Sabtu, 8 Jun 2013

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tak makan saman

Posted: 07 Jun 2013 10:13 AM PDT

Batu Caves: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil tindakan tegas terhadap 17 pemilik gerai makanan di Jalan Samudera Utama selepas didapati bersalah menyebabkan halangan terhadap parit dan jalan raya di situ.

Ketua operasi, Penolong Pegawai Penguat Kuasa Siti Fatimah Ibrahim berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima banyak aduan awam berhubung kesesakan jalan di situ akibat operasi gerai berkenaan yang terletak di bahu jalan.


"Sebenarnya ini bukan kali pertama MPS mengambil tindakan termasuk menyita dan kompaun ke atas penjaja berkenaan.

"Tahun ini saja, sudah dua kali kami mengambil tindakan kompaun, tetapi penjaja masih berdegil dan terus beroperasi di sini.


"Mereka tidak menyedari tindakan membuka gerai makanan di tepi jalan menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana pelanggan memberhentikan kenderaan di bahu jalan walaupun di sini jelas tiada kemudahan parkir (di bahu jalan)," katanya.


Dalam operasi sekitar jam 10 pagi semalam, seramai 25 anggota penguat kuasa MPS turun padang dan menyita beberapa peralatan yang digunakan penjaja termasuk 18 unit khemah, 14 unit meja, tong gas dan kerusi.

Foto

ANGGOTA penguat kuasa MPS menyita gerai makanan di Jalan Samudera Utama, semalam.

Foto

GERAI peniaga di tepi longkang dirobohkan.

"Berdasarkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Seksyen 46 (1), MPS mengeluarkan 17 kompaun berjumlah RM8,500 kerana penjaja didapati melakukan halangan pada longkang utama di situ.


"Tindakan mereka meletakkan barang di atas longkang menyebabkan kerja pembersihan sukar dilakukan menyebabkan longkang di situ kotor.

"Penjaja perlu menjejaskan kompaun yang dikenakan bagi membolehkan mereka mengambil semula barang yang disita oleh MPS hari ini (semalam)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


'Wanita' burqa rompak kedai

Posted: 07 Jun 2013 09:43 AM PDT

London: Perompak berpakaian burqa menyerbu sebuah pusat beli-belah terkenal, Selfridge malam tadi dan merompak jam tangan berjenama dan barang kemas.

Kumpulan enam orang itu yang bersenjatakan kapak dan tukul besi memecahkan kabinet pameran di bahagian barang kemas pusat beli-belah itu yang terletak di Oxford Street.


Mereka melarikan jam tangan bernilai £10,000 (RM50,000) dan barang kemas bernilai ratusan ribu paun ketika kakitangan dan pelanggan bertempiaran lari kerana ketakutan.

Perompak itu kemudian melarikan diri dengan menaiki skuter. Bagaimanapun, satu daripadanya tergelincir menyebabkan dua perompak itu jatuh.


Seorang daripadanya berpura-pura mendakwa rakannya yang cedera adalah isterinya. Kedua-dua mereka ditangkap orang ramai. Pelayan piza, Mohamed Hussein, 29, dan seorang penjaga pub duduk di atas mereka sehingga polis tiba.


"Saya di luar restoran piza tempat saya bekerja dan melihat sebuah basikal berenjin dengan dua orang terjatuh. Pembonceng di belakang memakai burqa dan tidak memakai topi keledar. "Saya tahu mereka penjenayah kerana mengecam skuter mereka ketika telefon bimbit kawan saya dicuri beberapa hari lalu. Lelaki di belakang memekik 'Tolong bantu isteri saya.' Tetapi saya pasti dia bukan wanita. " Saya menjerit meminta seseorang memanggil polis, menyebabkan seorang perompak itu mula melarikan diri," kata Mohamed. - Daily Mail

Foto

KAPAK yang ditinggalkan perompak.

Foto

RUANG pameran barang kemas yang dipecahkan perompak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Paris bergaduh sebelum cuba bunuh diri

Posted: 07 Jun 2013 09:32 AM PDT

Los Angeles: Anak Michael Jackson cuba membunuh diri selepas bertengkar dengan anggota keluarga.

Paris, 15, dilapor menjerit: "Saya harap bapa saya ada di sini. Dia memahami saya," dalam pertengkaran itu.

Remaja berkenaan mengelar pergelangan tangannya dan makan pil secara berlebihan selepas menuduh penjaganya tidak membenarkan dia menjalani kehidupannya sendiri.

Mereka melarang dia menonton konsert rock Marilyn Manson dan kemudian menyekatnya daripada menggunakan Internet sebelum menyuruhnya memasuki bilik selepas dia 'mengamuk.'


Keluarga itu, sebelum ini semakin bimbang mengenai perubahan sikap Paris dan tindakan yang membahayakan dirinya.


Paris semakin taksub dengan penyanyi rock Kurt Cobain dan Marilyn Manson hingga mendorong dia mengubah gaya rambut dan berpakaian terdedah.

Satu sumber berkata: "Paris merasakan tidak seorang pun dalam keluarga itu memahaminya dan dia rasa terpinggir dan kesunyian.

"Ketika pertengkaran Selasa lalu, dia mengatakan bapanya lebih memahaminya dan tahu bagaimana perasaan menjadi dewasa."

Paris menjadi sasaran pembuli di sekolah dan individu mengejinya di Internet.

Dia juga dijadual memberi keterangan dalam kes saman keluarga Jackson berjumlah AS$40 juta (RM120 juta) terhadap AEG, promoter konsert terakhir bapanya yang didakwa menjadi punca kematian Michael pada 2009.

Paris memberikan kenyataan kepada peguam keluarga itu bulan lalu: "Setiap hari saya teringatkannya dan menangis."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Pertama kali mudah serasi

Posted: 07 Jun 2013 05:23 AM PDT

Jika anda mencari genre aksi komedi ringan dengan lawak selamba, filem terbaru MIG, Bro, Nampak Motor Gua? pasti menghiburkan anda seisi keluarga di pawagam ketika ini.

Filem arahan Razif Rasyid ini mempertaruhkan gandingan mantap pelawak dan pengacara popular Along Cham dan Along Eyzendy selaku teraju utama.

Barisan pelakon lain yang turut mewarnai filem ini adalah Mon Ryanti, Fadzil Zahari, Shahfiez, CT Chubby, Khatijah Tan, Maimon Mutalib, Imuda dan Kaza serta penampilan istimewa, Mamat Khalid.

Secara peribadi, Along Cham yang membawa watak Epol akui dia memang cerewet apabila digandingkan dengan semua pelakon dalam filem ketika ini.


Saya memang fobia apabila digandingkan dengan pelakon lain kerana takut benda yang saya nak buat itu tak menjadi seperti direncanakan.


"Sebab itu, apabila dapat tahu digandingkan buat kali pertama dengan Along Eyzendy yang bawa watak Helmi dan kawan baik dalam filem ini saya jadi khuatir kerana dia seorang pelakon serius dan saya pula seperti 'orang sarkas.'

"Bagaimanapun selepas berlakon sama dan hasil perbincangan barulah saya tahu dia seorang yang rileks dan mulutnya pun boleh tahan juga. Ini sekali gus memudahkan kami mendapat keserasian dalam filem ini," katanya

Ditanya cabaran bawa watak Epol dalam filem itu, Along Cham berkata, paling mencabar adalah ketika dia melakonkan babak aksi motosikal 'terbang' hingga 'mencium' jalan raya.

"Babak 'motor terbang' itu membabitkan hari terakhir penggambaran untuk babak Epol bawa motornya. Rupa-rupanya, 'break' belakang motosikal itu tidak berfungsi hingga menyebabkan saya dan Mon Ryanti (Azura) mengalami kecederaan ketika melakonkan babak aksi itu.

"Saya jatuh dihempap motosikal dan cedera di bahagian buku lali, kaki dan tangan dan mujurlah Mon yang membonceng di belakang hanya cedera ringan dengan calar di peha. Yang penting, kami juga sudah berikan yang terbaik untuk babak aksi itu," katanya.

Apapun, Along yang sudah keluar dari pengurusan MIG Talent secara baik sejak 14 Mei lalu menyerahkan pada peminat untuk menilai hasil lakonannya dalam filem itu.

"Apa yang saya boleh katakan filem ini ada kelainan daripada genre komedi yang pernah dilakonkan sebelum ini. Cerita ini juga ada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton dan bukannya lawak yang merapu," katanya.

Sepanjang tiga tahun menjadi 'keluarga' MIG, Along sempat berlakon dalam beberapa filem terbitan produksi itu seperti Alamak Toyol, Taikun, Adnan Sempit 1, 2 dan 3, Wawa Semput dan Lagenda Budak Hostel.

Along Eyzendy pelakon Budak Kelantan

Berbeza dengan Along Cham, Eyzendy Aziz, 33, lebih dikenali sebagai pelakon serius. Pemegang Diploma dalam jurusan Muzik dan Teater dari ASWARA ini juga bermula dari pentas teater Gedebe arahan Namron pada 1999.

Dia yang lebih dikenali sebagai Along Eyzendy baru setahun menjadi 'keluarga' MIG Talent turut berlakon dalam filem terbitan produksi berkenaan iaitu Cerita Kita, 1 Lawan 1, Legenda Budak Hostel, Paku Pontianak, Longkai dan Bro, Nampak Motor Gua?.

Biarpun mereka dari latar berbeza, Along Eyzendy percaya, ia bukan penghalang buatnya untuk digandingkan dengan Along Cham dalam Bro, Nampak Motor Gua?.

Malah akui pelakon filem Budak Kelantan ini lagi, dia terima tawaran berlakon dalam filem itu kerana ingin menyahut cabaran dalam genre komedi.

"Saya senang dapat keserasian dengan Along Cham dalam filem ini. Berlakon filem komedi akan menjadi mudah kalau kita dapat gandingan yang bagus.

"Pada pandangan saya, Along Cham seorang pelakon yang banyak berfikir. Sebelum nak buat sesuatu babak itu dia akan 'koreograf' dulu nak buat apa. Sebagai pelakon yang digandingkan dengannya, saya berusaha memberikan komitmen terbaik dalam menjiwai watak Helmi yang juga kawan baik pada Epol, hero dalam filem ini.

"Sebenarnya, saya akui bukan mudah untuk kita buat orang ketawa dan itulah cabaran berlakon dalam cerita komedi ini," katanya.

Kutipan lima hari RM500,000

Baru lima hari menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 30 Mei lalu, filem Bro, Nampak Motor Gua? sudah mencecah kutipan setengah juta.

Ternyata, genre aksi komedi ringan masih mendapat tempat di hati penggemar filem tanah air. Pihak MIG turut mensasarkan jumlah kutipan akan terus meningkat sepanjang tempoh tayangan filem ini di pawagam sehingga Rabu depan.

Cerita bermula dengan Epol yang mencari motosikalnya yang hilang. Semuanya atas kecuaiannya sendiri sewaktu menunjuk-nunjuk motosikal barunya kepada orang lain.

Dari situ bermulalah pengembaraannya sendiri untuk mendapatkan motornya kembali. Motosikalnya sudah dikebas dua pencuri. Pada masa yang sama Epol terjumpa Azura yang beg tangannya turut dirembat pencuri yang sama.

Malang bagi Azura kerana dalam beg tangannya itu mengandungi 'pendrive' penting bagi Tan Sri Bakhir seorang ahli perniagaan yang kaya raya.

Beliau juga menawarkan wang sebanyak RM50,000 pada Epol jika berjaya mendapatkan semula 'pendrive' itu. Justeru bermulalah pengembaraan Epol dan Azura yang diselangi dengan babak yang mampu membuat kita ketawa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

Ekin nafi jadi 'drama queen'

Posted: 07 Jun 2013 05:12 AM PDT

Sekalipun berada pada kedudukan selesa iaitu memiliki bisnes sendiri, Nur Asikin Kamarudin (Ekin), 24, tetap memilih untuk menyertai pertandingan GadisM2 yang ke udara di Astro Ria, setiap Ahad, jam 10 malam kerana yakin dapat mencari sesuatu yang berharga dalam kerjaya masa depannya.

Pun begitu pada episod peragaan yang lepas, juri tetap iaitu Datin Sofia Jane masih mengkritik Ekin sebagai peserta yang suka memberi alasan dan selalu mengambil jalan mudah. Super model terkenal Tengku Azura pula memberi komen, Ekin tidak mengikut tunjuk ajar yang sudah diberikan.

Akibatnya, Ekin menjadi antara peserta yang terbawah pada minggu lepas. Ekin juga dikatakan suka menjadi 'drama queen' serta ratu air mata kerana mudah menangis.

Bagaimanapun Ekin nafikan dia seorang 'drama queen' sebaliknya hanya menjadi dirinya yang sebenar.


"Memang saya mudah mengalirkan air mata namun tidak bererti yang wanita yang lemah. Jauh di lubuk hati dan minda, saya seorang yang kuat dan berani menerima cabaran. Jika tidak masakan saya berani menempuh cabaran sebagai seorang usahawan sebelum memasuki pertandingan ini," katanya.


Ramai berpendapat, wajah Ekin saling tidak tumpah seperti pelakon Memey Suhaiza yang juga isteri aktor Norman Hakim.

Episod seterusnya malam esok akan menyaksikan Ekin dari Masjid Tanah, Melaka meneruskan cabaran bersama tujuh lagi peserta lain iaitu Siti Nursyahira Nabila (She) 23, Subang Jaya,Selangor; Nur Syifa Athirah Amirol Melvin (Syifa) 19,Parit Buntar, Perak; Alia Afiqah Abden (Lia) 21, Tawau, Sabah; Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf (Sarah) 22, Ampang, Selangor; Nur Afiqah Mohd Azmi (Fify),22, Subang Jaya, Selangor; Siti Nor Izumi Salleh (Izumi) 23, Bangi, Selangor; Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra) 21, Setapak, Kuala Lumpur.

Jika pada episod ketiga lalu mereka dikehendaki beraksi di tengah panas terik matahari di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor kali ini ada dua cabaran iaitu yang pertama, mereka di bawa ke lokasi terbuka di Pusat Bandar Wangsa Maju dengan pengawasan Tengku Azura dan Dynas.

Mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Kemudian mereka dikehendaki beraksi di depan kamera ­dengan mengikut tema yang diberikan oleh Tengku Azura. Kumpulan yang menang akan diberikan keutamaan untuk memilih busana tajaan pereka terkenal Fizi Woo dan Azura Couture Kuala Lumpur.

Seterusnya kesemua mereka dibawa ke rumah beku tempat penyimpanan ikan kering. Untuk cabaran kedua, mereka dikehendaki beraksi di depan kamera di dalam bilik dengan suhu 0 darjah celsius. Suasana di kawasan itu mencabar kerana di luar pula hujan. Untuk cabaran kali ini, Lia mempunyai masalah dengan saiz baju tapi She secara sukarela sanggup bertukar baju dengan Lia.

Sanggupkah mereka bertahan di dalam bilik beku itu? Lebih mendebarkan, siapakah calon yang akan terkeluar pada minggu ini?

Jawapan itu ada malam esok di Astro Ria (Saluran 104), mulai 10 malam. Program realiti hebat ini terbitan I Like Entertainment Sdn Bhd anak syarikat Kumpulan Sedania.

Rancangan yang ke udara selama sejam jam ini dihoskan pelakon kacak Awal Ashaari. Minggu ini, juri jemputan adalah Rosie Haslinda Nasir dari majalah fesyen terkenal, Intrend manakala juri tetap adalah Datin Sofia Jane dan Puan Zaihani Zain atau Kak Zai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Harimau diperlekeh

Posted: 07 Jun 2013 09:26 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad kebangsaan seolah-olah diperlekehkan media tempatan di Canberra, Australia selepas kecundang 2-3 dalam aksi persahabatan menentang Canberra FC kelmarin.

Akhbar The Canberra Times memilih menggunakan tajuk "pemain sambilan raih kemenangan ke atas pasukan kebangsaan" (part-timers steal win over internationals) selain menggambarkan kelab divisyen dua Australia itu tidak gentar menentang skuad berstatus kebangsaan.


Ini mungkin hadiah alu-aluan buat skuad Datuk K Rajagobal yang gemar memilih Australia sebagai destinasi kem latihan sedangkan beberapa pemerhati bola sepak seperti Khalid Ali mempertikaikannya kerana membuang duit dan masa kerana kelab yang ditentang bukan daripada liga utama kebangsaan.

Apa yang mengecewakan, sedang Singapura dan pasukan jiran lain berlumba memperbaiki ranking dengan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A, Rajagobal termasuk pengurus Datuk Seri Subahan Kamal berkeras mahu ke Australia.


Inilah hasilnya. Satu pasukan kelab terdiri daripada pemain bekerja sambilan mengaibkan sebuah pasukan kebangsaan yang juga bekas juara Piala AFF. Cukup memalukan imej Malaysia.


Persoalannya, siapakah individu atau agensi yang mengaturkan siri perlawanan Malaysia di sana dengan kelab-kelab pemain sambilan yang kemudian diiktiraf pula Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Apapun yang nyata, sekalipun berdepan kelab yang pemainnya mungkin bekerja sebagai mekanik, peladang, penternak biri-biri atau jurujual insuran, skuad Rajagobal ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama.

Foto

KESEBELASAN utama negara ketika menentang Canberra FC kelmarin.

Alex Oloriegbe membuka jaringan pada minit ke-28 disusuli Ryan Keir pada minit ke-34 yang mudah menolak bola untuk membolosi gawang negara yang dikawal Norazlan Razali.


Rajagobal dalam reaksinya tetap puas hati dan menyifatkan perlawanan itu cukup kompetitif.

"Bagi saya ini satu perlawanan yang kompetitif dan secara keseluruhan berpuas hati dengan persembahan pemain. Pemain menunjukkan karektor yang bagus walaupun ketinggalan dua gol dan babak kedua kita bangkit untuk bermain lebih agresif," kata Rajagobal.


Jelas Rajagobal, aksi menentang Canberra FC yang pertama untuk skuad kebangsaan selepas perlawanan persahabatan menentang Palestin pada Mac dan pemain gagal menjelmakan persembahan yang diharapkan pada separuh masa pertama.


Penyerang Johor Darul Takzim (DT), Safee Sali yang dimasukkan pada babak kedua mencetuskan kebangkitan skuad negara apabila meledak dua gol pada minit ke-61 dan 85 sekali gus membuktikan sentuhannya masih berbisa walaupun sering memanaskan bangku simpanan ketika bersama kelab di saingan domestik.


"Saya puas hati dengan aksi Safee kerana kemampuannya menjaringkan dua gol. Saya harap dia serta pemain lain dapat mempamerkan rentak lebih baik dalam perlawanan seterusnya." Bagaimanapun harapan meraih keputusan seri tidak kesampaian apabila penyerang gantian Philippe Bernabo memastikan kemenangan tuan rumah apabila menewaskan Mohd Farizal Marlias di gawang skuad negara selepas dijatuhkan pada masa kecederaan separuh masa kedua.


Skuad negara dijadual meneruskan baki dua aksi persahabatan menentang kelab divisyen dua Australia dengan Sydney Olympic menanti pada Selasa diikuti Sydney United dua hari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

'Kami terkilan'

Posted: 07 Jun 2013 08:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad perahu layar negara berasa seolah-olah dipinggirkan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana mendakwa lewat menerima peruntukan tahunan daripada badan induk pentadbir sukan negara itu.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah terkilan dengan sikap MSN yang seperti menganak tirikan skuad pelayaran hingga mereka terpaksa menangguh beberapa program penting sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Myanmar pada 11 hingga 22 Disember ini.


"Kami terpaksa menunda beberapa program penting bagi persiapan pelayar ke Myanmar disebabkan lewat mendapat peruntukan kewangan dan jumlah diterima tidak cukup untuk menampung kos program persediaan atlet yang disusun sejak tahun lalu," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana belum mendapatkan peralatan pelayaran yang dipohon sejak awal tahun lagi.


"Kami perlu mengganti segera semua kelengkapan dan perahu layar sedia ada kerana kesemuanya sudah berusia hampir lima tahun dan tidak sesuai lagi digunakan untuk kejohanan besar seperti Sukan SEA.


"Jika bantuan itu lambat disalurkan, saya risau pelayar negara hilang keyakinan akibat terganggu dengan kelengkapan yang uzur berbanding pelayar negara lain yang sudah pasti menggunakan peralatan serba baharu." Beliau harap pihak terbabit tidak akan menuding jari kepada MYA jika skuad pelayar negara gagal meraih sebarang pingat di Myanmar.

Pada temasya Sukan SEA Indonesia 2011 skuad pelayaran negara hanya mampu membawa pulang dua pingat perak dan sebutir pingat gangsa. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


20 jam memilukan

Posted: 07 Jun 2013 10:34 AM PDT

Georgetown: Mayat mangsa kejadian runtuhan tanjakan Jambatan Kedua Pulau Pinang, yang dikenali sebagai Tajuddin Zainal Abidin, 45, yang ditemui dalam keadaan mukanya tersembam di atas papan pemuka kereta dipandunya hanya berjaya dikeluarkan selepas lebih 20 jam usaha dilakukan.

Selepas mangsa ditemui kira-kira jam 12.27 tengah malam kelmarin, usaha mengalihkan konkrit menghempap kereta mangsa menggunakan kren 380 tan sebanyak dua kali gagal dan berikutan itu anggota penyelamat terpaksa melakukan kerja-kerja memecahkan bongkah struktur konkrit yang runtuh sebelum berjaya dikeluarkan jam 8.45 malam tadi.

Sejurus mangsa berjaya dikeluarkan suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian apabila abang ipar mangsa pengsan.

Ketika mayat terbabit dikeluarkan anggota pasukan keselamatan, abang iparnya yang terlalu sedih memeluk anggota bomba sambil menangis teresak-esak.

Foto

ANGGOTA pasukan keselamatan mengusung mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan kira-kira jam 8.45 malam tadi.

Foto

AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan dan terus pengsan.

Foto

KEADAAN mayat yang tertimbus di bawah kerangka Jambatan Kedua Pulau Pinang yang runtuh di Batu Maung, kelmarin.


Dia yang tidak dapat menahan hiba itu terpaksa dipapah beberapa anggota pasukan keselamatan sebelum rebah dan dikejarkan ke hospital.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

'Saya paling gembira'

Posted: 07 Jun 2013 10:34 AM PDT

Putrajaya: Kejayaan tujuh anak FELDA menakluk puncak tertinggi dunia, Everest pada Mei lalu adalah gambaran pembaharuan yang dihasratkan kerajaan iaitu mahu melihat organisasi berkenaan mencipta nama di peringkat dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, bagi beliau kejayaan pendaki ekspedisi Everest FELDA 2013 itu satu transformasi bukan saja secara fizikal, tetapi dari segi minda kerana misi itu mencabar kekuatan rohani serta mental.

"Inilah intipati pembaharuan yang saya mahu lihat kepada FELDA secara keseluruhan. Saya mahu melihat FELDA yang boleh mencipta nama di peringkat dunia dan misi menakluk Everest ialah usaha transformasi yang dijalankan.

"Saya paling gembira apabila mendengar berita ini (kejayaan menakluk Everest). Ketika mereka berusaha mencapai kejayaan, kita di sini pun berusaha untuk berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan kedua-dua mencapai kejayaan walaupun cabaran cukup hebat.

Foto

NAJIB menandatangani poster pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Projek Everest FELDA 2013, semalam.


"Calang-calang orang jangan mencuba (mendaki Everest) tanpa persediaan atau latihan kerana kita tahu risikonya, baru-baru ini saya difahamkan lapan pendaki terkorban. Paling istimewa kumpulan ini menjalani latihan selama tujuh bulan berbanding perancangan latihan selama setahun setengah," katanya dalam ucapan pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Projek Everest FELDA 2013, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved