Selasa, 25 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kanak-kanak bina sahsiah diri

Posted: 25 Jun 2013 05:54 AM PDT

Lenggok badannya dipersembahkan mengikut dendangan irama rancak. Ditambah dengan wajah comel dan masih cilik, tentunya gelagat penari kanak-kanak itu mencuri perhatian se­siapa saja yang menyaksikan persembahan mereka.

Begitulah juga tatkala penulis diberi peluang melihat sendiri aksi penari cilik ini ketika berlatih di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun ketika itu sudah menunjukkan jam 9 malam, mereka masih bertenaga dan bersemangat untuk berlatih menari dengan wajah gembira.

Di bawah satu nama, Artis Cilik Setiawangsa (Arcisa) menghimpunkan kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam dan berbakat dalam dunia tarian.

Foto

PENARI cilik menunjukkan bakat masing-masing.


Lebih menarik, semuanya begitu seronok dan menghayati alunan lagu yang didendangkan bersama pergerakan yang diajar pengasas Arcisa yang juga pengurus dan jurulatih tarian, Nazari Zain atau lebih mesra disapa Cikgu Nazri dalam kalangan anak didiknya itu.


"Saya sangat suka dengan kanak-kanak dan menganggap otak mereka perlu dirangsang menggunakan perkara yang berfaedah. Tujuan saya melatih kanak-kanak menari untuk membantu mereka memberi keseimbangan antara akademik dan aktiviti kokurikulum.

"Untuk menjadikan otak lebih banyak berfikir dan digunakan dengan betul, aktiviti tarian antara cara yang baik.

"Mereka banyak belajar mendengar, mengingat, melihat dan bekerja dalam kumpulan. Berbanding menghabiskan masa dengan bermain, ia ternyata satu kelebihan yang tidak diperoleh kanak-kanak sebaya lain," katanya.

Tujuannya mengajar tarian kepada kanak-kanak perempuan juga mahu menjadikan mereka lebih bersikap sopan, lembut, berdisiplin dan matang.

Baginya, bukan semua kanak-kanak mempunyai minat sama terhadap tarian. Justeru, Cikgu Nazri lebih gemar menggunakan teknik psikologi ketika mengajar tarian supaya mereka selesa dan tidak mudah bosan untuk mengasah bakat masing-masing.

Mempunyai 27 penari cilik berusia antara lima hingga 12 tahun dan banyak membuat persembahan tarian di majlis perkahwinan mahupun korporat, Cikgu Nazri tidak pernah berasa susah mengajar mereka berbanding orang dewasa kerana kebanyakannya mende­ngar kata.

"Saya banyak menggunakan rentak yang rancak sama ada tarian tradisional, Bollywood, Arab, Korea dan 60-an bagi menarik minat mereka.

"Saya tidak mahu pengetahuan yang ada dibiarkan begitu saja. Saya mahu berkongsi pengalaman dan langkah tarian yang me­nyeronokkan kepada generasi ini sejak mereka masih muda lagi," katanya yang pernah menjadi penari Kumpulan Angkatan Seni Alor Setar (ASAS) dan Artis-Artis Negeri Kedah (ANIKA) ketika zaman mudanya.

Bawa banyak perubahan

Ibu penari cilik, Julaiqha Natasya Nazrul Hishan, 11, dan Julaiqha Nur Natrisha, 8, mengakui gembira apabila kedua-dua anaknya didaftarkan di kelas Cikgu Nazri.

Malah Juriah Mohamed, 31, melihat banyak perubahan bukan saja kepada sikap anaknya, malah prestasi pelajaran mereka di sekolah juga semakin meningkat.

Ia bermula daripada minat yang ditunjukkan anak sulungnya, Natasya sejak usianya tujuh tahun. Ketika itu, anaknya tidak terpilih memasuki kelab tarian di sekolahnya.

"Apabila pulang dari sekolah, dia beritahu saya mengenainya dan terus menangis. Dari situ baru saya dapat kenal pasti minatnya yang lebih terarah kepada seni tarian.

"Kemudian, ketika anak berusia sembilan tahun saya mendapat tahu mengenai kelas tarian ini. Selepas melihat sendiri kanak-kanak ini berlatih tarian, hati saya terdetik untuk membenarkan anak belajar menari.

"Selepas setahun belajar menari, barulah anak saya sekali lagi memilih kelab tarian di sekolahnya dan akhirnya dia terpilih," jelasnya.

Tambahnya, anak sulungnya itu mula aktif ­dengan menyertai pertandingan tarian di Thailand pada 2012 bagi mewakili sekolahnya dan memenangi tempat kedua.

Tidak berhenti di situ, Natasya sekali lagi membuktikan minat dan bakatnya dengan menyertai pertandingan tarian pada awal 2013 di Cameron Highlands dan berjaya menyandang naib juara.

Lebih menarik, dia kini menunggu masa untuk terbang ke Thailand sekali lagi bagi menyertai pertandingan sama bersama rakan kelab tarian di sekolahnya.

"Apabila si adik melihat kejayaan kakaknya membuat persembahan tarian, dia turut meminati bidang yang sama.

"Jika anak minat, saya beri sokongan dan menggalakkan mereka menari kerana dapat melihat kegembiraan di wajah masing-masing.

"Bagi saya tidak salah untuk mereka belajar menari kerana bidang seni dan muzik juga penting bagi menggalakkan minda anak berkembang dan menjadikan mereka lebih berani apabila berhadapan dengan orang ramai," katanya.

Jelasnya, pendedahan awal sebegini perlu bagi mengenal pasti minat dan bakat sebenar anak sejak kecil.

Apa saja pilihan si kecil, dia akan memberi sokongan sama ada anaknya akan meneruskan minatnya dalam bidang seni atau memilih bidang lain, sesuai dengan bakat masing-masing.

Baginya, mendedahkan dua orang anaknya dalam bidang tarian tradisional memberi kelebihan kepada diri mereka pada masa depan kerana melihat bidang berkenaan yang mempunyai prospek yang baik.

"Tarian tradisional harus dipelihara malah bagi saya, ia perlu disemai dalam diri anak kecil sejak awal lagi.

"Selain tarian, saya juga menghantar mereka ke kelas muzik seperti biola dan piano bagi membolehkan mereka mencuba pelbagai bidang seni dan mengutip pengalaman," katanya.

Sementara itu, Murni Musa, 32, turut mempunyai alasan sendiri yang menyebabkan dia mengambil keputusan menghantar tiga anaknya menyertai kelas tarian berkenaan.

Ia bermula pada cuti sekolah 2010 bagi memenuhi masa terluang anaknya ­dengan aktiviti berfaedah daripada menghabiskan waktu dengan bermain saja.

Menyedari minat masing-masing, dia mengambil keputusan untuk menghantar tiga anaknya, Nur Adeela Batrisiya Muhamad Bahar, 8; Nur Ameera Batrisyia, 9, dan Nur Aleeya Batrisyia, 11, ke kelas tarian.

"Saya mencari aktiviti yang sesuai dengan minat anak-anak, kemudian saya lihat di Internet dan mendapatkan maklumat mengenai kelas tarian ini.

"Kelas yang diadakan setiap Jumaat bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam itu saya rasakan tidak menjejaskan prestasi pelajaran dan tumpuan mereka di sekolah.

"Malah pada hujung ming­gu sama ada Sabtu atau Ahad, kadangkala mereka membuat persembahan tarian. Saya lihat anak-anak tidak berasa tertekan dan mereka boleh berusaha sendiri untuk memastikan pelajaran tidak terjejas," katanya.

Dia juga dapat melihat banyak perubahan sikap anaknya misalnya mereka lebih berdisiplin selepas menyertai kelas tarian berkenaan.

Dalam bidang pelajaran pula, Murni pernah mengingatkan anak-anaknya dia tidak teragak-agak memberhentikan mereka daripada kelas tarian jika mereka tidak mampu menumpukan perhatian terhadap pelajaran di sekolah.

Tidak mahu minat terhalang, anak-anak Murni sentiasa berusaha bagi memastikan pelajaran mereka sama meningkat dengan perkembangan tarian mereka.

"Biasanya, saya menghantar anak-anak ke kelas tarian dan kadangkala melihat sejauh mana perkembangan mereka. Saya tidak pernah paksa mereka untuk melakukan aktiviti yang digemari malah memberi peluang kepada mereka untuk memilih.

"Jika mereka serius untuk meneruskan minat dalam bidang tarian, tidak menjadi masalah pada saya kerana itu minat mereka.

"Bagi saya, hobi ini merangsang minda anak untuk lebih berdisiplin, matang dan sopan walaupun di luar kelas. Malah, apabila mereka biasa membuat persembahan tarian di depan orang ramai, ini sekali gus akan memperbaiki kemahiran berkomunikasi dan lebih penting membantu mening­katkan keyakinan diri," katanya.

Jelasnya, jika dulu anak­nya mungkin pemalu, namun sejak menjadi penari, mereka lebih berani dan mempu­nyai keyakinan diri.

Sentiasa aktif, tetap cemerlang

Ramlah Osman, 50, begitu mengambil berat setiap aktiviti diminati anak perempuannya yang berusia sembilan tahun. Puteri tung­galnya itu mula menyertai kelas tarian berkenaan sejak berusia lima tahun.

Intan Nurul Alissa Ibrahim dimasukkan ke dalam kelas tarian itu kerana Ramlah melihat dia seolah-olah keliru dan mencari sesuatu aktiviti yang digemarinya.

Bagi membantu anak­nya itu, Ramlah mengambil keputusan menghantarnya ke kelas tarian. Apabila dia menyedari anaknya semakin cergas selepas mengikuti kelas berkenaan, dia berasa tidak sia-sia menghantar anaknya belajar menari.

"Pelajaran anak memang tidak pernah merudum sejak dulu lagi. Malah, prestasinya kekal baik walaupun sibuk dengan kelas dan persembahan tarian pada hujung ­minggu.

"Fikirannya juga lebih matang berbanding rakan sebayanya yang lain dan tahu memilih perkara yang buruk atau baik sebelum membuat keputusan.

"Berbanding kanak-kanak lain, anak saya lebih suka memilih buku dan bermain permainan menguji kecerdasan jika ada masa terluang," katanya.

Sebagai ibu, pastinya ia begitu menggembirakan, apatah lagi guru di sekolah juga kerap memuji sikap anaknya yang rajin membantu selain berdisiplin.

Tambahnya, bukan itu saja malah sikap anaknya yang lebih berani dan yakin membuatkan dia sering dipilih menyertai pertandi­ngan bercerita di sekolah.

Bagi Ramlah, tiada lain yang diinginkan melainkan anaknya itu mempunyai masa depan yang cerah. Pendedahan awal yang dilakukan dalam bidang tarian ­dengan harapan supaya pemikiran dan masa depan anak lebih berkembang pantas.

Ia juga bagi memastikan anaknya itu terdedah dengan keadaan atau perkara yang berlaku di sekelilingnya supaya tidak berasa takut dan lebih berani untuk mencapai impian.

Selain itu, dia juga mahukan anaknya itu mempunyai sikap berdikari menerusi pendedahan seperti itu sejak kecil lagi.

Walaupun sibuk ­dengan tarian, apa yang membang­gakan Ramlah, setiap tahun pasti anaknya akan menghadiahkan dirinya dengan anugerah cemerlang prestasi terbaik di sekolah­nya.

Menerusi galakan Ramlah terhadap anaknya untuk melakukan aktiviti lain seperti mewarna dan berenang selain menari, ia memberi peluang kepada diri si kecil menikmati keseronokan dalam hidup di samping me­ngurangkan tekanan selepas waktu persekolahan setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Sirih junjung pembuka kata

Posted: 25 Jun 2013 05:45 AM PDT

Biarpun gaya hidup semakin moden,­ sirih junjung masih tidak dilupakan sebagai gubahan hantaran pelengkap bagi majlis pertunangan mahupun perkahwinan.

Konsep ketinggian gubahan sirih junjung tidak lagi diambil kira, namun kehadirannya masih diutamakan sebagai simbol dan adat pada majlis meraikan bakal mempelai.

Ini turut dipersetujui penggubah bunga dan hantaran perkahwinan June Florist, Roshafizah Shalan. Baginya, kebanyakan bakal pengantin hari ini tidak lagi mementingkan aspek tinggi atau rendah gubahan sirih junjung.

"Asalkan ia tetap segar apabila sampai ke rumah pasa­ngan mereka, itu sudah mencukupi. Justeru, jika mereka ingin menempah gubahan sirih junjung yang menggunakan bunga hidup, faktor jarak memang penting.

Foto

SEDIAKAN daun sirih, bunga kekwa dan mawar merah, daun puding, lidi, pembalut warna hijau dan span basah.

Foto

GUNAKAN belakang daun sirih dan gulung pada lidi. Kemudian ikat menggunakan pembalut warna hijau.

Foto

CUCUK daun sirih dengan bahagian tengah lebih tinggi.

Foto

AMBIL bunga mawar merah dan cucuk di celahan daun sirih.

Foto

GUNAKAN bunga kekwa putih bersaiz kecil bagi menutup bahagian span yang terdedah.

Foto

DAUN puding digunakan pada bahagian bawah gubahan sirih junjung untuk tampak lebih semula jadi.

Foto

GUBAHAN sirih junjung ringkas sedia dihadiahkan kepada pihak lelaki atau perempuan.

Foto

ROSHAFIZAH bersama gubahan hantaran perkahwinan dihasilkannya.


"Ini bagi memastikan sirih junjung kekal segar dan menarik apabila tiba di rumah keluarga pihak lelaki mahupun perempuan.


"Bagi memastikan bunga atau daun sirih tidak layu, curahkan air di bahagian atas daun atau pada span bagi mengekalkan kelembapan­nya," katanya.

Jika mahukan bunga segar dalam tempoh lebih lama, gunakan lidi sebagai pengganti bahagian batang bunga kerana ia mudah rosak apabila terlalu lama terdedah dalam air.

Bukan itu saja, pemilihan warna bunga juga tidak boleh melebihi daripada tiga warna (tidak termasuk putih) bagi memberi keseimbangan kepada gubahan dan mengelakkan gubahan tampak sarat.

Roshafizah yang menerima tempahan gubahan bunga dan hantaran perkahwinan mula membuka perniagaan sejak akhir 2011.

Minatnya dalam gubahan dipupuk sejak kecil apabila dia selalu menghabiskan masa menolong kakaknya yang juga menjalankan perniagaan membabitkan bunga selepas habis waktu sekolah.

Menerusi kemahiran dipelajari daripada penggubah berpengalaman, akhirnya dia mampu membuka perniagaan sendiri.

Bagi mereka yang ingin menghasilkan gubahan sirih junjung yang ringkas dan kemas, ikuti langkah mudah ditunjukkan Roshafizah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Lemas tunggu hidangan sarapan

Posted: 24 Jun 2013 10:47 AM PDT

Klang: Seorang lelaki yang menghabiskan cuti hujung minggu bersama 12 rakannya di sebuah kelong Kampung Nelayan, dekat sini dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menunggu hidangan sarapan kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Kehilangan mangsa, G Banamasi Kasseem 25, pada mulanya hanya disedari beberapa rakan mangsa, yang mendengar kocakan air kuat selain jeritan meminta tolong sebelum mereka berusaha menyelamatkannya dengan mencampakkan pelampung dan jaket keselamatan.


Bagaimanapun, usaha berkenaan gagal apabila mangsa gagal mencapai alat keselamatan berkenaan sebaliknya terus tenggelam menyebabkan pekerja kelong rakit berkenaan segera menghubungi pihak bomba.

Pemangku Ketua Balai Bomba Pelabuhan Klang Nazri Maziani berkata, mangsa yang juga pelajar Universiti Antarabangsa Madinah (MEDIU) Shah Alam dikatakan pergi memancing bersama-sama 13 rakan yang lain dan menyewa kelong yang diusahakan penduduk Kampung Nelayan di sini.


Berdasarkan maklumat awal, katanya, rakan mangsa yang sedang menyediakan sarapan terdengar kocakan air seperti benda terjatuh lalu terlihat mangsa di sebelah kiri kelong lalu rakan mangsa melemparkan jaket keselamatan untuk menyelamatkannya tetapi mangsa sudah berada jauh dari kelong.


"Kita menerima panggilan kecemasan jam 10.45 pagi dan tiba di lokasi beberapa minit kemudian untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat menggunakan bot bomba, polis dan lapan bot nelayan membabitkan 26 anggota dari pelbagai agensi selain penduduk kampung," katanya.

Foto

ANGGOTA bomba melakukan pencarian Banamasi selepas dia dikatakana terjatuh ke dalam air.

Nazri berkata, cuaca jerebu menyukarkan operasi mencari mangsa kerana anggota penyelamat bimbang insiden seperti kemalangan antara bot jika kerja menyelamat dilakukan secara tergesa-gesa.


Beliau berkata, berdasarkan ketumpatan air dalam keadaan masin dan suam, jangkaan untuk mangsa timbul adalah selama tiga hari jika mayat mangsa tidak dibawa arus deras atau air pasang tinggi.

Harian Metro mendapati selain pasukan penyelamat beberapa penduduk turut mengadakan upacara ritual serta doa selamat bagi memudahkan mayat mangsa ditemui dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Ahli silap mata terapung di udara

Posted: 24 Jun 2013 08:49 AM PDT

London: Orang ramai di sekitar London semalam terpukau dengan aksi terbaru ahli silap mata Dynamo apabila dia 'terapung-apung' di sisi bas dua tingkat, semalam. Penghibur kelahiran Bradford itu berada di kira-kira 4.6 meter di udara di sisi bas sambil menyeberangi Jambatan Westminster di London.

Sambil tersenyum ke arah kamera, Dynamo, 30, terus 'terapung-apung' sambil sebelah tangannya diletakkan pada bumbung bas berkenaan.


Dynamo - atau nama sebenarnya Steven Frayne - melakukan aksi itu dengan bantuan polis yang memastikan laluan digunakan bebas daripada sebarang kenderaan lain. Beberapa individu bertuah diberi peluang menaiki bas dua tingkat yang bergerak seiringan dengan Dynamo dan mereka kelihatan takjub dengan persembahan itu. Mereka juga tidak melepaskan peluang merakamkan aksi itu menggunakan kamera masing-masing. Aksi itu menarik perhatian kerana orang ramai gagal menjelaskan bagaimana Dynamo boleh 'terbang' begitu tanpa sebarang alat bantuan.

Dynamo kini menjadi wajah terbaru untuk promosi minuman Pepsi Max.


Sebelum ini Dynamo pernah memukau orang ramai dengan pelbagai helah unik, termasuk kemampuannya berjalan di atas air. Namanya menjadi sebutan pada tahun 2011 apabila dia 'berjalan' melintasi Sungai Thames sambil mempromosikan siri terbarunya di televisyen bertajuk Magician Impossible.


Di samping itu, dia juga pernah 'mengapungkan' selebriti Britain, Matt Lucas di depan orang ramai di Stadiuam Emirates dan menukar tiket loteri menjadi wang tunai di depan Robbie Williams serta Davina McCall. - Agensi

Foto

DYNAMO mendepangkan tangannya ketika bas dua tingkat terus berjalan beriringan.

Foto

DYNAMO kelihatan bersahaja ketika terapung di sebelah bas melintasi Jambatan Westminster.

Foto

ORANG ramai terpegun melihat aksi Dynamo.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Polis buru lelaki adakan hubungan seks dengan basikal

Posted: 24 Jun 2013 08:38 AM PDT

Stockholm: Polis di Sweden melancarkan gerakan memburu seorang lelaki yang dirakam mengadakan seks dengan basikal.

Lelaki itu dilihat melakukan perbuatan itu selepas pemilik basikal berkenaan memasang kamera litar tertutup di luar rumah untuk menangkap orang yang sering membocorkan tayar basikalnya.


Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian tutup kepala mencelapak di atas tayar belakang sambil memegang kertas.

Dia kemudian memancitkan tayar itu dan beronani ketika ia kempis.


Polis di bandar Osterlund melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada perbuatan lelaki itu ada kaitan dengan beberapa kejadian jenayah di kawasan berkenaan pada 2007.


Ketika itu, seorang lelak yang berusia kira-kira 35 tahun ditangkap kerana memancitkan tayar 20 basikal sebelum beronani sambil mencelapak di atas basikal berkenaan.

Sementara itu, pemilik basikal Per Edstrom berkata, dia tidak mendendami lelaki berkenaan sebaliknya hanya mahu dia menghentikan perbuatannya itu.


"Saya tidak takut dengan dia. Hanya sakit hati kerana sentiasa terpaksa membetulkan tayar basikal saya," kata Edstrom. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Despicable Me 2 ke 3D

Posted: 24 Jun 2013 06:13 AM PDT

Bukan niat asal pihak pembikin filem 'Despicable Me 2' untuk mereka babak 3D hanya untuk 3D semata-mata. Sebaliknya, mereka ingin menggunakan teknologi tersebut untuk membawa penonton lebih mendalami dunia Gru, Margo, Edith dan Agnes.

Buat Cinco Paul dan Ken Daurio, sepanjang proses penulisan mereka cuba mencari peluang untuk memasukkan elemen 3D tetapi hanya jika ia masuk akal. Dan bila anda menulis sebuah cerita yang menampilkan penjenayah paling macho diturunkan ke dalam sebuah gunung berapi dengan seekor ikan jerung diikat di belakangnya, senario yang dipersembahkan cukup berasas untuk 3D.

Penerbit Chris Meledandri percaya 'Despicable Me 2' sesuai dipersembahkan dalam 3D. Lebih-lebih lagi bila pengarah Pierre Coffin dan Chris Renaud menyukai urutan cerita yang berskala. Ini jelas kelihatan di dalam filem pertama dari percubaan mencuri piramid ke pengembaraan mereka di Super Silly Fun Land dan pelan mencuri bulan.

Satu lagi alasan mengapa sekuel ini sesuai untuk 3D bukan sahaja disebabkan skop dan skala set tetapi tarikan penonton di seluruh dunia dengan cara terbaik menggunakan elemen 3D di layar perak.


Melalui watak baru Lucy Wilde yang merupakan teman sepasukan Gru di Anti-Villain League, para pereka telah memperkenalkan beberapa gajet milik Lucy yang cukup menakjubkan dalam kesan khas 3D. Dari sebuah dompet yang boleh ditukar menjadi 'hand glider', di samping menyimpan sebuah pelontar api mini dan taser gincu. Dia juga memiliki sebuah semburan yang mampu mengesan sebarang pencetus penggera laser.


Untuk melihat sendiri kemantapan kesan khas 3D 'Despicable Me 2', jangan lupa menontonnya di pawagam bermula 4 Julai 2013.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

'Achey sudah ada bakat semula jadi'

Posted: 24 Jun 2013 06:03 AM PDT

Bermula pada kedudukan yang cukup selesa kemudian graf persembahannya me­nurun, namun itu tidak menghalang Mohd Nasir Hamzah, 27, atau Achey bangkit dengan persembahan menghiburkan menerusi malam final Bintang Mencari Bintang (BMB) di Stadium Melawati, Shah Alam, malam kelmarin, sekali gus muncul juara musim pertama program itu.

Memilih topik ring­kas namun dekat di hati masyarakat, persembahan bersahaja Archey sama ada beraksi secara solo untuk segmen pertama mahupun bersama mentornya, Harun Salim Bachik di segmen kedua, meyakinkan peminatnya untuk menobatkannya sebagai juara BMB, program realiti yang baru diperkenalkan TV3, tahun ini.

Nyanyian Achey menerusi lagu Anggapanmu (Ziana Zain), September (Datuk Sharifah Aini) dan Gadis Pilihan (Harun Salim Bachik dan Jalil Hamid) yang diubah sedikit liriknya bagi disesuaikan dengan topik sketsa, turut mendapat pujian komposer Ajai yang menyifatkan nyanyiannya sempurna.

Kejayaan Achey itu bukan saja melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai juara musim pertama BMB, malah Archey dan Harun Salim Bachik yang menang bergaya dengan memperoleh 79.3 peratus markah turut membawa pulang wang tunai RM200,000 berserta trofi.

Foto

BOCIK mempersembahan sekuel 'Kembar Bangladesh' yang pernah dipersembahkan mereka pada konsert mingguan.

Foto

PERSEMBAHAN kumpulan Tapaw cukup menarik.

Foto

TITAN mencerna minda penonton dengan naskhah Hang Tuah & Hang Jebat.

Foto

JURI BMB (dari kiri) Badul, Ogy dan Ajai.

Foto

ACHEY dan Harun tepati ramalan apabila muncul juara BMB.


"Alhamdulillah terlebih dulu saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT di atas kurniaan-Nya serta rezeki kepada saya sehinggakan saya mendapat anugerah yang tidak pernah saya sangka dan impikan selama ini.


"Daripada seorang yang tidak tahu apa-apa, saya diberi peluang Kak Ogy (Fauziah Ahmad Daud) dan Ajai sewaktu peringkat uji bakat dan kemudian mendapat bimbingan daripada sifu saya, Harun Salim Bachik.

"Dialah orang yang bertanggungjawab di atas kejayaan saya malam ini, malah saya amat berterima kasih kepada beliau kerana memberikan peluang dan pengajaran yang begitu baik semasa saya di bawah bimbingannya," katanya.

Menyifatkan sifunya itu seorang yang sentiasa tenang dalam menyalurkan ilmu, dua hari sebelum beraksi di pentas final Harun mengajak Achey melakukan aktiviti riadah yang tidak masuk akal.

"Jumaat lalu Harun ajak saya bersiar-siar di taman. Bunyinya macam tidak masuk akal tetapi sebenarnya cara itu membuatkan saya lebih menghalusi kerenah orang ramai dan kemudiannya saya terapkan dalam persembahan kedua saya tadi. Proses pembelajaran dan latihan dengan Harun sememangnya me­nyeronokkan," katanya.

Mengusahakan perniagaan bengkel kereta, Achey mahu menggunakan wang kemenangan itu untuk membesarkan perniagaannya.

"Saya akan terus bekerja sebagai mekanik dan Insya-Allah dengan wang kemenangan ini, saya mahu besarkan perniagaan saya. Jika ada tawaran untuk saya bergiat aktif dalam bidang seni, pastinya saya mahu mengembangkan lagi kebolehan saya," katanya.

Dalam pada itu, Harun selaku sifu berbangga kerana mempunyai anak didik seperti Achey yang disifat­kannya sebagai seorang yang berbakat besar dan bekerja keras.

"Pada mulanya saya berasa cabaran saya agak berat kerana perlu membimbing peserta solo kerana bukan mudah untuk melakukan persembahan komedi secara berseorangan. Namun, solo atau berkumpulan tidak boleh dijadikan kayu ukur kerana saya turut membimbing sebuah kumpulan di dalam BMB. Bagaimanapun, tiada rezeki mereka ke final.

"Achey saya sifatkan seorang yang rajin, banyak idea, kerja keras dan sememangnya dirinya sendiri sudah ada bakat semula jadi, tinggal lagi tugas saya untuk menggilap bakat­nya," katanya.

Tempat kedua yang menawarkan ganjaran RM100,000 berserta trofi menjadi milik kumpulan Bocik dianggotai Fadzlie Mohd Nizam, 22, dan Syed Umar Mokthar Syed Mohd Ridzuan, 25. Mereka dan sifu, Afdlin Shauki memper­oleh 61.7 peratus markah.

Afdlin ketika menjawab pertanyaan media berhubung kekalahannya di tangan Harun Salim Bachik dan Achey, terbuka menerima keputusan itu, tambahan pula matlamatnya dan Bocik pada persembahan final hanyalah untuk menghiburkan penonton dengan sebuah persembahan yang mampu diingati.

"Harun adalah rakan seperjuangan saya dalam kumpulan Boboi. Sekalipun kami bersaing di dalam BMB, persaingan kami lebih kepada memajukan anak-anak didik kami.

"Seperti biasa, selepas sesi latihan kami tetap keluar minum bersama. Mengulas mengenai isu kemenangan Bocik di tempat kedua, sebenarnya semua finalis malam ini hebat-hebat belaka.

"Apabila kami mendapat tempat kedua itu sudah membuatkan kami bersyukur kerana pada pandangan saya, semua orang ada peluang untuk menang. Malah, saya merasakan final BMB musim pertama ini antara program hiburan terbaik pernah disiarkan dalam penerbitan televisyen. Tahniah kepada produksi BMB dan TV3," katanya.

Sementara itu, tempat ketiga dengan kutipan markah 52.1 peratus pula disandang kumpulan Titan dianggotai Mohd Fazlisham Mat Hussin, 26, dan Azizul Ammar Abu Hassan, 26, yang dibimbing Sabri Yunus sebagai sifu. Mereka bakal berkongsi wang tunai RM60,000 selain trofi.

Titan seringkali tampil dengan komedi yang penuh kiasan, kritis dan sinis serta me­ngangkat seni budaya, dilihat sebagai satu pencapaian besar meskipun hanya menduduki tempat ketiga.

"Apabila saya dilamar memberi kata setuju untuk terbabit dalam BMB, saya sudah mengambil risiko untuk membentuk sebuah komedi yang menerapkan seni budaya bangsa.

"Memang ada yang kurang faham dengan mesej mendalam cuba disampaikan, namun apabila Titan diletakkan di tempat ketiga bermakna ada kelompok yang sudah membuka mata dan itu satu kejayaan buat saya dan Titan dalam membawa perubahan," kata Sabri.

Turut bersaing di samping Achey, Bocik dan Titan adalah kumpulan Tapaw yang diang­gotai Mohd Shah Rizal Sulaiman, 23, dan Khairul Faiz Sulaiman, 22.

Anak didik kepada penyampai radio HotFM, Faizal Ismail itu hanya mampu berpuas hati berada pada kedudukan terakhir dengan markah 50.5 peratus meskipun tampil dengan persembahan menghiburkan. Mereka membawa pulang RM30,000 berserta trofi.

Bahkan menerusi sidang media yang berlangsung sebaik tamat final BMB itu, juri dan semua mentor yang terbabit memuji kemampuan Faizal sebagai mentor berwibawa.

Rata-rata mereka kagum dan menyifatkan Faizal mempunyai bakat yang versatil serta tidak terbatas kepada kemampuan sebagai pe­nyampai radio saja. Pengumuman pemenang dibacakan oleh pengacara BMB, Adibah Noor.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


3 mata agenda penting

Posted: 24 Jun 2013 08:33 AM PDT

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak bersedia memperjudikan nasib pasukannya apabila beliau tampak tersepit merangka strategi terbaik bagi menghadapi dua perlawanan penting dalam tempoh lima hari.

Biarpun aksi final Piala FA menentang Johor Darul Takzim (DT), Sabtu ini lebih bernilai untuk dipertahankan buat Kelantan namun pengendali dari Croatia itu menegaskan, perlawanan dengan Pahang pada aksi Liga Super malam ini juga tidak kurang pentingnya.


Jika dicongak, peluang skuad The Red Warriors itu mengekalkan gelaran Liga Super sudah tertutup kerana ketinggalan 10 mata dengan pendahulu LionsXII yang mengumpul 39 mata ketika aksi berbaki tiga perlawanan.

Namun tiga mata penuh ke atas Pahang di Stadium Sultan Muhammad IV tetap dicari Hodak kerana mahu memastikan juara bertahan itu mampu menamatkan kempen di kedudukan terbaik.


Justeru, beliau sanggup menurunkan barisan terbaik menentang skuad kendalian Dollah Salleh itu walaupun bakal berdepan risiko pemain mengalami kecederaan, kepenatan dan mungkin digantung perlawanan untuk aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.


"Saya tidak boleh tukar ramai pemain dan tidak akan merehatkan mereka melainkan yang mengalami kecederaan.

Foto

PEMAIN Kelantan gigih berlatih.

"Setiap perlawanan penting kerana kami mahu menamatkan saingan liga di tempat terbaik," kata Hodak ketika sesi latihan semalam.


Bukan mudah untuk Kelantan menundukkan Pahang yang menduduki tangga kelima, satu anak tangga mengatasi mereka memandangkan tumpuan pemain tuan rumah kini terganggu.

"Perlawanan dengan Pahang ini sukar kerana pemain saya lebih memberi tumpuan kepada final Piala FA.


"Saya terpaksa mengarahkan pemain supaya menghadapi perlawanan liga ini seperti final Piala FA kerana setiap perlawanan yang kita lalui penting." Semua pemain Kelantan bebas daripada penggantungan kecuali dua penyerang, Dickson Nwaekame dan Indra Putra Mahyuddin yang masih belum cergas bagi perlawanan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Azzuddin mula tugas baru 1 Julai

Posted: 24 Jun 2013 08:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad akan memulakan tugas baru sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mulai 1 Julai ini.

Penerimaan jawatan itu dimaklumkan beliau selepas menerima surat rasmi pelantikan daripada Presiden AFF Sultan Haji Ahmad Shah, kelmarin.


Sempena pelantikan itu juga, Azzuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua media yang banyak memberikan kerjasama sepanjang bertugas sebagai Setiausaha Agung FAM.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pengarang, penerbit serta wartawan sukan media cetak dan elektronik. "Mereka banyak memberi kerjasama dan bantuan membuat liputan sukan bola sepak negara sejak mula memegang jawatan Setiausaha Agung FAM bermula pada 17 September 2007 hingga 23 Jun 2013. "Saya mengambil iktibar daripada kritikan negatif serta menerima pandangan membina dan menerima hakikat apa saja isu sekiranya wujud perbezaan pendapat dan fahaman," katanya dalam kenyataan, semalam.


Azzuddin turut memohon ribuan maaf andai terkasar bahasa dan tersalah laku terhadap mana-mana pihak sepanjang menyandang jawatan Setiausaha Agung FAM.


"Saya harap mendapat kerjasama dan bantuan daripada semua pihak apabila memegang jawatan baru nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Rentung tanpa kepala

Posted: 24 Jun 2013 12:25 PM PDT

Bentong: Satu mayat ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila bukan saja rentung, malah kepalanya sudah bercerai dari badan manakala kedua-dua tangan dan kakinya hilang di kawasan belukar berhampiran bulatan menuju ke Stesen Kereta Kabel Genting Highlands, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor, berkata mayat mangsa yang belum dikenal pasti identitinya ditemui orang awam yang menggunakan laluan berkenaan sebelum memaklumkan polis kira-kira jam 6.30 petang.

"Pengadu membuat laporan ternampak sesuatu dalam keadaan terbakar dalam belukar itu lalu berhenti untuk memeriksanya.

"Sebaik melihat mayat berkenaan yang bahagian kepalanya sudah terpisah dari badan, pengadu berpatah balik sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya.


Menurutnya, ketika anggota polis tiba di tempat kejadian, mayat itu masih dalam keadaan terbakar.


"Pemeriksaan awal mendapati mayat itu tidak dapat dikenal pasti jantinanya, malah tiada pengenalan diri dan polis menjalankan siasatan untuk mengesan identiti mangsa.

"Sepasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dihantar ke lokasi kejadian bagi memeriksa mayat berkenaan yang dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang dan dibakar ke kawasan belukar itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Mahu kekal tradisi

Posted: 24 Jun 2013 12:22 PM PDT

Munich: Pep Guardiola berjanji untuk meneruskan kejayaan Bayern Munich ketika pengendali berbangsa Sepanyol itu secara rasmi diperkenalkan sebagai jurulatih pemenang Liga Juara-Juara itu, semalam.

Pelantikan Guardiola, yang diumumkan Januari lalu, mencetus keghairahan di Jerman dengan harapan jurulatih yang mengemudi Barcelona memenangi 14 kejuaraan dalam empat musim itu akan membantu tumpuan lebih terhadap Bundesliga.

"Di kelab ternama, anda sering tertekan tapi saya percaya dengan kebolehan diri sendiri dan saya menerima cabaran ini tanpa sebarang masalah," kata pengendali berusia 42 tahun itu dalam bahasa Jerman, yang dipelajarinya dalam tempoh enam bulan terakhir.

"Sudah tentu saya akan melakukan perubahan, tapi saya mahu mengekalkan tahap yang sudah dicapai Bayern."


Guardiola perlu sekurang-kurangnya menyamai pencapaian musim lalu apabila Bayern memenangi tiga kejuaraan Eropah, piala dan liga, selain pertandingan pramusim Piala Super Jerman, di bawah pengendali terdahulu Jupp Heynckes.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved