Jumaat, 16 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Rekaan sesuai bentuk tubuh raja sehari

Posted: 16 Sep 2011 09:09 AM PDT

MENZAHIRKAN lakaran di atas kertas tidak sama dengan sepasang fabrik yang lembut dan cantik. Biarpun nampak mudah tetapi ilham yang diperoleh harus sesuai dengan peribadi empunya tubuh agar pakaian yang direka tidak nampak cacat celanya, malah beralun cantik pada tubuh si pemakai.

Berpegang pada prinsip itu, bagi pereka muda Arma Abdul Rahman, biarpun dia lebih menjiwai rekaan perkahwinan Adi Busana, namun dalam konteks atau realiti sebenar, pakaian yang terlalu avant-garde bukanlah menjadi impian mempelai, sebaliknya hanya sesuai untuk acara karpet merah saja.

Lantaran itu daripada idea kreatif dan berseni, dia menghasilkan rekaan berkonsepkan kontemporari dengan mengekalkan unsur feminin sesuai dengan cita rasa wanita timur yang inginkan kesopanan dan kelembutan dalam majlis perkahwinan.

Menurut Arma, walaupun wanita masa kini tampak moden, namun untuk majlis perkahwinan mereka tetap memilih pakaian yang mampu mengekalkan ciri kewanitaan, lembut dan menyerlah daripada segi rekaannya.


"Ini dapat dilihat pada sepasang baju yang mempunyai alunan menarik dan terletak cantik pada tubuh si pemakai. Malah, saya akan pastikan setiap rekaan juga sesuai untuk wanita bertudung. Justeru, ia tidak ketat, jarang dan menutup aurat. Lebih penting, perhiasan digunakan tidak terlalu mewah, bersih dan sederhana," katanya.


Arma yang berpengalaman menghasilkan rekaan perkahwinan selebriti seperti Mawi, Elyana dan Aida Gadis Melayu mengakui, walaupun dia menyediakan pakaian daripada rona terang seperti merah, kuning dan biru, warna pastel tetap menjadi pujaan dan gaya masa kini.

"Selain warna terang, rona perak, emas, coklat, kelabu, krim dan hitam bukan saja menjadi pilihan mempelai pada tahun ini tetapi menjelang 2012 nanti," jelasnya yang menggunakan satu ton warna kerana lebih eksklusif dan mewah berbanding fabrik dua warna.

Bagi menyerlahkan lagi penampilan, jika dulu dia sering menurut cita rasa pelanggan tetapi kini Arma lebih banyak memberikan pendapat mengenai rekaan yang sesuai dengan bentuk tubuh mempelai supaya hasilnya lebih anggun dan menawan.

"Kebanyakan pelanggan hanya tahu apa yang mereka mahukan tetapi mereka kurang arif mengenai rekaan dan konsep yang sesuai dengan bentuk tubuh mereka. Dalam hal ini saya banyak berbincang dan memberikan pendapat supaya apa yang dihasilkan bukan saja mampu menyerlahkan penampilan pada hari bahagia malah
turut memberi informasi mengenai fesyen dan gaya masa kini.

"Misalnya pengantin tinggi lampai sesuai dengan rekaan gaun ala empayar kerana akan menonjolkan keistimewaan mereka. Malah, saya banyak menghasilkan rekaan berbentuk gaun kerana lebih anggun dan nampak feminin untuk mempelai," katanya.

Selain menyediakan rekaan pakaian mempelai, Arma Abdul Rahman Wedding Couture
turut menyediakan perkhidmatan solekan pengantin, pelamin dan hantaran perkahwinan. Mempunyai Ijazah Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Arma mengakui bakat dalam bidang andaman bermula apabila dia diberi tanggungjawab membuat hiasan bilik tidur, hantaran dan cenderahati perkahwinan kakaknya yang diadakan di Cheras, Kuala Lumpur.

Dari situ, minat dalam bidang rekaan pakaian pengantin bermula dan dia terus menghasilkan rekaan untuk keluarga terdekat sebelum diperluaskan kepada rakan dan jiran tetangga.

Sehingga kini, Arma tampil eksklusif dengan pelbagai rekaan pakaian yang menjadi pilihan wanita bertudung. Keistimewaan pakaian pengantin yang dihasilkan terletak pada perincian manik sederhana namun memukau menerusi pemilihan padanan warna sesuai fabrik.

"Untuk majlis raja sehari, mempelai akan tampil lebih anggun dan menyerlah bukan saja menerusi padanan pakaian yang mampu menonjolkan keistimewaan bentuk tubuh tetapi juga akan memancarkan keserian wajah.

"Bagi wanita bertudung, keserasian di antara pakaian dan tudung sangat penting supaya kedua-duanya setanding dan seimbang," ujarnya.

Pusat sehenti seni warisan

Posted: 16 Sep 2011 05:56 AM PDT

SENI kraf mula berkembang di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak pada abad ke-19. Tukang kraf ketika itu bernaung di bawah pengaruh istana dan pembesar negeri, menjadikan seni kraf tempatan tidak berkembang dan digunakan sebagai kegunaan istana semata-mata.

Menurut laman web Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, pada 1930 sekumpulan pegawai awam Melayu dan Inggeris menubuhkan Persatuan Kesenian dan Pertukangan Melayu Kelantan.

Justeru, buat pertama kali, hasil kraf negara dipasarkan di bandar dan Singapura. Inilah bermulanya detik perkembangan seni kraf tempatan.

Jika berpandukan pada sejarah memang indah ceritanya. Namun, berapa ramai antara kita yang menghargai hasil bahan buatan tangan warisan budaya itu supaya diangkat martabatnya agar tidak hilang ditelan zaman?


Menyedari hakikat itu, pelbagai usaha dilakukan Karyaneka bagi memartabatkan hasil kraftangan agar ia terus kekal dan dikenali generasi akan datang.


Baru-baru ini, satu lagi stor menjual dan menempatkan pelbagai barangan kraftangan dari seluruh negeri dibuka di tengah kota Kuala Lumpur untuk tatapan pengunjung dan pelancong asing mahupun tempatan.

Pengurus Besar Karyaneka, Mansor Abd Latiff berkata, pembukaan Karyaneka di KL CityWalk berdasarkan lokasinya yang strategik kerana dikelilingi pejabat, hotel dan kawasan kediaman.

"Ia bukan saja memudahkan pelancong dan pekerja di sekitarnya meluangkan masa pada waktu rehat, malah keadaan tempat yang selesa juga memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pengunjung untuk berkunjung.

"Jauh daripada kesesakan lalu lintas dan mesra kanak-kanak adalah ciri terbaik bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung mendapatkan cenderamata di sini.

"Kawasan yang direka de–ngan pejalan kaki di sepanjang gerai juga memberikan pilihan terbaik bagi warga kota di sekitarnya menghilangkan penat selepas seharian menjalankan tugas di pejabat.

"Kehadiran gerai makanan dan perkhidmatan yang disediakan memudahkan pengunjung selain menjamu mata dengan kehadiran bara–ngan kraftangan dan lukisan di kawasan itu.

"Di sini, pemilihan barangan kraftangan terdiri daripada cenderamata korporat sehingga pakaian kanak-kanak," katanya ketika memperkenalkan stor terbaru Karyaneka yang dibuka sejak 8 Ogos lalu.

Antara barangan yang boleh didapati di situ ialah pakaian batik, cenderamata dan alat permainan tradisional seperti congkak.

Tambahnya, pengunjung akan disajikan dengan barangan berkualiti selain turut mengadakan pertunjukan terbuka sebagai satu program pembelajaran bagi mempelajari cara pembuatan kraftangan yang dijual di situ.

Karyaneka yang dibuka di KL CityWalk adalah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Krafta–ngan Malaysia, sebuah agensi kerajaan yang diamanahkan untuk pasaran kraftangan dan cenderamata dihasilkan pekerja mahir dan industri kecil.

Ditubuhkan pada 1982, ia menjadi pusat beli-belah sehenti bagi barangan kraftangan mempunyai pelbagai koleksi yang mencerminkan warisan etnik dan budaya di Malaysia termasuk batik tekstil, bakul rotan, sumpit, ukiran kayu dan cenderamata.

Sementara itu, bagi mereka yang masih belum mengetahui kewujudan KL CityWalk yang kini hampir siap dibina, ia dibangunkan sebagai ikon global bagi bandar Kuala Lumpur yang dapat dilihat perbezaannya dengan lokasi pelancongan lain.

Ia menjadi pusat beli-belah yang memiliki lorong pejalan kaki di samping mempamerkan gaya hidup kota.

Selain itu, KL CityWalk juga menjadi sampel kepada budaya yang ada di Malaysia kerana terdapat pelbagai warisan dan sejarah yang dirakam dan dipaparkan di situ.

Jika anda berkunjung di sini, terdapat pelbagai budaya tempatan, masakan dan barangan kraftangan yang ditonjolkan kepada pengunjung bagi merasai sendiri ketena–ngan dan keselesaan tanpa kesesakan lalu lintas.

Dibina dengan pejalan kaki sepanjang setengah kilometer dari Jalan P Ramlee hingga Jalan Pinang yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, ia mempunyai 54 deretan kedai dan 23 gerai yang meliputi gerai makanan, jualan runcit dan perkhidmatan.

Ia dikatakan kawasan yang strategik bagi menarik perhatian pengunjung atau pelancong kerana dibina di kawasan yang dikelilingi pejabat, kediaman dan hotel.

Pelbagai aktiviti dan sambutan perayaan bakal diadakan di KL CityWalk bagi menarik minat dan perhatian pengunjung untuk berkunjung ke situ.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Sindiket tipu 10 usahawan

Posted: 15 Sep 2011 12:27 PM PDT

KUALA LUMPUR: Satu sindiket diketuai seorang wanita licik dikesan menjadikan kaum hawa yang juga ahli perniagaan di seluruh negara sebagai sasaran dengan menawarkan projek bernilai jutaan ringgit membabitkan Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bermodalkan muzium PDRM itu sendiri sebagai pejabat operasi dan penyerahan tawaran tender, sindiket terbabit dipercayai didalangi 'orang dalam' memperdaya usahawan wanita yang tertarik pelbagai projek kerajaan dengan kes terbaru membabitkan penipuan RM10 juta.


Kegiatan mengaut untung mudah itu dipercayai dijalankan beberapa individu termasuk 'pegawai' PDRM sejak hujung tahun lalu dengan semua mangsa wanita yang pernah mendapat projek daripada agensi kerajaan dan berminat untuk menjalinkan usaha sama dengan PDRM.

Tidak cukup dengan itu, individu terbabit turut mengaitkan bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Robiah Abdul Ghani kononnya semua projek membabitkan muzium akan diluluskannya selain mendapat pulangan berlipat kali ganda.


Mangsa, Rosnani Sengari, 45, berkata dia diperkenalkan kepada suspek oleh jiran rakan kongsinya yang mendakwa mempunyai saluran tertentu untuk mendapatkan peluang perniagaan termasuk kerja pembinaan di muzium berkenaan.


Katanya, dalam pertemuan di rumah suspek di Senawang, Negeri Sembilan, wanita itu memperkenalkan dirinya pembantu khas kepada seorang pegawai kanan polis yang juga kurator muzium itu.

"Pada pertemuan singkat itu, suspek menunjukkan senarai barangan untuk dibekalkan kepada PDRM dan meminta saya datang ke muzium di Jalan Perdana untuk sesi penerangan selain urusan menandatangani dokumen berkaitan berhubung tender terbabit. "Wanita itu memaklumkan semua barangan akan dibeli PDRM dan saya diminta menyediakan bayaran RM70,000 sebagai modal untuk proses terbabit. "Selepas itu, saya dibawa berjumpa seseorang dikenali sebagai Hasbullah di sebuah bengkel tempat projek sepatutnya dijalankan," katanya ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat di pejabatnya, semalam.


Rosnani berkata, kerana yakin akan mendapat tender terbabit, dia menyerahkan wang secara berperingkat selama dua minggu kepada suspek dengan nilai keseluruhannya RM870,000 secara tunai dan cek.

Selepas itu, katanya, wanita terbabit menyerahkan dokumen pesanan kerajaan daripada bahagian logistik Bukit Aman berjumlah RM1.7 juta untuk membekalkan peralatan muzium terbabit menyebabkan dia yakin berurusan dengan pihak yang betul. "Awal Januari lalu, dia bertemu saya dan seorang lagi rakan niaga dan menyerahkan surat lantikan bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf muzium polis berjumlah RM4.5 juta. Melihat ia ditandatangani Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, saya bertambah yakin biarpun pada masa sama menantikan hasil 'pelaburan' awal seperti dijanjikan," katanya.


Namun, katanya, impian untuk mendapatkan semula modal dikeluarkan tidak menjadi kenyataan selepas tidak menerima bayaran yang sepatutnya menyebabkan dia mula mengesyaki sesuatu tidak kena.


Katanya, dia dan beberapa mangsa lain menghubungi wanita itu, tetapi hampa sebaik dimaklumkan bayaran berkenaan masih di dalam proses dan mula memberikan pelbagai helah setiap kali dihubungi.


Media juga berpeluang mendengar penjelasan suspek yang dihubungi ketika sidang akhbar berkenaan dan dia hanya memaklumkan tidak dapat berbuat apa-apa sebelum menamatkan perbualan.


Bagi menyelesaikan bebanan hutang semasa termasuk pinjaman lain, Rosnani terpaksa membuat pinjaman kepada along dengan kadar faedah antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan menyebabkan hubungan dengan ahli keluarga termasuk suaminya mula menghadapi masalah.


Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada pengadu mengenai perkara itu yang ditipu suspek sama dan hasil maklumat awal mendapati, ia dilakukan individu sama yang memperdaya usahawan khususnya wanita dengan tawaran projek kerajaan.


Sehubungan itu, katanya, SukaGuam akan membawa masalah itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk tindakan susulan selain bertindak menjadi peguam kepada mangsa demi memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.


"Berdasarkan kes, kami dimaklumkan ada 10 mangsa yang ditipu sindiket terbabit dengan menjadikan PDRM sebagai sasaran penyamaran. Saya akan merujuk kes ini kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bagi membantu mangsa. SukaGuam juga tidak mengenakan sebarang caj kepada mereka," katanya.

Belasah majikan guna rantai besi

Posted: 15 Sep 2011 11:53 AM PDT

AMPANG: Seorang majikan cedera di bahagian badan selepas dipukul dengan rantai besi oleh bekas pekerjanya yang menuntut wang gaji dalam kejadian di Pandan Mewah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berusia 36 tahun kerugian RM5,000 apabila bekas pekerjanya memecah cermin kereta Honda CRV menggunakan rantai pengunci motosikal.


Mangsa, Wong, 36, berkata, lelaki berusia 25 tahun itu juga cuba mencederakannya menggunakan parang, namun sempat mengelak dan melarikan diri.

Katanya, dia terkejut lelaki terbabit tiba-tiba menyerangnya dengan rantai besi tanpa berbincang.


"Saya terkejut dengan kedatangannya, tetapi cuba menenangkan dirinya dan mahu berbincang, namun tiba-tiba dia mengamuk mengambil rantai besi lalu melibas ke cermin kereta sebelum memukul badan saya.


"Nasib baik saya sempat melarikan diri, kalau tidak mungkin cedera teruk di bahagian badan," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki itu mengamuk kerana mahu menuntut wang gajinya, padahal dia melarikan diri dengan berhenti kerja secara tiba-tiba tanpa memberi notis.


"Saya cuba menghubunginya untuk bertanya hal itu, namun dia menutup telefon dan muncul di rumah saya sambil marah-marah kepada isteri sebelum memukul saya," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Pak Ku gagah

Posted: 15 Sep 2011 12:22 PM PDT

KOTA BHARU: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang kudung kedua-dua tangan dan kaki layak digelar 'OKU Super' berikutan kemampuannya hidup seperti manusia normal termasuk memandu kereta sejauh hampir 100 kilometer setiap hari.

Tuan Man Tuan Wel, 50, dari Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, cacat sejak lahir dengan keadaan tangan paras siku dan kaki setakat lutut.


"Cacat bukan halangan untuk saya meneruskan hidup. Melihat keadaan saya yang begini mungkin ramai tidak percaya saya mampu memandu kereta dan memanjat anak tangga ke tingkat dua tempat saya bekerja.

"Namun, itu yang saya lalui sejak bertahun lalu," katanya yang juga pembantu tadbir di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan sejak 2002.


Tuan Man berkata, dia juga tiada masalah membawa isteri dan anak makan angin dengan memandu dari Pasir Puteh, Kelantan ke Cameron Highlands.


Tuan Man atau mesra dengan panggilan Pak Ku, berkahwin dengan Robiah Abdullah, 41, dan dikurniakan tiga anak, Tuan Nur Qurratu Ainy Mardiah, 14, Tuan Nur Azim Qoyyum, 10 dan Tuan Nur Qasrina Amaniey Mardiah, 5.

Dia memandu Perodua Kancil yang diubah suai dengan kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas memperoleh lesen memandu kereta pada 2004.


Setiap hari bekerja, rutinnya ialah memandu dari rumah mereka di Pasir Puteh ke Kota Bharu untuk menghantar isterinya yang juga pembantu tadbir di Jabatan Akauntan Negara Kelantan, sebelum dia ke tempat kerjanya dan mengambil semula isterinya untuk pulang ke rumah pada petang.

"Bagi saya, kehidupan yang saya lalui sekarang kurang cabaran kerana sudah banyak kemudahan disediakan kerajaan kepada OKU.


"Bagaimanapun, saya masih berharap kerajaan membuka lebih banyak peluang kepada golongan seperti saya kerana masih ramai beranggapan OKU tidak berkemampuan menyumbang tenaga serta buah fikiran meskipun ramai yang berkelulusan tinggi," katanya.


Tuan Man yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berkata, dia mula bekerja pada 1991 termasuk di Putrajaya dan menempuh pelbagai cabaran, tetapi semangatnya tidak pernah pudar.


"Dulu ada yang tidak yakin dengan kemampuan saya, tetapi dengan usaha gigih dan kesungguhan, saya diserap ke jawatan tetap dan berpencen," katanya yang mempunyai ketinggian 126 sentimeter.


Menurut Tuan Man, meskipun ada pihak sudi menyumbangkan kaki palsu, dia menolak secara baik kerana lebih senang menggunakan kakinya yang asal.


"Bagi saya, menggunakan kaki yang separas lutut ini lebih memudahkan saya memanjat atau menuruni tangga di pejabat.


"Saya tidak memakai kasut kerana tidak selesa dan sakit," katanya yang aktif sebagai ahli Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insani).

Najib tunai janji

Posted: 15 Sep 2011 12:17 PM PDT

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengotakan janji beliau ketika mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada 2009 untuk mengkaji secara terperinci Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) apabila mengumumkan akta itu yang membenarkan seseorang ditahan selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan, dimansuhkan terus.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri dalam amanat julung kali disampaikannya sempena ulang tahun Hari Kebangsaan ke-54 dan Hari Malaysia di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini, malam tadi.


Sebagai ganti, kata beliau, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara keamanan, kesejahteraan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

"Di atas segalanya, kerajaan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara, apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.


"Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan yang masih dikekalkan bawah kuasa menteri," katanya.


Dalam ucapan yang turut disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan TVi itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan mana-mana individu tidak akan ditahan hanya kerana ideologi politik, malah kuasa melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecuali undang-undang berkaitan keganasan.

Beliau berkata, selain pemansuhan ISA, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa, malah tidak teragak-agak meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.


"Kajian semula komprehensif ini akan membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

"Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.


"Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa," katanya.


Najib turut berjanji kerajaan mengikut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul ketiga-tiga proklamasi darurat yang pernah diisytihar dulu ditamatkan kuat kuasanya.


"Sebagai yang ramai maklum, kecuali darurat akibat konfrontasi 1964 yang dibatalkan secara tersirat, semua proklamasi darurat lain yang diisytiharkan sebelum ini masih dianggap berkuat kuasa sehingga hari ini.


"Justeru, menginsafi bahawa realiti Malaysia sudah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan negara menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian.


"Agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka kerajaan kini, mengikut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang diisytihar dulu, supaya ditamatkan.


"Pada hemah saya sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau," katanya.


Beliau berkata, sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan dan pilihan yang putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupa bentuk negara pada masa hadapan yang akan diwariskan kepada generasi mendatang.


"Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latar belakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan," katanya.


Perdana Menteri berkata, bukan satu kelemahan untuk meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri.


"Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka apakah maknanya pencapaian kita hari ini? Apakah gunanya kita merancang pembangunan negara dengan begitu tersusun sejak merdeka?


"Apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?


"Jawapannya sangat jelas yakni langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan sudah rangka dan laksanakan sejak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Li Ning taja Zakry-Fairuz

Posted: 15 Sep 2011 09:32 AM PDT

SEJAK meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 21 Ogos lalu, Zakry Latif dan Fairuzizuan Tazari akhirnya memilih Li Ning sebagai jenama yang akan digunakan bagi meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

Penantian hampir sebulan itu disahkan Zakry semalam sekali gus menjadikannya bersama Fairuzizuan sebagai pemain kedua Malaysia mendapat penajaan produk China, Li Ning selepas Muhd Hafiz Hashim.


"Bermula hari ini kami menggunakan barangan Li Ning baik raket, kasut mahupun pakaian," kata Zakry yang memilih beberapa jenis raket dan kasut dari Li Ning kelmarin.

Katanya, Li Ning menajanya sama seperti yang diperoleh Lin Dan cuma dibezakan gaji bulanan yang mana syarikat pengeluar jenama sukan untuk tentukan mengikut kedudukan ranking dunia pemain.


"Kami lebih bermotivasi untuk meningkatkan ranking jika berhasrat mendapatkan pendapatan bulanan lebih baik.


"Ketika ini saya dan Fairuzizuan hanya ditawarkan gaji asas terendah kerana tiada ranking dalam ranking dunia selepas setahun dipisahkan." Zakry dan Fairuzizuan dipisahkan ketika berada di bawah payung BAM selepas kegagalan skuad negara membawa pulang Piala Thomas tahun lalu.

Zakry digandingkan dengan Hoon Thien How selepas melihat keserasian mereka pada suku akhir ketika menentang Denmark manakala Fairuzizuan dipasangkan bersama Ong Soon Hock.


"Kami belum pernah menggunakan barangan Li Ning, kini sedang mencuba raket dan kasut mana yang sesuai.

"Saya harap kami mampu menghasilkan keputusan terbaik, lebih baik berbanding dulu," kata Zakry.


Selain menaja barangan sukan dan pendapatan bulanan, Zakry dan Fairuzizuan juga ditawarkan bonus kemenangan selain penajaan perjalanan ke kejohanan anjuran jenama itu di seluruh dunia.


Selain Li Ning, Zakry-Fairuzizuan juga mendapat tajaan KLRC, kelab yang menaungi mereka sebagai pemain profesional selain beberapa lagi penajaan peribadi ahli korporat tanah air.


Zakry-Fairuzizuan yang pernah menjuarai Terbuka Singapura dan Indonesia pada 2008 dijangka bangkit kembali memahat nama sebaris beregu elit dunia kerana gandingan itu ternyata masih digeruni.


Malah, perburuan tempat ke Sukan Olimpik 2012 yang amat sukar untuk digapai gandingan itu bakal menjadi pencetus semangat memburu kejuaraan demi kejuaraan.

Kijang tiada tuah

Posted: 15 Sep 2011 09:27 AM PDT

KETUA Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengaku nasib tidak menyebelahi pasukannya walaupun mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol ketika tewas 0-2 kepada Felda United dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor, malam kelmarin.

Sambil menganggap segalanya tidak menjadi pada perlawanan ketiga itu, jurulatih berpengalaman dari Perak itu optimis anak buahnya mampu bangkit daripada kekalahan selepas ini.


"Kami beraksi cemerlang dengan menguasai hampir keseluruhan perlawanan tetapi ia belum cukup bagus untuk mengatasi lawan.

"Nasib tidak memihak kepada kami. Saya lihat sekurang-kurangnya 10 peluang untuk kami jaringkan gol tetapi gagal disempurnakan," katanya.


Menurut Karathu, pasukannya membuat kesilapan apabila membenarkan Felda United menjaringkan gol pertama dan ia tidak seharusnya berlaku kerana ia memberi kelebihan buat pasukan lawan. Katanya, peluang yang diperoleh di depan pintu gol juga gagal dimanfaatkan bagi mengikat jaringan awal Felda United sebelum bolos untuk gol kedua sekali gus memberi tekanan kepada Kelantan.


"Kami mempunyai beberapa peluang menerusi Azammuddin (Mohd Akil), Norshahrul Idlan (Talaha) dan Muhd Badhri (Radzi) yang menanduk liar pada ketika pintu gol pasukan lawan sudah terbuka "Kekalahan ini bukan bermakna kami tidak bagus dan banyak peluang meledak gol dipersia-siakan begitu saja," katanya.

Beliau yang akur dengan kekalahan pertama Kelantan itu tetap memuji persembahan ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan itu.


"Pemain tidak boleh dipersalahkan atas kekalahan ini kerana mereka sudah memberikan yang terbaik dan anda sendiri boleh lihat Kelantan lebih banyak menguasai perlawanan itu."

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Ayuh kita majukan Malaysia!

Posted: 15 Sep 2011 07:43 AM PDT

SEMANGAT cintakan negara begitu menyerlah dalam diri Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Ia dibuktikan menerusi penghasilan album patriotiknya, Abadi yang menampilkan lagu Warisan, Punch Card, Kehadiranku, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita.

Dalam album itu juga memuatkan lagu menggambarkan kebanggaan beliau pada pemerintah negara seperti Bapak (ditujukan kepada Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj) serta perpaduan kaum menerusi lagu Kul It! serta One Thousand Million Smiles.

Hingga kini, tidak dapat dinafikan lagu Sudirman masih segar di ingatan rakyat Malaysia pelbagai bangsa termasuk menyemarakkan kempen kerajaan memupuk semangat patriotisme. Lebih-lebih lagi, tatkala mengimbau memori Kemerdekaan Negara dan Hari Malaysia yang disambut kini.

Bukan sekadar meninggalkan lagu patriotik, malah anak seni kelahiran Temerloh, Pahang ini mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai Penghibur Nombor Satu Asia pada pertandingan Salem Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London, pada 1989.


Kejayaan 13 tahun lalu itu hingga kini menjadi sebutan ramai kerana Sudirman yang digelar Seniman Rakyat berjaya menewaskan penghibur dari lapan negara Asia lain iaitu Leslie Cheung (Hong Kong), Anita Sarawak (Singapura), Kuh Ledesma (Filipina) dan peserta dari Taiwan, Jepun, Korea, dan China.


Hari ini juga Sudirman kekal sebagai ikon artis muda termasuk juara One In A Million (OIAM), Suki Low turut merakamkan semula lagu Warisan yang juga cukup sinonim dengan Sudirman.

Selain itu pengarah filem terkenal, Saw Teong Hin juga baru selesai mengarah sebuah filem 'tribute' kepada Sudirman sebagai lambang perpaduan peminat muzik Malaysia.

Dalam bidang perfileman pula, Allahyarhamah Yasmin Ahmad menjadi pelopor pengkarya alaf baru apabila filem arahannya berjaya ditayangkan di peringkat antarabangsa.

Filem Sepet menang Filem Asia Terbaik pada 18th Tokyo International Film Festival, Pengarah Terbaik (Festival Filem Asia-Pasifik ke-54) manakala filem Mukhsin pula membolot trofi Filem Terbaik dan Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Antarabangsa Berlin, Jerman.

Seharusnya kejayaan Yasmin itu membakar semangat pengarah muda lain untuk mewarnai persada filem dengan karya bermutu. Walaupun Sudirman dan Yasmin kini sudah tiada mereka tetap dianggap sebagai wira-wira Malaysia dalam bidang seni.

Datuk Siti Nurhaliza

PENYANYI handalan negara ini semakin terkenal di rantau Asia Tenggara dan melakar sejarah apabila berjaya mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London pada April 2005.

Siti turut mendapat pengiktirafan penggiat luar negara dengan kejayaannya memenangi anugerah Artis Serantau Paling Popular pada Anugerah Planet Muzik (APM) dan MTV Asia Awards sebanyak empat kali.

Siti akui amat bersyukur menjadi anak watan malah bagi Siti, tempoh 54 tahun kemerdekaan Malaysia membawa sejuta rahmat kepada rakyat Malaysia.

"Apabila negara kita merdeka dan aman damai, Siti dan artis lain juga dapat berjuang melalui seni. Jadi, kepada golongan muda hari ini, Siti berharap mereka akan dapat menghayati erti kemerdekaan dan kebebasan yang kita sedang kecapi selama ini. Pertahankan kedaulatan dan kemakmuran tanah air kita kerana ia hasil perjuangan datuk nenek kita," katanya yang juga mahu menjadi usahawan Malaysia yang berjaya menerusi produk SimplySiti.

Kata Siti dia terus berazam memberikan yang terbaik kepada Malaysia. Menurutnya, perkembangan teknologi maklumat (IT) juga perlu diambil kira kerana sememangnya ia menjadi saluran informasi terbaru kepada masyarakat.

Berkongsi kenangan beraksi di Albert Hall, Siti berkata, ia memori yang cukup manis dan akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila.

"Ketika itu Siti amat berbangga kerana Siti membawa nama Malaysia dan beraksi dengan pemuzik orkestra yang ternama," katanya.

Terbaru Siti akan muncul dengan album Inggeris pertama yang memuatkan 10 lagu. Menariknya dalam album itu Siti bergabung dengan penyanyi Barat, Sean Kingston dalam sebuah lagu. Album itu akan dipasarkan hujung bulan ini.

Yuna

BAGI Yunalis Zarai atau Yuna, dilamar menghasilkan album untuk dipasarkan di Amerika Syarikat adalah satu peluang yang tidak boleh dilepaskan. Album penuh dihasilkan di bawah label Fader Label berpangkalan di New York dijangka menemui peminat akhir tahun ini.

Yuna berkata, semangat untuk mengekalkan identiti dan keunikan diri sendiri menjadi faktor utama untuk melangkah lebih jauh, terutama apabila berhadapan dengan persaingan.

"Pada saya apa yang penting kita harus bekerja keras, berani dan yakin dengan kerja sendiri. Apabila peluang itu datang kita mesti mengambilnya. Jangan ada rasa rendah diri kerana ia boleh menjadi penghalang untuk kita melangkah lebih jauh," katanya.

Yuna juga sedar untuk mengembangkan bakat di luar terutama di pasaran Amerika Syarikat, cabarannya cukup besar kerana berada di tempat orang.

Katanya, sebelum mencipta nama seseorang penyanyi atau pemuzik itu harus terlebih dulu memahami selok-belok industri di sana.

"Saya harus bekerja lebih keras kerana persaingan di sana lagi hebat. Industri di sana sentiasa mahukan sesuatu yang segar dan istimewa. Sebab itu apabila menghasilkan muzik di sana, paling penting saya pastikan menjadi diri sendiri," katanya.

Maya Karin Roelcke

MAYA atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, melakar sejarah sebagai pelakon wanita tempatan pertama menang Aktres Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 (FFAP49) di Fukuoka, Jepun diikuti kejayaan Maya di Festival Filem Seram & Fantasi Estepona di Malaga, Sepanyol menerusi Pontianak Harum Sundal Malam.

Pelakon berdarah kacukan Melayu dan Jerman itu membuktikan tiada perkara yang mustahil asal saja setiap anak seni tempatan sanggup bekerja keras untuk mencapai apa yang dicitakan selama ini.

"Apa saja bidang kerjaya, usaha dan kerja keras itu amat penting. Kita tidak seharusnya memandang ringan apa saja tugas diberikan. Jika bercita-cita tinggi, kita buatlah yang terbaik," katanya.

Maya akui trofi Aktres Terbaik di FFAP49 itu satu pencapaian cukup manis buatnya memandangkan saingan cukup besar jika dinilai dari sudut penyertaan karya dari negara terbabit dan juga genre filem.

"Saya bertuah dan bangga apabila dapat mengharumkan nama negara di negara luar menerusi bakat yang saya miliki. Pencapaian diperoleh tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

"Bagaimanapun ia berkat usaha keras dan kerjasama semua kakitangan produksi terbabit bagi memastikan filem dihasilkan benar-benar bermutu dan menarik," katanya.

Maya juga menegaskan, putus asa tidak pernah wujud dalam hidupnya sejak pertama kali membabitkan diri dalam dunia lakonan menerusi Seri Dewi Malam. Walaupun pada peringkat awal pelbagai kritikan diterima, ia dijadikan pembakar semangat untuk menjadi pelakon yang lebih baik.

Maya juga hebat apabila menang Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM21) melalui filem Anak Halal arahan Osman Ali pada 2007.

Afdlin Shauki

PENGARAH dan pelakon Afdlin Shauki bangga kerana industri perfileman tanah air kini semakin maju dan sudah berjaya menarik perhatian warga tempatan ke panggung dengan karya meyakinkan. Penerimaan penonton kini tidak dinafikan menunjukkan peningkatan amat baik.

Tidak hanya karya penggiat Melayu tetapi penggiat bukan Melayu juga turut menarik perhatian yang sekali gus menunjukkan ia adalah pencapaian industri filem Malaysia. Apa yang pasti, kualiti filem tempatan bertambah baik dan jumlah pembikinan pun makin banyak.

"Jika dulu, setahun penggiat seni tempatan hanya mampu menghasilkan sebanyak lima filem, tetapi kini pembikinan filem menjangkau hingga 50 filem setahun. Justeru, lambakan penghasilan filem yang besar ini juga menunjukkan peningkatan.

"Kos pembikinan filem juga berbeza yang mana ada berpendapat lebih besar kos maka hasil filem itu lebih baik. Bagaimanapun, harus diingat bahawa tidak semua filem yang kos pembikinannya kecil tidak bagus kerana apa yang penting karya berkualiti.

"Kini, saya memang melihat industri filem tanah air berada pada tahap sangat baik perkembangannya. Oleh itu, bagi memastikan ia terus bertahan kualiti karya harus diutamakan. Penggiat filem tempatan perlu sedar dan tahu apa kehendak penonton," katanya.

Berkongsi pengalamannya yang pernah bergandingan dengan Jodie Foster dan Chow Yun-Fat, katanya, ia pengalaman paling mencabar dan berharga.

"Saya masih ingat lagi, biarpun Jodie sudah selesai menjayakan babaknya, dia tidak terus meninggalkan lokasi. Berada di belakang tabir, Jodie pula membantu saya. Caranya membuatkan saya tidak berasa keseorangan dan itulah budaya kerja berpasukan.

"Mula-mula bekerjasama dengan Jodie, saya tergamam melihat cara kerjanya. Dia suka membantu antara satu sama lain," katanya.

Afdlin akan muncul dengan filem Misteri Jalan Lama yang menemui penonton di pawagam pada 24 November ini serta beberapa filemnya yang lain dijangka akan menjengah ke pawagam tahun depan.

Wak AG, Usop Wilcha cabar anda

Posted: 15 Sep 2011 07:11 AM PDT

MACAM-MACAM cara dilakukan stesen radio tempatan bagi mempromosikan siaran masing-masing. Terbaru, hadiah berjumlah RM60,000 menanti pendengar setia Hot FM menerusi peraduan 'Beraya Bersama Wak AG Dan Usop'.

Pengurus Besar Rangkaian Program, Rangkaian Radio Media Prwima, Anida Mohd Tahrim berkata, peraduan mudah dan sangat menarik ini dilihat sebagai salah satu cara menguji pendengar Hot FM untuk meneka nama lagu serta penyanyi.

"Caranya mudah. Seperti selalunya, pendengar perlu mendengar siaran Hot FM dan menunggu isyarat memanggil atau isyarat SMS ke udara. Seterusnya hantarkan SMS khas iaitu SMS BERAYA ke 33399 dan mereka yang terpantas akan dihubungi semula penyampai kami.

"Bagi Isyarat Memanggil pula, pendengar perlu menjadi pemanggil kelima menembusi talian Hot FM," katanya.


Dilancarkan pada 12 September 2011 selama tiga minggu, Anida berkata, pendengar hanya perlu meneka tajuk lagu bagi lirik yang dinyanyikan secara bersama atau bertindih oleh Wak AG dan Usop.


"Lirik yang dinyanyikan itu dipetik daripada lagu yang sama bagaimanapun disampaikan dengan cara berbeza oleh dua penyampai itu. Bersesuaian tema acara kesemua lagu yang diperdengarkan adalah berkisar hari raya.

"Sekiranya pendengar dapat meneka lagu dengan tepat, RM500 menjadi milik mereka. Jika gagal menjawabnya dengan tepat, wang itu dikumpulkan ke sesi seterusnya," ujanrnya.

Anida berkata, kadangkala kita hanya tahu artis yang menyanyikan sesebuah lagu tanpa ingat tajuk lagu itu.

"Justeru kali ini, Hot FM cuba menganjurkan kempen Beraya Bersama Wak AG Dan Usop kerana mahu menguji ingatan pendengar kami untuk meneka nama lagu serta nama penyanyinya.

"Cuma untuk lari daripada kebiasaan, kami meminta Wak AG dan Usop untuk menyampaikan lagu dalam cara mereka yang tersendiri. Ia tentulah lucu dan menghiburkan.

"Dalam pada keasyikan menyambut raya, kita juga akan bertambah peka dengan tajuk lagu raya yang memberi peluang kepada semua untuk memenangi wang RM60,000," katanya.

Sementara itu, ada satu lagi acara dianjurkan Hot FM iaitu 'Konti Terbuka' pada Jumaat, 23 September ini bermula dari jam 8 hingga 10 pagi. Isyarat Memanggil akan bermula pada 12 September 2011.

Pendengar hanya perlu mencipta mencipta serangkap pantun empat kerat dan menjual pantun tersebut apabila mendengar Isyarat Memanggil di Hot FM. Jika mereka bernasib baik, mereka bersama dua rakan masing-masing menerima jemputan istimewa ke majlis Konti Terbuka Hot FM.

Bukan sekadar bertemu barisan penyampai seperti Fara Fauzana, Faizal Ismail, AG, Usop, Kieran, Ikhwan, Suraya, Deen dan Chad, pemenang bertuah juga hiburkan artis jemputan seperti Aizat dan Jaclyn Victor.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kali pertama lihat wajah adik

Posted: 15 Sep 2011 09:03 AM PDT

MEMPHIS: Mereka adalah pasangan kembar yang dilahirkan menerusi pembedahan caesarean pada Januari, enam minggu lebih awal dari tarikh mereka sepatutnya dilahirkan.

Dan bercantum pada pangkal tulang belakang menjadikan peluang kanak-kanak itu untuk hidup semakin tipis.


Dalam apa yang dianggap sebagai keajaiban bidang perubatan, Joshua dan Jacob Spates selamat selepas menjalani pembedahan selama 13 jam untuk memisahkan mereka.

Dan gambar menunjukkan, kedua-dua beradik itu yang selama ini tidak pernah melihat satu sama lain, akhirnya boleh berbuat demikian.


Kembar berusia lapan bulan dari Memphis, Tennessee itu berterusan menjalani pemulihan di bawah pengawasan doktor. Bagaimanapun, mereka sudahpun mengatasi apa yang mungkin menjadi penghalang terbesar yang akan mereka hadapi.


Kembar itu bercantum di bahagian belakang pelvis dan salur gastrousus perlu dipisahkan kerana keadaan jantung Joshua yang teruk.

Ibu kanak-kanak itu, Adrienne Spates berkata, pasangan kembar itu sihat sejak menjalani pembedahan pada 29 Ogos lalu.


Jacaob masih berada di bawah penjagaan rapi dan perlu menjalani beberapa pembedahan lagi sementara Joshua sudahpun dikeluarkan dari unit itu serta dipersiapkan untuk dibawa pulang.

Dr Max Langham, antara pakar bedah di Hospital Kanak-Kanak La Bonheur di Memphis berkata: "Joshua sihat dan kami berharap dia akan menjalani kehidupan normal.


"Walaupun Jacob mempunyai masalah jantung yang serius, pasukan kardiologi kami menaruh harapan yang tinggi rawatan yang diberikan terhadapnya akan berjaya.


"Jika tidak dipisahkan, umur mereka mungkin setakat setahun atau dua lagi." — Agensi

Gambar bogel Scarlett tersebar di Internet

Posted: 15 Sep 2011 08:54 AM PDT

LOS ANGELES: Pelakon seksi, Scarlett Johansson semalam membuat laporan kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selepas gambar bogelnya tersebar di Internet.

Satu daripada gambar itu menunjukkan bintang Hollywood berkenaan terbaring dalam keadaan telanjang bulat di atas katil.


Satu lagi menunjukkan dia memakai tuala dengan pinggulnya yang terdedah kelihatan pada cermin.

iPhone aktres itu dipercayai digodam Mac lalu, bersama-sama dengan telefon bimbit puluhan bintang filem seksi lain.


Gambar Scarlett yang dirakamnya sendiri kini beredar di beberapa laman rangkaian sosial. Sindiket menggodam yang mensasarkan lebih 50 selebriti wanita dipercayai bertanggungjawab terhadap kecurian itu.


Sumber polis mendakwa bahan itu dikesan pada seorang lelaki, dipercayai pemimpin kumpulan sindiket itu.

Mangsa lain, termasuk bintang Hannah Montana, Miley Cyrus, 18, aktres, Jessica Alba dan penyanyi pop, Christina Aguilera, masing-masing berusia 30 tahun.


Pakar keselamatan Internet, Beth Jones berkata: "Anda akan terselamat jika tidak mengambil gambar anda dalam keadaan telanjang." - Agensi

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved