Isnin, 15 Julai 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pengendali bukan sebarang orang

Posted: 15 Jul 2013 07:21 AM PDT

Usaha mereka sering diperlekehkan oleh individu yang tidak faham erti perkongsian minat dan semangat setia kawan. Kata orang yang skeptikal, aktiviti kelab peminat, fandom atau apa jua yang berkaitan dengan peminat seseorang selebriti - khususnya K-pop - ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga.

Tidak dinafikan ada sesetengah aktiviti peminat mendatangkan kemudaratan namun tidak ramai yang mahu atau enggan ambil tahu mengenai apa sebenarnya yang berlaku di belakang tabir sesebuah acara kelab peminat yang dianjurkan.

Lazimnya, fenomena fandom atau kumpulan peminat ini dipenuhi remaja perempuan dan wanita muda yang gemarkan seseorang selebriti. Pelajar sekolah dan penuntut kolej sering dilihat memenuhi ruang konsert atau pusat beli-belah kala sesi selebriti bertemu peminat.

Benar, fizikalnya kelihatan seperti itu namun yang menjadi nadi penggerak kepada kumpulan fandom ini majoritinya dalam kalangan profesional, matang malah ada yang sudah berkeluarga.

Foto

PENGANJURAN aktiviti kelab bantu pupuk semangat perpaduan berbilang kaum.

Foto

aktiviti kelab rapatkan hubungan sesama sendiri.

Foto

PROJEK dana untuk sekolah antara agenda utama kelab peminat CN Blue.

Foto

BEBERAPA peminat Big Bang melihat pameran ketika Hari Keluarga YG.


Kesempatan menyertai beberapa aktiviti fandom baru-baru ini membolehkan penulis berpeluang menyaksikan apa sebenarnya yang menjadi nadi kepada kewujudan sesebuah kelab peminat.


Mengendalikan kelab peminat mungkin bunyinya menyeronokkan dan sering beranggapan berpeluang bergesel bahu dengan selebriti diminati, namun ia sebenarnya lebih kepada kerja keras, selain kebijaksanaan menguruskan masa dan kewarasan dalam mengatasi masalah agar setiap aktiviti berjalan lancar.

Bagi Audrey Liew, salah seorang pengelola kelab YG-HYPE yang menyokong kelab peminat artis naungan label YG Entertainment seperti Big Bang, 2NE1, SE7EN, Psy, Lee Hi dan Epik High, kewujudan kelab peminat lebih daripada sekadar membantu ahli mendapatkan maklumat atau barangan memorabilia idola mereka.

"Ia satu kumpulan besar atau komuniti untuk peminat berkumpul melakukan aktiviti bersama dan pada masa sama, berupaya mengelakkan gejala kurang sihat kerana tumpuan mereka terarah kepada pembabitan acara dalam kelab.

"Untuk sesetengah projek, misalnya konsert Big Bang dan G-Dragon baru-baru ini, banyak acara yang dijalankan oleh kelab bertujuan merapatkan lagi hubungan sesama peminat serta membolehkan mereka mengembangkan lagi rangkaian.

"Menariknya, hubungan sesama peminat ini bukan setakat dalam kalangan warga Malaysia malah menjangkau hingga ke kelab peminat antarabangsa," katanya.

Antara acara besar yang pernah dilakukannya bersama kelab peminat ialah projek bas iaitu imej ahli kumpulan Big Bang menjadi latar utama bagi bas bernombor plat WNR2041 yang melalui jalan utama antaranya Jalan Hang Lekiu, Jalan Ampang, Pekan, Pekan Ampang, Flat Sri Nilam, Ampang Point, KLCC, Jalan Ampang dan Ampang Park.

Bas ini boleh dinaiki peminat dalam tempoh sebulan antara 13 Oktober sehingga 12 November lalu.

Ia adalah usaha pertama seumpamanya di Malaysia, di mana pengiklanan besar-besaran seperti itu bukan dilakukan oleh organisasi korporat.

Selain itu, kelab peminat juga bertanggungjawab menggesa kehadiran ramai ke konsert dan memastikan 18,000 peminat yang hadir ke konsert Big Bang - jumlah terbesar untuk jelajah kumpulan itu di luar Jepun - mengalami pengalaman menyeronokkan, sekali gus menggalakkan semangat perpaduan dan sukarelawan dalam kalangan peminat K-pop di Malaysia.

Penganjuran Hari Keluarga YG di Parkamaya, Fahrenheit 88, bulan lalu juga disifatkan antara projek mencabar kerana membabitkan penyertaan peminat sekitar Asia Tenggara.

Ia bukan setakat pertemuan biasa yang diadakan secara kecil-kecilan sebelum ini tapi disertakan banyak acara antaranya pameran album, jualan memorabilia serta pertandingan pertunjukan fesyen.

"Majoriti pengendali kelab peminat ini berdepan komitmen kerja dan keluarga, jadi kami mengambil masa dua bulan bagi merealisasikan projek Hari Keluarga ini.

"Tapi ia satu pengalaman baru bagi kami. Aktiviti seperti ini membolehkan kami mengembangkan lagi skil komunikasi, di samping belajar banyak perkara yang selama ini tidak pernah kami bayangkan," ujarnya.

Cenderung aktiviti kebajikan

Tidak semua aktiviti fandom ini hanya menjanjikan keseronokan semata-mata. Bagi kelab peminat CN Blue, CN Blue Beat Malaysia, ada agenda lebih besar yang perlu dilakukan peminat sebagai tanda sokongan kepada band Korea Selatan itu.

Jelas seorang pengendali kelab, Jufadilla Jamaldin, 28, projek Sekolah CN Blue menjadi keutamaan kelab peminat ketika ini, di samping beberapa projek lain yang akan diadakan ketika berlangsungnya konsert Blue Moon pada 24 Ogos ini.

Ahli kelab ini juga pernah berkongsi menyumbang beras 60 kilogram ketika konsert Blue Night pada Disember 2012. CN Blue kemudiannya menyalurkan sumbangan itu kepada golongan memerlukan seluruh Korea Selatan.

Dianggarkan 900 kilogram jumlah beras yang disumbangkan kelab peminat seluruh dunia dapat menampung sajian untuk 8,000 orang dengan 400 hingga 500 hidangan percuma dalam seminggu.

"Kita tidak mahu aktiviti kelab peminat berteraskan hiburan dan keseronokan semata-mata. Projek sekolah ini sudah lama dilakukan CN Blue dan mereka kini dalam usaha mendapatkan dana untuk membina sekolah kedua di Afrika.

"Jadi di sinilah peranan kelab peminat dalam membantu merealisasikan projek kebajikan itu. Selain berhibur, peminat boleh melakukan kebajikan dengan menderma pada tabung projek terbabit.

"Kami mensasarkan sumbangan sebanyak RM2,408.13 iaitu jumlah yang simbolik dengan tarikh konsert pertama mereka di Malaysia," katanya.

Tambah Norlee Husnafeza Ahmad, yang turut mengendalikan CN Blue Beat Malaysia, setiap pengisian aktiviti kelab banyak bertunjangkan kepada perkongsian minat sesama ahli, di samping membantu memperbaiki tahap komunikasi, mempertingkatkan skil pengurusan acara dan menggalakkan jalinan hubungan baru agar lebih banyak rangkaian dapat diwujudkan.

"Kebanyakan ahli kelab peminat ini terdiri daripada golongan profesional. Ada 10 pengendali rasmi semuanya dan ada antara kami ialah pensyarah, akauntan, jurutera dan eksekutif kewangan.

"Di sini pentingnya menambah rangkaian dan penganjuran aktiviti atau pertemuan seperti ini antara usaha untuk mengembangkannya," ujarnya.

Pembahagian masa sering menjadi isu kala mengendalikan aktiviti seperti ini. Bagaimanapun, kebanyakan pengendali kelab peminat hanya memperuntukkan masa selepas waktu bekerja bagi menyelesaikan tugasan kelab.

"Ia sukar kerana semua ada komitmen masing-masing. Apa yang boleh dilakukan ialah pengurusan masa yang betul dan seimbang. Biasanya kami tidak memikirkan mengenai aktiviti kelab ketika bekerja.

"Tapi sejurus tamat waktu kerja, automatik kami bertukar peranan. Di sinilah pentingnya persefahaman sesama ahli. Ada antara kami yang tidak dapat menyelesaikan tugas kelab kerana komitmen karier dan keluarga, justeru rakan lain akan membantu atau mengambil alih tugasan itu," jelas Sarifah Sanusi, juga pengendali CN Blue Beat Malaysia.

Tidak kenal usia

Fenomena fandom ini juga tidak terhad dalam kalangan anak muda. Meskipun majoriti berusia belasan tahun hingga lewat 20-an, ada sekumpulan kecil ahli kelab peminat dalam lingkungan usia 40 tahun ke atas.

YS Ahjumma, 50, antaranya peminat K-pop yang mula-mula mengasaskan kelab peminat CN Blue. Baginya, usia dan status bukan halangan asalkan tahu batas dan hadnya.

"Memang ada yang suka meletakkan kesalahan ke atas aktiviti fandom ini. Tidak dinafikan ada buruknya tapi jika ia dilakukan secara rasional, ditambah dengan pergaulan sesama ahli yang kebanyakannya sama gender, pasti tidak banyak masalah sosial yang berlaku.

"Saya lihat ramai ahli kelab peminat saling bantu-membantu sesama sendiri. Bukan setakat membantu dalam menjalankan aktiviti kelab malah menjangkau hingga kepada aktiviti harian.

"Mereka juga saling memberikan pengaruh yang baik iaitu ramai yang mahu mempelajari bahasa Korea kerana ingin berkomunikasi dengan baik sesama sendiri.

"Ada ahli yang sebelum ini tidak pernah keluar langsung dari kejiranannya tapi disebabkan aktiviti fandom, dia mula menjelajah dunia dan menimba pengalaman baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Pembaziran melampau di bulan Ramadan

Posted: 15 Jul 2013 07:12 AM PDT

Ketibaan Ramadan menandakan hadirnya bulan penuh keberkatan dalam kalangan umat Islam seluruh dunia. Hadirnya Ramadan juga menuntut manusia untuk lebih sabar, bukan setakat menahan lapar dan dahaga malah berhemah dalam setiap pemikiran, tindakan serta pertuturan.

Bukanlah bermaksud mengabaikan bulan yang lain, namun Ramadan pasti meninggalkan seribu erti keinsafan dalam diri setiap Muslim.

Kita juga sering diingatkan agar bersederhana dalam setiap perbuatan khususnya ketika berbelanja untuk hidangan iftar dan barangan keperluan harian.

Namun, berapa ramai pula yang mengamalkan kesederhanaan itu? Dengan adanya bermacam promosi hidangan berbuka puasa, sana sini penuh dengan umat Islam yang seakan gila membeli pelbagai jenis makanan hingga akhirnya dibuang begitu saja kerana perut tidak mampu lagi menampungnya.


Pembaziran itu satu hal, pencemaran alam pula yang menjadi isunya apabila banyak plastik dan bekas polisterin dibuang sepanjang Ramadan ini.


Pengasas dan Presiden EcoKnights merangkap Presiden Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar Malaysia (MENGO), Yasmin Rasyid berkata, banyak masalah pencemaran alam sekitar timbul sepanjang bulan mulia ini.

Kebanyakan makanan yang tidak dapat dihabiskan itu dibuang begitu saja padahal ia boleh didermakan kepada golongan memerlukan atau dijadikan kompos untuk tanaman.

"Kita selalu bercakap mengenai kesederhanaan tapi mengamalkannya susah kerana terlalu mengikut nafsu. Di saat kita sibuk mengerjakan amal ibadat sepanjang Ramadan, kita sentiasa terlupa dengan keadaan alam sekitar dan cenderung menambah serta memburukkan lagi keadaan sedia ada.

"Sana sini kita lihat banyaknya pembaziran makanan, lalu membuatkan banyak sampah-sarap memenuhi ruang persekitaran. Nyata ini bukanlah konsep berjimat-cermat atau bersederhana yang sering kita laungkan selama ini," katanya.

Jelas Yasmin, dua perkara yang perlu diambil kira dalam menjaga alam sekitar sepanjang Ramadan ini. Pertama, tabiat atau corak pemakanan ketika berbuka puasa dan kedua, bawa sendiri bekas makanan apabila keluar membeli juadah di bazar Ramadan.

"Puasa membantu sistem dalaman kita berehat jadi amat penting untuk mengubah tabiat pemakanan kita. Secara peribadi saya tidak begitu gemarkan berbuka secara bufet kerana saya rasa ia tidak berbaloi.

"Kita belanjakan banyak wang hingga ratusan ringgit untuk hidangan berbuka jenis bufet tapi berapa banyak yang mampu kita makan dalam satu masa?
"Selepas itu, pasti banyak yang membazir hingga lebihan makanan yang tidak disentuh itu dibuang begitu saja.

"Di sini pentingnya kesedaran mengenai aspek pembaziran itu. Saya faham hidangan bufet menjadi sasaran keuntungan bagi kebanyakan pengendali restoran dan hotel di negara ini.

"Tapi saya cabar mereka untuk menjadikan fenomena pembaziran ini sebagai satu bentuk kebajikan, di mana makanan lebihan dibungkus lalu diberikan kepada fakir miskin, anak yatim, pelajar tahfiz serta golongan yang memerlukan.

"Ada beberapa pengusaha hotel dan restoran sudah melakukannya dan saya harap lebih ramai lagi mengikut jejak sama," katanya.

Aspek kedua pula terarah kepada tabiat membeli-belah individu terutama apabila berbelanja di bazar Ramadan.

"Cuba bawa bekas makanan sendiri apabila ke bazar Ramadan. Minta penjual masukkan makanan yang dibeli itu dalam bekas yang kita bawa dan bukannya dibungkus dalam plastik atau polisterin.

"Benar, ramai yang akan memandang kerana pelik dengan permintaan kita itu tapi cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengelakkan masalah banjir.

"Penggunaan plastik dan bekas polisterin dikenal pasti antara punca utama penyebab banjir kerana membuatkan saluran air serta longkang tersumbat.

"Jadi dengan memilih menggunakan bekas makanan sendiri yang boleh dicuci selepas digunakan, ia membantu untuk mengurangkan masalah itu.

"Di peringkat awal memang sukar dan ada segelintir yang malu apabila dipandang orang lain, tapi kalau diri yang ingin berubah pasti tiada halangan ke arah itu.

"Jika kita janji inginkan kurangkan satu atau dua plastik atau polisterin dalam seminggu, bayangkan selepas 30 hari? Nampak sedikit tapi bayangkan impaknya besar untuk kesejahteraan alam sekitar kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Anak gajah sesat

Posted: 14 Jul 2013 12:11 PM PDT

Jerantut: Seorang penyelia Kilang Sawit FELDA Lepar Utara Enam, dekat sini, terkejut selepas terserempak seekor anak gajah berusia setahun dalam kawasan kilang berkenaan, awal pagi tadi.

Mohd Saharuddin Mohd Sapuan berkata, ketika membuat pemeriksaan mesin di kawasan kilang yang bersebelahan kebun pisang, terkejut apabila melihat kebun berkenaan musnah seperti diserang gajah.


"Ketika melihat kebun berkenaan tiba-tiba keluar seekor anak gajah dari kebun dan menuju ke arah saya. Pada mulanya saya takut, tetapi selepas melihatnya seperti jinak, lalu saya memberanikan diri menghampirinya," katanya.

Saharuddin berkata, anak gajah itu seperti tidak mahu pulang ke hutan berhampiran, malah terus mengikut ke mana dia pergi.


"Lalu saya ambil keputusan melaporkan kepada penolong pengurus kilang mengenai perkara itu sebelum pengurusan kilang menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang," katanya.


Pengarah PERHILITAN Pahang Khairiah Mohd Shariff berkata, anak gajah betina itu berusia satu tahun terpisah daripada ibunya dan kumpulan gajah lain.

Foto

SAHARUDDIN memberi minum anak gajah ditemui dalam kawasan kilang.

"Gajah terbabit haiwan liar berasal dari hutan simpan Tekam, Tekal dan Taman Negara dan keluar mencari makan berhampiran kawasan FELDA ini.


"Dianggarkan 14 hingga 20 ekor gajah yang terdapat dalam hutan simpan itu dan mungkin anak gajah ini daripada kumpulan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Zizan sudah serik

Posted: 14 Jul 2013 06:54 AM PDT

Bukan 'demand' sebaliknya pelakon yang dikenali menerusi watak Tun Dr Ismail dalam filem Tanda Putera, Zizan Nin mengakui serik untuk be­kerja dengan pengarah dan produksi yang tidak profesional.

Zizan yang mula serius berlakon sejak 2004 hingga sekarang berkata, antara kejadian yang sukar dilupakan ketika dia hampir ditumbuk seorang penolong pengarah ketika terbabit dalam satu penggambaran drama, baru-baru ini.

Secara peribadi, kata pemilik nama sebenar Azizan Nin, 40, itulah pengalaman terbarunya berdepan dengan produksi yang tidak profesional selepas hampir 12 tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air.

"Semuanya gara-gara tekanan kerja yang dihadapi penolong pengarah itu untuk menyiapkan drama berkenaan mengikut jadual.

Foto

ZIZAN tidak serik berlakon filem sejarah.

Foto

MARDIANA sibuk melayan anak yatim memilih juadah disediakan.


"Bagi saya, itu salahnya sendiri kerana gagal menyiapkan kerja seperti direncanakan serta tidak memiliki etika kerja yang profesional.


"Terus terang, itu adalah kali terakhir mereka mendapat khidmat saya sebagai pelakon. Maaf, saya juga mengelak untuk bekerja dengan pengarah dan produksi yang bermasalah selepas ini," katanya.

Zizan ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Aquila Emas Sdn Bhd bersama rumah anak yatim serta pihak media yang berlangsung di Hotel Federal Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Selain Zizan selaku pengacara, majlis berbuka puasa disemarakkan de­ngan kehadiran barisan selebriti seperti Serina Redzuawan, Airis Yasmin, Mardiana Alwi, Fimie Don, Tania Zara dan ramai lagi.

Hadir sama, Pengarah Urusan Aquila Emas, Syarizan Mohd Isa.

Menyentuh aktiviti Ramadan pula, kata Zizan yang pernah mengungguli kategori Pelakon Lelaki Harapan, Festival Filem Malaysia ke-20 (filem Cinta Terakhir), dia masih memenuhi undangan berlakon drama dan telefiem.

"Saya baru selesai peng­gambaran telefilem Janji Sandora yang membabitkan penggambaran di Sabah untuk stesen RTM. Saya bergandingan dengan pelakon baru Mira dan penampilan pelakon dari Sabah.

"Penggambaran telefilem ini sebelum Ramadan lagi dan selepas penggambaran selesai, saya dan isteri pergi bercuti di Kundasang, Sabah untuk berehat dan menenangkan fikiran," katanya.

Selain itu kata Zizan, dia juga akan beraksi dalam satu projek telefilem baru minggu depan.

Drama lakonannya yang ditayangkan di kaca televisyen ialah drama bersiri Violet Sukasih dan sitkom Kelas Sebelah untuk stesen RTM.

Zizan yang turut dikenali sebagai hos juga terbabit dalam program game show Akua Ekstrem musim ketiga yang bersiaran di RTM.

Zizan beraya di rumah baru

Sambutan Syawal kali ini cukup bermakna buat Zizan dan isterinya Penerbit Berita di ntv7, Fazilah Hani Harun kerana beraya di kediaman baru mereka di Ukay Perdana.

Ramadan ini genap setahun mereka menginap di situ.

"Persiapan raya kami sederhana saja. Contohnya saya juga sudah memperuntukkan tiga pasang baju Melayu untuk majlis buka puasa dan sesi fotografi raya kali ini.

"Saya juga akan beraya di rumah keluarga mentua pada hari raya pertama di sini. Menyusul selepas itu, saya akan pulang ke kampung untuk menziarahi kubur arwah emak pula. Kami tidak dapat beraya lama sebab isteri dapat cuti selama dua hari saja.

"Dari segi kuih-muih pula, saya lebih suka buat sendiri seperti kuih Tart Nenas. Selain itu, juadah istimewa air tangan isteri iaitu Rendang Tok yang menjadi kegemaran saya pada pagi raya," katanya.

Sementara itu, Zizan juga berdebar menanti tayangan filem lakonannya, Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang bakal menjengah pawagam seluruh tanah air tanggal 29 Ogos nanti.

"Maklumlah, saya sudah menunggu selama dua tahun untuk filem ini ditayangkan di pawagam. Sesibuk manapun dengan aktiviti seni dan keluarga, saya pastikan tetap turun padang untuk mempromosikan filem ini.

"Bagi saya, sejarah ini perlu dikongsi dan jangan bataskan minda dan pemikiran penonton kita. Sepanjang pengetahuan saya, belum pernah ada filem yang mencetuskan huru-hara di negara ini," katanya.

Ditanya sama ada dia serik untuk berlakon filem genre sejarah atau patriotik, Zizan menafikannya.

"Sebagai pelakon, saya menanti peluang untuk beraksi dalam filem sejarah dan biografi yang lain pula selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Nadia sahur air panas

Posted: 14 Jul 2013 06:47 AM PDT

Ketibaan Ramadan membuka semula kenangan indah yang sudah jauh ditinggalkan oleh kita semua terutama ketika zaman kanak-kanak. Nostalgia bangun sahur dan berbuka bersama keluarga pasti akan kembali bermain di ingatan. Biar dengan apa cara sekalipun, kenangan ini sukar dikembalikan lagi.

Pelakon Almy Nadia Aminuddin Shah atau Almy Nadia turut mempunyai memori indah bersahur ketika zaman kanak-kanak. Mengimbas kisah lalu, dia mula belajar berpuasa ketika berusia enam tahun.

"Biasalah budak-budak, ada masa saya senang bangun untuk makan sahur dan ada kala susah. Namun sebagai anak sulung, saya paling senang bangun berbanding tiga adik beradik lain.

"Seronoknya, emak saya (Roshiba Hashim, 45) sering ikut kemahuan anak-anak. Dia akan masak pada sebelah pagi supaya tidak kelam kabut pada waktu nak berbuka," katanya.


Menurut Nadia, keluarganya bukanlah terlalu mementingkan menu kerana ada kala emaknya hanya menyediakan nasi dengan ikan goreng atau ikan masin, namun ia sudah mencukupi sebagai juadah pembuka selera.


"Nak dikatakan asyik makan nasi pun tak juga kerana kadang kami berbuka dengan roti. Sekiranya tak menjamah makanan pun, kami diwajibkan minum air panas untuk menambah tenaga. Amalan ini memang dipraktikkan oleh keluarga kami. Sampai sekarang kami masih terikut-ikut cara ini. Saya takkan minum ais kerana boleh buatkan badan jadi lemah.

"Paling kurang saya akan minum air masak," katanya yang suka makan kurma ketika bersahur kerana boleh memberikan tenaga secukupnya ketika berpuasa.

Pelakon yang masih menjalani penggambaran drama Maahad Al-Amin untuk TV Al-Hijrah ini berpeluang merasai keseronokan bersahur dengan keluarganya sehingga berusia 19 tahun. Apabila menceburi bidang seni di ibu kota, dia hanya sesekali berpeluang bersahur dan berbuka bersama keluarganya di Pulau Pinang.

"Memanglah rindu dengan kenangan dulu. Di Kuala Lumpur saya kurang berselera untuk bersahur tapi di kampung memang lain keadaannya. Kebetulan saya bercuti di kampung bagi menjaga ibu yang patah tulang rusuk kanan kerana terjatuh dalam bilik air baru-baru ini. Buat masa ini dia tak mampu buat kerja berat.

"Adik-adik pula masih belajar. Jadi saya terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke kampung untuk lihat keadaan emak. Dugaan datang bertimpa-timpa kerana pada 16 Jun lalu, bahagian bawah rumah pula terbakar akibat letupan daripada radio lama.

"Kepulangan saya juga sebenarnya untuk menyelesaikan beberapa perkara seperti pembayaran bil dan beli apa-apa yang perlu untuk keluarga," katanya yang akan muncul menerusi drama raya berjudul Baskin bersama Saiful Apek, Jepp Sepah, Roy Azman dan Drama Band arahan Zulkiflee Said.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Bintang Glee mati dalam bilik hotel

Posted: 14 Jul 2013 09:07 AM PDT

Vancouver: Bintang siri televisyen Glee, Cory Monteith ditemui mati dalam bilik hotel disewanya di Kanada semalam.

Aktor bermasalah yang terkenal sebagai Finn Hudson dan menjadi kegilaan remaja dalam siri popular itu baru-baru ini menghabiskan masa di klinik pemulihan kerana ketagihan dadah.


Pekerja di Hotel Pacific Rim di Vancouver menemui mayat pelakon itu yang ketika tengah hari selepas dia gagal mendaftar keluar seperti sepatutnya dari tingkat 21 hotel berkenaan.

Polis berkata, Monteith, 31, keluar bersama kawan-kawannya pada malam kelmarin.


Timbalan Ketua Polis Doug Lepard berkata, tiada tanda-tanda menunjukkan berlakunya perbuatan khianat. Bedah siasat dijangka dilakukan hari ini.


Berita kematian Monteith mengejutkan ramai bintang Glee yang lain dan sejurus selepas kematiannya tersebar, bertalu-talu ucapan takziah disebarkan di Twitter.

Foto

MONTEITH ditemui mati di Hotel Pacific River, Vancouver Kanada, semalam.


Bintang Glee Dot-Marie Jones yang melakonkan watak jurulatih bola sepak Shannon Beiste berkata, dalam Twitter: "Tiada apa dapat dikatakan, hati saya hancur!" Dia juga menyifatkan Monteith sebagai "kawan yang baik" dan "lelaki hebat".


Bintang sitcom New Girl, Zooey Deschanel turut menyuarakan komennya di Twitter: "Satu kehilangan yang tragik bagi seorang lelaki muda yang berbakat. Doa dan ingatan kami buat keluarga dan individu tersayangnya." Stesen televisyen 20th Century Fox yang menerbitkan Glee juga memberi ucapan penghormatan kepada aktor itu dengan ucapan "bakat luar biasa dan individu luar biasa. Dia teman sekerja yang ceria dan kami semua pasti akan merinduinya."

Pengurus Monteith dalam satu kenyataan mengatakan, "Kami semua terkejut dan bersedih dengan kehilangan tragik ini." Pada April lalu, Monteith mengakui dia menjalani rawatan "ketagihan dadah" dan meminta ruang privasi ketika proses pemulihan. Sementara itu, pelakon gandingannya dalan Glee yang juga teman wanitanya, Lea Michele memberitahu sebuah majalah bahawa dia menyayangi, menyokong Monteith dan bangga kerana aktor itu mendapatkan rawatan bagi ketagihannya.

Ia bukan kali pertama Monteith berada di pusat pemulihan. Dia mula menerima rawatan ketika berusia 19 tahun dan pernah bercakap mengenai usahanya untuk mengatasi masalah ketagihan dan mengatakan dia mempunyai masalah yang serius dan mengambil "apa saja". - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

RM10 juta tutup mulut 'skandal'

Posted: 14 Jul 2013 08:59 AM PDT

London: Seorang bintang rock Britain kini bergelut untuk menyelamatkan rumah tangganya selepas seorang wanita menuntut dia membayar pampasan dan menyara anak luar nikah mereka.

Dalam pendedahan media semalam, artis terbabit diminta membayar £2 juta (RM10 juta) jika tidak mahu rahsia mereka didedahkan kepada isterinya. Wanita itu juga menuntut artis terbabit menyara anak mereka sehingga dia berusia 18 tahun.


Wanita terbabit dilaporkan berkata: "Bayar segera atau saya akan beritahu isteri kamu." Anak luar nikah itu dipercayai dilahirkan selepas artis terbabit mengadakan hubungan seks dengan wanita berkenaan selepas bertemu di AS.

Hubungan itu kemudian berakhir di situ saja. Sumber berkata, penyanyi rock itu kini terdesak merahsiakan kewujudan anak perempuan luar nikahnya itu daripada pengetahuan isterinya. "Penyanyi itu bertanggungjawab, bukan saja secara moral, tetapi menurut undang-undang.


"Kini semuanya terserah kepada penyanyi terbabit kerana maklumat yang selama ini dirahsiakannya ada di tangan wanita berkenaan," katanya. Sumber itu berkata, wanita berusia 30-an itu amat pasti siapa bapa kepada anak yang dilahirkannya.


"Dia bukan wanita murahan, malah dia seorang profesional berjaya," katanya. Penyanyi itu - anggota sebuah kumpulan rock yang berjaya mempunyai keluarga dan sentiasa dikenali sebagai bapa bertanggungjawab. Dianggap seorang daripada artis paling popular, dia juga melakar kejayaan besar di peringkat antarabangsa. Setakat ini dia tidak memaklumkan mengenai anak luar nikah itu kepada isterinya, tetapi menghantar sejumlah peguam untuk berunding dengan wanita berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Zaha, Januzaj memukau

Posted: 14 Jul 2013 09:55 AM PDT

Bangkok: David Moyes tertarik dengan penampilan sulung menakjubkan dua bintang sedang meningkat ketika beliau mengalami kekalahan mengejut pada perlawanan pertamanya menguruskan kelab itu di Thailand, kelmarin.

Persembahan hambar kelab juara Liga Perdana itu bagaimanapun diselamatkan dengan penampilan penuh helah pemain remaja Belgium Adnan Januzaj, sebelum pemain baru Wilfried Zaha masuk sebagai pemain gantian dan hampir menyamakan kedudukan.


Selepas 27 tahun dan 38 trofi di bawah kendalian Alex Ferguson, Moyes mengakui kekalahan 0-1 di tangan Bintang Singha, pasukan yang dibentuk daripada pemain terbaik liga Thai, bukanlah satu keputusan yang cemerlang.

Namun beliau agak terpikat dengan Zaha, wira Crystal Palace yang membantu kelab itu melangkah ke Liga Perdana, dan berasakan dia pasti bersedia bagi penampilan sulung kompetitif musim ini.


"Saya fikir apabila Wilf masuk dia memberikan kami suntikan semangat. Dia bagaimanapun tidak bernasib baik kerana gagal menjaringkan gol," kata Moyes yang menambah "Saya harap begitulah" apabila ditanya jika Zaha akan diberi peluang musim baru ini.


"Kami akan pantau apa yang dilakukannya. Kami membawanya ke sini untuk memberinya peluang," kata pengendali berbangsa Scotland itu.

Foto

JANUZAJ (kanan) pantas.

Foto

MOYES (kanan) melambai tangan kepada penyokong walaupun United tewas.

"Ini kali pertama saya bekerja dengannya, kali pertama saya berpeluang melihatnya secara dekat jadi dia pastinya menjadi sebahagian daripada skuad dan kami akan berusaha memberinya peluang dalam pasukan utama sebanyak mungkin." Selepas masuk pada babak kedua, Zaha terlepas satu tandukan dari jarak dekat namun lapan minit sebelum tamat, dia hampir menyelamatkan United daripada diaibkan apabila sepakan lencongnya menggegar palang dari dalam kotak penalti.


Januzaj, 18, memulakan perlawanan di kanan dan dia memukau dengan sentuhan one-touch, kepantasan dan hantaran tepat.

"Saya fikir dia bermain baik malam ini, saya fikir dia satu kelebihan buat kami," kata Moyes mengenai Januzaj.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Kerah latihan keras fizikal

Posted: 14 Jul 2013 09:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Tan Kim Her menjangkakan perebutan gelaran juara beregu lelaki pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, China 5-11 Ogos depan lebih cenderung kepada pertarungan mental dan fizikal pemain.

Justeru beliau mengerah keringat pemain, mengikuti latihan fizikal yang dikendalikan jurulatih fizikal Institut Sukan Negara (ISN) Rosdhi Abdul Ghani untuk tempoh tiga minggu.


"Pada pemerhatian saya, setiap kali bermain di China, permainan menjadi perlahan dan tidak boleh mematikan bulu tangkis terlalu awal. Saya pasti, kali ini juga China akan menggunakan bulu tangkis yang bergerak perlahan," kata Kim Her.

Sambil mengakui ada pemain yang merungut kepenatan dan sakit-sakit badan ketika menjalani latihan fizikal itu, beliau berkata: "Jika bukan sekarang merasai kepenatan, bila lagi?" "Dalam tempoh tiga minggu, pemain akan mengikuti latihan ketahanan fizikal dan ketangkasan. Permainan rali panjang akan menentukan pemenang pada setiap perlawanan.


"Jika skil menjadi ukuran, Indonesia dan gandingan Eropah ada peluang untuk menang namun beraksi di Guangzhou nanti, saya pasti ketahanan fizikal dan mental menjadi penentu. Korea, China dan Jepun lebih mengutamakan kekuatan, jadi pemain kita terutamanya Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mesti meningkatkan kekuatan fizikal dan ketahanan mental," kata Kim Her lagi.


Selain latihan berjalan lancar, Kim Her berkata, tiada pemain negara di belenggu masalah kecederaan.

Skuad negara akan bertolak ke Hong Kong 25 Julai ini, untuk menjalani latihan pusat, tiga hari selepas undian dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


6 tembakan rambang

Posted: 14 Jul 2013 11:22 AM PDT

Butterworth: "Dia Ravindran) baru tamat menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan akan mendaftar di sebuah kolej minggu hadapan, tetapi hasratnya melanjutkan pelajaran tidak kesampaian," kata N Suppiah, kenalan rapat bapa M Ravindran, 19, yang maut ditembak dua suspek tidak dikenali.

Suppiah, 54, berkata, ketika kejadian jam 10 malam kelmarin, dia berada di rumah lelaki itu di Kampung Ujong Batu kerana datang bertemu bapa mangsa yang dikenali sebagai Marimuthu.

"Ketika kejadian saya sedang berbual dengan bapa mendiang di rumahnya kira-kira 600 meter dari tempat kejadian sebelum dimaklumkan penduduk kampung Ravindran ditembak," katanya yang berasal dari Jelutong.

Menurutnya, dia bersama keluarga mendiang bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati Ravindran sudah dikejarkan ke hospital.

Foto

ANGGOTA unit forensik melakukan siasatan terhadap kenderaan yang terkena tembakan.


Katanya, dia kemudian menuju ke kereta Proton Wira miliknya di parkir tidak jauh dari tempat kejadian dan terkejut apabila mendapati kenderaannya turut mempunyai kesan tembakan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Kapal terbakar

Posted: 14 Jul 2013 11:13 AM PDT

Johor Bahru: Kecekapan anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menyelamatkan 22 daripada 23 kru sebuah kapal tangki yang terbakar di 2.6 batu nautika Selatan Pulau Kukup, Pontian di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, pasukan keselamatan menerima panggilan kecemasan memaklumkan sebuah kapal tangki terbakar.

Pemeriksaan awal mendapati, kapal MT Samudera yang didaftarkan di Sierra Leone dalam perjalanan dari Pulau Batam, Indonesia ke Chittagong, Bangladesh sebelum kebakaran berlaku di bilik enjin kapal itu.

Pasukan keselamatan yang tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian mendapati terdapat 23 kru warga negara India di dalam kapal itu.

Foto

KAPAL tangki MT Samudera mengalami kebakaran pada enjin.


Bagaimanapun pemilik kapal mengarahkan krunya supaya jangan keluar dari kapal berkenaan, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved