Selasa, 12 Mac 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Buang ego lelaki

Posted:

Tanggapan mengatakan lelaki yang melakukan tugas wanita seperti memasak, membasuh baju dan menjemur pakaian kurang macho atau hilang sifat kejantanan dianggap kurang tepat dan tidak lagi relevan pada zaman moden ini.

Berbeza pada zaman dulu apabila isteri tidak bekerja dan hanya bertanggungjawab menguruskan suami dan anak-anak, kini faktor persekitaran seperti kos hidup yang tinggi serta ekonomi keluarga yang kurang kukuh menyebabkan isteri terpaksa keluar mencari nafkah bagi meringankan bebanan suami. Apabila ini berlaku, ada suami beranggapan mereka harus membantu isteri melakukan kerja rumah bersama-sama.

Bapa kepada tiga cahaya mata, Muhammad Ezham Hussin, 33, berpendapat kehidupan hari ini apabila kedua-dua pasangan berkerja dan sibuk dengan tugasan di pejabat menyebabkan kerja rumah tidak boleh dilakukan isteri saja. Keadaan ini berbeza dengan wanita pada zaman dulu apabila kebanyakan ibu menjadi suri rumah sepenuh masa jadi semua kerja rumah mampu diuruskan mereka.

Menyedari isterinya, Anisah Jasman, 33, yang bekerja sebagai guru di Kajang sentiasa sibuk bagi memenuhi aktiviti di sekolah terutama pada Sabtu serta melakukan semakan kerja sekolah pada waktu malam, Ezham membantu isterinya melakukan perkara yang mampu meringankan bebanan seperti memasak, membasuh baju dan menjaga anak.

Foto

EZHAM mengenakan butang baju anaknya, Muhammad Umair Luqmann.


"Saya perhatikan isteri sangat sibuk terutama pada waktu malam, jadi atas kesedaran ingin meringankan tugasnya, saya menolong menyelesaikan sesetengah perkara seperti memasak, mengemas rumah, menjaga anak dan membasuh pakaian," katanya.


Ezham gemar memasak kerana isteri dan anak-anak mereka, Imtiyyaz Umairah, 6, dan Muhammad Umair Luqmann, 5, gemar menikmati masakannya terutama pasta. Tambah pula apabila masing-masing tidak cerewet dalam soal makanan dan makan apa saja yang disediakan.

"Memang saya gemar menyediakan masakan Barat seperti pasta dan spageti kerana isteri dan anak-anak menyukainya. Melihat mereka makan dengan penuh selera, saya semakin bersemangat menyediakan hidangan untuk keluarga," jelasnya yang bertugas sebagai jurugambar di Universiti Putra Malaysia.

Dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan disiplin, anak sulung enam beradik ini menjelaskan, sejak berusia 12 tahun dia sudah biasa menguruskan diri di sekolah berasrama penuh, justeru dia tidak kekok melakukan tugasan harian seperti mengemas dan membasuh pakaian.

Malah ketika menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, Ezham selalu membantu ibunya memasak. Ini kemudiannya berterusan selepas melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi apabila dia terpaksa menyewa rumah bersama rakan.

"Minat memasak semakin menebal ketika menyewa bersama rakan-rakan kerana saya perlu berjimat cermat bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Ketika itu saya hanya menyediakan masakan ringkas dan mudah dimasak saja. Lebih bersemangat apabila ada rakan serumah yang bekerja sambilan sebagai tukang masak di sebuah syarikat katering, jadi saya belajar memasak daripadanya," ujarnya yang menetap di Semenyih.

Selain pengurusan dapur, selepas kelahiran anak sulung, Ezham meningkatkan kemahiran dalam penjagaan bayi seperti menukar lampin pakai buang, menidurkan serta memandikan anak. Pada mulanya rasa janggal tetapi selepas melakukannya, semuanya berjalan lancar.

Apabila kelahiran anak kedua, Ezham semakin mahir dalam urusan menjaga anak serta menolong isteri yang ketika itu sedang berpantang. Bagi memudahkan urusan penjagaan anak, mereka kini dihantar ke tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak manakala anak ketiga Nurul Izzah Maryam, enam bulan dijaga pengasuh.

Ezham yang boleh dianggap sebagai bapa moden masa kini menjelaskan, perkahwinan bukan tiket untuk bersenang-lenang dan mengharapkan urusan rumah dilakukan isteri saja terutama apabila isteri berkerjaya. Ada masanya isteri penat dan memerlukan rehat.

"Jadi salah satu cara menunjukkan rasa kasih kepada isteri adalah dengan meringankan beban kerjanya di rumah. Selain itu persepsi masyarakat yang hanya meletakkan tugas di dapur di bahu isteri perlu diubah kerana tidak bertepatan dengan konsep perkahwinan sebagai perkongsian hidup," katanya.

Melihat lelaki ini menguruskan anak daripada memandikan, memakaikan baju serta memberikan susu, dia bagaikan sudah biasa melakukannya. Malah isteri Fairuz Abd Lah, 27, hanya membiarkan suaminya, Khairul Amin Zainal Abidin, 32, melakukan tugas wanita seperti membasuh, menjemur dan melipat pakaian serta membasuh pinggan dan peralatan menyusu anak selain menjaga anak apabila isteri bekerja dan ketika sakit.

Bapa kepada seorang cahaya mata, Muhamad Faris Amsyar, berusia setahun ini langsung tidak malu dengan tanggapan masyarakat malah melakukannya dengan ikhlas. Baginya pada zaman moden apabila isteri sanggup bekerja bagi menyumbang kepada pendapatan keluarga, sewajarnya suami membantu meringankan tugas isteri.

"Kerjasama dalam rumah tangga ibarat ringan sama dipikul berat sama dijinjing. Dengan adanya sikap saling bantu-membantu, kerja rumah bukan saja dapat disiapkan dengan lancar malah menjamin kerukunan rumah tangga.

"Hal ini amat penting kerana masing-masing bekerja dan memerlukan sikap saling bertolak ansur antara satu sama lain. Sebagai suami, kita tidak boleh berkira.

Buang sikap ego kerana ia tidak akan ke mana. Apa salahnya membantu isteri kerana mungkin dengan bantuan ini akan menggembirakan hatinya melihat suami tidak berkira dalam urusan rumah tangga. Dari sudut lain, isteri juga akan bertambah sayang serta merapatkan silaturahim dalam keluarga," jelasnya yang melangsungkan perkahwinan pada 31 Januari 2011.

Khairul Amin yang sebelum ini tidak pernah menguruskan bayi mengakui, pada mulanya dia agak kekok apabila diminta memegang bayi pertama mereka. Tetapi melihat wajah comel serta pengorbanan isteri melahirkan zuriat, dia terus berazam menjadi suami yang baik serta bertanggungjawab.

"Perlahan-lahan saya belajar menguruskan bayi. Dua bulan ketika isteri dalam pantang adalah tempoh genting kerana dari situlah saya memahami betapa sukarnya tanggungjawab isteri terutama selepas melahirkan anak. Kekok memang ada apatah lagi memegang bayi yang ketika itu sangat kecil tubuhnya.

"Tetapi lama-kelamaan saya semakin terbiasa dan seronok melayan kerenah anak," jelas-nya yang menjaga isteri pada minggu pertama selepas melahirkan anak termasuk menyediakan makanan dalam pantang.

Ia sesuatu yang sangat menyeronokkan kerana Khairul Amin belajar mengenai sesuatu yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

Menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai model terunggul kerana membantu isteri Siti Khadijah dalam urusan rumah tangga, bagi Khairul Amin, suami jangan malas dan bersikap sambil lewa kerana dua sikap ini akan mengeruhkan lagi keadaan rumah tangga.

Banyak kes perceraian berlaku kerana tiada persefahaman dalam keluarga. Sifat tolong menolong akan memberikan inspirasi positif kepada anak-anak.

"Ibu bapa adalah idola terdekat anak-anak. Dalam apa juga keadaan, anak akan mengikut perlakuan ibu bapa. Sekiranya perkara positif ditunjukkan tidak mustahil anak akan belajar sedikit demi sedikit dan mengamalkannya apabila dewasa kelak," ujarnya yang akan mendidik anak lelaki melakukan kerja rumah, menjaga kebersihan dan mengurus diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Seni bunga kristal

Posted:

Bagi bakal pengantin perempuan, ada tiga perkara yang menjadi keutamaan untuk hari bahagianya iaitu pemilihan busana nikah dan bersanding, dekorasi dewan atau rumah serta barangan hantaran.

Ramai yang sukakan hiasan yang segar, comel dan menarik seiring dengan perkembangan terkini. Sejak akhir-akhir ini, bunga segar paling laris digunakan sebagai bahan penghias menemani barangan pemberian si cinta hati di atas dulang.

Tidak dapat dinafikan, penggunaan bunga segar seperti mawar, teluki dan orkid membuatkan gubahan hantaran menjadi lebih eksklusif serta tampak hidup namun kekurangannya, ia tidak tahan lama.

Justeru, jika mahukan gubahan hantaran tampak mewah tanpa menggunakan bunga segar, cuba pilih bunga kristal berkilau dengan pemilihan warna menarik dan cantik, sesuai dengan tema dihajati.


Berkongsi pengalaman dengan Jamaliah Abdul Rahman yang memilih aktiviti membuat pelbagai kraf tangan seperti bunga stokin, tisu dan kristal pada masa lapang, seni membuat bunga daripada kristal agak merumitkan.


Seseorang itu harus mempunyai kesabaran tinggi dan sentiasa belajar serta berusaha agar tidak cepat putus asa.

Selain bertindak sebagai penyeri kepada barangan hantaran perkahwinan dan pertunangan, bunga gubahan kristal boleh dijadikan sebagai bunga telur, korsaj malah hiasan di sudut ruang tamu atau bilik (letak di dalam pasu) untuk dijadikan simpanan serta tanda kenangan.

"Seni pada setiap gubahan bunga kraf kristal ini menggambarkan kepakaran, ketekunan, ketelitian dan nilai semula jadi yang dekat dengan kehidupan kita.

"Biarpun ada gubahan yang ditampilkan berbentuk ringkas dan kecil, tarikan dan fungsinya terlalu besar sehinggakan ruang yang kurang berseri tampil lebih menarik jika reka letak gubahan ini disesuaikan kedudukannya.

"Penghasilan setiap gubahan juga membabitkan tempoh tertentu kerana pelbagai aspek perlu diambil kira, contohnya saiz bunga yang diinginkan," katanya.

Gubahan bunga kristal ternyata suatu idea yang asli, unik dan mempunyai identiti seni. Penelitian ke atas bunga sebenar turut dilakukan sebelum ia dizahirkan sebagai gubahan kraf kristal hiasan.

Bagi mengekalkan gubahan supaya kelihatan bagaikan bunga asli, reka bentuk serta warna bunga dan daun pula diselarikan penghasilannya.

Bagi ruangan Hias minggu ini, ikuti panduan langkah demi langkah membuat gubahan bunga kristal untuk hantaran perkahwinan atau pertunangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tertipu gajet murah

Posted:

Kuala Lumpur: Tertarik pada harga telefon pintar yang 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran menyebabkan seorang pelajar kolej kerugian RM76,100, malah dia juga terpaksa membayar wang kepada rakan yang membuat pesanan melaluinya.

Pelajar berkenaan yang mahu dikenali sebagai Teo, 21, dari Batu Caves, Gombak itu mendapat tahu mengenai sebuah syarikat menjual telefon pintar atas talian daripada rakannya yang pernah membuat pembelian 10 telefon pintar iPhone 5 pada harga murah.


Menurutnya, syarikat yang didakwa beribu pejabat di Las Vegas, Amerika Syarikat itu beroperasi melalui laman sosial Facebook dan selepas rakannya mendapat barang yang dipesan dia pun berhasrat untuk menghubungi syarikat terbabit melalui e-mel.

Katanya, syarikat terbabit menawarkan seunit iPhone 5 pada harga RM900 dan dia membuat pesanan 75 telefon bimbit selepas rakan serta beberapa saudara memintanya untuk membuat pesanan.


"Penghantaran dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari dari tarikh pembayaran dan pada 4 Februari lalu saya membayar RM55,000 melalui Western Union kepada pengurus syarikat terbabit.


"Beberapa hari selepas membuat pembayaran itu, saya diminta membayar RM5,000 untuk pelepasan cukai kastam di Singapura dan Malaysia. Tanpa syak saya membayar wang berkenaan," katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.

Foto

TEO (kanan) menunjukkan laman Facebook syarikat terbabit.

Teo berkata, selepas menunggu beberapa hari dia menghubungi pengurus syarikat terbabit dan dimaklumkan bungkusan mengandungi pesanan berkenaan ditahan polis manakala dia diminta membayar RM1,100 lagi untuk tujuan penghantaran.


"Tidak cukup dengan itu, syarikat terbabit turut mendakwa tersilap menghantar 100 telefon bimbit berikutan kesilapan invois dan saya diminta membayar RM15,000 lagi untuk tujuan berkenaan.

"Akibat tiada pilihan dan perlu memberikan telefon bimbit yang dipesan rakan, saya membayar wang berkenaan dan selepas semua bayaran dibuat, mereka meminta saya membayar RM1,500 lagi pada 7 Mac lalu," katanya.


Katanya, ketika itu baru dia sedar dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan sebelum membuat pemeriksaan nombor akaun Western Union dan mendapati ia dihantar ke Nigeria.


Menurut Teo, dia membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam MCA.


Pengerusi Biro itu Datuk Seri Michael Chong menasihatinya supaya tidak membuat bayaran lagi kepada sindiket itu.


Kata Chong, sejak 2011 pihaknya menerima tujuh kes membabitkan kerugian lebih RM600,000 menggunakan modus operandi sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Mayat Jeneral Musa

Posted:

Lahad Datu: Identiti pemimpin pengganas Sulu berpangkat jeneral yang dibunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanjung Batu, di sini, pada 7 Mac lalu, terjawab apabila polis mengesahkan dia ialah Komander Musa atau dikenali juga sebagai Haji Musa.

Pengesahan itu dibuat Ketua Forensik Ops Daulat Superintendan Hussein Omar Khan semalam, sekali gus menolak laporan sebuah akhbar sebelum ini yang mendakwa pemimpin berkenaan adalah Abgimuddin Kiram, iaitu adik kepada Jamalul Kiram III.

Hussein berkata, identiti Komander Musa yang berusia lingkungan 50-an dikenal pasti hasil bedah siasat dilakukan di Hospital Lahad Datu bersama 15 lagi mayat pengganas lain.

"Semua 16 mayat dibawa sejak malam tadi (kelmarin) adalah sebahagian daripada mayat 31 pengganas ditembak mati dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu, Khamis lalu.

Foto

MAYAT Musa Abdullah ditempatkan dalam satu ruangan khas bersama mayat pengikutnya di Hospital Lahad Datu.

Foto

MAYAT Musa Abdullah ditempatkan dalam satu ruangan khas bersama mayat pengikutnya di Hospital Lahad Datu.


"Bedah siasat ke atas 16 mayat itu oleh pasukan patologi diketuai pakar Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Lahad Datu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Bunuh bapa leteri isteri

Posted:

Miri: Berpunca daripada kegagalan menantu menyediakan hidangan makan tengah hari, seorang bapa mati di tangan anak lelaki sendiri dalam pertengkaran yang bertukar pergaduhan di sebuah rumah panjang di Sungai Sawai, Suai di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, Madang Sengkala, 52, maut selepas dipercayai mengalami pendarahan dalam kepala selain beberapa kesan kecederaan di badan akibat dicekik dan dihentak kepalanya ke dinding konkrit di beranda rumah panjang berkenaan.

Kejadian dipercayai berpunca daripada anak lelakinya berusia 26 tahun yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa meleteri isterinya berikutan gagal menyediakan makan tengah hari kelmarin.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa yang kematian isterinya beberapa tahun lalu balik ke rumahnya untuk makan tengah hari selepas mengerjakan ladang kelapa sawit mereka, namun marah apabila mendapati menantunya tidak menyediakan hidangan.

Foto

ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Miri.


Katanya, tidak puas hati dengan sikap menantunya itu, mangsa menegur dan menasihatkannya, namun teguran itu menyinggung perasaan wanita berkenaan yang mengadu kepada suami.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Bisnes Dynas kian berkembang

Posted:

Selesa dengan watak antagonis, pelakon Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar atau Dynas Mokhtar kembali mewarnai dunia lakonan selepas agak lama menyepi sejak melahirkan cahaya mata keduanya, Mohamed Haqaish yang kini berusia lapan bulan.

Cuba tampil secara perlahan dengan memegang watak kecil melalui beberapa drama lakonannya, Dynas kelihatan semakin serasi dengan watak antagonis.

Menurut wanita berusia 30 tahun itu, bukan dia tidak suka dengan watak baik, tetapi ekspresi matanya lebih menarik untuk dia membawakan watak antagonis atau jahat melalui drama dilakonkan.

Malah, jika dilihat kebanyakan drama dilakonkannya Dynas seperti mudah membawakan watak itu tanpa perlu terlalu lama untuk bermain dengan ekspresi muka.


"Alhamdulillah, kelebihan ini memberi saya lebih ruang untuk membawakan watak mencabar seperti antagonis yang memberi lebih kesan kepada penonton.


"Sesetengah orang berpendapat sukar membawa watak seperti ini apatah lagi jika watak bermain dengan muka dan mata tanpa ba-nyak berdialog.

"Bagi saya, ia satu kelebihan yang membuatkan saya semakin selesa. Bukan tidak pernah mencuba watak baik tetap kesannya kurang menarik perhatian, walaupun saya sedar watak antagonis sering membuatkan orang benci pada saya," katanya.

Selepas popular dengan watak Cinda melalui drama bersiri Susuk di TV3 dan Janji Diana sedikit masa lalu, Dynaz mengakui ke mana saja pergi, orang lebih mengenalinya de-ngan panggilan dalam cerita berkenaan.

Terbaru, Dynas muncul melalui drama bersiri Cinta Kau dan Aku terbitan NHF Productions Sdn Bhd & Telemal Productions Sdn Bhd arahan Rosli Md Dali. Melalui drama yang disiarkan di RTM1 setiap Khamis dan Jumaat itu, Dynas sekali lagi memegang watak antagonis.

"Saya suka dengan watak sebagai Suraya dalam drama ini, selain menjadi seorang yang jahat dengan niat merebut semula bekas tunang, saya banyak bermain dengan ekspresi muka, kadang kala, saya kelihatan galak dan ada ketikanya saya nampak seperti ingin meraih simpati orang.

"Saya yakin, watak ini akan membuatkan penonton turut keliru sama ada simpati atau membenci saya dan ini memberi kepuasan buat saya dalam membuat teka teki bagi penonton mengetahui kesudahan yang dialami.

"Mungkin sesetengah orang yang biasa bermain dengan mimik muka dapat melakukannya tetapi bagi saya watak ini sangat mencabar kerana perlu fokus pada ekspresi muka untuk memahami penonton," katanya yang turut berlakon dalam drama Adelia yang bakal ditayangkan di TVI.

Selain aktif berlakon, Dynas semakin sibuk de-ngan perniagaan pakaiannya, Dynas Nursing Attire (DNA) yang kini sudah pun mempunyai beberapa cawangan, antaranya di pusat beli-belah Setia City Mall, Shah Alam, Publika Solaris Dutamas dan Dataran Pahlawan Melaka yang dijangka akan dibuka pada Mac ini.

Malah ibu kepada Khyra Khalyssa ini juga semakin bijak menguruskan perniagaan dan lakonan, lantaran kakitangan DNA semakin ramai dan ini memudahkannya untuk membahagikan masa antara lakonan, perniagaan dan keluarga.

"Syukur perjalanan butik DNA berjalan lancar dari satu kini saya sudah membuka cawangan lain, malah kakitangan yang semakin bertambah banyak membantu saya dalam pengurusan membabitkan rekaan baju baru, bahan yang diperlukan, pembekal dan sebagainya.

"Jika dulu segala-galanya saya uruskan sendiri, namun, kini semuanya semakin mudah dan ini memberi peluang untuk saya fokus semula pada bidang lakonan," katanya.

Tiada masa untuk bercuti

Sejak membuka butik DNA, Dynas mengakui masanya begitu terhad sehingga dia perlu bijak membahagikan masa buat keluarga dan dirinya sendiri.

Memilih cara hidup yang sudah biasa bekerja, Dynas seorang yang tidak boleh duduk diam meskipun kadang kala suami ada menegurnya yang dilihat terlalu sibuk dengan butik dan lakonan.

"Memang kadang kala, suami seperti merajuk dan memberi isyarat kepada saya jangan terlalu sibuk kerana perlu fokus kepada anak-anak, namun saya akan sentiasa melakukan perbincangan bersama supaya tidak timbul masalah di kemudian hari kelak.

"Apabila di set penggambaran, saya akan fikir pasal dialog saja. Tapi di rumah, saya banyak berfikir terutamanya tentang perniagaan. Bayangkan sambil bersama anak-anak, saya akan fikir pasal rekaan baju baru, bahan yang diperlukan, pembekal dan sebagainya.

Kadangkala, terfikir bagus juga bila saya buat seperti ini, sekurang-kurangnya saya tidak terlalu tertekan dengan anak-anak ketika di rumah. Saya dapat segarkan otak untuk mencipta rekaan baru buat butik DNA.

"Masa untuk keluar bercuti juga tidak dapat dilakukan kerana kekangan kerja dan keluarga. Anak bongsu pula baru berumur lapan bulan, payah untuk dibawa makan angin. Justeru, buat sementara waktu ini tiada istilah bercuti dalam hidup saya," kata isteri kepada Mohd Hafizy Hafiz ini.

Kata Dynas, hasrat untuk berlakon semula secara aktif kadang kala boleh menjadi isu antaranya dan suami kerana suami mengharapkannya berhenti berlakon dan memberi fokus kepada keluarga.

"Ia bergantung kepada cara saya bercakap dan menjelaskan perkara ini kepadanya. Macam sekarang ini, saya tahu saya salah, saya akan diam saja. Kalau ada projek-projek baru berkaitan, tawaran berlakon saya akan diamkan saja dari pengetahuannya.

"Suami memang mengharapkan saya berhenti berlakon tapi dia tahu saya tidak akan berbuat demikian. Malah, emak juga bila tengok saya sudah mula berniaga, dia cukup suka.

"Bukan bermakna emak tidak suka saya berada dalam bidang lakonan, cuma dia tidak suka saya mendapat watak yang membuatkan penonton benci," katanya yang pernah ditawarkan berlakon teater.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Soseh Soseh: Tangkap 'cintan' dengan hero

Posted:

Cinta lokasi bukan lagi perkara baru dalam kalangan pelakon kita, lebih-lebih lagi jika masing-masing masih solo. Namun ada juga yang SS dengar pelakon lelaki yang sudah berkahwin jatuh cinta semula di lokasi gara-gara terpaksa berada lama di set dengan heroin.

Selalunya penggambaran drama bersiri akan mengambil masa berbulan-bulan dan cinta kilat itu akan muncul apabila drama itu pula dilakukan di luar ibu kota.
Setiap hari asyik memandang wajah yang sama dan jauh pula daripada anak dan isteri, pasti terasa ingin bercinta semula. Apatah lagi, jika mereka membawakan watak sebagai kekasih atau suami isteri.


Pernah satu ketika rumah tangga seorang pelakon lelaki musnah dek penangan cinta lokasi. Mujur dapat diselamatkan, jika tidak menjandalah isterinya. SS faham sangat betapa artis wanita sekarang begitu berani memaparkan kemanjaan mereka kepada mana-mana lelaki, sekalipun suami orang.

Baru-baru ini, SS dapat tahu ada artis baru yang cantik jelita sudah jatuh hati dengan heronya. Mereka berlakon bersama dan tiba-tiba khabarnya artis itu sudah 'tangkap cintan' dengan pasangannya dalam drama itu. Bagaimanapun, SS rasa jika cinta itu terbawa-bawa ke luar lokasi pun tidak mengapa kerana kedua-duanya masih belum ada yang punya. Mereka berdua memang sepadan.

Namun, SS tak berani nak cakap lebih-lebih soal hati dan perasaan orang kerana artis wanita itu muda lagi. Panjang lagi perjalanan kerjaya dan kehidupannya. Dalam perjalanan itu, tentu banyak dugaan yang datang dan pasti ada lagi lelaki-lelaki yang akan singgah di hatinya.

Apa pun, jika benar mereka sedang memupuk kasih sayang, jagalah diri baik-baik. Tak perlulah nak menunjuk sangat kerana bila sudah terlebih gembar-gembur, alih-alih tak jadi, patah hati dan meranalah diri.

Bak kata orang, ala kadar saja sudahlah kerana kasih sayang itu tidak perlu terlalu dipamerkan. Apa yang penting ketulusan dan keikhlasan hati untuk menerima diri masing-masing seadanya.

SS: Terserempak sepasang kekasih popular tengah bershopping kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Buaya pertama pakai ekor tiruan

Posted:

Phoenix: Seekor buaya bernama Mr Stubbs akan melakar sejarah tersendiri apabila dipasang ekor tiruan bagi membantunya hidup normal tidak lama lagi.

Berusia sembilan tahun, reptilia itu adalah buaya pertama dilengkapi ekor buatan manusia. Mr Stubbs mengalami kecacatan bahagian belakang badannya selepas digigit ketika bergaduh dengan buaya lain.


Kecacatan itu juga menyebabkan Mr Stubbs tidak boleh berenang seperti sepatutnya.

Haiwan berkenaan diselamatkan pakar reptilia sebuah persatuan hidupan liar di Phoenix, Arizona.


Namun, dengan ekor tiruan itu, Mr Stubbs bakal mendapat hidup baru.


Sepasukan pakar mencipta ekor berteknologi tinggi menggunakan lateks dan silikon berharga beribu-ribu dolar Amerika. Mereka turut mengkaji pergerakan Mr Stubbs melalui kamera khas untuk menyesuaikan ekor tiruannya.

Foto

DENGAN bantuan ekor tiruan, Mr Stubbs belajar berenang semula selepas ekornya dibaham ketika masih muda.

Foto

MR STUBBS menjadi buaya pertama di dunia menerima ekor tiruan berteknologi tinggi.

Foto

KEADAAN Mr Stubbs tanpa ekor.

Selepas dipasangkan ekor tiruan itu, pakar terbabit perlu mengajar Mr Stubbs berenang semula. Seorang daripada pakar persatuan itu, Russ Johnson berkata, buaya berkenaan mungkin terlalu muda ketika bertembung dan bergaduh sebelum ini. "Buaya adalah haiwan pemangsa dan jika anda bersaiz kecil terpaksa berdepan dengan buaya lain yang kelaparan, anda adalah makanan mereka," katanya. Mr Stubbs adalah satu daripada 32 buaya yang ditemui dalam sebuah lori yang ditahan di Arizona baru-baru ini. Selepas diserahkan kepada persatuan terbabit, Johnson berkata, mereka mendapati Mr Stubbs tidak mampu berenang.


"Apabila di dalam air, Mr Stubbs akan terlentang," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Jual bayi untuk bahan pornografi

Posted:

Indianapolis: Seorang ibu didakwa di mahkamah kerana menjual anaknya baru berusia 18 bulan kepada seorang lelaki untuk dijadikan bahan pornografi.

Walaupun bayaran untuk transaksi itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah, Natisha Hillard dipercayai tahu anak perempuannya akan dijadikan bahan filem lucah oleh Christopher Bour.


Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memulakan siasatan terhadap Bour, 39, selepas seorang tukang urut memberitahu mengenai rancangan lelaki terbabit mengambil kesempatan atas anak Natisha.

Niat Bour itu disampaikan kepada sumber terbabit melalui mesej teks.


Satu daripada mesej teks itu menyatakan: "Mahu melihat saya berseronok dengan seorang bayi esok? Ini bukan main-main." Satu lagi mesej Bour ialah: "Sesekali saya dapat peluang. Mungkin kamu boleh tolong pegangkan kamera." Sementara itu, ketika disoal siasat, Natisha, 24, berkata dia pernah melihat filem lucah menggunakan kanak-kanak di komputer riba Bour. Katanya, dia mengunjungi rumah Bour ketika kediaman lelaki terbabit diubah suai. Sumber FBI berkata, Bour pernah menyatakan minatnya kepada aksi asmara seperti haiwan. Menurut NBC News, ejen FBI menyamar sebagai tukang urut terbabit dan menghantar mesej teks kepada Bour. "Mesej itu dibalas Bour dengan penjelasan berbau lucah dan dia mengaku pernah melakukan aktiviti seks dengan kanak-kanak dengan izin ibu mangsa," lapor NBC News.


Berdasarkan maklumat yang ada, ejen FBI menyerbu rumah Bour di Hammond, Indiana, dan merampas komputernya.

Pihak berkuasa turut menemui video dan gambar lucah membabitkan orang dewasa dan kanak-kanak.


Sumber FBI berkata, ada antara gambar itu memaparkan Bour bersama kanak-kanak, selain imej Natisha.

Rekod mahkamah menunjukkan, Natisha mengenali Bour melalui perkhidmatan cari jodoh di Internet. Natisha dituduh menjual anaknya kepada Bour dengan mengetahui ia akan digunakan untuk aktiviti seks.


Bour pula berdepan dakwaan menghasilkan bahan pornografi membabitkan kanak-kanak. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Gegar velodrom New Delhi

Posted:

Kuala Lumpur: Skuad trek negara mempamerkan kemampuan sebagai jaguh Asia apabila menggegar di hari terakhir Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di India semalam dengan meraih lima pingat emas.

Saingan di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi di New Delhi itu menyaksikan dua pelumba elit negara, Josiah Ng mencuri tumpuan dengan memenangi acara keirin dan 200 meter pecut lelaki manakala Fatehah memenangi acara 200 meter pecut wanita. Turut perlu diberi perhatian adalah pelumba berusia 16 tahun yang memenangi acara satu kilometer ujian masa sebelum ini, Muhammad Firdaus Mohd Zonis yang menguasai acara pecut 200 meter dan keirin remaja sekali gus mengumpul tiga pingat emas.


Pada aksi terakhir semalam, tuaian emas negara dimulakan Fatehah yang menyambut hari lahirnya ke-24 hari ini apabila memenangi pecut 200 meter menewaskan pelumba China, Shi Jingjing pada aksi yang membabitkan tiga perlumbaan namun terpaksa berpuas hati apabila sekadar memenangi perak dalam final keirin.

Namun Josiah sebaliknya mengungguli acara keirin sekali gus mempertahankan pingat emas dimenanginya di Kuala Lumpur pada tahun lalu selepas terlebih dulu turun dalam acara akhir 200 meter pecut lelaki untuk menafikan kelibat pelumba Iran, Hassanali Varposhti dalam dua perlumbaan saja.


"Ini sangat indah. Sudah lama saya menanti detik ini," kata Josiah yang gembira dengan kejayaan mengungguli dua acara utama itu.


Kejayaan terbabit turut menggembirakan pengurus pasukan negara, Ibrahim Mustafa yang puas hati dengan prestasi dipamer pelumba negara sama ada elit atau pelapis.

Foto

JOSIAH (tengah) bersama pingat emas acara keirin.

"Tujuh pingat emas diraih sesuatu yang di luar jangkaan. Kita meraih dua pingat emas pada hari pertama acara trek dan lima pingat emas pada hari terakhir. Namun yang pasti ia amat membanggakan," katanya.


Mengenai prestasi skuad elit negara yang meraih tiga pingat emas, Ibrahim berkata, mereka mencapai tahap diharapkan selaku pelumba yang mampu beraksi di pentas lebih tinggi.

"Josiah dan Fatehah menepati tahap sebenar, Azizulhasni (Awang) mungkin berdepan masalah yang membataskan prestasinya di ACC," katanya.


Saingan acara trek ditutup semalam dengan tumpuan kini beralih kepada pelumba acara lebuh raya negara yang menyertai beberapa acara dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

MSN tak keluar larangan

Posted:

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) belum mengeluarkan larangan untuk mana-mana atlet negara menyertai sebarang kejohanan yang berlangsung di Filipina.

Perkara terbabit mendapat perhatian MSN susulan tindakan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) yang membuat keputusan menarik diri daripada menyertai Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di negara itu dengan alasan keselamatan berikutan pencerobohan pengganas Sulu dari Filipina ke Sabah yang belum menemui jalan penyelesaiannya.


Malah terdapat laporan media asing mendakwa tindakan menarik diri terbabit adalah atas arahan MSN tapi Ketua Pengarah, Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) menafikannya dan menjelaskan tidak pernah mengeluarkan arahan terbabit.

"Kami tidak boleh membuat keputusan berdasarkan persepsi semata-mata kerana ia turut membabitkan hubungan dua negara. Malah setahu saya, hingga kini Filipina tidak pernah mengeluarkan kenyataan rakyat Malaysia tidak boleh bertandang ke negara itu," katanya. Zolkples turut menjelaskan keputusan dan tindakan seharusnya dirujuk kepada Wisma Putra bagi mendapatkan kepastian sewajarnya.


Selain Kejohanan Remaja Asia, atlet karate negara turut dijadual mengambil bahagian pada Kejohanan Karate Asia Tenggara edisi kedua yang turut berlangsung di negara itu pada bulan depan.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Pengarah Cawangan Pelapis MSN Jefri Ngadirin berkata, beliau sudah mendapatkan maklum balas Wisma Putra semalam yang mengesahkan masih belum terdapat sebarang sekatan perjalanan dan sebagainya membabitkan kedua-dua negara.

"Malah saya difahamkan tiada situasi berbentuk sentimen berlaku di negara itu namun saya akan menulis surat kepada kedutaan Malaysia di sana bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan sebenar sebelum menghantar atlet negara. Ingin saya tegaskan penghantaran atlet karate bergantung kepada situasi semasa," katanya.


Difahamkan Persekutuan Karate Malaysia bercadang menghantar kira-kira 40 atlet bagi menyertai kejohanan dijadual berlangsung dari 17 hingga 21 April di bandar Clark yang membabitkan kategori elit, pelapis dan peserta berusia 14 hingga 16 tahun menyertai kategori kadet.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved