Selasa, 13 Disember 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Rampas arak, rokok seludup RM2 juta

Posted: 12 Dec 2011 10:03 AM PST

PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menumpaskan sindiket menyeludup minuman keras dan rokok putih bernilai hampir RM2 juta dalam tiga serbuan berasingan di Rantau Panjang, Kapar, Pelabuhan Klang dan Balakong, baru-baru ini.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Azis Yacub berkata, dalam serbuan pertama, empat lelaki ditahan dan merampas minuman keras serta rokok putih disyaki belum lulus kastam dianggarkan bernilai RM245,489 membabitkan nilai cukai RM1.3 juta.


"Dalam operasi pada 9 Disember lalu, jam 11 pagi, sepasukan anggota KDRM membuat serbuan ke sebuah gudang di Jalan Telok Kapas, Rantau Panjang kerana premis terbabit disyaki digunakan untuk menyimpan barang belum lulus kastam.

"Hasil serbuan, kami menemui dua kontena bermuatan minuman keras berjenama Kingfisher dan Bavaria serta rokok putih berjenama Cordon yang keseluruhan berjumlah 1,536 kotak minuman keras berserta 9,800 kartun rokok putih," katanya pada sidang media di sini, semalam.


Sementara itu, pihaknya menumpaskan satu lagi kegiatan sama di Balakong dalam tempoh beberapa jam selepas tangkapan pertama dibuat.


"Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, kami merampas sebuah lori yang dipercayai bermuatan minuman keras untuk dihantar ke Pelabuhan Barat bagi tujuan eksport.

"Selepas intipan, kami mengekori suspek sehingga tiba di sebuah gudang dan menemui empat lori lagi termasuk lori yang dijejaki. Semua lori itu dipercayai digunakan untuk memindahkan barang belum lulus kastam. "Semua lori itu disita bersama barang yang belum lulus kastam bernilai RM92,193 dengan nilai cukai RM119,262 dan tiada tangkapan dibuat kerana suspek meloloskan diri melalui sebuah lubang selepas menyedari kehadiran anggota kami," katanya.


Azis berkata, dalam tangkapan ketiga di Jalan Kurau, Pelabuhan Utara pula, seorang lelaki ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen kastam dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

"Suspek membawa sebuah lori dengan muatan 1,920 kotak minuman keras berjenama Hollandia bernilai RM119,999 membabitkan nilai cukai RM450,124," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Terjun tingkat tiga angkara hutang

Posted: 12 Dec 2011 10:00 AM PST

KUALA LUMPUR: Akibat tidak mampu membayar balik pinjaman daripada 11 ceti haram atau along lebih RM22,000 sejak setahun lalu, seorang lelaki membahayakan nyawanya selepas terjun dari tingkat tiga rumahnya.

Menurut bapa yang mahu dikenali sebagai Liew, 69, anaknya sudah tiga kali meminjam dengan along apabila kali pertama membuat pinjaman RM10,000, manakala kali kedua, RM5,000 dan kali terakhir RM7,000.


"Selepas tidak mampu membayar balik hutang along terbabit, dia terjun dari tingkat tiga rumah, namun nasib menyebelahinya apabila hanya cedera ringan di tangan.

"Saya dan isteri yang kasihan dengannya membantu dia melangsaikan segala hutangnya dengan semua along terbabit," katanya yang membuat aduan kepada Jabatan Pengaduan Awam MCA.


Sementara itu, Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya sudah banyak menerima aduan berkaitan kes along dan kerap memberi amaran kepada orang ramai.


"Tahun lalu, kami menerima 302 kes dengan jumlah pinjaman RM29 juta manakala tahun ini, kami sudah menerima 409 aduan membabitkan jumlah pinjaman RM25 juta.

"Saya beri amaran kepada semua peminjam yang degil supaya bertanggungjawab terhadap tindakan mereka dan jangan menyusahkan orang lain terutama keluarga," katanya.


Menurutnya, terdapat peminjam yang menipu ahli keluarga mereka dengan merancang penculikan diri sendiri bagi membolehkan mereka meminta wang tebusan kepada ahli keluarga.

"Terdapat satu kes dengan si suami menculik diri sendiri selepas tiga kali meminjam dengan along dan menuntut wang tebusan daripada isterinya RM200,000," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Terkulai dibelit tali keledar

Posted: 12 Dec 2011 10:37 AM PST

KUALA PILAH: "Sebaik terjun dan menyelam ke dasar kolam, saya melihat seorang wanita terkulai di tempat duduk penumpang belakang dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan badan terbelit tali pinggang keledar," kata seorang saksi kemalangan maut di Kilometer 24, Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kampung Gedang, di sini, semalam.

Saksi berkenaan, Mikail Malik, 15, berkata dia dan rakannya, Mohd Izzat Mohd Nizar, 16, yang berada di tempat kejadian terjun ke dalam kolam memancing itu bagi menyelamatkan mangsa sejurus kemalangan.


"Ketika kejadian, saya bersama Izzat dalam perjalanan ke Ampangan, Seremban, sebelum ternampak sebuah kereta menjunam laju ke dalam kolam berkenaan. "Saya cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun gagal kerana badan wanita itu tersekat pada tali pinggang keledar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Suzimah Shuhaimi, 28, dari Batu Caves, Selangor, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas selepas badannya terbelit tali pinggang keledar.


Kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Pilah menghala Seremban cuba memotong treler di depannya, namun gagal selepas tiba-tiba sebuah bas henti-henti berada di laluan bertentangan.


Suzimah cuba masuk semula ke laluannya, namun kenderaannya bergesel dengan treler yang cuba dipotong menyebabkan keretanya terbalik beberapa kali sebelum terjunam dalam kolam berkenaan yang terletak di kiri jalan.

Menurut Mikail, dia meminta bantuan pemandu lori yang melalui kawasan itu untuk menarik kereta berkenaan, namun gagal kerana kereta itu terbenam dalam lumpur.


"Saya terkilan kerana lambat terjun dalam kolam itu untuk menyelamatkannya, jika tidak mungkin wanita itu masih hidup," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, wanita terbabit yang memandu berseorangan dari Kuala Pilah ke Seremban, di sini, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Selangor berdasarkan penemuan dua beg pakaian dalam kereta itu.


Katanya, setiba di tempat kejadian berhampiran sebuah kolam, kereta mangsa cuba memotong treler yang membawa batu, namun gagal kerana ketika itu, sebuah bas henti-henti datang dari arah bertentangan.


"Mangsa cuba memasuki laluannya semula, namun bergesel dengan bahagian depan kanan treler berkenaan menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum keretanya terjunam dalam kolam.


"Keadaan kolam yang dalam menyebabkan orang ramai tidak dapat membantu membawa keluar mangsa dipercayai lemas," katanya.


Menurutnya, mangsa dipercayai mati akibat lemas selepas gagal keluar dipercayai kerana badannya terbelit tali pinggang keledar tempat duduk belakang.


"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah," katanya.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Pilah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Full content generated by Get Full RSS.

Rekrut dua isteri

Posted: 12 Dec 2011 10:33 AM PST

SERI ISKANDAR: Seorang suami sepatutnya menjadi contoh kepada dua isterinya yang bermadu, tetapi bertindak sebaliknya apabila didapati melatih dan menurunkan 'ilmu' mencuri kepada kedua-dua wanita terbabit untuk bergiat sebagai penjenayah profesional.

Suspek berusia 25 yang juga seorang mekanik dikesan mengajar kedua-dua isterinya berusia 20-an mengenai cara memecah masuk kenderaan sebelum melarikan barang berharga terutama komputer riba ditinggalkan mangsa dalam kenderaan.

Lebih memeranjatkan apabila suspek turut mengajar seorang anak lelakinya berusia lima tahun sebagai 'tonto' bagi mengawasi keadaan sekitar ketika bapa serta ibu dan ibu tirinya melakukan jenayah pecah kereta.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman ketika mengumumkan pihaknya membongkar kegiatan pasangan suami isteri terbabit di sekitar daerah ini sejak enam bulan lalu.


Menurutnya, suspek dikesan melatih kedua-dua isterinya untuk melakukan jenayah kerana terdesak untuk membayar hutang ceti haram berjumlah ribuan ringgit.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Formula Richard Marx

Posted: 12 Dec 2011 07:10 AM PST

ANJAKAN drastik muzik hari ini adalah satu senario yang sukar dinafikan. Mengikut selera pendengar lengkap dengan kemajuan teknologi, perubahan yang berlaku menandakan wujudnya perkembangan positif.

Tidak hanya menghimpit hampir keseluruhan industri muzik baik tempatan mahupun antarabangsa, malah penyanyi dan penghibur adalah individu yang terpaksa beralah dengan perubahan itu.

Komposer dan penyanyi antarabangsa terkenal, Richard Marx tidak terkecuali terkesan daripada situasi yang sama.

Membina kerjaya dengan empayar identiti muzik balada dan pop rock dengan deretan lirik romantis yang sememangnya sudah sinonim dengan Marx.


Bagaimanapun, merentasi usia pembabitannya yang bakal menjengah tiga dekad, penghibur yang popular menerusi lagu Right Here Waiting serta Now And Forever, akur bahawa muziknya harus diberi suntikan kontemporari agar kekal relevan.


Marx menerusi beberapa kenyataan media baru-baru ini, berkongsi formula dan strategi bagi meneruskan kelangsungan perjuangan muziknya.

"Hampir 30 tahun berdiri sebagai penyanyi, saya sudah puas melalui pelbagai fasa muzik dan pengaruh yang berbeza baik pada aspek muzik, susunan melodi mahupun coretan lirik pada lagu. Saya melihat perubahan itu dari perspektif positif lantaran industri muzik kini berkembang dengan baik.

"Justeru, sebagai seorang penyanyi dan komposer, saya perlu melakukan kelainan dalam penciptaan muzik saya. Pendengar dan peminat memang setia dengan apa yang diberikan kerana itulah identiti saya sejak dulu. Namun saya perlu ingat perubahan juga perlu dalam usaha memancing peminat baru khususnya mereka yang muda dan moden.

"Lantas saya sendiri cuba melakukan eksperimen dengan mewarnakan susunan melodi itu dengan muzik yang lebih segar dan kontemporari agar selari dengan permintaan hari ini. Itu satu usaha yang harus dilakukan dan bukannya bimbang akan perjuangan sendiri.

"Buktinya, lagu terbaru saya berjudul When You Loved Me adalah satu eksperimen muzik yang saya usahakan. Ia diberi nafas moden dengan garapan muzik yang ternyata jauh berbeza dengan rangkaian lagu terdahulu. Malah peminat memberikan reaksi positif dan menyukai apa yang saya lakukan," jelasnya yang mengakui turut memiliki akaun twitter mengikut arus perubahan bagi mendekati peminatnya.

When You Loved Me sempat diperdengarkan kepada lebih 5,000 peminatnya, malam kelmarin dalam konsert eksklusifnya, An Acoustic Evening With Richard Marx yang melengkapkan siri penjelajahan penyanyi terkenal itu di Asia bagi mempromosikan album himpunan lagu hit terbarunya, Stories To Tell yang baru dipasarkan di Amerika Syarikat, Mac lalu.

Penghibur kelahiran Chicago berusia 48 tahun itu sempat berseloroh mengenai perubahan muzik yang meninggalkan impak kepada muziknya di konsert yang dibawakan Splendid Entertainment itu.

"When You Loved Me diputarkan di radio dan kemudian lagu Lady Gaga pula dimainkan sedangkan jika dulu, pasti lagu saya akan diputarkan bersama kumpulan The Carpenters. Ia memang membuatkan saya ketawa dan terfikir betapa cepat keadaan berubah.

"Namun tetap gembira kerana lagu itu masih mampu menyelit di antara bintang muda yang mencetuskan fenomena hari ini," katanya mengusik penonton.

Malah penyanyi yang sudah banyak kali menempa nama pada majlis penganugerahan antarabangsa ini turut menyuntik kelainan dalam album terbarunya yang akan dipasarkan tahun depan.

"Kejutannya apabila saya membuat kolaborasi bersama vokalis kumpulan Vertical Horizon yang juga teman baik, Matt Scannell menerusi lagi terbaru, Save Me. Ia diadun dengan elemen muzik rock kontemporari dan gerak nyanyian yang berbeza.

"Malah saya turut mengajak ketiga-tiga anak saya yang dinamakan Marx Brothers iaitu Brandon, Lucas dan Jesse untuk mengiringi saya dalam lagu itu. Mereka punya bakat dalam bermain alat muzik dan menyanyi seperti saya.

"Pertama kali ia dilakukan dan saya begitu yakin dengan eksperimen hebat ini. Sengaja saya ketengahkan mereka untuk menghidupkan lagi suasana segar dan moden," katanya yang tampil berbeza apabila menyampaikan lagu Save Me berlatarkan video rakaman persembahannya bersama Marx Brothers, malam kelmarin.

Meneliti profil si empunya vokal memukau ini dengan segala anugerah dan pengiktirafan, terlintas pula persoalan adakah perubahan muzik yang berlaku hari ini memberikan kesan peribadi atau mengusik semangatnya untuk terus mempertahankan pengaruh sebagai bintang senior.

Namun jelasnya optimis, itu adalah hakikat yang harus ditempuh tanpa perlu ada rasa kecewa atau putus asa.

"Perubahan zaman dengan kemajuan teknologi memang meninggalkan kesan positif dan negatif. Ia membangunkan taraf industri dengan pelbagai kelainan yang diberi namun membuatkan peminat muzik kurang menghargai karya seseorang penyanyi.

"Mereka mudah mendapatkan muzik atau lagu yang menjadi kegemaran dengan hanya memuat turun dari Internet tanpa perlu membeli album. Ia adalah satu proses pembentukan industri yang baru.

"Malah anak-anak saya sendiri tidak lagi teruja untuk membeli album tidak seperti zaman saya dulu yang sanggup beratur panjang di kedai muzik bagi mendapatkan album artis kegemaran.

"Situasi sudah berubah dan saya sebagai pemainnya harus melihat senario itu sebagai satu perkembangan yang perlu untuk masa depan," jelasnya yang kini tampil dengan lagu terbaru sentuhannya nyanyian Keith Urban berjudul Long Hot Summer.

Harapannya agar lagu, karya dan kehadirannya akan terus dipandang tanpa perlu skeptikal kononnya Richard Marx penyanyi lama yang sudah jauh ketinggalan.

PROFIL

Nama penuh: Richard Noel Marx
Tarikh lahir: 16 September 1963
Umur: 48 tahun
Tempat lahir: Chicago, Illinois, Amerika Syarikat
Keluarga: Anak tunggal
Status: Berkahwin dengan pelakon, penari dan penyanyi, Cynthia Rhodes pada 8 Januari 1989
Anak: Brandon, 21 tahun, Lucas, 19 tahun dan Jesse, 17 tahun
Album: Richard Marx, Repeat Offender, Rush Street, Paid Vacation, Flesh and Bone, Days in Avalon, My Own Best Enemy, Duo, Emotional Remains, Sundown, Stories to Tell dan The Christmas EP
Pencapaian: Penjualan Album Kontemperari Paling Laris di Anugerah BillBoard Muzik 1992, Lagu Antarabangsa Terbaik (Hazard) di Anugerah Muzik Australia 1994, Lagu Terbaik di Anugerah Grammy 2004 menerusi lagu Dance With My Father, platinum untuk beberapa album dan pengiktirafan lagu terbaik menerusi lagu ciptaannya.

Full content generated by Get Full RSS.

Keunggulan Waktu

Posted: 12 Dec 2011 06:09 AM PST

SUATU kenangan terindah yang sememangnya tidak diduga komposer bukan Melayu, Alfred Teo Choon Hua. Siapa sangka lagunya berjudul Waktu nyanyian Sabhi Saddi akhirnya dinobatkan sebagai juara AmBank - RTM Cipta Lagu 2011 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 dalam pertandingan yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam minggu lalu.

Paling menarik, lirik asalnya dihasilkan dalam bahasa Cina dan terpaksa melalui proses sukar bagi diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Namun tuah ternyata milik jejaka berasal dari Johor ini apabila mengungguli pertandingan yang julung kalinya diadakan dengan menewaskan 11 peserta lain dalam pertandingan yang turut mendapat kerjasama penaja Kopstar, Erama TV, MACP, Nora Kay Beauty Sdn Bhd, Nova Music Sdn Bhd dan Double U Network Sdn Bhd.

"Lagu ini dihasilkan ketika saya kecewa dengan karier seni dan mungkin menjadi karya akhir saya. Untuk mengalih liriknya kepada bahasa Melayu, saya merujuk kepada kamus kerana kurang mahir berbahasa Melayu. Akhirnya, barulah saya minta rakan bangsa Melayu semak semula samaada penggunaan ayatnya betul atau tidak.

"Kemenangan ini memberikan semangat buat saya untuk terus menghasilkan lagu lagi. Saya tertarik dengan vokal mantap Sabhi dan akan serahkan lagu ini kepadanya. Malah saya mahu teruskan kerjasama dengan dia dan bercadang untuk tukar lirik lagu nyanyiannya, Nadiku kepada bahasa Cina pula," kata Alfred yang pernah menghasilkan album dengan sebuah kumpulan indie dalam bahasa Cina.


Sabhi pula mengakui sukar menghayati demo lagu yang diberikan dalam bahasa Cina. Bagaimanapun, itu bukan penghalang kerana dia lebih tertarik dengan melodi Waktu yang sangat indah.


"Saya senang dengan melodinya walaupun sukar menghayati maksudnya. Selepas dapat lirik saya buat latihan intensif dibawah perhatian Alfred. Kami hanya ada masa kurang seminggu untuk buat persiapan. Saya amat fokus menyanyi kerana lagu ini sukar disampaikan selain terpaksa beri tumpuan pada liriknya. Alhamdulillah usaha ini akhirnya membuahkan kejayaan," katanya.

Tempat kedua diraih oleh komposer terkenal Raizan Zainal Abidin atau Neves Pretty Ugly bersama penulis lirik Ismail Mohd Shariff menerusi lagu Dirimu Terunggul nyanyian Mohd Farouk Jayfiena Ermand atau Feroq. Gandingan ini membawa pulang wang tunai RM 25,000.

"Lagu ini dihasilkan pada 201O selepas saya menonton sebuah filem Perancis. Saya betul-betul teringin nak cipta lagu selepas menonton filem ini dan segera capai gitar. Apabila 'feel' datang saya berjaya hasilkan melodinya dalam masa dua hingga tiga jam. Saya bayangkan penyanyinya ialah Feroq kerana pernah berjumpa dia ketika bergelar peserta Mystarz LG.

"Ini kali pertama saya masuk pertandingan begini dan meraih kejayaan. Memang saya terkejut dengan juri awam yang memberi markah terendah sebanyak 10 peratus. Terbukti penilaian mereka salah kerana kayu ukur mereka tak sama dengan juri profesional. Saya sifatkan mereka ada masalah pendengaran.

"Selepas dapat markah yang rendah, saya kuatkan semangat. Tambah pula, rakan di luar yang menyaksikan persembahan Feroq turut beri semangat kepada saya. Tak sangka saya akhirnya berjaya dapat naib juara dan jantung terasa seakan nak gugur apabila dengar keputusan ini diumumkan," kata Neves.

Ismail pula menambah, memandangkan lagu ini berentak pop biasa, dia hanya menulis menggunakan ayat yang biasa dan tidak mempunyai dua maksud sehingga mengelirukan pendengar.

Tempat ketiga dimenangi komposer terkenal, Salman Shariff menerusi lagu Bingkisan Dari Hati nyanyian One Nation Emcees. Dia menerima wang tunai 15,000.

"Sedikit sebanyak saya dapat jangkakan kemenangan ini. Memang ada rasa saya akan dapat tempat. Ini sebuah lagu lama dan berusia 15 tahun. Untuk masuk pertandingan ini, saya buat sedikit perubahan kerana konsep pertandingan ini kena ada elemen etnik, moden dan remaja. Konsep lagu ini sebenarnya dicipta untuk penyanyi yang matang seperti Anita Sarawak. Itulah sebabnya saya pilih ONE menyampaikannya," katanya mengakui kemenangan ini membawanya masuk semula dalam penciptaan lagu komersial selepas lama berehat.

Pertandingan ini dinilai juri iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Wah Idris, Datuk M Nasir, Datuk Freddie Fernandez, Adnan Abu Hassan dan Patrick Terbrack (Amerika Syarikat). Mereka diketuai Datuk Mokhzani Ismail sebagai pengerusi juri.

"Kami menilai sesebuah lagu dengan memberi markah 40 peratus untuk melodi, 30 peratus untuk lirik dan potensi serta peluang sebanyak 15 peratus. Kami perlu pastikan lagu itu ada potensi besar untuk dijual dan diketengahkan nanti. Memang susah menilai kerana setiap orang ada citarasa sendiri. Malah semua lagu yang bertanding juga hebat," kata Mokhzani.

Peserta lain yang bertanding ialah Khairul Nizam Baharom/ Azura Hashim Kamal (Lali Lala nyanyian Khairul Nizam Baharom), Vijayanathan Dhaharasen (Lets Our Hands Merged nyanyian Vijayanathan Dhaharasen), Sharnaz Saberi (Satu Malaysia nyanyian Dewi Liana Seriestha), Jimmy Fong Chin Chew (December Skies nyanyian Jimmy Fong Chin Chew), Syed Hanafi Syed Abdullah/ Rabi'ahtuladawiyah Mohd Saleh (Limpahi Aku Keampunan nyanyian Azizul Hakim), Mohd Adam Masumi/ Delynne Hashim (Can I Be The One nyanyian Amirul), Ismail Datuk Dr Ahmad Nawab/ Norhayati Abdullah (Kau Tetap Kekasihku nyanyian Alwani dan Nora), Loo See Luan (Through Your Eyes nyanyian Sheila Abdul) dan Ezra Ily Gabu (Kau Bukan Untuk Ku nyanyian Ezra Ily Gabu). Mereka menerima hadiah saguhati wang tunai RM4,000.

Hadiah disampaikan Pengerusi, Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim diiringi Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D' Cruz serta Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail.

Pertandingan yang dikendalikan Linda Onn dan Muaz ini mendapat sambutan hangat apabila menarik perhatian ramai penonton. Mereka dihiburkan persembahan bertenaga Bob menerusi lagu Namun Ku Punya Hati, M Nasir menerusi lagu Mantera Semerah Padi, Wah Idris dengan lagu Standing In The Eyes Of The World dan jenaka daripada Saiful Apek.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Peon miliki harta berjuta

Posted: 12 Dec 2011 09:04 AM PST

NEW DELHI: Seorang pekerja sebuah majlis kerajaan tempatan yang berpendapatan hanya RM250 sebulan ditangkap atas tuduhan rasuah semalam selepas polis mendapati dia secara sulit mengumpul harta yang banyak.

Narendra Deshmukh, 53, bekerja sebagai peon sejak 31 tahun lalu. Tetapi selepas beberapa aduan, polis menyerbu kediamannya dan mendapati dia jutawan yang memiliki empayar perniagaan dan hartanah serta sejumlah besar simpanan emas dan permata. Detektif berkata, sepanjang 31 tahun bekerja dengan Perbadanan Majlis Perbadanan Ujjain sebagai peon, Narendra secara rasminya hanya menerima pendapatan tidak melebihi RM95,000.


Bagaimanapun, polis yang menyerbu rumahnya menemui bukti dia memiliki hartanah bernilai lebih RM2.5 juta, rangkaian perniagaan, termasuk sebuah ladang, kedai menjual daging dan perniagaan memproses ayam bernilai kira-kira RM1 juta.

Mereka juga menemui resit simpanan untuk RM150,000, barangan elektronik bernilai puluhan ribu ringgit, barangan kemas bernilai RM15,000 dan 20 akaun bank yang belum disiasat.


Ketika polis tiba di rumah Narendra di Goverdhan Dham, mereka melihat anggota keluarganya cuba membuang barangan kemas dan wang tunai dengan mencampakkannya ke laman jiran.


Detektif percaya, sepanjang menjadi peon, Narendra bersubahat dengan pegawai kanan yang mereka syaki terbabit dalam kegiatan rasuah lebih besar.

Rasuah di kalangan kakitangan kerajaan India berlaku secara berleluasa dan sudah menjadi perkara biasa bagi pekerja di pelbagai peringkat berkongsi wang suapan itu.


Bagaimanapun, polis terkejut dengan kekayaan melampau Narendra.

Timbalan Superintendan Polis Madya Pradesh, OP Sagoria berkata: "Sejumlah besar hartanya sudah dinilai. Peti simpanan banknya juga akan diperiksa. Kami juga akan menghantar pegawai ke Mumbai, Jalgaon dan Gurgaon untuk menyiasat secara terperinci kekayaannya." - Agensi

Full content generated by Get Full RSS.

Lelaki cuba jual panda yang diawet ditangkap

Posted: 12 Dec 2011 09:01 AM PST

TOKYO: Polis menahan seorang lelaki yang dituduh cuba menjual seekor panda gergasi yang sudah diawet kepada pelancong China dengan harga tiga juta yen (RM124,000).

Pengusaha restoran di Tokyo, Shang Erqiang yang berasal dari China, ditangkap beberapa hari lalu.


Menurut laporan, haiwan itu memiliki "80 peratus ciri panda gergasi" kerana kepala dan telinganya kelihatan seperti milik haiwan lain, mungkin satu lagi jenis beruang.

Rakaman televisyen menunjukkan haiwan yang sudah diawet itu dipamerkan dalam sangkar kaca yang dihiasi buluh.


Undang-undang Jepun melindungi perdagangan haiwan yang semakin pupus dan mengenakan hukuman denda serta penjara terhadap pesalah.


Panda amat dihormati di China dan Beijing sering menggunakan beruang itu sebagai hadiah diplomatik kepada negara luar.

Hanya 1,600 haiwan berkenaan masih hidup di kawasan hutan di China sementara kira-kira 300 lagi dikurung. - AP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Iskandar terkilan

Posted: 12 Dec 2011 09:27 AM PST

KEHADIRANNYA dinantikan, pengundurannya mendapat penghinaan. Itulah gambaran tepat dilalui Dr Iskandar Abdullah yang diminta meletak jawatan sebagai Pengurus Besar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) oleh Timbalan Presiden, Datuk Karim Ibrahim.

Apa tidaknya, Karim yang pada mulanya bersungguh-sungguh memujuk Iskandar memegang jawatan itu sejak Ogos lalu namun selepas tiga bulan, Iskandar terpaksa melepaskannya atas permintaan orang nombor dua KOM itu.


Yang menyedihkan ialah Iskandar langsung tidak diberi masa untuk membuat keputusan, sebaliknya dia terus diminta meletak jawatan yang dinyatakan dalam sepucuk surat tulisan tangan berkuat kuasa 31 Disember ini ketika bertemu Karim di sebuah kedai kopi di Butterworth, minggu lalu iaitu sebelum bermulanya mesyuarat ahli majlis KOM di Kangar Perlis, Sabtu lalu.

Alasan Karim pada pertemuan itu, Iskandar tidak mampu memikul tugas sebagai Pengurus Besar KOM dan untuk itu, beliau memintanya untuk mengundurkan diri.


"Saya terus tulis surat ketika itu juga dengan alasan peribadi. Saya akur kerana mungkin memang tidak boleh ikut rentak kerja Timbalan Presiden," katanya pada sidang media semalam.


Namun dia amat terkilan kerana pengundurannya itu berlaku hanya di sebuah kedai kopi dan terpaksa terus menulis surat menerusi tulisan tangan selepas langsung tidak diberi peluang untuk berfikir mengenainya.

"Ya, saya memang ada rasa terkilan, apalagi surat yang ditulis hanya menggunakan tulisan tangan. Saya malu kerana KOM adalah satu organisasi yang hebat," katanya yang menyerahkan surat itu kepada Karim sebelum diserahkan kepada Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.


Iskandar mendedahkan keretakan hubungannya dengan Karim bermula di Sukan Sea Indonesia lalu apabila mereka berdua tidak sependapat dalam membuat beberapa keputusan.

"Sebelum itu, kami sangat akrab. Karim adalah individu yang memujuk saya menggalas tugas sebagai Pengurus Besar. Dua kali dia pujuk, barulah saya terima jawatan ini.


"Tetapi pada Sukan Sea lalu, hubungan kami mula renggang kerana ada percanggahan pendapat antara kami berdua terutama soal penghantaran dan pengurusan atlet," katanya yang enggan mendedahkan lebih lanjut perkara itu.


Iskandar turut tidak bersetuju dengan pendapat Karim sebelum ini yang mahu memutuskan hubungan antara KOM dengan MSN.


"MSN adalah badan kerajaan yang membantu bidang sukan. KOM tidak boleh memutuskan hubungan dengan mereka," katanya.


Ditanya adakah beliau sedia memikul semula tugas itu andai dipanggil semula oleh KOM, jawab Iskandar: "Terpulang kepada Presiden, jika beliau mahukan saya semula, saya sedia pada bila-bila masa."

Full content generated by Get Full RSS.

ATM idam Liga Super

Posted: 12 Dec 2011 09:25 AM PST

DUA pemain import Angkatan Tentera (ATM) yang akan beraksi pada saingan Liga Perdana 2012 berazam memberikan sepenuh tenaga untuk membantu pasukan ke Liga Super musim 2013.

Marlon Alex James, 35 dari St Vincent dan Bruno Sebastian Martelotto, 29 dari Argentina bukan asing dalam bola Liga M.


James pernah bermain untuk Kedah dan membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia pada 2007 dan Martelotto pula mewakili Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), kelab pertama bergelar juara pada 2003.

Kedua-duanya berkata, pengalaman itu akan digunakan untuk membantu ATM muncul juara dan sekali gus layak ke Liga Super.


Mereka berkata demikian pada sidang media di Putrajaya di samping pelancaran laman web pasukan.


Kedua-dua pemain import itu antara 26 pemain yang disenaraikan ATM untuk musim 2012 dan diperkenal Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang mahu menebus kehampaan ATM musim 2010 dan 2011 turut mengumumkan senarai pemain, termasuk lapan bintang Liga Super musim 2011 seperti Aidil Zafuan Radzak dan adik kembarnya, Zaquan Adha Radzak, Hairuddin Omar, Irwan Fadzli Idrus, Farizul Harun (Negeri Sembilan) Azmi Muslim dari Kedah, Rezal Zambery Yahya (Johor FC) dan Danial Fazly Abdullah (Kelantan) yang akan memikul cabaran pasukan.


Selain itu lima muka baru, penjaring terbanyak Liga Perdana 2011, Fitri Omar dari MP Muar, Christee Jayaseelan (PKNS), A Varathan (Sime Darby) serta dua pemain negara pada Sukan Universiti Dunia 2011 di Shenzen, K Reuben (UKM) dan Amiridzwan Taj Tajudin (UiTM) turut tersenarai.

Hanya tiga pemain dari musim 2011, Rosaiful Nizam Omar, Hardy Cherls Parsi dan Yusaini Hafiz Che Saad dikekalkan.


ATM turut mengekalkan lapan pemain dari kalangan anggota tentera antaranya Suhaimi Ishak, Nazri Akui Venice Elphi Danny Kaya, Mohamad Alif Mohd Daud, Muhamad Aizuddin Ismail, Mohamad Hafizuddin Azuhar, Abdul Rashid Mahmud dan Mohamad Rahmad Ahmad.


Ahmad Zahid berkata, beliau tidak sesekali berputus asa menghasilkan sebuah skuad mantap untuk merealisasikan misi layak ke saingan Liga Super.


"Berdasarkan kehadiran pemain dari Liga Super dan dua pemain import berpengalaman, saya yakin ATM mampu menduduki dua tangga teratas Liga Perdana 2012 dan layak ke Liga Super 2013," katanya.


Sementara itu, jurulatih, B Sathianatan yakin dengan barisan dimilikinya untuk memastikan pasukan benar-benar menggegar.


"Kita akan terbang ka Myanmar esok (hari ini) untuk tiga aksi persahabatan dengan kelab di sana dalam usaha membentuk pasukan mantap dan balik ke negara ini pada 22 Disember," katanya.


Selepas itu pasukan akan mengadakan perlawanan dengan pasukan dari Seberang Tambak Johor, pasukan Lions XII.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved