Sabtu, 29 Oktober 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Global: Wanita Libya turut tumbang Gaddafi

Posted: 02 Oct 2011 08:51 AM PDT

"Orang lelaki mati ketika mereka terpaksa berjuang tanpa senjata dan sanggup bergadai nyawa demi melindungi kami sedangkan kami duduk di rumah tidak buat apa-apa. Kami seolah-olah jadi barang antik," kata wanita bertudung itu lagi sambil cuba membetulkan cara dia memegang senjata api.

"Konco-konco Gaddafi boleh datang bila-bila masa, saya bersedia mempertahankan diri sendiri dan rumah kami jika perlu," katanya lagi.

Pelatih sukarelawan di pusat latihan ketenteraan itu berkata, mereka berasa sangat tidak berdaya ketika pergerakan menumbangkan pemerintahan Gaddafi terutama apabila mendengar berita ada wanita dirogol oleh askar. Kini mereka tidak mahu lagi duduk diam, sudah sampai masa untuk menunjukkan bahawa wanita juga boleh melindungi keluarga.

Sekurang-kurangnya 200 wanita sudah berjaya menamatkan program latihan itu sejak ia dimulakan di Kawasan Ketenteraan Teknikal Benghazi hujung Mac lalu. Mereka diberikan pilihan menyertai Pasukan Keselamatan Kebangsaan yang beroperasi seperti Pengawal Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat dan membenarkan wanita berkenaan bergerak di kawasan sendiri. Belum ada cadangan untuk menghantar tentera wanita ini ke barisan hadapan pertahanan negara.


Satu unit yang dianggotai 20 tentera wanita tidak bersenjata bertugas ketika Perdana Menteri British, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melawat Benghazi bulan lalu dan memberikan ucapan di depan ramai penduduk Libya.


Pasukan keselamatan wanita itu berdiri memerhatikan dan mencari wanita yang mencurigakan kerana bimbang jika ada penyerang yang menyamar dengan memakai pakaian perempuan.

Menurut komander tentera di Benghazi, Abdul Basit Haron, pejuang revolusi termasuk wanita akan menerima sekali bayaran berjumlah RM15,000. Pembabitan wanita dalam ketenteraan sangat penting kerana ia boleh membangkitkan dan menguatkan semangat tentera.

Ini kerana wanita berasa mereka diketepikan dan sanggup datang ke sini untuk membuktikan bahawa mereka setanding dengan lelaki. Mereka mahu menunjukkan kepada dunia keberanian dan sikap terbuka penduduk Libya.

Sebenarnya peranan wanita masih menjadi isu sensitif di negara Islam konservatif itu. Malah, sepanjang pemerintahan Gaddafi, polisi yang dibentuk bertujuan memecahkan pantang larang turun temurun mengenai pekerjaan wanita dan status mereka. Gaddafi sendiri melantik pengawal peribadi wanita tetapi peluang yang diberikan untuk wanita mengisi jawatan di dalam kerajaan masih sangat terhad.

Tentera wanita adalah satu perkara yang sangat asing di kebanyakan negara Arab tetapi kini ia menjadi pemandangan biasa di Libya. Di mana-mana ada saja tentera wanita beruniform, bertudung, bercermin mata hitam dan bermekap tebal mengawal bandar. Satu kumpulan wanita dilaporkan mempunyai pusat soal siasat sendiri bagi menahan aktivis antiGaddafi.

Kolonel Sabriya Mohammed al-Shraidi, anak kelahiran Benghazi yang menamatkan pelajaran di sekolah ketenteraan pada 1986 dan kini berada

di unit penyiasatan tentera berkata, lapan pegawai ditugaskan melatih 36 sukarelawan - iaitu kumpulan keempat yang akan tamat latihan tidak lama lagi.

"Kebanyakan wanita ini adalah suri rumah dan ada yang bekerja. Mereka tiada pengalaman dalam ketenteraan dan tidak tahu bagaimana menggunakan senjata. Jadi mereka datang ke sini untuk menjalani latihan, jika perlu mempertahankan diri sendiri dan anak-anak. Kita tidak tahu bila kemahiran ini diperlukan, segala-galanya boleh terjadi," katanya.

Pelatih tentera ini diberikan pelbagai latihan menggunakan semua jenis senjata ringan dan ilmu mempertahankan diri. Mereka yang diberikan latihan ini akan membantu menjaga keselamatan ketika demonstrasi, di bank dan institusi lain.

"Ramai orang anggap wanita tidak elok masuk tentera. Anggapan ini salah. Ramai wanita terbabit dalam bantuan kemanusiaan dan penyeludupan senjata api untuk pemberontak dengan menyembunyikan senjata dalam jubah mereka.

"Sebenarnya wanita sudah banyak memberi sumbangan dalam revolusi ini melalui pelbagai cara. Tetapi mereka masih dipinggirkan dan diketepikan. Kini sudah ada peluang untuk kami menunjukkan sumbangan secara terang-terangan, tiada apa yang hendak dimalukan apabila menjadi tentera. Masyarakat sekarang bukan lagi seperti zaman Gaddafi dulu yang memandang rendah wanita yang masuk tentera," katanya.

Wafa al-Rayth, 29, suri rumah, berkata dia menyertai program ketenteraan itu untuk menunjukkan pada dunia bahawa wanita Libya berupaya berganding bahu dengan lelaki dalam menjaga keamanan negara.

"Sudah sampai masa kami membantu meluaskan keamanan dan mengawal negara, terutama dalam tradisi kami yang memerlukan wanita mengawal tempat perjumpaan wanita dan memeriksa beg mereka bagi memastikan tiada lelaki menyamar untuk melakukan jenayah," katanya.

Bagi jurutera berusia 20 tahun, Lameis Aghnaish, dulu ketika era Gaddafi dia cuba berhijrah ke negara lain tetapi kini dia bangga tinggal di Libya.

"Dulu hidup kami sangat susah, sebab itulah saya mahu berhijrah. Masa itu saya tidak rasa sayang pun pada negara, tetapi keadaan kini sudah berubah. Saya sanggup mati demi negara ini. Saya akan kembali bekerja selepas keadaan kembali aman. Apa yang penting kini ialah memastikan negara aman dan selamat," katanya. - AP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Songlap duit menang kes

Posted: 28 Oct 2011 12:03 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya sedih melihat keadaannya yang sering mengamuk dan menyalahkan diri sendiri sejak enam tahun lalu. Lebih merisaukan, dia juga mencederakan anggota badan terutama lengan kirinya yang cacat akibat kemalangan itu.

"Kami sekeluarga berikhtiar dengan mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional kerana dia berang dan berubah sikap apabila mendengar perbualan mengenai peguam yang menipunya," kata warga emas, Noreah Mat Resat, 58, mengenai perubahan sikap suaminya selepas ditipu peguam pada 2005.


Suaminya, Osman Din, 56, mengalami masalah itu sejak mengetahui peguam dilantik keluarganya untuk menyaman bekas majikan yang menyebabkan kecacatan kekal, menipu dan tidak membayar wang hasil kemenangan kes yang berlaku 20 tahun lalu.

Selain menjadi panas baran, dia juga sering menghantukkan kepalanya ke dinding rumah sehingga cedera dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan tidak terkawal menyebabkan ahli keluarga bimbang berlaku sesuatu kejadian tidak diingini. Menceritakan kejadian itu, Noreah berkata, segala-galanya berlaku selepas suaminya yang juga penyelia di sebuah kilang papan di Karak, dekat Gombak, mengalami kemalangan akibat mata gergaji mesin pemotong kayu terputus dan menghiris lengan kirinya.


Disebabkan itu, dia dimasukkan ke Hospital Bentong dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta disahkan mengalami kecacatan kekal di lengan mengakibatkannya hilang punca pendapatan selepas tidak mampu bekerja.


"Namun, selepas dikunjungi peguam di HKL dan memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang, suami yakin dia akan memenangi kes itu dan ingin menggunakan wang saman untuk membiayai pengajian anak yang masih kecil.

"Empat belas tahun menunggu, akhirnya ahli keluarga yang tidak sabar membuat semakan di mahkamah dan mendapati suami memenangi kes berkenaan dan layak menerima pampasan RM89,900 yang diserahkan kepada peguam sejak 2002," katanya selepas membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam (PPIM) di sini, semalam.


Terkilan dengan tindakan peguam yang cuba menyembunyikan perkara itu, mereka menemuinya di ibu negara dan terkejut sebaik dimaklumkan mereka perlu membayar kos guaman dan bayaran tertunggak lain berjumlah RM40,000.

Mendapati mereka menjadi mangsa keadaan, perkara itu dirujuk kepada Biro Bantuan Guaman Raub dan dipanjangkan ke Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Operasi PPIM, Imran Yusof, berkata pihaknya akan meneliti aduan berkenaan sebelum mengambil tindakan susulan termasuk berbincang dengan majlis peguam untuk mendapatkan gambaran kejadian itu.


"Siasatan awal mendapati, aduan ini berasas kerana pengadu ditipu peguam yang mungkin mengambil kesempatan ke atas keluarga berkenaan. Justeru, kami menggesa Biro Bantuan Guaman tampil memberi penjelasan mengenainya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

10 penyamun hentak mangsa guna topi keledar

Posted: 28 Oct 2011 12:01 PM PDT

GOMBAK: Seorang lelaki cedera di kepala dan badan selepas dihentak dengan topi keledar oleh sekumpulan lelaki sebelum disamun menyebabkan kerugian dianggarkan RM5,000, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun bersama rakannya berjalan pulang ke rumah di Taman Tun Teja, di sini, selepas makan di restoran berhampiran.


Bagaimanapun, tiba-tiba muncul 10 lelaki menunggang motosikal menghampiri mangsa.

Menurut sumber, terkejut dengan kehadiran suspek, mangsa dan rakannya cuba melarikan diri namun gagal kerana kumpulan itu mengepung mereka.


"Seorang daripada suspek memaki-hamun mangsa sebelum suspek lain menghentak topi keledar ke kepala mangsa beberapa kali," katanya.


Sumber berkata, selepas beberapa minit dibelasah, suspek merampas telefon bimbit, gelang tangan perak dan rantai emas dipakai mangsa. "Suspek yang mendapatkan barangan berharga mangsa melarikan diri meninggalkan mangsa bersama rakannya yang cedera," katanya.

Sumber itu berkata, mangsa dan rakannya yang cedera pergi ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.


Bimbang kejadian sama berulang, dia membuat laporan di Pondok Polis Hospital Selayang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Defisit hanya 1 gol’

Posted: 28 Oct 2011 08:41 AM PDT

SUKAR meramalkan siapa yang paling layak antara Negeri Sembilan dan Terengganu untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia tahun ini.

Negeri Sembilan mempunyai pengalaman beraksi pada perlawanan akhir tiga kali berturut-turut serta berazam merampasnya selepas dikecewakan Kelantan musim lalu.


Kesungguhan dan kemampuan kedua pasukan tahun ini lebih menarik dengan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri namun sedikit kesilapan boleh membawa padah.

Terengganu terkenal dengan corak permainan pantas manakala Negeri Sembilan dengan kombinasi pemain muda dan berpengalaman pastinya mempergunakan kelebihan masing-masing memenangi Piala Malaysia 2011.


Ramai pemerhati dan jurulatih beranggapan kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang dengan pemenang ditentukan hanya dengan kelebihan satu gol berdasarkan rekod cemerlang sejak saingan awal piala itu.


Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata, kedua-dua pasukan itu memiliki taktik berlainan selain barisan pemain yang mampu mengekang serangan dan asakan.

"Sukar nak diramal pasukan mana akan bergelar juara kerana kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada saingan Piala Malaysia kali ini.


"Saya yakin salah satu pasukan hanya menang dengan perbezaan defisit gol 1-0 atau 2-1 saja," katanya.

Bagi Terengganu, Wan Jamak berkata skuad Penyu itu dilihat konsisten dalam kempen Piala Malaysia kali ini berdasarkan prestasi dan komitmen skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim sejak awal musim.


Terengganu menghampiri kemuncak apabila berjaya menyingkir juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor di separuh akhir dan menewaskan juara bertahan Kelantan pada suku akhir.


"Terengganu kini berada di landasan tepat. Selaku juara Piala FA tahun ini, pastinya peminat berharap Terengganu mempamerkan aksi lebih bertenaga membawa pulang piala kedua musin ini.


"Malah mereka mempunyai empat barisan pemain serangan seperti Joseph Kallang Tie, Abdul Manaf Mamat, Abdul Hadi Yahaya dan Mohammad Ashaari Shamsuddin yang pastinya perlu diberi perhatian," katanya.


Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata keupayaan skuad Negeri Sembilan juga tidak boleh dipertikaikan memandangkan mereka turun ke gelanggang dengan status sebagai naib juara serta juara Piala FA tahun lalu.


Katanya jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah akan meletakkan sandaran kepada pemain berpengalaman antaranya Norhafiz Zamani Misbah, Hairudin Omar dan Mohd Shukor Adan.


Jurulatih Felda United, E Elavarasan turut mengakui saingan sengit akan berlaku dalam pertembungan dua pasukan itu.


"Negeri Sembilan pasti mahu menebus duka tahun lalu manakala Terengganu juga pastinya memburu piala kedua tahun ini dan menamatkan kemarau 10 tahun menjulang piala itu," katanya.


Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baru dilantik bagi kempen musim depan, B Sathianathan pula menjangkakan skuad Negeri Sembilan akan membuat kejutan kerana mempunyai pemain serba boleh seperti S Kunanlan dan Shahurain Abu Samah bagi mengucar-kacirkan barisan lawan.


"Negeri Sembilan mempunyai komitmen untuk menjadi juara. Kunanlan mempunyai corak permainan yang pantas manakala Shahurain pula menjaringkan enam gol dengan purata satu gol setiap perlawanan kempen Piala Malaysia dan mempunyai peluang cerah kerana masih muda," katanya.


Beliau berkata formasi corak skuad Rusa yang biasanya membuat hantaran pendek dan tidak hanya sekadar mementingkan pertahanan dan serangan balas yang laju pastinya menjadi kunci buat pasukan itu beroleh kejayaan.


"Oleh kerana Terengganu juga lawan hebat, Negeri Sembilan mungkin menang dengan kelebihan satu gol, 2-1 atau 1-0," katanya. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Hai-O fokus julang Rusa

Posted: 28 Oct 2011 08:34 AM PDT

AYAM tambatan Negeri Sembilan, Hairuddin Omar mengakui terpaksa mengetepikan segala tekanan daripada penyokong Terengganu, demi membantu pasukan disertainya menjulang trofi Piala Malaysia buat kali kedua, pada final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pemain berpengalaman berusia 32 tahun itu sebelum ini pernah membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia pada 2009 sekali gus menamatkan penantian pasukan itu selama 61 tahun, manakala tahun lalu pula, membantu Kelantan menjulang trofi berprestij itu.


Hairuddin menyedari dia pasti berdepan situasi itu kerana dia berasal dari Terengganu tetapi perlu bersikap profesional selain tidak mahu tumpuan terganggu menjelang pertemuan dengan juara Piala FA itu nanti.

"Saya akui pasti ada tekanan daripada penyokong negeri kelahiran saya menjelang final dengan Terengganu, Sabtu ini, kerana mereka menganggap saya adalah peneraju utama yang akan memusnahkan impian Terengganu merangkul kejuaraan Piala Malaysia.


"Tetapi saya perlu bersikap profesional dan memberi tumpuan kepada pasukan Negeri Sembilan dalam memastikan kejuaraan Piala Malaysia musim ini menjadi milik pasukan ini.


"Inilah lafaz, tekad dan azam saya sebaik bersama Negeri Sembilan awal musim ini iaitu mahu merealisasikan impian pasukan merangkul kejuaraan terutama Piala Malaysia yang menjadi lambang kemegahan setiap pasukan," katanya semalam.

Hairuddin yang setakat ini menjadi penjaring terbanyak kempen musim ini dengan tujuh gol antara sandaran utama skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah bagi melenyapkan impian Terengganu dan dia yang dijangka akan digandingkan dengan Shahurain Abu Samah di barisan depan, pasti akan menjadi duri dalam daging buat anak buah Irfan Bakti Abu Salim.


Hakikatnya pemain yang sinonim dengan panggilan Hai-O itu dianggap pemusnah kepada pasukan lawan kerana mampu menjaringkan gol dalam apa juga situasi terutama menerusi ketajaman tandukannya.

Dia yang kini tampak kian serasi bersama Shahurain, pasti menghadirkan rasa gerun buat pertahanan Terengganu yang dikemudi Marzuki Yusof.


Malah dalam aksi separuh akhir kedua di Paroi, Sabtu lalu, lorongan bola daripada Hairuddin membolehkan Shahurain menjaringkan gol pertama Negeri Sembilan.


"Saya akan berusaha untuk menjaringkan gol pada final nanti kerana itu adalah matlamat saya setiap kali berada di padang, apatah lagi pada perlawanan penting ini dalam merebut kejuaraan utama Piala Malaysia yang menjadi kemegahan setiap pasukan.


"Namun begitu bukan kemegahan peribadi yang saya kejar, tapi lebih penting adalah kemenangan Negeri Sembilan untuk menebus kembali kegagalan pasukan ini kepada Kelantan, pada final musim lalu," katanya.


Sehubungan itu, dia berharap rakan sepasukan dapat mempamerkan persembahan mantap dan semangat juang tinggi pada final Sabtu ini, demi memastikan impian merangkul kejuaraan Piala Malaysia tercapai.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Ajal ziarah pusara ibu

Posted: 28 Oct 2011 12:38 PM PDT

PRAI: Ketika kubur isterinya masih merah, seorang lelaki terpaksa menanggung kesedihan berganda apabila anak keduanya pula maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok berhampiran Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang (JPP) di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 8 pagi ketika mangsa, Batrisyia, 7, bersama tiga adik-beradiknya menaiki Toyota Avanza dipandu bapa mereka, Osman Kerya, 42, dalam perjalanan dari Batu Uban, di sini, ke Grik, Perak, untuk menziarahi kubur isterinya, Norzita Mustafa, 37, yang meninggal dunia 12 hari lalu akibat kanser tulang.

Ketika tiba di tempat kejadian, kereta Osman dipercayai bergesel lori sebaik melepasi Plaza Tol JPP sebelum terbabas dan merempuh pokok di kiri jalan. Berikutan itu, mangsa tercampak keluar sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan anggota badan.

Selain Osman yang cedera di kedua-dua tangan, tiga lagi anaknya, Balqis, 10, Baizatul Akmah, 6, dan Baizatul Husnah, 4, cedera dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini. Nenek mangsa, Fatimah Wan Chik, 70, yang juga ibu Osman berkata, pada awalnya anaknya merancang ke Grik hari ini, tetapi mengubah rancangan dengan bertolak pagi semalam.


"Dia (Osman) mahu bawa anak-anak menziarahi kubur isteri yang meninggal dunia 12 hari lalu akibat kanser tulang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tertonggeng dalam baldi

Posted: 28 Oct 2011 12:28 PM PDT

IPOH: Tindakan seorang ibu meninggalkan anak perempuan berusia tiga tahun mandi bersendirian, berakhir dengan tragedi apabila kanak-kanak itu ditemui lemas dalam keadaan tertonggeng di dalam baldi di bilik air rumahnya di Taman Rasi, Menglembu, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu disedari wanita itu sejurus pulang ke rumahnya selepas keluar sebentar kerana mempunyai urusan.


Perasaan tidak sedap hati ibu mangsa selepas beberapa kali tidak menyahut panggilannya menjadi kenyataan sejurus menjenguk ke bilik air apabila melihat anaknya, Wong Bao Lim tertonggeng di dalam baldi.

Dia segera mengeluarkan mangsa dan cuba menggerakkan badan serta memanggil nama anaknya, namun tidak mendapat sebarang reaksi apabila mangsa tetap kaku tidak bergerak.


Ibu mangsa yang masih tidak berputus asa kemudian membawa kanak-kanak itu ke sebuah klinik berdekatan untuk rawatan kecemasan tetapi doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan anaknya sudah meninggal dunia.


Seorang wanita yang juga saudara keluarga malang itu berkata, mangsa adalah seorang anak yang berdikari dan sudah biasa mandi bersendirian sejak berusia dua tahun.

"Kami sekeluarga masih terkejut dan seperti tidak percaya dengan kejadian menimpa mangsa. Tetapi perkara paling menyedihkan kami mangsa seperti tahu akan pergi meninggalkan ibunya buat selama-lamanya.


"Ia berikutan tindakan mangsa mengajak ibunya mandi bersama pada pagi tadi (semalam) selepas hampir setahun tidak berbuat demikian," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 10.20 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu. Katanya, mangsa dikatakan hilang imbangan badan ketika sedang bermain bersendirian di bilik air akibat lantai licin sebelum terjatuh ke dalam baldi dalam keadaan kepala dulu.


"Mangsa dipercayai cuba meronta menyelamatkan diri tetapi gagal selepas badannya tersepit dalam baldi sebelum lemas.


"Setakat ini polis mengklasifikasikan kejadian sebagai kes kematian mengejut. Bagaimanapun polis masih menunggu laporan hasil bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa dan setakat ini," katanya.


Bagaimanapun, usaha menemubual ibu bapa mangsa gagal kerana masih trauma dan sedih dengan kejadian menimpa anak kedua mereka ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


J.Lo sebak lagi depan peminat

Posted: 28 Oct 2011 07:09 AM PDT

SEJAK berpisah dengan suaminya, Marc Anthony pada Julai lalu, penghibur Latin paling seksi, Jennifer Lopez atau J.Lo dilihat sangat mudah tersentuh hati. Mungkin bibirnya masih mampu tersenyum namun jauh di lubuk jiwa, penyanyi lagu On The Floor itu masih menahan luka.

Contoh terbaru, minggu lalu, J.Lo tidak dapat menahan rasa sebaknya tatkala menjayakan persembahan di depan ribuan peminat pada konsert Ulang Tahun Ke-15 Mohegan Sun di Connecticut, Amerika Syarikat (AS).

Air mata J.Lo mula bergenang dan seterusnya berlinangan selepas memandang wajah anak kembarnya, Max dan Emme terpampang pada skrin di atas kepalanya sewaktu menyampaikan lagu If You Had My Love.

Bukan itu saja, penyanyi kelahiran Bronx, New York ini menangis lagi ketika beberapa penari lelaki mengiringinya ketika menyampaikan lagu It Beats No More pada konsert berkenaan.


Menariknya, penari latar berkenaan menari sambil memakai pakaian kegemaran bekas suaminya itu, penyanyi lagu My Baby You.


Sejak berpisah dengan Marc kira-kira empat bulan lalu, perubahan emosi mula berlaku ke atas juri program realiti TV, American Idol ini setiap hari.

Nyata imej J.Lo sebagai seorang wanita lasak dan berjiwa kental yang tiba-tiba tewas (menangis) di atas pentas turut membuat peminatnya turut sama bersedih dan menangis. Mereka seakan-akan faham perasaan penyanyi pujaan mereka itu yang tidak dapat mempertahankan mahligai yang dibina selama tujuh tahun itu.

J.Lo seperti kehilangan sesuatu yang biasanya membuat dia gembira selama ini.
Ada mengatakan pelakon filem Love Don't Cost A Thing itu memerlukan kasih sayang seorang lelaki kerana dia jarang sunyi dan selalu didampingi.

Sebelum Marc, J.Lo pernah berpisah dengan suami pertamanya, Ojani Noa. Dia kemudian bercerai dengan suami kedua yang juga seorang penari profesional, Cris Judd.

Bukan itu saja, J.Lo pernah menjalin hubungan dengan dua selebriti terkenal Hollywood seperti 'rapper' terkenal, P Diddy atau Sean Combs serta pelakon kacak Hollywood, Ben Affleck.

Perkahwinan ketiga bersama penyanyi Marc juga tidak mampu kekal hingga ke akhir hayat apabila mereka mengumumkan secara rasmi berpisah pertengahan Julai lalu.

Mereka akhirnya bersetuju membawa haluan masing-masing dengan difahamkan salah satu puncanya kerana pendidikan serta pegangan agama buat anak kembar mereka itu.

Beberapa hari selepas persembahan itu, satu sumber rapat dengan J.Lo mendedahkan bahawa perasaan sebak yang dialaminya pada konsert itu ada kisah tersendiri.

Sumber itu berkata, J.Lo bukan sengaja meraih simpati dengan menangis di atas pentas pada malam itu.

Katanya, penyanyi itu juga bukan menangis disebabkan penari latarnya berpakaian seperti Marc, Ben (Affleck) dan P Diddy tetapi semata-mata kerana teringatkan anak kembar kesayangannya.

Difahamkan, gambar dua anaknya itu bukan gambar sebarangan. Ia ketika mereka bergaya bersama J.Lo untuk iklan jenama mewah, Gucci.

Bagaimanapun, teori menangis kerana anaknya itu disangkal pula sebuah majalah terkenal di AS yang mendakwa dia menangis disebabkan terbayang seolah-olah persembahannya diiringi tarian Marc.

"Babak Marc dalam montaj yang dipaparkan itu benar-benar mencengkam perasaan J Lo. Ia menggambarkan perkara yang tidak disukai mengenai Marc dan sebahagian lagi pula seperti menunjukkan dia masih mencintai Marc.

"J.Lo kini sedang melalui satu frasa emosi yang sukar pada saat ini," kata sumber itu kepada pihak media.

Bagaimanapun, tiada kepastian apakah keceriaan dalam hidup J.Lo boleh mekar berikutan hubungan baru bersama aktor kacak Bradley Cooper yang terkenal dengan watak Will Tippin dalam drama TV, Alias.

Apa pula penjelasan J.Lo terhadap peminat setiap kali dia menitiskan air mata?

"Saya rasa mereka dapat merasai apa yang saya rasa. Anda sendiri tahu, saya seorang wanita biasa seperti orang lain. Ada masa hidup saya hebat dan ada masa sebaliknya," katanya kepada saluran hiburan, Access Hollywood.

Apa yang jelas, dia tetap yakin kepada cinta. Dia akui akan terus mencari cinta selagi hidup.

Sewaktu menyanyi pada konsert itu, J.Lo sempat menceritakan mengenai lagu If You Had My Love.

Pada penghujung konsert itu, dia sempat berkata: "Saya mengimbau semula semua kenangan dan memori lama. Saya tetap yakin mengenai masa depan dan berharap dapat jatuh cinta sekali lagi.

"Ada masanya cinta itu tidak menjadi dan sudah tentu ia menyedihkan. Apapun, saya tetap yakin pada kekuatan cinta sejati. Ia masih menjadi impian terhebat saya," katanya.

Bukan kali pertama J.Lo menangis di depan peminat. Dia pernah menangis menyaksikan peserta konsisten American Idol, Chris Medina tersingkir sekalipun bertindak sebagai salah seorang juri tetap bagi musim lalu.

Dalam majalah People edisi terbaru 2011, J.Lo turut dinamakan sebagai Individu Tercantik.

Dari sudut kerjaya seni, J.Lo memulakan karier sebagai penari untuk program televisyen In Living Color pada pertengahan 1990-an dan membintangi siri South Central.

J.Lo mula berlakon filem thriller, Money Train pada 1995 diikuti filem biografi, Selena pada 1997, Anaconda (1997), The Wedding Planner (2001), Maid in Manhattan (2002), Shall We Dance? (2004), Monster-in-Law (2005) dan The Back-up Plan (2010). Beberapa lagi filem lakonannya bakal ditayangkan pada 2012.

Setakat ini, J.Lo sudah menghasilkan tujuh album dengan album terbaru bertajuk Love? yang dilancarkan April tahun ini.

Selain melonjak dalam bidang hiburan, J.Lo juga banyak membuat kerja amal untuk hospital kanak-kanak di merata tempat.

Full content generated by Get Full RSS.

Bermain golf bersama selebriti

Posted: 28 Oct 2011 06:55 AM PDT

ACARA Golf Untuk Kebajikan Bersama Selebriti dianjurkan bukan saja untuk menyemarakkan lagi penganjuran Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM24), sebaliknya bersama-sama meningkatkan kesedaran orang ramai membabitkan anugerah berprestij bagi mengangkat martabat penggiat seni tanah air, saban tahun.

Lebih bermakna, acara ini dijayakan 20 selebriti popular tanah air iaitu Fauziah Latiff, Amber Chia, Betty Banafe, Ning Baizura, Farahdhiya, Sheera Iskandar, Harith Iskandar, Nancie Foo, Datuk Yasmin Yusof, Rahim Jailani, Ahmad Tarmimi Siregar, Carine Lee, Zoe Tan, Cassandra Patrick dan Abu Bakar Juah.

Tidak ketinggalan, acara ini menampilkan Pengerusi FFM24, Harun Salim Bachik, Datuk Andre Goh dan Datuk Yasmin Yusof untuk sama-sama memeriahkannya. Acara menarik ini dianjurkan Produksi Seni Duapuluh-Duapuluh Sdn Bhd dan pengelola Bersama Kaki Golf.

Pengelola FFM24 Golf Bersama Selebriti, Wani Wendy Wong Abdullah atau lebih dikenali sebagai Wendy Wong berkata, selain mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai FFM24, acara itu juga diadakan bagi membantu golongan anak seni tempatan yang tidak mampu menyara kehidupan mereka pada hari tua kelak.


"Seperti yang kita ketahui, jangka hayat seseorang artis dalam industri hiburan ini adalah pendek. Apabila seseorang artis mencecah kepada usia warga emas, peluang berlakon berkurangan kerana ia diambil alih artis muda pula.


"Golongan artis veteran kita perlu bantuan kewangan meneruskan kehidupan mereka apabila tidak lagi aktif berlakon kerana faktor usia.

"Acara ini juga dianjurkan bagi mengutip dana membantu golongan kurang bernasib baik. Dana itu juga disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia dan The National Autism Society Of Malaysia," katanya.

Majlis sidang akhbar FFM24 Golf Untuk Kebajikan Bersama Selebriti diadakan di Tropicana Golf & Country Resort, Selasa lalu. Hadir sama, Pengerusi Gafim, Jurey Latif Rosli; Penasihat 2 FFM24, Datuk M Daud Wahid dan Presiden Nasom, Datuk Danny Tan.

Selain itu, Penasihat Acara Golf, Datin Roselyn Lee; Pengurus Besar, Tropicana Golf & Country Resort, Harmen Tan; Pengelola Bersama, Nancie Foo; Pengerusi Jawatankuasa Malam Anugerah, Yusof Kelana dan Pengerusi Jawatankuasa Perasmian, Khir Mohd Noor.

Kata Wendy, Golf Untuk Kebajikan Bersama Selebriti ini menawarkan hadiah lumayan kepada peserta yang mengambil bahagian. Setiap peserta berpeluang mendapat 'goodie bag' bernilai RM3,000 membabitkan pakej bernilai RM2,000 iaitu penginapan satu malam di Bali, dua malam di Genting dan tiga malam di China.
Selain itu, baucer tunai membabitkan perhiasan Amee Phillips bernilai RM500 yang boleh ditebus di Lot 10.

"Acara ini membabitkan dua kategori yang dipertandingkan iaitu Trofi FFM24 dan Trofi selebriti. Pemenang acara ini berpeluang memenangi tiket penerbangan ke Dubai dengan Emirates Airline, perhiasan Amee Phillps bernilai RM3000, baucar VL Skincare bernilai RM500, Fusion Excell Quantum Pendant Bracelet, peralatan golf Carlyne dan hamper dari Marigold.

"Selain itu, pemenang akan mendapat langganan percuma selama setahun majalah Golf Malaysia Magazine, 10 baucar buffet daripada Tropicana Golf & Country Resort. Hadiah paling menarik menanti pemenang ialah Hole In One, rekaaan terbaru Audi A1 bernilai RM180,000," katanya.

Golf Untuk Kebajikan Bersama Selebriti ini akan berlangsung pada 10 November ini, jam 7 pagi di Tropicana Golf & Country Resort.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Nicole mahu anak Hamilton

Posted: 28 Oct 2011 08:52 AM PDT

LONDON: Hubungan cinta Nicole Scherzinger dengan Juara Formula 1 2008, Lewis Hamilton, putus selepas penyanyi kumpulan Pussycat Dolls itu didakwa mahu mereka berkahwin dan memulakan keluarga.

Selepas bosan kerana terpaksa meluangkan banyak masa ke atas Hamilton, Nicole didakwa mahu hubungan mereka ditingkatkan daripada sekadar pasangan kekasih.


Sumber rapat dengan Nicole berkata, penyanyi terbabit bercadang mahukan anak sejak Disember 2008.

Bagaimanapun, desakan itu ditolak Hamilton, 26, dan pemandu kereta Formula 1 daripada pasukan McLaren – Mercedes itu mengambil keputusan menamatkan hubungan mereka.


Hamilton dilaporkan mengaku kepada rakannya bahawa dia "belum bersedia untuk berkeluarga." Sumber berkata, Hamilton memutuskan untuk membawa haluan sendiri kerana Nicole, 33, meminta sesuatu yang tidak mampu diberikannya ketika ini.


Pada 2008, Nicole yang pernah menjadi juri program realiti X Factor versi Amerika Syarikat pernah membayangkan keinginannya berkeluarga.

Ketika ditemubual wartawan, Nicole berkata, dia merancang untuk mendapatkan anak bersama Hamilton pada satu hari nanti.


Namun, tindak balas Hamilton ialah dengan menamatkan hubungan mereka yang terjalin sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, Hamilton berkata, dia tidak sabar untuk menghabiskan cuti Krismas bersama keluarganya.


Menjelang perlumbaan Grand Prix pada hujung minggu ini, Hamilton berkata, situasi semasa memberi cabaran kepadanya selepas hubungan dengan Nicole berakhir.


"Apa yang penting ketika ini ialah, bagaimana anda melaluinya, tetapi dengan keluarga yang sentiasa membantu, saya bersedia," katanya. - DM

Full content generated by Get Full RSS.

Warga emas mengaku jual buah pinggang

Posted: 28 Oct 2011 08:50 AM PDT

NEW YORK: Seorang lelaki Israel mengaku salah di New Jersey, semalam, atas tuduhan menjadi orang tengah dalam pemindahan haram buah pinggang.

Levy Izhak Rosenbaum, 60, menghadapi tiga pertuduhan mendapatkan dan memindah organ manusia, serta tuduhan keempat berkonspirasi dalam sindiket perdagangan haram.


Dia membuat pengakuan itu di Mahkamah Persekutuan di Trenton.

Pendakwa berkata, di antara 2006 dan 2009, Rosenbaum menguruskan tiga pemindahan buah pinggang di antara penderma dan penduduk New Jersey.


Dia menerima bayaran di antara RM367,000 dan 459,300 atas kegiatannya itu.


Rosenbaum juga mengaku dia bukan baru terbabit dalam kegiatan perdagangan buah pinggang ketika ditangkap.

Rosenbaum kini ditahan sementara menunggu hakim menetapkan hukuman pada Februari ini. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved