Jumaat, 7 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pakaian untuk semua golongan

Posted: 07 Sep 2012 07:11 AM PDT

SEMEMANGNYA setiap helaian H&M direka untuk semua golongan. Tidak hanya fokus kepada fesyen wanita, H&M membahagikan rekaannya kepada beberapa himpunan yang ada sebahagiannya boleh didapati di Malaysia.

Wanita
Menampilkan helaian daripada trend terkini, klasik dan santai. H&M turut menyediakan koleksi khusus untuk wanita hamil serta bertubuh gempal.


Lelaki
Sama seperti himpunan wanita, kebanyakan koleksi bagi lelaki nyata memenuhi cita rasa si jejaka - daripada gaya santai hinggalah elegan.


Kanak-kanak

Direka untuk bayi hingga remaja berusia 14 tahun. Gayanya menonjol dengan rona ceria.

Divided
Himpunan ini memberi tumpuan kepada golongan wanita dan lelaki muda yang gemarkan gaya santai, tapi pada masa sama, ingin tampil lebih lasak dan chic.

Aksesori
Tidak lengkap berfesyen tanpa mengenakan aksesori. H&M menyediakan pelbagai pilihan untuk lelaki dan wanita antaranya kasut, beg tangan, topi, selendang, rantai, subang dan tali pinggang.

Pakaian Dalam
Antara helaian perlu ada dalam simpanan, koleksi pakaian dalam H&M menyerlahkan rekaan glamor tapi selesa dan lembut dipakai.

Kosmetik
H&M amat mementingkan gaya keseluruhan, justeru kepelbagaian rangkaian kosmetiknya seperti gincu, pembayang mata dan pengilat kuku pasti menarik perhatian sang fashionista.

H&M Home
Pelbagai produk dekorasi rumah boleh didapati dalam himpunan ini, namun ia hanya dijual di butik H&M terpilih seperti di Stockholm, Amsterdam, Helsinki, Frankfurt dan London.

Label lain
Cheap Monday, Monki, Weekday dan COS adalah antara label persendirian yang bernaung di bawah H&M. Namun, jenama ini tidak dijual di butik H&M, sebaliknya boleh didapati di butik khas atas nama jenama terbabit serta beberapa butik variasi seperti American Apparel.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Anggun dengan perhiasan mewah

Posted: 07 Sep 2012 06:26 AM PDT

BARANG kemas sememangnya sinonim dengan wanita dan setiap koleksi rangkaian perhiasan berharga sering menarik perhatian wanita untuk mencuba dan digayakan pada majlis keraian.

Bagi memberi lebih banyak pilihan untuk wanita yang gemarkan barang kemas mewah, koleksi eksklusif daripada jenama Amee Philips bertemakan Glamour in Gstaad iaitu koleksi kedua di bawah Zang Toi Precious Jewels dilancarkan, baru-baru ini.

Koleksi terbabit juga adalah rentetan daripada pertunjukan barang kemas Amee Philips pada Minggu Pertunjukan Fesyen Musim Luruh New York 2012 awal tahun ini yang turut membabitkan Zang Toi.

Meminjam inspirasi Zang Toi mengenai Gstaad iaitu sebuah bandar di Switzerland, Amee mengolah perhiasan mewah itu ke dalam bentuk barang kemas sedia dipakai.


Penciptaan koleksi itu diolah berdasarkan penampilan golongan lelaki dan wanita di Gstaad yang bijak berfesyen dengan kebanyakan mereka memiliki paras rupa yang menarik.


Amee mula menghasilkan perhiasan mewah berkenaan selepas rekaan Zang Toi yang ingin dipentaskan ditetapkan.

Katanya, permata bermutu tinggi kian sukar ditemui, sekali gus menjadikannya pelaburan yang menguntungkan bagi individu yang tahu menghargai nilai yang ada pada batu berharga itu.

"Glamour in Gstaad adalah koleksi barang kemas yang lahir daripada gabungan batu permata mewah yang dipilih sendiri oleh saya dan jarang ditemui," katanya.

Menurut Zang Toi yang hadir pada pelancaran koleksi baru itu, Gstaad ialah sebuah bandar yang penuh dengan unsur glamor dan gaya menawan.

Katanya, ia mengenai glamor dan pakaian yang cantik untuk wanita jelita yang berani dan tidak berasa bimbang sekiranya diperhatikan.

"Saya memerlukan perubahan besar selepas koleksi eksotik musim lalu dan berjaya mendapat ilham daripada Gstaad. Ia bermula dengan palet warna yang bersih dan mencuri tumpuan menerusi putih musim sejuk kerana pada saya, tiada yang lebih mewah daripada menyarungkan warna putih untuk musim sejuk," katanya.

Koleksi barang kemas itu terdiri daripada rantai, anting-anting, kerongsang dan rantai tangan dengan semuanya direka dalam emas putih serta diperindahkan dengan berlian 18 karat yang digabungkan bersama permata indah seperti ibu mutiara, batu delima dan rubelite.

Amee berkata, beliau hanya memilih batu permata terbaik bagi memuaskan hati pelanggan yang membeli barang kemas daripada koleksi eksklusif yang dihasilkannya.

"Koleksi kali ini tidak hanya menjadi simbol gaya dan fesyen, malah ia boleh dijadikan warisan keluarga yang diperturunkan daripada generasi ke generasi.

"Fokus koleksi ini terletak pada permata dan saya memilih permata seperti kunzite, batu delima, ibu mutiara serta berlian bagi mewujudkan elemen kontra terhadap rekaan Zang Toi yang menatakan warna terang.

"Ia dengan mudah menyerlahkan rona semula jadi putih gading dan hitam bersama warna batu delima yang berkilau serta sengaja direka lebih besar di pentas bagi memberi penegasan. Untuk jualan kepada orang ramai pula, saya menyediakannya dalam skala lebih kecil supaya sesuai dipakai," katanya.

Amee Philips mengukir namanya sebagai pakar dalam bidang batu permata membabitkan barang kemas buatan khas, eksklusif dan tersendiri.

Rekaan versatil beliau iaitu V-Clip merevolusikan cara barang kemas dipakai dan memberi wanita kepelbagaian bagi menukar gaya aksesori mewah mereka mengikut kesesuaian acara.

Jenama beliau juga pernah menerima Anugerah Rekaan Terbaik Malaysia dan turut dipatenkan di Malaysia, Amerika Syarikat, Eropah, Australia, China dan Hong Kong.

Kehebatan Amee Philips bekerja dengan barang kemas menangkap minat Zang Toi yang mengagumi semangat wanita itu. Peluang untuk bertemu Amee Philips seterusnya mencipta pelbagai kerjasama bermula dengan Koleksi 1,001 Permata Berharga Zang Toi untuk persembahannya di New York, tahun ini.

Barang kemas edisi terhad koleksi Glamour in Gstaad diletakkan pada harga antara RM30,000 sehingga RM200,000. Ia mempunyai butik di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dan Jalan Kelawei, Georgetown, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Bakar musuh perniagaan

Posted: 06 Sep 2012 03:19 PM PDT

KUALA LUMPUR: Angkara berebut kawasan letak kereta, seorang lelaki bertindak kejam dengan menyimbah petrol dan membakar musuh perniagaannya hidup-hidup di sebuah tempat letak kereta berhampiran sebuah hotel di Cheras, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun terbabit terbakar seluruh badan dan dia yang masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu berada dalam keadaan kritikal. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek dan mangsa berselisih faham mengenai kawasan tempat letak kereta yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.


Menurutnya, ketika kejadian mangsa berada dalam kabin di tempat letak kereta itu seorang diri sebelum didatangi suspek untuk berunding mengenai hal sama dan akibat tidak mendapat persetujuan daripada mangsa untuk melepaskan tempat letak kereta yang dijaganya itu, suspek naik angin dengannya.

"Suspek bertindak agresif dengan menyimbah petrol ke atas mangsa dan membakarnya hidup-hidup. Lelaki terbabit turut membaling dua botol kaca bersumbu ke dalam kabin di tempat letak kereta itu," katanya.


Susulan itu, katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai yang nampak mangsa dalam keadaan terbakar sebelum pasukan peronda polis dari Balai Polis Cheras bergegas ke tempat kejadian.


Beliau berkata, selepas tiba di lokasi, pihaknya menemui mangsa terbaring dengan kesan melecur seluruh badan dan dikejarkan ke PPUKM untuk rawatan kecemasan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa dibakar dalam kabin berkenaan di tempat letak kereta itu.


"Mangsa mengalami kesan melecur di seluruh badan dan dilaporkan berada di tahap kritikal.

"Kami memburu suspek yang dipercayai musuh perniagaan mangsa dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Kongsi minat curi motor

Posted: 06 Sep 2012 03:13 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dua beradik bukan saja berkongsi pekerjaan sama sebagai pengawal keselamatan, malah mereka turut berkongsi minat sama iaitu mencuri motosikal di sekitar Setapak dan Hulu Klang sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, tabiat mencuri kenderaan pasangan adik-beradik itu terbantut kelmarin selepas mereka dicekup di Medan Aneka, Jalan Genting Klang bersama sebuah motosikal yang baru dicuri pada 29 Ogos lalu di Wangsa Maju.


Sumber polis berkata, anggota Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) mengesan motosikal Yamaha Lagenda berwarna hitam yang digunakan dua beradik itu di Jalan Genting Klang namun mereka melarikan diri ketika itu.

Bagaimanapun, katanya, intipan berterusan ke atas kedua-dua suspek itu berjaya menemui mereka semula jam 8.35 malam dan ketika hendak menahan mereka, adik-beradik itu menyedari kehadiran polis sebelum menaiki motosikal untuk beredar.


"Anggota U3K bersama dua anggota tentera dari Cawangan Siasatan Jenayah yang cuba menahan mereka dirempuh sebelum seorang daripada mereka diheret lebih 500 meter.


"Namun hasil kekuatan pihak berkuasa, kedua-dua suspek itu ditahan selepas bergelut dan soal siasat mendapati pasangan terbabit mengaku mencuri motosikal berkenaan di Jalan AU 1A/1B, Wangsa Maju milik seorang pelajar pada 29 Ogos lalu," katanya semalam.

Sementara itu, Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 26 tahun yang dipercayai adik-beradik itu berasal dari Batu 8, Hulu Klang.


"Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan sebelum diserahkan ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Hilang suara kerana Penunggu

Posted: 06 Sep 2012 06:07 AM PDT

PERTENGAHAN Ramadan lalu membuka satu episod manis dalam karier pendatang baru, Ramona Zam Zam apabila produser dan pengarah filem Penunggu, Aziz M Osman mengambilnya menerajui filem itu selaku heroinnya bergandingan dengan aktor hebat, Rizman Khuzaimi.

Memegang peranan sebagai isteri yang dirasuk ketika hamil amat menepati impian Ramona yang idamkan watak mencabar selain watak biasa yang pernah dipegangnya seperti perempuan cantik, isteri, adik dan pelajar kolej.

"Sudah selalu sangat bawa watak yang biasa-biasa saja dan saya perlu menguji kemampuan diri sendiri. Saya harap watak saya dalam Penunggu akan memberi ruang dan kepercayaan kepada pengarah lain untuk memberi watak yang lebih mencabar lakonan saya," katanya.

Menurut Ramona, filem itu menjalani penggambaran pada pertengahan Ramadan lalu selama 14 hari yang dirakamkan di kawasan kelapa sawit di daerah antara Klang dan Banting, Selangor.


"Lokasinya sangat jauh dan saya memang tak berani nak memandu seorang diri ke sana. Setiap hari kru yang mengambil dan menghantar saya balik. Kalau saya perlu pergi sendiri mesti tak 'sampai' ke sana, apatah lagi penggambaran biasanya dimulakan selepas berbuka puasa dan tamat penggambaran jam 2 atau 3 pagi.


"Oleh itu, walaupun penggambaran dilakukan dalam bulan puasa, ia tidaklah meletihkan sangat kerana sampai saja di rumah, sebelah siangnya saya boleh berehat dan tidur. Tidaklah memenatkan untuk saya melakonkan watak isteri hamil yang dirasuk kerana sudah berbuka puasa. Cuma melakonkan watak itu memerlukan tenaga untuk menzahirkan gambaran sedang dirasuk.

"Setiap hari saya terpaksa mengeluarkan suara 'dalam' dan 'kasar', sehingga selepas tamat penggambaran, saya hilang suara seminggu dan ramai yang bertanya sebabnya. Dalam filem ini, lebih banyak aksi daripada dialog dan watak saya dirasuk itu sangat menakutkan.

"Apapun saya berpuas hati kerana tercapai hasrat untuk membawakan watak yang mencabar dan lain daripada yang saya pernah lakonkan. Aziz juga memuji lakonan saya," katanya.

Cerita Ramona atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, misteri bermula apabila dia yang sedang hamil balik ke kampung suaminya yang terletak di ladang kelapa sawit dan di sana ada penunggu yang mahukan bayi dalam kandungannya. Sejak itu, hidup Ramona dan suaminya menjadi huru-hara kerana gangguan itu dan setiap kali dirasuk, dia akan lari ke dalam hutan.

"Alhamdulillah, walaupun keadaan sekitar menyeramkan tetapi kami semua tidak pula pernah mengalami gangguan atau bermimpi benda yang pelik. Kami sentiasa berhati-hati iaitu sebelum penggambaran dimulakan, diadakan bacaan doa agar dijauhkan daripada segala bahaya dan gangguan," katanya yang cantik menggayakan baju rekaan O'oi Couture.

Penunggu akan ditayangkan pada penghujung tahun depan.

Rezeki Ramona tidak terhenti setakat itu saja apabila selepas ini, dia akan ke lokasi drama 26 episod untuk siaran TV9 yang bertajuk Cinta Jangan Kau Pergi. Dia akan berlakon bersama Remy Ishak dan Tiz Zaqyah. Dia membawakan watak antagonis yang cuba merebut cinta Remy daripada Tiz.

Drama arahan Kabir Bhatia itu akan turut dirakamkan di London tetapi watak Ramona tiada dalam babak yang bakal dirakamkan di kota metropolitan itu.

"Ada juga tawaran berlakon drama lain tetapi saya terpaksa menolaknya kerana mahu memberi komitmen yang sepenuhnya pada drama ini. Saya dengar Kabir sangat teliti dalam setiap pembikinan drama atau filemnya, jadi pihak produksi mahu saya tumpukan pada drama ini dulu yang mungkin penggambarannya akan berlarutan sehingga hujung tahun ini.

Imbas kembali awal Ramadan yang lalu, memandangkan aktiviti seni kurang ketika itu, Ramona lebih fokus kepada pengajiannya dalam jurusan kewangan di sebuah kolej swasta dan berbuka puasa bersama ibunya, Rusmawati Mohd Yusof, 52, di rumah.

Sejak bergelar anak seni tiga tahun lalu, ibunya yang bertugas sebagai guru sanggup berkorban minta ditukarkan mengajar di Kuala Lumpur dari Ipoh semata-mata untuk menemaninya. Sementara bapanya yang bertugas sebagai Pengurus Kem PLKN Sentosa, Tapah, Perak, menetap di sana sendirian.

"Walaupun saya tinggal dengan mama tetapi saya jarang ada di rumah kerana sibuk berlakon dan ke kolej. Jarang saya dapat menemani mama dan nak makan bersama pun tak sempat. Namun pada bulan puasa, aktiviti seni kurang. Saya cuma ke kolej dan sebaik saja habis kuliah, saya terus balik rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


JLO nak gegar KL

Posted: 06 Sep 2012 05:53 AM PDT

AURA penyanyi ini memang mengagumkan bukan saja tatkala tampil di atas pentas, malah jika di luar pun, gayanya menjadi perhatian. Masih lagi berada di carta artis wanita paling seksi di dunia, Jennifer Lynn Lopez atau JLo, 43, tidak dinafikan dia memang digilai di seluruh dunia.

Bukan saja jelita dan seksi, bakatnya yang mula dicungkil dalam bidang nyanyian seiring cemerlang dengan aksinya di lakon layar. Terbaru, dia berjaya menduduki kerusi juri rancangan realiti nyanyian nombor satu di Amerika Syarikat (AS), American Idol, namun selepas dua musim, kemudiannya menarik diri.

Mula mengukir nama di persada hiburan sejak 1997, di mana lakonannya menerusi filem Selena menjadi bualan sehingga berjaya meraih beberapa anugerah, pada 1999, ibu kepada dua cahaya mata ini mencuba nasib dalam bidang muzik pula.

Jelas, tuah memang menyebelahi JLo apabila lagu-lagu seperti If You Had My Love, Waiting For Tonight, Let's Get Loud, Jenny From the Block, Love Don't Cost A Thing, Ain't It Funny dan banyak lagi pantas menangkap halwa telinga pendengar. Berbekalkan suara yang fleksibel kepada pelbagai genre, JLo memang layak digelar diva!


Apa yang pasti, kehadirannya ke sini Disember ini pastinya antara topik paling hangat diperbualkan pada saat ini. Mana tidaknya, sekian lama menanti untuk melihat sendiri kelincahan, kehebatan dan kejelitaan JLo secara langsung, kini mimpi peminat tegar di sini bakal menjadi kenyataan.


Akan menggegarkan Stadium Merdeka menerusi konsert sulungnya berjudul JLo Dance Again World Tour itu tidak lain tidak bukan sebagai rangka promosi album terbarunya, Dance Again yang menghimpunkan kompilasi lagu-lagu hit nyanyiannya. Jika beberapa bulan lalu, kedatangannya itu sekadar khabar angin, akhirnya kelmarin, penaja konsert berkenaan, Galaxy mengesahkan perkara itu.

Selepas menakluk dunia dengan lagu On The Floor hasil kolaborasi dengan penyanyi rap kelahiran Cuba, Pitbull, nampaknya JLo semakin selesa dengan rapper terkenal itu dan menghasilkan lagu hit terbaru, Dance Again.

Bercakap mengenai single terbaru itu, JLo menyifatkan dia sangat bertuah kerana sekali lagi dapat berkolaborasi dengan Pitbull serta produser, RedOne.

"Pertama sekali, saya memang sudah 'jatuh cinta' dengan hasil kerjasama bersama dua individu terbabit. Sebenarnya sejak berkolaborasi sebelum ini lagi, keserasian yang kami cipta memang luar biasa. Mengambil kira perspektif itu, saya terfikir, kami mesti melakukan sesuatu yang lebih besar lagi selepas ini.

"Maka dengan itu, terhasillah lagu Dance Again yang bagi saya liriknya saja sungguh bermakna walaupun disampaikan dalam rentak 'dance'. Mesej dalam lagu ini mendalam iaitu biar buruk sekalipun sesuatu perkara yang berlaku, tidak bermakna hidup ini sudah tamat. Kita kena bangkit semula untuk meneruskan hidup dan menjadi lebih baik serta boleh menari semula.

"Bekerjasama dengan RedOne, saya bertuah kerana dia bukan calang-calang produser dan cukup memilih artis yang ingin bekerjasama dengannya. Saya melihat keserasian yang kami cipta banyak membantu untuk menyambung lagi kerjasama antara kami. Saya juga mendapati dia sukakan artis yang mempunyai visi mengenai hidup.

"Oleh itu, walaupun ketika menghasilkan lagu berkenaan awal tahun ini saya sedang berhadapan dengan masa yang sangat sukar, namun disebabkan mereka, saya berjaya juga melaksanakan single terbabit.

"Bagaimanapun, saya tidak pasti sekiranya lagu ini bakal dimuatkan dalam album Greatest Hits yang akan dilancarkan nanti. Saya masih memilih lagu-lagu yang terbaik untuk dikompilasikan dalam album itu namun buat masa sekarang, nikmatilah single Dance Again ini terlebih dulu," katanya.

Penyanyi kesukaan ramai ini membuat pengumuman mengenai konsert jelajah seluruh dunia pada Mac lalu dan destinasi pertamanya adalah di Panama. Menjadi satu daripada konsert terbesarnya setakat ini, seramai 60 penari juga akan beraksi sewaktu persembahannya. Manakala, pereka tersohor dari Lubnan, Zuhair Murad pula dipertanggungjawabkan mereka kostum sepanjang siri jelajah itu.

Selama bergelumang dalam dunia glamor sejak dua dekad lalu, album Jlo sudah terjual lebih daripada 11.8 juta unit di Amerika Syarikat dan lebih daripada 70 juta unit di seluruh dunia.

Bagi yang tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan persembahan JLo di konsertnya 2 Disember nanti, tiket-tiket berharga RM168, RM288, RM368, RM268, RM658, RM528 dan RM628 sudah boleh dibeli dengan menghubungi talian 03-22822020 atau melayari laman web www.galaxy.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Hasihin terlepas skim imbuhan tetap

Posted: 06 Sep 2012 09:55 AM PDT

KEJAYAAN besar Hasihin Sanawi meraih pingat perak pada temasya Sukan Paralimpik di London baru-baru ini belum cukup 'membuka hati' Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memberi ganjaran skim imbuhan tetap atau pencen seperti dinikmati atlet normal pada temasya Olimpik.

Hasihin mencipta sejarah merangkul perak menerusi acara recurve individu lelaki berkerusi roda W1/W2 di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, Isnin lalu selepas tewas kepada Oscar de Pellegrin dari Itali sekali gus menyumbang perak pertama untuk negara selepas 20 tahun.


Atlet berusia 29 tahun itu mungkin boleh mengukir senyuman bakal meraih ganjaran berjumlah RM200,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), namun dia tidak akan meraih pencen seperti diraih atlet normal pada Sukan Olimpik.

"Saya harap kita semua faham mengenai perbezaan tahap kompetitif antara acara yang disertai atlet normal serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU). "Sebagai contoh, acara lari pecut 100 meter, terdapat banyak kategori bagi atlet OKU berbanding atlet normal.


"Kita perlu lihat tahap kesukaran mereka untuk meraih pingat. Pencen setakat ini tidak ada (untuk atlet OKU)," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang ditemui pada majlis rumah terbuka KBS semalam.


Beliau bagaimanapun memberi jaminan, Hasihin bakal menikmati lebih banyak ganjaran selain hadiah Shakam yang sudah pasti bakal menantinya.

"Sebenarnya, di negara ini apa yang mereka peroleh tidak banyak bezanya berbanding atlet normal kerana atlet OKU juga menerima elaun bulanan apabila menjalani latihan, malah pihak kerajaan juga membina banyak kemudahan sukan untuk mereka.


"Jika dibandingkan dengan negara lain, atlet OKU kita sudah cukup bertuah," katanya.

Menerusi hadiah Shakam untuk atlet normal yang beraksi pada pentas Olimpik, mereka akan meraih RM1 juta andai meraih pingat emas, RM300,000 bagi perak dan RM100,000 untuk gangsa.


Sementara atlet paralimpik bakal menerima ganjaran RM300,000 untuk emas, RM200,000 (perak) dan RM100,000 untuk gangsa.


Selain meraih ganjaran hadiah Shakam, atlet normal juga menerima Skim Imbuhan Tetap Sukan Olimpik atau pencen andai memenangi pingat di Sukan Olimpik yang akan diberikan setiap bulan untuk sepanjang hayat dengan pemenang pingat emas menerima RM5,000, perak RM3,000 dan RM2,000 untuk pemenang pingat gangsa.


Malaysia pernah memenangi satu perak dan empat gangsa dalam tiga temasya Sukan Paralimpik sejak Seoul 1988. Di Beijing empat tahun lalu, kontinjen negara hanya pulang dengan satu gangsa menerusi Siow Lee Chan dalam acara powerlifting.


Perak tunggal sebelum ini dilakar Cheok Kon Fatt dalam acara powerlifting di Barcelona pada 1992.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


Fauzan kibar cabaran negara

Posted: 06 Sep 2012 09:01 AM PDT

PELUMBA serba boleh negara, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi menjadi atlet berbasikal tunggal negara yang mengibarkan cabaran buat kali pertama dalam acara merentas desa di Kejohanan Siri Basikal Bukit Maraton Dunia di Itali.

Dia yang berlepas ke Itali awal pagi semalam cukup gembira kerana diberi kepercayaan membawa nama negara di kejohanan yang membabitkan cabaran pelumba bertaraf dunia.


Fauzan yang berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, ini masa yang tepat untuk dia menilai tahap kemampuannya sebagai pelumba berbasikal bukit selain memberi fokus terhadap lebuh raya dan trek.

Menyedari kesukaran saingan, Fauzan yang menerima tajaan sepenuhnya Due Roda Extreme/ProMoto berkata, dia akan menggunakan kesempatan itu untuk mengkaji tahap kemampuan pesaing luar terutama dari Asia seperti China, Hong Kong dan Jepun yang berpengalaman luas kerana pernah beraksi di Olimpik.


"Jika diberi peluang, saya yakin kita juga mampu menempatkan diri di Olimpik dan bukan mustahil untuk layak ke Olimpik Rio jika diberi pendedahan dari sekarang," katanya yang mendapat kebenaran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk beraksi di kejohanan itu.


Katanya, kebanyakan juara dunia termasuk juara keseluruhan Tour de France 2012, Bradley Wiggins juga bermula dengan basikal bukit.

"Acara ini sedikit sebanyak membantu pelumba mempelajari taktik terutama dalam pendakian. Jika Olimpik terlalu sukar, mengapa tidak? Kita mula dengan menetapkan sasaran menyertai Sukan Asia. Ia mungkin langkah awal membawa acara berbasikal bukit ini ke peringkat antarabangsa," katanya. Biarpun tidak mengutamakan acara itu, Fauzan mahu menjadikan penyertaan pertamanya dalam kejohanan yang berada dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu sebagai promosi agar dapat diberi perhatian lebih khusus oleh pihak berwajib.


"Kejohanan ini berkelas dunia. Saya tahu tahap kesukarannya dan untuk memenangi perlumbaan ini adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku tapi saya akan berusaha sekurang-kurangnya menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Dibunuh sebaik dilahir

Posted: 06 Sep 2012 03:40 PM PDT

KUANTAN: "Hampir menitis air mata saya melihat mayat bayi tidak berdosa itu terperosok dalam lubang tandas, tapi demi tanggungjawab, saya dan tujuh rakan yang lain kuatkan juga semangat untuk menjalankan tugas."

Demikian, kata seorang daripada anggota bomba ditugaskan mengeluarkan mayat bayi baru lahir yang tersumbat dalam lubang tandas Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini semalam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Adli, 40-an, berkata, dia dan rakan-rakan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, mengambil masa lebih tiga jam untuk memecahkan tandas bagi mengeluarkan mayat bayi itu, bermula jam 8 pagi.

"Sebaik saja melihat separuh kepala bayi itu terperosok dalam lubang tandas, kami sedar tiada cara lain untuk mengeluarkannya kecuali memecahkan mangkuk tandas itu dengan berhati-hati kerana bimbang ia mencacatkan tubuh bayi berkenaan.


"Kami mengambil masa lebih tiga jam untuk memecahkan tandas itu perlahan-lahan. Kami bergilir-gilir melakukannya. Ketika itu juga hati saya bercampur baur antara sedih dan geram dengan manusia yang membuang bayi itu," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Buat layar pada bot

Posted: 06 Sep 2012 03:40 PM PDT

MELAKA: Dua nelayan yang disangka lemas selepas hilang sembilan jam di tengah laut, tiba-tiba muncul di Pantai Puteri, Tanjung Minyak di sini, tengah malam semalam.

Tekong bot, Ramli Mahadi, 48, dari Pantai Rombang dan awak-awaknya, Supian Kadir, 32, dari Pantai Kundor, pulang ke pantai jam 12.10 tengah malam menggunakan layar diperbuat daripada kanvas.


Ramli berkata, dia terpaksa menggunakan alternatif itu selepas botnya kehabisan minyak dan terkandas pada jam 3 petang ketika dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan, 25 batu nautika dari pantai.

"Ketika bot kehabisan minyak, saya cuba mengambil minyak simpanan dalam tong yang biasanya diletakkan di bahagian bawah, namun tiada kerana tertinggal di tepi pantai.


"Dengan keadaan ribut sederhana di laut dan tiupan angin yang agak kuat, saya menggunakan kanvas untuk membuat layar untuk membolehkan bot ini bergerak ke pantai," katanya.


Menurutnya, dia keluar ke laut bersama Supian pada jam 6.30 pagi dan kebiasaannya pulang pada jam 4 petang.

Katanya, layar itu dibuat berdasarkan pengalamannya lebih 30 tahun sebagai nelayan dan sudah beberapa kali tersangkut di tengah laut kerana mengalami masalah kerosakan enjin.


"Kami tidak panik dan takut kerana sebagai nelayan perlu berani serta menggunakan akal mengatasi sebarang masalah. "Ini kali ketiga saya tersangkut di tengah laut dan dua daripadanya kerana kerosakan enjin," katanya.

Kehilangan mereka disedari peraih, Baharudin Masaah, 45, yang setiap hari menunggu hasil tangkapan mereka.


Baharudian berkata, kebiasaannya Ramli dan Supian pulang ke pantai membawa hasil tangkapan kira-kira jam 4 petang.


"Petang tadi (kelmarin) saya tunggu mereka tidak pulang dan kira-kira jam 4 petang saya menghubungi telefon bimbit Ramli, namun isterinya yang menjawab kerana telefon itu ditinggalkan di rumah," katanya.


Menurutnya, kebimbangannya mengenai keselamatan tekong dan awak-awak itu bertambah selepas melihat tong minyak diletakkan di tepi pantai.


Katanya, dia meminta bantuan nelayan lain mencari mangsa di tengah laut.


"Bagaimanapun pada jam 8 malam nelayan yang mencari pulang kerana tidak menjumpai mereka.


"Saya membuat laporan polis dan sekali lagi nelayan menggunakan bot besar mencari mereka pada jam 9 malam namun hampa, katanya. Keluarga mangsa dan nelayan memenuhi kawasan berkenaan manakala kepulangan mangsa dengan selamat disambut dengan rasa syukur.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Daniel tidak lagi takut untuk makan, minum

Posted: 06 Sep 2012 12:35 PM PDT

LONDON: Seorang budak yang tidak pernah makan sepanjang hidupnya, mencipta keajaiban apabila mengambil makanan untuk kali pertama baru-baru ini, lapor media semalam.

Daniel Harrison, 5, mengalami alahan serius ketika menyusu semasa masih bayi, menyebabkan dia takut kepada makanan atau minuman.


Untuk meneruskan hidup, Daniel terpaksa diberi makan melalui tiub ke perutnya. Namun, hasil rawatan pakar di Austria, Daniel kini boleh menikmati makanan seperti orang lain. Bapanya, Kevin Harrison, 43, berkata tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaannya melihat Daniel mengambil makanan seperti budak normal.

"Ia seperti memenangi Piala Perdana, Piala Eropah dan Piala Dunia sekali gus," katanya. Menurut Kevin, sesetengah makanan utama perlu dilenyekkan terlebih dulu kerana Daniel masih sukar mengunyah akibat otot di mulutnya tidak berkembang dengan baik.


"Daniel boleh makan apa yang kami makan, dan dia sukakan coklat serta biskut," katanya. Menurut Kevin, dia amat bangga dengan perubahan berlaku pada Daniel.


"Saya berasa seperti akhirnya berjaya melakukan tanggungjawab sebagai bapa," katanya. Sebelum ini, Kevin dan isterinya, Catherine, membawa Daniel ke Hospital Universiti di Graz, Austria, untuk membolehkan pakar di situ memberi rawatan sewajarnya.

Kaedah disediakan di hospital itu tidak diamalkan di Britain. Melalui kaedah itu, Daniel berjaya disedarkan bahawa dia memang perlu dan mahukan makanan. Pakar perubatan menggunakan pelbagai kaedah khusus bagi memujuk Daniel supaya lebih terdedah kepada makan dan mengurangkan ketakutan memasukkan makanan ke mulut. Kaedah itu turut dipraktikkan ke atas 12 pesakit dari seluruh dunia dan semuanya berjaya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Ibu dua anak terkejut temui telur bulat

Posted: 06 Sep 2012 12:33 PM PDT

LONDON: Ketika Cassie Greenhill bersiap-siap memasak telur dadar untuk dua anaknya minggu lalu, dia tahu ada yang tidak kena dengan telur ayam berkenaan.

Bagi Cassie, 32, dia bagaikan tidak percaya apabila melihat telur itu berbentuk bulat sepenuhnya - berbeza daripada telur biasa.


Warga Britain mengambil 11 bilion telur sehari tetapi kebarangkalian untuk menemui telur sebegitu hanya satu bagi setiap satu bilion. Tinggal di Enfield di utara London, Cassie berkata, dia membeli sedozen telur dari pasar raya berhampiran baru-baru ini. "Saya mahu memecahkan telur itu untuk memasak telur dadar apabila menyedari bentuknya begitu aneh.

"Saya tak pernah melihat telur sebegini sebelum ini," katanya. Bagi mendapatkan kepastian, dia membuat carian di Internet.


Setakat ini, katanya, hanya seorang tukang masak di Hotel Bristol di Cornwall - James Church - menemui telur bulat seperti itu beberapa tahun lalu.


Menyedari uniknya telur itu, Cassie memberi amaran kepada semua penghuni rumahnya supaya menjaga telur berkenaan. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved