Ahad, 14 Julai 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Elak tertekan

Posted: 14 Jul 2013 08:25 AM PDT

Boleh berpuasa atau tidak? Itu di antara persoalan klise bagi sebilangan pesakit diabetes menjelang Ramadan. Namun rata-rata mereka akan cuba berpuasa disebabkan kewajipan serta tanggung jawab sebagai umat Islam. Namun dari sudut kesihatan, adakah pesakit diabetes dibenarkan berpuasa? Ini kerana Islam memberi kelonggaran kepada golongan tertentu termasuk pesakit diabetes untuk berbuka sekiranya memudaratkan diri sendiri. Persoalannya, adakah mereka sedar dan cuba menguruskan pola pemakanan serta perubahan diet dengan sebaiknya?

Menurut kajian, setiap tahun dianggarkan 40 hingga 50 juta penghidap diabetes di seluruh dunia berpuasa dalam bulan Ramadan dengan kira-kira 79 peratus daripada mereka menghidap diabetes jenis 2. Walaupun berpuasa adalah rukun Islam yang diwajibkan ke atas umat Islam, bagi penghidap diabetes beragama Islam masalah ini boleh menimbulkan risiko kerumitan sekiranya paras gula tidak diurus dengan betul.

Walaupun ramai antara mereka yang mampu menguruskan paras glukosa darah dengan baik, ada yang tidak begitu maklum bagaimana berpuasa boleh menyebabkan penyakit sehingga memberi kesan kepada diri sendiri.

Menurut Pakar Runding Kanan Endokrinologi Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Wan Mohamad Bebakar, ibadat puasa membabitkan perubahan corak pengambilan makanan. Bagi penghidap diabetes, mereka menghadapi cabaran kerana gangguan metabolisme kronik menyebabkan muncul pelbagai risiko.

Foto

DATUK Dr Hisham (kiri) bersama Ham Taejin (kanan) ketika majlis pelancaran Peta Perbualan Diabetes, baru-baru ini.

Foto

AMBIL salad dan buah-buahan untuk mendapatkan kandungan serat.


Ini kerana apabila berpuasa, badan mula berada dalam keadaan kekurangan zat selama kira-kira lapan jam selepas sajian terakhir. Dalam tempoh ini, tubuh akan menggunakan sumber glukosa yang disimpan sebelum pemecahan lemak untuk menghasilkan tenaga. Untuk individu sihat, proses ini membabitkan keseimbangan antara tahap insulin dan hormon.


"Bagaimanapun dalam kalangan pesakit diabetes, rembesan insulin dipengaruhi oleh penggunaan ubat yang berfungsi meningkatkan atau menyokong pengeluaran insulin menyebabkan kesukaran mengekalkan tahap gula darah seterusnya risiko yang lain," ujarnya.

Antara kerumitan utama yang dikaitkan dengan puasa pesakit kencing manis ini ialah hipoglisemia atau tahap gula yang rendah. Ini berlaku apabila tahap gula darah kurang daripada 4mmol/L. Walaupun kelihatan ringan, keadaan ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan kekeliruan, pitam dan secara beransur-ansur hipoglisemia sehingga kekejangan otot, koma dan paling serius kematian.

Satu lagi kerumitan ialah hiperglisemia iaitu tahap gula darah yang tinggi sehingga mencecah 7.8mmol/L ke atas selepas berbuka puasa untuk tempoh sekurang-kurangnya lapan jam.

"Keadaan ini sekiranya tidak diatasi segera boleh menyebabkan kerosakan saraf, salur darah dan organ badan. Malah ia menjadi lebih serius apabila berlaku ketoasidosis iaitu badan yang tidak boleh menggunakan gula (glukosa) sebagai sumber tenaga. Hasil sampingan daripada proses penguraian ini ialah penghasilan keton iaitu sejenis bahan beracun yang terkumpul di dalam badan," jelasnya.

Menyedari kepentingan komunikasi dan interaksi berkaitan pengurusan diabetes dengan betul ketika berpuasa, pesakit seharusnya bersedia lebih awal dengan mendapatkan maklumat lengkap dan jelas daripada doktor. Ini kerana semua kerumitan yang dialami sama ada ringan mahupun teruk boleh dielakkan sekiranya disiplin menerusi pengambilan makanan serta ubat-ubatan mengikut nasihat doktor.

Oleh kerana terdapat keperluan bagi pesakit mendapatkan sumber pendidikan bermaklumat terutama menggalakkan perbincangan mengenai usaha mengawal diabetes ketika Ramadan, Eli Lilly sebuah syarikat pengeluaran produk farmaseutikal melancarkan program Peta Perbualan Diabetes yang memberi tumpuan kepada pesakit menguruskan diabetes ketika berpuasa.

Program baru untuk Ramadan ini sudah dilancarkan di 16 negara termasuk Belanda, Switzerland, Indonesia, Pakistan, Mesir, Afrika Selatan, Afrika Sub-Sahara, Maghribi, Algeria, Lubnan dan Oman. Ia disediakan dalam tujuh bahasa iaitu Inggeris, Belanda, Perancis, Arab Klasik, Urdu, Indonesia dan Melayu pada 2013 oleh pakar endokrinologi beragama Islam seluruh dunia bagi menggalakkan pengurusan diabetes yang betul serta mewujudkan kesedaran mengenai cara umat Islam menunaikan kewajipan dan pada masa sama, mengekalkan tahap gula yang optimum dalam badan mereka.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, diabetes di Malaysia sangat membimbangkan kerana sudah mengatasi angka unjuran kelaziman diabetes oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Memandangkan kesedaran semakin meningkat, wujud keperluan untuk menghasilkan Peta Perbualan Diabetes ketika berpuasa bagi memastikan pesakit berpuasa secara selamat. Dalam pada itu, perbincangan membabitkan pesakit, penjaga dan profesional perlu diadakan agar wujud kefahaman mengenai rawatan dan pengurusan yang betul," katanya.

Menerusi program ini, pesakit diabetes akan memanfaatkan sumber inovatif untuk membantu mereka berdepan cabaran dalam kehidupan seharian. Peta Perbualan Diabetes boleh digunakan dalam kumpulan kecil antara tiga hingga 10 pesakit, visual menarik menggunakan soalan perangsang minda untuk menggalakkan perbualan antara penghidap diabetes dan profesional penjagaan kesihatan bagi mewujudkan suasana yang terlindung dan mesra.

Ini berbeza dengan cara tradisional iaitu pesakit hanya mendengar tanpa berpeluang bertanya atau berbincang antara mereka. Penggunaan aspek visual tertentu seperti kunci (membawa maksud insulin), membantu pesakit memahami diabetes dan mengurusnya dengan baik, tanpa rasa tertekan. Malah Peta Perbualan Diabetes menggalakkan proses perbualan dua hala mengenai penyakit dan memberi peluang kepada pesakit berinteraksi dengan orang lain yang mengalami penyakit sama. Manfaat besar diperoleh daripada perbualan dengan orang yang senasib kerana mereka sedar tidak keseorangan mengharungi pengalaman dan emosi ini.

Bagi Pengurus Besar Eli Lilly Malaysia & Singapura, Ham Taejin, pengurusan diabetes ketika Ramadan adalah sebahagian komitmen berterusan syarikat terbabit untuk menghulurkan maklumat pendidikan kepada penghidap diabetes beragama Islam supaya mereka mengambil langkah sewajarnya ketika berpuasa.

"Mereka perlu sedar rawatan perubatan hanya hanya membantu sehingga tahap tertentu saja. Pesakit perlu berhubung dengan profesional penjagaan kesihatan untuk mendapatkan kefahaman lanjut mengenai cara menguruskan penyakit.

"Menerusi Peta Perbualan Diabetes, kami mahu mewujudkan persekitaran positif. Pesakit diberi dorongan dan didikan melaksanakan perubahan supaya hidup selesa dan berpuasa dengan sempurna," katanya.

Tanda hipoglisemia

  • Sejuk atau kulit berpeluh
  • Pucat
  • Kesukaran menumpukan perhatian
  • Marah, ganas dan tingkah laku yang tidak sepatutnya
  • Longlai ketika berjalan
  • Keletihan
  • Gemuruh
  • Lapar yang melampau
  • Sakit kepala
  • Penglihatan kabur dan pening
  • Sakit perut dan loya
  • Pengsan dan tidak sedarkan diri

    Sekiranya anda mempunyai tanda ini, segera uji glukosa darah anda. Sekiranya glukosa darah kurang daripada 3.8mmol/L, segera lakukan langkah ini:

  • Berbuka puasa.
  • Minum 120 mililiter jus, ambil empat tablet glukosa atau minum separuh gelas air dengan satu sudu gula.
  • Tunggu 10 hingga 15 minit dan periksa glukosa darah semula.
  • Jika berterusan 3.8mmol/L, minum 120 mililiter jus, ambil empat tablet glukosa atau minum separuh gelas air bersama satu sudu gula.
  • Hubungi kakitangan kesihatan untuk nasihat selanjutnya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
  • Bersederhana ketika jalani ibadah puasa

    Posted: 14 Jul 2013 08:15 AM PDT

    Berpuasa bukanlah satu ibadat yang mudah walaupun kebanyakan orang sudah dilatih sejak kecil, malah ada yang sudah memulakannya sebelum masuk sekolah lagi.

    Penceramah agama terkenal, Datuk Abu Hassan Din dalam program Mukaddimah terbitan TV9 pernah memberitahu, ibu bapa tidak sepatutnya mengumpan anak yang masih kecil dengan upah dalam usaha 'memaksa' mereka berpuasa kerana kita tidak tahu seksa yang ditanggung anak apabila dikerah untuk berlapar.

    Apa yang perlu diutamakan ialah mendidik mereka menunaikan solat sejak berumur tujuh tahun supaya ia menjadi ibadat yang mesra di hati sepanjang hayat. Ia juga dapat mengelakkan berlakunya keadaan di mana seseorang itu berpuasa tetapi tidak menunaikan solat.

    Dalam Islam, berpuasa bukan sekadar tidak menjamah makanan dan minuman, tetapi perlu menahan diri daripada melakukan segala perbuatan kurang elok yang boleh mengurangkan ibadat ini termasuk pemikiran, pertuturan, tingkah laku, pandangan dan pendengaran.


    Namun dalam berusaha untuk mencapai ibadat puasa yang baik, aspek fizikal tidak diketepikan. Rasa letih dan mengantuk adalah perkara biasa terutama pada minggu pertama. Namun ada beberapa kaedah untuk membantu kita terus bertenaga sepanjang hari berpuasa iaitu:

  • Bagi individu yang ada masalah kesihatan, sepatutnya berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat terutama kaedah dan jadual pengambilan ubat, juga aspek keselamatan (gejala yang mungkin dialami kerana berpuasa). Ini kerana bagi penyakit kencing manis contohnya, keadaan setiap pesakit berbeza dan pendekatan yang perlu diambil sekiranya berlaku satu-satu gejala juga tidak sama.
  • Walaupun anda cukup sihat, anda masih boleh mengalami masalah sekiranya tidak mengamalkan pemakanan yang betul. Antara masalah yang kerap dialami kebanyakan orang sepanjang Ramadan ialah kekurangan air, zat dan tidak cukup rehat.
  • Lewatkan bersahur. Ada orang suka bersahur pada jam 3 atau 4 pagi sedangkan imsak masih jauh. Bagi yang jarang bersahur, tahun ini cubalah sedaya upaya bangun awal untuk menjamah sedikit makanan, sekurang-kurangnya secawan minuman panas dan kurma.
  • Sahur adalah sunnah dan ia menjadi waktu makan yang amat penting untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Ambil sajian seimbang yang mengandungi karbohidrat, protein, sayur dan buah-buahan. Jika boleh, minum banyak air kosong ketika sahur.
  • Jika anda bekerja di luar, pada hari yang panas, cubalah berlindung di tempat teduh dan pakai pelindung kepala seperti topi atau payung.
  • Didiklah hati untuk bersederhana ketika berbuka. Mulakan berbuka dengan sajian yang ringan seperti kurma, susu, air atau jus buah. Selepas solat Maghrib, bolehlah disambung dengan makan makanan yang lebih berat.
  • Selepas solat Tarawih, cuba elakkan minum kopi, teh atau minuman berkarbonat. Jika teringin, ambillah sekadar satu cawan saja, tetapi pastikan ia tidak terlalu manis. Namun lebih baik jika minuman yang manis ini diganti dengan air suam.
  • Sajikan hidangan sihat untuk diri sendiri dan keluarga dengan menghidangkan buah-buahan atau kacang bagi menggantikan kuih-muih khususnya jika ada ahli keluarga yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi. Walaupun secara logiknya Ramadan adalah bulan yang paling sesuai untuk mengawal penyakit, ramai orang sukar melakukannya kerana terlebih makan.
  • Bagi individu yang ada masalah pedih ulu hati, elakkan makanan bergoreng, berlemak dan pedas terutama ketika berbuka.
  • Banyakkan minum air masak selepas berbuka. Cuba minum lapan gelas air sebelum tidur. Pada awalnya anda mungkin akan kerap terjaga pada waktu malam untuk ke bilik air, tetapi perkara ini ada hikmahnya kerana anda boleh bangun beribadat tanpa perlukan jam loceng.
  • Lakukan senaman ringan selama 15 hingga 20 minit setiap hari seperti berjalan, sama ada pada waktu pagi atau petang sebelum berbuka.
  • Cuba berhenti merokok. Ramadan adalah bulan terbaik untuk berhenti merokok dan meningkatkan tahap kesihatan.
  • Pada waktu rehat tengah hari, tidur sekejap (10 hingga 15 minit) untuk menghilangkan rasa mengantuk dan mengembalikan kecergasan supaya prestasi kerja tidak terjejas. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
  • Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    'Nak lupa sejarah hitam'

    Posted: 13 Jul 2013 12:51 PM PDT

    Kuala Terengganu: "Tinggal beberapa hari saja lagi, kami tiga beradik akan mulakan hidup baru dan tidak mahu ingat lagi apa yang mama dan ayah buat pada kami dulu," kata Mohd Rafiq Haikal Yusman, 7, antara mangsa dera yang gembira selepas berpeluang berpuasa dan akan beraya bersama neneknya di Kota Tinggi, Johor.

    Menurutnya, dia dan adiknya Mohd Afiq Hazwan, 5, akan ke Kota Tinggi manakala adik bongsunya Mohd Aqil Zaquan, 3, akan berpuasa dan menyambut lebaran bersama nenek sebelah ibunya di Kampung Tanjung, di sini, apabila dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Rabu depan.


    Katanya, sejarah hitam yang menimpa mereka tiga beradik pada tahun lalu akan cuba dilupakan selain ingin memulakan hidup baru bersama dua nenek.

    "Dua nenek kami tidak putus-putus melayan kerenah kami tiga beradik dan mereka berdua menyayangi serta tidak pernah marahkan kami sepanjang tiga minggu di dalam wad ini.


    "Nenek juga beritahu akan beli baju raya baru yang cantik untuk kami gayakan di pagi 1 Syawal dan kami teruja untuk beraya tahun ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


    Neneknya Ramlah Che Kob, 58, yang tinggal di Kampung Tanjung, di sini, berkata, selepas hampir sebulan di dalam wad, Mohd Rafiq serta dua adiknya akan dibenarkan keluar dari wad Rabu depan.

    Foto

    TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kuala Terengganu Mohd Mahdi Musa (kiri) memeriksa kaki Mohd Rafiq ketika menziarahnya di HSNZ.

    Menurutnya, walaupun tiga beradik itu akan berpisah selepas keluar dari wad nanti, dia dan keluarga bekas menantunya akan mencari jalan untuk terus berhubung serta saling menziarahi untuk menghilangkan kerinduan tiga beradik berkenaan.


    "Kalau ikut hati, memang saya mahu menjaga semuanya sekali gus, tetapi memikirkan nenek mereka di Johor juga teringin menjaga cucunya, saya reda dan bersyukur walaupun hanya menjaga yang bongsu.

    "Kalau ada masa, saya bawa cucu berjumpa abang kandungnya di Kota Tinggi Aidilfitri nanti," katanya.


    Sementara itu, bapa saudara mangsa dera, Zakaria Wahab, 39, berkata, dia berpakat dengan adik-beradik lain membeli pakaian raya serta keperluan Mohd Rafiq dan Mohd Afiq.


    Katanya, dia akan berusaha memberi kasih sayang kepada dua beradik itu yang sudah lama menderita.


    Akhbar sebelum ini melaporkan, tiga beradik menderita selepas menjadi mangsa dera ibu dan bapa tirinya sejak tahun lalu sehingga mengalami kecederaan fizikal.

    Mohd Rafiq yang dikatakan diikat dengan tali, dicucuh puntung rokok, digantung pada kipas dan disimbah air panas, mengalami kecederaan paling teruk berbanding dua adiknya serta memerlukan tempoh lama untuk sembuh.


    Bagaimanapun, perbuatan kejam ibu dan bapa tirinya menerima balasan apabila masing-masing dijatuhi penjara 10 dan 13 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, 2 Julai lalu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Terjun tebing 30 meter

    Posted: 13 Jul 2013 11:10 AM PDT

    London: Seorang ibu meletakkan anaknya di bahu sebelum melompat dari tebing setinggi 30 meter, semalam.

    Sebelum itu, Katerine Hooper dipercayai mencampak anak bongsunya Samuel yang baru berusia dua tahun dari tempat sama.


    Menurut saksi, Katerine, 24, kemudian meletakkan Joshua - berusia lima tahun ke bahunya dari tebing batu granit di Dartmoor, Devon.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 pagi.


    Sejurus selepas dimaklumkan, ambulans udara dikejarkan ke situ tetapi pihak perubatan mengesahkan Katerine dan anaknya meninggal dunia. Sementara itu, rakan Katerine berkata, ibu muda itu menghadapi masalah dengan bapa kepada dua anaknya, Neil Patterson, 54. Katerine pernah dilaporkan hilang pada April lalu sehingga mendorong polis memperoleh arahan mahkamah untuk membolehkan pihak berkuasa mengetahui lokasinya.


    Kata sumber, Katherine dipercayai melarikan diri daripada Patterson.

    Foto

    KATHERINE bersama Samuel dan Joshua di kediaman mereka.

    Wanita itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah padang dua hari kemudian. Jiran tetangga Katerine di Paignton berkata, wanita itu mula membina hidup baru dan "takut" dengan apa yang sudah berlaku. Johnathan Grant berkata, Katherine dan Patterseon berdepan kes mahkamah bulan depan ekoran "konflik" di antara kedua-duanya yang hidup bersama selama sembilan tahun.


    "Sejak itu Kat mengalami kemurungan yang kronik," katanya.

    Menurut Grant, Samuel sepatutnya memulakan hari pertamanya di pusat jagaan kanak-kanak kelmarin. Katanya, dua beradik itu sangat baik dan mereka sering bermain dengan anak perempuannya.


    Katherine dipercayai mendapatkan semula dua beradik itu selepas mereka diletakkan di bawah jagaan petugas khidmat sosial dan berpindah semula ke kediaman keluarga dua minggu lalu. - Agensi

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

    Besi terpacak di kepala

    Posted: 13 Jul 2013 11:05 AM PDT

    Beijing: Ini ialah batang keluli yang tertusuk dalam kepala seorang pekerja selepas ia jatuh di tapak bangunan.

    Liu Fenghe sedang berbual dengan rakan sekerjanya di tingkat bawah sebuah bangunan dalam pembinaan apabila tiba-tiba dia rebah ke lantai dengan batang keluli itu tercacak di kepalanya.


    Rakannya Zhang berkata, kejadian berlaku cukup pantas. "Sebelum saya sempat berbuat apa-apa, Liu sudah pun berlumuran darah," katanya ketika ditemui.

    Dipercayai batang keluli itu jatuh dari tingkat 25 bangunan berkenaan.


    Hentakan yang kuat menyebabkan ia tertusuk sedalam 20 sentimeter ke dalam kepala Liu.


    Doktor menjalankan pembedahan kecemasan di daerah Shanghe, Shandong. Pihak hospital berkata Liu kini sudah terlepas daripada bahaya. - Agensi

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Rela gelandangan demi kasih

    Posted: 13 Jul 2013 12:08 PM PDT

    Kuala Lumpur: Demi cinta, dua pasangan muda sanggup tinggal di bawah jejambat di tepi Sungai Klang, di sini, sejak beberapa bulan lalu selepas hubungan mereka dihalang keluarga masing-masing.

    Lebih menyedihkan, satu daripada pasangan itu tinggal bersama bayi perempuan berusia empat bulan, manakala satu lagi menanti kelahiran anak sulung mereka dijangka pertengahan Ramadan ini.

    Kedua-dua pasangan terbabit mendakwa bernikah di selatan Thailand tetapi menghadapi kesukaran mendaftarkan perkahwinan di negara ini.

    Bagaimanapun, ketika wartawan Metro Ahad meminta mereka menunjukkan dokumen pernikahan, kedua-dua pasangan gagal berbuat demikian.

    Foto

    Aminah menyuap air kotak pada bayinya, manakala Azalan tertidur di bawah jejantas


    Hanya beralaskan tilam, kain rentang buruk dan kotak lusuh, pasangan terbabit yang berpendidikan rendah dan tiada pekerjaan tetap rela hidup di situ walaupun terpaksa mengemis simpati masyarakat untuk sesuap makanan.

    Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

    26 terhumban dalam gaung

    Posted: 13 Jul 2013 12:01 PM PDT

    Dungun: "Saya dikejutkan dengan bunyi letupan sebelum tercampak dari kerusi," kata Mohamad Khairy Izwan Mohamad Zamani, 27, penumpang bas ekspres yang bertembung dengan sebuah lori sayur di Kilometer 73.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Pulau Serai, di sini, semalam.

    Dalam kemalangan jam 4 pagi, bas ekspres dinaiki 25 penumpang itu turut terhumban sebelum terbalik ke dalam gaung. Bagaimanapun, semua penumpang dan pemandu bas hanya cedera ringan.

    Kejadian dipercayai berlaku apabila lori sayur dipandu Zaidi Awang Hamar, 36, serta kelindannya, Noor Hisyam Zali, 39, dari Bachok, Kelantan dikatakan terbabas lalu memasuki laluan kanan jalan sebelum bertembung dengan bas terbabit dari arah bertentangan.

    Pertembungan itu menyebabkan Zaidi dan Noor Hisyam cedera parah sebelum mereka dikeluarkan pasukan bomba dan dikejarkan ke Hospital Dungun.

    Foto

    BAS EKSPRES terbalik di dalam gaung.


    Mohamad Khairy berkata, dia menaiki bas terbabit dari Hentian Putra, Kuala Lumpur, jam 10 malam sebelum menuju ke Kuala Terengganu.

    Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    'Saya sudah matang'

    Posted: 13 Jul 2013 11:39 AM PDT

    Bangkok: "Saya sudah bertambah matang dan kehadiran semula saya di Chelsea untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris serta Liga Juara-Juara," kata Jose Mourinho yang dilihat sebagai cabaran serta cubaan memulakan perang saraf ke atas pengendali lain.

    Mourinho yang fizikalnya sedikit berubah berbanding sebelum ini berkata, pengalamannya di Inter Milan dan Real Madrid akan membolehkannya merealisasikan apa yang diimpikan bersama kelab London berkenaan.


    "Saya rasa uban yang semakin banyak di kepala ini petanda bagus kerana ia bermakna saya lebih baik dan berpengalaman berbanding dulu," katanya kepada wartawan ketika sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan pra-musim di sini.

    "Saya merasakan saya lebih baik ketika ini kerana tugas ini memerlukan seseorang yang berpengalaman," kata pengendali Portugal itu.


    "Lihat saja perkara berkaitan diri saya. Selepas membimbing Chelsea, saya berkelana di Eropah, dua tahun di Itali, tiga tahun di Sepanyol dan sudah tentu saya mempunyai banyak pengalaman berbanding sebelum ini.


    "Apabila mempunyai lebih pengalaman, sudah tentu keadaan saya lebih baik berbanding sebelum ini kerana tugas saya memerlukan pengalaman."


    Kehadiran Mourinho, 50, untuk kembali membimbing Chelsea disifatkan sebagai keputusan tepat gara-gara pencapaian cemerlang yang dicatat bersama kelab itu sepanjang musim 2004 hingga 2007.

    Di Inter Milan, beliau merangkul gelaran trebel apabila memenangi Liga Juara-Juara, Serie A dan Copa Italia pada 2010 selain memenangi La Liga bersama Real Madrid.


    Kini, Mourinho mahu melakar sejarah peribadi di Chelsea sekali gus mengulangi pencapaian yang pernah dilakukan di Porto dan Inter sebelum ini.


    Kedatangan Mourinho ke Thailand hampir menjadi jelajah memalukan buat dirinya apabila selepas memberikan tunduk hormat kepada wakil media tempatan, beliau hampir terjatuh selepas kakinya tersandung wayar yang melintang berhampiran tempat duduknya di atas pentas.


    Tetapi beliau bijak menyembunyikan rasa malunya itu dengan bercakap mengenai kejayaan Chelsea mendapatkan khidmat Marco van Ginkel yang dilabel sebagai salah seorang pemain paling berpotensi di Eropah selain membawa masuk Andre Schurrle dan penjaga gol, Mark Schwarzer.


    Mourinho yang menganggap dirinya sebagai "The Special One" ketika tiba buat kali pertama di Chelsea, memilih untuk mengubah gelarannya kepada "The Happy One" dan mengaku beliau tidak akan sesekali rela melihat kelabnya kalah terutama pada perlawanan awal liga nanti.


    "Saya pasti sedih jika pasukan saya kalah tetapi itu semua bergantung kepada pemain sama ada mereka mahu menolong saya atau tidak." - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

    Kelebihan rancang strategi

    Posted: 13 Jul 2013 11:36 AM PDT

    Kuala Lumpur: Shalin Zulkifli bukanlah asing kepada dunia sukan bowling di Malaysia dan antarabangsa. Pemain profesional yang memenangi dua pingat emas pada Sukan Asia 2002 kategori Masters serta lima sepasukan pada Sukan Asia 2006 dan dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali itu adalah contoh atlet yang mementingkan kekuatan IQ dan strategi permainan setiap kali menghadapi kejohanan besar di luar negara.

    Shalin menganggap kekuatan IQ adalah satu faktor yang perlu ada dalam diri setiap atlet terutama bagi yang mahu melangkah lebih jauh dalam bidang sukan.


    Shalin mengakui topik kekuatan IQ atlet memang selalu dipinggirkan tetapi semua pihak harus sedar bahawa faktor kekuatan IQ memainkan peranan cukup besar dalam penghasilan atlet yang boleh dibanggakan.

    "IQ bergantung kepada individu. IQ boleh ramuan terbaik dalam resipi kejayaan seseorang atlet. Jika bakat mereka kurang, mereka boleh memperbaiki diri dengan meningkatkan IQ menerusi pembacaan dan pencarian ilmu dan pergaulan dengan orang yang berjaya.


    "Saya bersetuju dengan pandangan yang mengatakan IQ penting dalam proses pembangunan atlet. Setiap atlet mesti ada IQ. Mereka tidak perlu mengharapkan untuk 'disuap' sepanjang masa atau menunggu arahan jurulatih baru hendak memulakan langkah. Mereka perlu ada inisiatif untuk memajukan diri sendiri," katanya.


    Selain bowling, Shalin mendedahkan beliau turut membaca cerita kejayaan atlet lain sama ada dalam dan luar negara untuk dijadikan motivasi.

    Katanya, mengkaji permainan sukan lain seperti tenis akan membantu memperbaiki psikologi permainan.


    "Saya suka membaca autobiografi pemain seperti John McEnroe, Steffi Graf dan apa saja berkaitan falsafah atau psikologi sukan.

    "Sudah menjadi kebiasaan setiap kali bertanding di luar negara, saya pasti singgah ke kedai buku dan meninjau buku falsafah, psikologi sukan dan apa saja mengenai topik itu. Buku dan autobiografi antara bahan bacaan 'kemestian' walaupun falsafah sukan sama iaitu mencapai kemenangan," katanya.


    Demi memperbaiki kefahaman bahasa dan meningkatkan pengetahuan, Shalin turut mencadangkan atlet menguasai bahasa Inggeris memandangkan banyak buku ilmiah diterbitkan dalam bahasa itu.


    "Menguasai lebih banyak bahasa lebih baik kerana bahasa perantara mencari ilmu dan mendapat pendedahan baru dari tempat lain. Sudah tentu, lebih banyak mereka menguasai bahasa lebih baik kerana lawan di luar datangnya daripada pelbagai negara. Kebolehan berbahasa Inggeris memberi kelebihan dan banyak istilah sukan dalam bahasa itu," katanya.


    Shalin berkata, sukan memerlukan bakat tetapi apa yang penting, setiap individu yang mahu bergelar ahli sukan itu perlu bekerja keras untuk meningkatkan kemampuan masing-masing.


    "Jika bakat kita tidak terlalu hebat, kerja keras memberikan jawapan terbaik. Tiada orang yang tidak boleh berjaya. Jika berusaha dan mencari jalan, kita pasti boleh melakukannya.


    "Proses pembelajaran kadang kala tidak sampai dalam pemikiran. Jadi cara terbaik yang saya amalkan ialah terus belajar untuk menguasai sesuatu perkara," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved