Rabu, 10 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Jaga kecantikan sejak muda

Posted: 10 Oct 2012 03:46 PM PDT

DIA nampak begitu menyerlah dengan padanan blaus jingga bersama skirt putih. Tampil segar dengan solekan nipis melatari kulit yang cerah dihiasi sapuan pengilat bibir. Walaupun ringkas, ia cukup anggun dan elegan. Ketika bertemu media pada kunjungan pertamanya ke Malaysia sebagai duta baru SK-II, bibir comelnya tidak putus-putus menguntum senyum.

Sheila Sim, 27, supermodel terkenal kelahiran Singapura ini selain bijak bergaya, juga berkeyakinan menjawab soalan. Dia bukan setakat popular di negara kelahirannya namun sejak berusia 17 tahun, Sheila sudah berpindah ke Hong Kong untuk membina jenamanya sendiri. Lebih membuatkan wanita ini bersemangat apabila dia mempunyai dua wanita yang menjadi tulang belakang dalam kerjayanya selama ini.

"Bekas model Ivy Chng ialah ibu saudara yang banyak mengajar mengenai kehidupan serta asam garam dalam dunia peragaan. Dia memberi tunjuk ajar bagaimana menjadi model berjaya. Selain itu, nenek memainkan peranan besar menentukan arah hidup saya. Sejak kecil saya tinggal bersama nenek dan wanita ini menjadi inspirasi saya selama ini.

"Apa juga yang saya lakukan nenek menjadi penasihat dan pembimbing dalam membina kerjaya. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi sekiranya nenek tiada.

Selain itu, saya mempunyai keluarga besar yang sangat menyokong serta tidak pernah jemu memberikan galakan untuk berjaya dalam bidang peragaan," katanya.

Sheila mengakui untuk mengukuhkan nama di luar negara seperti Paris dan Itali bukan sesuatu yang mudah. Ini kerana penerimaan Barat terhadap wanita Asia amat berbeza.

"Di sana saya terpaksa menunggu selama dua jam semata-mata mahu menunjukkan portfolio dan sekiranya mereka tidak suka, mereka akan membuangnya begitu saja.
Namun dari situ saya belajar menghadapi tekanan," katanya yang berpindah ke Hong Kong pada 2002 dan membina nama di sana selama empat tahun sebelum kembali ke Singapura.

Menyedari memiliki bakat semula jadi, model yang memiliki ketinggian 174 sentimeter ini kemudian bekerjasama dengan jenama besar seperti Giorgio Armani, Salvatore Ferragamo, Christian Dior, Piaget, Valentino, Louis Vuitton dan Chanel di Tokyo, Milan dan Paris serta muncul dalam 10 daripada 24 pertunjukkan di Festival Fesyen Singapura pada 2008.

Menjadi duta jenama antarabangsa SK-II, dia kini sebaris dengan duta terdahulu iaitu Cate Blanchett, Tang Wei, Haruka Ayase, Lee Sinje dan Qi Qi. Pemilihan ini satu penghormatan buat Sheila kerana dia dapat berkongsi pengalaman dengan semua wanita mengenai kecantikan. Dia mentakrifkan kecantikan bukan hanya menerusi penampilan luaran, apa yang penting memiliki hati yang bersih serta minda yang segar dan sihat kerana semuanya akan terpancar menerusi wajah.

"Kecantikan bukan sekadar menjaga kulit atau memastikan wajah disolek rapi tetapi lebih daripada itu. Menjaga hati dengan nilai murni, berprasangka baik, tidak cemburu dan sentiasa positif adalah rahsia tampil lebih yakin dan bergaya," ujarnya.

Menjalani kehidupan aktif sebagai model peragaan pentas, jadual hariannya padat dengan aktiviti seharian. Bermula seawal pagi, wajah perlu disolek dan berlarutan sehingga ke malam. Kadangkala waktu tidur hanya apabila berada di dalam kapal terbang.

Justeru, dengan faktor persekitaran yang mencabar, Sheila mengakui dia memiliki kulit sensitif serta terdedah pada keradangan akibat pertukaran cuaca serta alat solek. Atas sebab itu, dia sering bertukar produk dan tidak pernah setia pada sesuatu jenama kerana percaya setiap orang dilahirkan dengan kulit yang cantik serta tidak perlu melakukan sebarang perubahan.

"Saya mempunyai kepercayaan kulit yang cantik tidak perlu menggunakan sebarang produk. Tetapi apabila SK-II melamar saya sebagai duta, saya tidak menolak kerana yakin keajaiban pada kulit selepas menggunakannya," jelasnya.

Menceritakan pengalaman menggunakan SK-II, pada hari pertama, dia tidak mengharapkan sebarang perubahan ketara namun selepas sehari mencubanya, kulit menjadi lebih cerah dan jelas.

"Selepas tiga hari menggunakan FTE, liang roma menjadi lebih halus dan licin.
Kulit menjadi tegang dan bercahaya. Malah saya tidak pernah mengalaminya dengan mana-mana jenama penjagaan kulit sebelum ini. Dalam masa 14 hari, garis halus di sekitar mata dan mulut menjadi lebih licin dan tidak kelihatan.

"Mulanya, saya fikir ia hanya imaginasi tetapi apabila rakan bertanyakan rahsia memiliki kulit cerah berseri, saya mula percaya," ujarnya yang memastikan akan membawa tiga produk apabila berkunjung ke luar negara.

FTE digunakan di dalam kapal terbang bagi mengelak kulit kering, topeng wajah SK-II Skin Signature 3D Redefining bagi menyegar dan memastikan kulit mendapat lembapan secukupnya manakala Cellumination Essence Ex menjadikan kulit tegang dan bercahaya.

Sebagai duta dan ikon kecantikan, Sheila menggesa wanita muda memulakan langkah menjaga kecantikan dengan melakukan regim penjagaan kulit supaya mereka mendapat manfaat pada kemudian hari.

Kulit harus dijaga dan dibelai menggunakan produk penjagaan wajah terbaik dan jangan berharap kulit akan kekal bersinar tanpa sebarang produk.

Baginya, wajah yang sempurna apabila memiliki kulit yang sihat, berseri dan cantik yang akan diperoleh sekiranya seseorang itu mendapat rehat yang cukup, menggunakan pelembap serta minum lapan gelas air sehari untuk memastikan tubuh kekal terhidrat.

Walaupun memiliki penampilan sempurna, Sheila sama seperti gadis biasa yang lain. Mungkin ramai beranggapan dia gemar berkasut tumit tinggi atau berpakaian formal di luar, tetapi sebenarnya tidak. Seluar pendek dan kemeja-T sendat menjadi pakaian kegemarannya sekiranya tiada aktiviti di pentas.

Ketika keluar rumah, dia langsung tidak mengenakan sebarang solekan, hanya memakai FTE dan membiarkan kulit bebas bernafas. Bagi mereka yang melihat penampilan elegan dan anggunnya, ia hanya di majalah.

"Sebagai model saya harus mengikut apa yang dikehendaki penganjur. Apa yang sering dipaparkan di akhbar dan majalah hanyalah sebagai memenuhi tuntutan kerja, selebihnya saya sama seperti gadis lain, gemar bergaya ringkas," ujarnya yang sering melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal, berenang, bermain badminton dan mengunjungi gimnasium bagi mengekalkan stamina.

Dia juga menjaga pemakanan kerana percaya kecantikan dan kesihatan akan terserlah menerusi pemakanan seimbang dan sihat. Namun dia juga tidak menolak menjamah makanan popular Singapura seperti mi goreng dan char kuetiau yang enak dan lazat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


2 rakan jenayah tumpas

Posted: 09 Oct 2012 03:52 PM PDT

CHERAS: Kegiatan Geng Sek Taw dianggotai dua sahabat baik yang aktif menjalankan aktiviti jenayah curi kereta dan pecah rumah sekitar Lembah Klang berakhir selepas mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Pandan Perdana dan Cheras, di sini, 2 Oktober lalu.

Dua lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai terbabit dalam 21 kes curi kenderaan dan 13 kes pecah rumah sejak tiga bulan lalu serta berjaya dikesan selepas menerima maklumat awam.


Mereka dikatakan tidak memilih jenis kereta yang disasarkan asalkan boleh dicuri sebelum dijual semula pada harga murah. Begitu juga dengan pecah rumah, mereka melakukannya jika ada kesempatan tanpa mengira tempat dan masa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, dua lelaki itu yang bersahabat baik sejak tiga tahun lalu melakukan kegiatan jenayah mereka secara rambang tanpa menyasarkan mangsa tertentu.


Katanya, hasil tangkapan berkenaan, polis merampas sembilan kenderaan pelbagai jenis yang dilaporkan dicuri dan lapan daripadanya dilaporkan hilang di Lembah Klang manakala satu di Pahang.


"Polis turut menemui kelengkapan mencuri kenderaan serta pecah rumah dan beberapa kunci kereta.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM400,000," katanya.


Beliau berkata, suspek direman hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 411 KK dan Seksyen 414 KK.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Kawasan Vista Angkasa tapak baru pasar malam

Posted: 09 Oct 2012 03:49 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kawasan pangsapuri Vista Angkasa akan menjadi tapak baru pasar malam Kampung Kerinchi bagi menggantikan tapak asal di kawasan rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi yang ditutup untuk pembangunan semula.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, tapak baru itu yang terletak bersebelahan Stesen LRT Universiti, adalah berdekatan dengan tapak asal.


"Pihak Vista Angkasa sudah pun bersetuju untuk beri tempat kepada penjaja pasar malam berniaga bagi tempoh dua malam yang diminta (Isnin dan Jumaat) dengan mematuhi syarat kebersihan dan keselamatan, lagi pula kawasan itu di bawah DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur)," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Raja Nong Chik berkata, keutamaan hanya diberikan kepada peniaga penduduk asal Lembah Pantai dan warga Kuala Lumpur memandangkan keluasan kawasan itu boleh menempatkan 30 peniaga sahaja.


"Kami hendak memastikan keutamaan diberikan kepada penduduk tulen Lembah Pantai sahaja sebab kami tidak mahu orang di tempat sendiri susah, tetapi yang dapat rezeki orang luar," katanya.


Raja Nong Chik berkata, DBKL memerlukan tempoh seminggu bermula semalam untuk menyelaraskan penyusunan semula tapak dan mengenal pasti peniaga tempatan yang layak berniaga di tapak baru itu. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Senior melampau

Posted: 09 Oct 2012 04:13 PM PDT

GURUN: "Anak saya dimalukan apabila dipaksa telanjang sebelum seorang pelajar merakam gambar bogelnya menggunakan telefon bimbit dengan alasan bergurau. Lebih mengecewakan, kejadian itu berlaku Februari lalu dan hanya diketahui apabila telefon bimbit pelajar berkenaan dirampas warden pada 30 September lalu."

Demikian kata bapa pelajar lelaki berusia 13 tahun yang kesal dengan sikap sambil lewa pengurusan sebuah sekolah menengah di sini, yang didakwanya tidak mengambil tindakan terhadap aduannya berhubung kejadian itu.

Bapa berusia 36 tahun itu berkata, dia hanya mengetahui mengenai rakaman video bogel anak lelakinya itu selepas isterinya dimaklumkan anaknya dipanggil Guru Penolong Kanan, Hal Ehwal Pelajar (PKHEP) pada 1 Oktober lalu berhubung kejadian buli di asrama sekolah berkenaan.

Menurutnya, ketika itu, anaknya baru sebulan tinggal di asrama dan difahamkan kejadian berlaku ketika dia ke tandas dengan memakai tuala sebelum dipanggil pelajar senior dan dipaksa berbogel sebelum disepak berulang kali.


"Pada keesokan hari, isteri saya bertemu pengetua untuk melihat rakaman telefon bimbit itu dan dimaklumkan seorang pelajar tingkatan lima terbabit perbuatan itu, tetapi beliau enggan membenarkan isteri melihat rakaman berkenaan dengan alasan telefon itu kehabisan bateri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Mahu tebus kegagalan 35 tahun lalu

Posted: 09 Oct 2012 04:13 PM PDT

JOHOR BAHRU: "Sejak berbulan lalu, saya mengulang kaji pelajaran dengan bantuan anak lelaki berusia 12 tahun dan baru selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Hari ini (semalam), saya rasa seram sejuk dan berdebar-debar ketika membuka kertas soalan. "Bagaimanapun, kerana ingin mencabar diri sendiri, semua itu diketepikan malah saya tabahkan hati untuk ke pusat peperiksaan." Itu kata calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, 50, ketika ditemui di pusat peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara di sini, semalam.


Nordin bersama seorang lagi rakan berusia 40-an mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi calon persendirian paling tua menduduki PMR.

Dia yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, usia bukan penghalang untuknya menduduki PMR, sebaliknya perlu dijadikan contoh kepada golongan muda supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada dengan belajar bersungguh-sungguh.


"Saya menduduki PMR kerana mahu menebus kegagalan mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 35 tahun lalu.


"Saya mendaftar untuk menduduki PMR pada Februari lalu dengan yuran RM85. Walaupun sibuk, saya meluangkan masa mengulangkaji pelajaran.

"Pada mulanya anak dan isteri menyangka saya hanya bergurau, tetapi mereka kemudian memberi semangat dan dorongan," katanya.


Bermula semalam, Nordin bersama rakannya itu mula menguji keupayaan diri dengan menjawab kertas soalan mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, diikuti Pendidikan Islam pada sebelah petang.

Selain dua mata pelajaran itu, secara keseluruhan, calon PMR akan menjawab enam lagi mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup, Sains serta Matematik.


"Memang gementar kerana persediaan dibuat hanya ala kadar, paling merisaukan saya mata pelajaran Matematik kerana ia memerlukan kecekapan untuk mengira.


"Agak kekok dan segan kerana kami dikelilingi ratusan murid yang jauh lebih muda. Bagaimanapun, saya berasa lega apabila terjumpa seorang lagi calon hampir sebaya," katanya.


Bapa kepada lima anak itu turut berharap dia lulus semua mata pelajaran.


Selain Nordin dan rakannya itu, seramai 166 pelajar tingkatan tiga yang lain turut menduduki PMR di pusat peperiksaan sama. Sementara itu, seorang guru dikenali sebagai Yahya, 40, berkata, dia terharu apabila mendapati dua calon yang menduduki PMR ialah individu seusia dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Dalam hati Randy ada Elfira

Posted: 09 Oct 2012 06:33 AM PDT

BUKAN sehari dua jika ingin mengasah bakat seseorang bagi menjadi yang terbaik. Sama situasinya seperti pekerjaan lain, seni lakon juga perlu melalui proses pembelajaran dan pengalaman untuk menggilap kemampuan seseorang.

Bintang muda yang kian menyerlah kelahiran negara jiran, Randy Dionisius Pangalila mengakui, sebelum mengenal erti lakonan, dia sendiri pernah ditempelak dengan dakwaan lakonannya seperti kayu.

"Saya mulai berlakon ketika berusia 15 tahun dan hakikatnya saya tidak pernah impikan kerjaya ini kerana cita-cita saya mahu menjadi petugas marin atau atlet dalam seni mempertahankan diri taekwando (memiliki tali pinggang hitam) kerana mahu mengharumkan nama Indonesia.

"Bagaimanapun, takdir menemukan saya dengan Pak Teddy yang bertindak sebagai pengurus saya selama lima tahun sebelum meninggal dunia pada November tahun lalu. Beliaulah orang yang bertanggungjawab mengajak saya ke Jakarta dan memperkenalkan saya kepada industri hiburan.


"Siri pertama saya bintangi tidak begitu 'boom' mungkin kerana harus diterima hakikatnya, barisan pelakon termasuk saya semuanya wajah baru dan episod itu berakhir sampai empat episod saja. Selepas itu, saya ada terima watak pembantu yang kebanyakannya watak antagonis.


"Pada usia 16 tahun saya ditawarkan membintangi telefilem Gue Banget sebagai peranan utama. Sampai bilapun saya tidak mungkin lupa nama pengarahnya, Putri Rindung Bulan kerana hampir setiap hari saya diherdik dengan bahasa kesat di depan pelakon tambahan. Ketika itu saya tidak pandai berlakon dan tidak tahu pergerakan kamera.

"Hinggakan pernah saya merasakan saat ke set itu seperti berada di neraka.
Sepuluh hari bagaikan dua tahun penyeksaan. Namun, dua hari terakhir penggambaran, dia memanggil saya. Sangkaan saya, pasti kena marah lagi rupa-rupanya tidak. Dia kata kepada saya, 'inilah baru dipanggil acting'.

"Namun, selepas itu saya dimarahi lagi tetapi saya tidak apa-apa kerana akhirnya saya terima pujian daripadanya. Bagaimanapun, sehingga kini kami masih bersahabat dan ketika kerja kami bersikap profesional," katanya.

Daripada pelakon kayu, pemuda bakal meraikan ulang tahun ke-22 pada 19 Oktober itu, tiba-tiba menggegar persada lakonan dan menjadi kegilaan anak gadis apabila membintangi Cinta Fitri juga drama bersiri paling panjang pernah dijayakannya dengan tempoh penggambaran selama lima tahun.

Bagaimanapun di Malaysia, pemuda berdarah kacukan Belanda, Menado dan Jawa itu mula dikenali menerusi lakonan sebagai Galang dalam Cinta Kirana bersama Nia Ramadhani. Selepas itu, Cinta Melody sebagai Elang bersama Chelsea Olivia dan semakin popular menerusi sinetron Nada Cinta sebagai Ricky bersama Mikha Tembayong, Luna Maya dan Dewi Sandra.

Populariti dimiliki Randy membuka peluang buatnya berkarya di Malaysia apabila bertemu Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli di Jakarta, dua tahun lalu sewaktu mengadakan promo untuk Astro. Raqim juga individu yang memperkenalkannya kepada pengarah, Michael Ang.

"Raqim ingin mengadakan satu projek untuk mencari kelainan khusus buat tontonan pelanggan Astro dan Michael dipertanggungjawab merealisasikan hal itu.
Michael menghubungi pengurus saya, Pak Teddy dan kala itu saya sedang sibuk penggambaran Cinta Kirana.

"Tidak lama kemudian pengurus saya memaklumkan saya cuma punya cuti seminggu jadi mahu 'shooting' atau tidak. Lantas Michael terus bersetuju. Bekerja dengan Michael memang menyeronokkan kerana saya tidak pernah ketemu pengarah yang gila seperti dia. Kebanyakan pengarah drama atau filem di negara saya berperwatakan serius," katanya yang suka menghabiskan masa di rumah sambil mencipta lagu.

Suasana penuh tawa dan keserasian bekerja di bawah arahan Michael antara sebab mengapa dia kembali beraksi dalam produksi, Cube Film Sdn Bhd milik pengarah itu untuk naskhah terbaru, Dalam Hati Ada Taman selepas membintangi Mimpi Sampai Ke Bintang.

Jujur pengakuannya terharu apabila dimaklumkan Mimpi Sampai Ke Bintang mencatat rating penonton paling tinggi dalam sejarah penyiaran drama siaran Astro dengan jumlah melebihi satu juta penonton.

Berbeza dengan drama pertamanya di Malaysia, Dalam Hati Ada Taman bukan saja kembali menggandingkannya dengan pelakon cantik, Elfira Loy tetapi juga dua lagu hasil ciptaan pemegang ijazah jurusan muzik dari Kolej MusikPlus, Indonesia itu digunakan sebagai runut bunyi drama itu.

"Tidak seperti pertama kali bertemu, Elfira agak malu-malu dan saya yang sering mulakan perbualan. Mungkin babak pertama kami jayakan adalah babak romantis.
Tapi sekarang apabila sudah kenal, dia asyik buli saya saja. Senang kerja sama Elfira kerana kita pernah berlakon sama dalam Mimpi Sampai Ke Bintang.

"Justeru, penyatuan kali kedua ini lebih mudah ekoran keserasian yang terbina dulu. Kita tidak perlu bergantung pada skrip dan penyampaian juga lebih bersahaja. Elfira adalah teman rapat saya di sini. Dia seorang yang berbakat, sahabat dan pendengar yang baik.

"Seronoknya bekerja dengan Elfira kerana dia membuatkan saya kelihatan lebih tinggi walaupun saya sebenarnya bertubuh kecil.

"Sekadar memperdengarkan kepada Michael koleksi lagu ciptaan saya masa 'shooting' yang pertama dulu, tanpa disangka dia menyukai lagu Selalu Milikmu.
Gara-gara lagu itu juga, Michael hadir dengan idea untuk menghasilkan drama Dalam Hati Ada Taman," katanya yang menyanyikan lagu itu secara duet bersama Marsha Milan Londoh.

Mengulas wataknya menerusi drama bersiri 13 episod yang bakal bersiaran mulai 29 Oktober di Astro Ria, dia memegang watak menggunakan namanya sendiri iaitu Randy. Randy adalah anak orang kaya yang melarikan diri ke Paris dan bekerja di kedai roti tempat Bella (Elfira) bekerja.

Dia menyukai Bella namun Bella pula sebaliknya. Sehingga satu hari, ibu Bella merancang untuk menjodohkannya dengan Danial. Bella yang belum bersedia meminta bantuan Randy untuk mengaku sebagai tunangannya.

"Akhirnya Bella jatuh cinta kepada kedua-duanya. Saat dia harus membuat pilihan dan menyedari lebih mencintai Randy, lelaki itu hilang secara tiba-tiba," katanya ditemui pada majlis pelancaran drama itu di Amp Walk, Ampang, Kuala Lumpur.

Satu pengalaman indah dapat menjalani penggambaran di kota Paris selama hampir dua minggu, namun dia berdepan dengan situasi cemas ketika di Dubai gara-gara masalah visa.

Bakal muncul dengan dua filem bersama Michael iaitu KL Meroyan dan Darah Daging, Randy akan mempamerkan kepakarannya dalam seni mempertahankan diri.

"Bilang orang sini, wajah saya 'jambu' dan kerana faktor itu juga saya sukar dapat watak yang saya inginkan sekalipun sekadar mahu menjadi rockers. Uji bakat untuk karakter sebegitu yang saya sertai sering gagal. Kata produser dan pengarah mukanya tidak sesuai.

"Berbeza di sini, Michael mahu berikan saya peluang dan ia sememangnya saat yang amat saya nanti-nantikan," kata kekasih kepada pelakon remaja, Michella Putri, juga pelakon siri Nada Cinta.

Memandangkan dirinya diterima baik di negara ini, apakah Randy merancang untuk menimba pengalaman bekerja dengan produksi tempatan lain, nyata tawaran itu ada namun kesibukan yang membataskan dirinya.

"Penggambaran di Indonesia mengambil masa yang panjang lebih-lebih lagi drama bersiri. Pihak stesen televisyen akan melihat sejauh mana penerimaan penonton dan jika ia bagus, siri itu akan dipanjangkan episodnya sehingga mengambil bertahun-tahun tempoh penggambaran.

"Pokoknya, siapa yang mahu menawarkan saya harus berurusan dengan Michael," seloroh pemuda yang sedang terikat dengan penggambaran drama bersiri, Raja & Aku sesudah membintangi drama Si Miskin Si Kaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/09


Agenda besar Hafsham

Posted: 09 Oct 2012 06:16 AM PDT

JAWATAN Presiden kepada mana-mana persatuan atau pertubuhan sememangnya dianggap kerusi panas. Jika silap percaturan, pemegang tampuk kepimpinan itu terpaksa mengorbankan kedudukannya untuk memuaskan hati segelintir pihak di dalam mahupun di luar yang sentiasa memerhati tindak-tanduknya.

Faktor ini sedikitpun tidak menggusarkan pengarah terkenal, Othman Hafsham yang menerajui Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) sejak 31 Mac lalu. Di tangannya sudah terbentang pelbagai agenda bertujuan menggerakkan FDAM seperti matlamat asal penubuhannya.

Bagaimanapun, setiap perkara dilakukan pasti ada pro dan kontranya. Di sebalik sokongan diterima, ada juga yang mengeji dan menunggu masa untuk menjatuhkannya. Sedar akan itu, Hafsham sedia mengambil risiko mempertaruhkan jawatan yang dipegang. Kata-katanya bukan cakap kosong kerana dia sudah berbuat begitu sebelum ini.

Apakah agaknya agenda besar yang ingin dibuat Hafsham di bawah kepimpinannya?

Wartawan RAP, Ridzuan Abdul Rahman (mohamadridzuan@hmetro.com.my) mendapatkan penjelasan beliau. Kita ikuti perbualan menarik ini.


RAP: Bagaimana kedudukan FDAM ketika diambil alih?

HAFSHAM: Waktu itu saya tengok FDAM bagaikan tiada energi. Kedudukan kewangan tenat dan pentadbiran pula lusuh. Sesetengah orang memang tak sanggup, tapi saya nak uji diri sendiri ambil cabaran. Saya nak cabar diri sendiri apakah FDAM boleh berdiri teguh? Banyak yang perlu dibuat antaranya nak mereka merajuk dan kecil hati dengan FDAM kembali semula kepada persatuan.

RAP: Kenapa sanggup pikul tanggungjawab ini?

HAFSHAM: Saya dah banyak makan jasa di bidang seni. Jadi, saya nak pulang–kan semula jasa ini dalam bentuk sumbangan kepada industri sekarang. Sungguhpun kecil pendapatan diraih, tapi alhamdulillah kewangan saya stabil hingga dapat hantar anak belajar di luar negara.

RAP: Boleh jelaskan kenapa FDAM nak buat penjenamaan semula?

HAFSHAM: Sebenarnya saya bukan nak buat penjenamaan semula, tapi lebih kepada penstrukturan semula FDAM. Saya nak beri suntikan balik kepada FDAM dari segi keyakinan supaya ahli dan orang dalam seni kreatif yakin kepada FDAM.

Sepatutnya semakin lama FDAM semakin menyengat, tapi sekarang FDAM semakin malap. Patutnya ada transaksi darah lama yang digantikan dengan darah baru.
Namun mereka (orang baru) tak minat dan asyik-asyik orang tua saja yang buat.
Balik-balik orang tua juga yang buat kerja tak bergaji ini. Orang muda selalu tanya apa persatuan boleh buat untuk mereka? Apa manfaat mereka dapat?
Sepatutnya mereka kena menyumbang–kan tenaga untuk persatuan, bukannya fikir perkara lain.

RAP: Kenapa perlu perkara ini diambil perhatian?

HAFSHAM: Kami sekarang tampilkan moto Seperjua–ngan, Alang-Alang Menyeluk Pekasam Biar Sampai Ke Pangkal Lengan. Bangsa Melayu sebenarnya mempunyai bahasa yang indah. Saya nak sedarkan orang seni yang kita kena kuat dan bersatu. Kalau tak tunjuk begini, kita akan dipermainkan dan kena tindas.

Dalam hal begini kita kena bergabung. Orang tua perlukan tenaga orang muda manakala orang muda perlukan fikiran orang tua. Gabungan ini iaitu pengalaman, kekuatan dan pengetahuan akan menjadikan kita kuat. FDAM tak nak dianggap penggerak utama tapi sebaliknya penggerak bersama persatuan lain.

RAP: Apakah agenda yang dirangka dalam penjenamaan ini?

HAFSHAM: Kami merancang menganjurkan Jamuan Mesra FDAM yang bakal berlangsung di Finas, Hulu Kelang pada 14 Oktober ini, jam 3 petang. Kami akan menjemput semua pengarah senior dan muda untuk sama-sama duduk semeja dan bertukar idea. Ramai dijemput antaranya Datuk L Krishnan, Kamarul Ariffin, Deddy M Borhan serta Datuk Yusof Haslam, Datuk Paduka Shuhaimi Baba, Afdlin Shauki, Syamsul Yusoff dan ramai lagi.

Ini adalah hari santai buat kami di mana kami dapat berjumpa kawan-kawan lama serta bergaul mesra antara satu sama lain. Sekali lagi saya perlukan kerjasama pengarah muda untuk hadir kerana perlukan suntikan idea mereka. Walaupun saya dah lama dan banyak pengalaman dalam pengarahan, saya kena prihatin juga dengan perkembangan semasa.

RAP: Apakah mereka yang hadir dikenakan bayaran?

HAFSHAM: Penyertaan dibuka secara percuma kepada semua ahli FDAM. Mereka yang tak bayar yuran ahli persatuan, perlu melunaskannya untuk turut serta.
Kami minta agar pengarah hadir ke majlis ini kerana banyak program mengenai hala tuju industri filem akan dibentangkan untuk manfaat bersama.

RAP: Apa lagi agenda lain dirancang?

HAFSHAM: Saya juga merancang menganjurkan Konsert Seperjuangan, Alang-Alang Menyeluk Pekasam Biar Sampai Ke Pangkal Lengan yang membabitkan penyanyi, pelakon, pelawak, penggiat teater dan puisi serta semua yang berkaitan seni.
Kami nak tunjukkan bahawa orang seni bersatu. Kami bukannya nak tunjuk perasaan tapi sebagai melahirkan tanda terima kasih buat kerajaan dan peminat.

Barisan artis yang dijemput antaranya Datuk Siti Nurhaliza. Menariknya setiap artis yang terbabit hanya akan dibayar sebanyak RM1 tanpa mengira status mereka. Bayaran masuk buat peminat juga dikenakan sebanyak RM1. Konsert ini dirancang dilangsungkan pada 13 Januari 2013 dan lokasi yang paling sesuai ialah Stadium Negara.

Sekarang saya sedang cari penaja. Kalau boleh saya nak barisan teknikal meliputi set rekaan pentas, sistem bunyi dan cahaya juga berikan khidmat mereka secara percuma kerana mereka juga sudah kaut untung hasil dunia seni. Kutipan konsert ini akan dimasukkan dalam Tabung Kesejahteraan yang akan diwujudkan nanti.

RAP: Apa harapan Hafsham terhadap konsert ini?

HAFSHAM: Sudah tentu saya mahu peminat hadir memenuhi seluruh stadium.
Inilah masanya untuk kita sama-sama menyemarakkan kembali dunia seni. Saya juga nak wakil stesen TV luar seperti NHK dan CNBC hadir buat liputan. Inilah caranya orang industri kreatif balas kembali budi semua peminat.

RAP: Bagaimana pula agenda untuk membantu industri seni?

HAFSHAM: Saya akan mencadangkan supaya diadakan kongres ekonomi perfileman dan kreativiti. Kami nak buat kajian semula di mana industri perlu disusun kembali.

Kami akan jemput pakar intelektual, pengamal dan penggiat filem dan pakar dari luar negara. Ini satu projek besar dan saya akan cuba dapatkan dana untuk merealisasikannya.

RAP: Apa pandangan mengenai dana RM6 juta untuk bidang seni dalam Belanjawan 2013?

HAFSHAM: Ia satu pengumuman disambut baik karyawan dan seniman. Namun ia akan dibahagikan kepada banyak NGO. RM10,000 untuk satu persatuan, satu jumlah kecil tapi kami tetap berterima kasih kepada kerajaan. Cuma, kena ada pihak jelaskan pembahagiannya adakah kepada semua NGO.

RAP: Perkembangan mengenai kedudukan dalam Gafim pula?

HAFSHAM: Kami akan masuk semula dalam Gafim. Saya akan tulis surat secara rasmi kepada mereka. Penyertaan semula ini dibuat untuk kebaikan industri.

RAP: Apakah Hafsham akan meletak jawatan sekiranya agenda yang dirancang gagal?

HAFSHAM: Ya, ini perkara serius. Saya tak main-main dengan apa dikatakan. Sebelum ini saya pernah buat perkara sama ketika menerajui PFM dan tak mustahil saya akan melakukannya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/09


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Tuntut Harimau mengaum

Posted: 09 Oct 2012 10:12 AM PDT

REKOD buruk skuad negara di pentas Asia ingin dipadam ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang menuntut anak buahnya memberikan aksi terbaik jika mahu melepasi halangan tiga wakil Asia Barat, Bahrain, Qatar dan Yaman pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Australia.

Skuad Harimau Malaya dipertemu dengan tiga pasukan itu dalam Kumpulan D menerusi undian yang dijalankan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Melbourne semalam dan pengendali negara itu optimis mereka mampu memberi tentangan bagi merebut salah satu daripada dua slot ke pusingan akhir daripada kumpulan itu.


"Bagi saya ini satu cabaran menarik untuk pemain. Undian kelayakan bukan pasal nasib, kita perlu hormat semua pasukan. Qatar, Bahrain dan Yaman mempunyai tradisi yang baik dalam kejohanan ini.

"Saya mahu pemain tukar mentaliti, jangan apabila berdepan pasukan Asia Barat, kita mudah memberikan kemenangan. Saya mahu semua pemain memberikan aksi terbaik untuk mencapai misi layak ke Piala Asia 2015," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Jika Malaysia, pasukan bukan pilihan dan diletakkan dalam ranking rendah pada undian itu berjaya ke pusingan akhir, ia pasti satu catatan baru dalam sejarah bola sepak negara memandangkan kali terakhir skuad negara layak secara merit pada 1980 selepas kali pertama pada 1976.


Kali terakhir Malaysia beraksi di pusingan akhir Piala Asia atas slot sebagai tuan rumah bersama pada 2007 manakala pada pusingan kelayakan 2011, skuad kebangsaan terkandas dalam kempen Kumpulan C.

Bagaimanapun jika dilihat rekod pertemuan sebelum ini, Malaysia yang menduduki ranking ke-162 dunia berdepan tugas mencabar untuk layak biarpun undian mereka kali ini tidak seteruk pasukan Asia Tenggara yang lain.


Qatar yang menduduki ranking ke-101 dunia berjaya melangkah ke suku akhir edisi sebelum ini manakala Bahrain (115) dan kini beraksi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 menewaskan Malaysia menerusi agregat 4-1 pada pertemuan terakhir kelayakan Piala Dunia 2007.

Biarpun Yaman berada di kedudukan ke-157 dunia namun mereka pernah menewaskan skuad negara 1-0 pada dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil dua tahun lalu.


Rajagobal bagaimanapun tetap yakin Malaysia berpeluang mencipta sesuatu biarpun sedar keputusan yang akan dicapai pada kempen itu juga menentukan nasibnya bersama Harimau Malaya.


"Jika tidak layak, saya akan membuat keputusan (letak jawatan) tapi kata putus terakhir terletak di tangan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)," katanya yang memulakan kempen kelayakan Piala Asia pada Februari tahun depan selepas mengharungi misi mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini.


Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak automatik ke pusingan akhir kejohanan bersama pemenang ketiga terbaik daripada lima kumpulan terbabit.


Empat pasukan Australia selaku tuan rumah, juara bertahan, Jepun manakala dua lagi slot diisi pemenang tempat ketiga Piala Asia 2011 di Qatar, Korea Selatan serta Korea Utara selaku juara Piala Cabaran AFC tahun ini melayakkan diri secara automatik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Liew Daren langkah kanan

Posted: 09 Oct 2012 09:56 AM PDT

PILIHAN utama Sirkit Kebangsaan Terbuka Pahang 2012 Liew Daren dari Kuala Lumpur/BAM, mengetuai barisan pemain BAM lain melangkah ke pusingan kedua hari ini.

Daren menewaskan wakil Selangor, Wong Kin Yik 21-15, 12-13 untuk berdepan seorang lagi pemain Selangor, Woon Kok Hong yang mendapat kemenangan percuma selepas Kuan Beng Hong dari Kedah menarik diri.


Turut mara pilihan ketiga Mohd Arif Latif yang tidak perlu beraksi selepas Beryno Wong dari Sabah turut menarik diri.

Hari ini Arif bakal berdepan Lok Chong Chieh.


Pilihan keempat Misbun Ramdan Misbun (Selangor/BAM) turut menempah tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain berpengalaman K Yogendran dari KLRC yang mewakili Selangor 21-9, 21-13.


Ramdan akan berdepan Dinesh Velan hari ini selepas pemain Negeri Sembilan itu mengatasi wakil Perlis, A'amar Hashil 21-17, 21-15.

Anak didik Hendrawan terus menyemarakkan lagi saingan pusingan kedua apabila Goh Soon Huat dan Mohd Nur Mohd Azriyn Ayup mudah mengatasi lawan masing-masing.


Soon Huat yang menewaskan Azwan Mat Yusoff 21-15, 21-12 akan berdepan Saw Weng Jun yang menewaskan Samuel Nesan 21-14, 21-6.

Sementara itu, Azriyn (BJSS/Selangor) menewaskan wakil Selangor Ridzwan Rahmat 21-11, 21-13 untuk berdepan jaguh remaja negara dari KL/KLRC, Zulfadli Zulkifli.


Semalam Zulfadli, pilihan keenam, menang mudah 21-8, 21-18 ke atas Goh Giap Chin.


Pilihan kelima, Chan Kwong Beng juga melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Ooi Swee Khoon 21-14, 21-16.


Chong Wei Feng selaku pilihan kedua pula mara selepas diberi tentangan sengit Kuan Kam Chung.


Wei Feng (BAM/Kedah) yang menewaskan Kam Chung (KL) 22-20, 21-12 akan berdepan Loo Yik Xiang dari ATM.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Lelaki tanpa muka

Posted: 09 Oct 2012 11:12 AM PDT

KASHMIR: Seorang pemuda buat pertama kalinya menceritakan kehidupannya 'tanpa muka' dan bagaimana dia begitu takut keadaannya itu diwarisi oleh anak yang masih dalam kandungan isterinya.

Mohammad Latif Khatana, 32, dari Kashmir, India, tidak boleh melihat atau bekerja kerana mukanya dilitupi lapisan ketumbuhan.

Kerana kehodohannya, ada orang yang sanggup meludah ketika mereka melalui di depannya.

Dia kini begitu gembira selepas wanita yang dikahwinnya hamil tujuh bulan.


Tetapi dia begitu bimbang, anak yang akan dilahirkan itu akan berwajah sepertinya.


"Saya tidak sabar untuk menjadi bapa dan memiliki sedikit kebahagian dalam kehidupan saya. Tetapi saya sentiasa bimbang dan berdoa setiap hari supaya anak saya tidak dilahirkan seperti saya," katanya.

Latif yang tinggal bersama isteri, Salima, 25, di kawasan pergunungan di Tuli Bana di Jammu dan Kashmir, pergi ke Srinagar selama empat bulan dalam setahun untuk meminta sedekah.

Dia dilahirkan dengan ketumbuhan kecil pada mukanya. Tetapi ketumbuhan itu membesar dan membentuk lapisan daging dan menutup seluruh mukanya. Ia menyebabkan Latif tidak boleh melihat.

"Ibu saya masih menangis setiap kali melihat saya. Dia merasa bersalah dan tidak faham mengapa anak bongsunya ditimpa nasib itu."

Latif mempunyai dua abang dan tiga kakak dan menjadi satu-satunya anggota keluarga yang menghidap masalah berkenaan.

Tanpa adik beradiknya, kehidupannya akan menjadi begitu sunyi kerana tidak ada orang yang ingin berkawan dengannya.

"Tidak ada orang yang mahu bermain dengan saya. Setiap hari saya dipukul dan diejek oleh kanak-kanak lain di kampung. Saya kehilangan mata kiri ketika berusia lapan tahun. Mereka memanggil saya 'si mata satu.'"

Apabila dewasa, dia terus berdepan dengan banyak masalah. Dia lelaki yang kuat tetapi kerana tidak dapat melihat dan keadaan mukanya, tidak ada siapa yang ingin menawarkannya pekerjaan.

"Saya terpaksa mengemis dan mengharapkan simpati orang lain supaya dapat memberi makan kepada keluarga."

Latif kadang-kala memperoleh 400 rupi (RM25) sehari dengan mengemis.

"Pernah tiga gadis berjalan di depan saya. Mereka ludah kaki saya dan berlari sambil menutup mulut dengan selendang masing-masing. Ia begitu memalukan saya.

"Ia juga membuat saya terkejut kerana melihat kekejaman mereka. Saya begitu tertekan selama beberapa hari. Tetapi saya terpaksa bangkit dan meneruskan kehidupan," katanya.

Empat tahun lalu, Latif menemui jodohnya.

Ibu bapanya berusaha mencarikannya isteri tetapi tidak ada wanita yang sudi berkahwin dengannya, sehinggalah Latif mendengar mengenai Salima.

"Isteri saya hanya mempunyai sebelah kaki. Sudah lama dia berusaha untuk mendapatkan seorang suami.

"Sebaik bertemu, kami sedar bahawa kami dicipta untuk satu sama lain. Kami jodoh yang sesuai kerana masing-masing cacat," katanya.

Mereka berkahwin pada Ogos 2008 dan kira-kira 400 tetamu hadir pada majlis itu.

Sejak itu, pasangan berkenaan hidup bahagia. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Juara makan lipas maut

Posted: 09 Oct 2012 11:08 AM PDT

DEERFIELD BEACH: Pemenang pertandingan makan lipas mati selepas memuntahkan berpuluh-puluh serangga itu dan cacing yang masih hidup.

Edward Archbold jatuh sakit dan pengsan di sebuah kedai haiwan, tempat pertandingan diadakan.

Rakaman video menunjukkan Archbold menyumbat masuk lipas ke dalam mulutnya, tidak lama sebelum dia meninggal dunia.

Lelaki berusia 32 tahun itu memenangi hadiah seekor ular sawa. Dia merancang menjual haiwan itu kepada seorang rakan.


Seramai 30 lagi peserta menyertai pertandingan berkenaan di Deerfield Beach, Florida.


Bagaimanapun, tidak seorangpun sakit selepas itu.

Penganjur pertandingan, Ben Siegel berkata: "Kami berasa begitu sedih. Dia kelihatan seperti ingin menunjuk-nunjuk. Tetapi dia lelaki baik."

Menurut Siegel, Archbold tidak menunjukkan tandasakit sebelum pertandingan.

Michael Adams, Profesor Entomology di Universiti California, Riverside, berkata, dia tidak pernah mendengar orang mati selepas memakan lipas.

"Kecuali lipas berkenaan tercemar bakteria atau patogen lain, saya tidak fikir lipas tidak selamat dimakan.

"Memang ada orang yang alah kepada lipas. Tetapi lipas atau serangga yang ada kaitan dengannya tidak ada toksin," kata Adams.

Pegawai kini menanti keputusan bedah siasat untuk menentukan punca kematian Archbold. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved