Rabu, 5 Oktober 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Urutan Itali gaya ‘cool’

Posted: 05 Oct 2011 06:43 AM PDT

MENDENGARNYA saja cukup membuatkan sesiapa pun tertanya-tanya sama ada pusat kecantikan ini mempunyai kaitan dengan filem Red Kebaya lakonan Vanidah Imran yang pernah memenangi beberapa anugerah di Festival Filem Malaysia ke-20 di Pulau Pinang pada 2006.

Apakah sinonimnya penggunaan nama Red Kebaya atau kebaya merah dengan rawatan disediakan di pusat ini?

Ketika berkunjung ke pusat rawatan ini yang terletak di Ampang Selangor, hiasan sederhana, ringkas dan mendamaikan menjadi tarikan sesiapa saja.

Sebaik pintu dibuka mata terus terpandang pada karikatur wanita muda dengan corak kerawang kebaya merah bersama pancuran air yang terletak di sudut ruang menunggu.


Di tengahnya terdapat spa ikan dengan keluasan sebesar tab mandi bagi membolehkan pengunjung mendapatkan rawatan kaki usai wajah dan badan dibelai dengan minyak urut aromaterapi segar.


Ruang menunggu yang luas dan santai dilengkapi televisyen dan sofa merah memudahkan rakan atau keluarga menemani pasangan masing-masing.

Jika dilihat spa yang baru dibuka tujuh bulan lalu itu seakan kecil saja, tetapi sebaik pintu di bahagian ruang menunggu dibuka, di dalamnya terdapat enam bilik menempatkan rawatan wajah dan badan dengan khidmat dua terapi berkelayakan dalam bidang kecantikan.

Menurut pemilik serta ibu kepada dua puteri, Nur Ain Zainal, keistimewaan Red Kebaya adalah pada perkhidmatan yang memberi tumpuan pada kecantikan dan juga kesihatan. Dengan mengetengahkan urutan gaya Itali yang lebih 'cool', tenang dan ringkas, pelanggan seakan merasakan badan mereka kembali segar dan nyaman selepas diurut.

Istimewanya urutan ini tidak menggunakan minyak aromaterapi, tetapi lilin DNJ yang ditempatkan di dalam botol dengan pelbagai aroma mengikut pilihan masing-masing. Lilin ini mampu memberikan tahap ketenangan yang tinggi terutama bagi mereka yang menghadapi masalah sukar tidur atau sengal-sengal badan selepas penat bekerja.

Menurut Ain, lilin DNJ mula diperkenalkan di Paris, London dan New York oleh wanita tempatan.

Selepas jenama ini popular dan mendapat permintaan ramai di luar negara, barulah produk ini memasuki pasaran Malaysia.

"Mulanya saya ragu namun selepas menjalani kursus dan merasai sendiri keberkesanan dan diakui pelanggan yang pernah mencubanya saya terus bersetuju menggunakannya.

"Sebelum melakukan urutan, lilin dibakar selama beberapa minit.

"Selepas agak suam minyak yang terhasil daripada pembakaran ini dituang ke badan sebelum diurut. Aroma wangian serta rasa suam yang terhasil daripada serai, halia, lengkuas dan tumbuh-tumbuhan semula jadi mampu memberikan rasa tenang kepada pengunjung apatah lagi urutan tidak terlalu keras, berbeza dengan urut Bali dan tradisional.

"Biasanya urutan dilakukan selama 45 minit atau satu jam pada bahagian belakang atau seluruh badan bagi memberikan kesan optimum," katanya.

Selain urutan, antara rawatan yang popular di spa ini ialah program pelangsingan badan dikendalikan Marissa Scientific Formulasi daripada pakar estetika Dr Rushmini Maris Ismail. Program ini bukanlah semata-mata rawatan, tetapi membabitkan nasihat pemakanan. Selepas tiga bulan rawatan biasanya pelanggan akan mendapat hasilnya.

"Program pelangsingan badan amat berkesan untuk melangsingkan tubuh terutama mereka yang menghadapi masalah berat badan.

"Dengan menggunakan mesin ia akan mengurangkan tahap metabolisma yang ada pada seseorang dan hasilnya pelanggan tidak akan berasa letih dan lesu," katanya.

Bagi rawatan wajah, Spa Red Kebaya menggunakan produk Vagheggi iaitu mengutamakan kandungan vitamin C dan sel stem bagi menjadikan kulit lebih anjal dan tegang. Antara teknik rawatan diberikan ialah membersih dan menyental wajah, wap, mengeluarkan noda hitam dan putih dan meratakan serum ke seluruh kulit wajah.

Rawatan ini amat sesuai untuk mereka yang berusia 23 tahun ke atas dan mengalami masalah kulit kering.

"Vagheggi menggunakan seratus peratus bahan semula jadi serta pati buah-buahan. Sebab itu ia sesuai untuk semua jenis kulit sama ada jerawat, normal mahupun sensitif.

"Mereka yang menghadapi masalah kulit seharusnya tidak bimbang kerana selepas melakukannya, kulit bermasalah akan kembali normal dalam masa beberapa bulan," ujarnya.

Spa Red Kebaya juga menyediakan rawatan wajah dan badan untuk bakal pengantin sama ada menerusi pakej atau perseorangan. Antara rawatan disediakan termasuk mandi susu, lulur dan rawatan wajah. Namun pelanggan harus membuat temu janji terlebih dulu bagi memastikan mereka tidak menunggu lama.

Ditanya mengapa memilih lokasi yang agak terpencil, Ain memberitahu kebiasaannya mereka yang datang ke spa kerana inginkan ketenangan dan jauh daripada hiruk- pikuk kota.

Walaupun jauh daripada kesibukan kota, lokasi ini memudahkan pelanggan yang datang dari semua arah kerana mereka boleh melalui Jalan Lingkaran Tengah dan tidak perlu melalui kesesakan bandar.

"Lebih penting keselesaan pelanggan kerana mereka tidak perlu melalui jalan yang sesak dan boleh meletak kereta dengan mudah di sini," katanya yang bercadang menambah dekorasi spa menjadi lebih indah sesuai dengan nama kebaya itu sendiri yang melambangkan kecantikan serta kelangsingan tubuh wanita.

"Jika ada bertanya mengapa saya memilih nama Red Kebaya jawapannya senang saja, kebaya sering dikaitkan dengan wanita langsing, anggun dan menawan. Begitulah gambaran yang saya ingin tampilkan apabila nama Red Kebaya bermain di bibir pelanggan supaya mereka dapat membayangkan mampu memiliki tubuh ideal seperti yang diidamkan," jelasnya.

Spa Red Kebaya dibuka setiap hari pada jam 11 pagi hingga 10 malam bergantung kepada temu janji. Bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan boleh mengunjungi Suite B-03, Bangunan TRC, Andaman Business Centre Taman Andaman Ukay, Ampang.

Tampil sedekad lebih muda

Posted: 05 Oct 2011 05:48 AM PDT

KULIT yang lembut, mulus dan anjal sentiasa dijadikan tanda aras kepada keadaan kulit yang sihat selain memperlihatkan tahap kebersihan serta penjagaan diri yang teratur.

Malah, kajian oleh sebuah universiti di Shinjuku, Tokyo, Jepun, baru-baru ini mendapati penjagaan kulit yang baik sama ada muka atau tubuh mampu memberi impak positif terhadap perasaan seseorang hingga boleh membawa kepada perubahan diri pada peringkat lebih tinggi.

Namun, faktor luaran seperti pencemaran, pemakanan dan perubahan cuaca yang berlaku di sekeliling kita menjadikannya lebih sukar untuk memperoleh kulit halus serta bebas masalah hingga membuatkan kita mencari pelbagai alternatif bagi mengatasinya.

Justeru, rejim penjagaan kulit yang baik sememangnya amat dititikberatkan terutama bagi wanita yang berusia 35 ke atas kerana pada usia itulah tanda penuaan mula jelas kelihatan hingga mampu menjejaskan penampilan seseorang.


Kajian demi kajian dilakukan oleh pelbagai pihak dan terkini, SK-II tampil dengan inovasi terkini dalam teknologi kecantikan kulit yang disifatkan mampu membuatkan seseorang wanita itu 10 tahun 'lebih muda' daripada usia sebenarnya.


Dalam usaha untuk memahami proses penuaan kulit ini, SK-II memulakan kajian sejak lebih 10 tahun lalu yang meneliti perubahan pada kedutan, tekstur, seri, keanjalan serta bintik hitam pada kulit 602 wanita Jepun berusia lima hingga 65 tahun.

Parameter yang sama diteliti 10 tahun kemudian pada 108 wanita Jepun yang diambil daripada kumpulan terbabit. Julung kalinya dalam industri kosmetik kajian itu menemui tanda penuaan kulit yang baik iaitu keanjalan kulit, kulit yang licin dan berseri, yang mana faktor inilah yang mencetuskan penemuan yang dinamakan 'Skin Power' iaitu tanda penuaan normal yang biasa berlaku kala usia meningkat.

Kajian itu juga menemui pencegahan terbaik untuk tanda pencegahan penuaan kulit dengan memberikan kesan lebih anjal, licin dan berseri.

Menurut pakar kajian dermatologi merangkap Pengerusi Jabatan Dermatologi di Pusat Pengajian Perubatan Universiti Kyushu, Jepun, Profesor Masutaka Furue, kajian terbabit jelas memberi maklumat baru mengenai proses penuaan kulit.

"Kajian yang dijalankan SK-II amat mengagumkan kerana pertama kali dalam
sejarah industri proses penuaan kulit bagi pelbagai kumpulan umur dilakukan selama 10 tahun.

"Penemuan itu merangkumi seluruh spektrum penuaan kulit, memberi pengetahuan terkini yang membolehkan kita memahami bagaimana kulit dapat mengekalkan kecantikannya pada masa hadapan, sekali gus akan membantu menghasilkan inovasi baru dalam kategori antipenuaan untuk membantu wanita mengalami proses penuaan secara lebih selamat," katanya.

Penemuan ini nyata mendorong saintis SK-II untuk mengkaji dengan lebih teliti punca 'Skin Power' merosot dan kaedah untuk meningkatkan semula peratusan 'Skin Power' pada kulit agar dapat mengurangkan kesan penuaan itu.

Dalam menyelami ketahanan Skin Power, SK-II turut menemui kepentingan proteasome, satu enzim kritikal yang bertindak sebagai 'pengecas' dalam kulit yang bukan saja menyingkirkan benda asing dalam sel kulit, malah merangsang penghasilan struktur protein.

Dengan meningkatkan aktiviti proteasome, 'Skin Power' ini dapat dikekalkan.

Bagaimanapun, kajian terbabit mendapati satu penemuan menarik - aktiviti proteasome juga merosot seiring dengan usia.

Ini mengakibatkan peningkatan benda asing dalam sel kulit yang menyebabkan kemerosotan 'Skin Power' hingga menjurus kepada hadirnya produk penjagaan kulit Skin Signature Series SK-II bagi merangsang aktiviti proteasome.

Rangkaian produk Skin Signature Series ini berupaya merangsang semula penghasilan lapisan protein, seterusnya membantu wanita tampil lebih yakin dengan wajah tampak seakan sedekad lebih muda selepas empat minggu.

Rejim Skin Signature Series yang diperluaskan ini turut direka khas untuk memberikan sedekad 'Skin Power' pada kulit agar wanita dapat bersedia menghadapi keadaan kulit mereka pada masa depan.

Hadir dalam bentuk krim mata dan krim kedutan, Skin Signature Series ini sudah berada di kaunter SK-II sejak Ogos lalu.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Dadah kopi segera

Posted: 04 Oct 2011 09:21 AM PDT

SEPANG: Taktik seorang wanita Iran menyeludup dadah ke negara ini dengan memasukkannya ke dalam 63 bungkusan kopi dan 'Capuccino' segera gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila dia ditahan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi Sabtu lalu.

Wanita yang berusia 24 tahun itu tiba menaiki pesawat Royal Jordanian, Damsyik-Amman ke Kuala Lumpur ditahan jam 1 pagi, selepas pegawai KDRM mengesyaki wujud bahan mencurigakan pada satu daripada dua beg dibawanya. Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden, berkata ketika melalui mesin pengimbas beg berkenaan tidak menunjukkan imej mencurigakan sehingga pegawai kastam mengarahkan wanita terbabit membuka kedua-dua begnya. Menurutnya, pemeriksaan pada satu bagasi berkenaan menemui 27 bungkusan kecil serbuk kristal yang dimasukkan dalam setiap peket Cappucino jenama 'Good Day Cappucino' dan 36 peket lagi dalam satu pek jenama 'Supper Coffeemix'. "Selepas diuji dengan kit ujian, serbuk kristal itudisyaki positif Methamphetamine (syabu) dan beratnya 1.9 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM475,000," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA berhampiran Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), di sini, semalam.

Hentak kepala remaja ‘buat bising’

Posted: 04 Oct 2011 09:18 AM PDT

SERDANG: Gara-gara didakwa membuat bising, seorang remaja lelaki retak tempurung kepala manakala sepupunya cedera di tangan, kaki dan badan selepas dibelasah sekumpulan lelaki mabuk ketika mereka minum di sebuah restoran di Apartmen Suria, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 17 tahun singgah minum bersama sepupunya berusia 16 tahun sebelum dibelasah lima lelaki terbabit.

Akibat kejadian itu, mangsa pengsan dan parah sebelum suspek melarikan wang RM500 dan motosikal milik mangsa.

Mangsa yang parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Menceritakan semula kejadian itu, sepupu mangsa, S Arvind, 16, berkata mulanya hanya dua lelaki pergi ke arah mereka dan memarahi sambil mengarahkan diam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Fitnah kasanova

Posted: 04 Oct 2011 09:46 AM PDT

JOHOR BAHRU: "Dia memberitahu suami kononnya saya curang dan menjalin hubungan dengan lelaki lain. Saya pula dia beritahu suami ada hubungan dengan perempuan lain.

"Akibatnya saya diceraikan, namun selepas itu dia pula ajak saya kahwin di Siam," kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aimi, 26, mengenai 'permainan' seorang lelaki kasanova untuk memikat mangsanya sebelum mengikis duit mereka.


Aimi berkata, kasanova yang dikenali sebagai Man, 30-an itu amat licik memerangkap mangsa sehingga mampu memikat 20 teman wanita serentak termasuk bekas isteri dan kekasih orang, biarpun kawannya sendiri.

Rahsia Man terbongkar apabila seorang demi seorang kekasihnya tampil membuat laporan polis selepas menyedari mereka dianiaya dan terpedaya.


Menurut Aimi, Man yang juga seorang kakitangan awam beruniform sering menggunakan jawatannya itu untuk memerangkap wanita dan permainan fitnahnya menyebabkan rumah tangga sebahagian mangsanya porak-peranda. "Saya mengenali Man menerusi suami kerana mereka berkawan, namun lama-kelamaan hubungan kami tegang dan selalu bergaduh kerana termakan hasutannya yang mendakwa kami curang.


"Akibat terpedaya dengan fitnah Man, saya diceraikan talak satu oleh suami pada hujung Julai lalu. Sebelum itu, suami juga memukul dan menendang hingga badan saya lebam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Masai, semalam.

Aimi berkata, lebih menghairankan ialah selepas dia diceraikan, Man beria-ia mahu memberikan bantuan termasuk menumpangkannya di rumah seorang rakan wanitanya, selain memberinya wang RM2,000 bagi membolehkannya hidup bersendirian.


Menurutnya, Man yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kemudian menyatakan ingin memperisterikannya dengan berkahwin di selatan Thailand.

"Pelik dengan perangainya itu, saya mula terfikir apa yang dikatakannya kepada saya dan suami sebelum bertemu suami serta berbincang hasil bantuan keluarga.


"Kami rujuk semula selepas mendapati Man berniat jahat memfitnah kami suami isteri sehingga bercerai," katanya.


Seorang lagi mangsa Man yang juga bekas teman wanita lelaki itu, Shima, 30-an berkata, dia menjalin hubungan selama 10 tahun sebelum menyedari ditipu dan diperalatkan untuk mendapatkan wang.


"Sepanjang 10 tahun bersama, saya memberinya lebih RM15,000 wang simpanan saya selepas dia memberi pelbagai alasan untuk menggunakan wang. "Sepanjang tempoh kami berkawan, tidak pernah dia mengaku sudah beristeri dan mempunyai dua anak," katanya.


Shima berkata, Man seorang panas baran dan sering memukulnya hingga terseliuh pergelangan tangan, namun dia tetap bersama lelaki itu atas dasar sayang dan cinta.


"Bagaimanapun, saya mula tidak tahan dengan sikapnya apabila dia sering membawa wanita lain ke kelab malam dan karaoke sedangkan wang simpanan saya habis dikikis," katanya.


Seorang lagi mangsa Man yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 18, berkata sikap romantis Man dengan kata-kata manis, peramah serta prihatin terhadap dirinya pada awal perkenalan menyebabkan dia jatuh cinta kepada lelaki itu sehingga terlanjur.


"Man berlagak romantik dan prihatin selain selalu menunjuk-nunjuk dia berharta hingga pernah memberikan saya ribuan ringgit secara tunai.


"Bagaimanapun, lama kelamaan tembelangnya pecah kerana dia membawa wanita lain ketika kami masih bercinta. Semua itu masih boleh dimaafkan kerana saya cintakannya.


"Namun, lebih dikesalkan ialah dia cuba memperalatkan saya memikat lelaki lain sebelum berpesan supaya saya mengikis wang lelaki itu," katanya sambil memberitahu lelaki dimaksudkan ialah suami Aimi.


Aimi membuat laporan polis berhubung sikap kasanova Man di Balai Polis Masai, 3 September lalu, manakala Shima membuat laporan berhubung penipuan dan ugutan lelaki itu di Balai Polis Scinetx Seri Alam, 26 Julai lalu.


Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit, namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Kebun pisang berdarah

Posted: 04 Oct 2011 09:46 AM PDT

KOTA BHARU: Mayat seorang kontraktor ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila tangannya terikat di belakang, mukanya dipenuhi kesan lebam dan kepalanya berlumuran darah dalam sebuah kebun pisang berdekatan Kampung Kubang Palas, Binjai, di sini, semalam.

Mayat itu ditemui pada jam 7.50 pagi oleh penduduk kampung, Zamizi Mohamad, 42, yang dalam perjalanan ke kebunnya untuk memetik sayur sebelum dia memaklumkannya kepada penduduk kampung dan menghubungi polis.


Menurut Zamizi, memang menjadi rutin hariannya ke kebun yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah untuk memetik sayur bersama isteri, Mariam Hamzah, 38 dan tidak menyangka bertemu 'tetamu tidak diundang' itu.

"Saya terkejut menemui mayat seorang lelaki dengan tangan terikat di belakang, muka dipenuhi kesan lebam dan kepalanya berlumuran darah di sebuah kebun pisang.


"Saya segera memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum menghubungi polis," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis menerima laporan penemuan mayat itu kira-kira jam 8 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Unit Forensik ke tempat kejadian.

Katanya, mayat itu dikenali sebagai Saw Yee Siang, 57, seorang kontraktor berasal dari Tumpat.


"Mayat ditemui dalam keadaan tertiarap dan tangannya terikat di belakang. Siasatan mendapati, mangsa mati selepas dipukul dengan benda keras dalam keadaan kepalanya dibungkus dengan kain.

"Kami percaya mangsa mati kira-kira 10 jam sebelum ditemui dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII)," katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kelantan, di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan keluar rumah malam kelmarin bersama seorang kenalannya.


"Kami percaya mangsa mungkin mempunyai musuh.


"Ketika mayatnya ditemui, mangsa berpakaian lengkap, tetapi ada kecederaan di kepala dan badan selain semua barangan berharga termasuk jam, dompet dan telefon bimbitnya hilang," katanya.


Jalaluddin berkata, setakat ini polis sudah menemui beberapa petunjuk dan akan melakukan siasatan lanjut termasuk menyemak latar belakang mangsa.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Qalisha diasah Ajai’

Posted: 04 Oct 2011 05:46 AM PDT

USIA pembabitannya dalam seni masih hijau dan terlalu baru untuk dinilai. Namun, tutur bicaranya tatkala diajak bersembang tidak langsung mencerminkan pendatang baru yang masih janggal menjawab persoalan.

Kata si empunya senyuman manis, Noor Qalisha Ahmad Rashid atau mesra disapa Qalisha yang nampak begitu matang dan bijak menyusun kata.

Meskipun masih berusia 20 tahun, Qalisha sudah bijak mengatur cerita dan petah bicaranya tidak henti. Bermula dari perkembangan seninya yang kini baru mula selangkah ke depan hinggalah soal peribadi yang perlahan-lahan terbuka.

Bertemu dengannya yang kini sibuk mempromosikan lagu terbaru dendangannya, Satu Januari sentuhan komposer terkenal, Ajai petang Jumaat lalu, bermacam-macam yang ingin dikongsikan olehnya.


Jelasnya berkali-kali, peluang berdiri sebagai penyanyi adalah satu impian yang sudah lama digenggamnya, namun baru kini ia direalisasikan.


"Syukur alhamdulillah, akhirnya apa yang pernah saya angan-angan dulu kini sudah menjadi kenyataan. Bukan mudah untuk tiba ke tahap ini namun semua itu adalah satu semangat yang membakar kesungguhan saya bagi terus memberikan yang terbaik dalam setiap angan yang dipasang. Bagaimanapun saya akui lapangan seni ini adalah satu taruhan yang tidak mudah untuk kita menjangkakan sesuatu.

"Namun, jujurnya saya bersyukur kerana setakat ini reaksi peminat semuanya positif. Satu Januari sudah mula dimainkan di stesen radio tempatan, malah, video lagu itu yang diletakkan di YouTube juga mendapat komen positif daripada peminat. Setidak-tidaknya ia memberikan saya semangat untuk terus memperjuangkan muzik ini.

"Apa yang menjadi keutamaan saya sekarang adalah terus berusaha dan disiplin dalam mengukuhkan lagi empayar yang baru dibina ini," katanya.

Melihat pada wajahnya yang jelita, personaliti menarik dengan penampilan matangnya, terlintas pula persoalan mengenai lelaki di dalam hatinya yang diangkat menjadi kekasih.

Belum sempat soalan diatur bagi mengorek sisi peribadinya, lekas Qalisha menepis dan mengelak untuk terus disingkap kisah cinta yang masih kosong belum terisi.

"Saya tidak pernah terfikir soal itu dan jauh sekali mengambil pusing mengenainya lebih-lebih lagi di saat ini ketika saya sibuk mencari jalan bagi menguatkan lagi nama saya sebagai seorang pendatang baru. Biarlah cinta dan lelaki itu datang sendiri tanpa perlu dicari kerana saya percaya, semua itu adalah ketentuan yang sudah disuratkan buat kita sebagai hamba.

"Buat masa ini, saya lebih selesa sendirian tanpa sebarang komitmen dalam perhubungan serius. Lagipun saya masih terlalu muda untuk sibuk membebankan diri dengan perkara sebegitu. Keluarga sentiasa ada bersama ada dan menemani saya ke mana saja. Justeru, tidak timbul pula perasaan sunyi atau sepi.

"Apa yang penting sekarang adalah kerjaya nyanyian yang sudah lama saya impikan. Apabila peluang sudah terbentang sebegini, mustahil untuk saya lepaskan," katanya yang gigih mengatur percaturan kerjayanya.

Bagai sudah tersurat buatnya, Qalisha diasah bakatnya dengan kemas oleh Ajai dan pelbagai persediaan lain diberikan kepadanya oleh syarikat pengurusan Wake The Baby.

Enggan muncul sekadar bersandar pada rupa paras semata-mata, penyanyi yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Celine Dion sebagai inspirasi nyanyiannya ini gigih membentuk kelainan dan kekuatan bagi menonjolkan bakat yang tersembunyi jauh di dalam jiwanya.

"Memang nyanyian adalah minat saya sejak dulu dan ini saja kerjaya yang ingin saya lakukan. Saya tidak mahu hanya berangan kosong atau melakukan sesuatu bagai melepaskan batuk di tangga. Kesungguhan dan komitmen saya selama ini dengan menghadiri kelas vokal dan latihan yang dilakukan abang Ajai berbaloi juga apabila kini saya sudah pun memiliki sebuah album sendiri.

"Namun sebenarnya saya sudah lama bertemu Ajai iaitu ketika saya masih bersekolah lagi di tingkatan tiga dulu. Namun ketika itu saya masih terlalu
muda dan perlu menguatkan lagi bakat yang ada bagi muncul sempurna. Justeru, saya mengambil laluan untuk menghabiskan pengajian dan kemudian baru meletak sepenuh fokus dalam lapangan nyanyian ini.

"Album Qalisha ini memang begitu berharga buat saya kerana setiap jalur melodi dan lirik yang terkandung dalam album ini meninggalkan kenangan yang tersendiri. Saya secara peribadinya menyifatkan album ini sebagai sebuah biografi yang begitu dekat dengan jiwa saya sebagai seorang penggiat seni yang baru mula bertatih mencari jalan terbaik buat kerjaya saya ini.

"Saya hanya mengharapkan agar peminat dapat menerima album ini dengan baik dan memberi laluan kepada penyanyi baru seperti saya untuk terus bertapak membina nama," katanya.

Bingkisan album perdana Qalisha mengandungi empat lagu yang kesemuanya ciptaan Ajai termasuk Satu Januari, Bebaskanlah dan Cerita Cinta yang akan mula diputarkan stesen radio selepas ini sebagai single keduanya.

Malah, sebuah lagi lagu iaitu Tak Kan Ada pula memperlihatkan penyanyi jelita ini berduet bersama Ajai dengan mengalunkan sebuah lagu romantis yang sarat dengan lirik cinta.

"Pelancaran album bagi memperkenalkan semua empat lagu ini adalah satu titik permulaan buat saya untuk mula memperdagangkan bakat dan nyanyian saya. Saya hanya mampu berusaha dan memberikan yang terbaik namun semuanya bergantung kepada peminat dan pendengar," katanya.

PROFIL:

NAMA PENUH: Noor Qalisha Ahmad Rashid
TARIKH LAHIR: 15 Julai 1991
UMUR: 20 tahun
TEMPAT LAHIR: Pasir Mas, Kelantan
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
KERJAYA: Penyanyi dan model
ALBUM: Qalisha
IKLAN: McDonald's, Yamaha dan Sendayu Tinggi

Ramai ingkar syarat

Posted: 04 Oct 2011 05:36 AM PDT

TANGGAL 19 November ini akan berlangsung kemuncak Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) anjuran kali pertama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim).

Hingga kini, sejauh manakah kelancaran pengendalian itu?

Presiden Gafim merangkap Pengerusi FFM24, Jurey Latiff Rosli berkata, selepas bertungkus-lumus mengenal pasti pencalonan yang bertanding, hari ini baru Gafim dapat menganjurkan sidang media mengumumkan pencalonan rasmi FFM24 di Golden Screen Cinema (GSC), Mid Valley.

"Bukan mudah sesi saringan pencalonan dilakukan kerana kebanyakan penyertaan dihantar tidak mengikut syarat ditetapkan. Antaranya, calon yang ingin bertanding perlulah menjadi ahli mana-mana persatuan di bawah naungan Gafim.


"Terus-terang, saya katakan masih ramai penggiat seni tempatan seperti pelakon, pekerja industri dan penulis skrip yang belum mendaftar menjadi ahli persatuan yang sepatutnya dinaungi mereka. Manakala, jumlah yang menjadi ahli pula sangat sedikit.


"Tak dinafikan, masalah ini di tahap kritikal dan saya mengharapkan timbul kesedaran di kalangan semua pihak penggiat dan karyawan seni tanah air untuk berubah. Jadilah, ahli persatuan demi sama-sama menggembleng usaha memartabatkan seni negara.

"Lagi pun, masuk persatuan tidak merugikan sesiapa selain berpeluang menyertai FFM. Pengiktirafan dalam FFM adalah untuk anda semua, jadi sekiranya berkeinginan menyertai perlulah mengikut syarat ditetapkan. Malah, syarat itu pun bukanlah perkara baru," katanya.

Menurut Jurey, sebelum beliau menerajui pucuk kepimpinan Gafim dan mengambil alih penganjuran FFM daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), syarat pencalonan sedia ada sudah ditetapkan.

Katanya, tidak adil juga Gafim yang baru mengambil alih penganjuran FFM24 terus bersikap tegas dengan menolak penyertaan tidak lengkap. Memandangkan ini kali pertama, maka Gafim sepakat memberi kelonggaran pada penyertaan pencalonan.

"Bagaimanapun, kemungkinan tahun depan dengan wujudnya pertubuhan baru, Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia yang turut dipengerusikan oleh saya akan mewajibkan penggiat dan karyawan seni tanah air bernaung menjadi ahli di bawahnya.

"Menerusi persatuan ini, sesiapa yang ingin bergiat dalam industri seni haruslah mengikuti latihan disediakan dan mereka diiktiraf dengan memiliki sijil akreditasi pentauliahan. Sijil diperoleh itu bukan sebarangan kerana ia diiktiraf oleh kerajaan.

"Setakat ini, penyelaras pertubuhan sudah pun menerima kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Malah, ingin saya maklumkan pertubuhan ini bukan sengaja diwujudkan, tetapi dilaksana atas arahan kerajaan melalui menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang juga Ketua Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu).

"Ia bagi memantapkan lagi agenda memartabatkan industri seni tanah air termasuk memastikan hala tuju dan masa depan penggiat dan karyawan tanah air terjamin.
Sekarang bukanlah masa untuk terus berbalah, sebaliknya semua pihak bersatu demi kebaikan bersama," katanya.

Menyentuh mengenai kemelut yang melanda Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam), Jurey memaklumkan pihak Gafim tidak akan campur tangan untuk menyelesaikannya.

Katanya, biarlah ahli Swam yang menguruskan dan Gafim hanya mahu memberi tumpuan penuh pada penganjuran FFM24.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Haiwan dianiaya untuk but

Posted: 04 Oct 2011 08:46 AM PDT

BEIJING: Imej menjengkelkan ini menunjukkan anjing rakun disiat kulitnya hidup-hidup bagi membuat but kulit haiwan tiruan murah yang dibeli oleh ribuan warga Britain.

But asli kulit haiwan dibuat daripada kulit biri-biri dari Australia yang diambil melalui penyembelihan secara wajar. Bagaimanapun, rakaman filem ini menunjukkan layanan kejam ke atas haiwan yang berlaku di China apabila kulitnya digunakan untuk membuat but bulu haiwan tiruan berkenaan. Kulit anjing rakun yang masih hidup dan bergerak ini ditunjukkan dalam filem kempen aktivis haiwan. Haiwan yang bertimbun itu mengambil masa hingga tiga jam untuk mati.


Haiwan yang ketakutan itu dipukul dengan kayu dan dilihat menendang serta menggelupur kesakitan ketika pekerja mengelar kulitnya sebelum menyiatnya. Proses yang menyeksakan itu bermula dari kaki hingga ke bahagian atas tubuh haiwan berkenaan. Pekerja juga dilihat memijak kepala haiwan terbabit supaya ia tidak melawan. Rakaman filem mengejutkan itu yang disiarkan dalam Herald Sun mencetuskan kemarahan dan mendorong aktivis menuntut larangan perdagangan anjing rakun.

But kulit haiwan tiruan telah membanjiri pasaran dunia dan boleh didapati di internet serta kedai kasut. Kebanyakannya dieksport ke Britain. Di Australia, di mana but asli kulit haiwan dibuat - ia dijual dengan harga hingga 200 pound (RM1,000). Terdapat pengharaman terhadap pengimportan kulit anjing tempatan dan kulit kucing sejak 2004 tetapi kulit anjing rakun masih dibawa masuk. Siasatan dilakukan Persatuan Kemanusiaan Antarabangsa (HSI) mendapati sepasang but kulit haiwan tiruan mengandungi kulit rakun walaupun mempunyai label 'kulit biri-biri Australia'.


Pengarah HSI, Verna Simpson berkata, puluhan produk, selain but itu menggunakan kulit anjing rakun yang diimport - dan dalam kes lain turut menggunakan kulit anjing.

Lelaki bakar diri sendiri, tiga anak dalam kereta

Posted: 04 Oct 2011 08:43 AM PDT

CULOZ (Perancis): Seorang bapa yang kurang siuman menyimbah keretanya dengan minyak petrol kemudian membakar kereta itu dengan dirinya dan tiga orang anak di dalamnya.

Dua kanak-kanak berusia empat dan enam tahun dan lelaki yang berusia 33 tahun itu, mati di sebuah stesen minyak di sebuah pasar raya di Culoz, tenggara Perancis.

Menurut polis, anak lelakinya yang berusia 11 tahun, berjaya keluar dari kereta yang terbakar tetapi mengalami kecederaan serius.

Isteri lelaki itu yang berusia 29 tahun pula dijumpai mati dicekik di rumah mereka, 60 batu dari tragedi yang berlaku pada jam 8.30 malam, semalam.


Menurut jurucakap polis, "Lelaki itu memberhentikan keretanya seperti mahu mengisi minyak tetapi dia mencurahkan minyak petrol di badan kereta, melompat masuk dan terus membakarnya."


"Hanya seorang daripada tiga anaknya dapat melepaskan diri tetapi yang lain mati di situ."

Kata jurucakap polis itu lagi, siasatan ke atas keadaan mental lelaki itu sedang dijalankan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Apek membara

Posted: 04 Oct 2011 09:47 AM PDT

TANPA pemain tengah berpengaruh, Tim Cahill pasukan gergasi Asia, Australia tetap akan tampil dengan pasukan terbaik apabila membuat perhitungan dengan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa di Canberra, Jumaat ini selepas kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Jakarta pada 1992.

Malah skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal harus bersedia menangkis serangan pasukan tuan rumah yang bakal membariskan jentera serangan terbaik mereka iaitu Joshua Kennedy, Alex Brosque, Brett Holman dan Robbie Kruse.


Sentuhan Kennedy yang beraksi bersama kelab Jepun, Nagoya Grampus tampak semakin menjadi-jadi apabila menyumbat satu gol ketika menewaskan Thailand 2-1 dan dua gol ketika membantu Australia mencatat kemenangan 3-1 ke atas Arab Saudi dalam saingan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Dan melihat kepada situasi ini, tidak hairanlah jika ketangkasan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat kembali ditagih untuk melindungi kubu negara daripada dibolosi anak buah Holger Osieck itu.


Khairul Fahmi yang baru pulih daripada kecederaan selepas beraksi bersama Kelantan dalam kempen Piala Malaysia dilihat calon terbaik untuk menggalas posisi itu berdasarkan aksinya ketika bersama skuad Olimpik negara menentang Jepun biarpun Farizal Marlias turut merebut tempat dalam kesebelasan utama.


"Saya tak pasti lagi sama ada akan diturunkan dalam perlawanan menentang Australia nanti, jika dipilih saya akan cuba buat yang terbaik. Australia pasukan kuat, mereka akan menurunkan pasukan Piala Dunia. "Mereka mempunyai ramai pemain bintang dan beraksi dalam liga Australia dan juga EPL (Liga Perdana Inggeris) tapi bagi saya perlawanan ini bukan untuk pengalaman semata-mata tapi kita kena tunjukkan cara permainan kita kepada mereka," katanya yang kini berada di Canberra bersama skuad 22 pemain Harimau Malaya.

Ketika ditanya mengenai tahap persediaannya untuk berdepan asakan Socceroos itu nanti, Khairul Fahmi yang turut dikenali dengan panggil Apek berkata, komunikasi antara pemain pertahanan amat mustahak dalam permainan.


Malah dia juga menyifatkan, kehadiran semula pemain senior Norhafiz Zamani Misbah menambah keyakinan benteng negara.

"Dia (Norhafiz) pemain berpengalaman. Dengan pengalaman yang ada, dia boleh membimbing pemain-pemain muda. Memang kehadirannya membuatkan kami bertambah yakin," jelas Khairul Fahmi.


Pertemuan Australia dengan Malaysia adalah yang ketujuh dengan rekod memihak kepada naib juara Piala Asia itu dengan lima kemenangan manakala skuad negara menang 1-0 di Jakarta pada 1992.

Syor perkenal semula beli komputer menerusi KWSP

Posted: 04 Oct 2011 08:31 AM PDT

KERAJAAN disarankan memperkenalkan kembali skim pembelian komputer menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana diperkenalkan suatu ketika dulu dalam Bajet 2012 dibentangkan Jumaat ini.

Pengurus Besar Acer Sales Services Sdn Bhd (Acer), Ricky Tan berpendapat, skim itu disediakan bagi memenuhi keperluan teknologi maklumat (IT) dan mencapai hasrat kerajaan mewujudkan masyarakat celik komputer serta meningkatkan kadar penembusan PC di kalangan rakyat pelbagai peringkat.


"Ia memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan terutama di kawasan luar bandar untuk memiliki komputer sendiri, namun pembeliannya perlu dipantau ketat pihak kerajaan," katanya selepas majlis pengenalan notebook terbaru Acer di Kuala Lumpur, semalam.

Pada masa sama, Tan juga berharap kerajaan dapat mengurangkan tempoh pelepasan cukai bagi pembelian komputer dari tiga tahun kepada dua tahun bagi memastikan pengguna memperoleh produk IT terkini.


Pelepasan cukai pembelian komputer sebanyak RM3,000 kini dilaksanakan bagi setiap tiga tahun.


Mengenai pengenalan notebook terbaru itu, Aspire S3 Ultrabook berharga RM2,599 disasarkan dapat dijual sebanyak 5,000 unit menjelang akhir tahun ini.

"Menerusi model terbaru ini, Acer berupaya menawarkan pengalaman lengkap, sambungan lancar dan pengalaman penggunaan yang unik," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved