan dakwaan itu. Kalau benar anak saya mencuri, bukan ini cara yang betul untuk menjatuhkan hukuman terhadapnya. Tidak dinafikan kejadian ini boleh meragut nyawa anak saya kerana dibelasah seramai 20 orang. Saya juga dimaklumkan Aiman pengsan selepas dibelasah," katanya. "Jangan kita menghukum seseorang itu sewenang-wenangnya. Kalau benar apa yang didakwa, mereka boleh melaporkan kejadian kepada pihak sekolah dan tindakan disiplin boleh dikenakan ke atas anak saya. Laporan disiplin pihak sekolah juga menunjukkan anak saya tidak mempunyai sebarang masalah," katanya. Kamarul berkata, dia kini masih menunggu keputusan kesihatan daripada doktor pakar HTAR mengenai status kecederaan anaknya itu dan sekiranya sudah sembuh, anaknya akan kembali bersekolah seperti biasa dan pihak sekolah perlu memberi jaminan kejadian sama tidak akan berulang.


Katanya, kejadian yang menimpa anaknya itu diharap adalah kejadian yang terakhir kerana dia bukan saja tidak mahu ia kembali berulang kepada anaknya malah kepada pelajar lain dan apa yang dibimbangkan kejadian itu akan menggalakkan gangsterism dalam kalangan pelajar.


Sementara itu, Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sabar telan kontroversi

Posted: 18 Apr 2013 03:46 PM PDT

Kali kedua mengerjakan umrah ke Tanah Suci pada penghujung Mac lalu, nyata membawa perubahan besar kepada Noor Hasliah Abu Hasan atau Alyah apabila tergerak hatinya untuk terus pulang berhijab.

Katanya, dia tergerak hati untuk mengenakan tudung kerana selalu melihat bayangan dirinya sendiri setiap kali berada di dalam Masjidil Haram.

"Itulah yang selalu saya nampak setiap kali habis solat. Imej itu bagaikan melambai-lambai agar saya mengenakan tudung. Kebetulan saya melihat ramai sekali wanita Arab yang sangat anggun apabila bertudung, ia membuatkan saya berfikir bahawa busana Muslimah itu sebenarnya sangat hebat.

"Apapun saya sebenarnya mahu berubah secara perlahan-lahan yakni bukanlah secara drastik. Selain kain tudung, saya mengenakan skaf, selendang dan 'turban'," kata Alyah dalam pertemuan khas di Balai Berita Bangsar, kelmarin.


Itulah juga kali pertama Alyah, 32, membuat sesi foto dengan pihak media dengan imej terbarunya selepas kembali daripada umrah.


"Saya amat bersyukur kerana diberikan kelegaan mengerjakan ibadah itu dengan tenang bersama abang saya. Turut ke sana pengurus saya (Syuib Ismal) dan ayahnya. Pengalaman di Makkah dan Madinah terlalu indah. Ia tidak boleh dilafazkan dengan kata-kata atau dinilai dengan wang ringgit.

"Kalau berada di Kuala Lumpur, kita asyik teringatkan kerja. Nak tidur pun tak lena. Di sana, soal kerja tiada langsung dalam kepala kita. Segala tumpuan hanyalah kepada ibadah dan setiap masa rasa tak sabar-sabar menunggu masuknya waktu solat. Setiap detik rasa sangat berharga dan rasa macam tidak mahu pulang ke Malaysia," ujarnya.

Melanjutkan bicaranya lagi, Alyah akui dia sendiri sedang belajar untuk muhasabah diri. Dia sedar manusia banyak melakukan kesilapan dan jalan terbaik adalah meminta keampunan dan keredaan Ilahi.

"Dulu Alyah pernah terfikir hendak mengenakan tudung apabila sudah bersara daripada nyanyian. Namun syukurlah perubahan itu datang lebih awal. Harap-harap ia akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

"Bagaimanapun, sebagai seorang artis dan penyanyi, saya tetap akan mengikuti perkembangan muzik dan fesyen, tetapi yang sesuai dengan pendirian saya sekarang. Sekarang perkembangan fesyen Muslimah sangat 'up-to-date'. Di luar negara, saya lihat fesyen Muslimah sangat hebat dan begitu juga yang diperagakan oleh pelajar Timur Tengah yang datang menyambung pengajian di negara kita. Islam tidak pernah menghalang kemajuan," kata penyanyi lagu Kau Yang Terindah ini.

Alyah tidak menafikan selama 12 tahun berjuang sebagai anak seni, dia menempuh pelbagai cubaan yang kadangkala membuatkan dia menangis siang dan malam.
Namun dia gembira kerana selalu diberikan kekuatan semangat kerana sentiasa meminta bantuan daripada Yang Maha Esa.

"Enam tahun yang pertama, ujiannya sangat hebat. Orang tak kenal langsung siapa saya. Undangan 'show' pun tidak banyak sehingga saya terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan sampingan untuk menyara hidup.

"Begitu banyak usaha yang saya buat sendiri siang dan malam. Enam tahun yang kedua, barulah mula nampak hasilnya apabila lagu saya dikenali pendengar. Kejayaan juga datang kepada saya namun ia datang bersama dugaan lain.

"Saya terpalit dengan bermacam kontroversi dan cerita yang tidak menyenangkan hati saya dan keluarga. Saya hanya bersabar dan terpaksa menelannya. Ada saja orang cuba menjatuhkan saya namun saya tetap berserah kepada Tuhan. Siapa lagi yang hendak minta tolong selain Tuhan. Saya juga mendapat sokongan keluarga dan kawan-kawan rapat. Saya hanya memasang niat untuk mencari rezeki saja dan bukan ada agenda lain apabila masuk ke bidang ini.

"Saya ingin terus mengasah bakat saya dan akan menyanyi selagi diterima," katanya sambil membetulkan gaun labuh rekaan Rafi Nasir.

Berduet lagu hip-hop dengan Ben

Pulang ke Malaysia, agenda seni Alyah kembali padat. Dia kini di peringkat akhir menyiapkan album kompilasi bersama lagu baru dengan Warner Music Malaysia.

Lebih menarik buat masa ini Alyah sedang sibuk mempromosikan sebuah lagu pop dan hip-hop, Permata dengan berduet dengan seorang bintang cilik comel berbakat besar iaitu Ben (Muhammad Benladin Munshid Shaihan, 12).

Lagu itu ciptaan Zuriani Khalid dengan lirik nukilan Alyah sendiri. Permata sendiri ada cerita di sebaliknya.

"Lagu itu sebenarnya adalah lagu lama Alyah yang dirakam 12 tahun lalu bersama EMI Malaysia. Ketika itu tiada ramai yang kenal Alyah. Banyak kenangan manis dalam lagu itu dan ia menggerakkan hati Alyah untuk merakamkannya semula bersama Ben.

"Alyah memilih untuk berduet dengan Ben kerana sangat tertarik dengan bakatnya ketika dia menyertai pertandingan Idola Kecil 5 di TV9 tidak lama dulu. Alyah juga juri tetap pertandingan itu dan setiap minggu Alyah melihat kesungguhan serta perkembangan diri Ben. Meskipun baru berusia 12 tahun, dia bijak dan tahu apa yang perlu dilakukannya.

"Sayang sekali rezeki tidak berpihak kepadanya apabila gagal bergelar juara, namun bakat besar yang ada padanya tidak harus dipersiakan. Selepas Alyah membuat persembahan dengannya pada sambutan ulang tahun Harian Metro ke-22, baru-baru ini, artis lain yang hadir sama turut tertarik dengan bakat Ben dan mereka pula teringin berduet dengannya. Alyah nampak Ben boleh pergi jauh dalam bidang seni ini," katanya.

Selepas single Permata, Alyah akan mengeluarkan single-single yang lain pula.
"Alyah masih bergerak sendiri dan tiada bajet besar untuk mengeluarkan album penuh. Alyah akan muncul dengan single demi single dan barulah boleh dijadikan satu album. Idea banyak tetapi selalu ada masalah bajet yang memaksa Alyah melaksanakannya perlahan-lahan," katanya yang turut membelikan ibunya sebuah rumah baru.

Bercakap mengenai jodoh dan perkahwinan pula, Alyah berkata, dia mahu mengumpul wang yang cukup dan baru memikirkan bila hendak berumah tangga.

"Kalau dimakbulkan hajat, Alyah harap dapat berkawin tahun depan. Itu saja yang dapat Alyah katakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Samseng tandas

Posted: 18 Apr 2013 03:42 PM PDT

Kuala Lumpur: Sekumpulan lima remaja lelaki berusia belasan tahun layak digelar 'samseng junior' apabila mereka yang lengkap beruniform sekolah bukan saja nekad menyamun seorang lelaki warga Nepal berusia awal 30-an sebaliknya turut menikam mangsa ketika berada di dalam tandas di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, tikaman seorang daripada kumpulan remaja terbabit dipercayai bersenjatakan pisau menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di perut.

Menurut sumber, selepas menyamun wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa bernilai RM500, kumpulan remaja itu cuba melarikan diri.

"Namun, dua daripada mereka ditahan pengawal keselamatan selepas mangsa yang cedera merangkak keluar mendapat bantuan daripada orang ramai," katanya memberitahu, tiga lagi rakan remaja itu sempat meloloskan diri.

Foto

BAJU mangsa dipenuhi darah akibat ditikam kumpulan pelajar terbabit.


Sumber polis berkata, mangsa yang berada di dalam tandas sendirian mendakwa didatangi kumpulan pelajar terbabit yang lengkap memakai uniform sekolah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

Langgar lampu merah

Posted: 18 Apr 2013 03:41 PM PDT

Bagan Serai: Akibat tidak memakai topi keledar, seorang lelaki warga emas menerima padah apabila dia cedera parah di kepala selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang di hadapan Balai Polis Cawangan Trafik Bagan Serai itu, mangsa dikenali sebagai Ismail Awang, 70, bernasib baik kerana terselamat.

Kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat sebelum sebuah kereta dari arah Bagan Serai gagal mengelak sebelum merempuhnya.

Saksi kejadian dikenali sebagai Omar, 24, berkata, dia sempat melihat mangsa memecut laju ketika lampu merah sebelum dirempuh kereta berkenaan menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter.

Foto

ORANG ramai membantu mangsa yang cedera parah di bahagian kepala.


"Saya sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau sebelum deruman motosikal laju memotong kereta saya dari belakang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Terperangkap dalam loceng

Posted: 18 Apr 2013 02:17 PM PDT

Shandong: Seorang pelancong terperangkap di bawah sebuah loceng gangsa yang besar selepas loceng berkenaan terjatuh ke lantai kuil.

Lin Wang berdiri di bawah loceng besar itu yang digunakan untuk memanggil sami Buddha melakukan upacara keagamaan, apabila rakannya membunyikan loceng itu dengan kuat di kuil di Linzi, wilayah Shandong.


Tindakan itu menyebabkan skru yang mengikat loceng berkenaan longgar lalu jatuh ke lantai, memerangkap Lin. Bomba menghabiskan masa selama dua jam untuk mengangkat loceng itu dengan mengguna forklif sebelum dapat mengeluarkan lelaki itu.

"Loceng ini sudah terlalu lama dan perlu diguna dengan berhati-hati. Ia jatuh ke atas lelaki itu seperti satu perangkap. Loceng ini amat berat dan mujur dia tidak mati dihempap," kata jurucakap kuil.


Pegawai keselamatan berkata, skru yang mengikat loceng itu longgar akibat digoncang terlalu kuat. - Daily Mail

Foto

TANGAN Lin Wang kelihatan di bawah loceng.

Foto

BOMBA berusaha keras untuk mengeluarkan Lin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

Kepala tersepit antara dua bangunan

Posted: 18 Apr 2013 01:59 PM PDT

Yulin: Kebanyakan kanak-kanak perempuan gemar bermain tali skip atau tingting bersama rakan.

Tetapi, bagi kanak-kanak berusia enam tahun di Yulin, selatan China ini ditimpa malang apabila terperangkap antara dua bangunan ketika bermain bersama beberapa rakannya.


Anggota bomba terpaksa menghabiskan masa tiga jam untuk menyelamatkannya. Kejadian berlaku selepas dia cuba meloloskan dirinya antara dua dinding tetapi kepalanya tersepit.

Anggota bomba menggunakan minyak pelincir untuk membantu membebaskannya selain mencabut jubin pada dinding bangunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Misi akhiri kemarau podium

Posted: 18 Apr 2013 01:42 PM PDT

Kuala Lumpur: Ahmad Fuad Baharudin mahu menggunakan enjin Kawasaki baru dan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menamatkan kemarau podium saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.

Kali terakhir pelumba berusia 34 tahun itu berada di podium ialah ketika memenangi dua perlumbaan di Zhuhai pada 2010.


Akur mereka kini sedikit ketinggalan berbanding pasukan lain, pelumba Bike ART Kawasaki Racing itu berkata, prestasi keseluruhan menunjukkan peningkatan terutama dengan pencapaian menduduki kelompok lima pelumba teratas di Sepang dan Zhuhai musim lalu.

"Tidak dapat dinafikan, kami ketinggalan dalam beberapa aspek kepada pasukan lebih besar namun jika dibandingkan tahun pertama kami, prestasi musim 2012 jauh lebih baik dan dijangkakan akan terus meningkat tahun ini.


"Memandangkan jumlah pelumba yang lebih ramai di grid, kami sedar ia bukan tugas mudah tapi kami juga sudah membuat persediaan secukupnya," katanya.


Selain itu, keyakinan Fuad kini memuncak hasil keputusan sesi ujian pra-musim dan penggunaan enjin yang lebih berkuasa menunjukkan mereka berupaya bersaing bagi merebut kedudukan podium.

Foto

FUAD puas hati sesi ujian.

"Musim ini kami menggunakan enjin baru dan juga maklumat terkini. Peningkatan sesi ujian pra-musim Februari lalu amat memberangsangkan apabila saya berjaya mencatat masa 1:05.492s berbanding 1:06.704s tahun lalu.


"Tambahan pula, kelebihan beraksi di Litar Sepang, litar yang begitu serasi dengan saya akan digunakan untuk merebut kedudukan podium.

"Paling penting, saya perlu bermula sekurang-kurangnya daripada dua barisan hadapan dan melakukan permulaan baik pada perlumbaan akhir Ahad ini.


"Jika tidak, mungkin sukar bagi saya mengejar pelumba lain yang sering mendominasi barisan hadapan seperti Azlan Shah Kamaruzaman, Katsuaki Fujiwara dan Mohd Zamri Baba."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

Gabungan menjadi!

Posted: 18 Apr 2013 12:27 PM PDT

Kuantan: Persembahan konsisten pemain sepanjang kejohanan berjaya menobatkan pasukan Kuantan selaku juara liga Kejohanan Hoki Liga Bawah 20 Tahun sempena Sukan Remaja Pahang 2013, baru-baru ini.

Bersaing dengan 10 pasukan yang mewakili daerah di negeri ini, skuad bimbingan Mohd Shafeirul Zaman Abd Majid mengumpul 24 mata meninggalkan pencabar terdekat Temerloh yang meraih 20 mata.


Bagi Mohd Shafeirul Zaman, kelebihan selaku juara liga musim ini diharap menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk terus melakar kejayaan pada kejohanan disertai selepas ini.

Menurutnya, persediaan lebih dua bulan berjaya membentuk pasukan mantap dengan gandingan pemain senior dan junior yang dicungkil menerusi beberapa kejohanan peringkat daerah.


"Sasaran awal kami adalah merangkul dua kejuaraan, juara liga dan perlawanan akhir Kejohanan Hoki Liga Bawah 20 tahun secara serentak namun impian itu tidak menjadi kenyataan.


"Kita hanya mampu merangkul juara liga saja manakala juara perlawanan akhir milik Temerloh yang menang tipis 2-1," katanya selepas perlawanan akhir di Stadium Wisma Belia Indera Mahkota.

Selaku jurulatih beliau puas hati dengan kejayaan musim ini walaupun masih ada beberapa kepincangan dalam pasukan Kuantan terutama membabitkan kecergasan pemain.


Mohd Shafeirul Zaman berkata, beberapa pemain seperti Mohd Saihan Tajul Rahim dan Muhammad Arif Shafie Ishak berjaya mempamerkan permainan bermutu dan masa depan mereka cerah jika mendapat pendedahan.

"Saya harap ramai pemain Kuantan terpilih mewakili Pahang yang akan menyertai Kejohanan Hoki Liga Kebangsaan Bawah 21 kerana menerusi kejohanan itu, pemain akan lebih terdedah dengan permainan bermutu tinggi.


"Impian melihat lebih ramai pemain berbakat terpilih mewakili negara akan menjadi kenyataan jika semua pihak memainkan peranan dengan mengadakan lebih banyak kejohanan di peringkat negeri dan kebangsaan," katanya.


Anugerah pemain remaja terbaik kejohanan milik Muhammad Arif Shafie Ishak dan pemain terbaik kejohanan, Mohd Saihan Tajul Rahim yang mewakili pasukan Kuantan.


Kejohanan itu dianjur Majlis Sukan Pahang (MSP) dengan kerjasama Persatuan Hoki Daerah Kuantan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Nestle Sdn Bhd antara lain bertujuan mencungkil bakat pemain remaja dan gelanggang pemilihan pemain yang akan mewakili Tok Gajah pada SUKMA XV1 Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved